“Tuan Yang di-Pertua, memang untuk menakutkan Raja-Raja, selalunya pihak yang pergi berhujah di hadapan Raja mengatakan; “Awas! jangan jadi seperti Iran, di mana rakyatnya bangun menggulingkan Shah Iran, sebuah pemerintah Beraja yang mempunyai kuasa mutlak. Tetapi tidak diterangkan siapa yang mampu menggerakkan rakyat, kenapa rakyat memberi kepercayaan kepada orang yang menggerakkan rakyat? Tidak lain, kerana orang yang menggerakkan rakyat itu ialah Imam Khomeini, yang hidup serba sederhana, dan bila berjaya memerintah, beliau sebagai Ketua Negara dalam negara yang kaya, hanya diam dalam gerobok yang buruk sahaja. Sebab itu rakyat memberi keyakinan kepada beliau. Dan contoh itu, insya Allah, di abad ini cuba diikut oleh Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Tok Guru Nik Abdul Aziz,telah mencapai kuasa menggerakkan rakyat, rakyat memberi kepercayaan kerana beliau duduk di rumah buruk di Pulau Melaka, rumah lamanya itu, baru ia boleh bercakap bahasa rakyat dan bercakap di atas denyutan nadi rakyat.” Sementara itu Clive Kessler, yang menulis belasungkawa tentang Nik Abdul Aziz, menghimbau kembali pilihanraya 1986 yang menurut beliau dilatari oleh calon-calon PAS yang ghairahkan ‘syariah’ ekoran terpengaruh dari fenomena yang berlaku di Iran: “The 1986 elections —— held when Dr. Mahathir had risen high in his early ascendancy, and before any of the major problems of his prime ministership had asserted themselves —— was also the first election held after the young Shari’ah-minded Islamists around Hadi Awang had seized control of the party from Datuk Asri Haji Muda. It was not a good campaign for PAS, and it was made worse by the fact that it offered a strenuously Shari’ah-minded platform that owed much to recent revolutionary events in Iran.” Dalam majalah Dunia Islam bilangan 56 edisi Febuari 1995, Nik Aziz menyatakan kebolehan Ayatullah Khomeini memimpin sebuah negara sebagai seorang ulama mengkagumkan beliau. Malah Khomeini disebut sebagai hebat oleh Nik Abdul Aziz. [2] Dalam wawancara majalah tersebut itu juga, Nik Aziz menolak dakwaan bahawa Syiah sebagai ‘kafir’. Harus diingatkan di sini, sanjungan Nik Aziz terhadap Ayatullah Khomeini tidak semestinya beliau berminat dengan Syiah, ini kerana beliau pernah menyatakan bahawa beliau tidak berminat dengan Syiah. [3] Seperti yang telah dinyatakan sebelumnya, sehingga setakat ini kita masih belum ada contoh kepimpinan ulama yang progresif. Oleh kerana itu, tidak dapat tidak, sehingga kini, sebarang penilaian mengenai kemampuan ulama (justeru dilihat ‘Islam’) memimpin masih berdasarkan dua contoh kepimpinan ini. Dalam dekad 80an, di era PAS masih dipengaruhi dan mendapat tempias pentadbiran Islam ala Iran, seperti yang dinyatakan oleh Clive Kessler di atas, sikap Nik Abdul Aziz terhadap Iran justeru Syiah dapat ditanggapi positif. Malah hubungan Nik Abdul Aziz dengan seorang ulama Iran, Ayatullah Jaafar Hadi yang ketika itu menetap di Malaysia diketahui sangat akrab. Sebagai sahabat, mereka bertemu kembali selepas lebih sepuluh tahun. AsSajjad Movement pernah menyiarkan foto pertemuan terakhir mereka pada 24 Februari 2011 dalam satu pertemuan tertutup. Majalah Dunia Islam yang dikaitkan dengan PAS pada waktu itu juga sering membuat liputan yang positif mengenai Iran, dan Syiah. Malah terdapat buku-buku karangan ahli atau aktivis PAS secara berani menjadikan wajah Nik Abdul Aziz dan Ayatullah Ali Khamenei (pemimpin Iran sekarang) sebagai kaver buku mereka demi memancing pembeli dan pembaca. Pada tahun 2010, apabila bermulanya gelombang kebencian terhadap masyarakat Syiah ekoran serbuan terhadap sebuah pusat komuniti mereka di Gombak, Selangor, kita dapat melihat bagaimana Nik Abdul Aziz berubah sikap terhadap Syiah dan memaparkannya secara jelas. Dalam teks ucapan bajet 2011 beliau di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Nik Abdul Aziz yang masih Menteri Besar pada waktu itu menyatakan; ‘Program-program pengukuhan akidah diteruskan bagi membasmi mana-mana fahaman, ajaran dan amalan yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah’. Meskipun kenyataan beliau tersebut masih belum dapat dihujahkan sebagai menyebar kebencian terhadap penganut mazhab tersebut, pada hujung tahun 2013 apabila kebencian terhadap mazhab Syiah mencapai kemuncaknya dalam masyarakat, Nik Abdul Aziz akhirnya menyatakan, yang beliau menyokong supaya ‘Syiah tidak wajar wujud di negara ini’. Beberapa minggu sebelum mengeluarkan kenyataan di atas beliau muncul dalam satu majlis penerangan ‘Bahaya Ajaran dan Fahaman Syiah Dalam Masyarakat Islam di Malaysia’ di Kota Bharu. Majlis itu dihadiri oleh beliau selaku Mursyidul Am Pas, turut ‘menghimpunkan pegawai dan kakitangan masjid dari seluruh negeri Kelantan’. Sebelum dari itu pada tahun 2012, Nik Abdul Aziz telah mencegah bahan pameran mengenai mazhab Syiah di Ekspo Perdagangan Dunia Islam 2012 yang di Stadium Sultan Muhammad IV. Kesempatan mendidik masyarakat tentang mazhab Syiah yang pernah beliau sorot secara positif dalam tahun 80an tidak berlaku. Dalam satu kenyataan bertarikh bertarikh 28 Rajab 1433 H bersamaan 18 Jun 2012, Nik Abdul Aziz menyatakan: “Saya dimaklumkan bahawa terdapat bahan-bahan berunsur Syiah yang dipamerkan di Ekspo Perdagangan Dunia Islam 2012 yang sedang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada masa ini. Bagi pihak kerajaan negeri Kelantan, saya ingin melahirkan rasa dukacita yang teramat sangat di atas sikap peserta ekspo yang nyata sekali tidak menghormati sentimen umat Islam tempatan yang berpegang dengan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Justeru, saya telah mengarahkan agar pihak urusetia memastikan semua bahan-bahan ini diturunkan serta merta dengan seberapa segera serta memastikan perkara ini tidak berulang. Saya merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang bertindak segera di dalam memaklumkan perkara ini kepada pihak urusetia khususnya serta pihak kerajaan untuk tindakan. Pada saya, urusan akidah ialah perkara yang tiada tolak ansur.” Apa yang kurang diketahui umum adalah gerai pameran di ekspo perdagangan tersebut disertai oleh sebuah entiti kerajaan Iran yang hanya mempamer poster wajah pemimpin mereka iaitu Ayatullah Khomeini dan Ayatullah Khamenei. Terlepas dari dakwaan beliau seorang ulama kaum muda, atau berpegang kepada akidah menjisimkan Allah, satu hal yang sering dilupakan adalah Nik Abdul Aziz juga adalah seorang ahli politik. Sebagai ahli politik beliau dengan cekap sekali menunggang gelombang pro atau anti Iran ini melampaui tiga dekad. Perubahan pegangan politik ini terserlah berdasarkan sikap beliau sendiri. Ini menjadi satu yang menarik untuk dikaji memandangkan, dalam masa yang sama, iaitu pada tahun 2013, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang agak berhati-hati untuk menolak dan memomok Syiah. Beliau menyatakan: “Para ulama telah menyenaraikan mazhab-mazhab yang keluar daripada agama Islam dan mazhab yang masih dianggap penganut Islam, kerana masih berpegang dengan rukun-rukun asas dalam perkara iman dan Islam walau pun salah ijtihadnya. Mereka membilangkan dua mazhab dalam Syiah, iaitu Imamiyyah dan Zaidiyyah, dan satu mazhab dalam Khawarij iaitu ‘Ibadiyyah dimasukkan dalam kategori umat Islam.” Tidak dapat dinafikan kesederhanaan dalam kehidupan adalah kekuatan Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan. Rata-rata pengulas dan pengenang almarhum menyebut soal rumah kayu, kain pelikat dan pemotongan elaun. Kesederhanaan hidup Nik Abdul Aziz dapat dilihat juga pada gaya hidup Ayatullah Khomeini yang sering dikaitkan dengan beliau. Harus dinyatakan di sini, kesederhanaan dapat menjadi kekuatan yang menonjol seperti yang diperlihatkan oleh kedua-dua ulama ini. Secara objektif pencapaian Nik Abdul Aziz di Kelantan juga sederhana. Sebagai contoh, antara produk yang sempat beliau perkenalkan adalah pajak gadai Islam. Tidak dinafikan pentadbiran beliau sering disandarkan dengan kelahiran produk Ar-Rahn di Kelantan. Ini adalah salah satu sumbangan beliau dalam kemajuan ekonomi negeri tersebut: Sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahn) yang dipelopori oleh PAS di Kelantan kini dicontohi oleh Iain-lain pihak adalah satu ikhtiar untuk menghapuskan riba. la menyediakan alternatif kepada amalan riba dan ia juga adalah satu alternatif yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan dalam memerangi kemiskinan. [4] Selain dari itu, Sisters in Islam turut memuji secara sederhana dua polisi Nik Abdul Aziz ketika menjadi Menteri Besar Kelantan iaitu ‘memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari’ dan cubaan mempraktikkan ‘tafsiran Asnaf Muallaf dalam pembahagian zakat harus diperluaskan dan memasukkan bukan Islam yang berada dalam kesempitan dan keperluan sebagai penerima zakat’. Untuk lebih adil satu hal yang menjadikan sumbangan beliau sederhana seperti yang dinyatakan di atas adalah kerana faktor keterbatasan ruang. Hal ini menghalang Nik Aziz merasai status lebih besar seperti Ayatullah Khomeini secara globalnya. Ini adalah kerana beliau hanya memimpin sebuah negeri yang kecil, dengan penuh keterhadan dan sumber ekonomi yang kecil. Selain itu Nik Abdul Aziz juga berdepan dengan seteru politik dalam bentuk kerajaan Persekutuan yang banyak memberi ganjalan kepada kelicinan kepimpinan beliau. Pun, kedua-duanya merasai persamaan yang sama di hari pengkebumian mereka. Ayatullah Khomeini dan Nik Abdul Aziz dihantar oleh jumlah besar pengikut dan pencinta kedua-duanya ke pemakaman. Seperti yang dinyatakan di awal, dunia Islam hanya berpeluang melihat dua orang ulama tradisional memimpin di zaman moden. Adalah secara kebetulan mereka datang dari dua mazhab berbeza. Di awal pentadbiran beliau, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak segan silu menyatakan beliau belajar dari kepimpinan Ayatullah Khomeini. Namun demikian, beliau menjarakkan diri dari imej pemimpin Iran tersebut kerana faktor momokan terhadap Syiah yang kuat melanda masyarakat. Jelas, kekuatan kedua-dua ulama tradisional ini adalah kehidupan mereka yang sederhana dan penuh kezuhudan. RUJUKAN [1] Mohamad Bin Sabu. 1993. Penyata Rasmi Parlimen. Dewan Rakyat. Parlimen Kelapan. Penggal Kedua. Penolakan Majlis Raja-Raja Terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 [Ruangan 13479]. 18 Januari. Jilid Ii. Bil. 67. Hlm. 13626-13627.) [2] Nik Abdul Aziz Nik Mat. 1995. ‘Wawancara: Saya Sanjung Tinggi Ayatollah Khomeini.” Dunia Islam. 56. Edisi Febuari. 16. [3] Utusan Malaysia. 1993. Nik Aziz Nik Mat menegaskan bahawa beliau tidak berminat dengan ajaran Syiah. Utusan Malaysia. 24 Jun. [4] Surtahman Kastin Hasan dan Norfadzilah Ahmad. 2004. “Pemikiran Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat Dalam Ekonomi.” Jurnal Usuluddin 20 . 83. 69-88.
]]>Nilai sehelai tudung
Wanita setakat objek Wanita sering dianggap pesalah hanya kerana mereka mempunyai tubuh mereka. Ia seolah-olah kewujudan wanita itu sendiri dianggap sebagai objek pemuas nafsu yang tidak setaraf dengan kaum lelaki. Kenyataaan ini sering disusuli dengan saranan bahawa kaum wanita menutup tubuh mereka dengan pakaian yang longgar (tetapi tidak boleh terlalu longgar kerana mudah untuk perogol-perogol di luar sana menanggalkan pakaian mereka.) Aurat Tetapi apa yang pasti, selalunya aurat wanita dikaitkan dengan pemakaian tudung, dengan tanggapan bahawa rambut itu sendiri boleh manaikkan nafsu syahwat pihak yang berkenaan. Harapannya ialah dengan mengenakan tudung kepala, seorang wanita itu menjaga aurat dan kemuliaan diri beliau sebagai seorang wanita. Sebagai seorang wanita, saya berasa sedih bagi pihak kaum lelaki setelah membaca kenyataan-kenyataan sebegini kerana seolah-olah lelaki tidak mempunyai kuasa untuk mengawal nafsu mereka sendiri. Sepanjang pergaulan saya dengan orang lelaki, samada sebagai ahli keluarga, rakan mahupun untuk difikirkan jika beliau sesuai dijadikan pasangan hidup- saya dapati kebanyakan lelaki mempunyai nilai hormat terhadap kaum wanita yang tinggi dan selalunya berperawakan sopan. Pentingnya nilai hormat Saya pasti, nilai hormat antara sesama manusia adalah sifat yang ada di dalam diri setiap manusia, tidak semua orang menjalankan aktiviti seharian dengan memikirkan tentang siapa yang patut dirogol atau disalahkan kerana membangkitkan nafsu syahwat mereka pada setiap hari. Kawalan diri yang dibentuk dari pendidikan moral dan agama membina sifat kebanyakan individu. Tambahan pula, banyak kertas-kertas penyelidikan yang membentangkan berkenaan psikologi perogol selalunya adalah lebih bersifat egoistik daripada seksual. Cara wanita berpakaian atau memperagakan susuk tubuh badan, mahupun perawakan, tidak mengundang perkosaan. Perkara yang membawa kepada kes rogol adalah adanya perogol yang tidak mempunyai nilai estetik menghormati manusia lain, lelaki mahupun perempuan. Nilai tudung Akan tetapi, tidak saya nafikan nilai sehelai kain tudung kepada wanita adalah amat berharga. Seorang rakan lelaki Melayu saya menyatakan bahawa jika seandainya saya mengenakan tudung kepala, pastinya petisyen yang saya mulakan akan mempunyai lebih ramai pengikut. Ibu saya pula berpendapat bahawa saya akan lebih bernilai sebagai bakal isteri jika saya memakai tudung. Apabila saya nyatakan kepada rakan saya bahawa saya tidak ingin menjadi seorang hipokrit dengan mengenakan tudung kepala hanya untuk mendapat sokongan (mahupun semata-mata untuk memegang gelaran isteri), beliau menjawab bahawa tudung itu hanyalah seperti mana-mana pakaian. Ia boleh dipakai atau ditanggalkan dan labuh atau pendeknya kain tudung melitupi dada wanita boleh mengikut fesyen semasa. Dari pengalaman sendiri, saya nafikan kenyataan beliau. Jika rakan-rakan wanita saya membuat keputusan untuk mengenakan tudung, mereka akan menerima ucapan tahniah kerana telah “insaf”. Kain tudung dianggap sebagai kuasa atau benteng yang mempertahankan kaum wanita dari perkara-perkara yang tidak baik. Tudung kepala lebih banyak dipersoalkan, lebih berharga dari kepingan pakaian yang lain, dan lebih bernilai dari segi melambangkan perawakan seseorang wanita. Wanita yang bertudung dianggap secara amnya lebih mulia dari wanita tidak memilih untuk mengenakannya. Dari logik ini mulalah hujah yang menyatakan bahawa jika wanita bertudung dirogol, itu adalah takdir: Jika wanita yang dirogol itu tidak mengenakan tudung seharian, beliau adalah mengundang perkosaan itu sendiri. Makna tudung ditentukan lelaki Pada pandangan saya, persoalan tentang pakaian wanita dan dominannya tudung yang melitupi rambut wanita, terlalu berpihak kepada kuasa kaum lelaki dan sama sekali terlepas titik perbincangan yang sepatutnya. Wanita patut diberi kebebasan untuk memilih pakaian sendiri, pendek atau panjangnya rambut mereka, mahupun jika rambut itu perlu dilitupi sehelai kain tudung. Tubuh wanita adalah milik wanita itu sendiri. Pakaian yang dikenakan melambangkan gaya peribadi, tetapi tidak sepatutnya menjadi titik tolak sifat dan perawakan wanita. Masyarakat perlu juga memainkan peranan dengan mengadakan persekitaran yang selamat bagi wanita. Jika wanita berterusan dijadikan mangsa hanya kerana kewanitaan mereka, ini hanya akan menggalakan mereka yang tidak mempunyai sifat moral ataupun nilai kemanusiaan untuk memporakperandakan masyarakat. Usahlah kita menjadi seperti orang kampung di dalam filem ‘Lelaki Harapan Dunia’- di mana kaum wanita dan kaum lelaki di dalam filem itu bertukar pakaian semata-mata untuk mengelakkan kaum wanita kampung itu dirogol orang minyak. Pastinya masyarakat kita lebih bijak dari itu, dan saya pasti tidak semua kaum lelaki mahukan wanita semua dipakaikan jubah hitam longgar atau diasingkan dari pandangan mereka sekaligus. Saya juga pasti bahawa kaum wanita yang memilih untuk tidak mengenakan tudung ataupun memakai tudung – samada hijabster, bertudung “Neelofarhijab” ataupun mengenakan niqab – membuat pilihan tersebut dan mahu pilihan tersebut kekal datang dari kehendak diri mereka sendiri.
]]>Melukis gambar Nabi: Sejarah Islam yang tersembunyi mengenai imej Muhammad
Penterjemahan tidak rasmi “Drawing the prophet: Islam’s hidden history of Muhammad images” terbitan the Guardian. Penterjemah: Johan Zolhaidi.
