Gambar: Mthago WordPress[/caption]
Kebangkitan Ekonomi Melayu
Perubahan dinamika politik di Malaysia senang dikaitkan dengan identiti kaum dan etnik. Proses pembangunan yang pesat setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1969 telah menggalakkan urbanisasi komuniti Melayu dengan pesat.
Selepas tahun 1969, proses penghijrahan komuniti Melayu dari kawasan desa ke kota semakin kerap. Ia mempercepatkan mobiliti sosial di kalangan golongan-golongan tertentu orang Melayu dengan peningkatan peluang pendidikan.
Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia sangat signifikan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB). Mobiliti sosial yang berlaku di dalam komuniti Melayu memperhebatkan lagi dominansi politik identiti dan agama di ruangan awam.
Islamisasi
Kebangkitan Islam di Malaysia wajar dinilai menerusi perkembangan etnik dan agama. Proses Islamisasi kerajaan yang pesat pada tahun 80an dengan pembentukan nilai-nilai Islam dalam masyarakat mendorong apa yang dikatakan sebagai ‘kapitalisme Islamik’.
Proses Islamisasi giat membentuk cara hidup dan pemikiran komuniti Melayu yang berlandaskan ajaran dan nilai Islam.
Kesan ini dapat dilihat dengan gaya pemakaian orang Melayu ; misalnya majoriti orang Melayu mula memakai tudung dan mengenakan jubah. Proses ini membesarkan dualiti identiti Islam dan Melayu, sepertimana diterangkan oleh Dr Chandra Muzafar sebagai ‘dikotomisasi etnik’.
Kesan Islamisasi juga dirasakan dengan berkembangnya industri makanan halal yang semakin pesat. Masyarakat Melayu mula memikirkan soal ‘halal dan haram’ di dalam makanan. Isu penggunaan gelatin yang dikatakan mengandungi unsur babi mula menjadi kerisauan di dalam komuniti Melayu.
Dasar kerajaan turut menggalakkan berkembangnya proses Islamisasi. Badan-badan agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan Islam negeri diberikan autonomi untuk mengurus-setia industri makanan halal di Malaysia.
Teori Modernisme & Kapitalisme Islam
[caption id="attachment_4587" align="alignleft" width="249"]
Rise of Islamic Capitalism. Gambar: Simon and Schuster[/caption]
Penganalisis politik berketurunan Iran, Vali Nasr menerangkan bahawa proses Islamisasi politik di negara majoriti Islam mendorong kemunculan kelas menengah atasan Islam yang menjadi pelaku politik, ekonomi dan sosial yang sangat berpengaruh.
Di dalam bukunya, “The Rise of Islamic Capitalism” (2009) – Nasr menulis bagaimana golongan menengah atasan Islam berupaya membentuk identiti dan kelas sosial baru berlandaskan ajaran dan nilai-nilai Islam.
Kemunculan golongan kelas menengah baru ini mendukung usaha Islamisasi dari segi budaya, ekonomi dan sosial. Sekitar tahun 80an, industri pembankan Islam menjadi semakin pesat.
Kesannya dapat dilihat menerusi akses terhadap pendidikan. Orientasi pendidikan Islam semakin berkembang dengan lahirnya badan pemikir seperti International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang mengumpulkan para pemikir dan professional untuk membincangkan masalah kontemporari umat Islam sejagat.
Modernisme pendidikan yang dimulakan oleh tokoh pembaharuan Islam, Syeikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani memberikan pengaruh yang besar di dalam pembangunan dan pemodenan Islam.
Mereka melihat peri-pentingnya Islam untuk disesuaikan dengan perkembangan zaman. Modernisasi Islam merupakan satu-satunya alat yang dapat membangkitkan umat Islam daripada kemunduran.
Benih-benihnya di Malaysia
Seperti yang dihujahkan oleh penulis, proses perkembangan sosial di dalam komuniti Melayu sangat terkait dengan identiti kaum dan agama. Maraknya proses Islamisasi turut mendorong gaya kehidupan masyarakat Melayu terutamanya di kawasan bandar-bandar industri seperti Shah Alam, Bangi dan Gombak.
Proses urbanisasi dan modernisasi orang Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) melahirkan lapisan kelas menengah baru yang mempunyai kekuatan ekonomi, politik dan sosial.
Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia menggalakkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Proses ini mendorong lahirnya pertubuhan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menjadi pusat aktiviti golongan kelas menengah Melayu dan Islam.
ABIM juga menjadi wadah generasi muda yang memainkan peranan penting sebagai agen sosial yang efektif. Peranan yang dimainkan pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam mengerakkan agenda sistem pendidikan bercorak Islam juga merupakan faktor penting kemunculan Kapitalisme Islamik di Malaysia.
Nah, bagaimana ia mendorong munculnya Kapitalisme Islamik?
Golongan kelas menengah Melayu yang menerima pendidikan Islam di dalam dan luar negara membangkitkan kesedaran mereka untuk memimpin agenda ummah. Mereka juga aktor penting di dalam pembawakan wacana Islam dan masyarakat.
Di dalam “Islamic Resurgence in Malaysia” (1988), Chandra Muzaffar menerangkan bagaimana golongan kelas menengah Melayu-Islam ini menguasai pentas politik dengan wacana seputar isu Islam dan Melayu. Kesan Islamisasi juga melahirkan jurang polarisasi di antara kaum dan agama.
Proses Islamisasi yang giat di Malaysia juga didukung oleh pelaku politik seperti Anwar Ibrahim.
