Projek Dialog

Rang undang-undang kebencian kaum dan agama: Syiah diabaikan lagi?

Apakah yang berubah setelah Rang Undang-Undang Kebencian kaum dan agama?  Tanpa memperkecilkan usaha Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) menggubal dan membawa Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama ke Parlimen, satu pertanyaan yang mendalam perlu diajukan; apakah khutbah Jumaat yang memomokkan penganut Syiah dan Kristian akan terlepas dari senarai kebencian? Terdapat banyak contoh sedia ada bagaimana khutbah Jumaat menjadi sumber kebencian dan ini dilakukan oleh agensi kerajaan (State) atas nama agama.

Penggubal Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama wajar mengambil kira Pelan Tindakan Rabat (Rabat Plan of Action 2013) yang ditawarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ia sudah memadai untuk dijadikan panduan untuk mengenalpasti apakah yang wajar dinamai sebagai ‘kebencian dan hasutan’ dan apa pula yang boleh dikategorikan sebagai ‘kebebasan bersuara’.

Apakah yang terkandung dalam Pelan Tindakan Rabat?

Pertamanya, ia menyediakan polisi dan juga panduan untuk kerajaan, dan masyarakat sivil dalam mencegah kebencian agama secara kolektif. Ia juga menghuraikan apa yang tidak wajar dianggap sebagai ‘kemerdekaan bersuara’ dan dapat dianggap sebagai kebencian terhadap agama secara kolektif (lihat Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights. 2012. Rabat Plan of Action on the prohibition of advocacy of national, racial or religious hatred that constitutes incitement to discrimination, hostility or violence. Rabat: Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights (OHCHR). Halaman 6-7).

Kebencian terhadap agama secara kolektif melibatkan;

i. Konteks;

Hanya dengan analisis konteks, sesuatu ucapan itu dapat ditentukan latar sosial dan politiknya dan apakah ia ditujukan kepada satu kumpulan sasaran.

ii. Pengucap;

Kedudukan individu pengucap adalah penting untuk dikenalpasti. Secara khususnya apakah individu pengucap itu mewakili mana-mana kumpulan agama yang lain, atau apakah statusnya dalam masyarakat.

iii. Niat;

Dalam hal ini, niat dan bukan kelalaian atau ketidaksengajaan diberi fokus. Dalam erti kata lain terdapat elemen hasutan, dan mengajak; yang secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak.

iv. Kandungan dan bentuk;

Analisis kandungan dan bentuk ucapan juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak.

v. Keluasan;

Keluasan ucapan juga dititik beratkan. Dalam konteks ini apakah ucapan tersebut dilakukan secara publik, juga saiz audiennya apakah kecil atau besar, dan apakah ia berbentuk penerbitan, atau media di internet atau arus perdana, dan apakah audien mempunyai akses kepada ucapan atau siaran terbabit.

vi. Potensi risiko.

Hasutan dan fitnah yang menanam kebencian terhadap agama secara kolektif ditentukan berdasarkan potensi risiko yang mungkin terjadi lantaran ucapan atau siaran tersebut. Dalam hal ini ucapan kebencian tersebut selalunya adalah langsung dan memang memaksudkan sesuatu yang buruk terhadap sasaran .

Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, tidak syak lagi khutbah jumaat berjudul ‘Rasulullah saw Kekasih Allah’ bertarikh 25 Januari 2013 adalah seruan kepada kebencian. Intipati khutbah menyamakan mereka yang menuntut penggunaan kalimah Allah untuk non Muslim sebagai ‘musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam’. Justeru tidak menghairankan khutbah tersebut disambut dengan rasa kurang selesa daripada masyarakat Kristian tempatan. Rev Fr Simon Labrooy dalam satu laporan media menyatakan kekesalan kerana ada individu di dalam Jabatan Kemajuan Agama Islam yang cenderung untuk ‘mengisytihar perang’ dan berfikir untuk perpecahan berbanding ‘perpaduan’ (lihat Clara Chooi. 2013. Friday sermon irks local church leaders as Allah row rages on. The Malaysianinsider. 26 Januari.)

Demikian juga khutbah Jumaat di Selangor bertarikh 6 April 2012 yang menyeru umat Islam menghindari Syiah. Khutbah berjudul ‘Penyelewengan Syiah Di Malaysia’ tersebut menyatakan, antara lain ‘Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini’ . Khutbah ini adalah satu bentuk pemomokan yang serius, memandangkan dalam masa yang sama, harus diingat seramai sepuluh orang qari bermazhab Syiah dari Iran dan Iraq telah memenangi Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia sejak tahun 1961.

Adakah Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama dapat mengheret Jabatan Agama Islam termasuk para menteri atau ketua agama Islam sendiri sekiranya kebencian terhadap agama secara kolektif dilakukan atas nama agama seperti berlakunya di mimbar masjid?
      unnamed

]]>

Madonna dan Majlis Agama Islam Pahang

hukuman di mahkamah sivil dengan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. Wasatiyah Sudah tentu berita ini menimbulkan tanda tanya, memandangkan ia datang dari negeri asal Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang cekap-cekatan, suka-selesa, bijak-arif, matang-mendalam khusus ketika mengenengahkan idea-idea mengenai wasatiyyah atau jalan tengah. Cita-cita moderat beliau adalah supaya umat Islam menjauh diri dari kejumudan dan ekstrimisme. Bukanlah rahsia, Perdana Menteri menjaguhi isu-isu sebegini sehingga melontarkan seruan perdamaian dan wasatiyyah di New York. Pada 28 September 2013 ketika Perhimpunan Agung PBB Ke-68, Datuk Seri Najib Razak, telah mengajak dunia supaya menghapuskan semua bentuk amalan ekstremisme. Sebagai pencetus gagasan Pergerakan Global untuk Kesederhanaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beliau tidak lelah berdakwah supaya umat Islam terus menjadi umat yang moderat dan tidak terikut-ikut dengan amalan yang tidak membangunkan intelektualisme dan rasional. Tentulah kita tidak ada apa-apa bantahan sekalipun untuk seruan-seruan dahsyat yang sungguh membanggakan itu. Malah kesederhanaan Datuk Seri Najib sangat menyayat hati kita semua. Ini kerana sehari sebelum membuat ucapan penuh legenda di United Nations New York itu, dalam satu syarahan yang mengangakan berjudul ‘The New Meetings, Moderation: The New Modernity’ (Pertemuan Baharu, Kesederhanaan: Kemodenan Baharu), tajaan bersama Council on Foreign Relations (CFR)’s Religion dan Foreign Policy Initiative, di Peter G. Peterson Hall, The Harold Pratt House, New York, Perdana Menteri telah mengatakan dengan sesungguh dan seikhlas hati, “Dan jika kita memilih pendekatan wassatiyah dan menolak nazisme atau militan, dan pemikiran yang ekstremis, akan ada peluang kita boleh berusaha ke arah menjadikan dunia ini sebuah dunia yang aman.” Bagaimanakah saranan wasatiyyah oleh beliau ini dapat dilaksanakan? Entah. Kelihatannya saranan Datuk Seri Najib itu benar-benar bahaya untuk sesetengah, meminjam kata-kata beliau sendiri, nazi, militan  dan ekstrimis Melayu. Ada apa dengan Bible dalam laci? Memang, tidak dinafikan yang larangan meletakkan Bible di dalam laci kamar hotel dengan larangan membaca Bible adalah dua hal berbeza. Jelas sekali niat larangan terhadap Bible tersebut adalah supaya tiada berlakunya ‘penyebaran agama selain Islam’. Ia juga menunjukkan pihak berkuasa Islam di Pahang merasakan akidah penumpang Muslim di hotel di seluruh Pahang amat rapuh dan lemau sehingga tatkala menarik laci hotel dan terjumpa Bible, serta merta mereka akan tercemar dan terjerumus ke dalam dunia kesaliban. Salah satu ketertutupan dan bukan kesederhanaan ialah apabila kita melompat kera dan menjadi terlalu takut, sensitif dan lekas rasa terancam dengan dunia luar (baca: yang lain dari Melayu dan Islam). Dalam dunia makin maju dan teknologi makin bermutu, kita sedapat-dapatnya berlaku matang dan tidak merapu. Menukar bacaan, Bible dengan al Quran, atau al Quran dengan Bible membolehkan seorang manusia memecah kebuntuan zamannya. Ali Shariati, pejuang contoh Pengalaman membaca dan membandingkan sejarah umat antara Islam dan Kristian telah membolehkan Ali Shariati, salah seorang pemikir agung Islam di zaman moden menemukan Catholic liberation theology seperti dinukil Ervand Abrahamian, dalam ‘The lranian Mojahedin’. Sukar membayangkan Ali Shariati menginap di sebuah kamar hotel di Paris berasa terganggu dan terancam akidahnya saat ia menarik laci kamar sewanya itu ia terjumpa dan membaca Bible. Bukan sahaja membacanya, Ali malah menggauli bahan-bahan teologi pembebasan ketika sempat berada di Perancis. Maka tidaklah memeranjatkan jika ditemukan kesejajaran perbincangan oleh Carlos Mesters tentang Nabi Ibrahim  seperti terkandung dalam bukunya ‘A Journey of Liberation: Abraham and Sarah Yesterday and Today’ (edisi asal Portugis pada tahun 1978) dengan perbincangan mengenai Nabi Ibrahim juga dalam buku ‘Haji’ dan ‘Mi’ad ba Ibrahim’ oleh Ali Shariati. Walaupun tidaklah sepenuhnya benar idea-idea revolusi Ali Shariati datangnya dari Bible. Islam Syiah yang dianuti oleh Shariati sudah mencukupi sebagai sumber revolusi, pun, hakikat bahawa beliau mendekati agama dan gagasan lain tanpa rasa terancam adalah sesuatu yang patut dirujuk. Madonna, artis contoh Tradisi untuk tidak gentar dan takut terhadap sesuatu yang baharu, juga terlihat diraikan oleh Madonna. Dalam satu wawancara dengan Harper’s Bazaar, pop ikon dan penyanyi untuk lagu-lagu seperti ‘Like A Prayer’ dan ‘Material Girl’ itu menegaskan tahun lalu yang ia membina sekolah untuk anak-anak gadis Muslim dan kini menghabiskan masa membaca al-Quran. Pada pertengahan tahun 90an, Madonna memilih untuk menukar agama dari Katolik kepada Kabbalah setelah membaca ‘Taurat’. Kini, dengan dorongan beberapa teman, Madonna memilih untuk membaca al-Quran dan menyatakan pentingnya untuk terus membaca kitab-kitab suci sedia ada; kata beliau lagi, ‘I think it is important to study all the holy books. As my friend Yaman always tells me, a good Muslim is a good Jew, and a good Jew is a good Christian, and so forth. I couldn’t agree more. To some people this is a very daring thought.’ Sungguh ‘daring’ bagi Madonna untuk memberani diri menolak Islamofobia, tetapi juga sungguh malang pihak berkuasa agama Pahang untuk mengadoptasi Kristianofobia. Apakah Madonna akan memeluk Islam dan menukar nama kepada Maryam Madonna? Bukan itu ceritanya tentu. Inti di sini adalah kematangan dan keterbukaan untuk menyerap, memahami sesuatu yang baharu. Ini tidaklah bermakna kita perlu meyakini dan mempercayainya. Dalam dunia rencam, kefahaman terhadap peradaban, agama dan kepercayaan lain sangat mendesak. Justeru membaca naskah suci lain akan membuka pengalaman dan kematangan ilmu yang menakjubkan. Mac lalu, ketika berkempen yang tidak sepenuhnya jadi di Kajang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyaran supaya generasi muda Melayu membuka dan membaca teks klasik Hindu seperti ‘Ramayana’, ‘Mahabharatha’ dan ‘Thirukkural’. Beliau juga mengajak generasi muda Hindu menelaah al-Quran[1]. Saranan, atau tindak-tanduk praktikal oleh Ali Shariati, Madonna dan Anwar Ibrahim ini jauh mengatasi seruan-seruan umum kesederhanaan, wasatiyyah dan moderatisme tetapi tidak ditunjukkan apa-apa pendekatan benar dan real. Tiada keserdehanaan tanpa dialog Dialog kesederhanaan akan berlaku bukan dengan menyelimutkan diri, ia hanya akan berlaku; dialog, menerusi pertukaran bahan bacaan. Dalam erti kata lain membaca kitab suci agama lain akan membuka satu dialog. Oleh kerana Perdana Menteri tidak memberikan pendekatan yang bermakna untuk bersederhana dalam ucapan-ucapan dahsyat beliau, kita terpaksa mencari kaedah sedia ada. Kita boleh menyebut nama seperti Johan Wolfgang Von Goethe sebagai contoh sihat, akan tetapi, untuk mereka yang jarang-jarang berdialog, memadailah nama-nama eceran seperti Madonna dan Anwar Ibrahim untuk dijadikan teladan. Malaysia memerlukan pendekatan matang untuk terus ke hadapan. Pengharaman, larangan dan kekangan terhadap bahan bacaan sama sekali tidak membantu menyuburkan nusa ini.  Bahkan ia mempamerkan sikap jumud, terkepung dan terkebelakang. Aksi baharu Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) yang melarang semua hotel dan rumah tumpangan di Pahang dari meletakkan kitab suci Bible dalam kamar sewaan jatuh dalam kategori tadi. Bagaimana jika Barack Obama, rakan selfie Perdana Menteri mengambil keputusan bercuti di Cherating atau Taman Negara dan kerana Michelle terlupa membawa Bible peribadinya telah  terpanggil untuk mencarinya dalam laci hotel penginapan? Apakah jawapan kesederhanaan yang dapat beliau berikan?         unnamed