Bagi kebanyakkan orang Islam, apa-apa gambaran visual tentang Nabi Muhammad dilihat sebagai suatu pencabulan ke atas agama Islam, tetapi pengharaman itu tidak selalunya mutlak dan sejak abad ketujuh, wujudnya tradisi seni Islamik yang menggambarkan secara visual tentang utusan Tuhan itu. Mengikut kata sarjana, ianya bermula dengan lukisan kecil yang cantik dari abad ke 13. Dibayar oleh pihak yang kaya dan berkuasa pada masa itu, para pelukis yang beragama Islam melakar hampir setiap episod tentang hidup Nabi Muhammad seperti yang tertera pada kitab Al-Quran dan teks-teks yang lain, dari waktu beliau lahir sehingga wafat dan juga peristiwa beliau diangkat naik ke syurga. Dengan niat bimbingan peribadi untuk aktiviti bersembahyang dan penghargaan, lukisan yang dilukis dengan terperinci ini dihasilkan untuk kedua-dua kelompok Islam, Sunni dan Shia, dan contoh-contoh lukisan yang berjaya diselamatkan boleh dijumpai di beberapa muzium utama dan di dalam koleksi perpustakaan. Ia telah menyediakan landasan kepada tradisi imej pemujaan dan inspirasi yang masih wujud sehingga ke hari ini, dari ikon yang dijaga dengan baik di rumah hingga ke lukisan mural pada bangunan lima-tingkat yang dikomisen oleh kerajaan di tengah bandar Tehran, dan juga seni jalanan yang revolusioner di Kaherah – walaupun gambar nabi dikaburkan di kedua-dua kawasan awam tersebut. Di kala terjadinya tragedi pembunuhan kartunis di pejabat majalah Charlie Hebdo di Perancis, kebanyakkan orang Muslim dan juga bukan Muslim berpendapat bahawa Islam memang sentiasa menghalang ataupun melarang apa-apa gambaran Nabi Muhammad, sebahagiannya adalah kerana wujudnya amaran yang tercatat di dalam Al-Quran dan juga teks agama yang lain tentang penyembahan ataupun apa sahaja yang dapat dilihat sebagai laluan kepada penyembahan. Pendapat ini jarang benar dipersoalkan, mungkin kerana kewujudan gambar-gambar Nabi Muhammad tidak diketahui ramai dan hampir tidak langsung dibincangkan oleh orang awam yang berada di luar daripada komuniti yang menciptanya, mempelajarinya dan membelinya. Tetapi kekaburan karya-karya ini seringkali menghampakan para pakar, yang melihatnya sebagai sebahagian daripada kekayaan warisan kesenian Islam dan membenci tanggapan bahawa satu-satunya penggambaran tentang Nabi yang wujud adalah karya yang rasis dan menghina, dan hanya dicipta oleh mereka yang tidak mempercayai agama Islam. “Ianya benar-benar penting untuk para audiens yang tidak pernah melihat karya yang menggambarkan kesolehan Nabi Muhammad untuk melihatnya, agar mereka mampu untuk membezakan karya yang mempunyai nilai kebatinan yang tinggi dan indah yang telah dihasilkan sejak 1000 tahun yang lepas dan dihasilkan untuk tatapan para Muslim, dengan penggambaran yang menghina dan lucah [yang sering ditunjukkan di dalam berita sejak kebelakangan ini],” kata Omid Safi, pengarah Pusat Pengajian Islam di Duke University yang terletak di North Carolina. Penulis kepada buku yang menceritakan tentang kehidupan Nabi, Memories of Muhammad, menyimpan satu gambar nabi di rumahnya, dibawanya dari Iran semasa beliau lari dari negara tersebut sewaktu umurnya kecil. “Saya rasa kebanyakkan orang tahu bahawa untuk saya, sebagai ahli akademik dan Muslim yang tajam pemerhatian, ianya terlahir daripada tradisi dimana dengan melihat ikon tersebut, mengingatkan saya tentang nabi, dan memikirkan tentang nabi mengingatkan saya tentang Tuhan,” katanya. “Ia menggunakan deria-deria yang ada untuk tiba menjumpai Tuhan.” Safi tidak memberitahu kesemua teman Muslim yang melawat rumahnya, siapakah ikon di rumahnya itu, dan dia hanya merujuk gambar tersebut sebagai manusia suci, kerana kebanyakkan ahli teologi akan menolaknya sebagai kufur. Sheikh Ibrahim Mogra, seorang imam di Leicester and penolong setiausaha agung Sidang Muslim di Great Britain, memberitahu BBC: “Islam secara amnya melarang penggunaan imej, dan bila tiba persoalan untuk menggambarkan Nabi Muhammad SAW, larangan menjadi lebih relevan: kami tidak dibenarkan untuk menggambarkan beliau dalam apa keadaan, cara ataupun bentuk.” Negara-negara Arab Muslim telah menolak kesemua rujukan tentang bentuk manusia sejak Islam mengambil tempat di seluruh benua, dengan para pemimpin terawal resah memikirkan cara untuk memisahkan kepercayaan jahiliah dan berhala yang digantikan oleh mereka. Tapi ianya tidak benar bagi orang Parsi dan Turki semasa agama Islam mula mengakar di tempat mereka, mengikut kata Profesor Christiane Gruber di University of Michigan, seorang pakar tentang penggambaran nabi di dalam kesenian Islam. Gambar pertama yang terselamat dari benua-benua ini dianggarkan terhasil pada abad ke 13 dan tidak dibataskan pada mana-mana kelompok. “Beberapa gambar yang terawal dicipta oleh pemimpin Sunni, yang ingin melawan Shiisme bapanya,” kata Gruber. Karya-karya tersebut barangkali sebahagian daripada tradisi yang lebih lama, tetapi askar-askar Mongol telah diarah oleh cucu Genghis Khan untuk menawan Baghdad pada 1258 dan menghancurkan perpustakaan imperial. “Kita tidak tahu banyak tentang buku kesenian Islamik sebelum itu,” kata Gruber. “Mungkin sahaja wujudnya suatu tradisi sebelum itu tetapi kita tidak akan tahu tentangnya ataupun mengisi jurang yang telah ada.” Pemimpin-pemimpin Muslim yang mengarah untuk menghasilkan gambar-gambar itu tidak pernah cuba untuk meletakkannya di kawasan pemujaan awam, dan dekorasi masjid hanya dibataskan kepada kaligrafi, floral ataupun senireka geometri. Sebaliknya imej-imej ini adalah barang mewah yang digunakan sebagai pujaan peribadi oleh segolongan elit, yang ingin mempelajari dan bertafakur tentang kehidupan nabi dan ajarannya di rumah. “Tidak ada banyak perbincangan awam tentang imej-imej Muhammad,” kata Gruber. “Kita tidak boleh menyalahkan komuniti Muslim tentang ketidaktahuan mereka bahawa gambar-gambar ini wujud, jika kita tidak memaparkannya kepada khalayak ramai. Menerbitkan gambar-gambar ini akan mengembalikan nilai artistik apabila berhadapan dengan sikap tidak hormat yang dilihat sebagai sesuatu yang benar-benar tidak munasabah. Adalah lebih baik untuk kita melihat kesemua gambar-gambar yang indah ini. Para Muslim dapat berbangga dengannya sebagai sebahagian daripada warisan kesenian yang benar-benar kaya.” Tidak wujud gambar-gambar Nabi Muhammad yang dipamerkan ke khalayak awam di UK. Metropolitan Museum of Art di New York pula, telah meletakkan satu gambar yang cantik merujuk kepada peristiwa Nabi Muhammad diangkat ke syurga di galeri kesenian Islam. Gambar kedua dapat dilhat di laman web muzium tersebut dibimbingi pengenalan mengenai tradisi seni yang ada. “Paparan sebegini, walaupun dapat dikatakan jarang wujud, masih boleh diterima oleh segolongan orang Muslim, kerana terdapat banyak penerimaan yang berlainan terhadap penggambaran Nabi – dan manusia secara am – di dalam dunia Islam,” mengikut pernyataan laman web itu. “Imej Nabi Muhammad pada bahagian awal buku diserikan dengan tingkat pemberkatan dan penyucian yang tinggi. Dengan demikian, ilustrasi Nabi Muhammad adalah suatu kebiasaan, khususnya di kawasan dunia Islam yang terletak di benua timur.” Baru-baru ini paparan kesenian Islam, termasuk imej-imej Nabi, di Bibliothéque Nationale yang terletak di Perancis berjaya menarik beberapa pelawat dan tidak menimbulkan apa-apa kontroversi. Dari sekitar 1500 Masihi, di kawasan Uthmaniyah, munculnya imej-imej Muhammad dengan mukanya diselubungi purdah, atau di dalam beberapa kes mukanya digantikan dengan bara api yang berwarna emas. Gambaran muka Muhammad tidak selalunya dikaburkan di dalam setiap gambaran yang ada, dan walaupun tradisi penggambaran beliau di dalam bentuk manusia mulai menjadi lesu, ianya tidak pernah mati. Ianya sesuatu yang umum di Iran, dimana kebelakangan ini