Dialog Melalui Haluan Media Popular
Secara umumnya media popular dilihat sebagai sarana penyebaran maklumat kepada seluruh massa. Ia juga dapat digunakan sebagai landasan kepada beberapa pihak untuk menganalisa sesuatu masalah.
Ia dengan penuh harapan merasakan bahawa medium tersebut mampu mempertingkatkan kesedaran kepada orang awam.
Permasalahan yang diutarakan itu semestinya harus berputar fenomena yang berkait rapat dengan konteks tempatan dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan kita secara tidak sedar.
Menurut pendapat saya, inilah yang jarang benar dilakukan oleh kita semua.
Kalau bukan para akademik ataupun para pemikir yang melaksanakan usaha seperti ini, tidak selalunya timbul inisiatif untuk mengutarakan sesuatu masalah dengan analisis yang jelas tentang apa yang berlaku pada zaman ini.
Projek Dialog selaku landasan yang menganjurkan dialog sesama rakyat turut berusaha untuk melakukan inisiatif penyebaran maklumat menggunakan media popular.
Projek Dialog untuk tahun ini turut terlibat menghasilkan dua karya yang bakal ditayangkan di Freedom Film Fest di PJ Live Arts Centre, Jaya One.
Freedom Film Fest merupakan festival filem terulung di Malaysia yang menggunakan teknologi media sebagai salah satu sarana untuk menekankan aspek demokrasi dan menyarankan penggunaannya di kalangan para aktivis.
Gabungan antara visual, tekstual, dan juga bunyi lebih memberikan impak yang besar, diikuti dengan perbincangan yang memberangsangkan mengenai setiap masalah yang dipaparkan.
Filem yang ditayangkan pula merupakan dokumentari yang jarang benar didanai oleh industri perfileman, sedangkan filem-filem inilah yang benar-benar mengutarakan masalah realiti sosial yang dihadapi oleh kita semua.
Dengan ini mari kita memperkenalkan karya dokumentari yang turut dihasilkan oleh pihak Projek Dialog iaitu Viral,Sial! dan juga Dialog dengan Dendi.
“Viral,Sial!” oleh David Buri
Filem ini berdasarkan fenomena beberapa bulan lalu sewaktu BFM Kupas menayangkan satu episod yang bertajuk “Hudud: Isi Periuk Nasi”.
Pada waktu itu pengacara utamanya, Edry Faisal tidak dapat muncul kerana beliau menjadi sukarelawan di Kelantan. Langsung dia digantikan oleh pengacara wanita, Aisyah Tajuddin.
Nah, bermula dari situlah jelas terlihat isu kebebasan menyatakan pendapat ternyata langsung tidak dapat dipraktikkan dengan sihat tanpa digugat ancaman yang kini sudah tiba pada tahap yang membahayakan.
Seluruh Malaysia termasuklah media arus perdana turut memberi liputan mengenai hal ini. Tidak lupa juga kepada pihak-pihak penguasa yang turun padang menyatakan pendapat mereka mengenai video ini.
Jadi apakah persoalan-persoalan yang timbul dari filem dokumentari ini?
Pertama, adakah fenomena kecaman ini disebabkan oleh gender Aisyah Tajuddin dan kelantangan beliau mempersoalkan isu ini menggunakan medium internet?
Harus juga kita ingatkan bahawa keberanian beliau untuk berdiri di hadapan kamera dan menyindir keutamaan ahli politik PAS tentang hudud adalah sesuatu yang jarang kita lihat di negara ini.
Sedangkan para lelaki sendiri tidak berani untuk menyatakan pendapat mereka di khalayak awam, sebaliknya sibuk berbicara di kedai kopi tanpa apa-apa risiko.
Jika difikirkan lagi, adakah sekiranya ia dilakukan oleh seorang lelaki, maka tingkat kecamannya pasti berbeza? Dan sehubungan dengan itu, adakah agama masih lagi dibawah jagaan pimpinan lelaki?
Bilamana seorang perempuan mula mempersoalkannya, segala struktur sosial mulai tergugat dan tidak lagi menunjukkan piawaian ketakwaan yang seharusnya?
Persoalan inilah yang saya rasakan bakal dikupas. Wujudkah suatu analisa yang mampu menerangkan masalah ini dengan jelas?
Adakah ini semuanya bakal berakhir kepada persoalan kuasa untuk menyebarkan wacana ataupun kesedaran yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki?
Dan lebih teruk lagi, bagaimana pula dengan ruang bagi kita semua untuk menyatakan pendapat?
Adakah negara kita semakin lama semakin dihakis kebebasannya untuk bersuara, sebaliknya bakal digantikan suatu sistem autoritarian yang bakal membungkam kesemua suara yang menentang keadaan sistem sedia ada?
Fenomena ini merupakan sesuatu yang harus difikirkan, kerana beliau secara jelas diugut secara tidak adil.
Hanya kerana seorang wanita dari golongan rakyat biasa memberi pendapat, lalu hampir seluruh rakyat negara mengecamnya.
“Dialog dengan Dendi” oleh Badrul Hisham Ismail
“Dia sudah tak betah duduk di bandar. Bandar yang penuh gelisah. Yang tak kenal manusia dan kemanusiaan, hanya kenal urusan.”
Bagi penduduk kota, persoalan mengenai isu kemodenan dan hiruk pikuk kota adalah realiti yang tidak dapat kita nafikan.
Kelelahan kehidupan adalah sesuatu yang sering dipendam, maka bermula dari situ ada yang mulai mencari jalan keluar. Jalan eskapisme yang mampu mengalihkan pandangan kita jauh dari realiti kota di depan mata.
Filem ini adalah karya yang mengutarakan persoalan mengenai alternatif cara hidup yang meraikan kewujudan manusia.
Di mana pilihan manusia itu tidak lagi dibataskan di ruang-ruang kota, sebaliknya jauh ke dalam kawasan pedalaman hutan.
Ini merupakan persoalan eksistensial, mengikut kata-kata orang muda di kala ini.
Jika tiada yang berbalik atau berselindung di sebalik harapan ataupun ilusi, manusia kota secara amnya mulai hilang arah dan tidak lagi mampu menerima hikmah yang ditawarkan oleh citra kemodenan.
Kesinambungan mekanisme kehidupan di sini pastinya pada suatu masa akan melahirkan suatu persoalan.
Mengapa kita masih melangsungkan kehidupan yang nyata bercanggah dengan naluri kita sebagai manusia? Mengapa manusia di sekeliling kita masih lagi melangsungkan kehidupan mereka tanpa keluhan yang ketara?
Filem ini merupakan hasil kerjasama antara Projek Dialog dan juga Rhu Graha.
Ia menceritakan tentang Ehsan, seorang warga kota yang sudah serik dengan kehidupan kota. Beliau bertemu dengan Dendi, seorang Temiar dan membuat keputusan untuk melawatnya di kawasan pedalaman hutan.
