Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Pihak berkuasa Malaysia termasuk Ketua Eksekutif MAS juga tidak dapat menafikan kemungkinan kapal terbang tersebut mungkin dirampas. Merujuk sumber berita semasa yang saya perhatikan saban hari, Perdana Menteri Najib Razak ada memberitahu wartawan bahawa perubahan haluan MH370 adalah disengajakan dan menyimpang dari laluan asal yang mungkin dilakukan oleh seseorang dalam penerbangan ada.
Sambutan daripada masyarakat Kristian
Dalam komuniti masyarakat Kristian, terutama daripada perspektif Gereja Katolik, Paus Fransiskus menyampaikan rasa prihatin beliau dan menyeru untuk berdoa sejurus tengahari ketika sesi Angelus 16 Mac yang lalu bersama ribuan penziarah Katolik serata dunia di Dataran Santo Petrus di Vatikan dan memberikan mereka tanda pemberkatan.
“Saya mengajak anda semua berdoa bagi keselamatan para penumpang dan anak kapal pesawat MAS dan keluarga mereka. Pada masa sukar ini, kita sentiasa berada dekat dengan mereka dalam doa.” Demikianlah kata-kata beliau semasa menutup sesi Angelus.
Paus Francis menyuarakan kata-kata pengharapan ini tatkala pada saat kebimbangan besar melanda negara yang majoritinya beragama Islam dengan 29 juta penduduk, manakala populasi Kristiannya adalah 9.2 peratus di mana Takhta Suci (Holy See) mempunyai hubungan baik dengan Malaysia sejak mencapai penubuhannya pada tahun 1963. Takhta Suci menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia pada bulan Julai, 2011.
Selain itu, saya juga ada menghadiri upacara Misa Kudus di Gereja Nativity of Blessed Virgin Mary di Bukit Mertajam pada Ahad 16 Mac 2014. Sebelum upacara misa bermula, doa khas ‘novena’ diadakan selama 30 minit bagi pesawat MH370. Dalam novena tersebut, banyak perkara doa didoakan seperti keselamatan penumpang, kebijaksanaan pemimpin negara, usaha mencari dipermudahkan, keselamatan anggota petugas mencari dan keluarga mangsa penumpang.
Doa dan harapan
Bagi saya, peristiwa ini berjaya menyatu padukan masyarakat dunia melalui pelbagai cara. Kommuniti pelbagai agama, aktivis, masyarakat antarabangsa dan tempatan tampil mengadakan pelbagai bagi menyatakan harapan mereka agar MH370 ditemukan kembali. Aktiviti seperti mengumpul tandatangan, doa beramai-ramai, dan sebagainya diadakan bagi memupuk solidariti terhadap pesawat MH370.
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah juga tampil mengetuai doa antara agama di KLIA pada 9 Mac lalu. Diikuti 21 Mac kemudian, kommuniti Muslim mengadakan solat hajat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya manakala kommuniti Buddha di negara ini dijangka menyertai upacara sembahyang secara besar-besaran Ahad ini untuk mendoakan usaha mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas berjalan lancar di Dewan San Choon, Wisma MCA, Jalan Ampang pada Ahad 6 April.
Bagi saya, dalam saat-saat negara ditimpa tragedi yang sukar seperti kehilangan MH370 ini doa merupakan senjata yang penting bagi orang-orang yang percaya.
Disini, saya lihat secanggih mana pun peralatan dan kelengkapan adalah tidak lengkap jika tidak disertakan doa. Doa bukan juga sekadar terapi minda sebagaimana disampaikan oleh saintis tetapi doa memacu hubungan peribadi sesorang kepada Sang Penciptanya bahawa dirinya hanyalah manusia biasa yang tidak mampu hidup tanpa petunjuknya.
Manusia tidak akan faham bila musibah dan derita melanda mereka namun Tuhan sebenarnya bukan kalah dan bisu terhadap makhluk ciptaaanNya tetapi Dia ingin melihat bagaimana kita sebagai manusia sejagat mengendali isu kemanusiaan ini secara bersama acapkali setiap negara masing-masing alpa akan banyak isu-isu yang meruncing seperti kemiskinan, pemanasan global dan sebagainya.
Bagi saya, ia merupakan satu “wake up call” bagi manusia sejagat agar terus berusaha untuk meringankan beban antara satu sama lain dan bertanggungjawab terhadap alam sekeliling.
Akhir kalam, walaupun misi mencari mencari masih giat dijalankan doa wajarlah tidak diberhentikan sehinggalah pesawat itu dijumpai. Saya yakin seiring dengan usaha mencari dan pelbagai acara umum bagi solidariti bersama keluarga mangsa pesawat MH370, doa berupaya untuk mengubah segala sesuatu. Yakin dan tawakal kita berharap akan ada hikmah dan pengakhiran dalam tragedi ini dimasa mendatang. Doaku dan doa seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat dunia adalah harapan dan sirna agar diketemukan pesawat MH370 akan berterusan.
Forum: Penilaian Kritikal Bangsa Malaysia
Pusat Rakyat Loyar Burok , Kuala Lumpur (A-3A-8, Pantai Business Park, Jalan Pantai Baharu, 59200 Kuala Lumpur.
Penyertaan adalah terbuka untuk semua khususnya anak-anak muda dialu-alukan turut serta memberi pandangan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ehsan Shahwahid di alamat email ehsanshahwahid@gmail.com atau di talian 012-2631160.
Kisah Anak Bangsa Malaysia
Persoalan ini yang bermain di minda Saya ketika memenuhi jemputan sebagai wakil Projek Dialog ke satu bengkel perpaduan bertema “Saya Anak Bangsa Malaysia” anjuran koalisi NGO, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) di Broga penghujung minggu yang lalu. Tiba di lokasi program di pedalaman, terasing daripada hiruk-pikuk kesebokan kota, lolos daripada dibelenggu asap jerebu yang menyesakkan dan terasa bebas daripada sengketa polemik di ruang media Malaysia. Nafas segar cukup membuka minda, dengan harapan mendapat pemahaman baru erti seorang warganegara.
Para peserta tiba lalu berkumpul bersama membentuk satu bulatan. Selepas ucapan pembukaan ringkas, pengerusi program mengajak para peserta untuk diam bertafakur selama satu minit, memperingati dan berdoa untuk MH370.
Rata-rata peserta dengan menutup mata, wajah tersugul membisu. Satu minit ini dirasakan amat bermakna. Walaupun disegenap ruang dewan kecil itu diam kaku, yang hidup dan menyemarak hanyalah jiwa-jiwa yang masih menyimpan harapan kepada yang Maha Kuasa untuk mengembalikan suatu kehilangan.
Mungkin bukan sekadar kehilangan satu penerbangan, tetapi juga kehilangan semangat dan cita-cita satu bangsa yang berjaya. Satu minit berlalu tanpa sedar, mata dibuka, dirasakan azam dan semangat baru menjelma.
Kesedihan dan kehilangan ini perlu diketepikan buat sementara demi meneruskan pencarian dan perjuangan yang harus dihadapi. Tidak semena-mena, hujan turun mengundang senyuman para peserta yang ternyata merindukan titisan air turun dari langit. Mungkin ini tanda restu Tuhan terhadap usaha perpaduan dan penyatuan ini.