wujudnya penjualan poskad, gambar-gambar dan juga karpet yang memaparkan imej Nabi, dan pada tahun 2008 kerajaan Iran memberi tugas kepada pelukis untuk melukiskan peristiwa Nabi menaiki buraq menuju ke syurga pada dinding bangunan lima tingkat, diinspirasikan oleh salah satu lukisan manuskrip. Ia juga turut muncul semula di kawasan Mesir yang kebanyakkannya dihuni oleh kelompok Sunni, dimana lukisan di dinding yang terletak di Jalan Mohamed Mahmoud menggambarkan Nabi Muhammad di atas kuda, mungkin bersedia untuk perang, dialihkan daripada orang yang melihatnya tapi dapat dikenali melalui tulisan kaligrafi yang terapung seakan bintang diatas kepalanya. Nasima Begum, jurucakap wanita bagi Sidang Muslim bagi Great Britain, berkata bahawa pandangan tentang penggambaran Muhammad adalah selaras, and menggambarkan seni suci itu sebagai pengajian sejarah yang janggal. “Persepsi tentang cara untuk menggambarkan Nabi tidak pernah berubah,” kata beliau. “Dipercayai bahawa Nabi tidak patut digambarkan langsung, walau bagaimanapun pada abad ke 12 dan 13, barangkali wujud buku yang menggambarkan Nabi Muhammad, tetapi mengikut fakta dimana gambarnya ditutup ataupun dikaburkan pada abad ke 16 menunjukkan bahawa kebanyakkan Muslim tidak selesa dengan pendekatan sebegitu rupa dan secara tidak langsung purdah digunakan untuk menutup mukanya.” Beliau menolak untuk memberi komen samaada sidang majlis tersebut akan bersetuju ataupun tidak mengenai paparan imej Nabi di pameran seni Islam, ataupun penerbitan mereka. Untuk Gruber dan ahli akademik yang lain, menerbitkan dan meraikan gambar-gambar dikirakan sesuatu yang penting. “Ianya bukan sesuatu yang merendahkan warisan yang ada; sebenarnya bagi saya adalah agak janggal bagi para Muslim untuk tidak menerbitkannya,” kata Gruber. “Seperti wujudnya suatu mesej yang merugikan apabila Muslim tidak mampu untuk menanganinya apabila melihat imej-imej tersebut ataupun berbincang mengenainya.” Beliau turut berkata semasa mengaji dan mengajar di dalam masa sedekad ini, beliau tidak pernah diugut dan tidak merasakan bahawa kerjanya berbahaya. “Jika saya berselindung di sebalik ketakutan, lalu ia pastinya bermakna bahawa saya sudahpun menganggap bahawa Muslim pada dasarnya ataupun sememangnya cenderung kepada keganasan, dan itu saya rasa adalah sesuatu yang menjelikkan,” kata beliau. “Setiap kali saya melihat atau mengadakan perbincangan awam tentang imej-imej sebegini, yang ada hanyalah reaksi positif.” KEHIDUPAN NABI MUHAMMAD 570 Muhammad dilahirkan di Mekah, Arab Saudi. Bapanya meninggal sekitar waktu itu. 575 Ibunya meninggal dunia, Muhammad menjadi anak yatim dan dijaga oleh atuknya, seorang yang berpengaruh di Mekah dan kemudian dijaga oleh pakciknya. 595 Pada umur 25, baginda mengahwini Khadija, seorang balu yang kaya. Mereka melahirkan dua anak lelaki, yang mati semasa bayi dan empat anak perempuan. 610 Muhammad menerima wahyunya yang pertama, di gua yang terletak di pinggir kota Mekah. 613 Baginda mula memberi ceramah kepada orang ramai. Muhammad, keluarganya dan pengikutnya dihukum dan dikecam. 622 Muhammad dan pengikutnya meninggalkan Mekah dan berhijrah ke pekan wahah yang dinamakan Yathrib, kemudian bertukar menjadi Madinah, tempat dimana ayahnya dikuburkan. Tahun ini menandakan tahun permulaan di dalam kalendar Islam. 630 Setelah bertahun-tahun berperang, pengikut Nabi menawan Mekah tanpa pertumpahan darah. 632 Baginda pulang semula ke Mekah, memberi ceramah perpisahan, kemudian meninggal di Madinah setelah jatuh sakit.
]]>Rogol, kelelakian dan kisah Nabi Lut
Interpretasi teks suci Ada di antara kita yang cuba memastikan bahawa teks suci difahamkan sebagaimana yang ditentukan Tuhan. Tetapi interpretasi yang diberi, tidak dapat dinafikan, adalah interpretasi manusia. Tidak ada seorang manusia pun yang sebegitu berpengetahuan untuk mengenali kemahuan Tuhan. Sekiranya, mereka kata interpretasi mereka sahaja yang benar, mereka hanya mengagungkan diri, dan dalam pemahaman saya berkenaan agama, itu dosa yang terbesar. Ada juga di antara kita yang begitu pasti bahawa penafsiran yang mengiktiraf kesahihan perspektif sekarang tidak berkenaan, kerana, interpretasi yang dianggap suci perlu khusus, tunggal dan tidak berubah-ubah mengikut zaman. Bagi saya, sekiranya teks suci benar-benar ada relevansinya untuk setiap zaman, interpretasinya tidak boleh lagi terikat kepada isu zaman dahulu tetapi isu zaman sekarang. Begitu juga dengan kesedaran lelaki tentang kelelakiannya. Kesedaran ini masih bergolak dengan konteks dan oleh itu harus dimatangkan. Politik kelelakian (masculinity) Saya pernah membaca buku oleh Bob Pease yang bertajuk “Recreating Men: Postmodern Masculinity Politics.” [Penterjemahan tajuk: “Mencipta Semula Lelaki: Pascamoden Politik Kelelakian.”] Saya tertarik hati dengan bukunya sebab sebagai seorang lelaki, Bob Pease bertanya-tanya diri dengan sesungguhnya apakah manfaat untuk seorang lelaki sekiranya dia menyokong feminisme dan hak asasi wanita? Beliau mengenalpasti dirinya sebagai seorang lelaki pro-feminisme. Dalam bukunya, Bob Pease dengan begitu jujur hati mengulas kedudukan beliau dan rakan-rakan beliau sebagai lelaki yang pro-feminisme dan perasaan mereka yang tidak selesa dengan kelelakian yang diunjurkan oleh majoriti lelaki secara am. Di antara yang ditemubual oleh Bob Pease adalah seorang yang bernama Pat yang mengakui kecenderungan beliau untuk mengikut nafsunya terhadap wanita. Pat bercakap tentang perjuangan dalaman beliau, di antara keinginnya untuk mengikut nafsunya terhadap wanita dan keinginannya untuk menghormati wanita dengan cara yang dimajukan oleh golongan feminisme. Pat dengan tulus hati mengakui bahawa ada masanya beliau mahukan kuasa untuk mengawal dan mendominasi wanita mengikut nafsunya. Seorang lagi yang bernama Graham pula mengakui pada satu masa dahulu, dia pernah melabelkan lelaki yang merogol sebagai lelaki yang tidak berguna, lelaki yang jahat, dan beliau memandangkan dirinya sebagai seorang lelaki yang baik. Lama-kelamaan, Graham juga menyedari bahawa beliau sebagai seorang lelaki mempunyai kecenderungan untuk merogol dan kecenderungan ini adalah berkenaan kemahuannya untuk mempunyai kuasa ke atas wanita. Kesedaran kedua-dua Pat dan Graham tentang kecenderungan mereka untuk menjadi lelaki yang tidak diingini oleh mereka terhasil pula daripada kesedaran mereka tentang sistem patriarki dan cara mereka dididik menjadi lelaki. Patriarki dan kelelakian Buku Bob Pease mengemukan bagaimana sistem patriarki menindas lelaki. Bagi beliau dan rakan-rakan lelakinya yang pro-feminisme, sistem tersebut cukup merbahaya. Ini adalah kerana sistem patriarki pada dasarnya cuba menafikan pengalaman kemanusiaan kita. Oleh kerana kita dibesarkan dalam sistem patriarki, kita belajar menafikan pengalaman kita, terutamanya untuk lelaki. Lelaki diajar untuk tidak mempercayai pengalamannya. Lelaki diajar menafikan perasaannya, emosinya. Kesimpulan ini, menurut Bob Pease, boleh diperhatikan melalui pemutusan dalam perhubungan lelaki (a disconnect in men’s relationships) yang sering berlaku di antara lelaki dan wanita, di antara lelaki sebagai seorang anak dengan bapanya, dan di antara lelaki dengan lelaki yang lain. Di antara cerita yang paling menarik adalah cerita seorang yang bernama Michael. Michael menceritakan bagaimana dia tidak selesa dengan kerjanya sebagai seorang buruh. Beliau selalu rasa kosong dan sepi walaupun bapanya juga seorang buruh dengan syarikat yang sama. Michael tidak faham kenapa dia tidak rasa selesa dengan pekerjaan tersebut dengan suasana yang menonjolkan kelelakian rakan sekerjanya. Michael mula berfikir beliau seorang homoseksual, tetapi itu bukan isu sebenar. Michael merupakan seorang lelaki yang mempunyai kelelakian