Di situ beliau mulai merenung kembali keberadaan dirinya di kota dan di tempat tinggal Dendi, dan bagaimana perbandingannya berjaya memberikan sudut pandang yang baru terhadap kehidupan beliau.
Apakah tidak ada langsung intipati budaya orang asli yang boleh diambil dan dipelajari untuk kita semua?
Orang asli yang melangsungkan kehidupan berdasarkan agama animisme dapat juga dilihat sebagai agama yang memberi keutamaan kepada alam semula jadi dunia ini.
Mereka tidak sesekali merasakan bahawa alam adalah sumber yang seharusnya diguna pakai untuk kepentingan manusia sesuka hati.
Sebaliknya mereka dengan penuh hormat merasakan kehidupan kita secara biologikal turut juga dipengaruhi oleh keberlangsungan kehidupan alam di sekeliling kita.
Melalui filem ini kita ditawarkan dengan sudut pandang yang berlainan. Ia mempersoalkan keutamaan kita terhadap dunia moden yang tidak lagi mampu memberikan ketenangan dalam kegelisahan kehidupan di kota.
Gambaran Keseluruhan
Secara amnya, kedua-dua filem ini memberikan keutamaan kepada dua perkara.
Pertama, ia mempersoalkan ruang kebebasan kita sebagai rakyat biasa untuk menyatakan pendapat tanpa dibungkam oleh pihak berkuasa.
Ia juga mempersoalkan kecaman zalim oleh para pengguna media sosial yang secara jelasnya begitu berani menyatakan sifat binatang yang mungkin pada bila-bila masa sahaja mampu dilepaskan begitu sahaja.
Ini adalah kondisi psikologikal yang masih belum diterokai dengan jelas, dan punca-puncanya juga masih belum dicari jawapannya.
Secara tidak langsung ia membentuk haluan kepada kita semua untuk terus memikirkan nilai-nilai yang sebenarnya mendominasi wacana negara kita.
Adakah kita diselubungi ketakutan yang melampau atau kekuatan yang nyata untuk menjangkaui keadaan kemunduran negara yang membangun?
Kedua, ia mempersoalkan citra kemodenan yang telah dimulakan oleh arus globalisasi dunia Barat.
Adakah kesinambungan zaman industri benar-benar menghasilkan keadaan yang bagus? Atau adakah ia benar-benar tempang, hanya memberi keutamaan kepada kebolehan dan pengumpulan nilai material semata-mata?
Memang benar persoalan-persoalan seperti ini boleh sahaja dikatakan sebagai suatu klise jika hanya diselitkan dengan retorik tanpa apa-apa bimbingan.
Tetapi melalui penggunaan medium popular, yang turut memaparkan aspek realiti sosial yang nyata, kita dapat mewujudkan rasa empati yang jelas.
Ini bukti bagaimana impak visual berjaya menyampaikan suatu intipati yang menjangkaui batas syarahan, yang selalu sahaja tidak dapat menembusi benak hati-hati manusia.
Dengan ini Projek Dialog mengharapkan bahawa dialog tidak hanya berlaku di ruang fizikal, perbualan antara beberapa sosok individu, tetapi juga melalui karya-karya filem yang mempamerkan isu-isu penting yang perlu difikirkan oleh kita semua.
Dikarang oleh Johan Zolhaidi
Menumbangkan Mitos Islam Konservatif
Bahtera PAS – Tidak Lagi Relevan?
Jika Haron Din, Hadi Awang, Tantawi, Mahfuz Mohamad, Mokhtar Senik, Nik Abduh, Azli Musa dll yang seangkatan percayakan kekuatan mereka, pastilah mereka tidak membimbangkan ‘anai-anai’ yang mahu menyeberang ke bahtera yang lain.
Mereka sebenarnya lebih patut risaukan anai-anai yang munafik ini sekiranya masih berada di dalam bahtera mereka. Habis semua kayu akan ditokak anai-anai ini. Usaha pembersihan golongan konservatif terhadap anasir progresif sewajarnya dilihat melicinkan lagi barisan kepimpinan mereka.
Jika benar mereka kuat, mereka tidak perlu membuat cerita mimpi Nabi/Saidina Umar untuk mengabsahkan kedudukan tanpa sanggahan. Apabila dibuat pusingan U-Turn, mereka dilihat sangat lemah, tidak bermaruah, tidak reti buat kerja, dan hanya reti salah-menyalahkan.
Mungkinkah kita memerlukan 100 hari lagi untuk melihat apakah hasilnya keputusan pemilihan Muktamar PAS baru-baru ini ?
Sebenarnya, PAS tidak perlu lagi menang untuk melaksanakan Islam di Malaysia. Kewujudan PAS sebenarnya semakin tidak relevan dalam perkembangan politik di Malaysia.
Dalam bahasa yang lain, apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ?
Lumba-lumba Agama Politik
UMNO, memanglah sebuah parti sekular di Malaysia, yang mengadunkan nilai nasionalisme yang pragmatik, dengan unsur agama Islam.
Dalam erti kata lain, sungguhpun UMNO sekular, UMNO juga berusaha sedaya mereka untuk melaksanakan Islam yang mereka fahami (versi rasmi / kepercayaan UMNO).
Kita tidak memerlukan PAS untuk melaksanakan Islam pun. Masjid-masjid, surau-surau, kuliah agama, sekolah, madrasah, kolej, universiti, bahkan bank juga turut diislamkan oleh rejim UMNO ini. Persaingan Islam versi PAS vs UMNO, hanya menguntungkan UMNO.
Persoalan penting yang perlu dijawab adalah; Apa lagi yang tidak Islamnya di Malaysia ?
Tetapi perlumbaan antara kekuasaan dan pengaruh, adalah dua hal yang berbeza.
PAS sebagai gerakan Islam politikal, nampaknya lebih berpengaruh kepada massa yang bermazhab Islam politikal. Walaupun asyik menang-kalah silih berganti, dan akhirnya PAS hanya mampu mendarat dan bertahan di negeri Kelantan, pengaruh Islam versi PAS sukar dinafikan berbanding Islam versi UMNO.
Wajah politik Islam PAS yang nampak lebih reaksioner (selalu dibaca radikal) kelihatan lebih garang, lebih ketat, lebih rigid, lebih keras, dan dilihat adalah suara Tuhan yang sebenarnya (kerana mahu menegakkan hukum Tuhan, yang Tuhan menurut pembacaan mereka, adalah dalam wajah menghukum).
UMNO telah berpuluh-puluh tahun diejek sebagai sekular, meski begitu pelaksanaan Islam versi UMNO tak kurang kalah berbanding PAS, jika tak mahu dikatakan lebih baik dari PAS.
Tidak ada kemajuan progresif yang dicapai oleh umat Melayu Islam zaman PAS memerintah di Terengganu, Kedah, bahkan Kelantan. PAS tidak boleh mendabik dada bahawa mereka lebih bagus dari segi perancangan ekonomi berbanding UMNO.
