Projek Dialog

Kami Kristian Palestin Menyebut Allahu Akbar

Archbishop Sebastia Theodosis. Gambar: Nadezhda Kevorkova Archbishop Sebastia Theodosis. Gambar: Nadezhda Kevorkova[/caption] Terjemahan makalah “We Palestinian Christians say Allahu Akbar”, terbitan RT pada 30 Januari 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Satu-satunya biskop Kristian Ortodoks Palestin yang bercakap mengenai penderitaan Kristian di Palestin, perpaduan mereka dengan Muslim dalam memperjuangkan Palestin, tentang syahid Kristian Ortodoks, dan Ukraine. Ketua Biskop Sebastia Theodosios (Atallah Hanna), 49, merupakan satu-satunya ketua biskop Kristian Ortodoks dari Palestin yang ditempatkan di Jerusalem dan di Tanah Suci, sementara semua biskop lain dari Patriarki Jerusalem adalah warga Yunani. Pihak berkuasa Israel telah menahan beliau beberapa kali, atau menghalangnya di sempadan, dan mengambil pasportnya. Antara semua paderi Jerusalem beliaulah satu-satunya yang tidak berkeistimewaan melalui pintu VIP di lapangan terbang – kerana kewarganegaraanya. “Bagi pihak berkuasa Israel, saya bukan seorang biskop, tetapi warga Palestin,” jelas beliau. Apabila bercakap di telefon beliau banyak menggunakan perkataan yang biasanya didengari dari seorang Muslim: “Alhamdulillah, Insya’Allah, Masha’Allah”. Beliau berbicara dalam Bahasa Arab, dan bahasa Arab untuk ‘tuhan’ ialah Allah, sama ada anda Kristian atau Muslim. Yang Mulia, bagaimana rasanya sebagai seorang biskop Palestin di Tanah Suci? Pertama sekali, saya ingin mengesahkan bahawa saya satu-satunya biskop Palestin di Patriarki Ortodoks Jerusalem. Seorang biskop sedang berkhidmat di bandar Irbid di utara Jordan; dan di sana terdapat juga beberapa paderi Palestin. Saya berbangga menjadi sebahagian daripada institusi agama yang berusia lebih 2,000 tahun ini. Gereja saya telah melindungi kewujudan Kristian di Tanah Suci serta barangan suci yang berkaitan kehidupan Kristus dan sejarah Gereja Kristian. Saya berbangga dengan agama dan kewarganegaraan saya, saya berbangga menjadi anak watan tanahair ini. Saya warga Palestin, dan saya tergolong dalam kelompok agama yang berjuang demi kebebasan dan martabat untuk impian dan hak kenegaraan mereka. Saya menyokong Palestin dan berkongsi perjuangan dan isu-isu mereka. Kami Kristian Ortodoks Palestin tidak terpisah daripada kesusahan mereka. Isu Palestin merupakan masalah yang membimbangkan kita semua, Kristian dan Islam. Ia adalah masalah setiap intelek bebas yang menginginkan keadilan dan kebebasan di dunia ini. Kami Kristian Palestin menderita bersama-sama seluruh rakyat Palestin kerana penjajahan dan kesusahan ekonomi kita. Muslim dan Kristian sama-sama menderita, tiada perbezaan penderitaan antara kita. Kita semua hidup dalam keadaan rumit yang sama, menghadapi masalah yang sama. Sebagai gereja dan individu kami membela rakyat ini, dan kami berharap suatu hari nanti rakyat Palestin akan meraih kebebasan dan martabat mereka. Mereka yang melawat Tanah Suci berpeluang melihat betapa sukarnya keadaan rakyat Palestin. Apa pesanan anda kepada mereka yang ingin lebih memahami masalah Palestin? Israel melayan rakyat Palestin dengan cara yang tak mampu diterima atau diredhai, pertama sekali kerana Israel menganggap Palestin sebagai warga asing, seolah-olah kami pendatang di tempat sendiri. Rakyat Palestin tidak asing kepada Jerusalem ataupun tanah air keseluruhannya. Israel adalah kuasa penjajahan yang melayan kami sebagai penziarah atau penduduk sementara. Namun kami adalah orang asal negara ini. Kami bukan pendatang, kami sentiasa di sini. Sebaliknya, Israel yang muncul secara tiba-tiba. Mereka melayan kami seperti kami berhijrah ke sini dari tempat lain, seolah-olah kami dengan tidak sengaja baru sahaja sesat ke negara ini. Namun kami adalah pemilik sah tanah ini. Kami bukan menceroboh ke Israel. Israel yang menceroboh hidup kami pada tahun 1948, dan pada 1967 ia menjajah Jerusalem Timur. Kami berada di sini sekian lamanya sebelum Israel. Apabila Israel muncul di sini, nenek moyang kami telah menghuni kawasan ini berabad lamanya. Inilah sebabnya kami tidak mampu menerima layanan Israel terhadap kami seperti orang asing di tanah air sendiri. Saya secara jujur ​​akan mengatakannya sekali lagi: Kristian dan Muslim kedua-duanya mengalami penderitaan yang sama daripada Israel. [caption id="attachment_4926" align="aligncenter" width="588"]Kristian Ortodoks di Sungai Jordan untuk menyambut pesta Epiphany di mana Yesus dibaptiskan oleh John the Baptist.  Gambar: REUTERS/Mohamad Torokman Kristian Ortodoks di Sungai Jordan untuk menyambut pesta Epiphany di mana Yesus dibaptiskan oleh John the Baptist.
Gambar: REUTERS/Mohamad Torokman[/caption] Adakah ianya sama sukar bagi warga Palestin beragama Kristian dari Tebing Barat untuk melawat Jerusalem, seperti ianya sukar buat seorang Muslim? Mereka takkan bertanya sama ada seseorang yang tiba dari Beit Jala atau Ramallah ke Jerusalem adalah seorang Kristian atau Muslim. Mereka hanya akan bertanya, “Adakah kamu mempunyai permit untuk memasuki Jerusalem atau tidak?” Pas yang membenarkan seorang warga Palestin memasuki Jerusalem diluluskan oleh Israel. Tiada siapa yang boleh memasukinya tanpa ia. Dalam melaksanakan dasar perkaumannya terhadap rakyat Palestin, Israel mengabaikan perbezaan agama. Kami semua disasarkan sama sahaja. Ia semua bergantung kepada pas, sama ada anda seorang Kristian atau Muslim. Kami semua adalah sasaran mereka. Selain itu, Israel menguasai banyak harta Gereja Kristian Ortodoks dan mengganggu hal ehwal dalaman Gereja. Mereka memberi tekanan kepada orang-orang Kristian Palestin dengan pelbagai cara untuk cuba memaksa mereka meninggalkan tanah air. Punca penderitaan kedua-dua Kristian dan Muslim di Tanah Suci ini hanyalah satu. Serangan baru-baru ini terhadap majalah satira Perancis telah mencetuskan gerakan perarakan anti-Islam di Eropah. Netanyahu berada di hadapan barisan salah satu perarakan tersebut. Apakah tanggapan kamu terhadap ini? Kami mengutuk serangan di Paris yang dilakukan oleh orang-orang yang kononnya mewakili suatu agama. Namun mereka tidak mewakili mana-mana agama – mereka adalah pembunuh. Serangan ini dilakukan oleh orang-orang yang mendakwa mereka beriman, namun mereka pastinya tidak mewakili Islam dan tidak mampu bertindak atas nama Islam, sebaliknya mereka hanya merosakkan imej Islam dengan apa yang dilakukan. Pada masa yang sama, kami mengutuk operasi keganasan di Syria dan Iraq sama seperti kami mengutuk serangan pengganas di Paris. Mereka yang melakukan keganasan di Paris dan di tempat lain, tergolong dalam kumpulan sama seperti pengganas di Syria dan Iraq yang menyerang tempat suci, merosakkan gereja dan menculik pemimpin agama. Mereka menyerang wanita dan kanak-kanak di Syria, Lubnan dan Iraq. Kami menjadi saksi keganasan di Tripoli, Lubnan beberapa hari yang lalu yang mengorbankan berpuluh-puluh orang yang tidak bersalah di kafe. Kami mengutuk keganasan di Paris dan kami juga sama mengutuk mana-mana serangan seperti itu di dunia. Kami menentang sekeras-kerasnya sebarang kaitan antara serangan tersebut dengan Islam. Kami sekarang membuat persediaan untuk persidangan antarabangsa yang akan disertai tokoh-tokoh agama – Kristian, Muslim dan Yahudi – dari pelbagai negara. Kami ingin menegaskan bahawa kami, sebagai wakil ketiga-tiga agama monoteistik ini, sebulat suara menentang keganasan dan ketaksuban yang dilakukan atas slogan agama. Persidangan tersebut barangkali diadakan di Amman, Jordan. Pada pemikiran Barat, kalimah Allahu Akbar kedengaran seperti ancaman. Apakah tanggapan Kristian di Tanah Suci mengenainya? Kami Kristian juga mengatakan Allahu Akbar. Ini ungkapan pemahaman kita bahawa Sang Pencipta adalah Maha Besar. Kita tidak mahu kata-kata ini dikaitkan dengan keganasan dan jenayah. Kami menolak sebarang kaitan antara perkataan-perkataan tersebut dengan pembunuhan. Kita menentang penggunaan ungkapan tersebut dalam konteks sebegini. Mereka yang berbuat demikian, hanya menghina agama dan nilai-nilai agama kita. Mereka yang menggunakan kata-kata ini ketika melakukan perkara yang tidak beragama, tiada kerohanian, dan tidak bertamadun hanya merosakkan agama. Allahu Akbar adalah ungkapan keimanan kita. Seseorang tidak boleh menggunakan kata-kata tersebut untuk tujuan yang bukan keagamaan demi membenarkan keganasan. Adakah ungkapan Allahu Akbar disebut di dalam gereja? Sudah tentu. Bagi kami, Allah bukanlah istilah Islamik. Ia perkataan Arab yang merujuk kepada Sang Pencipta yang membina dunia kita ini. Jadi apabila dikatakan Allah di dalam doa-doa kami, yang dimaksudkan adalah Pencipta dunia ini. Doa dan seruan kami dalam upacara keagamaan Kristian Ortodoks mengunakan perkataan ini. Kami katakan, pujian kepada Allah untuk setiap masa. Kita banyak menyebut Allah dalam liturgi kami. Ianya salah untuk memikirkan bahawa kalimah Allah hanya digunakan oleh orang Islam. Kami umat Kristian Arab menyebut Allah dalam bahasa kami sebagai cara untuk mengenalpasti dan menyeru Pencipta dalam doa-doa kami. [caption id="attachment_4927" align="aligncenter" width="548"]Misa Krismas di Gereja Natal - Bethlehem, di Tebing Barat. Gambar: REUTERS/Ammar Awad Misa Krismas di Gereja Natal – Bethlehem, di Tebing Barat. Gambar: REUTERS/Ammar Awad[/caption] Adakah ini semua tentang Kristus? Adakah beliau yang mencetuskan perpecahan agama di Tanah Suci? Kristian dan Muslim mengiktiraf bahawa Yesus Kristus dilahirkan, dan mereka sedang menunggu kedatangannya yang kedua, dan hari akhirat. Namun Yahudi menafikan ini, dan menantikan Penyelamat mereka. Umat Kristian mempercayai bahawa Yesus telah datang. Baru-baru ini kami menyambut Krismas sebagai peringatan bahawa Yesus telah tiba ke dunia ini, bahawa dia dilahirkan di Bethlehem, dan memulakan perjalanannya di Tanah Suci ini demi keseluruhan umat manusia, dan menyelamatkan dunia. Jadi bagi kami, Yesus telah datang. Yahudi mempercayai bahawa dia belum tiba, dan menantikan kedatangannya. Inilah perselisihan utama di antara orang Yahudi dengan kami. Kami mempercayai bahawa Yesus telah datang, namun mereka tidak. Pun begitu, kami tidak berperang dengan orang Yahudi. Kami tidak melakukan keganasan terhadap orang Yahudi atau sesiapapun di dunia ini, walaupun berbeza dalam kepercayaan kita. Kami berdoa untuk mereka yang tidak bersetuju dengan kami. Apabila Yesus datang ke dunia ini beliau tidak mengarahkan kami untuk membenci, mengabaikan, atau berperang antara satu sama lain; beliau tidak menyuruh kami untuk membunuh yang ini atau yang itu. Beliau memberikan satu arahan mudah: iaitu saling mengasihi. Apabila Yesus memerintahkan kami untuk saling mengasihi, kasih sayang ini tidak terbatas kepada bagaimana seseorang itu, atau apa yang dia lakukan. Jika kita benar-benar Kristian, maka ia beban hutang kita untuk mengasihi semua orang, dan melayani mereka dengan positif, dan kasih sayang. Apabila kita melihat seseorang yang berdosa, hilang, dan jauh dari Allah dan keimanan, seseorang yang melakukan kesalahan, maka ia tanggungjawab kita untuk berdoa untuknya walaupun dia mungkin berbeza dari kita dan agama kita. Apabila kita berbeza pendapat tentang agama, kita berdoa agar Allah memberi petunjuk kepada mereka ke jalan yang benar. Kebencian, kemarahan, dan tuduhan bahawa kepercayaan seseorang itu salah bukanlah etika kita sebagai umat Kristian. Ini adalah perbezaan utama antara agama Yahudi dengan kami. Agama Yahudi yang wujud sebelum Kristus adalah agama bagi orang yang menunggu kedatangan Yesus. Ramai orang Yahudi yang mengikutinya, namun masih ada yang tidak mempercayainya, dan menolaknya. Kita tahu bahawa Yesus telah dianiaya, dan begitu juga umat Kristian terawal. Sebagai contoh, Raja Herod telah membunuh ribuan bayi di Bethlehem kerana mengesyaki Yesus di antara mereka. Kitab Kisah Para Rasul, serta tradisi suci, menceritakan banyak kisah penganiayaan Kristian terawal. Namun begitu, kami melihat setiap orang yang tidak bersependapat dengan kami tentang agama sebagai saudara, manusia sesama kita. Allah menciptakan kita semua, memberikan nyawa, maka ianya tanggungjawab kita untuk menyayangi setiap seorang, dan mendoakan mereka yang tersilap atau salah faham, supaya Allah membimbing mereka ke jalan yang benar. Adakah itu sebabnya orang Kristian dan orang Islam ditindas? Kami tidak membahagikan rakyat Palestin kepada Kristian dan Muslim, siapa yang alim dan siapa yang tidak, yang berhaluan kiri atau ahli parti yang mana. Kami tidak membahagikan manusia mengikut kepercayaan atau agama. Untuk gerakan penentang ia tidak kira sama ada mereka beragama Islam atau Kristian. Walau apapun pandangan politik mereka, semua rakyat Palestin secara aktif menyokong bahawa mereka patut diberikan hak dan mampu mencapai impian mereka. Ya, beberapa orang Kristian telah terbunuh sejak 1948 hingga ke hari ini. Beberapa orang Kristian telah dihalau keluar dari rumah-rumah mereka. Beberapa perkampungan Kristian telah musnah, dan kini tiada satu pun rumah atau penghuni di sana, contohnya, Al Galil di Golan Heights. Banyak gereja telah diserang di Jerusalem; terdapat beberapa percubaan untuk merampas harta dan tanah mereka. Ada Kristian yang dipenjarakan di Israel – tidak seramai orang Muslim, tetapi ada. Masyarakat Kristian umumnya lebih kecil, namun kami mempunyai para syahid sendiri yang terbunuh dan banduan yang menghabiskan bertahun-tahun lamanya di penjara. Kristian menderita di bawah penjajahan Israel sama seperti orang Islam – penduduk Palestin keseluruhannya menderita di bawahnya. Mereka tidak membezakan antara kita. Adakah terdapat sebarang aspek khas bagi umat Kristian yang tinggal di Tanah Suci? Ini adalah salah satu contohnya, yang berkait dengan Gereja Ortodoks Rusia. Gereja Besar Holy Trinity terletak di bahagian barat Jerusalem dan merupakan milik Gereja Ortodoks Rusia, namun selepas 1948 Israel mengambil kesempatan terhadap keadaan di Rusia untuk merampas beberapa bangunan di sekitar gereja besar tersebut, dan menggunakannya sebagai markas polis dan penjara yang mengamalkan penyeksaan. Apabila seseorang mengatakan “moskobiya”, merujuk kepada sesuatu yang berhubung dengan Patriarki Moscow, iaitu sesuatu yang suci dan spiritual, perkara pertama yang akan terlintas di fikiran seorang Palestin yang hidup di Jerusalem adalah penyeksaan, polis, soal siasat dan penjara. Di Nazareth, sebagai contoh, perkataan “moskobiya” dikaitkan khas dengan sebuah sekolah Rusia lama di mana pelajarnya adalah di kalangan warga elit Palestin, para saintis dan ahli politik. Walaupun ianya telah ditutup selepas Revolusi 1917 di Rusia, kemasyhurannya masih hidup. Jadi, ia hanyalah buat rakyat Palestin di Jerusalem. Apakah pendapat warga Kristian Palestin, maksud saya Kristian Ortodoks terutamanya, tentang krisis di Ukraine? Secara keseluruhannya, kami amat bimbang dengan perpisahan di Ukraine. Kami masih mempercayai semua umat Kristian Ukraine patut kekal di bawah naungan Gereja Ibu iaitu Patriarki Moscow. Saya berharap krisis Ukraine mampu diselesaikan melalui dialog supaya kita dapat melihat perdamaian dan tamatnya keganasan serta pertumpahan darah. Umat Kristian tidak memerlukan peperangan dan pembunuhan. Krisis politik perlu diselesaikan secara aman. Gereja mesti bekerja keras untuk memastikan bahawa jurang dirapatkan dan diatasi. Gereja Ortodoks di Ukraine adalah kuat kerana kebanyakannya berkepercayaan Kristian Ortodoks. Perpecahan mesti diperbetulkan. Kami benar-benar berharap bahawa segala usaha Patriarki Moscow dan Patriarki Constantinople dapat menyatukan semula Gereja Ukraine. Saya percaya perpecahan tersebut mampu dipulihkan dan mereka yang mengasingkan diri dapat kembali semula. Namun untuk itu, kita perlu merendah diri, yakin dan bersemangat teguh. Kami berdoa untuk Gereja Ortodoks di Ukraine.