yang berbeza tetapi kelelakiannya tidak diterima dalam budaya kelelakian dominan dan dia mula berasa terasing daripada rakan sekerjanya. Perjalanan kejujuran hati Buku Bob Pease menunjukkan ada banyak jenis luahan kelelakian. Terdapat kelelakian yang menghormati wanita dan kelelakian yang tidak menghormati wanita. Wujud juga kelelakian yang cuba menyuarakan ketidakselesaannya dengan kelelakian dominan yang mahukan kuasa ke atas wanita, kelelakian dominan yang tidak mengakui kesamarataan wanita dengan lelaki. Bagi saya, apa yang paling menarik tentang buku Bob Pease adalah pengemukaan kejujuran hati beliau dan rakan-rakannya dalam cara mereka menyuarakan bagaimana susahnya bagi mereka untuk mengelak kecenderungan dan kemahuan mereka untuk menguasai wanita dalam isu keganasan seks. Bagi saya, itulah perjuangan kelelakian yang sebenar, untuk mencipta semula lelaki dengan penuh kesedaran dan kejujuran untuk mengenalpasti dalam diri mereka apakah jenis kelelakian mereka. Di sinilah, saya ingin berbalik kepada kisah Nabi Lut. Sekiranya, kita jujur dalam hati kita, kita akan menyedari bahawa mana-mana teks suci bertujuan untuk membantu kita mengenal diri kita, bukan untuk melabel orang lain sebagai penjahat dan bukan untuk menyalahkan orang lain untuk kesalahan kita
]]>Cinta: Menjangkaui Hari Valentine
Oleh Muhammad Al-Mahdi “Apa erti Valentine’s Day pada saudara Muhammad Al-Mahdi?” Soalan ini ditembak kearah saya sejurus setelah bunga api diledak keudara Istanbul. Istanbul, kota dua benua, tempat terbenamnya mentari dicelah tujuh gunung ini semestinya adalah tempat pilihan untuk berasmara. Berpeleseran disana-sini pasangan yang sudah berkahwin mahupun belum. Soalan ini membuatkan saya berseloroh “Pada saya yang single ini, hari Valentine adalah seperti hari-hari biasa.” Segera beliau menjawab “So tak ada value la kita mengagungkan hari tu kan?” “Hebat kan serangan ke atas ummah sekarang?” tambahnya lagi. Saya terpinga: Bilakah kita mengagungkan hari ini? Lewat malam pun saya menulis. Valentine seperti yang kita sering tahu dan saya sendiri keliru dengan penceritaannya adalah hari menyambut kekasih dan terkadang juga diriwayatkan hari ulangtahun Muslim dibakar, Muslim dibunuh di Andalusia atau apa sahaja yang anda dengar dan anda ingin percaya. Umumnya ia adalah hari menghargai kekasih. Namun kenapakah kekasih harus dihargai? Saya pernah berdiri semasa guru masuk kekelas semasa di pasentren, maka guru itupun bertanya “Mengapa kalian berdiri? Menghormati saya atau ilmu?” Beliau memahamkan tentu sahaja seorang kiyai tanpa ilmu adalah kosong dan tidak ada erti. Begitu juga kekasih yang kita hargai adalah cintanya yang disalurkan kepada kita dan bukanlah sosoknya. Cinta? Tradisi seluruh agama-agama utama dunia menyatakan perihal cinta. Persoalannya samada sejauh mana kuantiti dalam literal teks suci atau sejauh mana kualiti kita memahaminya. Sungguhpun agama Yahudi lebih menekankan halakhah (syariah) ia tetap mempunyai konsep cinta didalam dimensi Kabbalahnya. Kristian pula sangat jelas memberi penekanan terhadap cinta terutamanya terhadap konsep Agape yang melambangkan cinta yang tidak terhingga, yang tidak boleh diluahkan oleh naluri dan nafsu badan. Islam juga tidak ketinggalan menyebutkan perihal cinta. Samada ia bernama Al-Asq, al-Hubb, Rahmah, Mawaddah, Sakinah atau mana-mana sahaja namanya yang membawa erti berbeza. Raikan cinta Maka apakah salah kita meraikannya? Kalaulah cinta itu satu anugerah dan anugerah itu sesuatu yang berharga apakah salah kita menghargainya dan mereka yang menjadi wasilah kepada Cinta itu. Rumi sering mengatakan “Allah adalah cinta” kerana penuh cinta Dia mencampakkanya kedalam nurani manusia. Dan anugerah itulah yang sedang kita nikmati sehingga si ibu mengasihi anaknya dan kita semua terasa aman dalam cinta. Riyadus-salihin Nabi menjelaskan: “Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai 100 rahmat dan Ia turunkan 1 di antara 100 rahmat itu untuk semua jin, manusia, binatang dan serangga di mana dengan satu rahmat itulah mereka saling berkasih-sayang, dan dengan 1 rahmat itulah binatang buas mempunyai rasa kasih-sayang terhadap anaknya. Adapun rahmat yang 99 itu Allah simpan untuk diberi nanti pada hari kiamat sebagai rasa kasih-sayang terhadap hamba-hamba-Nya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim) al-Bukhary dalam Shahih-nya; Riqaq, 19.2. Muslim dalam Shahih-nya; bab Tawbah, 18-21.) Cinta dan tamadun Saya membelek karya “ulama-ulama” yunani yang telah terdahulu memberi huraian tentang cinta sebelum ulama Muslim muncul menghuraikan dari sumber Muslim: Jenis-jenis cinta: 1 – Eros menurut Plato adalah cinta erotik (cinta berahi), tarikan seksual berikutan terpanah dengan kecantikan dan membawa kepada perlakuan secara fizikal . Walaupun sebenarnya kecantikan bisa lebur (baca: tak bermakna) dalam jenis-jenis rasa cinta yang seterusnya. 2 – Philia pula adalah kesenangan dan cinta yang melahirkan kesetiaan. Bukan sahaja pada kekasih tetapi kepada keluarga, polisi, displin, ilmu atau apapun. Philia memotivasi manusia menurut Aristotle, sehingga seseorang melakukan dengan penuh ghairah tanpa diminta atau diarahkan demi kepuasan diri atau selainnya. Philia melahirkan ketenangan dan kebahagiaan hasil dari kepuasan dan kesempurnaan melaksanakankan cinta ini. Terakhir, seperti yang saya katakana tadi, ialah Agape yang merujuk kepada cinta akan Tuhan dan cinta Tuhan kepada hamba-Nya dan sejenis kasih kepada seluruh persaudaraan dan alam. Begitulah perkataan Ahev dalam bahasa Ibrani membawa lebih luas maknanya berbanding Agape perkataan Yunani. Dalam tradisi mencintai Tuhan Judaic-Christian: “kamu harus mencintai Tuhan dengan sepenuh hatimu , dan sepenuh jiwa, dan segenap kemampuanmu” (Deuteronomy 6:5) dan juga “mencintai jiran sepertu mereka sendiri” (Leviticus 19:18). llmuan moden Kant mula meluaskan konsep ini dengan rasa penghormatan kepada seluruh manusia tanpa berat sebelah. Dalam Islam al-hubb membawa erti kecintaan yang menarik dan mengagumi. Imam Qushairy contohnya enggan mentakrifkannya dengan berkata ia “tak tergambarkan”, Ibn Arabi juga ‘gagal’ mengungkapkannya melainkan hanya dapat membezakan ciri-ciri pecinta secara zahir. Ashq, pula ditakrifkan sebuah cinta yang mendorong kepala perjalanan kepada al-mahbub. Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan Ashq itu membuatkan seorang sehingga menangis, atau boleh saya katakan ia adalah rindu yang berjauhan sehingga mengerakkan untuk pergi kepada objek yang dicintai. Maulana Ar-Rumi banyak membahaskan perihal ini. Mawaddah: diterjemahkan sebagai layanan mesra. Allah menyebutkannya dalam perihal rumah tangga (Rum: 21) dan pergaulan dengan Ahlul Bait Rasulullah SAW (Syura: 23). Mawaddah adalah cinta yang digambarkan dengan lemah-lembut , hormat dan rapat fizikal mahupun keterikatan hati. Rahmah pula adalah dari makna belas, mengasihani. Keluasan cinta Nah begitu besarnya Cinta kalaulah kita mengerti. Ia luas dan tidak semestinya menjurus kearah tarikan seksual walaupun saya tidak menafikan bahawa ia membawa kearah hubungan seks. Tetapi cinta itu sendiri sangat luas dan bernilai dan perlu dihargai. Dari perspektif manapun jika dipandang samada dari kacamata tradisi agama mahupun fitrah cinta tidak ternafi, jadi mengapa kita menafikan pengiktirafan terhadapnya dan manifestasi cinta itu sendiri? Kerana cinta itu luas dan bukan harus dicekang kemarakkannya. Ia harus dibawa untuk meletuskannya dan merasionalkannya bukan meletakkannya di pertimbangan emosi semata dengan meninggalkan sisi intelek yang telah kita warisi dari ilmuan barat dan timur. Kegagalan merasionalkan cinta adalah membuatkan cinta terhayun dengan perasaan dan tindak-balas di luar moral dan pertimbangan kesan masa panjang.
