Projek Dialog

Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang: Satu Ulasan

Guru Kritik Oleh Sharifah Nursyahidah Saat saya mengamati semula suasana sekolah yang telah saya tinggalkan lapan tahun lepas untuk membandingkan dengan apa yang ada sekarang, barangkali tiada bezanya. Saya merasakan sekolah itu tetap sama, tidak lebih dari sebuah institusi yang memaksakan manusia. Bahkan, saya kira loceng dan pagar yang mengelilingi kawasan sekolah sebagai simbol pemenjaraan, kerana ia begitu tekun mengatur pelajar-pelajar untuk akur kepada arahan. Mungkin kelainannya adalah sebelum memasuki penjara sebenar, individu-individu perlu disabitkan bersalah, namun di sekolah para pelajar telah dibentuk untuk menjadi pesalah kepada kehidupan mereka sendiri. Saya tidak bermaksud untuk merendahkan institusi sekolah, namun hal-hal tentang proses persekolahan tidak ada debat, kritik dan gugatan sehingga lebih mengarah kepada dehumanisasi. Ini jelas ketara, sebagaimana yang dibahaskan dalam buku yang ditulis oleh Zul Fikri Zamir, “Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang”. Isu Utama dalam Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang Buku ini mengandungi pelbagai bahagian, satu himpunan tulisan beliau di bermacam media seperti di The Malaysian Insider dan Projek Dialog. Kalau diperhatikan, tulisan-tulisan beliau ada yang usianya sudah dua tiga tahun yang lepas namun isu-isunya masih segar kerana inilah hakikat yang sedang berlaku di negara kita, khususnya kepada anak-anak muda kita. Saya tertarik apabila beliau memulakan buku ini dengan mengambil kata-kata Pramoedya Ananta Toer, “apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tak dapat mengajar mana yang benar, dan mana yang tidak…”. Beliau mengakhiri buku ini dengan bab Kritik Teater. Mungkin ada yang tertanya mengapa soal seni dan sastera diselitkan sekali dalam buku yang tajuknya cenderung kepada pendidikan. Sekolah-Bukan-Penjara-Universiti-Bukan-KilangMaka telahan saya, tema sebenar buku ini bukanlah semata-mata pendidikan yang mengongkong, namun konteks yang lebih luas seputar permasalahan politik, ekonomi dan sosial melalui perkaitannya dengan persoalan kelas, budaya, etika dan macam-macam lagi. Ringkasnya, beliau cuba untuk menerangkan hegemoni, penindasan dan dominasi sebagaimana yang diketengahkan oleh Gramsci. Ini kerana saya perhatikan peraturan dan dasar yang ditekankan oleh State (negara) banyak mendasari tulisan beliau, seolah-olah beliau berpendapat bahawa ianya satu ketidakadilan kepada masyarakat, khususnya AUKU dan HEP. Ia banyak kali diulang dalam tulisan beliau, kerana realitinya dasar-dasar ini melibatkan anak-anak muda yang telah menyebabkan mereka menjadi tidak luwes dan tiada daya memainkan peranan dalam hal-hal masyarakat. Dalam perkara ini, saya bersetuju dengan beliau. Ini kerana anak-anak muda adalah suara rakyat, terutamanya mahasiswa kerana mereka adalah cerminan dan perwakilan rakyat. Ilmu yang mereka miliki seharusnya berupaya untuk menentang apa-apa penganiayaan oleh para penguasa. Satu kesia-siaan sekiranya mahasiswa hanya duduk dalam kelas belajar semata-mata untuk menjawab soalan peperiksaan tanpa mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut di luar kampus. Maka, tidak akan ada proses perkembangan diri di sini. Mereka hanya menerima tanpa mengamal. We Don’t Need No Thought Control Melewati keseluruhan buku ini, saya berterusan teringat petikan lirik lagu Pink Floyd – Another Brick in the Wall: “We don’t need no education, We don’t need no thought control, No dark sarcasm in the classroom, Teachers leave them kids alone, Hey teacher leave them kids alone, All in all it’s just another brick in the wall, All in all you’re just another brick in the wall…”. [“Kita tak perlu pendidikan, Kita tak perlu pengawasan fikiran, Tiada sindiran gelap di kelas, Guru biarkan saja murid-murid itu, Hai guru biarkan