Projek Dialog

Hidup Tanpa Daging, Macam Muhammad

No Meat [Terjemahan daripada “Meatless Like Muhammad“, oleh Shireen Hakim. Diterjemahkan oleh Megat Hanis.] Orang Islam  sentiasa berusaha mengikuti Sunnah, dengan mengikuti cara hidup baginda Nabi Muhammad SAW. Kita lebih dekat dengan Tuhan dengan mengikuti amalan baginda seperti senyum dan menderma. Bagaimana pula dengan mengikuti tabiat pemakanannya? Kita juga mahu makan menurutnya, seperti memasak menggunakan minyak zaitun dan menikmati buah delima dari pohonan. Kita tahu bahawa jika baginda memilih makanan tertentu ia pastinya bermanfaat. Walaubagaimanapun, terdapat satu tabiat pemakanan beliau yang sangat penting untuk kesihatan kita, tetapi seringkali diketepikan. Menurut sumber Hadith, Nabi Muhammad begitu jarang memakan daging, dan hanya memakannya ketika majlis istimewa atau sebagai tetamu. Pemakanan sehariannya terdiri daripada makanan kegemarannya seperti kurma, air , cuka, madu, yogurt, roti barli dan anggur. Daging pula hanya sesekali, itupun beliau lebih menggemari bahu atau kaki kambing. Baginda tidak pernah kenyang memakan roti dan daging. Pernah sebagai tetamu baginda dihidangkan gulai labu dan daging, namun baginda hanya memilih labunya untuk dimakan. Baginda dan sahabat-sahabatnya menanti-nanti hari Jumaat, kerana seorang wanita tempatan akan menghidangkan mereka jamuan tanpa daging, dengan pengganti daging. Masyarakat awal Muslim meneruskan tradisi Nabi Muhammad yang jarang memakan daging. Seperti kata Khalifah ke-2 umat Islam, Umar bin Al-Khattab: “berhati-hatilah dengan daging, kerana ia menyebabkan ketagihan seperti alkohol” Beliau pernah menegur anaknya yang selalu mengidam dan membeli daging. Umar merupakan contoh yang baik buat kita, kerana Nabi pernah bersabda, “Jika ada nabi selepas aku, pastinya ia Umar”. Maka, memakan daging dengan sedikit merupakan sunnah nabi dan tradisi awal Islam. Kini, tabiat memakan daging sangat bercanggah dengan amalan Nabi SAW, Umar dan juga masyarakat Islam terdahulu. Ada sebabnya mengapa mereka jarang memakan daging: ia sangat berbahaya jika diambil selalu. Pemakanan daging yang berterusan berpotensi mendatangkan penyakit seperti sakit jantung, kanser dan kelebihan berat badan. Daging merupakan makanan yang bermanfaat dan halal, dan kita bersyukur kerana  dikurniakan nikmat tersebut. Namun, kita harus sedar bahawa kita sedang berlebihan, dan perlu mengurangkan pengambilannya.

Beef carcasses at a wholesale meat market in Paris Bagaimana Tabiat Pemakanan Daging Seharian Dianggap Normal? Tabiat ini sebenarnya meniru cara pemakanan Barat yang juga telah dicemari zaman peperangan dan kepentingan politik. Menariknya, masyarakat awal Amerika juga jarang memakan daging. Namun, ketika Perang Dunia 1 dan 2, daging dicatu. Apabila keamanan tercapai dan daging boleh didapati semula, masyarakat mengganggap makanan mewah sebagai makanan ruji. Malangnya, apabila daging menjadi makanan harian, penyakit jantung dan kanser naik mendadak. Kesihatan rakyat Amerika merudum sehingga pada tahun 70-an, Kongress telah meluluskan “Matlamat Diet” yang menyatakan bahawa kita harus mengurangkan pengambilan daging. Walau bagaimanapun, para pelobi daging berusaha keras untuk memastikan daging termasuk dalam Panduan Diet AS. Para pelobi ini kemudiannya berterusan mengiklankan dan memasarkan ideologi kepentingan daging di sekolah-sekolah dan program nutrisi. Maka, kita masih berfikir bahawa kita perlu memakan daging setiap hari, dan biasa dengan keadaan itu. Tabiat pemakanan Barat ini merebak ke Asia dan negara-negara Amerika Latin, menguatkan penyamarannya sebagai diet yang normal. Malangnya, diet yang sarat daging berkait rapat dengan punca kematian tertinggi di AS seperti sakit jantung, kanser dan obesiti. Peratusan populasinya yang menghidapi penyakit ini sangat besar: sakit jantung (11%), kanser (8.5%) dan obesiti (33%). Sebaliknya, mereka yang mengambil daging secara berkala didapati lebih sihat. Fleksitarian (mereka yang mengambil daging beberapa kali seminggu/sebulan) mempunyai kadar sakit jantung dan kanser yang lebih rendah, 15% kurang berat badan dan hidup 3.6 tahun lebih lama. Vegetarian yang langsung tidak mengambil daging dianggarkan 17 paun lebih ringan, hidup 5 tahun lebih lama dan mempunyai 30% kurang kadar risiko kanser. Ramai yang memakan burger daging, kepak ayam dan pizza daging seharian, menghidapi penyakit jantung atau kanser, dan kemudian langsung mengubah tabiat pemakanan mereka. Ambillah langkah proaktif dan mulakan memakan makanan sihat sekarang, sebelum anda jatuh sakit.

Salad Jadi, Apa Yang Patut Kita Makan Selain Daging? Terdapat banyak protein enak tanpa daging, dan kaedah sangat mudah untuk mengamalkannya dalam diet seharian. Antaranya adalah kekacang dan mentega kacang, ikan, lentil, taufu, telur, susu, keju dan yogurt, kubis, nasi perang dan quinoa. Setiap hari, makanlah 5-7 auns atau 4-6 hidangan protein ini. Contoh hidangan seperti: 1 cawan susu organik (8 gram protein), 1 cawan yogurt Greek (11 gram), 1 cawan kacang hitam (16 gram), 1 sudu mentega badam (4 gram), 1 auns salmon (5 gram), setengah cawan tauhu tanpa-GMO (20 gram), 1 cawan nasi perang (5 gram), 1 cawan quinoa (8 gram), 1 cawan kubis (3 gram) dan 1 cawan brokoli (4 gram). Protein-protein ini lebih bermanfaat dan sarat nutrient berbanding dengan daging: dengan tambahan protein, zat besi dan vitamin B12, ia juga mengandungi lemak tidak tepu, asid lemak omega-3, dan serat. Kajian menunjukkan protein tanpa daging dapat meningkatkan kekuatan tentera dan lebih mudah dihadam. Makanan ini mengurangkan risiko penyakit dan kematian. Ia juga meningkatkan kadar metabolisme, dan membantu mengurangkan berat badan. Kita digalakkan memakan protein tanpa daging untuk kebanyakan hari dalam seminggu, dan daging (ayam atau kambing) hanya untuk sehari dua. Ikuti langkah-langkah berikut untuk mengamalkan diet tanpa daging:
  1. Sertai gerakan Isnin Tanpa Daging yang popular: jangan memakan daging pada hari Isnin. (Jika anda berpuasa pada hari Isnin, maka bersahur dan berbuka puasalah tanpa daging).
  2. Masukkan hidangan tanpa daging kegemaran dalam pemakanan seharian, dan kerapkan pengambilannya (seperti pizza sayur, sandwich mentega kacang dan burrito nasi)
  3. Dalam sehari, ambil satu hidangan tanpa daging, kemudian tingkatkannya. Teruskan sehingga seluruh hari dilalui tanpa daging.
  4. Penuhi dapur dan peti sejuk anda dengan protein yang dinyatakan di atas supaya anda sentiasa mempunyai pilihan.
  5. Kunjungilah restoran yang menyediakan juadah tanpa daging seperti restoran Chitpole, CPK , sushi dan Mediterranean.
Meatless Mondays Tabiat pemakanan protein tanpa daging menjimatkan masa, tenaga dan stress. Protein tanpa daging juga mudah didapati di banyak lokasi dan selalunya halal. Oleh itu, terdapat lebih banyak pilihan restoran dan kedai-kedai runcit. Hidangan tanpa daging mampu meningkatkan kesihatan kita dan bertepatan dengan sunnah. Ia tidak menjadikan seseorang itu vegetarian, dan anda masih boleh menikmati daging. Shireen Hakim ialah seorang penulis dan pelatih nutrisi. Shireen menganuti bidang nutrisi di UCLA, Columbia dan Loma Linda University.  ]]>

Penyembelihan Haiwan & Makna Halal

harga lembu korban 2011c Petikan ini diambil daripada laman ‘Islamic Voice’ (http://islamicvoice.com/february.2002/dialogue.htm). Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Ulangsiar dari terbitan 10 Oktober 2014. Pembuka kata: Menjelang Raya Korban, terdapat banyak persoalan tentang hakikat penyembelihan dalam Islam. Di sini kami ingin mengutarakan etika penyembelihan dalam Islam, mengikut sunnah dan hadis. Moga ini mampu memberi pencerahan tentang layanan terhadap haiwan mengikut ajaran Islam.

