Sejarah Pada Anak-anak Kita
Ada masa fakta dimanipulasi untuk menyampaikan propaganda, agenda dan dakyah yang membawa kemusnahan kepada perpaduan kaum yang dipupuk sejak dahulu.
Demikianlah juga hal yang dapat diperhatikan dalam isu fakta mengenai kedatangan Portugis seperti yang disajikan kepada pelajar Tingkatan 1 di seluruh negara menerusi buku teks Sejarah.
Baru-baru ini, beberapa ibu bapa beragama Kristian meluahkan rasa kurang selesa apabila anak-anak pulang dari sekolah dan bertanya tentang gambaran negatif mengenai orang Kristian dalam buku teks Sejarah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Apabila meneliti kandungan yang dimaksudkan, saya sendiri berasa hairan kerana “fakta” yang dipelajari di sekolah pada tahun 1960-an dan 1970-an tidak sama dengan “fakta” yang disogokkan sekarang.
“Kedatangan orang Portugis ke Timur dikaitkan dengan keinginan mereka meneruskan Perang Salib. Mereka ingin menghancurkan kerajaan Islam yang ada di Timur termasuk kerajaan Melaka yang merupakan pusat perkembangan dan penyebaran agama Islam. Pada masa yang sama, Portugis mahu menyebarkan agama Kristian.”
Demikian dipaparkan dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 yang ditulis oleh Ahmad Fawzi Mohd Basri, Mohd Fo’ad Sakdan dan Azami Man; serta disunting oleh Wan Norliani Wan Jusoh dan Nazri Mohamad Don.
Edisi yang saya baca adalah terbitan 2009 dan dimaklumkan bahawa terbitan 2014 juga sama kandungannya.
Saya memaparkan foto halaman buku berkenaan di Facebook pada 30 Jun 2015 untuk mendapatkan reaksi daripada rakan-rakan yang pernah belajar Sejarah di sekolah dahulu.
Dalam masa beberapa hari sahaja, paparan itu dikongsi lebih 1,660 orang dari seluruh negara. Masing-masing hairan dengan “fakta” yang dipaparkan sebagai tujuan utama Portugis datang ke Timur.
“Apa yang sedang berlaku di negara ini? Sejarah yang saya belajar menyatakan Portugis datang ke Timur untuk rempah-ratus,” komen Kalidas Muniandy.
Nagathisen Katahenggam menambah: “Tujuan utama kedatangan Portugis untuk penguasai perdagangan dan meluaskan kuasa.”
Manakala Aiza Zizan merujuk kepada konsep Gospel, Gold, Glory (Keagamaan, Kekayaan, Kemegahan) yang memotivasi pelayaran orang Portugis dahulu.
Turut melahirkan rasa hairan ialah Hendry Rao yang tertanya-tanya bagaimana konsep 3G yang menjadi asas kedatangan Portugis bertukar menjadi “agenda Kristianisasi” semata-mata.
[caption id="attachment_4919" align="aligncenter" width="501"]
Fakta dimanipulasi memberikan gambaran negatif tentang orang Kristian.[/caption]
Pelbagai Pihak Tampil Luah Rasa Hairan dan Kecewa
Prabha Rajoo mengimbas apa yang pernah dipelajari sejak sekolah rendah pada 1980-an dan berkata, “Sejarah yang saya belajar menyatakan orang Portugis datang ke Melaka untuk mendapatkan monopoli perdagangan rempah.”
Memanglah ada pihak yang tampil berhujah, Portugis turut menyebarkan ajaran Kristian di Timur. Akan tetapi, entah mengapa aspek itu yang diangkat dan dijadikan tujuan utama dalam buku teks sekolah.
“Hanya di Malaysia, sejarah boleh diolah, ditukar dan dimanipulasi sesuka hati,” kata Vicknes Loganathan bagi meluahkan kekecewaan terhadap insiden yang berlaku.
“Setahu saya, orang Portugis tiba di Melaka untuk memecahkan aliran perdagangan antara China dan Arab. Ini berkaitan aliran perdagangan rempah-ratus yang dibawa ke Venice,” Jayaprakash Jayachandran menghuraikan.
