Projek Dialog

Isu Rohingya: Jadilah Jalan Penyelesaian

Lagi beberapa minggu, atau mungkin beberapa hari, kita akan lupakan warga Rohingya sepertimana Permatang Pauh dan Rompin sudah dilupakan. Media akan mengabaikan nasib Rohingya apabila berita tidak hangat lagi.

Parti politik dan kerajaan tidak akan membuat lawatan ke pusat pelarian dan menjawab soalan di Parlimen. Dan selepas itu, pengguna media sosial dan kebanyakan daripada kita yang kononnya kisah pasal nasib Rohingya tidak peduli lagi.

Ramai yang menzahirkan perasaan marah, sedih, dan simpati terhadap nasib Rohingya. Tetapi perasaan kita tidak bermakna dan tidak membawa apa-apa perubahan selagi tidak digunakan untuk membuat sesuatu.

Ada yang bermain permainan “siapa salah?” Ya, mungkin salah kerajaan Myammar kerana menindas dan mengusir kaum Rohingya daripada tanah mereka. Mungkin salah kerajaan Malaysia kerana tidak melakukan sesuatu yang lebih dari sekarang untuk menolong mereka. Mungkin salah umat Islam kerana tidak menolong bangsa seagama mereka. Mungkin salah penganut agama Buddha kerana tidak mengecam rejim Burma.

10524664_857205407701191_3653860953507278483_n.jpg

Semua andaian ini mungkin betul, tetapi setiap saat yang kita guna untuk permainan “siapa salah?” mungkin boleh digunakan untuk menolong mereka.
Kita boleh sahaja mengungkit cerita dari zaman silam untuk mengenalpasti siapa yang salah, tetapi berbuat sesuatu biar bertempat. Adakah ini masanya untuk mengutuk atau membantu? Sejauh mana sahaja hasilnya permainan salah-menyalahkan ini?

Kita harus realistik. Sebagai rakyat biasa kita tidak berpengaruh mengubah polisi secara langsung dalam masa terdekat.

Kita tidak boleh memaksa kerajaan Malaysia menerima ribuan pelarian Rohingya dan menubuhkan agensi khas untuk meyelaraskan bantuan dan persinggahan mereka.

Kita bukan Thein Sein atau Aung San Suu Kyi. Kita tidak dapat mempengaruhi dasar kerajaan Myammar. Kita bukan Ban Ki Moon, Kofi Annan atau Barack Obama. Apa yang kita katakan tidak mempunyai kesan terhadap hubungan diplomatik dan tekanan antarabangsa.

Namun, apa yang kita ada adalah sedikit wang dan modal sosial. Ada di antara kita yang berpengaruh dan berkedudukan, gunakanlah ia untuk membantu Rohingya secara berkesan. Orang yang berduit dan berkemampuan, dermakanlah kepada agensi yang sedang gigih berusaha menyalurkan bantuan. Biar sedikit pun. Mungkin RM 10 yang kita beri itu dapat membeli makanan untuk 3-4 orang yang sudah seminggu tidak makan. Kepada yang percaya kepada Tuhan, Tuhan akan balas.

11112918_884788818244432_3751220680790156776_n.png

Alasan yang paling biasa digunakan adalah “Saya tiada duit”. Pertamanya, itu alasan yang menipu diri dan orang lain.
Saya tahu sebab saya selalu menggunakan alasan itu. Namun, saya ada sahaja duit untuk makan di luar dan membeli-belah pada hujung minggu.
Walau semiskin mana pun, kesusahan kita (yang dapat membaca makalah ini) tidak mampu menandangi penderitaan Rohingya.
Bayangkanlah ditendang keluar dari negara kamu, tidak dikehendaki oleh mana-mana negara, miskin, kebuluran, kehilangan ahli keluarga, dan tidak berani menaruh harapan untuk masa depan yang baik.
Kita masih mampu memberi kepada mereka walaupun kita “miskin”.
Keduanya, kalau kita tidak memberi duit, kita masih boleh menyumbang tenaga dan sokongan kepada mereka yang giat membantu warga Rohingya. Semua agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa bencana dan memberi bantuan kemanusiaan sudahpun tak termampu.
Mereka tidak menjangkakan bencana di Nepal, dan kini ribuan Rohingya mahu mendarat di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Agensi yang membantu kini memerlukan bantuan, dari segi wang dan tenaga kerja. Sumbangkanlah apa yang ada.
Ketiga, kebarangkalian orang yang membaca makalah ini mempunyai Facebook dan Twitter. Maka kita mempunyai modal sosial yang boleh digunakan untuk berkongsi dan sebarkan kempen bantuan kemanusiaan. Mungkin kita tidak dapat memberi, tapi kawan-kawan kita akan memberi. Keempat, kita harus memberi peluang kepada golongan imigran yang datang mencuba nasib di negara kita. Mungkin nenek moyang kita juga pernah beradu nasib berhijrah ke negeri lain dan memulakan kehidupan baru. Jangan kita memandang mereka dengan penuh kemusykilan dan kebencian. Sokong perniagaan kecil-kecilan mereka atau sekurang-kurangnya, jangan menyusahkan kehidupan mereka yang sudah penuh derita. Ini terutamanya mereka yang mempunyai pembantu rumah atau pekerja imigran. Jangan sekali-kali membenarkan penindasan terhadap mereka di depan matamu!