Adalah memalukan sama sekali jika PAS yang seringkali mengatakan dasar/rujukan mereka adalah Quran & Sunnah (perilaku – contoh Nabi), tetapi sering menggunakan alasan Kerajaan Pusat merompak royalti untuk menjustifikasi kegagalan membangunkan ekonomi rakyatnya.
Sedangkan bagaimana Nabi SAW sendiri membangunkan ekonomi masyarakat Madinah tanpa menggunakan alasan hegemoni Quraisy Mekah?
Sekonyong-konyongnya, datanglah ISIS, menghancurkan mitos Negara Islam, sebuah mitos yang dipegang oleh hampir keseluruhan pejuang-pejuang Islam seluruh dunia.
Semuanya menjadi malu dengan imej Negara Islam versi ISIS dan mula berjarak-renggang dengan konsep Negara Islam.
Model AKP (Turki) dan Rashid Ghannouchi (Tunisia) yang ber‘teman tapi mesra’ dengan sekular mula dipertimbangkan.
Apa Konsep Kenegaraan PAS, sebenarnya?
Perlu disebutkan di sini, PAS lebih awal perlahan-lahan mencairkan slogan Negara Islam kepada Negara Berkebajikan (welfare state) sebelum kemunculan ISIS.
Anjakan paradigma ini sedikit membingungkan petugas-petugas PAS, yang di dalam usrah/tamrin (program tetap pejuang Islam aliran PAS) beriman akan penubuhan sebuah Negara orang-orang Islam.
Dalam mitos Negara Islam ini, mereka sering dikhutbahkan bahawa ada beza antara ‘Negara Islam’ dan ‘Negara umat Islam’. Akan tetapi bila diminta tunjuk sebuah Negara Islam pun, pasti mereka akan garu kepala.
Atau jika diminta tunjuk, model klasik Negara Islam mana yang mereka mahu rujuk, sama ada Dinasti Uthmaniyah, Dinasti Abbasiyah, Dinasti Umaiyah, Khulafa’ Rasyidin atau Minhaj Nubuwwah (zaman Nabi menjadi pemerintah), mereka pasti akan terkebil-kebil.
Ketika zaman dinasti, raja berkuasa mutlak, kita pun tidak jelas apakah dasar perpolitikan PAS yang sebenarnya:
1) Raja Berpelembagaan, 2) Raja Mutlak atau 3) Republik?
Yang pastinya setakat saat ini, PAS sentiasa apologetik (tidak mempunyai “blueprint” rancangan) dengan apa sahaja sistem walaupun selalu melaungkan di mana-mana, bahawa mereka antara gerakan Islam yang terawal melibatkan diri dalam pilihanraya/demokrasi (itupun mereka masih berselisih tentang demokrasi, sebagai alat atau matlamat).
Hanya Hudud senjata PAS
Maka hanya Hudud yang tinggal, yang menjadi garis pembeza antara Islam versi PAS dan Islam versi UMNO. Jika tidak ada Hudud, apakah lagi yang tinggal kepada PAS ?
Jika mereka mahu bercakap tentang ekonomi, parti-parti lain di dalam PR atau non-PR seperti PSM juga turut bercakap. Korupsi, nepotism, kronism, semuanya telah disurahkan oleh parti-parti sekular lain.
Kita tidak memerlukan PAS untuk berkisah tentang penyelewengan. Dr. Manuty di dalam PKR sendiri boleh memetik mana-mana ayat suci di dalam Quran, tanpa perlukan Majlis Ulama’ PAS.
Dasar-dasar di Malaysia yang kebelakangan ini semakin menuju ke arah Islam ala totalitarian, agak membimbangkan. Satu demi satu negeri di Semenanjung cuba menerapkan Islam ala kekuasaan mereka (sekali lagi, tanpa perlukan PAS pun, kerajaan negeri Terengganu boleh tudungkan semua perempuan).
Ruang-ruang awam kian dicerobohi konon atas nama Tuhan, dan pelaksanaan sebegini sangat kacang sama sekali (apatah lagi, jika nak buat hukuman kerat tangan terhadap pencuri-pencuri yang miskin, apa yang susahnya?) tanpa perlukan PAS menjadi kerajaan pun.
Kerana pemahaman Islam yang sangat sempit, dangkal, yang hanya memerhatikan dosa-dosa orang kecil, sebaliknya mereka tidak mempunyai pemikiran apa pun tentang pembangunan Negara.
Pada kesudahannya, momentum yang memotivasi mereka untuk berjuang perlahan memudar, menyebabkan bergabung dengan kerajaan Pusat yang mempunyai pemahaman Islam Konservatif seperti mereka adalah satu-satunya pilihan yang tunggal.
Tanggapan Nik Aziz terhadap Non-Muslim
Toleransi di Malaysia
Kita meletakkan perbedaan ideologi dan krisis politik ke tepi sekejap.
Pada bulan Ramadhan ini, pasti sahaja berlaku insiden ketidaktoleransian seperti tahun-tahun lepas.
Saya masih ingat insiden paling teruk, murid-murid sekolah yang bukan beragama Islam diarahkan makan di tandas yang dijadikan “kantin sementara” (laporan kemudiannya timbul bahawa ia sebenarnya bilik persalinan yang mempunyai bilik mandi, bersebelahan tandas).
Entah ke mana perginya sikap terbuka dan berlapang dada masyarakat ini.
Pada masa yang sama, wujud juga sesetengah tokoh, Muslim dan non-Muslim, yang mengamalkan pendekatan hidup bersama secara harmoni. Mereka berdakwah dengan menunjukkan teladan yang mulia.
Sesungguhnya pada bulan puasa yang mengajak umatnya untuk bertaqwa, eloklah kita mengambil pengajaran daripada salah seorang tokoh tersebut, Tok Guru Nik Abdul Aziz.
Beliau sentiasa mengambil peluang bukan untuk mencaci, tetapi untuk berdakwah. Bukan memburuk-burukkan orang lain atau menaruh prasangka buruk, tetapi memperkenalkan mesej Islam kepada yang belum mendapat hidayah.
Baru-baru ini saya pulang ke tanah air selepas tamat pengajian di luar negara. Saya sempat menjenguk kedai MPH di KLIA 2. Terdapat senaskah buku mengenai pemikiran Tok Guru Nik Aziz, maka saya mengambil kesempatan untuk membeli dan menelaah buku tersebut. Saya menjadikan buku itu sebagai rujukan untuk artikel ini.
Nukilan Tok Guru Nik Aziz: Persaudaraan Manusia
Disebabkan saya tidak layak dan tidak berniat untuk mentafsir ayat-ayat TGNA, saya akan membiarkan kata-kata Tok Guru “bercakap dengan sendiri”.
Berikut merupakan tanggapan Tok Guru Nik Aziz terhadap hubungan antara Muslim dan non-Muslim:
“Islam mengiktiraf prinsip persamaan dan kesatuan keturunan yang datang dari Adam dan Hawa. Islam datang bagi membebaskan manusia dari segala fahaman kebangsaan yang sempit. Manusia perlu keluar dari petak-petak buatan berasaskan bangsa, bahasa, dan suku kaum.”