S. Annadurai menasihatkan pihak terbabit (KPM) supaya tidak mempolitikkan fakta sejarah demi agenda peribadi.
Alexandar Alex menambah, “Sekiranya tindakan mengubah sejarah berterusan, ia tidak boleh digelar sejarah tetapi harus diberi gelaran mitos.”
Gopal Subramaniam yang turut memberikan komen menjelaskan hakikat Portugis menawan Melaka pada 1511:
“Penjajahan kuasa Barat hanya tamat pada 1957. Selama 446 tahun Tanah Melayu berada di bawah penjajah. Apakan ada bukti sekurang-kurangnya seorang Muslim masuk agama Kristian sepanjang tempoh itu?”
Paparan yang dibuat di Facebook turut mendapat perhatian wartawan Malay Mail Online.
Apabila dihubungi untuk mendapatkan maklumat, saya meluahkan rasa kecewa kerana Perang Salib dijadikan alasan utama dalam buku teks Sejarah berbanding tujuan sebenar, iaitu perdagangan dan peluasan kuasa.
Natijahnya, pelajar (remaja) pelbagai kaum dan agama akan mendapat gambaran tidak tepat mengenai orang Kristian (Portugis).
Hal ini saya alami sendiri apabila beberapa pelajar Tingkatan 1 bertanya, apakah orang Kristian jahat kerana menawan Melaka untuk memaksa orang Islam memeluk ajaran Kristian.
Selepas isu ini diketengahkan menerusi laporan di Malay Mail Online pada 5 Julai 2015, pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Dr Sivachandralingam Sundara Raja tampil mengakui kesilapan dalam buku teks berkenaan.
“Portugis datang ke Timur untuk mendapatkan rempah-ratus. Mereka datang untuk berdagang; bukan untuk menjajah dan mengambil alih seluruh negara; serta bukan sesekali untuk meneruskan Perang Salib,” katanya (Malay Mail Online, 5 Julai 2015).
Dua hari kemudian, penulis buku sejarah yang amat disegani, Ranjit Singh Malhi, dipetik sebagai berkata, hakikat keinginan Portugis meneruskan Perang Salib di Timur memang ada dinyatakan dalam buku teks Sejarah pada tahun 1960-an.
[caption id="attachment_4921" align="aligncenter" width="491"]
Pakar bidang mengesahkan buku teks Sejarah dipenuhi kesalahan fakta.[/caption]
Agenda Terancang Kuasawan dan Pemerintah
“Tujuan utama kedatangan Portugis ke Melaka adalah untuk menguasai perdagangan rempah. Sebab utama Portugis menawan Melaka adalah untuk menguasai perdagangan rempah,” kata Ranjit sambil mengaku penjajah turut berusaha menyebarkan ajaran Kristian (Malay Mail Online, 7 Julai 2015).
Untuk rekod, pada tahun 2010, Ranjit dan seorang lagi pakar sejarah, Ng How Kuen, tampil mendedahkan penipuan, manipulasi dan kesalahan fakta yang disumbat ke dalam buku teks Sejarah bagi tujuan politik pihak pemerintah.
Akhbar The Sun (13 Disember 2010) melaporkan kenyataan Ranjit yang menyelar kandungan buku teks Sejarah terbitan 1996 bagi pelajar Tingkatan 1.
Contohnya, dinyatakan kononnya beberapa pedagang India meminjamkan kapal mereka kepada Portugis yang mahu menyerang dan menawan Melaka.
Pada 26 Mei 2015, Ahli Parlimen Sibu, Oscar Ling Chai Yew mengemukakan pertanyaan di Dewan Rakyat mengenai laporan terdapat 80 kesalahan fakta dalam buku teks Sejarah bagi murid Tahun 5 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
[caption id="attachment_4920" align="aligncenter" width="504"]
Buku teks Sejarah di SJKC terpaksa dicetak semula kerana ada kesilapan ketara.[/caption]
Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan mengesahkan KPM sudah mengarahkan buku teks berkenaan dicetak semula selepas 9 kesalahan fakta dibetulkan.
