Projek Dialog

Shamanisme Sabah: Mangambao

Mamagambil [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 19 Mei 2014] Penulisan saya kali ini membawa pembaca kepada upacara shamanisme di Sabah suku kaum Dusun Tindal yang seterusnya iaitu Mangambao. Seperti Mamagambil,  shamanisme Mangambao juga dilakukan dengan tujuan untuk menyembuhkan penyakit dalaman seseorang dengan mendapatkan roh si pesakit yang telah di ambil oleh “rogon jahat” atau “syaitan jahat”. Selain itu, Mangambao dilakukan untuk melindungi sesebuah  rumah dengan berkomunikasi dengan rogon-rogon yang kemungkinan besar tinggal bersama dengan kita di dalam rumah dan juga berkomunikasi dengan rogon-rogon tanah, rogon-rogon air dan rogon-rogon di pokok. Mangamabo Sebelum memulakan upacara Mangambao, Bobolian dan Bobohizan (pengamal-pengamal upacara shamanisme) akan meletakkan satu tarikh khas untuk upacara Mangamabo. Selepas itu, Bobolian ataupun Bobohizan akan menjemput rakan-rakan Bobolian dan Bobohizan yang lain untuk menyertai upacara ini. Upacara Mangambao mesti dilakukan dengan 3 ataupun 10 orang Bobolian dan Bobohizan dan tidak boleh dilakukan oleh seoang Bobolian dan Bobohizan sahaja. Penduduk kampung disekitar juga dijemput untuk turut serta dalam Mangambao dengan satu syarat dimana mereka yang menyertainya harus mematuhi pantang larang seperti tidak boleh memetik pisang dan mengambil batang “Polod” ataupun “sejenis makanan dari batang pokok kelapa” untuk menghormati upacara Mangambao ini. Bobolian dan Bobohizan kemudiannya akan mencari seekor “babi” ataupun “Wogok” untuk dijadikan penyembahan dalam upacara Mangambao dimana Wogok akan dipersembahkan kepada rogon jahat semasa mengambil roh si pesakit dan juga kepada rogon-rogon lain yang berada di tanah, rumah, air dan pokok. Lagu-lagu mantera Upacara Mangambao  dimulakan dengan menyembelih atau “menombok” Wogok tersebut dengan di sertai  “rinait dan watang” atapun “lagu-lagu mantera” yang berbeza-beza mengikut kepandaian rinait dan watang setiap Bobolian dan Bobohizan. Rinait dan watang yang dinyanyikan adalah untuk memanggil malaikat-malaikat pelindung yang akan menolong Bobolian dan Bobohizan untuk mendapatkan roh si pesakit yang telah di ambil oleh rogon jahat. Mereka yang turut serta dalam Mangambao juga boleh mengikut membaca rinait dan watang yang di nyanyikan oleh Bobolian dan Bobohizan. Antara rinait dan watang yang di nyanyikan oleh nenek saya semasa Mangambao ialah rinait do “Sugang” Rinoit do “Sugang” Oi kumburongoh, sugaun ti topong sugang, ngoyo ku di kumborongoh Iso kudi rinokian,sungaun ti topong sugang,topong di kumborongoh Sugang tanak gararaong ngadau Irung tanak  irung sidang,aawi kanto garao ngadau Inda kanto irung sidang tolindakon dot nokuod soroungan dot nawalie Ko suminban kotugangon  dot tumitiu ko suminban dot tinogu Monida nogi tondiu manahang nogi kolumpod Molungou longou ei rinatai mansampur-sampur ei tanah Hilo no simbang tarasi, ei’ e  koh ei sugang nga amu osulian Rimuda om rumasa, ei’e  maga oii, simbang dahai kumborongoh Irung dahai rinokian hilo no sugang tarasu om hilo noh irung taadau Sugang nga amu osulian ei rimunda aaratan Bobolian dan Bobohizan yang mahir dalam upacara Mamagambil akan memanggil Tombilonnya iaitu Himbou, manakala Bobolian dan Bobohizan yang lain akan memanggil semangat komburongoh dengan menggunakan sejenis alat shamanisme iaitu Kumburongoh. Ada Bobolian dan Bobohizan memanggil  semangat yang dipanggil Dahao dengan menggunakan sejenis alat shamanisme iaitu Ginding. Semangat-semangat Himbou, Komburongoh dan Dahao akan terpanggil melalui rinait dan watang yang di nyanyikan oleh Bobolian dan Bobohizan dan ikut serta dalam upacara Mangambao. Monsuhut Di sebelah siang, Bobolian dan Bobohizan berterusan menyanyikan rinait dan watang masing-masing hingga sampai waktu malam. Di sebelah malam, Tombilon, Himbou dan Komburongoh bersama-sama dengan Bobolian dan Bobohizan akan melakukan Monsuhut (mengambil roh si pesakit) yang telah di ambil oleh rogon jahat. Rogon Bobolian dan Bobohizan juga akan berkomunikasi dengan rogon-rogon yang tinggal di rumah bersama dengan manusia untuk merapatkan hubungan rogon dengan manusia supaya rogon yang tinggal di rumah tidak akan menjadi jahat kepada manusia. Salah satu rogon iaitu Tandahou. Tandahao merupakan rogon yang baik dan menolong manusia dimana rogon ini membantu mengukuhkan kedudukan rumah supaya tidak tumbang apabila ribut kuat melanda. Bobolian dan Bobohizan juga berkomunikasi dengan rogon-rogon lain seperti rogon tanah iaitu Satana dan Koromit, rogon air iaitu tambaig, rogon di pokok-pokok besar iaitu Tompuan. Tompuan biasanya hidup di “Nunuk” ataupun “pokok-pokok yang mempunyai batang besar. Ini adalah bertujuan supaya rogon-rogon ini tidak akan menganggu kehidupan manusia terutamanya keluarga si Bobolian dan Bobohizan. Upacara turun-kemurun Upacara Mangambao adalah upacara shamanisme yang memakan masa yang lama untuk mempelajarinya. Nenek saya sendiri telah mengambil masa dua tahun untuk menghafal rinait dan watang dimana nenek moyang menyampaikan rinait dan watang dalam bahasa lisan kerana nenek saya tidak pandai menulis. Setiap malam, nenek saya akan menghafal beberapa bait rinait dan ratang sehingga rinait dan watang itu lengkap menjadi satu lagu mantera. Proses pembelajarannya memerlukan kesabaran dan minat yang tinggi untuk menguasai ilmu dan pengetahuan alam yang menakjubkan ini. Maka Mangambao itu sesuatu pengetahuan dan ilmu yang memerlukan kekuatan dan komitmen yang tinggi untuk mempelajarinya dimana ianya memerluka daya ingatan yang kuat untuk mengingati setiap bait rinait dan watang. Persoalannya sanggupkah kita memberi ruang kepada otak dan minda kita untuk menghafal semua ini? Penulisan saya akan bersambung kepada shamanisme yang seterusnya iaitu “Moguhok”.

