Projek Dialog

Kebebasan bersuara dan toleransi agama di Malaysia

Takrifan kebebasan beragama Kita akur akan Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa Islam merupakan agama rasmi. Manakala dalam Sabah dan Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963 Perkara 1 diperakukan bahawa tiada agama rasmi. Ketetapan kepada undang-undang ini menjamin kedudukan majoriti pada masa yang sama tidak mengabaikan golongan minoriti dalam mengamalkan mereka. Namun, saya ingin berbeza dengan menyatakan bahawa kebebasan beragama sewajarnya dilandaskan pada martabat peribadi manusia dan bahawa kebebasan itu mesti dipertahankan sebagai sebuah hak sivil dalam tatanan hukum bermasyarakat. Kebebasan beragama ini menuntut hak individu untuk hidup menurut kebenaran imannya sendiri sesuai dengan pilihan dirinya tanpa dipaksa melawan hati nurani mahupun ditindas oleh batas-batas undang-undang serta tekanan individu perseorangan mahupun kelompok secara umum. Kebebasan bersuara dalam beragama di Internet Setiap manusia berhak menyebarkan, mengajar serta mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing di Internet. Tiada sekatan serta tekanan wajar diperakukan kepada sesiapa. Kehidupan manusiawi di muka bumi yang mempunyai kepadatan penduduk 7 bilion serta capaian penggunaan Internet yang meliputi hampir separuh penduduknya memungkinkan maklumat serta perkongsian ajaran serta tafsiran semua agama disampaikan serta diperoleh. Penerimaan serta keterbukaan dalam beragama perlu terutama sekali apabila berada di laman sosial. Di samping itu, kebebasan beragama bukanlah sesuatu anutan terhadap kekeliruan tetapi lebih kepada penghormatan serta pemahaman terhadap dinamika agama secara interaktif tanpa meletakkan pemikiran jumud serta penglabelan yang tidak tepat dari sudut kaca kita sendiri. Pemupukan pluralisme yang sihat adalah harus kerana ianya membantu menyerlahkan keterbukaan dalam berdialag bagi menggalakkan keadilan, persaudaraan, perdamaian dan kekuatan peribadi manusia. Sebagai contoh, mengangkat usaha Projek Dialog dalam memupuk pluralrisme beragama adalah perkara yang wajar seperti konvoi rumah ibadat, forum serta kempen-kempen kemanusiaan dalam kalangan massa. Semua ini dicapai dengan pengunaan laman sosial serta blog yang interaktif dan bertanggungjawab. Cabaran kebebasan bersuara dan toleransi agama di Malaysia Malaysia merupakan negara persekutuan yang mempunyai dinamika penduduk yang berbeza kaum, bangsa, agama dan aliran. Jika diteliti memang ianya kelihatan indah, aman dan sentosa. Namun hakikatnya, saya mendapati tahap perkauman kita masih berada pada paras membimbangkan. Saya berpendapat ancaman serta ketakutan merupakan faktor yang mendorong perkauman berlaku. Perlu diingatkan untuk menyuarakan pendapat sama kritikan serta bersikap jujur di laman sosial perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat sekeliling. Jadi ianya bukan sesuatu yang mudah dan harus selektif agar dapat menghindari kekeliruan dan konflik. Dalam konteks Malaysia, adalah lebih baik menggunakan lenggok bahasa yang sopan apabila melontar kritikan. Lebih parah, kelompok majoriti saling menganggap mereka terancam manakala kelompok minoriti sering anggap mereka tertindas. Ini mungkin terjadi kerana campur tangan politik bagi hak majoriti serta provokasi pihak tidak bertanggunjawab dan faktor pencabulan hak terhadap yang minoriti yang sering kali dianggap tidak setara dengan majoriti. Ditambah juga dengan kurangnya pemahaman yang tepat terhadap agama yang lain selain dari agama asalnya sehingga mendatangkan prejudis. Berdasarkan pengamatan serta pengalaman saya, kesedaran bersuara di laman sosial dalam kalangan rakyat Malaysia amat lemah terutama dalam menyampaikan isu-isu yang bersangkut paut dengan agama. Dilema utama yang saya lihat adalah ketidakpedulian terhadap budaya sopan santun apabila melontarkan pendapat serta tidak dapat membezakan antara kritikan dan penghinaan. Oleh itu, seminar serta kesedaran sivik wajar diterapkan bagi mengatasi kudis ini. Begitu juga pendekatan yang wajar diambil apabila merasa tersinggung dengan kritikan serta pendapat yang diterima dalam laman sosial. Daripada menyimbah minyak ke atas api, adalah wajar mengambil pendekatan paradoks dalam menerima pendapat tersebut. Jika ianya tidak benar, pertahankanlah sehingga ianya benar-benar mencapai kata sepakat secara hemah. Jika tidak, abaikan sahaja. Salah satu masalah besar dalam perundangan negara adalah Akta Hasutan 1948. Akta tinggalan British tersebut wajar dimansuhkan dan diganti dengan akta yang benar-benar menjamin kebebasan bersuara. kta tersebut bukan sahaja tidak jelas dari segi perlaksanaannya bahkan menampakan penyalahgunaan oleh kerajaan pemerintah bagi menyekat mana-mana rakyat yang ingin bersuara terutama aktivis. Perkara sama juga boleh dilakukan terhadap Akta Keterangan Seksyen 114a. Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah serta politikus untuk memperjuangkan kewujudan kesejahteraan umum dengan cara menciptakan sebuah persekitaran sosial yang manusiawi, di dalamnya rakyat dijamin menikmati hak-hak asasinya secara sungguh-sungguh serta memenuhi kewajibannya secara penuh dan menyeluruh seturut dengan martabat mereka. Kegagalan berbuat demikian, mengakibatkan kerosakan serta ketidakstabilan negara. Kesimpulan Justeru, setiap manusia adalah dipertanggunjawabkan akan apa amanah yang diberi kepada mereka. Sama ada percaya atau tidak, manusia tidak boleh angkuh dengan apa yang mereka ada. Kepelbagaian dinamika serta perbezaan pendapat bukanlah penghalang untuk hidup rukun dalam bermasyarakat. Sikap agree to disagree wajar diterapkan dalam setiap diri bagi menghindari konflik yang pastinya tidak menguntungkan sesiapa. Dengan menyemai juga kesedaran cause and effect pada setiap amalan, manusia sewajarnya menuju ke arah kebaikan dan bumi ini pasti akan bertahan sebagai tempat yang terbaik untuk generasi akan datang. unnamed

]]>

Hubungan Malaya, Sabah dan Sarawak: Cinta atau dusta?

