Gambar: Brotherpeacemaker.wordpress.com[/caption]
Seni, Kerohanian & Kebebasan Berekspresi
3 Disember adalah hari di mana para seniman/seniwati terpilih berkumpul untuk menyertai projek pameran seni.
Hasil kerjasama antara Projek Dialog dan Article 19 ini menyediakan landasan asas kepada para seniman/seniwati untuk menghasilkan karya-karya seni yang berteraskan fahaman mereka terhadap makna kerohanian.
Oleh itu mereka bakal melalui program-program yang telah ditetapkan oleh Projek Dialog dan Article 19, iaitu melawat, memahami dan menghidupi suasana ritual-ritual agama yang wujud di negeri Kelantan Darul Naim.
Projek ini berlangsung dengan hasil kerjasama Article 19, sebuah organisasi hak asasi manusia yang ditubuhkan pada 1987.
Article 19 ditubuhkan untuk menyumbang tenaga, dana dan usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kebebasan memberi pendapat dan berekspresi tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak.
Nama organisasi Article 19 diambil daripada Perkara 19 di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat:
“Setiap orang berhak untuk bebas berpendapat dan mengeluarkan fikiran.
Hak ini termasuklah kebebasan berpendirian tanpa gangguan dan mampu menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.”
Program pengenalan organisasi Article 19 dihadiri oleh seniman/seniwati, kurator, editor Projek Dialog, perwakilan Article 19 dan juga beberapa individu yang menyumbangkan pengalaman mengenai keadaan di negeri Kelantan.
[caption id="attachment_5365" align="aligncenter" width="450"]
Gambar: Clarespark.com[/caption]
Pelan Tindakan Rabat
Pada bahagian awal, pihak Article 19 iaitu Judy Taing dan Andrew Smith menerangkan sedikit sebanyak tanggungjawab pihak mereka di dalam menegakkan hak kebebasan pendapat dan fikiran.
Mereka memperkenalkan Pelan Tindakan Rabat, bagi menghalang kebencian berbentuk kenegaraan, keagamaan dan perkauman yang bakal mencetus keganasan, diskriminasi dan juga permusuhan.
Rencana tindakan ini dihasilkan di Rabat, Morocco pada 5 Oktober 2012.
Ia merupakan kesimpulan dan saranan berdasarkan bengkel-bengkel tentang isu-isu yang telah dinyatakan di atas.
Bengkel-bengkel tersebut telah diadakan di rantau Eropah (Vienna pada 9 dan 10 Februari 2011), di Afrika (Nairobi pada 6 dan 7 April 2011), di Asia Pasifik (Bangkok, 6 dan 7 Julai 2011) dan juga di benua Amerika (Santiago de Chile, 12 dan 13 Oktober 2011).
Tugas mengelak kebencian ini dipertanggungjawabkan kepada kolektif pegawai-pegawai am, para pemimpin agama dan komuniti, media dan para individu.
Ia menekankan keperluan untuk memupuk kesedaran sosial, toleransi, hormat-menghormati, dan dialog antara budaya.
Kerangka Projek Kesenian
Oleh itu, menggunakan landasan ini, projek yang bakal dilaksanakan ini akan menghasilkan beberapa karya dengan harapan ia boleh diterima dengan hati yang terbuka.
Disebabkan projek ini berteraskan isu-isu agama dan hubungan sesama penduduk yang berlainan agama/fahaman hidup, penggerak projek ini merasakan bahawa landasan antarabangsa merupakan sesuatu yang perlu.
Mungkin sahaja mereka melihatnya sebagai salah satu cara agar sudut pandangan yang lain mampu menjangkaui batas negara dan hadir di rantau antarabangsa untuk didengari oleh semua anak bangsa.
Setelah selesai pembentangan mengenai tujuan dan pengenalan Article 19, mesyuarat beralih fokus kepada projek tersebut. Antara persoalan-persoalan yang timbul adalah isu negeri dan justifikasi pemilihan negeri Kelantan.
Apakah sebab utama negeri ini dipilih sebagai keutamaan?
Selain daripada stereotaip kasar mengenai semangat kenegerian Kelantan dan juga laporan media terhadap dominasi wacana politik PAS, wujudkah sebab-sebab yang lain?
Ataupun sebenarnya pilihan ini merupakan hal yang kedua? Apakah keunikan rumah-rumah agama di kawasan tersebut jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain?
Baiklah, jika andaiannya adalah bahawa dominasi wacana PAS dan stereotaip kasar ini sering membelenggu tanggapan masyarakat terhadap negeri Kelantan, apakah tanggungjawab utama seniman/seniwati yang dipilih untuk menjayakan projek ini?
