Projek Dialog

Pesta Rakyat dan Demokrasi Radikal

Aku bermimpi main seruling, hadapan bunga di tepi kolam. Biarkan nasib aku terguling, asalkan bangsa tidak tenggelam. Barisan Nasional merupakan satu-satunya parti yang sentiasa menang dalam setiap pilihan raya umum sejak 1950-an. Sebagai parti yang memerintah selama lebih 50 tahun di Malaysia, perlaksanaan sistem demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan ternyata memberi kelebihan kepada orang Melayu umumnya dan UMNO khususnya. Sistem pemerintahan begini telah berjaya memelihara “kemakmuran dan keamanan” sejak merdeka lagi dalam arti kita masih punya hak untuk bernafas. Menurut mereka, sebagai manusia, kita hanya perlu hak itu dan bukan yang lain – hak berhimpun, hak bersuara, semuanya hanya setakat formaliti dalam Perlembagaan Persekutuan (yang juga menjadi instrumen kepada penguasa). Tidak cukup dengan itu, dengan memakai nama demokrasi, disekatnya kemerdekaan akhbar dan menyuburkan surat layang yang luar biasa banyaknya dalam PRU-PRU lepas. Namun, sama ada demokrasi yang dilaksanakan di negara ini berjaya memilih wakil rakyat yang selayaknya itu hal kedua menurut mereka, janji ia menurut semangat demokrasi yang kelihatannya mementingkan “means” berbanding “ends”. Sehinggalah baru-baru ini, “demokrasi peti undi” tidak lagi mampu menjamin keadilan dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Lalu, dibuatlah perhimpunan sebagai satu lagi alternatif untuk meluahkan rasa hati (dipanggillah sebagai “perhimpunan aman” mungkin kerana tidak mahu menyinggung susila masyarakat Timur). Perhimpunan yang dibawa ke serata negeri kali ini berhujung dengan Pesta Rakyat di Amcorp Mall Petaling Jaya pada hari Sabtu dan Ahad. Berlainan dengan perhimpunan-perhimpunan yang lepas, ia tidak disertai dengan kehadiran FRU yang serba lengkap dengan gas canister. Maka tidak kedapatanlah gerai-gerai yang mengalami kerugian mencecah ribuan ringgit maupun kerosakan harta benda awam – menurut Buletin Utama TV3. Pesta Rakyat kali ini dapatlah kiranya diumpamakan seperti perayaan – mungkin merayakan undi popular. Sudah pasti pesta ini berbeza sekali dengan perhimpunan Belia di Putrajaya anjuran kerajaan BN. Perhimpunan itu dirasmikan DS Najib Razak pada hari yang sama. Anak muda sekali lagi diberi gula-gula getah untuk terus bersikap apati dalam urus tadbir negara. Ini membezakannya dengan Pesta Rakyat yang bukan dipaksakan dan dihadiri kurang lebih 50 ribu rakyat. Hal ini amat bertepatan dengan apa yang dikata Douglas Lummis: “Democracy doesn’t mean feeling powerful. It means holding real power. Radical democracy describes the adventure of human beings creating with their own hands, the conditions for their freedom. It is not a kind of government, but an end of government; not a historically existing institution but a historical project.” Beliau menekankan bahawa demokrasi bukanlah setakat procedural – yang membezakannya dengan diktum terkenal Abraham Lincoln. “Kerajaan” bagi Lincoln ialah struktur yang dibentuk untuk memperkasa rakyat sedangkan demokrasi seharusnya menjadikan rakyat itu sendiri harus berkuasa. Ini jelas menunjukkan melaung dan memahami demokrasi adalah dua perkara berbeza. Demokrasi sesuai dengan namanya mesti mahu dipraktikkan bermula dari rakyat bukan dari penguasa. Jika sebaliknya berlaku, iaitu aliran kuasa atas-bawah, maka mungkin hanya beberapa orang Malaysia sahaja yang berhasil membebaskan diri daripada segala macam belenggu yang dipasung pada dada dan pemikiran mereka sejak setengah abad ini. Demokrasi tidak harus mengikut jejak feudalisme dan tirani penguasa. Jadi cita-cita besar kita bukanlah mengembalikan kerajaan yang dirampas daripada kita tetapi mengembalikan akar demokratia.