Maknanya, manipulasi fakta sejarah yang disajikan kepada generasi muda menerusi buku teks Sejarah bukan sesuatu yang baru.
Seperti dikatakan oleh Ng How Kuen, golongan guru yang menulis buku teks Sejarah ketara mengubah fakta sejarah mengikut telunjuk parti pemerintah.
Kerajaan yang ada sekarang sudah pun berusaha keras menggunakan Biro Tatanegara (BTN) untuk menanam kebencian orang Melayu dan orang Islam terhadap orang Bukan Melayu dan orang Bukan Islam yang dilabel sebagai “pendatang”.
Saya percaya segala manipulasi fakta yang dilakukan dalam buku teks sekolah tidak akan dibetulkan. Sebaliknya akan dibiarkan dengan pelbagai alasan licik, demi meneruskan agenda perkauman yang sudah dirancang penuh teliti.
Manipulasi fakta dalam buku teks Sejarah Tingkatan 1 seperti yang didedahkan ini tentulah bukan kesilapan yang tidak disengajakan.
Sebaliknya, tentu sahaja salah satu daripada ribuan usaha bagi memberikan gambaran negatif mengenai orang Bukan Melayu di Malaysia.
Kononnya orang Kristian meneruskan Perang Salib dan agenda Kristianisasi; sedangkan apa yang sebenarnya berlaku adalah sebaliknya.
Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang berlangsung di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014 merupakan salah satu contoh amat nyata.
Malangnya, golongan minoriti di negara bertuah ini tidak ada ruang untuk bersuara apabila terus ditekan, dihina, diperlekeh dan dizalimi golongan majoriti yang menguasai bidang politik dan pendidikan.
Mempertahankan agama minoriti
Prinsip dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa menjadi rujukan.[/caption]
Bayangkan jika suatu forum khas diadakan bagi mempertahankan serta melindungi agama-agama minoriti di Malaysia daripada dakyah dan serangan pihak luar.
Forum itu nanti pasti sahaja berciri ilmiah, penyelidikan, akademik dan tiada sebarang unsur hasutan atau penghinaan yang bertentangan dengan hak-hak sah agama minoriti dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Perkara 3 (1) menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Kebebasan beragama bagi penganut “agama minoriti” ini dijamin oleh Perlembagaan dan mereka mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing.
Wacana Pengenalan kepada Minoriti Agama di Malaysia oleh Dr Mohd Faizal Musa, felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 12 Jun 2014 juga agak menarik untuk diperhatikan.
Ia antara lain membantu khalayak meneliti realiti mazhab Syiah di Malaysia dari sudut berbeza. Bagaimanapun, perlu dibezakan antara “minoriti agama” dan “agama minoriti” supaya tidak timbul kekeliruan dan salah tanggap.
Dewasa ini, banyak forum, seminar dan perbincangan diadakan dalam usaha mempertahankan agama Islam daripada “agenda Kristianisasi”.
Contoh terdekat adalah Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014.
Seminar itu secara terang-terangan mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan, serta secara jelas berciri anti-perpaduan, berniat jahat, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan mengancam ketenteraman awam.
Walaupun mendapat bantahan masyarakat Tidak Islam (Bukan Islam) serta beberapa laporan polis dibuat, belum ada sebarang tindakan diambil terhadap penganjur serta sekumpulan penceramah yang terbukti adalah “bekas paderi dan bekas rahib palsu”.
Hujah Muhyiddin jadi panduan dan rujukan
Semasa sidang Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014, Ahli Parlimen Penampang, Ignatius Dorell Leiking meminta Menteri Pendidikan menjelaskan tindakan kementerian terhadap UiTM yang telah secara tidak langsung menyebarkan kebencian antara agama melalui penganjuran seminar itu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis menegaskan bahawa seminar itu berciri akademik dan bersifat sesi percambahan minda (brainstorming), serta bertujuan mempertahankan agama Islam daripada cabaran luar. Dia menyifatkannya sebagai suatu perbincangan akademik yang perlu dilihat secara positif.