]]>

Rombongan Pusat Islam Berbuka di Gurdwara – Dubai

Tetamu dari Pusat Islam Al Manar di Gurdwara Guru Nanak Darbar. Gambar: Khaleej Times Tetamu dari Pusat Islam Al Manar di Gurdwara Guru Nanak Darbar. Gambar: Khaleej Times[/caption] Terjemahan makalah “Islamic Centre Members Break Fast at Dubai Gurdwara”, terbitan Asia Samachar pada 24 Jun 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Tahun lepas, 10 anggota dari Pusat Islam Al Manar telah melawat Guru Nanak Darbar untuk menggalakkan persefahaman antara agama. Tiba jam 7.16pm, waktu rasmi berbuka puasa pada bulan suci Ramadan di Dubai, suasana di dewan langar (dewan makan di Gurudwara Guru Nanak Darbar, iaitu sebuah kuil Sikh) berkumandang dengan alunan azan, bukan dengan bacaan kirtan seperti biasa, demi menghormati para tetamu dari Pusat Al Manar. Di satu bahagian, sekumpulan manusia duduk bersila dalam barisan menunggu hidangan langar (makan malam), manakala bahagian sebelahnya dikhaskan sebagai ruang solat. Pengalaman ini amat menyentuh hati. “Saya tidak pernah menyaksikan sesuatu sebegini sebelum ini,” kata Surjit Kaur, seorang wanita lanjut usia dari Punjab di utara India, yang sedang melawat anaknya di Dubai. Antara persitiwa julung kalinya buat Gurudwara yang baru dibuka pada bulan Januari 2012 itu, rombongan dari Pusat Islam Al Manar telah melawat pada hari Selasa demi menggalakkan persefahaman antara agama. Kedua-dua pihak saling bertukar mesej keamanan di dewan ibadat utama dan petangnya diikuti dengan hidangan mewah juadah vegetarian untuk Iftar. [caption id="attachment_4914" align="aligncenter" width="517"]Surinder Singh Kandhari (paling kiri) menyertai tetamu untuk berbuka puasa di Gurudwara. Gambar: Khaleej Times Surinder Singh Kandhari (paling kiri) menyertai tetamu untuk berbuka puasa di Gurudwara. Gambar: Khaleej Times[/caption] “Saya rasakan ia usaha baik untuk mengadakan dialog terbuka antara warga berbeza agama dan amalan,” kata Surinder Singh Kandhari, Pengerusi Gurudwara Guru Nanak Darbar. “Lawatan seperti ini membantu menjelaskan salah faham. Dunia ini begitu besar dan ianya sesuatu yang baik untuk mempelajari dari agama lain juga. Sikh sebagai agama memuliakan toleransi, kesetaraan, sikap membantu dan kerendahan hati, dan Islam berkongsi prinsip yang sama,” katanya. “Kami berterima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Shaikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE merangkap Pemerintah Dubai kerana memberikan kami tanah ini secara percuma dan memberi kebenaran untuk membina rumah ibadat dan mengamalkan agama kami secara bebas. “Kami dibenarkan menghidangkan langar sepanjang hari walaupun di bulan suci Ramadan. Lawatan ini melambangkan kemuliaan sama yang telah ditunjukkan pemerintah ke atas agama lain. ” Ketika beramah-mesra, gurudwara tersebut telah menghadiahkan delegasi dengan Saropa, iaitu pakaian kehormatan tertinggi di sebuah gurudwara. “Kami mengambil inisiatif ini ketika di Konvensyen Keamanan Dubai, yang merupakan acara dua tahun sekali. Kami menjemput wakil pelbagai agama; kami pernah menerima delegasi dari gereja dan kuil. Matlamatnya ialah untuk menyebarkan mesej keamanan melalui dialog. Usaha kami adalah supaya orang ramai dapat mengenali intipati Ramadan, mengapa ianya benar-benar istimewa bagi umat Islam,” ujar Abdul Hadi dari Pusat Islam Al Manar. Al Manar adalah pusat pengajian al-Quran dan dakwah yang diselia di bawah naungan Shaikha Hind binti Maktoum bin Juma Al Maktoum, isteri Duli Yang Maha Mulia Shaikh Mohammed. Jumaat lalu, 150 warga Sikh telah dijemput ke Pusat Islam tersebut untuk berbuka puasa dan berbicara.

