Penghargaan kita juga untuk panelis-panelis forum dan moderator-moderator yang akan membincangkan identiti Malaysia dalam konteks filem, dan arah kemajuan filem Malaysia. Produser Nandita Solomon dan pengarah filem Dr. Mahadi J. Murat akan bersidang di forum pagi bersama moderator Dr. Norman Yusoff, dan pembikin-pembikin filem muda Kenneth Raj, Indrani Kopal, dan Jared Lee akan bersidang di forum petang bersama Fikri Jermadi.
Jangan lupa pembikin-pembikin filem muda ini yang telah menyumbang karya-karya utama mereka kepada sesi Filpen-Filpen KITA yang akan berlangsung sepanjang hari pada 17 September di Holding Room – Bebbra Mailin, Edmund Yeo, Ridhwan Saidi, dan Shanjhey Kumar Perumal yang berbakat.
Akhirnya, Projek Dialog ingin menyebut produser Lina Tan dari Redcomm dan pengarah Shamyl Othman yang bersetuju menayangkan filem Rembat di sesi Tayangan Perdana Pesta Filem KITA. Kita berharap filem ini akan mengakhiri pesta filem ini dengan mesej yang sesuai dan penting, iaitu diversiti dan kepelbagaian di Malaysia sepatutnya mewakili identiti kita, dan juga sepatutnya diraikan.
https://www.youtube.com/watch?v=8hH-__Vh_ck
Sekali lagi, Projek Dialog ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli komuniti yang telah banyak berjasa untuk menjayakan projek ini.
Sekularisme Pelindung Agama? Bhgn 2
Artikel sebelum ini berhujah bahawa konsep sekularisme bukan semestinya bermaksud menolak agama dan memisahkan kepercayaan terhadap Tuhan daripada institusi negara-bangsa atau kerajaan.
Ini mungkin tidak disedari oleh kebanyakan Muslim, tetapi apa yang mungkin lebih menakjubkan adalah bahawa prinsip dan nilai di dalam sekularisme adalah serasi dengan sesetengah prinsip dan nilai utama di dalam Islam.
Malah boleh dikatakan Islam sebenarnya mendahului sekularisme dalam menekankan nilai-nilai seperti kebebasan atau freedom, kesamarataan (equality) dan persaudaraan (fraternity).
Ketiga-tiga nilai di atas membentuk asas konsep sekularisme yang dicipta di Eropah pada abad ke 17 kata seorang saujana politik Islam dan timur tengah Prof Nader Hashemi di dalam satu forum baru-baru ini.
Oleh kerana Islam menekankan nilai-nilai ini di dalam skop kehidupan peribadi dan masyarakat, Muslim zaman dahulu tidak perlu dengan satu konsep seperti sekularisme.
Pada zaman kepimpinan khalifah, masyarakat Muslim tidak perlu kepada sekularisme kerana tiada masalah di antara institusi negara-bangsa dan agama, kata Nader daripada Universiti Denver, Amerika Syarikat.
Ia bukan seperti dinasti Eropah dahulu di mana raja-raja dan ketua agama mazhab Kristian Katolik dan Protestan masing-masing menggunakan institusi agama untuk memperluaskan atau mengekalkan kuasa
mereka.
“Akan tetapi (pada zaman globalisasi ini) Muslim harus memikirkan tentang sekularisme kerana ia mempunyai asas yang berkait rapat dengan isu keadilan sosial dan politik, dan perjalanan sistem demokrasi,” kata Nader di forum bertajuk “Rethinking Islam and Secularism” di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Walaupun sekularisme boleh membantu dalam mengurus masyarakat yang berbilang agama dan hubungan institusi kerajaan dan agama, Nader mengakui konsep tersebut sukar diterima dunia Muslim disebabkan pengalaman pahit mereka dengan kuasa penjajah atau “kolonial”.
Di Eropah, sekularisme berkembang secara semula jadi di kalangan agamawan dan para pemikir kelas bawahan sebagai satu penentangan terhadap kelas atasan yang memperalatkan agama. Oleh itu ia mendapat sokongan yang besar di kalangan masyarakat akar umbi.
Ini berbeza dengan masyarakat Muslim di mana sekularisme ditekan ke atas mereka oleh penjajah Eropah dan sistem itu dikekalkan oleh golongan elit dan diktator tempatan untuk menjaga kepentigan mereka.
Pemerintahan Shah Reza Pahlavi di Iran sekitar 1960an ke 70an dan Mustafa Kemal Atartuk (1920an) di Turkey merupakan dua pengalaman paling perit di mana masyarakat Muslim ditindas sekularisme. Misalnya, pada era itu, wanita di Iran dan Turkey dilarang daripada memakai tudung di tempat awam manakala golongan agamawan yang merupakan pemimpin masyarakat disisihkan.
Di banyak negara Muslim seperti Malaysia yang menumpaskan penjajah pasca 1960-an, gerakan Islamis yang dahulunya ditekan kembali aktif dan mereka sekarang mendapat sokongan yang besar di dalam arena politik arus perdana.
Di sini berlaku paradoks kata pemimpin politik Malaysia terkenal Dr Dzulkefly Ahmad daripada Parti Amanah Negara (Amanah).
Dahulu agama ditindas oleh puak sekular tetapi sekarang konsep sekularisme pula mendapat minat di kalangan intelektual di negara Muslim. Ini kerana satu interpretasi Islam yang dibawa oleh pihak
berkuasa agama dan Islamis konservatif dilihat sebagai memeras masyarakat, kata Dzulkefly.
“Oleh itu ia kelihatan seperti masyarakat Muslim memerlukan sekularisme,” kata Dzulkefly, seorang ahli panel forum tersebut.
Tetapi ini tidak bermaksud bahawa masyarakat Muslim harus kembali kepada konsep sekularisme dahulu yang menindas dan menyisihkan institusi agama, kata beliau.
Sesuatu pendekatan alternatif adalah dengan menekankan kembali nilai-nilai Islam yang dikatakan serasi dengan sekularisme iaitu kebebasan (hurriyah), kesamarataan (musawah) dan persaudaraan (ukhuwah insaniah), kata Dzulkefly.
Penghayatan nilai-nilai tersebut dapat mengurus hubungan di dalam masyarakat berbilang agama dengan adil dan baik, di samping mengekang manipulasi institusi negara-bangsa dan agama.