Selaras dengan itu, Forum Mempertahankan Agama Minoriti yang dicadangkan pula bertujuan membicarakan cara-cara mempertahankan “agama minoriti” daripada serangan dan dakyah pihak luar.
Perlu ditekankan bahawa seperti kata tajuk, forum itu nanti bertujuan “mempertahankan” dan bukannya “menghasut”. Apatah lagi melanggar Perkara 11 (4) dan “mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
[caption id="attachment_3626" align="alignleft" width="300"]
Wakil agama minoriti diberi peluang berkongsi fakta berdasarkan penyelidikan.[/caption]
Bayangkan bahawa koleksi makalah berbentuk penyelidikan berjaya diterbitkan susulan forum tertutup berkenaan dan diedarkan kepada peserta sahaja bagi tujuan akademik.
Tentulah akan dipastikan tidak ada sebarang kandungan yang menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta Hasutan 1948. Buku itu hanya membincangkan tentang usaha mempertahankan agama minoriti serta penjelasan mengenai agenda dakyah pihak luar yang mengancam agama minoriti.
Kalau Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpeluang meneliti buku itu nanti, beliau juga akan mengakui bahawa ia hanya satu penyelidikan (study). Sama seperti jawapannya bagi buku Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan Mais yang diedarkan semasa seminar anti-Kristian di UiTM.
Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah suatu program akademik dan perbincangan ilmiah bagi menerangkan permasalahan dakyah pihak luar yang menjadi isu dan perbahasan hangat dalam kalangan penganut agama minoriti.
Dalam forum itu nanti, perbincangan dan penjelasan pasti sahaja dilakukan secara ilmiah yang bersifat pro dan kontra, selaras dengan budaya intelektual yang diharapkan; serta dijalankan dalam suasana harmoni tanpa menghina mana-mana agama lain. (Saya meminjam banyak idea daripada jawapan Muhyiddin di Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014.)
Oleh itu, fakta dan perbincangan dalam forum itu perlulah dilihat secara positif sebagai suatu bentuk percambahan minda dan intelektual yang sedikit pun tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan.
Kandungan forum tidak langgar Perlembagaan
Forum tertutup itu juga difokuskan kepada khalayak terpilih yang intelektual, matang dan mampu membicarakan topik-topik sensitif secara ilmiah dan akademik. Maka tidak timbul soal ada pihak yang mungkin rasa tergugat dari segi keimanan.
Umum mengetahui bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan ada mengeluarkan beberapa pandangan (atau “fatwa” dalam Bahasa Arab) berhubung larangan penyebaran agama Bukan Islam kepada orang Islam.
Buku Pendedahan Agenda Kristian menghuraikannya lebih lanjut sebagai “larangan yang menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam serta larangan umat Islam menyertai aktiviti yang mempunyai kaitan dengan agama lain khususnya Kristian.”
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa majlis fatwa merumuskan senarai “agama lain” sebagai “Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian”. Mungkin sahaja “Cina” merujuk kepada pelbagai ajaran, kepercayaan dan agama yang dianuti orang Cina.
Bagi tujuan Forum Mempertahankan Agama Minoriti yang dicadangkan ini, senarai “agama minoriti” tidak akan dikhususkan kepada mana-mana agama. Sebaliknya merujuk kepada mana-mana agama, ajaran, anutan dan mazhab minoriti yang terkeluar daripada acuan “agama bagi Persekutuan” dalam Perkara 3 (1).
Forum itu nanti akan membuka peluang meneliti hak dan kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan kepada penganut agama minoriti, serta menghuraikan batasan dan had yang ditetapkan dalam Perlembagaan berkaitan hak penganut agama minoriti.
Panel juga dijangka memperkatakan isu-isu semasa berkaitan agama minoriti dalam ruang lingkup dan kebebasan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Maknanya, tidak ada apa-apa kandungan yang melanggar peruntukan Perlembagaan.
Saya membayangkan suatu forum ilmiah di mana panel membentangkan hujah, pandangan dan fakta berdasarkan kajian, penyelidikan dan pengalaman berkaitan topik dakyah pihak luar ke atas penganut agama minoriti.