saja murid-murid itu, Semua ini hanya satu lagi batu-bata di dinding, Sebenarnya kau hanya satu batu-bata di dinding”] Saya meyakini bahawa hakikat tujuan pendidikan adalah untuk membangun diri sendiri tanpa dikawal mahupun dikongkong oleh mana-mana pihak. Adam Adli, Safwan Anang, Bawani dan lain-lain merupakan contoh individu yang berjaya melepaskan dan membebaskan diri dari sistem pendidikan yang membelenggu. Benar, mereka hanyalah sebuah sosok. Pandangan mereka mungkin tidak mewakili rata-rata segmen masyarakat kita yang masih lagi kebiasaan “apa” dan bukannya “kenapa”. Namun begitu mereka berhasil melontarkan sikap dan tindakan yang dipercayai benar dengan sendirinya tanpa menurut membabi buta. Ini kerana pendidikan seharusnya bersifat membebaskan. Ia berperanan besar untuk membentuk peribadi, pemikiran dan perilaku manusia supaya memahami dan dapat bertindak balas terhadap isu-isu sekitar nilai sejati kemanusiaan yang harus dipelihara. Walau bagaimanapun, sebaliknya pula yang berlaku kerana ia cuma melahirkan produk-produk yang menjadi ‘pengikut buta’ ataupun ‘pak turut’. Lebih-lebih lagi dengan campur tangan politik para penguasa di sekolah serta universiti yang mengganggu keharmonian dan makna sebenar pendidikan. Sekiranya dibuat kajian, pasti ramai yang menyatakan perasaan tidak senang tentang institusi pendidikan yang telah merenggut kebebasan fikiran mereka. Namun berbalik kepada soal AUKU tadi, saya juga percaya bahawa sebahagian besar mahasiswa kita langsung tidak pernah membaca keseluruhan isi undang-undang tersebut, sama ada mereka menyokong mahupun menentangnya. Education Freedom Sastera: Kelas kedua? Dalam bab Pendidikan Nasional, penulis turut menyatakan “keanehan” pengasingan murid kepada sistem berdasarkan sains dan sastera di sekolah. Kelas Sains terhad kepada murid-murid pandai sahaja, sementara kelas sastera khusus kepada mereka yang bukan dalam kategori tersebut. Maka secara tidak langsung, mereka telah diletakkan dalam kelas kedua, ketika layanan yang lebih baik diberikan kepada pelajar-pelajar sains. Mereka dilihat eksklusif berbanding dengan pelajar yang mengambil sastera. Pernyataan Zul Fikri Zamir ini bukan omong-omong kosong. Saya teringat pengalaman saya dahulu seusainya keputusan peperiksaan PMR. Saya ingin memohon kelas sastera kerana minat saya yang amat dalam bidang itu. Walau bagaimanapun, ada guru di sekolah saya yang menegur dan menyuruh saya memohon kelas sains, dengan alasan bahawa tiada apa-apa yang dapat diperoleh di kelas kedua itu. Saya hairan, bukankah sastera juga ilmu? Apakah sekolah memang didirikan untuk tujuan peperiksaan dan industri kerja semata-mata, bukannya makna ilmu itu sendiri yang bermatlamat memberikan pencerahan? Lantaran saya yang ketika itu lurus sangat, saya akur kepada keputusan guru saya, bukannya saya. Sejarah dan KebenaranSejarah ditulis oleh mereka yang menang‘. Kata-kata sinis ini menggambarkan keadaan sejarah yang ditulis cuma dari satu perspektif sahaja, tanpa menimbang keseluruhan cerita ataupun peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau. Lebih-lebih lagi apabila penulisan tersebut hanya menyebelahi golongan yang memiliki kuasa semata-mata. Mereka hanya menceritakan hal yang baik-baik sahaja tentang mereka, memanipulasi fakta-fakta yang ada supaya rakyat terus mempercayai kemegahan yang dibuat-buat oleh mereka. Nah, perkara ini saya kesan dalam tulisan penulis apabila beberapa kali beliau menulis tentang “55 tahun Malaysia merdeka”. Zul Fikri Zamir menulis tentang institusi pendidikan yang tenat namun dalam tidak sedar, beliau turut masih terperangkap dalam sejarah yang tidak jujur ini. Pernyataan ini tidak betul sebenarnya kerana kemerdekaan 31 Ogos 1957 hanya untuk Tanah Melayu sahaja, manakala Sabah atau Borneo Utara ketika itu mendapat kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1963. Hanya selama 2 minggu Sabah berdiri