(Anda juga dijemput membaca bahagian pertama dan kedua) Hakikat cerita dengan tafsiran terhadap cerita adalah dua perkara yang berbeda. Sesuatu cerita dari si pencerita, jika dilihatnya sebagai positif, makanya cerita itu juga akan kelihatan positif. Jika negatif dilihat oleh pencerita, makanya cerita itu juga akan kelihatan negatif. Di sebelah Sunni, banyak cerita-cerita yang direkacipta lalu disandarkan kepada Syiah. keadaan yang sama juga berlaku di pihak Syiah terhadap Sunni. Sikap sebegini tidak melahirkan natijah yang baik, sebaliknya boleh melahirkan permusuhan yang tidak berkesudahan. Antara kejadian yang berlaku dalam perkara ini adalah seperti dakwaan Syiah bahawa pihak Sunni melakukan tuduhan kepada mereka bahawa ajaran Syiah itu kononnya bermata-airkan kepada fikrah dan usaha dakyah yang dilakukan oleh seorang lelaki yahudi dari yaman yang bernama Abdullah bin Saba’. Di pihak Syiah, mereka mendakwa bahawa individu bernama Abdullah bin Saba’ adalah satu manusia yang wujud, tetapi mereka menyatakan bahawa mengaitkan individu itu dengan Syiah adalah satu perkara yang tidak benar. Pada mereka, kewujudan Abdullah bin Saba’ yang wujud dalam riwayat mereka, hanya cerita tentang Abdullah bin Saba’ yang mengatakan bahawa Saidina Ali sebagai Tuhan. Ekoran itu, ada sarjana Syiah, seperti al-Syaikh Hasan al-Hyari secara terang-terang mengkafirkan Abdullah bin Saba’ dan melaknatinya. Adapun dakwaan bahawa Abdullah bin Saba’ itu sebagai seorang yang mula-mula menyebarkan fahaman Syiah dan berusaha sebagai pembunuh kepada Ali, pada sebilangan sarjana Syiah, ia adalah perkara yang cukup tidak benar jika disandarkan kepada Syiah. Antara tokoh Syiah yang melakukan penjelasan ini adalah Yasir al-Habib dengan beliau menyatakan bahawa kisah tentang Abdullah bin Saba’ yang dikaitkan dengan Syiah dan dikaitkan pembunuhan terhadap Saidina Osman ini datang dari riwayat seorang perawi bernama Saif bin Omar. Dari sudut pandang Syiah, riwayat Saif bin Omar terus ditolak, tetapi dari sudut Sunni, ada sebilangan mereka menerima riwayat Saif bin Omar, dan ada sebilangan mereka menolak riwayatnya. Antara tokoh Sunni yang menolak itu adalah Ibn Hibban. Ada pula sebilangan lain menolak dalam periwayatannya dari sudut hadis, tetapi menerimanya dalam periwayatan sejarah. Sebilangan Sunni mendatangkan beberapa riwayat selain riwayat Saif bin Umar tentang Abdullah bin Saba’, tetapi dijawab oleh sarjana Syiah bahawa riwayat selain Saif bin Umar itu hanya menceritakan kewujudan Abdullah bin Saba’ yang juga diakui oleh Syiah, tetapi tentang riwayat Abdullah bin Saba’ kononnya pengasas fahaman Syiah dan melakukan usaha pembunuhan terhadap Saidina Osman adalah dakwaan yang tidak ada sandaran riwayat. Jika kita perhatikan ini, kita dapati bahawa tuduhan bahawa Syiah itu bermuarakan kepada fahaman Abdullah bin Saba’, seorang yahudi dari yaman adalah satu tuduhan yang tidak sihat. Ini kerana, tuduhan itu berasaskan kepada melihat dari sisi pandang Sunni, sedangkan riwayat itu tertolak dalam sisi pandang Syiah. Dalam Sunni, hendak menyatakan sesuatu perkara itu haram pun memerlukan kepada nas yang saheh dan sareh, inikan pula dalam melakukan tuduhan terhadap Syiah yang kononnya bermuarakan dari fahaman seorang yahudi dari yaman bernama Abdullah bin Saba’ yang sekadar tanggapan dan sumber yang