[caption id="attachment_5372" align="aligncenter" width="470"]
Gambar: Come2Kelantan.my[/caption]
Seni – Sarana Bagi Menjangkaui Naratif Dominan
Jika karya-karya tersebut akan dihasilkan melalui fahaman kerohanian yang bakal diperolehi dari projek ini, apakah faktor-faktor yang harus diambil kira?
Pertama, faktor wacana dominan yang telah ada. Dalam konteks projek ini, yang harus difahami secara menyeluruh adalah naratif parti politik PAS.
Seharusnya difahami juga bagaimana naratif politik dominan ini mempengaruhi hubungan keagamaan di sesuatu tempat, sama ada ia membentuk suatu ketegangan yang semakin menebal ataupun sebaliknya.
Faktor kedua adalah keadaan sebenar yang berlangsung di negeri tersebut. Kerana seperti mana yang kita semua tahu, media hanyalah sebagai pengantara yang melaporkan berita dari sudut pandang seseorang.
Realiti sesuatu tempat adalah sesuatu yang benar-benar rumit dan tidak mungkin mana-mana media ataupun medium mampu mewakilinya secara menyeluruh.
Langsung perbandingan di antara kedua faktor ini adalah sesuatu yang penting dan harus diambil kira.
Faktor yang pertama adalah sesuatu yang dibina melalui konsensus ataupun persetujuan sesuatu kelompok, manakala faktor yang kedua merupakan sesuatu yang dinamik dan tidak langsung dapat dimuatkan melalui mana-mana kategori.
Bagi sebuah negeri yang naratifnya didominasi satu agama, wujudkah percanggahan yang jelas di antara kedua-dua faktor tersebut?
Adakah naratif politik yang ada ini langsung tidak memberi ruang secukupnya untuk agama-agama lain terus hidup dan menyebarkan wacananya?
[caption id="attachment_5373" align="aligncenter" width="458"]
Gambar: Thirteen.org[/caption]
Peranan Seni Yang Lebih Meluas
Bagaimanakah seni yang memaknakan atau sebagai cerminan kehidupan manusia, melalui bentuk estetik mampu membentuk suatu sudut pandang yang berlainan?
Ataupun lebih besar lagi, mampukah ia memberi impak dengan menyanggah wacana dominan yang boleh saja dikatakan bercanggah dengan realiti sebenarnya.
Adakah seni yang seringkali dilihat sebagai paparan estetik semata-mata, mampu menganjurkan suatu mesej jelas terhadap hubungan keagamaan di sesuatu tempat?
Di sinilah asas utama bagi para seniman/seniwati yang bakal terlibat dalam projek ini. Tempat permulaan untuk mereka menilai kembali sudut pandang mereka; apa yang harus dicerna dan apa yang harus dinilai semula secara kritikal.
Kerana semestinya, tugas seni adalah untuk mengenal pasti intipati kehidupan. Intipati kehidupan yang barangkali senang sekali terlepas, dipukau oleh kepantasan masa dan kepadatan ruang.
Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa intipati kehidupan adalah sesuatu yang subjektif, tetapi penghasilan karya objektif merupakan saksi kepada realiti yang ada.
Dengan harapan agar setiap tafsiran objektif inilah yang mampu dipersetujui oleh ramai pihak, mewakili sudut pandang yang benar-benar meluas dan mengukuhkan lagi hubungan yang telah lama dibina.
Ia menganjurkan pandangan yang berbeza daripada pemaknaan kehidupan yang kadangkala jumud, reaksioner, dan kaku mengawal realiti mengikut acuan sendiri.
Projek ini bakal memberi ruang kepada mereka untuk membentuk semula tanggapan umum yang telah ada terhadap negeri Kelantan.
Mereka menggalas tanggungjawab besar – iaitu untuk memahami keadaan sebenar kehidupan beragama di negeri yang didominasi oleh wacana satu agama.
Harus diingatkan bahawa ini tidak langsung membawa erti provokasi ataupun pelanggaran tatanan moral yang sedia ada.
Barangkali dengan permulaan di negeri pantai timur ini, percubaan bagi para seniman untuk menilai dan memberi sudut pandang segar terhadap hubungan beragama mampu sedikit sebanyak membuka banyak lagi ruang untuk menghidupkan semula imaginasi yang ada terhadap sesuatu kawasan.
Projek Dialog di Freedom Film Fest – Filem Apa?
Dialog Melalui Haluan Media Popular
Secara umumnya media popular dilihat sebagai sarana penyebaran maklumat kepada seluruh massa. Ia juga dapat digunakan sebagai landasan kepada beberapa pihak untuk menganalisa sesuatu masalah.
Ia dengan penuh harapan merasakan bahawa medium tersebut mampu mempertingkatkan kesedaran kepada orang awam.
Permasalahan yang diutarakan itu semestinya harus berputar fenomena yang berkait rapat dengan konteks tempatan dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan kita secara tidak sedar.
Menurut pendapat saya, inilah yang jarang benar dilakukan oleh kita semua.