]]>

Manipulasi Fakta dalam Buku Teks Sejarah

Sejarah Tingkatan 1 Sejarah Pada Anak-anak Kita Ada masa fakta dimanipulasi untuk menyampaikan propaganda, agenda dan dakyah yang membawa kemusnahan kepada perpaduan kaum yang dipupuk sejak dahulu. Demikianlah juga hal yang dapat diperhatikan dalam isu fakta mengenai kedatangan Portugis seperti yang disajikan kepada pelajar Tingkatan 1 di seluruh negara menerusi buku teks Sejarah. Baru-baru ini, beberapa ibu bapa beragama Kristian meluahkan rasa kurang selesa apabila anak-anak pulang dari sekolah dan bertanya tentang gambaran negatif mengenai orang Kristian dalam buku teks Sejarah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Apabila meneliti kandungan yang dimaksudkan, saya sendiri berasa hairan kerana “fakta” yang dipelajari di sekolah pada tahun 1960-an dan 1970-an tidak sama dengan “fakta” yang disogokkan sekarang. “Kedatangan orang Portugis ke Timur dikaitkan dengan keinginan mereka meneruskan Perang Salib. Mereka ingin menghancurkan kerajaan Islam yang ada di Timur termasuk kerajaan Melaka yang merupakan pusat perkembangan dan penyebaran agama Islam. Pada masa yang sama, Portugis mahu menyebarkan agama Kristian.” Demikian dipaparkan dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 yang ditulis oleh Ahmad Fawzi Mohd Basri, Mohd Fo’ad Sakdan dan Azami Man; serta disunting oleh Wan Norliani Wan Jusoh dan Nazri Mohamad Don. Edisi yang saya baca adalah terbitan 2009 dan dimaklumkan bahawa terbitan 2014 juga sama kandungannya. Saya memaparkan foto halaman buku berkenaan di Facebook pada 30 Jun 2015 untuk mendapatkan reaksi daripada rakan-rakan yang pernah belajar Sejarah di sekolah dahulu. Dalam masa beberapa hari sahaja, paparan itu dikongsi lebih 1,660 orang dari seluruh negara. Masing-masing hairan dengan “fakta” yang dipaparkan sebagai tujuan utama Portugis datang ke Timur. “Apa yang sedang berlaku di negara ini? Sejarah yang saya belajar menyatakan Portugis datang ke Timur untuk rempah-ratus,” komen Kalidas Muniandy. Nagathisen Katahenggam menambah: “Tujuan utama kedatangan Portugis untuk penguasai perdagangan dan meluaskan kuasa.” Manakala Aiza Zizan merujuk kepada konsep Gospel, Gold, Glory (Keagamaan, Kekayaan, Kemegahan) yang memotivasi pelayaran orang Portugis dahulu. Turut melahirkan rasa hairan ialah Hendry Rao yang tertanya-tanya bagaimana konsep 3G yang menjadi asas kedatangan Portugis bertukar menjadi “agenda Kristianisasi” semata-mata. [caption id="attachment_4919" align="aligncenter" width="501"]Fakta dimanipulasi memberikan gambaran negatif tentang orang Kristian. Fakta dimanipulasi memberikan gambaran negatif tentang orang Kristian.[/caption] Pelbagai Pihak Tampil Luah Rasa Hairan dan Kecewa Prabha Rajoo mengimbas apa yang pernah dipelajari sejak sekolah rendah pada 1980-an dan berkata, “Sejarah yang saya belajar menyatakan orang Portugis datang ke Melaka untuk mendapatkan monopoli perdagangan rempah.” Memanglah ada pihak yang tampil berhujah, Portugis turut menyebarkan ajaran Kristian di Timur. Akan tetapi, entah mengapa aspek itu yang diangkat dan dijadikan tujuan utama dalam buku teks sekolah. “Hanya di Malaysia, sejarah boleh diolah, ditukar dan dimanipulasi sesuka hati,” kata Vicknes Loganathan bagi meluahkan kekecewaan terhadap insiden yang berlaku. “Setahu saya, orang Portugis tiba di Melaka untuk memecahkan aliran perdagangan antara China dan Arab. Ini berkaitan aliran perdagangan rempah-ratus yang dibawa ke Venice,” Jayaprakash Jayachandran menghuraikan. S. Annadurai menasihatkan pihak terbabit (KPM) supaya tidak mempolitikkan fakta sejarah demi agenda peribadi. Alexandar Alex menambah, “Sekiranya tindakan mengubah sejarah berterusan, ia tidak boleh digelar sejarah tetapi harus diberi gelaran mitos.” Gopal Subramaniam yang turut memberikan komen menjelaskan hakikat Portugis menawan Melaka pada 1511: “Penjajahan kuasa Barat hanya tamat pada 1957. Selama 446 tahun Tanah Melayu berada di bawah penjajah. Apakan ada bukti sekurang-kurangnya seorang Muslim masuk agama Kristian sepanjang tempoh itu?” Paparan yang dibuat di Facebook turut mendapat perhatian wartawan Malay Mail Online. Apabila dihubungi untuk mendapatkan maklumat, saya meluahkan rasa kecewa kerana Perang Salib dijadikan alasan utama dalam buku teks Sejarah berbanding tujuan sebenar, iaitu perdagangan dan peluasan kuasa. Natijahnya, pelajar (remaja) pelbagai kaum dan agama akan mendapat gambaran tidak tepat mengenai orang Kristian (Portugis). Hal ini saya alami sendiri apabila beberapa pelajar Tingkatan 1 bertanya, apakah orang Kristian jahat kerana menawan Melaka untuk memaksa orang Islam memeluk ajaran Kristian. Selepas isu ini diketengahkan menerusi laporan di Malay Mail Online pada 5 Julai 2015, pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Dr Sivachandralingam Sundara Raja tampil mengakui kesilapan dalam buku teks berkenaan. “Portugis datang ke Timur untuk mendapatkan rempah-ratus. Mereka datang untuk berdagang; bukan untuk menjajah dan mengambil alih seluruh negara; serta bukan sesekali untuk meneruskan Perang Salib,” katanya (Malay Mail Online, 5 Julai 2015). Dua hari kemudian, penulis buku sejarah yang amat disegani, Ranjit Singh Malhi, dipetik sebagai berkata, hakikat keinginan Portugis meneruskan Perang Salib di Timur memang ada dinyatakan dalam buku teks Sejarah pada tahun 1960-an. [caption id="attachment_4921" align="aligncenter" width="491"]Pakar bidang mengesahkan buku teks Sejarah dipenuhi kesalahan fakta. Pakar bidang mengesahkan buku teks Sejarah dipenuhi kesalahan fakta.[/caption] Agenda Terancang Kuasawan dan Pemerintah “Tujuan utama kedatangan Portugis ke Melaka adalah untuk menguasai perdagangan rempah. Sebab utama Portugis menawan Melaka adalah untuk menguasai perdagangan rempah,” kata Ranjit sambil mengaku penjajah turut berusaha menyebarkan ajaran Kristian (Malay Mail Online, 7 Julai 2015). Untuk rekod, pada tahun 2010, Ranjit dan seorang lagi pakar sejarah, Ng How Kuen, tampil mendedahkan penipuan, manipulasi dan kesalahan fakta yang disumbat ke dalam buku teks Sejarah bagi tujuan politik pihak pemerintah. Akhbar The Sun (13 Disember 2010) melaporkan kenyataan Ranjit yang menyelar kandungan buku teks Sejarah terbitan 1996 bagi pelajar Tingkatan 1. Contohnya, dinyatakan kononnya beberapa pedagang India meminjamkan kapal mereka kepada Portugis yang mahu menyerang dan menawan Melaka. Pada 26 Mei 2015, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew mengemukakan pertanyaan di Dewan Rakyat mengenai laporan terdapat 80 kesalahan fakta dalam buku teks Sejarah bagi murid Tahun 5 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). [caption id="attachment_4920" align="aligncenter" width="504"]Buku teks Sejarah di SJKC terpaksa dicetak semula kerana ada kesilapan ketara. Buku teks Sejarah di SJKC terpaksa dicetak semula kerana ada kesilapan ketara.[/caption] Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan mengesahkan KPM sudah mengarahkan buku teks berkenaan dicetak semula selepas 9 kesalahan fakta dibetulkan. Maknanya, manipulasi fakta sejarah yang disajikan kepada generasi muda menerusi buku teks Sejarah bukan sesuatu yang baru. Seperti dikatakan oleh Ng How Kuen, golongan guru yang menulis buku teks Sejarah ketara mengubah fakta sejarah mengikut telunjuk parti pemerintah. Kerajaan yang ada sekarang sudah pun berusaha keras menggunakan Biro Tatanegara (BTN) untuk menanam kebencian orang Melayu dan orang Islam terhadap orang Bukan Melayu dan orang Bukan Islam yang dilabel sebagai “pendatang”. Saya percaya segala manipulasi fakta yang dilakukan dalam buku teks sekolah tidak akan dibetulkan. Sebaliknya akan dibiarkan dengan pelbagai alasan licik, demi meneruskan agenda perkauman yang sudah dirancang penuh teliti. Manipulasi fakta dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 seperti yang didedahkan ini tentulah bukan kesilapan yang tidak disengajakan. Sebaliknya, tentu sahaja salah satu daripada ribuan usaha bagi memberikan gambaran negatif mengenai orang Bukan Melayu di Malaysia. Kononnya orang Kristian meneruskan Perang Salib dan agenda Kristianisasi; sedangkan apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya. Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014 merupakan salah satu contoh amat nyata. Malangnya, golongan minoriti di negara bertuah ini tidak ada ruang untuk bersuara apabila terus ditekan, dihina, diperlekeh dan dizalimi golongan majoriti yang menguasai bidang politik dan pendidikan.

]]>

Menumbangkan Mitos Islam Konservatif

PAS Bahtera PAS – Tidak Lagi Relevan? Jika Haron Din, Hadi Awang, Tantawi, Mahfuz Mohamad, Mokhtar Senik, Nik Abduh, Azli Musa dll yang seangkatan percayakan kekuatan mereka, pastilah mereka tidak membimbangkan ‘anai-anai’ yang mahu menyeberang ke bahtera yang lain. Mereka sebenarnya lebih patut risaukan anai-anai yang munafik ini sekiranya masih berada di dalam bahtera mereka. Habis semua kayu akan ditokak anai-anai ini. Usaha pembersihan golongan konservatif terhadap anasir progresif sewajarnya dilihat melicinkan lagi barisan kepimpinan mereka. Jika benar mereka kuat, mereka tidak perlu membuat cerita mimpi Nabi/Saidina Umar untuk mengabsahkan kedudukan tanpa sanggahan. Apabila dibuat pusingan U-Turn, mereka dilihat sangat lemah, tidak bermaruah, tidak reti buat kerja, dan hanya reti salah-menyalahkan. Mungkinkah kita memerlukan 100 hari lagi untuk melihat apakah hasilnya keputusan pemilihan Muktamar PAS baru-baru ini ? Sebenarnya, PAS tidak perlu lagi menang untuk melaksanakan Islam di Malaysia. Kewujudan PAS sebenarnya semakin tidak relevan dalam perkembangan politik di Malaysia. Dalam bahasa yang lain, apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ? Lumba-lumba Agama Politik UMNO, memanglah sebuah parti sekular di Malaysia, yang mengadunkan nilai nasionalisme yang pragmatik, dengan unsur agama Islam. Dalam erti kata lain, sungguhpun UMNO sekular, UMNO juga berusaha sedaya mereka untuk melaksanakan Islam yang mereka fahami (versi rasmi / kepercayaan UMNO). Kita tidak memerlukan PAS untuk melaksanakan Islam pun. Masjid-masjid, surau-surau, kuliah agama, sekolah, madrasah, kolej, universiti, bahkan bank juga turut diislamkan oleh rejim UMNO ini. Persaingan Islam versi PAS vs UMNO, hanya menguntungkan UMNO. Persoalan penting yang perlu dijawab adalah; Apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ? Tetapi perlumbaan antara kekuasaan dan pengaruh, adalah dua hal yang berbeza. PAS sebagai gerakan Islam politikal, nampaknya lebih berpengaruh kepada massa yang bermazhab Islam politikal. Walaupun asyik menang-kalah silih berganti, dan akhirnya PAS hanya mampu mendarat dan bertahan di negeri Kelantan, pengaruh Islam versi PAS sukar dinafikan berbanding Islam versi UMNO. Wajah politik Islam PAS yang nampak lebih reaksioner (selalu dibaca radikal) kelihatan lebih garang, lebih ketat, lebih rigid, lebih keras, dan dilihat adalah suara Tuhan yang sebenarnya (kerana mahu menegakkan hukum Tuhan, yang Tuhan menurut pembacaan mereka, adalah dalam wajah menghukum). UMNO telah berpuluh-puluh tahun diejek sebagai sekular, meski begitu pelaksanaan Islam versi UMNO tak kurang kalah berbanding PAS, jika tak mahu dikatakan lebih baik dari PAS. Tidak ada kemajuan progresif yang dicapai oleh umat Melayu Islam zaman PAS memerintah di Terengganu, Kedah, bahkan Kelantan. PAS tidak boleh mendabik dada bahawa mereka lebih bagus dari segi perancangan ekonomi berbanding UMNO. Adalah memalukan sama sekali jika PAS yang seringkali mengatakan dasar/rujukan mereka adalah Quran & Sunnah (perilaku – contoh Nabi), tetapi sering menggunakan alasan Kerajaan Pusat merompak royalti untuk menjustifikasi kegagalan membangunkan ekonomi rakyatnya. Sedangkan bagaimana Nabi SAW sendiri membangunkan ekonomi masyarakat Madinah tanpa menggunakan alasan hegemoni Quraisy Mekah? Sekonyong-konyongnya, datanglah ISIS, menghancurkan mitos Negara Islam, sebuah mitos yang dipegang oleh hampir keseluruhan pejuang-pejuang Islam seluruh dunia. Semuanya menjadi malu dengan imej Negara Islam versi ISIS dan mula berjarak-renggang dengan konsep Negara Islam. Model AKP (Turki) dan Rashid Ghannouchi (Tunisia) yang ber‘teman tapi mesra’ dengan sekular mula dipertimbangkan.   PAS UMNO Apa Konsep Kenegaraan PAS, sebenarnya? Perlu disebutkan di sini, PAS lebih awal perlahan-lahan mencairkan slogan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan (welfare state) sebelum kemunculan ISIS. Anjakan paradigma ini sedikit membingungkan petugas-petugas PAS, yang di dalam usrah/tamrin (program tetap pejuang Islam aliran PAS) beriman akan penubuhan sebuah Negara orang-orang Islam. Dalam mitos Negara Islam ini, mereka sering dikhutbahkan bahawa ada beza antara ‘Negara Islam’ dan ‘Negara umat Islam’. Akan tetapi bila diminta tunjuk sebuah Negara Islam pun, pasti mereka akan garu kepala. Atau jika diminta tunjuk, model klasik Negara Islam mana yang mereka mahu rujuk, sama ada Dinasti Uthmaniyah, Dinasti Abbasiyah, Dinasti Umaiyah, Khulafa’ Rasyidin atau Minhaj Nubuwwah (zaman Nabi menjadi pemerintah), mereka pasti akan terkebil-kebil. Ketika zaman dinasti, raja berkuasa mutlak, kita pun tidak jelas apakah dasar perpolitikan PAS yang sebenarnya: 1) Raja Berpelembagaan, 2) Raja Mutlak atau 3) Republik? Yang pastinya setakat saat ini, PAS sentiasa apologetik (tidak mempunyai “blueprint” rancangan) dengan apa sahaja sistem walaupun selalu melaungkan di mana-mana, bahawa mereka antara gerakan Islam yang terawal melibatkan diri dalam pilihanraya/demokrasi (itupun mereka masih berselisih tentang demokrasi, sebagai alat atau matlamat). Hanya Hudud senjata PAS Maka hanya Hudud yang tinggal, yang menjadi garis pembeza antara Islam versi PAS dan Islam versi UMNO. Jika tidak ada Hudud, apakah lagi yang tinggal kepada PAS ? Jika mereka mahu bercakap tentang ekonomi, parti-parti lain di dalam PR atau non-PR seperti PSM juga turut bercakap. Korupsi, nepotism, kronism, semuanya telah disurahkan oleh parti-parti sekular lain. Kita tidak memerlukan PAS untuk berkisah tentang penyelewengan. Dr. Manuty di dalam PKR sendiri boleh memetik mana-mana ayat suci di dalam Quran, tanpa perlukan Majlis Ulama’ PAS. Dasar-dasar di Malaysia yang kebelakangan ini semakin menuju ke arah Islam ala totalitarian, agak membimbangkan. Satu demi satu negeri di Semenanjung cuba menerapkan Islam ala kekuasaan mereka (sekali lagi, tanpa perlukan PAS pun, kerajaan negeri Terengganu boleh tudungkan semua perempuan). Ruang-ruang awam kian dicerobohi konon atas nama Tuhan, dan pelaksanaan sebegini sangat kacang sama sekali (apatah lagi, jika nak buat hukuman kerat tangan terhadap pencuri-pencuri yang miskin, apa yang susahnya?) tanpa perlukan PAS menjadi kerajaan pun. Kerana pemahaman Islam yang sangat sempit, dangkal, yang hanya memerhatikan dosa-dosa orang kecil, sebaliknya mereka tidak mempunyai pemikiran apa pun tentang pembangunan Negara. Pada kesudahannya, momentum yang memotivasi mereka untuk berjuang perlahan memudar, menyebabkan bergabung dengan kerajaan Pusat yang mempunyai pemahaman Islam Konservatif seperti mereka adalah satu-satunya pilihan yang tunggal. Article 19