Panel dan peserta tentu berpeluang membincangkan cara-cara mempertahankan agama minoriti dan penganut agama minoriti daripada serangan dan dakyah pihak luar. Hal ini selaras peruntukan Perkara 11 dan maklumat terperinci boleh dirujuk dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia (2006).
Selaras semangat Bangsa Malaysia, forum itu juga boleh dijadikan medan untuk mencadangkan cara-cara memupuk perpaduan, meraikan kepelbagaian dan meningkatkan sifat tolak-ansur dalam kalangan masyarakat pelbagai agama.
Puak ultra kiasu, pelampau tidak dibenarkan hadir
Pembicara atau ahli panel forum akan dipilih daripada kalangan individu intelektual, rasional dan matang yang mampu mengemukakan pandangan, hujah, idea, pengalaman dan kritikan berdasarkan topik yang ditetapkan.
Panel diberikan kebebasan untuk berbicara secara akademik serta berdasarkan penyelidikan dan pengalaman sambil mengambil kira segala peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara.
Pembicara bertanggungjawab sepenuhnya atas segala pandangan, hujah dan kritikan yang dikemukakan. Pemudah cara (moderator) pula berhak menghalang pembicara daripada meneruskan hujah-hujah yang difikirkan kurang sesuai.
Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah aktiviti tertutup kerana topik berkaitan agama minoriti mungkin dianggap sensitif bagi kelompok tertentu yang berminda tertutup dan takut pada bayang-bayang sendiri.
[caption id="attachment_3628" align="alignleft" width="300"]
Kejayaan” seminar di UiTM boleh juga dijadikan panduan bagi forum.[/caption]
Peserta mestilah berumur lebih 18 tahun dan mahu hadir atas kerelaan sendiri. Penyertaan hanya atas undangan penganjur bagi memastikan puak ultra kiasu, pelampau, fanatik, kurang cerdik, rasis dan seumpamanya tidak terlepas masuk ke forum ilmiah ini.
Orang ramai, wakil media, pemerhati atau sesiapa yang berminat untuk hadir wajib mendapatkan kelulusan penganjur dengan mengisi borang dalam talian (online).
Segala langkah berjaga-jaga ini penting – antara lain – demi “keperluan memelihara ketenteraman awam” serta memastikan forum itu nanti tidak disalah anggap mengandungi unsur hasutan.
Lebih teruk jika dituduh sebagai usaha menyebarkan agama minoriti kepada masyarakat awam (termasuk penganut agama Islam dalam lingkungan mazhab Ahlu Sunnah Waljamaah).
Kalau forum diadakan di Selangor, maka Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 perlu diambil kira, walaupun forum ini hanya bertujuan “mempertahankan agama minoriti” dan bukannya “menyebarkan agama minoriti”.
Sebelum forum bermula, pemudah cara akan mengingatkan para peserta bahawa tujuan forum tertutup itu diadakan bukan untuk dicurigai, memperkecilkan mana-mana agama dan bukan untuk menyerang pegangan dan kepercayaan penganut mana-mana agama lain.
Sebaliknya, forum ini adalah semata-mata bagi mempertahankan jati diri penganut agama minoriti di Malaysia dan memberi kefahaman kepada penganut agama minoriti yang diselubungi pelbagai kekeliruan seperti isu serangan, cabaran dan ancaman dakyah pihak luar.
Berdialog sambil memartabatkan bahasa kebangsaan
Istilah “dakwah” tidak digunakan dalam cadangan forum ini kerana bimbang kemungkinan ada puak kurang cerdik yang hanya tahu mengaitkan perkataan “dakwah” dengan agama Islam. Lalu, mungkin frasa “serangan, cabaran dan ancaman dakwah pihak luar” disalah tafsir sebagai “serangan, cabaran dan ancaman dakwah Islam”.
Sekiranya Forum Mempertahankan Agama Minoriti menjadi kenyataan, penganjur mungkin wajar membenarkan wartawan dan media membuat liputan. Untuk selamat, wartawan dan media juga perlu mengemukakan borang penyertaan untuk kelulusan sebelum hadir.