]]>

Pluralisme, tolak ansur budaya dan strategi dakwah

Mo Limo  atau “moh main, moh ngombe, moh maling, moh madat, moh madon” sebagai strategi dakwahnya. Ia adalah seruan untuk tidak berjudi, tidak minum minuman keras, tidak mencuri, tidak menggunakan dadah, dan tidak berzina. Persoalan akhlak ditekankan mengatasi persoalan fikah dan akidah. Ini kerana akhlak itu sendiri dapat menjadi satu dakwah. Dakwah estetika Hal yang sama terlihatkan pada Sunan Bonang. Beliau dimaklumi suka berkunjung ke daerah-daerah terpencil di Tuban, Pati, Madura dan Pulau Bawean untuk berdakwah dalam kalangan masyarakat Hindu. Dalam kunjungan beliau yang memakan masa beberapa lama itu Sunan Bonang sangat suka membuka atau menggali sumber air di tempat-tempat yang dikunjungi. Ajaran Sunan Bonang lebih kepada kesufian dengan menekankan falsafah cinta atau ‘isyq. Untuk mereka yang mendalami subjek kesufian, ajaran Sunan Bonang dapat dihubungkan dengan ajaran Maulana Jalaludin Rumi, penyair dan ahli sufi Parsi yang menetap di Konya, Turki. Hal yang paling menarik, ajaran tersebut disampaikan oleh Sunan Bonang melalui saluran kesenian yang disukai masyarakat. Dalam hal ini, Sunan Bonang bekerjasama dengan murid kesayangannya, Sunan Kalijaga. Bukan itu sahaja Sunan Bonang juga dikenali sebagai seorang pengarang. Beliau banyak melahirkan karya sastera yang dinamai suluk, atau tembang tamsil. Salah satu yang paling tersohor adalah “Suluk Wijil” yang dikatakan terpengaruh dengan kitab Al Shidiq karya Abu Sa’id Al Khayr. Kalau suluknya ditekuni, pembaca akan mendapati beliau banyak menggunakan perbandingan cermin, bangau atau burung laut. Pendekatan begini turut digunakan oleh ulama silam lain seperti Ibnu Arabi, Fariduddin Attar, Rumi serta Hamzah Fansuri. Tidak cukup dengan itu, Sunan Bonang telah menjadi komposer yang terkenal dengan menggubah banyak muzik gamelan Jawa yang pada saat itu cukup pekat dengan estetika Hindu.  Gubahan gamelan Sunan Bonang ada unsur zikir yang menggalakkan kecintaan kepada kehidupan alam akhirat.  Tembang yang paling terkenal daripada beliau ialah Tombo Ati. Luahan kesenian rohani  Lebih istimewa Sunan Bonang juga bermain drama, atau wayang kulit. Selalunya penonton akan khusyuk dengan pementasan beliau. Beliau suka menulis sebuah lakon seraya memasukkan tafsir ayat al-Quran dan ajaran-ajaran Islam. Sebagai contoh, di dalam ajaran Hindu Jawa terdapat sebuah kisah perseteruan Pandawa-Kurawa yang digemari umum, Sunan Bonang mencipta semula kisah tersebut lantas menjadikannya drama peperangan antara nafi atau peniadaan dan ‘itsbat atau peneguhan. Secara tidak disedari, beliau telah mengajar mengenai dua kalimah syahadah, atau prinsip tauhid itu sendiri. Sunan Drajat atau Raden Qosim turut mengenengahkan seni suluk sebagai saluran berdakwah. Antara suluk petuah yang mengakar dalam diri orang Jawa ialah ajaran ‘berilah tongkat pada si buta, beri makan pada yang lapar, beri pakaian pada yang telanjang’. Sunan Drajat menggunakan aspek akhlak tersebut dengan membanaykkan pertolongan buat anak-anak yatim piatu dan fakir miskin. Sementara itu, Sunan Giri yang dipanggil orang Jawa sebagai Raden Paku, atau nama betulnya Muhammad Ainul Yakin turut mengemukakan kesenian sebagai wadah dakwahnya. Sunan Giri adalah Wali Songo yang bukan sahaja berdakwah tetapi ikut terlibat dengan bidang politik, pendidikan dan tentu, kebudayaan. Pondok atau pesantren beliau Giri Kedaton sangat berpengaruh sehingga dilantik menjadi penasihat dan menteri pertahanan Kesultanan Demak. Hal ini tercatat dalam Babad Demak. Bukan itu sahaja Sunan Giri juga diterima sebagai mufti, untuk seluruh Tanah Jawa kala itu. Anak murid Sunan Giri berdakwah pula di Sulawesi Selatan, namanya Datuk Ribandang. Beliau dinamakan Sultan Abdul Fakih dan juga merupakan seorang seniman yang luar biasa. Bahkan ada permainan kanak-kanak seperti jelungan, jamuran, lir-ilir dan cublak suweng disebut sebagai hasil seni Sunan Giri yang diteruskan oleh beliau. Dalam pada itu, Sunan Gunung Jati pula menumpukan kerja-kerja kebajikannya sambil berdakwah. Beliau disifatkan sebagai arkitek yang menggamamkan pengikut agama Hindu waktu itu kerana memperkenalkan seni bina yang hebat-hebat. Paling unik sekali beliau juga membangunkan infrastruktur berupa jalan-jalan yang menghubungkan antara wilayah untuk memudahkan orang ramai. Ekoran dari itu, masyarakat Hindu-Jawa pada waktu itu lekas tertawan hati mereka dengan Islam. Sunan Kudus atau nama betulnya Jaffar Shadiq juga seorang pencipta senibina yang mempesonakan. Kaedah Sunan Kudus mendekati masyarakat setempat yang masih Hindu pada zamannya ialah dengan memanfaatkan lambang-lambang Hindu dan Buddha. Hari ini jika kita mengamati masjid Kudus kita akan menemui bentuk menara, gerbang dan pancuran juga tempat berwudhu yang melambangkan lapan jalan Buddha. Kompromi budaya, bukan akidah Jangan cepat melenting dahulu. Ia bukanlah pluralisme agama tetapi merupakan kompromi budaya yang tidak bertentangan dengan Islam.  Kompromi budaya (bukan akidah) adalah satu lagi strategi dakwah yang wajar dikuasai oleh pendakwah hari ini. Sebagai contoh, pada satu masa Sunan Kudus ingin mengajar tafsir surah al-Baqarah, beliau dengan sengaja memancing masyarakat untuk datang ke masjid dengan menambatkan seekor sapi yang diberi nama Kebo Gumarang di halaman masjid. Orang-orang Hindu yang mengagungkan sapi atau lembu singgah sekejap di luar masjid dan mendengar ceramah agama Sunan Kudus tentang surah Al Baqarah yang bererti sapi betina. Sunan Kudus dikenali sangat suka bercerita untuk meraih perhatian madh’unya. Menerusi cerita sapi sedemikianlah ramai penganiut Hindu-Jawa memeluk Islam. Sunan Kudus turut hebat sebagai Panglima Perang Kesultanan Demak. Beliau misalnya pernah berperang di bawah kepemimpinan Sultan Prawata, bertempur menentang Adipati Jipang. Jika Sunan Kudus menggunakan pendekatan ‘cerita’, Sunan Muria pula berdakwah dengan lagu-lagu, mungkin dapat diandaikan sebagai nasyid. Lagu Sinom dan Kinanti yang masyhur dalam kalangan orang Jawa adalah ciptaan beliau. Dan tentu, bapa Sunan Muria iaitu Sunan Kalijaga adalah yang paling terkenal sekali jika kita menyinggung persoalan dakwah dengan kesenian. Beliau menggunakan seni ukir, wayang wong, gamelan, serta seni suara suluk sebagai wahana dakwah. Sunan Kalijaga mencipta busana Baju Takwa, beberapa perayaan seperti sekatenan, grebeg maulud, Layang Kalimasada, dan skrip drama Petruk Jadi Raja. Lanskap pusat kota Kraton yang ada di Jogjakarta hari ini turut diyakini sebagai karya Sunan Kalijaga. Yang paling mustahak untuk dinyatakan di sini ialah metod dakwah Sunan Kalijaga dan kelapan-lapan wali ini sangat efektif.  Sebahagian besar adipati atau pembesar Hindu di Jawa telah memeluk Islam di tangan Sunan Kalijaga. Antara yang berpengaruh ialah Adipati Padanaran, Kartasura, Kebumen, Banyumas, serta Pajang. Hari ini, segala strategi dakwah dengan kompromi budaya ini akan dikelirukan dengan aksi pluralisme. Islam yang mendapat dokongan lokal adalah Islam yang tidak memaksakan. Tanpa dokongan budaya tempatan, agama Islam menjadi sebuah agama yang asing. Hari ini, pendakwah Salafi berusaha membuang segala unsur lokal ini dengan alasan ia adalah bidaah. Toleransi dan kompromi budaya yang pernah disaksikan oleh rantau ini digugat dengan pendekatan keras ala Timur Tengah yang sama sekali tidak berhubungan dengan kita. Itulah puncanya gerakan Salafi, atau nama lainnya Wahabi dipandang serong oleh masyarakat dan menjadi duri dalam daging.       unnamed

VERMOX
]]>

Supra mazhab ke sektarianisme: Maju mundurnya PAS

kepimpinan parti tersebut bersih dari pendokong dan penganut mazhab Syiah. Usul ini kemudian disambut oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan bahawa tiada pemimpin PAS yang menganut mazhab Syiah. Apakah maknanya usul daripada perwakilan Teluk Intan itu? Pada tanggal 2 Oktober 1960, ketika berucap di pembukaan Kongres Ahli-Ahli Tarikat As-Sufiah Seluruh Malaya yang bertempat di Dewan Bandaran Kuala Lumpur, Dr Burhanuddin al-Helmi telah memetik pandangan Syed Jamaluddin al-Afghani, seorang tokoh besar Islam. Al-Afghani telah ditanya orang, apakah makna kepada ‘benih pembaharuan Islam’ yang beliau gagaskan (dalam bahasa mutakhir ‘reformasi’, dalam bahasa alMarhum Ustaz Fadzil Noor ia berbunyi tajdid); al-Afghani dikatakan membalas pertanyaan itu dengan jawapan yang panjang, sebahagiannya berbunyi: “Hendaklah kita pulihkan kembali kepada kebenaran perbalahan antara ahli sunnah dan ahli syiah. Sesungguhnya perpecahan itu ialah rekaan raja-raja yang tamak…” Meskipun ucapan tersebut tidak ditujukan kepada perwakilan atau ahli PAS, mengambil kira kapasiti beliau yang ketika itu menjawat kedudukan sebagai Yang Dipertua Agung Parti Islam Semalaysia, dan mewakili parlimen Besut, beliau telah secara terbuka meletakkan parti tersebut di atas apa jua mazhab. Secara ringkas, tokoh PAS tersebut menegaskan jalan penyatuan adalah jalan supra mazhab sementara jalan perpecahan diterokai oleh orang-orang yang tamak. Merenung seluruh isi ucapan beliau tersebut, jelaslah Dr Burhanuddin al-Helmi tidak sahaja mengecilkan kecamannya kepada raja-raja tetapi termasuklah ahli politik, termasuklah ulama yang tamak. Bukan itu sahaja, raja-raja yang tamak itu kelihatannya ditujukan kepada kumpulan Salafi-Wahabi yang menyalakan api sektarianisme, atau apa yang beliau sebutkan, sebagai ‘perbalahan’ atau ‘perpecahan rekaan’. Apakah yang membuatkan Dr Burhanuddin al-Helmi seorang tokoh supra mazhab? Almarhum pernah menuntut di Anglo Indian College di Aligarh, India. Dr Burhanuddin al-Helmi mendapat sepenuhnya semangat supra mazhab yang dipupuk di madrasah yang ditubuhkan oleh Sayyid Ahmad Khan. Salah satu sumbangan besar Sayyid Ahmad Khan adalah penubuhan Fakulti Usuluddin di kolej yang kemudian dikenal sebagai Aligarh MuslimUniversity pada tahun 1920. Fakulti ini dianggap unik kerana menawarkan pengajian Islam yang mengajarkan mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah dan Syiah. Beliau mengundang sarjana Sunni mahupun Jafari menjadi tenaga pengajar. Usaha Sayyid Ahmad Khan tidak lepas dari kritikan, kecaman dan kontroversi tentunya. Maulana Qasim Nanotvi, pengasas Darul Uloom Deoband pernah menjawat kedudukan Dekan di Fakulti Usuluddin ini buat seketika tetapi kemudiannya Maulana Qasim Nanotvi dan Maulana Yaqoob Deoband memilih jalan sektarian. Bukan itu sahaja, mereka membuat inisiatif untuk menghimpunkan 60 orang ulama bagi mengeluarkan fatwa bagi menghalalkan darah Sayyid Ahmad Khan. Sejarah membuktikan kumpulan penganut sektarianisme tumpas, dan institut pengajian tinggi yang menyepadukan pelbagai ilmu dunia dan akhirat, ilmu agama yang mengatasi sekian mazhab, serta ilmu-ilmu alternatif termasuk perubatan homopati diperkenalkan. Di sinilah Dr Burhanuddin al-Helmi pernah belajar. Di persekitaran inilah alMarhum pernah tumbuh. Semangat supra mazhab yang dianuti Dr Burhanuddin al-Helmi tersebut semakin hari semakin kecil di dalam parti yang dipimpinnya. PAS ternyata terheret sama dalam ‘perbalahan’ dan ‘perpecahan rekaan’ (meminjam terma Dr Burhanuddin al-Helmi) yang dinyalai oleh ‘raja-raja yang tamak’. PAS ikut serta dalam pesta tari menari sektarianisme yang canggung sehinggakan Timbalan Pesuruhjaya III Pas Negeri Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan sesuatu yang menyalahi semangat progresif Dr Burhanuddin al-Helmi tersebut; “Mana-mana ahli Pas yang terlibat dengan Syiah, haruslah keluar daripada Pas sebab kita tidak terima selain daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jemaah”. Sudah tentu pandangan progresif Dr Burhanuddin al Helmi tersebut akan berdepan dengan seteru seperti mana yang dihadapi oleh Sayyid Ahmad Khan. Kenyataan yang menyokong sektarianisme dan menolak idea supra mazhab adalah keras dan menguntungkan musuh. Malah ia nampak tidak selari dengan komitmen Presiden Parti Islam Semalaysia, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang nekad meneruskan semangat supra mazhab yang diwarisinya dari pimpinan terdahulu, seawal Dr Buhanuddin al Helmi. PAS harus mengambil jalan yang diambil oleh AK Parti pimpinan Recep Tayyip Erdogan dalam hal meraikan kebebasan beragama dan mengkayakan pandangan jamaah. Presiden Turki, Abdullah Gul, yang merupakan bekas pimpinan AKP ketika mengunjungi komuniti Alawi di Erzincan sempena ashura baru-baru ini menegaskan: “Negeri ini kita semua yang punya. Datuk nenek kita, seperti mana mereka pernah hidup bersama. Kita hanya dapat maju ke depan asalkan kita meraikan setiap kita dengan hormat, kasih sayang dan siap untuk berdialog”. Ini bukanlah kali pertama sikap supra mazhab sebegini ditunjukkan. Recep Tayyip Erdogan pada 16 Disember 2010 ketika hadir dalam acara ashura anjuran komuniti Syiah di Istanbul menegaskan tanggal 10 Muharam adalah asas penyatuan kerana ia merupakan tarikh terkorbannya pemimpin besar Islam iaitu Saidina Husin, kesan dari menentang kuasa zalim, despotik, autoritarian, yang sebenarnya dapat dihubungkan dengan mana-mana kuasa jahat sekalipun. PAS harus kembali kepada semangat Dr Burhanuddin al-Helmi. Kalaupun tidak dapat kembali sejauh itu, PAS harus menyelak kembali hubungannya dengan Hizbullah, sebuah gerakan Islam Syiah yang berpengaruh di Timur Tengah pada tahun 2006. Ketika melawat ibu pejabat Hizbullah di Lubnan pada tahun tersebut, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan kekagumannya terhadap perpaduan puak Sunni, Syiah dan bukan Islam seperti Kristian yang menjadi faktor kekuatan Hizbullah dan kegagalan Israel menawan Lubnan. Ahli PAS harus menghindar penyakit sektarianisme, berhenti menari mengikut gendang musuh dan akur dengan anjuran Dr Burhanuddin al-Helmi dan Presiden PAS sekarang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengatakan; “Sekarang kita (umat Islam) menghadapi zaman kebangkitan Islam. Kumpulan Islam menang di rata-rata dunia, bangkit sama ada secara sedar tapi bodoh atau pun jahil isu-isu lama ini ditimbulkan semula. Sehingga orang Islam lupa masalah kebangkitan Islam yang patut mereka tangani dan mereka lupa sepatutnya mereka (umat Islam) hadapi Israel dan kuasa-kuasa besar dunia. Asyik sibuk dengan masalah-masalah mazhab yang ditimbulkan.” Apakah maknanya usul daripada perwakilan Teluk Intan itu? Apakah semangat supra mazhab yang kaya dan alamiah satu masa dahulu telah terkorban menuju kejumudan dan sektarianisme? Jika benar PAS ingin menjadi jaguh dalam memperjuangkan umat Islam, ahli-ahli PAS tidak wajar tergelincir dan terjerumus dalam kancah persengketaan mazhab yang hanya memudahkan kumpulan tamak dan rakus terus bermaharajalela. Inilah jalan yang sepadan dengan PAS.       unnamed

VERMOX
]]>

Perjanjian antarabangsa tentang Hak-hak Awam dan Politik Antarabangsa (ICCPR): Apa lagi yang masih kita tunggukan?

ICCPR memberi ruang kebebasan untuk kumpulan minoriti agama dan ia akan membenarkan hak kebebasan menukar beragama. ICCPR telah ditandatangani oleh 167 buah negara. Ketika sidang UPR Malaysia pada 24 Oktober lalu, Palestin (sebuah wilayah Islam) telah bertindak menyuarakan pandangan supaya Malaysia segera memeterai perjanjian antarabangsa ini. Tindakan Palestin ini sememangnya terpuji. Selain Palestin, negara lain yang mendesak Malaysia menandatangani ICCPR adalah Slovakia, Ukraine, Belanda, Australia, Hungary, Jepun, Switzerland dan Sierra Leone. Apakah yang ditakuti oleh NGO Muslim dengan  ICCPR? Mesir, Jordan, Bahrain, Iraq, Iran, Maghribi, Lubnan, Sudan, Syria, Turki, Algeria, Pakistan, Indonesia, Yaman dan Afghanistan adalah antara negara Islam yang telah menandatangani ICCPR. Antara negara Islam yang tidak menandatangani ICCPR adalah Arab Saudi dan Qatar. Sebagai sebuah negara Islam yang bercita-cita kelihatan moderat di peringkat antarabangsa, keraguan untuk menandatangani ICCPR tidak mencerminkan hasrat wasatiyyah pimpinan negara ini. Apakah yang Malaysia tunggu lagi? Perjanjian ini akan melindungi hak-hak minoriti agama. Ini merupakan satu tindakan paling waras untuk dilakukan oleh Malaysia bagi mengimbangi kepelbagaian agama, dan mazhab yang wujud di negara ini. Sikap angkuh penindas yang menafikan hak kaum marjinal dan terpinggir adalah tidak Islamik dan bertentangan dengan ajaran Islam asal yang dibawa oleh Rasulullah saw. Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad melindungi kaum buruh, pro wanita, menjaga hak minoriti Yahudi, menjalinkan hubungan mesra dengan Nasrani (seperti yang ditunjukkan ketika hijrah pertama ke Habsyah) dan tidak bersifat menghukum. Apabila Rasulullah saw membuka kota Mekah dan menjadi kuasa majoriti, kaum musyrikin yang jatuh menjadi minoriti tidak dikerasi, bahkan diampun. Dua artikel berkaitan iaitu Artikel 18 dan 20 dari Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik ini sudah pasti akan dapat menghentikan pemomokan pihak berkuasa agama, khutbah Jumaat sarat kebencian, fenomena media mengarang cerita palsu dan serbuan ganas Jabatan Agama terhadap komuniti Syiah. Malaysia wajar memenuhi tuntutan antarabangsa supaya menghapuskan diskriminasi terhadap penganut agama minoriti.