]]>

Kebebasan Agama atau Non-Dialog: Yang Mana Satukah Ancaman?

OIC OIC & Hak Asasi Manusia Kebebasan beragama adalah bahagian penting dari Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 (UDHR). Fakta sejarah menunjukkan pada tahun 1972 negara-negara Islam melalui OIC, telah bersetuju untuk mendukungi UDHR secara penuh. Ann Elizabeth Mayer yang menganalisis Resolusi OIC tahun 1972 tersebut menyatakan, negara-negara anggota OIC telah pun memperakukan yang UDHR bersesuaian dengan nilai-nilai agama Islam: “Piagam Persidangan Islam 1972, organisasi antarabangsa yang dianggotai semua negara Islam, dengan jelas menyokong undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia, menganggapnya serasi dengan nilai-nilai Islam. Dalam Mukadimah Piagam, dua perenggan menegaskan bahawa ahli-ahli – BERTEKAD untuk memelihara nilai-nilai spiritual, etika, sosial dan ekonomi Islam, yang akan kekal sebagai salah satu faktor penting dalam mencapai kemajuan bagi manusia; MENEGASKAN komitmen mereka kepada Piagam PBB dan Hak Asasi Manusia, menjadikan tujuan dan prinsipnya sebagai asas kerjasama yang berfaedah di kalangan rakyat. Kedudukan rasmi negara Islam menyokong kesimpulan bahawa piawai hak asasi manusia antarabangsa yang dirangka PBB dianggap serasi dengan undang-undang Islam oleh penggerak – kerajaan – yang kelakuannya tertakluk kepada pengawasan melalui prinsip-prinsip hak asasi manusia antarabangsa (Ann Elizabeth Mayer, 1991: 14). Kebebasan Beragama VS Murtad  Salah satu isu hak asasi manusia yang paling kontroversial membabitkan agama Islam ialah persoalan murtad, atau apostasia. Para sarjana Islam sering berdepan dengan pertanyaan daripada pejuang hak asasi manusia berkenaan kebebasan beragama. Mohammed Abed al-Jabri, seorang Profesor dalam bidang falsafah di Maghribi sebagai misalan, terpaksa mempertahankan Islam dengan nada yang sedemikian defensif, untuk menjelaskan isu rumit ini: “… kita harus sedar bahawa kedudukan murtad dalam undang-undang Islam tidak jatuh di bawah kebebasan kepercayaan, tetapi apa yang dikenali sebagai pengkhianatan besar, dengan menggunakan senjata menentang masyarakat dan negara. Mereka yang bercakap mengenai hak asasi manusia pada hari ini, dengan penekanan terhadap kebebasan kepercayaan, tidak bermaksud kebebasan untuk mengkhianati negara, masyarakat dan agama sendiri, atau kebebasan untuk merampas harta orang lain, atau kebebasan untuk bersubahat dengan musuh. Oleh itu, kebebasan adalah satu hal, murtad hal yang berbeza. Perundangan moden dijangkakan supaya memutuskan sama ada orang Islam yang memilih untuk mengamalkan agama lain, secara peribadi, dan tidak memberi kesan kepada masyarakat Islam atau negara, patut dianggap murtad dalam erti perundangan tradisional atau seperti yang dijelaskan oleh ayat-ayat di atas, di mana si murtad diancam dengan hukuman yang besar di akhirat, tanpa merujuk kepada hukuman bunuh” (Mohammed Abed al-Jabri, 200) Secara ringkasnya, pandangan Al-Jabri tersebut meletakkan gejala meninggalkan agama Islam sebagai satu jenayah politik, dan bukannya ‘jenayah agama’. Kemurtadan, apostasia atau apa sahaja yang seerti dengannya dilihat sebagai satu pengkhianatan, malah penderhakaan terhadap agama Islam. Sebahagian besar perbincangan tentang kebebasan beragama dalam Islam, termasuk yang dianalisis oleh Al Jabri adalah sekitar ayat 256 surah al Baqarah; ‘tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh, yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui’ (Tafsir Pimpinan Ar Rahman).’ [caption id="attachment_4849" align="aligncenter" width="475"]Rachid Ghannouchi Rachid Ghannouchi[/caption] Pandangan Al Jabri tersebut bukanlah baharu memandangkan Rachid Ghannouchi (1993: 44-50) dalam al Hurriyat al-‘Ammah Fid Daulah al-Islamiyyah, telah pun menyamakan apostasia dengan ‘jenayah hasutan’. Ghannouchi, justeru, dalam karya tersebut menyatakan tindakan meninggalkan agama Islam tanpa ‘menjejaskan citra agama Islam’ adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, dan selalu berlaku hari ini. Selepas penerbitan al Hurriyat al-‘Ammah Fid Daulah al-Islamiyyah, sekali lagi dalam kuliahnya untuk Cardiff Islamic Society pada tahun 1997, Ghannouchi menegaskan, hukuman terhadap seseorang Islam yang murtad hanyalah satu urusan ijtihad. Ini dikesan menerusi pertikaian antara para sahabat Rasulullah SAW khususnya dalam menentukan perang terhadap golongan murtad ketika awal pemerintahan Abu Bakar. Tindakan memerangi golongan murtad yang dilancarkan oleh Abu Bakar tersebut, awalnya dibantah oleh beberapa sahabat ternama termasuk Umar al Khattab (Azzam S Tamimi, 2001: 191). Beza Ghannouchi dan Mohammed Abed Al Jabri adalah, Al Jabri berpendapat ‘kebebasan adalah satu hal, murtad hal yang berbeza.’ Ghannouchi pula menegaskan apostasia hanya menjadi sesuatu yang serius jikalau maruah ‘Islam dicemari’. Dua pandangan di atas, masih kelihatan samar. Al Jabri dan Ghannouchi malah tidak ditanggapi sebagai sarjana pengajian Islam. Dalam tahun 1992, Mohamed Talbi, seorang sarjana terhormat dari University of Tunis, Tunisia, dan mahir dalam bidang tafsir al-Quran menulis tentang hak-hak untuk memilih beragama. Menurut Talbi, pilihan beragama dan kepercayaan adalah urusan sukarela hatta ibu bapa tidak mempunyai hak untuk memaksakan ke atas anak-anak mereka pilihan kepercayaan mereka: “Mengikut pengetahuan saya, antara semua teks yang diwahyukan, hanya al-Quran menekankan kebebasan beragama dengan begitu khusus dan jelas. Iman, iaitu iman yang benar dan teguh, perlulah merupakan suatu yang benar-benar bebas dan sukarela. Sehubungan ini, ia eloklah ditekankan bahawa ayat yang dirujuk itu bertujuan untuk menegur dan mengutuk sikap sesetengah orang Yahudi dan Kristian yang, apabila baru memeluk agama Islam di Madinah, bersedia untuk menukar agama anak-anak mereka sekali bersama mereka. Oleh itu ia jelas menegaskan bahawa iman adalah satu perihal dan komitmen individu peribadi dan ibu bapa sendiri mesti menahan daripada bercampur tangan mengenainya. Sifat iman itu sendiri, seperti yang ditekankan dalam teks asas Islam secara jelas dan tidak dapat disangkal, seharusnya tindakan sukarela yang lahir daripada keyakinan dan kebebasan” (Mohamed Talbi, 2009: 109). Tentu sahaja, dari pandangan Islam, seseorang yang memilih untuk keluar dari agama Islam melakukan ‘kesilapan’, akan tetapi itu adalah pilihan sendiri. Mohamed Talbi menegaskan, mereka yang memilih agama selain Islam telah diberi amaran bahawa Islam adalah agama kebenaran; dan keselamatan di akhirat tidak ada pada agama lain: “Sememangnya orang murtad diberi amaran: sesiapa yang memilih murtad, setelah meyakini di sudut hati bahawa Islam itu benar, adalah berlaku tidak adil, dan oleh itu kehilangan hidayah Allah, diikuti segala akibat berkenaan keselamatan mereka” (Mohamed Talbi , 2009: 115). Di hujung makalah beliau yang terkenal itu, Talbi menekankan, meskipun ‘terkutuk secara moralnya’; urusan seseorang yang murtad bukan sama sekali urusan penguasa. Malah, pilihan untuk menukar agama tersebut harus dihormati, ‘kebebasan beragama secara asasnya dan juga akhirnya merupakan satu penghormatan bagi kedaulatan Allah dan misteri perancanganNya untuk umat manusia’. Murtad dalam Sejarah Tamadun Islam Sejarah juga menjadi bukti, pemerintahan Islam bersikap begitu longgar terhadap ‘Crypto Jewish’ dan ‘Crypto Christian’, malah ia pernah menjadi fenomena meluas ketika pemerintahan Uthmaniyyah satu masa dahulu. Terminologi crypto merujuk kepada ‘mereka yang pandangan keagamaan dan amalan mereka tidak bersesuaian dengan agama rasmi anutan mereka dan selalunya menyembunyikan hakikat tersebut dari masyarakat awam’. Terminologi ini tidak eksklusif untuk Yahudi dan Kristian sahaja, malah, setelah Sepanyol jatuh ke tangan Kristian, masyarakat Islam yang tidak berhijrah ke daerah-daerah di Afrika Utara dan memilih untuk menetap di Sepanyol turut menjadi Crypto Muslims (Moriscos). Maurus Reinkowski (2007: 416) menegaskan ‘crypto Jews’ dan ‘crypto Christians’ adalah golongan murtad, ‘sudah tentu sepatutnya dianggap sebagai murtad; mereka telah mengakui sebagai umat Islam, dan kemudiannya pergi jauh dari Islam ‘. Tetapi pemerintah Islam khususunya Uthmaniyyah bertolak ansur dengan mereka. Cryptos hanya dihukum apabila secara ‘berterusan’ mencabar ‘kedaulatan Islam’ (Selim Deringil, 2000: 547-575). Pentadbiran Agama di Malaysia Di Malaysia, semua urusan perihal Islam diurus, ditadbir, dikendali dan ditentukan secara penuh oleh pemerintah. Datuk Seri Jamil Khir Baharom (2012), Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai misalan menyatakan Islam adalah agama rasmi menurut perlembagaan Malaysia, makanya setiap anak yang dilahirkan sebagai seorang Islam hendaklah kekal sebagai seorang Islam. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (2012), Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah dengan nada yang hampir sama memberi jaminan yang: ‘untuk setiap Muslim, pemerintah bertanggungjawab memastikan nilai-nilai Islam dipraktik dan dilaksanakan. Oleh kerana itu madrasah (surau), sekolah agama, Universti Islam, ceramah agama dan kuliah agama di TV dan radio dipupuk oleh pemerintah demi memastikan orang Islam tidak terkeluar dari jalan Islam.’ Malaysia seperti yang kita semua maklum, mengamalkan undang-undang Islam dan sivil (versi Malaysia) dan ia diurustadbir oleh Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia dan Mahkamah Syariah. Fakta sejarah tidak dapat dimungkiri lagi bahawa urusan agama di dalam genggaman kerajaan sepertinya yang dilihat hari ini merupakan warisan penjajah Inggeris. Moshe YegarMoshe Yegar, seorang penyelidik berbangsa Yahudi dan rakyat Israel dari Hebrew University of Jerusalem pernah menetap di Malaysia dari bulan November 1964 sehingga hujung 1965. Hasil penelitian Yegar, beliau menerbitkan sebuah buku akademik yang kandungannya memuji ‘kebijaksanaan British’ dalam memperkenalkan birokrasi Islam di Malaysia sehingga Islam akhirnya menjadi satu jurus yang tertentu dan terhad di bawah satu pentadbiran: “Secara umum, toleransi British terhadap Islam, secara tidak langsung, sedar dan tidak sedar, sangat berguna dalam pengembangan dan pengukuhan Islam secara perundangan dan pentadbiran. Tetapi pemeliharaan dan pengukuhan asas tradisional kuasa dan organisasi sosial yang tersirat dalam dasar British, dan peningkatan komunikasi serta pemusatan progresif, bergabung untuk membentuk pentadbiran agama yang lebih autoritarian daripada yang sebelumnya. Pemerintahan penjajah dengan itu mengakibatkan tumpuan kepada doktrin dan pentadbiran autoriti agama di tangan hierarki pegawai yang bergantung kepada sultan untuk jawatan dan kuasa. Raja-raja dan Majlis Negeri mula memikul tanggungjawab yang lebih luas dalam hal ehwal agama. Sistem undang-undang sivil dan jenayah yang bertulis dan dikanunkan mewujudkan tekanan untuk sistem perundangan Islam yang lebih formal, yang seterusnya digubal oleh Majlis Negeri. Mahkamah ditubuhkan, prosedur undang-undang ditetapkan, dan birokrasi undang-undang ditubuhkan untuk mentadbirnya. Penubuhan baru badan pegawai agama kini berfungsi di mahkamah Sultan dan juga di kampungan. Kebanyakan daripada perkembangan ini (terutamanya perundangan mahkamah syariah), sementara memenuhi satu keperluan yang sebenar, juga merupakan peniruan terhadap model pentadbiran Barat dalam suatu bidang yang anehnya dirasakan oleh kaum Melayu sebagai ciptaan mereka sendiri. Walaupun telah wujudnya kadi, undang-undang syariah, dan pembatasan Islam dalam masa dan tempat yang lain sebelum ini, kaum Melayu telah menambah kaedah penguatkuasaan undang-undang oleh pertubuhan agama rasmi yang teratur” (Moshe Yegar, 1979: 266). Institusi Islam di Malaysia Penginstitusian Islam seperti yang terlihat pada Jabatan Kemajuan Agama Islam hari ini, menurut Yegar membuahkan semacam ‘Islam autoritatif’ yang dipertahan oleh Malaysia sebagai ‘satu urusan di bawah takluk perlembagaan’. Tentulah sangat menjengkelkan buat ramai ‘agamawan konservatif’, hakikat bahawa seorang ahli akademik Israel seperti Moshe Yegar pernah hadir di negara ini dan ‘memuji’ pula warisan kepintaran British, iaitu pentadbiran agama Islam sebagai ber‘model Barat’. ‘Pujian’ Moshe Yegar terhadap legasi penjajah Inggeris ini bagaimanapun tidak disambut baik oleh antropologis terkenal di Malaysia. Abdullah Taib (1985: 226) misalnya pernah menyatakan, ‘Sejak tahun 1920-an beberapa buah negeri di Tanah Melayu telah menubuhkan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu. Hingga ke hari ini sudah hampir 60 tahun majlis itu berjalan atas nama seperti itu. Penubuhan Majlis Agama ini ialah hasil ‘kebijaksanaan’ penjajah Inggeris.’ Penggunaan tanda kurung untuk ungkapan ‘kebijaksanaan penjajah Inggeris’ menunjukkan rasa kurang selesa Abdullah Taib. Bahkan dalam kajian beliau tersebut, peranan Jabatan Agama Islam dalam menyudutkan nilai-nilai lokal dikritik secara halus, dan secara akademik tentunya. ‘Islam institusi’ yang diperkenalkan oleh penjajah inilah yang perlahan-lahan mulai ‘menggelisahkan’ bahagian-bahagian hidup segelintir rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam. Persoalan ini menjadi semakin dramatik dan kontroversial baru-baru ini, seperti yang terpapar dalam surat pembaca Steve Oh (2012) kepada Malaysiakini. Pandangan peribadi dan kebebasan berekspresi Oh boleh sahaja ditanggapi sebagai ‘menghasut’. Namun demikian, ‘kegelisahan’ warga Malaysia yang bukan beragama Islam seperti Steve Oh mesti ditangani dengan dialog dan keterbukaan. Amalan mendiamkan orang seperti Steve Oh tidak membawa apa-apa manfaat jangka panjang. [caption id="attachment_4851" align="aligncenter" width="478"]World Muslim Congress World Muslim Congress[/caption] Kebebasan Agama di Malaysia Kebebasan beragama di Malaysia memang sering menjadi sasaran kritikan luar. Sebagai contoh, Jabatan Negara Amerika Syarikat pada tahun 2007, dalam laporannya menyatakan: “Pihak berkuasa negera memaksa undang-undang agama Islam yang ditadbir melalui mahkamah Islam ke atas semua etnik Melayu (dan umat Islam yang lain) dalam perundangan keluarga dan hal-hal sivil yang lain. Orang Islam secara amnya tidak dibenarkan bertukar kepada agama lain walaupun Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama. Mahkamah tertinggi negara memutuskan dalam tempoh laporan ini, bahawa umat Islam yang ingin memeluk agama lain hendaklah terlebih dahulu mendapatkan kelulusan Mahkamah Syariah.” (Jabatan Negeri Amerika Syarikat, 2007). Sebagai catatan, pada tahun 2007 tersebut, Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan Lina Joy untuk menggugurkan kata Islam dari kad pengenalannya. Permohonan Joy, yang dilahirkan sebagai Azlina Jailani tersebut telah dinafikan kerana mahkamah memutuskan, oleh kerana agama asal Joy adalah Islam maka ia merupakan sebahagian dari urusan Islam. Justeru, hanya Jabatan Agama Islam sahaja boleh memutuskan secara rasmi kedudukan Joy sebagai seorang Kristian. Keputusan mahkamah tersebut disambut oleh World Muslim Congress dengan tempelak: “Kebebasan kepercayaan bermaksud bukan sahaja kebebasan untuk memilih agama, tetapi juga kebebasan untuk menukar agama. Walaupun Islam menganggap murtad adalah dosa yang besar, namun ini di antara Tuhan dan individu masing-masing. Apabila ia hanya peristiwa murtad, ie, hanya menukar agama seseorang tanpa keganasan atau khianat terhadap negara Islam atau umat Islam, prinsip kebebasan agama dalam Islam menuntut bahawa si murtad harus diberi kebebasan seperti yang dikurniakan Tuhan. Pendirian tradisional nampaknya menjadi asas yang menyebabkan mahkamah sivil Malaysia menanggung perkara tersebut di bawah pengkhianatan atau keganasan. Apa yang menggalakkan ialah perubahan pendapat di kalangan umat Islam yang berpaling daripada pandangan tradisional ke arah suatu yang sejajar dengan ajaran Al-Quran dan warisan Nabi Muhammad” (Kongres Islam Sedunia 2007). Perenggan dari kenyataan media di atas, secara signifikan dikeluarkan oleh World Muslim Congress. Ia turut membantah pencabulan hak asasi manusia di Malaysia. Harus dinyatakan, World Muslim Congress mengundang Joy untuk kembali ke agama Islam, ‘we invite our sister in humanity Lina Joy (Azlina Jailani) back to Islam’ tetapi dalam masa yang sama menggesa kebebasan beragama diberikan dan menuntut supaya pemerintah Malaysia membuang pandangan apostasia sebagai ‘pengkhianatan atau keganasan’. JAKIM Salafi Wahhabi dalam JAKIM World Muslim Congress tentu sahaja tidak membuat tuduhan liar dan serkap jarang, ia mungkin bersandarkan pandangan pegawai Bahagian Penyelidikan Akidah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia yang sering merujuk kepada pandangan-pandangan sempit ulama salafi: “Jika seseorang mengumumkan murtadnya kepada orang ramai dan menunjuk-nunjukkan kepercayaan barunya, maka dia telah mengisytiharkan serangan dalam bentuk persepsi (al-harb al-fikriyyah) terhadap Islam dan kepercayaannya. Tindakannya akan meningkatkan atau membenih keraguan dalam hati umat Islam yang lain. Pada waktu itu, perbuatan murtad tidak harus dilihat dari sudut hak individu untuk menukar agama, tetapi dari segi “hirabah” (unsur serangan ke atas asas-asas agama yang merupakan tiang kerajaan Islam. Oleh itu, langkah segera patut diambil untuk memulakan proses penyediaan penjelasan untuk membersihkan keraguan orang tersebut, memintanya bertaubat dan jika dia tetap berdegil dan berkeras untuk murtad, akhirnya adalah hukuman mati atas dasar” hirabah” [al-qatlu hirabatan]). Ini bermakna, murtad tidak dihukum bunuh kerana kekafiran mereka, namun kerana hirabah. Ini jelas berdasarkan ayat 33 surah al-Ma’idah yang bermaksud: “Sesungguhnya, hukuman bagi orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan berusaha di bumi [untuk menyebabkan] kerosakan tidak lain kecuali mereka dibunuh atau disalib atau tangan dan kaki mereka dipotong dari sisi yang berbeza atau mereka diusir dari tanahair… “. Walaupun ayat tersebut ditakrifkan oleh kebanyakan sarjana Islam sebagai ayat yang menjatuhkan hukuman terhadap penjenayah dan perompak, ia tidak dapat dinafikan bahawa perbuatan murtad secara terang-terangan adalah suatu tindakan yang memerangi Allah SWT dan Rasul-Nya (SAW). Oleh itu, beberapa ulama Salaf berpendapat bahawa hukuman bunuh untuk murtad diambil dari ayat ini juga, selain daripada hadith-hadith sahih yang berfungsi untuk menjelaskan perkara tersebut.” (Mohd Aizam Mas’od). Pandangan ekstrim di atas tentu sahaja dapat dipermasalahkan untuk sebuah negara berbilang kaum dan agama di Malaysia. Mereka yang menuntut kebebasan beragama misalnya dengan mudah ditanggap sebagai penghasut dan penjahat dengan niat buruk terhadap Islam. Adakah pandangan di atas, pandangan Ahlus Sunnah wal Jamaah? Atau hanyalah pandangan minoriti ulama wahabi yang terkenal sebagai pembantah dialog? Kebebasan Beragama Menurut Sarjana Syiah Jika demikian, bagaimanakah seharusnya kebebasan beragama menurut Islam? Mohamed Talbi, seorang Sunni, menyatakan kebebasan adalah mutlak milik peribadi, dan hukuman adalah milik Tuhan kemudiannya. Jika demikian, apakah ada pandangan alternatif yang dapat dikutip dari sekolah pemikiran Islam yang lain pula? [caption id="attachment_4853" align="alignleft" width="314"]Mohsen Kadivar Mohsen Kadivar[/caption] Mohsen Kadivar, seorang ulama dan ahli akademik yang mengajar di Tarbiat Modarres University, Tehran telah menulis sebuah makalah yang penting berhubungan perkara ini. Makalah tersebut dibentangkan di Kongres Antarabangsa Hak Asasi Manusia dan Dialog Ketamadunan di Tehran, pada 6 Mei 2001. Menurut beliau, kebebasan beragama dan kepercayaan yang digariskan oleh Islam mengizinkan seseorang Muslim untuk menukar agamanya, menganut agama lain dan tiada hukuman patut dilaksanakan ke atasnya. Muslim yang murtad itu bagaimanapun tetap berdosa, dan ia adalah urusan dirinya dengan Tuhan. Kadivar menulis: “Kebebasan beragama dan kepercayaan bererti hak seseorang individu untuk bebas memilih mana-mana ideologi dan agama yang disukainya. Ia juga bermakna kebebasan dan