Sekularisme Pelindung Agama? Bhgn 1
Imej: Niño Jose Heredia/©Gulf News
Realitinya kata pakar kajian politik Islam dan Timur Tengah Prof Nader Hashemi adalah di seluruh dunia tiada satu definisi atau satu model pemerintah sekular tunggal yang digunapakai di seluruh dunia. Sekularisme seperti di Perancis dan Amerika Syarikat, di mana agama – baik Kristian mahupun Islam – benar-benar disisihkan daripada jentera kerajaan dan institusi awam, hanya adalah satu contoh, kata Nader daripada Universiti Denver, Amerika Syarikat. “Satu kajian menunjukkan di kalangan negara Kesatuan Eropah (EU), lebih daripada 80 peratus daripada mereka memberi dana kepada sekolah agama,” kata Nader di sebuah forum berjudul “Rethinking Islam and Secularism” di Kuala Lumpur baru-baru ini. Sesetengah negara EU juga memberi dana kepada organisasi agama untuk membina rumah ibadat, kata Nader, dan ini menunjukkan bahawa di dalam negara sekular, hubungan yang rapat di antara institusi agama dan kerajaan dapat dijalinkan. Kepelbagaian model dan definisi negara sekular dan hubungan mereka dengan institusi agama dikaji dengan terperinci di dalam buku Nader bertajuk “Islam, Sekularisme dan Demokrasi Liberal: Membentuk Teori Demokrasi Untuk Masyarakat Muslim”. Buku tersebut diterjemahkan daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia oleh Islamic Renaissance Front. Di dalam forum tersebut, Nader menjelaskan bahawa agama dan institusi kerajaan atau “the state” bukan musuh di dalam sesebuah negara demokrasi yang sekular, menurut Nader. Musuh sebenarnya kepada pertalian baik antara institusi kerajaan dan agama adalah individu, khususnya ahli politik yang korup atau tokoh agama yang rakus yang mahu memanipulasikan kedua-dua institusi ini untuk kepentingan peribadi. “Apa yang penting adalah membina batasan antara agama dan pemerintah supaya masing-masing tidak mencerobohi ruangan mereka di dalam masyarakat,” kata Nader. Ini supaya institusi agama tidak disalahgunakan oleh ahli politik yang berkuasa bagi menghalalkan kedudukan rejimnya, seperti menggunakan khutbah di masjid untuk mencerca lawan politik atau menjenamakan pentadbiran mereka sebagai warak bagi menutup salah-guna wang rakyat. Ahli institusi agama juga disekat daripada mempengaruhi proses pembuatan dasar dan undang-undang bagi mengelakkan pembuatan dasar yang berat sebelah kepada komuniti agama mereka. Bagi negara-negara seperti Jerman dan Norway, institusi kehakiman juga diperkuatkan supaya ia boleh berfungsi bebas daripada tekanan politik, kata Nader. Nader berkata dengan meletakkan batas-batas tersebut, rakyat akan diyakinkan bahawa pemerintah negara akan berlaku adil, saksama dan memelihara semua agama dan komuniti. Tidak hairanlah mengapa pejuang sekularisme di Eropah pada abad ke-17-an adalah tokoh agama sendiri kerana pada masa itu raja-raja mereka kerap menggunakan agama untuk mengekalkan kuasa, kata Nader. Perang agama yang dikenali sebagai “Perang 30 tahun” di antara mazhab Kristian Protestan dan Katholik di Eropah yang dicetuskan oleh raja-raja mengorbankan berjuta nyawa. Hari ini masyarakat Muslim boleh mempelajari daripada sejarah hitam Eropah itu, terutamanya di dalam keadaan di mana pemimpin-pemimpin mereka sedang mengapikan ketegangan mazhab antara Sunni dan Syiah. Masyarakat Muslim juga harus berhati-hati dengan rejim polilik yang gemar menyalakan api perkauman seperti melabel sesetengah orang “kafir harbi” bagi mengalih perhatian orang ramai daripada salah-guna kuasa dan penyelewengan. Sekularisme bukan bermakna penolakan agama atau memisahkannya daripada kerajaan, tetapi mempertahankan agama daripada dimanipulasi oleh individu.
Imej: namomantra.files.wordpress.com
]]>Rakyat UK termakan politik perkauman, di Malaysia bagaimana?
keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) pada 23 Jun 2016. “Brexit” satu pengajaran kepada rakyat Malaysia – di waktu sesetengah individu mecanangkan konsep kafir harbi – bagaimana momokan perkauman boleh mengkaburi mata dan membawa kepada pemusuhan yang akhirnya memakan diri. Di UK, politikus dan penyokong kempen tinggalkan EU (“Leave”) menggunakan bayangan bahawa berjuta-juta Muslim akan menceroboh dan mengubah lanskap UK untuk menarik sokongan. Tetapi selepas kempen Leave berjaya, momokan tersebut didedahkan sebagai tidak berpijak pada realiti dan tidak dapat ditunaikan. Ini termasuk janji untuk menyekat kemasukkan warga asing ke UK dan penjimatan dana negara itu disalurkan kepada sistem perubatannya. Janji-janji puak pro-Leave entah ke mana tetapi bagi keseluruhan rakyat UK impak pungutan suara (referendum) itu menghempap mereka sejurus keputusan itu diumumkan. Ekonomi UK telah merundum, duit matang-wang “pound” telah jatuh dengan mendadak dan kepimpinan politik di dalam keadaan huru-hara. Persamaan Cabaran politik dan ekonomi di Malaysia pula tidak kurang serius. Penurunan harga minyak, kelembapan ekonomi dunia dan nilai mata wang yang lemah telah mengakibatkan beribu rakyat hilang kerja dan kenaikan harga barang dan makanan import. Sementara itu tahap rasuah dan korupsi dilaporkan lebih tinggi berbanding dua tahun lepas, manakala hutang daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikatakan bakal dibayar oleh rakyat Malaysia sendiri. Di tengah-tengah semua kemelut ini, tiba-tiba Kerajaan PAS Kelantan mendapat lampu hijau untuk membentangkan rang undang-undang di parlimen yang akan membuka jalan bagi perlaksanaan hukuman hudud di negeri miskin itu. Apabila rang undang-undang itu ditentang, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman telah dengan sewenang-wenangnya melabel pihak-pihak tersebut sebagai “kafir harbi”. Ramai tokoh yang lebih arif daripada saya telah mengulas bagaimana istilah tersebut sudah tidak relevan di dalam era negara berdemokrasi. Apa yang saya ingin katakan adalah seperti permusuhan terhadap migran Muslim di UK di tengah kehangatan kempen Brexit, percubaan untuk menanam bibit permusuhan melalui istilah “kafir harbi” juga tidak berpijak pada realiti. Menurut sarjana Islam Prof Abdullahi An-Naim, semua orang berhak mempersoal usaha melaksanakan hudud di Kelantan kerana undang-undang itu buatan manusia. Ia merupakan hasil interpretasi manusia terhadap Al-Quran dan ilmu pengubalan undang-undang syariah. Realiti-nya sekiranya PAS Kelantan berjaya melaksanakan undang-undang tersebut ia akan memberi impak yang menyeluruh kepada semua rakyat Malaysia di semua negeri, tidak kira mereka Muslim atau tidak. Sentimen perkauman, keagamaan seperti “ini hal Islam orang lain tak boleh campur” tidak boleh digunakkan untuk menghalang debat dan tindakan sivil berkenaan sesuatu isu yang membabitkan semua pihak. Kalau kita terima konsep kafir harbi dan mula bermusuh sesama kita, kita juga akan buta terhadap masalah-masalah ekonomi, korupsi dan politik yang semakin menekan. Jadi rakyat Malaysia sekarang menghadapi dua pilihan. Samada kita boleh terus menolak momokan perkauman dan mengembalikan perhatian terhadap realiti masalah ekonomi dan politik negara. Atau kita boleh mengikut warga UK yang dipukau momokan perkauman dan membahayakan masa depan anak-anak mereka. Kini, bukan sahaja ekonomi UK yang berada di dalam keadaan getir. Serangan terhadap warga UK yang bukan kulit putih dan daripada Eropah di negara itu sudah pun meningkat susulan “Brexit”.
