Projek Dialog

Temubual BFM Bersama Reza Aslan, bahagian 1: Islam, globalisasi dan pluralisme

Pada 21 Oktober 2013, Ezra Zaid dan Umapagan Ampikaipakan menemubual Reza Aslan untuk rancangan Evening edition di BFM Radio 89.9. Reza Aslan seorang penulis dan cendakiawan agama yang diiktiraf antarabangsa. Beliau merupakan pengarang buku paling laris dalam New York Times bertajuk Zealot: The Life and Times of Jesus of Nazareth.

Buku Pertama Reza Aslan juga merupakan buku paling laris antarabangsa bertajuk “No God But God: The Origins, Evolution, and Future of Islam” (Tiada Tuhan Melainkan Allah: Asal-Usul, Perkembangan dan Masa Depan Islam). Buku tersebut dinamakan salah satu buku yang paling penting dalam dekad ini. Ia juga telah diterjemahkan dalam 30 bahasa yang lain, termasuk dalam Bahasa Melayu, dan boleh didapati dalam kebanyakkan kedai buku.

Perbincangan mereka merangkumi hal-hal yang pelbagai, termasuk persoalan politik, sejarah, kebebasan dan juga penghayatan akidah. Berikut adalah transkrip perbualan mereka.

Islam: antara Barat dan dunia Islam  Ezra Zaid; Untuk memulakan perbincangan, Reza, dalam dunia globalisasi yang saling berhubung kait bagaimanakah bezanya wacana tentang Islam dalam masyarakat Islam sendiri berbanding dengan persepsi Barat berkenaan Islam? Reza Aslan: Perbezaan tersebut bagaikan malam dan siang. Jika kita bercakap dengan orang awam dari Barat yang berasal daripada Amerika Syarikat atau Eropah, mereka akan fikirkan bahawa Islam merupakan agama monolitik yang mempunyai hanya satu jenis; semua orang Islam mempercayai kepada perkara yang sama. Sudah tentu, perkara yang anda dengari berulang-ulang kali dari kebanyakkan orang di Barat adalah orang Islam tidak mengutuk keganasan, dan ini adalah jauh daripada kebenaran. Bagi setiap aktiviti keganasan yang berlaku atas nama Islam, terdapat beribu-ribu kenyataan, pengumuman dan fatwa yang mengutuk aktiviti keganasan tersebut. Tetapi hakikatnya adalah orang Islam hanya kerap menghabiskan masa berbincang antara satu sama lain wacana mereka tidak selalunya dimaklumkan ke masyarakat uang lain di serata dunia, dan ini adalah sesuatu masalah yang besar. Umapagan Ampikaipakan: Dalam 12 tahun selepas kejadian 9/11, mungkinkah terdapat sedikit sebanyak peningkatan mutu dalam perbincangan-perbincangan berkaitan Islam tersebut? Reza Aslan: Terdapat perkembangan yang amat besar dalam perbincangan-perbincangan diantara orang Islam; wujudnya pelbagai organisasi-organasasi dan pergerakan-pergerakan Islam seperti pergerakan Islam yang progresif, pergerakan Islam yang konservatif, pergerakan Islam gay dan lesbian, pergerakan Islam yang khusus untuk mempromosikan demokrasi, pergerakan Islam yang khusus untuk kembali kepada ajaran Al-Quran, iaitu prinsip-prinsip Al-Quran. Kebanyakkan pergerakan Islam tersebut terdapat di negara seperti Indonesia, dan juga Malaysia, mereka mempercayai bahawa orang Islam hanya perlu mengikut Al-Quran dan bukannya Sunnah. Secara jujurnya, perkara-perkara ini tidak pernah wujud 12 tahun yang lalu, jikalau pun pergerakan-pergerakan tersebut wujud, ia tidak diketahui ramai. Apa yang terjadi apabila berlakunya kejadian 9/11 adalah, ia telah benar-benar membangkitkan suara-suara pergerakan Islam tersebut. Tetapi, adakah suara-suara tersebut didengari oleh orang bukan Islam? Saya tidak fikir sebegitu. Asia Tenggara dan masa depan Islam Ezra Zaid: Bagaimanakah pengalaman Islam tersebut berbeza diantara orang-orang dari Timur Tengah dan orang-orang dari Barat? Dan kepada orang-orang Islam di sini, dimana pula letaknya Asia Tenggara di dalam wacana Islam yang lebih besar? Reza Aslan: Secara jujurnya, Asia Tenggara bukan sahaja merupakan masa depan Islam, ia juga merupakan model Islam. Apa yang menarik berkenaan perkara yang berlaku di Asia Tenggara, adalah percubaan dalam pengembangan kemodenan Islam – terpulanglah bagaimana anda mahu mendefinasikan maksudnya – sedang berlaku di dalam masyarakat yang sangat pluralistik. Cuba kita lihat negara seperti Mesir, negara Arab yang terbesar di dalam dunia yang mempunyai 88-89% orang Islam – dimana wacana penting berkenaan topik seperti demokrasi Islam, kemodenan Islam, dan politik Islam – didapati 9 daripada 10 orang yang terlibat dalam perbincangan tersebut adalah orang Islam. Situasi tersebut tidak akan berlaku di Asia Tenggara kerana kepelbagaian masyarakatnya seperti kelompok masyarakat Buddha, Hindu, Kristen dan Yahudi, dan situasi sebegini menyebabkan berlaku kemajmukan perbincangan berkaitan agama berbanding dengan perbincangan yang berlaku di Timur Tengah. Islam dan pluralisme Umapagan Ampikaipakan: Bagaimanakah Islam berfungsi di dalam sebuah masyarakat yang bercirikan pluralisme, dimana kebebasan dalam agama dianggap sebagai salah satu rukun agama? Reza Aslan: Jika kita kembali kepada prinsip-prinsip Islam yang diseru oleh Nabi Muhamad dan masyarakat awal Islam, ia adalah berdasarkan konsep pluralisme dan kebebasan agama. Apa yang mengagumkan mengenai zaman Al-Quran diturunkan, ia adalah zaman dimana agama dikawal ketat oleh kerajaan. Konsep pluralisme langsung tidak wujud di zaman Kristian Eropah atau di zaman Empayar Sassanid (Parsi) yang beragama Zoroastrian semasa kedatangan Nabi Muhamad. Jadi, Al-Quran menyampaikan mesej berkenaan ahli-ahli Al-Kitab dan memberikan mereka hak dan keistimewaan dibawah pemerintahan Islam. 