]]>

Selamat datang ke Jinjang

working class berbangsa Cina. Pernah dengar istilah ‘Cina Jinjang’? Istilah yang digunakan untuk menggambarkan seorang Cina ‘totok’ yang kasar dan yang selalunya tidak berpelajaran tinggi. Jinjang juga seringkali menjadi bualan sebagai rough neighbourhood. Tidak banyak yang menjadi tarikan di Jinjang. Dan sekiranya anda tidak tinggal di Jinjang atau mempunyai saudara atau kenalan di Jinjang, tidak ada sebab untuk anda masuk ke Jinjang. Kecuali, anda mempunyai urusan di Pusat Tahanan Reman di Jinjang Utara. Yang merupakan sebuah kompleks yang dijadikan pusat bagi menempatkan mereka yang ditahan reman bagi proses siasatan jenayah. Lokasi kompleks ini menyebabkan Jinjang kadangkala menjadi lokasi tumpuan perkembangan politik tanahair. Contohnya, semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada tahun 2011, mereka yang ditahan ada dibawa ke Jinjang sebelum dilepaskan. Akhir-akhir ini pula, Jinjang sekali lagi menjadi perhatian apabila aktivis mahasiswa, Adam Adli, ditahan reman dan ditempatkan di sana sebelum didakwa. Kemudian, Tian Chua, Tamrin Ghafar dan Haris Ibrahim juga ditahan semalaman di Jinjang sebelum dibebaskan oleh Mahkamah keesokan harinya. Maka warga Malaysia pun datanglah ke Jinjang, menyalakan lilin sebagai tanda solidariti dengan Adam Adli, dan kemudiannya dengan Tian Chua, Tamrin dan Haris. Nyalaan lilin menjadi simbol protes dan desakan supaya mereka dibebaskan, diserikan dengan ucapan dan sorakan daripada mereka yang hadir. Seperti Kuala Kangsar, seperti Dataran Merdeka, seperti Stadium Kelana Jaya, Jinjang menjadi lokasi pilihan bagi mereka yang meraikan demokrasi. Bayangkan, tiap-tiap malam pada minggu lepas: Jinjang sesak. Jinjang kecoh. Jinjang bising. Malahan, ada satu malam Jinjang menyaksikan adegan kejar-mengejar dan tangkap-menangkap di antara polis dan para penyala lilin. Jika ini kawasan kelas menengah di mana-mana lokasi lain di Lembah Kelang, mungkin sekali aduan akan dibuat pada malam yang kedua. Pada malam yang ketiga, ada yang akan merungut bagaimana hidup mereka diganggu kerana perhimpunan yang diadakan setiap malam. Sesak jalan. Bising. Kecoh. Kotor. Revolusi pun revolusi juga, tetapi tidur dan tenteram itu harus. Tetapi ini Jinjang. Jinjang menerima para demonstran dan penyala lilin dengan tangan terbuka. Mereka yang datang akan dimaklumkan oleh warga Jinjang sendiri di mana tapak vigil pada malam itu. Malahan, penduduk Jinjang sendiri adalah antara mereka yang pertama akan berkumpul di tapak, sebelum orang luar berkumpul. Ceramah berlangsung dengan menggunakan pembesar suara  yang pasti didengari oleh penduduk setempat. Tetapi tidak ada aduan dan tidak ada rungutan. Malahan, penduduk Jinjang sendiri membarisi balkoni-balkoni yang berdekatan untuk mendengar apa yang disampaikan. Tidak lupa juga mereka yang memanjat pagar demi sudut pandangan yang terbaik. Dan semasa pihak polis mengejar dan membuat tangkapan ke atas para penyala lilin, penduduk Jinjang telah membuka pintu rumah dan kedai mereka dan menerima para penyala lilin yang melarikan diri daripada polis yang sedang mengejar, tanpa mengira bangsa para penyala lilin. Padahal, untuk hampir kesemua hari, para penyala lilin di hadapan Pusat Tahanan Jinjang berkumpul demi seorang mahasiswa muda berbangsa Melayu. Jika diikut retorik etno-nasionalis pasca pilihanraya umum ke-13, orang Cina telah mengkhianati orang Melayu dengan mengundi parti-parti Pakatan Rakyat. Orang Cina didakwa bersifat perkauman dan mempunyai agenda perkauman dalam pola pengundian mereka. Tetapi, mengapakah di Jinjang, mungkin sekali tempat paling ‘Cina’ di Malaysia, mereka memberikan sokongan kepada seorang mahasiswa Melayu yang tidak ada kena mengena dengan mereka?  Jika orang Cina telah mengkhianati Melayu, mengapa setiakawan begitu terserlah di Jinjang? Bapa Adam Adli, pada hari anaknya dibebaskan dengan ikat jamin, telah datang sekali lagi ke Jinjang. Dia berterima kasih kepada penyokong anaknya dan kepada Jinjang, kerana telah menjadikan anaknya sebagai anak mereka sendiri melalui sokongan yang diberikan. Mereka yang percaya dengan retorik ‘pengkhianatan Cina’ ini sebenarnya sudah terputus dengan realiti akar umbi. Realitinya, ceramah-ceramah dan program-program anti-kerajaan mendapat sambutan warga Malaysia dari seluruh lapisan masyarakat, bukan hanya yang berbangsa Cina. Realitinya, keputusan PRU ke-13 adalah tsunami bandar, tsunami kelas menengah dan tsunami orang muda, bukan tsunami Cina. Realitinya, semakin hebat tekanan yang dikenakan oleh pihak pemerintah, semakin utuh jalinan perpaduan. Realitinya Adam Adli bukan lagi seorang Melayu, tetapi seorang anak Malaysia yang diperlakukan dengan tidak adil. Dan apa yang berlaku di Jinjang selama minggu lepas adalah contoh terbaik realiti baru ini. Putrajaya patut belajar daripada Jinjang tentang perpaduan nasional.

