Mark Zuckerberg menyatakan pendirian pro-LGBT yang diamalkan Facebook.[/caption]
#LoveWins – Jadi, Boikot LGBT?
Sejak awal pagi 27 Jun 2015, kita perhatikan ramai pengguna Facebook di Malaysia berlumba-lumba memuat naik foto profil menggunakan aplikasi Celebrate Pride yang menghiasi foto dengan jalur warna-warna pelangi.
Apa yang amat melucukan adalah hakikat ramai berbuat demikian tanpa tahu-menahu apa yang berlaku dan makna jalur warna pelangi itu. Ramai yang sekadar terikut-ikut, dan hanya sehari kemudian memahami makna sebenar.
Sehari sebelum itu, saya melihat paparan oleh pengasas Facebook, Mark Zuckerberg sempena “LGBT Pride Month” yang rupa-rupanya disambut setiap tahun pada bulan Jun.
Saya terjemahkan kata-katanya: “Facebook berasa bangga menyokong Pride, dan kakitangan kami di beberapa negara terlibat dalam mengatur acara serta menghiasi pejabat sebagai tanda sokongan.”
Zuckerberg berkongsi foto papan iklan besar di ibu pejabatnya. Saya pula berkongi paparan itu dengan pertanyaan: Apakah puak anti-LGBT akan mula menyahaktifkan akaun Facebook mereka?
Kejayaan yang sebenarnya diraikan menerusi paparan foto profil menggunakan aplikasi Celebrate Pride adalah berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat mengesahkan perkahwinan sama jantina.
Saya perhatikan empat kelompok yang memaparkan foto profil dengan jalur warna pelangi dalam kalangan orang Malaysia. Pertama, kelompok LGBT. Kedua, kelompok pro-LGBT (LGBT-ally).
Ketiga, kelompok yang tidak tahu makna perbuatan itu tetapi hanya terikut-ikut. Keempat, kelompok yang berseloroh dengan memaparkan foto Datuk Seri Anwar Ibrahim atau bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.
Saya bukan puak anti-LGBT. Saya ada rakan-rakan daripada kalangan LGBT dan saya memahami isu sebenar yang mereka hadapi setiap hari. Malah, saya pernah mewawancara beberapa LGBT dan menulis siri makalah yang boleh dirujuk di blog (www.uthayasb.blogspot.com).
Puak anti-LGBT sebenarnya kelompok yang berpura-pura dan melakukan kempen “Boikot Pilih-pilih” sama seperti yang dilakukan dari semasa ke semasa menerusi kempen memboikot Israel, McDonald’s, Starbucks dan sebagainya.
Sekiranya diperhatikan, puak yang benar-benar membenci LGBT dan segala perkara yang berkaitan dengan LGBT perlu turut memboikot segala produk Apple, Microsoft, Google dan Facebook.
Secara logik, puak anti-LGBT perlu mengharamkan diri masing-masing daripada menggunakan komputer, Internet, telefon pintar dan media sosial. Akan tetapi, tentulah puak berkenaan akan mencari 1,008 alasan untuk menuntut hak mereka menggunakan semua itu.
Warna-warna Pelangi – Perjuangan LGBT
Bendera berjalur tujuh warna pelangi ada cerita tersendiri. Rainbow Flag (Bendera Pelangi) itu direka oleh Gilbert Baker pada 1978 di San Francisco, Amerika Syarikat.
Sebelum itu, bendera warna merah jambu digunakan tetapi kurang disenangi kerana ada unsur Nazi. Baker tidak mahu mencipta logo atau lukisan; sebaliknya bendera yang boleh menjadi simbol antarabangsa bagi golongan LGBT.
Sebenarnya, pada masa kini, ada beberapa versi bendera bagi mewakili pelbagai kelompok LGBT. Misalnya, bagi kelompok transgender, gay, lesbian, biseksual, panseksual, aseksual, interseksual dan genderqueer. Malah ada bendera khas bagi golongan heteroseksual.
Kempen menyokong dan menuntut hak perkahwinan sama jantina sebenarnya bukan sesuatu yang baru. Sekiranya kita masih ingat, pada 2013, logo dengan simbol sama (=) dalam warna merah digunakan. Facebook melaporkan, tiga juta orang menggunakan simbol itu sebagai foto profil.
Bezanya, pada kali ini, foto sendiri yang dihasilkan dengan aplikasi penapis (filter) warna-warna pelangi bertujuan meraikan dan menyokong keputusan mahkamah di Amerika Syarikat dalam soal hal perkahwinan sama jantina.
Memanglah ramai yang membantah, mengutuk, menghina dan cuba melaknat sesiapa yang bersikap pro-LGBT, tidak anti-LGBT, atau termasuk dalam kelompok LGBT.
Pada pemerhatian saya, situasi dan tuntutan golongan LGBT dan pro-LGBT di Malaysia tidak sama dengan situasi di Amerika Syarikat. Ramai yang terkeliru dan seterusnya cuba mengelirukan orang ramai.
Tuntutan golongan LGBT di Malaysia lebih tertumpukan kepada hak dan pengiktirafan terhadap seksualiti mereka. Misalnya, seorang transgender mahu diiktiraf sebagai wanita. (Rujuk siri makalah di blog saya untuk penjelasan terperinci supaya tidak terkeliru.)
Memanglah wujud golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan sebagainya di negara ini. Realiti ini tidaklah menghairankan. Sama sahaja seperti realiti wujudnya politikus yang menipu, merapu, mencuri wang rakyat, kaki rasuah, kaki perempuan dan sebagainya.
Sebut sahaja LGBT, ramai yang terus mengaitkan golongan itu dengan seks, pesta seks, dan seks rambang. Ternyata otak kotor yang dimiliki puak seperti ini tidak memungkinkan mereka melihat di luar lingkaran seks!
[caption id="attachment_4875" align="aligncenter" width="387"]
Simbol ini popular di media sosial sejak 2013.[/caption]
Muhasabah Diri – LGBT Juga Manusia, Jangan Fikir Seks Sahaja
Acara Seksualiti Merdeka yang pernah diharamkan menjadi salah satu contoh dalam hal ini. Apabila mata, fikiran, otak, hati, paru-paru, alat kelamin dan seluruh tubuh seseorang sudah tepu dengan seks dan seks semata-mata, maka amat mudah untuk mereka melihat golongan LGBT dari sudut seks semata-mata.
Apabila kita melihat golongan heteroseksual, mereka juga ada naluri seks. Ada perogol, ada penzina, ada pengamal seks rambang. Akan tetapi, setiap kali melihat atau memperkatakan mengenai golongan heteroseksual, apakah kita hanya mengaitkan mereka dengan seks, seks dan seks semata-mata?
Lalu, mengapa pula apabila bercakap mengenai LGBT, kita asyik mengaitkan seluruh kehidupan mereka dengan seks, seks dan seks semata-mata? Mengapa kita gagal melihat mereka sebagai manusia?
Cara paling mudah adalah dengan menuduh golongan LGBT sebagai melawan hukum Allah. Tiba-tiba manusia menjadi pakar agama; malah seolah-olah sudah menjadi pengganti kepada Allah di atas bumi.
Kita sering terkeliru apabila membicarakan isu berkaitan LGBT. Selama ini kita hanya melihat mereka sebagai pengamal seks. Seolah-oleh aktiviti mereka 24 jam sehari hanyalah mengadakan hubungan seks!
Kita gagal untuk melihat pelbagai isu, kekangan, rintangan, tekanan, kezaliman, penindasan dan persoalan lain yang sedang diperjuangkan oleh golongan LGBT demi menuntut hak kehidupan sebagai manusia; sebagai ciptaan Allah di muka bumi.
Biasanya, golongan yang melakukan penentangan secara berlebih-lebihan adalah puak yang menyimpan “rahsia peribadi” – sama ada berkaitan dengan diri sendiri atau ahli keluarga.
Puak penentang juga biasanya cuba menutup kejahilan mereka terhadap isu kemanusiaan yang melingkari golongan LGBT dengan memaparkan imej hitam, legam dan negatif mengenai LGBT.
Sebagai permulaan, apa kata para pengguna Facebook yang “tersilap” memaparkan foto profil dengan penapis Bendera Pelangi cuba memahami jiwa golongan LGBT.
Jika malu untuk bersemuka untuk berbual dengan individu LGBT, manfaatkan sahaja media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan WeChat. Daripada melontaran tuduhan tidak berasas, lebih baik ambil masa beberapa minit untuk mendengar kisah sebenar.
Mulakan dengan berkomunikasi bersama individu LGBT atau pro-LGBT dalam kalangan ahli keluarga dan sanak-saudara sendiri. Kongsikanlah pengalaman itu nanti di Facebook untuk renungan kita bersama.
Kolem 3D – Tradisi India di Zaman Baru
Ruben membuat kolem sepanjang 18 meter di MidValley sempena Deepavali pada tahun lalu[/caption]
Kolem? Apa Simboliknya
Orang ramai yang berkunjung ke pusat beli-belah MidValley menjelang sambutan Deepavali pada tahun lalu melahirkan kekaguman melihat rekaan kolem pelbagai warna bersaiz 18 x 4.5 meter (60 x 15 kaki) yang menghiasi ruang legar.
Rasa hairan dan kagum bertambah apabila mereka menyedari bahawa individu yang mengusahakan kolem tiga dimensi (3D) itu adalah seorang pemuda berumur 28 tahun.
Kreativiti yang digunakan oleh Ruben Prakash dan rakan-rakannya untuk menghasilkan lukisan kolem yang cantik dan berwarna-warni itu ternyata menarik minat pengunjung pelbagai kaum lebih mengenali seni rekaan kolem.
Perkataan kolem dalam Bahasa Tamil membawa makna “indah” atau “cantik”. Penduduk di bahagian India Utara menggunakan istilah ranggoli yang biasa didengar dalam filem-filem Bollywood.
Tradisi rekaan kolem pada lantai dan kaki lima di depan rumah menjadi amalan dalam kalangan gadis dan wanita kaum India sejak ribuan tahun dahulu. Amalan itu berbalik kepada ajaran dharma atau kebajikan yang menjadi salah satu perkara penting dalam Sanathana Dharma (Hinduisme).
[caption id="attachment_4708" align="alignleft" width="400"]
Beras hancur dicampur pewarna makanan[/caption]
Pada zaman dahulu, golongan wanita India lebih banyak menghabiskan masa membuat kerja-kerja rumah dan menjaga keluarga. Maka, peluang untuk mereka terlibat dalam aktiviti kebajikan (dharma) dalam masyarakat umum sangat kurang.
Bagi mengatasi kekurangan itu, mereka mula mencipta corak kolem menggunakan serbuk tepung beras pada lantai. Senireka berwarna putih ini bukan hanya cantik dipandang, malah menjadi sumber makanan bagi serangga kecil, semut dan burung. Maka, golongan wanita juga berpeluang melakukan kebajikan yang dituntut dalam ajaran Hindu.