  1. Walaupun dengan teknologi sekarang, masih terdapat binatang yang dirantai dan diheret, atau disiram air panas ketika hidup untuk membuang bulu di sesetengah rumah penyembelihan. Operasi besar-besaran yang biasanya mengamalkan kaedah-kaedah tersebut membekalkan daging dalam pelbagai bentuk kepada banyak negara Islam. Boleh saya bertanya sama ada layanan begitu terhadap haiwan yang akan menjadi makanan adalah dibenarkan dalam Islam. Dalam konteks yang sama, apakah pandangan Islam mengenai amalan membunuh ikan dan kehidupan lain yang tidak diingini ketika menangkap ikan?
Jawapan: Manusia perlu sentiasa ingat bahawa ia hanya dengan rahmat Tuhan bahawa mereka dibenarkan untuk menyembelih haiwan seperti kambing, lembu dan ayam untuk makanan. Mereka juga dibenarkan untuk menangkap ikan. Oleh itu apabila mereka menyembelih binatang dan menangkap ikan, mereka perlulah menzahirkan kesyukuran kepada Allah untuk berkatNya dengan melaksanakan penyembelihan dengan rendah hati dan kesantunan. Mereka dituntut untuk memahami dan mematuhi ajaran Islam dalam penyembelihan. Rasulullah pernah mengarahkan salah seorang sahabatnya yang hendak menyembelih seekeor kambing untuk menjauhkannya daripada kambing yang lain supaya mereka tidak dapat melihatnya. Rasulullah tidak mahu kambing yang lain untuk menyaksikan penyembelihan tersebut supaya mereka tidak kesedihan. Nabi juga menekankan supaya haiwan yang akan disembelih ditempatkan dalam keadaan yang paling selesa dan harus dibunuh dengan cepat dan dikurangkan kesakitannya. Baginda bersabda bahawa: “Allah sesungguhnya telah memerintahkan supaya semua perkara dilakukan dengan sempurna (ihsan). Oleh itu, apabila anda membunuh, bunuhlah dengan tertib dan apabila anda menyembelih, sembelihlah dengan baik. Biarlah setiap daripada kamu menajamkan mata pisaunya dan hendaklah dia mengurangkan penderitaan kepada haiwan akan disembelih. “(Sahih Muslim) Jelaslah bahawa Rasulullah menganggap pembunuhan yang cepat sebagai sebahagian daripada cara penyembelihan yang betul. Baginda menekankan ini dalam beberapa peristiwa. Dalam hadith yang lain, Rasulullah mengatakan: “Apabila sesiapa di antara kamu menyembelih, maka hendaklah dia memastikan kematian haiwan tersebut.” Rasulullah pernah melihat seorang lelaki menajamkan bilah pisaunya setelah mengiringkan kambingnya. Baginda berkata kepadanya, “Apakah kamu mahu ianya mati berkali-kali? Bukankah kamu boleh mengasah dahulu pisaumu sebelum mengambilnya untuk disembelih. ” Semua ini menunjukkan bahawa Islam mempunyai sikap jelas berkenaan layanan haiwan iaitu dengan perikemanusiaan, terutamanya yang dijadikan sebagai makanan. Apabila ianya diabaikan, ini menunjukkan sikap tidak endah terhadap ajaran Nabi. Semestinya Allah akan menyoal sikap kita tentang ajaran Nabi. Orang sebegitu tidak dapat memberikan alasan yang baik untuk kecuaiannya. Lebih lagi Islam mengharamkan sebarang pengambilan atau pembuangan bahagian tubuh haiwan yang menyakitkan. Unta Orang-orang Arab dahulu biasanya memotong bonggol unta atau bahagian lemak kambing ketika ianya masih hidup. Rasulullah sedar bahawa tindakan tersebut menyeksa haiwan lalu menghentikannya dan menjadikannya haram sebagai makanan. Baginda bersabda: “Apa yang dipotong daripada haiwan ketika ianya hidup adalah bangkai.” Lazim diketahui bahawa bangkai iaitu haiwan yang mati secara semula jadi adalah haram untuk dimakan. Ini menunjukkan bahawa Islam melarang mana-mana amalan yang menyebabkan penderitaan yang tidak perlu untuk haiwan. Memotong leher haiwan kemudian menyiram air mendidih ke atasnya apabila ia masih boleh merasakan kesakitan sudah pasti tidak dapat diterima. Orang yang berbuat demikian sudah tentu akan diadili pada hari kiamat. Begitu juga apabila menangkap ikan. Jika hasil tangkapannya termasuk ikan yang tidak diingini, sepatutnya ia dilepaskan kembali ke dalam air supaya ianya boleh hidup. Begitu juga dengan mana-mana makhluk lain yang dikaut sekali dengan ikan. Apa yang tidak diperlukan harus dibiarkan hidup, melainkan ianya berbahaya. Jika begitu, ianya harus dibunuh secara perikemanusiaan Sembelih Kaedah-kaedah Penyembelihan
  1. Adakah semua haiwan disembelih dengan cara yang sama dalam Islam?
Dua kaedah penyembelihan yang digunakan menurut Syariah ialah:
  • Zabh – Memotong urat leher. Ini disarankan untuk penyembelihan biri-biri, kambing, lembu dan burung, dan dibenarkan untuk semua haiwan lain.
  • Nahr – Menikam bahagian bawah leher. Ini disarankan untuk menyembelih unta dan dibenarkan untuk penyembelihan lembu.
  • Aqr juga boleh digunakan – Memotong mana-mana bahagian haiwan yang sukar ditangkap ketika memburu atau menggunakan haiwan liar yang dijinakkan. Pemburu seharusnya menggunakan kaedah zabh atau nahr jika haiwan yang ditangkap tersebut masih lagi hidup.
  1. Bolehkah penyembelihan dilakukan oleh sesiapa sahaja? Jika tidak, apakah syaratnya?
Penyembelihan dianggap sah jika orang yang menyembelih adalah dewasa, waras dan seorang Muslim atau ahli kitab (Yahudi atau Kristian). Haiwan yang disembelih oleh orang musyrikin, ateis, Majusi, murtad atau kafir tidak dibenarkan untuk dimakan.
  1. Apakah alat patut digunakan untuk penyembelihan?
Penyembelihan harus menggunakan alat tajam yang memotong secara memanjang dengan mata pisau. Ianya boleh dibuat daripada besi atau apa-apa bahan lain, tetapi bukannya kuku atau taring dan harus menyebabkan pengaliran darah.
  1. Apakah haiwan yang dilarang untuk dimakan oleh umat Islam jika kaedah selain penyembelihan digunakan untuk membunuh haiwan tersebut?
Haiwan-haiwan yang dilarang untuk dimakan adalah seperti berikut:
  • Haiwan dibunuh dengan ganas melalui hentakan alat berat seperti batu atau pemukul
  • Haiwan yang terbunuh disebabkan kejatuhan
  • Haiwan yang ditikam, ditusuk atau dirobek sampai mati
  • Haiwan yang telah dimakan sebahagiannya oleh binatang liar. Akan tetapi ianya boleh dimakan jika ditangkap hidup-hidup dan kemudiannya disembelih.
  1. Adakah menyebut nama Allah itu satu kemestian? Bagaimana jika terlupa?
Nama Allah perlu disebut ketika penyembelihan. Menggunakan alat perakam untuk tujuan tersebut tidak mencukupi. Penyembelihan dianggap sah jika penyembelih terlupa menyebut nama Allah.
  1. Islam adalah agama rahmat. Bolehkah anda meneragkan etika Islam apabila menyembelih haiwan?
Peraturan etika khusus telah ditetapkan dalam Syariah untuk penyembelihan, yang mempertimbangkan ihsan terhadap haiwan sebelum, semasa dan selepas penyembelihan:
  • Alat penyembelihan (pisau) tidak patut ditajamkan di hadapan haiwan.
  • Seekor haiwan tidak boleh dibunuh di hadapan haiwan lain.
  • Ia tidak boleh disembelih menggunkan alat tumpul, dan tidak boleh diseksa.
  • Ketika ianya masih hidup, anggota badannya tidak boleh dipotong, kulitnya ditanggalkan, direndam dalam air panas, atau dicabut bulunya sebelum memastikan kematiannya.
  • Haiwan tersebut hendaklah bebas daripada penyakit yang boleh membuatkan dagingnya berbahaya kepada si pemakan. Kesihatan haiwan perlu dipastikan sebelum ianya dibeli untuk penyembelihan.
  1. Haiwan biasanya direbahkan dengan hentakan atau renjatan elektrik di Barat. Adakah kita dibenarkan untuk memakan daging haiwan yang telah dilakukan sebegitu?
Menyembelih tanpa menggunakan kaedah tersebut adalah prinsip asas dalam Syariah. Inilah yang terbaik dalam menunjukkan ihsan terhadap haiwan dan mengurangkan penderitaannya. Pihak yang bertanggungjawab untuk penyembelihan hendaklah memastikan cara-cara penyembelihan selari dengan prinsip ini. Daging haiwan yang disembelih selepas direbahkan begitu boleh dimakan jika kaedahnya ditelitikan. Syarat-syarat berikut harus diperhatikan oleh pakar:
  • Menghubungkan kedua-dua elektrod di bahagian depan kepala, voltan mestilah antara 100-400 volt, arus antara 0.75-1.0 ampere untuk kambing dan biri-biri dan 2-2.5 ampere untuk lembu, dilakukan hanya dalam 3-6 saat
  • Tidak menggunakan senapang batang besi, kapak, mahupun tukul
  • Kejutan elektrik tidak boleh digunakan terhadap ayam kerana ianya terbukti membunuh sejumlah besar ayam sebelum sempat disembelih
Haiwan itu tidak dianggap haram jika direbahkan dengan menggunakan gas atau senapang bola dengan cara yang tidak membunuhnya sebelum disembelih.
  1. Apakah nasihat anda kepada umat Islam di Barat tentang memakan daging tempatan?
Umat ​​Islam di negara bukan Islam seharusnya berusaha untuk mendapatkan kebenaran undang-undang untuk menyembelih haiwan mengikut Syariah tanpa perlu menggunakan kaedah pengejutan di atas.
  1. Bolehkah pelawat ke negara-negara bukan Islam memakan daging yang mungkin tidak disembelih mengikut Syariah?
Umat Islam melawat atau menetap di negara bukan Islam boleh memakan haiwan yang disembelih oleh Ahli Kitab setelah berusaha untuk memastikan bahawa penyembelihan tersebut tidak melanggar Syariah.
  1. Bolehkah umat Islam memakan daging yang diimport daripada negara-negara bukan Islam?
Daging adalah halal jika ianya diimport dari negara-negara di mana majoriti adalah Ahli Kitab dan haiwannya disembelih di rumah penyembelihan moden yang menggunakan kaedah penyembelihan Syariah seperti yang dinyatakan di atas. Ayat Al-Quran berikut adalah bukti bahawa daging tersebut boleh dimakan: “Makanan Ahli Kitab adalah halal bagi kamu” (Surah Al-Ma’idah). Namun, daging yang diimport dari negara-negara yang majoritinya bukan Ahli Kitab adalah dilarang kerana kemungkinan besar bahawa haiwan tersebut dibunuh dengan cara yang tidak menepati agama. Daging yang diimport dari negara-negara bukan Islam tersebut adalah halal sekiranya haiwan tersebut disembelih mengikut Syariah di bawah penyeliaan sebuah badan Islam yang diiktiraf dan jika penyembelih adalah seorang Muslim atau Ahli Kitab. ]]>