Kebangkitan Anwar Ibrahim di dalam arena politik menyebabkan wacana sosial tertumpu kepada isu-isu Islam dan pembangunan. Semasa beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan, Anwar melaksanakan dasar-dasar pendidikan Islam seperti mewajibkan matapelajaran Islam sebagai kurikulum di dalam sistem pendidikan negara.
[caption id="attachment_4585" align="aligncenter" width="721"]
Gambar: Wikimedia.org[/caption]
Dari Penguasaan Politik & Pendidikan ke Kapitalisme Islam
Kelahiran institusi pengajian Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM), serta kemunculan industri perbankan Islam seperti Bank Islam pada tahun 1983 turut menyumbang ke arah giatnya proses Islamisasi di Malaysia.
Idea penubuhan Bank Islam turut tidak terlepas daripada kritikan oleh tokoh-tokoh sosial dan profesional di Malaysia. Almarhum Prof. Syed Husin Alatas mengkritik bahawa idea perbankan Islam tidak ada bezanya dengan sistem perbankan konvensional. Ia cuma Islam pada namanya.
Begitu juga kritikan pakar ekonomi, Abdul Razzaq-Lubis yang mendakwa Bank Islam menggunakan amalan riba’ di dalam unsur perbankan. Maka, penubuhan Bank Islam itu tidak Islamik.
Perkembangan industri makanan halal turut mendorong proses kapitalisme Islamik. Industri makanan halal kini merupakan bahan komoditi penting di dalam urusan perdagangan domestik dan antarabangsa.
Agenda kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama industri halal mendorong pertumbuhan pemain industri halal di Malaysia.
Ia turut mendorong aktiviti perdagangan secara aktif semenjak dua dekad lalu. Jumlah perdagangan membabitkan industri makanan halal turut menyumbang hampir 14 bilion daripada jumlah perdagangan di dalam dan luar negara.
Kemunculan kapitalisme Islamik di Malaysia merupakan akibat daripada proses Islamisasi yang giat berlaku di Malaysia.
Ia tidak bermaksud bahawa ‘Kapitalisme Islamik’ membawa konotasi yang negatif, tetapi penulis cuba untuk mengaitkan bagaimana proses Islamisasi mendorong pembangunan berlandaskan ajaran Islam, sekaligus memarakkan proses kapitalisme yang Islamik.
Dosa Struktur: Perjuangan Yang Terabai
Banjir di Manik Urai. Gambar: The Star[/caption]
Selama ini, kita faham bahawasanya, selain pahala atas perbuatan baik, kita juga mempunyai sistem demerit bernama dosa, sekiranya kita membuat apa–apa kesalahan. Dosa itu besar (akbar) sekiranya kesalahannya besar, dan dosa itu kecil, bergantung sejauh mana keberatan perbuatannya itu.
Menurut Adrian Pereira, timbalan presiden Pax Romana ICMICA, dalam pembentangan di Bengkel Kemajmukan Agama, anjuran Projek Dialog, dosa itu terdapat dua jenis, bukannya dosa besar atau dosa kecil seperti yang kita fahami selama ini, namun Dosa Individu dan Dosa Struktur.
Dosa besar dan dosa kecil, seperti yang lazim difahami termasuk dalam Dosa Individu. Minum arak, berjudi, berzina, tidak sembahyang, ingkar pada kata kedua ibu bapa, mencuri, menipu, makan babi, inilah Dosa Individu (sama ada besar atau kecil) yang sentiasa dijadikan persepsi moral untuk masyarakat kita hari ini menilai seseorang itu.
Tetapi berapa ramaikah di antara kita yang menyedari, ada dosa yang lebih besar, dan dosa inilah, antara lainnya menghasilkan Dosa–dosa Individu? Dosa ini dipanggil Dosa Struktur.
Apa itu Dosa Struktur (structural sin)?
Dosa Strukturlah yang menghadirkan kepincangan masyarakat pada hari ini. Pembolotan kekayaan melampau oleh segelitir elit, menyebabkan kemiskinan tegar, rampasan tanah dan harga tanah/rumah mencanak naik yang menyebabkan anak–anak muda sulit untuk mempunyai rumah sendiri.
Ia juga menghasilkan gelandanganisasi secara besar–besaran, pencukaian demi pencukaian yang dibuat atas nama daulah terhadap rakyat marhaen. Kawasan–kawasan yang perlu dibangunkan, namun dipinggirkan mengakibatkan penduduk kawasan ini tercicir dari pembangunan dan terpaksa bermigrasi ke kawasan yang mendapat lebihan pembangunan (antara faktor gelandanganisasi).
[caption id="attachment_4561" align="aligncenter" width="500"]
Gelandangan.Gambar: buasirotak.blogspot.com[/caption]
Dan seperti yang kita rasakan baru-baru ini, banjir akibat pembalakan secara berleluasa terhadap kawasan orang asal.
Semua ini adalah sebahagian daripada dosa struktur yang jarang sekali dikhutbahkan sebagai dosa.
Kita jangan menyangka bahawa ini adalah takdir atau ketentuan semulajadi, sebaliknya dosa ini adalah perancangan hasil elit-elit berkepentingan, demi merakus sepuasnya kenikmatan duniawi untuk kepentingan mereka, dan menghasilkan kesengsaraan kepada majoriti umat manusia selainnya.
Masyarakat tidak melihat ini sebagai dosa besar yang perlu ditentang habis–habisan, kerana media arus perdana pada hari ini dimiliki oleh kaum pemodal yang bermazhab kapitalis (baca: keserakahan individu mengatasi kepentingan maslahah umum).
Antara Dua Jenis Masyarakat
Masyarakat yang tertumpu kepada menyelesaikan kesan–kesan yang muncul akibat dosa struktur, tetapi naif menyedari bahawasanya kesan–kesan itu akan terus berlanjutan malah merebak/mewabak menghasilkan dosa-dosa lain, selagi akar masalah itu iaitu dosa struktur tidak dihapuskan hidup–hidup.