[caption id="attachment_3629" align="alignleft" width="275"]
Definisi “agama minoriti” akan dibiarkan agak longgar supaya bersifat inklusif.[/caption]
Kalau wartawan hadir dan membuat liputan, mungkin akan timbul pula persoalan bahawa kandungan forum itu tidak lagi bersifat “tertutup”. Sebagai individu yang pernah bekerja di bahagian editorial berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akhbar Sinar Harian, tentulah perkara itu juga sudah saya fikirkan.
Sebarang siaran berita mengenai forum agama minoriti itu nanti adalah atas dasar etika kewartawanan dan tidak bertujuan mengganggu ketenteraman awam.
Apa-apa yang dilaporkan wartawan dan media adalah interpretasi berdasarkan etika kewartawanan dan tidak semestinya menggambarkan secara tepat kandungan forum serta apa yang benar-benar berlaku dalam forum.
Forum perlu dikendalikan dalam Bahasa Malaysia selaras dengan kedudukan bahasa ini sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.
Frasa dan istilah bahasa-bahasa lain boleh digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian. Peserta yang mengemukakan soalan perlu diingatkan supaya menggunakan Bahasa Malaysia. Langkah ini sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.
Peserta akan dibenarkan mengambil foto (atau selfie) serta membuat rakaman audio dan visual (jika mahu) untuk tujuan akademik, rujukan, penulisan atau untuk disebarkan kepada umum atas tanggungjawab sendiri.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa forum yang dijalankan itu adalah aktiviti tertutup (closed door forum). Segala perkara yang diperkatakan semasa forum tertutup adalah bersifat ilmiah, akademik dan penyelidikan; serta mungkin tidak mampu difahami khalayak umum.
Bayangkan jika forum tertutup ini dapat benar-benar dijalankan dalam skala kecil-kecilan pada 6 Julai 2014, genap dua bulan selepas seminar anti-Kristian di UiTM. Jika anda benar-benar berminat menjayakannya, hubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
UiTM, di hati seorang Kristian
Ketuanan Melayu serta Hak Bumiputera
Semasa melanjutkan pengajian ke UiTM, saya didedahkan dengan Akta 174 mengenai tatatertib dan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia mengenai ketuanan Melayu serta hak bumiputera. Ketika itu, saya ibarat pelajar baru yang akur kepada apa yang disampaikan.
Selain itu,saya juga akur bahawa UiTM tidak mengambil pelajar kaum Cina dan India kerana ingin melindungi serta menjaga hak pelajar bumiputera secara total sebagaimana yang pernah ditaklimatkan kepada saya.
Setiap semester, saya diwajibkan untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran insaniah sehingga graduasi. Dalam setiap kursus tersebut, persoalan mengenai ketuanan Melayu serta hak bumiputera tidak pernah lekang dan pudar daripada pengisian program. Saya pernah didedahkan bahawa “bangsa Melayu” merupakan bangsa terulung di rantau Asia Tenggara dan kaum-kaum lain (juga merujuk kaum-kaum di Kepulauan Borneo) yang berada di kepulauan Nusantara juga serumpun dan berada dalam lingkungan “bangsa Melayu”.
Bagi menanggapi persoalan mengenai hak bumiputera, pernah ada pengacara program me’momok’kan kaum Cina dan India sebagai penghalang kepada kemajuan bumiputera di Malaysia. Saya amat terkejut dengan pendedahan tersebut.
Rentetan daripada peristiwa itu, saya mulai sedar bahawa UiTM mengunakan sedikit elemen perkauman dalam memupuk motivasi kesedaran hak bumiputera dalam kalangan pelajar dan kadangkala ianya menguris perasaan saya sebagai seorang bumiputera bukan Melayu.
UiTM sebagai pengiat agama Islam
Adalah menepati apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutan, bahawa Islam merupakan agama rasmi serta seseorang Melayu itu adalah Islam secara lahiriah tanpa mengikuti kehendak bebas individu tersebut.
Selain daripada memantapkan perkara serta persoalan mengenai ketuanan Melayu serta hak bumiputera, UiTM bertanggungjawab dalam memantapkan kefahaman Islam ke atas semua pelajar termasuk yang bukan Islam.