1500 tahun kemudian, ia mungkin dilihat sebagai sesuatu yang anakronistik. Malah, kita akan melihatkan kembali dan berkata, idea yang memaksa orang bukan Islam untuk membayar cukai yang lebih menunjukkan Islam adalah agama yang tidak bertoleransi. Tetapi jika diletakkan di dalam konteks, ia adalah zaman dimana jika anda merupakan seorang Yahudi di dalam masyarakat Kristen Eropah, anda akan dibakarkan hidup-hidup. Sebaliknya jika anda merupakan seorang Yahudi di dalam Empayar Islam, anda cuma perlu membayar cukai yang lebih. Anda boleh hidup dengan cara hidup anda sendiri. Ini adalah asas kepada Islam sebagai agama, dan sesuatu yang malangnya telah dilupai oleh kebanyakkan orang Islam. Timur tengah: pusat Islam?  Umapagan Ampikaipakan: Terdapat tanggapan dimana Islam wujud bukan untuk fungsi sedemikian; terdapat persepsi yang Islam berkembang di Timur Tengah, dimana ia adalah tapak bagi monumen-monumen Islam yang termasyhur, maka tempat-tempat lain yang berkembangnya Islam dianggap sebagai pengikut kepada islam. Seperti yang anda jelaskan Asia Tenggara merupakan model bagi Islam moden, mungkinkah Muslim-Muslim di Timur Tengah boleh mempelajari sesuatu berkenaan Islam di Asia Tenggara? Reza Aslan: Saya fikir kebanyakkan orang di luar Timur Tengah akan mengatakan: Ya. Sebaliknya, kebanyakkan orang di dalam Timur Tengah akan mengatakan: Tidak. Terdapat sebuah idea yang muncul entah dari mana mengatakan bahawa Timur Tengah, dan khususnya dunia Arab adalah sinonim dengan Islam. Secara jujurnya, orang Arab hanya meliputi 15% daripada populasi 1.5 billion masyarakat Islam sedunia. Diantara 10 negara Islam yang mempunyai rakyat Islam yang terbanyak, hanya 3 buah negara adalah negara Arab. Selebihnya adalah negara bukan Arab. Zaman dimana Timur Tengah merupakan titik pertembungan dan perkembangan Islam telah lama berlalu. Islam kini berkembang secara khususnya di luar Timur Tengah, bukan sahaja di Asia Tenggara, tetapi juga di Barat. Peratusan orang Islam di Amerika Syarikat masih kecil iaitu 1%, di Eropah bilangannya dalam 4-7%. Namun begitu, orang Islam yang menetap di dalam masyarakat ini didedahkan dan diterapkan dengan nilai-nilai individualisme, yang bereksperimen dengan kepelbagaian agama dan ideologi politik; yang paling pentingnya mereka mempunyai kelebihan akses kerana menetap di negara-negara kaya dan maju. Mereka mempunyai akses kepada teknologi komunikasi dan mampu menyebarkan idea-idea mereka di televisyen, radio dan internet. Walaupun di Barat populasi orang Islamnya adalah kecil, mereka sebenarnya adalah lebih berpengaruh berbanding dengan orang Islam di Timur Tengah. Dan ini termasuk juga Asia Selatan dan Asia Tenggara dimana sebahagian besar masyarakat Islam dunia menetap, dan mempunyai pengaruh yang amat besar dalam intepretasi dan perkembangan agama Islam berbanding dengan masyarakat di Timur Tengah. Malangnya, konflik politik, ekonomi dan sosial dalam Islam sering berlaku secara khususnya di Timur Tengah, dan kebiasaannya ia menjadi fokus dan perhatian kepada orang ramai. Mesir merupakan sebuah negara Arab yang paling besar dan penting di dunia, ia hanya mempunyai bilangan orang Islam yang kurang daripada 80 juta orang. Ia merupakan bilangan yang kecil jika kita lihat jumlah bilangan penduduk Islam di Indonesia, Malaysia, India, Pakistan dan Turkey. Kepentingan budaya Ezra Zaid: Dalam perbincangan kita berkenaan Timur Tengah, apakah peranan aslanmedia.com? Seperti yang diketahui ia merupakan platform jurnal maya dan media sosial untuk wacana bagi isu-isu berkaitan. Reza Aslan: Betul. Aslanmedia.com ditubuhkan selepas Pergerakan Hijau (Green Movement) di Iran. Secara umumnya ia adalah untuk memberi peluang kepada orang muda menyertai perbincangan berkenaan agama, politik, budaya, seni, filem, muzik – bahkan kemungkinan besar kami mempunyai ulasan muzik yang terbaik mengenai muzik dari Timur Tengah dan dunia Islam, yang anda tidak dapat jumpai dimana-mana tempat lain. Ia merupakan peluang bagi orang muda untuk memahami bahawa terdapat banyak lagi perkara menarik yang berlaku di Timur Tengah dan dunia Islam, selain daripada isu konflik agama dan politik identiti sahaja. Sekali lagi, dari perspektif dunia luar anda mungkin fikir bahawa perkara itu sahaja yang sering dibincangkan berkenaan Timur Tengah, seolah-olah mereka duduk sepanjang hari menghisap Shisha dan berborak berkenaan politik dan agama. Ia tidak sama sekali begitu; mereka juga berborak berkenaan seni, buku dan muzik. Umapagan Ampikaipakan: Anda sememangnya betul. Ini merupakan kaedah lama untuk menyebarkan ‘soft culture’. Reza Aslan: Sememangnya. Ia masih lagi relevan sehingga kini. Lihatlah pada kebangkitan ‘Arab Spring’, apa yang kurang dilaporkan oleh media adalah peranan dimainkan oleh seni, muzik dan sajak dalam revolusi tersebut. Masyarakat yang keluar ke jalan membantah bukannya melaungkan ayat-ayat Al-Quran, sebaliknya melaungkan ayat-ayat sajak atau syair. Terdapat pemuzik-pemuzik terkenal Rock stars) dan artis-artis Hip Hop yang sebenarnya menyemarakan pergerakan ini, dan mereka masih berbuat demikian, malah merupakan pengkritik budaya utama. Pergerakan sebegini telahpun hilang di Barat. Muzik, terutamanya muzik alternative seperti Hip Hop, Punk Rock atau Heavy Metal kini hanya merupakan sebuah saluran untuk mendapat keuntungan kewangan dan menjual rekod. Pada suatu masa dahulu muzik merupakan sebuah mesej politik dan sosial, tetapi kini muzik di Eropah dan Amerika Syarikat bukan lagi berfungsi sedemikian. Sebaliknya di Timur Tengah, muzik masih merupakan mesej bagi politik dan sosial untuk masyarakat. Seseorang yang hanya menulis sajak boleh disabit hukuman