Perihal Perjanjian Malaysia 1963 Salah satu intipati penting pembentukan Persekutuan Malaysia adalah Perjanjian Malaysia 1963. Mengapa Perjanjian Malaysia ini wujud? Setiap tender projek mesti ada pengesahan antara pemberi dan penerima beserta garis panduan, manakala setiap urusan perkhidmatan mesti ada terma dan syarat. Dalam konteks Malaysia, perjanjian ini mengikat kontrak sosial antara beberapa pihak. Sekiranya ianya diingkari, pihak yang terlibat ada hak untuk mempersoalkannya. Memetik kata-kata Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pelancaran program Membudayakan Perpaduan Meraikan Kepelbagaian di Kuala Lumpur 7 September lalu, “Tidak ada mana-mana pihak boleh mengatakan mereka mempunyai hak kebebasan bersuara dalam mempersoalkan perkara asas yang membentuk Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang aman dan harmoni kerana Perlembagaan sendiri tidak menganggap ia sebagai satu hak.” Jelas, kata-kata Timbalan Perdana Menteri ini adalah satu singgungan besar bagi seluruh penduduk Sabah dan Sarawak. Mereka sewajarnya diberi hak untuk mempersoal serta menuntut sama ada 20/18 Perkara Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia itu dipatuhi atau tidak. Apa yang saya ingin nyatakan disini, kerajaan Persekutuan ingin menutup suara jati Sabah dan Sarawak kerana telah sedar bahawa mereka gagal mematuhi Perjanjian Malaysia 1963. Percanggahan? Jikalau diteliti dengan jitu, terdapat percanggahan antara Perjanjian Malaysia 1963 dengan Perlembagaan Persekutuan. Mengapa perkara ini terjadi? Siapakah yang menggubal dan meluluskan akta-akta tersebut serta memansuhkan akta-akta penting yang ada dalam Perjanjian Malaysia 1963. Terdapat banyak kajian serta dapatan umum berserta fakta mengenai Perjanjian Malaysia 1963 dan kaitannya dengan Perlembagaan Persekutuan oleh gerakan-gerakan nasionalis mahupun peguam serta ahli akademik. Salah satu sebab utama yang mengatakan Perjanjian Malaysia tidak sah dan perlu disemak semula setelah terkeluarnya negara Singapura daripada Persekutuan Malaysia. Pemansuhan serta pemindaan akta-akta penting bagi hak Sabah dan Sarawak seperti yang melibatkan kebebasan beragama di Sabah dan Sarawak, penggunaan bahasa Inggeris, pengeluaran petroluem dan yang berkaitan menunjukkan ada usaha kolonisasi politik Malaya ke atas Sabah dan Sarawak. Wajarkah royalti 5% petroluem diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk usaha pembangunan jika dibandingkan dengan 11 lagi negeri-negeri Malaya yang jauh lebih kecil keluasannya dan tidak setimpal dengan kekayaan hasil buminya? Status Sabah dan Sarawak dalam Malaysia Renung kembali fakta sejarah penting ini. Penubuhan Sarawak adalah pada 24 September 1841 oleh James Brooke. Ia merdeka daripada kolonial British pada 22 Julai 1963. Sabah pula ditubuhkan pada 20 Mei 1882 oleh Syarikat Piagam Borneo Utara British dan telah dimerdekakan oleh kolonial British pada 31 Ogos 1963. Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya ditubuhkan pada 31 Januari 1948 dan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Suruhanjaya Cobbold ditubuhkan untuk mendapatkan pandangan rakyat di Sabah dan Sarawak mengenai gagasan Persekutuan Malaysia. Agak mendukacita apabila hanya mendapat 4,000 daripada 1.2 juta penduduk dari Sabah dan Sarawak sahaja yang menyokong referendum Persekutuan Malaysia ketika itu. Ini menimbulkan persoalan, bagaimana laporan Surahanjaya Cobbold menyatakan 2/3 rakyat Sabah dan Sarawak menyokong gagasan Malaysia boleh diusulkan sekaligus untuk membentuknya? Ramai tidak faham apa status negara Persekutuan Malaysia jika diaplikasikan pada tahun 1963 ketika itu. Singapura, Sabah dan Sarawak merupakan rakan kongsi setaraf bersama Malaya sebagai gabungan beberapa negara dalam membentuk Persekutuan Malaysia. Justeru, tidak hairan mengapa penduduk Malaya terpaksa mempunyai passport untuk memasuki kawasan ketibaan kapal terbang di Sabah dan Sarawak. Setengah abad berlalu Setelah lebih setengah abad Malaysia dibentuk, Sabah dan Sarawak dahulunya negara berdaulat, kini berubah menjadi negeri dalam sebuah kawasan bernama Malaysia dengan pelbagai siri-siri pencabulan terhadap Perjanjian Malaysia 1963. Sekiranya benar Perjanjian Malaysia 1963 batal dan tidak sah, rakyat Sabah dan Sarawak tidak perlu terikat untuk kekal dalam hubungan tidak sama rata dan tidak adil dengan Malaya kerana mereka mempunyai hak yang sewajarnya ke atas bumi mereka sendiri. Masakan pokok bergoyang jikalau tiada ributnya. Begitulah juga dengan Persekutuan Malaysia. Suara-suara sumbang nasionalis Sabah dan Sarawak semakin membingit dan memekak tanpa menghiraukan ancaman Akta Hasutan menunjukkan semangat kental mereka untuk menuntut kembali hak mereka yang telah dicabuli. Apa yang dapat saya sampaikan, patuhi Perjanjian Malaysia 1963 kalau ingin kekal bersama Sabah dan Sarawak. Kesimpulan Saya bukan bermaksud untuk menghina hari Malaysia melalui penulisan ini. Saya ingin mengajak pembaca untuk berfikir dan renung sejenak akan realiti yang berlaku di Malaysia. Azam Hari Malaysia sewajarnya menjadi lebih indah dan bermakna bagi Malaya, Sabah dan Sarawak jika dihayati dengan cinta kasih terhadap kontrak sosial pembentukannya iaitu Perjanjian Malaysia 1963. Akhir kalam, terpulanglah kepada sesiap untuk mengandai kiranya Malaysia ini adalah lahirnya sebuah cinta atau lahirnya sebuah dusta.         unnamed