]]>

Roh Yang Hidup, Aki Nabalu

Aki Nabalu Aki Nabalu[/caption] Kelahiran Aki Nabalu Suatu ketika dahulu, Kinorohingan ataupun dikenali sebagai TUHAN mempunyai dua orang anak iaitu Taadakon dan Bulantoi. Taadakon merupakan anak sulung kepada Kinorohingan dan Bulantoi adalah anak bongsunya. Taadakon dan Bulantoi mempunyai sifat yang berbeza dimana Taadakon lebih kepada menjadi penjaga di Bumi manakala Bulantoi seringkali membuatkan manusia sakit dan memberikan kehidupan yang susah. Melihat kepada tingkah laku anak-anaknya, Kinorohingan mengarahkan Taadakon untuk tinggal di Gunung Kinabalu manakala Bulantoi hanya berkeliaran di kawasan hutan dan berterusan mengacau manusia. Ini telah memberikan amanat kepada Taadakon untuk menjaga gunung dan mengetuai segala penghuni yang mendiaminya. Pengamal kepercayaan pagan atau agama asal mempercayai roh-roh yang sudah meninggal dunia akan naik ke Gunung Kinabalu untuk menetap disana. Sehingga hari ini, penduduk Sabah memanggil Taadakon sebagai Aki Nabalu. Semangat yang Indah & Suci Penceritaan pendek dari nenek moyang ini memberikan satu gambaran yang sangat mendalam tentang siapakah Aki Nabalu. Aki Nabalu adalah anak kepada Kinorohingan dan itu meletakkan Aki Nabalu sebagai satu semangat yang indah dan suci kepada pengamal agama asal. Bagi mereka, semangat ini adalah hidup dan tidak dapat dipisahkan dari tubuh manusia, sepertimana ungkapan yang sering dikatakan, “Kita adalah Bumi dan Bumi adalah kita”. Penjaga Kota Seperti dalam petikan bible: “Lalu, di dalam roh ia membawa aku ke atas sebuah gunung yang besar lagi tinggi dan ia menunjukkan kepadaku kota yang kudus itu.” (Wahyu 21:10) Petikan ini mencerminkan bagaimana juga Kinorohingan membawa Aki Nabalu ke atas Gunung Kinabalu dan menunjukkan Sabah sebagai sebuah kota yang kudus. Sabah sebagai kota kudus, seharusnya tidak dicelar dan dicemari dengan kemusnahan alam sekitar dan pelbagai pembangunan konkrit. Tetapi malangnya, apa yang diimpikan oleh Aki Nabalu tidak kesampaian, Sabah kini dikatakan sedang dalam pembangunan yang pesat seperti yang diinginkan oleh mereka yang bersifat materialistik. Kinabalu Peak Semangat yang Sentiasa Hidup Aki Nabalu adalah semangat yang hidup berbilion tahun lamanya. Amanda Leonie dalam penulisannya mengungkapkan, “bagaimanakah mampu kita fahami spiritualiti yang lebih lama dari kewujudan bumi sendiri. Umur alam semesta adalah 13.7 bilion tahun, planet Bumi dalam lingkungan 3.8 bilion tahun, kehidupan ialah 2 bilion, dan kewujudan manusia di Bumi hanya dalam 7 juta tahun.” Persoalan yang sama timbul, sejauh manakah kita mampu memahami spiritualiti Aki Nabalu, sekian lama semangat ini hidup, tetapi sejauh manakah kita mendekati semangatnya dan bersatu dengannya. Adakah hanya selepas gempa bumi, baru kita mulai sedar dan rasa yang semangat Aki Nabalu adalah suatu realiti. Ini juga bermakna, Aki Nabalu sudah wujud sebelum kedatangan agama-agama lain seperti Kristian dan Islam di Sabah. Sejak Bumi dibentuk, Gunung Kinabalu sudah tersergam indah berdiri. Hanya selepas kedatangan para penginjil dari Eropah, telah membawa separuh penduduk Sabah kepada agama Kristian. Pemikiran ini dikuatkan lagi dengan penceritaan ringkas oleh nenek moyang, dimana semasa Jepun menawan Sabah, pada masa itu lebih dikenali sebagai Borneo pada tahun 1942, tentera Jepun cuba meletupkan Gunung Kinabalu dengan dua biji bom tetapi tidak meletup. Dengan perasaan tidak puas hati, mereka melontarkan bom yang ketiga ke puncak gunung, disaat itu, keluar satu rumah dan muncul seorang manusia yang bertelinga besar dan menuding jari ke arah kapal tentera Jepun itu. Tentera Jepun ketakutan dan mereka tidak berjaya meletupkan Gunung Kinabalu. Kejadian ini menguatkan pegangan kepercayaan agama asal yang Aki Nabalu memang benar-benar hidup di puncak gunung itu. Aki Nabalu dalam Kemodenan Semangat Aki Nabalu seolah-olah dilupakan dalam kesibukan arus pemodenan sehinggalah gempa bumi yang mengejutkan penduduk Sabah. Penduduk Sabah hanya melihat semangat Aki Nabalu bangkit dalam keadaan marah disebabkan oleh pelancong asing yang berbogel di puncak. Gempa bumi ini membawa kepada bermacam-macam perdebatan seperti pelancong asing berbogel seharusnya menghormati tempat suci, ada juga yang mengatakan gempa bumi bukan disebabkan oleh pelancong tersebut. Saya berfikir, sekiranya gempa bumi tiada, adakah Aki Nabalu terlintas di fikiran kita atau kita terus hanyut dalam khayalan pemodenan yang makin melimpah ruah. Saya cuba membayangkan Aki Nabalu berdiri di puncak dan melihat ke satu pandangan luas iaitu kota kudus Sabah, dengan kesakitan melihat perubahan alam dari rimbunan hijau ke konkrit. Aki Nabalu juga dimodenkan menjadi Gunung Kinabalu sebagai pusat pelancongan untuk tujuan pembangunan ekonomi. Dia menerima ratusan pengunjung setiap hari. Pengunjung yang bertujuan untuk menikmati keindahan puncak gunung dan juga merasai semangatnya. Namun sejauh manakah pengunjung ini betul-betul menyelami isi hati Aki Nabalu, berkomunikasi dengannya dan cuba bersatu dengannya? [caption id="attachment_4901" align="aligncenter" width="546"]Upacara Monogit Upacara Monogit[/caption] Monogit Susulan gempa bumi ini, sekumpulan Bobolian ataupun bomoh melakukan upacara Monogit ataupun dikenali sebagai upacara menyenangkan semangat Aki Nabalu. Ini adalah upacara berkomunikasi dengan Aki Nabalu dan meminta maaf kepadanya. Upacara sebegini sepatutnya dilakukan sekali dalam setahun untuk bersyukur dan berterima kasih kepada Aki Nabalu, akan tetapi, ini seolah-olah tidak berlaku lagi kerana kebanyakan penduduk Sabah sudah menganuti agama Kristian. Sesetengah penganut Kristian mengatakan kamu tidak boleh melakukan atau mengikuti upacara ini kerana ia melanggar pegangan dan dianggap berdosa. Pemikiran sebegini sudah tentunya membawa kesedihan yang teramat kepada Aki Nabalu. Seolah-olah kita cuba menidakkan kewujudannya di Bumi. Jika kita rujuk kepada petikan dalam Kejadian 22:13, “Abraham mengambil domba itu, lalu mengorbankannya sebagai korban bakaran pengganti anaknya”. Kisah Abraham ini jelas menunjukkan penyembahan dengan menggunakan darah binatang kepada Tuhan. Begitu juga dalam konsep Monogit, penyembahan dengan menggunakan darah kerbau kepada Aki Nabalu. Jadi apa bezanya disini, upacara Abraham dengan Bobolian. Maka saya melihat disini, mengikuti upacara Monogit bukanlah satu perbuatan dosa. Mereka yang beragama Kristian dan telah mengikuti upacara Monogit, tidak payah risau terhadap mereka yang menghakimi kamu sebagai orang berdosa. Kita sepatutnya risau terhadap mereka yang sudah jatuh dalam kekuasaan material dunia. Seperti Paus Fransiskus mengatakan dalam khutbahnya, “godaan setiap hari kepada umat Kristian adalah tarikan yang lebih kepada dunia material dan kuasa dan pada masa yang sama cuba membentuk gereja. Hasilnya kita menjadi orang Kristian atas nama sahaja tetapi hati dilaburkan kepada dua kepentingan di atas, maka akibat sikap itu membuatkan iman, misi dan gereja menjadi lemah.” Teguran yang mendalam dari Paus kepada seluruh umat Kristian. Aki Nabalu Dulu & Sekarang Walaupun rupa bentuk Gunung Kinabalu sudah berubah, namun semangat Aki Nabalu tidak berubah. Berlakunya gempa bumi atau tidak, kita seharusnya mula merenung dengan mendalam. Aki Nabalu sebenarnya sentiasa berbicara kepada kita sepanjang masa. Bisikannya yang penuh harapan agar kita sebagai generasi baru tidak melupakan kewujudannya. Kita sebagai Kristian tidak lansung membuangnya. Kita yang mengejar material dunia tidak memusnahkanya. Kita sebagai BUMI harus bersatu dengannya. Article 19