“Kita semua Melayu, Cina, India, orang Amerika, orang putih, orang Asli, dan lain-lain adalah adik-beradik. Kita datang dari keturunan yang satu, iaitu ayah kita bernama Adam dan ibu kita bernama Hawa. Soal berapa ribu pupu kita ini, biarlah.
Sekiranya tuan-tuan kata nenek moyang kita bukan Adam dan Hawa, cuba beritahu saya. Sekiranya tidak jumpa jawapan, terima dahulu kenyataan ini.”
“Selama ini kita tidak berfikir menyebarkan Islam kepada bukan Islam. Selama ini tok-tok guru pondok kita hanya menyebarkan Islam kepada sesama orang Islam.
Meskipun PAS menolak pendekatan perpaduan dengan UMNO, tetapi bukan bermakna PAS mengenepikan tanggungjawab menyebar Islam.
Sebenarnya, perpaduaan melalui Pakatan Rakyat membuka ruang bagi PAS menyampaikan kebaikan Islam kepada pemimpin dan ahli parti Pakatan Rakyat yang bukan Islam.”
“Mengapa isu membenarkan bukan Islam masuk ke rumah ibadah agama Islam diperbesar-besarkan, sedangkan orang bukan Islam yang membina dan membuat mimbar masjid tidak dipersoalkan?”
“Tidak salah orang bukan Islam termasuk wanita masuk dalam masjid sama ada untuk berucap atau apa sahaja asalkan berpakaian sopan bagi bukan Islam dan menutup aurat bagi orang Islam.”
Politik Rasis Menentang Ajaran Islam
“Saya sendiri sentiasa konsisten bahawa budaya politik rasis sewajarnya layak dibuang terus dari kamus masyarakat Malaysia. Inilah budaya politik terkebelakang yang tidak membawa sesiapa ke mana-mana melainkan hanya menyemarakkan api permusuhan sesama sendiri…
Darah Melayu dan darah Cina serta bangsa-bangsa yang lain sama-sama berwarna merah dan tidak bersepuh emas warna darahnya semata-mata hanya kerana berbangsa Melayu.
Justeru, Islam mengajar manusia agar tidak berbangga dengan darah keturunan, sebaliknya hendaklah manusia berebut-rebut menjadi insan yang bertaqwa. Seorang yang bertaqwa darjatnya tinggi di sisi Allah SWT walau apa jua bangsa sekalipun.”
“Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, oleh itu bila tiba perkara-perkara macam ini (orang bukan Islam membaca al-Quran atau masuk ke dalam masjid), terus timbul masalah.
Padahal kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Quraisy yang kafir datang berjumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid.
Cuma apa yang dilihat benda itu sebagai pelik pada zaman ini menunjukkan umat Islam kita terlalu jahil dengan agama.”
Dr MAZA: Masjid & Non-Muslim
Pandangan Mufti Perlis, Dr. Asri bin Zainal Abidin, yang menyokong kenyataan TGNA:
“Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid supaya dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; Muslim dan bukan Muslim.
Di negara seperti Malaysia berbilang agama dan budaya, kaum Muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam.
Sekiranya masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, biarkah Islam akan dapat difahami oleh mereka.
Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan-akan tiada rahmah antara Muslim dan non-Muslim, ditambah lagi dengan ruang yang ditutup untuk mereka mendengar ajaran Islam.
Masjid digambarkan sebagai musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama, ada pihak bukan Islam menjemput Muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan pelbagai bantuan.
Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurangnya noktah yang mengurangkan sangkaan salah kepada agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang mahu kita bawa dalam negara ini?”
Impian TGNA Bersama Bukan Islam
Surat TGNA kepada Nga Kor Ming:
“Saya juga terharu mendengar keluhan YB berbunyi, ‘Saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.’
Saya boleh memahami dan menyelami perasaan kecewa yang sedang melanda hati YB.
Mudah-mudahan dengan sikap ‘tidak mesra Umno’ dan pemimpin-pemimpin Umno berkaitan kecenderungan masyarakat Tionghua dan India yang sihat ini, ia meningkatkan lagi kesedaran Non-Islam untuk lebih mengkaji, mendalami, dan mengadakan forum serta wacana berkaitan Islam dengan cara yang lebih meluas.”
“Saya mempunyai sebuah impian. Dalam tempoh tidak berapa lama lagi mudah-mudahan muncul lebih ramai orang dari kalangan masyarakat Tionghua, India, Siam, Bajau, dan Kadazan yang tampil menjadi Qari, Ustaz, Khatib dan Imam di seluruh negara.
Kalau Gengkhiz Khan yang mengetuai tentera Moghul menyerang dan memusnahkan hampir seluruh Kerajaan dan tamadun Islam di Kota Baghdad, tetapi sempat ditebus semula keagungan Islam melalui cucunya bernama Aurangzeb yang menegakkan empayar Islam di India kemudiannya.
Lalu saya mempunyai keyakinan Islam kembali gemilang di negara kita melalui kaedah dan insiden yang hampir sama. Mudah-mudahan YB lah orangnya yang bakal meletakkan batu asas pertama ke arah menyusun batu-bata yang kukuh ini untuk terus bertumpang tindih.
Mari kita membina asas ini dengan mengatur langkah-langkah permulaan melalui seminar, muzakarah, muqabalah, dialog, dan wacana. Tajuk-tajuk seperti ‘Di mana tidak kenanya Islam’ atau ‘Apa mesej al-Quran kepada orang bukan Islam’ boleh difikirkan.”