VERMOX
]]>

Sosialis macam Pak Sako: Mendalami novel-novel terpilih

Siapa Pak Sako? Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako dilahirkan pada 24 September 1909 di Kampung Buntut Pulau, Temerloh, Pahang[i]. Nama asal beliau adalah Awang Ahmad Haji Muhammad. Dalam tahun 1924 beliau telah diterima masuk ke Sekolah Inggeris, Clifford School di Kuala Lipis dan lulus cemerlang pada tahun 1929. Pak Sako pernah menempuh karier antara lain sebagai pegawai pentadbir pada tahun 1931, majistret pada tahun 1933, peguam pada tahun 1936, wartawan Utusan Melayu pada tahun 1939, dan terlibat dalam politik mulai tahun 1959. Ketika itu Pak Sako terlibat dalam Parti Buruh Malaya dan pernah ditahan pemerintah kerana kegiatan politiknya antara tahun 1965-1966. Sewaktu inilah Pak Sako menghasilkan novel antara lain Yang Miskin dan Yang Mewah, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, serta Tijah Tukang Chukor. Novel Budak Beca yang turut dibincangkan dalam kertas ini ditulis lebih awal dari itu, iaitu pada tahun 1956 dan diterbitkan pada tahun Malaya menerima kemerdekaan. Dalam bidang sastera, Pak Sako pernah menerima anugerah Pejuang Sastera daripada kerajaan Malaysia pada 29 Mei 1976. Beliau juga pernah menerima Anugerah Budayawan GAPENA pada tahun 1987 tetapi menolaknya. Pada 29 Jun 1973 beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan oleh Universiti Malaya. Selain itu, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako turut menerima anugerah Bintang Setia Mahkota Pahang oleh DYMM Sultan Pahang (Pak Sako 1987: iv). Pak Sako adalah seorang jurnalis-pengarang yang dihormati pelbagai lapisan masyarakat. Sebagai seorang ahli politik dari Barisan Sosialis tidaklah menghairankan Pak Sako misalnya lebih diperakukan oleh pendokong parti pembangkang khususnya untuk pengorbanan yang telah beliau berikan sepanjang perjuangannya untuk kemerdekaan Malaysia: I support the proposal that the government give and privileges to Pak Sako for his contribution to the struggle for independence, literature and journalism of Malaysia, as recognition by the nation for Pak Sako’s sacrifice, dedication and contribution to the well-being of Malaysia. I suggest that a special recognition be created by an Act of Parliament whereby the nation accord recognition to illustrious sons and daughters of Malaysia who had rendered distinguished life-long service to the people nation, but who may be out of the mainstream of official recognition, like Pak Sako (Lim Kit Siang 1987). Mereka itulah pejuang-pejuang kemerdekaan. Tetapi tidak…… jarang disebut Dr. Burhanuddin, jarang disebut Pak Sako (Ishak Haji Muhammad). Jarang disebut Ibrahim Yaakob. Jarang disebut Shamsiah Fakeh. Jarang disebut mereka yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan dan merengkok dalam tahanan (Mohamad Sabu 2003: 94). Salah satu sebab mengapa Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako mendapat perhatian dan penghargaan yang besar dari kumpulan oposisi dan golongan kiri ialah kerana ‘personalitinya yang memandang berat kepada hal ehwal masyarakat’, dan latar belakang beliau yang ‘datang dari keluarga petani (kelas bawahan)’. Selain itu Pak Sako juga dikaitkan dengan politik kepembangkangan kerana sering menyuarakan kritikan keras terhadap pihak berkuasa. Lantaran itu beliau dilihat sebagai ‘pengorak langkah’ yang ‘mendahului zamannya’ dalam ‘menentang ketidakadilan pemerintah dan masyarakat melalui penanya terutama karya-karya sasteranya’ (Abdul Latiff Abu Bakar 1988: 92-95). Novel Sosialis Terdapat beberapa buah novel Pak Sako yang kurang diberi perhatian. Antara lain adalah Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor. Novel-novel yang disebutkan ini kurang dikenali pengikut sastera kerana pertamanya, diterbitkan oleh penerbit yang kurang dikenali. Selain novel Yang Miskin dan Yang Mewah, penerbit untuk novel-novel Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor adalah Penerbit Marang. Dalam prakata novel Tijah Tukang Chukor, H.C Mohamad A. Rahman (1967: 8) pemilik Penerbit Marang menyatakan beliau tidak membayar Pak Sako royalti yang tinggi sebab tidak berkemampuan dan berterima kasih kepada Pak Sako kerana sengaja memilih Penerbit Marang. Pak Sako dinyatakan ‘suka menolong penerbit2 kechil seperti saya supaya boleh maju’. Penerbit juga menjelaskan lantaran itu karya-karya Pak Sako ini sukar dikerjakan kerana selain harus dicetak di Singapura, ia juga ‘dijual dengan menjelajah seluroh Malaysia Barat dan Singapura pada tiap2 bulan’. Keduanya, sebagai satu andaian awal, karya-karya ini ditulis dalam bentuk wacana. Ketika tahun 1950 sehingga 1960an, karya-karya bersifat wacana masih belum banyak. Terdapat banyak wacana yang telah diketengah dan dibincangkan oleh Pak Sako. Namun esei ini hanya akan memberi perhatian kepada wacana masyarakat sivil dan juga kritikan beliau terhadap politik tiada etika. Sebelum idea-idea Pak Sako diketengahkan, sinopsis novel-novel yang didalami diturunkan di bawah ini. Novel Yang Miskin dan Yang Mewah diterbitkan oleh Pustaka Melayu Baru pada tahun 1966. Pak Sako menulis novel ini ketika ditahan di bawah Internal Security Act pada tahun 1965. Menurut beliau, novel ini selesai dikarang ‘di Kemah Tahanan Kuala Lumpur di bilek khas No. 65’ dan draf manuskripnya disunting ketika berada ‘di Kemah Tahanan Khas Batu Gajah Perak’ (Pak Sako 1966: 120). Yang Miskin dan Yang Mewah adalah sebuah novel tipis (novelet) yang mengisahkan secebis pengalaman Zarina Zainab Ghafoor. Zarina yang digelar Za Za Gabor ini merupakan setiausaha peribadi Profesor Ali Ahmad, seorang ilmuan dalam bidang kemasyarakatan. Harus dinyatakan di sini novel Yang Miskin dan Yang Mewah ini tidak mempunyai plot yang berkesinambungan. Naratif diikat sebab dan akibatnya antara lain menerusi surat-surat Zarina Zainab Ghafoor kepada kakak angkatnya, Siti Shamsinar. Selain itu ditampilkan perbicaraan akademik antara Abu Bakar dan Masiran, iaitu dua orang pensyarah universiti mengenai sebuah forum yang bakal dianjurkan oleh Profesor Ali Ahmad berjudul – Yang Miskin dan Yang Mewah. Kemuncak novel ini ialah penganjuran forum itu sendiri yang dipengerusikan oleh Dato Osman Lailatulkadar. Perbincangan mengenai taraf hidup orang Melayu, hala tuju negara, propaganda pihak kerajaan, kemiskinan yang semakin melarat dalam kalangan kaum bawahan dan kebejatan moral menjadi inti pati forum ini. Novel seterusnya memperlihatkan Profesor Ali Ahmad dan temannya Profesor Kudus mengupah seorang pemuda kampung yang cerdas bernama Shamsuddin untuk mengkaji dan menyiasat keadaan orang Melayu di pedalaman. Shamsuddin yang diminati oleh Zarina Zainab Ghafoor adalah adik Siti Shamsinar. Ketiga-tiganya iaitu Zarina Zainab Ghafoor, Shamsuddin dan Siti Shamsinar turut hadir di acara forum tersebut. Selepas satu tempoh menjadi pembantu penyelidik kepada Profesor Ali Ahmad, Shamsuddin pulang dan menikahi Zarina Zainab Ghafoor yang baru menjanda. Pada malam Jumaat, ketika perkahwinan mereka masih lagi baharu, novel ini ditamatkan dengan perbualan antara  Zarina Zainab Ghafoor dan suaminya mengenai nasib orang Melayu khususnya kaum wanita yang terdesak sehingga menjadi pelacur. Perbincangan pengantin baharu tersebut disulam dengan adegan urut mengurut, geletek menggeletek dan usik mengusik antara pasangan tersebut. Pak Sako menyatakan beliau menulis novel Yang Miskin dan Yang Mewah ini untuk memberi kritikan yang membina, dan mensasarkan gagasan keadilan masyarakat dan ekonomi. Beliau seterusnya menyebut karya ini terilham dari kisah perjuangan kaum minoriti di Amerika syarikat, Afrika Selatan dan Rhodesia (Pak Sako 1966: ii). Sementara itu, novel Budak Beca pertama kali diterbitkan dalam tahun 1957 dan dicetak kembali oleh Marwillis Publisher pada tahun 1992. Makalah ini akan merujuk kepada edisi tahun 1992. Novel Budak Beca berlatar belakang Trengganu dan Kelantan ketika Malaya di ambang kemerdekaan. Seperti Yang Miskin dan Yang Mewah, novel Budak Beca juga tidak mempunyai satu cerita yang utuh. Ini adalah kerana Pak Sako turut mengabaikan prinsip sebab dan akibat atau plot, sebaliknya memberi keutamaan kepada pemikiran, idea-idea beliau sekitar nasib kaum Melayu di pedalaman. Budak Beca mengisahkan pengalaman Mamat, seorang bekas mata-mata khas (Special Branch Police) yang baru sahaja bersara dari tugasnya dan diberikan imbuhan besar dalam bentuk wang. Dalam keadaan mewah, Mamat terleka dan menghabiskan wang yang ada dengan berpoya-poya dan sentiasa berjoli. Ketika Mamat dalam keadaan lupa tersebut, Pak Sako sengaja menampilkan watak seperti Embong, seorang pengayuh beca yang sering memberikan nasihat-nasihat keagamaan dan sedikit sebanyak kritikal terhadap golongan politikus. Mamat dinyatakan menghidap penyakit kelamin ekoran kegemarannya melanggani pelacur. Tanpa memanjangkan nasib Embong, Pak Sako membuka sub-plot baharu dengan memperkenalkan watak Mustapha, seorang petugas masyarakat sivil (anggota badan bukan kerajaan) dari Persatuan Pengisi Kemerdekaan atau PPK. Mustapha hadir di Trengganu untuk menyiasat keadaan golongan miskin dan pedalaman bagi membolehkan kerja-kerja pengupayaan (empowerment) dijalankan kelak. Mamat yang kehabisan wang dan dalam keadaan sakit kini terdesak melakukan kerja seperti Embong iaitu menjadi pengayuh beca. Mustapha berkenalan dengan Mamat dan sering meminta bantuan becanya sebagai pengangkutan utama untuk ke mana-mana. Perkenalan itu menjadi lebih kukuh sehingga mereka duduk serumah. Mustapha sering memberi pandangan politik dan kritis dengan isu semasa. Beliau mendorong Mamat untuk berubat, menyambung pelajaran dan membaiki taraf kehidupan. Menerusi watak Mustapha ini idea, wacana dan juga kritikan terhadap masyarakat diketengahkan. Mustapha juga sering mengutus laporan kepada setiausaha agung persatuannya mengenai sosio-politik orang Melayu di Pantai Timur. Pak Sako turut menampilkan beberapa watak wanita tetapi keberadaan mereka di dalam novel Budak Beca ini tidak signifikan. Watak Mamat berusaha keras untuk belajar dengan bantuan Mustapha kemudiannya telah boleh menulis dan membaca buku-buku falsafah. Di akhir novel Budak Beca, Mustapha dan Mamat memutuskan untuk membeli traktor, meneroka tanah baharu dan berhasrat untuk menjadi ‘kaum tani yang berjaya dan berjasa’ (Pak Sako 1992: 156). Novel ketiga dalam sorotan makalah ini adalah Norita dan Kesah2 Kuching Hitam. Novel ini diterbitkan pada tahun 1966 oleh Penerbit Marang. Novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam dibuka naratifnya dengan hasrat Norita, seorang janda kaya yang bersiap meninggalkan pekan Kluang untuk ke Kuala Lumpur. Norita memberi pesan kepada Abang Leh (Salleh) untuk melihat-lihat keadaan rumah besarnya serta memastikan Minah, orang gajinya cukup wang saraan yang telah siap diagihkan. Plot seterusnya bergerak ke Kuala Lumpur di mana Norita diberi gambaran berperanan sebagai ‘kuching hitam’ yang menggajikan seorang gadis muda bernama Rose. Selain memperdagangkan Rose, watak Noriman, seorang pemuda lupa daratan yang suka berjudi dan berpoya-poya telah hadir di kamar penginapan Norita dalam keadaan mabuk. Norita telah mencuri tiket loteri milik Noriman. Oleh kerana bimbang pekerjaannya melacurkan Rose dihidu pihak berkuasa, dan Noriman mencarinya, Norita telah membawa Rose untuk berpindah ke pekan kecil di Pahang. Di Kuala Lipis, Norita dan Rose cuba menjerat sekumpulan penduduk kampung yang merupakan pelombong bijih dan emas. Mereka berdua menyamar sebagai peniaga batu dan kain batik yang berjaya. Rose telah ditugaskan untuk menggoda Pak Kassim dan mencuri hasil bijih atau emas milik Pak Kassim. Walaubagaimanapun Pak Kassim dan kawan-kawannya tidak berjaya diperdayakan. Akibatnya Norita dan Rose terus menjadi pelarian. Sebagaimana novel Yang Miskin dan Yang Mewah, dan Budak Beca, novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam ini tidak mempunyai plot yang kukuh. Selain berlatar belakangkan Kluang, Kuala Lumpur dan Pahang, novel ini diberi latar masa ketika berlakunya konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia. Berbanding Yang Miskin dan Yang Mewah, dan Budak Beca, novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam bagaimanapun lebih menekankan persoalan pelacuran, dan pemerdagangan manusia sambil menyelitkan kritikan dan idea politik Pak Sako terhadap politikus. Novel ini turut mengabaikan prinsip sebab dan akibat serta menyampaikan idea-idea Pak Sako mengenai kebejatan moral orang Melayu menerusi keratan akhbar, perbualan pelombong bijih dan emas serta tanggapan-tanggapan pelacur dan ibu ayam terhadap isu semasa pada waktu itu. Novel terakhir yang diketengahkan dalam esei ini adalah berjudul Tijah Tukang Chukor. Novel Tijah Tukang Chukor ini juga diterbitkan pada tahun 1967 oleh Penerbit Marang. Novel ini diawali dengan watak Tok Seman atau Osman yang berusaha menyelaraskan dusun durian orang kampung dengan mewujudkan ‘Tabong Bimbingan Belia’ yang bertujuan untuk memberi latihan berniaga. Tabung ini bertujuan menghimpunkan wang supaya dapat membeli alat muzik untuk pasukan pancaragam kampung dan menganjurkan pelbagai acara lokal. Salah seorang teman Osman adalah kadir yang sering ke Kuala Lumpur dan menceritakan perihal sebuah kedai gunting rambut yang dimiliki oleh seorang wanita Melayu. Wanita ini diberi gelaran ‘Tijah tukang chukor’ dan memberi perkhidmatan menggunting, mencukur dan mendandan pelanggan dengan baik. Pekerjaan seorang perempuan Melayu sebagai tukang gunting pada waktu itu sangat langka. Ketika Tijah memberikan perkhidmatan menggunting rambut dan mencukur misai atau janggut pelanggannya, Tijah akan berbual-bual dengan mereka sambil membincangkan pelbagai isu semasa antara lain ialah bagaimana untuk mengatasi persaingan dalam perniagaan. Salah seorang pelanggan setia Tijah ialah Samsuri. Teman baik Samsuri pula adalah Dollah. Plot novel bergerak apabila Samsuri mengikut Dollah ke rumah Pak Ngahnya. Di tengah-tengah novel ini tersela adegan Tijah dan Samsuri berkelah serta cerpen karangan Nuraini yang dibaca oleh Tijah. Ketika perniagaan Tijah semakin merosot, salah seorang pelanggan Tijah bernama Murad yang diberi gambaran sebagai seorang yang kaya dan gemuk telah meminang Tijah. Ibu bapa Tijah membuat keputusan untuk mengahwinkan Tijah dengan Murad meski diketahui keperibadian Murad sangat tidak bermoral. Isteri pertama Murad pula seorang tahi judi dan anaknya, Salleh pula mengalami kemurungan. Walaubagaimanapun Tijah berkeras menolak lamaran Murad. Tijah malah nekad sehingga sengaja membiar diri ditangkap basah dengan Dollah. Novel diakhiri dengan perkahwinan Tijah dan Dollah dan hasrat kedua-duanya untuk membesarkan perniagaan Tijah menjadi ‘Persolekan Tijah dan Dollah’. Seperti mana Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, dan Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, novel Tijah Tukang Chukor juga mengabaikan aspek cerita yang kukuh dan lebih memberi penekanan kepada idea dan kritikan-kritikan Pak Sako terhadap masyarakat khususnya tingkah laku orang Melayu. Sebelum mendalami wacana yang dibentangkan dalam novel-novel terpilih ini, adalah jelas berdasarkan paparan di atas, Pak Sako berusaha mempersembahkan karya beliau  dengan gaya kewacanaan. Keempat-empat novel yang dikemukakan dalam kertas ini iaitu Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor ternyata mengabaikan komponen cerita. Pak Sako tidak memberi perhatian kepada aspek konvensional sebuah karya sastera seperti pendahuluan, klimaks dan pengakhiran cerita. Novel Yang Miskin dan Yang Mewah misalnya digubah secara anti-plot. Malahan kemuncak novel ini adalah penganjuran forum mengenai kelas sosial dalam masyarakat yang turut dijadikan judul novel ini. Watak-watak yang diketengahkan juga tidak jelas latar belakangnya, dimatikan begitu sahaja tanpa kesan; dan hanya berguna untuk menggerakkan idea atau wacana dan pemikiran beliau tentang bermacam-macam isu dan persoalan. Dalam novel Budak Beca sebagai misalan, watak pengayuh beca bernama Embong dan Mamat hanya diperalatkan untuk menyampaikan pandangan-pandangan Pak Sako mengenai Malaya di ambang kemerdekaan. Malahan di tengah naratif, watak Embong hilang begitu sahaja dan tidak diperihalkan lebih lanjut. Namun begitu, watak-watak yang ditampilkan oleh Pak Sako dalam karya-karya di atas adalah watak-watak yang selalunya tidak bermoral, iaitu antara lain adalah pelacur, pemaksiat yang akhirnya akan insaf, penjudi, dan pemabuk. Watak beragama seperti Pak Abbas, bapa Tijah dalam novel Tijah Tukang Chukor diberi peranan kecil. Walaupun sedemikian, perlakuan maksiat dan batil watak-watak ini tidak dibesar-besarkan dan diketengahkan secara terkawal. Malahan adegan yang sepatutnya erotis antara suami isteri tidak diberi porsi yang besar dan hanya ditampilkan untuk memancing minat pembaca kepada idea-idea lain. Sering kali juga gurau senda suami isteri, pasangan kekasih atau gandingan pelacur pelanggan tersebut ditamatkan begitu sahaja dan tidak ditokok secara keterlaluan. Dalam karya Norita dan Kesah2 Kuching Hitam misalnya, usaha Rose untuk memancing, menggoda dan memperdaya Pak Kassim lebih disarati dengan jual beli pantun berbanding adegan seksual yang memberahikan. Oleh demikian, karya Pak Sako di atas dapat dikatakan menuju kepada ciri gagasan Persuratan Baru yang memilih untuk mengangkat daya kreatif yang tinggi, terkawal dan beradab’. Dalam erti kata lain seks atau erotisme tidak menjadi komponen wajib dan tidak dijadikan elemen sensasi untuk