Saya secara peribadi tidak mempunyai masalah mengenai perkara tersebut. Bagi saya ianya perlu sebagai memupuk rasa perpaduan dan hormat terhadap agama Islam.
Namun, ianya menjadi kurang menarik dan tidak semena-mena apabila elemen serta bab mengenai perbandingan agama yang diselitkan seperti subjek wajib “Islam dan Agama”, “Tamadun dan Peradaban Islam”, dan “Kemasyarakatan Islam” bagi program diploma serta “Peradaban Islam dan Asia” dan ”Hubungan Etnik” bagi program ijazah.
Bukan itu sahaha. Topik juga dimanipulasikan secara berat sebelah dan tidak tepat faktanya melalui ‘taqiyya’ dan ‘kitman’ bagi menegakkan kebenaran Islam ke atas bukan Islam dalam penulisan buku akademik serta bahan pengajaran bagi subjek tersebut.
Ulasan mengenai Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara
Setelah segala itu berlaku pula seminar “Pendedahan Agenda Kristian.
Ketika minggu tersebut, saya menjalani latihan pratikal dan tidak berupaya untuk menghadirkan diri ke seminar tersebut yang terbuka juga kepada yang berminat selain dipaksa demi memeriahkan kehadiran.
Alangkah terkejutnya saya apabila melihat apa yang disebarkan oleh rakan-rakan saya di media sosial mengenai isi kandungan serta penceramah yang dijemput ke seminar tersebut. Ada diantara rakan saya yang merupakan pelajar junior terpaksa mengikuti program kerana tuntutan markah kehadiran bagi subjek “Hubungan Etnik”.
Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan penganjuran seminar ini secara terbuka kerana ianya bersifat berat sebelah dan tidak menggalakkan dialog antara agama serta keharmonian serta kepelbagaian masyarakat seperti di Malaysia. Selain itu, pengajuran seminar ini juga mengundang kontroversi apabila penceramah yang dijemput adalah dikatakan sebagai mantan paderi serta biarawati Gereja Katolik di Indonesia. Sudah tentu mereka berupaya berdakwah dan berdakyah tentang kebenaran Islam yang mereka temui sebagai hidayah mereka kepada yang bukan Islam tanpa halangan.
Walaupun tidak berupaya mengikuti program tersebut, saya berupaya memperoleh banyak maklumat daripada rakan saya yang menghadiri seminar tersebut. Memang ternyata dia tidak senang dengan penyampaian penceramah tersebut kerana memutar belitkan ayat-ayat Alkitab sesuai dengan kehendaknya serta menghasut pelajar Kristian yang hadir dengan memberi dalil 10 sebab mengapa mereka sebagai pengikut Yesus harus masuk Islam.
Tetapi setelah mengkaji serta mengikuti perkembangan semasa mengenai isu ini, ternyata penceremah yang dijemput tersebut bukanlah mantan paderi mahupun biarawati seperti yang dihebahkan. Oleh sebab itu, segala apa yang disampaikan mengenai agama Kristian ternyata boleh diragui kredibilitinya. Adakah niat penganjuran seminar ini? Menguatkan akidah umat Islam? Berdakwah kepada pelajar Kristian dengan harap dapat me’murtad’kan mereka kepada Islam?
Sewajarnya UiTM menuju wawasan sebagai “insititut yang berupaya menjadi sebuah universiti unggul yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik bagi menerajui dinamisme bumiputera dalam semua bidang profesional bertaraf dunia supaya terlahir graduan yang berdaya saing, global dan beretika”.
Jika diletak pada aras wacana sebegini; beretikakah UiTM jika mahasiswanya dididik untuk menjadi rasisme serta etnosentrime terhadap diri dan bangsanya? Dalam isu ini, saya mendapati ianya merupakan seminar pertama yang saya lihat apabila agama Kristian diperlekehkan kepada penganutnya sebagai wacana ilmu secara umum semenjak saya bergelar siswa dari tahun 2009.