mati, seseorang yang menulis lagu Hip Hop boleh disabit hukuman penjara: Secara tiba-tiba, seni menjadi sesuatu yang amat penting. Ia bukan lagi bertujuan untuk menjual rekod, sebaliknya ia adalah bertujuan untuk mengubah dunia menjadi lebih baik. Islam dan kebebasan Ezra Zaid:Saya ingin bercakap mengenai kebebasan bersuara dan kepentingannya di dalam Islam. Menurut Al-Quran atau tradisi Nabi atau hadis, bila agaknya kebebasan bersuara boleh disekat secara sah dalam Islam? Reza Aslan: Ini adalah sesuatu yang perlu dikefahami oleh masyarakat, hal ini kerana kebebasan bersuara adalah sesuatu yang dicipta manusia sendiri. Malah di Amerika Syarikat, kita mungkin menganggap bahawa kita mempunyai kebebasan mutlak untuk bersuara apa sahaja yang kita inginkan – perkara ini tidak berlaku kerana terdapat undang-undang libel yang perlu diikuti, anda berisiko didakwa di makamah atas dasar menyebarkan fitnah (defamation), terutamanya jika perbuatan anda menyebabkan bahaya atau kerosakan langsung terhadap seseorang, atau difahami sebagai menyebarkan keganasan terhadap seseorang, kita tidak membenarkan perkara tersebut berlaku. Terdapat had dan batas terhadap perkara yang boleh dan tidak boleh disuarakan. Bahkan dalam masyarakat yang amat terbuka, sebagai contoh di United Kingdom, anda mempunyai kebebasan bersuara yang mutlak, melainkan jika anda bersifat perkauman dalam bersuara. Maka semangat perkauman atau ekspresi rasis di United Kingdom adalah menyalahi undang-undang, sebaliknya di Amerika Syarikat anda boleh menjadi seseorang yang amat rasis, mungkin orang ramai akan melihatkannya sebagai jijik dan keji, tetapi anda tidak akan dihukum penjara disebabkan perbuatan tersebut. Semua ini adalah berdasarkan budaya. Adalah penting untuk difahami bahawa lagi bebasnya sesebuah budaya tersebut, lagi berkuasa budayanya. Saya fikir terdapat sebuah idea yang menganggap jika anda menyekat kebebasan bersuara, anda sebenarnya mengawal orang ramai, atau menganggap ia merupakan sebuah simbol negara yang berkuasa. Ironinya, sebaliknya adalah benar. Jika anda [pihak berkuasa] terlalu khuatir perkara yang mungkin diperkatakan oleh orang lain, jika anda fikir ia mungkin akan membahayakan atau merosakan masyarakat atau negara, dan anda rasa perlu bertindak untuk menyekatkan kebebasan bersuara, ini hanya membuktikan bahawa negara [state] yang anda kononya kawal adalah lemah. Negara [state] itu sungguh lemah sehingga ia tidak boleh menyambut suara rakyatnya sendiri. Saya bukanlah seseorang yang akan berdiri di sini dan berkata perlunya kebebasan bersuara di setiap pelusok dunia, supaya anda boleh berkata apa-apa yang anda inginkan tanpa kira dimana jua, ini bukanlah maksud sebenar kebebasan bersuara yang saya fahami. Akan tetapi jangan kita lupa bahawa kebolehan untuk membenarkan rakyat bersuara dan berfikir apa yang mereka inginkan adalah tanda kekuatan sesuatu masyarakat, bukan tanda kelemahannya. Umapagan Ampikaipakan: Bukankah agama pada dasarnya merupakan sesuatu yang mengawal masyarakat – ia tidak membenarkan tafsiran agama secara rawak dan terbuka? Reza Aslan:Agama sememangnya merupakan institusi ciptaan manusia – saya menggunakan terma ini secara literal, kerana kesemua agama adalah institusi ciptaan manusia – sememangnya ia adalah tentang kawalan dan kuasa. Anda benar-benar betul. Tetapi bukan akidah. Akidah bukan berkenaan kawalan ataupun kuasa. Terdapat perbezaan diantara agama dan akidah. Akidah adalah sesuatu yang tidak dapat dijelaskan, ia adalah sesuatu yang teramat peribadi. Agama pula hanya merupakan bahasa yang digunakan mengekspresikan keimanan ketuhanan seseorang. Maka, bahasa keagamaan tersebut merupakan simbol dan metafora ciptaan sejarah (historical construct). Ia wujud dalam masa dan tempat tertentu. Maka, simbol-simbol tersebut boleh berkembang dan mempunyai makna berbeza bagi orang yang berbeza dalam zaman yang berbeza. Tetapi janganlah kelirukan simbol dan metafora tersebut dengan institusi agama. Jika kepercayaan anda adalah berdasarkan pada institusi agama, anda sebenarnya adalah salah. Ezra Zaid: Bagaimanakah kita boleh mendamaikan kebebasan bersuara dengan Islam? Reza Aslan: Kembali kepada perkara yang telah saya katakana: tidak akan wujudnya agama tanpa budaya dan masyarakat. Islam dluahn dan difahami dalam beribu-ribu cara yang berbeza di serata dunia, bergantung kepada budaya tempatan tersebut. Saya asyik mengembalikan perbincangan ini kepada budaya kerana hal ini adalah bukan berkaitan dengan apa yang Islam benarkan atau tidak benarkan; Islam membenarkan apa yang anda fikir ia benarkan. Ia bergantung kepada anda sebagai individu untuk menterjemahkan Al-Quran berdasarkan kehendak dan kemahuan anda. Jika anda merupakan seseorang yang memerlukan seorang Imam untuk menterjemahkan maksud Al-Quran bagi anda, tiada salahnya. Tetapi anda perlu menerima hakikatnya bahawa Imam anda mempunyai perbezaan fikiran dengan Imam saya, dan juga Imam orang lain. Bezanya Islam dengan agama Katolik adalah kita tidak mempunyai sebuah penguasa yang mengawal; kita tidak mempunyai Paus (Pope) yang berhak mengatakan atau menterjemahkan maksud seperti apa yang dibenarkan Islam atau siapa yang merupakan orang Islam. Perkara tersebut tidak pernah berlaku sejak kematian Nabi Muhamad, dan ia sama sekali tidak sepatutnya berlaku. Maka demikian, idea dimana Islam mengatakan X atau Islam mengatakan Y, saya tahu, ia membuat orang Islam berasa bagus, tetapi ia sebenarnya mengarut. Akan bersambung….. – Diterjemahkan oleh Nor Arlene Tan
]]>