]]>

Moguhok: Rawatan shamanisme tradisional Sabah

Tiga cara Ketiga-tiga cara ini digunakan mengikut kepada kesakitan yang di alami oleh pesakit. Moguhok dengan menggunakan cara Opuhan biasanya di amalkan apabila si pesakit mengalami kesakitan seperti sakit perut dan sakit kepala. Bobolian akan mengambil secubit kapur sirih dan menyanyikan jampi sebanyak tujuh kali ke atas kapur sirih dan selepas nyanyian ke tujuh, Bobolian akan mencampurkan sedikit air ke atas kapur sirih dan meletakan kapur sirih tersebut di kepala ataupun di perut si pesakit. Kesakitan perut dan kepala akan hilang secara perlahan-lahan dalam masa 30 minit. Moguhok yang kedua iaitu Kotigogon juga di gunakan untuk kesakitan perut di mana Bobolian akan menyanyikan jampi sebanyak tujuh kali sambil mengurut perut si pesakit. Kotigogon di lakukan mengikut masa waktu kesakitan perut tersebut berlaku. Contohnya, jika kesakitan berlaku di waktu subuh, maka Moguhok Tigog Bantakan Kosuabon atau bermaksud mengurut di waktu pagi mesti di lakukan. Begitu juga jika kesakitan berlaku di waktu tengah hari dan petang, Tigog Bantakan Tangadau atau mengurut di waktu tengah hari dan Tigog Bantakan Sodopon atau mengurut di waktu petang mesti di lakukan. Kesakitan yang berlaku di waktu pagi tidak boleh di lakukan di sebelah malam ataupun tengah hari. Moguhok yang ketiga ialah Puruton dimana Bobolian akan menyanyikan jampi sebanyak tujuh kali sambil memungut kesakitan yang di alami di mana-mana bahagian tubuh badan dan meletakkan kesakitan tersebut di dinding. Bobolian tidak di benarkan memlemparkan secara kasar atau membuang kesakitan tersebut di celah-celah lubang kerana Bobolian percaya yang Rogon ataupun syaitan tidak boleh di sakiti walaupun mereka menyebabkan si pesakit merana dengan kesakitan tersebut. Pengeras Ketiga-tiga cara Moguhok ini di amalkan dengan cara yang mudah di mana Bobolian akan menghafal semua nyanyian samada pendek ataupun panjang dan biasanya mengambil dalam masa 6 bulan untuk mempelajarinya. Seseorang pesakit biasanya di wajibkan untuk memberi pengeras kepada Bobolian seperti duit RM2.00 atau secubit beras. Melalui beberapa pengalaman yang saya telah lalui di mana saya akan kongsikan disini. Semasa saya kecil, saya telah mengalami kaki terseliuh yang teruk di mana kaki sebelah kanan telah bengkak sehingga saya sukar untuk berjalan. Nenek saya mengambil sehelai kain hitam dan menyapukan minyak ke atas kain hitam tersebut. Kemudian nenek saya menyanyikan tujuh kali jampi dan mengikat kain hitam tersebut di kaki saya yang bengkak. Wow! Ianya mengambil masa dalam setengah jam, bengkak di kaki saya surut dan kesakitan berkurang. Selain itu, seorang perempuan di kampung saya telah mengalami tulang belakang terseliuh yang teruk sehingga suaminya terpaksa mengangkatnya. Nenek saya melakukan Mohugok seperti yang di lakukan dengan kaki saya. Dalam masa seminggu, perempuan tersebut dapat berjalan seperti biasa tanpa mendapat perubatan daripada hospital. Syed Muhamad Saya akan kongsikan bait-bait nyanyian untuk kesakitan yang terseliuh di sini di mana mesti di nyanyikan sebanyak tujuh kali. Butung kusita si tambi-tambi, si kobot komulakas, si kabar ponupala, barakat Syed Muhamad, barakat ku Melalui pengamatan dalam nyanyian di atas, kita dapat melihat satu nama yang sinonim dengan pendengaran kita semua iaitu Syed Muhamad. Mengikut kepercayaan Bobolian, nama tersebut di panggil untuk meminta berkat dengan tujuan untuk penyembuhan. Pengalaman yang seterusnya iaitu bapa saya telah mengalami keracunan bisa akibat gigitan labah-labah hitam. Nenek saya mengambil isi bawang putih dan menumbuknya halus. Selepas itu, nenek saya menyanyikan jampi sebanyak tujuh kali dan meletakkan isi bawang tersebut di tangan bapa saya yang telah terkena gigitan labah-labah hitam. Secara perlahan-lahan, bapa saya mengatakan yang kesakitan tersebut beransur-ansur pulih dalam 30 minit kemudianya. Bait-bait nyanyian untuk Moguhok ini adalah seperti berikut; Ondung-ondung di tarabandung, burung di bukit, suyung lumunu, suyung di lunu Nyanyian dan puisi dalam rawatan Nyanyian di atas adalah seperti sebuah puisi di mana apabila kita mengamatinya setiap nyanyian adalah berunsurkan kepada alam seperti bukit dan burung. Inspirasi dan tenaga dalam pengamalan Moguhok sangan bergantung kepada tenaga kosmos yang menyembuhkan setiap kesakitan manusia. Apabila mengamati kesemua pengamalan seperti Mamagambil, Magambao dan Moguhok dalam shamanism agama tradisi, saya mendapati bahawa kesemua shamanism ini adalah membawa manafaat kepada manusia dan ianya tidak bertentangan dengan agama-agama lain. Seperti yang kita sering dengar di mana shamanism agama tradisi adalah kepercayaan kuno dan melanggar ajaran agama Kristian dan Islam di mana ada yang mengatakan “kamu tidak boleh belajar ilmu ini jika kamu sudah menganuti agama Kristian”. Saya berfikir, sejauh manakah kenyataan ini benar dan tepat? unnamed

]]>

Hubungan Malaya, Sabah dan Sarawak: Cinta atau dusta?