]]>

Pasca PRU13; Anak Muda dan Politik Barbarian

BEBERAPA hari sebelum Pilihanraya Umum Ke-13 yang lalu, saya menulis sepucuk ‘Surat Terbuka Kepada Kaum Muda’ melalui Projek Dialog kepada Kaum Muda yang mewakili sehingga 42% dari pecahan pengundi berdaftar. Di dalam surat tersebut saya menyeru Kaum Muda untuk membuat pilihan dengan mengenepikan kezaliman untuk membebaskan diri. Seterusnya saya juga tegaskan keharusan untuk kita semua keluar dari tempurung politik perkauman menuju politik kelas seterusnya politik ideologi. Tidak sampai 15 hari dari tarikh kemenangan Barisan Nasional, anak muda dikejutkan dengan penangkapan Adam Adli. Mahasiswa yang sedang menjalani penggantungan kuliah akibat insiden menurunkan muka pemimpin Umno di Menara Umno beberapa tahun lalu; kini dituduh menghasut rakyat untuk menumbangkan kerajaan. Anak Muda dan Solidariti Jika dianalisis corak respon gerakan mahasiswa sedia ada dan respon mahasiswa seluruhnya – dengan jumlah mahasiswa mencecah 500,000 seluruh negara dan ribuan persatuan mahasiswa partisan serta non-partisan; kes penahanan Adam Adli pada kali ini agak lewat mendapat respon. Melalui perbincangan dengan rakan-rakan antara beberapa sebab mengapa mobilisasi mahasiswa untuk menyokong dan seterusnya bersolidariti dengan Adam Adli tidak berjaya adalah kerana; 1) Mahasiswa tidak melihat perjuangan Adam Adli sebagai perjuangan mereka; 2) Adam Adli tidak mewakili suara mahasiswa dan 3) Mahasiswa seluruhnya takutkan kebebasan. Namun perkara ini bukanlah sesuatu yang perlu dihairankan. Untuk pengamat gerakan mahasiswa, umum mengetahui persatuan dan gerakan mahasiswa sedia ada yang wujud kini diasaskan samada melalui semangat partisan atau semangat kaum, ras atau agama. Kerna itu dapat difahami bahawa sesetengah perjuangan tidak mendapat konsensus dan persefahaman sesama mereka seterusnya membawa kepada sikap yang berlainan terhadap sesuatu isu di antara mereka. Perlunya Gerakan Tersusun Di Chile pada 2011, Camile Vallejo, menginspirasikan gelombang protes yang menyebabkan puluhan universiti ditutup selama beberapa bulan. Keseluruhan semester akademik terpaksa dibatalkan, sehingga 200,000 mahasiswa berarak ke Santiago setiap minggu dengan suasana karnival. Respon polis dikatakan ‘brutal’ sehingga dakwa Vallejo terdapat ‘of torture, sexual abuse’ termasuk ‘tear gas’ dan ‘water cannon’. Vallejo sendiri mengaku dirinya diserang dengan ‘tear gas’ selepas mesyuarat dengan mahasiswa. Patrick Kingsley di dalam temubualnya bersama Vallejo di The Guardian menyatakan protes jalanan ini tidak seperti protes jalanan oleh mahasiswa seperti di Britain. Ianya lebih radikal dan lebih popular malahan efektif. Sehingga 2011, sekitar 70% penerimaan pelajar terhadap gerakan ini. Dua menteri berjaya diturunkan dari kabinet kerajaan dan di tengah-tengah gerakan ini adalah Vallejo, seorang gadis 23 tahun. Menariknya perjuangan Vallejo adalah pendidikan percuma. Tulis Patrick Kingsley lagi, New York Times menganggarkan kos yuran universiti di Chile untuk ijazah pertama sehingga USD 3400 sementara purata pendapatan tahunan penduduknya hanyalah USD 8500. Vallejo menegaskan hanya 40% dari rakyat Chile mendapat pendidikan percuma, selebihnya perlu berhutang – atau tidak mempunyai pendidikan. Perangi Politik Barbarik Bezanya di Malaysia, gerakan mahasiswa sedia ada tidak tersusun malah terpecah dan terbahagi mengikut sentimen dan kepentingan sendiri. Inilah masanya anak muda memulakan dialog dan perdebatan untuk menyatukan gerakan sedia ada. Menurut Vallejo, ‘2011 was the product of 10 years of debate’ – merujuk kepada 10 tahu lalu di mana gerakan pelajar di Chile memulakan inisiatif untuk menyatukan masalah-masalah spesifik untuk diberi perhatian. Gerakan mahasiswa di Malaysia perlu segera sedar bahawa mereka kini perlu bergerak jauh ke depan dari Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang kini sudah berusia 42 tahun. Menjelang 2020 – anak muda harus segera bangun menggunakan iPhone dan gajet canggih untuk mencerahkan rakan masing-masing tentang penindasan dan pencabulan hak mahasiswa melalui AUKU. Inisiatif bersama untuk keluar dari kepompong AUKU ini sangat perlu diberi perhatian untuk melawan politik barbarik pasca PRU-13 ini. Mahasiswa harus segera sedar bahawa perjuangan mahasiswa dan anak muda, kebebasan akademik, perjuangan kelas dan perjuangan mencapai demokrasi bukan sekadar melalui menjatuhkan kerajaan sedia ada. Anak muda melalui mahasiswa harus bangun dan bergerak untuk berjuang atas dasar kepentingan masyarakat. Isu pendidikan, isu ekonomi, isu sosial dan pelbagai isu lagi perlu dijadikan landasan untuk sebuah gerakan yang akan menyatukan mahasiswa untuk mengubah Malaysia menjadi lebih baik. Perjuangan dengan ideologi dan pemikiran adalah lebih stabil berbanding perjuangan berasaskan sentimen perkauman dan agama. Anak muda juga harus segera menolak perjuangan partisan yang pada akhirnya asyik mengkeldaikan anak muda untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada melalui laungan-laungan yang superfisial. Mereka harus sedar untuk mengubah realiti masyarakat – tidak semestinya melalui revolusi, tetapi pertamanya perlu melalui gerakan dan aktivisme mereka sendiri. Parti politik bukanlah satu-satunya kunci untuk menyelesaikan masalah-masalah struktur yang membelenggu sistem di dalam negara ini. Inilah masanya anak muda terutamanya mahasiswa menggembleng diri untuk mengupayakan diri mereka menjadi kuasa pendesak baharu. Zaman totalitarian Mahathirisme telah lama berlalu – ketakutan terhadap undang-undang ala-Hammurabi seperti AUKU perlu segera diselesaikan. Membangun Generasi Baharu Youtube dan Instagram perlu digunakan sepenuhnya untuk memulakan projek debat dan dialog untuk mencari titik persefahaman di antara anak muda berdasarkan ideologi dan pemikiran yang pelbagai; bukan untuk menyebarkan ‘gwiyomi’ atau menambah-banyak ‘Harlem Shake’. Facebook dan Twitter memerlukan lebih ramai anak muda untuk berpartisipasi secara aktif di dalam masyarakat dan melakukan pelbagai perubahan sosial darinya. Pada waktu-waktu beginilah anak muda perlu bangun dan perjuangkan masyarakat tertindas dari segi ekonomi dan pendidikan sebagaimana yang diperjuangkan anak muda di Chile. Saya percaya, untuk membangun generasi baharu, terutamanya anak-anak yang sedang berada di dalam buaian sekarang, memerlukan anak muda dan mahasiswa yang tahu untuk mencipta sejarah. Anak muda di Chile misalnya telah bangun untuk menyatakan sikap mereka terhadap penindasan dan diskriminasi sosial terhadap kaum miskin berkenaan pendidikan. Tanpa campur tangan parti politik, mereka turun ke jalan raya kerana percaya bahawa perubahan perlu dilakukan oleh diri mereka sendiri. Dengan bantuan Web of Science, Thompson Reuters dan 1001 Jurnal ISI lagi, anak muda di Malaysia harus percaya bahawa masa depan negara adalah di dalam tangan mereka dan bukan lagi di tangan pemimpin parti yang berusia 60 atau 80 tahun. Camilla Vallejo di dalam temu ramah itu juga menyatakan;  “We realised the problem was bigger, the problem was structural,”. Vallejo kemudian meneruskan; “The debate became about the link between education and the bigger economic model in Chile,“. Oh ya, di sana mereka tidak bicara soal ‘Ahkam al Bughah’ atau masih tidak habis belajar mahu sibuk dengan politik atau pelajar tidak perlu campur tangan dalam keputusan kerajaan. Malangnya di Malaysia, anak muda dan mahasiswa sendiri masih tidak pasti mahu menyokong Adam Adli atau tidak kerana beliau ‘berambut panjang’ dan ‘memakai gelang’. Saya runsing kerana pasca PRU-13 ini, anak muda sendiri yang memandu Malaysia kembali ke arah Politik Barbarian. Kata guru saya; sejarah membuktikan – kerja melawan anak muda – selalunya sia-sia. *Penulis tidak berniat untuk membandingkan struktur sosio-ekonomi Chile dengan Malaysia sedangkan kemunculan gerakan partisipasi mahasiswa bergantung kepada pelbagai faktor luaran. Sebagaimana lapor Milton L. Vidal di dalam Global Dialogue (Volume 2 Issue 4); “Chile is an emerging country of the OECD. According to this organization, Chile has a Gini score of 0.50, which represents the highest inequality among the countries in this category (Society at a Glance, Social Indicators, OECD, 2011). The average income of the richest 10% of Chileans is higher than Norway’s, while that of the poorest 10% is similar to that of the population of Ivory Coast. The majority of Chileans (60%) have, on average, a lower income than Angolans,”