dikhilafi di kalangan Sunni sendiri. Lebih parah, jika sumber itu sendiri ditolak oleh sarjana-sarjana Syiah sendiri. Paksa terima riwayat Mendesak Syiah menerima riwayat Sunni adalah satu perkara yang ajaib, sepertimana ajaib jika Syiah mendesak Sunni menerima riwayat mereka. Lebih parah lagi, jika setiap pihak sudah mempunyai pegangan bahawa riwayat dari pihak sebelah menyebelah wajib ditolak, seperti Syiah mewajibkan menolak riwayat Sunni, dan Sunni mewajibkan menolak sesuatu riwayat jika di sana wujud perawi Sunni. Soal kekhilafan dalam menerima dan menolak seseorang perawi adalah perkara biasa dalam pengajian ilmu hadis. Usahkan antara Sunni dan Syiah, malahan sesama ulama Sunni sendiri kadangkala berlaku khilaf dalam menentukan status seseorang perawi hadis. Seperti contoh, kupasan Dr Taha Jabir dalam bukunya yang bertajuk “La Ikraha fi al-Din” tentang kekhilafan antara al-Bukhari dan Ibn Solah dalam menentukan status seorang perawi hadis bernama Ikrimah maula Ibn Abbas. Di sisi al-Bukhari, Ikrimah adalah seorang yang saheh, tetapi di sisi Ibn Solah, Ikrimah adalah satu perawi yang bermasalah. Ini dikuatkan dengan beberapa riwayat yang dibawa oleh Dr Taha Jabir seperti ungkapan anak Ibn Abbas yang bernama Ali bahawa beliau ada berkata bahawa Ikrimah selalu berdusta atas nama bapanya. Begitujuga ungkapan Ibn Sirin yang menyatakan bahawa Ikrimah adalah seorang pendusta dan berbagai-bagai lagi riwayat yang dikemukakan. Dr Taha Jabir juga ada menyatakan bahawa riwayat Ikrimah itu tidak diguna pakai oleh Imam Muslim kecuali jika wujud riwayat lain yang mendokongnya. Juga beliau menyatakan bahawa Ikrimah tidak diterima imam Malik kecuali jika wujud syawahid. (La Ikraha fi al-Din (terjemahan), hlmn 127) Di kalangan ulama hadis dari aliran Sunni sendiri, terdapat di kalangan mereka yang berbeda pendapat dengan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim yang dipercayai Sunni sebagai sumber yang terkuat selepas al-Quran. Contohnya adalah al-Syaikh Albani ada menyatakan doif pada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Antaranya adalah seperti hadis bahawa Nabi Muhammad SAW ada menyatakan yang bermaksud; “Sesungguhya hamba yang bercakap dengan sesuatu kalimah yang tidak mendatangkan kerosakan, pasti Allah SWT akan angkat beberapa darjat untuknya” (al-Bukhari, bab menjaga lidah dan perkataan Nabi Muhammad SAW “barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia bercakap perkara baik ataupun diam” dalam hadis ke 5997) Hadis ini adalah hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, tetapi, hadis ini dinilai doif oleh Albani. Pada Albani, perawi bernama Abd al-Rahman bin Mahdi adalah seorang yang lemah ingatan dengan merujuk kepada beberapa tokoh, seperti Yahya bin Muin yang mengatakannya lemah dan sebagainya. (lihat dalam kitab al-Silsilah al-Doifah, dalam hadis ke 1299) Dilihat kepada kekhilafan di kalangan ulama hadis dalam menerima sesuatu riwayat, kita akan dapati bahawa soal penentuan seseorang perawi itu kuat atau tidak adalah perkara yang boleh berlaku khilafiah dalam Sunni. sudah pasti, kekhilafan ini berlaku dengan Syiah. Dikalangan Sunni sendiri berlaku khilaf. kekhilafan itu tidak menjadikan satu pihak boleh memaksa satu pihak yang lain agar mengikuti mereka, begitujuga di pihak satu lagi. Dalam keadaan tidak dapat memaksa, tetapi