Selalunya, saya berwaspada kepada individu dan organisasi yang meminta duit kerana saya tidak kenal mereka dan tidak yakin samaada duit itu akan disalurkan setulusnya kepada penerima yang dijanjikan. Jadi, saya telah cuba mencari maklumat tentang agensi bantuan kemanusiaan dan berkongsikan kempen mereka sepanjang tulisan ini.

Jika anda menyumbang kepada mana-mana kempen ini, anda boleh meyakini bahawa duit anda akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk usaha yang murni kerana individu/agensi yang disenaraikan adalah terkenal dengan misi bantuan kemanusiaan dan mempunyai rekod prestasi yang membanggakan.

11268364_10153309412253259_1274464414344548034_n.jpgKita boleh menyalak, tapi adakah itu bermanfaat buat masa ini? Apa lagi yang boleh kita lakukan? Jadilah sebahagian daripada penyelesaiannya.

Cukuplah dengan rungutan kita di media sosial dan perbalahan yang tidak membawa ke mana-mana. Semangat dan sentimen ketidakadilan yang kita rasai itu bagus, namun ia tidak mendatangkan kesan jika kita tidak menyalurkan semangat itu untuk melakukan sesuatu.

Tiga tahun yang lalu, saya memberi ucapan di Stadium Melawati sempena program MyGMJ (Malaysia Global March to Jerusalem). Sejurus selepas ucapan itu, kawan saya berkata kepada saya, “Aku harap ia bukan sekadar bicara.”

Sampai hari ini saya ingat pesanan itu. Jangan hanya bercakap untuk tunjuk bahawa kita kisah. Itu jalan yang mudah. Jalan yang kita harus ambil adalah yang membawa ke arah kebaikan.

Saya harap saya lakukan apa yang termampu untuk membantu orang lain (dan juga ke Palestin suatu hari nanti). Dan apa yang saya boleh lakukan adalah menulis.

Article 19

]]>

Krisis Kemanusiaan ASEAN Kelaut?