sebagai sebuah negara kerana penyatuan bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963 telah membentuk sebuah negara yang baru, yakni Malaysia. Seusainya saya meneliti buku ini, saya rasa puas kerana ia membuatkan saya rasa terkesan. Saya kira buku ini harus dibaca oleh semua, khususnya bakal pendidik dan pendidik. Saya begitu kagum dengan gerakan Teach For the Needs yang dipelopori oleh penulis sendiri dan rakan-rakannya. Saya percaya ia satu-satunya gerakan di negara ini yang dekat dengan saranan pedagogi kaum tertindas yang dibawa oleh Freire. Saya berharap ia dapat diluaskan lagi kepada lingkungan anak-anak gelandangan, petani, nelayan atau sesiapa sahaja yang tidak mempunyai ruang dan peluang menghadiri sekolah. Ia tidak harus dibataskan kepada para murid yang kurang berkemampuan menghadiri kelas tusyen sahaja kerana ‘needs’ (keperluan) yang sebenar harus dapat dimaknai sebetul-betulnya. Inilah kebenaran pendidikan. Untuk semua. Bak kata John F. Kennedy, “the goal of education is the advancement of knowledge and the dissemination of truth” [“matlamat pendidikan adalah kemajuan ilmu dan penyebaran kebenaran”]. Dan ya, kalau Zul Fikri menyambung kiasan Buya Hamka ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja’ dengan; ‘Kalau mahasiswa setakat belajar, lembu di padang juga belajar’ Izinkan saya pula untuk menambah; ‘Kalau guru cuma mengajar, Ketam di darat juga mengajar’ (Selain mengajar untuk berjalan, ketam juga mengajar untuk bekerjasama!) [Ulangsiar makalah yang telah diterbitkan pada 1 Julai 2013]

]]>

Hidup Anak Jalanan: Chow Kit

Anak-anak Chow Kit.” [caption id="attachment_4551" align="aligncenter" width="562"]Gambar: Religion of Love Gambar: Religion of Love[/caption] Ini bukan kertas kerja untuk kajian akademik, dan sudah tentu kau pun tidak akan meluangkan masa membaca kajian akademik. Aku pun akhirnya tak akan bergambar dengan topi kelakar, memegang segulung kertas kalau buat kajian akademik. Aku difahamkan berkali-kali rakyat Malaysia tidak gemar membaca. Maka aku cuba ringkaskan dan mudahkan untuk  pemahaman kita. Jarang juga aku menjumpai orang bercerita tentang anak jalanan dalam Bahasa Malaysia , atau bahasa yang mudah difahami umum, jadi aku cuba untuk berfungsi di sini. Cuma kadang-kadang kau akan jumpa perkataan-perkataan yang sukar difahami, waktu tu kau tahu bahawa dunia belum kiamat dan perangai kita perlu diubah sedikit demi sedikit. Kalau kau rasa kau terlalu bijak untuk diperlakukan begini, pergi baca buku-buku tebal yang setaraf dengan keintelektualan kau, atau sambung berzikir mencari keredhaan Allah Ta’ala. Jangan buang masa di sini. Di seluruh dunia, anak jalanan ini adalah termasuk dalam kategori orang rentan, golongan marginal atau lebih mudah dibahasakan sebagai tertindas. Mereka adalah hasil dari pembangunan ekonomi, penghakisan nilai kemanusiaan, peperangan (di negara-negara yang dilanda peperangan), kemiskinan, keganasan rumah tangga serta penderaan fizikal dan mental. Terdapat beberapa bentuk atau ciri-ciri khas anak jalanan mengikut identifikasi yang dikelaskan WHO :

  1. Anak jalanan: Anak yang langsung tidak berumah dan menghuni jalanan. Biasanya ditinggalkan keluarga atau kematian ahli keluarga. Mereka tidur di tepi-tepi jalan, rumah-rumah kawan atau bangunan terbiar.
  2. Anak yang berada di jalanan : Ini jenis yang kerap melawat keluarga. Ia mungkin pulang ke rumah untuk tidur tiap malam, tapi banyak meluangkan masa di jalanan (kebanyakan hari dan kadang malam) disebabkan kemiskinan atau penderaan fizikal atau seksual di rumah.
  3. Sebahagian dari keluarga jalanan: Mereka tinggal di jalanan bersama keluarga, berpindah dari satu tempat ke tempat lain bila perlu dan menjalankan kegiatan ekonomi di jalanan bersama keluarga.
  4. Anak dalam penjagaan institusi: Berasal dari situasi di mana ia tidak berumah dan terdedah pada risiko jika kembali ke jalanan.