Dan kita akan terus pada setiap hari Sabtu, setiap hujung minggu, menonjolkan dermawan kita masing–masing, dan menjadikannya idola rutin setiap minggu.
Namun masyarakat yang disebutkan di atas adalah lebih baik dari jenis masyarakat yang hanya berteori tanpa aksi sosial dan memandang enteng kekuatan amal jariah. Untuk menyusupkan idea–idea penentangan dosa struktur, adalah karut sama sekali jika hanya berteori tanpa melakukan sebarang langkah ke arah perlawanan sosial. Kita harus diingatkan, bahawa apa sahaja teori jika tidak mampu menghasilkan apa–apa tindakan, cumalah omong–omong kosong sahaja.
Sebelum perubahan berjaya dihasilkan, tindakan perlu dilakukan terlebih dahulu. Dan apalah gunanya longgokan–longgokan teori sekiranya ia tidak mampu membuahkan apa-apa hasil? Ianya menyemakkan dan mengganggu tindakan–tindakan yang ingin dilancarkan. Teori harus sejalan dengan aksi, dan aksi harus mempunyai teori, tetapi teori tanpa tindakan, diulang, hanyalah omong kosong.
Monopoli teologi selama inilah yang membekukan konsep dosa itu sendiri, dan ayat–ayat hukum yang selalu dikumandangkan membuta tuli, mengakibatkan Tuhan itu sentiasa dilihat angkuh, kejam, bengis, tidak peduli, hanya mahu ditaati, dan tidak peduli terhadap manusia–manusia yang disakiti di bumi.
Agama jika hanya berpandukan teks dan mengabaikan konteks, apakah lagi relevannya terhadap masyarakat kini? Sebarang teks, sama ada agama, sekular, atau ideologi yang mengabaikan konteks harus dicabar.
Ketika itu kita akan mula menyiasat,
Mengapa seseorang yang miskin itu mencuri?
Industri sawit: Pemusnah alam dan pencabul hak asasi
Penebangan hutan, pencabulan Hak Asasi Manusia, kepupusan haiwan dan satu industri yang menggabungkan kesemuanya Penterjemahan ke BM makalah Deforestation, Human Rights Abuse, Animal Extinction and the One Industry That Unites Them All oleh Hamizah Hanan. Minyak kelapa sawit adalah minyak sayuran yang diambil hasil daripada pemprosessan buah sawit yang tumbuh daripada pokok kelapa sawit tersebut. Tumbuhan ini asalnya dari Afrika Barat. Oleh kerana permintaan minyak kelapa sawit yang meninggi, digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan. Tanamannya kini berkembang ke seluruh Afrika termasuklah Asia, Amerika Utara dan Amerika Selatan. Walaubagaimanapun, kosnya merangkumi kemusnahan alam perlu dibayar untuk memenuhi permintaan minyak kelapa sawit. ianya datang dalam bentuk perubahan iklim, kekejaman terhadap haiwan, penebangan hutan, dan pencabulan hak asasi manusia. Menurut laporan WWF (World Wildlife Fund), ”hutan seluas 300 ukuran padang bola sepak ditebang setiap jam untuk memberi laluan untuk pengeluaran minyak kelapa sawit.” Pemusnahan habitat secara skala besar seperti ini tidak berlaku secara percuma. Banyak mangsa yang menderita di tangan pengeluar minyak kelapa sawit. Untuk mendapatkan gambaran bagaimana kesan pengeluaran kelapa sawit kepada ekosistem secara keseluruhannya, mari kita perhatikan keseluruh alam sekitar, haiwan dan kesan kepada manusia atas pengeluaran minyak sawit ini. Penebangan hutan dan perubahan iklim Indonesia, di mana kelapa sawit majoritinya ditanam dan pada ketika ini, Indonesia mempunyai kadar penebangan hutan tertinggi di dunia. Ini adalah disebabkan semakin banyak hutan-hutan simpan dibersihkan bagi tujuan penanaman ladang kelapa sawit dan akhirnya telah menyebabkan pengeluaran gas rumah hijau meningkat. Hampir 85 peratus daripada pelepasan gas rumaj hijau di Indonesia adalah berasal daripada kegiatan yang menggunakan tanah termasuklah pengondolan hutan dan pembakaran tanah gambut (amalan lain yang berkaitan dengan pengeluaran kelapa sawit). Hutan hujan tropika adalah ibarat paru-paru bagi planet kita. Ianya sangatlah penting dan apabila ianya dimusnahkan , kita semua menderita. Penebangan hutan bukan sahaja membawa kepada pembebasan berjuta-juta karbon dioksida ke atmosfera, malah ia juga menjejaskan keupayaan bumi untuk mengurangkan gas memerangkap haba. Walaupun ia mungkin kelihatan bahawa penebangan hutan di Indonesia jauh dari rumah anda sendiri, namun semakin banyak haba yang terperangkap do dalam atmosfera semakin cepat perubahan iklim akan berlaku. Buruh kanak-kanak dan kemiskinan Tanaman