Para peserta masih duduk dalam bulatan. Kebanyakannya anak-anak muda sekitar awal 20-an, daripada pelbagai latarbelakang kaum, agama dan asal tempat tinggal. Semasa sesi perkenalan, bangun seorang anak muda yang bersemangat sekali dengan penampilan yang agak berbeza, berbaju batik dan entah apa kelengkapan kepala diperbuat daripada buluh yang kelihatan amat asing. Nama anak muda itu Dendi, dari perkampungan Orang Asli Temiar jauh di pendalaman sekitar Gua Musang, Kelantan. Selain beliau, ada lagi 5 orang mewakili komuniti Orang Asli dari kawasan berbeza, selain peserta mewakili komuniti Melayu, Cina, India, Dusun, Kadazan, Iban dari serata pelusuk Malaysia, menonjolkan kekayaan kepelbagaian warisan dan budaya masyarakat Negara ini.
Bengkel perpaduan ini mengambil masa dua hari, dengan pelbagai aktiviti menarik dijalankan bertema perpaduan nasional tanpa diskriminasi di bawah kelolaan fasilitator-aktivis berpengalaman Fahmi Reza dan Lena Hendry.
Turut dimuatkan wacana ilmiah berkenaan Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia dan Perlembagaan Malaysia dimana pakar dalam kedua-dua dokumen penting ini member penerangan disusuli diskusi interaktif bersama para peserta.
Namun, apa yang paling berguna kepada para peserta ialah aktiviti-aktiviti kreatif dan kritikal yang telah menambah tahap penghargaan dan pemahaman akan konsep Negara serta kepelbagaian komuniti dalam masyarakat Malaysia.
Satu aktiviti yang menarik telah menilai kembali peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah yang telah banyak mempengaruhi reality semasa di Malaysia ketika ini. Peristiwa-peristiwa ini termasuklah tertubuhnya Kesultanan Melayu Melaka, peristiwa zaman penjajahan, proses mencapai kemerdekaan, 13 Mei, sehinggalah pilihanraya ke-13 tahun lalu.
Setiap peristiwa ini dibincangkan bersama-sama, bagaimana ianya menjadi penyebab dan membentuk keadaan semasa sekarang. Penilaian ini ternyata membuka mata dan fikiran para peserta, bahawa terdapat perbezaan bagi setiap peristiwa yang berlaku sebenarnya difahami melalui sudut pandang individu dan komuniti yang berlainan.
Aktiviti lain yang turut digemari peserta ialah sesi debat dimana beberapa kumpulan dengan ahli pelbagai latarbelakang kaum dibentuk. Setiap kumpulan telah ditentukan untuk sama ada menyokong atau membantah usul ini, membuatkan peserta perlu kreatif dan kritikal terhadap isu yang dibangkitkan walaupun mungkin berbeza daripada pendirian peribadi sebenar. Aktiviti debat ini membolehkan peserta meletakkan kedudukan mereka dalam perspektif pihak yang berlainan dan perlu memahami dan berhujah walaupun mungkin berbeza dengan pendirian peribadi. Yang pastinya debat ini telah dapat melontarkan pelbagai hujah daripada perspektif yang pelbagai untuk kita fahami isu ini, sama ada bersetuju atau tidak.
Namun, pengalaman yang tentunya paling berharga ialah peluang berinteraksi sesama peserta, berkongsi pengalaman peribadi dan bergaul mesra.
Dalam satu perbualan bersama Dendi, anak muda Orang Asli berumur 21 tahun, beliau menceritakan pengalaman dan cabaran yang dihadapi dirinya sendiri dan umumnya komuniti Orang Asli untuk memainkan peranan dalam masyarakat Malaysia.
Beliau mengakui permasalahan yang dialami Orang Asli khususnya dalam hal perkembangan ekonomi dan pendidikan menyebabkan peranan mereka terbatas dan sering dilihat tidak penting dalam pembangunan Negara.
Tetapi pada masa yang sama, banyak pihak termasuk pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan sebenarnya tidak jujur dan tidak cukup bersungguh memajukan komuniti Orang Asli serta membantu proses integrasi dalam masyarakat Malaysia yang lebih luas.
Ramai sebenarnya dikalangan anak muda Orang Asli yang telah mencuba untuk berhijrah ke bandar, berkerja dan bermasyarakat. Tetapi, sering kali diskriminasi berlaku sama ada secara sedar atau tidak sedar oleh ‘orang bandar’ khususnya berkaitan perbezaan budaya dan taraf pendidikan. Beliau sendiri pernah cuba menetap dan berkerja selama 3 tahun di kota raya Kuala Lumpur, hakikatnya sukar sekali untuk menyesuaikan diri dan bermuhibah bersama ‘orang bandar’.
Selain itu, faktor tekanan ekonomi dan kos kehidupan yang terlalu tinggi hinggakan hampir mustahil untuk golongan muda seperti beliau, dengan latarbelakang serba kekurangan untuk bersaing dan memenuhi keperluan hidup di kota raya.
Di sebalik bermacam-macam kesusahan ini, Dendi tetap menyatakan harapan masa depan Malaysia perlu dibangunkan tanpa diskriminasi kepada mana-mana golongan. Masyarakat Malaysia perlu membebaskan diri daripada masalah sentimen perkauman dengan tumpuan harus diberi kepada kepentingan Negara supaya faedah dapat dikecapi oleh semua warga Malaysia.
Menyentuh tentang ahli politik dan pemimpin Negara, Dendi menyuarakan kekecewaannya, “Ahli politik dan orang atasan selalu dengan mudah menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk kepentingan pihak sendiri, tanpa mengambilkira kesan terhadap perkembangan perpaduan Negara. Mereka juga sering tidak bersungguh dan tidak ikhlas dalam membantu dan membangun masyarakat yang memerlukan. Ini amatlah dikesalkan.”
Kata-kata ini boleh saja amat menginsafkan buat kita bila difikirkan pelbagai usaha dan pengorbanan sama ada kecil atau besar yang telah dilakukan sebilangan rakyat Malaysia biasa di waktu ini atau zaman sebelumnya untuk mengecapi perpaduan dan penyatuan Bangsa Malaysia.
Usaha-usaha ini termasuklah dua hari berharga yang diluangkan para peserta bengkel perpaduan ini, kebanyakannya merupakan pelajar kolej atau universiti dengan pelbagai tugasan yang perlu diselesaikan. Begitu juga dikalangan profesional muda yang sudah berkerjaya mengenepikan waktu rehat atau peluang menambah pendapatan demi membina semula cita-cita Bangsa Malaysia.
Lebih besar lagi pengorbanan peserta daripada komuniti Orang Asli seperti Dendi, yang menempuh perjalanan selama 10 jam, termasuk 3 jam melalui ‘jalan hutan’ untuk tiba ke Gua Musang dari kampung mereka di pendalaman, sebelum menaiki bas ekspress ke Kuala Lumpur.
Perjalanan pergi-balik menelan belanja sekitar RM200-300, merupakan nilai yang sama mereka dapat kumpulkan untuk hasil pendapatan selama satu bulan menorah getah dan mencari hasil hutan. Bagi mereka, ini tetap satu usaha yang berbaloi demi masa depan Negara.
[caption id="attachment_3134" align="alignright" width="300"]
Penulis (kanan) dengan Dendi, anak muda Orang Asli yang berwawasan.[/caption]
Di penghujung program bengkel “Saya Anak Bangsa Malaysia” ini, sekali lagi para peserta dikumpulkan membentuk bulatan untuk berkongsikan harapan setiap peserta akan masa hadapan Malaysia. Tiba giliran Saya, sedang hujan rahmat masih bercucuran, harapanku ringkas “Semoga suatu hari nanti, Dendi akan jadi Perdana Menteri”. Harapan ini mungkin kedengaran sinikal, tapi jika difikirkan sebenarnya logikal. Orang Asli seperti Dendi menjadi pemimpin Negara, mengapa tidak? Datang daripada komuniti tradisi asal yang mula-mula menabur budi di tanah air ini, menempuh pelbagai cabaran kehidupan sama ada di kota raya, pendalaman, mahupun di hutan belantara, namun tetap komited memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan bersama buat semua rakyat Malaysia. Bagaimana lagi dapat kita nafikan, dengan semangat, pengorbanan dan perjuangan sebegini, merekalah yang paling layaknya berkata “Aku Anak Bangsa Malaysia”.