Sejarah ini dijelaskan secara ringkas oleh Retna Devi Balan menerusi sebuah makalah yang disiarkan dalam majalah Dewan Budaya keluaran September 1997. Katanya, selain daripada beras dan tepung beras, bahan-bahan lain yang selalu digunakan adalah kerisik kelapa, biji sagu, kacang hijau dan bunga.
Menurut Ruben yang tinggal di Puchong, Selangor, ada juga pembuat kolem yang turut menggunakan rempah-ratus tradisional India seperti bunga cengkih, kayu manis dan serbuk kunyit dalam usaha menghasilkan kolem yang unik serta menampilkan kekayaan tradisi.
“Saya menggunakan pewarna makanan untuk dicampurkan pada serbuk beras bagi menghasilkan corak pelbagai warna. Hal ini penting bagi memastikan bahawa tujuan asal rekaan kolem tidak terabai; iaitu memberikan makanan kepada serangga kecil dan semut,” kata graduan bidang reka bentuk grafik dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya.
Ada juga kedai menjual serbuk kolem pelbagai warna yang dicampur bahan kimia. Corak kolem yang terhasil memang cantik tetapi selepas beberapa hari, bahan kolem itu terpaksa dibuang kerana serangga tidak akan memakannya. Maknanya, rekaan kolem itu hanya untuk hiasan dan tidak lagi memenuhi tujuan asal memberi makan kepada serangga dan burung.
Tradisi Tidak Lupus di Tangan Pemuda
[caption id="attachment_4712" align="alignleft" width="201"]
Ruben Prakash[/caption]
Apabila Ruben diundang membuat kolem khas di MidValley pada tahun lalu, dia memastikan hanya bahan-bahan asli digunakan. Maknanya, hanya beras hancur dan pewarna makanan yang selamat dimakan digunakan.
“Awal-awal lagi saya sudah memberitahu pihak pengurusan bahawa apabila pameran berakhir beberapa minggu kemudian, beras warna itu jangan dibuang ke dalam tong sampah. Sebaliknya diberikan kepada serangga atau burung,” kata pemuda itu yang turut meminati bidang tarian, karate dan yoga.
Ruben tinggal di Persatuan Pure Life, Jalan Puchong sejak berumur sembilan tahun. Pada waktu itulah saya mengenalinya apabila beberapa kali Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan aktiviti Baca Cerpen Kavyan dan Apresiasi Sastera Remaja.
Semasa tinggal di Persatuan Pure Life, Ruben tertarik untuk mempelajari tarian tradisional etnik Tamil iaitu bharatanatyam. Pemuda ini turut belajar joget, tarian kipas, kathak, ngajat dan kathakali.
“Semasa tinggal di Persatuan Pure Life, saya belajar sendiri teknik rekaan kolem asas menggunakan tepung beras. Kemudian, seorang sukarelawan wanita yang datang dari India mengajar saya cara-cara menghasilkan kolem yang pelbagai,” kata Ruben yang menggunakan daya kreativiti dan imaginasi bagi menghasilkan pelbagai rekaan dan corak kolem.
Corak merak, bunga, lukisan abstrak, angsa, teratai dan wajah penari kathakali sering menjadi pilihan orang ramai yang mengundangnya membuat kolem sempena majlis perkahwinan, pertunangan, upacara keagamaan atau sekadar hiasan pada majlis kebudayaan.
Tidak ada saiz standard untuk rekaan kolem. Apa yang pasti, kolem biasanya berbentuk simetri. Kolem paling asas adalah dengan meletakkan empat titik pada lantai menggunakan serbuk tepung beras yang dicairkan dengan sedikit air. Kemudian, jari digunakan untuk membentuk corak garisan beralun mengelilingi titik-titik berkenaan.
[caption id="attachment_4711" align="aligncenter" width="502"]
Penghuni Persatuan Pure Life belajar membuat kolem ringkas[/caption]
Pada Mei 2003, sekumpulan 30 pelajar pelbagai kaum dari Kolej Prime USJ (kini Kolej SEGi) menghasilkan kolem 102.5 x 1.2 meter. Kolem dengan motif merak itu menggunakan sekitar 800 kilogram kerisik kelapa yang dikeringkan sebelum dicampurkan dengan pewarna ungu, kuning, hitam, putih, biru dan hijau. Kejayaan para pelajar tersebut turut mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records.
Pada tahun 2008, Ruben mendaftarkan Mangalam Creation yang berpengkhususan dalam kerja-kerja penghasilan kolem. Pemilihan nama adalah sempena Datin Paduka A. Mangalam yang mengendalikan Persatuan Pure Life dan menjadi sumber inspirasi serta pemberi semangat kepada Ruben sejak mula-mula tinggal di rumah anak yatim itu.
Sekumpulan remaja dari Persatuan Pure Life juga terlibat dalam aktiviti rekaan kolem bersama Ruben di bawah Mangalam Creation. Malah, beberapa anak didiknya memenangi pertandingan rekaan kolem dari semasa ke semasa. Segala kejayaan ini tidaklah menghairankan jika kita berpeluang melihat sendiri keunikan dan keistimewaan kolem yang dihasilkan.
Meneruskan Tradisi India di Zaman Baru
Salah satu corak menarik adalah kolem tiga dimensi (3D) yang menggabungkan seni reka visual tiga dimensi dengan rekaan kolem dua dimensi. Hasilnya adalah kolem yang seolah-olah benar-benar muncul dan timbul secara tiga dimensi pada permukaan lantai.
[caption id="attachment_4709" align="aligncenter" width="602"]
Kolem tiga dimensi seperti ini mendapat sambutan hangat[/caption]
Contohnya, bahagian kepala dan leher merak dibuat dalam bentuk 3D menggunakan polistirena. Bahan-bahan kolem pelbagai warna dilekatkan pada permukaan kepala dan leher merak itu mengikut corak yang sesuai.
Kemudian, bahagian kepala 3D itu diletakkan secara menegak di atas lantai. Rekaan kolem bagi badan, sayap dan ekor merak dibuat penuh indah pada lantai. Maka terhasillah kolem 3D yang menggambarkan seekor merak mengigal megah.
Menurut Ruben, corak kolem 3D yang sering dibuat olehnya adalah merak, gajah dan bunga teratai. Orang ramai yang mengundangnya membuat kolem sempena majlis perkahwinan, pertunangan, ponggal, tahun baru, Vishu, Ugadi dan Deepavali sering meminta pemuda itu menggunakan daya kreativiti bagi menghasilkan corak serta rekaan kolem yang lain daripada yang lain.
Hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa ramai juga generasi muda kaum India yang tidak tahu mencipta kolem. Ada juga wanita yang memberikan alasan tiada masa kerana sibuk dengan kerja, atau tidak cukup ruang di rumah yang sempit; apatah lagi jika tinggal di rumah pangsa.
Pada masa yang sama, bagi mengekalkan tradisi dan budaya, ramai yang menggunakan kolem tiruan berbentuk pelekat. Sayangnya kolem jenis ini tidak memenuhi niat asal mencipta kolem iaitu melakukan kebajikan dengan memberi makan kepada semut, serangga kecil dan burung.
Ramai pula yang memanfaatkan ruang kecil di rumah untuk mencipta kolem yang kecil, kemas dan cantik dengan menggunakan daya kreativiti dan imaginasi. Lampu kecil dan bunga-bungaan ditambah untuk menaikkan seri pada kolem kecil yang dibentuk. Perkembangan ini menunjukkan bahawa kesedaran terhadap nilai tradisional semakin meningkat di kalangan generasi muda.
Bagi mereka yang kekurangan idea, terdapat banyak buku terbitan India yang mengumpulkan pelbagai corak kolem serta memberikan panduan asas rekaan kolem. Ruben mengaku sering merujuk pelbagai buku seperti itu bagi mendapatkan idea dan inspirasi untuk menghasilkan corak-corak baru mengikut citarasa semasa.
Menurut Ruben, dengan adanya YouTube, orang ramai bukan sahaja boleh belajar memasak makanan pelbagai negara, tetapi juga cara mengikat sari dan membuat kolem. Generasi muda yang celik komputer dan teknologi maklumat (IT) pasti teruja untuk belajar menghasilkan kolem secara mudah.
Buat masa ini, Ruben menggunakan masa lapang untuk mengajar sekumpulan kanak-kanak dan remaja di Persatuan Pure Life menciptakan kolem dan membuat pelbagai barangan perhiasan bagi acara kebudayaan India.
Katanya, selain merupakan suatu sumbangan kecil kepada rumah anak-anak yatim yang menjadi tempat tinggalnya sejak berumur sembilan tahun, kelas rekaan kolem ini juga membantu mengisi masa lapang penghuni dengan aktiviti berguna.
Dengan adanya semangat meraikan kepelbagaian, memupuk persefahaman dan mengeratkan perpaduan, masyarakat pelbagai kaum dan etnik juga menunjukkan minat untuk mempelajari seni membuat kolem yang menjadi salah satu identiti kebanggaan kaum India.
Al-Quran Percuma dan 'Anticipatory Bail'
Al-Quran terjemahan pelbagai bahasa ada di seluruh dunia.[/caption]
Program One Soul One Quran di bawah Yayasan Maklumat dan Khidmat Islamik (IIS) dilancarkan pada Januari 2015 kononnya dalam usaha “membantu menangani masalah salah faham mengenai mesej Al-Quran dan ajaran Islam sebenar.”
Menurut pengarah projek, Sabariah Abdullah, pengedaran Al-Quran terjemahan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin kepada orang awam Bukan Islam dilaksanakan selama empat setengah bulan, iaitu sehingga Jun 2019, dan melibatkan anggaran perbelanjaan mencecah RM11.5 juta.