melicin dan melincirkan cerita. Rumusnya, kesempatan tertentu yang ada ketika berkarya tidak membuatkan Pak Sako memilih untuk menghuraikan adegan seks dan erotisme. Watak-watak dalam gelora seks tersebut akan sebaliknya memilih untuk berhujah idea. Pembentangan wacana tampak mendadak atau spontan justeru tidak disusun atur, atau disaring dan dianalisis secara mendalam. Dalam novel-novel di atas, watak-watak seperti setiausaha peribadi seorang profesor, pengayuh beca, petugas masyarakat sivil, tukang gunting rambut malah ibu ayam ikut menyatakan idea kritis tentang masyarakat. Ini dapat dikatakan sengaja dilakukan oleh Pak Sako memandangkan beliau masih boleh memilih watak ilmuan seperti yang dihadapkan dalam novel Yang Miskin dan Yang Mewah. Sungguh pun wacananya tidak dibahaskan dengan bersungguh-sungguh, kritikan dan idea yang diketengahkan oleh Pak Sako, meski tidak begitu mendalam, dapat dikatakan segar dan elok dikaji. Wacana Masyarakat Sivil Sejak ‘The Universal Declaration of Human Rights’ diperkenalkan pada 10 Disember 1948, kewujudan dan pemerkasaan masyarakat sivil telah diberi perhatian yang besar. Malah deklarasi hak asasi manusia di peringkat global tersebut menegaskan hak asasi manusia sesebuah negara hanya dapat diukur sakit sihatnya menerusi dialog hak asasi manusia yang bertunjangkan keberadaan dan keberkesanan masyarakat sivil (Swiss Federal Department of Foreign Affairs 2008: 31). Dalam hal ini aktor atau watak masyarakat sivil adalah aktivis hak asasi manusia, badan-badan bukan kerajaan yang berperanan untuk mengupayakan kumpulan tertindas, organisasi yang memperjuangkan isu-isu kebajikan masyarakat lokal, gerakan sosial, institusi awam seperti universiti dan golongan profesional yang terlibat dengan hak asasi manusia seperti peguam, doktor perubatan, sarjana dan petugas kemanusiaan (United Nations Human Rights 2008: vii-viii). Keberadaan watak Mustapha di dalam novel Budak Beca selaku seorang penyelidik dan petugas dari sebuah badan bukan kerajaan menjelaskan pandangan Pak Sako mengenai masyarakat sivil. Pengarang memberikan isyarat jelas bahawa parti-parti politik belum tentu dapat dipercayai berbanding masyarakat sivil yang berperanan untuk mengupayakan masyarakat dari pelbagai aspek: Pernah Mamat bertanya dari mana Mustapha dapat wang. “Dari persatuan saya,” jawab Mustapha. “Umno atau negara?” Mamat bertanya. Nama parti-parti politik yang sentiasa bergaduh itu memang Mamat tahu, tetapi dia tidak masuk salah satu dari dua parti itu. “Bukan. Persatuan yang menghantar saya ke mari tidak bertujuan politik, tetapi sebuah persatuan kebajikan yang bertujuan memberikan jasanya kepada orang ramai, kepada masyarakat, yang bertujuan membimbing rakyat jelata kehidupan yang lebih baik, yang bersih dan jujur, berbudi kepada orang ramai.” “Saya tidak faham,” kata Mamat. “Yang saya tahu ialah sekarang orang-orang dalam negeri ini sedang sibuk dan menyebut soal-soal politik. Perkara pilihanraya.” (Pak Sako 1992: 37). Selain itu Pak Sako juga memberi peringatan kepada masyarakat atau pembacanya perihal tipu muslihat ahli politik. Ini berbeza dengan peranan masyarakat sivil yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam akan hak-hak sebenar yang dimiliki oleh mereka. Dialog dalam petikan di bawah ditutur oleh Mamat kepada watak Embung: “Mereka jadi Yang Berhormat ialah kerana kita, sebab kita yang memilih mereka itu dan yang memakmurkan negara kita ini kita juga. Kita yang menanam padi, kita yang mencangkul jalan, kita yang menggali tali air dan saya umpamanya. Sudah tujuh tahun berjuang untuk kepentingan tanahair. Negeri ini boleh jadi merdeka ialah sebab kita semua. Orang-orang yang jadi Berhormat itu ialah kerana tipu muslihatnya, kerana pujuk rayu dan kecek temberangnya. Hidup mereka itu yang sebenarnya tidaklah ada bezanya dengan kita semua.” (Pak Sako 1992: 5). Novel Budak Beca turut membenihkan saranan supaya masyarakat sivil menjana laba menerusi perniagaan dan penerokaan tanah untuk mengupayakan golongan tertindas. Antara lain, bentuk pengupayaan yang difikirkan oleh watak Mustapha sebagai berkesan adalah dengan menanggung pendidikan kaum miskin ini, atau dalam erti kata lain memberikan pendidikan percuma: Jikalau belanja mendidik seorang pemuda di sebuah universiti berjumlah tiga ribu ringgit setahun, dan belanja mendidik ahli-ahli kita hanya seribu ringgit sahaja setahun dalam satu rancangan seperti yang saya syorkan itu maka faedahnya kepada masyarakat boleh dikatakan serupa sahaja sebab nilai tujuannya serupa iaitu menjadikan pemuda-pemuda itu rakyat yang baik, berguna sepenuh hidupnya kepada tanah air dan bangsa (Pak Sako 1992: 92). Surat-surat atau laporan rasmi Mustapha hasil penyelidikannya mengenai mentaliti orang kampung dan miskin di Pantai Timur seperti yang diajukan kepada setiausaha agung persatuannya di Kuala Lumpur berfungsi untuk menjelaskan idea-idea Pak Sako. Idea-idea tersebut adalah untuk memperkasakan masyarakat sivil demi kesejahteraan orang awam atau rakyat. Ini dilakukan, memandangkan parti politik penuh dengan tipu muslihat dan gagal melihat keutamaan atau kepentingan kaum tertindas. Ini dapat dikesani dalam bab yang diberi judul ‘Laporan’ (Pak sako 1992: 86-99) dan bab ‘Mamat Mengarang’ (Pak Sako 1992: 111-125). Dalam pada itu novel Yang Miskin dan Yang Mewah menampilkan watak Profesor Ali Ahmad dan Profesor Kudus dari Universiti Hang Jebat yang mengupah khidmat Shamsuddin untuk melakukan penyelidikan mengenai keadaan masyarakat Melayu di pedalaman dan bagaimana kaum miskin dan melarat ini ditindas dan terkebelakang oleh polisi dan dasar yang diletakkan oleh pemerintah ketika itu. Penganjuran forum berjudul ‘Yang Miskin dan Yang Mewah’ menyediakan platform untuk aktor masyarakat sivil berbahas pro dan kontra mengenai dasar-dasar kerajaan. Forum itu juga menjadi ruang untuk kritikan-kritikan terhadap kerajaan dibentangkan. Sebagai contoh, dalam novel ini, watak Anton Zailani seorang mahasiswa dari Universiti Malaya telah dihadirkan untuk mengkritik dasar kerajaan yang sendeng dan berpihak kepada kaum pemodal: Dato’ Pengerusi yang terhormat. Pada pengajian saya masa’alah kemiskinan orang2 Melayu tidak boleh selesai dengan mengadakan beberapa orang kapitalis Melayu sebab pada dasar-nya penindasan kaum kapitalis itu tidak memileh kaum atau bangsa. Kapitalis Melayu akan menindas buroh2 Melayu atau buroh2 daripada apa bangsa juga pun asalkan mereka itu boleh mendapat keuntongan. Sa-bagai chontoh yang kechil dan mudah, mari-lah kita lihat dan saksikan sa-orang pekedai Melayu yang berniaga dalam kampong sabuah Melayu. Adakah si pekedai itu akan menjual barang2 lebeh murah daripada sa-buah kedai yang lain dalam kampong itu juga yang dipunyai oleh seorang Malbari? Tentu tidak! Sebab-nya mudah benar. Kalau oleh dia saorang Melayu dan pelanggan2nya semau-nya Melaya maka dia menjual barang2nya lebeh murah kepada orang2 Melayu maka dalam sadikit masa sahaja dia akan bengkerap, kedai-nya tutop dan orang Malbari itu akan maju dan beruntong. Jadi, saya ulangi bahawa masa’alah kemiskinan orang2 Melayu tidak boleh hapus atau selesai degan mengadakan beberapa orang kapitalis2 Melayu, pemborong2 Melayu. Inilah yang di-sebut orang teori kachang goreng (Pak Sako 1966: 50). Seperti mana surat-surat yang ditulis oleh Mustapha kepada pimpinan persatuannya dalam novel Budak Beca, surat-surat Zarina Zainab Ghafoor kepada kakaknya Siti Shamsinar dalam novel Yang Miskin dan Yang Mewah turut berisi kritikan terhadap orang Melayu yang belum boleh bersatu merubah nasib mereka sendiri sebaliknya terus terpengaruh dengan hal-hal karut dan khayal. Zarina menegaskan orang Melayu masih di takuk kemiskinan kerana tidak sedar kepada jurang kelas yang semakin lebar. Ini ekoran orang Melayu sentiasa berhibur dan tertutup oleh perkembangan isu semasa (Pak Sako 1966: 9-19). Selain itu watak Osman dalam novel Tijah Tukang Chukor dihadapkan kepada pembaca sebagai berusaha untuk menyelia urus keuntungan yang diperolehi oleh orang kampung Buloh Gading ekoran jualan laris durian (Pak Sako 1967: 10-12). Dalam karya Pak Sako ini, musuh masyarakat sivil diwakili oleh kaum pemodal-hartawan. Kemajuan perniagaan dan kecekalan Tijah menolak lamarannya membuatkan Murad marah dan mengugut untuk menjatuh dan menindas Tijah: “Ooh baru jadi tukang chukor sudah sombong, ya? Nanti saya upah samseng2 jahanamkan tempat anak awak itu”. Inche Murad mengugut lagi. “Tolong-lah tuan. Janganlah tuan buat apa2 padanya, tuan. Kesihan-lah pada kami orang2 miskin. Tuan orang Melayu, saya orang Melayu. Tuan orang Islam, saya pun orang Islam”, Pak Abbas merayu. “Duit saya tidak kenal Melayu dan tidak kenal Islam”, sahut Inche’ Murad dengan takbur dan bongkak (Pak Sako 1967: 162). Tijah juga menyelar sikap ibu-bapanya yang sanggup menjodohkannya dengan Murad atau anaknya Salleh semata-mata kerana Murad berkedudukan tinggi. Secara terang Tijah membantah dan menyifatkan tindakan bapanya tersebut sebagai satu bentuk korupsi: “Ayah dan emak sudah korapsi”, kata Tijah dengan muka masam. “Rumah tangga boleh runtoh apabila sa-orang ayah dan sa-orang emak korapsi, bila makan suap. Kerajaan pun boleh runtoh dan jatoh apabila para menteri dan pemimpin2 kerajaan itu korapsi. Ayah dan emak nak jual saya, ya?’ Tijah menyoal dengan chara marah (Pak Sako 1967: 153). Meskipun idea-idea Pak Sako tentang masyarakat sivil ini diajukan dalam bentuk surat, forum, dan perbualan orang biasa (tidak terpelajar), ia masih memberi keterangan yang memadai untuk persoalan yang ingin disampaikan oleh Pak Sako. Kritikan Terhadap Politik Tiada Etika Antara keempat-empat novel terpilih yang dibincangkan dalam esei ini, novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam sarat memuatkan kritikan terhadap politik liar atau politik tiada etika. Apa yang dimaksudkan dengan politik tiada etika di sini adalah politik kotor yang korup, penyelewengan kuasa, keganasan politik dan budaya politik lucah tanpa integriti. Tersebarluasnya politik korup, batil dan tiada etika ini menyebabkan rakyat atau orang awam kehilangan kepercayaan kepada pemerintah serta memilih untuk cenderung kepada masyarakat sivil yang lebih hampir dengannya: What happens when political leaders behave unethically? The public becomes cynical and suspicious, people morale suffers, and confidence in government is shattered. To combat this cynicism, the political leaders must exhibit the old-fashioned virtues of honesty, respect, integrity, professionalism, accountability, fairness, competence, and responsibility (Chinda Tejavanija 2007: 8). K Ramanathan (1989: 319) misalnya menyebutkan salah satu ciri politik tiada etika adalah apabila terdapatnya ciri-ciri totalitarian. Antara ciri totalitarian ini adalah apabila ‘hanya satu parti politik sahaja yang wujud meliputi peratusan yang kecil daripada jumlah penduduk keseluruhannya’. Beliau seterusnya menyatakan pemonopolian media massa dan pengawasan semua aspek kehidupan dengan pengawalan dan pemantauan terhadap semua lapisan masyarakat merupakan salah satu ciri politik rejim atau politik yang mengikat. Suatu hal yang wajar disentuh ialah politik tidak bermoral menjadi tema khusus dalam Norita dan Kesah2 Kuching Hitam. Persoalan ini ditampilkan menerusi watak Norita dan Rose, dua watak yang tidak bermoral iaitu ibu ayam dan pelacur (tukang urut). Pak Sako kelihatannya ingin menegaskan ketidaksenangan beliau terhadap gaya politik biadab yang berleluasa dalam politik negara ketika itu. Terdapat kemungkinan Pak Sako sengaja memilih watak yang tidak bermoral seperti ibu ayam dan pelacur untuk menjelaskan persoalan keruntuhan moral ahli politik. Sebagai contoh, watak Norita (seorang ibu ayam) membacakan kepada Rose keratan akhbar mengenai niat dan azam ahli politik wanita dari parti UMNO untuk membela nasib kaum perempuan. Dapat diandaikan di sini, bahawa watak pelacur yang bercakap mengenai hasrat seorang pemimpin wanita untuk membela kaum wanita adalah satu sindiran pedas terhadap parti tersebut: Aku bersukachita bahwa sekarang sudah ada tindakan2 atau sa-kurang-kurangnya suara2 daripada pemimpin2 kaum wanita untok menjaga maruah, kehormatan dan kepentingan kita kaum wanita seluroh-nya” – sambong Norita yang kemudian membachakan satu berita dari Batu Pahat yang tersiar dalam Utusan Melayu… …Norita meletakkan kertas-khabar itu balek ka-atas meja. Berita itu yang sa-benarnya bukan besar dan tidak pula luar biasa kapada-nya. Bagaimana pun dia besar hati mengetahui bahwa wanita2 Melayu sekarang sudah bertambah ramai yang berani menyatakan pendapat dan fikirannya. Dia sedar, kemajuan dalam berbagai-bagai lapangan, telah dichapai oleh kaum wanita bangsa-nya. Hal ini juga menyenangkan hati-nya. Tetapi nasib golongan wanita2 saperti Rose, Lili, Mary, Maria dan lain2 yang beraih malam di bandar2 besar dan kechil dalam Malaysia adalah mendesak dan menggesa perasaan-nya supaya berbuat sa-suatu yang baik dan menguntongkan untok mereka itu. “Saya angkat tangan beri hormat pada Che’ Sumiah” – kata Rose olok-olok berbangga (Pak Sako 1968: 89-94). Dalam satu sedutan lain dari novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, Pak Sako menegur perseteruan politik antara pemimpin-pemimpin Melayu di Pahang pada waktu itu. Beliau menyifatkan perselisihan politik mereka adalah bersumberkan kebendaan dan kuasa dan bukan untuk kepentingan masyarakat atau rakyat. Watak Kassim yang sedang diperhatikan Norita dan Rose mengeluh kepada teman bualnya: “Yang dah kaya nak kaya lagi. Pada hal rezeki banyak dalam negeri ini, terutama macham negeri pahang ini. Kalau berbagi dengan adil neschaya tak habis sampai ka-chuchu chichit. Tetapi apa sudah jadi? Lihat saja-lah perkara Rahman Talib dengan Bakar Ismail, mithal-nya. Yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang. Lesong dengan chupak berlaga, ayam yang kenyang, dan antan yang patah” – bersungut lagi orang tua itu. “Betul. Inche’ Kassim, betul” – Mat Din menyokong dan bersimpati dengan perasaan tak puas hati-nya itu. “Baru2 ini pulak, Inche Kassim” – Omar pula menokok – “Ada chadangan nak buat undang2 untok kepentingan orang2 yang memegang tampok kerajaan negeri ini. Kalau mereka itu mati atau dapat kemalangan, hilang mata atau tangan, mithalnya, kerajaan negeri ini akan bayar kepada mereka itu atau waris-waris-nya” (Pak Sako 1968: 124). Seperti yang dinyatakan oleh Chinda Tejavanija (2007) sebelumnya, politik tiada etika hanya akan menyebabkan rakyat tidak berpartisipasi, putus asa dan hilang kepercayaan kepada pemerintah atau kerajaan, khususnya jika kerajaan tersebut kerajaan yang korup. Dalam konteks ini, watak Norita dalam novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam menyatakan kerajaan tidak menyumbang apa-apa kepada kehidupannya yang sudah sedia tidak bermoral itu: Itu semua-nya tidak berarti apa2 kepada Norita. Kabinet turun naik, kerajaan2 hanchor lebor, dan bertukar ganti. Itu sudah berulang2 kali semenjak zaman dahulu kala. Sa-puloh jong masok, anjing berchawat ekor juga. Dua puluh jong pechah, ikan2 yu yang kenyang (Pak Sako 1968: 168). Teguran dan kritikan Pak Sako terhadap politik tiada etika ini wajar menjadi renungan. Pak Sako, sebagai tokoh besar kesusasteraan dari Pahang sendiri pernah menjadi mangsa politik tanpa etika. Menurut Wahba (1987: 54-55), Pak Sako pernah bertanding di parlimen Temerloh mewakili Barisan Sosialis pada tahun 1959. Meskipun Pak Sako mendapat sokongan yang menggalakkan, beliau telah tewas kerana terdapatnya propaganda jahat bahawa kononnya Pak Sako bertanggungjawab membawa masuk Jepun ke Tanah Melayu. Propaganda atau fitnah Pak Sako selaku ejen asing ini disebarkan oleh ‘pendatang-pendatang daripada Sumatra (Kampar)’ yang berfahaman ‘mahu kaya dan senang’. Tan Sri Abdul Samad Ismail (1996: 26) dalam mengulas aktiviti politik Pak Sako menyatakan ‘Ishak berhasrat menjadi seorang wakil rakyat di barisan pembangkang’ dan tidak pernah berharap ‘untuk menjadi Perdana Menteri’. Malah Abdul Samad menegaskan kehidupan seorang pemimpin pembangkang agak sukar walau beliau ‘terletak di luar arus perdana’. Apa yang lebih penting, Abdul Samad juga mencatatkan yang perjuangan politik Pak Sako ‘tidak pernah mencetuskan konflik yang tajam dengan golongan lain’ dan ideologi ‘politiknya tidak mempengaruhi nilai-nilainya sebagai seorang manusia yang rendah diri’. Kesimpulan Tidak dapat dinafikan lagi Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad adalah figur besar dari negeri Pahang. Kewibawaan beliau sebagai sasterawan bukan sahaja menyerlah dalam karya beliau seperti Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, bahkan pengarang kelahiran Temerloh, ini turut menyerlah dalam karya terpilihnya seperti Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor. Karya-karya Pak Sako ini kurang diketahui umum sedangkan ia menampilkan mesej yang kuat serta baik persembahannya. Karya-karya Pak Sako yang terpinggir ini ternyata mempunyai keistimewaan tersendiri dan sangat relevan dengan lingkungan sosio-politik hari ini. Dua wacana yang kelihatan jelas sekali dalam novel-novel terpilih beliau ini adalah wacana masyarakat sivil dan juga kritikan beliau terhadap politik tiada etika. Dalam wacana-wacananya ketika tahun 1960an itu Pak Sako berpendapat kerajaan yang ada tidak banyak membantu orang Melayu dan memusuhi keadilan untuk golongan miskin. Novel-novel terpilih Pak Sako iaitu Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor masih boleh dan enak ditatap wacananya kali ini.



