Projek Dialog

Al-Quran Percuma dan 'Anticipatory Bail'

Al-Quran dalam versi terjemahan pelbagai bahasa terdapat di seluruh dunia. Al-Quran terjemahan pelbagai bahasa ada di seluruh dunia.[/caption]

Program One Soul One Quran di bawah Yayasan Maklumat dan Khidmat Islamik (IIS) dilancarkan pada Januari 2015 kononnya dalam usaha “membantu menangani masalah salah faham mengenai mesej Al-Quran dan ajaran Islam sebenar.”

Menurut pengarah projek, Sabariah Abdullah, pengedaran Al-Quran terjemahan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin kepada orang awam Bukan Islam dilaksanakan selama empat setengah bulan, iaitu sehingga Jun 2019, dan melibatkan anggaran perbelanjaan mencecah RM11.5 juta.

Secara paling mudah dan spontan, saya suka menyarankan supaya wang sebanyak itu dimanfaatkan untuk membimbing serta memulihkan insan-insan sesat seperti Ridhuan Tee Abdullah, Perkasa dan ISMA supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Hal ini penting kerana segala usaha “membantu menangani masalah salah faham mengenai mesej Al-Quran dan ajaran Islam sebenar” terhalang dan musnah akibat dakyah serta kempen anti-dakwah yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar oleh puak fanatik, etnosentrik, ultra kiasu dan pelampau seperti mereka. Kalaulah “pembetulan” dan “pemulihan” dapatkan dilakukan pada peringkat akar umbi dan pada puncanya sendiri, maka tidak timbul masalah orang Bukan Islam salah anggap terhadap ajaran Islam. Secara mudah, mana mungkin masyarakat awam mendapat gambaran positif dan sebenar mengenai kesucian dan kehebatan Islam selagi wujud manusia seperti Ridhuan Tee serta orang-orang kuat dalam ISMA, Perkasa dan sekutunya? Dalam pada itu, walaupun sudah beberapa bulan sejak projek penyebaran dan pengedaran Al-Quran dimulakan, nampaknya pihak berkenaan masih teraba-raba dalam kegelapan. Perkembangan ini membuktikan bahawa seperti biasa, kita hanya pandai melancarkan sesuatu tanpa perancangan teliti. Apatah lagi dalam perkara melibatkan isu-isu sensitif berkaitan agama dan kitab agama. Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara mudah memberikan penyelesaian bahawa “penganut Bukan Islam boleh memulangkan semula salinan Al-Quran yang diberikan” jika tidak berminat untuk menerimanya.   Ketahui Punca Al-Quran Percuma Ditolak Soalan pertama: Apa perlunya orang Bukan Islam terbabit menerima kitab berkenaan jika mereka memang tidak berminat untuk memiliki dan membacanya? Mengapa mereka perlu menanggung beban memulangkannya semula? Soalan kedua: Kepada siapakah kitab itu perlu dipulangkan? Kepada pengedar di tepi jalan, ke masjid atau kepada jiran-tetangga beragama Islam? Bayangkan reaksi jiran beragama Islam jika orang Bukan Islam menyerahkan Al-Quran kepadanya! Nescaya disangka ada muslihat menyebarkan agama lain kepada mereka! Timbul pula isu kerana dalam insiden pengedaran Al-Quran yang dilaporkan oleh Young Buddhist Association of Malaysia berlaku di sekitar Klang, baru-baru ini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Jadi, kepada siapa mahu dipulangkan kitab berkenaan jika orang Bukan Islam tidak mahu memilikinya? Tidak ada pihak yang mengaku mengedarkannya. Maka, apakah mahu dibuang ke dalam laut, sungai, tong sampah, atau dibakar sahaja? Demikian antara persoalan dan kebimbangan yang diluahkan oleh rakan-rakan menerusi mesej peribadi kepada saya berikutan penyiaran makalah bertajuk “Kenapa Bukan Islam Menolak Al-Quran Percuma?” (Kuala Lumpur Post, 5 Mac 2015). Walaupun saya secara peribadi tidak bermasalah – malah mengalu-alukan – menerima sumbangan Al-Quran versi Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin, saya juga tetap memahami kebimbangan yang diluahkan oleh orang ramai dalam isu ini. Bantahan dan kebimbangan pihak-pihak seperti Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST), Malaysia Hindu Sangam (MHS) dan Young Buddhist Association of Malaysia memang sangat berasas. Saya memahami