Secara paling mudah dan spontan, saya suka menyarankan supaya wang sebanyak itu dimanfaatkan untuk membimbing serta memulihkan insan-insan sesat seperti Ridhuan Tee Abdullah, Perkasa dan ISMA supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Hal ini penting kerana segala usaha “membantu menangani masalah salah faham mengenai mesej Al-Quran dan ajaran Islam sebenar” terhalang dan musnah akibat dakyah serta kempen anti-dakwah yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar oleh puak fanatik, etnosentrik, ultra kiasu dan pelampau seperti mereka. Kalaulah “pembetulan” dan “pemulihan” dapatkan dilakukan pada peringkat akar umbi dan pada puncanya sendiri, maka tidak timbul masalah orang Bukan Islam salah anggap terhadap ajaran Islam. Secara mudah, mana mungkin masyarakat awam mendapat gambaran positif dan sebenar mengenai kesucian dan kehebatan Islam selagi wujud manusia seperti Ridhuan Tee serta orang-orang kuat dalam ISMA, Perkasa dan sekutunya? Dalam pada itu, walaupun sudah beberapa bulan sejak projek penyebaran dan pengedaran Al-Quran dimulakan, nampaknya pihak berkenaan masih teraba-raba dalam kegelapan. Perkembangan ini membuktikan bahawa seperti biasa, kita hanya pandai melancarkan sesuatu tanpa perancangan teliti. Apatah lagi dalam perkara melibatkan isu-isu sensitif berkaitan agama dan kitab agama. Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara mudah memberikan penyelesaian bahawa “penganut Bukan Islam boleh memulangkan semula salinan Al-Quran yang diberikan” jika tidak berminat untuk menerimanya. Ketahui Punca Al-Quran Percuma Ditolak Soalan pertama: Apa perlunya orang Bukan Islam terbabit menerima kitab berkenaan jika mereka memang tidak berminat untuk memiliki dan membacanya? Mengapa mereka perlu menanggung beban memulangkannya semula? Soalan kedua: Kepada siapakah kitab itu perlu dipulangkan? Kepada pengedar di tepi jalan, ke masjid atau kepada jiran-tetangga beragama Islam? Bayangkan reaksi jiran beragama Islam jika orang Bukan Islam menyerahkan Al-Quran kepadanya! Nescaya disangka ada muslihat menyebarkan agama lain kepada mereka! Timbul pula isu kerana dalam insiden pengedaran Al-Quran yang dilaporkan oleh Young Buddhist Association of Malaysia berlaku di sekitar Klang, baru-baru ini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Jadi, kepada siapa mahu dipulangkan kitab berkenaan jika orang Bukan Islam tidak mahu memilikinya? Tidak ada pihak yang mengaku mengedarkannya. Maka, apakah mahu dibuang ke dalam laut, sungai, tong sampah, atau dibakar sahaja? Demikian antara persoalan dan kebimbangan yang diluahkan oleh rakan-rakan menerusi mesej peribadi kepada saya berikutan penyiaran makalah bertajuk “Kenapa Bukan Islam Menolak Al-Quran Percuma?” (Kuala Lumpur Post, 5 Mac 2015). Walaupun saya secara peribadi tidak bermasalah – malah mengalu-alukan – menerima sumbangan Al-Quran versi Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin, saya juga tetap memahami kebimbangan yang diluahkan oleh orang ramai dalam isu ini. Bantahan dan kebimbangan pihak-pihak seperti Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST), Malaysia Hindu Sangam (MHS) dan Young Buddhist Association of Malaysia memang sangat berasas. Saya memahami pendirian mereka. Walaupun Perkara 3 dalam Perlembagaan memberikan jaminan agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai di seluruh negara, badan-badan agama serta penganut Bukan Islam sedar bahawa mereka tidak terlepas atau bebas daripada dakwah Islam dalam pelbagai cara. Saya percaya atas alasan itulah juga MCCBCHST menyeru penduduk Bukan Islam supaya tidak menerima Al-Quran yang diedarkan kerana dibimbangi “bakal menggugat kepercayaan penganut bukan Muslim.” Dalam hal ini, tentu sahaja “jaminan” yang diberikan oleh ahli jawatankuasa Biro Tarbiyyah ISMA, Mohd Azizie Hasan bahawa “tidak timbul langsung isu untuk memaksa orang bukan Islam memeluk Islam” tidak sedikit pun membantu menjernihkan keadaan. Antara Prejudis dan Niat Tersembunyi Saya secara peribadi tidak percaya pada “jaminan” ISMA. Hal ini adalah kerana apabila saya menyatakan bahawa Nabi Muhammad adalah satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi, ISMA terus “menyeru” saya masuk Islam (IsmaWeb, 19 Julai 2013). Maka, apabila orang Bukan Islam menerima Al-Quran yang diedarkan secara percuma, menelitinya dengan niat murni, lalu menyatakan kekaguman terhadap nilai-nilai liberal yang terkandung dalam Islam, pasti ISMA dan sekutunya akan segera memaksa (“menyeru”) individu terbabit terus masuk Islam. Berdasarkan alasan seperti ini serta pengalaman saya sendiri sejak kanak-kanak, maka saya amat memahami kebimbangan yang diluahkan oleh pertubuhan dan individu Bukan Islam. Seperti ditegaskan MCCBCHST, Perkara 11 (4) sepatutnya digunakan sebagai pelindung penganut Islam, tetapi tidak boleh digunakan untuk menyebarkan Islam kepada orang Bukan Islam. Sekiranya itulah “niat tersembunyi” – seperti diyakini rata-rata orang Bukan Islam yang menghubungi saya – maka wajarlah mereka berhati-hati (bukan “prejudis”) demi mempertahankan agama sendiri mengikut peruntukan sah dalam Perlembagaan. Tambahan pula, pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Ahmad Farouk Musa dilaporkan berkata, “pilihan masih di tangan individu bukan Islam sama ada untuk menerima kitab Al-Quran terjemahan itu atau tidak.” Kenyataan ini juga membuktikan bahawa pertubuhan dan individu Bukan Islam berhak untuk awal-awal lagi membuat kenyataan rasmi – semacam mendapatkan anticipatory bail dalam filem Tamil – bagi mengelakkan sebarang kerumitan, kesukaran dan masalah yang mungkin timbul pada kemudian hari. Bak kata pepatah Melayu: Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Maka, saya tidak nampak apa-apa alasan untuk mengkritik, menidakkan atau menghina pendirian badan-badan seperti MCCBCHST dan MHS. Mereka berhak untuk berkata “Thanks, but no thanks” sejak awal sebelum sejuta naskhah Al-Quran percuma diedarkan kepada orang awam Bukan Islam. Saya pula gembira menerima senaskhah The Holy Quran daripada rakan-rakan dari Jemaat Ahmadiyyah Muslim Malaysia. Versi ini agak membantu kerana mengekalkan teks Arab serta diberikan terjemahan Inggeris dan ulasan ringkas. Cadangan dan Saranan Rakan-rakan Dalam pada itu, saya masih tertunggu-tunggu pihak IIS menyumbangkan Al-Quran dalam keempat-empat bahasa sebagai rujukan peribadi dan koleksi di perpustakaan mini Rumah Kavyan yang merupakan pusat aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya. Seorang guru dari Jelebu, Negeri Sembilan, Jazilah Ramly, bersetuju dengan cadangan saya supaya Al-Quran yang diterjemahkan itu diedarkan ke perpustakaan awam dan desa di seluruh negara. Maka, sesiapa yang berminat boleh membacanya tanpa sekatan atau paksaan. Tambahan pula, Al-Quran memang sudah diterjemahkan ke pelbagai bahasa seluruh dunia. Malaysia bukan negara pertama yang melakukannya. “Mungkin pengedarannya boleh diluaskan kepada pertubuhan atau persatuan agama-agama Bukan Islam di seluruh negara. Ini langkah lebih baik untuk membantu usaha mengenali Al-Quran seperti diharapkan,” katanya. Jazilah juga bersetuju bahawa langkah “mengenali” agama haruslah berciri dua hala. Beliau mengaku memiliki beberapa buah Bible dalam versi Bahasa Malaysia dan Inggeris. “Saya sendiri sangat ingin memiliki bahan bacaan berkaitan agama-agama lain daripada sumber agama itu sendiri, seperti agama Sikh, Hindu dan Buddha,” katanya. Walaupun memang ada banyak buku mengenai agama-agama Bukan Islam yang ditulis dari kaca mata Islam, tentulah lebih baik dan afdal jika versi dari kaca mata agama asal itu sendiri dibaca untuk meningkatkan pemahaman. Sekurang-kurangnya boleh mengelakkan sebarang bentuk manipulasi fakta dan kandungan kitab suci seperti yang khabarnya sering dilakukan orang-orang seperti Zakir Naik. [caption id="attachment_4537" align="alignleft" width="225"]


Memahami hujah “Jesus adalah Muslim”
multifaith – percaya pada kebaikan dalam semua agama – saya juga berusaha memahami kisah Jesus dari perspektif Islam, iaitu berdasarkan sumber Al-Quran.
Secara asas, kita perlu faham bahawa sejak kecil, orang Melayu-Islam di Malaysia diperkenalkan kepada Al-Quran, Hadis dan Sunah. Kebanyakan daripada mereka tidak pernah berpeluang mengenali kandungan ajaran agama-agama lain.
Maka, sikap empati (bukan simpati) perlu dimiliki untuk memahami mengapa orang Islam tidak dapat memahami – apatah lagi menerima – fakta-fakta mengenai Jesus dari sudut ajaran Kristian dan Bible.
Perbincangan di sini tidak bertujuan mencari siapa yang betul dan siapa yang salah. Sebaliknya membuka peluang kepada orang ramai memahami mengapa orang Islam berpegang teguh pada kepercayaan bahawa Jesus sebenarnya beragama Islam, dan ajaran yang disampaikan oleh Baginda juga dakwah Islam.
Dari sudut penelitian orang Islam, ada pelbagai dalil yang membuktikan hakikat Jesus sebenarnya beragama Islam. Umat Islam mempercayai serta mengaku Jesus sebagai nabi dan rasul. Baginda diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan wahyu kepada Bani Israel; sebagaimana boleh dirujuk dalam Surah Ali Imran (Ayat 48-49).
Jesus adalah manusia biasa – bukan “anak Tuhan” atau “Son of God” – dan diakui orang Islam sebagai rasul ke-24. Ahmad Iqram Mohamad Noor dalam buku Misteri Bahtera Nabi Nuh (2014) menjelaskan bahawa terdapat 313 rasul dan setiap rasul wajib menyampaikan ajaran yang diwahyukan Allah kepada kaumnya.
Dalam buku itu juga dinyatakan jumlah nabi yang diutuskan Allah adalah 124,000 orang. Seorang nabi menerima wahyu untuk diri sendiri dan tidak wajib menyampaikannya kepada orang lain. Mereka juga hanya mengikut syariat yang sudah dibawakan rasul-rasul terdahulu; bukannya membawa syariat baru daripada Allah.
Menurut pandangan Islam iaitu agama tauhid yang terakhir, Jesus bukan setakat nabi tetapi seorang rasul. Jesus tidak pernah mengatakan Baginda anak Allah dan baginda juga tidak menyembah berhala. Jesus menyampaikan ajaran tauhid iaitu menyembah Tuhan yang esa (tunggal).
Jesus tidak menyampaikan ajaran Kristian?
“Jesus adalah seorang Muslim. Dia beriman kepada Allah. Dia mengesakan Allah. Ajaran yang disampaikan oleh beliau sama seperti ajaran yang disampaikan oleh Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Daud, Nabi Ishak, Nabi Ismail, Nabi Musa, dan nabi-nabi yang lain.”
Demikian hujah Jaafar Siddiq @ Muhammad Jaya dari Indonesia dalam bukunya yang diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia dengan judul Jesus Adalah Muslim? (2013). Beliau juga menulis buku berjudul Ternyata Nabi Muhammad Saw Tidak Buta Huruf dan Ternyata Yesus Muslim.