[i] Dalam sebuah buku yang lain, Pak Sako dinyatakan berasal dan lahir di Kampung Segentang. Lihat A. Karim Haji Abdullah. 1988. Pak Sako Bestari. Binakarya Sdn Bhd. Petaling Jaya. Halaman 1. Pak Sako sendiri turut menyatakan beliau dilahirkan di Kampung Segentang. Lihat Pak Sako. 1996. Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Halaman 29.   Rujukan A. Karim Haji Abdullah. 1988. Pak Sako Bestari. Petaling Jaya. Binakarya Sdn Bhd. Abdul Latiff Abu Bakar. 1988. ‘Ishak Sebagai Seorang Penulis dan Ahli Politik’. Dlm. A. Karim Haji Abdullah (ed.). Pak Sako Bestari. Petaling Jaya. Binakarya Sdn Bhd. Abdul Samad Ismail. 1996. ‘Kata Pendahuluan’. Dlm. Pak Sako. Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Chinda Tejavanija. 2007. Ethics Of Political Leaders: The Comparative Study Of George W. Bush & Thaksin Shinawatra. Tanpa Tempat. King Prajadhipok’s Institute. http://www.spu.ac.th/intl/files/2011/02/Article-2.pdf H.C Mohamad A. Rahman. 1967. Dlm. Ishak Haji Muhammad. Tijah Tukang Chukor. Marang. Penerbit Marang. Ishak Haji Muhammad. 1966. Yang Miskin dan Yang Mewah. Kuala Lumpur. Pustaka Melayu Baru. Ishak Haji Muhammad. 1967. Tijah Tukang Chukor. Marang. Penerbit Marang. Ishak Haji Muhammad. 1968. Norita dan Kesah2 Kuching Hitam. Marang. Penerbit Marang. K. Ramanathan. 1989. Asas Sains Politik. Shah Alam. Fajar Bakti. Mohamad Sabu. 2003. Hansard Parlimen:  Perbahasan Rang Undang-undang Arkib Negara 2003. Dokumen Kerajaan DR.25.6.2003. Cawangan Dokumentasi Parlimen Malaysia. Kuala Lumpur.1-109. Pak Sako. 1987. Catatan Pengalaman Pak Sako. Petaling Jaya. Binakarya Sdn Bhd. Pak Sako. 1992. Budak Beca. Kuala Lumpur. Marwilis Publisher & Distributor Sdn Bhd. Pak Sako. 1996. Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Siang, L.K. 1987. Pursuit of a Malaysian Dream: Parliamentary Opposition Leader DAP Secretary-General and MP for Tanjung. 29 September. Bibliotheca. http://bibliotheca.limkitsiang.com/ Swiss Federal Department of Foreign Affairs. 2008. ABC of Human Rights. Bern. Directorate of Public International Law. United Nations Human Rights. 2008. Working With the United Nations Human Rights Programme: A Handbook for Civil Society. Geneva. Office of the High Commisioner for Human Rights. Wahba. 1987. Pak Sako Tokoh Tiga Zaman. Kuala Lumpur. Progressive Products Supply.
VERMOX
]]>