Perihal Perjanjian Malaysia 1963 Salah satu intipati penting pembentukan Persekutuan Malaysia adalah Perjanjian Malaysia 1963. Mengapa Perjanjian Malaysia ini wujud? Setiap tender projek mesti ada pengesahan antara pemberi dan penerima beserta garis panduan, manakala setiap urusan perkhidmatan mesti ada terma dan syarat. Dalam konteks Malaysia, perjanjian ini mengikat kontrak sosial antara beberapa pihak. Sekiranya ianya diingkari, pihak yang terlibat ada hak untuk mempersoalkannya. Memetik kata-kata Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pelancaran program Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian di Kuala Lumpur 7 September lalu, “Tidak ada mana-mana pihak boleh mengatakan mereka mempunyai hak kebebasan bersuara dalam mempersoalkan perkara asas yang membentuk Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang aman dan harmoni kerana Perlembagaan sendiri tidak menganggap ia sebagai satu hak.” Jelas, kata-kata Timbalan Perdana Menteri ini adalah satu singgungan besar bagi seluruh penduduk Sabah dan Sarawak. Mereka sewajarnya diberi hak untuk mempersoal serta menuntut sama ada 20/18 Perkara Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia itu dipatuhi atau tidak. Apa yang saya ingin nyatakan disini, kerajaan Persekutuan ingin menutup suara jati Sabah dan Sarawak kerana telah sedar bahawa mereka gagal mematuhi Perjanjian Malaysia 1963. Percanggahan? Jikalau diteliti dengan jitu, terdapat percanggahan antara Perjanjian Malaysia 1963 dengan Perlembagaan Persekutuan. Mengapa perkara ini terjadi? Siapakah yang menggubal dan meluluskan akta-akta tersebut serta memansuhkan akta-akta penting yang ada dalam Perjanjian Malaysia 1963. Terdapat banyak kajian serta dapatan umum berserta fakta mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dan kaitannya dengan Perlembagaan Persekutuan oleh gerakan-gerakan nasionalis mahupun peguam serta ahli akademik. Salah satu sebab utama yang mengatakan Perjanjian Malaysia tidak sah dan perlu disemak semula setelah terkeluarnya negara Singapura daripada Persekutuan Malaysia. Pemansuhan serta pemindaan akta-akta penting bagi hak Sabah dan Sarawak seperti yang melibatkan kebebasan beragama di Sabah dan Sarawak, penggunaan bahasa Inggeris, pengeluaran petroluem dan yang berkaitan menunjukkan ada usaha kolonisasi politik Malaya ke atas Sabah dan Sarawak. Wajarkah royalti 5% petroluem diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk usaha pembangunan jika dibandingkan dengan 11 lagi negeri-negeri Malaya yang jauh lebih kecil keluasannya dan tidak setimpal dengan kekayaan hasil buminya? Status Sabah dan Sarawak dalam Malaysia Renung kembali fakta sejarah penting ini. Penubuhan Sarawak adalah pada 24 September 1841 oleh James Brooke. Ia merdeka daripada kolonial British pada 22 Julai 1963. Sabah pula ditubuhkan pada 20 Mei 1882 oleh Syarikat Piagam Borneo Utara British dan telah dimerdekakan oleh kolonial British pada 31 Ogos 1963. Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya ditubuhkan pada 31 Januari 1948 dan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan rakyat di Sabah dan Sarawak mengenai gagasan Persekutuan Malaysia. Agak mendukacita apabila hanya mendapat 4,000 daripada 1.2 juta penduduk dari Sabah dan Sarawak sahaja yang menyokong referendum Persekutuan Malaysia ketika itu. Ini menimbulkan persoalan, bagaimana laporan Surahanjaya Cobbold menyatakan 2/3 rakyat Sabah dan Sarawak menyokong gagasan Malaysia boleh diusulkan sekaligus untuk membentuknya? Ramai tidak faham apa status negara Persekutuan Malaysia jika diaplikasikan pada tahun 1963 ketika itu. Singapura, Sabah dan Sarawak merupakan rakan kongsi setaraf bersama Malaya sebagai gabungan beberapa negara dalam membentuk Persekutuan Malaysia. Justeru, tidak hairan mengapa penduduk Malaya terpaksa mempunyai passport untuk memasuki kawasan ketibaan kapal terbang di Sabah dan Sarawak. Setengah abad berlalu Setelah lebih setengah abad Malaysia dibentuk, Sabah dan Sarawak dahulunya negara berdaulat, kini berubah menjadi negeri dalam sebuah kawasan bernama Malaysia dengan pelbagai siri-siri pencabulan terhadap Perjanjian Malaysia 1963. Sekiranya benar Perjanjian Malaysia 1963 batal dan tidak sah, rakyat Sabah dan Sarawak tidak perlu terikat untuk kekal dalam hubungan tidak sama rata dan tidak adil dengan Malaya kerana mereka mempunyai hak yang sewajarnya ke atas bumi mereka sendiri. Masakan pokok bergoyang jikalau tiada ributnya. Begitulah juga dengan Persekutuan Malaysia. Suara-suara sumbang nasionalis Sabah dan Sarawak semakin membingit dan memekak tanpa menghiraukan ancaman Akta Hasutan menunjukkan semangat kental mereka untuk menuntut kembali hak mereka yang telah dicabuli. Apa yang dapat saya sampaikan, patuhi Perjanjian Malaysia 1963 kalau ingin kekal bersama Sabah dan Sarawak. Kesimpulan Saya bukan bermaksud untuk menghina hari Malaysia melalui penulisan ini. Saya ingin mengajak pembaca untuk berfikir dan renung sejenak akan realiti yang berlaku di Malaysia. Azam Hari Malaysia sewajarnya menjadi lebih indah dan bermakna bagi Malaya, Sabah dan Sarawak jika dihayati dengan cinta kasih terhadap kontrak sosial pembentukannya iaitu Perjanjian Malaysia 1963. Akhir kalam, terpulanglah kepada sesiap untuk mengandai kiranya Malaysia ini adalah lahirnya sebuah cinta atau lahirnya sebuah dusta.         unnamed