kelapa sawit memberi kesan yang negatif kepada penduduk yang tinggal di kawasan luar Bandar di Borneo dan Sumatera. Orang-orang tempatan bergantung kepada hutan hujan tropka yang sedang dimusnahkan. Satu-satunya sebab mengapa mereka menjadi pekerja ladang adalah kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain. Apabila syarikat-syarikat pertanian besar mula memasuki kawasan luar Bandar untuk tujuan memulakan pengusahaan ladang kelapa sawit, mereka dapat menguasai tanah tempatan kerana orang tempatan tidak mempunyai ‘hak undang-undang’ ke atasnya. Sebelum mulanya pertanian ladang kepala sawit, kebanyak masyarakat luar Bandar bergantung kepada penanaman padi atau getah, tetapi apabila mereka didesak oleh pengusaha sawit, satu-satunya pilihan adalah bertukar kepada peladangan kelapa sawit. Ia menelan masa sehingga tiga atau empat tahun untuk tanaman kelapa sawit berbuah, bermakna tiada sumber pendapatan dalam jangka masa itu dan pekerja dibayar dengan bayaran yang tidak seberapa $2.50 setiap hari sehingga ladang mula mengeluarkan hasil. Industri ini juga dikaitkan dengan buruh kanak-kanak. Di Indonesia dan Malaysia, kanak-kanak terpaksa mengangkut bebanan buah yang berat dan menghabiskan masa berjam-jam membungkuk untuk mengumpulkan bijian yang tertinggal. Untuk pekerjaan ini, kanak-kanak sama ada dibayar dengan bayaran yang sangat rendah ataupun lebih malang lagi tidak dibayar langsung. Kira-kira 2.5 juta orang telah kehilangan tempat tinggal di Borneo semenjak 1970 disebabkan oleh pengembangan ladang kelapa sawit. Kepupusan haiwan Penebangan hutan adalah salah satu ancaman utama kepada sepsis yang menjadikan hutan di Borneo dan Sumatera sebagai habitat mereka. Tetapi ia bukanlahsatu-satunya ancaman. Pemburu haram dan penyeludupan hidupan liar, melalui kerja-kerja peladangan kelapa sawit, menjadikan mereka mudah untuk mendapatkan haiwan di sini. Orang utan menjadi mangsa utama di sini. Mereka telah dijumpai samaada ditanam hidup-hidup atau diserang dengan parang. Dalam dua puluh tahun kebelakangan ini, leboh 50 000 orang utan telah mati akibat pengondolan hutan. 90 peratus daripada habitat mereka telah dihancurkan. Begitu banyak nyawa yang tidak berdosa yang telah terkorban. Apabila bahagian hutan ditebang, orang utan ditinggalkan tanpa makanan. Oleh itu, mereka tidak mempunyai pilihan lain melainkan masuk ke kampung-kampung berdekatan untuk mencari makanan. Yang kurang bernasib baik, sang ibu dibunuh oleh pemburu haram dan si anak akan diculik daripada keluarganya lalu dijual kepada taman hidupan liar atau dibela sebagai haiwan peliharaan. Hakikatnya orang utan yang dibunuh beramai-ramai merupakan satu lagi penyumbang kepada kemerosotan alam sekitar. Setiap tahun, hampir 5000 orang mati akibat penggondolan hutan. Orang utan mengekalkan keseimbangan ekosistem kita dengan menyebarkan benih-benih pokok di hutan termasuklah di Indonesia. Kita bergantung kepada mereka untuk mengekalkan kewujudan hutan. Kos kepupusan orang utan ini adalah lebih besar daripda kos keperluan minyak kelapa sawit. Beberapa spesies lain turut menderita akibat kerja-kerja peladangan kelapa sawit ini. Harimau Sumatera, beruang, gajah dan monyet semuanya berhadapan dengan masalah kepupusan di sebabkan oleh penebangan hutan dan pemburuan haram. Apa yang anda boleh lakukan? Kita tidak boleh mengabaikan hakikat dimana perladangan kelapa sawit telah menggangu keseimbangan ekosistem, kepupusan haiwan dan masalah orang-orang miskin terutamanya di Borneo dan Sumatera. Perladangan kelapa sawit telah melanggar undang-undang hak asasi manusia. Hakikatnya perkara ini menyebabkan kita kehilangan yang besar hanya untuk meningkatkan pengeluaran minyak kelapa sawit. Adakah ianya berbaloi apabila pada masa yang sama telah mengakibatkan kesan yang dasyat kepada manusia, haiwan dan alam sekitar? Jika anda menentang buruh kanak-kanak, kepupusan haiwan dan perubahan iklim, jadilah penguna yang peka. Mengurangkan penggunaan minyak kelapa sawit dapat membantu mengurangkan permintaan global terhadapnya. Usaha untuk meningkatkan kesedaran pengguna tentang kerosakan yang perlu ditanggung untuk barangan pengguna adalah merupakan langkah pertama untuk membuat perubahan.