Gambar dari Mail Online UK
Islam lebih dihayati dalam negara sekular?
The Malaysian Mirror. Konsep sekularisme biasanya ditentang oleh gerakan Islam Malaysia tetapi bagi seorang pakar perundangan Islam, agama hanya boleh benar-benar dihayati di dalam sebuah negara sekular. Menurut Prof Abdullahi Ahmed An-Naim, keimanan sebenar kepada apa pun agama, termasuk Islam, hanya boleh dibentuk sekiranya seseorang itu hidup di bawah pemerintah yang bersikap neutral terhadap agama. Iaitu sebuah pemerintah yang tidak menghalang aktiviti penganut apa-apa agama dengan syarat penganut itu tidak mencabuli hak agama lain, dan pemerintah juga tidak memihak kepada apa-apa agama. Akan tetapi, hujah pensyarah undang-undang itu tidak bermakna agama dan politik itu tidak boleh bercampur. Sebaliknya, penganut agama tidak boleh dihalang daripada terlibat di dalam politik seperti menyertai parti, membuang undi atau membentuk dasar, berdasarkan kepercayaan mereka, kata Abdullahi. “Hujah saya adalah saya boleh menjadi seorang Muslim yang lebih baik di dalam negara sekular berbanding dengan sesebuah negara yang mendakwa ia negara Islam,” kata Abdullahi yang berasal daripada Sudan tetapi kini menetap di Amerika Syarikat. “Saya percaya bahawa sikap neutral negara terhadap agama adalah kondusif kepada ketulenan penghayatan saya terhadap Islam,” beliau berkata di dalam sebuah kuliah di Sunway University baru-baru ini. “Oleh itu tuntutan saya untuk sebuah negara sekular adalah pada asasnya, Islamik.” Niat dan paksaan Hujah Abdullahi nampaknya agak kontroversi, terutama di dalam suasana masyarakat Malaysia dicengkam rhetorik hukuman hudud, perlaksanaan undang-undang Syariah dan perselisihan antara penganut berbagai agama. Malah gerakan Islam konservatif sering berkata bahawa “Islam adalah agama Persekutuan” bagi menjustifikasikan campurtangan penguatkuasa agama di dalam kehidupan orang Muslim dan juga bukan Muslim. Perbalahan mengenai perlaksanaan hukuman hudud di Kelantan adalah contoh terbaru di mana ini berlaku apabila pendokong hudud menjawab pengkritik kanun itu. Abdullahi menyedari situasi di Malaysia, di mana penganut Islam diikat oleh dua sistem undang-undang, iaitu sivil dan syariah. Pada dasarnya undang-undang Syariah Malaysia adalah untuk memastikan warganegara Muslim-nya tidak melakukan larangan di dalam Islam seperti meminum arak, berzina atau makan di tempat awam semasa bulan Ramadan. Teori disebalik doktrin ini adalah pemerintah Malaysia dapat membentuk masyarakat Muslim yang syumul melalui undang-undang Syariah. Abdullahi mempersoalkan tujuan sistem tersebut. Contohnya, adakah larangan terhadap makan di tempat awam semasa bulan Ramadan benar-benar menghasilkan masyarakat Muslim yang beriman? “Sekiranya seorang itu berpuasa kerana dia takut kerana ditangkap (oleh penguatkuasa agama), adakah ini bermakna dia berpuasa kerana Allah, atau dia berpuasa kerana dia takut kepada pemerintah?” “Apabila pemerintah cuba memaksa larangan atau perbuatan agama ke atas seseorang Muslim, ia telah mengambil alih peranaan niat di dalam diri Muslim itu.” Niat yang benar-benar sukarela tanpa paksaan untuk beribadah atau melakukan sesuatu untuk agama merupakan salah sebuah prinsip asas di dalam Islam kata Abdullahi. “Kalau kepercayaan kita di dalam agama adalah dipaksa, itu bukan kepercayaan yang tulen dan jujur.” Beliau memetik ayat 256 daripada Surah al-Baqarah yang mengatakan bahawa “Tidak ada paksaan dalam agama kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran dari kesesatan”. “Jadinya sekiranya kita mahu ibadah seseorang Muslim itu ada nilai, dia mesti diberi hak untuk melakukannya tanpa paksaan.” – June 6, 2016
]]>Antara hudud, penyeluk saku dan politikus korup
The Malaysian Mirror.
Senario: Penyeluk saku yang mencuri RM10 dipotong tangan tetapi ahli politik yang menyeleweng berjuta duit awam hanya dipenjara.
Senario di atas merupakan contoh kontradiksi di dalam banyak kanun Syariah yang menggunakan hukuman hudud di seluruh dunia Muslim kata pakar kajian undang-undang Islam Prof Abdullahi Ahmed An-Naim.
Contoh seperti ini mengambarkan bahawa usaha melaksanakan hukuman hudud menimbulkan banyak masalah dan ia antara sebab utama menggapa pemerintah Muslim harus menangguhkannya, kata Abdullahi, pensyarah daripada Emory University di Amerika Syarikat.
