Projek Dialog

Dialog Sunni-Syiah: Mencari persefahaman dalam kepelbagaian (Bahagian 2)

Bahagian 1 rencana ini boleh dibaca di sini Masalah ketara berlaku apabila tiada dialog yang sihat untuk memadamkan api pertembungan. Semua kupasan dari satu pihak terhadap satu pihak yang lain akan hanya berasaskan tuduhan dan salah anggap, bukan fakta dan cara faham yang benar.  Di pihak Ahbash ada yang mengkafirkan seorang tokoh besar Sunni bernama Ibn Taimiah, tanpa berasaskan sudut pandang jujur atau sikap ingin mengetahui maksud sebenar, tetapi dengan sesuatu tuduhan yang cukup meragui. Tuduhan kononnya Ibn Taimiah berkata bahawa Allah SWT turun dari langit ke dunia seperti beliau turun dari mimbar masjid damsyik adalah tuduhan yang tidak sewajarnya berlaku. Ini kerana, setelah kajian dilakukan didapati bahawa tarikh ungkapan Ibn Taimiah yang diriwayat Ibn Batootah didapati tidak benar sama sekali, kerana ketika itu Ibn Taimiah berada dalam penjara. Namun, dengan tidak berdialog secara sihat dan jujur; dengan tidak dialog untuk mencari kebenaran, menjadikan sumber yang diragukan itu dibahas sedemikian rupa sehinggakan tokoh sehebat Ibn Taimiah dikafirkan dalam keadaan penuh tidak bertanggungjawab. Mashaf Fatimah Dilema yang sama juga berlaku apabila sebilangan Sunni menuduh bahawa Syiah itu punyai al-Quran yang kandungannya lebih sebanyak tiga kali ganda. Contohnya, dalam kelampauan, Mashaf Fatimah yang sememangnya wujud dalam riwayat Syiah, dituduh oleh Sunni sebagai al-Quran mengikut versi Syiah. Sebenarnya mashaf fatimah bukanlah al-Quran seperti tuduhan sebilangan Sunni, tetapi ia sekadar sebuah kitab hadis-hadis qudsi yang datang dari Fatimah yang dikagumi oleh Syiah. Pada tahun 2011, seorang tokoh Syiah bernama Yasir al-Habib pernah ditanya dalam satu rancangan fadak tentang Mashaf Fatimah, beliau menyatakan bahawa definisi bagi mashaf Fatimah adalah “satu kitab yang dipenuhi dengan himpunan hadis-hadis Qudsi yang telah Allah SWT wahyukan kepada Fatimah al-Zahra’ melalui jibril” Dalam kupasan beliau terhadap definisi tersebut, beliau menyatakan di sana ada perbedaan antara wahyu yang berbentuk ta’abbudi, iaitu diberikan pahala yang dibaca seperti al-Quran. Juga wahyu yang berbentuk pensyariatan yang boleh diistinbatkan hukum daripadanya. Kupasan beliau, al-Quran bersifat Taabbudi dan tasyrik (pensyariatan) yang diberikan pahala bagi pembacanya dan boleh diistinbatkan hukum darinya, sedangkan mashaf Fatimah, ia sekadar himpunan-himpunan hadis Qudsi melalui Fatimah, sepertimana wujud dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, yang tidak diberikan pahala kepada pembacanya, dan tidak boleh diistinbatkan hukum daripadanya. Ia sekadar wasiat-wasiat baik dari Fatimah yang dijadikan pegangan oleh orang-orang Syiah. Beliau juga menjelaskan bahawa pemberian wahyu kepada Fatimah bukan menjadikan Fatimah itu sebagai Nabi sepertimana yang ditohmah oleh sebilangan Sunni yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana, dalam al-Quran, Allah SWT ada menyatakan bahawa Allah SWT telah memberi wahyu juga kepada ibu kepada Nabi Musa, sedangkan Ibu Nabi Musa itu bukan nabi sama sekali. Beliau merujuk kepada ayat 7 dari surah al-Qasas yang bermaksud; “Dan kami wahyukan  kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khawatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khawatir dan janganlah (pula) bersedih hati, karena sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul” Dalam kupasan seorang tokoh Syiah bernama al-Syaikh Hasan Yari pula dinyatakan bahawa Mashaf Fatimah bukanlah al-Quran, tetapi ia adalah Mashaf Fatimah sepertimana wujud dalam Sunni apa yang dinamakan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Ma’sum Di pihak Syiah pula, ada sebilangan mereka melakukan tuduhan yang melampau tentang Sunni, seperti mendakwa bahawa Sunni menganggap bahawa para sahabat itu seperti Ma’sum. Tuduhan itu tidak benar sama sekali. Ini kerana, dalam Sunni, sahabat bukan sebagai sumber hukum, sebaliknya sumber hukum dalam Sunni adalah al-Quran dan al-Sunnah. Adapun sahabat, mereka adalah orang yang lebih mengetahui tentang pengamalan Nabi Muhammad ekoran mereka bersama dengan Nabi Muhammad SAW; mereka melihat dan mendengar pergerakan dan perkataan baginda SAW, makanya mereka diperhatikan dalam Sunni untuk diketahui maksud sebenar sesuatu pengamalan Nabi Muhammad SAW. Di sisi Sunni, pengamalan para sahabat diterima secara muqayyad atau keterikatan, iaitu sekiranya mendatangkan kebaikan kepada umat. Tetapi, jika sesuatu perkataan atau perbuatan mereka mendatangkan keburukan dan kerosakan, ia hendaklah dita’wil dan dikaji balik berdasarkan kesesuaian zaman, masa dan keadaan mereka. Tindakan Sunni mempertahankan sahabat dari dikafirkan itu tidak bermaksud Sunni menganggap para sahabat itu sebagai ma’sum seperti ditohmah oleh sebilangan pihak dari Syiah yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana, pada tanggapan Sunni bahawa sahabat itu tidak kafir kerana mereka berpegang dengan Firman Allah SWT yang menyatakan dalam ayat 100 dari surah al-Taubah yang bermaksud; “Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar” AKAN BERSAMBUNG…