VERMOX
]]>

Erti Merdeka bagi Sabah dan Sarawak

Siapa yang Merdeka?  Bayangkan jikalau kisah Puteri Hang Li Po dan Hang Tuah lima bersaudara sebenarnya tidaklah sebagaimana yang diperkatakan dalam sejarah Melayu Melaka, tetapi sebaliknya hanyalah lagenda? Bagaimana pula jikalau ada sejarah lain yang benar mengenai sesuatu peristiwa penting, namun sejarah tersebut disembunyikan? Apakah motif sejarah diperlakukan sedemikian rupa? Siapakah yang menerima faedahnya? Saya bukan berniat untuk menghasut bahkan apatah lagi menghina tarikh kemerdekaan 31 Ogos 1957. Namun, saya ingin mengajak rakyat Malaysia yang berfikiran matang dan terbuka meneliti serta mengkaji semula sejarah sebenar “Persekutuan Malaysia” daripada pelbagai sumber dan aspek. Tahun ini, hari kemerdekaan telah masuk tahun yang ke-57. Dilema Sabah dan Sarawak Salah satu kesilapan fatal dalam penyampaian sejarah adalah kronologi peristiwa Pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Sabah dan Sarawak pada mulanya telah pun merdeka, masing-masing daripada British pada 31 Ogos 1963 dan 22 Julai 1963. Oleh sedemikian, secara rasminya Sabah dan Sarawak merupakan negara yang berdaulat. Sabah dan Sarawak belum sempat meniti cita-cita sebagai negara berdaulat seperti yang dijanjikan British. Tiba-tiba, dengan tidak semena-mena sebuah gagasan baru dicadangkan dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold atas desakan rayuan Malaya serta kerjasama British untuk membentuk sebuah negara baru bagi mengimbangi kuasa politik, menghalang pengaruh komunis serta keseimbangan kaum dan mengukuhkan kedudukan ekonomi. Model Persekutuan yang dijanjikan adalah serupa seperti United Kingdom. Pada mulanya, ramai rakyat Sabah dan Sarawak tidak bersetuju dangan gagasan persekutuan tersebut kerana ianya dianggap satu bentuk koloni baru oleh Malaya. Namun, setelah rundingan, hampir kesemua parti-parti Sabah dan Sarawak pun bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia bersama Singapura. Rentetan peristiwa tersebut, Perjanjian Malaysia 1963 pun temeterai dan Persekutuan Malaysia pun diisytiharkan pada 16 September 1963. Beserta Perjanjian Malaysia tersebut, dimuatkan juga Perjanjian 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak. Jikalau 20/18 Perkara Sabah dan Sarawak itu hanya memorandum dan bukan perjanjian sebagaimana didakwa oleh segelintir “pakar sejarah” mahupun ahli politik, maka penubuhan Persekutuan Malaysia 1963 langsung tidak melambangkan citra keagungan, kesucian, kemuliaan dan kedaulatan kerana ianya dicabuli dan menzahirkan bahawa Malaya memang sebuah kolonial yang licik. Melalui Perjanjian tersebut barulah dikatakan lahirnya sebuah cinta iaitu Malaysia dimana ianya dibentuk menjadi sebagai Persekutuan. Realiti Semasa Sabah dan Sarawak Kita lihat pelbagai persepsi serta konotasi negatif dilemparkan apabila penduduk Sabah dan Sarawak berhijrah ke Malaya atas sebab melanjutkan pelajaran dan peluang pekerjaan. Sebagai seorang siswa, saya serta rakan-rakan Sabah dan Sarawak saya pernah diajukan soalan seperti “Di Sabah/Sarawak masih ada yang tinggal atas pokokkah?”, “Orang di kampung masih pakai cawatkah” dan pelbagai lagi soalan mengejek lain diajukan oleh segelintir siswa Malaya yang jahil. Tidak kurang juga di laman sosial, masih ada lagi juak-juak seperti pekerja jabatan kerajaan dari Malaya seperti guru yang kurang prihatin atau tidak ikhlas mempersoalkan mengapa mereka dihantar ke sana serta menghina penduduk Sabah dan Sarawak kerana tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap serta kekurangan tenaga pekerja tempatan mereka walhal mereka tidak diberi peluang atau tidak mempunyai ruang kerjaya di kawasan mereka sendiri. Jika dilihat pada paksi realiti, Sabah dan Sarawak membangun dengan pesat terutama di kawasan-kawasan bandar serta pekan-pekan kecil. Persoalannya, mengapa kawasan perkampungan dan pedalaman masih lagi miskin dan tidak dilengkapi keperluan asas yang mencukupi? Jikalau dilihat pada kekayaan hasil muka bumi seperti minyak Sabah dan Sarawak, Petronas memperoleh keuntungan hasil kira-kira RM 70 billion setahun. Mana mungkin 5% royalti minyak itu cukup jikalau ianya tidak mencukupi untuk keperluan pembangunan infrastruktur serta modal insan di Sabah dan Sarawak. Realitnya 2/3 hasil minyak tersebut adalah diperoleh dari Sabah dan Sarawak yang sepatutnya ada hak mengurus peratusan perolehan mereka untuk diberikan kepada Persekutuan. Tidak kurangnya dengan pelbagai masalah-masalah lain, seperti kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Sabah, serangan pengganas di Sabah projek empangan mega Sarawak dan banyak lagi. Persoalan utama bagi peduduk Sabah dan Sarawak adalah: Inikah yang wajar mereka peroleh selama 51 tahun dalam Persekutuan Malaysia? Gerakan Nasionalis Sabah dan Sarawak Atas kesedaran bahawa Sabah dan Sarawak berhak mendapat hak yang sama seperti Malaya, serta inginkan keadilan  dan kebenaran ditegakkan, maka ramai individu Sabah Sarawak tampil mempersoalkan status quo mereka dalam Persekutuan Malaysia. Daripada beberapa individu ini, maka tampillah gerakan nasionalis yang bergerak secara berperingkat-peringkat bagi memberi kesedaran. Meskipun demikian, tidak semua gerakan nasionalis ini sama pada zahirnya. Ada gerakan yang memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak hanya untuk Sabah dan Sarawak sahaja, ada pula gerakan yang memperjuangkan pengkajian semula Perjanjian 18/20 Perkara Sabah dan Sarawak, serta Akta Malaysia dalam Persekutuan Malaysia beserta pemulihan semula Persekutuan Malaysia. Ada pula gerakan yang memperjuangkan kemerdekaan mutlak Sabah dan Sarawak dengan pemisahan daripada Persekutuan Malaysia. Persoalan sekarang, mengapa gerakan-gerakan ini timbul dan lebih berani? Adakah ini agenda pembangkang kerajaan? Adakah ini agenda puak pelampau? Saya berpendapat gerakan ini timbul kerana kesedaran segelintir individu yang serik melihat anak bangsa mereka menagih simpati di tempat lain sedangkan tanah tumpah darah mereka kaya dengan hasil bumi. Mungkin juga kerana serik ditipu dengan penyembunyian serta manipulasi fakta sejarah oleh juak-juak tertentu bagi kepentingan pemerintah. Mungkin juga mereka kesal dengan sikap pemimpin bangsa mereka terdahulu yang silap menandatangani perjanjian membentuk Persekutuan Malaysia dan akhirnya merasakan mereka dijajah oleh kolonisasi baru oleh Malaya. Renungan erti kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 bagi Sabah dan Sarawak Memetik kata-kata Naspazi’s Channel (Nasionalis Sabah) di laman sosial Facebook: Kalau Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957 (57 tahun); Kalau Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 (51 tahun); Kalau Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 (51 tahun); maka Bilakah Persekutuan Tanah Malaya merdeka?; dan Bilakah Malaysia dibentuk?; Adakah Malaysia itu Malaya?” Sekiranya mengikut logik kata-kata tersebut, sesiapa yang mengatakan Malaysia itu merdeka 31 Ogos 1957 adalah orang-orang yang berdusta dengan sejarah. Mana mungkin Malaysia merdeka, sedangkan Malaysia tidak pernah dijajah? Adalah lebih fatal jika Sabah dan Sarawak dianggap merdeka pada tarikh 16 September 1963 melalui pembentukan Malaysia. Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 diikuti Sabah dan Singapura pada 31 Ogos 1963. Justeru, jikalau kemerdekaan telah disytiharkan, maka status kemerdekaan sudah pasti adalah negara. 3 negara iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura yang telah merdeka bersama negara Malaya telah membentuk Persekutuan Malaysia; maka disitulah lahirnya sebuah cinta. Akhir kalam, saya berharap agar pihak pemerintah menghentikan pemanipulasian fakta sejarah dengan mengikhtiraf kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963, diikuti kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963, seiring dengan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957, agar tidak luput dek telan zaman. Apalah makna kemerdekaan jika masyarakat masih terjajah dengan penipuan sejarah serta ketidakadilan sosial yang menghalang pembentukan identiti Malaysia yang sebenar?         unnamed