]]>

Sastera dan cerita kepada kemanusiaan

 “Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan gelar kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastra, kalian tinggal hanya hewan yang pandai.” Pramoedya Ananta Toer

BERPULUH tahun dahulu, seorang pemimpin negara yang ‘berpandangan jauh’ telah mengemukakan sebuah dasar negara yang tidak pernah difikirkan rakyat biasa. Dasar tersebut (yang telah menyebabkan beliau popular dan dikagumi ramai) dinamakan Wawasan 2020 – dengan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara industri yang bakal memacu Asia menjelang tahun 2020 nanti. Wawasan 2020 yang dibisikkan ke dalam mimpi masyarakat untuk membina peradaban industri maha hebat – telah menyebabkan rakyat dibuai dengan impian indah ‘kereta terbang’ dan ‘polis robot’ ketika poster-poster Malaysia 2020 diedarkan kepada anak sekolah. Akibatnya, aliran Sains diperkenal dan diberi keutamaan – sehingga – aliran Sastera terperuk dan terperosok di celah-celah cita-cita anak muda. Sastera bahkan diperkenal di sekolah-sekolah hanya sebagai bahan uji-kaji, untuk melihat keberkesanan otak pelajar menghafal 32 nilai murni yang diajarkan. Mengejar status negara industri sempena tahun 2020; murid diajar untuk menganalisis Sonnet 18 tetapi bukannya Syair Perahu. Di Barat, anak muda masih belajar naskhah Pierre de Ronsard (1524-1585) atau Victor Hugo (1802-1885). Malangnya di Malaysia, anak muda tidak diperkenalkan kepada Hamzah Fansuri (lahir akhir abad ke-16) Perang dan Peperangan Dalam tradisi pendidikan moden Eropah dan dunia Barat, Sastera dipandang tinggi kerana kemampuannya bercerita dengan bersahaja tentang aparat dunia. Kemiskinan, kepayahan hidup, tragedi bahkan perang yang mengerikan; Sastera senantiasa ada cara untuk menyampaikannya kepada masyarakat. Dr Zhivago karangan Boris Pasternak misalnya mengisahkan kehidupan warga Rusia yang dipaksa hidup di dalam tragedi peperangan awal abad ke-20. Yuri Zhivago ditinggalkan ibu bapanya yang mati ketika dirinya masih kecil. Kemudiannya berkahwin dan mendapati keluarganya terpaksa berhadapan dengan kekejaman kebuluran dan hukuman akibat peperangan. Zhivago yang lahir pada zaman pemerintahan Tsar, melalui getirnya hidup melalui perang dunia pertama, revolusi sehinggalah kepada perang saudara. Dilahirkan di dalam keluarga yang kaya, Zhivago menjadi miskin akibat sindrom alkoholism ayahnya. Walaupun berjaya mengekalkan kedudukan sebagai ilmuan yang fokus kepada falsafah dan agama, Zhivago akhirnya akur bahawa perang telah mengubah habis wajah masyarakat Rusia. Setelah melihat banyak kepercayaannya dicabar, wanita-wanita yang dicintainya tidak dapat dipertahankan; Zhivago meninggalkan dunia dengan tiga anak melalui tiga wanita yang berlainan takdir masing-masing iaitu samada dalam pembuangan, kemiskinan atau ketidakpastian. Miskin dan Kemelaratan Sementara itu Victor Hugo di dalam Les Miserables menggambarkan kemiskinan dan kemelaratan sebagai kesan sosial kepada beberapa revolusi di Perancis. Naik jatuh Napoleon dan monarki Bourbon misalnya – digambarkan secara halus melalui gambaran kehidupan seharian. Untuk pembaca yang memerhati, Les Miserables adalah sebuah kritik halus kepada rejim Republikan di Perancis yang gagal menangani secara efektif ketidakadilan sosial serta menamatkan sistem kelas bangsa Perancis. Hugo menyifatkan Battle of Waterloo yang hebat itu misalnya sebagai peperangan yang mengingatkan kita kepada bentuk masyarakat zaman gelap seperti pencuri kuburan yang masih wujud. Revolusi yang diperjuangkan Hugo adalah revolusi moral, yang menukarkan sistem lama yang berasaskan ketamakan dan korupsi dengan kebaikan hati. Selain itu, Hugo juga berjaya mengenengahkan isu anak yatim dan sistem kekeluargaan di Perancis yang agak kucar kacir pada masa tersebut. Valjean, Fantine, Cosette, Marius, Gavroche, Pontmercy, dan Gillenormand kesemuanya terasing dari keluarga masing-masing oleh sebab ekonomi atau politik. Ketidakstabilan sosial dan kemiskinan akhirnya mencipta Cosette, Valjean, Fantine dan Gavroche. Kesemua watak ini menggambarkan kesedihan akibat kesunyian dan kemelaratan. Sastera dan Masyarakat Abugu Benjamin di dalam makalahnya ‘Literature as a reflection of a society’ (2010) menekankan fungsi Sastera untuk membetulkan masyarakat kerana Sastera dianggap sebagai cermin yang membolehkan masyarakat melihat semula ke dalam kesilapan sejarah dan membetulkannya untuk masa hadapan serta sebagai cerminan kepada segala kebaikan yang perlu dicontohi. Selain itu beliau juga menjelaskan Sastera sebagai peniruan terhadap peri laku manusia, seringkali mempersembahkan gambaran pemikiran masyarakat. Watak pula melalui karakter, kata-kata dan reaksi selalunya menyampaikan mesej tertentu sebagai alat pendidikan kepada pembaca. Beliau menambah; “If the works of other playwrights and novelists are studied, the result will be similar: each work reflects the social, political, economic or religious situation of the society in which it is set. Literature is an imitation of human life and action; it is a reflection of the human society. Literature not only reflects the society but serves as a mirror in which members of the society can look at themselves and see the need for positive change,” Steven Denney pula di dalam makalahnya “What is the Role of Literature for Individuals and Society?” (2008) menegaskan