Gerakan Mahasiswa: Dari Sebelum Jinjang, Hinggalah Ke Sungai Buloh

Pendahuluan Tidak banyak buku yang merakam secara terperinci mengenai gerakan kemahasiswaan di negara ini. Antara lain, kajian lepas atau buku yang dapat dinyatakan di sini adalah Mahasiswa Menggugat oleh Muhammad Abu Bakar (1973) dan  Politik Kampus: Di Sebalik Tabir tulisan Mohd Shuhaimi al-Maniri (1995) yang lebih menyorot kedudukan Persatuan Mahasiwa Islam ketika era 1970an dan 1980an. Kajian akademik mengenai perjuangan siswa pula antara lain dikerjakan oleh Mohamad Ridhwan Alias (2003) untuk Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera Universiti Malaya.  Kajian ini bagaimanapun hanyalah bertaraf sebuah latihan ilmiah. Terdapat juga tulisan Zainah Anwar (1990) mengenai gerakan mahasiswa tetapi tidak begitu diperhatikan. Dalam banyak universiti di Malaysia, siswa Universiti Malaya pernah menempatkan diri mereka sebagai kuasa pendesak yang besar dan berkesan sepanjang era 1960an iaitu menerusi Kelab Sosialis UM. Seterusnya, dalam era 1980an siswa Universiti Malaya mengharung dekad tersebut menerusi Persatuan Mahasiswa Islam. Kecenderungan dan tingkah laku politik gerakan siswa sangat menarik diberi penumpuan memandangkan sejak akhir-akhir ini tokoh mahasiswa kembali menjadi sebutan awam. Untuk melihat political behavior mereka, pendekatan Karl Wolfgang Deutsch (1964) seperti yang disarankan dalam The Nerves of Government dapat dijadikan sebuah kerangka ilmiah atau theoretical framework. Walaubagaimanapun, apakah yang dimaksudkan dengan political behavior itu? Terdapat tiga sumber atau pengaruh yang membentuk dan menggubah orientasi politik seseorang siswa tersebut. Ketiga-tiga pengaruh ini selalunya akan meninggalkan kesan mendalam dan berpanjangan. Pertamanya, pengaruh paling utuh adalah berasal dari leluhur atau keluarga. Adalah lazim, seseorang ibu bapa menurun atau mewariskan nilai-nilai dan kepercayaan mereka kepada anak-anak, ideological values ini akan dipupuk secara sedar atau tanpa sedar. Kedua, memandangkan kelompok yang dibincangkan ini adalah siswa atau pelajar, pengaruh kedua yang paling melekat di benak mereka adalah cikgu, pensyarah atau adiguru, dalam erti kata lain ‘educational authority figures’ akan meninggalkan ‘belang’ pada pelajar-pelajarnya kerana pendidik menyalurkan persepsi, pandangan dan nilai yang ada dalam diri mereka menerusi pengajaran. Berbanding pengaruh ibu bapa yang diberi secara tidak langsung, peranan guru adalah amat langsung dan memberi impak yang kuat. Namun begitu, peranan ibu bapa dan guru ini sama sekali tidak dapat menyaingi peranan atau sumber ketiga yang jauh lebih besar dan paling berpengaruh. Sumber ketiga yang dimaksudkan adalah kelompok sebaya dan berkongsi status, atau istilah tepat dalam bahasa Inggeris, ‘peers’. Kelompok rakan satu generasi ini adalah set teman-teman yang menjadi rujuk silang buat pelajar-pelajar ini dan mereka berkongsi ilmu pengetahuan, tingkah laku, dan orientasi. Sosialisasi yang semakin mudah khususnya menerusi media sosial seperti Facebook, dan Twitter membolehkan anak muda bertukar idea, harapan, impian dan wawasan. Apa yang menjadikan pengaruh peers ini berkekalan dalam menggubah fikiran anak muda adalah kerana media sosial tidak lagi memerlukan pergaulan sosial secara fizikal, tetapi memadai dengan satu gajet android di telapak tangan . Deutsch sejak era 1960an lagi telah menggambarkan pengaruh siber yang besar ini, di mana menurut beliau ‘communications theory’ dan ‘cybernetics’ akan mencorakkan cara berfikir dan tingkah laku politik generasi mendatang. Pendapat Deutsch dalam era 1960an tersebut telah pun meramalkan sebuah dunia politik berasas komputer. Idea-idea beliau kurang dikenali sarjana sains politik memandangkan beliau menulis di dalam bahasa Jerman. Hanya sejak akhir-akhir ini tulisan Deutsch disambut, setelah lebih banyak kajian dan karya beliau diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Sebahagian besar kerangka ilmiah Karl Wolfgang Deutsch ini telah pun dibincangkan dalam makalah ‘Terlepas Dari Sumpahan Listen Listen Listen’ bertarikh 15 Januari 2013 di laman ini. Sebagai satu ingatan ulang, aspek paling dominan yang dibincangkan oleh Deutsch dalam bukunya adalah apa yang beliau namai sebagai ‘feedback’ dan ‘equilibrium’. Dalam hal ini ‘feedback’ adalah jaringan komunikasi yang mencetus dan menggerakkan perubahan tabiat hasil dari berlakunya pertukaran informasi yang banyak sesama peers; ‘…that produces action in response to an input of information, and includes the results of its own action in the new information by which it modifies its subsequent behavior (Karl Wolfgang Deutsch, 1964: 88)’. Ini bermakna ‘feedback’ adalah sejenis ‘output’, atau hasilan yang kembali kepada sistem sebagai ‘input’. ‘Equilibrium’ pula adalah kembali kepada keadaan asal ketika ia dikecahkan; ‘return to a particular state which was disturbed.’ Deutsch menekankan yang ‘feedback’ ini dapat dianalisa dengan formula ‘lag and gain’. Menurut sarjana Jerman ini analisa ‘lag and gain’ ini diperhatikan pada tempoh masa yang membolehkan satu-satu ‘feedback’ negatif itu bergetar dalam masyarakat sehingga ia akhirnya kembali kepada posisi asal dalam bentuk yang telah menjalani pembaikan, pemulihan atau pemutihan sehingga diterima sebagai satu hasil atau satu ‘gain’ yang positif; ‘lag is the time that elapses between the moment a negative feedback system reaches a certain distance from its goal and the moment it completes corrective action corresponding to that distance. Gain means the extent of the corrective action taken.’ Sama seperti insiden awal 2013 lalu, iaitu antara tokoh Suara Wanita 1 Malaysia bernama Sharifah Zohra Jabeen dan cik Bawani KS, seorang siswa Universiti Utara Malaysia; insiden yang melibatkan tokoh siswa Adam Adli dan Safwan Anang selepas Pilihanraya Umum ke-13 merupakan contoh kes ‘lag and gain’ yang paling menarik sejak era 1960an. Kedua-duanya menunjukkan bagaimana peers menjadi pengaruh politik yang berkesan dalam kalangan siswa, kemudian menjadi hasil atau laba yang bermanfaat untuk oposisi (parti-parti pembangkang). Apa yang jelas dari kedua-dua insiden ialah pihak status quo kehilangan pengaruh, ketumpulan idea dan kreativiti untuk berdepan dengan mahasiswa malah mengalami kerugian politik yang berganda. Mahasiswa meraih markah dengan penuh bergaya berbanding status quo. Bagaimanakah mahasiswa dapat memberi skor penuh dan menyebabkan pihak berkuasa tidak meraih apa-apa markah dalam tempoh waktu yang dekat? Apakah episod sejarah dari era 1960an dan era 1980 yang dapat ditinjau kembali dalam hal ini? Impak Public Corner dan Kelab Sosialis Sebahagian besar sejarawan memperakukan bahawa gerakan kemahasiswaan telah memain peranan penting dalam sejarah politik negara khususnya pada tahun-tahun 1966 dan 1967 (Hassan Karim dan Siti Nor Hamid, 1984). Pada 27 Mei 1966, gerakan siswa yang tidak tersusun sebelumnya telah menjadi satu impak politik yang bertaring apabila sebuah sudut pidato diperkenalkan di Universiti Malaya. Penjelasan paling baik untuk public corner ini adalah ia merupakan medan luahan perasaan; satu ‘tool of expression’ yang berjaya menghimpunkan ‘peers’ atau kawan-kawan sebaya dalam kalangan pelajar Universiti Malaya pada waktu itu. Di sudut pidato ini mahasiswa berbincang mengenai pelbagai isu semasa dekad tersebut. Ketika era 1960an, semakin ramai siswa dari pedalaman Malaysia berjaya menempatkan diri di menara gading seperti Universiti Malaya. Justeru, siswa ini berasal dari keluarga miskin dan memiliki jati diri atau ‘identical ethnic characteristic’ yang kuat. Isu seperti fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan, perbezaan kelas dan jurang ekonomi yang besar antara masyarakat bandar dan kampung, ketidakselesaan terhadap polisi-polisi pentadbiran Tunku Abdul Rahman misalnya didebatkan dengan meriah. Isu-isu ini dipanjangkan menerusi kawan-kawan sebaya dan segenerasi dan menjadi getar respon tanpa sekatan yang kuat atau satu bentuk feedback yang bertenaga. Era tersebut juga ditandai oleh gerakan sosialisme yang bergaya dan ‘fashionable’ di mana ia dipinjam langsung dari Amerika Latin dan Eropah. Nama seperti Che Guevera dan Fidel Castro menjadi idola. Tulisan Jean Paul Sarte, dan Albert Camus, antara lain disebut dan dibincangkan. Falsafah eksistensialis dibincang dan dikupas. Kelab Sosialis UM menganjurkan aktiviti-aktiviti ‘anti-establishment’. Tingkah laku kiri dengan falsafah Barat sebagai lapik ini menjadi ideologi tunjang gerakan mahasiswa selama satu dekad kemudiannya (Muhammad Abu Bakar, 1973). Juga, Kelab Sosialis UM juga sering menganjurkan perhimpunan dan tunjuk perasaan. Sebuah lagi organisasi yang terkenal dan berpengaruh adalah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya Untuk mengatakan hanya sosialisme sahaja memainkan peranan penting ketika era 1960an dan 1970an tidaklah sepenuhnya benar. Malah, nasionalisme turut mendapat tempat. Kehadiran ramai pelajar Melayu dari pedalaman dengan identiti kampung yang kuat telah mengikat sejumlah siswa, dalam konteks ini peers dengan kuat. Jatidiri kampung ini merujuk secara langsung kepada pengaruh ibu-bapa mereka. Istilah ‘kampung’ juga, walau tidak selalu, merupakan satu terma sosial untuk menjelaskan nilai tradisional dan ortodoks. Siswa dari kampung kebiasaannya berbangga dengan dasar fundamental Islam dan ia tidak semesti bermaksud mereka adalah ‘ultra-nationalistic’. Mereka membezakan setiap tindak-tanduk mereka sebagai ‘nationalistic’ atau ‘patriotic’. Sehubungan dengan itu, siswa dari kelompok ini cenderung mempertahan bahasa dan budaya Melayu dan seterusnya agama Islam. Sebagai contoh, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya atau PBMUM berperanan dalam mengukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pada 29 dan 30 Oktober 1966,  PBMUM menganjurkan sebuah seminar bahasa Melayu dan mendesak kerajaan supaya lebih serius dalam mengimplementasikan bahasa Melayu sebagai bahasa nasional. Selain itu pada September 1967 mereka menganjurkan pula simposium untuk melihat masalah masyarakat pedalaman. Resolusi simposium tersebut adalah menghantar mesej yang jelas bahawa kawasan pedalaman telah tertinggal dari arus pembangunan dan tidak menikmati kek ekonomi yang wajar. Siswa menjadi juara kaum tani dan buruh. Pada Oktober 1967, PBMUM turun ke jalanraya untuk menunjukkan sokongan kepada Hamid Tuah (tokoh tani yang ditahan pihak berkuasa kerana meneroka tanah di Selangor). Oleh kerana isu kaum bawahan ini turut dikongsi oleh Kelab Sosialis, serta merta Kelab Sosialis dan PBMUM bergabung tenaga untuk menjadi jurucakap kaum murbawan. Pada tahun 1973 apabila PBMUM beroleh ketua mereka yang baharu; iaitu Anwar Ibrahim, PBMUM menjadi ‘strong pressure group’ yang mencabar ‘establishment’. Demonstrasi Baling Pada tahun 1974, dua faham yang berbeza dalam kalangan siswa iaitu sosialisme dan nasionalisme dirapatkan untuk menempa satu matlamat. Kelab Sosialis yang lebih kiri dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya yang lebih kanan mencapai satu kefahaman. Kedua-duanya bergerak untuk menganjurkan tunjuk-tunjuk perasaan yang besar, perhimpunan demi perhimpunan dengan jumlah kehadiran yang luar biasa untuk mendesak penyelesaian bagi masalah tani. Demonstrasi di Tasik Utara dan Baling pada tahun 1974 dianjurkan untuk membela nasib kaum tani yang kebuluran. Pihak berkuasa hilang sabar lalu melakukan penangkapan besar-besaran, antara ‘crack down’ yang paling besar terhadap gerakan mahasiswa di mana lebih 1000 pelajar dari pelbagai universiti khususnya Universiti Malaya telah ditahan. Mereka antara lain adalah Anwar Ibrahim. Terdapat juga pemimpin pelajar yang bolos ke luar negara seperti Hishamudin Rais (Mohd Shuhaimi al-Maniri, 1995: 26-28).  Pihak pemerintah melihat aksi siswa ini memberi keuntungan kepada pembangkang  dan terdorong untuk mencegah penularan fenomena bantahan ini secara meluas: “Kerajaan menyedari penglibatan pelajar dalam demonstrasi boleh membahayakan masyarakat selain kedudukannya sendiri. Ia mencampakkan pelajar-pelajar secara langsung dalam proses politik sama dengan parti-parti pembangkang (Wan Mohd Mahyiddin 1996: 148).” Aksi besar di Baling ini membuatkan pemerintah berasa perlu mengawal gerakan siswa dan menumpulkan sisi tajam gerakan ini. Sebelum dari itu pihak pemerintah telah pun menggubal undang-undang untuk mengehadkan aktiviti siswa dalam tahun 1971. Kerajaan Barisan Nasional bertindak lebih keras dan mengetatkan lagi bahagian lompong undang-undang tersebut dengan ‘amendment’ atau pindaan pada tahun 1975 (iaitu selepas peristiwa di Tasik Utara dan Baling). Hasrat kerajaan adalah jelas, iaitu untuk ‘memandulkan’ gerakan mahasiswa dengan menganjurkan penubuhan sebuah entiti dalam kampus – Badan Hal Ehwal Pelajar. Peranan badan ini adalah untuk memerhati, mengawal dan mengurus selia pelajar. Pelajar-pelajar serta merta terhempuk dengan undang-undang draconian yang dikenali sebagai Akta Universiti dan Kolej Universiti. Menurut Wan Mohd Mahyiddin (1996), akta ini bertujuan untuk menyekat aktivisme mahasiswa; ‘pengenalan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada awal tahun 1971 adalah langkah yang bertujuan meredakan kegiatan-kegiatan politik seperti ini di kalangan pelajar.’ Badan Hal Ehwal Pelajar Pada 20 September 1974, kerajaan telah berhasil mengambil alih seluruh kampus di Malaysia dan menubuhkan Majlis Tertinggi Sementara untuk mentadbir Universiti Malaya. Tidak lama kemudian kerajaan menubuhkan pula Majlis Tertinggi Nasional dengan memulangkan kuasa kepada Naib Canselor Universiti Malaya (Mohd Shuhaimi al-Maniri, 1995: 28). Seperti yang dinyata sebelum, Akta Universiti dan Kolej Universiti diperkenalkan mulanya pada 17 Mac 1971 dan mula dikuatkuasakan pada 30 April 1971 untuk meredakan siswa. Namun begitu ia kelihatan gagal mencapai tujuannya. ‘Penambahbaikan’ dilakukan pada tahun 1975 dengan memasukkan klausa-klausa yang mengehad dan membataskan hak-hak asasi siswa.  Klausa 15, 16, 48, 49 dan 51 secara langsung menyekat kebebasan mahasiswa. Sebagai contoh klausa 15 menjelaskan pelajar tidak dibenarkan untuk menjadi ‘ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang menyalahi undang-undang, sama ada di dalam atau di luar Malaysia; menjadi ahli mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang, yang bukannya suatu parti politik, yang ditetapkan oleh Lembaga sebagai tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu; atau terlibat dalam aktiviti parti politik di dalam kampus’ (Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971). Klausa 16 pula memberi hak penuh kepada kabinet untuk melantik atau memecat mana-mana Naib Canselor atau Timbalan Naib Canselor sesebuah universiti. Badan Hal Ehwal Pelajar ditubuhkan di bawah akta ini. Kesannya, selepas 1975, pertubuhan siswa yang berhasrat menganjurkan simposium sastera dan mengutip wang derma untuk mangsa bencana alam perlu mendapatkan keizinan  Badan Hal Ehwal Pelajar ini terlebih dahulu. Badan ini diletakkan di bawah Timbalan Naib Canselor sementara Naib Canselor pula perlu menjawab kepada kabinet. Birokrasi yang berlaku akibat dari penggubalan dan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ini menyebabkan gerakan mahasiswa terkongkong. Satu contoh dapat diberikan bagaimana Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 ini mengekang kemaraan siswa. Pada tahun 1997 dalam insiden Institut Berakan di Trengganu, kerajaan Barisan Nasional telah mengambil keputusan untuk merobohkan bangunan institut yang dikatakan berada di bawah payung pengaruh parti pembangkang. Pelajar-pelajar dari UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia), UPM (Universiti Pertanian Malaysia) and UTM (Universiti Teknologi Malaysia) telah menunjukkan solidariti dan menunjuk perasaan membantah tindakan tersebut. Protes siswa tersebut mengakibatkan pelucutan status siswa mereka oleh Badan Hal Ehwal Pelajar (Mohd Shuhaimi al-Maniri, 1995: 35). Sesebuah undang-undang draconian yang mengekang bukan sahaja berfungsi untuk mengawal dan menyelia masyarakat tetapi juga digubah untuk menunjukkan bahawa kuasa pemerintah sentiasa ada untuk menakut memomok dan mengecutkan kelompok yang disasarkan (Michel Foucault, 1979). Hal Ehwal Pelajar adalah satu badan yang berperanan untuk tujuan ini. Adalah jelas pemerintah mengambil langkah segera mengekang aktivisme siswa, sebagai satu  feedback dengan mensudutkan mereka di satu penjuru. Kerangka Deutsch yang disebut lebih awal menunjukkan era ini sebagai era ‘lag’. Para siswa yang dibungkam menjadi selesa dan terabai dalam melihat isu-isu semasa khususnya isu politik yang amat dekat dengan kehidupan akademik mereka.  Deutsch juga mencadangkan dalam kerangkanya bahawa ‘lag’ akan berakhir dengan ‘corrective action’ dari organisasi atau figur tertentu. Proses ‘lag and gain’ ini memasuki fasa seterusnya iaitu fasa kebangkitan Islam yang diterjemahkan menerusi aktivisme Persatuan Mahasiswa Islam. Persatuan Mahasiswa Islam Gerakan mahasiswa Islam yang paling dominan dalam sejarah kemahasiswaan adalah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) yang diasaskan oleh sarjana besar negara Profesor Dr Syed Naquib al Attas ketika sesi akademik 56/57. Ketika era 1980an, ahli-ahli gerakan ini dapat dikenalpasti menerusi kod pakaian mereka. Mahasiswi kelazimannya mengenakan tudung labuh dan berjubah panjang, selalunya dengan warna gelap. Sementara mahasiswa mengenakan kemeja atau kurung lelaki dan lazimnya memakai kopiah atau serban. Walaubagaimanapun kod pakaian ini adalah perkara kedua. Hal yang jelas adalah idea gerakan ini berbeza dari idea gerakan terdahulu (Mohd Shuhaimi al-Maniri, 1995: 46). Gerakan mahasiswa sebelumnya tercerahkan oleh Che Guevera, akan tetapi gerakan mahasiswa Islam pada waktu 1980an itu tercerahkan oleh Imam Khomeini (Ahmad Lutfi Othman, 1993). Terdapat banyak kriteria yang dapat menjelaskan perihal gerakan mahasiswa Islam ini, namun dua ciri berikut menjadi perbezaan yang jelas dalam menunjukkan perbezaan antara dua gerakan siswa, iaitu pada era 1960-70an dan 1980an. Ciri yang dimaksudkan adalah: i.                 