]]>Memahami hujah “Jesus adalah Muslim”
multifaith – percaya pada kebaikan dalam semua agama – saya juga berusaha memahami kisah Jesus dari perspektif Islam, iaitu berdasarkan sumber Al-Quran. Secara asas, kita perlu faham bahawa sejak kecil, orang Melayu-Islam di Malaysia diperkenalkan kepada Al-Quran, Hadis dan Sunah. Kebanyakan daripada mereka tidak pernah berpeluang mengenali kandungan ajaran agama-agama lain. Maka, sikap empati (bukan simpati) perlu dimiliki untuk memahami mengapa orang Islam tidak dapat memahami – apatah lagi menerima – fakta-fakta mengenai Jesus dari sudut ajaran Kristian dan Bible. Perbincangan di sini tidak bertujuan mencari siapa yang betul dan siapa yang salah. Sebaliknya membuka peluang kepada orang ramai memahami mengapa orang Islam berpegang teguh pada kepercayaan bahawa Jesus sebenarnya beragama Islam, dan ajaran yang disampaikan oleh Baginda juga dakwah Islam. Dari sudut penelitian orang Islam, ada pelbagai dalil yang membuktikan hakikat Jesus sebenarnya beragama Islam. Umat Islam mempercayai serta mengaku Jesus sebagai nabi dan rasul. Baginda diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan wahyu kepada Bani Israel; sebagaimana boleh dirujuk dalam Surah Ali Imran (Ayat 48-49). Jesus adalah manusia biasa – bukan “anak Tuhan” atau “Son of God” – dan diakui orang Islam sebagai rasul ke-24. Ahmad Iqram Mohamad Noor dalam buku Misteri Bahtera Nabi Nuh (2014) menjelaskan bahawa terdapat 313 rasul dan setiap rasul wajib menyampaikan ajaran yang diwahyukan Allah kepada kaumnya. Dalam buku itu juga dinyatakan jumlah nabi yang diutuskan Allah adalah 124,000 orang. Seorang nabi menerima wahyu untuk diri sendiri dan tidak wajib menyampaikannya kepada orang lain. Mereka juga hanya mengikut syariat yang sudah dibawakan rasul-rasul terdahulu; bukannya membawa syariat baru daripada Allah. Menurut pandangan Islam iaitu agama tauhid yang terakhir, Jesus bukan setakat nabi tetapi seorang rasul. Jesus tidak pernah mengatakan Baginda anak Allah dan baginda juga tidak menyembah berhala. Jesus menyampaikan ajaran tauhid iaitu menyembah Tuhan yang esa (tunggal). Jesus tidak menyampaikan ajaran Kristian? “Jesus adalah seorang Muslim. Dia beriman kepada Allah. Dia mengesakan Allah. Ajaran yang disampaikan oleh beliau sama seperti ajaran yang disampaikan oleh Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Daud, Nabi Ishak, Nabi Ismail, Nabi Musa, dan nabi-nabi yang lain.” Demikian hujah Jaafar Siddiq @ Muhammad Jaya dari Indonesia dalam bukunya yang diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia dengan judul Jesus Adalah Muslim? (2013). Beliau juga menulis buku berjudul Ternyata Nabi Muhammad Saw Tidak Buta Huruf dan Ternyata Yesus Muslim. [caption id="attachment_4458" align="alignleft" width="300"] Kedua-dua buku ini turut menyentuh mengenai Jesus dan Kristian.[/caption] Kalau Jesus beragama Islam, bagaimana dengan kepercayaan orang Kristian? Dari perspektif orang Islam, Jesus bukan orang Kristian atau Nasrani. Apa yang dikenali sebagai ajaran Kristian pada hari ini sebenarnya berasaskan ajaran yang diperkenalkan oleh Paul selepas kewafatan Jesus. Kisah Barnabas dan Saul (Paul) dalam Acts (11: 25-26) sering digunakan sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa Jesus tidak menyampaikan ajaran Kristian. Sebaliknya Paul dan Barnabas (atau pengikut mereka berdua) yang menyampaikan ajaran Kristian. Jaafar Siddiq menerangkan bahawa dalam akidah Islam, Jesus bukan pembawa agama Kristian tetapi agama Nasrani. Ajaran Nasrani oleh Jesus tidak sama dengan ajaran Kristian yang dikembangkan oleh Paul dan pengikutnya selepas kewafatan Jesus. Dalam Bible sendiri, perkataan “Kristian” tidak digunakan. Jesus dan 12 anak murid Baginda tidak pernah mengiktiraf diri mereka sebagai orang Kristian atau penganut ajaran Kristian. Surah Maryam (Ayat 30) dan Surah An-Nisa (Ayat 172) dijadikan bukti untuk menunjukkan Jesus adalah hamba Allah dan nabi yang menyampaikan syariat Islam kepada Bani Israel. Kitab Zabur, Taurat, Bible dan Al-Quran diturunkan oleh Allah kepada nabi yang berbeza pada masa/zaman yang berbeza. Akan tetapi, syariat, hukum dan ajaran yang terkandung dalam wahyu kepada Nabi Daud, Nabi Musa, Jesus dan Rasulullah adalah sama. Memandangkan Jesus beriman kepada Allah dan menyampaikan ajaran tauhid, maka Baginda adalah seorang Muslim. Ajaran dalam kitab Taurat sepatutnya sama dengan Bible, dan ajaran dalam Bible sepatutnya sama dengan Al-Quran. Bible bukan bersumberkan Jesus! Pandangan yang disepakati orang Islam adalah bahawa sebagaimana Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan Nabi Musa berpegang pada ajaran tauhid serta merupakan penganut Islam kerana menyerah diri kepada Allah, maka begitulah juga dengan Jesus. “Dalam ajaran Islam, semua rasul adalah beragama Islam kerana mereka menyeru supaya mengesakan Tuhan yang satu iaitu Allah,” kata Jaafar Siddiq dalam bukunya. Kata-kata di atas perlu sentiasa diingat apabila berinteraksi dengan rakan-rakan Islam; apatah lagi jika berbahas mengenai perbezaan pandangan antara ajaran Islam dengan agama-agama lain. Orang Islam mengakui bahawa Taurat, Bible dan Al-Quran adalah daripada Allah. Ketiga-tiganya menyeru umat mengesakan Allah. Malah ada persamaan pada ibadat dalam ketiga-tiganya. Abu Sofeya dalam bukunya, Islam Menjawab 20 Hujah Mubaligh Kristian (2014), menyebut bahawa orientalis barat dan mubaligh Kristian “sedaya upaya mengkaji demi membuktikan Al-Quran bukan datang daripada Allah tetapi ia adalah ciptaan Nabi Muhammad.” “Ajaran yang disampaikan oleh Jesus sebenarnya sama seperti ajaran Yahudi dan Islam. Ajaran Kristian yang ada kini adalah ajaran yang sesat dan menyimpang daripada ajaran Isa Al-Masih atau Jesus. Ia juga menyimpang daripada apa yang diwahyukan oleh Allah,” Jaafar Siddiq menegaskan dalam bukunya. Surah At-Takwir (Ayat 25) menjadi bukti bahawa keseluruhan kandungan Al-Quran adalah firman dan wahyu daripada Allah. Kandungannya kekal seperti yang disampaikan oleh Allah kepada Nabi Muhammad. Sementara itu, orang Islam percaya bahawa Bible yang ada sekarang bukan firman dan wahyu Allah. Umat Islam percaya Bible, khususnya Perjanjian Baru, yang ditulis oleh Matthew, Mark, Luke dan John serta diperakukan oleh gereja, bukan bersumberkan Jesus. Maknanya, kitab Injil yang diturunkan oleh Allah kepada Jesus tidak sama dengan Bible yang menjadi pegangan penganut Kristian sekarang. Malah, Jesus yang dikenali oleh orang Kristian menerusi Bible bukan Jesus sebenar (Nabi Isa) yang diutuskan oleh Allah. Penganut Kristian mula marah dan tersinggung “Para syaitan bersembunyi di sebalik nama agama-agama tauhid yang telah berjaya disesatkan iaitu agama Hindu, Buddha, Zoroasterinisme, Taoisme, Confucianisme, Yahudinisme, Kristianisme dan lain-lain istilah purba yang pada zaman moden ini telah sangat dikenalpasti oleh umat Islam sebagai agama-agama yang sesat.” Demikian hujah Kamaludin Endol dalam bukunya, Gautama Buddha Seorang Nabi? (2014) sambil turut menyatakan “adanya campur tangan Iblis dan syaitan yang memperalatkan ahli-ahli agama purba bagi membuat rombakan di sana sini demi kepentingan peribadi mereka” serta “kitab Taurat dan Injil berada dalam kesesatan yang nyata”. Pelbagai hujah digunakan oleh umat Islam untuk membuktikan bahawa Jesus beragama Islam serta ajaran yang disampaikan oleh Baginda kepada Bani Israel sama seperti ajaran Islam. Berbeza dengan amalan orang Kristian sekarang yang menguburkan jenazah dengan pelbagai pakaian, jenazah Jesus dikafankan oleh Joseph menggunakan kain putih. Cara berwuduk, bersembahyang, berpuasa, bersedekah dan membayar zakat misalnya sama dalam Islam dan ajaran asal yang dibawakan Jesus. Segala amalan Nabi Musa, Jesus dan Nabi Muhammad dijadikan bukti untuk menunjukkan bahawa mereka adalah Muslim yang menyerah diri kepada Allah. Seperti yang sudah dinyatakan sejak awal, segala perbincangan dalam makalah ini adalah dari sudut pandangan orang Islam. Hujah-hujah di sini mungkin – malah pasti – disanggah orang Kristian. Buku Jesus Adalah Muslim? sudah pun mendapat kritikan sekelompok penganut Kristian dari Bintulu, Sarawak. Kumpulan Fiat Youth Bintulu dalam catatan blog bertarikh 15 Oktober 2013 menyatakan pendapat bahawa buku berkenaan tidak patut diterbitkan dan dijual di Malaysia kerana “menyinggung sentimen agama” dan “menghina penganut agama Kristian”. “Apabila individu tertentu merasakan dirinya hebat dan betul dan cuba untuk mengusahakan sesuatu agar memisahkan kelompok agama yang terbesar di dunia, dia sendiri sebenarnya kafir apatah lagi tindakannya boleh menyebabkan sesebuah negara bertelagah sesama sendiri kerana sentimen sensitif ini,” kata catatan di blog berkenaan. Perkongsian pandangan menerusi makalah pendek ini bertujuan membantu masyarakat pelbagai kaum dan agama meningkatkan sikap empati supaya mampu memahami pendirian, pegangan dan hujah rakan-rakan Islam dalam soal Kristian, Bible dan Jesus. Pada masa sama, dengan semangat meraikan perbezaan dan kepelbagaian, tentu sahaja dialog, perbahasan, polemik dan perkongsian pendapat secara intelektual dalam kalangan masyarakat amat dialu-alukan demi mencari kebenaran.