]]>

Kenyataan Media: Penganut Kristian tersinggung

Kenyataan Media Persekutuan Kristian Malaysia: Penganut Kristian tersinggung dengan penyata MB dan Menteri Masyarakat Kristian berasa tersinggung dengan penyata-penyata terkini yang dilaporkan dinyatakan oleh Mentri Besar Kedah dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mengenai isu penggunaan perkataan “Allah” dalam Al-Kitab. Kedua-dua penyata itu tidak munasabah dan dianggap bulat-bulat bercanggah dengan Penyelesaian 10-Perkara yang telah dipersetujui oleh Kabinet Persekutuan pada April 2011 lalu. Sepuluh perkara ini telah disampaikan kepada Persekutuan Kristian Malaysia secara khususnya dalam surat bertarikh 11 April 2011 daripada Perdana Menteri sendiri. Usaha Menteri terhormat untuk mempertahankan saranan Ibrahim Ali supaya Kitab Suci kami dibakar atas alasan bahawa Kitab Suci kami mengandungi salah-cetak merupakan sesuatu yang amat menyinggung perasaan kami dan tidak boleh diterima. Penggunaan perkataan “Allah” dalam Al-Kitab BUKAN dan TIDAK PERNAH menjadi sesuatu kesilapan dalam pencetakan seperti yang dikatakan oleh Menteri terhormat. Tanggapan sebegini sememangnya tidak prihatin, malah bersifat menghina dan menghasut. Kami menegakkan pendirian kami bahawa penggunaan perkataan “Allah” merupakan hak masyarakat Kristian. Penyata terbaru Mentri Besar Kedah yang melarang penggunaan perkataan “Allah” oleh yang bukan-Islam dalam negeri beliau adalah sesuatu yang melanggar perlembagaan. Perkara 11 (1) dan (3) (a) Perlembagaan Persekutuan memberi setiap individu hak untuk memeluk dan mengamalkan agamanya dan pada masa yang sama juga mengizinkan setiap kumpulan beragama uruskan hal ehwal agama masing-masing. Kami menyeru Kabinet Persekutuan supaya tepati Persetujuan 10-Perkara tersebut dan kuatkuasakan semua aspek berkenaan dengannya; di mana Kerajaan Persekutuan khususnya harus memastikan bahawa Penyelesaian 10-Perkara tersebut dipatuhi pada setiap lapisan kerajaan dan oleh semua pihak pentadbiran yang terbabit. Hak-hak setiap masyarat yang berlainan agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan mesti dihormati dalam setiap negeri dalam negara kita yang tercinta, termasuknya Kedah. Yang ikhlas, Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi, bersama Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Kristian Malaysia

]]>

Dialog kehidupan, dialog rohani

Melayani Bersama

Selain bergelar mahasiswa di universiti, saya terlibat dengan aktiviti sampingan iaitu melakukan pelayanan di Persatuan Pelajar Katolik. Persatuan ini bukan di bawah universiti, tapi satu perkumpulan untuk pengisian rohani pelajar Sabah Sarawak yang berada jauh dari kampung halaman.

Kebanyakkan pelajar Sabah Sarawak yang melanjutkan pelajaran rata-rata kumpulan yang pertama kali berpijak di Semenanjung Malaysia. Dan mereka menghadapi pelbagai kejutan budaya dari segi bahasa, makanan, cara pembawaan diri dan juga agama.

Jadi untuk membuatkan mereka rasa seperti di kampung halaman, kami akan mengadakan pertemuan setiap minggu di rumah pelajar atau mengatur mereka ke gereja, membuat aktiviti menarik agar mereka tidak kesunyian dan terperap di bilik saja.

Sebagai jawatankuasa utama yang mengatur pelajar-pelajar ini setiap semester, banyak perkara baru yang saya belajar dari ahli-ahli dan para jawatankuasa. Walaupun kami berasal dari Sabah dan Sarawak, tetapi kami juga berbeza. Kami berasal dari pelbagai daerah, yang mana setiap daerah mempunyai etnik, bahasa ibunda, latar belakang, dan dibesarkan dengan cara berbeza.

Malah bunyi dan cara penggunaan bahasa Malaysia juga kadang-kadang berbeza mengikut daerah.

Seni Tinggal Bersama

Kami mempunyai 12 orang dalam rumah pelajar yang saya tinggal itu, dan kedua belas orang mempunyai pelbagai karenah. Ada yang berasal dari Miri, Kuching, Penampang, Tambunan, Ranau, Bundu Tuhan, Tuaran, dan banyak lagi daerah di Sabah dan Sarawak, dan kesemua mempunyai jalan cerita hidup yang menarik.

Pada mulanya, saya fikir walaupun kami dari Borneo maka kami boleh hidup bersama secara aman damai, tapi tidak semudah yang disangkakan.

Setiap orang ada gaya masing-masing dan untuk memahami mereka, dialog berupa perbualan semata-mata tidak akan membantu. Banyak kali kami melalui perdebatan, tidak sependapat, perkongasian dari hati ke hati, faham latar belakang dan rekonsiliasi supaya kami boleh tinggal dan melayani bersama.

Contohnya, setiap hari jumaat kami akan mengadakan aktiviti mingguan di mana pelajar akan datang ke rumah. Jadi, sebelum pelajar datang ke rumah, rumah itu haruslah bersih, tetapi orang rumah masih lagi bermain badminton di luar dan membiarkan orang yang sama membersihkan rumah. Saya pada masa itu, sudah sangat marah dan menjerit “hoi, takkan kami saja yang membersihkan rumah’? Dan seorang kawan cepat-cepat masuk dan mop rumah.

Contoh kedua, ada seorang lagi orang rumah, suara dia besar dan cara dia bercakap sentiasa macam marah walaupun sebenarnya dia tidak marah. Dan ada seorang kawan pula, dia pendiam dan lemah lembut, sekejap terguris hati dan menangis. Jadi apabila yang kawan ganas itu bercakap dengan yang lembut itu, si kawan yang lembut hati ini pandai sakit hati tidak tentu pasal.

Dan ada satu lagi kawan yang sentiasa positif, dia sentiasa memberi kata-kata kerohanian yang positif untuk memberi semangat kepada orang-orang rumah. Dia akan berkata begini, “kita tidak boleh sentiasa bergaduh sesama kita, kerana kalau kita sentiasa bergaduh bagaimana kita hendak melayani pelajar di luar sana”.

Dan jika rumah itu menjadi panas kerana ada orang rumah yang tidak ingin bertegur, maka akan ada seorang yang akan menyejukkan keadaan dan memfasilitasikan keadaan. Disini setiap orang harus menyatakan kepada semua, siapa yang dia tidak suka dan kenapa, lalu meminta maaf kepadanya. Dan orang yang saya pernah jerit semasa main badminton berkata, selama ini dia merasa sakit hati terhadap saya kerana saya sangat ganas.

Mendengar nama saya disebut, saya terkejut kerana selama ini saya langsung tidak pernah terfikir bahawa itu akan menjadi isu. Saya juga langsung tidak tahu bahawa tindakan saya itu akan memberi kesan. Selepas itu kami saling bermaafan.