(Semua petikan di atas diambil dari buku “Pemikiran Tuan Guru: Nik Abdul Aziz Nik Mat Dalam Kenangan” dan prakata TGNA dalam buku “Malaysia Pasca-Rasisme”)
]]>Surat Terbuka Kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS): Sebuah Analisis Muhasabah Pasca PRU13
[Ini adalah ulangsiaran makalah yang telah diterbitkan pada 7 Mei 2013]
Sosialisme & Islam Pernah dan Terus Bekerjasama
[Ini adalah paparan ulangan dari kenyataan yang dikeluarkan pada tarikh 22 April 2013] Kami ingin menegaskan bahawa ajaran-ajaran Islam tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip asas sosialisme. Islam hadir untuk merapikan akhlak dan membetulkan dacing kelas supaya kemewahan tidak berat sebelah bertompok kepada satu golongan semata-mata. Sementara sosialisme mengkehadapankan keprihatinan untuk menyelamatkan anggota masyarakat dari kemelaratan dan kemiskinan, membasmi penindasan sosial, dan membetulkan ketidakadilan berakibat dari imbangan kekayaan yang tidak merata. Al Quran menyatakan kekayaan yang tidak diurus dengan akhlak dan etika adalah salah satu punca penindasan dan keangkuhan. Allah berfirman dalam surah al-Qashash di ayat 76, terjemahannya: “Sesungguhnya Qaarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) tatkala kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu).” Adalah jelas penentang Islam terdiri daripada golongan kaya yang korup dan mengamalkan rasuah, dan mengelak dari keseimbangan kelas. Allah berfirman lagi dalam ayat 34 surah Saba’, maksudnya; “Dan Kami tidak mengutus kepada sesebuah negeri: Seseorang Rasul pemberi amaran melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata: Sesungguhnya kami tetap mengingkari apa yang kamu diutuskan membawanya”. Ini menunjukkan bahawa konfrontasi antara para nabi dengan kumpulan lawannya adalah bukan sahaja konfrontasi antara iman dengan kekufuran, tetapi juga konfrontasi antara dua kelas sosial iaitu kelas tertindas dan kelas penindas. Dalam hal ini al Quran merujuk kaum penindas sebagai mustakbirun dan kaum tertindas sebagai mustadafin. Perjuangan antara mustakbirun dan mustadafin ini akan terus berlangsung dan kaum mustadafin akan menjadi juara lantas mewarisi muka bumi ini. Allah berfirman dalam surah al Qasas ayat 5, terjemahannya: “Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya)”. Hakikat bahawa Islam memihak kepada kaum kecil adalah jelas. Dalam hal ini kami ingin merujuk kepada kata-kata Dr Burhanuddin Al-Helmy, antara tokoh terawal Parti Islam Se-Malaysia tentang keintiman sosialisme dan Islam: “Kerana dasar ideologi politik itu daripada Al-Quran dan Sunnah, maka cita-cita negara Islam itu boleh dikatakan cita-cita ‘negara theocracy’; sebagai membandingkan negara theocracy Islam itu nyata bukan cara ‘theocracy’ yang difahamkan Barat. Jika teori sosialisme dan komunisme primitif itu menghendaki collective maka masyarakat primitif itu juga adalah ‘theocracy’; hal ini terbukti dalam sejarah. Maka Islam ada jua theocracy collective, atau theocracy sosialisme.” Profesor Tariq Ramadan, cucu kepada pengasas Ikhwanul Muslimin, as Syahid Hassan al Banna juga kerap menegaskan bahawa Islam sangat dekat dengan sosialisme, sehingga beliau menyebut; “As a Muslim, I am close to socialism.” Jika Islam memilih untuk melawan mustakbirun dalam kalangan korup, maka demikianlah juga yang diinginkan oleh sosialisme. Hal ini misalnya terlihat pada kata-kata Pengerusi parti PSM, Dr. Mohd Nasir Hashim bahawa sosialisme berhasrat untuk menentang ekonomi mencerut dan bersiap untuk menyelamatkan anggota masyarakat dari bencana ketamakan kekayaan seandainya sistem lapuk dan jahat ini runtuh; Sesungguhnya persamaan yang menonjol antara Islam dan sosialisme sangat banyak. Hakikat bahawa kedua-duanya Islam dan sosialis berhasrat untuk membendung cengkaman kaum mustakbirun adalah satu kenyataan yang memadai untuk berdialog dan bekerjasama. Di peringkat global, Ikhwanul Muslimin sentiasa bekerjasama dengan puak sosialis dalam satu pakatan yang dinamai Cairo Anti-war Conference sejak 2002. Solidariti antara kaum sosialis dan Islam sudah berlangsung, khususnya dalam melawan pelbagai bentuk hegemoni. Kumpulan sosialis adalah antara kumpulan yang aktif melakukan kerja-kerja kebajikan di Palestin. Pemimpin sosialis seperti Hugo Chavez dari Venezuela adalah antara figur yang tidak pernah berbelah bahagi mendokongi perjuangan rakyat Palestina seiring dengan kaum muslim. Hamas misalnya menyifatkan Chavez sebagai pejuang Palestin. Dengan mengambil kira kerangka tahaluf siyasi antara dua jemaah Islam yang berpengaruh di rantau Asia Barat tersebut, kami percaya dengan sesungguhnya bahawa semua rakyat Malaysia yang berperikemanusiaan boleh bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia dalam melawan tirani, rasuah, ketidakadilan dan pencabulan hak asasi manusia di negara ini. Sesungguhnya adalah merupakan satu kerugian jika rasa curiga, tidak percaya dan sangkaan semata-mata antara seorang dua pemimpin Parti Islam Se-Malaysia yang kurang memahami inti sebenar sosialisme dijadikan alasan untuk berselisih dengan Parti Sosialis Malaysia. Satu-satunya pihak yang akan menang dan mendapat keuntungan dalam pertembungan ini adalah kaum mustakbirun korup yang berlonggok dalam sistem politik negara ini. Dikeluarkan oleh: 1. Ahmad Fuad Rahmat 2. Anas Abdul Jalil 3. Anas Alam Faizli 4. Azrul Azwar Ahmad Tajudin 5. Fadiah Nadwa Fikri 6. Faisal Tehrani 7. Hamidah Merican 8. Hussain Sajad 9. Ineza Roussille 10. Lingswaran Singh 11. Marwan Bukhari 12. Masjaliza Hamzah 13. Norhayati Kaprawi 14. Ratna Osman 15. Rizal Hamdan 16. Rizqi Mukhriz 17. Ronasina 18. Teo Ken Lee 19. Zul Fikri Zamir
]]>Antara Hudud dan Kemanusiaan
Gambar: themalaysiantimes.com.my[/caption]
Hudud – Ya atau tidak, mengapa?
Pada 18 Mac yang lalu, kerajaan Kelantan telah meluluskan penggubalan RUU Kanun Jenayah Syariah Islam. Dengan erti kata lain, kerajaan Kelantan pimpinan Datuk Ahmad Yaakob telah mendapat mandat untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
Isu pelaksanaan hudud bukanlah wacana baharu. Hudud telah menjadi subjek perbahasan di kalangan rakyat Malaysia. Ada yang menyokong hudud kerana berpandangan ia adalah hukum Allah yang wajar ditegakkan oleh umat Islam.
Ada pula yang menyanggah kerana hudud masih belum sesuai dilaksanakan kerana isu-isu penting seperti kemiskinan, korupsi dan penindasan masih berlaku.
Tak kurang juga yang berpendapat bahawa pelaksanaan hudud tidak akan menyelesaikan masalah jenayah kerana akhirnya yang dihukum adalah orang miskin yang tidak berkuasa.
Penulis tidak berminat untuk membahaskan tentang hudud. Sudah terlalu banyak perbahasan tentang hudud; sama ada dibicarakan dalam konteks akademik mahupun bukan akademik.
Namun, suatu isu yang wajar direnungi oleh semua adalah – apakah itu agama bagi diri kita?
[caption id="attachment_4593" align="aligncenter" width="496"]
Paus, Rabbi dan Imam. Gmabar: Saltandlighttv.org[/caption]
Apa Makna Agama – Undang-undang atau Kasih Sayang?
Adakah agama itu belas kasihan dan sifat kasih sayang?
Atau, agama itu laksana undang-undang yang wajar penganutnya patuhi?