Rohingya Prayer Rohingya di Mata Dunia – Reaksi Rakyat ASEAN Baru-baru ini tersebar luas isu “Boat People” atau pelarian bot di tengah-tengah lautan berdekatan negara Malaysia, Thai dan Indonesia. Ratusan pelarian Rohingya dan Bangladesh terperangkap di dalam bot oleh sindiket penyeludupan manusia di tengah-tengah laut tanpa makanan dan air minuman bersih. Malah, isu ini telah menjadi liputan berita utama tempatan dan antarabangsa, dan warga internet sibuk menjadi jaguh menegakkan hak asasi manusia. Pada masa yang sama, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah berkali-kali merayu ASEAN untuk bertindak. Di media, tersebar juga isu-isu kemanusiaan dimana terdapat ramai pelarian Rohingya dan Bangladesh yang mati kebuluran, yang terpaksa meminum air kencing sendiri, yang dihumbankan ke laut kerana sakit tenat, dan sebagainya. Terdapat juga gambar-gambar pelarian anak-anak kecil yang melaung menangis meminta pertolongan. Melihat keadaan tersebut, terdapat ramai rakyat Malaysia dan Indonesia yang telahpun mengadakan kempen dermaan untuk menolong pelarian tersebut. Malah, komuniti ASEAN juga saling bantu-membantu menyebarkan krisis kemanusiaan ini ke seluruh pelosok Asia Tenggara dan dunia. Di sini terlihatnya semangat kekitaan dan perpaduan ASEAN yang diwar-warkan oleh para pemimpin ASEAN.   [caption id="attachment_4737" align="aligncenter" width="522"]Rohingya Rejected Gambar: Stephanie Peray[/caption] Krisis Pemimpin Tepis Bola Ping Pong Sebaliknya, perkara yang berlainan pula berlaku dalam kepimpinan ASEAN di peringkat atasan. Para pelarian Rohingya dan Bangladesh ini dijadikan bola ping pong di antara negara-negara ASEAN; masing-masing bersikap tidak endah dan menepis krisis ini tanpa perikemanusiaan. Tidak kisahlah mereka ini sesaudara Muslim, harga nyawa mereka tidaklah sepenting isu Palestin-Israel yang menyebabkan sesetengah orang Islam memboikot McDonald’s dengan hangat-hangat tahi ayam; tidak kira jugalah mereka ini sesaudara Asia Tengara, walhal mereka berstatus pelarian politik dan bukannya pekerja migran seperti yang disalah-anggap oleh sesetengah pihak. Mereka lari ke sini bukan kerana ingin “mencuri” kerja warga tempatan, tetapi kerana kekejaman politik di Myamar terhadap minoriti Islam di daerah Rakhine. Di Myanmar, agama Buddha disalahgunakan menjadi ideologi negara bagi menghalalkan pembunuhan dan penyeksaan etnik Rohingya. Sepanjang pemerintahan Junta di Mynamar, mereka dikandangkan dalam kem-kem pelarian serta dikongkong melalui undang-undang diskriminasi seperti perkahwinan, hak beranak, kebebasan bergerak, status kewarganegaraan dan sebagainya. Perkara ini membawa saya kepada persoalan ASEAN yang kita masing-masing perlu bertanya: apakah agenda Komuniti ASEAN hanyalah suatu agenda geopolitik? Apakah isu kemanusiaan hanya dipandang berat jika ia sealiran dengan politik antarabangsa Malaysia dan ASEAN? ASEAN Leaders Malaysia – Kepimpinan Dayus dalam ASEAN? Malaysia sebagai pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah nekad menjadikan ASEAN sebagai Komuniti ASEAN yang kukuh dari segi politik, ekonomi dan sosial. Beliau juga memuji dasar ‘non-interference’ (tidak campur tangan) sebagai tunjang pencapaian ASEAN. Apa yang merisaukan, Myanmar telah mengancam ASEAN supaya tidak membincangkan isu Rohingya di Sidang Kemuncak ASEAN. Kita sering mengatakan bahawa kita berbeza dengan Kesatuan Eropah kerana kita mengikut cara ASEAN atau ‘ASEAN Way’ dan apa-apa isu akan dibincangkan bersama melalui konsep ‘ASEAN Centrality’. Kepentingan ASEAN diutamakan dalam kerjasama serantau dan pembinaan komuniti. Pada Sidang Kemucak ASEAN yang ke-26 baru-baru ini, Malaysia berkobar-kobar semangat untuk membentuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), wawasan pasaran ASEAN yang disatukan, dan rancangan ASEAN Pasca-2015 untuk mencipta warga ASEAN yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi serta menjana ekonomi ASEAN yang setaraf dengan negara Cina, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun. Sebaliknya, interaksi dengan masyarakat awam tentang isu-isu hak asasi manusia agak dangkal. Selain memperkenalkan “Anugerah Masyarakat ASEAN” (“ASEAN Peoples’ Award”) dalam ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, tiada cadangan konkrit yang diutarakan bagi menangani isu pelarian politik Rohingya. Isu kemanusiaan diperlekehkan sebagai tidak penting dalam pembentukan AEC. Persoalannya, dimanakah kepentingan ASEAN dalam isu krisis kemanusiaan ini? Yang menghairankan, partisan politik Malaysia di kiri dan kanan sebulat suara bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk tidak menerima pelarian