(Forum) Agama di Malaysia: Masalah dan penyelesaian
Agama di Malaysia: Masalah dan Penyelesaian Realiti masyarakat majmuk Malaysia yang mempunyai kepelbagaian latarbelakang termasuk agama ternyata masih belum berjaya membina hubungan harmoni dengan semangat satu bangsa Malaysia. Kebelakangan ini bermacam-macam isu berkaitan agama sering timbul khususnya melibatkan agama Islam, agama rasmi Negara seperti yang termaktub di dalam Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan yang turut memberi jaminan hak kebebasan mengamalkan agama-agama lain. Namun, perkara ini gagal ditafsir dengan jelas menyebabkan pelbagai permasalahan berlaku antara komuniti agama. Keadaan politik semasa yang semakin kompetitif terutamanya selepas pilihanraya ke 13 tahun lalu menjadikan situasi hubungan antara agama menjadi lebih rumit, hinggakan sering sekali agama terjerat, lalu mengundang perbalahan berasas sentimen. Permasalahan ini memuncak baru-baru ini berkenaan isu penggunaan nama ‘Allah’, dimana keputusan melalui prosedur kehakiman gagal menghasilkan penghakiman yang memuaskan atau diterima adil oleh kedua-dua pihak yang bertelagah. Tentu sekali banyak lagi permasalahan berkaitan antara agama yang lain termasuk isu perarakan kepala Lembu, sembelihan korban Aidil Adha di sekolah, isu Al-Kitab serta penyebaran agama Kristian, juga penggunaan surau untuk aktiviti agama Buddha. Permasalahan agama juga berlaku dikalangan sesama masyarakat Islam, khususnya penghukuman terhadap komuniti Syiah yang diisytiharkan sesat dan mengancam akidah majoriti penganut Islam di Malaysia. Permasalahan melibatkan hak dan sensitivitI keagamaan ini dilihat akan terus berterusan selagi mana kita sebagai masyarakat Malaysia terus gagal memahami permasalahan serta bersungguh dalam merencana penyelesaian. Atas dasar meningkatkan pemahaman dengan semangat meraikan kepelbagaian, Projek Dialog mengambil inisiatif membincangkan permasalahan dan penyelesaian terhadap isu-isu agama melalui pelbagai perspektif dalam forum “Agama di Malaysia: Masalah dan Penyelesaian” pada Sabtu, 25hb Januari di Pusat Rakyat Loyar Burok, Bangsar (Berhampiran LRT Bangsar). Forum ini akan menampilkan Ust. Wan Ji At-Ta’aduddi, Lindu Livan, Uthaya Sankar dan Fazril Saleh. Forum ini terbuka untuk semua warga Malaysia yang berminat mencipta Malaysia yang lebih aman dan harmoni. Sila daftar kehadiran anda dengan makluman menerusi email kepada ehsanshahwahid@gmail.com. Sebarang pertanyaan sila hubungi Ehsan di talian 012-2631160. Mengenai panelis: Wan Ji At’ta’aduddi adalah pengasas Sekolah Pemikiran asy-Syatibi. Beliau aktif bergiat dalam dakwah, wacana sosio-politik dan penulisan keagamaan sepenuh masa. Lindu Livan berasal dari Sabah, terlibat dalam memperkasakan golongan muda melalui organisasi School of Acting Justly, Loving Tenderly, Treading Humbly (SALT) dan merupakan mantan exco kepada Persatuan Katolik Pelajar. Uthaya Sankar SB ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan dan penulis sepenuh masa yang berani bersuara mewakili golongan yang sering ditindas dan dizalimi. Catatan mindanya boleh diikuti diuthayasb.blogspot.com Fazril Salleh merupakan Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan bergiat aktif sebagai aktivis belia dan Islam. Beliau juga merupakan tenaga pengajar di Kolej Darul Hikmah bagi subjek Tamadun Islam dan Pengajian Malaysia. Projek Dialog ialah satu ruang wacana sosial yang ingin memajukan deialog dan persefahaman antara pelbagai suku kaum dan agama di Malaysia. Maklumat lanjut sila layari www.projekdialog.com
]]>Beragama tanpa makna
“Bismillahirrahmanirrahim..”
Dengan nama Allah, yang Maha Pengasih, Maha Penyayang..
Lazimnya, lafaz ini merupakan pembuka buat setiap tindakan dengan kesedaran ia akan berarah kepada kebaikan buat beroleh rahmat Allah, Tuhan sekalian alam.
Zalimnya, suatu tindakan yang didasarkan kepada nama Tuhan, tetapi hanya berasas pada dogma. Hanya dengan kata, namun tanpa makna.
Muslim Melayu di persimpangan
Jelasnya perihal ini yang berlaku sebagai pembuka tahun baru 2014, cerminan cabaran kedudukan agama yang kian hilang makna. Tahun baru dibuka dengan isu ‘Nama Allah’, namun bukan sebagai rahmat, tetapi masalah antara agama yang jelas ditimbulkan. Tentu sekali bukan suatu kejutan, bila melihat bagaimana berakhirnya tahun 2013, agama sekadar dijadikan bahan konfrontasi.
Lazimnya lafaz “Allahu A’lam” diucap dalam penutupan sesuatu pernyataan sebagai tanda rendah diri sebagai manusia yang serba terbatas tahap pengetahuannya, kerana hanya Tuhan Maha Tahu akan kebenaran yang sebenarnya.
Zalimnya bila mana penutupan tahun 2013 yang baru berlalu melihatkan hilang rasa rendah diri segelintir agamawan yang sewenangnya menghukum haram sambutan hari Krismas dan Tahun Baru kerana dianggap salah dan menyesatkan. Lebih menyedihkan, kenyataan agamawan yang menghukum halal, darah mereka yang memperjuangkan suara golongan yang berdepan kesempitan hidup, hanya dengan alasan menganggap tunjuk perasaan sebagai tindakan pemberontakan.
Mengapa, di saat masyarakat Negara ini semakin parah, namun agama hanya dijadikan penambah bakar masalah?
Islam, yang suatu masa dahulu merupakan ‘khabar gembira’ yang membawa rahmat buat sekalian alam, yang mampu menghasilkan harapan buat golongan tertindas walau dalam perit menentang kezaliman, namun kini hanya terperangkap disebalik kata-kata dan perhiasan.
Agama ini seakan-akan hampir tiba saat kematian, roh terbang keawangan meninggalkan penganutnya kehilangan tanpa makna. Yang ditinggalkan cuma amalan yang diambil secara dogma, berdasarkan senarai doktrin yang kaku, terasing daripada intipati asal yang membawa pesanan murni buat manusia. Akibatnya agama yang sepatutnya punya dinamika dengan peranan penting dalam perkembangan ketamadunan manusia kian tersisih.
Islam dalam era kegelapan?
Fenomena ini dijelaskan sejarawan agama, Karen Armstrong di dalam karya beliau A History of God, dalam bab penutup, Does God have a Future?, di mana beliau melihat Islam masa ini berada dalam era ‘kegelapan’seperti mana agama-agama lain sebelumnya,. Cuma bagi Islam, keadaan ini disebabkan kekecewaan yang lama di zaman penjajahan, mengakibatkan pendokongnya lebih gemar mengimbau nostalgia zaman kegemilangan silam sebagai asas integriti pada agama. Kesannya, kemajuan agama yang mahu dicapai ditumpukan kepada sejarah lampau. Pendekatan ini membawa kepada kegagalan untuk mencari makna baru yang lebih bersesuaian dengan realiti moden serta menghadapi cabaran semasa.