Biar khatib berkhutbah

Lihat dan pertahankanlah apa yang telah dilaksanakan oleh pemerintah negara hari ini demi menjaga kesucian agama, nyawa, akal, maruah, keturunan dan juga harta. Semuanya berasaskan kepada kepentingan rakyat dan negara. Justeru sebagai rakyat yang bijaksana, kita hendaklah bersyukur di atas segala nikmat ini dan menghargai pihak pemerintah dan bandingkanlah keadaan kita dengan umat Islam di negara-negara jiran. Untuk konteks, khutbah ini disampaikan semasa negara mengalami musim pilihanraya. Kebetulan? Khutbah juga digunakan untuk menyerang apa yang ditakrifkan sebagai ‘musuh Islam’, tetapi lebih tepat sebenarnya jika kita katakan bahawa mereka adalah ‘musuh pihak yang memegang tampuk kuasa’. Contohnya pada tahun 2011 masjid-masjid di Kuala Lumpur menyampaikan khutbah yang menyerang penganjur Bersih 2.0 dengan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Liberalisme, pluralisme, sekularisme, Syiah, LBGT  dan penganut agama Kristian juga sering menjadi sasaran mereka yang menyediakan teks khutbah Jumaat. Tidak hairanlah ada makmum yang bercakap, tidur, ber-Facebook atau tweet atau makan cendol di luar masjid. Jangan salahkan makmum yang tidak menghayati khutbah sekiranya khutbahnya sedemikian. Jangan terkejut sekiranya orang bukan Islam yang mendengar khutbah atau membaca teks khutbah mempunyai tanggapan negatif tentang agama kita. Bagaimana mahu menunjukkan keindahan agama Islam sekiranya mesej yang disampaikan sering menyerang agama lain? Bukan niat penulis untuk menetapkan apa yang patut disampaikan. Kepakaran dan ilmu penulis tidak di situ. Tetapi penulis merasakan bahawa terdapat peluang dalam masa setengah jam setiap minggu untuk menyampaikan khutbah yang benar-benar bermanfaat kepada para makmum. Sia-sialah sekiranya peluang itu digunakan sebagai saluran propaganda. Penulis berpendapat bahawa penyelesaiannya adalah dengan memberi kebebasan kepada setiap khatib untuk menyampaikan khutbahnya. Kita perlu bebaskan khutbah kita dari tangan pihak berkuasa agama dan kembalikannya kepada khatib-khatib kita. Biar mereka tentukan apa yang mereka ingin sebarkan kepada makmum, bukan pihak berkuasa agama. Biar khatib-khatib kita menjadi sumber maklumat, bukan setakat penyampai maklumat yang ditentukan oleh pihak atasan. Ya, mungkin ada khatib yang masih menyampaikan puji-pujian dan penghargaan kepada pihak yang berkuasa. Mungkin juga masih ada yang akan menyebarkan mesej negatif tentang agama lain. Tetapi sekurang-kurangnya, ada kemungkinan bahawa khatib akan menyampaikan khutbah yang bermanfaat, seperti khatib bermelodi yang pernah menyampaikan khutbah di sebuah masjid di Petaling Jaya suatu ketika dahulu. Bebaskan khutbah kita, biar khatib yang berkhutbah!