[caption id="attachment_4458" align="alignleft" width="300"] Kedua-dua buku ini turut menyentuh mengenai Jesus dan Kristian.[/caption]
Kalau Jesus beragama Islam, bagaimana dengan kepercayaan orang Kristian? Dari perspektif orang Islam, Jesus bukan orang Kristian atau Nasrani. Apa yang dikenali sebagai ajaran Kristian pada hari ini sebenarnya berasaskan ajaran yang diperkenalkan oleh Paul selepas kewafatan Jesus.
Kisah Barnabas dan Saul (Paul) dalam Acts (11: 25-26) sering digunakan sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa Jesus tidak menyampaikan ajaran Kristian. Sebaliknya Paul dan Barnabas (atau pengikut mereka berdua) yang menyampaikan ajaran Kristian.
Jaafar Siddiq menerangkan bahawa dalam akidah Islam, Jesus bukan pembawa agama Kristian tetapi agama Nasrani. Ajaran Nasrani oleh Jesus tidak sama dengan ajaran Kristian yang dikembangkan oleh Paul dan pengikutnya selepas kewafatan Jesus.
Dalam Bible sendiri, perkataan “Kristian” tidak digunakan. Jesus dan 12 anak murid Baginda tidak pernah mengiktiraf diri mereka sebagai orang Kristian atau penganut ajaran Kristian.
Surah Maryam (Ayat 30) dan Surah An-Nisa (Ayat 172) dijadikan bukti untuk menunjukkan Jesus adalah hamba Allah dan nabi yang menyampaikan syariat Islam kepada Bani Israel.
Kitab Zabur, Taurat, Bible dan Al-Quran diturunkan oleh Allah kepada nabi yang berbeza pada masa/zaman yang berbeza. Akan tetapi, syariat, hukum dan ajaran yang terkandung dalam wahyu kepada Nabi Daud, Nabi Musa, Jesus dan Rasulullah adalah sama.
Memandangkan Jesus beriman kepada Allah dan menyampaikan ajaran tauhid, maka Baginda adalah seorang Muslim. Ajaran dalam kitab Taurat sepatutnya sama dengan Bible, dan ajaran dalam Bible sepatutnya sama dengan Al-Quran.
Bible bukan bersumberkan Jesus!
Pandangan yang disepakati orang Islam adalah bahawa sebagaimana Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan Nabi Musa berpegang pada ajaran tauhid serta merupakan penganut Islam kerana menyerah diri kepada Allah, maka begitulah juga dengan Jesus.
“Dalam ajaran Islam, semua rasul adalah beragama Islam kerana mereka menyeru supaya mengesakan Tuhan yang satu iaitu Allah,” kata Jaafar Siddiq dalam bukunya.
Kata-kata di atas perlu sentiasa diingat apabila berinteraksi dengan rakan-rakan Islam; apatah lagi jika berbahas mengenai perbezaan pandangan antara ajaran Islam dengan agama-agama lain.
Orang Islam mengakui bahawa Taurat, Bible dan Al-Quran adalah daripada Allah. Ketiga-tiganya menyeru umat mengesakan Allah. Malah ada persamaan pada ibadat dalam ketiga-tiganya.
Abu Sofeya dalam bukunya, Islam Menjawab 20 Hujah Mubaligh Kristian (2014), menyebut bahawa orientalis barat dan mubaligh Kristian “sedaya upaya mengkaji demi membuktikan Al-Quran bukan datang daripada Allah tetapi ia adalah ciptaan Nabi Muhammad.”
“Ajaran yang disampaikan oleh Jesus sebenarnya sama seperti ajaran Yahudi dan Islam. Ajaran Kristian yang ada kini adalah ajaran yang sesat dan menyimpang daripada ajaran Isa Al-Masih atau Jesus. Ia juga menyimpang daripada apa yang diwahyukan oleh Allah,” Jaafar Siddiq menegaskan dalam bukunya.
Surah At-Takwir (Ayat 25) menjadi bukti bahawa keseluruhan kandungan Al-Quran adalah firman dan wahyu daripada Allah. Kandungannya kekal seperti yang disampaikan oleh Allah kepada Nabi Muhammad.
Sementara itu, orang Islam percaya bahawa Bible yang ada sekarang bukan firman dan wahyu Allah. Umat Islam percaya Bible, khususnya Perjanjian Baru, yang ditulis oleh Matthew, Mark, Luke dan John serta diperakukan oleh gereja, bukan bersumberkan Jesus.
Maknanya, kitab Injil yang diturunkan oleh Allah kepada Jesus tidak sama dengan Bible yang menjadi pegangan penganut Kristian sekarang. Malah, Jesus yang dikenali oleh orang Kristian menerusi Bible bukan Jesus sebenar (Nabi Isa) yang diutuskan oleh Allah.
Penganut Kristian mula marah dan tersinggung
“Para syaitan bersembunyi di sebalik nama agama-agama tauhid yang telah berjaya disesatkan iaitu agama Hindu, Buddha, Zoroasterinisme, Taoisme, Confucianisme, Yahudinisme, Kristianisme dan lain-lain istilah purba yang pada zaman moden ini telah sangat dikenalpasti oleh umat Islam sebagai agama-agama yang sesat.”
Demikian hujah Kamaludin Endol dalam bukunya, Gautama Buddha Seorang Nabi? (2014) sambil turut menyatakan “adanya campur tangan Iblis dan syaitan yang memperalatkan ahli-ahli agama purba bagi membuat rombakan di sana sini demi kepentingan peribadi mereka” serta “kitab Taurat dan Injil berada dalam kesesatan yang nyata”.
Pelbagai hujah digunakan oleh umat Islam untuk membuktikan bahawa Jesus beragama Islam serta ajaran yang disampaikan oleh Baginda kepada Bani Israel sama seperti ajaran Islam.
Berbeza dengan amalan orang Kristian sekarang yang menguburkan jenazah dengan pelbagai pakaian, jenazah Jesus dikafankan oleh Joseph menggunakan kain putih.
Cara berwuduk, bersembahyang, berpuasa, bersedekah dan membayar zakat misalnya sama dalam Islam dan ajaran asal yang dibawakan Jesus. Segala amalan Nabi Musa, Jesus dan Nabi Muhammad dijadikan bukti untuk menunjukkan bahawa mereka adalah Muslim yang menyerah diri kepada Allah.
Seperti yang sudah dinyatakan sejak awal, segala perbincangan dalam makalah ini adalah dari sudut pandangan orang Islam. Hujah-hujah di sini mungkin – malah pasti – disanggah orang Kristian.
Buku Jesus Adalah Muslim? sudah pun mendapat kritikan sekelompok penganut Kristian dari Bintulu, Sarawak. Kumpulan Fiat Youth Bintulu dalam catatan blog bertarikh 15 Oktober 2013 menyatakan pendapat bahawa buku berkenaan tidak patut diterbitkan dan dijual di Malaysia kerana “menyinggung sentimen agama” dan “menghina penganut agama Kristian”.
“Apabila individu tertentu merasakan dirinya hebat dan betul dan cuba untuk mengusahakan sesuatu agar memisahkan kelompok agama yang terbesar di dunia, dia sendiri sebenarnya kafir apatah lagi tindakannya boleh menyebabkan sesebuah negara bertelagah sesama sendiri kerana sentimen sensitif ini,” kata catatan di blog berkenaan.
Perkongsian pandangan menerusi makalah pendek ini bertujuan membantu masyarakat pelbagai kaum dan agama meningkatkan sikap empati supaya mampu memahami pendirian, pegangan dan hujah rakan-rakan Islam dalam soal Kristian, Bible dan Jesus.
Pada masa sama, dengan semangat meraikan perbezaan dan kepelbagaian, tentu sahaja dialog, perbahasan, polemik dan perkongsian pendapat secara intelektual dalam kalangan masyarakat amat dialu-alukan demi mencari kebenaran.
Kisah Sin Kheh menjadi raja
blurb (kulit belakang) kumpulan cerpen Bendera Putih (2015) oleh Chai Loon Guan segera mengingatkan saya kepada novel Interlok: Edisi Murid (2010).
Ramai sedia maklum bahawa novel karya Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi besar sepanjang 2011. Ada puak yang mendesak novel itu diharamkan dan ada puak yang mengambil kesempatan demi keuntungan politik perkauman.
Apa yang mungkin tidak diketahui ramai adalah bahawa salah seorang anggota panel yang dilantik Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin temah mengemukakan usul bertulis supaya 20 halaman novel edisi murid itu dibuang.
Alasan yang dikemukakan oleh Dr Lim Swee Tin adalah “novel ini terlalu panjang” dan “bahagian yang disunting (digugurkan) tidak mengganggu kelicinan cerita.”
Halaman yang dicadangkan supaya dibuang termasuk kisah keluarga Cing Huat di halaman 102-109 (8 halaman) yang melibatkan “bahagian awal dengan beberapa peristiwa di negeri [sic] China”.
Maka, kisah hanya bermula apabila watak Kim Lock dan anaknya, Cing Huat, memutuskan untuk meninggalkan China dan kapal yang dinaiki di Amoy berlayar melepasi Hong Kong dan akhirnya tiba di Sin-cia-pu (Singapura).
Chai Loon Guan amat bernasib baik kerana kisah watak utama dalam cerpennya hanya bermula selepas kapal dari Tanah Besar (China) berlabuh di Pura Singa (Singapura).
Tiga daripada sebelas cerpen dalam buku ini menampilkan watak yang sama tetapi dalam latar masa, tempat dan suasana yang berbeza. Ketiga-tiganya menjadi bahan dokumentasi penting mengenai kaum “pendatang” Cina yang “datang bukan untuk mencari seteru; datang untuk memburu rezeki” di Tanah Melayu.
Usah terkeliru antara Ah Ti dan Ah Hui
Cerpen “Sayonara Pura Singa” menceritakan pengalaman watak utama singgah di Singapura, diikuti ketibaan di Tanjong Malim, Perak dalam “Irrashaimase Tanah Melayu!” dan kisah pendudukan Jepun di Tanah Melayu (1942-45) menerusi cerpen “Bendera Putih”.
Kalau peneliti seperti Lim Swee Tin mahu melakukan suntingan pada buku cerpen ini, tidak perlulah menyarankan beberapa halaman dibuang atau digugurkan.
Sebaliknya, pindaan, suntingan dan pembetulan hanya perlu dilakukan pada blurb buku dan tindakan itu adalah amat wajar bagi memurnikan serta membetulkan fakta.
Watak Ah Ti yang dipromosikan pada kulit belakang itu sebenarnya merujuk kepada watak bernama Ah Hai yang datang dari daerah Engchun, China – bukan Enchuan. Tentulah kesilapan ini berlaku akibat kecuaian editor, bukan kesilapan penulis.
Siapa pula Ah Ti? Watak itu adalah seorang bakal guru dalam cerpen “Ayah”, seorang pekebun dan perokok dalam “Rumah” dan orang tua yang sudah meningal dunia dalam “Kedai”.