]]>

Erti Merdeka bagi Sabah dan Sarawak

Siapa yang Merdeka?  Bayangkan jikalau kisah Puteri Hang Li Po dan Hang Tuah lima bersaudara sebenarnya tidaklah sebagaimana yang diperkatakan dalam sejarah Melayu Melaka, tetapi sebaliknya hanyalah lagenda? Bagaimana pula jikalau ada sejarah lain yang benar mengenai sesuatu peristiwa penting, namun sejarah tersebut disembunyikan? Apakah motif sejarah diperlakukan sedemikian rupa? Siapakah yang menerima faedahnya? Saya bukan berniat untuk menghasut bahkan apatah lagi menghina tarikh kemerdekaan 31 Ogos 1957. Namun, saya ingin mengajak rakyat Malaysia yang berfikiran matang dan terbuka meneliti serta mengkaji semula sejarah sebenar “Persekutuan Malaysia” daripada pelbagai sumber dan aspek. Tahun ini, hari kemerdekaan telah masuk tahun yang ke-57. Dilema Sabah dan Sarawak Salah satu kesilapan fatal dalam penyampaian sejarah adalah kronologi peristiwa Pembentukan Persekutuan Malaysia 1963. Sabah dan Sarawak pada mulanya telah pun merdeka, masing-masing daripada British pada 31 Ogos 1963 dan 22 Julai 1963. Oleh sedemikian, secara rasminya Sabah dan Sarawak merupakan negara yang berdaulat. Sabah dan Sarawak belum sempat meniti cita-cita sebagai negara berdaulat seperti yang dijanjikan British. Tiba-tiba, dengan tidak semena-mena sebuah gagasan baru dicadangkan dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold atas desakan rayuan Malaya serta kerjasama British untuk membentuk sebuah negara baru bagi mengimbangi kuasa politik, menghalang pengaruh komunis serta keseimbangan kaum dan mengukuhkan kedudukan ekonomi. Model Persekutuan yang dijanjikan adalah serupa seperti United Kingdom. Pada mulanya, ramai rakyat Sabah dan Sarawak tidak bersetuju dangan gagasan persekutuan tersebut kerana ianya dianggap satu bentuk koloni baru oleh Malaya. Namun, setelah rundingan, hampir kesemua parti-parti Sabah dan Sarawak pun bersetuju membentuk Persekutuan Malaysia bersama Singapura. Rentetan peristiwa tersebut, Perjanjian Malaysia 1963 pun temeterai dan Persekutuan Malaysia pun diisytiharkan pada 16 September 1963. Beserta Perjanjian Malaysia tersebut, dimuatkan juga Perjanjian 20 Perkara Sabah dan 18 Perkara Sarawak. Jikalau 20/18 Perkara Sabah dan Sarawak itu hanya memorandum dan bukan perjanjian sebagaimana didakwa oleh segelintir “pakar sejarah” mahupun ahli politik, maka penubuhan Persekutuan Malaysia 1963 langsung tidak melambangkan citra keagungan, kesucian, kemuliaan dan kedaulatan kerana ianya dicabuli dan menzahirkan bahawa Malaya memang sebuah kolonial yang licik. Melalui Perjanjian tersebut barulah dikatakan lahirnya sebuah cinta iaitu Malaysia dimana ianya dibentuk menjadi sebagai Persekutuan. Realiti Semasa Sabah dan Sarawak Kita lihat pelbagai persepsi serta konotasi negatif dilemparkan apabila penduduk Sabah dan Sarawak berhijrah ke Malaya atas sebab melanjutkan pelajaran dan peluang pekerjaan. Sebagai seorang siswa, saya serta rakan-rakan Sabah dan Sarawak saya pernah diajukan soalan seperti “Di Sabah/Sarawak masih ada yang tinggal atas pokokkah?”, “Orang di kampung masih pakai cawatkah” dan pelbagai lagi soalan mengejek lain diajukan oleh segelintir siswa Malaya yang jahil. Tidak kurang juga di laman sosial, masih ada lagi juak-juak seperti pekerja jabatan kerajaan dari Malaya seperti guru yang kurang prihatin atau tidak ikhlas mempersoalkan mengapa mereka dihantar ke sana serta menghina penduduk Sabah dan Sarawak kerana tidak mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap serta kekurangan tenaga pekerja tempatan mereka walhal mereka tidak diberi peluang atau tidak mempunyai ruang kerjaya di kawasan mereka sendiri. Jika dilihat pada paksi realiti, Sabah dan Sarawak membangun dengan pesat terutama di kawasan-kawasan bandar serta pekan-pekan kecil. Persoalannya, mengapa kawasan perkampungan dan pedalaman masih lagi miskin dan tidak dilengkapi keperluan asas yang mencukupi? Jikalau dilihat pada kekayaan hasil muka bumi seperti minyak Sabah dan Sarawak, Petronas memperoleh keuntungan hasil kira-kira RM 70 billion setahun. Mana mungkin 5% royalti minyak itu cukup jikalau ianya tidak mencukupi untuk keperluan pembangunan infrastruktur serta modal insan di Sabah dan Sarawak. Realitnya 2/3 hasil minyak tersebut adalah diperoleh dari Sabah dan Sarawak yang sepatutnya ada hak mengurus peratusan perolehan mereka untuk diberikan kepada Persekutuan. Tidak kurangnya dengan pelbagai masalah-masalah lain, seperti kebanjiran pendatang asing tanpa izin di Sabah, serangan pengganas di Sabah projek empangan mega Sarawak dan banyak lagi. Persoalan utama bagi peduduk Sabah dan Sarawak adalah: Inikah yang wajar mereka peroleh selama 51 tahun dalam Persekutuan Malaysia? Gerakan Nasionalis Sabah dan Sarawak Atas kesedaran bahawa Sabah dan Sarawak berhak mendapat hak yang sama seperti Malaya, serta inginkan keadilan  dan kebenaran ditegakkan, maka ramai individu Sabah Sarawak tampil mempersoalkan status quo mereka dalam Persekutuan Malaysia. Daripada beberapa individu ini, maka tampillah gerakan nasionalis yang bergerak secara berperingkat-peringkat bagi memberi kesedaran. Meskipun demikian, tidak semua gerakan nasionalis ini sama pada zahirnya. Ada gerakan yang memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak hanya untuk Sabah dan Sarawak sahaja, ada pula gerakan yang memperjuangkan pengkajian semula Perjanjian 18/20 Perkara Sabah dan Sarawak, serta Akta Malaysia dalam Persekutuan Malaysia beserta pemulihan semula Persekutuan Malaysia. Ada pula gerakan yang memperjuangkan kemerdekaan mutlak Sabah dan Sarawak dengan pemisahan daripada Persekutuan Malaysia. Persoalan sekarang, mengapa gerakan-gerakan ini timbul dan lebih berani? Adakah ini agenda pembangkang kerajaan? Adakah ini agenda puak pelampau? Saya berpendapat gerakan ini timbul kerana kesedaran segelintir individu yang serik melihat anak bangsa mereka menagih simpati di tempat lain sedangkan tanah tumpah darah mereka kaya dengan hasil bumi. Mungkin juga kerana serik ditipu dengan penyembunyian serta manipulasi fakta sejarah oleh juak-juak tertentu bagi kepentingan pemerintah. Mungkin juga mereka kesal dengan sikap pemimpin bangsa mereka terdahulu yang silap menandatangani perjanjian membentuk Persekutuan Malaysia dan akhirnya merasakan mereka dijajah oleh kolonisasi baru oleh Malaya. Renungan erti kemerdekaan Malaysia 31 Ogos 1957 bagi Sabah dan Sarawak Memetik kata-kata Naspazi’s Channel (Nasionalis Sabah) di laman sosial Facebook: Kalau Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957 (57 tahun); Kalau Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 (51 tahun); Kalau Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963 (51 tahun); maka Bilakah Persekutuan Tanah Malaya merdeka?; dan Bilakah Malaysia dibentuk?; Adakah Malaysia itu Malaya?” Sekiranya mengikut logik kata-kata tersebut, sesiapa yang mengatakan Malaysia itu merdeka 31 Ogos 1957 adalah orang-orang yang berdusta dengan sejarah. Mana mungkin Malaysia merdeka, sedangkan Malaysia tidak pernah dijajah? Adalah lebih fatal jika Sabah dan Sarawak dianggap merdeka pada tarikh 16 September 1963 melalui pembentukan Malaysia. Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 diikuti Sabah dan Singapura pada 31 Ogos 1963. Justeru, jikalau kemerdekaan telah disytiharkan, maka status kemerdekaan sudah pasti adalah negara. 3 negara iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura yang telah merdeka bersama negara Malaya telah membentuk Persekutuan Malaysia; maka disitulah lahirnya sebuah cinta. Akhir kalam, saya berharap agar pihak pemerintah menghentikan pemanipulasian fakta sejarah dengan mengikhtiraf kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963, diikuti kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963, seiring dengan kemerdekaan Malaya pada 31 Ogos 1957, agar tidak luput dek telan zaman. Apalah makna kemerdekaan jika masyarakat masih terjajah dengan penipuan sejarah serta ketidakadilan sosial yang menghalang pembentukan identiti Malaysia yang sebenar?         unnamed