dua peranan Sastera kepada manusia dan masyarakat. Peranan pertama Sastera ialah peranan aktif yang menghubungkan manakala peranan kedua ialah peranan pasif dan reflektif. Peranan pertama adalah peranan yang signifikan di dalam perkembangan individu. Dari pembacaan, individu akan membentuk idea dan konsep terhadap dunia yang mereka diami. Idea dan konsep ini akan bergabung di dalam bentuk ideologi. Dari ideologi ini – timbullah kesedaran kendiri, motivasi dan sikap seseorang. Peranan kedua pula ialah bagaimana Sastera berperanan sebagai sebuah pameran atau persembahan terhadap masyarakat tentang ideologi, pemikiran dan perilaku masyarakat. Ia menggambarkan bagaimana sesebuah masyarakat tersebut berfikir pada zaman tersebut dan bagaimana mereka berfikir tentang zaman itu. Ia membenarkan seseorang memahami bagaimana sesebuah masyarakat berfungsi dan mengapa sesebuah perilaku atau kejadian tersebut berlaku. Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, Bumi Manusia oleh Pramoedya Ananta Toer, Salina oleh A Samad Said, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Hamka, The Old Man and The Sea oleh Ernest Hemingway, 100 Years of Solitude oleh Gabriel Garcia Marquez, Siddharta oleh Herman Hesse dan Hadji Murat oleh Leo Tolstoy adalah sebahagian kecil dari contoh bentuk Sastera yang telah memberi pengaruh kepada masyarakat. Manusia dan Kemanusiaan Sepanjang tamadun dunia, tema kemanusiaan seperti perang, kemiskinan, kemelaratan dan ketidakadilan sosial berulang di dalam lingkaran syaitan yang tiada penghujung. Zaman berzaman; cerita-cerita tentang peperangan yang membunuh, kemiskinan yang memelaratkan, ketidakadilan sosial di antara kaum penindas dan kaum tertindas – kekal diceritakan melalui pelbagai ragam sastera lewat zaman tersebut. Sehingga satu masa, penciptaan mesin ke angkasa lepas, gajet sesentuh ala-iPad atau kereta dengan kuasa hibrid – masih tidak mampu membanteras kebuluran, kematian akibat peperangan ataupun penyakit mental akibat tekanan sosial dan ekonomi. Di celah-celah tema kemanusiaan yang berulang ini; wujud satu ruang yang dinamakan Sastera – untuk merakam dan menceritakan semula kepada manusia – perihal manusia dan kemanusiaan; yang tidak pernah memahami antara satu sama lain. Etienne Balibar and Pierre Macherey didalam makalah mereka iaitu “On Literature as an Ideological Form” (1981) melihat kesan buruk Sastera akibat pertarungan politik. Menurut mereka, kesan paling estetik yang boleh Sastera hasilkan ialah kesan dominasi ideologi. Untuk memahami teks – menurut mereka – adalah melalui rantaian kritik dan wacana ideologi. Melalui wacana ideologi akibat kepelbagaian fahaman, individu akan menjumpai ideologi yang paling sesuai buat mereka. Kesannya – individu terdedah kepada ideologi yang paling dominan kepada mereka. Di Malaysia, Sastera nasional telah hilang roh ideologi dan fungsi asalnya. Budaya politik hubris yang kononnya pro pembangunan dan kemodenan juga telah menyebabkan anak-anak tidak lagi menganggap membaca naskhah Sastera sebagai sesuatu yang ‘cool’ – tetapi melihat permainan video dan perkembangan dunia digital sebagai pilihan mereka. Sistem pendidikan yang membanding bezakan pelajar menurut aliran Sains dan Sastera – berdasarkan pencapaian akademik juga nampaknya telah memberi kesan secara sosial dan moral kepada masyarakat. Pasca kapitalisme 4.0; manusia yang sudah hilang manusia-nya barangkali lupa bahawa kemanusiaan itu tidak boleh ditukar-ganti dengan materialisme. Sejarah yang melihat pertentangan sengit di antara manusia dan kemanusiaan ini; sebenarnya sedang menunggu kemanusiaan alternatif untuk menggantikan peradaban sedia ada yang sangat menjengkelkan. Yang negara perlukan kini ialah 1000 lagi Pak Samad untuk berperi kepada anak bangsa tentang kemanusiaan, kejujuran, baik hati dan keihklasan dan mengingatkan kita tentang mini naratif kaum tertindas dan marginal seperti anak yatim dan golongan miskin; bukannya golongan politisi yang mempromosi politik lucah, anti-ideologi atau perkauman. Untuk anak muda, membangun negara bukan sekadar dengan susun donut; tetapi juga menyantuni Sastera sendiri. Bak kata Sasterawan ulung negara; Usman Awang; “Kesusasteraan adalah suatu alat yang penting untuk membangunkan kesedaran rakyat dan suatu senjata yang besar untuk membunuh fahaman kolot dan mundur yang membeku dalam jiwa rakyat. Alat dan senjata ini amat besar gunanya untuk menggulingkan segala keburukan dalam kehidupan rakyat. Dan tugas pertama dalam perhitungan ini adalah terpikul di atas bahu sasterawan-sasterawan angkatan baru kita yang sedikit masa dahulu hebat memperkatakan hak-hak kewajipannya.” Usman Awang- Mingguan Melayu, 25 Mei 1952 Ingatkan pemimpin kita bahawa Sastera perlu dibawa masuk kembali ke dalam masyarakat – untuk mengingatkan anak bangsa masa hadapan tentang perkara-perkara yang sedang kita lalui kini. Watak seperti Dr Zhivago, Jean Valjean, Salina, Minke, Zainudin mahupun Lahuma perlu dibaca dan dikenali. Jika tidak, kemanusiaan akan hanya kekal retorik – yang tidak akan dikenali oleh anak bangsa kita pada masa hadapan. Wahai muda kenali dirimu, ialah perahu tamsil tubuhmu, tiadalah berapa lama hidupmu, ke akhirat jua kekal diammu. Hai muda arif-budiman, hasilkan kemudi dengan pedoman, alat perahumu jua kerjakan, itulah jalan membetuli insan. – Syair Perahu, Hamzah Fansuri