Ketiga-tiga Ah Ti ini adalah watak/orang yang berbeza. Hanya Ah Hai dalam tiga cerpen terawal dalam buku ini merupakan watak yang sama. Dalam cerpen “Pawang Ana, Munsyi dan Mimpi YB”, Ah Ti dan Adi (Adichonan) adalah nama timangan dan nama pena bagi watak “Aku” iaitu diri penulis sendiri.
[caption id="attachment_4418" align="alignleft" width="300"] Chai Loon Guan seorang penulis mapan dan berkaliber.[/caption]
Chai Loon Guan bukan calang-calang penulis. Beliau antara penerima Hadiah Sastera Darul Ridzuan (2014). Memandangkan beliau diiktiraf oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Munsyi Bahasa, tentulah beliau amat berhati-hati dan tidak melakukan kesilapan yang boleh mencacatkan karyanya – seperti pada blurb tadi.
Penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2008/09) ini lahir pada 9 Februari 1960 dan sudah menghasilkan dua buku sebelum ini, iaitu kumpulan sajak Di Padang Kehidupan (2008) dan kumpulan cerpen Di Perantauan Impian (2009).
Sebagai seorang guru Bahasa Malaysia, lepasan Institut Bahasa dan graduan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, pengarang kelahiran Tanjong Malim ini bijak memanipulasi bahasa bagi menyampaikan banyak perkara secara tersirat dan tersembunyi pada lapis makna ketiga.
Licik mengatur strategi sambil merendah diri
Khalayak umum mungkin sekadar membaca tiga cerpen terawal dalam kumpulan ini sebagai catatan kedatangan kaum Cina ke Tanah Melayu berikutan kebuluran, kesusahan, penderitaan dan peperangan di China. Latar masa adalah dari tahun 1926 hingga 1945.
Penelitian terhadap tiga cerpen ini mendedahkan tanggapan, pemahaman, pegangan dan interpretasi Chai Loon Guan terhadap kedudukan sebenar kaum Cina di negara ini. Hal ini tentu sahaja tidak dilakukan secara sedar dan sengaja. Sebaliknya hanya mampu difahami sekiranya dibaca dengan ketelitian tahap tinggi.
Memandangkan ketiga-tiga cerpen ini ditulis dan tersiar pada tahun 2011-2013, maka bolehlah dianggap sebagai mewakili tanggapan realiti sehingga masa sekarang.
Ah Hai sejak awal-awal lagi (tahun 1926) sedar bahawa dia hanyalah “pendatang”, “imigran” dan “sin kheh” (orang bawahan) yang menyertai gelombang penghijrahan secara besar-besaran dari China atas galakan British.
Lelaki Cina ini sentiasa memberitahu dirinya bahawa dia adalah orang luar yang perlu tahu menyesuaikan diri dengan penduduk asal di sini, iaitu orang Melayu. Hal ini dilakukan secara penuh sedar kerana dia tahu cara untuk hidup adalah dengan tunduk kepada orang tempatan.
Namun begitu, di sebalik sikap merendah diri dan berkelakuan seperti “rusa masuk kampung”, dia sebenarnya bertindak secara senyap dan penuh licik bagi meraih peluang, habuan dan rezeki bagi diri dan keluarga. Dia tahu cara untuk menundukkan orang tempatan.
Di sebalik realiti “anak dagang dari pedalaman Engchun, yang kurang serba-serbi, buta huruf dan miskin pengalaman”, Ah Hui berjaya memanipulasi setiap peluang yang hadir di depan mata untuk “mentransformasikan cabaran dan dugaan hidup itu menjadi impian yang diburu.”
Sekiranya dibaca pada lapis makna pertama, dia hanya mahu “mencari sesuap rezeki seteguk impian” daripada “rezeki melimpah-ruah di Tanah Melayu”. Dia berjaya meyakinkan khalayak dan orang ramai bahawa apa yang paling penting adalah “impian diri dan impian seisi keluarga” di daerah kelahiran.
Apabila sudah dinyatakan bahawa “datang aku bukan untuk mencari seteru” dan “datang aku bukan untuk memburu derita,” maka tentulah orang tempatan tidak akan rasa tercabar atas waswas dengan kehadirannya di Tanjong Malim semata-mata sebagai “seorang anak dagang mencari sesuap rezeki halal di perantauan orang.”
Sementara orang tempatan masih leka …
Dengan penuh sedar, dia mengaku tidak mahu digelar katak di bawah tempurung. Sebaliknya, dia rajin “memerhati, mentafsir dan menyesuaikan diri” sambil mengakui, apa yang penting adalah dia perlu “berhati-hati dan tidak bertindak semberono.”
Dalam ketiga-tiga cerpen yang dijadikan rujukan di sini, watak Ah Hai mendapat sokongan padu daripada Pak Cik Teh, pemilik Kedai Sin Teck Soon yang diwarisinya sejak turun-temurun. Kedai dua tingkat itu tidaklah besar tetapi diiktiraf antara kedai paling maju di Tanjung Malim.
“Cukup luas rangkaian perniagaannya. Hal ini masih belum mencakupi urus niaga di Kuala Lumpur. Syarikat di Ipoh. Harta warisan rumah, rumah kedai, estet dan dusun buah-buahan di sekitar Tanjong Malim, termasuklah Behrang, Behrang Hulu, Slim Village, Kalumpang, Kerling, Rasa dan sebagainya.”
Demikian huraian tentang pemilik dan kedai pemborong runcit yang terkenal di daerah berkenaan dan terletak di No. 2, Jalan Besar, Tanjong Malim. Saudara-mara Ah Hai menjadi kakitangan kedai manakala Pak Cik Teh adalah ketua atau majikan.
Maka, walaupun Ah Hai datang sebagai “rusa masuk kampung” – peribahasa yang diulang sekurang-kurangnya tiga kali – dia sudah memiliki sokongan padu daripada saudara-mara dan orang kaya; suatu bentuk sokongan yang mungkin tidak dimiliki oleh orang tempatan pada waktu itu.
[caption id="attachment_4416" align="alignleft" width="300"]
Tiga cerpen dalam kumpulan ini menampilkan watak yang sama dan menarik untuk dikaji.[/caption]
Malah, mengikut peredaran masa, Kedai Sin Teck Soon (tahun 1926) berkembang menjadi Syarikat Sin Teck Soon (tahun 1945) dalam cerpen “Bendera Putih”. Penulis tidak lupa mengingatkan pembaca: “Tauke Sin Teck Soon bukannya sesiapa, saudara sekampung di Daerah Engchun, Tanah Besar.”
Ah Hai bijak berusaha untuk mencapai mobiliti sosial bagi diri dan keluarga. Daripada kedudukan sebagai sin kheh (orang bawahan), dia menimba pengalaman dan ilmu berbekalkan “kerajinan, keiltizaman, kesungguhan dan kecekalan” sehingga berjaya “membina kerjayanya di rantau orang.”
Sementara orang tempatan pada sekitar tahun 1923-34 masih leka dengan kehidupan yang biasa-biasa, dia pula menjadi ahli pertubuhan masyarakat Hsing Chong Hui dan Chung Ho Tang yang berperanan “mengambil tahu perkembangan politik di Tiongkok (China) selain menjaga hal ehwal dan kebajikan masyarakat Cina di Tanah Melayu.”
Penulis bijak memintal kisah imigran Cina
Unsur-unsur cerpen seperti konflik, pergolakan, suspens, ketegangan dan klimaks tidak hadir dalam cerpen-cerpen yang memaparkan watak Ah Hui. Sebaliknya, pada penelitian saya, ketiga-tiga cerpen terbabit lebih berperanan sebagai rakaman peristiwa, catatan, nostalgia dan dokumentasi sejarah berhubung perjuangan kaum Cina untuk bertapak di negara ini.
Tidak keterlaluan untuk mentafsir perjuangan Ah Hui di Tanah Melayu agak parallel (selari) dengan perjuangan Chai Loon Guan sebagai “penulis bukan Melayu yang menulis karya-karya susastera berbahasa Melayu” berbekalkan “sekelumit kurniaan-Nya” demi “kelangsungan bahasa dan susastera Bahasa Melayu di tanah air yang tercinta.”
[caption id="attachment_4417" align="alignleft" width="300"]
Kisah imigran Cina mengingatkan kepada kontroversi novel Interlok pada 2011.[/caption]
Hubungan kaum Cina di Tanah Melayu dengan Kuomintang di Tanah Besar digambarkan menerusi watak Ah Hui yang aktif dalam kegiatan pemuda Kuomintang; lalu diburu tentera Nippon (Jepun) sebaik menyerang Tanah Melayu pada Disember 1941.
Selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada September 1945, Ah Hui menjadi orang penting dalam persatuan saudagar di Tanjong Malim. Dia digambarkan sebagai “orang penting”, “ayam tambatan” dan “pakar runding syarikat dengan Inggeris di Tanah Melayu.”
Dia yang datang dengan tangan kosong demi “mencari sesuap rezeki” sudah “tidak digelar rusa masuk kampung.” Syarikat Sin Teck Soon sudah ada ikatan, kerjasama dan persefahaman dengan persatuan saudagar Tionghoa.
Pasti orang tempatan tidak pernah menjangkakan segala percaturan licik yang diatur olehnya secara senyap-senyap sambil tunduk merendah diri. Orang tempatan tentu menyangka dia hanya datang memburu rezeki; tanpa menyedari rancangan besar yang dibawanya dalam hati.
Kedudukan lelaki itu digambarkan sudah setaraf setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen. Malah, peranannya dikatakan sudah “setaraf SU YB dan YAB!”
Di akhir cerpen ketiga dalam buku ini, Ah Hui yang sudah berstatus pemastautin tetap (PR) berhasrat merealisasikan azam mendapatkan status warganegara bagi diri dan keluarga “di tanah yang maha kaya ini.”
Demikianlah Chai Loon Guan bijak memintal kisah menggunakan bahasa penuh berbunga dan makna tersirat bagi merakamkan dan mendokumentasi sejarah perjuangan seorang individu yang tiba sebagai “pendatang” tetapi berjaya mengatasi kehebatan orang tempatan dalam bidang yang diceburinya.
Buddha sebar Islam?
“Gautama Buddha Seorang Nabi?” (2014) sebenarnya mengupas mengenai hakikat agama Islam. Hal ini diakui Kamaludin Endol pada blurb (kulit belakang) buku setebal 190 halaman ini.
“Walaupun jumlah nabi dan rasul dianggarkan seramai 124,000 orang … tidak ada sebarang bukti bahawa Gautama Buddha adalah Nabi Zulkifli sebagaimana pernah didakwa oleh sebilangan pendapat,” kata penulis.
Sekiranya pembaca mahu tahu jawapan bagi soalan pada judul buku ini, maka boleh terus ke halaman 29 di mana dinyatakan bahawa Gautama Buddha besar kemungkinan salah seorang nabi yang diutuskan Allah dalam rencana-Nya memurnikan kembali agama tauhid Sanatana Dharma.