  [caption id="attachment_4550" align="aligncenter" width="460"]Gambar: Religion of Love Gambar: Religion of Love[/caption] Di Malaysia, anak-anak yang hidup di jalanan terdiri dari anak-anak yatim atau yatim piatu, anak miskin,  anak-anak tidak berwarganegara (kerana tidak mempunyai sijil kelahiran) dan anak migran. Ada yang lari dari rumah, seringkali disebabkan penderaan psikologi, fizikal dan mental. Bagi yang tidak punya dokumentasi lengkap, mereka tidak dapat menikmati kemudahan sosial dari autoriti-autoriti berkenaan. Tanpa sijil kelahiran, mereka tidak dapat dibezakan dari orang tempatan, anak pendatang tanpa izin (PATI), pelarian atau pencari suaka. Begitulah nasib manusia yang terikat dengan kertas-kertas. Dalam konteks Chow Kit Kids atau anak-anak yang hadir ke kelas Region of Love di Alka Ria, Chow Kit, setakat ini anak-anak yang dikenalpasti adalah ratanya dalam kategori 3 di mana keluarga mereka tidak berumah dalam erti kata tidak punyai rumah sendiri (menyewa bilik bila mempunyai kemampuan membayar atau menumpang di rumah kawan-kawan, dan kadang-kadang terpaksa tidur di tepi-tepi jalan). Ramai yang bersekolah maka mereka tidak menghabiskan seharian di jalanan pada hari-hari persekolahan. Yang tidak bersekolah atas sebab masalah dokumentasi pengenalan diri dan kewarganegaraan sudah dan sedang dimasukkan ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih. Setakat waktu penulisan ini ada 6 orang anak yang layak dari segi umur tetapi belum ditempatkan ke Sekolah Jalinan Kasih (jumlah mereka yang datang ke kelas RoL kian bertambah). Ada lebih kurang 60 kanak-kanak setakat ini (tidak mendapat jumlah yang tepat kerana kerja memprofail masih sedang berjalan dan kehadiran segelintir anak-anak tidak konsisten). [caption id="attachment_4552" align="aligncenter" width="500"]Gambar: Religion of Love Gambar: Religion of Love[/caption] Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih memberi pendidikan asas untuk anak-anak jalanan yang tidak mempunyai dokumen, anak yatim piatu (yang ditempatkan di rumah penjagaan berdaftar) dan mereka yang tercicir dari sekolah. Aku ada masalah dengan institusi yang bernama sekolah sendiri tapi ini bukan ruangnya untuk berleter tentang itu. Perkataan-perkataan dan frasa seperti deschooling (perobohan lembaga persekolahan), homeschooling, dan anarkisme pendidikan (yang tidak popular tapi perlu diberi perhatian) masih terlalu asing bagi rakyat Malaysia yang begitu bergantung kepada sebuah sistem bergelar kerajaan. Anak-anak jalanan ini pula, ibu bapa mereka tidak dapat diharap sangat untuk mengendalikan homeschooling dan kita belum ada tenaga masyarakat yang cukup yang mahu mengajar anak-anak jalanan setiap hari dengan segala macam jenis ilmu yang dia mahu pelajari. Juga masyarakat kita sukar menerima pemikiran bahawa anak-anak punya hak untuk memilih belajar apa yang dia mahu (bagi menentukan hala tujunya sendiri) dan pada masa yang sama berhak untuk tidak mahu belajar. Semua ini kerana kebergantungan kita kepada sistem pendidikan acuan kerajaan, dan sekali lagi, kebergantungan kita kepada kertas-kertas. Pada masa yang sama tidak dinafikan anak-anak perlu diberi hak belajar. Anak-anak jalanan mempunyai hak untuk pendidikan. Selain daripada itu, pendidikan jalanan adalah efektif untuk anak-anak ini kerana jalanan adalah persekitaran mereka. Pendidikan jalanan boleh melibatkan banyak aktiviti seperti bimbingan mengenai pencegahan STD dan penyalahgunaan bahan, meningkatkan kadar literasi, dan menyedarkan mereka tentang kesihatan dan masalah sosial. Ia juga efektif untuk membimbing mereka memilih jalan hidup yang mereka mahu, dan kerana manusia adalah spesies sosial, di peringkat awal ini kita boleh membimbing mereka menyedari hakikat itu supaya mereka dapat hidup bermasyarakat dengan lebih baik. Diharapkan mereka dapat membentuk sebuah komuniti demokratik di kalangan mereka. Region of Love sedang cuba membina komuniti ini. Kami menjemput anak-anak muda yang berkebolehan dan berfikiran jauh ke depan untuk sama-sama membantu kami, berdialog, berdiskusi, mengkritik dan yang paling penting mencari penyelesaian yang lebih baik dalam usaha ini. Jangan duduk di sebuah sudut dan bersembang longkang seolah-olah kami ini sebuah kerajaan yang menghalang kebebasan bersuara kau. Jangan juga berlagak seolah-olah kau Marlon Brando yang layak kami lawati untuk mencium cincin dan meminta restu. Setiap Sabtu bermula jam 8.30 pm kami ada di Alka Ria, Chow Kit. Maaf sebab tak diselitkan kisah-kisah yang mengalirkan air mata dalam makalah kali ini. unnamed ]]>