]]>

Konflik Israel-Palestin dari sudut pandang Katolik

Bangsa Israel berdasarkan Alkitab Dalam Alkitab, nabi Abraham (Ibrahim) mempunyai 2 isteri iaitu Hagar dan Sarah. Melalui Hagar, Ismael (Ismail) dilahirkan dan keturunannya tersebar di kawasan Arab. Sementara itu, Sarah melahirkan Ishak pada usianya yang agak lanjut. Ishak mempunyai dua orang anak yang bernama Esau dan Yakub. Yakub pula mempunyai keturunan yang besar iaitu 12 anak: Ruben, Simeon, Lewi, Yehuda, Isakhar, Zebulon, Benyamin, Dan, Naftali, Gad, Asyer dan Yusuf. Melalui anak-anak Yakublah, mereka menjadi nenek moyang bagi 12 keturunan suku bangsa Israel. Sehinggalah kejadian Yusuf dijual kepada rakyat Mesir, dan seluruh keturunan Yakub berpindah ke Mesir. 400 tahun lamanya mereka tinggal aman di Mesir sehingga diperhambakan. Kemudian muncul Nabi Musa dan nabi Harun yang turut serta dalam misi membebaskan umat Israel daripada perhambaan dan membawa mereka kepada tanah perjanjian mereka seperti yang dijanjikan Tuhan. Sehingga tahun 1050 SM, umat Israel berkembang dan perlahan-lahan sehingga menguasai seluruh tanah Kanaan (yang kini dikenali Palestina) dan nabi mereka Samuel ketika itu mula melantik Saul sebagai raja atas permintaan umatnya. Sistem beraja kerajaan Israel diteruskan lagi kepada nabi Daud dan Salomo (Sulaiman) sehingga kerajaan Israel terpecah dua bahagian iaitu kerajaan Israel di bahagian utara dan kerajaan Yehuda di bahagian selatan. Perpecahan yang terjadi kerana perebutan kuasa antara keturunan Raja Salomo. 10 suku pro kerajan Israel manakala 2 suku iaitu suku Benjamin dan suku Yehuda yang merupakan pro kerajaan Yehuda. Kerajaan Isreal hancur apabila diserang bangsa Assyria pada tahun 722 SM dan keberadaan 10 suku ini sehingga kini masih lagi menjadi misteri. Kerajaan Yehuda pula bertahan sehinggalah di serang oleh kerajaan Babilonia pada tahun 586 menyebabkan mereka diusir daripada Yerusalem. 2 suku (membentuk Yahudi masa kini) iaitu Benjamin dan Yehuda inilah yang terselamat dan bertahan sehingga kini. Kemudian penguasaan asing beterusan lagi dibawah kekuasaan Raja Persia, Cyprus dan Darius dimana bangsa Israel yang terselamat dibenarkan kembali dan membangunkan kembali Yerusalem. Penguasaan Alexander the Great turut menyaksikan bangsa Israel masih bertahan di Yerusalem sehingga tahun 165 SM dimana Yudas Makabe melakukan revolusi yang dikenali sebagai Revolusi Makabe yang berakhir berjaya ditahun 163 SM dan Israel menjadi negara merdeka selama 100 tahun. Kemerdekaan dinikmati singkat kerana bangsa Israel dijajah lagi oleh kerajaan pagan Romawi. Pada tahun 70 AD, majoriti umat Israel diusir lagi daripada Yerusalem sehingga berselerak ke seluruh muka bumi. Kemudian penguasaan Romawi diganti kerajaan Kristian Byzantium, Tentera Salibi, monarki Arab, Khalifah Turki Uthmaniyah (1517 hingga 1917) dan British sehingga akhirnya tahun 1948 bangsa Yahudi dikumpulkan dan ditempatkan ditanah asal mereka setelah diberi kemerdekaan oleh PBB dan membentuk negara Israel seperti yang dikenali sekarang. Sejarah Palestin Palestin mahupun Palestina berasal dari terjemahan Ibrani iaitu Pelesheth; sebutan Yunani menyebut Philistine. Mengikut kajian sejarah, bangsa asal Palestin merupakan para pelaut Eropah yang berasal dari Yunani. Wilayah Gaza dulu bernama Philistia atau rumah para Setelah umat Israel dijanjikan wilayah Kanaan sebagai tanah perjanjian, wilayah ini merupakan penempatan bangsa asal Palestin ketika itu. Bangsa asal Palestin di Kota Gath, wilayah Philistia ketika itu terlalu kuat sehinggalah Daud mampu menewaskan Goliat yang dikatakan bertubuh raksasa dan sekaligus menguasai menguasai seluruh tanah Kanaan dan bangsa Palestin serta bangsa-bangsa lain ketika itu sebagaimana yang diceritakan dalam Alkitab Perjanjian Lama. Saat kerajaan Babilonia menakluki kerajaan Israel, suku bangsa asli Palestin ini akhirnya musnah. Semasa Israel berada dibawah kerajaan Romawi selepas 100 tahun Revolusi Makabe, Hadrian penguasa Roma saat itu mengabungkan wilayah Samaria, Yudea, Galilea dan Idumea dalam satu propinsi yang disebut Syria Palastina. Hadrian mempunyai niat untuk melenyapkan Israel daripada sejarah. Disaat itu dia sedar bahawa bangsa asli Palestin seperti yang ada dalam Alkitab adalah musuh bangsa Israel, Hadrian sengaja menggunakan nama Palastina untuk menyakiti hati kaum Yahudi. Pada tahun 330 AD hingga 638 AD Kerajaan Kristian Byzantium menguasai Palastina diikuti pada tahun 638 kerajaan Arab menguasai Palestin selama 461 tahun. Tentera Salibi pada tahun 1099 AD menguasai Palestina dalam kempen Perang Salib tapi pada tahun 1244 AD, monarki Arab kembali mengambil alih Palestina. Sepanjang tempoh orang Arab memerintah, penghijrahan bangsa Arab ke Palestin telah membentuk suatu entiti baru bagi bangsa Palestin sehingga menjadikan umat Israel yang ada ketika itu sebagai majoriti kecil. Pada tahun 1517 kerajaan Turki Uthmaniyah menyerang kerajaan Arab dan mengambil alih wilayah Palestina selama lebih dari 400 tahun. Dalam siri penjajahan ini, bangsa Arab Palestin dan Yahudi bersama-sama menjadi korban penjajahan bangsa lain. Pada tahun 1917 British mengalahkan kerajaan Turki Uthmaniyah dan menguasai Palestina hingga tahun 1948. Kedudukan Israel dan Palestin dari sudut kaca mata umat Kristian Negara Israel sekarang masih lagi belum menepati ciri-ciri yang ada dalam Alkitab disebabkan ianya lebih kecil daripada kerajaan Israel semasa raja Daud. Namun, jika disoroti teliti, umat Israel tetap mempunyai hujahnya tersendiri membentuk negara mereka setelah kira-kira 3300 tahun bangsa ini dijajah. Sepanjang mereka dalam buang, mereka juga tidak dilayan dengan baik di negara-negara asing bahkan ada usaha penghapusan etnik di Jerman dibawah Nazi. Janji Tuhan sendiri telah berfirman kepada Nabi Musa dalam petikan Alkitab Perjanjian Lama ada menyebut, “Aku akan menjadikan kamu umat-Ku sendiri, dan Aku akan menjadi Allah kamu. Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu, apabila Aku membebaskan kamu daripada perhambaan di negeri Mesir. Aku akan membawa kamu masuk ke negeri yang telah Aku janjikan dengan sumpah untuk diberikan kepada Abraham, Ishak, dan Yakub. Aku akan memberikan tanah itu kepada kamu sebagai milik kamu sendiri. Akulah TUHAN.” (Keluaran 6:7-8) Mewakili komuniti umat Kristian terbesar di dunia, Gereja Katolik memainkan peranan penting dalam menjaga hubungan baik antara Israel dan Palestin. Gereja Katolik juga menyokong penuh usaha Palestin dalam membentuk negara merdekanya tersendiri dengan temeterainya perjanjian Inter Sanctam Sedem atque Consilium pro Liberatione Palaestinae (Perjanjian Asas Antara Takhta Suci dengan Organisasi Pembebasan Palestin). Hubungan Vatikan dengan Israel dan Palestin terjalin sejak tahun 1948.  Gereja menyokong referendum pembentukan 2 negara yang dicadangkan PBB pada tahun 1947, hubungan baik antara agama Yahudi dan Islam, pentadbiran Gereja ke atas komuniti Katolik di Palestin dan Israel, status quo perlindungan terhadap rumah-rumah ibadat ketiga-tiga agama di Yerusalem (Baitulmaqqdis) daripada ancaman serta intimidasi serta segala usaha kemanusiaan dalam mencapai keamanan sejagat bagi Israel dan Palestin. Kesimpulan Jadi saya mengajak pembaca untuk berfikir dengan lebih tentang makna sebuah pembentukan keamanan oleh Paus Fransiskus: “Pembentukan keamanan menyeru kepada ketabahan, yang melebihi daripada peperangan. Ia merupakan keberanian untuk mengatakan ‘ya’ kepada dialog dan ‘tidak’ kepada keganasan; ‘ya’ kepada rundingan dan ‘tidak’ kepada pertikaian; ‘ya’ kepada kehormatan perjanjian dan ‘tidak’ kepada tindak tanduk provokasi; ‘ya’ kepada kejujuran dan ‘tidak’ kepada talam dua muka. Kesemua ini memerlukan ketabahan, dengan kekuatan serta kesungguhan.” Memetik kata-kata Pakistan Votes sebagai penutup makalah, “Jikalau kamu tidak bangun menyuarakan bagi penindasan yang dilakukan terhadap Syiah, pembunuhan terancang Ahmadiyah, pengeboman gereja dan pembakaran kuil/tokong, mangsa undang-undang penghinaan agama, rogol serta pembunuhan, dan kesemua yang dibunuh oleh pengganas seperti TTP, ISIS dan Boko Haram dan hanya bersuara untuk Gaza, maka kamu bukanlah pro hak asasi manusia, tetapi hanyalah anti-Israel.”         unnamed  