Pengedaran buku “Pendedahan agenda Kristian” dan Obligation to Preserve the Sanctity of the Name of Allah”
Pada masa yang sama tatkala UiTM menganjurkan seminar ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang juga penganjur bersama juga mempunyai agenda yang agak nakal dengan mengedarkan kedua-dua buku “Pendedahan agenda Kristian” dan Obligation to Preserve the sanctity of the name of Allah sebagai cenderahati kepada mereka yang hadir.
Saya berupaya mendapat dan membaca buku-buku tersebut daripada rakan saya yang menghadiri seminar tersebut.
Apa yang dapat saya katakan mengenai buku “Pendedahan agenda Kristian” adalah ianya merupakan usaha yang ‘murni’ MAIS bagi mengekang umat Islam daripada murtad. Saya lihat ia mungkin langkah defensif bagi menjaga akidah umat Islam sebagaimana ada disebut dalam pengenalan buku itu.
Dengan nyata buku tersebut ada menyebut, “Penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian.” Namun, setelah membaca satu-persatu halaman muka surat buku tersebut ternyata ianya amat mendukacitakan saya. MAIS menanam rasa kebencian dan ‘Kristianofobia’ kepada umat Islam secara terang-terangan.
Begitu juga dengan buku Obligation to Preserve the Sanctity of the Name of Allah, MAIS yang juga ingin menjadi jaguh dalam menyampaikan kewajipan melarang umat bukan Islam menggunakan perkataan ‘Allah’ menggunakan bahasa puitis yang indah pada pengenalan juga ada menyebut penulisan buku tersebut tidak mengugatkan perpaduan dan toleransi antara komuniti agama di Malaysia. Malang sekali, setelah pembacaan teliti dari awal hingga akhir muka surat buku tersebut dilakukan ternyata ianya meleset sama sekali.
Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai buku ini kerana saya tahu isu pengunaan kalimah ‘Allah’ masih dalam kes mahkamah. Dan sebagai umat Kristian sendiri, saya berpendapat umat Islam terutama pihak berkuasa agama Islam tidak berhak untuk menindas penganut lain dengan mengekang urusan penerbitan serta penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam upacara sembahyang yang sememangnya sebati dalam umat Kristian di Malaysia sekian lama.
Kesimpulan
Saya juga mengandaikan UiTM barangkali mempunyai agenda tersembunyi dalam mengadakan seminar tersebut memandangkan ketegangan agama dan politik menjadi-jadi di Malaysia bagi mengalih perhatian negara daripada segala isu-isu yang berkaitan dengan permasalahan rakyat seperti kos sara hidup, cukai GST serta salah urus tadbir kerajaan.
UiTM pun sering memandang penuh aspirasi kerajaan pemerintah sekarang tanpa berbelah bahagi. Dengan menggunakan kaum dan agama, saya khuatir ianya berterusan sehingga PRU ke-14. Sudah pasti ianya tidak menguntungkan sesiapa ibarat kata pepatah “yang menang jadi arang dan yang kalah menjadi abu”.
Cukuplah saya di’brainwash’ (memaksa perubahan pendapat) sejak diploma hingga ke ijazah dengan pelbagai program yang kurang bermanfaat dari segi agama dan hal ‘ketuanan’ yang melampau. Saya bersyukur kerana saya dibesarkan dengan masyarakat yang berbilang kaum dan agama dan sudah tentu saya tidak termakan segala hasutan apa jua program-program UiTM mengarah saya ke arah bersifat rasisme dan etnosentrime.
Memetik falsafah UiTM – ”setiap individu mampu mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu serta penerapan nilai-nilai murni agar menjadi graduan profesional yang berupaya mengembangkan ilmu dan membangunkan diri, masyarakat dan negara” – saya percaya masih ada ruang untuk diperbaiki lagi dalam UiTM untuk menebus dosanya.
Jangankan nanti wacana akademik tidak sihat ini berterusan, bermaknakah visi serta falsafah UiTM dalam melabur siswa-siswinya pada masa depan? Saya berharap ianya berubah selepas insiden ini. Walaubagaimanapun, sebagai alma-mater saya UiTM tetap di hatiku.