VERMOX
]]>

Tembok 1Malaysia: Perpecahan didahulukan

Tembok Berlin belum runtuh.

Ya – “Tembok Berlin” masih wujud, malah telah dibina semula di negara kita sendiri.

Tembok yang dibina oleh Republik Demokratik Jerman pada 13 Ogos 1961 untuk memisahkan Jerman Timur dan Jerman Barat, tembok yang melambangkan bukan sahaja pemisahan fizikal, tetapi pemisahan mental dan pemisahan ideologi antara rumpun yang berkongsi darah dan sejarah yang sama, telah dibina semula di tanah air kita yang tersayang.

Bezanya, tembok ini tidak lagi mempunyai bentuk fizikal – ia wujud di mana saja dan di setiap strata masyarakat.

Pembinanya bukan orang Jerman – jauh sekali – tetapi orang kita sendiri. Pemerintah kita. Kita. Kita sendiri.

Tembok Berlin telah menjadi Tembok 1Malaysia.

Politik perkauman

Pada pendapat penulis, tembok ini telah mula dibina pada zaman jajahan British dimana rakyat koloninya dipisahkan mengikut kaum.

Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina, India dengan India. Dasar ini dikenali sebagai ‘Divide and Rule’ (Pisah dan Jajah) dan berasaskan logika bahawa jika sesebuah masyarakat koloni dipisahkan mengikut kaum. Dalam wujudnya sengketa dan kesalahfahaman akibat pemisahan ini, masyarakat tersebut tidak akan dapat bersatu untuk menumbangkan penjajahnya.

Tarikh 31 Ogos 1957 menjadi saksi kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dari penjajah British. Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 manakala Sabah pula merdeka pada 31 Ogos 1963. Pada 16 September 1963, wujudnya sebuah persekutuan baru – Persekutuan Malaysia hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Tetapi apakah kita benar-benar merdeka dari penjajah?

Lihat sahaja nama parti-parti komponen yang paling lama berdominan di Malaysia:

United Malays’ National Organisation. Malaysian Chinese Association. Malaysian Indian Congress.

Alasan di halaman buku sejarah: Supaya ketiga-tiga kaum ini mempunyai wakil masing-masing di arena politik. Kononnya melambangkan perpaduan dan sikap toleransi di antara ketiga-tiga kaum ini.

Adakah ia benar-benar berhasil? Jika ya, mengapakah kita masih kerap mendengar ucapan berbaur perkauman di arena politik negara dan di laman media sosial misalnya?

Apakah masalahnya jika kita mewujudkan satu parti atau entiti di mana namanya melambangkan suatu tujuan yang dipupuk bersama, dan bukan berdasarkan kaum ahli-ahlinya?

Ini tidak termasuk lagi hal hak istimewa Bumiputera/Melayu lawan Pendatang yang tentunya akan mencetuskan kontroversi jika dihujah di sini.

Tambah lagi hal sekolah vernakular yang kononnya juga melambangkan toleransi antara kaum. Tidak boleh dipersoalkan. Topik sensitif kata kita.

Tetapi dan dengan mulut yang sama, kita melafazkan kata-kata tersebut: “Tuhan mencipta semua manusia sama rata. Tiada yang lebih tinggi atau yang lebih istimewa kecuali yang Maha Esa”.

Politik agama

Susah untuk penulis mencari contoh negara lain di era moden kini di mana seseorang itu secara otomatik, dari lahir, wajib menjadi penganut sesebuah agama jika dia lahir di dalam kaum yang tertentu. Apalagi kalau ini ditetapkan di dalam perlembagaan sesebuah negara. Ternyata Malaysia memang sebuah negara yang istimewa.

Namun begitu kerapkali jika hal ini dipersoalkan, penyoalnya akan ditelagah dan dituduh sebagai mencuba merosakkan akidah atau mencuba mengaburi iman seseorang.

Ya tentunya setiap agama akan menyatakan bahawa ia adalah jalan yang sebenar.

Persoalannya adalah: Agama manakah yang menyatakan dalam kitab sucinya bahawa sesebuah kaum itu wajib menganuti agama tersebut?

Dalam cubaan menekankan pentingnya kesucian iman dan kekuasaan Tuhan, adakah kita telah mencipta undang-undang baru yang tidak pernah disyorkan oleh agama kita?

Kebebasan beragama itu hak asasi setiap manusia yang tidak sepatutnya dirampas oleh mana-mana entiti, termasuk perlembagaan sesebuah negara.

Biarlah seseorang itu menemui kebenaran melalui bimbingan serta pancaran sinar Tuhan ke atas hatinya, dan bukan atas paksaan langsung atau tidak langsung. Dengan merampas kebebasan agama sesebuah kaum melalui perlembagaan negara – dalam kata lain, undang-undang tertinggi sesebuah negara (yang tetap ciptaan manusia, bukan ciptaan Tuhan) – kita telah menyekat banyak peluang untuk berdialog secara bermakna dan terbuka.

Akibatnya, kita akan tetap dengan prejudis kita… dan lingkaran persalahfahaman ini akan berpusar dan berpusar sehingga – dan semoga – satu hari bila kita berani membuat perubahan.

Bukan berani kerana iman kita lalai, tetapi berani kerana iman kita cukup teguh untuk menempuhi apa jua halangan dan cobaan.