Masalah perlaksanaan hudud akhirnya akan mencalar imej Islam itu sendiri kata Abdullahi, kerana kecelaruan kesalahan dan hukuman itu menjejaskan prinsip bahawa Tuhan itu Maha Adil dan Maha Bijaksana.
Lain daripada sistem undang-undang biasa atau sivil, pendokong hudud mendakwa kanun mereka berasakan Islam dan datangnya daripda Tuhan. Ini memberikannya satu aura sempurna, ekslusif dan sakral yang menyekat cara masyarakat menilai undang-undang itu.
Di dalam proses membentuk undang-undang sivil misalnya siapa sahaja – individu biasa, NGO, pakar, Muslim atau tidak – ada hak untuk menilai, mengkritik dan menolak undang-undang itu.
Dengan itu kelemahan di dalam sesebuah undang-undang sivil boleh diperbaiki dengan efisyen kerana proses pembentukkannya terbuka.
Tetapi bila datang pada hudud dan undang-undang syariah, seperti berlaku di Malaysia, proses mengubal dan menilai disekat dan dimonopoli oleh hanya sekelompok individu yang mengelar mereka “pakar agama”.
Orang Muslim biasa ditegah daripada mempersoalkan hudud dan dipaksa untuk menyokongnya manakala orang bukan Muslim yang bakal mendapat kesan daripada hudud langsung tak boleh berkata apa-apa.
Buatan manusia
Contoh antara hukuman penyeluk saku dan penyeleweng, menunjukkan bahawa kanun kesalahan syariah dan hukuman hudud adalah buatan manusia melalui interpretasi al-Quran dan Hadith, kata Abdullahi.
“Setiap kali manusia cuba menghasilkan sebuah kanun undang-undang Syariah ia adalah usaha interpretasi dalam alam politik dan kerajaan,” katanya di sebuah forum di Sunway University baru-baru ini.
(Istilah politik dan kerajaan dalam konteks ini merujuk kepada proses penghasilan dasar dan sistem tadbir sesebuah masyarakat oleh manusia.)
Ulama dan ahli fiqah pada zaman dinasti Muslim seperti Ummaiyah dan Abassiyah, tidak pernah menghasilkan kanun Syariah yang universal kerana mereka saling berbeza pendapat dan interpretasi, ujar Abdullahi.
Al-Quran ada menyebut bahawa potong tangan si pencuri, kata Abdullahi.
“Tetapi ia tidak memberi definasi apakah itu perbuatan mencuri. Definasi tersebut telah dibentuk oleh para ulama yang masing-masing berbeza dan bercanggah pendapat.
“Ada ulama yang mengatakan mencuri itu sebuah perbuatan yang dilakukan secara senyap, kalau dibuat terang-terang ia bukan mencuri. Ada pula ulama yang berkata kalau dilakukan secara terang pun mencuri.”
Ada pula ulama yang berhujah bahawa sekiranya si pencuri ada hak ke atas harta itu, pengambilannya tidak dikira mencuri.
Mengikut takrifan ini, duit kerajaan yang pada asasnya dimiliki oleh semua warganegara – samada bakal penjenayah atau tidak – tidak boleh terkandung di bawah harta yang boleh dicuri, kata Abdullahi.
Sekiranya hukuman hudud dibentuk menggunakan takrifan itu, penalti lebih berat dikenakan kepada penyeluk saku (potong tangan) berbanding ahli politik yang melesapkan duit awam.
Antara undang-undang manusia dan Tuhan
Pendokong hudud berkata penyelewangan harta awam boleh dikenakan hukuman takzir yang boleh ditentukan mahkamah, seperti penjara.
Hujah ini masih tidak menyelesaikan isu pengadilan dan kesamarataan di bawah undang-undang (equality before the law) antara si penyeluk saku dan si ahli politik yang korup, ujar Abdullahi.
“Kerana hukuman takzir dan hukuman hudud tidak sama berat. Orang yang curi dana awam tidak merasai keperitan yang sama seperti penyeluk saku, walaupun jenayahnya lebih berat.”
Kontradiksi ini harus dilihat di dalam konteks dunia sekarang yang banyak sistem perundangan untuk menangani berbagai jenayah baru seperti korupsi, pecah amanah dan penyelewengan.
Hampir kesemua sistem perundangan itu dihasilkan manusia tanpa dicap sebagai undang-undang Tuhan.
Sekiranya hukuman hudud dilaksanakan tanpa menyelesaikan masalah interpretasi yang bercanggah, masyarakat Muslim bakal memberi gambaran bahawa undang-undang yang “datang daripada Tuhan” lebih lemah daripada undang-undang buatan manusia.
“Ia akan menjejaskan imej Tuhan dan Islam sendiri di waktu rasuah, korupsi telah menjadi jenayah yang serius di seluruh dunia,” kata Abdullahi.
“Kerana ia seolah-olah Syariah itu tidak menghukum golongan elit yang berkuasa (yang biasanya melakukan penyelewengan) seberat mana ia menghukum golongan bawahan (yang mencuri).”
Sebagai alternatif, Abdullahi mencadangkan kepada penyokong hudud agar membentangkan undang-undang sivil yang mengandungi hukuman yang mereka mahu seperti potong tangan, sebat 100 kali dan sebagainya.
“Kenapa nak sebutnya sebagai hudud? Gubal sahaja undang-undang untuk jenayah bersama hukumannya dan bentang di Parlimen.”
Dengan ini seluruh masyarakat tidak kira Muslim atau tidak, boleh berdebat dan memilih sama ada mahu menyokong undang-undang tersebut atau tidak tanpa paksaan, katanya.
Lagi satu alternatif kata Abdullahi, adalah menangguhkan perlaksanaan hudud dan menyalurkan tenaga dan masa ke arah hal-hal lain seperti membanteras kemiskinan, menghapuskan rasuah dan memperkuatkan semangat sivik di antara manusia. – Jun 2, 2016
Ramah Mesra Cucu Cicit Nabi Ibrahim A.S.