[caption id="attachment_4381" align="alignleft" width="300"] Konvoi Rumah Ibadat ke sebuah wat pada Oktober 2013.[/caption]
Kamaludin sudah menghuraikan mengenai kedudukan Sanatana Dharma (Hinduisme) sebagai agama tauhid pertama dan tertua menerusi buku “Hinduisme Agama Tauhid Terawal?” (2014).
Melalui buku kedua dalam siri “Mengenal Allah Melalui Agama-agama Purba”, dinyatakan betapa Sanatana Dharma yang merupakan “agama yang kekal abadi” pada asalnya menyeru para pengamal menyembah Tuhan Yang Esa (Brahman).
Bagaimanapun, kemudian, pengikut ajaran Hindu dikatakan mula beralih “menyembah beribu-ribu dewa-dewi” berikutan ajaran asal “mengalami campur tangan yang sangat berleluasa daripada manusia yang berkepentingan” (halaman 27) iaitu golongan Brahmin.
Sanatana Dharma dikatakan berubah menjadi agama Hindu yang penuh dengan pertelingkahan dan kusut-masai mengenai kasta, di samping berbagai-bagai amalan dan adat-adat yang pelik-pelik yang bercanggah dengan kemurnian tauhid (halaman 7).
Untuk makluman, pembaca sasaran buku kajian separa akademik ini adalah “umat Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman” (halaman xvii) dan Kamaludin awal-awal lagi sudah menegaskan bahawa “dalam Islam terdapat ajaran Hindu, Buddha, Zoroaster, Kristian, Yahudi, Taoisme dan lain-lain” (halaman ix).
Konsep “Empat Kebenaran Mulia” (The Four Noble Truths) dan “Jalan Lapan Lapis” (The Noble Eightfold Path) dinyatakan pada Bab 3 sebelum dihuraikan secara panjang-lebar dalam bab seterusnya (halaman 40-169) yang merupkan bahagian paling penting dalam buku ini.
Mengajak orang Melayu kembali kepada Islam
Untuk berlaku adil, perlu dinyatakan bahawa segala huraian, penerangan, perbahasan dan fakta adalah berdasarkan ajaran Islam. Perkara ini juga jelas jika pembaca melihat senarai bahan rujukan yang dinyatakan pada bibliografi.
Pembaca perlu sentiasa ingat – dan beringat – akan hakikat ini apabila membaca buku ini. Jika masyarakat ingin mengetahui tentang apa sebenarnya Buddhisme dan siapa sebenarnya Gautama Buddha, lebih baik merujuk “The Complete Illustrated Encyclopedia of Buddhism” (2011) yang amat komprehensif atau “The Life of Buddha for Young People” terbitan Maha Karuna Buddhist Society.
Kedua-dua buku berkenaan turut menjadi rujukan silang sepanjang saya membaca buku terbaru tulisan Kamaludin supaya saya tidak terbabas daripada fakta sebenar Buddhisme.
Pengalaman menyertai Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama sejak tahun 2010 juga membekalkan pelbagai maklumat berguna sebagai rujukan.
[caption id="attachment_4382" align="alignleft" width="300"]
Buku ini boleh dijadikan bahan dan topik bagi dialog antara agama.[/caption]
Memandangkan maklumat serta fakta sahih dan sebenar mengenai Gautama Buddha dan ajaran Buddhisme sudah diperoleh melalui pelbagai sumber primer sejak puluhan tahun dahulu, saya selaku pengamal multi-faith lebih berminat untuk memperkatakan pelbagai pendedahan lain yang dilakukan oleh Kamaludin menerusi kajian separa akademik yang dilakukannya.
“Apabila ditoleh ke dalam semua ajaran agama-agama purba, ajaran Islam akan dapat dilihat dengan jelas dan nyata,” kata bekas pensyarah ini yang turut menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebanyak dua kali.
Maka tidak hairanlah Jalan Lapan Lapis yang merangkumi pandangan, pemikiran, perkataan, kelakukan, kehidupan, matlamat, keinginan dan pertapaan yang benar, dilihat dan dibicarakan sepenuhnya oleh penulis dari sudut Islam.
Pendekatan yang digunakan itu tidak salah sama sekali kerana sesungguhnya buku separa ilmiah ini bertujuan membuka ruang dan peluang kepada khalayak Melayu-Islam mengenali semula Islam (kembali kepada Islam) menerusi pemahaman terhadap agama-agama purba.
Hal ini adalah wajar kerana seperti diterangkan oleh Kamaludin, umat Islam pada masa kini sudah berpecah kepada 73 golongan, “antaranya disebabkan sifat-sifat kebohongan para ulama dunia” (halaman 94) di mana “72 golongan Islam kesemuanya sesat kecuali satu golongan iaitu al-Jamaah” (halaman 28).
Sekularisme, liberalisme mengagungkan Dajjal
Namun begitu, agak menarik untuk diperhatikan bahawa pelbagai “fakta” dan “pendedahan” turut diselitkan oleh penulis dalam usahanya mengangkat Islam sebagai agama tauhid yang terakhir; manakala agama-agama tauhid sebelumnya dikatakan “tidak lagi murni” berikutan tindakan pihak yang diberikan amanah oleh Allah “telah menyembunyikan kebenaran dan merubah ayat-ayat Allah” disebabkan “bimbingan syaitan-syaitan” (halaman 93).
Dikatakan bahawa pembohongan dilakukan oleh golongan Brahmin sehingga penganut Sanatana Dharma (Hinduisme) “menjadi abdi kepada para Brahmin, lantas memuja pula tuhan-tuhan yang dijelmakan dalam berbagai-bagai bentuk”.
Mengenai Nabi Isa (Jesus) pula, dinyatakan bahawa fakta sebenar nabi berkenaan diselamatkan oleh Allah daripada komplot durjana kaum Yahudi yang mahu memakukan Baginda pada salib telah “diputarbelit oleh Ahli Kitab dengan dakwaan sebagai anak tuhan yang diutuskan untuk dibunuh bagi membebaskan manusia daripada dosa warisan, lantas dipatungkan sebagai lambang ketuhanan” (halaman 94).
“Lihatlah bencana fitnah oleh kaum Yahudi Zionis dan Nasrani (Kristian) terhadap Allah oleh angkara Iblis. Fitnah mereka menjadi musibah terbesar kepada keamanan dunia dan merupakan bencana terbesar sepanjang zaman.
[caption id="attachment_4383" align="alignleft" width="300"]
Pembaca perlu mendapatkan maklumat dari sumber yang sahih.[/caption]
“Nabi Isa difitnahkan sebagai putera Allah, lalu dipertuhankan. Fitnah mereka ini menjadikan sepertiga penduduk bumi menganut agama Kristian. … Kesemua mereka adalah mangsa fitnah Iblis yang menyebabkan mereka jatuh ke dalam lembah syirik,” Kamaludin menegaskan pada halaman 101 dan 102.
Nampaknya lebih banyak “maklumat” mengenai Kristian dan Yahudi berbanding fakta berkaitan Gautama Buddha dan kenabiannya! Malah, pembaca diingatkan bahawa selama lebih seribu tahun, bangsa Yahudi dan Nasrani berada dalam kesesatan yang nyata.
“Yahudi Zionis sebagai umat yang terkutuk telah melakukan fitnah dan konspirasi jahat mereka melalui gerakan-gerakan dan pertubuhan rahsia seperti Freemason dan Illuminati. Freemason adalah satu pergerakan terancang untuk mengembangkan fahaman Yahudi Zionis,” kata penulis.
Hanya melalui buku ini saya mendapat tahu bahawa khabarnya Illuminati mempunyai motif “menggalakkan fahaman sekular, liberalism, republikan, kebebasan berfikir dan kesamaan jantina” yang berajakan Dajjal. Rupa-rupanya pertubuhan kebajikan seperti Kelab Lion dan Kelab Rotary juga bermotif “menabur fitnah dan menyebarkan seruan Zionisme” (halaman 103).
Protokol Zionis, Iblis, Freemason dan Illuminati
Wajar diingatkan bahawa apa-apa yang saya kongsikan di sini merupakan maklumat yang dipetik daripada buku “Gautama Buddha Seorang Nabi?” (2014) terbitan Pustaka Kanzun Mahfiyyan dan buku “Pendedahan Agenda Kristian” (2014) terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Syaitan dikatakan bersembunyi di sebalik nama agama-agama tauhid yang sudah disesatkan, termasuk Hindu, Buddha, Taoisme, Confucianisme dan Kristian. Malah, pada zaman moden ini, syaitan khabarnya licik bersembunyi di sebalik nama-nama baru yang dianggap tidak begitu berbahaya kerana bukan berjenama agama.
“Inilah kejayaan Protokol Zionis melalui gerakan rahsia Freemason dan Illuminati di seluruh dunia Islam,” penulis menyimpulkan pada halaman 127.
Orang yang tidak berpendidikan dan tidak berilmu dikatakan akan terpedaya dan tertipu dengan kelicikan Iblis (atau Lucifer, Dajjal, Yakjuj dan Makjuj) yang bersembunyi di sebalik “sekularisme, kapitalisme, liberalisme, sosialisme, pragmatisme, individualisme, hedonisme, mordenisme, demokrasi dan lain-lain” (halaman 128).
Pihak berkuasa dan pemimpin yang menganut dan menguatkuasakan sistem berasaskan “feudalisme, kapitalisme, sosialisme, komunisme, liberalisme, pragmatisme, materialisme, sekularisme” serta “egoisme, utilitarianisme, eksistensialisme, hedonisme, liberalisme, individualisme dan sebagainya” dikategorikan sebagai “ancaman yang paling besar kepada keamanan, kesejahteraan dan kebahagiaan masyarakat dunia dan alam sekitar” (halaman 131).
Huraian seperti “satu-satunya agama tauhid yang dijamin murni hanyalah Islam” (halaman 133) dan “umat Muslimin sesungguhnya sedang menanti kibaran bendera agung ‘lailahaillallah’ untuk terjun ke medan jihad” untuk membawa “kemusnahan mutlak” kepada “Zionis Yahudi dan puak Kristian” (halaman 104) merumuskan inti pati sebenar buku ini.
Frasa-frasa seperti “Gautama Buddha menekankan keinginan yang benar” (halaman 158) dan “Semoga demikianlah yang dimaksudkan oleh Gautama Buddha” (halaman 165) serta “ajaran Gautama Buddha yang asal ini adalah ajaran yang sangat sama dengan kehidupan kerohanian Islam” (halaman 41) bertujuan mengukuhkan hujah penulis.
Sebagai sebuah buku dakwah separa akademik yang disasarkan khusus kepada masyarakat Islam yang sudah berpecah kepada 73 golongan, buah tangan Kamaludin sangat bermanfaat dalam niat “setelah kesemua agama-agama tauhid terdahulu menjadi musnah dan sesat, maka lihatlah kepada Islam” (halaman 177).