KORBAN: Harga sebuah Cinta dan Revolusi

ROL Lee Oleh Lee Slimshady Senja 19 September aku duduk mengopi di Restoran Yassen Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhati rakan-rakan wilayah cinta sedang melayani dan menyantuni anak-anak jalanan di hadapan Alka Ria. Tetapi kali ini aku tidak menyertai rakan-rakan yang lain dalam menyebar cinta di jalanan buat anak-anak warga miskin kota. Mungkin memberi peluang kepada “pecinta – pecinta” lain mencurahkan kasih buat anak-anak jalanan ini. Dalam seketika teringat pula kepada seorang rakan berkepala botak yang menggunakan nama pena Sang Pencinta. Aku mengenali Sang Pencinta yang berkepala botak ketika sama-sama meneroka ruang demokratik dalam #OccupyDataran tapi sayangnya tidak mengenali secara dekat dan mengapa dia menggelarkan dirinya sebagai Sang Pencinta aku sendiri pun tidak tahu. Sambil menghirup kopi panas aku memerhati anak-anak kecil ini belajar dan sedikit demi sedikit fikiran ku mula menerawang jauh dalam sejarah cinta umat manusia beribu-ribu tahun lamanya. Dalam simpanan kotak sejarah yang aku ada, hanya satu nama sahaja yang mengaitkan Cinta dalam catatan sejarah tidak kiralah ia dari kitab suci, manuskrip papyrus mahupun catatan hieroglif purba di Babylon mahupun di Mesir. Paling tepat sosok inilah yang telah mengorbankan cintanya demi wahyu yang telah dikirim dari langit ke-7 yang terselit mesej rahsia buat seluruh umat manusia. Justeru aku tidak berniat untuk meminggirkan para atheist dalam  coretan populis ini hanya sekadar mahu berkongsi semangat revolusi dan fahaman tentang cinta buat seluruh insan di setiap pelosok jagat raya. Tidak semestinya pandangan dan pendapat aku ini betul dan janganlah sampai diakui keabsahannya sebelum dicabar dan disiasat kebenarannya. Kisah Ibrahim Alaihissalam Oleh itu bagi aku satu-satunya individu pertama yang aku rujuk terlebih dahulu sebelum Paderi Saint Valentinus adalah Nabi Ibrahim alaihis salam. Ibrahim HajarKerana ketika Ibrahim meninggalkan bayi comel dan isteri tersayang di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang tak mungkin aku dapat membayangkan perasaan hiba yang lahir dari naluri seorang ayah. Perasaan yang amat pilu tatkala anak yang dinantikan zuriatnya sendiri setelah bertahun lamanya akhirnya terpaksa ditinggalkan begitu sahaja di bawah panas terik mentari. Hati ayah mana yang tidak emosi apabila saat-saat manis membelai bayi comel dari darah keturunan sendiri terpaksa dilupakan demi menurut perintah dari langit ke-7. Andai aku berada di tempat Ibrahim secara jujurnya mustahil aku dapat melaksanakan perintah tersebut kerana naluri kebapaan mencengkam kuat dalam jiwa sebaik menatap bayi comel lebih-lebih lagi zuriatku sendiri. Sedikit demi sedikit wajah isteri yang tercinta hilang di tengah-tengah padang pasir kontang. Hatinya mula resah, jiwanya mula gelisah dan kini naluri bapanya berkecamuk. Demi cinta kepada isteri, dan kasihnya kepada bayi Ismail yang comel, ditadah kedua belah tangannya lalu dijulang ke langit lantas mengemis Cinta dari Sang Pencipta menagih simpati buat kasih insani. Ibrahim sedar hamba hina sepertinya tidak layak mengemis Cinta yang Maha Esa meski sang Jibrail yang setia tanpa sempadan pun belum mampu memiliki kasih Sang Pencipta. Di kala itu berlari-lari kecillah Siti Hajar mendaki menuruni bukit Marwa dan Safa mengejar bayangan fatamorgana yang disangka lautan tatkala bayi Ismail meraung mendahagakan air sedangkan susu dari tubuhnya telah kering. Mujur Sang Pencipta itu punya nama yang Maha Mengasihani. Korban emosi, kasih dan sayang hamba Ibrahim itu dibalas bawah hentakan kudus tumit bayi Ismail a.s lalu terpancurlah kejernihan sumur air ditengah-tengah padang pasir tandus yang menghapuskan segala kedahagaan. Ternyata Cinta yang Maha Esa adalah Cinta yang Teragung. Tanpa Rasul utusan itu sedar, kasih Maha Pencipta itu mengatasi segala-galanya. Cahaya CintaNya merentasi kebencian, kegelapan dan bisikan kejahatan. Maka berkumpullah seluruh bangsa jurhum demi berkongsi Cinta dari sebuah telaga hasil kurnia ilahi berkat hentakan kudus dari tumit kaki bayi Ismail. Kisah Cinta Ibrahim ini bermula dari hanya seketil rasa kasih dan akhirnya terbina sebuah kota di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang. Cinta Seni & Pemburuan Makna Lalu diabadikan cinta Ibrahim, Siti Hajar dan bayi Ismail itu dalam bait-bait puitis yang dicoret oleh bapa kesusasteraan Melayu moden Hamzah Fansuri. [caption id="attachment_5164" align="alignleft" width="351"]Hamzah Fansuri Hamzah Fansuri[/caption] Malah diadaptasi pula bait-bait puitis itu dalam sebuah lagu gubahan penyanyi dan komposer tersohor M. Nasir  bertajuk “Raikan Cinta” yang pernah menduduki carta teratas lagu popular tanah air suatu ketika dahulu. Aku juga turut mengalunkan bait-bait lirik lagu tersebut sambil memetik gitar milik rakan serumah tanpa menghayati dengan tepat makna dan maksud yang cuba disampaikan dalam lirik lagu berkenaan. Namun dalam pada masa yang sama aku mula mengesyaki ada maksud mendalam dalam bait-bait puitis ini, jika tidak takkanlah lirik tersebut dipetik dari karya tersohor Bapa Kesusateraan Melayu Moden seperti Hamzah Fansuri. Bermula dari saat itu aku mula memburu jawapan kepada setiap persoalan. Secara perlahan-lahan aku mula menyiasat segala naratif yang ada di sekeliling hidup aku dan mencungkil kebenaran serta kesahihan setiap naratif tersebut. “Nak, jiwamu mula memberontak dan mindamu sedang melalui proses evolusi” kata seorang pakcik tua yang aku temui di perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Terkejut dengan perubahan tanpa sedar itu, sebenarnya bukan sahaja dilalui oleh aku seorang malah rakan-rakan lain yang mula melakukan pemburuan terhadap kesahihan naratif. Cinta, Revolusi & Pengorbanan Revolusi pada awalnya adalah satu istilah yang amat asing tetapi hebat bagi aku. Setiap kali menyebutnya membuat aku rasa teruja tanpa mengerti lebih mendalam bentuk fiziknya. Mencari kesempurnaan dan menghapuskan pembodohan juga perlukan cinta untuk membina sebuah masyarakat yang progresif. Namun tanpa revolusi sebagai kaedahnya, maka cinta itu hanyalah sia-sia. Cinta kepada perubahan dan kebebasan untuk membina dunia baru, tanpa menggerakan perubahan itu secara drastik maka kekallah cinta itu sekadar ilusi maya. Sebab itu ia bukanlah hanya kisah lagenda antara Romeo dan Juliet atau kisah cinta tragik antara Uda dan Dara, maka secara fiziknya ia menuntut suatu pengorbanan. Lantas ia menjadi satu perkara yang menghantui minda para reformis. Banyak antara kita cukup petah dan lantang bila memperkatakan tentang perubahan, tetapi apabila diajukan persoalan tentang pengorbanan maka ramai yang mula memberi alasan untuk melarikan diri. Penyair terkenal W.S Rendra pernah mengungkapkan; “Andai takut pada risiko usah bicara pasal perjuangan” Maka risiko itu adalah pengorbanan yang akan dituntut dalam suatu gerakan perubahan. Kerana itu seringkali para revolusioner mengibarkan warna merah sebagai tanda menjadi korban dalam kebangkitan. Pengorbanan Helah & Pengorbanan Sebenar Tapi usah disamakan warna merah ini dengan himpunan baju merah tempoh hari kerana bagi aku himpunan itu bukan satu kebangkitan tetapi sekadar mengampu pemerintah. Janganlah juga disamakan dengan  demonstrasi depan Masjid Ubudiah dan Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar ketika rampasan kuasa negeri Perak melalui pintu belakang istana suatu masa dahulu. Ramai telah ditangkap manakala pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah di rumah Menteri Besar dan diceritakan betapa mereka yang ditangkap ini adalah wira rakyat dan kutipan derma dibuat untuk wira-wira ini. Diumumkan malam itu jumlah kutipan derma untuk menjamin semua para tahanan adalah sebanyak RM13 ribu. Tapi sampai hari ini duit tu tak sampai ke tangan para tahanan sebagai wang jaminan. Ahmad BoestamamKasihan buat rakan-rakan yang telah dijadikan sebagai mangsa ihsan orang ramai untuk mengaut keuntungan maka berhati-hati agar tidak dijadikan alat kepentingan politik orang lain untuk mengaut keuntungan. Tidak ada makna pengorbanan malah jauh sekali maksud perubahan di situ kerana keseluruhan ia sekadar helah ahli politik untuk mengekalkan kekuasaan dan mengaut keuntungan atas kesengsaraan orang lain. Sebab itu dalam sejarah kita lihat sendiri dalam merealisasikan cinta maka banyak jiwa yang telah terkorban. Secara psikologinya ia bukanlah satu perkara yang kita ingini namun itulah realiti yang perlu dihadapi. Justeru bergerak dari kebangkitan revolusi maka korban adalah perkara subjektif bagi para revolusioner. Maka tidak hairan jika kita lihat pendukung perjuangan radikal progresif seperti Ahmad Boestamam meletakan slogan “merdeka dengan darah” sebagai konsep perjuangan Angkatan Pemuda Insaf (API). Maka akan datang suara-suara sumbang memperlekehkan dasar perjuangan tersebut lantas mengaitkannya sebagai satu perkara yang ditegah oleh agama. Larangan Agamawan & Revolusi Murni Lalu ujian untuk menulenkan lagi cinta Ibrahim tidak terhenti di situ sahaja kerana perjalanan dan proses baru sahaja bergerak pada fasa pertama. Mesej Tuhan belum lagi jelas untuk diungkapkan meskipun dalam kiasan. Maka Ibrahim a.s diseru sekali lagi untuk  membuktikan kesetiaan kepada Maha Pencipta yang mana ia menuntut satu lagi pengorbanan yang amat besar dalam hidupnya. Kali ini zuriatnya diperintahkan agar disembelih sebagai korban. Buat kali kedua nalurinya sebagai seorang bapa diuji sepenuhnya. Tatkala perintah dari langit ke-7 mahu dilaksanakan maka muncul suara-suara sumbang Sang Azazel (Iblis) yang telah dilaknat lantas mengaitkan perintah itu dengan percanggahan dalam ajaran agama. Hajar IsmailMaka mempersetankan suara-suara kurang siuman yang mengaitkan suatu usaha murni itu dengan percanggahan dalam ajaran agama bukanlah suatu yang janggal kerana Siti Hajar sendiri melakukan dengan jayanya. Malah Ibrahim a.s sendiri merejam suara-suara “sial” itu dengan batu sehingga ia kekal ke hari ini sebagai ritual ibadah haji yang wajib dijalani setiap muslim yang mengerjakan haji. Tetapi malangnya ritual ini gagal dimaknai dalam realiti kehidupan sebenar. Sebab itu sering aku persoalkan dalam menggerakkan perubahan mengapa harus mempedulikan suara-suara sumbang yang mengaitkan segala usaha murni dalam membuat perubahan dengan penegahan dalam agama. Sebab itu ketika aku menyoal seorang rakan yang mahu menyertai demonstrasi #Bersih4 tentang kenyataan seorang agamawan yang mengatakan bahawa  himpunan itu haram di sisi agama maka jawabnya; “Kalau semuanya salah di sisi agama macam tu tak payahlah Nabi Ibrahim nak turut perintah Tuhan untuk sembelih Nabi Ismail ” “Kenapa pula? ” Soalku yang inginkan kepastian. “Sebab kata Iblis apa yang dilakukan oleh Ibrahim a.s tidak pernah diajar oleh mana-mana agama di dunia ini ” Jelas sahabatku dengan jawapan yang mampu buat aku tersenyum. Penjelasan yang dibuat sahabatku ini menunjukan andai usaha untuk membersihkan kekotoran itu ditegah kononnya atas nama agama maka haram untuk kita untuk menuruti larangan tersebut. Maka Tuhan pada awalnya telah mensyari’atkan keatas kita untuk mempersetankan apa sahaja larangan agamawan keatas usaha yang murni dan bersih. Justeru Imam Al-Ghazali telah mengingatkan  dalam Ihya Ulumudin bahawa setiap agamawan yang menjejakkan kakinya ke dalam istana maka akan hilanglah cahayanya. Maka setiap kebangkitan revolusi itu tidak terlepas dari asosiasi pembohongan agama kerana para agamawan itu telah di rantai lehernya oleh kuasa-kuasa politik kecuali mereka yang cekal untuk bangkit menentangnya.   Pengorbanan Untuk Menegakkan Keadilan Maka bangkit perlawanan untuk menegakan keadilan, kebebasan dan menuntut hak. Paling penting sekali adalah membina sebuah ketamadunan yang bebas dari parasit pembodohan. Sudah pasti ia pertarungan yang amat sengit yang akan mengorbankan banyak jiwa. Banyak lulusan agama tempatan enggan mengakui keabsahan naratif ini sebab motif pengorbanan Ibrahim a.s gagal difahami dengan jelas. Bagi aku ia tidak pelik kerana sang Jibrail juga mempertikaikan hal yang sama khususnya tentang pergorbanan dan pertumpahan darah. Namun begitu apabila aku meneliti babak akhir kisah korban Ibrahim dan Ismail maka pasti ramai yang akan mendakwa berlaku satu keajaiban. Di saat yang sepatutnya Ismail a.s dikorbankan, diturunkan seekor kibas lantas Ismail bukanlah korban yang sebenar kerana bagi aku itu bukan satu keajaiban tetapi anugerah. Ibrahim Qurban Lantas di sebalik korban itu maka Tuhan mengajarkan hamba bahawa di dalam hidup ini korban adalah suatu perkara yang subjektif dalam menggembleng sebuah perjuangan. Tertumpahnya darah merah itu ke bumi demi menuntut sebuah keadilan dan perubahan, biarpun ia perit untuk diterima. Sesetengah bangsa di dunia melihat pengorbanan itu satu kemuliaan. Ia seperti ibarat membelah dan mengupas sebiji durian yang memiliki kulit berduri tajam. Sudah pasti duri-duri itu melukai tangan yang mengupasnya. Tetapi andai kulitnya yang berduri tajam berjaya dikupas maka akan kita menikmati betapa lembut dan manisnya isi durian tersebut. Pengorbanan Penghayatan Maksud Korban Yang Hilang Maka sebelum kemanisan itu dikecapi ia harus melalui proses yang amat perit. Paling pasti ia menuntut nilai korban yang besar sebagai sebuah ganjaran yang harus  dibayar untuk sebuah kejayaan. Maka korban itu perlu untuk meraih kejayaan dalam suatu kebangkitan atau perjuangan. Tanpa pengorbanan takkan ada apa-apa kejayaaan. Korban adalah harga sebuah revolusi. Korban menjadi pertukaran penting untuk sebuah perubahan dalam hidup. Apa yang aku kesalkan ialah ibadah korban ini hanya sekadar syarat ritual sebagai muslim setiap kali tiba Aidil Adha tanpa setiap dari kita mengerti dan mempraktikkan maksud korban dalam revolusi hidup sebenar. Maka mesej Tuhan dalam kisah pengorbanan Ibrahim dan Ismail gagal diterjemahkan dalam hidup manusia Setiap kali itu juga aku sering teringat kata-kata Sam Witwicky (lakonan Shia Saide LaBeouf) dalam filem Transformers mengungkapkan slogan moyangnya Kapten Archibald Witwicky iaitu; “No Sacrifice, No Victory” (Tiada kejayaan tanpa pengorbanan) Salam Aidil Adha buat semua, aku menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf zahir dan batin.   *Lee SlimShady adalah bekas aktivis #OccupyDataran yang beriman kepada perjuangan radikal progresif jalanraya.