Atau mungkin sahaja kedua-duanya betul mahupun salah. Oleh demikian, kita wajar untuk menyingkap semula apa yang kita maksudkan dengan beragama.
Selain daripada isu Hudud, kita dikejutkan dengan pemergian Pak Mie – seorang aktivis kemanusiaan yang mengabdikan seluruh jiwa dan raganya untuk menyelamatkan anjing-anjing terbiar.
Kehilangan Pak Mie merupakan kesedihan buat kita semua. Pak Mie telah menyedarkan kita bahawa jati sebenar umat beragama adalah untuk berbakti demi kasih sayang dan belas kasihan.
Jasa-jasa Pak Mie wajar dikenang oleh setiap umat Islam kerana beliau telah mengajarkan kita erti kasih sayang terhadap binatang-binatang terbiar.
Hero kemanusiaan seperti Pak Mie mungkin kisah kecil berbanding isu-isu besar yang lain. Tetapi bagi penulis, sikap Pak Mie mewajarkan kita semua untuk merenung kembali peranan agama di dalam masyarakat.
[caption id="attachment_4594" align="aligncenter" width="342"]
Gambar: texansforpeace.org[/caption]
Agama untuk agama atau Agama untuk manusia?
Kita harus fahami bahawa agama memainkan peranan penting terhadap pemikiran masyarakat.
Agama juga boleh menyebabkan kita menjadi manusia yang bermoral dan beretika. Penulis percaya bahawa ramai daripada kita memilih untuk melakukan kebaikan, jika bukan kerana diri sendiri – ia disebabkan oleh ajaran agama.
Bagi seorang Muslim, kita dibesarkan dengan konsep pahala dan dosa, syurga dan neraka. Kita diajar sejak kecil supaya melakukan kebaikan kerana kita akan memperoleh pahala dan syurga. Jika kita berbuat jahat, kita akan menerima dosa dan hukuman neraka.
Jadi, wacana ini tertumpu kepada renungan kembali terhadap agama.
Soalannya apakah agama ini diturunkan kerana agama atau kerana manusia?
Jika agama ini untuk manusia, bukankah mesej utama setiap agama yang wujud di muka bumi ini adalah untuk berpesan-pesan ke arah kebaikan.
Mungkin kita perlu merenung kembali apakah kebaikan-kebaikan di dunia datang kerana a) belas ihsan dan kasih sayang atau b) hukuman dan perintah agama.
Sejarah kedatangan Islam turut mengajarkan kita bagaimana Islam begitu menekankan keadilan dan kemanusiaan.
Menurut sejarawan Ayesha Jalal, konsep Jihad yang diutarakan dalam Al-Quran menyeru kaum beriman supaya menegakkan keadilan dan kemanusiaan.
Khalifah Umar Abdul Aziz pernah menangguhkan hukuman hudud kerana kemiskinan dan keadilan masih belum ditegakkan. Sikap yang ditunjukkan oleh Khalifah Umar menunjukkan bagaimana Islam begitu menekankan keadilan dan rasa ihsan sesama manusia.
Jadi, soalnya di antara Hudud dan kemanusiaan; mana lebih utama?
Jawapannya terpulang kepada pembaca kerana Tuhan telah mengurniakan akal yang cerdas supaya kita berfikir dengan waras!
Hudud di Kelantan: Kesangsian berasas
Perbincangan fiqh dalam konteks
Dalam isu undang-undang hudud Kelantan, bukan soal polimik undang-undang dan politik sahaja yang dibincangkan, tetapi terdapat juga polemik fiqh yang masih tidak mendapat jawapan tuntas.
Dalam makalah ini, saya tidak menyatakan semua polemik fiqh tersebut, tetapi hanya sudut pandang yang mahu dibawa ke meja perbincangan ini.
Sedia maklum bahawa dalam dunia moden ini, bukan tidak ada negara yang telah melaksanakan hudud.
Ini dapat dilihat di negara sudan dan Pakistan. Namun, kedua-dua negara ini telah membuktikan kegagalan dalam perlaksanaan hukuman tersebut. Contoh dalam kes Pakistan, definisi zina agak longgar sehinggakan mangsa rogol di Pakistan tidak terbela.
Ini kerana, dalam kes Pakistan, mangsa rogol perlu mendatangkan saksi empat orang dengan alasan bahawa ia dibawah kesalahan zina. Bukan sekadar itu, malahan kegagalan mangsa rogol mendatangkan saksi empat orang, menjadikan mangsa rogol pula dikenakan hukuman atas kesalahan Qazaf.
Dalam kes Sudan pula, apabila definisi murtad amat longgar, menjadikan pihak kerajaan seperti punyai kuasa untuk menuduh orang yang tidak sehaluan sebagai murtad: pengkritik keputusan kerajaan dituduh murtad dengan alasan mengkritik undang-undang islam (kononnya), lalu dia dihukum dengan hukuman bunuh. Perkara ini telah menimpa seorang ulama Islam di Sudan bernama Syaikh Mahmood Taha.
Kebimbangan ini wujud dalam Enakmen Hudud Kelantan. Makanya tidak hairan bahawa kebimbangan fitnah bakal terjadi ekoran terlaksananya undang-undang tersebut berlaku.
Di sisi lain pula seperti hukum bunuh dalam kesalahan murtad dan penzina yang telah merasai persetubuhan secara sah.
Khilaf
Di kalangan ulama Islam sendiri, terdapat kekhilafan dalam menyatakan hukuman bunuh terhadap kesalahan murtad.
Dr Taha Jabir menulis sebuah buku bertajuk “La Ikrah fi al-Din” telah merungkai perkara ini secara jitu.
Disamping itu pula, Syaikh Mahmood Syaltut, seorang ulama besar dari Universiti al-Azhar pernah mempersoalkan tentang status hukuman bunuh terhadap kesalahan murtad, kerana ia tidak wujud dalam al-Quran, sedangkan hukuman mencuri dan qazaf yang dianggap kurang berat pula ada dalam al-Quran.
Dalam hujah mereka, al-Quran tidak boleh diatasi oleh hadis, lebih-lebih lagi jika wujud percanggahan dengan umum al-Quran.
Pada mereka, umum al-Quran telah menyatakan hukuman bunuh tidak dibenarkan kecuali wujud nas al-Quran sendiri yang menyatakan keizinan membunuh tersebut.
Alasan mereka adalah merujuk kepada ayat 151 dari surah al-An’am dan ayat 33 dari surah al-Isra’ yang menyatakan larangan membunuh manusia. Adapun keizinan bunuh pula, yang wujud dalam al-Quran hanya hukuman Qisas (melayu : kesalahan balasan, seperti orang membunuh, maka dibunuh balas; orang meluka, maka diluka balas), hukuman muharabah (melayu : pemberontakan).
Mereka berhujah lagi, kewujudan hadis-hadis yang menyebut tentang hukuman bunuh terhadap orang murtad, bukan melibatkan kesalahan hudud, tetapi lebih kepada kesalahan yang berwajah politik, seperti tindakan Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang melakukan serangan terhadap orang murtad yang tidak membayar zakat kerana di kala itu, zakat merupakan sumber utama negara.