Mengenali lima epik agung Tamil
Filem “Manthiri Kumari” (1950) meminjam babak
pembunuhan dalam “Kundalakesi”.[/caption]
“Sastera menjadi jambatan pemahaman antara kaum, antara negara, antara agama dan peradaban. Sastera tidak mengenal sempadan dan ruang. Semoga pemahaman sastera dan bahasa akan merapatkan yang renggang, mencantumkan yang terpisah, mengarusperdanakan yang terpinggir, dan menjalin persefahaman yang sebenar,” katanya.
Beliau menyentuh mengenai beberapa karya dari Eropah, India dan China untuk menjelaskan betapa sasterawan dan penulis di Malaysia perlu mengenali karya-karya pelbagai bahasa dari negara-negara luar yang mengangkat pelbagai budaya dan kisah hidup.
Makalah ini pula bertujuan memperkenalkan serba-sedikit mengenai lima epik agung bahasa Tamil yang wajar diketahui para penulis muda dan penulis mapan di Malaysia.
Orang ramai juga wajar mengambil tahu supaya mampu memahami minda orang Tamil.
Kumpulan lima epik agung berkenaan dikenali sebagai “Aimperukapiyam” (Lima Karya Besar) dan menjadi semacam “teks wajib dibaca” bagi para peminat sastera klasik Tamil.
Kelima-lima teks klasik ini asalnya ditulis pada daun lontar. Hanya selepas tahun 1880-an, satu demi satu karya mula disalin semula dan diterbitkan dalam bentuk buku.
Malah, manuskrip asal bagi dua daripada epik ini yang ditulis pada daun lontar masih belum ditemui.
Silappatikaram: Karya klasik yang paling dikenali
Karya agung ini ditulis pada kurun pertama dan merakamkan citra hidup masyarakat di India Selatan pada zaman berkenaan. Pengarang Silappatikaram ialah Ilango Adigal iaitu adik kepada Raja Chenguttuvan yang memerintah Kerajaan Cheran di negeri Kerala pada waktu itu.
Epik ini mengangkat pelbagai peristwa yang berlaku di tiga kerajaan besar di India Selatan iaitu Kerajaan Cheran, Cholan dan Pandian.
Silappatikaram (“Kisah Gelang Kaki”) pada asasnya mengangkat tiga tema yang berkaitan dengan kebenaran hakiki, iaitu (1) raja yang gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab akan menerima hukuman setimpal, (2) wanita yang suci dan setia kepada suami akan disegani dan dihormati, dan (3) nasib dan takdir ketentuan Tuhan tidak boleh diubah oleh manusia.
[caption id="attachment_4290" align="alignleft" width="300"] Karya klasik “Civaka Chintamani” kini boleh dibaca
menggunakan aplikasi di telefon pintar.[/caption]
Watak-watak utama dalam epik ini ialah pasangan suami-isteri Kovalan dan Kannagi. Kovalan menjalin hubungan dengan seorang penari bernama Madhavi tetapi akhirnya bertaubat dan kembali kepada Kannagi.
Tidak lama kemudian, Kovalan dituduh mencuri gelang kaki permaisuri Kerajaan Pandian, lalu dihukum bunuh. Demi menuntut keadilan, Kannagi menyumpah seluruh kota Madurai musnah dalam kebakaran.
Perlu dinyatakan bahawa Silappatikaram bukan sebuah karya berciri keagamaan. Sebaliknya ia sebuah karya yang mengangkat tema moral dan keadilan.
Epik ini terbahagi kepada tiga bab dan terhasil daripada 5,270 baris sajak klasik Tamil.
Sehingga kini, pengkaji bahasa, sastera, budaya dan tamadun dari seluruh dunia masih menggunakan epik Tamil ini untuk meneliti budaya, agama, sistem pemerintahan, perancangan bandar, seni, tarian, muzik, hubungan diplomatik dan pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan sejarah silam.
Manimegalai: Karya propaganda Buddha
Epik ini yang dikarang oleh Sithalai Sathanar pada kurun kelima merupakan lanjutan kepada kisah dalam Silappatikaram. Madhavi yang menjalinkan hubungan dengan Kovalan melahirkan anak perempuan yang dinamakan Manimegalai.
Kisah dalam karya berunsur ajaran Buddha ini berlatarkan Poompuhar di Tamil Nadu, India dan Nainatheevu di Sri Lanka.
Secara umum, epik ini menceritakan kisah dan pengalaman Manimegalai sehingga dia memeluk ajaran Buddha mengikut mazhab Theravada yang terkenal di Myanmar dan Sri Lanka.
Epik Manimegalai turut menceritakan kisah kehidupan dan ajaran yang dibawakan Siddharta Gautama Buddha.
Aspek propaganda ajaran Buddha amat nyata kerana pengarang ketara membandingkan kelebihan ajaran itu dengan agama-agama lain yang terdapat di India Selatan pada waktu itu, khususnya ajaran Hindu dan Jain.
Watak Manimegalai digambarkan sudah mendalami kesemua agama dan falsafah di India Selatan pada waktu itu sebelum memilih ajaran Buddha.
Unsur femanisme dan hak wanita juga diangkat menerusi karya ini. Manimegalai mendapati bahawa sebelum kedatangan ajaran Buddha, kedudukan wanita hanyalah sama ada sebagai seorang isteri di rumah atau seorang wanita murahan di rumah pelacuran.
Buddha pula memperkenalkan sangha khas bagi pengikut wanita yang mencapai tahap Bhikkuni iaitu setaraf sami Buddha. Sami wanita (Bhikkuni) diberikan kuasa autonomi dalam menggerakkan dan mentadbir sangha yang dikhaskan untuk mereka.
Amat nyata bahawa Manimegalai adalah sebuah epik Tamil yang ditulis khusus untuk menyebarkan ajaran Buddha kepada masyarakat di Selatan India pada waktu itu.
Kundalakesi: Isteri yang membunuh suami
Epik ini juga merupakan karya berunsur ajaran Buddha. Ia dihasilkan oleh Nagakuthanar pada kurun kelima. Terdapat 99 stanza puisi klasik Tamil dalam epik ini tetapi hanya 19 daripadanya berjaya dikesan.
Pengkaji percaya bahawa teks asal yang ditulis pada daun lontar telah dimusnahkan oleh pihak tertentu yang cuba menghalang penyebaran ajaran Buddha.
Kundalakesi ternyata membuat perbandingan antara ajaran Buddha dan agama-agama lain pada waktu itu, khususnya Jain.
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa penyebar ajaran Jain menghasilkan Neelakesi bagi “menjawab” propaganda yang disebarkan oleh Nagakuthanar.
Epik Neelakesi, Choolamani, Yesodhara Kaviyam, Uthaya Kumara Kaviyam dan Nagakumara Kaviyam dikenali sebagai “Aimchirukapiyam” (Lima Karya Kecil) yang turut menjadi “teks wajib” bagi pengkaji sastera Tamil.
Kundalakesi (“Wanita Berambut Keriting”) mengisahkan seorang wanita bernama Bhadra dari keluarga peniaga di Poompuhar; iaitu tempat di mana kisah Silappatikaram bermula. Bhadra meminta ayahnya menyelamatkan Kallan, seorang pencuri yang dijatuhi hukuman bunuh.
[caption id="attachment_4286" align="alignleft" width="300"] Manuksrip penuh “Valayaapati” pada daun
lontar tidak ditemui.[/caption]
Bhadra dan Kallan berkahwin. Pada suatu hari, Bhadra mengusik suaminya dengan panggilan “pencuri”. Akibatnya, Kallan memutuskan untuk membunuh isterinya dengan menolaknya dari atas puncak bukit.
Akhirnya Bhadra pula yang berjaya membunuh Kallan dengan cara itu.
Wanita berkenaan kemudian menjadi sami Buddha (Bhikkuni) dan dikenali dengan nama Kundalakesi. Dia pergi dari tempat ke tempat di seluruh India Selatan untuk menyebarkan ajaran Buddha.
Perlu juga dinyatakan bahawa kisah dalam epik ini diambil dan diubahsuai daripada cerita yang terkandung dalam Dhammapada, iaitu koleksi kisah-kisah berkaitan ajaran Buddha.
Valayaapati: Kisah penuh yang tidak diketahui
Karya ini adalah sebuah lagi epik yang mengadunkan ajaran Jain dan Buddha pada kurun kesembilan. Sebagaimana Kundalakesi, epik Valayaapati juga tidak lagi ditemui dalam bentuk yang lengkap.
Sejumlah 72 rangkap puisi klasik daripada epik ini didapati tercatat dalam beberapa koleksi buku lain.
Para pengkaji menggabungkan hasil daripada sumber sekundar ini tetapi masih tidak dapat menjelaskan secara nyata keseluruhan kisah yang dibawakan dalam Valayaapati.
Ada beberapa pengkaji sastera klasik Tamil yang berpendapat bahawa kisah daripada epik berkenaan telah diceritakan semua secara ringkas oleh pengarang bernama Chintamani Pulavar pada 1855 dalam bab 35 buku berjudul Vanikapuranam.
Tentulah amat ironis kerana walaupun peminat sastera dan bahasa Tamil di seluruh dunia masih mengagung-agungkan Valayaapati sebagai salah sebuah epik agung, kisah penuh yang terkandung di dalamnya tidak diketahui.
Apa-apa pun, realiti ini tidak sedikitpun menghalang kecintaan dan rasa bangga orang Tamil terhadap epik berkenaan; termasuk di Malaysia.
Civaka Chintamani: Umpama novel popular Melayu
Karya berunsur ajaran Jain ini dikarang oleh Thiruthakka Thevar pada kurun kesepuluh. Epik Civaka Chintamani (“Permata Hebat”) juga dikenali dengan judul Mananuul (“Buku Perkahwinan”) kerana mengandungi banyak kisah romantik dalam kehidupan watak bernama Civakan.
[caption id="attachment_4287" align="alignleft" width="300"] Watak Kannagi dalam “Silappatikaram” menjadi
sebutan sehingga kini.[/caption]
Karya ini mengangkat ajaran Jain serta menggambarkan budaya, seni dan muzik sezaman.
Epik yang terdiri daripada 3,147 rangkap puisi klasik ini bermula dengan kisah mengenai Raja Caccantan yang terlalu khusyuk dengan kehidupan seksual sehingga mengabaikan pentadbiran kerajaan. Raja itu meninggal dunia selepas dikhianati seorang menteri.
Permaisuri berjaya menyelamatkan diri dan melahirkan bayi lelaki yang diberikan nama Civakan. Apabila meningkat remaja, Civakan melalui pelbagai pengalaman dan cabaran besar.
Dia berkahwin dengan tujuh wanita serta menjalinkan hubungan sulit dengan seorang penari.
Akhirnya, Civakan mengalahkan musuh dan berjaya mengambil semula takhta pemerintahan yang dirampas daripada bapanya dahulu. Pemuda itu berkahwin dengan isteri kelapan dan bertaubat.