hak untuk berfikir, berpegang kepada kepercayaan dan nilai, mengekspresikan agama dan pendapatnya, mengambil bahagian dalam upacara dan amalan agama, dan untuk bebas mengajar nilai-nilai keagamaan kepada anak-anak dan penganut seagama. Begitu juga kebebasan beragama bermaksud hak menjemput orang lain ke agamanya, untuk berdakwah dan menyebarkan agamanya kepada ahli-ahli masyarakat, untuk membina rumah-rumah ibadat, untuk meninggalkan dan keluar daripada agama seseorang, dan kebolehan untuk bebas mengkritik agamanya dan ajarannya. Kebebasan beragama bermaksud kebolehan melakukan semua ini secara bebas selagimana hak dan kebebasan orang lain tidak dilanggar, dan ketenteraman awam dan moraliti tidak terganggu. Kebebasan beragama dan kepercayaan adalah mungkin apabila, tanpa mengira kepercayaan seseorang, dia tidak dianiaya kerananya dan hak sivik dan individunya tidak ditarik kerananya” (Mohsen Kadivar, 2009: 119-120). Pembukaan makalah Kadivar seperti dikutip di atas menunjukkan setiap orang mempunyai hak untuk mempromosi dan meyakini kepercayaan masing-masing. Kadivar menegaskan, ‘tiada paksaan dalam agama’ seperti yang dinyatakan dalam surah al Baqarah ayat 256 adalah dalil yang nyata supaya kebebasan beragama secara kukuh dipertahankan, dan menghukum seseorang yang meninggalkan Islam adalah tidak dibenarkan. Kadivar seterusnya menjelaskan, ‘ayat itu diturunkan sebagai jawapan kepada pertanyaan yang dibuat oleh salah seorang sahabat Nabi bernama Abulhussien, seorang Ansar yang salah seorang anak saudagarnya telah memeluk agama Kristian’ (Mohsen Kadivar, 2009: 132-133). Menurut Kadivar lagi, hukuman mati terhadap seseorang yang meninggalkan agama Islam secara jelasnya bertentangan dengan formula ‘tiada paksaan dalam agama tersebut’. Tanpa menafikan mereka yang meninggalkan Islam itu melakukan dosa besar dan hal yang sepatutnya ialah supaya mereka terus beriman, Kadivar dalam masa yang sama mempertikaikan hukuman berat terhadap seorang Muslim yang meninggalkan Islam. Sebagai seorang Syiah, sumber syariah menurut Kadivar adalah bersandarkan kepada ahlul bayt. Kadivar merungkaikan, hukuman mati terhadap seseorang yang murtad hanya dapat dan boleh dilakukan ketika 14 maksumin (dua belas Imam Syiah termasuk Rasulullah SAW dan Fatimah az Zahra) masih hidup atau hadir sebagai panduan dan rujukan masyarakat Islam. Kadivar juga membahaskan, hukuman mengambil nyawa seseorang haruslah dilakukan dengan penuh waspada dan tanpa sumber hukum yang benar-benar sahih dan terang, ia tidak dapat dilakukan, memandangkan Islam amat menghargai nyawa setiap makhluk: “Pertamanya, tiada keraguan bahawa semasa hayat nabi dan 12 Imam Syiah, hukuman mati untuk murtad adalah perkara biasa. Individu-individu ini mengetahui undang-undang syariah dan ketentuan ilahi lebih baik daripada orang lain, dan ia tidak dibenarkan untuk meragui kesahihan pengadilan mereka. Yang terbuka kepada tafsiran, bagaimanapun, adalah kesahihan penghakiman sebegitu semasa ketiadaan mereka. Malah, ia tidak jelas sama ada ajaran tersebut adalah sah untuk sepanjang zaman atau terhad kepada zaman Empat Belas Yang Maksum sahaja. Ulama Syiah terbahagi kepada dua aliran pemikiran tentang hal ini. Pandangan yang lebih biasa melarang pembunuhan si murtad apabila Empat Belas Maksum tiada, di mana beberapa ulama Syiah menyetujui. Oleh kerana hukuman bagi si murtad telah disentuh dalam syariah, ia tidak boleh dilaksanakan tanpa kehadiran Empat Belas Maksum. Kepentingan pendapat ini menjadi diperbesarkan memandangkan bantahan lain terhadap hukuman murtad yang telah disebutkan. Keduanya, semua tradisi mengenai hukuman mati untuk murtad diambil daripada satu sumber. Kesahihan suatu tradisi adalah berdasarkan usul dan penerimaan beberapa ulama. Dalam banyak isu penting, ulama tidak bergantung kepada kekuatan sumber tunggal untuk menentukan kesahihan tradisi. Apabila berkaitan pengambilan hidup manusia, kemajmukan sumber pastinya diperlukan. Hak semulajadi seseorang untuk hidup hanya dapat ditamatkan apabila terdapat ajaran khusus mengenainya, seperti ayat Al-Quran atau suruhan yang jelas. Pembunuhan si murtad tidak boleh dilakukan jika hanya berdasarkan satu sumber” (Mohsen Kadivar, 2009: 141). Pandangan Kadivar tersebut tentu sahaja ditanggapi sebagai ‘liberal melulu’ untuk mereka yang memilih untuk tidak bersetuju dengannya. [caption id="attachment_4854" align="aligncenter" width="480"]Muhammad Legenhausen Muhammad Legenhausen[/caption] Murtad, Menurut Sufisme Muhammad Legenhausen, seorang ilmuan dan ahli falsafah yang mengajar di Qom, Iran turut melihat isu ini. Cuma sebagai pengkaji sufisme, Legenhausen melihat isu ini menerusi kaca mata berbeza, iaitu sebagai seorang pendukung pluralisme: “Mereka yang memilih agama selain Islam membuat kesilapan, sama ada secara dusta atau jahil. Oleh kerana tiada cara untuk kita untuk menentukan samaada ianya kerana jahil (boleh dimaafkan), di mana hubungan baik dengan orang bukan Islam adalah mungkin tanpa membiarkan ketidakadilan, anggapan kesilapan yang jujur adalah tanggungjawab moral bagi kita” (Muhammad Legenhausen, 2005: 70) Pandangan Mohsen Kadivar di atas sangat penting, kerana ia menunjukkan kesediaan dunia Islam Syiah untuk berubah dan hidup secara harmonis dengan komponen masyarakat yang lain. Ia menjadi isyarat sudah berlakunya perubahan sikap yang signifikan dalam Islam. Ini berbeza misalnya pada tahun 1968, apabila Sultanhussein Tabandeh membentangkan makalah beliau yang berjudul A Muslim Commentary on the Universal Declaration of Human Rights di Tehran International Conference on Human Rights. Dalam makalahnya tersebut, Tabandeh secara keras menegaskan, seseorang Islam yang meninggalkan agama Islam harus dibunuh, dan wanita murtad mestilah dipenjara seumur hidup dengan kerja paksa sebagai buruh (Sultanhussein Tabandeh, 1970: 72-73). Realiti Kepelbagaian Malaysia & Non-Dialoguers Suara-suara alternatif dari dunia Sunni, mahupun Syiah seperti Mohamed Talbi dan Mohsen Kadivar yang menjarakkan diri dari pandangan-pandangan tradisional jelas boleh direnungi bersama khususnya untuk Malaysia yang berdepan dengan kepelbagaian kepercayaan. Malaysia berdepan kesukaran untuk mempunyai pilihan lain kerana umat Islam di Malaysia harus hidup rukun dengan umat bukan Islam. Fakta bahawa ‘Islam autoritatif’ dipusakai dari penjajah membuktikan, ada bahagian lampau Malaysia yang perlu dimuhasabahi. Cabaran kepada isu kebebasan beragama di Malaysia hari ini adalah apabila pentadbiran agama yang diwarisi dari penjajah ini mulai dibanjiri dan diduduki oleh agamawan ‘non dialoguers’. Siapakah ‘non dialoguers’? Mereka wujud dalam agama Islam, mahupun Kristian, dan menjadi ancaman besar kepada kemanusiaan. [caption id="attachment_4856" align="aligncenter" width="514"]Jacques Waardenburg Jacques Waardenburg[/caption] Jacques Waardenburg (2003: 440-441) menghuraikan siapakah ‘non dialoguers’ dan bahaya mereka sebagai ancaman senyap kepada masyarakat, khususnya yang berbilang kaum dan agama seperti masyarakat di Malaysia: “Satu lagi masalah ialah gerakan ideologi agama, Islam atau Kristian, yang hanya mahu berpegang kepada asas-asas dan integriti agama mereka dan memaksakannya ke atas orang lain. Mereka menutup diri daripada apa yang dikatakan atau dilakukan orang lain. Muslims and The OtherIdea-idea mereka memberi saksi kepada kebergantungan diri, sehingga mereka tidak dapat melihat sebarang keperluan untuk berhubungan dengan ‘yang lain’. Sebaliknya, agama-agama lain merupakan ancaman kepada mereka. Mereka memanggil diri mereka Pembela Agama, atau pembela Tuhan secara kiasan, namun sikap mempertahankan diri ini seiring dengan sikap militan terhadap orang lain. Mereka mungkin menggunakan dialog untuk sebab-sebab taktikal, dalam mengejar matlamat jelas bagi diri mereka. Di kalangan umat Kristian, saya berfikir bukan hanya tentang mereka yang dikatakan fundamentalis dan Evangelikal, tetapi juga pendakwah tegar yang bagi mereka semua umat Islam harus menjadi Kristian, dan golongan konservatif yang melihat tradisi mereka sebagai kekal sepanjang zaman dan bagi mereka tiada pilihan lain yang wujud. Di kalangan umat Islam, saya berfikir terutamanya tentang gerakan ‘Islamis’ yang cenderung untuk mentakrif Islam dengan versi tertentu mereka sendiri atau yang sebenarnya hanya mahu mengejar kepentingan politik. Mereka mungkin berfikir bahawa mereka mengetahui apakah agama Kristian dan mengapa mereka menolaknya. Di sini juga, sudah tentu, terdapat ultra-konservatif yang serupa dan wujud di mana-mana agama.” Perenggan di atas menunjukkan betapa mencabarnya usaha dialog. Jacques Waardenburg (2003: 441) menambah, hubungan agama akan selamanya tidak harmoni jika ‘non-dialoguers’ dibenarkan menjadi jurucakap dan mewakili agama masing-masing kerana mereka menutup diri dari komunikasi dengan pihak lain. Jikapun dialog berlaku, ia berlangsung dengan prasangka dan niat untuk memenangkan, bukan untuk saling memahami dan mengenali. Terdapat banyak apostasia senyap seperti yang pernah berlaku dalam sejarah Islam dengan kehadiran ‘Crypto Jews’ dan ‘Crypto Christians’ dalam masyarakat Islam. Ternyata, bahaya atau ancaman yang disumbang oleh mereka tidaklah begitu besar. Pemerintah Islam dalam sejarah malah sedia bekerjasama dengan mereka, atau memberi mereka jawatan pentadbiran. Lantaran itu, mereka yang menyeru kepada hak asasi manusia tidak wajar ditangani sebagai ‘musuh’, berbanding ancaman lantang ‘non-dialoguers’ yang menolak untuk berhubung dengan ‘dunia luar’. Agamawan ‘non-dialoguers’ dengan pakatan kumpulan ultra nasionalis sentiasa bersedia untuk menggunakan posisi, kuasa dan kelebihan yang mereka miliki dalam pemerintahan untuk menindas sektor masyarakat yang tidak berupaya. Di tangan mereka, ‘non-dialoguers’ dan ultra nasionalis ini; hak asasi manusia sentiasa berpotensi untuk dicabul dan dinodai. Merekalah ancaman senyap yang boleh meruntuh kesentosaan dan kerukunan masyarakat. [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 13 November 2012]