]]>

Isu kalimah Allah: Membalas andaian-andaian dangkal

Hujah keizinan Jika dibaca dalam riwayat-riwayat hadis, didapati penggunaan kalimah Allah di kalangan non-Muslim berlaku dihadapan Nabi Muhammad SAW. Antaranya adalah seperti dalam sejarah Perjanjian Hudaibiyah bahawa wakil dari Quraish bernama Suhail bin Amr yang tidak setuju kalimah “bismillah al-Rahman al-Rahim” tertulis dalam surat perjanjian tetapi ditukar kepada “Bismikallahumma”. [Sila rujuk Sahih Muslim, hadis no : 3337] Perkara itu disetujui oleh Nabi Muhammad SAW, walaupun masih lagi menyebut kalimah Allah pada “Bismikallahumma”. Bahkan, cadangan awal Nabi Muhammad SAW terang-terang menyebut nama Allah dengan disertai dua sifatNya yang Agung, iaitu al-Rahman dan al-Rahim. Al-Quran sendiri ada mengiktiraf nilai halal sembelihan ahli kitab, seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam ayat ke 5 dari surah Al-Maidah yang bermaksud, “Hari ini, dihalalkan kepada kamu perkara-perkara baik dan makanan golongan Ahli Kitab halal bagi kamu”. Dalam menafsirkan ayat ini, Al-Imam Ibn kathir menyatakan, “ini merupakan perkara yang telah diijmakkan (disepakati) di kalangan ulama: bahawa sesungguhnya sembelihan mereka (ahl al-Kitab) adalah halal bagi orang-orang Islam. Ini kerana, mereka beriktiqad pengharaman sembelihan tanpa menggunakan nama Allah. Mereka tidak akan menyebut terhadap sembelihan mereka melainkan dengan menyebut nama Allah.” Dalam Majmuk Syarh Muhazzab, Imam Nawawi menyatakan, “Berkata Abu Sur, apabila mereka (ahl al-Kitab) menyebut nama Allah (pada sembelihan), maka makanlah. Dan jika mereka (ahl al-Kitab) tidak menyebut nama Allah, maka jangan kamu makan” [Sila rujuk Majmuk Syarh Muhazzab, jilid 9, halaman 78] Terdapat juga hujah yang mengatakan bagaimana Allah SWT menceritakan tentang sikap orang musyrikin pada zaman Nabi Muhammad SAW yang bersumpah dengan nama Allah dalam janji mereka mahu beriman dengan Allah. Perkara ini diungkapkan oleh Allah SWT dalam surah Al-‘An’am ayat 109 yang bermaksud, “mereka bersumpah dengan nama Allah dengan segala kesungguhan bahawa sungguh jika datang kepada mereka sesuatu mukjizat pastilah mereka beriman kepadaNya” Dalam menafsirkan ayat ini, Al-Imam Fakhr al-Din al-Razi menyatakan yang bermaksud, orang-orang musyrik telah bersumpah dengan “Allah”. Sekiranya datang kepada mereka tanda (mukjizat), pasti mereka akan beriman dengan Allah, lalu turun ayat ini” [Sila rujuk Al-Tafsir Al-Kabir, jilid 4, halaman 34] Namun, mereka yang menghalang penggunaan kalimah Allah untuk non-Muslim dengan mencipta alasan bahawa di Malaysia, larangan itu perlu berlaku kerana mahu mengelak berlaku proses pemurtadan terhadap umat Islam. Hairannya, dakwaan mahu memurtadkan itu hanya tanggapan mereka yang tidak punyai satu bukti yang kukuh kecuali andaian, menjadikan mereka mahu melarang keizinan ilahi itu. Sedangkan di zaman Nabi Muhammad SAW, amat jelas usaha memurtadkan itu berlaku, disamping wujud ayat al-Quran yang menyatakan perkara ini, iaitu menerusi ayat ke 109 dari surah Al-Baqarah. Malah dalam keadaan begitu, tidak terdapat satu tindakan Nabi Muhammad SAW pun melarang non-Muslim di zaman itu menggunakan kalimah Allah. Firman Allah SWT mengatakan: “Sebahagian besar Ahli Kitab menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kamu kepada kekafiran setelah kamu beriman, karena dengki yang (timbul) dari diri mereka sendiri, setelah nyata bagi mereka kebenaran. Maka ma’afkanlah dan biarkanlah mereka, sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” Yang pasti, Nabi Muhammad SAW berhadapan perkara ini dengan tidak melakukan tindakan yang boleh mendatangkan permusuhan antara Muslim dan non-Muslim. Nabi Muhammad SAW tidak mengambil tindakan yang boleh mendatangkan imej buruk kepada Islam, yang boleh menggalakkan anggapan bahawa Islam adalah agama yang penakut dan tidak berfikiran terbuka. Ekoran itu, Nabi Muhammad SAW menghadapi perkara ini melalui dialog dan perbahasan secara matang, sepertimana yang diceritakan oleh Allah SWT menerusi al-Quran dalam banyak ayat, khususnya dari surah Ali-Imran, ayat 59 hingga ayat 61. “Sesungguhnya misal (penciptaan) Isa di sisi AllAh, adalah seperti (penciptaan) Adam. Allah menciptakan Adam dari tanah, kemudian Allah berfirman kepadanya: “Jadilah” (seorang manusia), maka jadilah dia (Apa yang telah Kami ceritakan itu), itulah yang benar, yang datang dari Tuhanmu, karena itu janganlah kamu termasuk orang-orang yang ragu-ragu. Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): “Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya la’nat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta” Kesan   Di sebalik larangan non-Muslim dari menggunakan kalimah Allah ini, ia memberi kesan yang merisaukan dalam berberapa isu fiqh. Antaranya adalah soal membaca Al-Quran bagi non-Muslim. Kitab-kitab fiqh menyatakan bahawa tidak terlarang bagi non-Muslim membaca al-Quran, seperti  dinyatakan dalam al-Bujairimi ‘ala al-Khatib dengan katanya, “Adapun kafir, tidak dilarang dia dari membaca (al-Quran)” [Sila rujuk Hashiah al-Bujairimi ‘Ala al-Khatib, jld 3, hlmn 259] Tetapi, jika dilarang non-Muslim dari menggunakan kalimah Allah SWT, sudah pasti membaca Al-Quran bagi mereka turut terlarang. Ini kerana, dalam Al-Quran cukup banyak diungkap kalimah Allah. Malah, Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ada membincangkan hal yang sama tetapi dalam konteks jampi. “Berkata Rabi’, aku telah bertanya Al-Syafie berkenaan dengan jampi. Dia Aal-Syafie) menjawab, tidak mengapa bahawa menjampi dengan membaca Kitab Allah (Al-Quran) dan apa yang diketahui dari zikirullah (menyebut nama Allah). Aku (Rabie) bertanya, apakah boleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) menjampi orang Islam? Dia (Al-Syafie) berkata, Ya, apabila mereka menjampi dengan apa yang diketahui dari Kitab Allah (Al-Quran) dan dari Zikrullah (menyebut nama Allah)” [Fath al-Bari Syarh al-Bukhari, jld 16, hlmn 258]. Melalui contoh ini kita boleh lihat dengan jelas bahawa non-Muslim juga boleh menggunakan ayat Al-Quran untuk merawat orang Islam. Disamping itu juga, larangan penggunaan kalimah Allah akan memberi kesan terhadap sudut pandang Al-Quran itu sendiri. Ini kerana, dalam Surah At-Taubah, ayat 30, Allah SWT menyatakan bahawa Nasrani beranggapan bahawa Al-Masih adalah anak Allah. Dalam surah Al-Maidah ayat 73 pula, Allah SWT menyatakan telah kufur mereka yang mengatakan Allah itu ketiga dari yang tiga. Dalam kedua-dua ayat ini, Allah SWT menggunakan kalimah “Allah”, bukan kalimah selainnya dalam menyatakan pegangan Nasrani tentang Allah. Kesimpulan Al-Imam Al-Baidhawi yang pernah menyatakan; “Setiap suruhan dalam syariah itu  semestinya memberi kebaikan kepada makhluk, dan setiap larangan itu sudah pasti terdapat keburukan disebaliknya” [Sila rujuk Al-Tahqiq Al-Ma’mul Li Minhaj Al-Usul ‘Ala al-Minhaj, halaman 92) Al-Qaradawi pula ada menyatakan; “Allah SWT tidak halalkan sesuatu kecuali ia akan ada kebaikan, dan tidak akan haramkan sesuatu kecuali ada keburukan disebaliknya. (Sila rujuk Al-Halal Wa Al-Haram Fi Al-Islam, halaman 21) Sesuatu perkara yang dibenarkan melalui nas, tidak kira namanya halal, harus atau wajib dan sebagainya, sudah pasti punyai kebaikannya tersendiri, walaupun kadangkala ia tidak kita sukai. Allah SWT ada menyatakan dalam al-Quran yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Surah al-Baqarah, ayat 216) Dilema hari ini, keizinan ilahi mahu dilawan. Peliknya, mereka yang melawan keizinan ilahi itu menggunakan lebel agama Islam, malahan sanggup menuduh murtad terhadap mereka yang mahu membenarkan perkara yang dibenarkan oleh Allah SWT itu. Semua ini tidak akan berlaku kecuali berlapikkan hawa nafsu dan sentimen yang dikecam dalam Islam, kerana dengan hawa nafsu dan sentimen ini, ia tidak membawa kepada hidayah, tetapi kepada kerosakan yang tidak disedari. (untuk bibliografi yang lebih lengkap, sila email editor@projekdialog.com)