budaya hormati kepercayaan masing-masing tetap subur, juga satu pihak tidak boleh paksa untuk menerima komentar di pihak lain, begitulah juga sebaliknya, tetapi mereka dibenarkan berhujjah seilmiah mungkin untuk memastikan dipihaknya lebih benar dari pihak satu lagi. Tuduhan Syiah Jika di pihak unni, mereka menuduh Syiah bermuarakan ajaran yahudi, sedangkan di pihak Syiah pula, mereka juga menuduh dengan tuduhan yang sama. Antara tuduhan Syiah terhadap Sunni dalam hal ini adalah seperti mendakwa bahawa Umar mengambil beberapa serpihan kitab dari kalangan ahli Kitab. Tindakan Umar itu menjadikan Rasulullah SAW marah dan menegur tindakan Umar tersebut. (Hadis Riwayat Ahmad, Bab Musnad Jabir bin Abd Allah, Hadis no : 14623) Juga tuduhan Syiah bahawa kononnya Sunni menjisimkan atau memandang bahawa Allah adalah tuhan yang berjisim. Pada mereka, itu adalah bukti bahawa Sunni bermuarakan yahudi. Semua tuduhan ini adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana, Sunni menolak pengambilan sumber hukum dari selain al-Quran dan al-Sunnah yang saheh. Hadis riwayat Umar yang dikemukakan di atas adalah bukti bahawa yahudi tidak dijadikan sebagai sumber Sunni. ekoran itu, dalam Sunni jika sesuatu hukum itu tidak bersumberkan kepada sumber yang saheh, makanya pengamalan tersebut hendaklah ditolak, malahan ia diistilahkan sebagai bidaah yang diharamkan. Sabda Nabi Muhammad SAW, “Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan dari urusan kami, maka ianya tertolak” (Muslim, Bab tertolak amalan batil dan tertolak perkara-perkara baru, hadis no : 3243) Tuduhan bahawa Sunni menganggap Allah SWT sebagai tuhan yang berjisim juga adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana, golongan yang menyatakan Allah adalah tuhan yang berjisim juga ditolak oleh Sunni, malahan dianggap sebagai bukan Sunni. Ini kerana, Sunni berpegang dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Tidaklah Dia menyerupai sesuatu pun. Dia adalah Tuhan yang maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Surah al-Syura, ayat 11). Ataupun dari aliran asyairah pula, mereka menimbulkan istilah mukhalafah taala min hawadis atau tidak menyerupai Allah yang Maha Tinggi itu dari sebarang perkara-perkara baru. AKAN BERSAMBUNG….
]]>Bahagian 1 rencana ini boleh dibaca di sini. Masalah ketara berlaku apabila tiada dialog yang sihat untuk memadamkan api pertembungan. Semua kupasan dari satu pihak terhadap satu pihak yang lain akan hanya berasaskan tuduhan dan salah anggap, bukan fakta dan cara faham yang benar. Di pihak Ahbash ada yang mengkafirkan seorang tokoh besar Sunni bernama Ibn Taimiah, tanpa berasaskan sudut pandang jujur atau sikap ingin mengetahui maksud sebenar, tetapi dengan sesuatu tuduhan yang cukup meragui. Tuduhan kononnya Ibn Taimiah berkata bahawa Allah SWT turun dari langit ke dunia seperti beliau turun dari mimbar masjid damsyik adalah tuduhan yang tidak sewajarnya berlaku. Ini kerana, setelah kajian dilakukan didapati bahawa tarikh ungkapan Ibn Taimiah yang diriwayat Ibn Batootah didapati tidak benar sama sekali, kerana ketika itu Ibn Taimiah berada dalam penjara. Namun, dengan tidak berdialog secara sihat dan jujur; dengan tidak dialog untuk mencari kebenaran, menjadikan sumber yang diragukan itu dibahas sedemikian rupa sehinggakan tokoh sehebat Ibn