pendirian mereka. Walaupun Perkara 3 dalam Perlembagaan memberikan jaminan agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai di seluruh negara, badan-badan agama serta penganut Bukan Islam sedar bahawa mereka tidak terlepas atau bebas daripada dakwah Islam dalam pelbagai cara. Saya percaya atas alasan itulah juga MCCBCHST menyeru penduduk Bukan Islam supaya tidak menerima Al-Quran yang diedarkan kerana dibimbangi “bakal menggugat kepercayaan penganut bukan Muslim.” Dalam hal ini, tentu sahaja “jaminan” yang diberikan oleh ahli jawatankuasa Biro Tarbiyyah ISMA, Mohd Azizie Hasan bahawa “tidak timbul langsung isu untuk memaksa orang bukan Islam memeluk Islam” tidak sedikit pun membantu menjernihkan keadaan.   Antara Prejudis dan Niat Tersembunyi Saya secara peribadi tidak percaya pada “jaminan” ISMA. Hal ini adalah kerana apabila saya menyatakan bahawa Nabi Muhammad adalah satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi, ISMA terus “menyeru” saya masuk Islam (IsmaWeb, 19 Julai 2013). Maka, apabila orang Bukan Islam menerima Al-Quran yang diedarkan secara percuma, menelitinya dengan niat murni, lalu menyatakan kekaguman terhadap nilai-nilai liberal yang terkandung dalam Islam, pasti ISMA dan sekutunya akan segera memaksa (“menyeru”) individu terbabit terus masuk Islam. Berdasarkan alasan seperti ini serta pengalaman saya sendiri sejak kanak-kanak, maka saya amat memahami kebimbangan yang diluahkan oleh pertubuhan dan individu Bukan Islam. Seperti ditegaskan MCCBCHST, Perkara 11 (4) sepatutnya digunakan sebagai pelindung penganut Islam, tetapi tidak boleh digunakan untuk menyebarkan Islam kepada orang Bukan Islam. Sekiranya itulah “niat tersembunyi” – seperti diyakini rata-rata orang Bukan Islam yang menghubungi saya – maka wajarlah mereka berhati-hati (bukan “prejudis”) demi mempertahankan agama sendiri mengikut peruntukan sah dalam Perlembagaan. Tambahan pula, pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Ahmad Farouk Musa dilaporkan berkata, “pilihan masih di tangan individu bukan Islam sama ada untuk menerima kitab Al-Quran terjemahan itu atau tidak.” Kenyataan ini juga membuktikan bahawa pertubuhan dan individu Bukan Islam berhak untuk awal-awal lagi membuat kenyataan rasmi – semacam mendapatkan anticipatory bail dalam filem Tamil – bagi mengelakkan sebarang kerumitan, kesukaran dan masalah yang mungkin timbul pada kemudian hari. Bak kata pepatah Melayu: Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Maka, saya tidak nampak apa-apa alasan untuk mengkritik, menidakkan atau menghina pendirian badan-badan seperti MCCBCHST dan MHS. Mereka berhak untuk berkata “Thanks, but no thanks” sejak awal sebelum sejuta naskhah Al-Quran percuma diedarkan kepada orang awam Bukan Islam. Saya pula gembira menerima senaskhah The Holy Quran daripada rakan-rakan dari Jemaat Ahmadiyyah Muslim Malaysia. Versi ini agak membantu kerana mengekalkan teks Arab serta diberikan terjemahan Inggeris dan ulasan ringkas.   Cadangan dan Saranan Rakan-rakan Dalam pada itu, saya masih tertunggu-tunggu pihak IIS menyumbangkan Al-Quran dalam keempat-empat bahasa sebagai rujukan peribadi dan koleksi di perpustakaan mini Rumah Kavyan yang merupakan pusat aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya. Seorang guru dari Jelebu, Negeri Sembilan, Jazilah Ramly, bersetuju dengan cadangan saya supaya Al-Quran yang diterjemahkan itu diedarkan ke perpustakaan awam dan desa di seluruh negara. Maka, sesiapa yang berminat boleh membacanya tanpa sekatan atau paksaan. Tambahan pula, Al-Quran memang sudah diterjemahkan ke pelbagai bahasa seluruh dunia. Malaysia bukan negara pertama yang melakukannya. “Mungkin pengedarannya boleh diluaskan kepada pertubuhan atau persatuan agama-agama Bukan Islam di seluruh negara. Ini langkah lebih baik untuk membantu usaha mengenali Al-Quran seperti diharapkan,” katanya. Jazilah juga bersetuju bahawa langkah “mengenali” agama haruslah berciri