Sentimen nasionalis Sabah dan Sarawak

“Welcome to Malaysia!” “Awak tinggal atas pokok ke? Semua pakai cawat ke?” “…akan dihantar ke seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.” “Malaysia wujud pada 31 Ogos 1957.” Majoriti penduduk Sabah dan Sarawak pasti sudah biasa sekali dengan pernyataan-pernyataan sebegini. Ya, di era moden yang lengkap dengan kewujudan kemudahan Internet, ternyata pernyataan-pernyataan tersebut masih wujud 51 tahun selepas pembentukan Malaysia! Dari sudut tersebut kebangkitan sentimen nasionalisme di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak yang makin lantang tidak hanya berpunca dari sentimen perkauman kuat segelintir kelompok yang harus ditempuhi bila menjejak kaki ke tanah Semenanjung. Puncanya adalah lebih rumit dan berkisar Perjanjian Malaysia 1963 yang kononnya tidak dipenuhi oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya, Sabah dan Sarawak telah menjadi antara negeri-negeri termiskin di Malaysia kerana hanya memperolehi 5 peratus royalti minyak dan gas walaupun kedua-dua negeri telah banyak menyumbang sumber-sumber asli tersebut. Tambah lagi dengan isu-isu agama: 1) usaha pengIslaman di sekolah walaupun kedua-dua negeri tersebut adalah negeri-negeri sekular, serta 2) penyekatan buku-buku Alkitab Bahasa Melayu oleh JAIS dan MAIS (kebanyakan pengguna Alkitab Bahasa Melayu berasal dari Sabah dan Sarawak). Jadi memang tidak mengejutkan apabila kita lihat bahawa beberapa NGO di Sarawak dan Sabah telah ditubuhkan untuk menuntut balik hak-hak otonomi kedua-dua negeri ini. Ada yang memperjuangkan kemerdekaan Sabah dan Sarawak dari Malaysia kerana menganggap bahawa sebarang rundingan dengan kerajaan persekutuan kurang membuahkan hasil. Yang lain pula hanya ingin menuntut kerajaan persekutuan untuk menghormati dan mengangkat semula kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah-wilayah yang otonomi di dalam Persekutuan Malaysia. Baru-baru ini Borneo Heritage Foundation (BHF) dan Sarawak Association for Peoples’ Aspirations (Sapa) menganjurkan sebuah forum di Kuala Lumpur untuk membahaskan Perjanjian Malaysia 1963. Jelas sekali ini menunjukkan kesedaran sejarah yang semakin meningkat dikalangan penduduk Sabah dan Sarawak, dan tahap kesabaran yang semakin berkurang terhadap isu-isu yang melanda kedua-dua negeri tersebut. Apakah respons kita sebagai rakyat Malaysia? Bagi yang pro-merdeka pula, adakah kemerdekaan Sabah dan Sarawak dari Malaysia satu-satunya solusi yang paling bagus? Mungkin benar rundingan dengan kerajaan persekutuan kurang membuahkan hasil. Tetapi sudahkah kita menggunakan cara-cara lain, misalnya menganjurkan forum dialog antara anak-anak muda Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu yang menimpa negara kita? Jom Roboh! Jelas bahawa isu-isu ini bukan hal yang boleh diremeh-temehkan dan melibatkan pelbagai aspek dari segi undang-undang, dasar kerajaan serta mentaliti rakyat yang telah terbentuk setelah beratus-ratus tahun dipengaruhi polisi ‘Divide and Rule’ oleh penjajah asing. Penulis percaya, secara peribadi kita semua inginkan perpaduan sesama rakyat yang berbilang kaum dan agama. Masalahnya, kita belum cukup menyedari kepentingan dan peranan dialog sebagi salah satu cara untuk memupuk perpaduan. Ini hanya boleh dicapai jika kita rela membuka hati dan minda untuk mempelajari perspektif baru – dan untuk mempelajari perspektif baru, kita perlu rela berhenti melabelkan sesuatu topik sebagi ‘topik sensitif’. Sesuatu topik hanya sensitif jika kita mudah sensitif dan tidak rela atau takut membahaskannya. Namun begitu tidak bermakna kita boleh mengambil kesempatan ini untuk memaki atau meremehkan pandangan orang lain. Sesuatu dialog hanya boleh menjadi dialog yang bermakna jika kedua-dua pihak melihatnya sebagai suatu peluang untuk belajar dari satu sama lain, dan bukan satu pertandingan di antara dua ego. Janganlah kita hanya bersatu dalam membina Tembok 1Malaysia. Marilah kita bergandingan tangan, hati dan minda untuk merobohkan tembok yang tidak sepatutnya wujud di kalangan masyarakat yang majmuk. Mungkin juga satu hari nanti kita akan menjadi saksi kepada kewujudan sebuah parti baru di negara kita ini: United Malaysians’ National Organisation. Mungkin. Ayuh, jom roboh!         unnamed
VERMOX
]]>