Taimiah dikafirkan dalam keadaan penuh tidak bertanggungjawab. Mashaf Fatimah Dilema yang sama juga berlaku apabila sebilangan Sunni menuduh bahawa Syiah itu punyai al-Quran yang kandungannya lebih sebanyak tiga kali ganda. Contohnya, dalam kelampauan, Mashaf Fatimah yang sememangnya wujud dalam riwayat Syiah, dituduh oleh Sunni sebagai al-Quran mengikut versi Syiah. Sebenarnya mashaf fatimah bukanlah al-Quran seperti tuduhan sebilangan Sunni, tetapi ia sekadar sebuah kitab hadis-hadis qudsi yang datang dari Fatimah yang dikagumi oleh Syiah. Pada tahun 2011, seorang tokoh Syiah bernama Yasir al-Habib pernah ditanya dalam satu rancangan fadak tentang Mashaf Fatimah, beliau menyatakan bahawa definisi bagi mashaf Fatimah adalah “satu kitab yang dipenuhi dengan himpunan hadis-hadis Qudsi yang telah Allah SWT wahyukan kepada Fatimah al-Zahra’ melalui jibril” Dalam kupasan beliau terhadap definisi tersebut, beliau menyatakan di sana ada perbedaan antara wahyu yang berbentuk ta’abbudi, iaitu diberikan pahala yang dibaca seperti al-Quran. Juga wahyu yang berbentuk pensyariatan yang boleh diistinbatkan hukum daripadanya. Kupasan beliau, al-Quran bersifat Taabbudi dan tasyrik (pensyariatan) yang diberikan pahala bagi pembacanya dan boleh diistinbatkan hukum darinya, sedangkan mashaf Fatimah, ia sekadar himpunan-himpunan hadis Qudsi melalui Fatimah, sepertimana wujud dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, yang tidak diberikan pahala kepada pembacanya, dan tidak boleh diistinbatkan hukum daripadanya. Ia sekadar wasiat-wasiat baik dari Fatimah yang dijadikan pegangan oleh orang-orang Syiah. Beliau juga menjelaskan bahawa pemberian wahyu kepada Fatimah bukan menjadikan Fatimah itu sebagai Nabi sepertimana yang ditohmah oleh sebilangan Sunni yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana, dalam al-Quran, Allah SWT ada menyatakan bahawa Allah SWT telah memberi wahyu juga kepada ibu kepada Nabi Musa, sedangkan Ibu Nabi Musa itu bukan nabi sama sekali. Beliau merujuk kepada ayat 7 dari surah al-Qasas yang bermaksud; “Dan kami wahyukan kepada ibu Musa; “Susuilah dia, dan apabila kamu khawatir terhadapnya maka jatuhkanlah dia ke sungai (Nil). Dan janganlah kamu khawatir dan janganlah (pula) bersedih hati, karena sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya (salah seorang) dari para rasul” Dalam kupasan seorang tokoh Syiah bernama al-Syaikh Hasan Yari pula dinyatakan bahawa Mashaf Fatimah bukanlah al-Quran, tetapi ia adalah Mashaf Fatimah sepertimana wujud dalam Sunni apa yang dinamakan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim. Ma’sum Di pihak Syiah pula, ada sebilangan mereka melakukan tuduhan yang melampau tentang Sunni, seperti mendakwa bahawa Sunni menganggap bahawa para sahabat itu seperti Ma’sum. Tuduhan itu tidak benar sama sekali. Ini kerana, dalam Sunni, sahabat bukan sebagai sumber hukum, sebaliknya sumber hukum dalam Sunni adalah al-Quran dan al-Sunnah. Adapun sahabat, mereka adalah orang yang lebih mengetahui tentang pengamalan Nabi Muhammad ekoran mereka bersama dengan Nabi Muhammad SAW; mereka melihat dan mendengar pergerakan dan perkataan baginda SAW, makanya mereka diperhatikan dalam Sunni untuk diketahui maksud sebenar sesuatu pengamalan Nabi Muhammad SAW. Di sisi Sunni, pengamalan para sahabat diterima secara muqayyad