dua hala. Beliau mengaku memiliki beberapa buah Bible dalam versi Bahasa Malaysia dan Inggeris. “Saya sendiri sangat ingin memiliki bahan bacaan berkaitan agama-agama lain daripada sumber agama itu sendiri, seperti agama Sikh, Hindu dan Buddha,” katanya. Walaupun memang ada banyak buku mengenai agama-agama Bukan Islam yang ditulis dari kaca mata Islam, tentulah lebih baik dan afdal jika versi dari kaca mata agama asal itu sendiri dibaca untuk meningkatkan pemahaman. Sekurang-kurangnya boleh mengelakkan sebarang bentuk manipulasi fakta dan kandungan kitab suci seperti yang khabarnya sering dilakukan orang-orang seperti Zakir Naik. [caption id="attachment_4537" align="alignleft" width="225"]Hinduisme: Ajaran Eka Aneka yang Disalah Faham Hinduisme: Ajaran Eka Aneka yang Disalah Faham[/caption]   Sewaktu diwawancara oleh Rentakini semasa Bengkel Kemajmukan Agama anjuran Projek Dialog pada 7 Mac 2015, saya mengungkitkan pertanyaan mengenai kemungkinan orang Bukan Islam yang menerima dan membaca Al-Quran percuma itu akan mula melakukan perbandingan dengan kitab agama masing-masing. Perkara sama juga dibangkitkan oleh Damian Murphy Denis dari Pulau Pinang menerusi mesejnya kepada saya baru-baru ini. Katanya, orang Islam dan pertubuhan Islam (seperti JAKIM, misalnya) perlu bersedia dan bersikap terbuka untuk menjawab persoalan-persoalan yang mungkin dikemukakan orang Bukan Islam selepas membaca kitab berkenaan.     Bersediakah Kita Untuk Dialog Antara Agama? “Mungkin ada antara pertanyaan dan kemusykilan yang dikemukakan itu agak sukar atau sensitif untuk dijawab oleh orang Islam. Soalnya, apakah mereka (orang Islam) bersedia untuk berdepan dengan keadaan seperti itu?” Soalnya sambil menambah bahawa dialog antara agama sepatutnya berciri dua hala, bukan dakwah sehala. Dalam beberapa makalah sebelum ini, saya melakukan perbandingan mengenai kewafatan Nabi Isa (Jesus) menurut Bible dan Al-Quran. Misalnya makalah “Jesus dan Isa: Serupa Tapi Tak Sama?” (The Malaysian Insider, 10 Februari 2015). Menerusi perbandingan agama menggunakan rujukan Al-Quran dan Bible juga, saya menulis “Memahami Hujah Jesus Adalah Islam” (Projek Dialog, 13 Februari 2015) demi membuka pintu dialog mengenai topik sensitif itu. Sebagai pengamal multi-faith dan pendukung dialog inter-faith, saya memperkatakan mengenai “Nabi Nuh dalam Al-Quran dan Bible” (The Malaysian Insider, 3 Mac 2015) dan “Hinduisme, Abang Sulung Kepada Islam?” (Free Malaysia Today, 1 Mac 2014). Selain daripada memperkatakan mengenai “Veda Sebagai Asas Hinduisme” (Projek Dialog, 2 Mac 2015), saya juga menulis “Buddha Sebar Islam?” (Projek Dialog, 21 Januari 2015) sebagai usaha menggalakkan dialog antara agama. Tentu sahaja segala perbandingan agama dan hujah-hujah yang saya kemukakan mendapat reaksi yang pelbagai daripada pelbagai pihak. Tidak kurang juga yang menuduh dan memfitnah saya sebagai anti-Islam. Kononnya saya cuba menyebarkan ajaran Hindu/Buddha/Kristian kepada orang Melayu-Islam menerusi makalah-makalah berkenaan. Kononnya itulah sebabnya saya menulis makalah menggunakan Bahasa Malaysia. Apabila Al-Quran dalam versi terjemahan diedarkan secara percuma dan meluas kepada orang awam Bukan Islam, pasti sahaja dialog, pertanyaan dan hujah lebih hebat akan dikemukakan oleh mereka. Tanya DialogMungkin bukan menerusi makalah seperti yang saya lakukan atau menerusi majlis ilmu seperti anjuran Projek Dialog. Tetapi mungkin menerusi media sosial seperti Facebook, Twitter dan blog. Paparan mereka tentu akan dikongsi rakan-rakan, selain diberikan komen secara terbuka dan tanpa sebarang sekatan. Apakah kita – khususnya pertubuhan Islam dan orang Islam – sudah bersedia untuk menanganinya secara profesional, terbuka dan berhemah tanpa menuduh orang Bukan Islam cuba mencabar kedaulatan Islam? Sanggupkah kita berdialog dua hala secara terbuka tanpa bersembunyi di sebalik Akta Hasutan dan Enakmen Agama Bukan Islam, misalnya?   unnamed ]]>