Oleh Luqman Tarmizi Catatan ini ditulis sempena lawatan mahabbah ke Gereja Katolik St Theresa di Nilai, Negeri Sembilan anjuran Siswa Progresif (SISPRO) yang melibatkan kurang lebih 40 peserta (majoriti nya merupakan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia) pada 3 April 2016 yang lalu. Penulis dipertanggungjawabkan untuk memberi ucapan kepada mewakili pihak penganjur. Catatan ini sengaja tidak ditulis dalam bentuk sekuen yang teratur supaya penulis dapat menyampaikan mesej-mesej dibawah tema tertentu. NABI KITA DI DALAM AL-QURAN Sebelum saya mulakan pembentangan ketika sesi dialog, ada fakta penting yang saya lontarkan iaitu: nama Nabi Muhammad s.a.w disebut sebanyak 4 kali dalam Quran. Tapi Nabi Isa? 25 kali. Bahkan Maryam lebih hebat, 34 kali namanya diulang sebut di dalam Quran. Maka tidak ada alasan lagi bagi para Muslim untuk kita kesampingkan pelajaran mengenai kedua-dua tokoh ini dengan alasan mereka berdua tidak penting. Quran telah mengisyaratkan bahawa mereka berdua penting! Secara umumnya, ada 3 perkara paling bermakna dalam tempoh kurang lebih 4 jam setengah lawatan kami itu (menyertai upacara Sunday Morning Prayer, makan pagi, sesi dialog dua hala dan makan tengahari) pada pandangan peribadi saya iaitu:
- Peluang berucap dalam gereja, meski hanya untuk kurang lebih 10 minit, merupakan kesempatan yang akan saya hargai sepanjang hayat saya. Peluang membina jambatan persaudaraan dan mengikat tali persahabatan sebegini tidak selalu datang. Dalam dunia yang penuh kebencian dan permusuhan, para penyebar kasih sayang dan perdamaian merupakan aset penting, dan saya bangga menjadi sebahagian darinya.
- Dan sebagai seorang Muslim, saya boleh berkata dengan bangga, bahawa alunan suci ayat Quran mengenai kewajipan kita berkenal-kenalan sesama bangsa dan agama, dan mukaddimah surah Maryam, dialunkan dan diperdengarkan di dalam gereja.
- Diminta oleh Father Eugene, ketua paderi gereja tersebut di akhir majlis, untuk membacakan doa yang diaminkan oleh sekalian hadirin, Muslim dan Kristian. Saya sempat mendoakan agar kami diberikan kekuatan untuk terus menyalakan obor perpaduan, dan semoga hubungan antara agama ini semakin erat dan dipelihara Allah s.w.t. Semoga Allah mengabulkan doa dan permintaan kami.
- Ketaatan dan ketundukan kepada Tuhan ketika zaman fitnah yang mencengkam, dan kesusahan menghadapi dugaan yang mendesak. Tidak akan ada kemenangan di alam fizikal (nyata) tanpa kekuatan di alam spiritual. Sebagai umat yang beragama, keyakinan akan bantuan dari alam spiritual itu merupakan tonik penting dalam menjana kekuatan.
- Semangat untuk membawa perubahan kepada masyarakat, membawa gerakan reformasi dalam memberi sinar keadilan dan meruntuhkan tembok kezaliman. Membaca buku berjudul Zealot: Jesus of Nazareth hasil karya sarjana perbandingan agama dari Iran, Reza Aslan setelah lawatan ke gereja ini berlangsung, memperkenalkan saya wajah sebenar Nabi Isa a.s. Jika dalam agama Kristian Nabi Isa digambarkan sebagai seorang ‘pacifier’ (pencinta kedamaian) dan penyebar kasih sayang, maka buku ini memberi perspektif baharu menurut kacamata sejarah (historical Jesus) yang bebas dari tafsiran sejarah menurut ‘pengasas’ agama Kristian seperti St Paul dan St Peter; bahawa Isa itu merupakan seorang revolusioner yang disalib oleh pemerintah Rom atas tuduhan menghasut rakyat.
Memahami Kristian Evangelical di Malaysia
Temubual dengan Dr. Chris Chong oleh Ahmad Fuad Rahmat Banyak kontroversi telah muncul sejak beberapa tahun lepas tentang ancaman Kristianisasi di Malaysia. Dengan semangat dialog yang muhibbah, ke arah meraih pemahaman yang lebih jelas, Projek Dialog menemui Chris Chong untuk membincangkan isu ini dengan lebih mendalam dari sudut pandangnya sebagai seorang sarjana dan penggerak Kristian Evangelical yang kritis. Chris Chong, seorang pensyarah di sebuah IPTS, memegang ijazah PhD dalam sains politik dari Universiti Sains Malaysia. Tesis doktoratnya, bertajuk “Modernity, State-led Islamisation and the non-Muslim response”, [Moderniti, Islamisasi negara dan respon dari kelompok bukan-Muslim] mengkaji reaksi sosio-politik penganut Kristian di Malaysia terhadap penerapan Islamisasi di Negara ini. Beliau adalah ahli Komuniti Gereja Wesleyan dan Friends in Conversation, sebuah forum Kristian yang “bertekad untuk membuka ruang bagi refleksi dan pertukaran ide yang konstruktif tentang kepercayaan, kerohanian, komuniti dan masyarakat.” Kristian Evangelical di Malaysia S: Temubual ini barangkali akan menarik ramai pembaca Muslim, jadi supaya kita semua jelas, bolehkah saudara terangkan dengan istilah yang mudah apakah Kristian Evangelical sebenarnya dan bagaimana ia berbeza dengan kelompok-kelompok Kristian yang lain? J: Kristian Evangelical adalah suatu fenomena yang kompleks. Terdapat hampir beratus, jika bukan beribu gereja yang boleh diklasifikasi sebagai Evangelical. Tetapi apa pun kami berkongsi beberapa karakteristik yang umum: Pertamanya, Kristian Evangelical merupakan fenomena yang baru dalam tradisi Kristian. Jadi gereja Evangelical tidak mempunyai tradisi dan sejarah gereja yang kaya berbanding dengan gereja-gereja Katolik, Lutheran atau Methodis. Sebagai suatu gerakan, gereja Evangelical hanya tumbuh sekitar kurun ke 18 di Amerika dan Britian di mana mereka akhirnya meraih jumlah pengikut yang cukup kuat untuk bertapak sebagai gerakan sosial dan politik global yang kuat yang jelas kelihatan pada hari ini. Justeru itu, gereja-gereja Evangelical di Malaysia lebih mirip kepada gereja-gereja Evangelical di Amerika dalam kerangka teologi, mesej dan pendekatan mereka. Kami juga mempunyai lebih autonomi. Tidak seperti gereja-gereja