]]>Saadat Hasan Manto dan Anti-Sektarianisme
The Sole Spokesman: Jinnah, the Muslim League and the Demand for Pakistan (1985) menceritakan perjalanan sejarah konflik ketegangan kaum dan agama, yang merubah lanskap politik India-Pakistan hari ini. “Perpecahan India-Pakistan bukan sebahagian daripada tuntutan politik Muhammad Ali Jinnah. Ali Jinnah ketika itu merupakan pemimpin utama All-India Muslim League (AMLA) – badan representasi politik yang memperjuangkan agenda orang Islam di Pakistan. Asas perpecahan India-Pakistan disebabkan oleh desakan kaum nasionalis India yang menganggap bahawa perpecahan India-Pakistan merupakan jalan selamat untuk keluar daripada krisis sektarianisme” kata Ayesha Jalal di dalam buku tersebut. Saadat Hasan Manto (1912-1955) dibesarkan semasa konflik masyarakat Islam-Hindu berada pada tahap kemuncak. Barangkali, Manto merupakan cerpenis yang paling berautoriti di dalam menganalisa pengalaman sektarianisme di India semasa detik perpisahan India-Pakistan 1947. Saadat Hasan Manto dilahirkan di Sambrala, Punjab pada tahun 1912. Perjalanan kareer di dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan selama lebih 20 tahun; diwarnai dengan hampir 250 naskah dan karya kreatif yang dihasilkan Manto. Manto dilahirkan dan dibesarkan oleh keluarga Kashmiri kelas menengah di Amritsar, India. Manto tidak pernah tamat sekolah. Manto tidak pernah lulus subjek Urdu. Namun, siapa sangka bahawa 20 tahun kemudian – Manto dianggap sebagai salah seorang penulis-eseis-cerpenis yang paling agung di dalam sejarah kesusasteraan Urdu. Semasa Manto berusia tujuh tahun, dia menjadi saksi tragedi pembunuhan beramai-ramai Jalianwalla Bagh di Amritsar pada tahun 1919. Manto memuatkan naratif dan pengalaman traumatik dirinya ketika berhadapan dengan tragedi tersebut. Kisahnya di Amritsar dimuatkan di dalam cerpen yang bertajuk “It Happened in 1919”. Saadat Hasan Manto digambarkan sebagai seorang penulis yang begitu anti-sektarianisme. Pengalaman pahit masyarakat Islam India berhadapan dengan konflik identiti agama dan rusuhan kaum dan agama di Amritsar sering menjadi bahan penulisan yang diilhami Manto. Pemuda Revolusioner dan Sikap Melawan Di dalam zaman mudanya, Saadat Hasan Manto seorang pemuda radikal dan revolusioner. Kolonialisme British di India menyebabkan Manto terbakar dengan motivasi gerakan garis-keras pro-kemerdekaan India. Dia memilih untuk menyokong jalur perjuangan yang radikal. Manto pernah menyatakan hasratnya untuk bergandingan bahu dengan Subash Chandra Bose, pejuang kemerdekaan India untuk menghalau penjajah British keluar daripada bumi India. Semasa muda, Manto pernah membayangkan bahawa suatu hari nanti bahawa British akan dihalau daripada tanah India kerana ‘homemade bombs’ (bom buatan tangan). Bom buatan tangan merupakan simbolik kepada penentangan anak watan/pribumi terhadap kolonialisme Barat. Pada Disember 1951, Manto menulis surat pertama kepada negara Uncle Sam ; Amerika. Semasa kemuncak perang dingin, Pakistan ‘terpaksa’ menandatangani perjanjian ketenteraan di Amerika Syarikat. Surat tersebut dimuatkan di dalam antologi Manto Rama (1990); terjemahan Inggeris oleh Khalid Hassan,”Letter’s to Uncle Sam” (2001). “This letter comes to you from your Pakistani nephew whom you do not know, nor does anyone else in your land of seven freedoms.” Petikan surat tersebut bermula dengan keresahan Manto terhadap nasib bangsa dan saudara sesama negara-nya. Ia menunjukkan bahawa Manto menyikapi rasa anti-kolonialisme yang tebal; setelah berdekad melawan kolonialisme British semasa era pra-pemisahan 1947. Anti-sektarianisme di dalam karya-karya Manto Kekuatan esei-esei Manto terletak pada imaginasi Manto yang deskriptif. Membaca karya Manto seakan-akan menghidupkan naratif traumatik masyarakat Islam di India yang bergelut dengan pengalaman konflik yang panjang. Salah satu cerpen Manto yang begitu simbolik terhadap tema anti-sektarian ialah Toba Tek Singh (1947). Toba Tek Singh merupakan refleksi terhadap dilema perpecahan dua negara, dua bangsa dan dua agama akibat daripada permusuhan politik dan kecelaruan identiti. Cerpen Toba Tek Singh mengisahkan tentang banduan-banduan di sebuah penjara di kawasan yang bernama Toba Tek Singh. Penjara ini merupakan transit banduan daripada India dan Pakistan. Setelah beberapa tahun terpisah, kerajaan India dan Pakistan bersetuju untuk melakukan pertukaran banduan. Kisahnya tentang dua orang banduan lunatik. Seorang lunatik beragama Sikh. Seorang lagi lunatik beragama Muslim. Kedua-duanya merupakan perusuh kaum dan agama. Si lunatik Sikh menggelarkan diri-nya Master Tara Singh. Manakala, si lunatik Muslim menggelar diri-nya Quaid E Azam Muhammad Ali. Mereka saling memusuhi antara satu sama lain. Namun, akhirnya mereka sedar bahawa samada Pakistan atau India ; mereka kini berada di dalam penjara di sebuah tempat bernama Toba Tek Singh. Di penjara ini – mereka semuanya sama. Tiada India, tiada Pakistan. Ayat terakhir daripada cerpen Toba Tek Singh berbunyi: “There, behind barbed wire, on one side, lay India and behind more barbed wire, on the other side, lay Pakistan. In between, on a bit of earth, which had no name, lay Toba Tek Singh” Cerpen ini berjaya menangkap imaginasi penulis mengenai kisah sektarian dua manusia yang dipisah-pisahkan kerana ketidaktahuan – seperti sikap sektarian kaum dan agama dari dua belah yang berbeza. Khalid Hassan, penterjemah karya-karya Manto ke dalam Bahasa Inggeris berpendapat bahawa tema utama yang cuba dipaparkan oleh Manto adalah teman persahabatan dan kemanusiaan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Selain Toba Tek Singh, Colder than Ice juga merupakan buah tangan Manto yang memaparkan elemen anti-sektarianisme. Colder than Ice berkisar tentang perbicaraan Isher Singh, seorang Sikh yang menculik gadis Muslim semasa rusuhan kaum dan merogol gadis tersebut. Akhirnya, dia sedar bahawa gadis tersebut sudah lama meninggal dunia. Siyah Hasyhi – koleksi vignet dan lakaran Manto terhadap peristiwa pembunuhan 1947 mengingatkan kita bahawa kekerasan tidak pernah sama sekali dikaitkan dengan agama. Bagi Manto, ia adalah kemunafikan untuk menjustifikasi pembunuhan dengan agama. “If a man killed, it did not matter whether he killed in the name of his gods or for the glory of his country or his way of life. To Manto, a killer is as he was a killer!” (Khalid Hassan – Bitter Fruit, The Very Best of Saadat Hasan Manto) Bagi Manto – agama dan idealogi tidak boleh membenarkan kezaliman dan keganasan. Di dalam kata-kata yang digunakan Ayesha Jalal di dalam The Pity of Partition (2013) untuk menggambarkan ketegasan Manto, “ Knives, Daggers and Daggers cannot kill Religion!” Hari-hari terakhir Saadat Hasan Manto Saadat Hasan Manto meninggal dunia pada 18 Januari 1955. Dia meninggal semasa berumur 43 tahun. Tahap kesihatannya semakin merudum kerana ketagihan alkohol. Ketagihannya menyebabkan Manto akhirnya mati melarat bersendirian di katil. Saadat Hasan Manto akan sentiasa diingati sebagai salah seorang penulis agung kesusasteraan moden India-Urdu. Manto menulis epitaf buat dirinya sendiri. Namun atas permintaan keluarga, epitaf tersebut tidak dipamerkan di kubur Manto kerana risau akan ada “mullah gila” yang menyerang kuburan Manto. Epitaf yang ditulis Manto berbunyi: “In the name of God, the Compassionate, the Merciful. Here lies Saadat Hasan Manto and with him lie buried all the secret and mysteries of the art of short-story writing….Under tons of earth he lies, still wondering who among the two is the greater short-story writer: God or he.” – Saadat Hasan Manto (18 Ogos 1954) Melawan sektarianisme Begitu juga rasa perkauman harini – kita membenci sesuatu perkara yang belum tentu kita faham. Ada di antara kita yang tidak dapat membezakan “agama” dan “budaya”. Sikap anti-toleransi menyebabkan kita gagal akui bahawa dunia ini terbentuk dengan realiti pluralisme yang tak terelakkan. Melawan sektarianisme merupakan tanggungjawab bersama. Kita wajar mendokong sebarang usaha untuk menangkis kebencian. Membenci perkara yang ‘asing’ itu bukan suruhan agama. Agama mendekatkan kita sebagai manusia yang bersaudara. Tidak ada agama di dunia ini yang mengajarkan kita kebencian. Kebencian muncul kerana sikap kita yang gagal untuk saling belajar dan berkongsi pengalaman. Tak kenal maka tidak cinta!