Apa yang anda tahu mengenai agama minoriti?

Iktiraf kebebasan dan kepelbagaian agama dan fahaman Memang tidak dapat dinafikan bahawa kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia menuntut toleransi yang tinggi oleh semua orang. Perbezaan serta konflik merupakan sesuatu yang perlu dihadapi dengan tenang dan positif berbanding provokasi dan prejudis. Dialog, forum dan aktiviti kemasyarakatan antara pelbagai agama, serta rumah terbuka wajar dipergiat dengan sungguh. Jikalau berbicara mengenai persoalan iman manusia yang beragama, saya berpendapat iman adalah rahmat, memerlukan akal budi dan sewajarnya bebas untuk memilih. Iman adalah rahmat jika yang percaya betul-betul ikhlas mencari kebenaran masing-masing tanpa ada rasa ‘membodek Tuhan’. Iman memerlukan akal budi kerana setiap manusia wajar mendalami dan mempersoalkan apa yang mereka percaya dan sentiasa melakukan kebaikan dalam konteks kemanusiaan sebenar. Ianya bebas untuk memilih kerana fitrah manusia sewajarnya tidak boleh dipaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan akal budi mereka. Saya amat menghormati konteks sebenar kebebasan beragama. Bagi saya kebebasan beragama sewajarnya diangkat sebagai martabat hak asasi manusia bagi semua orang. Saya percaya jikalau kebebasan beragama tidak dizahirkan dengan betul, amat sukar bagi kita melihat kehormonian dalam kepelbagaian masyarakat. Adalah lebih wajar jikalau setiap penganut agama memfokuskan “faith in action” iaitu iman dalam perbuatan bagi menyelesaikan pelbagai kemelut masalah masyarakat berbanding mencari perbezaan teologi serta intimidasi antara satu-sama lain. Akhir kalam, untuk memupuk keharmonian dalam pelbagai agama adalah harus kerana hidup bermasyarakat menuntut kita untuk berkongsi rasa kemanusiaan yang sama. Usaha masyarakat, NGO, kerajaan dalam mengetangahkan dialog seumpama Bengkel Kemajukan Agama wajar diteruskan dan diperkenalkan di pelbagai tempat di Malaysia. unnamed

]]>

Islam yang mana satu?