tradisional, gereja Evangelical tidak harus dijaga oleh mana-mana badan induk. Contohnya, kita tidak punyai biskop. Jadi kami berkembang dengan lebih organik dan lebih terakar kepada komuniti dalam cara yang lebih khusus. Kristian Evangelical juga percaya dengan interpretasi yang lebih literal terhadap kitab Bible, jauh lebih harfiah dari gereja-gereja tradisional yang bergantung kepada sejarah penafsiran atau autoriti gereja untuk mendapatkan bimbingan. Akhirnya, Evangelical menyebar. Kami percaya dengan penyebaran Gospel kepada lingkungan penganut yang seluas mungkin. S: Hari ini tidak kurang dari 60% gereja-gereja di Malaysia adalah Evangelical, yang telah menyusul, pada tahap yang drastic, Gereja-Gereja Kristian yang lain di Semenanjung yang sering dianggap lebih terkemuka. Ini menghairankan memandangkan bahawa Kristian Evangelical di Malaysia hanya baru bermula menyusun gerakan mereka pada tahun 1970an. Apa yang mendorong kebangkitannya yang pantas? J: Kristian Evangelical cuma jauh lebih bertekad untuk mencebur keluar dan menarik pemeluk baru. Daya untuk menyebar agama di kalangan gereja-gereja yang lebih tua dan tradisional, adalah lebih lemah pada hari ini. Golongan Kristian Evangelical juga lebih moden dalam pendekatan mereka, yang lebih bersandar pada renungan yang teliti tentang kehidupan masyarakat kontemporari. Sekiranya anda berkunjung ke gereja-gereja mereka pada hari Ahad, anda akan lihat bahawa khutbah mereka kerap menfokus kepada perkara harian yang praktikal. Mereka mengupas tentang bagaimana menangani tekanan kerja, bagaimana menjaga keseimbangan kerja-keluarga, membesarkan anak dalam batas yang beragama tetapi moden dan sebagainya. Saya kenal suatu gereja mega yang aktif mengakomodasi keprihatinan anak muda yang bekerja, jadi sebulan sekali ia akan menganjurkan perjumpaan komuniti untuk berkongsi fikiran dan membincangkan isu-isu bersama, atau mengadakan pertemuan bagi pasangan muda yang baru berkahwin di mana mereka akan mengundang kaunselor yang akan bercakap tentang bagaimana mendisiplinkan anak. Fokus terhadap keperluan harian yang praktikal adalah sesuatu yang kurang diketengahkan oleh gereja-gereja tradisional. Jadi tidak mengejutkan bahawa tarikan Kristian Evangelical semakin meningkat, dan bukan hanya di Malaysia. S: Tetapi contoh yang anda beri hanya menggambarkan strategi dan pendekatan mereka. Mesti ada sesuatu yang lebih dari itu. Apa yang mendorong tarikan yang meluas di belakang perkembangan Kristian Evangelical dari segi rohani dan falsafah? J: Pendekatan tafsiran literalisme yang umum dalam gereja Evangelical, di samping ketiadaaan sebarang ikatan kepada tradisi menawarkan seseorang individu itu hubungan yang lebih langsung dengan Jesus. Natijahnya, perhubungan dengan Jesus sama sekali tidak diperantara oleh mana-mana autoriti atau hirarki. Ini juga menyebabkan Kristian Evangelical tidak terikat dengan banyak amalan ritual. Konteks kepercayaan Kristian Evangelical juga adalah lebih kontemporari dan bersifat individualistik, berbanding dengan gereja Orthodok atau Katholik di mana anda akan lebih terikat kepada Gereja sebagai komuniti global yang bersifat transnasional dengan sejarah yang panjang. Ini menyediakan banyak ruang bagi kelompok Kristian Evangelical untuk mendokong tren-tren moden. Sebagai contoh, rock Kristian sudah menjadi suatu fenomena global sepertimana yang telah berlaku kerana hemah budaya lebih fleksibel yang ditawar Kristian Evangelical. Jadi ceramah-ceramah gerejanya lebih menarik, segar dan mampu membahas kerangka isu yang luas dan lebih relevan dengan kehidupan moden. S: Adakah gereja-gereja Evangelical di Malaysia dibangun sebagai pakatan yang padu, atau adakah mereka kebanyakannya bergabung dalam jaringan yang longgar? J: Jaringan yang longgar. Adalah penting untuk mengingat bahawa kelompok Kristian Evangelical bukan suatu blok monolitik. Terdapat kepelbagaian dan perbezaan yang serius dan mendalam di kalangan mereka. Tetapi apa pun ada wujudnya kesamaan keluarga: teologi mereka, seperti yang saya ungkapkan tadi, adalah berdasarkan telogi Anglo-Saxon. Ahli mereka secara amnya terdiri dari kelas pertengahan bandar, dan majoritinya dalam lingkungan usia akhir 20an dan awal 30an, kebanyakannya dari kelompok cendekia yang profesional. Majoriti dari mereka juga adalah generasi pertama Kristian. Dengan kata lain, mereka adalah orang yang bertukar keyakinan dari agama lain. Bagi kebanyakan Evangelical Malaysia kontemporari, Evangelical Kristian adalah pendedahan mereka yang pertama dan sebenar terhadap agama Kristian. Kristian Evangelical dan Politik S: Kenyataan bahawa golongan Evangelical lebih bertekad untuk menyebar agama menunjukkan bahawa mereka bukan dari jenis kelompok yang tidak politikal. J: Untuk ini anda harus melihat perkembangan setelah 2008. Pra-2008 anda dapati bahawa gereja Evangelical secara amnya konservatif dan anti politik. Mereka tidak hiraukan tentang politik atau isu-isu kerajaan. Pasca-2008, anda boleh lihat perubahan. Mereka lebih berminat dengan hal ehwal semasa. Kebanyakan mereka sekarang, terutamanya gereja-gereja Evangelical yang besar, akan menyediakan senarai pengundi dalam gereja dan akan menjemput pendakwah untuk berceramah di atas mimbar tentang politik Malaysia. Paderi-paderi malah menganjurkan halaqah doa untuk berdoa tentang situasi politik di Malaysia. Ini luar biasa. Sebelum 2008, untuk memperkatakan tentang apa-apa urusan politik dalam gereja adalah aneh. S: Adakah semuanya digerakkan oleh politik partisan? J: Tidak secara langsung tetapi bayangannya pro Pakatan Rakyat. Mereka tidak akan menyatakan keluar dan pangkah calon si polan ini atau itu, tetapi mereka