]]>

Projek Dialog di Freedom Film Fest – Filem Apa?

FFF Dialog Melalui Haluan Media Popular Secara umumnya media popular dilihat sebagai sarana penyebaran maklumat kepada seluruh massa. Ia juga dapat digunakan sebagai landasan kepada beberapa pihak untuk menganalisa sesuatu masalah. Ia dengan penuh harapan merasakan bahawa medium tersebut mampu mempertingkatkan kesedaran kepada orang awam. Permasalahan yang diutarakan itu semestinya harus berputar fenomena yang berkait rapat dengan konteks tempatan dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan kita secara tidak sedar. Menurut pendapat saya, inilah yang jarang benar dilakukan oleh kita semua. Kalau bukan para akademik ataupun para pemikir yang melaksanakan usaha seperti ini, tidak selalunya timbul inisiatif untuk mengutarakan sesuatu masalah dengan analisis yang jelas tentang apa yang berlaku pada zaman ini. Projek Dialog selaku landasan yang menganjurkan dialog sesama rakyat turut berusaha untuk melakukan inisiatif penyebaran maklumat menggunakan media popular. Projek Dialog untuk tahun ini turut terlibat menghasilkan dua karya yang bakal ditayangkan di Freedom Film Fest di PJ Live Arts Centre, Jaya One. Freedom Film Fest merupakan festival filem terulung di Malaysia yang menggunakan teknologi media sebagai salah satu sarana untuk menekankan aspek demokrasi dan menyarankan penggunaannya di kalangan para aktivis. Gabungan antara visual, tekstual, dan juga bunyi lebih memberikan impak yang besar, diikuti dengan perbincangan yang memberangsangkan mengenai setiap masalah yang dipaparkan. Filem yang ditayangkan pula merupakan dokumentari yang jarang benar didanai oleh industri perfileman, sedangkan filem-filem inilah yang benar-benar mengutarakan masalah realiti sosial yang dihadapi oleh kita semua. Dengan ini mari kita memperkenalkan karya dokumentari yang turut dihasilkan oleh pihak Projek Dialog iaitu Viral,Sial! dan juga Dialog dengan Dendi. Viral Sial “Viral,Sial!” oleh David Buri Filem ini berdasarkan fenomena beberapa bulan lalu sewaktu BFM Kupas menayangkan satu episod yang bertajuk “Hudud: Isi Periuk Nasi”. Pada waktu itu pengacara utamanya, Edry Faisal tidak dapat muncul kerana beliau menjadi sukarelawan di Kelantan. Langsung dia digantikan oleh pengacara wanita, Aisyah Tajuddin. Nah, bermula dari situlah jelas terlihat isu kebebasan menyatakan pendapat ternyata langsung tidak dapat dipraktikkan dengan sihat tanpa digugat ancaman yang kini sudah tiba pada tahap yang membahayakan. Seluruh Malaysia termasuklah media arus perdana turut memberi liputan mengenai hal ini. Tidak lupa juga kepada pihak-pihak penguasa yang turun padang menyatakan pendapat mereka mengenai video ini. Jadi apakah persoalan-persoalan yang timbul dari filem dokumentari ini? Pertama, adakah fenomena kecaman ini disebabkan oleh gender Aisyah Tajuddin dan kelantangan beliau mempersoalkan isu ini menggunakan medium internet? Harus juga kita ingatkan bahawa keberanian beliau untuk berdiri di hadapan kamera dan menyindir keutamaan ahli politik PAS tentang hudud adalah sesuatu yang jarang kita lihat di negara ini. Sedangkan para lelaki sendiri tidak berani untuk menyatakan pendapat mereka di khalayak awam, sebaliknya sibuk berbicara di kedai kopi tanpa apa-apa risiko. Jika difikirkan lagi, adakah sekiranya ia dilakukan oleh seorang lelaki, maka tingkat kecamannya pasti berbeza? Dan sehubungan dengan itu, adakah agama masih lagi dibawah jagaan pimpinan lelaki? Bilamana seorang perempuan mula mempersoalkannya, segala struktur sosial mulai tergugat dan tidak lagi menunjukkan piawaian ketakwaan yang seharusnya? Persoalan inilah yang saya rasakan bakal dikupas. Wujudkah suatu analisa yang mampu menerangkan masalah ini dengan jelas? Adakah ini semuanya bakal berakhir kepada persoalan kuasa untuk menyebarkan wacana ataupun kesedaran yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki? Dan lebih teruk lagi, bagaimana pula dengan ruang bagi kita semua untuk menyatakan pendapat? Adakah negara kita semakin lama semakin dihakis kebebasannya untuk bersuara, sebaliknya bakal digantikan suatu sistem autoritarian yang bakal membungkam kesemua suara yang menentang keadaan sistem sedia ada? Fenomena ini merupakan sesuatu yang harus difikirkan, kerana beliau secara jelas diugut secara tidak adil. Hanya kerana seorang wanita dari golongan rakyat biasa memberi pendapat, lalu hampir seluruh rakyat negara mengecamnya. Dialog Dengan Dendi “Dialog dengan Dendi” oleh Badrul Hisham Ismail “Dia sudah tak betah duduk di bandar. Bandar yang penuh gelisah. Yang tak kenal manusia dan kemanusiaan, hanya kenal urusan.” Bagi penduduk kota, persoalan mengenai isu kemodenan dan hiruk pikuk kota adalah realiti yang tidak dapat kita nafikan. Kelelahan kehidupan adalah sesuatu yang sering dipendam, maka bermula dari situ ada yang mulai mencari jalan keluar. Jalan eskapisme yang mampu mengalihkan pandangan kita jauh dari realiti kota di depan mata. Filem ini adalah karya yang mengutarakan persoalan mengenai alternatif cara hidup yang meraikan kewujudan manusia. Di mana pilihan manusia itu tidak lagi dibataskan di ruang-ruang kota, sebaliknya jauh ke dalam kawasan pedalaman hutan. Ini merupakan persoalan eksistensial, mengikut kata-kata orang muda di kala ini. Jika tiada yang berbalik atau berselindung di sebalik harapan ataupun ilusi, manusia kota secara amnya mulai hilang arah dan tidak lagi mampu menerima hikmah yang ditawarkan oleh citra kemodenan. Kesinambungan mekanisme kehidupan di sini pastinya pada suatu masa akan melahirkan suatu persoalan. Mengapa kita masih melangsungkan kehidupan yang nyata bercanggah dengan naluri kita sebagai manusia? Mengapa manusia di sekeliling kita masih lagi melangsungkan kehidupan mereka tanpa keluhan yang ketara? Filem ini merupakan hasil kerjasama antara Projek Dialog dan juga Rhu Graha. Ia menceritakan tentang Ehsan, seorang warga kota yang sudah serik dengan kehidupan kota. Beliau bertemu dengan Dendi, seorang Temiar dan membuat keputusan untuk melawatnya di kawasan pedalaman hutan. Di situ beliau mulai merenung kembali keberadaan dirinya di kota dan di tempat tinggal Dendi, dan bagaimana perbandingannya berjaya memberikan sudut pandang yang baru terhadap kehidupan beliau. Apakah tidak ada langsung intipati budaya orang asli yang boleh diambil dan dipelajari untuk kita semua? Orang asli yang melangsungkan kehidupan berdasarkan agama animisme dapat juga dilihat sebagai agama yang memberi keutamaan kepada alam semula jadi dunia ini. Mereka tidak sesekali merasakan bahawa alam adalah sumber yang seharusnya diguna pakai untuk kepentingan manusia sesuka hati. Sebaliknya mereka dengan penuh hormat merasakan kehidupan kita secara biologikal turut juga dipengaruhi oleh keberlangsungan kehidupan alam di sekeliling kita. Melalui filem ini kita ditawarkan dengan sudut pandang yang berlainan. Ia mempersoalkan keutamaan kita terhadap dunia moden yang tidak lagi mampu memberikan ketenangan dalam kegelisahan kehidupan di kota. FFF Cover Gambaran Keseluruhan Secara amnya, kedua-dua filem ini memberikan keutamaan kepada dua perkara. Pertama, ia mempersoalkan ruang kebebasan kita sebagai rakyat biasa untuk menyatakan pendapat tanpa dibungkam oleh pihak berkuasa. Ia juga mempersoalkan kecaman zalim oleh para pengguna media sosial yang secara jelasnya begitu berani menyatakan sifat binatang yang mungkin pada bila-bila masa sahaja mampu dilepaskan begitu sahaja. Ini adalah kondisi psikologikal yang masih belum diterokai dengan jelas, dan punca-puncanya juga masih belum dicari jawapannya. Secara tidak langsung ia membentuk haluan kepada kita semua untuk terus memikirkan nilai-nilai yang sebenarnya mendominasi wacana negara kita. Adakah kita diselubungi ketakutan yang melampau atau kekuatan yang nyata untuk menjangkaui keadaan kemunduran negara yang membangun? Kedua, ia mempersoalkan citra kemodenan yang telah dimulakan oleh arus globalisasi dunia Barat. Adakah kesinambungan zaman industri benar-benar menghasilkan keadaan yang bagus? Atau adakah ia benar-benar tempang, hanya memberi keutamaan kepada kebolehan dan pengumpulan nilai material semata-mata? Memang benar persoalan-persoalan seperti ini boleh sahaja dikatakan sebagai suatu klise jika hanya diselitkan dengan retorik tanpa apa-apa bimbingan. Tetapi melalui penggunaan medium popular, yang turut memaparkan aspek realiti sosial yang nyata, kita dapat mewujudkan rasa empati yang jelas. Ini bukti bagaimana impak visual berjaya menyampaikan suatu intipati yang menjangkaui batas syarahan, yang selalu sahaja tidak dapat menembusi benak hati-hati manusia. Dengan ini Projek Dialog mengharapkan bahawa dialog tidak hanya berlaku di ruang fizikal, perbualan antara beberapa sosok individu, tetapi juga melalui karya-karya filem yang mempamerkan isu-isu penting yang perlu difikirkan oleh kita semua.   Dikarang oleh Johan Zolhaidi  