Perihal Akhlak dan Adab Gerakan mahasiswa Islam mempercayai implementasi akhlak dan adab dapat menyelamatkan masyarakat dari kebobrokan dunia moden. Selain itu, gerakan mahasiswa Islam yakin untuk menjadikan ini satu kenyataan, dan mereka sedang melakukan jihad. Dalam menegaskan akhlak dan adab, gerakan mahasiswa Islam menolak gaya hidup Barat. Aktiviti konsert rock dan jazz di kampus misalnya dianggap tidak nasionalistik dan tidak memenuhi aspirasi Islam. Justeru nasyid diberi laluan untuk menggantikannya. Selain itu, gerakan mahasiswa Islam mencemuh budaya berpasangan dan menentang gaya hidup hedonistik. Dalam masa yang sama solidariti sesama Muslim menjadi sangat penting dan penderitaan rakyat Palestina, perlawanan kaum Moro dan Patani terhadap penguasa menjadi antara agenda penting gerakan ini. ii.               Kembali Kepada Fundamental. Tolak Sekularisme. Penjajahan Barat yang berlangsung lama di alam Melayu sejak 1511 dilihat sebagai satu usaha musuh Islam (baca: Barat) untuk memisahkan kehidupan kaum Melayu dari identiti etnik dan tradisi mereka. Bahana paling besar penjajahan Barat menurut mereka adalah pemisahan agama dari ruang kehidupan. Ini harus dirapikan kerana Islam sepatutnya diterima secara menyeluruh dan menjadi cara hidup. Keperluan, desakan dan permintaan terhadap gaya hidup Islami menjadi sangat menonjol di dalam kampus. Oleh kerana itu kelas-kelas bahasa Arab dihurungi. Dalam konteks peers yang menjadi kerangka ilmiah, kumpulan usrah di surau untuk mendiskusi persoalan semasa berkait Islam menjadi fenomena. Gejala ini dipupuk dengan budaya membaca karya-karya pengarang dari Timur Tengah seperti Fathi Yakan, Hassan al Banna, Syed Qutb, Abu Ala-al Maududi, Said Ramadhan al Buti, Zainab al-Ghazali, Abdul Qadir Audah dan sebagainya. Wajah Hassan al Banna, Syed Qutb dan Imam Khomeini menghiasi dinding dan laci pakaian pelajar-pelajar ini. Mereka turut menghadiri tamrin atau kursus jangka pendek untuk mempersiapkan mereka berjuang, hidup dan mati atas nama Islam. Slogan ‘Allah Matlamat Kami, Syahid Cita-cita Kami’ dan teriak ‘Takbir’ menjadi lazim. Kumpulan siswa ini melihat diri mereka sebagai fundamentalis, merujuk Al-Quran dan al-hadis dan bukannya ekstrimis. Wajah kampus Universiti Malaya berubah sama sekali. Harus diingatkan gerakan kemahasiswaan Islam ini tidak muncul dari vakum tetapi mendapat letusan dan ledakan besar dari dua faktor; luaran dan dalaman i.                 Luaran: Kebangkitan Sejagat Islam dan Revolusi Islam Iran Pada pertengahan tahun 1970an, kebangkitan Islam sedang melanda seluruh dunia. Penindasan terhadap kaum Muslimin di seluruh dunia mulai diberi perhatian besar. Teknologi telah membantu menyebarkan penindasan yang dialami komuniti Palestina. Penaklukan  Afghanistan oleh USSR, dan krisis minyak di Timur Tengah memberi impak kepada seisi dunia Islam. Malaysia tidak terkecuali. Apabila Ayatullah Khomeini berhasil menumbangkan Shah Iran pada tahun 1979, ia dilihat sebagai keberhasilan Islam menjatuhkan kuasa besar dan memimpin. Bahawa seorang ulama, atau Islamis boleh melakukan sesuatu yang tidak terfikirkan iaitu menumbangkan tirani. Seluruh dunia Islam mendapat kejutan besar. Poster di fail siswa beralih dari Fidel Castro dan Che Guevera pada tahun 1960an dan 1970an kini digantikan dengan poster yang menampilkan sosok Imam Khomeini. ii.               Dalaman: Parti Islam Semalaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia Kemunculan gerakan siswa Islam di kampus dapat dikaitkan dengan beberapa gerakan Islam di luar kampus. Antara lain mahasiswa Islam akan mengasosiasikan diri mereka dengan Jamaah Tabligh, Darul Arqam (kini diharamkan), Jamaah Islah Malaysia dan yang lebih berpengaruh adalah Parti Islam Semalaysia (PAS), sebuah parti pembangkang yang menggunakan Islam sebagai retorik bersama-sama dengan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang mana sebahagian besar anggotanya adalah intelektual Islam. Harus dinyatakan, pada awal 1970an,  PAS dan ABIM dilihat sebagai satu entiti. ABIM dilihat sebagai proksi PAS. Kedua-duanya memiliki inspirasi yang sama iaitu melihat Islam diberi peranan kunci dalam pentadbiran kerajaan. PAS menentang UMNO (yang dilihat sebagai representasi idea sekularisme) di medan politik sementara ABIM menjadi wadah merekrut ahli baharu dan pemimpin muda PAS.  Akan tetapi apabila Anwar Ibrahim (salah seorang pimpinan ABIM) memilih untuk menyertai UMNO dan bukannya PAS dalam tahun 1983, gerakan mahasiswa Islam berpecah menjadi dua kumpulan. Anwar Ibrahim menjelaskan, beliau menyertai UMNO untuk membawa idea atau inti Islam menerusi jalan dalam dan bukannya jalan luar seperti yang diyakini oleh PAS, dipetik: I have not resigned my principles in entering politics through UMNO. I didn’t discuss any specific term before joining…we discussed general principles. My views on the Societies Act and the ISA are still there. I have always had a good personal relationship with Datuk Seri Dr. Mahathir. He has been open to harsh criticism from me, even when it was crudely expressed. ABIM leaders have accepted my decision that I should become active in politics for the sake of national unity and continue my struggle for Islam (Anwar Ibrahim, 1982). Terdapat sebahagian aktivis Islam yang berasa kecewa dan dikhianati oleh Anwar ketika itu. Iklim politik kampus turut dipengaruhi oleh perubahan politik di luarnya. Serta merta gerakan siswa Islam menjadi dua kem (Ahmad Lutfi Othman, 1993: 2). Kem pertama mendokong Anwar Ibrahim, justeru ‘dijinakkan secara politiknya’ oleh establishment. Sementara kem kedua, tetap membawa wadah dan hasrat yang sama seperti PAS dan memilih jalan konfrontasi atau anti establishment. Ketika tempoh ‘lag’ ini aktivisme pelajar tidak dilumpuhkan sepenuhnya. Malah gerakan siswa mengalami ‘self corrective operation’ atau tempoh muhasabah yang panjang. Insiden seperti protes terhadap perobohan Institut Berakan sebagai contoh menunjukkan masih ada respon atau feedback daripada kalangan anak muda, atau lebih tepat siswa. Melihat kembali terminologi Deutsch, feedback adalah satu usaha mencari penyelesaian; atau goal-seeking. Menurut Karl Wolfgang Deutsch (1964: 97) ‘goal seeking feedback’ ini adalah satu bentuk pemprosesan data luar di mana saluran-saluran yang ada masih tidak berubah; “the feedback of new external data into a net whose operating channels remain unchanged.” Ini bermakna, gerakan siswa masih mengalami penyesuaian dan penyelerasan oleh tekanan yang diterima dari pihak berkuasa dalam bentuk akta. Tempoh ‘lag’ yang lama ini mengalami fasa kedua yang penting. Pada tahun 2010, sekumpulan pelajar memasuki wilayah baharu iaitu apa yang dinamakan sebagai ‘learning feedback territory’. Di wilayah ini, pelajar mulai mempertikaikan saluran yang ada. Dalam konteks ini gerakan siswa mulai merasa tidak selesa dengan kepungan dan meyakini bahawa saluran operasi yang ada selama ini telah gagal dan tidak lagi boleh berfungsi. Deutsch menamakan ‘learning feedback’ ini sebagai pemprosesan data luar di mana saluran-saluran yang ada sudah menjadi matang dan inginkan perubahan; “the feedback of external data for the changing of these operating channels themselves” (Karl Wolfgang Deutsch, 1964: 98). Tindak balas atau ‘feedback’ fasa kedua ini selalunya berupa spontan, seperti gejala gunung berapi pendam yang mana simptomnya jarang diperhatikan lebih awal. Kumpulan yang memecah tembok kebuntuan ini adalah kumpulan UKM4. Bukan Musim Bunga, Tetapi Hujan Monsoon Seperti yang diperlihatkan di atas, gerakan siswa, baik kiri atau kanan mengalami kekangan yang luar biasa sejak pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti pada tahun 1975. Ruang demokratik menjadi  kecil dan melemaskan pelajar. Undang-undang draconian yang lain turut mengerasi siswa. Sebagai contoh, dokumen PMIUM 2000/2001 ada menyebut Presiden PMIUM Muhammad Fuad Mohd Ikhwan pernah dikenakan tahanan Internal Security Act (ISA) untuk satu tempoh singkat. Di Malaysia, seperti yang diketahui, undang-undang ISA membolehkan pihak berkuasa menahan seseorang tanpa bicara untuk satu tempoh. Apakah yang menatijahkan kemunculan UKM4 pada tahun 2010? Adakah faktor luaran sekali lagi memain peranan iaitu Arab Spring seperti yang berlaku pada awal 1980an terhadap gerakan mahasiswa Islam? Atau faktor teknologi seperti Facebook, sejenis pangkalan kawan-kawan sebaya atau peers yang tidak dapat dirungkai dan dikawal oleh pihak berkuasa? Adakah ini membuktikan ramalan Deutsch dalam The Nerves of Government sedang menjadi nyata? Gagasan ‘political behavior’ atau tingkah laku politik mendapat keberkesanan baharu menjelang tahun 2010. Sekali lagi peers atau rakan segenerasi dan sebaya menunjal siswa dari lubang untuk menjelmakan kebebasan siswa atau ‘student freedom’ di permukaan. Clay Shirky (2011: 28) dalam sebuah tulisannya di Foreign Affairs menyatakan lanskap politik dan hubungan antara aktor-aktor politik melibatkan masyarakat sivil, parti-parti politik dan pemerintah telah berubah selama-lamanya sejak era 1990an: “Since the rise of the internet in the early 1990s, the world’s net-worked population has grown from the low millions to the low billions. Over the same period, social media have become a fact of life for civil society worldwide, involving many actors – regular citizens, activists, nongovernmental organizations, telecommunications firms, software providers, governments.” Semasa pilihanraya kecil Hulu Selangor dalam tahun 2010, empat pelajar Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia telah berada di kawasan parlimen tersebut untuk menyudahkan tugasan subjek ‘Analisis Pilihanraya’ (Election Analysis). Mereka telah ditahan pihak berkuasa kerana berada di lokasi kempen; ‘attending political scene’. Keempat-empat pelajar ini mempertahankan diri bahawa adalah hak mereka untuk berada di situ bagi menyelesaikan kerja lapangan mereka secara akademik. Media kemudian menggelar mereka ‘UKM4’. Azlin, Ismail, King Chai dan Hilman kemudian menolak untuk dibicarakan oleh jawatankuasa disiplin universiti kerana menyifatkan ia sebagai tidak adil. Keberanian mereka berempat meraih momentum secara perlahan tetapi signifikan. Mereka malah mencabar Akta Universiti dan Kolej Universiti di mahkamah. Hilman, yang tampak sebagai ketua kepada kumpulan ‘UKM4’ ini telah memulai kempen kebebasan untuk siswa;  ‘student freedom movement’, untuk menolak dan ‘mensampahsarapkan’ Akta Universiti dan Kolej Universiti. Akta ini dilihat sebagai menindas, melumpuhkan anak muda tempatan, memotong potensi dan bakat mereka sehingga menyukarkan mereka menyuarakan hasrat dan sensitiviti terhadap isu-isu global seperti konflik Palestina dan Israel. Pandangan mereka tersebut dipetik di sini untuk menguatkan poin di atas: Also note that the UUCA also says that we cannot support our local political parties, but also international parties. This means that students cannot join yesterday’s anti-Israel demonstrations because it would supporting Hamas and Hamas is a political party. “The UUCA is an oppressive act. It limits students — from what we think, what we are allowed to say, down to our movement as proven in our case. Students cannot be expected to just bury their faces in books — if I don’t go into society, how will I join society? We want to show people that unfair and oppressive laws and acts like the UUCA can be challenged. The voting age in the country is 21 years. We are all registered voters. So if we cannot be seen ‘to show sympathy or support to any political party’, how to vote? We can’t vote based on how handsome a candidate looks – we have to know what he stands for, what his party stands for and will do for society. Looking at the restrictions in UUCA, they don’t give students the freedom to make decisions. These students will go on to be our future leaders. Effectively we will have leaders that have never made decisions and will only be learning how to do so once they are leaders. That is the reason for the poor quality of graduates nowadays that everyone is complaining about. If you are to be the future leader, you must have maturity and that comes in part from experience. For example, if you are a political science undergraduate and you have never been to a by-election, what’s the point?”  (UKM4, 2010). Perjuangan UKM4 berhasil apabila Mahkamah Rayuan memutuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti sebagai tidak menurut perlembagaan dan mencabul hak asasi manusia; ‘unconstitutional and contradict basic human rights’. Mahkamah memutuskan bahawa seksyen 15(5)(a) akta tersebut sebagai tidak mematuhi perlembagaan dan mencabul hak bersuara. Hakim Datuk Mohd Hishamuddin Mohd Yunus menyatakan pelajar universiti seharusnya diberi ruang dan disemai sebagai pemikir, reformis dan bukannya robot (The Sun, 2011). Letusan berani UKM4 tersebut disambut oleh Solidariti Mahasiswa (SMM), sebuah lagi jaringan peers yang berpangkalan di Facebook. Ketika siswa UKM4 lulus menjadi graduan cemerlang, para junior mereka sedang meniti jejak langkah mereka dengan kaedah yang lebih provokatif. Adam Adli Pada 17 Disember 2011, kira-kira seratus aktivis siswa telah berarak ke Putra World Trade Centre (PWTC) untuk menyerahkan memorandum yang dinamai ‘kebebasan akademik’ kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah. Ketika protes berlangsung, Adam Adli Abdul Halim, berusia 22 tahun, siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah menurunkan bendera Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak buat satu tempoh yang singkat. Aksi simbolik beliau mendapat kritikan meluas. Akan tetapi kritikan awam tersebut ternyata berlawanan dengan lebih 30,000 peers, atau rakan segenerasi yang mendokong beliau menerusi kempen Facebook, ‘We Are All Adam Adli’. Ia mengambil pendekatan yang sama digunakan oleh Wael Ghonim ketika melancarkan kempen Facebook ‘We Are All Khaled Said’ untuk menyokong Khaled Said yang meninggal dunia kerana dikeronyok polis Mesir. Kempen Ghonim menerusi Facebook itu mencetuskan apa yang dinamai hari ini sebagai ‘Egpyt’s Revolution’ sehingga membawa kepada kejatuhan regim Hosni Mubarak setelah berkuasa selama lebih dua dekad. Jawatankuasa Disiplin Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendakwa Adam bertanggungjawab mencemar nama baik UPSI dan menjejaskan kestabilan awam. Adam menolak untuk merayu dan memilih mahkamah sivil.  Kembali kepada kerangka ilmiah Deutsch mengenai ‘feedback’ seperti yang dihurai dalam The Nerves of Government, aktivisme siswa kini bukan mengalami fasa mencabar tetapi sebaliknya fasa meraih imbuhan. Deutsch malah menamakan tipe feedback ini sebagai kesedaran, ‘consciousness’ yang mana dalam konteks ini, pelajar, mulai menganalisa data dalaman. Deutsch juga merujuk fasa ini sebagai ‘king of feedback’ di mana tindakbalas dalaman yang diperolehi dari sumber kedua merombak status quo. Dalam hal ini sumber kedua adalah sumber yang mendesak supaya berlaku perubahan sistem sementara sumber utama adalah maklumat yang diperolehi dari ‘tenaga dalam sistem’ yang dalam masa yang sama berinteraksi di luar sistem; ‘a collection of internal feedbacks of secondary messages. Secondary messages are messages about changes in the parts of the system. Primary messages are those which move through the system in consequence of its interaction with the outside world (Karl Wolfgang Deutsch, 1964). Adalah jelas Adam Adli, salah seorang tokoh Solidariti Mahasiswa telah beroleh manfaat dari peers menerusi pangkalan Facebook. Sebagai pusat atau headquarters kepada peers, Facebook juga berperanan sebagai maklumat utama; ‘first hand information’. Sebagai contoh kejayaan UKM4 melawan pihak berkuasa adalah sumber kedua, ia disalur menerusi Facebook. Rakan sebaya atau peers akan menggunakan Facebook untuk mengalirkan lebih banyak maklumat dan ia dilakukan secara cepat, pantas dan selama 24 jam selama 7 hari dan tanpa henti. Pada 21 Oktober 2011, Adam Adli dan rakan-rakannya menubuhkan Bebas untuk mendokong Professor Dr Abdul Aziz Bari, seorang profesor undang-undang di International Islamic University of Malaysia (IIUM) yang digantung tugas sehari sebelumnya. Aziz Bari adalah seorang ahli akademik yang lantang. Ketika protes di IIUM berlangsung, kedengaran laungan ‘Hidup hidup mahasiswa! Hancur kezaliman! Tekanan yang dialami oleh Adam Adli, mendorong peers untuk melakukan protes duduk bantah di hadapan kampus UPSI di Tanjung Malim pada ambang tahun baharu 2012. Protes tersebut berakhir dengan pergelutan dan Mohd Safwan Anang (siswa Universiti Malaya) tercedera. Pihak berkuasa menafikan sebarang keganasan berlaku dan kecederaan Mohd Safwan Anang adalah kerana pergelutan sesama sendiri. Menteri Dalam Negeri pada waktu itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menafikan keganasan di pihak polis.  