]]>ISIS, Gaza dan kapitalisme: Sebuah wawancara bersama Noam Chomsky
Diterjemahkan oleh Zikri Rahman. Makalah asal dalam Bahasa Inggeris: http://www.truth-out.org/news/item/26538-can-civilization-survive-really-existing-capitalism-an-interview-with-noam-chomsky Berdekad lamanya, Noam Chomsky dimartabat sebagai intelektual cerdas yang tersohor (lapangan bahasa, falsafah serta kritik politik dan sosial) yang juga sosok penentang dasar luar Amerika yang terkemuka sedari zaman Perang Vietnam lagi. Chomsky yang kini sudahpun menerbitkan hampir seratus buah buku serta ribuan esei dan artikel,maka dikurniakan puluhan ijazah kehormatan oleh institusi akademik yang masyhur. Karyanya yang terbaru, Masters of Mankind: Essays and Lectures, 1969-2013, baru sahaja diterbitkan oleh Haymarket Books. Bersempena dengan terbitnya karya ini, Chomsky sudi diwawancara oleh C.J. Polychroniou untuk Truthout secara eksklusif dan meluas yang sebagiannya akan dipaparkan dalam The Sunday Eleftherotypia, sebuah suratkhabar utama di Greece. ISIS C.J. Polychroniou : Di ambang Ulangtahun Ke-13 serangan 11 September ke atas Amerika yang dipancarkan secara meluas di rangkaian televisyen negara, Obama mengumumkan kepada warga Amerika dan dunia bahawa Amerika akan kembali berperang di Iraq, kali ini berhadapan dengan mereka yang mengisytihar diri mereka, Islamic State of Iraq and Syria (ISIS). Adakah Iraq adalah sebuah hutang kerja yang tidak tertunai ketika kemasukan AS pada tahun 2003 ataupun ianya adalah hasil yang tak terelakkan dari agenda strategik sebuah empayar edan? Noam Chomsky: “Tak terelakkan” itu satu pendapat yang keras,tetapi yang jelas pemuka-pemuka ISIS dan penyebaran idea jihad yang radikal memekar hasil dari tindakan keras Washington terhadap warga negara Iraq yang masih lemah, yang terkesan teruk hasil dari sekatan AS-UK yang membebankan sehinggakan ada diplomat antarabangsa yang mewakili PBB meletak jawatan, ekoran dakwaannya bahawa ianya (sekatan) satu genosid. Graham Fuller, bekas pegawai CIA, merangkap seorang penganalisis Timur Tengah arus perdana, ada menulis yang,” Saya berpendapat bahawa Amerika Syarikat adalah yang menjadi tonggak utama ISIS. Amerika Syarikat tidak merancang pembentukan ISIS, tetapi campurtangannya yang membinasakan di Timur Tengah dan perang di Iraq adalah asas wujudnya ISIS.” Saya berpendapat, ada benarnya pendapatnya itu. Situasinya adalah satu bencana,ianya kesan langsung dari penjajahan. Yang lebih menggerunkan,hasil dari pencerobohan AS-UK adalah nyalaan konflik sektarian yang memporak-perandakan Iraq, tersebar ke rantau sekitarnya, yang pasti dahsyat akibatnya. C.J. Polychroniou : ISIS seakan-akan manifestasi sebuah pergerakan jihadis yang baru, dengan kecenderungan untuk melakukan keganasan dalam kegigihan misinya untuk memantapkan penubuhan Khalifah Islam, dengan keupayaan merekrut lebih ramai warga muda yang berpusat di Eropah, malahan hingga ke Australia, melangkaui kemampuan Al-Qaeda itu sendiri. Pada hemat anda, mengapakah kecenderungan ketaksuban berunsur keagamaan menjadi daya pemacu di sebalik kebanyakan gerakan Muslim di seluruh dunia? Noam Chomsky: Seperti Britain sebelumnya, Amerika juga mempunyai kecenderungan mendokong Islam Radikal dan menentang nasionalisme sekular, di mana kedua-dua negara empayar itu berpendapat yang ianya (nasionalisme sekular) lebih mengancam terhadap sasarannya untuk mendominasi dan mengawal. Saatnya pilihan untuk menjadi sekular digagalkan, seringkali yang mengisi lohongnya adalah ekstremisme agama. Tambahan pula, sekutu utama AS sejak sekian lama, Arab Saudi, sebuah negara Islam radikal yang juga pusat penyebaran doktrin ekstremis Wahabi / Salafi dengan menggunakan sumber minyak yang tidak terhad,menubuhkan banyak sekolah dan masjid,malahan menjadi sumber utama dalam mendanai gerakan Islamis radikal, seiring dengan negara-negara teluk – yang kesemuanya adalah negara sekutu Amerika. Diperhatikan, kecenderungan agama yang fanatik turut tersebar meluas juga di Barat, langsung menghakis demokrasi. US adalah contoh yang baik. Tidak banyak negara (Amerika Syarikat), di mana majoriti populasinya percaya bahawa Tuhan memandu proses evolusi, dan hampir sebahagiannya percaya bahawa dunia baru hanya tercipta hanya ribuan tahun dahulu. Dengan Parti Republikan yang semakin ekstrem mengikut telunjuk kuasa korporat dan kemewahan menjadikan mereka jauh dari tuntutan polisi awam yang tuntas, menjadikan mereka (kuasa korporat) yang akhirnya mempengaruhi polisi secara meluas. C.J. Polychroniou : Amerika sudahpun melakukan jenayah perang yang besar di Iraq, yang lebih memeranjatkan adalah keganasan terhadap warga awam, lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak dan warga rencam etnik dan komuniti agama. Dalam pada itu, Iraq di bawah era Saddam Hussein mempamerkan betapa stabil politiknya, apakah yang boleh ditekuni untuk pengajaran kita berkait suasana runcing di belahan dunia sebelah itu? Noam Chomsky : Pengajaran paling asas adalah kebijakan untuk memperakui norma ketamadunan dan