]]>

Dokumentari "Ulama Perempuan": Gerakan Gender Sebagai Pengubah Sosial

Ulama Perempuan

Saya sempat menghadiri sebuah tayangan dokumentari oleh pembikin filem Norhayati Kaprawi bertemakan “Ulama Perempuan” di Petaling Jaya minggu lepas.

Temanya agak menarik perhatian kerana tumpuannya adalah terhadap wanita sebagai tokoh agama yang bergelar “ulama”.

Dokumentari tersebut menjejaki beberapa kaum wanita yang bukan sahaja memainkan peranan sebagai penyebar ilmu agama, bahkan mereka juga tidak segan silu untuk berhadapan dengan isu-isu yang pantang dibincangkan seperti melawati kawasan-kawasan pelacuran dan hubungan diantara bukan muhrim. Tambahan pula, mereka bukan bertindak sebagai pendakwah yang sibuk menghukum atau menyebarkan erti dosa pahala. Perhatian saya terhadap “Ulama Perempuan” tertarik bukan kerana fokus utama dokumentari tersebut adalah wanita, tetapi kerana ulama-ulama yang dipaparkan menghayati agama Islam sebagai: Pertamanya: Falsafah perubahan sosial Kedua: Prinsip kebebasan beragama yang membebaskan agama daripada kezaliman dan Ketiga: Agama yang menganggap wanita sebagai seorang yang mempunyai taraf, nilai dan martabat yang sama dengan lelaki. Perlu saya nyatakan juga bahawa dokumentari tersebut dirakamkan di Indonesia. Apa yang uniknya berkenaan Indonesia adalah negara tersebut mengamalkan prinsip kebebasan beragama. Mereka mempercayai pengekangan hak kebebasan seseorang untuk menganuti agamanya dianggap sebagai kezaliman spiritual. Gerakan Gender Sebagai Pengubah Sosial Dalam dokumentari ini, Norhayati Kaprawi mengikuti ulama-ulama wanita tersebut ke kawasan-kawasan rumah pelacuran. Perlu ditegaskan sekali lagi bahawa aktiviti mereka bukan bersifat diskriminasi dan menghukum, sebaliknya ulama-ulama perempuan tersebut amat peramah dan rendah diri serta amat senang memberi pendidikan seks, khidmat nasihat dan memberi sokongan emosi. Para pelacur tersebut menyambut baik kedatangan para ulama wanita tersebut. Malah mereka saling berpelukan dan bertangisan bagaikan saudara sedarah. Pelacuran terpaksa dipilih kerana desakan sosio-ekonomi yang kompleks dan rasuah yang berleluasa. Para pelacur merupakan golongan yang paling lemah dalam strata kelas sosial. Namun begitu, ulama-ulama perempuan tersebut menganggap tugas mereka adalah untuk memahami situasi masyarakat dan memperjuangkan hak-hak golongan yang lemah. Ini berbeza sungguh dengan keadaan di Malaysia. Jika dibandingkan dengan situasi negara kita, golongan wanita sering dijadikan mangsa korban dalam undang-undang syariah dan diskriminasi masyarakat. Isu-isu seperti kes Kartika Seri Dewi, Lina Joy, Maznah Mohd Yusof, dan sebagainya jelas menjadi bukti bahawa wanita sering menjadi mangsa kepada sistem syariah yang sering menindas. Malah para ulama pula mengagung-agungkan sistem tersebut, dan menghukum mana-mana pihak yang cuba mencabar ketidakadilan sistem syariah di negara kita. Kiyai Hussein Muhamad, salah seorang ulama Indonesia yang ditemuramah dalam dokumentari ini berpegang teguh dengan sebuah ayat yang terkandung di dalam Al-Quran. Ia menyebutkan bahawa asal-usul kejadian manusia, wanita dan lelaki merupakan satu entiti yang diciptakan daripada satu roh, dan semua roh adalah sama tarafnya di mata Tuhan. Bahkan, sejarah Indonesia juga banyak terkandung cerita-cerita wanita Indonesia yang mempunyai semangat jati diri yang tinggi dan menpunyai status taraf yang sama dengan lelaki. Seperti kisah isteri Teuku Umar, iaitu Cut Nyak Dhien. Beliau meneruskan perjuangan suaminya yang mangkat dibunuh dengan mengetuai gerila Aceh menentang penjajah-penjajah Belanda dalam perang Aceh sehingga tahun 1901. Kepentingan Memahami Pesanan Agama Dokumentari ‘Ulama Perempuan’ menunjukkan bahawa kemajuan Islam tidak boleh dinilai melalui peningkatan kuasa para ulama semata-mata, atau pengukuhan kuasa institusi syariah dan undang-undang. Ia terletak kepada gerakan gender yang berasaskan nilai-nilai universal, iaitu nilai kecintaaan dan saling hormat-menghormati, menyebarkan ajaran antara agama yang bersifat humanis. Di Indonesia, gerakan gender terutamanya oleh para ulama perempuan telah melahirkan golongan masyarakat yang terbuka kepada pemahaman Islam. Adalah menjadi kebiasaan dimana wanita-wanita Islam bersolat bersebelahan dengan lelaki-lelaki Islam di dalam masjid. Peraturan masjid juga adalah longgar, ia tidak mewajibkan wanita berhijab untuk memasuki masjid. Malah, yang lebih mengagumkan, menurut Norhayati Kaprawi, beliau melihat sendiri seorang janda yang bukan muhrim mencium tangan seorang ulama sebagai tanda salam tanpa melihatkannya sebagai sesuatu yang menyalahi agama. Di Malaysia, isu muhrim diangkatkan dengan sempit sehinggakan wanita tidak dibenarkan bersembahyang dihadapan lelaki. Sudah menjadi kebiasaan juga untuk para ulama lelaki tidak bersalaman dengan perempuan kerana dianggap bukan muhrim. Mengapa wujudnya perbezaan intepretasi dan amalan agama di Malaysia dan Indonesia, walhal mereka sama-sama mendukung agama Islam yang sama? Salah seorang hadirin di tayangan filem tersebut merumuskan perbezaan ini dalam satu ayat yang cukup bermakna. Beliau mengatakan “memahami sesebuah mesej agama di dalam Al-Quran adalah lebih penting daripada memahami tajwid bahasa Arabnya”. [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 23 September 2013] ]]>