Perayaan Tadau Kaamatan Kadazan Dusun

Permulaan Tadau Kaamatan Tadau Kaamatan di rayakan sebagai tanda kesyukuran kepada semangat padi iaitu Bambarayon selepas habis tuaian padi dan memperingati semangat pengorbanan Huminodun untuk menurunkan hujan. Pada ketika dulu, terdapat sebuah kampung yang sangat aman dan damai di mana mempunyai tanaman padi dan buah-buahan yang subur. Pada suatu hari, kemarau panjang telah melanda kampung tersebut dan menyebabkan semua tanaman padi dan buah-buahan mati dan sungai menjadi kering. Seluruh penduduk kampung merasa risau kerana mereka akan kehabisan makanan dan air jika kemarau masih berterusan. Melihat keadaan yang teruk, Kinorohingan memanggil Bobolian untuk melihat keadaan tersebut. Kinorohingan dan isterinya, Sumundu merupakan seorang pemimpin di kampung tersebut dan mempunyai seorang anak perempuan iaitu Huminodun. Semasa dalam upacaranya, Bobolian tersebut memberitahu Kinorohingan dimana kemarau tersebut akan berhenti sekiranya tanah bumi di basahi dengan darah seseorang yang mempunyai cintakasih yang tinggi terhadap semua. Huminodun yang turut serta dalam upacara tersebut mendengar syarat yang diberi oleh Bobolian tersebut. Huminodun yang sudah merasai segala penderitaan yang di alami oleh penduduk kampungnya membuat refleksi yang sangat mendalam terhadap syarat yang telah diberikan oleh Bobolian tersebut. Dia mahukan keamanan dan kegembiran kembali semula di kampung tersebut. Selepas membuat refleksi yang mendalam, Huminodun berjumpa dengan Kinorohingan dan Sumundu dan memberitahu mereka bahawa dia sanggup mengorbankan dirinya untuk menghentikan kemarau dan menurunkan hujan. Kinorohingan dan Sumundu sangat sedih dengan permintaan Huminodun tetapi mereka tidak dapat menghalang kemahuannya. Keesokannya harinya, Kinorohingan dan Sumundu mengadakan perkumpulan dengan seluruh penduduk kampung dan memberitahu tentang permintaan Huminodun. Hampir kesemua penduduk kampung tidak bersetuju dengan permintaan Huminodun dan memujuk Huminodun supaya membatalkan niatnya tetapi Huminodun tetap dengan keputusannya. Menjelang senja, Kinorohingan dan kesemua penduduk kampung membawa Huminodun ke satu tempat yang lapang. Sebelum memulakan upacara, Huminodun berkata kepada Kinorohingan dalam bahasa Dusun, “Ama, poluo iti turu rangoh dot parai, poluo hilo tangkob, koturu nopo rasam om, pasasadon noh ilo tuah dau” yang bermaksud, “Bapa, simpan tujuh tangkai padi ini dalam bakul tertutup dan tanam buah-buah padi ini apabila hujan turun”. Selepas Huminodun menyerahkan tujuh tangkai padi tersebut, dia pun berlutut di tanah dan Kinorohingan pun menghunuskan pedangnya dan menujah pedang tersebut kepada Huminodun. Sebaik saja Huminodun rebah di tanah dan darahnya mengalir keluar dari tubuhnya ke tanah, hujan turun dengan lebatnya di sertai dengan guruh yang kuat membasahi bumi. Kinorohingan dan kesemua penduduk kampung bersyukur kerana hujan telah menamatkan penderitaan mereka kerana cintakasih yang telah diberikan oleh Huminodun kepada bumi. Semenjak itu, kampung tersebut mempunyai tanaman padi yang sangat subur dan mereka merayakan upacara kesyukuran kepada semangat padi iaitu Bambarayon dan memperingati semangat Huminodun yang telah berkorban untuk mereka selepas habis musim menuai padi. Upacara kesyukuran ini di adakan sehingga ke hari ini dan menjadi tradisi dan kewajipan untuk di rayakan. Tadau Kaamatan dulu dan sekarang Mengimbas kembali kepada zaman kanak-kanak saya dimana kampung saya akan merayakan Tadau Kaamatan setiap tahun pada bulan Mei. Tadau Kaamatan di rayakan bersama dengan tujuh buah kampung. Pada waktu itu, saya masih ingat dimana Tadau Kaamatan di rayakan dengan penuh tradisi dimana mereka membuat upacara dengan menyembelih seekor babi untuk di persembahkan kepada Bambarayon dengan tujuh tangkai padi yang di simpan dalam tangkob. Selain itu, Sundait dalam bahasa Dusun yang bermaksud teka teki adalah menjadi sebahagian daripada perayaan Tadau Kaamatan dimana Sundait sangat berkait rapat dengan semangat padi. Unduk Ngadau dalam bahasa Dusun yang bermaksud Ratu Cantik juga di pertandingkan dalam keadaan yang sederhana dimana seseorang Unduk Ngadau wajib mengetahui apakah makna sebenar untuk memperingati Huminodun yang mempunyai kecantikan yang luar biasa dari luar dan dalam. Selain itu, peralatan tradisional juga dimainkan seperti Gong dan Sompoton menandakan kegembiraan kita kerana mendapat hasil daripada tuaian. Tadau kaamatan di rayakan dengan sangat sederhana dan menyatukan kesemua penduduk kampung di tempat saya pada masa itu. Tahun demi tahun, saya dapat merasakan perubahan demi perubahan dalam perayaan Tadau Kaamatan dimana saya melihat fokus utama dalam perayaan tersebut adalah Unduk Ngadau dimana semua orang akan teruja dan tidak sabar menunggu siapakah pemenang Unduk Ngadau pada tahun ini. Iklan dan gambar-gambar peserta Unduk Ngadau juga di paparkan di laman web sosial di mana semua orang di kehendaki untuk membuat undian “ LIKE” terhadap gambar-gambar tersebut. Semangat Humonodun Persoalan saya ialah bagaimanakah semangat Huminodun di hayati dalam pertandingan ini? Menurut lagenda Huminodun, Huminodun mengorbankan dirinya kepada penduduk kampungnya yang menderita dan kesusahan di sebabkan kemarau yang berpanjangan. Bagi saya, ini merupakan kecantikan sebenar yang seharusnya di tonjolkan daripada kecantikan yang berlandaskan kepada rupa paras. Pada zaman ini, sudah tentunya kita tidak boleh menjadi seperti Huminodun yang sanggup mengorbankan dirinya dengan darah, tetapi di sini saya ingin membawa pembaca berfikir, “apakah maksud pengorbanan seperti dalam cerita Huminodun”?. Melalui refleksi saya, pengorbanan ini sangat meluas definisinya di mana seseorang sanggup mengorbankan masa terluangnya untuk membuat kerja-kerja dengan komuniti yang tertindas, seseorang yang sanggup menghadkan masanya dengan keluarga dan rakan-rakan untuk mengenal pasti isu-isu yang melanda, seseorang yang sanggup melepaskan dunia hiburan dan keseronokan untuk peka kepada keadaan semasa di sekeliling dengan membuang sikap tidak ambil peduli. Ini merupakan antara contoh-contoh pengorbanan kecil yang boleh di lakukan seperti Huminodun. Saya amat mengharapkan agar pemenang Unduk Ngadau pada tahun ini akan menghayati maksud sebenar“PENGORBANAN” yang telah di buat oleh Huminodun. Selain isu Unduk Ngadau, sejauh manakah semangat Bambarayon juga di hayati dalam Tadau Kaamatan. Bambarayon adalah semangat padi yang membantu para petani dalam menjaga tanaman padi dan memberikan kehidupan kepada mereka. Semangat Bambarayon sebati kepada tanah, sungai dan udara dimana kesemuanya ini berkait rapat antara satu sama lain. Tanah tidak akan berfungsi tanpa air, kita tidak akan mendapat air tanpa sungai dan tanaman tidak boleh hidup tanpa udara oksigen. Kebergantungan elemen-elemen bumi antara satu sama lain ini telah membentuk satu kitaran sistem ekologi dimana jika salah satu elemen ini musnah akan menyebabkan kitaran tersebut tidak lengkap. Kemusnahan kepada ekologi adalah seperti menghina dan tidak menghormati semangat Bambarayon yang mana kita rayakan setiap tahun dalam Tadau Kaamatan. Melalui semangat Bambarayon ini, kita seharusnya menghayati untuk menyayangi bumi dan menyedari kepentingannya semasa perayaan ini. Proses perjalanan Tadau Kaamatan seharusnya mengisarkan kepada keadaan isu alam sekarang di mana pemusnahan sedang berlaku seperti pembalakan, pembinaan empangan mega, pembakaran hutan yang akan menghilangkan semangat Bambarayon. Melalui kesedaran ini, barulah kita dapat menghayati semangat Bambarayon sebenar daripada penghayatan melalui simbolik dengan merayakan Tadau Kaamatan dengan bertopengkan dua muka dimana kamu memuja Semangat Bambarayon tetapi pada masa yang sama mengambil bahagian dalam pemusnahan alam. Maka saya melihat Tadau Kaamatan bukan setakat perayaan untuk memperingati semangat Bambarayon dan Huminodun, Tadau Kaamatan adalah perayaan yang seharusnya di renungkan dan di hayatikan dengan lebih mendalam apakah maknanya kita merayakan perayaan ini. Saya mengharapkan pembaca dapat membuat refleksi terhadap buah fikiran yang saya kongsikan melalui penulisan ini.

VERMOX
]]>