akan berkata: keluar dan undi, jadi rakyat yang aktif dan bertanggungjawab. S: Jadi semua itu dilakar setelah 2008, tetapi apa yang berlaku sebelum 2008? Mengapa kelompok Kristian Evangelical tidak seaktif dalam politik sebelumnya? J: Masyarakat Kristian Malaysia secara umumnya tidak terlibat dalam politik dengan aktif sebelum 2008. Apa yang berlaku pada 08 adalah reaksi kepada percubaan yang panjang untuk berhadapan dengan polisi Islamisasi yang digerakkan oleh negara yang bermula pada 1980an yang kian menghakis hak-hak Kristian. Sebagai contoh, permit mendirikan gereja boleh mengambil sehingga 20 tahun untuk diluluskan. S: Kenapa? Apakah alasan yang mereka berikan? J: Tidak ada penjelasan. Kita kemukakan permohonan dan lepas itu tunggulah dan bersabar dengan penangguhan. S: Dan ini eksklusif masalah Kristian, atau adakah komuniti kepercayaan lain juga berhadapan dengan hadangan yang sama? J: Ia bukan hanya masalah Kristian. Agama lain turut menghadapi kesulitan juga. S: Apakah isu-isu lain yang berbangkit? J: Kawasan perkuburan: masalah tanah perkuburan yang tidak mencukupi untuk masyarakat Kristian. Sekolah missionary: tiada sekolah missionary baru yang didirikan selain apa yang diwarisi dari peninggalan kolonial. Bukan sahaja itu, wujud juga masalah tentang autonomi. Bangunan sekolah dikuasai oleh gereja tetapi Kementerian Pelajaran yang mengatur siapa yang akan mengajar di sana. Selalu juga berlaku scenario di mana Kementerian Pelajaran (MOE) tidak memahami falsafah sekolah berkenaan dan melantik guru besar yang mungkin tidak memahami semangat sekolah tersebut dengan membawa perubahan yang menghakis identiti sekolah. Terdapat juga faktor ketandusan kewangan untuk menyelenggarakan sekolah. Jadi jika terdapat sesuatu yang perlu diperbaiki sekolah sendiri yang terpaksa menampung biayanya. S: Tidak pernahkah timbul isu tentang murtad sebelum ini? J: Tentunya ada. Ia hanya tidak dipolitikkan sehingga baru-baru ini. Dalam pergulatan tersebut kita telah melihat kenyataan yang semakin ekstrim dan melampau dikeluarkan mengenai Islam [dari segelintir kelompok Melayu-Muslim], yang secara langsungnya menambah kekhuatiran orang-orang bukan-Islam terhadap hak-hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Jadi lama kelamaan timbul ketakutan di kalangan masyarakat Kristian yang diiringi pula tanggapan bahawa polisi dan perundangan agama negera memberi kesan yang serius kepada kehidupan mereka. S: Bagaimanakah pemimpin-pemimpin gereja menyatakan kerisauan mereka? J: Mereka akan mengatur pertemuan dan mengadakan perbincangan dengan pemerintah. Tetapi masalah yang sering ditempuh bukan dengan kelompok elit di tahap atas, yang biasanya akan bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin gereja, tetapi dengan kalangan birokrat di bawah dan peringkat akar umbi. S: Mengapa pemimpin-pemimpin gereja tidak tampil kepada Najib tentang masalah dengan birokrat-birokrat tersebut? J: Itu berlaku setiap tahun. Tetapi persatuan Kristian di Malaysia tidak mempunyai kuasa. Mereka hanya boleh menasihat. Jadi setelah menemui beberapa kebuntuan, masyarakat Kristian secara keseluruhannya merasakan mereka tidak punyai pilihan selain dari menuntut hak mereka di arena politik. S: Jadi apakah jenis perubahan yang dicari gerakan Evangelical keseluruhannya? J: Ia hanya ke tahap status-quo sebenarnya. Keghairahan terhadap perubahan hanyalah minimal. Mereka mahukan kerajaan yang bersih, mereka galakkan ahlinya supaya kerap menyumbang kepada kebajikan, tetapi mereka tidak menangani struktur atau sistem sisio-ekonomi yang menindas atau apa saja yang mendalam seperti itu. Perubahan yang dipinta masih dalam kerangka penyertaan dalam pilihanraya. Terdapat retorik yang jelas tentang aktivisme tetapi akhirnya politik tertumpu dalam rangkuman isu-isu kelas pertengahan. S: Apakah isu-isu tentang Malaysia atau polisi yang sering diangkat dalam diskusi? J: Yang paling utama adalah isu tentang kebebasan agama. Ini hampir sama di kalangan semua gereja. Isu rasuah juga diketengahkan. Benar, wacana yang utama berkisar untuk membawa perubahan yang selari dengan nilai-nilai Kristian supaya Rakyat Kristian Malaysia dijadikan warga yang baik. Tetapi, tentunya tiada barisan Kristan yang padu di luar sana, tetapi hanya kecenderungan untuk membincangkan politik jelas terjelma sebagai tren yang luas. S: Apakah aspek kebebasan agama yang paling ditekan? J: Kepentingan menghormati batas perlembagaan, yakni artikel 11. Sejak tahun-tahun akhir ini, seperti yang kita tahu, beberapa kontroversi timbul dan ramai Kristian, bukan hanya Evangelical, merasa bahawa kerajaan telah menceroboh beberapa had kuasanya. Jadi masyarakat Kristian Malaysia berminat untuk mendirikan satu Malaysia yang lebih inklusif. S: Tetapi adakah tuntutan yang lebih konkrit diketengahkan, contohnya kebebasan untuk berkhutbah di media massa, atau perlindungan ke atas mereka yang berpindah agama? Bolehkah saudara mengemukakan contoh-contoh khusus. J: Tidak banyak yang dituntut dalam terma yang konkrit atau khusus. S: Kerana khuatir terhadap kesannya jika tuntutan yang lebih konkrit dibuat? J: Ya, jadi tuntutannya masih umum, kekal dalam kerangka kebebasan agama yang telah digariskan dalam perlembagaan. S: Jadi apa yang membuatkan PAS sebagai pakatan yang lebih kredibel dalam usaha saudara mengejar kebebasan agama? Tokoh-tokoh seperti Mat Sabu and Dzulkefly Ahmad pernah bercakap di gereja dan itu banyak membantu menghilangkan ketakutan. S: Najib pun ada pernah cuba untuk beramah dengan komuniti Kristian bukan? Masalahnya bukan Najib tetapi BN. Rakyat telah mual selepas 55 tahun. Tambahan pula, tidak kira apa anda katakan, PAS lebih