Sememangnya bukan agama yang berhak dipersalahkan, tetapi secara fitrahnya manusia diberi kebebasan memilih sendiri pendekatan bagaimana cara agama dilaksanakan.
“The Koran made the creation of a compassionate and just society the essence of the reformed religion of al-Lah. Compassion is a particularly difficult virtue. It demands that we go beyond the limitations of our egotism, insecurity and inherited prejudice.”
Ternyata segelintir agamawan memilih pendekatan yang bermasalah dalam menghadapi peristiwa semasa, termasuklah isu perayaan Krismas dihukum sesat dan mengancam kesucian Islam kerana dilihat merayakan upacara agama lain. Mungkin segelintir agamawan ini tidak peka, larangan mereka ini juga sama seperti sesetengah kumpulan Puritan Kristian yang menentang sambutan Krismas di kemuncak zaman reformation. Sedangkan telah menjadi pemahaman umum sambutan Krismas bersempena kelahiran Jesus, atau turut masyhur sebagai nabi yang mulia, Isa A.S. Pendekatan yang lebih positif sepatutnya digalakkan dengan menghayati kehidupan nabi Allah ini, dan menghargai perjuangan yang dilaksanakan beliau.
Ahli Teologi, Reza Aslan dalam karya beliau Zealot, menggunakan metodologi sejarah dalam memahami kehidupan Jesus di Palestin sekitar 2000 tahun yang lalu. Keadaan masyarakat yang hidup di bawah penindasan pemerintah Rom, yang mengenakan cukai tinggi terhadap rakyat. Golongan elit agamawan pula hidup dalam kelas tersendiri hanya berperanan dalam upacara ritual, tanpa mengajar nilai kebaikan dan persaudaraan, seperti yang dikisahkan dalam perumpamaan ‘The Good Samaritan’. Jesus yang memahami permasalahan rakyat, bangkit menjadi inspirasi dan penyelamat dengan membantu penduduk miskin, susah dan dalam kesakitan. Mesej kebaikan dan persaudaraan diajarkan kepada para pengikutnya sehinggakan pihak pemerintah dan elit agamawan berasa terancam. Kesalahan pemerintah dan agamawan waktu itu ditentang, hingga beliau dijatuhkan hukuman.
Perjuangan beliau ini amat relevan jika diambil pengajaran buat kita dalam kontekshari ini yang berhadapan kesusahan dek permasalahan tekanan ekonomi, kezaliman penguasa serta institusi keagamaan yang semakin jauh daripada peranan membantu pembinaan masyarakat yang sejahtera. Namun, kelihatan para agamawan lebih cenderung melihat masalah berbanding hikmah.
Sebagai penganut Islam di era mencabar ini seharusnya kita berjihad dengan mencari makna baru daripada petunjuk yang diberikan Tuhan supaya agama dapat terus menjadi daya kebaikan yang membawa rahmat buat masyarakat. Memilih ‘jihad’ dengan dengan cara kononnya menjadi pembela agama dalam isu seperti ‘nama Allah’ dan pengharaman Bible seakan hanya mengutamakan perkara kulit, bukan intipati sebenar insan berTuhan.
Nilai kasih sayang harus dipupuk
Muhammad Asad, tokoh yang berjasa membawa pentafsiran agama yang lebih dengan menekankan keutamaan daya fikir dalam memahami agama, menjelaskan dalam catatan beliau, Islam at the Crossroads, bahawa menjadi manusia sempurna itu sepatutnya menjadi aspirasi utama seorang Islam dan kesempurnaan dalam beragama ini hanya mungkin tercapai dengan kesedaran penuh akan Tuhan dalam setiap tatacara kehidupan.
Tentu sekali ini tidak akan tercapai sekiranya hanya keutamaan beragama diletakkan pada perkara luaran sehingga mengundang perbalahan sesama masyarakat, tanpa rasa kasih dan sayang sesama manusia walaupun berbeza agama atau ras keturunan.
Akhir kata buat warga seNegara yang masih meletakkan Tuhan sebagai rukun utama kenegaraannya, selayaknya ‘Allah’ menjadi asas kepada kesatuan, perpaduan dan keharmonian bersama. Semoga kita beroleh rahmat dan kasih sayangNya.
Namun, buat mereka yang bertegas dengan agenda pembodohan dan permusuhan, sekadar berhujah dengan ancaman kekeliruan umat daripada segala hantu-jembalang musuh-musuh Islam:
Aku lebih rela keliru, daripada ditakutkan hantu…
Temubual khas bersama ketua pengarang The Herald
Nor Arlene Tan.
Nor Arlene Tan: Pertama sekali, saya ingin bertanya mengenai ‘The Herald’. Mengapa pihak gereja Katolik menerbitkan akhbar mingguan tersebut?
Rev. Lawrence Andrew: The Herald merupakan sebuah akhbar mingguan Katolik untuk masyarakat beragama Katolik. Maknanya, ia dijual khas untuk orang-orang Katolik sahaja dan bukan kepada orang lain. Setiap akhbar mingguan Herald akan dibungkuskan dan dihantar ke alamat gereja tertentu di seluruh Malaysia, kami tidak menjual dengan sesuka hati di luar kawasan gereja.
Ia merupakan sebuah akhbar keagamaan untuk orang Katolik berkenaan isu-isu perkembangan yang berlaku di gereja dalam negara mahupun di luar negara. Masyarakat Katolik akan mendapat pemahaman yang lebih mendalam akan agama mereka sendiri.
Nor Arlene Tan: Mengapa menerbitkan akhbar mingguan The Herald dalam Bahasa Melayu?
Rev. Lawrence Andrew: Mengapa kami menerbitkan The Herald dalam Bahasa Melayu? Mengapa dalam Bahasa Tamil? Mengapa dalam Bahasa Cina? Mengapa dalam Bahasa Inggeris? Kami menerbitkannya dalam Bahasa yang difahami oleh pembaca-pembaca kami yang rata-ratanya lebih selesa membaca dalam Bahasa Melayu.
Nor Arlene Tan: Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa masyarakat Melayu Islam boleh menjadi keliru jika perkataan “Allah” dipergunakan oleh agama lain. Setujukah anda dengan kenyataan tersebut? Bolehkah anda jelaskan sejarah dan makna “Allah”?
Rev. Lawrence Andrew: “Allah” adalah sebuah perkataan Arab, iaitu “Al-Ilah”, dan perkataan tersebut telah wujud sejak dari awal-awal lagi. Sebelum perkataan tersebut wujud dalam perbendaharaan kata Bahasa Melayu, ia telahpun wujud dan dipergunakan dengan luas orang ramai. “Allah” bukan perkataan Bahasa Melayu seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak.
[caption id="attachment_2712" align="alignleft" width="225"] Reveren Lawrence membaca Herald Bahasa Inggeris.[/caption]
Sebagai contoh perkataan seperti “suci” dan “dosa” bukan sebuah perkataan Bahasa Melayu. Cuba bertanya dengan orang Melayu apakah perkataan “dosa” dalam Bahasa Arab?
Sebaliknya, “suci” dan “dosa” merupakan perkataan Sanskrit yang berasal dari India. Jadi, bila kita mula memahami asal-usul Bahasa Melayu, kita akan dapati Bahasa Melayu adalah berakar daripada pelbagai Bahasa-Bahasa yang lain.*
Maka demikian, perkataan “Allah” muncul dari zaman Arab dan juga pra-Arab, sebelum kemunculan agama Kristian yang awal. Dan agama Islam muncul selepas kedatangan Kristian.