]]>

Seruan untuk Hari Doa dan Renungan Nasional bagi Melawan Sentimen Perkauman pada 13 Mei 2013

Re: Seruan untuk Hari Doa dan Renungan Nasional bagi Melawan Sentimen Perkauman pada 13 Mei 2013 Persekutuan Kristian Malaysia ingin menyeru untuk mengadakan sebuah Hari Doa dan Renungan Nasional bagi Melawan Sentimen Perkauman pada 13 Mei 2013 ini. Kami menggesa semua gereja-gereja supaya memanggil ahli mereka berdoa secara individu dan berkumpulan, sambil merenung bagi membanteras sentimen perkauman kearah menggalakkan tindakan yang menjurus kepada keamanan dan perdamaian untuk Malaysia yang disayangi. Inilah masanya untuk kita mengkuburkan bayangan 13 Mei yang sering dibangkitkan semata-mata untuk menakutkan kita. Rakyat Malaysia berbilang kaum sebenarnya semakin bersatu semenjak pasca Pilihan Raya Umum ke-13, berbeza dengan retorik yang digembar-gemburkan sekarang. Ini masa yang sesuai untuk mencipta memori baru pada 13 Mei 2013, dimana kepelbagaian  dan azam untuk hidup aman-damai di kalangan jiran-jiran akan diraikan. Dengan ini kita harap akan mulanya tradisi baru Mei 13. Bersama dalam Berkhidmat Kepada Tuhan, Rev. Dr. Eu Hong Seng Pengerusi dan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Kristian Malaysia   Teks Asal: To the component bodies of the CFM and the churches of Malaysia Dear Heads of Churches, Re: Call for National Day of Prayer and Reflection Against Racism on 13 May 2013 The Christian Federation of Malaysia is calling for a National Day of Prayer and Reflection against Racism on 13 May 2013. We urge all churches to call their congregations to individual and corporate prayer and reflection against racism and to actions of peace and reconciliation in our beloved Malaysia. It is time that we bury the spectre of May 13 that is raised repeatedly to haunt us as a nation. Contrary to current rhetoric, the different ethnic groups have never been more united than after this 13th General Election. It is an opportune time for us to create new memories this 13 May 2013, to celebrate our diversity and unwavering commitment to live peacefully with our neighbours. May this be the beginning of a new tradition of 13 May. Together in God’s service, Rev. Dr. Eu Hong Seng Chairman and the Executive Committee The Christian Federation of Malaysia

]]>

Ini "Tsunami Rakyat" lah!