bersih, paling kurang secara relatif. Apa yang penting adalah anda tidak boleh melihat pempolitikkan Rakyat Kristian Malaysia sebagai satu aliran yang terpisah daripada tren perubahan politik Malaysia dewasa ini. Penyertaan Kristian dalam politik merupakan sebahagian dari arus sentimen yang lebih besar yang telah letih dengan pemerintahan BN. S: Bagaimana dengan keseluruhan kontroversi Hudud? J: Menyentuh tentang Hudud, saya secara peribadi fikir itu semua retorik pada tahap ini. Kita harus berpegang pada perlembagaan. Saya amat hormati Islam sebagai agama persekutuan tetapi perlaksanaan Hudud menuntut perubahan minda yang drastik di kalangan golongan bukan-Islam, dan ini saya lihat tidak akan berlaku. Tentang perpindahan agama S: Kaum Melayu bimbang. Prasangka yang umum menjangka bahawa golongan yang bertanggungjawab memurtadkan orang Islam bukan penganut agama Buddha atau Hindu, tetapi agama Kristian. Dan sekiranya mereka perhati lebih dekat mereka akan dapati bahawa yang aktif menjalankan usaha pemurtadan bukan kelompok Katholik atau Lutheran tetapi kelompok Evangelical. Adakah prasangka ini betul? J: Kristian Evangelical tidak memurtadkan orang Melayu. Mereka tidak akan mencapai kepada kelompok Melayu. Saya tidak dapat bercakap tentang kumpulan Evangelical kecilan atau pinggiran, tetapi dalam rangka yang besar, by and large, ia tidak berlaku. Evangelical Kristian mengiktiraf bahawa majoriti di negara ini adalah Melayu-Islam. Jadi kita terima bahawa penyebaran agama hanya boleh berlaku di kalangan bukan-Melayu. Saya tidak pernah ke gereja di Malaysia ini dimana saya akan bertemu dengan individiu Melayu. Tentu seseorang dapat menunjuk kepada Lina Joy sebagai contoh, tetapi ini benar-benar satu kes yang amat jarang dan terkecuali. S: Tetapi jika itu benar mengapa terdapat begitu banyak protes terhadap pengharaman penggunaan kalimah “Allah” dalam Bahasa? J: Kontroversi ini sebenarnya lebih sensitif bagi Kristian di Sabah dan Sarawak yang memakai Bahasa Malaysia dalam ceramah dan servis mereka. Malah, terdapat konsensus yang kuat di kalangan Kristian di Semenanjung yang menyatakan bahawa ada ruang untuk bertolak ansur dalam hal ini. Ramai Kristian di semenanjung merasakan bahawa Allah bukan kalimah yang penting untuk mereka. Bagaimanapun, Kristian yang mempertahankan penggunaan kalimah Allah berhujah bahawa apa jua pun, Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan dan memandangkan kita rakyat Malaysia, mengapa tidak digunakan saja perkataan ini? Allah telah digunapakai oleh Kristian Arab sejak zaman yang panjang tanpa menimbul apa-apa kemusykilan, jadi apa masalahnya? Bahasa sepatutnya menjadi medium komunikasi kebangsaan, tetapi mengapa terdapat kawalan yang ketat terhadapnya? S: Jadi jika Evangelical tidak memurtadkan rumpun melayu mereka mesti mendakyahkan penginjilan kepada komuniti lain. Adakah terdapat ketegangan antara-gereja sebagai hasilnya. J: Ya, terdapat ketegangan yang jelas tetapi ia tidak merambahkan permusuhan. S: Saya bayangkan kelompok Katholik mungkin merasa kecewa. Proses penganutan agama mereka adalah jauh lebih kompleks dari proses penganutan agama Kristian Evangelical. Ia adalah seakan Katholik akan ketinggalan dalam meraih capaian penganut baru. J: Ya, tetapi saya akan menyatakan ini: gereja yang lebih tua makin lama makin lebih berunsur Evangelical dalam teologi dan pendekatannya. S: Seperti DUMC (Gereja Methodis Damansara Utama)? J: Seperti DUMC. Jadi anda temui gereja yang lebih terkemuka mengapungkan metod yang lebih moden. Mereka menggunakan muzik kontemporari, menangani isu harian yang praktikal dan menfokus lebih kepada Evanjelisme juga. Tetapi kerana mereka gereja yang tradisional yang berakar pada sesuatu sejarah dan hirarki yang tertentu mereka tidak dapat tangkas mara dengan proses modernisasi selancar kelompok Kristian Evangelical. Jadi memang ada persengketaan antara-gereja, tetapi ia tidak mengakibatkan krisis di dalam komuniti Kristian. Tetapi pertembungan yang paling besar adalah antara umat Kristian dengan penduduk bukan Islam bukan Melayu di Malaysia, terutamanya Hindu. Ketidakpuasan terhadap kelompok Kristian Evangelical disuarakan dengan jelas dalam komuniti Hindu, bahkan lebih dari komuniti Buddha. S: Apa yang anda rasa mencetuskan kontroversi DUMC? J: Dari apa yang saya tahu acara yang diserbu bukan acara yang dirancang DUMC. Ia dimobilisasi oleh organisasi yang berbeza yang hanya menggunakan ruang gereja. Jadi saya fikir kontroversi ini telah tersasar haluan dan tersilap dalam banyak hal. Tetapi, adalah malang sekiranya benar-benar terdapat bukti pemurtadan. Kadangkala beberapa Evangelical terlampau ghairah sampai terlupa kontrak sosial yang membentuk masyarakat Malaysia. Bagaimanapun, ia tidak merefleksi komuniti Kristian secara keseluruhan seperti yang saya katakan sebelumnya. S: Apakah pesanan anda kepada kaum Melayu dan Muslim? J: Fahami tradisi Kristian. Tragedinya adalah golongan Muslim dan Kristian telah menempuh jalan yang berlainan dan tidak lagi berinteraksi. Logika saya adalah kebanyakan Muslim cenderung mengaitkan Kristian Malaysia dengan Kristian dari Barat, tetapi mereka harus faham bahawa walaupun kepercayaan kita terbentur, sebagai rakyat Malaysia, kita mempunyai naratif sejarah dan pengalaman hidup yang sama. Golongan Kristian di Malaysia adalah lebih sensitif, prihatin dan bertimbang rasa dari apa yang biasa ditanggapi orang Melayu. Kita faham bagaimana negara ini dilakar dan dibangunkan. Kita tidak cuba memurtadkan orang Islam. Kita iktiraf sejarah bangsa dan perlambagaan negara. Akan selalu terdapat kumpulan pelampau, tetapi sedihnya ekstremisme memuntahkan ekstremisme.
]]>