perundangan antarabangsa. Akibat yang tertimpa hasil jenayah keganasan yang dilakukan negara-negara penyangak persis US dan UK adalah tidak terjangka, yang pasti usah terkejut jika meneliti apa yang mampu mereka lakukan. C.J. Polychroniou : ISIS yang berpengkalan di Syria diserang AS tanpa persetujuan dan kolaborasi regim Syria di bawah Bashar al-Assad adalah menyanggahi perundangan antarabangsa, dakwa Damascus, Moscow dan Tehran sejak sebelum pengeboman berlaku lagi. Ada pun begitu, bukankah kehancuran ISIS di Syria justeru akan mengukuhkan lagi regim Syria? Atau regim Assad lebih waspada perihal nasibnya kelak? Noam Chomsky : Regim Assad tampaknya memilih untuk berdiam diri dalam hal ini. Contohnya, mereka tidak merayu kepada Jawatankuasa Keselamatan PBB untuk membatalkan serangan, yang tanpa kemusykilan menyanggahi Piagam PBB, iaitu asas perundangan moden antarabangsa (dan bagi mereka yang peduli, yang juga sebahagian dari “Perundangan Tertinggi” di US, di bawah Perlembagaannya). Bagi regim Assad yang terkutuk, mereka beranggapan seperti warga dunia lain menganggap bahawa; serangan US terhadap ISIS akan melemahkan musuh utama mereka. C.J. Polychroniou : Selain dari negara-negara Barat, negara-negara Arab turut menyatakan dokongan dengan bantuan ketenteraan serangan AS ke atas ISIS di Iraq dan Syria. Dalam soal ini, adakah ianya mempamerkan fundamentalisme Islam (sebagai contoh, Arab Saudi) terhadap bentuk fundamentalisme Islam yang lainnya (ISIS)? Noam Chomsky : Seperti yang dilaporkan New York Times, dokongan ini berlaku suam-suam kuku sahaja. Regim (Arab Saudi) pastinya gentar akan ISIS, tetapi yang nyata mereka (ISIS) terus-terusan mendapat dokongan kewangan dari penderma yang kaya dari Arab Saudi dan Emiriyah, dan seperti yang saya nyatakan, akar ideologikalnya adalah pada ektremisme Islam warga Saudi yang radikal yang tidak terbendung. GAZA C.J. Polychroniou : Kehidupan di Gaza kembali seperti sediakala selepas Hamas dan Israel mempersetujui gencatan senjata. Berapa lama kali ini? Noam Chomsky : Saya enggan menggunakan terma “sediakala”. Pencerobohan baru-baru ini lebih dahsyat dari yang sebelumnya, kesannya sangat membinasakan. Pemerintahan diktator tentera Mesir, yang tanpa segan silu anti Hamas, menambah akan derita tragedi. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Seakan-akan ada satu corak semenjak persetujuan pertama yang dicapai antara Israel dan pihak berkuasa Palestin sedari November 2005 lagi. Seringkali ianya termaktub (dalam perjanjian) begini,”satu laluan antara Gaza dan Mesir melalui Rafah untuk pengeksportan barangan dan transit warga, operasi berterusan di laluan antara Israel dan Gaza untuk import / eksport barangan, dan juga transit warga, pengurangan halangan untuk pergerakan dalam linkungan Tebing Barat, konvoi bas dan trak antara Tebing Barat dan Gaza, pembinaan pelabuhan di Gaza, (dan juga) pembukaan semula lapangan terbang di Gaza” yang akhirnya pengeboman oleh Israel merampas segalanya. Persetujuan (dalam siri Perjanjian Pelan Damai) yang dicapai untuk kali yang seterusnya adalah pelbagai tetapi mengekalkan tema yang serupa, termasuk yang paling terkini,juga sama. Setiap kali, Israel akan mengkhianati dengan Hamas akur mematuhi perjanjian sehinggalah ketegangan di pihak Israel memaksa Hamas untuk bertindak-balas, sekaligus memberi Israel peluang untuk “sapu bersih” hak warga Palestin. Tempoh “bertenang” yang sementara membenarkan Israel untuk menjalankan polisi merampas apa yang bernilai di Tebing Barat, justeru meninggalkan warga Palestin sehelai-sepinggang. Semuanya, pastinya, dengan dokongan US : ketenteraan, ekonomi, diplomatik dan ideologikal, dengan merangka perspektif beriringan dengan kemahuan asas penubuhan Israel. Yang pasti, itulah tujuan Israel menarik diri dari Gaza pada tahun 2005 – sambil mengerahkan cemgkaman penjajahan, seperti yang diperakui dunia (kecuali Israel sendiri), malahan termasuk AS. Tujuan asal “menarik diri” ini ada digariskan oleh Dov Weissglass, rakan subahat Perdana Menteri Ariel Sharon. Beliau menyatakan kepada media bahawa “hasil signifikan dari pelan “menarik diri” adalah untuk membekukan proses damai. Dan jika kita membekukan proses damai, sekaligus ianya menghalang pengisytiharan negara Palestin, menghalang perbincangan tentang pelarian, sempadan dan Jerusalem. Secara efektif, agenda Negara Palestin, dan yang berkaitannya, dikeluarkan sepenuhnya dari agenda kami. Dan ini semuanya dengan izin Presiden AS dan sokongan perwakilan kongres. Dan corak ini diulang berulang-kali, dan nampaknya akan digubal kembali. Walaupun begitu, terdapat sesetengah komentator Israel yang arif menyarankan Israel untuk mengendurkan tekanan terhadap Palestin. Pengambilan tanah secara tidak sah di Tebing Barat (Termasuk Greater Jerusalem) berjalan sewenang-wenangnya tanpa ada usaha menyelesaikannya. Dan kini mereka mempunyai sekutu di dalam bentuk diktator ketenteraan Mesir yang sudi bekerjasama. Tambahan pula, kebangkitan ISIS dan rantau yang kian porak-peranda menambah-baik