]]>

Menzahirkan pluralisme dalam suasana kemelut

peaceful coexistence” atau kedamaian hidup bersama. Ia menggalakkan umat Islam untuk meletakkan nilai kesamarataan, keharmonian dan keamanan antara agama. Namun begitu, sempena Hari Raya Haji ini pula, dada akhbar dipampangi dengan kontroversi isu baru-baru ini berkenaan perkataan “Allah” dan beberapa lagi tindakan kontroversi pihak jabatan agama, memberi impresi bahawa agama adalah sesuatu yang bersifat eksklusif. Maka demikian, pengalaman menyertai Konvoi Interfaith di tempat-tempat keagamaan di sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Sentul merupakan sesuatu yang amat berharga. Saya agak tertarik dengan konsep menziarahi kuil, tokong, masjid dan rumah-rumah ibadat yang terdapat di negara ini untuk meluaskan pemahaman antara agama. Agama Hindu Pencetus Kebenaran Jennifer Pak dari BBC turut mengikuti rombongan anjuran Projek Dialog dan Kumpulan Sasterawan Kavyan. Dalam kebisingan jalan raya dan kesibukan masyarakat bandar menjalani kehidupan seharian mereka, kami memulakan interfaith walk di kuil Hindu Subramanian Chettiar. Kuil tersebut aman indah dan menghijau, terdapat sebuah sangkar besar yang menempatkan beberapa merak dan burung, ukiran-ukiran dewa-dewi dalam mitos Hindu terpampang di dinding dan atap kuil, serta diselubungi bau-bauan wangian kemayan dan bunga. Sami-sami Hindu di kuil tersebut amat selesa dengan kehadiran kami, walaupun mereka sedang sibuk melayani beberapa penganut Hindu yang sedang beratur bersembahyang dan meminta berkat. Agama Hindu merupakan satu cara hidup untuk menuju ke jalan kebenaran atau Dharma yang meliputi setiap adat, tradisi, teologi dan falsafah. Tidak hairanlah ia juga dikatakan sebagai agama yang tertua dalam penyebaran tradisi kesedaran (Enlightenment Tradition). “Allah” dan Agama Sikh Seterusnya, kami berhijrah ke Gurdwara Sahib, sebuah kuil agama Sikh yang tersembunyi di selok Jalan Sentul. Wanita diwajibkan mengenakan selendang, manakala lelaki melilit kain di kepala untuk memasuki Gurdwara. Wakil-wakil daripada agamawan Sikh amat mesra menyambut konvoi kami, malah sempat menyajikan jamuan teh susu herba dan roti. Saya agak tertarik dengan kesamaan agama Sikh dengan agama-agama Nabi Ibrahim (Ibrahamic Faiths). Hal ini kerana mereka percaya kepada konsep monolitik, iaitu Tuhan adalah satu dan mempunyai kitab sucinya iaitu Guru Granth Sahib. Mereka juga mengelarkan Tuhan sebagai “Allah”, gelaran bahasa Arab yang lazim digunakan di Timur Tengah dalam agama Kristian, Yahudi dan Islam. Dewa Pengawal Kesejahteraan Konvoi kami bergerak ke Tokong Dewa Cheok Beh Keing (Dewa Pengawal) di Jalan Sentul, sebuah rumah ibadat dihiasi dengan pelbagai simbol mitos budaya Cina yang berwarna-warni seperti naga, dewa pengawal, ikan emas, dan sebagainya. Penghuni di sekitar tokong tersebut amat gembira menerangkan sejarah tokong tersebut; tokong tersebut telah bertapak di sana lebih daripada 100 tahun, ia menjadi pusat kemasyarakatan bagi kaum Cina untuk berdoakan kesejahteraan hidup. Doa tersebut bukan tertakhluk kepada penganut Dewa tersebut, sesiapa juga boleh mendoakan kesejahteraan kehidupan mereka. Maka, saya dan rakan-rakan yang lain turut membakar kayu bedil dan masing-masing berdoa untuk keamanan antara agama. Antara Islam dan Poster Anti-Syiah Kemudian, kami berangkat ke Masjid Al-Hidayah yang bersih rapi. Ia merupakan sesuatu pengalaman yang amat unik kepada yang bukan Islam, ini adalah pertama kalinya mereka mengambil wuduk dan memegang Al-Quran. Mereka juga sempat melihat para jemaah islam menunaikan solat Zohur. Sejuk mata memandang beberapa umat Islam yang kusyuk membaca ilmiah agama dan bertawakal. Penjaga masjid tersebut juga berbuka hati menerima kami, mereka mengatakan sesiapa sahaja, termasuk yang bukan Islam boleh melawati masjid di sana. Namun begitu, apa yang menyedihkan adalah kami dapati sebuah poster anti-Syiah yang terpampang di dalam masjid. Islam adalah agama sejagat dan realitinya terdapat pelbagai mazhab Islam di dunia ini. Mereka juga mempercayai Allah sebagai Tuhan, walaupun sejarah, adat dan tradisi penyembahan mereka berlainan. Apakah patut agama dijadikan alat bagi memecahbelahkan umat dan menyemarakan kebencian? Ketidakpentingan Ritual Kami mengakhiri destinasi konvoi rumah ibadat di Wat Buddha Sri Lanka. Kuil tersebut tersergam indah di dalamnya dengan sebuah patung Buddha putih yang besar, dihiasi dengan bunga-bunga cantik di mazbah hadapannya. Kami bersantap tengah hari dengan lauk-pauk ‘vegetarian’, sambil menghayati kedamaian kuil tersebut. Sami Buddha tersebut amat mesra dengan kedatangan kami, beliau mengatakan penganut di kuil tersebut sentiasa menerima kunjungan antara agama daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah mereka juga sering melakukan aktiviti kebajikan terhadap rakyat Malaysia berbilang kaum. Saya bertanya mengapa terdapat hiasan bunga di mazbah? Apakah ritual pemujaan agama Buddha? Sami Buddha tersebut dengan tenang menerangkan konsep falsafah ajaran Buddha Teravada ini. Jelas beliau, ritual sebenarnya tidak penting langsung dalam mendapat restu atau pahala dari Tuhan, yang penting adalah karakter dan hati budi pengikutnya. Agama sebagai topik “Sensitif” Hakikatnya, walaupun negara kita dicerminkan sebagai sebuah negara yang pluralisme dan harmoni, rakyat Malaysia masih dibelenggu dengan budaya ‘sensitif’, setiap kaum tidak berani untuk berinteraksi mahupun mengambil berat dengan masyarakat beragama lain. Mereka lebih selesa dengan kepompong agama masing-masing, segala interaksi antara agama hanya sebagai ciri simbolik semasa upacara keramaian dan rumah terbuka. Bahkan, budaya berdialog antara agama masih merupakan sesuatu yang agak janggal dalam merapatkan silaturrahim dan keharmonian masyarakatan. Ironinya, saya dapati tiada satu pun penghuni  rumah ibadat yang kami kunjungi melayankan kami dengan buruk, walhal, mereka sering menekankan kepentingan kedamaian dan kesejahteraan dalam agama, dan sentiasa menerima penganut agama lain dengan hati yang terbuka. Saya percaya, sesetengah pihak berkepentingan mungkin boleh memperbodohkan umat dengan mempolitikkan nama Tuhan, tetapi, sesiapa yang benar-benar memahami kewujudan agama akan mengetahui bahawa “segala yang baik itu adalah daripada Tuhan, dan segala yang keji itu adalah perbuatan manusia sendiri”.