politik Rohingya ke dalam Malaysia. Isu Rohingya ini bukanlah isu baru, jika di zaman Tunku Abdul Rahman dahulukala kita boleh bersuara lantang menolak “Apartheid” di Afrika Selatan, di mana pendirian Malaysia sekarang? Adakah isu Rohingya ini satu isu keselamatan politik? Ataupun kita terlalu daif dalam realiti ASEAN yang perlu kita tangani? Rescue Rohingya Penyelesaian Sebenar Untuk ASEAN Saya tidak nafikan isu Rohingya ini perlu ditangani dengan hemah, terutamanya kerana ia melibatkan hubungan diplomatik serantau di antara Malaysia, Myanmar dan negara-negara ASEAN yang lain. Namun, ia hanya merugikan Malaysia dan ASEAN jika kita berdiam diri. Isu pelarian bot ini telah memalukan Malaysia di mata dunia, Malaysia dianggap gagal dan dayus dalam kedudukannya sebagai pengerusi ASEAN tahun ini. Langkah utama yang Malaysia perlu ambil adalah menegakkan pendirian negara kita, iaitu menawarkan hak kemanusiaan kepada pelarian politik tersebut seperti Filipina baru-baru ini yang mengambil tiga ribu pelarian bot Rohingya. Kes tentera laut Malaysia yang menghalang pelarian bot dari masuk ke perairan Malaysia adalah amat dikesali. Malaysia juga perlu meneliti dasar luar negara kita. Dengan cita-cita Komuniti ASEAN Pasca-2015, kita perlu bersedia mengukuhkan dan memperkembangkan institusi-institusi ASEAN bagi menangani isu-isu yang bersifat transnasional. Kini, sekretariat ASEAN mempunyai belanjawan tahunan yang amat daif berbanding dengan sekretariat Kesatuan Eropah, malahan kita tidak mempunyai mekanisma, pengetahuan mahupun sumber manusia yang sesuai untuk menangani krisis-krisis tersebut. ASEAN juga mempunyai hubungan antarabangsa yang terlalu polarisasi, perlunya lebih penyatuan agenda atau “shared agenda” dalam isu-isu yang bertindih atau “overlapping”, hal ini termasuklah menangani isu pelarian politik untuk jangka masa panjang. Semakin penting ASEAN di mata dunia, semakin ASEAN perlu mengenepikan dasar tidak campur tangan. Malaysia perlu menunjukkan semangat kepimpinannya dalam ASEAN dan menjadi orang tengah dalam isu politik dalaman Myanmar. Isu Rohingya ini rumit, ia bukan sahaja menyentuh isu diskriminasi etnik minoriti, tetapi juga struktur politik Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Isu ini mungkin tidak akan selesai dalam sekelip mata, namun ASEAN perlu menunjukkan bahawa ia sama sekali tidak dapat menerima diskriminasi dan penyeksaan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya. Penyelesaian berbilang hala (multilateral) yang melibatkan kerjasama antara semua negara-negara ASEAN perlu diutamakan. [caption id="attachment_4734" align="aligncenter" width="461"] REUTERS/Junaidi Hanafiah (INDONESIA)[/caption] Realiti Kemanusiaan Malaysia & Warga Asingnya Yang paling penting sekali adalah rakyat Malaysia perlu berdepan dengan realiti masa depan Malaysia di Asia Tenggara. Negara Malaysia dibina oleh warga migran yang kebanyakannya diseludup masuk secara haram ataupun dijadikan kuli tanpa hak-hak pekerja. Sebahagian mereka adalah pelarian politik, dan ianya rahsia terbuka bahawa Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian politik. Walaupun telah berdekad-dekad menetap di Malaysia dan beranak-pinak, mereka tidak diberikan status warganegara ataupun penduduk tetap (PR). Kita angkuh dengan status negara membangun dan hidup dalam keselesaan duniawi. Tiap-tiap hari kita menutup sebelah mata kepada warga migran dan pelarian politik di sekeliling kita. Mungkin sekarang kita sudah celik, mungkin kita terharu dan berlinang air mata lihat gambar anak-anak kecil Rohingya yang menangis menjerit meminta tolong. Sebagai rakyat Malaysia, amat penting sekali kita melihat isu sebenar atau gambaran besarnya (“the big picture”). Malaysia hanya akan diiktirafkan sebagai negara dunia pertama jika prinsip kemanusiaan kita seiring dengan pencapaian ekonomi. Geopolitik Malaysia mestilah ke arah prinsip serantau yang mengutamakan komuniti ASEAN sebangai tunjang pencapaian. Isu Rohingya adalah isu rakyat Malaysia juga, kerana kos kemanusiaannya akan memberi impak ekonomi negatif terhadap Malaysia. Selain itu, perkara serius yang kita perlu depani adalah isu pelarian politik. Kita tidak mampu berdiam diri tanpa menyuarakan pendirian Malaysia tentang menandatangani deklarasi pelarian politik di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Persoalan yang saya ingin rakyat Malaysia bertanya: Adakah negara Malaysia sudah matang dalam politiknya untuk menerima pelarian politik? Sampai bila lagi tentera laut Malaysia perlu mengawasi pelarian politik dan bukannya menjalani tugas sebenar mereka, iaitu menjaga keselamatan politik negara kita? unnamed

]]>