]]>

Tanggapan Nik Aziz terhadap Non-Muslim

Puasa Toilet

Toleransi di Malaysia

Kita meletakkan perbedaan ideologi dan krisis politik ke tepi sekejap.

Pada bulan Ramadhan ini, pasti sahaja berlaku insiden ketidaktoleransian seperti tahun-tahun lepas.

Saya masih ingat insiden paling teruk, murid-murid sekolah yang bukan beragama Islam diarahkan makan di tandas yang dijadikan “kantin sementara” (laporan kemudiannya timbul bahawa ia sebenarnya bilik persalinan yang mempunyai bilik mandi, bersebelahan tandas).

Entah ke mana perginya sikap terbuka dan berlapang dada masyarakat ini.

Pada masa yang sama, wujud juga sesetengah tokoh, Muslim dan non-Muslim, yang mengamalkan pendekatan hidup bersama secara harmoni. Mereka berdakwah dengan menunjukkan teladan yang mulia.

Sesungguhnya pada bulan puasa yang mengajak umatnya untuk bertaqwa, eloklah kita mengambil pengajaran daripada salah seorang tokoh tersebut, Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Beliau sentiasa mengambil peluang bukan untuk mencaci, tetapi untuk berdakwah. Bukan memburuk-burukkan orang lain atau menaruh prasangka buruk, tetapi memperkenalkan mesej Islam kepada yang belum mendapat hidayah.

Baru-baru ini saya pulang ke tanah air selepas tamat pengajian di luar negara. Saya sempat menjenguk kedai MPH di KLIA 2. Terdapat senaskah buku mengenai pemikiran Tok Guru Nik Aziz, maka saya mengambil kesempatan untuk membeli dan menelaah buku tersebut. Saya menjadikan buku itu sebagai rujukan untuk artikel ini.

Nukilan Tok Guru Nik Aziz: Persaudaraan Manusia

Disebabkan saya tidak layak dan tidak berniat untuk mentafsir ayat-ayat TGNA, saya akan membiarkan kata-kata Tok Guru “bercakap dengan sendiri”.

Pemikiran TGNABerikut merupakan tanggapan Tok Guru Nik Aziz terhadap hubungan antara Muslim dan non-Muslim:

“Islam mengiktiraf prinsip persamaan dan kesatuan keturunan yang datang dari Adam dan Hawa. Islam datang bagi membebaskan manusia dari segala fahaman kebangsaan yang sempit. Manusia perlu keluar dari petak-petak buatan berasaskan bangsa, bahasa, dan suku kaum.”

“Kita semua Melayu, Cina, India, orang Amerika, orang putih, orang Asli, dan lain-lain adalah adik-beradik. Kita datang dari keturunan yang satu, iaitu ayah kita bernama Adam dan ibu kita bernama Hawa. Soal berapa ribu pupu kita ini, biarlah.

Sekiranya tuan-tuan kata nenek moyang kita bukan Adam dan Hawa, cuba beritahu saya. Sekiranya tidak jumpa jawapan, terima dahulu kenyataan ini.”

“Selama ini kita tidak berfikir menyebarkan Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebarkan Islam kepada sesama orang Islam.

Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan UMNO, tetapi bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.

Sebenarnya, perpaduaan melalui Pakatan Rakyat membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.”

“Mengapa isu membenarkan bukan Islam masuk ke rumah ibadah agama Islam diperbesar-besarkan, sedangkan orang bukan Islam yang membina dan membuat mimbar masjid tidak dipersoalkan?”

“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam.”

Politik Rasis Menentang Ajaran Islam

“Saya sendiri sentiasa konsisten bahawa budaya politik rasis sewajarnya layak dibuang terus dari kamus masyarakat Malaysia. Inilah budaya politik terkebelakang yang tidak membawa sesiapa ke mana-mana melainkan hanya menyemarakkan api permusuhan sesama sendiri…

Darah Melayu dan darah Cina serta bangsa-bangsa yang lain sama-sama berwarna merah dan tidak bersepuh emas warna darahnya semata-mata hanya kerana berbangsa Melayu.

Justeru, Islam mengajar manusia agar tidak berbangga dengan darah keturunan, sebaliknya hendaklah manusia berebut-rebut menjadi insan yang bertaqwa. Seorang yang bertaqwa darjatnya tinggi di sisi Allah SWT walau apa jua bangsa sekalipun.”

“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, oleh itu bila tiba perkara-perkara macam ini (orang bukan Islam membaca al-Quran atau masuk ke dalam masjid), terus timbul masalah.

Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Quraisy yang kafir datang berjumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid.

Cuma apa yang dilihat benda itu sebagai pelik pada zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama.”

Dr MAZA

Dr MAZA: Masjid & Non-Muslim

Pandangan Mufti Perlis, Dr. Asri bin Zainal Abidin, yang menyokong kenyataan TGNA:

“Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid supaya dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; Muslim dan bukan Muslim.

Di negara seperti Malaysia berbilang agama dan budaya, kaum Muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam.

Sekiranya masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, biarkah Islam akan dapat difahami oleh mereka.

Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan-akan tiada rahmah antara Muslim dan non-Muslim, ditambah lagi dengan ruang yang ditutup untuk mereka mendengar ajaran Islam.

Masjid digambarkan sebagai musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama, ada pihak bukan Islam menjemput Muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan pelbagai bantuan.

Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurangnya noktah yang mengurangkan sangkaan salah kepada agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang mahu kita bawa dalam negara ini?”

TGNA

Impian TGNA Bersama Bukan Islam

Surat TGNA kepada Nga Kor Ming:

“Saya juga terharu mendengar keluhan YB berbunyi, ‘Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan,  tiba-tiba dihalang.’

Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB.

Mudah-mudahan dengan sikap ‘tidak mesra Umno’ dan pemimpin-pemimpin Umno berkaitan kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami, dan mengadakan forum serta wacana berkaitan Islam dengan cara yang lebih meluas.”

“Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau, dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara.

Kalau Gengkhiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.

Lalu saya mempunyai keyakinan Islam kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang bakal meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu-bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.

Mari kita membina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog, dan wacana. Tajuk-tajuk seperti ‘Di mana tidak kenanya Islam’ atau ‘Apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam’ boleh difikirkan.”

(Semua petikan di atas diambil dari buku “Pemikiran Tuan Guru: Nik Abdul Aziz Nik Mat Dalam Kenangan” dan prakata TGNA dalam buku “Malaysia Pasca-Rasisme”)