Tidak sepatutnya wujud kekeliruan dikalangan orang Melayu kerana kamus yang terawal di negara ini adalah kamus terjemahan Latin-Melayu yang diterbitkan dalam tahun 1613, dan di dalam kamus tersebut telahpun terdapat penterjemahan perkataan “Allah” dari Bahasa Latin ke Bahasa Melayu. Yang menariknya, kamus Melayu masih belum wujud, tetapi kamus terjemahan Latin-Melayu telah wujud.
Jika kita melihat akan perkara ini, perkataan “Allah” telah wujud lebih awal daripada apa yang diperkatakan oleh sesetengah orang Melayu.
Nor Arlene Tan : Apakah sejarah penggunaan kalimah “Allah” di Malaysia?
Rev. Lawrence Andrew: Bahasa yang digunapakai oleh gereja Katolik di Malaysia atau Tanah Melayu sebelum jajahan kuasa kolonial British selama ini adalah dalam Bahasa Melayu. Bahasa tersebut ditukarkan ke Bahasa Ingeris selepas kedatangan kuasa kolonial British ke Tanah Melayu.
Apabila pihak British menyarankan penggunaan Bahasa Ingeris sebagai Bahasa pengantar dan juga orang ramai menjadi lebih berpendidikan, mereka mulai bertutur dalam Bahasa Ingeris. Apabila mereka menjadi lebih selesa bertutur dalam Bahasa Ingeris, Bahasa pengantar dalam gereja Katolik ditukarkan sebahagiannya daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Ingeris.
Selain itu, terdapat juga migrasi daripada India, orang-orang Tamil yang datang ke Tanah Melayu, serta imigrasi orang-orang Cina daripada China ke Tanah Melayu, wujudnya Bahasa-Bahasa penghantar yang lain digunapakai oleh gereja Katolik, bersama-sama dengan Bahasa Melayu, Bahasa kuno yang telah dipakai sekian lama oleh pihak gereja Katolik di Tanah Melayu.
Bahasa Melayu bukan Bahasa yang baru sahaja digunapakai oleh gereja Katolik, ia telah digunapakai dalam Bahasa Melayu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan. Malah pihak gereja Katolik telah mengunakan Bahasa Melayu sejak kurun awal lagi semasa mesin pencetakan baru-baru digunakan untuk mencetak buku pada kurun ke-16.
Pada masa tersebut, gereja Katolik telahpun mempunyai buku-buku dalam Bahasa Melayu, dimana masyarakat Melayu zaman kini mungkin agak sukar membaca dan memahami kerana ejaan dan ayatnya adalah amat kuno.
Nor Arlene Tan : Apakah sejarah pengaruh dan perkembangan Bahasa Melayu dalam ilmiah Katolik?
Rev. Lawrence Andrew: Pernahkah anda mendengar nama tokoh Munshi Abdullah? Beliau adalah bapa persuratan Melayu. Ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau juga telah menterjemahkan kitab Bible ke dalam Bahasa Melayu.
Sebutan ejaan Bahasa Melayu pada zaman itu dipengaruhi oleh pihak Portugis, Belanda dan British. Jadi bunyi sebutan tersebut adalah berdasarkan bunyi sebutan Bahasa Portugis.
Bahasa Melayu juga mempunyai pengaruhi daripada masyarakat kolonial, sebagai contoh, perkataan “motocycle” dalam Bahasa Ingeris, di dalam Bahasa Melayu adalah “motosikal”, di Indonesia adalah “sepeda motor”.
Lihatlah pengstrukturan Bahasanya adalah berbeza; Bahasa Melayu adalah dipengaruhi daripada Bahasa Ingeris, walhal Bahasa Indonesia dipengaruhi daripada Bahasa Belanda.
Jadi, kita dapat simpulkan bahawa Bahasa Melayu mempunyai akar pengaruh yang mendalam daripada pelbagai Bahasa-Bahasa yang lain, termasuk juga Bahasa kolonial.
Nor Arlene Tan: Bolehkah anda menunjuk contoh bahan ilmiah Katolik dalam Bahasa Melayu pada zaman dahulu?
Rev. Lawrence Andrew: Saya akan menunjukkan sebuah buku daripada abad ke-19 bertajuk “Porkara Terakhir”. Ia sebuah buku bacaan doa bagi orang-orang Katolik dalam Bahasa Melayu. Ia BUKAN Bahasa Indonesia. Ia adalah Bahasa Melayu asli.
[caption id="attachment_2706" align="alignleft" width="300"]
Bab “Sombahiang” Porkara Terakhir.[/caption]
Sebagai contoh teks dalam buku Porkora Terakhir – “Ia, Maha Penebus ku, tiap kali beita sudah buat dosa, sudahlah beita mengalau angkau deri hati ku, sambel choba membunoh Allah sabuleh nha…”, ia adalah sebuah Bahasa sehari-harian di dalam Bahasa Melayu kuno; penggunaan ayat seperti ini tidak wujud dalam Bahasa Indonesia.
Yang satu lagi ini adalah buku bacaan doa Katolik bertajuk Kebaktian Se’hari Harian yang diterbitkan pada tahun 1890 juga menggunakan Bahasa Melayu kuno. Sebagai contoh teks dalam buku tersebut adalah “Sapuloh Penhurohan Allah”, ia merupakan 10 Rukun Perintah Allah daripada Bible (Ten Commandments).
Kedua-dua buku tersebut menggunakan kalimah “Allah” sebagai erti Tuhan.
Selain itu, perkataan lain yang digunapakai dalam Bible dan ilmiah Katolik dalam Bahasa Melayu adalah perkataan “Rasul”. Contohnya di dalam buku Kebaktian Se’hari Harian, perkataan Bahasa Ingeris “St. Paul” (Paul the Apostle) digelar sebagai “Elrasul Paulus” dalam Bahasa Melayu; dan “St. Luke” (Luke the Evangelist) digelar sebagai “Elrasul Lukas”.
Maka anda dapat melihat Bahasa Melayu telahpun digunapakai dalam gereja-gereja Katolik di Malaysia sejak lama dahulu sebelum pengaruh bahan ilmiah Katolik Bahasa Indonesia di negara ini.
Nor Arlene Tan: Adakah penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat bukan Islam diterima oleh masyarakat Melayu dan Islam ketika itu?
Rev. Lawrence Andrew: Bagaimana masyarakat pada masa itu menerima perkataan tersebut adalah sama seperti bagaiamana masyarakat pada masa itu menerima orang-orang India, Cina dan Eropah sebelum kemerdekaan. Mereka semua adalah kawan.
[caption id="attachment_2714" align="alignleft" width="300"]
Reveren Lawrence menerangkan mengenai Porkara Terakhir sebagai contoh dalam sejarah penggunaan Bahasa Melayu dalam konteks Kristian di Semenanjung.[/caption]
Tanyalah pada datuk anda, pada masa dulu mereka akan duduk bersama bersembang sambil minum teh tarik atau makan nasi lemak dengan orang Cina dan orang India tanpa masalah perkauman atau agama.
Mereka juga akan pergi berkunjung ke rumah masing-masing. Dahulu, kawan-kawan Melayu saya sering berkunjung ke rumah saya, mereka akan datang bermakan sama-sama di rumah saya. Tetapi kini orang Melayu sudah tidak berani mengunjungi rumah orang bukan Islam.