atau keterikatan, iaitu sekiranya mendatangkan kebaikan kepada umat. Tetapi, jika sesuatu perkataan atau perbuatan mereka mendatangkan keburukan dan kerosakan, ia hendaklah dita’wil dan dikaji balik berdasarkan kesesuaian zaman, masa dan keadaan mereka. Tindakan Sunni mempertahankan sahabat dari dikafirkan itu tidak bermaksud Sunni menganggap para sahabat itu sebagai ma’sum seperti ditohmah oleh sebilangan pihak dari Syiah yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana, pada tanggapan Sunni bahawa sahabat itu tidak kafir kerana mereka berpegang dengan Firman Allah SWT yang menyatakan dalam ayat 100 dari surah al-Taubah yang bermaksud; “Orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) dari golongan muhajirin dan anshar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah ridha kepada mereka dan merekapun ridha kepada Allah dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya selama-lamanya. Mereka kekal di dalamnya. Itulah kemenangan yang besar” AKAN BERSAMBUNG…
]]>Khilafiah dalam Aqidah Perkara khilaf ini berlaku ekoran sifat nas Al-Quran dan Al-Hadis itu sendiri hadir dalam bentuk yang tidak jelas, makanya memerlukan kepada tafsiran yang diistilahkan sebagai ijtihad. Menurut al-Qaradawi, ijtihad itu terhasil berpuncakan kepada tiga perkara, iaitu dalam perkara yang ada nas yang punyai tafsiran yang banyak, atau nas yang banyak dilihat bertembung maksudnya dari sudut pemahaman dari kalangan ulama, dan kewujudan isu disamping tiada nas. (Fatawa Maasarah, jld 2, hlmn 649) Kekhilafan juga boleh berlaku ekoran manhaj pemahaman nas yang berlaku di kalangan para ulama mujtahid. Antaranya adalah seperti mazhab Hanafi yang meletakkan bahawa hadis ahad tidak boleh mengtakhsiskan umum al-Quran, sedangkan dalam mazhab selain Hanafi, perkara ini dibenarkan. Kekhilafan dalam memahami nas ini, bukan sekadar berlaku dalam perkara fiqh, tetapi berlaku juga dalam perkara aqidah. Dari sisi Sunni sendiri, perkara aqidah itu dilihat melalui dua kategori, iaitu perkara dharuri dan perkara nazari. Perkara dharuri adalah perkara yang tidak berlaku khilaf langsung, seperti tiada khilaf dalam menentukan kewujudan Tuhan, tiada khilaf dalam menentukan keesaan Tuhan, tiada khilaf bahawa Nabi Muhammad SAW adalah penutup segala nabi, dan sebagainya. Jika wujud mereka yang menyalahi perkara ini, maka ia sudah pasti bukan dari kalangan muslim. Ada satu sudut lagi adalah dalam perkara yang disebut sebagai nazari, iaitu perkara aqidah yang perlu kepada penilikan dan pemerhatian nas yang mendalam. Perkara nazari ini berlaku kerana melihat cara penurunan nas al-Quran dan al-Hadis itu sendiri tertakluk dengan tafsiran, atau disebut sebagai pendalilan secara sangkaan atau dalam sebutan pengajian usul al-Fiqh Zanniy al-Dilalah. Di kalangan ulama Sunni, mereka tidak sepakat dalam menentukan status bapa Nabi Muhammad SAW yang bernama Abdullah sebagai ahli neraka atau tidak. Ini kerana, terdapat satu Hadis yang apabila sahabat bertanya kepada Baginda Nabi SAW tentang keadaan bapa-bapa mereka di akhirat kelak, Nabi Muhammad SAW menjawab bahawa bapa mereka dan bapa Baginda SAW juga turut dalam neraka. (Hadis riwayat Muslim, hadis no : 302) Merujuk kepada aliran literalis dalam sunni dan seangkatan dengan mereka, bapa Nabi muhammad SAW itu dikira sebagai ahli neraka berdasarkan