perselingkuhan dengan diktator Saudi dan mungkin mereka yang lain (Negara-negara Teluk). Barangkali, Israel tidak lagi menjalankan dasar penolakan (rejectionism), walaupun buat masa sekarang, ianya tidaklah begitu jelas. C.J. Polychroniou : Sentimen umum semakin membuak-buak membelakangi Israel selepas siri terbaru pembunuhan di Gaza. Pada tahap manakah dokongan tanpa syarat oleh AS terhadap Israel menyaingi faktor politik domestik mereka (AS) dan seperti yang termaktub di bawah syarat yang bagaimana untuk kita melihat peralihan polisi Washington terhadap Tel Aviv? Noam Chomsky : Terdapat beberapa faktor domestik yang kukuh. Salah satunya apa yang terjadi di ambang serangan Israel yang terkini. Dari satu sudut,sumber senjata Israel terlihat berkurangan, lantas Amerika dengan baik hatinya menyediakan senjata yang lebih canggih, justeru membantu serangan yang lebih dahsyat. Senjata-senjata ini diambil dari simpanan AS yang terletak di Israel, yang pada mulanya untuk digunakan tentera Amerika, ini antara perkaitan hubungan yang sangat rapat terjalin sekian lama. Interaksi perisikan juga terjalin lebih rapat. Israel yang juga sebuah rakan dagang AS yang diminati, bukan sahaja dalam ekonomi melibatkan ketenteraan yang canggih. Terdapat juga blok pengundi Kristian Evangelikal yang pro-Israel secara taksub. Dan para pelobi Israel yang efektif, yang sering membuka jalan – dan berunding bila berhadapan kuasa AS, ianya sesuatu yang tidak memeranjatkan. Walaupun begitu, terdapat peralihan sentimen yang mendadak, khususnya dalam kalangan warga muda, termasuk komuniti Yahudi. Yang saya sendiri alami, bahkan tidak terkecuali orang lain juga. Tidak lama dahulu, secara jujurnya saya sehingga memerlukan perlindungan pihak polis ketika bersyarah tentang hal ini di kolej dan kampus,malahan di universiti sendiri. Kini segalanya berubah. Hari ini, setiakawan dengan warga Palestine menjadi komitmen teras di banyak kampus. Perubahan ini mengambil masa panjang yang bergabung dengan banyak faktor lain yang akan mempengaruhi dasar AS. Ianya pernah terjadi sebelum ini. Tetapi ianya memerlukan satu usaha yang gigih. UKRAINE C.J. Polychroniou : Selain mengganggu-gugat dan membiarkan kuasa lain melakukan kerja kotor, apa sasaran dan objektif polisi AS di Ukraine? Noam Chomsky : Sejurus kejatuhan Tembok Berlin dan kejatuhan USSR, AS mula meluaskan pengaruhnya, yang turut melibatkan ahli-ahli NATO, terhadap rantau yang keluar dari pengaruh Rusia – mengkhianati janji yang dilakukan terhadap Gorbachev dengan menafikan protes darinya (Gorbachev). Pastinya, Ukraine adalah sasaran mudah AS seterusnya. C.J. Polychroniou : Adakah Rusia punyai sebab yang absah terhadap potensi Ukraine bergabung dengan NATO kelak? Noam Chomsky : Ya, ianya sebab yang absah untuk diberi perhatian, lebih-lebih lagi dasar perluasan NATO itu sendiri. Malahan ianya begitu jelas di mana artikel utama dalam isu terbaharu jurnal terkemuka, Foreign Affairs, oleh cendekiawan perhubungan antarabangsa, John Mearsheimer. Menurut pemerhatiannya, AS merupakan akar kepada krisis di Ukraine. C.J. Polychroniou : Merujuk kepada situasi terkini di Iraq, Syria, Libya, Nigeria, Ukraine, perairan China dan sebagian tempat di Eropah, komen terkini Zbigniew Brzezinski di MSNBC bahawa, “Kita berdepan satu dinamika yang menjabarluaskan ketidakstabilan di sebagian muka bumi” seakan tepat pada masanya. Pada takat mana perkembangan ini berkaitan langsung dengan keruntuhan daulah global serta pertimbangan kuasa yang wujud sejak era Perang Dingin? Noam Chomsky : AS mencapai kemuncak kuasanya pada tahun 1945 dan mengalami penurunan yang konsisten sedari itu. Terdapat banyak perubahan sejak beberapa tahun yang lalu. China bangkit sebagai sumber kuasa baru. Pada perkembangan lain, Amerika Latin meloloskan diri dari kawalan penjajahan (kawalan Amerika, sejak abad lepas) buat pertama kali selepas 500 tahun. Berkaitan dengan itu juga adalah kebangkitan blok BRICS (Brazil, Rusia, Indonesia, China, Afrika Selatan) dan Shanghai Cooperation Organization berpusat di China termasuk juga India, Pakistan, Asia Tengah dan lain-lain lagi. Tetapi AS tetap mengekalkan daulah yang mendominasi peringkat global. C.J. Polychroniou : Bulan lalu,ulangtahun ke-69 peristiwa pengeboman AS terhadap bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun, tetapi pelucutan senjata nuklear masih tinggal khayalan. Dalam artikel anda yang lepas, ada dinyatakan bahawa kita patut bersyukur sehingga hari ini kerana masih dapat mengelakkan perang nuklear. Pada hemat anda, seterusnya, adalah tentang persoalan bila senjata nuklear akhirnya akan dimiliki kumpulan pengganas,bukan? Noam Chomsky : Senjata nuklear sudahpun dimiliki kumpulan pengganas : negara pengganas, AS adalah diantaranya. Besar kemungkinan yang senjata pemusnah besar-besaran turut kan terjatuh pada tangan “pengganas yang berdagang”, sekaligus pasti lebih besar bencananya. KAPITALISME C.J. Polychroniou : Sejak 1970-an, ekonomi paling canggih berubah menjadi kapitalisme bersifat