Article 19

]]>

Ramadhan & Virus Konsumerisme

Gambar: http://www.illustrasiaku.com/ Gambar: http://www.illustrasiaku.com/[/caption]   Adakah umat Muslim memerlukan Santa Claus? Menerusi makalah ini, kita akan meninjau satu cabaran yang datang setiap tahun dalam apa-apa tradisi hari kebesaran dan perayaan agama-agama termasuk Islam, khasnya sekarang iaitu bulan Ramadhan. Jenama-jenama dan kemasyhuran menjadi ganti berbanding rahsia dan kelebihan Ramadhan yang wajar dikejar. Promosi Hari Raya di sesetengah pasaraya berlangsung beberapa bulan sebelum datangnya Ramadhan, begitu juga media elektronik dan media cetak yang berperanan besar dalam mencorak perhatian penonton dan pembaca. Lebih jauh lagi, kita melihat perkara-perkara tertentu dikaitkan langsung dengan keagamaan demi melariskan lagi barang-barang perniagaan; seperti pakaian keAraban dan sebagainya. Kalau ia sudah biasa berlangsung pada bulan-bulan lain, ia berlangsung lebih hangat pada bulan Ramadhan dan sebelumnya. Justeru suatu yang sentiasa berlaku, rahsia Tuhan yang menyebut keutamaan malam al-Qadar menjadi suatu yang tidak diendah sebilangan manusia, kerana malam-malam akhir pada bulan Ramadhan menjadi tumpuan para peniaga untuk menghabiskan barang-barang jualan mereka. Oleh itu, tempat-tempat ibadat menjadi amat berkurang berbanding pada hari-hari awal, dan pasar-pasar pula menjadi tempat segelintir Muslim “beribadah”. Jika Santa Klaus yang “suci” dalam agama Kristian pun menjadi mangsa konsumerisme, kadangkala perkara sama berlaku dikalangan Muslim: biasa didengar bagaimana sesetengah pusat ibadat yang teruja amat mahu mendapatkan khidmat Imam solat terawih dari luar negara, hingga sanggup menanggung kos yang tinggi, walhal duit tersebut boleh digunakan untuk manfaat ahli kariah yang memerlukan. Majlis berbuka puasa yang diadakan di hotel-hotel lebih mencemaskan kita, betapa di celah-celah tangisan segelintir pihak yang tidak cukup wang untuk membeli sesuap nasi, kita dihidangkan dengan pelbagai berita pembaziran pada majlis berbuka puasa, amat paradoks! Malah makanan yang tidak dapat dihabiskan, yang lazimnya bertimbun di buffet-buffet tersebut akan dibuang sahaja, atas alasan hak milik peribadi pemilik hotel. Bukan suatu yang rahsia, sebahagian pihak terjebak dengan hutang keliling pinggang hanya kerana “tidak mahu kalah” semasa hari raya, iaitu setelah sebulan perjalanan spiritual yang seperti tiada apa-apa kesannya. Mesej berjimat cermat, membantu orang memerlukan, kesamarataan manusia, persaudaraan kemanusiaan dan mesej utama ketakwaan (yang mana menurut Islam; ketakwaan itu ringkasnya ialah “menjaga hubungan dengan Tuhan dan memperbaiki kualiti hubungan dengan manusia dan kehidupan”) terabai begitu sahaja. foodwaste1 Ramadhan: Renung Diri atau Jual Beli? Beberapa perenggan di atas merupakan secebis kecil kisah makna beragama dicabut secara rakus oleh konsumerisme, hingga akhirnya amalan-amalan keagamaan menjadi suatu adat yang lebih menguntungkan kaum pemodal, bukannya latihan dan pengalaman spiritual yang membina dan mendisiplinkan manusia, lantas menyelamatkan kemanusiaan. Suatu yang jelas dilihat amalan-amalan agama Islam ialah ia sentiasa dikaitkan dengan orang yang miskin dan memerlukan, demikian juga dengan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Namun menyedihkan, ia diragut oleh konsumerisme dengan begitu ganas. Galakan supaya memberi makan berbuka puasa kepada orang miskin dan memerlukan tidak diendahkan, kerana wang digunakan untuk dibazirkan pada tempat yang tidak sepatutnya. Akibat ragutan itu, Ramadhan bukan lagi menjadi bulan untuk menghayati kelaparan dan kesusahan, tetapi bulan untuk lebih berbelanja berbanding dengan bulan-bulan lain. Ramadhan yang mengajar tentang kesamarataan manusia akhirnya mencipta jurang yang lebih besar antara kelas-kelas sosial. Sebahagian pemimpin politik turut terjebak dalam budaya ini, majlis rumah terbuka selepas berakhirnya Ramadhan seperti pertandingan “majlis siapa lebih mewah”, kesederhanaan tidak menjadi keutamaan. Berhubung mereka (para politikus), sekalipun atas nama “berbuka puasa” dan apa-apa upacara keagamaan, persoalan berapa dan dari mana belanja dikeluarkan perlu sentiasa ditanya. Kembali kepada Makna Agama Isu-isu berkaitan kehampaan makna dalam beragama dan spiritual menjadi antara perbahasan yang tidak berkesudahan, cabaran arus deras konsumerisme mengeruhkan lagi keadaan. History of GodKaren Armstrong sesudah mengulas panjang lebar tentang sejarah dan pengenalan ringkas tentang agama dan falsafah keagamaan dalam buku terkenalnya A History of God mengakhiri buku tersebut dengan dua topik menarik dalam falsafah ketuhanan iaitu The Death of God dan Has God a Future?. Ia satu persoalan serius tentang kehampaan makna dan erti beragama makin malap hari demi hari, tentang sejauh mana agama dan Tuhan benar-benar mempunyai erti, atau ia mati di tangan sebahagian penganut agama sendiri? Sama ada kita bersetuju atau tidak, namun persoalan Armstrong menarik untuk diambil perhatian: “Manusia tidak mampu mengharungi kekosongan dan kehilangan; mereka akan mengisinya dengan mencipta tumpuan baru terhadap kemaknaan. Idola fundamentalisme bukan pengganti baik untuk ketuhanan; jika kita akan menghidupkan kepercayaan baru untuk abad ke-21 ini, kita patut, sewajarnya, merenungi sejarah ketuhanan untuk menggarap pengajaran dan amaran.” Makalah ini sudah tentu tidak berhasrat pergi ke kesimpulan mencipta keyakinan baharu untuk abad baharu, tetapi sebagai suatu renungan dalam tradisi beragama khasnya di kalangan umat Muslim. Meminjam semangat kata-kata Armstrong, jika kita mengabaikan persoalkan makna, tujuan dan rahsia dalam fahaman kita tentang Ramadhan, ia pasti akan menyebabkan kekosongan itu terisi dengan hal-hal lain yang paradoks dengan tujuan asal pengsyariatan Ramadnan dan amalan berpuasa. Oleh itu, mengajak supaya melihat kembali apa makna yang mahu dicapai menerusi Ramadhan ialah satu usaha untuk mengelak kehampaan makna berlangsung serius, selain menolak akhirnya hal-hal keagamaan menjadi bahan paling laku untuk diniagakan. Teladan daripada Ibn Tufail Hayy Ibn YaqzanJauh sebelum Armstrong melontarkan persoalan kemaknaannya, Ibn Tufail (meninggal 1185 M) menerusi teks kisah kefalsafahannya, Hayy Ibn Yaqazhan seperti mengungkapkan hal yang hampir sama, menerusi bahasa yang berbeza. Di hujung novel Hayy Ibn Yaqazhan itu, Ibn Tufail menceritakan perihal pertemuan dan perkenalan antara Hayy dan Asal. Asal berasal dari tempat yang sarat dengan aktiviti keduniaan yang mana hakikat dan makna beragama semakin bermasalah, Asal ke pulau tempat beradanya Hayy untuk mengasingkan diri dari tipu daya dan masyarakat yang sudah hampa dari makna beragama. Hayy ketika itu sudah mencapai kedudukan yang tinggi dalam penghayatan keimanan, menerusi disiplin dan pengalaman kerohanian yang diperolehi sepanjang berada di pulau itu. Akhirnya, mereka berdua pulang ke tempat tinggal Asal dan di sana, Hayy melihat dengan matanya sendiri, masyarakat yang lebih maju darinya ditimpa kecelakaan keduniaan yang serius, lalu Hayy mensyarahkan kepada mereka hakikat dan erti beragama. Tiada yang menyambut, lalu Hayy berputus asa dan sebelum beredar, Hayy menyeru mereka supaya beragama sekadar mana yang mereka mampu, tanpa melanggar arahan dan perintah Tuhan secara zahirnya. Hayy tidak mampu mengajak mereka ke penghayatan yang lebih tinggi, lalu Hayy dan Asal pulang semula ke pulau tersebut, dan meneruskan misi pencarian hakikat ketuhanan yang lebih tinggi. Teks tersebut sangat menarik, Ibn Tufail mengkritik keras budaya beragama secara zahir tanpa diimbangi dengan hal-hal yang menjadi rahsia dan makna dalam beragama. Kalau demikianlah pandangan Ibn Tufail pada zamannya, maka lebih-lebih lagi pada zaman dimana perindustrian merupakan segala-galanya. Itulah antara perkara yang dibimbangi berlaku dalam kehidupan dan amalan beragama, salah satunya Ramadhan dan puasa. Ramadhan dan puasa hanya contoh kecil, ia sebuah renungan terhadap hakikat beragama secara keseluruhannya. Menuntut kembali makna Ramadhan dan beragama ialah satu kemestian, dan tanggungjawab. Kita harus tegas mendengung dan mengungkapkan; bertanya tentang kualiti keimanan, terjawab dengan sejauh mana manusia membantu orang yang memerlukan. Berhenti dari hal-hal kebiasaan, berhenti dan berfikir kembali makna dan erti Ramadhan. [Ulangsiar dari makalah yang telah diterbitkan pada 7 Julai 2014]

]]>

Pakaian Wanita: Obsesi Komuniti atau Hak Individu?

Faith Fashion Fusion Gambar: Powerhousemuseum.com[/caption] Sebenarnya, masyakarat kita sudah lama mempunyai obsesi tentang tatacara pemakaian, khususnya untuk kaum Hawa. Berdesing juga telinga tatkala dikatakan pakaian wanita mengundang rogol, membawa provokasi, ataupun tidak kena semata-mata kerana susuk tubuh yang dimiliki tidak menonjolkan cantik pada pandangan mata kaum Adam. Besarnya kuasa wanita, panjang pendeknya skirt yang dikenakan juga berkemungkinan menyebabkan kaunter perkhidmatan di Jabatan Pengangkutan Jalan tidak dapat beroperasi! Tubuh badan wanita seringkali dijadikan bahan lucah tanpa sedar dan masyarakat meletakkan ukuran tidak munasabah terhadap apa yang dikatakan cantik, mahupun apa yang dianggap sopan. Jika kita mengimbau album gambar ataupun filem dari zaman dahulu, wanita Malaysia lebih selesa melakukan aktiviti seharian dengan hanya mengenakan batik sarong secara berkemban. Memang selesa untuk melakukan kerja rumah dan bergerak bebas, tambahan pula dalam cuaca panas di negara beriklim khatulistiwa kita ini. Namun, seiring dengan kemajuan zaman; wanita kini bukan hanya bekerja dari rumah. Wanita merupakan tulang belakang ekonomi dan tenaga kerja negara, memegang kerjaya dalam pelbagai bidang. Tatacara pemakaian wanita ditentukan berdasarkan keselesaan wanita sendiri dan seringkali dipengaruhi kepercayaan agama. Kebelakangan ini, sukar untuk melihat wanita berpakaian mengikut pengaruh kaum etnik masing-masing dalam aktiviti seharian dan pakaian tradisional hanya digayakan tatkala musim perayaan sahaja. Bagi kaum wanita beragama Islam, apa yang saya dapat lihat kebelakangan ini adalah pakaian wanita mempunyai pengaruh Arab. [caption id="attachment_4802" align="alignleft" width="375"]Gambar: Metro Online Broadcast Gambar: Metro Online Broadcast[/caption] Jika kita melihat gambar dalam tahun-tahun pertama pasca merdeka ataupun dalam filem-filem karya Seniman Agung P Ramlee, wanita menggayakan kebaya pendek dan berkain batik sarong ataupun mengenakan gaun pendek sesuai dengan fesyen global zaman berkenaan. Mengimbau album keluarga saya sendiri, ibu dan kedua makcik saya menggayakan kebaya atau gaun dalam gambar-gambar lama mereka. Sejak kecil, saya mencemburui kecantikan ibu seperti dalam gambar-gambar lama beliau. Tambahan pula, susuk tubuh saya ketika membesar lebih berbentuk bulat dan baju kebaya beliau tidak muat untuk saya pinjam dan gayakan. Pada saya, kebaya pendek dan batik sarong menggambarkan lambang keanggunan wanita Melayu. Namun, berdasarkan pengalaman sendiri; pandangan serong sering diajukan apabila saya menggayakan kebaya dan batik sarong. Ada yang menyatakan susuk tubuh saya tidak cukup cantik menggayakan pakaian tersebut; manakala ramai juga yang mengajukan komentar bahawa pakaian tersebut menonjolkan “aset” yang tidak sepatutnya. Tambahan pula, jika dilihat sekeliling dan meneliti fesyen semasa, kaum wanita Melayu kini lebih gemar mengenakan jubah dan menggayakan tudung seperti wanita Arab.   Pakaian Sukan Wanita Komentar berkenaan pakaian saya paling galak diajukan apabila berpakaian sukan. Sebagai seorang pelari amatur, acara marathon berjarak 42.195km merupakan satu acara yang sukar dan semua pelari patut mengenakan pakaian yang sewajarnya. Pengalaman sendiri mengajar saya pakaian mana yang selesa untuk berlari dalam jarak tersebut. Ini kerana jika tidak selesa, kulit boleh melecet dan berdarah. Kemungkinan untuk menyelesaikan acara sebenarnya sangat berkait dengan pakaian yang dikenakan. Komentar negatif yang dilemparkan kepada atlet gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi, pada pendapat saya sememangnya tidak wajar. Acara sukan gimnastik memerlukan beliau berpakaian sedemikian dan sewajarnya beliau dihargai dan dijulang, bukannya dicemuh kerana kononnya mendedahkan aurat. [caption id="attachment_4801" align="aligncenter" width="450"]Gambar: The Star Gambar: The Star[/caption] Jika saya yang amatur pun sukar untuk melengkapkan larian jika tidak selesa dengan pakaian yang dikenakan, apatah pula seorang atlet negara yang berjaya merangkul 6 pingat termasuk 2 pingat emas di Sukan SEA? Tidak banggakah rakyat Malaysia dengan pencapaian atlet sendiri? Tambahan pula, mana cemuhan sebegini kepada peserta bina badan dan pasukan bola sepak lelaki negara? Saya tidak nafikan bahawa ada atlet wanita yang bertudung. Dalam kalangan rakan-rakan pelari saya sendiri ada rakan yang bertudung dan memenangi acara larian dan merupakan pelari denai (trail runner). Tetapi, kebolehan mereka adalah berdasarkan tahap keselesaan sendiri semasa latihan dan acara; dan pastinya pakaian yang dikenakan tidak menyekat pergerakan.   Keselesaan adalah fesyen utama Secara kesuluruhannya, penting untuk wanita untuk berpakaian selesa. Gaya tersendiri dipengaruhi faktor agama, pengaruh kaum etnik dan pengalaman sendiri mencari apa yang selesa. Faktor utama yang sepatutnya adalah pilihan wanita itu sendiri. Masyarakat tidak sepatutnya meletakkan jangkaan terhadap wanita dan memaksa kami mengenakan pakaian mengikut pendapat atau kepercayaan majoriti. Di zaman moden ini, keutamaan sepatutnya diberikan untuk memperkasakan wanita dalam pendidikan, serta bersama menjana ekonomi dan kemajuan negara; bukannya kepada ukuran kelabuhan skirt wanita. Jika seorang wanita selesa berbaju kurung, dari kaum etnik manapun, sepatutnya beliau boleh menggayakannya tanpa komentar negatif. Muslim Women AFL Jika wanita perlu berpakaian moden ataupun mengenakan leotard untuk mencapai prestasi persembahan dan sukan yang ulung; sepatutnya kita menerima pakaian tersebut sebagai lumrah acara itu yang mampu menyokong usaha dedikasi latihan atlet saban lama. Jika wanita menggayakan kebaya, ia sepatutnya dilihat dari segi menghargai nilai etnik warisan kaum. Bukannya untuk mendedahkan aurat. Obsesi komuniti terhadap pakaian wanita tidak membawa manfaat apa pun selain membuak perasaan negatif dan egoistik patriarkal yang sepatutnya sudah lama luput. Tiba masanya untuk wanita dilihat dari segi kebolehan sendiri dan bukannya dihakimi berdasarkan pakaian yang dikenakan semata-mata. “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” – Surah Al- A’raf (7:26) Article 19

]]>