Dinyatakan pada penghujung karya bahawa segala hiburan dan nikmat dunia yang dilalui oleh Civakan hanyalah rintangan dan halangan yang ditemui dalam perjalanan mencapai kebenaran hakiki dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Khazanah klasik yang wajar dibanggakan
Penelitian ringkas terhadap lima epik besar dalam sastera Tamil ini mampu memberikan maklumat umum yang wajar diketahui oleh para penulis dan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
[caption id="attachment_4288" align="alignleft" width="245"] “Manimegalai” adalah lanjutan kisah
“Silappatikaram”.[/caption]
Tambahan pula, terdapat ramai penulis Tamil di negara ini dan mereka sering “berkiblatkan” karya Tamil di India.
Apabila bercakap tentang karya Tamil, kita sering menganggap ia ada kaitan rapat dengan ajaran Hindu; malah mungkin dianggap menyebarkan ajaran Hindu kepada pembaca.
Maka, agak menarik untuk diperhatikan bahawa kesemua lima epik agung Tamil ini berunsur ajaran Jain dan Buddha.
Kandungan dan kisah yang dipaparkan dalam Silappatikaram, Manimegalai, Kundalakesi, Valayaapati dan Civaka Chintamani mungkin sahaja tidak serasi dengan sastera bahasa kebangsaan di negara ini. Apatah lagi karya Bahasa Malaysia sering dianggap ditujukan hanya kepada pembaca Melayu-Islam.
Maka semua karya yang mengangkat budaya Bukan Melayu-Islam dianggap bertujuan menyesatkan umat Islam!
Walau bagaimanapun, kita perlu mengakui bahawa kelima-lima epik agung ini sebenarnya mampu membantu pembaca dan pengkaji memahami citra budaya masyarakat di India Selatan pada zaman ia dihasilkan. Secara tidak langsung, ia juga boleh membantu kita memahami pandangan dunia (worldview) dan budaya pemikiran masyarakat Tamil di Malaysia.
Minoriti perlu berani
Kelas bimbingan bahasa diadakan di Rumah Kavyan.[/caption]
Di seluruh dunia, golongan minoriti sering diberikan perlindungan khas. Bagaimanapun, hakikat yang amat nyata di Malaysia adalah bahawa golongan minoriti atau marginal sering dipinggirkan, diabaikan, tidak diberikan hak untuk bersuara serta terus-menerus dizalimi.
Memanglah ada kes-kes terpencil di mana individu daripada kumpulan minoriti tertentu diberikan peluang dan dijulang tinggi. Bagaimanapun, biasanya individu minoriti terbabit seringkali sudah meninggalkan kumpulan asal (minoriti) dan sudah menjadi penyokong atau pengikut kumpulan teras (majoriti).
Sementara itu, kumpulan minoriti masih meneruskan perjuangan menuntut apa yang menjadi hak yang sah di sisi undang-undang. Namun begitu, selalu pula pelbagai alasan diketengahkan oleh kumpulan majoriti untuk terus menindas kumpulan minoriti.
Antara alasan yang sering digunakan untuk menakut-nakutkan golongan minoriti adalah perkara-perkara kecil yang sebenarnya tidak menghadkan hak dan peluang sah yang sepatutnya menjadi hak minoriti. Misalnya alasan bahawa tuntutan minoriti akan menjejaskan hak majoriti.
Antara golongan minoriti yang dimaksudkan dalam konteks ini termasuk (tetapi tidak terhad kepada) golongan Bukan Islam, bukan mazhab Syafi’i, Bukan Melayu, bukan penutur asli bahasa Melayu serta golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Termasuk dalam kumpulan ini adalah Orang Asal (Orang Asli) dan Bumiputera Bukan Islam di Sabah dan Sarawak. Sesiapa yang bukan ahli atau penyokong (pengampu) Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) juga sering dilayan seperti golongan minoriti.
[caption id="attachment_4252" align="alignleft" width="300"]
Kumpulan minoriti perlu memperkasakan diri
demi mempertahankan hak.[/caption]
Kita yang tidak termasuk dalam kumpulan rasis, etnosentrik, pelampau, ultra kiasu dan fanatik dalam soal agama, bahasa, kaum dan politik juga sering dianggap minoriti. Apatah lagi jika kita berfikiran terbuka, plural dan moderat. Begitu juga aktivis dan nasionalis di Sabah dan Sarawak yang menuntut hak.
Walau dalam kategori minoriti mana pun kita dimasukkan, ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian bagi memperkasa diri. Hal ini penting bagi memastikan kita dapat mempertahankan hak serta tidak lagi diperlekeh, dihina, diperkotak-katik dan dizalimi kelompok majoriti, kuasawan dan politikus.
Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran. Demikian antara kata-kata Mahatma Gandhi yang boleh dijadikan pemberi semangat.
Kita sebagai golongan minoriti perlu berani tampil bersuara. Daripada pengalaman dan pemerhatian saya, ramai yang suka bising-bising dan menjerit-jerit di laman rangkaian sosial seperti Facebook. Akan tetapi, apabila diminta memberikan pandangan bagi tujuan penerbitan dalam makalah, mereka terus kecut dan membisu.
Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan
Sekiranya kita memang berani untuk memperjuangkan hak-hak sah golongan minoriti, maka kita perlu berani bersuara lantang. Manfaatkan Facebook, Twitter, blog dan sebagainya.
Beranilah mengirimkan surat pembaca, komen atau pandangan untuk disiarkan di media konvensional dan media alternatif. Keluarkan kenyataan dalam bentuk kenyataan media dan paparan status di Facebook.
Apabila bersuara, jangan berselindung di belakang nama samaran atau identiti yang tidak boleh dikenali. Itu adalah tindakan golongan pengecut. Jika kita memang berani bersuara mewakili golongan minoriti, maka lakukan secara berani dan terbuka. Usah berselindung di sebalik identiti yang samar.
[caption id="attachment_4250" align="alignleft" width="300"] Kumpulan minoriti perlu memperkasakan diri
demi mempertahankan hak.[/caption]
Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini. Demikian satu lagi pandangan Gandhi yang menjadi semacam penyuntik semangat kepada saya untuk berani bertindak walaupun apa yang dilakukan mungkin tidak menyenangkan pelbagai pihak.
Sekiranya golongan minoriti tidak memulakan langkah, maka perubahan yang diharapkan itu tidak mungkin menjadi kenyataan. Kita sebagai minoriti jangan mengharapkan kumpulan majoriti tampil membantu membawa perubahan yang kita harapkan.
Kalau bukan kita yang memulakannya, siap lagi? Apatah lagi dalam isu-isu melibatkan hak golongan minoriti yang tentu sahaja sedaya upaya cuba dipinggirkan golongan majoriti tertentu yang mahu terus berada di atas dan terus-menerus menafikan hak golongan minoriti.
Dalam memperjuangkan hak yang sah, golongan minoriti tertindas tidak boleh mengharapkan sokongan dan liputan media arus perdana; media cetak dan media elektronik.
Sekadar contoh, golongan Orang Asal tidak boleh mengharapkan Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian untuk memberikan liputan yang menyeluruh, objektif dan mendedahkan masalah sebenar yang dialami golongan minoriti itu. Kalau laporan secara permukaan (surface) yang menjadikan golongan Orang Asal sebagai komoditi tarikan pelancongan, maka bolehlah diharapkan.
Walau bagaimanapun, golongan minoriti tidak perlu bimbang kerana capaian media alternatif adalah lebih meluas berbanding media konvensional. Paparan di portal berita dalam talian dan blog juga boleh diakses orang ramai di seluruh dunia. Malah, lebih mudah dikongsikan menerusi Facebook dan Twitter.
Senjata utama: Bahasa Malaysia
Sejak beberapa bulan lalu, saya mengendalikan kelas bimbingan Bahasa Malaysia bagi sekumpulan aktivis yang disegani dan lantang bersuara. Mereka bukan calang-calang orang kerana mendapat pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.
Namun, mereka memilih untuk mengikuti kelas bimbingan Bahasa Malaysia kerana menyedari kepentingan bahasa kebangsaan sebagai medium paling penting untuk melakukan perjuangan pada peringkat akar-umbi.
Semangat yang ditunjukkan sekumpulan aktivis ini amat membanggakan dan mengharukan saya. Mereka sedar bahawa tiada gunanya jika Bahasa Inggeris sahaja digunakan untuk mengetengahkan masalah dan perjuangan golongan minoriti di negara ini.
Golongan minoriti yang mahu bersuara demi memperjuangkan hak perlu menyedari kepentingan menguasai Bahasa Malaysia; selain bahasa-bahasa lain. Kalaulah kita tidak mampu bersuara menggunakan Bahasa Malaysia, apalah gunanya kita menggelarkan diri kita sebagai warganegara Malaysia
[caption id="attachment_4251" align="alignleft" width="300"] Datuk Ambiga sedia belajar semula untuk
menguasai Bahasa Malaysia.[/caption]
Janganlah kita menjadi seperti majoriti politikus, menteri dan timbalan menteri yang tidak mencintai serta tidak menguasai Bahasa Malaysia. Sebagaimana kita mentertawakan, memperkecilkan dan mengabaikan politikus terbabit, begitulah juga orang ramai akan memandang kita jika kita tidak mampu berkomunikasi menggunakan bahasa kebangsaan.
Golongan minoriti juga perlu bersatu. Walaupun pelbagai kelompok minoriti berdepan dengan masalah, hambatan, kezaliman dan penindasan yang berbeza daripada kelompok majoriti yang berbeza, aspek bersatu dan bergabung perlu diutamakan.
Contohnya, golongan minoriti Orang Asal serta penduduk asal Sabah dan Sarawak wajar bergabung bagi mempertahankan hak yang sah di sisi undang-undang. Minoriti Kristian dan minoriti Hindu yang sering dituduh menyebarkan ajaran agama menerusi bahan bacaan Bahasa Malaysia boleh bersatu memperjuangkan hak menggunakan bahasa kebangsaan.
Bagi mengukuhkan kesatuan, satu-satu kelompok minoriti perlu juga tampil membantu dan bersolidariti dengan kelompok minoriti lain. Misalnya minoriti yang sering ditindas kerana identiti jantina boleh bersolidariti dengan minoriti yang ditindas kerana perbezaan mazhab atau jantina.
Percayalah, jika para minoriti yang memperjuangkan hak daripada ditindas mampu bergabung tenaga dan suara, maka minoriti akan dapat mengatasi kuasa majoriti yang sudah terlalu lama melakukan penindasan. Lihat sahaja bagaimana Sisters in Islam (SIS) mampu bergabung tenaga dengan pelbagai kumpulan minoriti lain untuk sama-sama berjuang demi hak yang sah.
Ketidaksatuan antara kumpulan minoriti sebenarnya dijadikan salah satu senjata oleh kumpulan majoriti untuk meneruskan penindasan dan ketidakadilan secara sedar atau tidak sedar, secara terancang atau tidak terancang.
Jadilah perubahan yang mahu anda saksikan di dunia ini. Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani mengetengahkan kebenaran. Minoriti perlu memperkasakan diri untuk mencapai hasrat itu.