Penulis Minoriti dan "Penyebaran" Agama Hindu

Indian Malaysia Kepelbagaian Budaya, Satu Bahasa Salah satu cabaran ke arah pembinaan Bangsa Malaysia bukan sahaja perpaduan tetapi juga mengamalkan integrasi, melalui pemupukan bibit-bibit persefahaman, saling memahami, menghormati, bertolak-ansur dan menerima perbezaan antara pelbagai kaum/etnik. Wahana yang paling mudah untuk memupuk nilai integrasi adalah melalui bahan bacaan, khususnya buku cerita yang ditulis pengarang pelbagai kaum/etnik/agama bagi menggambarkan kepelbagaian yang membentuk identiti Bangsa Malaysia. Saya berpegang kepada konsep “satu bahasa, pelbagai budaya” iaitu Bahasa Malaysia digunakan untuk menghasilkan karya sastera kebangsaan bagi menggambarkan budaya pelbagai kaum, etnik dan agama di negara ini. Usaha murni itu turut dilakukan oleh Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menerusi aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya di seluruh negara sejak 1999. Namun begitu, sejak hampir setahun lalu, kempen “anti-Kavyan” giat dilakukan dengan menyelitkan bibit-bibit perkauman dan ketegangan agama bagi menindas kelompok minoriti yang turut mewarnai peta sastera kebangsaan. Sekaligus menyukarkan usaha mencapai integrasi. Apabila novel Panchayat: Edisi Khas mahu diterbitkan pada Ogos 2012, sudah ada “kempen” menerusi ruang siber dan khabar angin menyeru khalayak Melayu-Islam memboikot novel saya dengan alasan ada gambar berhala pada kulit novel. Mujurlah masyarakat kita tidak jahil untuk mempercayai pembohongan seumpama itu. Dalam perkembangan terkini, karya saya dikatakan “ada unsur penyebaran agama Hindu” dan “salah dari segi Akta Penerbitan”. Alasan itu digunakan untuk menghalang cerpen terbaru saya daripada disiarkan di sebuah majalah berprestij tanah air. Tentu sahaja saya tidak marah atau kecewa semata-mata kerana karya saya tidak disiarkan. Sebaliknya, apa yang menjadi persoalan adalah alasan yang diberikan untuk mewajarkan manuskrip itu ditolak. Ternyata ada unsur penindasan.   Sebenarnya, sejak awal 2012, beberapa individu dilaporkan menghubungi editor di beberapa penerbitan dan “menghasut” supaya karya saya dan mana-mana ahli Kavyan tidak disiarkan. Alasan (fitnah) yang dikemukakan adalah bahawa kami “anti-Melayu” dan “anti-Islam”. Kerana Kavyan tampil menolong beberapa pengarang yang menjadi mangsa penipuan beberapa penerbit. Kerana Kavyan berjuang memartabatkan Bahasa Malaysia. Kerana Kavyan berani bersuara tanpa menjadi “pak turut” kepada mana-mana pihak; khususnya politikus. “Cerpen-cerpen Uthaya ada unsur penyebaran agama Hindu. Tak boleh disiarkan dan salah dari segi Akta Penerbitan. Suruhlah dia hantar ke surat khabar atau majalah India. … Cerpen dia agak terbuka bercerita tentang Tuhan Hindu. … Tak boleh disiar di majalah bahasa Melayu. Cerpen-cerpen dia menyebar agama Hindu secara halus kepada pembaca Melayu.” Demikian nada kempen terbaru yang dilakukan. Apa yang menarik, penolong editor sebuah majalah juga menyertai kempen “anti-Uthaya” dan mula “mengajar” ketua editor majalah berkenaan supaya memboikot karya-karya saya. Cerpen terbaru saya yang sudah diluluskan untuk terbitan oleh editor dan ketua editor, tiba-tiba ditolak oleh penolong editor itu menggunakan alasan tadi. Nama DBP “dijual” Malah, individu berkenaan juga ternyata berniat jahat apabila menggunakan nama bekas ketua Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Padilah Haji Ali. Kononnya, semasa Padilah menjadi ketua, DBP memboikot karya-karya saya dan tidak menyiarkannya di mana-mana majalah DBP. Maka, majalah di mana dia menjadi penolong editor juga, katanya, perlu memboikot karya-karya saya. Tentu sahaja fitnah itu bertujuan menjejaskan nama baik serta imej DBP dan Padilah.   Tambahan pula, tidak timbul langsung isu mana-mana karya saya diboikot oleh mana-mana majalah DBP. Terkini, karya saya disiarkan dalam majalah Tunas Cipta (April 2012) dan Dewan Pelajar (Jun 2012). Saya tidak menolak kemungkinan (ulang: kemungkinan) puak anti-Kavyan turut berusaha meracuni editor-editor di DBP. Bagaimanapun, tentulah DBP sebagai sebuah badan yang berwibawa, profesional dan beretika tidak akan terpengaruh dengan hasutan dan fitnah yang disebarkan oleh puak tidak bermaruah seperti itu. Berbalik kepada alasan “ada unsur penyebaran agama Hindu” yang cuba dipelopori individu/kumpulan anti-Uthaya, mereka pasti terkejut besar jika berpeluang membaca cerpen “Rudra Avatara” (Dewan Sastera, Januari 2005) dan “Cerita Paurnami” (Dewan Sastera, Mac 2006) misalnya. Tidak mustahil bahawa puak itu akan menuduh Rozninah Abd Azib, bekas editor Dewan Sastera sebagai agen kepada penyebaran agama Hindu menerusi cerpen-cerpen berkenaan. Tambahan pula, Dewan Sastera adalah majalah sastera paling berprestij di tanah air dan diterajui pula sejak dahulu oleh editor-editor yang berwibawa. Sewaktu saya berbual-bual dengan Padilah dan Rozninah di kafe DBP pada 16 Februari 2012, kami turut menyentuh mengenai dua cerpen di atas. Rozninah tidak melihatnya sebagai karya yang “ada unsur penyebaran agama Hindu”. Malah, walaupun sudah lebih enam tahun, beliau masih ingat kedua-dua cerpen itu kerana unsur kemanusiaan dan kekeluargaan yang disajikan. Tidak ada laporan mengatakan pembaca Melayu-Islam murtad selepas membaca cerpen-cerpen berkenaan. Sebagai individu yang menulis secara profesional sejak 1992, tentulah saya tahu apa yang boleh ditulis dan apa yang perlu dielakkan dalam cerpen. Tentulah saya tahu perihal Akta Penerbitan DBP, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Perlembagaan Persekutuan, etika penulisan dan sensitiviti kaum/agama apabila mengirim karya untuk disiarkan. Paparan Budaya Kaum India Semasa mengirim manuskrip cerpen terbabit yang diluluskan ketua editor dan editor tetapi kemudian ditolak penolong editor sebuah majalah, saya nyatakan begini pada e-mel: “Karya ini tidak menyentuh sensitiviti mana-mana kaum atau agama. Sebaliknya cerpen ini menggabungkan unsur budaya, keluarga, mitos dan pengajaran yang disajikan secara tersirat menggunakan teknik “cadangan”. Gaya bahasa yang digunakan adalah bahasa mudah, sesuai dengan sudut penceritaan watak seorang kanak-kanak.” Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa jumlah penulis kaum India yang menulis karya Bahasa Malaysia tidak ramai. Maka, sebagai kelompok “minoriti”, pasti sahaja banyak cabaran dan rintangan yang perlu dilalui. Apatah lagi apabila terpaksa berdepan dengan puak anti-Kavyan yang berusaha bersungguh-sungguh mempengaruhi para editor akhbar dan majalah supaya memboikot apa-apa tulisan yang dikirim pengarang kaum India.       Malah, saya difahamkan bahawa pada Jun 2012, seorang penulis terkenal dan disegani memberi “peringatan” kepada sekumpulan editor di sebuah penerbitan supaya berhati-hati dan berwaspada dengan karya daripada penulis kaum India – kecuali Raja Rajeswari Seetha Raman – kerana pasti ada cubaan menyebarkan ajaran agama Hindu menerusi karya yang dikirim. Sekadar makluman, Raja Rajeswari adalah penulis kaum India yang selesa menulis puisi bertema Melayu-Islam. Maka, walaupun beliau masih “minoriti” (penulis kaum India) tetapi beliau adalah “minoriti terpilih” kerana tidak pernah disyaki atau dituduh cuba menyebarkan agama Hindu menerusi puisi-puisi Islamik yang dihasilkannya. Akan tetapi, para pengarang lain (minoriti) tidak cukup bertuah seperti beliau untuk diberikan layanan istimewa. Suatu hal yang ketara (dan sesungguhnya saya senangi) dalam cerpen-cerpen saya adalah penampilan budaya, bahasa, adat dan cara hidup kaum India. Sebenarnya, saya beranggapan adalah menjadi tanggungjawab saya menampilkan kebudayaan kaum India untuk tatapan dan pemahaman para pembaca yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia. Demikian saya nyatakan pada bahagian prakata kumpulan cerpen Siru Kambam (DBP: 1996). Demikian juga saya sering tegaskan kepada peserta bengkel penulisan cerpen anjuran Kavyan. Nasihat yang sama juga saya berikan kepada peserta Bengkel Penulisan Makalah Budaya anjuran DBP pada 19 Mei 2012. Penindasan Secara Halus Mungkin sahaja akan ada pihak yang tampil mengatakan bahawa isu sebuah manuskrip cerpen saya ditolak adalah isu terpencil dan tidak wajar diperbesar-besarkan. Akan tetapi, bagi saya, isu sebenar bukanlah soal cerpen itu tidak disiarkan – kerana saya boleh sahaja menyiarkannya di tempat lain; malah mendapat bayaran yang lebih. Isu yang lebih besar di sini adalah “penindasan secara halus” yang dilakukan secara terancang oleh pihak tertentu terhadap penulis pelbagai kaum yang menulis mengenai kaum, budaya, adat, kepercayaan, agama dan cara hidup selain daripada acuan Melayu-Islam. Dalam pada kita lantang berkokok “meraikan kepelbagaian”, apa yang sebenarnya berlaku adalah penindasan secara terancang terhadap golongan penulis minoriti yang berusaha “menyajikan kepelbagaian” yang dilaung-laungkan itu. Label paling mudah adalah “cuba menyebarkan agama Hindu/Kristian/Buddha/Sikh” bagi menghalang hasil karya itu daripada disiarkan untuk bacaan umum. Kononnya boleh menggugat akidah penduduk beragama Islam di Malaysia. Begitu rapuhkah keimanan dan akidah penganut agama Islam di negara bertuah ini? Apa yang diperkatakan di sini bukan semata-mata soal kebebasan bersuara. Sebaliknya adalah mengenai tanggungjawab penulis membuka ruang ke arah pembinaan Bangsa Malaysia dengan menampilkan kepelbagaian budaya, adat-resam, kepercayaan dan agama untuk dinikmati pembaca. Semuanya musnah apabila dicantas pihak editorial yang terlalu rapuh keimanan dan terlalu tebal perasaan perkauman dalam diri. Mungkinkah akan tiba pula masanya ada pihak mencadangkan agar semua manuskrip karya yang dihasilkan pengarang “Bukan Melayu-Islam” wajib diserahkan kepada pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk dinilai dan diluluskan? Bukan kerana unsur Islamik yang mungkin ditampilkan tetapi kerana bimbang “ada unsur penyebaran agama Hindu/Kristian/Buddha/Sikh”. Mungkin akan disarankan juga supaya karya-karya pengarang kaum India diserahkan oleh penerbit kepada peguam dan pakar undang-undang kerana bimbang kisah mengenai budaya, adat dan cara hidup watak kaum India itu “salah dari segi Akta Penerbitan” dan boleh mengancam keamanan negara. Pada waktu itu nanti, juak-juak anti-Kavyan serta penolong editor yang menolak cerpen saya dengan fitnah “ada unsur penyebaran agama Hindu” pasti akan tersenyum girang sambil menerima habuan yang dijanjikan pihak tertentu. Dan di pentas yang lain pula, pemerintah akan berkempen secara besar-besaran menggalakkan penulis pelbagai kaum menghasilkan karya Bahasa Malaysia untuk menggambarkan kepelbagaian budaya dan etnik di negara bertuah ini demi mencapai integrasi yang diimpikan bersama. [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 29 September 2012]