Bapa saya mempunyai seorang pemandu Melayu yang selalu memandu kami ke sana-sini, dan dia akan selalu teman makan bersama-sama dengan kami.
Oleh kerana kami menghormati amalan agamanya, bila-bila masa kami memasak ayam di rumah, pada masa dahulu tiada supermarket, maka kami akan membeli ayam hidup di pasar dan dia akan menyembelihkan ayam tersebut untuk dimasak dan makan bersama-sama kami sekeluarga.
Pada masa dahulu, terdapat penerimaan semua agama dan bangsa, kami saling hormat-menghormati dan menerima amalan budaya dan agama setiap kaum.
Nor Arlene Tan: Adakah pihak gereja Katolik menyebarkan ajaran Katolik ke orang ramai?
Rev. Lawrence Andrew: Bagi pihak yang menuduh kami menggunakan Bahasa Melayu untuk menukarkan agama orang Melayu Islam, cuba mereka nyatakan berapakah orang Melayu telah menukar agama ke Kristian?
Cuba anda bertanya dengan A-G Tan Sri Abdul Gani Patail (Peguam Negara Malaysia) apakah maksud perkataan “Our Father” dan “Hail Mary” dalam Bahasa Ingeris? Beliau akan memberitahu bahawa beliau pernah belajar di sekolah Katolik. Adakah beliau telah menukarkan agamanya ke Katolik? Tidak, beliau masih seorang Islam. Cuba bertanya dengan Dato’ Sri Najib Razak (Perdana Menteri Malaysia) adakah beliau kenal “Our Father”, beliau juga pernah belajar di sekolah Katolik St. John.
Pihak gereja Katolik tidak sesekali pergi untuk menukarkan agama orang lain ke Kristian dengan sesuka hati. Jika mereka telah menukar agama dengan belajar di sekolah Katolik, mereka tidak akan menjadi orang Islam sampai sekarang.
Nor Arlene Tan: Barbincang berkenaan keputusan Makamah Rayuan kelmarin, bolehkah anda berkongsi pandangan anda dengan keputusan tersebut?
Rev. Lawrence Andrew: Keputusan Makamah yang pertama diputuskan pada 2009 adalah berasaskan undang-undang yang terdapat di negara ini. Ia berdasarkan kuasa kehakiman dan pengintepretasian prinsip undang-undang negara ini. Keputusan tersebut dihujahkan secara logik.
Tetapi di dalam Mahkamah Rayuan baru-baru ini, mereka sepatutnya mencari kesalahan dalam proses penghakiman bagi keputusan Makamah yang lepas jika mereka ingin mengubah keputusan di Mahkamah Rayuan.
Nor Arlene Tan: Mengapakah terdapat sensitiviti dan tentangan berkenaan isu penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam di kalangan sesetengah orang Melayu Islam?
Rev. Lawrence Andrew: Siapakah orang-orang tersebut? Ibrahim Ali dan Perkasa. Siapakah mereka?
Mereka telah membuat bising dan bersikap anti terhadap orang bukan Melayu dan orang bukan Islam. Mereka memanggil orang bukan Melayu sebagai pendatang dan menyuruh mereka keluar ke negara ini jika tidak puas hati, mereka juga sibuk mengancam untuk membakar Bible, dsb.
Adakah ini budaya seorang Melayu? Orang Melayu tidak pernah mempunyai perlakuan sebegini.
Dimanakah perangai jahil ini muncul? Orang Melayu tidak pernah biadap seperti ini. Saya sendiri sejak dahulu tidak pernah mengalami atau berjumpa dengan seorang Melayu berakhlak sedemikian. Jika terdapat perselisihan atau persengketaan diantara agama atau kaum, orang Melayu akan duduk berbincang bersama-sama kami untuk menyelesaikan masalah dengan aman.
Apabila perkara buruk berlaku, mereka (Perkasa) akan sibuk berdemonstrasi di sana sini, tetapi kami dari pihak gereja tidak akan berdemonstrasi.
Kami menghormati undang-undang negara ini. Adakah kami membuat bising? Tidak sama sekali. Kami akur dengan proses undang-undang mahkamah dan bersedia melalui peringkat-peringkat seterusnya dalam prosedur penghakiman.
Nor Arlene Tan: Bagaimanakah reaksi masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak berkenaan dengan isu kalimah “Allah” ini?
Rev. Lawrence Andrew: Itulah mereka berasa sangat tersinggung.
Mereka berkongsi satu Bahasa – Bahasa Melayu. Oleh kerana mereka bertutur dalam Bahasa yang sama, secara tiba-tiba orang Kristian di sana dihalang daripada menggunakan kalimah “Allah”.
Di dalam penerbitan The Herald bulan Oktober ini, terdapat nukilan editorial dari akhbar-akhbar utama di Pakistan dan Turki yang mengatakan keputusan penghakiman ini adalah salah. Sesiapa tidak boleh mempunyai hak cipta terhadap perkataan “Allah”, ini termasuk juga orang Melayu.
Nor Arlene Tan: Adakah pihak gereja Katolik mengadakan penglibatan komuniti atau dialog antara agama dengan orang Melayu Islam untuk menjelaskan situasi sebenar dan meredakan sentimen?
Rev. Lawrence Andrew: Kami aktif dalam Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST). Mereka mengetahui dan simpati tentang isu tersebut, dan hadir memberi sokongan kepada kami semasa pengumuman keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.
Kami juga menerima banyak sokongan daripada orang Islam dan organisasi Islam seperti Sisters In Islam (SIS). Marina Mahathir juga telah bersuara dan menulis terhadap isu ini.
Menariknya, juga terdapat di internet berkenaan cerita “Ayah” – jangan membiarkan anak-anak kamu memanggil dirimu “Ayah”, kerana anak-anak kami memanggil kami “Ayah”.
Nor Arlene Tan: Pada pendapat anda, apakah pengislamisasian (Islamization) yang merebak ke negara ini adalah pengaruh daripada perkembangan Islam global atau situasi politik dalam negara ini?
Rev. Lawrence Andrew: Ramai yang mengatakan pencambahan pengislamisasian ini berlaku kerana perkembangan Islam global yang berlaku di Iran dan Timur Tengah, seperti kebangkitan Arab (Arab Spring) di Timur Tengah.
Pada pendapat saya, peristiwa tersebut tidak memberi kesan mendalam kepada pemikiran masyarakat kita.
[caption id="attachment_2716" align="alignleft" width="225"]
Penggunaan Bahasa Melayu memang tidak asing dalam sejarah Kristian di Malaysia.[/caption]
Namun begitu, saya akui terdapat pengarabisasian (Arabization) di negara ini semasa zaman 90-an, sebagai contohnya wujudnya pergerakan Al-Arqam yang kini telah diharamkan, wanita mereka berpakaian jubah penuh dan berniqab, ini sememangnya adalah pengaruh daripada budaya Arab.
Dahulunya, orang-orang Melayu lebih suka bersongkok. Songkok bukan budaya Islam, ia adalah budaya asli Melayu, dan ia juga budaya di Indonesia.
Saya selalu memakai songkok pada masa dulu, dan masyarakat pada masa itu dapat menerimanya. Tetapi jika saya memakai songkok pada hari ini, dan makan pula di kedai makanan Cina, saya mungkin akan dipersoal dan mereka mungkin fikir bahawa saya adalah Melayu (Islam).
Kini, jika anda ke Putrajaya anda hanya akan berjumpa dengan orang-orang Melayu sahaja. Walhal pada dahulu kala, ketua bagi tentera laut adalah orang India, termasuk juga dalam pasukan polis, polis-polis dahulu adalah berbilang kaum.