]]>

Kes Kalimah Allah: Dialog harus diteruskan

Meneliti keputusan para hakim Dalam menanggapi keputusan tersebut daripada media alternatif di laman sosial, saya agak kecewa, terkilan dan dengan sinis mengandaikan keputusan ini akan dijadikan rujukan kehakiman jika hal-hal yang kononnya berkaitan dengan kesucian Islam dibangkitkan kembali oleh pihak tertentu pada masa akan datang. Isu-isu seperti terjemahan, penerbitan dan upacara ibadah akan terus diperkotak-katikan oleh golongan berkempentingan bagi mencipta ketegangan politik melalui agama wujud sejak 1980an berdasarkan rekod kehakiman bagi dijadikan modal politik kerajaan memerintah. Namun, ianya tidaklah sehebat isu kalimah ‘Allah’ yang dibangkitkan oleh melalui larangan KDN terhadap Gereja Katolik pada tahun 2007. Gereja Katolik mengambil pendekatan undang-undang bagi menyelesaikan masalah tersebut dan berlanjutan sehingga kini. Selain itu, kontrak sosial Perjanjian Malaysia 1963 juga patut diambil berat kerana Sabah dan Sarawak mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan namun tidak mempunyai agama rasmi pada wilayah tersebut. Dan sudah tentu umat Kristian dijadikan sasaran selepas ini berbanding dengan penganut Buddha, Hindu dan agama minoriti lain. Oleh sebab, isu yang terdekat dengan permasalahan umat Islam selalunya dikaitkan dengan agama Kristian sebagaimana yang telah dimomokan MAIS dalam buku “Pendedahan Agenda Kristian” yang boleh mengundang kontroversi. Respon pelbagai pihak sejurus keputusan Berdasarkan keputusan hakim pada 23 Jun, rata-rata NGO Muslim seperti PERKASA, PEKIDA dan Pertubuhan Islam Gabungan Amal (per3) yang hadir di Istana Kehakiman sudah tentu menyifatkannya sebagai satu kemenangan besar umat Islam dalam mempertahankan kesucian agama mereka ketika umat Islam bersiap sedia menanti ketibaan Ramadan. Ketika berceramah, Presiden Perkasa sempat menempelak DAP yang rata-rata mempertahankan umat Kristian dalam isu kalimah ‘Allah’ dengan mencabar agar sekolah vernakular ditutup jika ingin memartabat bahasa Melayu. Sementara itu, ucapan hasutan juga keluar daripada Yang Dipertua Perkasa Negeri Sembilan Ruslan Kassim yang mengugut akan membunuh mereka yang menderhaka titah Sultan di Istana Kayangan, Shah Alam turut mengundang kritikan hebat dalam laman sosial. Saya berpendapat, masalah utama yang dihadapi umat Kristian dalam menanggapi isu ini adalah undang-undang yang kelihatan bercanggah antara enakmen negeri dan Perlembagaan Persekutuan. Nampaknya sikap paranoid sekelompok orang Melayu dan Islam yang berterusan seperti yang ada sekarang sudah tentu akan menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara serta mengundang imej negatif tentang bangsa Melayu dan agama Islam oleh yang bukan Islam. Ada juga rancangan agar draf rang undang-undang baru ciptaan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara bagi membendung prejudis dan ancaman perpaduan kaum untuk dibawa ke Parlimen dan ianya sepatutnya disokong. Saya amat berpuas hati jika semua agama dilindungi secara adil dan saksama dibawah RUU. Sekurang-kurangnya, masih ada sirna dan harapan agar masalah ketegangan agama dan kaum dapat dikurangkan pada masa mendatang. Kesimpulannya, semua pihak tanpa mengira agama dan kaum seharusnya memilih untuk menolak politik perkauman , etnosentrime dan rasisme. Sikap mengenali satu sama lain dan berdialog sewajarnya dijadikan amalan dalam mengeratkan silaturahim antara masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini. Akhir kalam, ayuh kongsi persamaan dan hormati serta raikan perbezaan.

]]>

Kepupusan Hari Gawai?