Kalau bukan para akademik ataupun para pemikir yang melaksanakan usaha seperti ini, tidak selalunya timbul inisiatif untuk mengutarakan sesuatu masalah dengan analisis yang jelas tentang apa yang berlaku pada zaman ini.
Projek Dialog selaku landasan yang menganjurkan dialog sesama rakyat turut berusaha untuk melakukan inisiatif penyebaran maklumat menggunakan media popular.
Projek Dialog untuk tahun ini turut terlibat menghasilkan dua karya yang bakal ditayangkan di Freedom Film Fest di PJ Live Arts Centre, Jaya One.
Freedom Film Fest merupakan festival filem terulung di Malaysia yang menggunakan teknologi media sebagai salah satu sarana untuk menekankan aspek demokrasi dan menyarankan penggunaannya di kalangan para aktivis.
Gabungan antara visual, tekstual, dan juga bunyi lebih memberikan impak yang besar, diikuti dengan perbincangan yang memberangsangkan mengenai setiap masalah yang dipaparkan.
Filem yang ditayangkan pula merupakan dokumentari yang jarang benar didanai oleh industri perfileman, sedangkan filem-filem inilah yang benar-benar mengutarakan masalah realiti sosial yang dihadapi oleh kita semua.
Dengan ini mari kita memperkenalkan karya dokumentari yang turut dihasilkan oleh pihak Projek Dialog iaitu Viral,Sial! dan juga Dialog dengan Dendi.
“Viral,Sial!” oleh David Buri
Filem ini berdasarkan fenomena beberapa bulan lalu sewaktu BFM Kupas menayangkan satu episod yang bertajuk “Hudud: Isi Periuk Nasi”.
Pada waktu itu pengacara utamanya, Edry Faisal tidak dapat muncul kerana beliau menjadi sukarelawan di Kelantan. Langsung dia digantikan oleh pengacara wanita, Aisyah Tajuddin.
Nah, bermula dari situlah jelas terlihat isu kebebasan menyatakan pendapat ternyata langsung tidak dapat dipraktikkan dengan sihat tanpa digugat ancaman yang kini sudah tiba pada tahap yang membahayakan.
Seluruh Malaysia termasuklah media arus perdana turut memberi liputan mengenai hal ini. Tidak lupa juga kepada pihak-pihak penguasa yang turun padang menyatakan pendapat mereka mengenai video ini.
Jadi apakah persoalan-persoalan yang timbul dari filem dokumentari ini?
Pertama, adakah fenomena kecaman ini disebabkan oleh gender Aisyah Tajuddin dan kelantangan beliau mempersoalkan isu ini menggunakan medium internet?
Harus juga kita ingatkan bahawa keberanian beliau untuk berdiri di hadapan kamera dan menyindir keutamaan ahli politik PAS tentang hudud adalah sesuatu yang jarang kita lihat di negara ini.
Sedangkan para lelaki sendiri tidak berani untuk menyatakan pendapat mereka di khalayak awam, sebaliknya sibuk berbicara di kedai kopi tanpa apa-apa risiko.
Jika difikirkan lagi, adakah sekiranya ia dilakukan oleh seorang lelaki, maka tingkat kecamannya pasti berbeza? Dan sehubungan dengan itu, adakah agama masih lagi dibawah jagaan pimpinan lelaki?
Bilamana seorang perempuan mula mempersoalkannya, segala struktur sosial mulai tergugat dan tidak lagi menunjukkan piawaian ketakwaan yang seharusnya?
Persoalan inilah yang saya rasakan bakal dikupas. Wujudkah suatu analisa yang mampu menerangkan masalah ini dengan jelas?
Adakah ini semuanya bakal berakhir kepada persoalan kuasa untuk menyebarkan wacana ataupun kesedaran yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki?
Dan lebih teruk lagi, bagaimana pula dengan ruang bagi kita semua untuk menyatakan pendapat?
Adakah negara kita semakin lama semakin dihakis kebebasannya untuk bersuara, sebaliknya bakal digantikan suatu sistem autoritarian yang bakal membungkam kesemua suara yang menentang keadaan sistem sedia ada?
Fenomena ini merupakan sesuatu yang harus difikirkan, kerana beliau secara jelas diugut secara tidak adil.
Hanya kerana seorang wanita dari golongan rakyat biasa memberi pendapat, lalu hampir seluruh rakyat negara mengecamnya.
“Dialog dengan Dendi” oleh Badrul Hisham Ismail
“Dia sudah tak betah duduk di bandar. Bandar yang penuh gelisah. Yang tak kenal manusia dan kemanusiaan, hanya kenal urusan.”
Bagi penduduk kota, persoalan mengenai isu kemodenan dan hiruk pikuk kota adalah realiti yang tidak dapat kita nafikan.