hadis saheh tersebut. Pendapat aliran kedua pula menyatakan bahawa Bapa Nabi Muhammad SAW tidak boleh dikatakan sebagai ahli neraka. Ini kerana, hadis sandaran neraka bapa Nabi Muhammad SAW itu adalah ahad, sedangkan ia bercanggah dengan umum al-Quran yang menyatakan bahawa Allah SWT menyatakan dalam surah al-Isra’, ayat 15 yang mana Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum kecuali Allah SWT datangkan Rasul terlebih dahulu. Dalam kupasan al-Syaikh Muhammad al-Ghazali yang dinukilkan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa bapa Nabi Muhammad SAW adalah ahli syurga berdasarkan kepada umum al-Quran ini. Sedangkan hadis yang mengatakan bapa nabi masuk syurga itu adalah merujuk kepada bapa saudara baginda, bukan merujuk kepada bapa Nabi Muhammad SAW, iaitu Abdullah bin Abd al-Muttalib. (Kaifa Nata’amalu Ma’a al-Sunnah, hlmn 118) Khilaf juga berlaku di kalangan ulama-ulama usul al-Din dalam menentukan status Khaidir AS, apakah baginda seorang Nabi ataupun sekadar seorang lelaki soleh. Khilafiah Salafi – Khalaf Dalam aliran sunni sendiri, terdapat dua aliran aqidah yang sering bertelagah yang kadangkala kelihatan seperti tidak ada jalan untuk mencari titik kesamaan. Perdebatan atas tajuk sifatiyah atau penentuan sifat Allah SWT yang melahirkan perdebatan panjang antara aliran Muktazilah dengan Hanabilah. Aliran Hanabilah ini kemudiannya dikenali sebagai salafi setelah hadir satu lagi aliran yang mengkritik aliran muktazilah yang dikepalai seorang tokoh yang asalnya muktazilah yang telah keluar dari aliran tersebut dan mengakui diri sebagai ahli Sunnah wa al-Jamaah bernama al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari yang alirannya dikenali sebagai Asyairah. (Dr Azmil Zainal Abidin, Sumbangan Aliran Asyairah dan salafiyyah di bidang Usul al-Din : Lakaran semula sejarah Pemikrian Tauhid Ahl al-Sunnah, hlmn 22) Pertembungan kedua-dua aliran ini adalah menjadikan golongan Hanabilah dikenali sebagai Salafi sebagai merujuk golongan terawal bertembung dengan muktazilah, sedangkan kelompok asyairah dikenali sebagai khalaf sebagai golongan terkemudian berhadapan dengan muktazilah. Aliran kedua-dua ini, jika dilihat ia boleh didamaikan dengan memahami bahawa kedua-duanya tumbuh ekoran pertembungan dengan aliran Muktazilah. Perbedaan mereka hanya method penggunaan dalam berhadapan dengan muktazilah; satunya menggunakan method nas secara terus, dan di pihak satu lagi menggunakan method akal. Dalam berbeda method, tetapi mereka hakikatnya punyai satu tujuan, iaitu berhadapan dengan muktazilah. Namun begitu, pertembungan mereka itu tidak dilihat dengan jiwa besar, melahirkan pertembungan yang membimbangkan. Aliran asyairah radikal dikenali sebagai Ahbash dengan berani mengkafirkan sebilangan tokoh-tokoh besar dengan menggunakan lebel wahabi, sedang dipihak dituduh wahabi pula mempertahankan diri mula menyatakan sesat terhadap pihak ahbash. Pertembungan ini hakikatnya boleh diselesaikan dengan sikap berjiwa besar dan bersedia berhadapan dengan khilaf, iaitu mencari damai dalam perbedaan, bukan mencipta retak pada bangunan kukuh. Ini kerana, sifat perbedaan itu sememangnya berlaku dalam kehidupan manusia, malahan ia boleh di atasi dengan sikap toleransi dan hormati perbedaan… (Rencana ini bersambung ke bahagian kedua, ketiga dan keempatnya)
]]>