temptations of power’. Pengalaman Islam di dalam politik adalah pertembungan Islam dengan kekuasaan. Islam-politik atau sering disebut “Political Islam” menekankan kepentingan hukum syariah dan kewujudan negara agama (Islamic state). Ia menembus masuk ke dalam ruang awam dan membicarakan tentang kepentingan semua warganegara. Kuasa politik Islam merupakan sebahagian daripada orde politik yang signifikan di dalam dunia harini. Kemunculan ekstremisme pemikiran selalu dikaitkan dengan ‘politik Islam’. Ini menyebabkan ramai penganalisis berpendapat bahawa Islam merupakan faktor yang penting di dalam perkembangan dunia politik masakini. Namun, saya memilih untuk berbeza pendirian. Matlamat semua agama adalah untuk menciptakan kebaikan buat umat manusia. Dan Islam tidak terkecuali. Kekuatan Islam bukan terletak pada sandaran ideologi. Sebaliknya Islam menekankan nilai-nilai spiritualiti. Politik sebagai agama? Pengalaman ‘politik sebagai agama’ atau ‘agama sebagai politik’ adalah percubaan untuk menerapkan pemahaman agama sebagai kuasa. Begitu juga apa yang kita sebut sebagai ‘political Islam’. Ia adalah wajah ‘Islam sebagai kuasa’. Islam adalah agama yang berdiri dengan kekuatan ‘masyarakat nilai’ (value-based society). Islam hanya akan berjaya apabila ia difahami sebagai agama yang menzahirkan kerohanian dan ketenangan jiwa. Pengkaji Michael Hart yang memilih Nabi Muhammad sebagai tokoh dunia yang paling berpengaruh meletakkan asas pemikiran Muhammad pada tiga nilai; politik, agama dan spiritualiti. Kajian ini dikatakan sebagai kajian personaliti tokoh yang paling komprehensif. Soalnya bukan Nabi Muhammad yang paling berpengaruh atau tidak. Tetapi, ia tentang pencapaian seorang manusia bernama Muhammad yang mengangkat darjat kemanusiaan di tahap yang sangat tinggi dalam sejarah manusia. Tampaknya, sebahagian daripada kita yang mengaku “umat Muhammad” inilah yang sedang merendahkan darjat seorang manusia pada harini. Kerana perbezaan, kita membunuh dan mencederakan. Pencapaian Muhammad adalah intipati untuk diri kita sendiri. Pernahkah kita terfikir apakah “Islam” masakini adalah “Islam” yang diajarkan oleh Muhammad atau “Islam” yang direka-reka untuk kepentingan individu? Soalnya berbalik kepada kita untuk memilih versi yang mana satu ; samada Islam yang mengajarkan rahmat dan kasih sayang atau Islam yang mengajar kita untuk membenci dan menyakiti. Islam dan Islamisme  Islam berbeza dengan Islamisme. Islam adalah cara hidup. Manakala Islamisme pula ideologi politik yang mengikat Islam dan kekuasaan melalui jalan politik. Muslim tidak semestinya berfahaman Islamis. Mereka mungkin sekular, demokrat atau nasionalis! Seorang Muslim mungkin sahaja seorang demokrat, liberal, konservatif mahupun progresif. Tetapi, seorang Islamis itu semestinya seorang Muslim. Nah, apa yang membezakan Islam dan Islamisme? Di dalam buku Islam and Islamism, Bassam Tibi  menegaskan bahawa perbezaan Islam dan Islamisme terletak pada penzahiran budaya, nilai hidup dan warisan. Seorang yang taat dengan ajaran Islam belum tentu seorang Islamis. Islamisme adalah gerakan khusus yang bersifat politikal. Islam pula tidak semestinya politikal. Islam boleh berperanan sebagai alat kebudayaan dan keruhanian. Istilah yang selalu digunakan ialah ‘Islam Sufi.’ Islam mempunyai keunikan menerusi amalan ibadah dan ritual keagamaan. Seorang muslim mungkin sahaja apolitikal. Tetapi mereka tetap berpegang teguh dengan ajaran agama. Islamis pula adalah mereka yang berfikiran bahawa hukum/syariat Islam harus ditegakkan melalui jalan politik. Yang membezakan Islam dan Islamisme adalah Islam sebagai ‘spiritualiti’ manakala Islamisme adalah Islam sebagai ideologi. Islamis pula mungkin sahaja fundamentalis dan konservatif. Moderat mahupun progresif. Pro kebebasan atau anti-kebebasan. Ia terpulang kepada cara bagaimana golongan Islamis menempatkan fahaman mereka di dalam pergelutan politik dan kekuasaan. Kita tidak boleh melambakkan pemikiran bahawa Islam dan Islamisme itu dengan kesimpulan bahawa ia anti demokrasi dan pro-keganasan. Pada masa yang sama, kita tidak pula meletakkan klaim bahawa Islam itu liberal atau demokratik. Islam itu sendiri ditafsirkan berbeza-beza menurut mazhab dan jemaah. Pemahaman terhadap Islam itu juga bergantung dengan cara fikir masing-masing. ‘Islam’ yang baik pada kita, belum tentu baik untuk orang lain. ‘Islam’ yang benar bagi orang lain juga belum tentu benar di mata kita. Tetapi yang pasti, Islam mengajarkan umatnya untuk menggunakan akal. Akal yang mengajar kita untuk menjadi baik atau buruk. Maka, “Islam” dan “Akal” merupakan kesinambungan umat Islam supaya maju dan rasional. Islam politik vs Islam spiritual  Kita harus faham bahawa ‘Islam sebagai cara hidup’ barangkali berbeza dengan ‘Islam sebagai ideologi politik’. Sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu sifatnya, pemikirannya dan gaya hidupnya berbeza-beza. Kita tidak boleh menganggap Islam dan Islamisme itu sama dan muktamad. Noktah. Bagi saya ; jika kita percaya bahawa Islam itu adalah ‘rahmatan fil alamin'(rahmat buat sekelian alam) — kita harus setuju bahawa perbezaan dan pluraliti itu adalah rahmat buat Islam. Jarang sekali kita mengakui hakikat bahawa perbedaan adalah peluang untuk kita saling belajar dan mengenali satu sama lain. Islam adalah agama yang membuka ruang terhadap pentafsiran dan penalaran terhadap wacana. Barangkali ‘perbezaan’ di dalam sejarah Islam adalah sesuatu perkara yang biasa. Islam juga agama bermazhab – dicorakkan mengikut budaya dan amalan setempat. Islam meraikan perbedaan berfikir dan budaya. Namun, akhirnya terpulang kepada kita (diri sendiri) untuk mencorakkan versi “Islam” yang bagaimana dan macam mana! unnamed