Asal-Usul Perayaan Gawai Dayak Sambutan Hari Gawai Dayak di Sarawak adalah tetap pada 1 Jun setiap tahun. Cadangan menetapkan tarikh Gawai Dayak bermula pada tahun 1957 dalam satu forum radio yang diadakan oleh Tan Kingsley dan Owen Liang yang mengundang pelbagai sokongan dan minat dalam kalangan komuniti Dayak. Pada mulanya pihak kolonial British selepas era pemerintahan keluarga Brooke sehingga tahun 1962 enggan mengikhtiraf Hari Gawai Dayak sebaliknya memanggil hari tersebut sebagai Hari Sarawak sebagai cuti umum bagi seluruh rakyat Sarawak. Hari Gawai pertama kali dianjurkan oleh Datuk Michael Buma yang merupakan Iban dari Betong di Kuching pada 1 Jun 1963 sebelum digazetkan secara rasmi sebagai hari cuti umum pada 25 September 1965 bagi menggantikan Hari Sarawak selepas pembentukan Persekutuan Malaysia (negara Malaya, Sarawak, Sabah dan Singapura membentuk Persekutuan). Sambutan besar-besaran pada pertama kalinya pada 1 Jun 1965 dan ianya menjadi simbolik perpaduan, aspirasi dan harapan bagi semua komuniti Dayak. Dewasa kini, sambutan tahunan ini merupakan satu kewajipan bagi masyarakat sosial Dayak dan ianya merupakan tanda kesyukuran bersama keluarga selain daripada melengkapi tradisi meraikan tamat musim menuai. Kepelbagaian sambutan Gawai Hakikat sambutan Gawai Dayak sebenarnya tidak terhad pada 1 Jun semata-mata. Konsep Gawai juga disambut dalam pelbagai cara dan maksud serta berbeza-beza mengikut suku kaum serta etnik mengikut bahagian dan daerah tempat masing-masing. Bahkan perayaan Gawai Dayak sendiri disambut bukan sahaja pada 1 Jun tetapi bermula lebih awal pada awal bulan Mei dan berakhir sehingga awal bulan Julai. Pada jangka tempoh masa ini, pelbagai jenis Gawai boleh diraikan mengikut tujuan dan kehendak. Secara umum, Gawai Dayak adalah sambutan tahunan dalam komuniti masyarakat Iban juga dikenali sebagai Gawai Padi diikuti puluhan sambutan gawai-gawai yang lain. Selain itu, antara gawai lain yang popular dalam komuniti Iban adalah Gawai Burong, Gawai Antu dan Gawai Pangkung Tiang. Gawai Burong disambut bagi tujuan untuk menyembah dan memuja Sengalang Burong iaitu tuhan peperangan, perlindungan dan keamanan. Gawai Antu pula merupakan sambutan terakhir memperingati semua orang-orang yang sudah meninggal dunia dalam satu generasi keluarga sejak sambutan Gawai Antu yang sebelumnya. Gawai Antu ini harus disambut hanya sekali dari satu generasi ke satu generasi secara besar-besaran. Sementara itu, Gawai Pangkung Tiang disambut dengan memukul tiang utama rumah sesudah pindah ke rumah baru sebelum ada kematian bagi memohon “gayu guru, gerai nyamai senang lantang nguan menoa” iaitu bermaksud “panjang umur, sihat walafiat serta senang lenang mendiami dunia.” Komuniti Bidayuh pula terdiri daripada 3 kumpulan besar iaitu Singai-Jagoi (Daerah Bau), Biatah (Daerah Padawan/Siburan) dan Bukar-Sadong (Daerah Serian).Kebanyakan komuniti Bidayuh ini berkongsi adat resam, tradisi dan sambutan perayaan yang hampir serupa bahasanya berlainan dari satu daerah ke daerah yang lain. Sebagai anak jati Bidayuh yang berasal daripada Kampung Opar yang terletak di daerah Bau dalam bahagian Kuching dan dalam kelompok Bratak (sub Bijagoi), saya bersyukur kerana masih berpeluang melihat sendiri sambutan Gawea Sowa Bauh iaitu gawai tahunan yang masih lagi disambut di kampung ini. Antara sambutan gawai popular dalam komuniti Bidayuh Bau yang saya ketahui iaitu Gawea Sopid/Oran, Gawea Podi/Umoh, Gawea Tubi Bauh dan Gawea Sowa Bau. Gawea Oran disambut bagi tujuan memohon berkat melimpah ruah ke atas hutan ataupun tanah tanaman agar memberi pulangan hasil yang baik. Dalam Gawea Oran, akan ada pemujaan bagi mendapat kebenaran roh-roh tertentu agar tidak memudaratkan kawasan tanah dan altar dibina serta bahan penawaran diletakan sebagai persembahan di tepi jalan utama kampung. Gawea Podi pula disambut dengan tujuan memohon berkat “Ieng Topa” (Tuhan) ke atas benih padi dan pada masa yang sama memohon berkat ke atas tanah agar subur dan tidak dilanda kerosakan. Selain itu, Gawea Tubi Bauh pula dirayakan bagi memohon berkat “Ieng Topa” untuk memberi kebenaran kepada penduduk untuk menuai padi yang sedang mengguning. Dan menurut kepercayaan masyarakat setempat, sekiranya ritual ini tidak dilakukan; penduduk akan sakit apabila makan nasi hasil tanaman tersebut. Dan terakhir sekali adalah Gawea Sowa, iaitu perayaan yang disambut besar-besaran bagi tanda kesyukuran dan menujukkan tamat musim menuai padi dan bermula tahun penanaman padi baru. Semangat Gawai Dayak Masa Kini Bagi mereka yang tiada gawai tradisi tertentu atau telah memeluk agama utama, mereka meraikan Gawai Dayak yang bersifat umum dan boleh diraikan oleh mana-mana orang berketurunan Dayak tanpa mengira agama dengan mengadakan rumah terbuka. Melalui rumah terbuka, mereka menikmati juadah-juadah tradisi masyarakat setempat seperti lemang pulut, daging pansuh (daging yang dimasak dalam buluh), kuih-muih Sarawak, tuak (arak beras) dan sebagainya. Disamping itu, mereka dapat berbual-bual dan berceloteh panjang tenang pelbagai perkara sekaligus merapatkan hubugan sahabat handai dan rakan-rakan melalui rumah terbuka. Bagi kampung-kampung mahupun rumah panjang yang masih kekal dan mempunyai tradisi adat resam Dayak, ahli keluarga dan sahabat handai yang telah beragama bertandang ke kampung boleh menonton dan melihat sendiri bagaimana adat nenek moyang mereka dilakukan dengan penuh ritual dan adat istiadat. Ketika itu, mereka juga boleh terlibat secara tidak langsung dalam mana-mana aktiviti yang mereka rasakan ianya tidak bercanggah dengan norma agama mereka. Sementalahan itu, budaya ‘mejeng’ iaitu tari menari moden diikuti dengan alat musik serta kumpulan kugiran dalam konsert turut serta memenuhi kehangatan Gawai Dayak. Budaya moden ini dipelopori sejak tahun 1980an dimana, lagu-lagu rock and roll serta blues dimainkan dengan rancak serta disertai dengan tari menari antara golongan remaja dan dewasa tanpa mengira lelaki dan perempuan. Mengikuti perkembangan zaman, budaya ‘mejeng’ juga memainkan pelbagai jenis genre lagu seperti dangdut, joget serta muzik tempatan yang telah dimodenkan. Budaya ‘mejeng’ ini mungkin kelihatan positif dan negatif bergantung dengan pembawaan masyarakat setempat. Oleh sebab sedemikian, perlunya anggota keselamatan seperti polis bantuan dan RELA bagi mengawal keadaan sekaligus mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku. Faktor Agama Popular dan Budaya Semasa ke atas Gawai Dayak Berbalik kepada persoalan makalah ini, saya ingin berkongsi pendapat mengapa adat serta tradisi masyarakat Dayak di Sarawak akan pupus ditelan zaman jika tiada kesedaran. Dalam situasi masa kini, faktor agama popular dan budaya semasa telah mempengaruhi survival adat resam turun temurun terutama sambutan Gawai Dayak. Berdasarkan demografi Jabatan Perangkaan Malaysia tahun 2010, masyarakat Dayak mewakili 30.3% kaum Iban dan diikuti dengan 8.43% kaum Bidayuh daripada 2,354,048 penduduk Sarawak. Daripada pecahan jumlah tersebut, 76.3% kaum Iban beragama Kristian, 9.94% kaum Iban beragama Islam, 81.43% kaum Bidayuh beragama Kristian, 2.38% kaum Bidayuh beragama Islam manakala 13.76% kaum Iban dan 16.19% kaum Bidayuh beragama asal, menganut agama lain atau tidak beragama. Berdasarkan dapatan ini, cukup jelas bahawa agama popular seperti Kristian dan Islam telah mengubah landskap masyarakat peribumi Dayak untuk meninggalkan adat tradisi mereka. Antara alasan mahupun sebab utama adat agama asal mereka diabaikan kerana faktor perbezaan teologi. Masyarakat Dayak yang percaya bahawa setiap kuasa yang ada pada alam mempunyai ‘tuhan’ dan penjaganya sendiri telah menunjukkan ianya bercanggah dengan konsep monotheistik yang ada pada ajaran Islam dan Kristian. Disamping itu, momokan ‘berhala’ dan ‘syirik’ dalam setiap upacara Gawai Dayak, peralatan mahupun adat resam telah mengukuhkan lagi sebab mengapa kaum Dayak beragama tidak lagi memelihara tradisi mereka. Budaya semasa tidak terhad pada hiburan semata-mata. Ditambah dengan arus pemodenan dan pembangunan, masyarakat Dayak telah banyak yang berpendidikan. Sudah semestinya akan ada anjakan paradigma dalam setiap persepsi mereka tentang bagaimana menghadapi kehidupan mereka sendiri. Jika dulu, masyarakat Dayak amat bergantung sepenuhnya pada hasil tanaman padi, buah-buahan dan sayur-sayuran mereka. Sudah tentu, banyak upacara serta ritual perlu dilakukan bagi menentukan survival tanaman mereka. Kini, memandangkan kebanyakan mereka telah berhijrah ke bandar atas sebab pekerjaan, jadi mereka tidak lagi bergantung pada tanaman sebagai mata pencarian mereka. Oleh sebab itu, tiada lagi sebab utama mengapa mereka terus kekal dengan agama asal dan memilih jalan hidup moden dengan menganut agama popular serta meninggalkan apa yang kelihatan ‘kuno’ dan “ketinggalan zaman” bagi mereka. Sebagaimana salah seorang orang tua di kampung saya pernah berseloroh, “Buat apa lagi mahu puja semangat dan roh padi kalau kebanyakan anak muda kita semua tidak lagi mahu menanam padi.” Penutup Walaubagaimanapun, masyarakat Dayak yang terkenal dengan kepelbagaian adat resam serta ritual seharusnya tidak melupakan asal-usul mereka sebagaimana yang ada pada nenek moyang mereka sebelum datangnya agama seperti Islam mahupun Kristian. Saya tidak hairan dalam 10 hingga ke 20 tahun akan datang, akan menjadi persoalan besar daripada anak-anak kita, tentang “apakah Dayak itu?’ dan “apakah istimewa dan uniknya bangsa Dayak ini?” jika kesemua yang ada tidak dijaga sudah pasti lidah pasti kelu untuk menjawab. Tradisi yang masih ada sekarang sewajarnya dirakam dalam video dan gambar serta ditulis bagi peringkat generasi masa datang. Mungkin di suatu masa, tradisi-tradisi ini boleh dihidupkan secara simbolik untuk mengenang nenek moyang kita yang menghidupkannya. Terpulanglah kepada generasi sekarang jika ada minat dan usaha memelihara, saya yakin adat tradisi terutama Gawai Dayak akan utuh ibarat “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.”         unnamed