]]>Islam dan keharmonian dalam masyarakat berbilang agama
Oleh Ming Abdullah Untuk mencipta keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang agama seperti di negara kita ini, kita perlulah ada sifat saling hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza dari segi agama dan kepercayaan. Khasnya kepada umat Islam diwajibkan menghormati penganut agama lain, ini adalah ajaran Al Quran seperti mana dalam surah, Al-An’aam ayat 108: “Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” Amat jelas Islam menolak prinsip yang tidak toleransi dalam kehidupan bermasyarakat. Allah SWT menciptakan umat manusia bagi menghuni seluruh permukaan bumi dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama serta etnik. Oleh yang demikian Allah SWT juga mengajarkan konsep toleransi dengan tujuan agar keharmonian wujud dalam kalangan umat manusia. Ayat berkenaan menjelaskan bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat bukan Islam. Jika umat Islam mencemuh atau mengejek masyarakat berlainan agama akan mendorong mereka membalas penghinaan tersebut dan hal ini Allah SWT tidak membenarkannya, inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam. Berbuat baik arahan Tuhan Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berlainan akidah sekalipun. Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, namum kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Islam adalah agama yang sempurna kerana tidak hanya mengajarkan hubungan manusia dengan Allah SWT malahan juga mengajarkan bagaimana umat Islam hidup dalam bermasyarakat. Agama Islam sentiasa menganjurkan kebaikan dan kedamaian, agama Islam mewajibkan umatnya agar memiliki dan mempraktikkan sikap toleransi dalam menyikapi perbezaan antara sesama manusia. Dalam konteks negara Malaysia, yang merupakan negara yang dihuni oleh bangsa majmuk dengan berbagai macam agama dan budaya. Oleh itu sebagai umat Islam dengan ajaran yang jelas, berusahalah melaksanakan perintah Al Quran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. agar dapat diwujudkan masyarakat dengan kehidupan yang harmoni hasil dari toleransi terhadap umat beragama lainnya. Dalam menjalin interaksi antara pelbagai bangsa dan agama, samada dalam bentuk ekonomi, politik, kebudayaan, agama dan lain-lain aspek kehidupan adalah perlu menjadi keutamaan agar terbentuk hubungan yang baik dan saling menguntungkan sesama umat manusia dalam suasana penuh kedamaian. Kepelbagaian diiktiraf Kepelbagaian masyarakat yang berupa perbezaan suku, bangsa, bahasa, adat istiadat merupakan fitrah manusia itu sendiri yang ditentukan oleh penciptanya, seperti yang difirmankan Allah swt dalam surat al-Hujurat ayat 13 yang berbunyi : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakanmu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikanmu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”. Dalam ayat ini seruan tidak dikhususkan kepada “wahai oran mukmin ataupun wahai orang yang beriman”, ianya cukup berbentuk umum iaitu umat manusia. Tidak ada seruan agar sesama umat manusia bermusuhan sebaliknya perhatikan dalam ayat yang sama terkandung, “Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu”. Ini adalah satu perintah dari sang pencipta supaya umat manusia berlumba-lumba berbuat kebaikan. Bukan di kalangan umat Islam tetapi di kalangan umat manusia, orang yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang bertakwa kepadaNya. Takwa Salah satu sifat orang yang bertakwa ialah sentiasa berusaha agar tidak menyakiti orang lain dan sentiasa berbuat kebaikan agar sentiasa mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah SWT. Dalam mencapai matlamat di atas, Nabi Muhammad S.A.W. telah memberikan contoh terbaik. Jadikanlah pesanan dan cara hidup Nabi Muhmaad SAW yang secara keseluruhannya berpandukan ajaran Al Quran sebagai panduan. Jika ini dapat dilaksanakan, umat Islam akan menjadi umat yang terhormat di muka bumi ini. Rasululullah S.A.W. pernah bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. adalah orang yang sukakan berselisih dan bergaduh.” Dalam kesempatan lain Nabi Muhammad S.A.W. juga bersabda, “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan”- (Riwayat Abu Daud). Nabi Muhammad S.A.W. sentiasa berbuat baik kepada mereka yang bukan beragama Islam, berkaitan hal ini terdapat banyak kisah-kisah dalam kehidupan dan pesanan-pesanan suci Nabi Muhammad S.A.W. kepada umat Islam. Nabi Muhammad S.A.W. memerintahkan umat Islam, “Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Darimi). Hadis Nabi Dalam hadis ini Nabi Muhammad S.A.W. tidak mengatakan “Pergaulilah kaum muslimin, atau orang-orang yang shalih, atau orang-orang yang mengerjakan shalat”, akan tetapi beliau mengatakan “Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik”. Maksudnya adalah semua manusia, yang kafir, yang Muslim, yang mushlih (yang melakukan perbaikan), yang faajir (jahat) dan yang salih, sebagai bentuk keluasan rahmat dan kelengkapannya dengan akhlak din (agama). Demikianlah di antara contoh-contoh yang baik dari kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Nabi S.A.W mempunyai jiran seorang Yahudi, jiran ini sering menyakiti Nabi S.A.W. Suatu ketika, Nabi S.A.W. mengetahui bahwa orang yang selalu menyakitinya ini memiliki seorang anak yang sedang sakit dan nazak. Maka Nabi S.A.W. datang berkunjung ke rumahnya dan mengajaknya menuju jalan Rabb-nya, dengan harapan semoga Allah memberikan petunjuk dan memperbaiki keadaan orang ini. Ini jelas menunjukan Nabi S.A.W. tidak pernah menaruh dendam malahan membalas keburukan dengan kebaikan, meskipun terhadap orang kafir. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda kepada si anak, sementara bapaknya juga ada bersama mereka, “Wahai bocah, katakanlah laa ilaaha illallah, itu akan menyelamatkanmu dari api neraka”. Mendengar seruan ini, si anak memandang ke arah bapanya dan memperhatikannya. Nabi Muhammad S.A.W. mengulangi lagi. “Wahai bocah, katakanlah laa ilaaha illallah!” Si anak memandang ke arah bapanya lagi. Pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. memberi hormat dengan berdiri apabila jenazah seorang Yahudi dibawa lalu di hadapan Nabi Muhammad S.A.W. Kemudian ada seorang sahabat bertanya : Wahai Rasulullah S.A.W., sesungguhnya itu adalah jenazah seorang Yahudi. Baginda bertanya: Bukankah dia manusia juga?” Dalam hidup berjiran Nabi Muhammad S.A.W. amat menghormati dan mengasihi jiran tetangganya dan beliau pernah bersabda, “Jibril selalu berwasiat kepadaku tentang perihal jiran, sehingga aku menyangka bahawa ia akan menjadikan jiran sebagai salah satu pihak yang berhak mendapatkan bahagian warisan.” Isu hangat diperbincangkan akhir-akhir ini ialah tentang larangan menggunakan nama ALLAH oleh non-muslim sehingga membawa kepada rampasan kitab Injil oleh pihak berkuasa agama. Tindakan seperti ini telah menyalahi cara hidup yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. agar jangan menyakiti orang yang bukan beragama Islam. Namun tindakan yang diambil oleh kerajaan Negeri Selangor dengan mengembalikan kitab tersebut kepada pemiliknya adalah satu tindakan yang wajar. Diharapkan mereka yang bukan beragama Islam mampu berfikir secara waras dan tidak tegesa-gesa menisbahkan bahawa larangan menggunakan nama Allah adalah ajaran agama Islam sehingga umat lain memandang serong serta terbit rasa kebencian terhadap agama Islam dan juga umat Islam. Saranan ulama Dalam menanggapi permasalahan ini penulis selitkan pandangan bernas dari Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin (sumber: http://drmaza.com/home/?p=931#):
- “Kristian Arab dan juga musyrikin Mekah dahulu juga menyebut Allah sebagai Tuhan. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak membantah hal tersebut. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini agak baru. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik tuntutan ini?”.
- Nabi S.A.W ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi S.A.W. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi S.A.W : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.