Namun sekarang para penjawat awam (civil servants) telah menjadi semakin Melayu (mono-etnik). Jika anda ingin mendapat pekerjaan dalam kerajaan dan anda bukan orang Melayu, lupakan sahaja untuk memohon pekerjaan tersebut. Sesiapa yang ingin dinaikkan pangkat dalam kerajaan terpaksa menukar agamanya ke Islam.
Jadi, bukan perkembangan global yang mempengaruhi pengislamisasian di negara ini, ia adalah politik dalaman di kalangan yang berkuasa yang sibuk menyebarkan pengislamisasian di keseluruhan negara ini.
Terdapat pertelagahan yang berterusan diantara parti politik PAS dan UMNO untuk saling bersaing bagi mengislamkan negara ini.
Malah, keputusan menghalang penggunaan kalimah “Allah” oleh Makamah Rayuan ini juga merupakan salah satu cara pengislamisasian di negara ini.
Nor Arlene Tan: Soalan terakhir saya, apakah cabaran terbesar rakyat Malaysia hadapi dinegara ini dalam konteks bangsa dan agama, dimana kerajaan dan masyarakat sivil perlu memainkan peranan yang lebih mendalam?
Rev. Lawrence Andrew: Pada pendapat saya, cabaran utama yang kita hadapi, jika kita jujur dengan semangat 1 Malaysia; 1 Malaysia di sini bermaksud semua kaum sama-sama bersatu, dan bukannya asimilasi menjadi satu bangsa sahaja – setakat ini maksud 1 Malaysia adalah Satu Bangsa.
Jika kita benar-benar hidup dalam semangat 1 Malaysia seperti saya katakan, setiap kaum sama-sama bersatu, perpaduan diperkukuhkan seperti semasa kita mencapai kemerdekaan, maka apa yang diperlukan oleh kita semua adalah untuk menerima satu sama lain. Jangan memandang rendah kaum lain.
Cabaran yang terbesar dalam diri kita semua adalah kita telah mengasingkan diri kita daripada komuniti lain dan kita telah memecahbelahkan negara ini kepada Melayu dan bukan Melayu.
Oleh kerana masyarakat kita telah dipolarisasi, ketuanan Melayu telah menjadi agenda utama negara ini. Konteks perbincangan negara ini telah bertukar menjadi ketuanan Melayu atau UMNOputra (seperti dilebelkan oleh sesetengah orang) dimana orang Melayu perlu mendapat keistimewaan yang lebih daripada semua kaum yang lain. Dan ini telah menyebabkan ketegangan antara kaum.
Jadi, cara yang bagus untuk meredakan sentimen ini adalah kita semua perlu menerima negara ini sebagai negara kita. Kita semua adalah pendatang, termasuk kesemua perdana menteri negara kita, yang aslinya adalah orang asal dan orang asli di negara ini.
Nor Arlene Tan: Terima kasih kerana sudi mengadakan temubual ini bersama Projek Dialog.
Rev. Lawrence Andrew: Sama-sama.
Nota:
*Kata-kata lain yang berasal daripada Bahasa Sanskrit sebagai contoh adalah: “sandiwara”, “bumi”, “istana”, “merdeka”, dan lebih lagi.
Dalam “Malay Words of Sanskrit Origin” menyatakan: Hari ini, jika seorang Melayu bertutur dalam sebuah ayat yang mempunyai sepuluh perkataan, kemungkinan besar lima hingga tujuh perkataan tersebut adalah perkataan Sanskrit dan selebihnya adalah berasal dari perkataan Arab, Tamil, Hindi, Inggeris, Cina, Farsi atau dari beberapa asal yang lain.
Perjanjian antarabangsa tentang Hak-hak Awam dan Politik Antarabangsa (ICCPR): Apa lagi yang masih kita tunggukan?
ICCPR memberi ruang kebebasan untuk kumpulan minoriti agama dan ia akan membenarkan hak kebebasan menukar beragama. ICCPR telah ditandatangani oleh 167 buah negara. Ketika sidang UPR Malaysia pada 24 Oktober lalu, Palestin (sebuah wilayah Islam) telah bertindak menyuarakan pandangan supaya Malaysia segera memeterai perjanjian antarabangsa ini. Tindakan Palestin ini sememangnya terpuji. Selain Palestin, negara lain yang mendesak Malaysia menandatangani ICCPR adalah Slovakia, Ukraine, Belanda, Australia, Hungary, Jepun, Switzerland dan Sierra Leone. Apakah yang ditakuti oleh NGO Muslim dengan ICCPR? Mesir, Jordan, Bahrain, Iraq, Iran, Maghribi, Lubnan, Sudan, Syria, Turki, Algeria, Pakistan, Indonesia, Yaman dan Afghanistan adalah antara negara Islam yang telah menandatangani ICCPR. Antara negara Islam yang tidak menandatangani ICCPR adalah Arab Saudi dan Qatar. Sebagai sebuah negara Islam yang bercita-cita kelihatan moderat di peringkat antarabangsa, keraguan untuk menandatangani ICCPR tidak mencerminkan hasrat wasatiyyah pimpinan negara ini. Apakah yang Malaysia tunggu lagi? Perjanjian ini akan melindungi hak-hak minoriti agama. Ini merupakan satu tindakan paling waras untuk dilakukan oleh Malaysia bagi mengimbangi kepelbagaian agama, dan mazhab yang wujud di negara ini. Sikap angkuh penindas yang menafikan hak kaum marjinal dan terpinggir adalah tidak Islamik dan bertentangan dengan ajaran Islam asal yang dibawa oleh Rasulullah saw. Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad melindungi kaum buruh, pro wanita, menjaga hak minoriti Yahudi, menjalinkan hubungan mesra dengan Nasrani (seperti yang ditunjukkan ketika hijrah pertama ke Habsyah) dan tidak bersifat menghukum. Apabila Rasulullah saw membuka kota Mekah dan menjadi kuasa majoriti, kaum musyrikin yang jatuh menjadi minoriti tidak dikerasi, bahkan diampun. Dua artikel berkaitan iaitu Artikel 18 dan 20 dari Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik ini sudah pasti akan dapat menghentikan pemomokan pihak berkuasa agama, khutbah Jumaat sarat kebencian, fenomena media mengarang cerita palsu dan serbuan ganas Jabatan Agama terhadap komuniti Syiah. Malaysia wajar memenuhi tuntutan antarabangsa supaya menghapuskan diskriminasi terhadap penganut agama minoriti.