]]>

Hudud: Kerisauan seorang Kristian

  Perbandingan daripada perspektif Kristian Dalam menyiapkan makalah ini, saya juga berbincang dalam satu sesi pengkajian ‘Alkitab’ bersama rakan-rakan siswa dalam komuniti Persatuan Pelajar Katolik Shah Alam mengenai isu ini. Petikan yang kami kaji adalah Injil Matius bab 18 ayat 6 hingga ayat 9. Di sana kami menganalisa bahawa Yesus Kristus sendiri memberi peringatan keras yang kelihatan sama dengan konsep hudud iaitu membuang sebahagian anggota badan bagi menghindari orang lain daripada melakukan dosa. Namun, adakah Yesus bermaksud sedemikian? Yesus menggunakan perumpamaan dalam mengajar bahawa punca dosa mahupun jenayah adalah kerosakan moral dan penyesatan diri. Ia adalah perkara yang wajar ditangani oleh setiap individu bagi menghindarkan diri daripada menyebabkan kerosakan pada diri dan masyarakat. Yesus tidak mengajar umatnya untuk menghukum manusia lain sewenang-wenangnya mengikut hutang ‘nyawa bayar nyawa’ tetapi berpegang teguh pada nilai keadilan, belas kasihan dan pengampunan. Dan semasa berhujah ada rakan saya mengutarakan petikan daripada Injil Yohanes bab 8 ayat 1 hingga ayat 11. Ia tentang bagaimana Yesus enggan menghukum wanita berzina supaya direjam sampai mati setelah diasak oleh guru Taurat Yahudi. Beliau memberi kenyataan balas sedemikian; “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia” (Yohanes 8:7). Di sini saya lihat, urusan menghukum adalah lebih layak ditentukan sebagai urusan Tuhan dan ianya akan diselesaikan sendiri di akhirat kelak melalui syurga dan neraka. Gereja Katolik yang terkenal dengan hukuman Pasitan (Inqusition) sejak kurun ke-12 hingga ke kurun ke-16 turut menyaksikan penyalahgunaan hukuman penalti yang kejam seperti pancung, bakar hidup-hidup dan rejam sampai mati. Namun setelah berlakunya renungan sejarah secara serius Gereja pun insaf dengan meletakkan peluang kepada pertaubatan individu dan martabat nyawa manusia setelah terhapusnya Pasitan ini. Namun, ianya bukan bererti, tiada hukuman kepada penjenayah di muka bumi ini bagi menjamin keselamatan awam. Berikut adalah saranan Gereja Katolik dalam menangani jenayah: “Dalam usaha untuk melindungi kepentingan bersama, pihak berkuasa awam yang sah mesti menjalankan hak dan kewajipan untuk mengenakan hukuman mengikut keseriusan jenayah yang dilakukan. Hukuman tidak berkhidmat semata-mata bagi tujuan mempertahankan ketenteraman awam dan menjamin keselamatan individu; ia juga menjadi alat untuk pembetulan pesalah jenayah itu, pembetulan yang juga mengambil kira pada nilai moral penebus dosa apabila pihak yang bersalah secara sukarela menerima hukumannya. Tindakan pemerintah untuk menetapkan tanggungjawab atas kejahatan yang juga adalah tertakluk pada peribadi insaniah harus diiringi dengan kewajiban untuk mencari kebenaran tanpa syarat dan harus dijalankan atas dasar penghormatan pada martabat dan hak peribadi manusia. Hak seorang tertuduh harus juga dilindungi seperti hak seorang bebas. Prinsip hukum yang berlaku umum harus selalu ditaati yakni hukuman baru dijatuhkan setelah kesalahan tertuduh dibuktikan. Sesungguhnya masyarakat moden mempunyai usaha untuk secara efektif meniadakan tindak kejahatan jenayah dengan melumpuhkan para penjahat, sehingga tidak merugikan masyarakat lagi, tanpa menutup peluang bagi mereka untuk memperbaiki diri. Cara-cara damai dan tanpa pertumpahan darah (hukuman mati) lebih diutamakan kerana cara-cara itu lebih menjawab syarat-syarat konkrit bagi kesejahteraan umum dan lebih sesuai dengan martabat manusia.” (Kompendium Ajaran Sosial Gereja, no. 402-405) Kesimpulan Tidak cukup dwi-standardkah undang-undang syariah serta undang-undang jenayah sivil sedia ada? Tidak membantukah undang-undang jenayah sivil yang kita ada sekarang? Mengapa perlu hudud di negara yang hanya mempunyai majoriti 60.4% penduduk Muslim? Sudahkah dapat persetujuan semua umat Muslim di negara ini tentang perlaksanaannya? Bagaimana penerimaan yang bukan Muslim? Bagaimana hukuman hendak dijalankan? Apakah ijtihad serta rujukan yang perlu diambil dan dirujuk? Model negera Islam yang mengamalkan undang-undang Hudud manakah yang terbaik untuk dijadikan contoh? Apakah jaminan bahawa undang-undang ‘Tuhan’ ini berjaya mengurangkan jenayah? Sekirannya kesemua persoalan di atas tidak berhasil dijawab, saya mengandaikan undang-undang ini berkemungkinan akan gagal dan menjadi tidak wajar dilaksanakan sama ada di Kelantan mahupun ke atas seluruh Malaysia. Keyakinan umat bukan Islam adalah kunci utama penerimaan undang-undang Hudud di negara ini serta dalam mengekalkan keharmonian dalam negara.         unnamed