Oleh: Uthaya Sankar SB (Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya) Tokoh-tokoh dalam Barisan Nasional (BN) sudah mengemukakan pandangan menyokong penuh kenyataan “tsunami Cina” oleh Pengerusi BN, Najib Razak pada awal pagi 6 Mei 2013; sejurus selepas BN “menang” dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Tidak perlulah saya menyenaraikan nama-mana tokoh terbabit serta pandangan mereka kerana media arus perdana (elektronik dan cetak) sudah memberikan ruang seluas-luasnya kepada mereka. Saya pula meluahkan reaksi saya menerusi Facebook dan blog www.uthayasb.blogspot.com sejak Isnin. Sebagai Rakyat (pengundi), apa pula reaksi sebenar orang ramai yang sukar mendapatkan ruang untuk muncul di kaca televisyen dan akhbar? Saya berusaha mengumpulkan pandangan daripada beberapa rakan. Berikut saya paparkan luahan hati mereka, dengan sedikit suntingan bahasa tanpa menghilangkan maksud asal. Atriza Umar, pegawai eksekutif dan aktivis dakwah dari Seremban, Negeri Sembilan: Saya dan sudah tentunya jutaan rakyat Malaysia terfikir, adakah penasihat agama kepada Perdana Menteri pernah menasihatkan dan mengingatkannya tentang Ayat-Ayat Allah? Tentang kepimpinan Rasulullah? Apa lagi Khalifah-Khalifah yang sangat takut akan murka Allah? Semoga Perdana Menteri menghayati dengan mata hatinya maksud (terjemahan) ayat-ayat ini: [caption id="attachment_1961" align="alignleft" width="300"]Slogan “1Malaysia” hanyalah topeng yang dipakai BN. Slogan “1Malaysia” hanyalah topeng yang dipakai BN.[/caption]         “Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu dan janganlah kamu menjadi penentang (orang yang tidak bersalah) kerana (membela) orang yang khianat.” (Surah an-Nisa, ayat 105) “Wahai orang beriman, hendaklah kamu menjadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa.” (Surah al-Maidah, ayat 8). Clifford Tan, arkitek dari Kota Kinabalu yang bekerja di Singapura: Masyarakat Cina tidak menolak mana-mana calon atas alasan kaum atau agama. Apa yang kaum Cina tolak bulat-bulat dalam PRU-13 adalah calon- calon yang korup, rasis, bangang, sewel, zalim dan sebagainya. Kebetulan majoriti calon seperti itu adalah daripada BN/UMNO. Sekiranya calon berkualiti seperti Khalid Samad (Parlimen Shah Alam) bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina, saya yakin beliau akan turut menang besar dengan undi majoriti berpuluh ribu. Karpal Singh (calon kaum India beragama Sikh) menang dengan majoriti 41,778 undi di Parlimen Bukit Gelugor, mengalahkan Teh Beng Yeam (calon kaum Cina) di kawasan majoriti pengundi Cina. Banyak lagi contoh begini tetapi media arus perdana yang dikuasai BN/ UMNO pasti tidak akan menyiarkan berita sebenar seperti ini. Jas Guna Senggani, perunding kewangan Islam dari Sungai Petani: [caption id="attachment_1962" align="alignleft" width="178"]BN telah membunuh demokrasi menerusi PRU-13. BN telah membunuh demokrasi menerusi PRU-13.[/caption] Tuduhan “tsunami Cina” hanya untuk menyembunyikan kegagalan mendapat dua pertiga di Parlimen serta kekalahan Najib sebagai pemimpin. Jika ini dikatakan sebagai “tsunami Cina”, bagaimana dengan kes di Kedah? Amat nyata kejatuhan Kedah kepada BN adalah berikutan undi orang Melayu. Semata-mata kerana orang Melayu mengundi BN/UMNO, adalah mereka layak dipanggil rasis? Amat cetek dan hina sekali pandangan Najib dan para pengikut dungunya yang masih lagi “merajakan syaitan di hati” kerana bergelar pemimpin. Isteri saya kaum Cina. Adakah dia dikatakan rasis kerana mengundi Pakatan Rakyat (PR)? Atau kami sekeluarga yang mengundi calon PR harus dilabel sebagai rasis? Secara jujur, Malaysia tidak memerlukan pemimpin rasis seperti dalam BN dan saya hairan mengapa masih ada penduduk yang sanggup mengundi mereka. Chulan Chin, penjawat awam dari Hulu Langat: Saya kurang bersetuju apabila isu “tsunami Cina” dibangkitkan berikutan kegagalan BN dalam PRU-13. Sebaik-baiknya BN perlu bercermin diri; menilai kelemahan serta menyedari hakikat bahawa rakyat sudah bijak menilai dengan mata hati. Rakyat mampu membezakan siapa yang lebih layak dan berhak mewakili suara mereka dalam kerajaan. Usahlah BN mencari helah bagi membela diri, lalu menuding ke arah pihak lain. Tindakan BN memainkan isu “tsunami Cina” dikhuatiri boleh menyemarakkan api sengketa antara kaum. Hubungan antara kaum dalam PR amat baik sehingga mampu memenangkan calon mereka tanpa mengira kaum/agama. BN perlu sedar tentang ketidakadilan yang dibuat sebelum PRU-13, iaitu menafikan PR hak yang adil dalam media arus perdana. Rakyat pula disogokkan dengan pelbagai habuan bagi memancing undi menjelang PRU-13, selain memainkan isu video lucah dan fitnah. Ada pula gangguan kempen menerusi mesej suara (voice mail) menerusi telefon bimbit daripada calon-calon BN sepanjang siang dan malam. Semua ini serta pelbagai lagi kempen yang dijalankan oleh BN sendiri yang menjadi punca kebencian dan rasa muak rakyat pelbagai kaum terhadap BN. Ini bukan “tsunami Cina” tetapi “tsunami Rakyat”. Rosihan Amri Md Zakaria, guru dari Bayan Lepas, Pulau Pinang: [caption id="attachment_1963" align="alignleft" width="210"]Kononnya rakyat didahulukan. Sebenarnya kaum Cina dihina. Kononnya rakyat didahulukan. Sebenarnya kaum Cina dihina.[/caption] Saya sangat tidak bersetuju dengan tuduhan “tsunami Cina” kerana jika dilihat, kebanyakan masyarakat bandar menyokong PR. Malah ramai calon Bukan Cina dari PR menang di kawasan majoriti pengundi kaum Cina. Juga terdapat calon Melayu tewas kepada calon Bukan Melayu di kawasan majoriti pengundi Melayu. Saya berpendapat, pengundi tidak lagi mengundi mengikut kaum. Pola ini jelas di kawasan bandar seperti Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur. Pola mengundi mengikut kaum (“along racial lines”) masih kelihatan di kawasan pedalaman dan luar bandar. Tindakan BN menyalahkan kaum Cina adalah tidak betul, apatah lagi jika komen itu datang daripada Perdana Menteri. Pemegang jawatan itu adalah ketua bagi semua rakyat Malaysia dan sepatutnya Najib berusaha menyatukan rakyat pelbagai kaum selepas melalui PRU-13 yang – pada pendapat saya – sangat kotor dan banyak manipulasi. Gunalan Krishnan, pelajar tahun akhir jurusan perubatan dari Puchong, Selangor: Nampaknya para pemimpin BN mula menunjukkan wajah sebenar selepas PRU-13. Sebelum ini, mereka ternyata berpura-pura dan bersembunyi di sebalik topeng bernama gagasan 1Malaysia demi mahu memancing undi dan jawatan. Tindakan BN membuat tuduhan “tsunami Cina” adalah suatu penghinaan besar bagi Bangsa Malaysia. Rakyat Malaysia tidak mahu seorang Perdana Menteri yang rasis seperti Najib mewakili rakyat dan negara ini di persada antarabangsa. Kalau Najib masih ada maruah, lebih baik dia meletakkan jawatan dengan segera. Prem Sutha, pengurus dari Skudai, Johor: [caption id="attachment_1964" align="alignleft" width="240"]Wajah sebenar pemimpin BN sudah diketahui rakyat. Wajah sebenar pemimpin BN sudah diketahui rakyat.[/caption] Saya tidak menyokong mana-mana parti politik tetapi saya menentang keras tindakan mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan bersifat perkauman dan rasis. Undi adalah pilihan individu, hak individu yang tidak boleh diungkitkan dan sememangnya tidak perlu dipersoalkan. Sebagai sebuah negara demokrasi, para pemimpin dalam BN sepatutnya menerima “suara” rakyat yang dilahirkan menerusi peti undi. Abdullah Abdul Rahman (Tabir Alam), penulis sambilan dari Ipoh, Perak: Apabila slogan “1Malaysia” dilaungkan, BN beranggapan penerimaan rakyat sudah terbukti; dan kesamarataan sudah direalisasikan. Pemimpin BN perlu sedar bahawa “kejayaan” yang dibayangkan itu hanya bersifat upacara (“functional”) di pentas. Apabila sokongan pada realiti mula berkurangan menerusi PRU-13, BN mula melatah dengan menyalahkan “tsunami Cina”. Keadaan ini diburukkan lagi dengan kenyataan “Cina yang tak kenang budi” (“ungrateful Chinese”) dan “Melayu yang tamak” (“greedy Malays”) oleh bekas pemimpin UMNO/BN. Tindakan pemimpin dan penyokong BN bersetuju dengan kenyataan-kenyataan dangkal itu pula umpama perbuatan “sokong membawa rebah”. Hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa perubahan memang sudah berlaku melalui “Malaysian Swing” menerusi PRU-13. Sejumlah 51.32 peratus undi popular menyokong PR, berbanding hanya 48.67 peratus bagi BN. Memang BN menang majoriti mudah (“simple majority”) tetapi telah hilang tujuh lagi “suara” di Parlimen. Sepatutnya para pemimpin BN bermuhasabah diri dengan menilai kesilapan yang dilakukan BN sepanjang tempoh berkempen (20 April – 4 Mei 2013). Apa-apa pun, BN perlu menerima hakikat bahawa rakyat memang mahukan perubahan! Pandangan yang dikemukakan sejumlah kecil rakan-rakan kepada saya menerusi mesej Facebook mungkin tidak mewakili keseluruhan “suara” rakyat. Sekurang-kurangnya mewakili sebahagian kecil suara yang mustahil mendapat tempat di media arus perdana seperti Buletin Utama TV3 dan Utusan Malaysia. Dalam pada itu, berikutan sikap rasis dan perkauman yang ditunjukkan secara amat nyata oleh para pemimpin dan pengikut BN sejak beberapa hari lalu, tidak perlulah kita was-was untuk memahami siapa sebenarnya yang mencetuskan peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969. Sama-sama kita mendoakan agar Tuhan menyelamatkan rakyat dan negara Malaysia daripada kemusnahan yang dibawakan puak rasis dan perkauman dalam BN yang bertopengkan gelaran politikus dan Ahli Parlimen.