Dan yang suara besar itu pula, rupa-rupanya di kampung halaman mereka sekeluarga memang bercakap seperti itu. Kerana dia mempunyai keluarga yang besar dan banyak adik, jadi kadang-kadang sifat itu pun terbawa-bawa. Dan yang lemah lembut itu memang mempunyai keluarga yang lemah lembut, dan yang sentiasa positif itu pula memang selalu melayani di gereja di kampungnya dan aktif dalam pelayanan belia serta mempunyai kakak yang sekarang seorang biarawati / suster.

Dalam renungan saya, tanpa pertemuan dengan sesama secara terbuka dan jujur, kita tidak akan tahu mengapa dia begitu dan apa yang membuatkan dia begitu. Dan kerana itu, salah faham senang berlaku jika tidak ada dialog

Dialog dalam Kehidupan

Dan pembelajaran yang paling penting saya pelajari dari pengalaman itu ialah dialog.

Kita perlukan dialog dalam persahabatan, dalam komuniti dan apa lagi dengan mereka yang mempunyai budaya dan agama yang berbeza. Kita hidup di Malaysia memang sangat perlukan dialog. Kerana tak kenal maka tak cinta, dan bagamana kita ingin memahami antara satu sama lain kalau tidak ada dialog. Mengambil contoh diatas, jika kami tidak berdialog dan tidak bersikap terbuka dan jujur antara sesama, kami tidak akan dapat bekerjasama untuk melayani dalam persatuan dan susah untuk hidup bersama.

Begitu juga dengan situasi di negara kita yang berbilang kaum dan agama. Dialog antara agama tidak semestinya kita harus duduk dalam keadaan formal dan berbual mengenai dogma dan agama semata-mata.

Tetapi langkah pertama ialah kita harus mempunyai kawan dari berlainan agama dan kenali mereka. Mengenali bukan dari mana mana media atau dari apa yang kita dengar, tapi mengenalinya dengan berbual dengan kawan kita sendiri, supaya dia boleh kongsi apakah maksud menjadi seorang Hindu, Islam, Kristian, Buddha atau agama tradisi. Ini supaya dia boleh berkongsi apa yang baik dan apa pengalaman mereka, kerana apabila kita mendengar dan berkongsi kita akan mengenali sesama dan akan menjumpai bahawa semua kita sedang melakukan perkara yang sama melalui cara yang berbeza, dengan simbol berbeza dan sebagainya. Tidak ada apa yang sensitif.

Pernah sekali saya dan sekumpulan pelajar dan seorang paderi melawat Kuil Hindu di Johor. Kami dijemput untuk masuk, ternyata banyak simbol yang kami tidak faham, dan kami dibantu oleh imam untuk memberitahu apakah maksud disebalik simbol, tulisan dan patung dalam kuil itu.

Bukan itu sahaja, kami juga berpeluang untuk mengikuti sesi sembahyang mereka, melihat mereka menyanyi dan melihat orang-orang yang pergi sembahyang. Dari situ, saya mengetahui tentang mereka dan ini mengajar untuk menghargai dan melihat kebaikan mereka dan menjadi lebih ramah.

Pertemuan antara satu sama lain

Semasa saya melayani dalam persatuan saya, pernah sekali saya mencadangkan idea yang sama iaitu untuk mengadakan lawatan ke surau berdekatan. Tapi idea saya itu tidak mendapat sambutan kerana sensitif dan takut nanti ada salah faham berlaku.

Ada yang mengatakan bahawa sedangkan iman sendiri tidak tahu apa lagi ingin belajar iman orang lain. Akan tetapi melalui pengalaman saya melawat Kuil Hindu itu tadi, melihat mereka bersembahyang dan belajar mengenai simbol dan kata-kata dalam kuil membuatkan saya sendiri ingin belajar lebih mengenai iman saya sendiri.

Dan ini membuatkan saya untuk mengikuti kem dakwah Islam di universiti saya. Dalam aktiviti ini banyak aktiviti dijalankan seperti penyembuhan, pembangunan pasukan dan pembentukan rohani.

Apabila peserta tahu bahawa saya ini Kristian, maka banyak soalan yang mereka tanya kepada saya. Ternyata kebanyakkan mereka tidak pernah ada kawan dari Sabah dan seorang Kristian, jadi saya menjadi tumpuan untuk banyak soalan yang tulen yang bersifat bona fide.

Antara pengalaman yang paling menyentuh ialah apabila kami duduk bersama dan makan dalam satu dulang yang besar, yang dipanggil makan setalam. Saya diberitahu bahawa budaya ini adalah untuk merapatkan hubungan sesama saudara dan kenalan.

Dalam kumpulan saya, kami bertiga makan setalam dan sambil itu suap sesama sendiri. Ini mengingatkan saya ekspresi “memecahkan roti” (Kisah Para Rasul 27:35).

Yesus: Pelahap, Peminum, Sahabat Pemungut Cukai dan Orang Berdosa (Lukas 7:34 = Matius 11:19)

Bukan sahaja kita perlukan dialog antara agama, tetapi kita juga harus mempunyai dialog antara kelas.

Mengambil cerita zaman kehidupan Yesus yang lalu, dalam masyarakat yang terdapat halangan antara kelas, kaum atau agama, pemisahan dipertahankan dengan membuat pantang larang dalam pergaulan sosial. A nda tidak berkongsi makanan atau sebuah parti makan malam, anda tidak boleh meraikan, atau mengambil bahagian dalam hiburan, dengan orang-orang yang tergolong dalam kumpulan sosial yang berlainan. Di Timur tengah berkongsi makanan dengan seseorang adalah satu bentuk hubungan dan persahabatan yang sangat intim. Mereka tidak akan makan dan minum dengan orang yang mempunyai kelas lebih rendah daripada mereka.

Apabila Yesus bergaul dengan orang-orang berdosa, ia merupakan satu skandal dalam masyarakat pada masa itu dan suatu tindakan yang tidak boleh diterima juga pada masa moden. Kerana ini bermaksud dia menerima mereka dan ingin menjadi kawan kepada pemungut cukai dan orang berdosa (Matius 11:19).

Ketika Yesus makan di rumah orang itu, banyak pemungut cukai dan orang berdosa makan bersama-sama dengan Dia dan murid-muridNya, sebab banyak orang yang mengikuti Dia (Markus 2:15). ‘Lelaki ini’, mereka berkata, ‘berhibur’ dengan orang berdosa dan berpesta bersama orang berdosa (Lukas 15:2). Dan Dia juga dianggap seorang pelahap dan peminum, sahabat pemungut cukai dan orang berdosa (Lukas 7:34; Matius 11:19) .