]]>
Apabila agama dipolitikkan: Cabaran dan penyelesaian
Talibanisme Semasa Taliban memerintah di Afghanistan, banyak keputusan dan tindakan Taliban kelihatan tidak cermat dan tanpa difikirkan kesan buruk disebalik tindakan itu. Antara yang ketara adalah, tindakan Taliban yang meruntuhkan patung Buddha yang didakwa berumur lebih 2 ribu tahun di satu kawasan bernama Bamiyan. Patung itu amat besar, sehinggakan ia sama tinggi dengan bukit di situ. Diberitahu juga, bahawa kawasan Bamiyan sudah tidak ada penganut Buddha tetapi terdapat penduduk yang berfahaman syiah. Taliban telah meletupkan patung tersebut untuk dihancurkan dengan alasan penjagaan aqidah dan memerangi syirik. Tindakan Taliban itu dikritik hebat oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi. Kritikan itu, menjadikan kalangan Pro-Taliban melebelkan Qaradawi sebagai ulama berhala. Dalam kenyataan Al-Qaradawi dalam perkara ini, beliau menyatakan bahawa pada tahun ke 7 hijriah, berlaku Umrah al-Qadha’ bahawa Nabi MUHAMMAD SAW dan para sahabat masih lagi melakukan Tawaf keliling Kaabah dalam keadaan kaabah ketika itu masih dipenuhi dengan patung-patung sembahan orang Quraish. Al-Qaradawi menyatakan lagi, tindakan Taliban itu kelihatan bermusuh dengan Amerika dan Eropah, tetapi tanpa mereka sedar bahawa mereka sudah menjadi punca permusuhan orang Islam dengan orang bukan Islam di Timur. Ekoran kebencian mereka terhadap barat mereka meruntuhkan patung Bamiyan. Kesan dari itu, umat Islam di negara Buddha ditekan dan ditindas atas sentimen yang sama. Ternyata keadaan itu berlaku, sepertimana selepas kejadian runtuhnya patung Bamiyan, kedengaran pembunuhan beramai – ramai terhadap umat Islam di selatan Thailand dan keadaan tidak selesa di kalangan Umat Islam di Vietnam. Fikir kesan Dalam Al-Quran, Allah SWT ada menyatakan, “Jangan kamu cela mereka yang menyembah selain Allah, kerana bimbang mereka akan mencela Allah secara permusuhan dan tanpa ilmu” (Surah al-an’am, ayat 108) Dalam komentar Imam al-Baidhawi terhadap ayat ini, beliau menyatakan, “Pada awalnya, Umat Islam selalu mencela mereka (yang menyembah selain Allah), lalu mereka ditegah supaya (dipihak mangsa celaan) tidak melakukan celaan balas terhadap Allah. Ia menjadi dalil bahawa perkara yang dibenarkan pun pada asalnya, jika boleh membawa kepada maksiat yang pasti, maka ia wajib ditinggalkan, kerana perkara yang membawa kepada kejahatan, ia turut sama dianggap sebagai jahat” (al-Baidhawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, jld 2, hlmn 177) Dalam erti kata yang lain, dalam ayat ini Allah SWT mengajar kepada manusia bahawa sesuatu tindakan yang mahu dilakukan hendaklah diperhatikan juga sudut kesan sampingannya. Jika diperhatikan, seseorang doktor di hospital tidak akan memberikan sesuatu ubat kepada pesakitnya sesuka hati, tetapi difikirkan juga apa implikasi atau kesan sampingan yang bakal berlaku. Politikkan agama Di Malaysia, banyak isu-isu melibatkan hubungan Muslim dan non-muslim menjadi calar ekoran sudut faham agama cukup terkebelakang. Cara faham Islam sebilangan orang Islam di Malaysia tidak berasaskan kepada ilmu, tetapi lebih kepada sentimen dan mainan politik. Sebelum ini, di malaysia pernah di bisingkan dengan isu larangan orang bukan Islam masuk ke masjid dengan alasan bahawa orang bukan Islam tidak mandi junub. Sedangkan dari sudut perbahasan Islam, jika dibaca dalam hadis yang saheh diceritakan ada seorang lelaki yang bernama Sumamah bin Ussal yang tidak beragama Islam telah diikat dalam masjid ekoran ditawan dalam satu peperangan, disamping dalam hukum fiqh, orang bukan Islam tidak akan sah mandi junubnya. (ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 1, hlmn 268) Begitujuga, di Malaysia pernah dibisingkan dengan isu larangan mendoakan kepada orang bukan Islam ekoran seorang pendakwah telah berkhutbah di salah sebuah masjid di Pulau Pinang telah mendoakan kepada Allah agar diberikan hidayah kepada ketua Menteri Negeri tersebut yang tidak beragama Islam. Dari sudut pandang Islamnya, tiada larangan pun perbuatan tersebut. Ini kerana, dalam banyak hadis didapati bahawa Nabi Muhammad SAW mendoakan hidayah kepada Umar bin al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam. [sila rujuk Muhammad bin Afifi al-Bajuri, Nurul al-Yaqin Fi Sirah Said al-Mursalin, hlmn 52] Begitujuga doa harapkan hidayah oleh Nabi Muhammad SAW terhadap kaum Taif yang menolak dakwah dan melontarkan kepada Nabi dengan batu. [Sila rujuk Ibn al-Qayyim, Zad al-Maad, jld 3, hlmn 29]. Tanpa kita lupa juga dengan isu larangan orang bukan Islam membaca Al-Quran ekoran seorang ahli politik yang tidak beragama Islam telah membaca satu ayat dari Al-Quran dalam satu ceramah beliau. Walhal, jika dibaca dalam hadis terdapat beberapa kisah yang mempamerkan keizinan orang bukan Islam membaca Al-Quran, seperti Abu Bakar al-Siddiq pernah menyatakan kepada seorang perempuan yahudi yang sedang menjampi Aisyah dengan kata Abu Bakar al-Siddiq, “Jampilah dia dengan membaca kitabullah (Al-Quran)“ [Sila Rujuk Imam Malik, Muwatta’, hadis no : 1982] Jika kita perhatikan balik, semua isu-isu yang dibangkitkan tidak lebih kecuali mahu mewujudkan suasana yang tidak sihat dalam hubungan antara Muslim dan orang bukan Islam di malaysia. Ia tidak menguntungkan dakwah, tetapi lebih kepada mewujudkan suasana yang tidak harmoni. Hubungan Di Malaysia, sudut pandang Islam dalam beberapa perkara, jika dibandingkan dengan cara Nabi Muhammad, pasti kita akan nampak perbedaan yang amat ketara. Terdekat seperti isu penggunaan Kalimah Allah untuk orang bukan Islam, ia menjadi isu yang berpanjangan sehinggakan melibatkan perbicaraan mahkamah. Walhal, jika diperhatikan dari sudut sumber Islam disamping pengamalan di semua negara dan sejak zaman wahyu sehingga sekarang, hanya semenanjung malaysia sahaja yang melarang. Ini gambaran keanehan cara sudut faham Islam di malaysia jika mahu dibandingkan di tempat lain, yang sudah pasti terlalu amat ganjil jika dibandingkan dengan Islam di era keNabian. Melihat kepada itu, tidak hairan implikasi dan kesan yang tertimpa, hubungan Muslim dan orang bukan Islam di malaysia kelihatan seperti tenang di luar, tetapi dari sudut hati kecil wujud seribu satu permusuhan. Ekoran dari itu, mula wujud suara-suara tidak puas hati, hilang keharmonian seperti terbaru kedengaran suara orang bukan Islam yang beragama hindu melarang penyembelihan lembu korban secara terbuka dengan alasan menghormati sensitiviti dan sebagainya. Seharusnya, Islam itu perlu dibahas mengikut nilai, lunas dan ajaran Nabi, bukan dipolitik-kepartiankan atau disentimenkan tanpa ilmu, kerana ia bukan mendatangkan hasil yang baik, sebaliknya keadaan semakin memburuk. Dalam keadaan begitu, di pihak rakan-rakan yang tidak beragama Islam, mereka perlu sedar bahawa tindakan provokasi atas nama Islam itu sebenarnya bukan dari ajaran Islam, tetapi itu adalah sikap sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab. Hakikat sebenar, rujukan mereka bukan kepada Islam, tetapi kepada sentimen mereka yang berasaskan kepada hawa nafsu. Namun, lebel Islam di gunakan untuk mempamerkan tindakan mereka seperti benar, walhal Ia tidak benar sama sekali. Tindakan mereka itu, tidak sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali yang pernah berkata, “Kalimah yang benar, tetapi yang dikehendaki adalah kebatilan.” [sila rujuk Ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 2, hlmn 545) Wallahu alam. Sila hubungi editor@projekdialog.com untuk bibliografi yang lebih lengkap.
]]>