]]>

Kehidupanku sendiri – Oliver Sacks mengetahui dirinya menghidapi barah

Penterjemahan tidak rasmi My Own Life oleh Oliver Sacks yang diterbit oleh the New York Times pada 19/2/2015. Penterjemah: Yana Rizal.    SEBULAN lalu, aku merasakan diriku sihat walafiat, malah cergas. Pada umur 81 tahun, aku masih berenang sebatu sehari. Namun nasibku telah surut – beberapa minggu lalu, aku mendapati bahawa aku mempunyai beberapa metastasis di hati. Sembilan tahun lalu, mereka menemui sebuah tumor di mataku, tumor yang jarang dijumpai iaitu melanoma okular. Walaupun radiasi dan laser untuk membuang tumor tersebut akhirnya membutakan mataku itu, ianya begitu jarang untuk kes-kes tersebut menular. Aku di antara 2% yang malang. Aku bersyukur bahawa aku telah diberi sembilan tahun kesihatan dan produktiviti semenjak diagnosis yang asal itu, namun kini aku berdepan dengan kematian. Barah ini memenuhi satu pertiga dari hatiku, dan walaupun pertumbuhannya masih boleh diperlahankan, barah seperti ini tidak boleh dihentikan. Kini keputusan di tanganku bagaimana untuk menghabiskan bulan-bulan yang tinggal dalam hidupku. Aku perlu hidup dengan cara yang paling bermakna dan produktif sebaik mungkin. Untuk ini, aku sangat terdorong dengan kata-kata ahli falsafah kegemaranku, David Hume, yang apabila mengetahui bahawa beliau sakit tenat pada umur 65 tahun, telah menulis autobiografi singkat dalam masa sehari pada bulan April 1776. Ianya berjudul “Kehidupanku Sendiri. ” “Aku kini mengharapkan pemergian yang cepat,” luahnya. “Sedikit sahaja penderitaanku dari penyakit ini; dan yang lebih aneh, walaupun kemerosotan tubuhku, aku tidak pernah hilang semangat. Keghairahanku masih membara untuk belajar, dan kerianganku sama pada teman-teman.” Aku bertuah untuk hidup menjangkaui 80, dan 15 tahunku yang lebih daripada hayat Hume selama 65 tahun itu telah diperkayai sama rata dengan kerja dan kasih sayang. Dalam masa itu, aku telah menerbitkan lima buku dan menghabiskan satu autobiografi (yang agak panjang berbanding dengan autobiografi Hume yang hanya beberapa laman) yang akan diterbitkan pada musim bunga ini; dan aku mempunyai beberapa buah buku lagi yang hampir selesai. Hume menyambung, “Aku … seorang yang sederhana sikapnya, mampu mengawal perasaan, berhati terbuka, sosial, dan ceria, boleh mengekalkan hubungan rapat, namun agak terkesan dengan permusuhan, dan berpada-pada dalam semua keghairahanku.” Di sini aku meninggalkan Hume. Sementara aku telah menikmati hubungan kasih sayang dan persahabatan dan tiada permusuhan sebenar, aku (atau sesiapa yang mengenaliku) tidak mampu mengatakan bahawa aku seorang yang bersikap sederhana. Sebaliknya, aku seorang yang tegas pendiriannya, dengan semangat yang membuak, dan keghairahan yang melampau dalam segalanya. Namun, sebaris dari tulisan Hume menyentap aku sebagai kebenaran: “Ia adalah sukar,” luahnya, “untuk