Pesta atau makan malam tidak perlu dianggap sangat mahal, kerana persahabatan dan perbualan lebih penting daripada makanan. Majlis makan malam itu menjadi perkara biasa dalam kehidupan Yesus sehingga dia dituduh sebagai pemabuk dan pelahap.

Yesus mesti juga pernah menjemput Farisi dan orang kehormat yang lain untuk makan bersama dia. Kalau dia menjemput mereka (Lk 7:36; 11:37, 14:1) Yesus semestinya membalas dengan menjemput para Farisi ke rumahnya. Tapi bagaimankah para Farisi dan pengemis-pengemis boleh duduk dalam satu meja? Bukankah Farisi tersebut akan takut bahawa statusnya akan hilang dengan menerima jemputan ke jamuan makan itu?

Perumpamaan tentang orang-orang yang berdalih

Mungkinkah perumpamaan tentang orang-orang yang berdalih itu (Lk 14: 15-24, Parable of the invited guests) adalah berdasarkan kejadian benar dalam kehidupan Yesus.

Adakah tetamu kehormat mula membuat alasan apabila dijemput oleh yesus dalam jamuan makan? Sehingga Yesus mengantar pengikut-pengikutNya untuk “pergi dengan segera ke segala jalan dan lorong kota” dan bawa “orang-orang cacat dan orang-orang buta dan orang-orang lumpuh” sehingga “ke semua jalan dan lintasan dan paksa orang-orang, yang ada di situ, masuk untuk memenuhi rumahNya”?

Dan pengemis-pengemis juga berasa ragu-ragu pada mulanya dan orang-orang berdosa juga berfikir dua kali sebelum menjemput Yesus ke rumah mereka. Untuk mengatasi perbezaam sosial yeng tertanam dalam masyarakat itu, Yesus kadang-kadang terpaksa memaksa pengemis-pengemis untuk datang, dan menjemput dirinya sendiri ke rumah orang-orang berdosa. Lukas telah mengilustrasikan cerita itu dalam cerita Zacchaeus (19: 1- 10).

Makan Makan

Ini mengingatkan saya kembali pada tahun 2008 dan sebelumnya, ketika itu Presiden kami terkenal dengan selalu menganjurkan makan-makan di rumah pelajar kami. Dia akan menjemput, alumni, senior, ahli-ahli persatuan dan jawatankuasa untuk hanya dengan tujuan makan.

Dan pada tahun-tahun itu jugalah, saya melihat bahawa jawatankuasa begitu erat dan rapat antara sesama, ahli-ahli juga kerap datang ke rumah itu, dan alumni yang sudah bekerja selalu memberi sumbangan kewangan kepada persatuan pelajar kami dan pelayanan juga menjadi hidup.

Jamuan makan makan sebegini memang memberi kesan besar. Pada masa Yesus, dengan menerima mereka sebagai kawan dan sama rata, Yesus telah menghilangkan rasa malu, hina dan perasaan bersalah mereka.

Perjumpaan fizikal di meja makan itu merasakan bahawa mereka diterima, dengan itu Dia telah menaikkan martabat mereka. Dan saya rasa itulah yang sedang dibuat oleh Bapa Suci pada 1hb Julai lalu, di mana beliau menjemput sekumpulan 200 individu yang tiada rumah untuk makan malam di Vatikan.1 Seperti yang pernah dikatakan oleh Ronald Reagen, “all great change begins at the dinner table”. ]]>

Projek Dialog membantah ISMA

Projek Dialog membantah kenyataan ISMA berhubung isu undang-undang jenayah syariah.  Projek Dialog membantah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam sahutan mereka kepada The Joint Action Group for Gender Equality (JAG). Hal ini berkaitan isu undang-undang jenayah syariah dimana sebatan syariah dikenakan terhadap 39 orang pesalah yang melakukan sumbang muhrim dan zina. Kami mendapati bahawa hujah-hujah yang diketengahkan oleh ISMA agak sempit dan bersifat reaksioner. ISMA menyaran bahawa undang-undang Syariah adalah wajib dijatuhkan terhadap pesalah-pesalah tersebut atas sebab mereka telah melakukan dosa besar dan melanggar syariat islam. ISMA terlalu menekankan prinsip hukuman Syariah yang terlalu literal tanpa memahami konteks dan intipati sebenar Islam yang mementingkan semangat kemanusiaan and kecintaan. Ad-deen yang dipupukkan melalui Al-Quran adalah bertujuan untuk manusia senantiasa bersifat memaaf-maafan, berhati mulia, sentiasa bermuhasabah, dan mempunyai semangat kasih sayang terhadap manusia yang lain. Realitinya, Projek Dialog juga berasa risau akan perkembangan politik Islam di Malaysia, dimana Islam hanya digerak sebagai sebuah lebel identiti yang dihargai melalui sudut pandang yang amat sempit. Walhal Islam bukanlah sebuah agama yang bersifat institusi mahupun politik yang hanya rakus menghukum dan mengaibkan umatnya. Dakwaan ISMA bahawa hukuman Syariah adalah berdasarkan syariat Islam juga tidak betul. Sistem penghakiman dan undang-undang Syariah dilaksanakan oleh manusia dan begitu mudah digunakan bagi menindas golongan yang tiada hak dan suara. Tidak hairanlah wanita yang kebanyakkannya menjadi mangsa undang-undang Syariah. Kami juga risau akan penjelasan ISMA akan cara penghukuman tersebut dan mengatakan bahawa “hukuman perlu dilaksanakan tanpa menunjukkan belas kasihan.”  Dimanakah  nilai-nilai kemanusiaan kita jika Islam hanya dizahirkan sebagai satu fahaman yang gemar menghukum? ISMA juga bersikap biased terhadap golongan yang tidak bersetuju dengan mereka dan melebelkan mereka sebagai pejuang feminisme dan liberalisme tanpa memahami konteks label-label tersebut. Sebaliknya apa yang diperjuangkan JAG juga ditegakkan oleh Islam seperti keadilan sosial, hak kebebasan asasi, dan hak kemanusiaan. Bahkan, ISMA tidak mempunyai asas kukuh dalam menilai konteks keadilan. Mereka terlalu memandang berat isu maruah keturunan dan zuriat tetapi tidak mempunyai nilai perikemanusiaan akan hak dan suara seseorang individu. ISMA terlalu khusyuk dengan pembanterasan dosa-dosa besar di kalangan umat Islam dalam konteks seksual yang sempit seperti peraturan-peraturan dan perlaksanaan undang-undang jenayah Syariah yang mengawal hak kebebasan asasi masyarakat. Seperti kata pepatah “kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak”, ISMA juga tidak mempunyai tahap keintelektualan Islam yang mendalam mengenai isu jenayah dan hukuman. Sebagai contoh, memberi dan menerima rasuah adalah jenayah yang jauh lebih keji tetapi tidak pula diperjuang keras oleh ISMA untuk menetapkan undang-undang yang lebih berat dan saksama. Kami berpendapat ISMA sepatutnya memperjuangkan intipati keadilan Islam yang sebenar. Isu seperti ketidakadilan sosial, rasuah yang berlaluasa, pembinasaan alam sekitar, kemiskinan dan penindasan terhadap golongan kelas bawahan, sistem keadilan syariah yang dikawal oleh golongan ulama-ulama elitis, hak kebebasan bersuara dan beragama yang ditegakkan Islam, dsb, wajiblah diberi perhatian sepenuhnya oleh ISMA jika ia serius akan moto organisasinya iaitu “Membangun Umat Beragenda”. Lebih dikesali kami adalah dakwaan membuta-tuli ISMA terhadap ‘pandangan liberal’ dengan memberi contoh kursus “Sumbang Mahram Adik Beradik (Sibling Incest)” oleh University of Missouri dan ponorgrafi bertemakan sumbang mahram dari Barat. Kami berpendapat ISMA cenderung membuat andaian yang rawak dan tidak betul. Kursus yang disebutkan oleh ISMA sebenarnya merupakan sebuah subjek yang mengkaji perspektif sejarah bagi topik tersebut, ia tidak langsung berkaitan dengan agenda liberal yang dimaksudkan ISMA. Walhal isu pornografi adalah sebuah fenomenon global yang dipandang serius akan implikasi sosialnya, baik oleh Projek Dialog mahupun NGO-NGO hak asasi lain. Projek Dialog berpendirian teguh akan prinsip kami menentang undang-undang yang tidak berperikemanusiaan. Kami percaya Islam yang sebenar merupakan ad-deen yang menyeru kepada keadilan, kemanusiaan dan persaudaraan, bukannya lebelan politik yang bersifat menghukum, menindas dan mengaibkan.