Hudud menurut siapa?
Ini dikukuhkan lagi bahawa di zaman Nabi Muhammad saw, agak ramai juga yang murtad, tetapi tidak pernah disuruh bunuh oleh Nabi Muhammad saw ekoran murtadnya mereka itu.
Kejadian ini berlaku seperti sejarah Isra’ dan mikraj yang cukup masyhur di kalangan umat islam; murtadnya Ubadillah bin Jahsy yang asalnya beragama hanif yang memeluk Islam, lalu memeluk agama kristian di Habsyah; murtadnya seorang penulis wahyu berasal dari Bani Najjar kepada agama Kristian; Murtadnya Abdullah bin Sa’ad bin Abi Sarah yang merupakan adik beradik susuan Saidina Osman bin Affan ekoran tindakannya melakukan penyelewengan pada beberapa teks ayat al-Quran sehinggakan Allah SWT menurunkan ayat 93 dari surah al-An’am.
Disamping itu pula, tentang hukuman rejam bagi penzina yang pernah merasai persetubuhan secara sah yang wujud dalam undang-undang hudud Kelantan, sedangkan hukuman tersebut terdapat pertikaian, apakah ia wujud dalam islam atau tidak?
Al-Imam Abu Zuhrah menyatakan bahawa hukuman tersebut tidak wujud dalam Islam. Pandangan itu disokong oleh al-Qaradawi dan Dr Mustafa al-Zarqa’.
Alasan beliau, bahawa hukuman itu tidak wujud dalam al-Quran, sedangkan dalam hadis, ia merujuk kepada hukuman di awal islam yang dimansukhkan dengan ayat sebat seratus sebatan kepada penzina. Pada beliau, hukuman rejam adalah syariat yahudi yang tidak wajar dianggap sebagai kesalahan hudud.
Hudud dan ekonomi
Zaman khalifah islam ke-2, di bawah pentadbiran Saidina Umar, beliau menangguhkan hukuman potong tangan kepada pencuri. Tindakan itu kerana melihat status ekonomi negara yang tidak mengizinkan perlaksanaan tersebut. Ia dikenali sebagai ‘Am al-Maja’ah (Tahun kebuluran).
Al-Qaradawi pernah menyatakan, “sebelum melaksanakan hudud, beri makan terlebih dahulu kepada orang-orang lapar, sediakan pekerjaan untuk penganggur, berikan pendidikan kepada orang jahil; semestinya melaksanakan perkara ini sebelum melaksanakan hudud”.
Dari sudut fiqh, tindakan Kelantan mahu melaksanakan hudud, sewajarnya dicukupkan syarat-syarat kelayakan untuk perlaksanaan. Bukan sekadar syarat dari sudut ekonomi, tetapi dari sudut kredibiliti negeri dalam mengurus kewangan negeri juga wajar diwujudkan terlebih dahulu; yang sehingga kini masih gagal.
Kelantan di bawah kepimpinan PAS adalah negeri yang berhasrat mahu melaksanakan hudud yang dilihat berat, tetapi seperti mengabaikan kewajipan yang lebih besar dari hudud, iaitu melaksanakan badan Hisbah (seperti Selcat di Selangor dan Pinang Cat di Pulau Pinang).
Kewajipan melaksanakan Hisbah berbanding hudud ini, umpama kewajipan mendapat kemampuan kewangan dan kesihatan tubuh badan untuk menunaikan kewajipan menunaikan ibadat haji.
Ada pihak menyatakan bahawa hisbah tidak disebut dalam al-Quran, sedangkan hudud itu disebutkan dalam al-Quran (hukuman hudud yang disebut dalam al-Quran, hanya kesalahan mencuri, pemberontakan, zina dan Qazaf. Adapun kesalahan minum arak, termaktub dalam hadis). Dengan itu, menjadikan kewajipan Hudud didahulukan berbanding Hisbah.
Dijawab bahawa al-Quran, tidak pernah dinyatakan larangan memukul ibu bapa, tetapi yang termaktub dalam al-Quran adalah larangan mengatakan “oh” kepada ibu bapa.
Walaupun tidak disebut larangan memukul ibu bapa, tetapi dengan kefahaman larangan mengatakan “oh” terhadap ibu bapa itu sudah difahami secara jelas terhadap larangan memukul ibu bapa. Maka begitulah kewajipan melaksanakan Hisbah sebelum melaksanakan hudud.
Begitujuga, bahawa sebelum Kelantan mahu melaksanakan hudud, sewajibnya Kelantan melaksanakan pengurusan hasil mahsul balak secara Islam terlebih dahulu.
Ini kerana, kepentingan melaksanakan pengurusan hasil mahsul balak mengikut Islam lebih utama berbanding kepentingan perlaksanaan hudud, sepertimana kepentingan solat lebih diutamakan berbanding kepentingan menunaikan ibadat haji.
Hudud di Malaysia: suatu realiti?
Manusia mungkin tidak akan meragui kewajipan hudud, tetapi disebabkan sudah ada perlaksanaannya di sebilangan negara membawa kepada kezaliman (kes Pakistan dan Sudan) menjadikan manusia sangsi dengan hukum itu.
Manusia mungkin tidak meragui hudud, tetapi keraguan itu berlaku pada pihak pelaksana yang tidak punyai kredibiliti ekoran kegagalan melaksanakan perkara yang lebih mudah dari hudud.
Bukan isu hudud mahu dilaksanakan atau tidak, tetapi yang menjadi isu adalah, apakah kepimpinan pemerintahan Kelantan mahu melaksanakan hudud itu benar-benar punyai kredibiliti dan kelayakkan melaksanakannya?
Ekoran kredibiliti dan kelayakkan, makanya bukan isu menolak atau terima hudud, tetapi yang menjadi isu adalah, apakah Kelantan berjaya memberikan fitrah dalam perlaksanaan hudud atau mendatangkan fitnah pada perlaksanaan hukum itu?
Islam yang hebat, kadangkala buruk kerana kegagalan umatnya.
(Sila email editor di projekdialog@yahoo.com untuk bibliografi lengkap)
Ada apa dengan Tuhan?
Tuhan, aku ingin berbicara dengan Engkau dalam suasana yang bebas, aku percaya bahawa Engkau tidak hanya benci pada ucapan-ucapan yang munafik, tetapi juga benci pada fikiran–fikiran yang munafik, iaitu fikiran–fikiran yang tidak berani memikirkan yang timbul dalam alam fikirannya, atau fikiran–fikiran yang pura–pura tidak mahu tahu akan fikirannya sendiri…’ – Ahmad Wahib, 9 Jun 1969
Di Malaysia perbincangan tentang Tuhan tidak mendalam.
Sering sahaja didengari ungkapan ungkapan yang berbunyi: “Tuhan, ku ketuk pintuMu”, atau “sepatuku dicuri tangan Tuhan sendiri, takdir tetap pasti, bahawa Tuhan tak akan memotong tanganNya sendiri.”