]]>

Isu muzikal Easter: pesanan untuk kawan

Ancaman muzikal? Muzikal Easter tersebut bukanlah satu ancaman kepada umat Islam kerana jika dilihat dari perspektif positif dalam masyarakat majmuk. Sememangnya gereja tersebut berniat untuk menjemput umat bukan Kristian hadir ke aktiviti tersebut. Namun, adakah dengan menghadiri aktiviti tersebut lebih mudah seseorang itu jatuh murtad atau kafir? Begitu juga dengan situasi saya yang pernah pergi ke surau/masjid dan menyertai aktiviti yang ada disana tanpa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan  iman dan kepercayaan  saya sendiri . Pada masa sama saya menghormati mereka beribadat: adakah saya masuk Islam atau keluar Kristian? Sudah tentu tidak! Mengekang penganut agama lain daripada melakukan aktiviti kerohanian dan ibadah serta melarang mereka menjemput penganut agama lain hadir ke aktiviti serta ibadat mereka adalah sesuatu yang bertentangan dengan norma masyarakat majmuk. Bagaimanalah kiranya seseorang itu dapat mengenali agama lain jika masuk ke rumah ibadat penganut agama lain itu dianggap sebagai haram dan taboo? Lebih parah lagi, ISMA dalam laman webnya ada membangkitkan isu penggunaan bahasa kebangsaan sebagai sesuatu yang kelihatan eksklusif untuk umat Islam. Sedangkan bahasa Melayu itu sendiri pun menggunakan pelbagai kata pinjaman daripada Sanskrit, Tamil, Eropah, Arab dan bahasa asing yang lain. Oleh sedemikian, amat  tidak wajar jika sesuatu bahasa apatah lagi bahasa kebangsaan itu disekat penggunaannya oleh penganut agama lain dalam apa jua upacara mahupun komunikasi mereka. Sungguh sempit sudut pandang ISMA apabila mengatakan penganut Kristian berbangsa Cina dan India merupakan majoriti penganut Kristian di Semenanjung Malaysia serta mereka tidak gemar menggunakan bahasa kebangsaan. Ini mengabai kewujudan penganut Kristian Sabah dan Sarawak mahupun orang Asli di Semanjung Malaysia yang turut menggunakan bahasa kebangsaan. Mengenali Hari Khamis Suci Perayaan hari Khamis Suci atau juga dikenali sebagai hari Khamis Putih ini disambut dengan penuh penghayatan akan peristiwa-peristiwa sebelum Yesus Kristus menghampiri wafatnya di kayu salib. Ia adalah hari pertama yang menandai permulaan Triduum (persiapan 3 hari)   Paska. Pada hari ini umat Kristian mengenang kembali santapan malam terakhir yang dilakukan Yesus bersama 12 pengikutnya. Tambahan pula, umat Yahudi ketika itu turut menyambut hari raya Roti Tidak Beragi pada 14 Nisan dalam kalender Yahudi. Dalam santapan terakhir itu juga, Yesus dikhianati oleh pengikutnya Yudas Iskariot. Ketika santapan tersebut, Yesus menyerahkan tubuh dan darahnya pada dalam bentuk roti dan anggur yang diberikan kepada para pengikutnya sebagai kenangan penyerahan dirinya bagi umat manusia. Selain daripada itu Yesus  juga mencuci kaki kedua belas pengikutnya sebelum diserahkan ke pengadilan untuk kemudian dijatuhkan hukuman mati melalui penyaliban di kayu salib. Dalam perspektif Katolik, umat dalam mengenang santapan tersebut menyambut ibadat ‘ekaristi’ sebagai kenangan akan Yesus berdasarkan kata-katanya, “Kenangkanlah akan Aku bila merayakan Perjamuan ini.” Ibadat ekaristi menjadi ‘jantung’ daripada iman Katolik dimana “sumber dan puncak seluruh kehidupan Kristiani” dan “hakikat dan rangkuman iman” digenapi dalam hubungan peribadi mereka dengan Yesus sebagai sarana keselamatan. [Katekismus Ajaran Gereja Katolik] Manakala dalam upacara misa Khamis Suci, paderi yang memimpin misa turut meneladani hal sama seperti yang dilakukan oleh Yesus yaitu mencuci kaki orang lain. Perlakuan mencuci kaki merupakan salah satu bentuk pengajaran bagi para pengikutnya mengenai penghormatan. Umum diketahui, kita hanya menghormati orang yang dianggap mempunyai status atau kasta yang sedarjat ataupun yang lebih tinggi. Yesus ingin mengajarkan bahawa penghormatan hanya berkesan terlaksana daripada atas ke bawah. Sebagaimana penghormatan guru terhadap muridnya. Begitu juga daripada hormat daripada penguasa kepada rakyatnya. Mengenali Hari Jumaat Agung Hari Jumaat Agung disambut bagi mengenang peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kematiannya. Bermula dengan pengadilan Yesus di hadapan guru-guru agama Yahudi diikuti dengan penyangkalan sebanyak tiga kali oleh pengikut terdekatnya, Petrus, bahawa dia mengenal Yesus. Kemudian, Yesus  diadili oleh Pontius Pilatus menurut hukum Romawi. Sesudah diadili, Yesus memikul salibnya ke bukit Golgota dan disana dia menghembuskan nafas terakhir dengan menyerahkan nyawanya kepada Bapa di syurga dengan mengenapi kesemua apa yang dikatakan oleh dia sendiri. Tafsiran peristiwa dari sudut pandang Kristian Memang tidak dinafikan bahawa Islam mempunyai ceritanya tersendiri mengenai peristiwa ini. Namun, umat Kristian mengimani peristiwa ini sebagai sesuatu yang amat sakral dan bermakna bagi mereka. Hukuman Yesus dikayu salib bukanlah sesuatu yang hina namun ianya merupakan misteri pergorbanan Yesus kepada pengikutnya. Mesej utama peristiwa ini adalah mengenai hubungan peribadi Tuhan dengan manusia. Masalah dosa atau kejahatan merupakan satu perkara yang runcing dalam kehidupan. Melalui Yesus, yang juga disebut Anak ‘Allah’ oleh penganut Kristian, Tuhan memberikan mekanisme/contoh terbaik bagi melenyapkan kutukan dosa akibat kehendak bebas manusia. Melalui salib, umat Kristian percaya bahawa Tuhan bersama-sama dengan manusia dalam melawan kejahatan walaupun kesan penderitaan akibat dosa manusia tidak dapat dilenyapkan dalam kehidupan manusia.  Bagi umat Kristian, kehidupan kekal di syurga merupakan destinasi utama keselamatan mereka melalui Yesus. Dalam peristiwa ini, ‘Allah’ Bapa bukanlah hakim yang kejam Yesus dihukum mati disalib. Pada kayu salib itu, Tuhan itu sendiri sebenarnya ikut mengalami kesan yang paling buruk daripada keadaan manusia yang berdosa. Disamping itu, salib menunjukkan kepada umat Kristian betapa berharganya pengampunan daripada Tuhan. Sebagaimana mengampuni merupakan seseuatu yang sukar bagi manusia. Untuk mengampuni manusia, inkarnasi Yesus merupakan tujuan asal tersebut bagi mengantikan korban bakaran yang dilakukan bangsa Israel. Mengenali Hari Paska Agama Kristian tidak akan wujud sekiranya kebangkitan Yesus Kristus itu tidak menjadi realiti. Dalam Injil, Yesus menampakkan diri kepada banyak orang. Ianya bukan khayalan pengikut Yesus semata-mata namun disertai dengan bukti fizikal seperti kesan luka tangan dan rusuk kepada pengikutnya. Selepas kebangkitannya, Yesus bersama-sama pengikutnya selama 40 hari sebelum dinaikan ke langit. Hari Paska ini juga mempunyai kaitan dengan tradisi bangsa Israel. Hari Paska ini berubah-rubah mengikut kalender bulan Yahudi. Perkataan ‘Paska’ itu sendiri berasal daripada kata Ibrani ‘Pesach’ yang artinya ‘passover’, ‘dibebaskan’ yang mengacu kepada pembebasan bangsa Israel daripada penjajahan Mesir melalui nabi Musa dalam kitab Taurat. Peristiwa ini dikenang oleh bangsa Israel dengan perjamuan anak domba (kambing biri-biri). Perjamuan ini diadakan setiap tahun bagi memperingati perayaan penebusan, perjanjian Tuhan dengan mereka, daripada perhambaan menuju kebebasan, daripada kematian meuju kehidupan. Signifikannya bagi umat Kristian, peristiwa ini diperingati dan disempurnakan dalam perayaan Paska, di mana Yesus Kristus itulah Sang Anak Domba Paska yang dikorbankan, untuk membebaskan umat manusia daripada kutukan dosa. Kesimpulan Saya berharap dengan berkongsi penulisan makalah ini, ramai orang dapat memahami tentang apa dan mengapa umat Kristian menyambut sambutan hari Khamis Suci, Jumaat Agung dan Minggu Paska daripada perspektif saya sebagai Kristian dan Katolik . Harapan saya juga menginginkan setiap rakyat Malaysia diberi hak kebebasan beragama yang sewajarnya kerana terlampau banyak isu sentimen agama yang berlaku yang turut mengakibatkan Malaysia tidak lagi dihormati sebagai negara masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama di dunia. Menyambut hari Jumaat Agung (Good Friday) dan Hari Paska (Easter Sunday) kepada semua umat Kristian di Malaysia yang menyambutnya.         unnamed

]]>