]]>

Pertukaran agama kanak-kanak: Siapakah yang akan bertanggungjawab?

MCCBCHST bertanya kepada kerajaan Malaysia: Siapakah yang akan bertanggungjawab untuk memperbetulkan yang salah?  MCCBCHST (Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao) ingin membawa perhatian semua rakyat Malaysia yang mencintai keadilan – tidak kiralah apapun agama mereka – ke kejadian di bawah ini yang telah terlalu kerap berlaku … dan satu kes yang sama sekali lagi muncul dalam akhbar. Seorang suami meninggalkan keluarganya; tiada berita mengenai suami tersebut selama 16 bulan. Kemudian dia menganut agama Islam dan merampas anak-anaknya yang masih dibawah umur dan membawa mereka ke pihak Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan untuk meng-Islamkan mereka. Dia  memburuk-burukkan isteri bukan Islamnya tanpa sebarang bukti, malah juga tanpa sebarang dokumen yang membolehkan dia mengambil tindakan sebegitu tanpa kebenaran pihak isterinya. Namun begitu, pegawai di Jabatan Agama Islam tetap meneruskan langkah peng-Islaman kanak-kanak yang masih dibawah umur tersebut, tanpa persetujuan ibu mereka yang sah. Apabila ibu mereka pergi ke tadika untuk mengambil anak lelakinya yang bernama Nitran, dia mendapati bahawa dia telah dibawa pergi oleh seorang lelaki yang masih suaminya. Si Ibu pula kemudiannya pergi ke Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan di Paroi, dimana dia amat terkejut apabila dia diberitahu oleh seorang pegawai kanan di sana bahawa Nitran yang berumur lima tahun dan Sharmila yang berumur lapan tahun telah di-Islamkan tanpa persetujuan ibunya yang sah, semata-mata di atas permintaan bapanya yang telah baru-baru ini memeluk lslam (yang masih ada dalam perkahwinan sivil dengan si ibu yang bukan Islam). Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) berasa terkejut. Keputusan Kabinet sebelum ini pernah menyatakan bahawa “Ibu atau bapa berseorangan tidak boleh menukarkan agama kanak-kanak mereka” (di suratkhabar The Sun, 24 April 2009). Nitran dan Sharmila, berusia lima dan lapan, kini telah di-Islamkan – tetapi mereka masih berada dalam jagaan ibu bukan Islam mereka. Justeru itu, MCCBCHST meminta penjelasan daripada pihak berkuasa di Malaysia berkenaan perkara-perkara berikut:- 1.  Adakah keputusan Kebinet pada April 2009 hanya merupakan reaksi melepaskan batuk di tangga untuk menenangkan rakyat Malaysia yang bukan Islam berikutan munculnya banyak kes ketidakadilan yang dahsyat? 2. Adakah keputusan Kabinet mempunyai kuasa ataupun pihak kakitangan kerajaan boleh bertindak mengikut sesuka hati mereka – dan adakah kakitangan-kakitangan kerajaan lain dibenarkan berbuat sedemikian walaupun dengan arahan daripada Perdana Menteri dan kabinet? 3. Bukankah ia mandatori ataupun sekurang-kurangnya lebih pragmatik dan adil bagi pegawai yang menukarkan agama kanak-kanak yang masih dibawah umur kepada Islam untuk mengesahkan hak penjagaan dan isu-isu berkaitan dengan bapa mereka yang baru sahaja bertukar agama? 4. Bolehkah dan mampukah penukaran agama bagi kanak-kanak direverse semula atas premis ketidaktelusan? 5. Jika kes ini pergi ke makamah, adakah Makamah Sivil akan melepaskan tanggungjawab mereka atas kesalahtafsiran artikel 21A? 6. Walaupun Mahkamah Sivil mempunyai kuasa untuk menjamin hak-hak pasangan bukan Islam dan kanak-kanak dalam jagaan pihak isterinya dalam perkahwinan sivil, adakah pihak polis akan memastikan penguatkuasaan keputusan tersebut, dan adakah pihak berkuasa Islam akan mematuhi undang-undang tersebut? 7. Dalam proses membuat keputusan dalam hal ini, adakah kerajaan meletakkan kepentingan yang terbaik bagi kanak-kanak tersebut? 8. Akankah keadilan ibu bukan Islam itu terbela? Mahkamah Persekutuan mempunyai peluang baru-baru ini untuk menyelesaikan kes Shamala;  walaubagaimanapun mereka memilih untuk tidak menangani isu ini kerana Shamala telah meninggalkan negara ini.