Kita terus gegak gempita, meloncat, seolah di Malaysia ini adalah ranah wajib bertuhan dan barangsiapa yang tidak bertuhan, meragukan atau mengkritik Tuhan darah mereka adalah darah seorang bughah (sang pemberontak) dan halal diminum.
Seperti rukun iman dan rukun Islam itu adalah wajib ditaati tanpa soal, diikuti tanpa tanya bagi seorang yang lahir dalam keluarga Melayu dan bersunat, begitu jugalah rukun negara, yang mengatakan tentang kepercayaan kepada Tuhan. Apakah golongan ateis, agnostik atau Muslim-Muslim yang mepersoalkan tentang Tuhan tiada tempat di Malaysia?
Wacana dikongkong institusi
Sedar atau tidak, isu kepercayaan, akidah, iman dan sebagainya – isu-isu pegangan fundamental – telah ditawan oleh mereka–mereka yang memegang kuasa.
Seolah-olah sesiapa sahaja yang menjadi warganegara 1 Malaysia, selain mesti menerima Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri, mesti menerima Tuhan, atau mempercayai Tuhan.
Tetapi hakikatnya polemik dan huru-hara di Malaysia kebelakangan ini bukan berasal dari mereka-mereka yang tidak beragama atau tidak bertuhan. Sebaliknya ia dimainkan oleh kelompok-kelompok pelampau yang mengaku bertuhan.
Kita tidak pasti apakah Tuhan yang mewahyukan kepada mereka untuk menjadi ekstrimis? Belum ada rekod lagi ateis atau agnostik yang memijak kepala lembu atau melempar babi ke dalam masjid.
Sejarah menunjukkan bahawa perbincangan tentang Tuhan sudah berleluasa dalam masyarakat Islam. Contohnya pada suatu masa dulu ia diterajui oleh golongan Asya’irah – Wahhabiyah yang menyoal sama ada Tuhan bertempat atau tak bertempat, bertangan atau tak bertangan, berkaki atau tak berkaki.
Tetapi, apa yang juga nyata dalam sejarah adalah bagaimana polemik ketuhanan mudah dipolitikkan. Jadi jika pemerintah memilih untuk berfahaman mujassimah (menjisimkan Tuhan) maka sesiapa sahaja yang berbeza fahaman ketuhanan dengan mereka akan dibuli, akan ditakut-takutkan.
Apabila naik pemerintah yang berfahaman lain pula maka fahaman-fahaman ketuhanan yang lain pula akan dibuli dan disekat. Hanya fahaman pilihan pemerintah sahaja yang akan dipupuk, disemai, ditabur benih, diberikan subsidi itu subsidi ini, sementara fahaman ketuhanan yang lain boleh dianggap ‘dipaksa untuk mati’, jika kita benar-benar meneliti.
Akan tetapi persoalan yang paling asas jarang ditanya. Wacana-wacana tentang nama Tuhan itu akhirnya berfaedah kepada siapa? Kepada manusia? Atau kepada Tuhan? Jika faedahnya kepada manusia, apakah faedahnya? Kita mahu tahu. Jika faedahnya kepada Tuhan, apakah Tuhan itu mengambil faedah daripada makhluk? Apakah Tuhan itu terlalu lemah sehingga memerlukan makhluk?
Apakah yang diajar di sekolah?
Apakah pemerintah takut akan ilmu-ilmu yang dianggap mencabar akidah, seperti teori evolusi, panteisme, agnostisisme, ateisme dan animisme? Apakah pemerintah takut akan soalan-soalan asas falsafah? Sampai bila empangan ini mampu bertahan?
Ketakutan itu hanya menunjukkan bahawa mereka yang kononya beragama percaya tapi tidak benar-benar jelas apakah yang dia percaya.
Bahkan, ajaran Islam yang diajar, di sekolah mahupun di universiti, sangat main -main dan sangat selective. Kita tidak berani mengajar aliran-aliran intelektual Islam yang lain seperti Syi’ah, Mu’tazilah, Khawarij dan Ahmadiyah.
Kenapa? Bukan kerana kita jelas dengan kebenaran kita secara yang mutlak, tetapi kerana aliran sejarah secara kebetulannya membawa kita ke kelompok yang mendokong ideologi pihak pemenang, berkuasa atau majoriti.
Kita terlalu takut, entah pada siapa, entah gementar kepada siapa. Kita melaung, mengatakan kita benar, tetapi kita takut dicabar. Betapa rapuhnya kita.
Apa peranan jabatan agama?
Jabatan-jabatan yang menguasai agama sepatutnya menguasai ilmu dan kebenaran. Akan tetapi, apa yang kita lihat kebelakangan ini ialah mereka akan menghambat sesiapa yang berani berdebat dengan mereka ke dalam akta itu dan akta ini.
Melucukan. Jabatan – jabatan yang menguasai agama ini, tidak pernah menghasilkan apa- apa buku untuk menghuraikan siapa dia Karl Marx, siapa dia Charles Darwin, Richard Dawkins atau Christopher Hitchens. Mereka tidak pernah berfikir atau menjelaskan tetang teori evolusi, beza ateis dan agnostic, perbezaan panteisme Eropah moden dan wahdatul wujud dan idea-idea lain yang pernah diterajui wacana intelektual dunia.
Tidak ada dan tidak ada. Baikpun mufti-mufti, baik yang intelektual Islam seperti ABIM atau PKPIM, atau golongan professional seperti JIM. Tidak ada.
Islamis pun tidak ada
Jangan haraplah gerakan yang berorientasikan kekuasaan seperti PAS, HT, ISMA dan Pembina nak bincang.
Semua gerakan Islamis ini hanya berbincang bagaimana mahu berkuasa, mencapai kekuasaan, membolot kekuasaan dan berkompromi dengan siapa dan oleh siapa.
Mereka tak sempat nak membelek buku tentang Tuhan atau nak berfikir tentang Tuhan. Ada kemungkinan besar Karen Armstrong itu mereka ingat adik perempuan kepada angkasawan yang naik ke bulan, Neil Armstrong.
Mereka cuma pandai menyewa hujah-hujah Qardhawi, Zakir Naik atau Harun Yahya. Hujah-hujah yang mereka bangunkan sendiri boleh dikatakan tiada, kosong, namun mereka ingin mengatakan bahawa mereka telah berdakwah.
Kita mengharapkan orang-orang Islam di luar negara tidak diganggu, tidak ditindas, bebas mengamalkan kepercayaan Islam mereka. Tetapi bukankah ironi dan munafik apabila di dalam negara kita sendiri sesiapa sahaja yang mahu berbeza kepercayaan dengan kita, mahu berbeza Tuhan dengan kita, atau tidak mahu percaya Tuhan sepertimana kita, ditahan dan dirampas kepercayaannya?
(Rencana ini ditulis selepas penahanan Pak Kassim di Kulim)