Kelelahan kehidupan adalah sesuatu yang sering dipendam, maka bermula dari situ ada yang mulai mencari jalan keluar. Jalan eskapisme yang mampu mengalihkan pandangan kita jauh dari realiti kota di depan mata.
Filem ini adalah karya yang mengutarakan persoalan mengenai alternatif cara hidup yang meraikan kewujudan manusia.
Di mana pilihan manusia itu tidak lagi dibataskan di ruang-ruang kota, sebaliknya jauh ke dalam kawasan pedalaman hutan.
Ini merupakan persoalan eksistensial, mengikut kata-kata orang muda di kala ini.
Jika tiada yang berbalik atau berselindung di sebalik harapan ataupun ilusi, manusia kota secara amnya mulai hilang arah dan tidak lagi mampu menerima hikmah yang ditawarkan oleh citra kemodenan.
Kesinambungan mekanisme kehidupan di sini pastinya pada suatu masa akan melahirkan suatu persoalan.
Mengapa kita masih melangsungkan kehidupan yang nyata bercanggah dengan naluri kita sebagai manusia? Mengapa manusia di sekeliling kita masih lagi melangsungkan kehidupan mereka tanpa keluhan yang ketara?
Filem ini merupakan hasil kerjasama antara Projek Dialog dan juga Rhu Graha.
Ia menceritakan tentang Ehsan, seorang warga kota yang sudah serik dengan kehidupan kota. Beliau bertemu dengan Dendi, seorang Temiar dan membuat keputusan untuk melawatnya di kawasan pedalaman hutan.
Di situ beliau mulai merenung kembali keberadaan dirinya di kota dan di tempat tinggal Dendi, dan bagaimana perbandingannya berjaya memberikan sudut pandang yang baru terhadap kehidupan beliau.
Apakah tidak ada langsung intipati budaya orang asli yang boleh diambil dan dipelajari untuk kita semua?
Orang asli yang melangsungkan kehidupan berdasarkan agama animisme dapat juga dilihat sebagai agama yang memberi keutamaan kepada alam semula jadi dunia ini.
Mereka tidak sesekali merasakan bahawa alam adalah sumber yang seharusnya diguna pakai untuk kepentingan manusia sesuka hati.
Sebaliknya mereka dengan penuh hormat merasakan kehidupan kita secara biologikal turut juga dipengaruhi oleh keberlangsungan kehidupan alam di sekeliling kita.
Melalui filem ini kita ditawarkan dengan sudut pandang yang berlainan. Ia mempersoalkan keutamaan kita terhadap dunia moden yang tidak lagi mampu memberikan ketenangan dalam kegelisahan kehidupan di kota.
Gambaran Keseluruhan
Secara amnya, kedua-dua filem ini memberikan keutamaan kepada dua perkara.
Pertama, ia mempersoalkan ruang kebebasan kita sebagai rakyat biasa untuk menyatakan pendapat tanpa dibungkam oleh pihak berkuasa.
Ia juga mempersoalkan kecaman zalim oleh para pengguna media sosial yang secara jelasnya begitu berani menyatakan sifat binatang yang mungkin pada bila-bila masa sahaja mampu dilepaskan begitu sahaja.
Ini adalah kondisi psikologikal yang masih belum diterokai dengan jelas, dan punca-puncanya juga masih belum dicari jawapannya.
Secara tidak langsung ia membentuk haluan kepada kita semua untuk terus memikirkan nilai-nilai yang sebenarnya mendominasi wacana negara kita.
Adakah kita diselubungi ketakutan yang melampau atau kekuatan yang nyata untuk menjangkaui keadaan kemunduran negara yang membangun?
Kedua, ia mempersoalkan citra kemodenan yang telah dimulakan oleh arus globalisasi dunia Barat.
Adakah kesinambungan zaman industri benar-benar menghasilkan keadaan yang bagus? Atau adakah ia benar-benar tempang, hanya memberi keutamaan kepada kebolehan dan pengumpulan nilai material semata-mata?
Memang benar persoalan-persoalan seperti ini boleh sahaja dikatakan sebagai suatu klise jika hanya diselitkan dengan retorik tanpa apa-apa bimbingan.
Tetapi melalui penggunaan medium popular, yang turut memaparkan aspek realiti sosial yang nyata, kita dapat mewujudkan rasa empati yang jelas.
Ini bukti bagaimana impak visual berjaya menyampaikan suatu intipati yang menjangkaui batas syarahan, yang selalu sahaja tidak dapat menembusi benak hati-hati manusia.
Dengan ini Projek Dialog mengharapkan bahawa dialog tidak hanya berlaku di ruang fizikal, perbualan antara beberapa sosok individu, tetapi juga melalui karya-karya filem yang mempamerkan isu-isu penting yang perlu difikirkan oleh kita semua.
Dikarang oleh Johan Zolhaidi