Pelajar-pelajar ini menerima dokongan dari kumpulan pembangkang. Sebagai contoh Presiden Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir Hashim menyeru supaya masyarakat mendokong siswa dan memberikan semangat kepada gerakan tersebut; ‘For me, I feel proud and hope that the people would give their support and give them (the students) spirit to move forward. If not they will be crushed by the existing system… so we have to back them up’ (Haider Yutim, 2012). Ketika ‘sumber kedua’ terus menghantar mesej kepada peers, ‘sumber utama’ pula sedang membanjiri seluruh sistem dan ‘pembuluh darah kerajaan’. Listen Listen Listen! Gerakan siswa kembali menyemarak di hujung 2012, sekali lagi dengan bantuan peers. Kali ini nama Bawani KS menjadi masyhur secara mendadak. Satu klip video selama 24 minit yang tersebar secara meluas di laman sesawang dan laman sosial antara Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin dan Bawani KS menjadi gejala dengan pantas. Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang dianggap mewakili status quo ekoran jawatannya sebagai pemimpin Suara Wanita 1 Malaysia telah ditempelak komuniti maya. Ini berikutan kegagalannya untuk membenarkan siswa Universiti Utara Malaysia, Bawani KS menyuarakan pendapat mengenai pendidikan percuma dalam satu acara universiti. Sergahan Sharifah Zohra, ‘Listen, Listen Listen’ telah menjadi senda di pangkalan peers iaitu Facebook dengan cepat. Penyebaran rakaman video tersebut juga menyedarkan masyarakat bahawa berlakunya indoktrinasi politik terhadap para siswa di universiti. Bawani KS, dengan segera menyambut kontroversi ini untuk mengutarakan hasrat siswa iaitu kebebasan bersuara, pendidikan percuma dan sikap neutral universiti dari pengaruh politik di luar; ‘perkara utama yang perlu diberi perhatian adalah tiga perkara iaitu kebebasan bersuara mahasiswa, universiti yang bersih dari segala ancaman luar dan juga pendidikan percuma kepada rakyat, bukannya individu-individu yang terlibat dalam forum tersebut’ (KS Bawani, 2013). Meskipun isu tersebut reda dengan segera, tiga bulan kemudian selepas Malaysia dikejutkan dengan keputusan pilihanraya ke 13, gerakan mahasiwa mendapat kembali momentum besar. Kali ini, dengan ‘sumber kedua’ dan asakan ‘sumber primer’, feedback yang terhasil adalah cukup besar sehingga menatijahkan suatu fenomena yang tidak dapat dibendung. PRU 13: Adam Adli Lagi dan Mohd Safwan Anang Pilihanraya 5 Mei 2013 menyaksikan pertembungan sengit antara dua kumpulan politik iaitu Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Kumpulan pembangkang yang diketuai oleh ketua gerakan siswa dalam era 1970an, Anwar Ibrahim menguasai 89 kerusi parlimen dari jumlah besar 222 kerusi. Meskipun meraih lebih 51 peratus undi popular, sistem pilihanraya FPTP yang  diwarisi oleh Malaysia dari British tidak memungkinkan Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan. Sejak 5 Mei 2013, Pakatan Rakyat menganjurkan siri bantahan besar dan menuduh parti yang menguasai kerajaan bersekongkol dengan Suruhanjaya Pilihanraya untuk menipu pilihanraya yang lalu. Laporan Reuters menjelaskan bahawa terdapat jumlah besar rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya yang lalu. Kritikan, cemuhan, senda dan suara anti penguasa menjadi semakin kuat. Ekoran dari itu, Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia buat masa ini dalam keadaan tersepit antara dua pendekatan iaitu bersikap keras atau berlembut dengan ‘kekuatan’ pembangkang; ‘Every day Najib sees angry Malaysians on the Internet. It is not an easy thing to swallow,” said a senior government official who declined to be identified. “There are people in his cabinet asking for a crackdown and there are others asking for him to brandish his reformist side’ (Niluksi Koswanage, 2013). Pada 13 Mei 2013, badan bukan kerajaan Solidariti Anak Muda Malaysia dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), antara lain Adam Adli (siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris) telah menganjurkan sebuah acara iaitu ‘Rapat Rakyat 13 Mei: Hari Bangsa Malaysia — Selamatkan Demokrasi’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH). Adalah jelas perhimpunan tersebut untuk menolak keputusan pilihanraya 2013 di mana retorik untuk mengajak peserta ke acara tersebut antara lain menyatakan  ‘demokrasi dinafi’, ‘kemenangan rakyat dinafikan’, ‘kecurangan pilihanraya diatur’ dan ‘pilihanraya terkotor dalam sejarah’ (Solidariti Anak Muda Malaysia, 2013). Adam Adli adalah salah seorang dari panel yang berucap di acara tersebut. Ekoran dari ucapannya, pada 18 Mei 2013, aktivis mahasiswa tersebut telah ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Ilah Hafiz Aziz, 2013) dan ditahan di lokap di Jinjang. Penahanan Adam Adli di Jinjang serta merta mencetus kebangkitan peers di Facebook. Selain wujudnya akaun ‘We Are All Adam Adli’ dengan jumlah ‘likes’ melebihi 48 ribu, sebuah akaun bernama ‘Mama Wants Adam Home’ turut dilancarkan. Setiap malam sejak penahanan beliau sejumlah besar anak muda pelbagai kaum mulai berhimpun di luar lokap Jinjang untuk menyatakan solidariti. Penahanan Adam Adli serta merta meraih simpati awam. Syahredzan Johan (2013) menggambarkan suasana di Jinjang sepanjang penahanan Adam Adli sebagai sesuatu yang fenomenal di mana tembok perkauman terburai. Apatah lagi jumlah demonstran yang ramai di Jinjang tersebut adalah mereka yang beretnik Cina datang mempertahankan nasib seorang remaja beretnik Melayu; Syahredzan menulis: “Mereka yang percaya dengan retorik ‘pengkhianatan Cina’ ini sebenarnya sudah terputus dengan realiti akar umbi. Realitinya, ceramah-ceramah dan program-program anti-kerajaan mendapat sambutan warga Malaysia dari seluruh lapisan masyarakat, bukan hanya yang berbangsa Cina. Realitinya, keputusan PRU ke-13 adalah tsunami bandar, tsunami kelas menengah dan tsunami orang muda, bukan tsunami Cina. Realitinya, semakin hebat tekanan yang dikenakan oleh pihak pemerintah, semakin utuh jalinan perpaduan. Realitinya Adam Adli bukan lagi seorang Melayu, tetapi seorang anak Malaysia yang diperlakukan dengan tidak adil. Dan apa yang berlaku di Jinjang selama minggu lepas adalah contoh terbaik realiti baru ini.” Pada 22 Mei 2013, satu kekecohan berlaku di mana polis telah menahan 18 orang yang hadir memegang lilin di luar balai polis Jinjang (Sin Chew, 2013). Kumpulan anak muda yang ditahan tersebut kemudian dibebaskan dan dirai sebagai wira dengan sorakan dan tepukan. Dalam konteks makalah ini, ternyata peers yang turun menyatakan solidariti buat Adam Adli di Jinjang tidak berasa khuatir dengan momokan pihak berkuasa. Malah feedback yang dicetuskan ternyata menepati ciri yang disebut oleh Karl Wolfgang Deutsch dalam The Nerves of Government iaitu desakan untuk berlakunya perubahan dalam sistem sedia ada. Pada 23 Mei, Mahkamah Seksyen membebaskan Adam Adli dari tahanan reman dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin (Nizam Zain, 2013). Rentetan dari insiden di atas tidak berakhir begitu sahaja. Pada 25 Mei, lebih 70 ribu orang awam berhimpun di padang hadapan Amcorp Mall, Petaling Jaya untuk memprotes keputusan pilihanraya ke 13. Acara tersebut adalah anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama 58 buah badan bukan kerajaan yang lain. Adam Adli tidak hadir dalam himpunan tersebut tetapi KS Bawani (siswa Universiti Utara Malaysia) yang menjadi masyhur kerana klip video ‘Listen Listen Listen’ dan Mohd Safwan Anang, mahasiswa Universiti Malaya yang cedera di malam tahun baharu 2012 telah hadir berucap. Di acara tersebut, Safwan telah mempersendakan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang sebelumnya menganjurkan rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihanraya ke 13 supaya berhijrah ke luar negara; ‘Ada sesetengah orang tak faham bahasa, mereka kata jika orang yang tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya, boleh keluar dari Malaysia. Ini kenyataan bodoh, betul atau tidak?’ (Wartawan Malaysia Kini, 2013). Pada 28 Mei, Safwan Anang dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah ditahan bersama tiga aktivis Pakatan Rakyat iaitu Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, aktivis Asalkan bukan UMNO, Haris Ibrahim dan ahli PAS Tamrin Ghafar. Hari berikutnya, keempat mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Safwan Anang bagaimanapun enggan diikatjamin kerana menyifatkan tindakan dakwaan tersebut adalah bermotif politik. Beliau juga menyatakan tindakan menolak ikatjamin sebagai satu protes dan sebagai mesej jelas bahawa siswa benar-benar serius dalam ‘melawan penipuan’: “Penahanan dan dakwaan ini bermotifkan politik. Tindakan saya ini sebagai protes dan memberi signal penolakan terhadap salah guna kuasa untuk kepentingan hayat Umno-BN. Tindakan saya juga demi sayangkan negara dan ingin memulihkan demokrasi yang makin tenat. Ini juga mesej jelas kepada anak muda bahawa kita benar-benar serius perjuangkan hak kita. Saya di dalam tetapi saya yakin kalian di luar sana tetap akan terus bangkit berjuang lawan penipuan” (Staf Free Malaysia Today, 2013). Safwan kemudian telah dihantar ke penjara Sungai Buloh. Rakan segenerasi atau peers telah pun mencipta akaun Facebook ‘We Are All Safwan Anang’ dengan lebih 13 ribu ‘likes’. Seperti situasi yang berlaku sebelumnya di Jinjang, awam terutama anak muda telah menyatakan solidariti dan mulai berhimpun di luar penjara Sungai Buloh pada malam hari. Himpunan tersebut dimeriahi oleh ucapan, bacaan sajak dan lain-lain lagi. Sehingga makalah ini ditulis episod politik ini masih berterusan. Kesimpulan Bagaimanakah pihak pemerintah mahu mendapatkan skor dalam ‘perlawanan’nya dengan gerakan siswa? Seperti yang telah dijelaskan, generasi X-Y-Z hari ini tidak lagi bergantung kepada pengaruh ibu-bapa. Dalam hal ini sekiranya kecenderungan ibu bapa mereka adalah untuk memilih parti UMNO atau Barisan Nasional pada waktu terdahulu, kecenderungan ini tidak semestinya diekori oleh kaum muda mutakhir. Institusi pendidikan dan komponennya, antara lain, guru atau pendidik tidak lagi menjadi faktor penentu memandangkan kedudukannya sudah amat tercabar oleh kehadiran peers. Harus diingatkan sekali lagi, peers dalam erti kata hari ini bukan lagi kawan-kawan sebaya secara ‘wujud’ tetapi memadai dengan teman-teman segenerasi yang hanya berkenal di alam maya. Salah satu pangkalan maya yang sangat berkesan adalah Facebook. Terdapat dua pendekatan yang perlu dilakukan oleh pemerintah untuk melunakkan kebangkitan mahasiswa yang telah mendapat momentum oleh lag and gain dalam perjuangan mereka selama ini. Kekangan akta untuk mengepung siswa sudah tidak lagi berkesan memandangkan kebebasan bersuara mencapah ke ruang real dan ruang maya. Oleh kerana itu pemerintah mempunyai pilihan untuk menjadi lebih autoritarian, iaitu dengan mencabut kebebasan siswa. Ini dapat dilakukan dengan menutup pangkalan atau ibu pejabat mereka iaitu Facebook. Profesor Media Baharu dari Universiti New York, Clay Shirky (2011: 30) yang telah dirujuk pandangannya sebelum ini mengingatkan bahawa media sosial masih ditekan dan boleh terus ditekan oleh kerajaan-kerajaan yang memilih untuk tidak bersikap demokratik.; ‘…social media have become coordinating tools for nearly all of the worlds’s political movements, just as most of the world’s authoritarian governments (and, alarmingly, an increasing number of democratic ones) are trying to limit access to it.’ Walaubagaimanapun, rencana in itidak semudah yang disangkakan  kerana pengguna Facebook di Malaysia adalah besar. Malaysia mempunyai pengguna Facebook melebihi 12 juta orang. Selain itu, kajian menunjukkan generasi muda sekitar usia 18 hingga 24 tahun dan 25 hingga 34 tahun merupakan dua kategori umur paling ramai menggunakan Facebook di Malaysia. Pengguna lelaki mengatasi pengguna perempuan iaitu kira-kira 54 peratus.  Malaysia juga berada di kedudukan ke-17 antara 230 buah negara (Hayati Ibrahim, 2012). Kategori usia pengguna Facebook dengan jelas memberi indikasi bahawa masyarakat pelajar atau siswa merupakan pengguna Facebook terbanyak. Tentunya sukar untuk sebuah kerajaan yang menyangka diri demokratik mengekang hak asasi 12 juta rakyatnya. Pendekatan kedua untuk melunakkan gerakan siswa ialah dengan berdialog. Pendekatan ini memerlukan pemerintah mengorbankan sebahagian dari apa yang dipertahankan, namun dapat menjamin kelangsungan status-quo mereka untuk satu tempoh lagi. Dalam sejarah gerakan kemahasiswaan di Malaysia, kebangkitan pelajar pernah dijinakkan dengan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO (dibaca: status quo). Kejutan dari insiden itu telah mengakibatkan gerakan siswa berpecah dan mengalami tempoh ‘lag’ yang panjang. Akan tetapi pendekatan ini sukar dicapai memandangkan masyarakat siswa telah pun mengalami dan menempuh fasa ‘king of feedback’ seperti yang digariskan oleh Karl Wolfgang Deutsch. Dalam erti kata lain, golongan siswa telah menjadi terlalu kental, padat dan padu dengan dokongan peers yang cukup besar dan sukar digugat. Malah, mahasiswa telah melihat ‘gain’ amat hampir dengan mereka dan tiada keperluan untuk berkompromi lagi, ini misalnya dapat dilihat pada sikap Mohd Safwan Anang yang menolak tawaran ikat jamin dan memilih untuk ke Sungai Buloh kerana percaya dakwaan hasutan ke atas beliau adalah satu aksi politik. Justeru, kedua-dua pendekatan yang terbentang untuk status quo adalah jalan buntu. Berdasarkan pendekatan yang dikemukakan oleh Karl Wolfgang Deutsch dalam The Nerves of Government, status quo sudah tidak mempunyai pilihan lain. Sehingga makalah ini ditulis mahasiswa telah hampir mencapai skor penuh. Gerakan kemahasiswaan menanti detik menuai ‘gain’ yang mereka harapkan selama ini; iaitu kebebasan akademik, kebebasan untuk bersuara dan keupayaan untuk bersikap secara total. Sebagai seorang sosiologis, aksi selepas ini menarik untuk disaksikan dan ditelaah secara akademik. Buat masa ini, adalah jelas masyarakat siswa selaku gerakan sivil memilih dan bersikap untuk bersama oposisi atau gerakan pembangkang.   Rujukan Abu Bakar, M. 1973. Mahasiswa Menggugat. Pustaka Antara: Kuala Lumpur. Alias, MR. 2003/2004. Gerakan Pelajar di Universiti Malaya Pada Tahun 1970-1986: Isu dan Pendekatan. Latihan Ilmiah. Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya: Kuala Lumpur. Al-Maniri, MS. 1995. Politik Kampus: Di Sebalik Tabir. Pustaka Generasi Baru: Bangi. Anwar, Z. 1990. Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar. IBS Buku Sdn Berhad: Petaling Jaya. Aziz, I.H. 2013. Adam Adli ditahan di bawah Akta Hasutan. Utusan Malaysia. 18 Mei. http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130518/je_10/Adam-Adli-ditahan-di-bawah-Akta-Hasutan Deutsch, KW. 1964. The Nerves of Government: Models of Political Communication and Control. Free Press: New York. Foucault, M. 1979. Discipline and Punish: The Birth of the Prison. Terjemahan Sheridan, A. New York: Vintage Books. Ibrahim, A. Star. 30 Mac 1982. Ibrahim, H. 2012. 12 juta ‘main’ Facebook. Harian Metro. 4 Julai. Johan, S. 2013. Selamat datang ke Jinjang. Projek Dialog. 26 Mei. http://www.projekdialog.com/featured/selamat-datang-ke-jinjang/ Karim, H & Hamid, SN. 1984. Bersama Rakyat! Gerakan Mahasiswa 1967-1974. Pustaka Insan: Petaling Jaya. Koswanage, N. 2013. Bitter election aftermath undermines Malaysian PM Najib. Reuters. 26 Mei. http://www.reuters.com/article/2013/05/26/us-malaysia-politics-idUSBRE94P01120130526 KS Bawani. 2013. Jangan panaskan lagi isu ini. Sinar Harian. 22 Januari. http://www.sinarharian.com.my/nasional/ks-bawani-jangan-panaskan-lagi-isu-ini-1.124019 Mahyiddin, WM. 1996. Kepimpinan: Sorotan Pelbagai Aspek Bagi Meningkatkan Kualiti dan Pencapaian. Penerbit Fajar Bakti: Shah Alam. 148. Musa, M.F. 2013. Terlepas Dari Sumpahan Listen Listen Listen. Projek Dialog. 15 Januari. http://www.projekdialog.com/featured/terlepas-dari-sumpahan-listen-listen-listen/ Othman, A.L. 1993. ‘Gerakan Mahasiswa Islam: Sejarah dan Pengiktibaran’. Kertas kerja ‘Perhimpunan Mahasiswa Islam Peringkat Kebangsaan’. Anjuran Persatuan Ulama Malaysia dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia. Kompeks Tabung Haji Kelana Jaya. 25-26 Disember. Pesuruhjaya Penyemak Undang-Undang Malaysia. 2006. Akta Universiti Dan Kolej Universiti 1971. Muat Turun di http://www.kck.usm.my/murni/akta30pindaan2006.pdf Shirky, C. 2011. The Political Power of Social Media. Foreign Affairs. January-February: 28-41. Sin Chew. 2013. 18 people who hold vigil for Adam Adli in front of Jinjang police station arrested. My Sin Chew. 23 Mei. http://www.mysinchew.com/node/86727 Solidariti Anak Muda Malaysia. 2013. Warnakan 13 Mei dengan penyatuan rakyat, selamatkan demokrasi. The Malaysian Insider. 13 Mei. http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/warnakan-13-mei-dengan-penyatuan-rakyat-selamatkan-demokrasi-solidariti-anak-muda-malaysia Staf Free Malaysia Today. 2013. Safwan Anang enggan diikat jamin. Free Malaysia Today. 29 Mei. https://www.freemalaysiatoday.com/category/frontpage/2013/05/29/safwan-anang-enggan-diikat-jamin/ The Sun. UUCA Unconstitutional. 1 November 2011. UKM4. 2010. Fight for students freedom!. The Malaysian Insider. 16 Jun. http://www.themalaysianinsider.com/mobile/breakingviews/article/ukm-4-fight-for-students-freedom-part-3-lord-bobo-loyarburok.com/ Wartawan Malaysia Kini. 2013. Kerlipan ‘cahaya’ demokrasi menyinari Dataran PJ. Malaysia Kini. 25 Mei. http://www.malaysiakini.com/news/231191 Yutim, H. 2012. PSM Proud of Burgeoning Student Movements. Malaysian Digest. 3 Januari. http://www.malaysiandigest.com/features/38201-psm-proud-of-burgeoning-student-movements.html Zain, N. 2013. Adam Adli bebas dengan ikat jamin. Sinar Harian. 23 Mei. http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/adam-adli-bebas-dengan-ikat-jamin-1.163119

VERMOX
]]>