pemangsa. Hasilnya, pendapatan dan jurang kekayaan semakin melebar, kemiskinan yang berakar-umbi, pengganguran kian melangit dan kualiti kehidupan jatuh merudum. Tambahan lagi, “kapitalisme yang terwujud” hari ini mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan di mana, dengan populasi yang meningkat sekaligus kan menjurus kepada bencana yang tak terbendung. Adakah ketamadunan kan bertahan dalam suasana kapitalisme hari ini? Noam Chomsky : Pertamanya, biar saya mengungkap bahawa terma ” Kapitalisme yang terwujud” hari ini adalah asasnya kapitalisme. Amerika Syarikat adalah satu hal yang penting,untuk sebab yang jelas. Terma “kapitalisme” itu sendiri samar-samar untuk meliputi keseluruhan hal. Biasanya ia diungkap merujuk kepada sistem ekonomi US, yang menerima campurtangan yang luas oleh Negara, dari inovasi kreatif sehinggalah sebesar-besar hal pentadbiran seperti polisi insurans untuk bank, di mana ianya dimonopoli, sekaligus mengehadkan kebergantungan terhadap pasaran. Perlu diingatkan, bagaimana perubahan dari “Kapitalisme Yang Terwujud” dari apa yang diberi nama “Kapitalisme Pasar Bebas” itu. Sekadar mengingatkan beberapa contoh, sejak 20 tahun yang lepas, perkongsian keuntungan 200 perusahaan terbesar telahpun meningkat dengan mendadak, mendokong terus ciri-ciri oligopoli ekonomi AS. Ianya memberi kesan langsung terhadap pasaran, mengelakkan persaingan harga melalui perbezaan produk yang tidak bermakna melalui pengiklanan besar-besaran, di mana ianya digunakan untuk menjejaskan pasaran secara terangan-terangan, berdasarkan konsumer yang memilih secara rasional. Komputer dan internet, seiring keperluan asas yang memacu industri IT, hampir keseluruhannya dalam sektor dipacu Negara (R&D, subsid, jual-beli dan lain-lain) berdekad lamanya sebelum dipindah kepada perusahaan swasta untuk disesuaikan dengan pasaran komersil dan keuntungan. Polisi insurans pentadbiran yang menyediakan bank-bank besar dengan kelebihan yang luas, dianggarkan secara kasar oleh ahli ekonomi dan media bisnes bernilai sekitar $ 80 bilion setahun. Walaubagaimanapun, kajian terbaharu oleh Bank Dunia menyatakan bahawa “bank terbesar dunia bukanlah sesuatu yang menguntungkan” dan menambah “berbilion dollar yang dikatakan diterima oleh pemegang saham,hampir keseluruhannya dari duit cukai warga AS”. Sekaligus ianya memberi sokongan terhadap pemerhatian Martin Wolf dari London Financial Times yang mengujarkan bahawa “sektor kewangan yang tidak terkawal sedang meratah ekonomi moden yang berasaskan pasar dari dalam, seperti larva dari labah-labah yang memakan perumahnya di mana ianya dilahirkan. Secara tidak langsung, semua ini menerangkan tentang bencana ekonomi yang terzahir melalui Kapitalisme kontemporari yang dinyatakan di atas. “Kapitalisme Yang Terwujud” – secara radikalnya tidak bersesuaian dengan demokrasi. Pada pendapat saya,ianya mustahil untuk ketamadunan kan bertahan dalam kapitalisme yang wujud dan melemahnya demokrasi yang turut wujud di dalamnya. Apakah demokrasi yang berfungsi akan melakukan perubahan? Persoalan tentang suatu sistem yang tidak wujud lagi akan menjadi spekulatif tetapi ianya sesuatu yang bernilai yang perlu difikirkan. Dan Kapitalisme yang terwujud hari ini adalah ciptaan manusia, yang boleh diubah dan digubal. C.J. Polychroniou : Karya terbaru anda, Masters of Mankind, yang diterbitkan pada September oleh Haymarket Books, adalah kumpulan karangan ditulis antara 1969 dan 2013. Dunia berubah secara mendadak di antara dua tempoh masa ini, soalnya : Apakah cara anda memahami dunia turut berubah sepanjang masa, dan jika begitu, apakah peristiwa yang memangkin pandangan anda terhadap politik? Noam Chomsky : Kebijakan saya tentang dunia seringkali berubah sepanjang masa kerana saya menelusurinya dengan mempelajari masa lalu dan peristiwa yang berlangsung lagi ditokok-tambah oleh pandangan yang kritikal. Sukar untuk saya mengenalpasti satu-satu peristiwa atau warga (yang mengubah pandangan tentang politik). Ianya bercambah hasil proses berterusan dalam penilaian semula didokong maklumat baharu dan gesaan dalam mempelajari apa yang tidak saya fahami. Walaubagaimanapun, hierarki dan kuasa sewenang-wenangnya yang masih menjadi teras politik dunia kita pada hari ini adalah sumber segala kejahatan. C.J. Polychroniou : Dalam pertemuan kita yang lalu, saya ada mengutarakan kegusaran tentang spesis umat manusia. Anda membalasnya, “Saya berkongsi kegusaran, tetapi jangan pernah lupa sepotong ayat yang sering saya kongsikan dari Analects, tentang memberi definisi “mereka yang ditauladani” – adalah mereka yang bertekad : “Mereka yang terus-terusan mencuba, walau dirinya tahu tiada lagi daya harapan.” Apakah ianya sedahsyat itu? Noam Chomsky : Kita takkan pernah tahu. Apa yang kita tahu, adalah, sekali kita menyerah dan berputus asa, seringkali yang terburuk akhirnya kan terlaksana. Dan jika kita memasang tekad bahawa harapan masih ada dan bersungguh-sungguh melaksanakannya, pastikan wujud dunia yang lebih baik. Kita tidak lagi ada banyak pilihan lain.
]]>