]]>

Projek Dialog membantah retorik hasutan "Tsunami Cina"

Punca sebenar kekalahan Alasan “tsunami Cina” juga tidak berasas dan tidak mencerminkan punca sebenarnya prestasi yang lemah bagi Barisan Nasional. BN bukan sahaja kalah teruk di negeri-negeri seperti Selangor, Penang, Kuala Lumpur dan Kelantan, malah ia hanya mampu menang tipis sahaja di Perak, Johor, Negeri Sembilan, dan Terengganu. Kami percaya semua ini dilakukan untuk membina persepsi awam seolah-olah kaum Cina bersikap terlalu mendesak dan tidak menghargai jasa kerajaan. Walhal, punca utama kemerosotan BN adalah kebangkitan rakyat Malaysia menentang ketidakadilan, kronisme dan rasuah yang berleluasa kesan daripada pemerintahan kerajaan BN sejak 56 tahun yang lalu. “Tsunami Rakyat” lebih tepat Rakyat Malaysia sudah muak dengan politik perkauman yang dibawa UMNO. Mereka inginkan perubahan. Kesempitan hidup, gaji rendah, isu pendidikan dan kos hidup yang tinggi antara tunas-tunas api kebangkitan rakyat Malaysia pada pilihan raya kali ini. Sebilangan besar rakyat miskin di Malaysia adalah masyarakat Melayu walaupun berada 56 tahun dibawah pemerintahan BN. Sebaliknya, segelintir yang meraih kekayaan negara ini adalah kroni-kroni BN sendiri. Pilihanraya kali ini adalah yang paling sengit dan juga mencatatkan jumlah pengundi yang paling ramai keluar mengundi dalam sejarah Malaysia iaitu sebanyak 80%. Analisa pilihanraya menunjukkan undian popular dimiliki oleh Pakatan Rakyat iaitu lebih daripada 50% jumlah pengundi memangkah PR dalam kertas undian. Walaubagaimanapun, Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan dengan kemenangan majoriti  mudah dengan menawan 133 daripada 222 kerusi parlimen. Kebanyakkan kawasan dimana BN kalah adalah kawasan bandar yang berpendudukan padat. Antara majoriti parlimen dan undi popular Hal ini mejelaskan kenapa PR memiliki jumlah undian popular manakala BN memiliki jumlah kerusi yang tinggi. BN dapat kekal di Putrajaya disebabkan oleh amalan persempadanan semula kawasan pilihanraya, ataupun “gerrymandering”. Manipulasi politik ini menyebabkan BN dapat menang mudah di kawasan-kawasan luar bandar yang tidak mempunyai populasi yang padat seperti kawasan bandar, bahkan penembusan internet juga adalah amat rendah dan mereka tidak mendapat liputan informasi yang meluas daripada media bebas alternatif berbanding media arus perdana yang dikawal oleh kerajaan BN . Tiba masanya untuk politik baru Realitinya, pilihan raya ini sebenarnya menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengundi tanpa mengira kaum ataupun agama. Terdapat banyak kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti Melayu, sebaliknya mengundi calon yang berbangsa lain. Sebagai contoh, Lim Kit Siang yang merupakan calon DAP yang berbangsa Cina memenangi kerusi Gelang Patah di Johor mengatasi calon Melayu BN dan bekas Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman. Lim Kit Siang tidak mungkin menang dengan hanya undian kaum Cina. Ke arah 1 Malaysia? Namun begitu, di alam siber, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sedang mencetuskan propaganda “Tsunami Cina” perkauman dan perbalahan antara kaum Melayu dan Cina. Kononnya orang Cina ingin menguasai negara Malaysia dan memperhambakan kaum Melayu. Hal ini amat mengecewakan kami kerana Malaysia adalah negara yang berbilang kaum dan budaya, dan bukannya negara fasis bagi sesebuah kaum sahaja. Kami menentang sama sekali budaya perkauman yang tidak matang seperti ini. Kami menyeru Datuk Seri Najib Razak supaya membantah sentimen rasis yang semakin menjadi-jadi di kalangan penyokong-penyokong UMNO yang masih berdegil menerima kelemahan parti mereka. Fokuskan usaha untuk berkhidmat kepada rakyat jelata tanpa mengira bangsa dan agama dengan mengambil semangat 1Malaysia seperti yang BN kempen kepada rakyat. Elakkan daripada permainan politik perkauman dan agama yang merugikan Malaysia.

]]>

Surat Terbuka Kepada Kaum Muda: Di Antara Politik Perkauman, Politik Kelas dan Politik Ideologi

Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian. Izinkan saya dengan rendah diri menulis kepada saudara sekalian berkenaan dengan titik tolak permulaan negara dan bangsa kita yang baharu pasca 5 Mei 2013 ini. ALI SHARIATI, seperti dibincangkan oleh Jalaludin Rahmat ketika berbicara mengenai Habil mengungkapkan: ‘Kelompok yang diwakili Habil adalah kelompok taklukan dan tertindas; yakni, rakyat yang sepanjang sejarah dibantai dan diperbudak oleh sistem Qabil, sistem hak milik individu yang memperoleh kemenangan dalam masyarakat. Peperangan antara Habil dan Qabil adalah pertempuran sejarah abadi yang telah berlangsung pada setiap generasi. Panji-panji Qabil senantiasa dikibarkan oleh penguasa, dan hasrat untuk menebus darah Habil telah diwarisi oleh generasi keturunannya – rakyat tertindas yang telah berjuang untuk keadilan, kemerdekaan dan kepercayaan teguh pada suatu perjuangan yang terus berlanjut pada setiap zaman.’ Menurut Jalaludin Rahmat lagi, Shariati melihat para Nabi Ibrahimiyah, yang dibezakan dengan Nabi non-Ibrahimiyah seperti Confucius, Budha, Zarasthura adalah pelanjut perjuangan Habil. Nabi Ibrahim misalnya berdiri menentang Namrud. Nabi Musa membela Bani Israil yang lemah melawan Firaun yang perkasa. Nabi Isa pula hadir menggembirakan kaum ‘fuqara’ dengan melecehkan Kaisar manakala Nabi Muhammad SAW duduk di samping orang miskin dan hamba abdi untuk membebaskan mereka. Di Malaysia, tanggal 5 Mei 2013 ini akan jadi titik paling penting buat ‘Kaum Muda’ iaitu saudara-saudari sekalian. Kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui Timbalan Pengerusi-nya pada 3 April 2013 yang lalu; penambahan 2.37 juta atau 21.69 peratus jika dibandingkan dengan jumlah pemilih pada pilihan raya umum ke-12 pada 2008 menjadikan jumlah keseluruhan pengundi adalah seramai 13,291,385 orang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13). Menurutnya lagi, SPR akan menggunapakai Daftar Pemilih (DP) sehingga suku 4/2012 yang diwartakan pada 22 Februari 2013 memandangkan daftar pemilih bagi suku pertama 2013 belum sempat untuk diwartakan. Berdasarkan Daftar Pemilih yang diwartakan suku keempat 2012, seramai 5,564,131 atau hampir 42 peratus daripadanya pengundi yang layak memilih merupakan pengundi muda berusia di bawah 40 tahun. 42 peratus atau hampir separuh dari pengundi berdaftar ini terdiri dari ‘Kaum Muda’ – menjadikan saudara semua golongan paling signifikan kesannya terhadap keputusan pilihanraya ke-13 kali ini. Politik Perkauman Jika diperhatikan dari 3,024, 909 keseluruhan 42 peratus pengundi ‘Kaum Muda’ ini, 22.76 peratus pengundi yang berumur antara 30 hingga 39 tahun lahir seawal 1974 manakala 19.1 peratus pula pengundi berumur 21 hingga 29 tahun yang lahir seawal 1984. Oleh yang demikian tidak hairanlah jika masih ada sebahagian besar dari ‘Kaum Muda’ yang masih melanggan idea ‘Politik Perkauman’ kerana ketika mereka lahir sekitar 1974, televisyen di Malaysia masih hitam putih. Segmen-segmen di dalam kepala, otak dan fikiran mereka masih terbahagi kepada sistem pengasingan parti berasaskan kaum dan dogma murahan berbentuk politik merengek seperti hak keistimewaan dan eksklusiviti sesuatu kaum. Malangnya wacana politik sempit seperti ini tidak membincangkan perihal letak duduknya kaum Melayu walaupun kaum Melayu telah berkuasa sepenuhnya selama 55 tahun. Saya cuma teringat satu pepatah pemimpin ultra-nasionalis Melayu tidak lama dahulu iaitu; “Melayu mudah lupa’. Melayu mudah lupa betapa setelah 55 tahun berkuasa, pegangan ekuiti Bumiputera masih di takuk 19%. Melayu mudah lupa sehingga 2009, Bumiputera membentuk sehingga 80% dari pendapatan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM 1000 sebulan sementara sehingga 57.9% Bumiputera masih berpendapatan di bawah RM 3000 sebulan. Melayu juga mudah lupa setelah 55 tahun, dari 219,868 isi rumah yang berada di bawah paras kemiskinan, 189,165 darinya adalah Bumiputera berbanding 12,212 adalah India, 10,370 Cina dan 8,121 adalah lain-lain. Malah Melayu juga mudah lupa, Data juga menunjukkan dari 15% penduduk Malaysia yang mempunyai ‘zero wealth’, 72% adalah Bumiputera, 17% adalah Cina dan 10.7% adalah India. Melayu juga mudah lupa, Bumiputera membentuk sehingga 72% ‘unskilled workforce’, 67% sebagai operator mesin dan sehingga 60% pekerja am. Malah statistik pemilikan bangunan komersil juga menunjukkan Bumiputera hanya memiliki 13% bangunan, 12% kompleks perniagaan, 15% premis industri dan 14% hotel. Politik Kelas Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian, Kerana itu saya fikir ini masa paling kritikal untuk saudara-saudari semua membuat analisis terhadap perkembangan budaya politik pasca-merdeka yang terhasil dengan fragmen perkauman yang tebal ini. Dasar Ekonomi Baru, MARA, sistem meritokrasi, kuota pengajian tinggi, sistem sekolah berasrama penuh dan seribu satu projek kroni lagi dibantu dan didukung oleh partai politik perkauman paling besar di negara ini – masih gagal meningkatkan ekuiti kaum Melayu. Lebih menyedihkan, kedudukan ekonomi Melayu dan Bumiputera dalam pelbagai lapangan masih corot. Yang perlu diberi perhatian kini adalah situasi ekonomi yang semakin menghimpit. Jurang pendapatan semakin melebar. 4.5% isi rumah memperoleh pendapatan secara purata kurang dari RM 800 sebulan, 52.8% isi rumah memperoleh kurang dari RM 3000 sebulan, 75.9% memperoleh kurang dari RM 5000 sebulan dan 96% rakyat Malaysia memperoleh pendapat kurang dari RM 10,000 sebulan sementara hampir tiada pertumbuhan terhadap 40% golongan berpendapatan rendah semenjak 1990 (14.5%), 2000 (14%) dan 2009 (14.5%). Ini bukan masanya untuk kita melihat Malaysia menggunapakai kerangka perkauman kerana golongan berpendapatan rendah, kaum miskin dan golongan pekerja ini terdiri dari pelbagai jenis kaum dan berbangsa 1Malaysia! Oleh yang demikian, kita perlu segera beransur bergerak ke arah perjuangan politik berasaskan kelas untuk membantu masyarakat kelas bawah dan pertengahan menikmati hidup yang lebih baik. Malaysia sebuah negara yang kaya dan kekayaan hasil bumi ini harus ditadbir secara adil untuk dikongsi bersama oleh rakyat, bukannya keluarga atau kroni. Bayangkan sehingga 2009, 52.8% rakyat Malaysia masih tidak mampu memiliki rumah yang berharga RM 150,000 ke atas dan 75.9% rakyat masih tidak mampu memiliki rumah yang berharga RM 250,000 ke atas? Politik Ideologi Saudara-Saudari ‘Kaum Muda’ Sekalian. Perjalanan politik negara kita untuk keluar dari ‘politik perkauman’ dan ‘politik kelas’ menuju ‘politik ideologi’ masih jauh jika kita masih tersangkut dengan perihal tetek-bengek seperti ‘Singapura akan menakluki Malaysia’, ‘Lim Guang Eng akan menjadi seperti Lee Kuan Yew’ ataupun ‘Mat Taib adalah mudarat kecil berbanding mudarat besar terhadap agama’. Saya menyeru saudara-saudari sekalian untuk keluar dari kepompong politik tradisional yang melihat isu perkauman dan menggunakan agama untuk mengekalkan status quo masing-masing. Di Eropah dan negara Scandinavian, politik ideologilah yang akhirnya akan memberi manfaat kepada rakyat dan meningkatkan taraf hidup masyarakat. Bukannya politik perkauman. Jika Umno-BN selama 55 tahun tidak dapat meningkatkan ekuiti Melayu melepasi paras 20%, apakah yang akan memastikan 8 calon Muslim berwibawa melakukannya? Menurut Jalaludin Rahmat lagi, Shariati merumuskan para Nabi adalah orang-orang yang lahir di tengah massa (ummi) lalu memperoleh tingkat kesedaran (hikmah) yang sanggup ‘mengubah satu masyarakat yang korup dan beku menjadi kekuatan yang bergejolak dan kreatif, yang pada gilirannya melahirkan peradaban, kebudayaan dan pahlawan’. Menurut Shariati lagi, para Nabi bukan sekadar mengajarkan zikir dan doa, tetapi dengan ideologi pembebasan. Empat manusia yang disebut di dalam al-Quran menurut Shariati dilambangkan dengan Firaun, Haman, Qarun dan Bal’am. Firaun dikatakan sebagai penguasa yang korup, penindas yang selalu merasa benar sendiri, toggak sistem kezaliman dan kemusyrikan. Haman pula mewakili kelompok teknokrat, ilmuan yang menyokong tirani dengan melacurkan ilmu. Qarun mewakili kaum kapitalis, pemilik sumber kekayaan yang menghisap seluruh jerih penat massa. Manakala Bal’am melambangkan kaum ‘ruhaniyun’ iaitu tokoh agama yang menggunakan agama untuk melgitimasikan kekuasaan yang korup untuk menindas masyarakat. Untuk 5,564,131 saudara-saudari ‘Kaum Muda’ yang bakal mengundi 5 Mei ini, pada setiap zaman, keempat-empat jenis manusia ini akan selalu tampil sebagai pendukung status-quo dan juga penentang perubahan sosial. Untuk Malaysia 30 tahun ke-hadapan; inilah persimpangan kita antara mengekalkan kezaliman pemerintahan sedia ada yang telah 55 tahun berkuasa – atau memiliki keberanian untuk melawan penindasan dan membebaskan diri. Saudara-saudari ‘Kaum Muda’ sekalian; buat permulaan marilah kita bersama menentang kezaliman dan penindasan untuk membebaskan diri dan masyarakat dari belenggu jahiliyah ini!     *Data dan statistik diperoleh dari EPU, DOSM, HIS 2009, HDR 2011, World Databank dan BNM. Untuk maklumat lebih lanjut rujuk Blindspot; www.facebook.com/blindspot.msia  