]]>

Poligami Menurut Sisi Reformis: Tafsir Al-Manar

Polygamy

oleh Afiq M. Noor

Perdebatan tentang poligami bukanlah sesuatu yang baru dalam tradisi keilmuan Islam. Sekiranya kita membaca dan mengkaji teks-teks klasik Islam pasti kita akan menemui kepelbagaian hukum dan pendapat tentang poligami. Ada di kalangan ilmuan Islam yang membenarkannya secara mutlak, ada juga di antara mereka yang membenarkan poligami dengan syarat-syarat yang ketat dan ada juga yang mengharamkan poligami secara total. Di kalangan para ilmuan, ada yang mengatakan bahawa adalah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita dan merupakan gambaran ketidak adilan status di antara lelaki dan wanita. Pada dasarnya, menurut mereka, poligami, merupakan sisa-sisa perhambaan terhadap wanita, di mana lelaki dengan sewenang-wenangnya memperlakukan kaum wanita sebagai pemuas nafsu seksual mereka semata-mata. Dalam tulisan ringkas ini, penulis akan menghuraikan poligami menurut sisi pandang reformis Islam, dan untuk tujuan itu penulis hanya akan memetik pandangan Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha serta ulasan di dalam Tafsir Al Manar. Poligami Menurut Al Quran: Sejarah, Syarat & Konsep Keadilan Di dalam Surah Al Nisa’ ayat ke-3, Allah S.W.T menyatakan: “Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap perempuan yatim, maka kahwinilah wanita-wanita lain yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka kahwinlah seorang sahaja atau hamba-hamba yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya” Sekiranya kita meneliti ayat tersebut, ternyata Allah tidak hanya membenarkan para lelaki untuk berkahwin lebih daripada satu secara semberono. Terdapat dua pokok persoalan penting yang harus dikaji di dalam ayat tersebut. Pertama, tentang tanggungjawab memelihara anak yatim dan kedua, keizinan untuk beristeri lebih daripada satu. Apakah kaitan di antara dua permasalahan ini? Imam Al Thabari di dalam Jame’ Al Bayan sewaktu menghuraikan tentang ayat ini, memetik riwayat daripada Aishah RA tentang sebab turunnya ayat ini. Diceritakan bahawa Urwah Bin Zubair, anak kepada Asma Binti Abu Bakar sering bertanya kepada Aishah RA sekiranya beliau mempunyai sebarang permasalahan agama. Urwah bertanya kepada Aishah RA tentang bagaimana para lelaki diizinkan berkahwin lebih dari satu dengan alasan untuk memelihara anak yatim? Aishah RA menjawab: “Wahai anak saudaraku! Ayat ini mengenai anak yatim yang dalam penjagaan walinya dan telah bercampur harta anak yatim tersebut dengan harta walinya. Wali yang pada asalnya di amanahkan untuk menjaga anak yatim tersebut dan hartanya telah tertarik kepada harta dan kecantikan anak itu, lalu dia (wali) ingin menikahinya dengan tidak membayar mahar secara adil sebagaimana pembayaran mahar kepada wanita lain. Oleh kerana niat yang tidak jujur ini, maka dia dilarang menikah dengan anak yatim itu, kecuali sekiranya dia membayar mahar secara adil dan layak seperti perempuan lain. Daripada melangsungkan niat yang tidak jujur itu, dia dianjurkan lebih baik menikahi perempuan lain.” Berdasarkan kepada riwayat Aishah RA ini dapat kita mengambil kesimpulan, mengapa terdapat perkaitan di antara tanggungjawab memelihara anak yatim dan keizinan untuk beristeri lebih daripada satu. Sekiranya kita meneliti secara mendalam, ayat 3 Surah Al Nisaa’ ini merupakan lanjutan daripada ayat 2 yang melarang para wali yang diamahkan untuk menjaga anak yatim dan harta mereka agar tidak berbuat zalim dan aniaya terhadap mereka kerana ia merupakan dosa yang besar. Ayat ini diturunkan setelah terjadinya perang Uhud yang telah menewaskan 70 dari 700 orang lelaki Mukmin sehingga menyebabkan ramai wanita yang kehilangan suami dan anak-anak menjadi yatim. Justeru dalam konteks ini, jalan yang terbaik adalah membenarkan para lelaki Mukmin untuk menikahi wanita-wanita yang telah kematian suami dan memelihara anak-anak yang telah kehilangan bapa dengan syarat lelaki tadi perlulah berlaku adil terhadap mereka. Mampukah para lelaki berlaku adil terhadap wanita yang dikahwininya? Di dalam Surah Al Nisaa’ ayat ke- 129, Allah Azza Wa Jalla menyatakan: “Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu  walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, maka janganlah kamu terlalu cenderung kepada yang kamu cintai sehingga kamu membiarkan yang lain tergantung. Dan sekiranya kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  Melalui ayat ini, dapatlah kita simpulkan bahawa ‘adil’ itu merupakan sesuatu yang sulit dan mustahil untuk diberikan oleh para suami kepada isteri-isterinya. Si suami tadi mungkin boleh memberikan keadilan dari segi kewangan tetapi mustahil memberikan keadilan dari segi emosi dan kasih sayang. Ia secara langsung telah menyalahi objektif perkahwinan yang digariskan oleh Al Quran dalam Surah Al Ruum ayat 21: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaanya, adalah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari kalagan kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram dengannya, dan dijadikannya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir” Sheikh Muhammd Abduh, Sheikh Rashid Redha & Al Manar Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha berpendapat bahawa poligami dalam ayat berkenaan adalah dalam konteks anak yatim dan larangan memakan harta mereka meskipun dengan jalan perkahwinan. Perkara ini dinyatakan di dalam Tafsir Al Manar (Juz 4 Mukasurat 348) yang mana mereka melanjutkan bahawa jika khuatir para lelaki akan memakan harta anak yatim yang dikahwini itu, maka janganlah mengahwini mereka, sebaliknya kahwinilah wanita lain, dua, tiga atau empat. Walaubagaimanapun sekiranya si suami takut untuk tidak berlaku adil di antara isteri-isterinya, maka kahwinilah satu sahaja. Sheikh Muhammd Abduh selanjutnya mengaitkan ayat tersebut dengan ayat sebelumnya dan menyatakan – “Dari dua ayat di atas ketahuilah kebenaran untuk berpoligami dalam Islam adalah persoalan kesempitan atau darurat (yang amat berat), yang hanya dibolehkan dengan syarat dia boleh berlaku adil dan memastikan kesejahteraan” Sheikh Muhammad Abduh meskipun memahami ayat tersebut dengan diperbolehkan poligami dalam Islam, akan tetapi beliau sangat menentang poligami dalam masyarakat Mesir pada ketika itu. Menurutnya, poligami tidak akan mampu merealisasikan keadilan di dalam sebuah keluarga sebaliknya ia akan menciptakan permusuhan di antara isteri  dan anak-anak dari keluarga masing-masing. Menurut Sheikh Muhammad Abduh lagi poligami merupakan punca kerosakan masyarakat yang terjadi di Mesir. Beliau juga menyatakan: “Berdasarkan kaedah – Dar’ul Al Mafasid Muqaddamu ‘Ala Jalbi Al Masalih (mencegah kemudaratan harus didahulukan atas mengambil manfaat) maka poligami diharamkan apabila tidak mungkin terciptanya keadilan di antara para isteri dan keluarga” Sheikh Rashid Redha sebagaimana gurunya menganggap bahawa secara idealnya Al Quran menganjurkan perkahwinan monogami. Poligami hanya di benarkan dalam keadaan darurat. Akan tetapi beliau berpandangan meskipun dalam keadaan darurat poligami dibenarkan, jaminan untuk tidak akan muncul kejahatan dan kezaliman harus dipenuhi terlebih dahulu. Di dalam Nida’ Li Al Jins Al Latheef, Sheikh Rashid Redha menyatakan bahawa poligami adalah diharamkan bagi mereka yang mempunyai kecenderungan untuk menzalimi isterinya samada secara fizikal mahupun emosional. Menurut beliau lagi syarat penting untuk membenarkan berpoligami adalah berlaku adil yang mana ia adalah sukar untuk dipenuhi. Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Rashid Redha secara tegas menyatakan bahawa tidak mungkin mendidik bangsa Mesir dengan pendidikan yang baik selagi poligami masih diamalkan secara meluas. Mereka begitu konsisten menentang amalan berpoligami sehingga pernah menyarankan kepada Kerajaan Mesir pada waktu itu untuk mengharamkan amalan berpoligami kecuali dalam keadaan yang benar-benar mendesak. Sheikh Rashid Redha sewaktu mengulas pandangan gurunya tentang poligami menyatakan bahawa pandangan Sheikh Muhammad Abduh yang mencela amalan berpoligami tersebut adalah disebabkan sikap masyarakat Mesir yang mudah berpoligami dan menceraikan isteri-isteri mereka , kerana mereka umumnya lebih mengutamakan kenikmatan seksual dan hanya menurut hawa nafsunya sahaja. ]]>

Pendidikan Merawat Sikap Kediktatoran (Bahagian 2)