VERMOX
]]>

Projek Dialog membantah retorik hasutan "Tsunami Cina"

Punca sebenar kekalahan Alasan “tsunami Cina” juga tidak berasas dan tidak mencerminkan punca sebenarnya prestasi yang lemah bagi Barisan Nasional. BN bukan sahaja kalah teruk di negeri-negeri seperti Selangor, Penang, Kuala Lumpur dan Kelantan, malah ia hanya mampu menang tipis sahaja di Perak, Johor, Negeri Sembilan, dan Terengganu. Kami percaya semua ini dilakukan untuk membina persepsi awam seolah-olah kaum Cina bersikap terlalu mendesak dan tidak menghargai jasa kerajaan. Walhal, punca utama kemerosotan BN adalah kebangkitan rakyat Malaysia menentang ketidakadilan, kronisme dan rasuah yang berleluasa kesan daripada pemerintahan kerajaan BN sejak 56 tahun yang lalu. “Tsunami Rakyat” lebih tepat Rakyat Malaysia sudah muak dengan politik perkauman yang dibawa UMNO. Mereka inginkan perubahan. Kesempitan hidup, gaji rendah, isu pendidikan dan kos hidup yang tinggi antara tunas-tunas api kebangkitan rakyat Malaysia pada pilihan raya kali ini. Sebilangan besar rakyat miskin di Malaysia adalah masyarakat Melayu walaupun berada 56 tahun dibawah pemerintahan BN. Sebaliknya, segelintir yang meraih kekayaan negara ini adalah kroni-kroni BN sendiri. Pilihanraya kali ini adalah yang paling sengit dan juga mencatatkan jumlah pengundi yang paling ramai keluar mengundi dalam sejarah Malaysia iaitu sebanyak 80%. Analisa pilihanraya menunjukkan undian popular dimiliki oleh Pakatan Rakyat iaitu lebih daripada 50% jumlah pengundi memangkah PR dalam kertas undian. Walaubagaimanapun, Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan dengan kemenangan majoriti  mudah dengan menawan 133 daripada 222 kerusi parlimen. Kebanyakkan kawasan dimana BN kalah adalah kawasan bandar yang berpendudukan padat. Antara majoriti parlimen dan undi popular Hal ini mejelaskan kenapa PR memiliki jumlah undian popular manakala BN memiliki jumlah kerusi yang tinggi. BN dapat kekal di Putrajaya disebabkan oleh amalan persempadanan semula kawasan pilihanraya, ataupun “gerrymandering”. Manipulasi politik ini menyebabkan BN dapat menang mudah di kawasan-kawasan luar bandar yang tidak mempunyai populasi yang padat seperti kawasan bandar, bahkan penembusan internet juga adalah amat rendah dan mereka tidak mendapat liputan informasi yang meluas daripada media bebas alternatif berbanding media arus perdana yang dikawal oleh kerajaan BN . Tiba masanya untuk politik baru Realitinya, pilihan raya ini sebenarnya menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mengundi tanpa mengira kaum ataupun agama. Terdapat banyak kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti Melayu, sebaliknya mengundi calon yang berbangsa lain. Sebagai contoh, Lim Kit Siang yang merupakan calon DAP yang berbangsa Cina memenangi kerusi Gelang Patah di Johor mengatasi calon Melayu BN dan bekas Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman. Lim Kit Siang tidak mungkin menang dengan hanya undian kaum Cina. Ke arah 1 Malaysia? Namun begitu, di alam siber, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab sedang mencetuskan propaganda “Tsunami Cina” perkauman dan perbalahan antara kaum Melayu dan Cina. Kononnya orang Cina ingin menguasai negara Malaysia dan memperhambakan kaum Melayu. Hal ini amat mengecewakan kami kerana Malaysia adalah negara yang berbilang kaum dan budaya, dan bukannya negara fasis bagi sesebuah kaum sahaja. Kami menentang sama sekali budaya perkauman yang tidak matang seperti ini. Kami menyeru Datuk Seri Najib Razak supaya membantah sentimen rasis yang semakin menjadi-jadi di kalangan penyokong-penyokong UMNO yang masih berdegil menerima kelemahan parti mereka. Fokuskan usaha untuk berkhidmat kepada rakyat jelata tanpa mengira bangsa dan agama dengan mengambil semangat 1Malaysia seperti yang BN kempen kepada rakyat. Elakkan daripada permainan politik perkauman dan agama yang merugikan Malaysia.

VERMOX
]]>