]]>

CFM kecewa terhadap penggunaan sentimen anti-Kristian dalam pilihanraya

CHRISTIAN FEDERATION OF MALAYSIA

(PERSEKUTUAN KRISTIAN MALAYSIA)

Alamat: 26 Jalan Universiti, 46200 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia

Tel / Fax : + 60 3 7957 1457

Emel: cfmsia@yahoo.co.uk

CFM Kecewa dan Membantah Penggunaan Sentimen Anti-Kristian pada Papan Tanda Kempen Pilihan raya

Kami dari masyarakat Kristian terkejut akan penggunaan sentimen anti-Kristian yang keji dan biadap pada papan tanda kempen pilihan raya, dimana gambar-gambar mesej tersebut telah menjadi ‘viral’ di kalangan netizen-netizen baru-baru ini. (sila lihat pada gambar). Mesejnya bertanya “Mahukah kita lihat anak cucu pergi sembahyang ke rumah Allah ini?” dengan bersertakan dua gambar gereja-gereja yang mempunyai simbol salib. Perkataan “Gereja Allah” ini berbaur hasutan dan kemungkinan besar akan memberi padah yang bahaya terhadap keselamatan rakyat Kristian dan ahli gereja-gereja hanya kerana kami menggunakan perkataan “Allah”. Ini merupakan kebimbangan yang sebenar memandangkan baru-baru ini terjadinya kes-kes seperti pembakaran gereja dan ugutan membakar Bible berbahasa Malaysia. Mesej keji yang tertera pada papan tanda kempen tersebut hanya akan mengapi-apikan satu  komuniti (Muslim) terhadap komuniti Kristian degan menyebarkan rasa takut melalui taktik menakut-nakuti dengan menggunakan isu “Allah”, walaupun pihak makamah tinggi telah membenarkan penggunaannya sebagai hak bagi kebebasan agama. CFM dan pemimpin-pemimpin Kristian yang lain sebelum ini telahpun menyatakan bahawa Bumiputera-Bumiputera Kristian menggunakan Bible dalam BM kerana Bahasa Malaysia merupakan bahasa penghantar mereka, manakala perkataaan “Allah” telahpun digunakan dalam Bible sejak berkurun-kurun tahun dahulu tanpa sebarang tentangan dari orang Muslim seperti apa yang berlaku sekarang. Orang-orang Kristian dan juga rakyat Malaysia yang berkeprihatinan perlu mengutuk penggunaan papan-papan tanda kempen pilihanraya yang berbaur  hasutan dan fitnah yang sedemikian dan segala bahan-bahan dan retorika-retorika hasutan dalam sepanjangan waktu kempen sehingga hari mengundi pada 5 Mei 2013. Kami mendesak pihak Suruhanjaya Pilihanraya untuk segera menanggalkan papan-papan tanda dan bahan-bahan kempen penghasutan yang sedemikian. Selain itu, kami menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat kes ini dan mendakwa mana-mana pihak yang bertanggungjawab. Kami menyeru rakyat Malaysia supaya melaporkan kepada pihak polis mengenai mana-mana papan tanda, bahan kempen pilihanraya, dan juga ceramah kempen yang tidak menghormati komuniti-komuniti di negara ini dan yang hanya bertujuan untuk mengapi-apikan kebencian terhadap agama lain bagi kepentingan politik. Komuniti Kristian mengekalkan hak-haknya seperti yang dijamin dibawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk hak bagi orang bukan Islam untuk menguruskan agama mereka sendiri. Hak ini termasuklah rakyat Malaysia yang hanya fasih dalam Bahasa Malaysia selain bahasa ibunda mereka, seperti penduduk asal Sabah dan Sarawak, komuniti Baba, dan komuniti Orang Asli, dengan menggunakan Al-kitab dan semua bahan-bahan lain dalam Bahasa Malaysia yang perlu bagi tujuan keagamaan mereka. Pada masa yang sama, kita berasa amat kecewa terhadap peningkatan kes-kes keganasan yang berkaitan dengan pilihanraya ini (seperti yang dilaporkan dalam media) seperti pembakaran kereta, menanam bahan letupan berhampiran pusat ceramah, kes-kes kebakaran dan geng-geng motosikal yang menakutkan orang ramai untuk menghadiri ceramah yang sebenarnya adalah cubaan untuk menimbulkan ketakutan dan ugutan pada hari-hari sebelum hari pilihan raya. Kami menyaran kepada semua supaya lebih berwaspada semasa musim pilihan raya ini. ]]>