Oppression Diktator, Masyarakat Diktator & Ketakutan Kolektif Sebagaimana ditulis pada bahagian pertama, kewujudan pemerintahan diktator (atau separa diktator) sangat berkait rapat dengan wujudnya masyarakat yang diktator. Sementara masyarakat tersebut terbentuk daripada individu-individu yang hidup dalam suasana ‘pendidikan kediktatoran’. Antaranya, mereka merupakan masyarakat yang menyerahkan tanggungjawab mereka kepada “pihak yang bertanggungjawab” semata-mata. Tanggungjawab selaku manusia dan warga terhad sekadar untuk diri (dan ahli keluarga terdekat), tidak lebih daripada itu. Mereka juga sebuah masyarakat yang punya sikap takut secara kolektif. Ketakutan secara kolektif menyebabkan mereka takut membantah sebarang ketidakadilan, takut melapor kesalahan pihak berkedudukan, lebih rela berdiam diri dibungkam suara dan kebebasan dan seumpamanya. Sifat takut secara kolektif itu hakikatnya berasal daripada sifat takut yang ada dalam individu-individu, lalu tergabung dan menjadi lebih besar. Media Propaganda Media Propaganda & Ketakutan Kolektif di Negara-negara Demokrasi Sifat takut secara kolektif itu turut dibentuk oleh propaganda sebahagian media. Rakyat dialih fokus supaya takut dengan bangsa dan kumpulan tertentu, sambil diajar untuk “berani” menerima bahawa rasuah, penipuan dan sebagainya “tidak mengapa” demi kepentingan mereka, dan supaya “orang lain” tidak merampasnya. Justeru ketakutan asalnya sebuah sikap sesetengah individu, berubah menjadi kolektif. Suasana persekitaran seperti alat kekuasaan yang mengambil kesempatan melakukan pendidikan kediktatoran menerusi penyebaran sifat ketakutan. Selain itu, sebahagian penguasa kadang-kadang mencipta “musuh” dalam negara dan luar negara, demi menghalalkan proses penyahdemokrasian. Rakyat ditakutkan dengan “musuh” tertentu, media lalu menyebarkannya. Kadang-kadang musuh yang diciptakan ada dalam negara; seperti para pemimpin politik atau pemimpin gerakan sosial yang tidak sehaluan dengan pemerintah. Kadang-kadang musuh yang diciptakan itu ada di luar negara; seperti badan dan kumpulan tertentu. Apabila telah tersebar kewujudan musuh, maka beberapa undang-undang dan akta baharu diperkenalkan, walaupun peraturan-peraturan itu bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi, tetapi ia menjadi halal demi keselamatan negara! Kita boleh melihat realiti ini dalam dunia antarabangsa, termasuk oleh negara yang mengaku paling demokratik dan jaguh hak-hak asasi manusia. Amerika melancarkan “perang terhadap keganasan” (war on terrorism), secara terangnya ia dituju kepada Islam dan para penganutnya. Atas slogan tersebut, mereka mula mendemonisasi badan, pertubuhan dan tokoh-tokoh tertentu yang beragama Islam. Media-media ternama pula menyampaikannya dengan berkesan. Istilah-istilah tertentu seperti “jihad”, “hijab” dan “Islamis” ditafsirkan dengan tafsiran tertentu, disebarkan media-media antarabangsa dan ia akhirnya menjadi tafsiran popular dalam kalangan sesetengah pihak. Sesetengah masyarakat dunia yang “demokratik” pula merelakannya, demi keselamatan “kami” dan “kita”! Seperti konteks ketakutan kolektif dalam perbincangan kita di atas, ia turut terpakai dalam dunia antarabangsa; ketakutan secara individual oleh sesetengah negara akhirnya membentuk ketakutan kolektif, dan akhirnya negara-negara “kuasa besar” membuli masyarakat antarabangsa dengan pelbagai slogan muluk atas nama “kebaikan kita”. Tanpa disedari, akhirnya semua pihak bercakap tentang jaminan keselamatan, ancaman, ketakutan, musuh dan sebagainya, lalu emosi menguasai minda; khasnya dalam pelaksanaan dasar dan interaksi antara manusia yang berlainan identiti (kaum, agama, jantina, kecenderungan politik dan sebagainya). Dek kerana ketakutan sebegitu; “kita tidak lagi boleh berfikir dengan tenang, rasional dan dengan erti sebagai manusia.” Your Place Hukum Alam: Rahsia Perubahan Sosial  Sebagaimana kertas tidak akan basah selagi tidak dicurahkan air, demikian juga sekalian perubahan tidak akan berjaya selagi tidak dijalankan usaha mengubahnya . Fethullah Gulen telah menyatakan: “Islam menganggap sesuatu masyarakat terdiri daripada manusia berkesedaran yang dipersiapkan dengan pilihan sendiri dan mempunyai tanggungjawab terhadap diri dan orang lain. Islam melangkah setapak lagi dengan menambahkan dimensi kosmik. Ia melihat kemanusiaan sebagai “motor” yang menggerakkan sejarah, bertentangan dengan pendekatan fatalistik sesetengah falsafah sejarah Barat abad ke-19 seperti materialisme dialektik dan historisisme. Sepertimana kehendak dan kelakuan individu menatijahkan hasil kehidupannya di dunia mahupun di hari akhirat, kemajuan dan kemunduran sesuatu masyarakat ditentukan oleh kehendak, pandangan sarwa dan gaya hidup umat itu sendiri. Al Qur’an [13: 11] menyebutkan: “Sesungguhnya Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri merubah dirinya [berkenaan keyakinan, pandangan dunia dan gaya hidup]” Inilah rahsia perubahan sosial zaman-berzaman, segala perjuangan dan perubahan yang besar pasti bermula dengan perubahan yang datang dari dalam diri manusia. Jika ketakutan meninggalkan kesan besar dalam cara berfikir manusia; di dalam negara dan di peringkat antarabangsa, maka menanganinya merupakan suatu tanggungjawab. Hitler Pendidikan Membentuk Struktur Sosial, Melawan Ketaksuban & Korupsi Keberanian datang dari dalam diri manusia, jalan terbaik untuk membentuknya sudah tentu menerusi pendidikan. Mengulang kembali pandangan al-Kawakibi berkenaan pertembungan antara sang diktator dan ilmuan dalam menarik masyarakat, jelas bahawa ilmu menjadi tulang belakang kepada kewujudan kediktatoran dalam pemerintahan. Masyarakat pula menjadi penentu sama ada kekalnya kediktatoran sesuatu pemerintahan ataupun robohnya kediktatoran tersebut. Sekiranya masyarakat jahil, maka mereka akan takut, kemudian setelah takut mereka akan menyerah kepada kekuasaan. Sebaliknya jika masyarakat berpengetahuan, mereka akan berkata-kata, kemudian setelah berkata-kata mereka akan melaksanakannya. Dalam mengkritik sistem pendidikan dunia Arab yang bermasalah dalam membentuk masyarakat yang sedar dan berperanan, Prof Dr Louay Safi menjelaskan: “Kita bercakap tentang kekayaan namun kita tidak bercakap tentang tanggungjawab mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain. Apabila kita bercakap tentang kekuasaan, kita tidak mengaitkannya dengan tugas sosial untuk meningkatkan struktur sosial, ia sentiasa dikaitkan dengan kehebatan seseorang. Masyarakat Arab kita mesti menyelesaikan masalah ini. Sudah tentu ini merupakan asas korupsi dalam politik, hubungan kuat antara kehebatan seorang manusia dengan kekuasaannya – idea meluas tentang kepahlawanan, bagaimana untuk menyembah mereka, inilah masalahnya, dan ini juga yang membawa kepada korupsi.” Mencipta Keberanian & Pendidikan Demokratik Menerusi perbincangan ini juga, kita akan melihat kepentingan kaum intelektual dan berilmu dalam menggerakkan masyarakat menuju kesedaran dan tanggungjawab. Jika para ilmuan juga bersifat individualistik, maka sudah pasti masyarakat diktator akan terus wujud dan perubahan sosial dan projek pembangunan manusia dan negara akan tergendala. Pendidikan (menerusi apa medium sekalipun) haruslah mengajar keberanian; berani untuk memberi pandangan, mempertahankan hak, membuat laporan atas sebarang ketidakadilan dan sebagainya. Bagi masyarakat Muslim – pada pandangan saya – antara medium yang baik untuk mendidik keberanian ialah menerusi proses pengajaran keagamaan yang berlangsung di pelbagai tempat. Selain berkait dengan sistem kepercayaan dan psikologi, pendidikan berkaitan undang-undang juga sangat penting dalam mencipta keberanian. Manusia akan bertambah berani dan yakin apabila mereka tahu akan hak-hak mereka yang terjamin dalam perlembagaan, selain setelah mereka tahu saluran dan prosedur yang sepatutnya. Masyarakat mesti turut dididik dengan persoalan kedaulatan undang-undang, hak-hak kewarganegaraan dan kesamarataannya, dialog antara kaum dan agama, kebebasan berkeyakinan dan menghormati kaum minoriti. Tanggungjawab pendidikan ini sudah tentu tidak akan berjaya dipikul oleh sebuah pemerintahan yang diktator, justeru para pendidik, ilmuan dan organisasi sosial patut memainkan peranan dalam membentuk masyarakat sivil sama ada menerusi forum, seminar, teater jalanan, filem atau apa-apa sahaja mekanisme yang relevan. No Racism Pentingnya Persaudaraan Sejagat Melahirkan masyarakat yang berani, demokratik, bertanggungjawab dan ada misi kemanusiaan haruslah turut disertai dengan penerapan nilai-nilai sejagat yang dikongsi semua pihak. Salah satunya ialah nilai persaudaraan. Nilai persaudaraan sangat penting dalam membendung suasana ketakutan dan pembulian oleh kekuasaan. Atas nama persaudaraan kemanusiaan, maka kita membela hak golongan yang tersisih dan dinafikan hak mereka. Ia asasnya bermula dari dalam diri, menerusi latihan dan didikan oleh keluarga, sekolah, komuniti masyarakat dan sebagainya. Persaudaraan kemanusiaan dan kenegaraan akan menyebabkan kita mendahulukan perbincangan dalam kebanyakan perkara, menghindari permusuhan, kritikal terhadap media dan kekuasaan, serta berwaspada dengan cubaan-cubaan penyebaran sikap ketakutan membuta tuli (sudah tentu ketakutan dalam keadaan tertentu, ada relevannya) dalam masyarakat. Dalam sesebuah negara, kita ibarat berada dalam sebuah bahtera yang sedang berada di tengah-tengah lautan luas. Demi kebaikan dan kepentingan bersama, sebarang tindakan dan langkah yang diambil haruslah dianggap penting. Demikian juga dalam konteks antarabangsa, kita semua adalah warga dunia yang satu, ibarat dalam sebuah bahtera yang besar dan memerlukan kita sentiasa cuba memastikan peranan kita dalam memelihara kebaikan dan menolak kejahatan. Disebabkan latar belakang yang berbeza (sosial, agama, bangsa, negara dan lain-lain), menjadi suatu yang amat rumit untuk kita mencapai kata sepakat dalam setiap perkara. Oleh itu ia menjadi suatu kemestian untuk kita bersetuju untuk tidak bersetuju namun bersepakat dalam hal-hal asas yang bersifat kenilaian sejagat. Dialog & Tawaduk Dialog juga tidak semestinya akan menyebabkan kedua-duanya mencapai persetujuan dalam setiap perkara, tetapi setidak-tidaknya dialog akan mengurangkan kebencian tanpa asas antara dua (atau lebih) pihak yang berbeza. Menurut perspektif Islam, mengutamakan dialog dan kerjasama dalam hal-hal berbentuk nilai sejagat menjadi antara sifat asasnya, sambil bersedia untuk bertegas dalam hal-hal yang menjadi asas keyakinan (bersetuju untuk tidak bersetuju). Asasnya ialah rasa sifat tawaduk dan tidak meninggi diri. Tawaduk sekalipun sangat ditekankan dalam pemikiran Islam, namun ia tetap sebuah nilai sejagat yang mesti disebarkan. Tawaduk bukan sebuah “kerendahan hati” lalu menyebabkan kita menyerahkan diri kepada sebarang penyalahgunaan kekuasaan. Tapi tawaduk ialah sebuah nilai yang mengajar kita merendah diri, mendengar, meluaskan bacaan dan menambah persahabatan. Tawaduk menyebabkan kita sentiasa mahu belajar dan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan dan tindakan. Dalam dialog (dan bahkan seluruh kehidupan kita), nilai tawaduk sangat penting dan merupakan sebuah perhiasan ketamadunan. Paulo Freire turut menekankan kerendahan diri dalam bukunya Pedagogy of the Oppressed sewaktu membincangkan tentang dialog dan hubungannya dengan pembebasan. Katanya: “Bagaimanakah saya mengambil bahagian dalam sesuatu dialog jika saya sentiasa melemparkan kejahilan terhadap orang lain dan tidak melihat diri sendiri?” Freedom Kebebasan, Kemanusiaan & Moraliti  Kebebasan merupakan antara syarat dalam merawat masyarakat diktator, sementara pendidikan merupakan asas rawatannya. Masyarakat mestilah bebas daripada tekanan, paksaan dan campur tangan pihak lain dalam membuat pilihan dan keputusan. Walaupun keputusan dan pilihan yang baik belum tentu diperoleh jika kebebasan dikurniakan, namun keputusan dan pilihan yang tidak baik pasti akan diperoleh jika kebebasan tidak dikurniakan. Tokoh revolusi Perancis, Jean-Jacques Rosseau (1712-1778) yang dikenali sebagai salah seorang intelektual yang berperanan besar dalam masyarakat pada zamannya menulis dalam bukunya bertajuk The Social Contract: “Menolak kebebasan bererti menolak kemanusiaan, menyerahkan hak-hak dan tanggungjawab kemanusiaan. Untuk mereka yang menolak segalanya, tiada penebusan yang mungkin. Penolakan sebegitu tidak selari dengan fitrah manusia; membuang segala kebebasan dari kemahuannya beerti membuang segala moraliti daripada tindakannya.” Renungan & Kesimpulan Al-Kawakibi sewaktu ditanya mengapakah Allah menguji hamba-hamba-Nya dengan para diktator? Beliau menjawab: “Sesungguhnya Allah Maha Adil tidak menzalimi seorang pun. Maka seseorang diktator tidak akan menguasai kecuali ke atas golongan diktator. Sekiranya orang yang bertanya itu memandang dengan pandangan orang bijaksana dan mendalam, setiap individu dari kalangan tawanan kediktatoran merupakan diktator terhadap dirinya. Sekiranya dia mampu, dia akan menjadikan isterinya, keluarganya, kabilahnya, kaumnya dan setiap orang, sehinggalah Tuhan yang menciptakannya, pengikut kepada pandangan dan tindakannya.” Masyarakat merupakan himpunan pelbagai jenis manusia, oleh yang demikian jika kita ingin mengubah masyarakat, manusia haruslah menjadi individu pertama yang wajib diubah. Sifat individualistik mestilah digantikan dengan sifat saling cakna dan sedar sementara sifat redha dengan kesusahan dan kezaliman mesti diubah dengan kesungguhan dalam “mengubah takdir”. Ketakutan mesti ditukar menjadi keberanian dan tawaduk mesti menggantikan sikap keangkuhan. Segala-galanya bermula dengan diri manusia dalam menjadi manusia yang bernilai dan seterusnya ahli masyarakat sivil dan warganegara yang bertanggungjawab serta demokratik. [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 5 Mei 2014]

]]>