menjadi lebih terpisah dari kehidupan dalam keadaanku saat ini.” Sejak beberapa hari yang lepas, aku telah melihat kehidupanku dari sudut pandang yang tinggi, sebagai sebuah latar, dan dengan perasaan keterhubungan yang mendalam terhadap semua bahagiannya. Ini tidak bermakna aku telah selesai dengan kehidupan. Sebaliknya, aku merasakan hidup dengan penuh semangat, dan aku berharap dan ingin dalam masa yang tinggal ini untuk mendalami persahabatanku, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada mereka yang kucinta, untuk menulis lebih lagi, untuk mengembara jika termampu, untuk mencapai pemahaman yang lebih tinggi dan pengertian. Ini memerlukan kelantangan, kejelasan fikiran dan kejujuran; percubaan untuk melangsaikan perhitungan aku dengan dunia. Tapi akan ada masa juga, untuk bersuka-ria (dan mengarut). Tiba-tiba aku merasai tumpuan dan perspektif yang jelas. Tiada masa lagi untuk segala yang tidak penting. Aku mesti memberi tumpuan kepada diri aku, kerja aku dan rakan-rakan aku. Aku tidak lagi akan menonton “NewsHour” setiap malam. Aku tidak akan lagi memberi perhatian kepada politik atau hujah-hujah mengenai pemanasan global. Ini bukan tidak peduli namun pemisahan – aku masih lagi kisah tentang Timur Tengah, pemanasan global, mengenai jurang ketidaksetaraan, namun ini bukan lagi urusan aku; semuanya milik masa hadapan. Aku gembira apabila bertemukan muda-mudi berbakat – termasuklah yang membiopsi dan mendiagnosis metastasisku. Aku rasa masa hadapan berada di tangan yang baik. Aku semakin sedar, sejak 10 tahun kebelakangan ini, tentang kematian di kalangan warga sezamanku. Generasi aku dalam perjalanan keluar, dan setiap kematian aku rasakan bagai sentakan, merobek sebahagian daripada diriku. Akan tiada siapa lagi seperti kita apabila kita pergi, namun tiada pernah juga wujud sesiapa seperti yang lain. Apabila seseorang mati, mereka tidak boleh diganti. Mereka meninggalkan kekosongan yang tidak dapat dipenuhi, kerana itulah nasib – secara genetik dan neural – setiap manusia untuk menjadi individu yang unik, untuk mencari perjalanannya sendiri, mengharungi kehidupannya sendiri, dan menerjah kematiannya sendiri. Aku tidak mampu berpura-pura bahawa aku tidak takut. Namun perasaan utama aku adalah kesyukuran. Aku telah mengasihi dan dikasihi; aku telah dilimpahkan kurnia dan memberi sesuatu semula sebagai balasan; aku telah membaca dan mengembara dan berfikir dan menulis. Aku telah berhubung dengan dunia, hubungan khas antara penulis dan pembaca. Lebih dari segalanya, aku telah menjadi makhluk yang mampu merasa, berfikir, di planet yang indah ini, dan itu dengan sendirinya merupakan keistimewaan dan pengalaman yang hebat. _________ Oliver Sacks, seorang profesor neurologi di Sekolah Perubatan New York University, ialah pengarang beberapa buah buku, antaranya Awakenings dan The Man Who Mistook His Wife for a Hat.

]]>