]]>

Isu kalimah Allah: Perjuangan yang menolak izin Ilahi

“Barangsiapa yang bersumpah, hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, ataupun hendaklah dia diam”. [Sila rujuk Sahih Al-Bukhari, cara bersumpah, Hadis no : 2482) Keadaan sebegini juga pernah berlaku pada zaman Nabi Muhammad Saw berkait dengan seorang lelaki yang bernama Budail bin Abi Maryam yang telah memberi wasiat kepada dua rakan perkongsian perniagaannya yang beragama Kristian bernama Tamim Al-Dari dan ‘Adi bin Bada’ agar menghantar segala harta – hartanya kepada ahli keluarganya selepas kematiannya nanti. Setelah dihantar oleh rakannya yang beragama Kristian itu, didapati semua hartanya diserahkan kepada ahli keluarganya kecuali hanya satu bekas yang diperbuat daripada perak dan terdapat tulisan emas pada bekas tersebut. Pihak keluarga Budail telah bertanya kepada Tamim Al-Dari dan ‘Adi bin Bada’ yang beragama kristian  tentang bekas perak itu, tetapi dua lelaki kristian itu mendakwa bahawa mereka tidak mengetahuinya. Keadaan semakin kecamuk sehingga berlaku tuduhan kononnya dua lelaki kristian itu telah mencuri, tetapi di pihak kristian tetap mengingkari tuduhan terbabit. Hal ini berlanjutan sehingga sampai kepada pengetahuan Nabi Muhammad saw sehingga Allah swt menyuruh dua lelaki kristian itu bersumpah dengan Nama Allah Swt. Perkara ini terakam dalam firman Allah dari surah Al-Maidah, ayat 106. [Sila rujuk Fakhr Al-Din Al-Razi, Al-Tafsir Al-Kabir, jld 6, hlmn 183) Nyata di sini, dari sudut pandang Al-Quran dan Al-Sunnah, keizinan penggunaan kalimah Allah kepada non-Muslim sudah terbukti. Malahan, di seluruh dunia keizinan penggunaan kalimah Allah untuk non-Muslim adalah satu perkara yang sudah tiada perbedaan dan perselisihan di kalangan umat Islam pun. Namun begitu, di Malaysia perkara ini menjadi perbincangan sehingga menganggap penafian penggunaan itu sebagai ajaran Islam oleh sebilangan si jahil agama, walaupun amat jelas bahawa tiada satu sumber Islam pun yang melarang perkara itu.  Alasan mereka melarang itu juga punyai hujjah yang tidak bersumberkan wahyu kecuali sentimen yang bermuarakan hawa nafsu yang tidak berasas Islam pun. Mereka mendakwa larangan pemberian kalimah Allah kepada non-Muslim adalah kerana sudut pandang Muslim terhadap maksud “Allah” tidak sama seperti di fahami non-Muslim. Alasan melarang penggunaan kalimah Allah terhadap non-Muslim dengan menggunakan alasan ini merupakan alasan yang cukup dangkal. Ini kerana, suruhan sumpah dengan nama Allah terhadap kristian adalah suruhan yang bersumberkan Al-Quran (Surah Al-Maidah, ayat 106), sedangkan dalam Al-Quran sendiri mengatakan kekufuran kristian dengan sebab mengatakan Allah itu ketiga dari tiga, dan mengatakan Allah punyai anak bernama Al-Masih. Firman Allah dalam surah Al-Maidah, ayat 73 yang bermaksud, “Sesungguhnya telah kufur mereka yang berkata bahawa Allah itu ketiga dari tiga”. Firman Allah dari surah Al-taubah, ayat 30 yang bermaksud, “berkata Yahudi, Uzair anak Allah. Dan Berkata Nasrani, Al-Masih adalah anak Allah”. Mereka mendakwa lagi bahawa pemberian kalimah Allah SWT kepada non-Muslim adalah usaha menyekat dari kekeliruan Muslim terhadap maksud Allah. Pada mereka, apabila diberikan penggunaan kalimah Allah kepada non-Muslim, nanti kefahaman Muslim terhadap maksud Allah akan menjadi salah. Menjawab alasan dangkal ini adalah cukup sekadar dengan mengatakan bahawa mereka seperti seorang doktor yang memberi ubat sakit perut kepada pesakit yang pening kepala. Dari sudut reality pun, doktor yang dianggap hebat, jika memberi ubat yang salah, maka doktor itu tetap dianggap sebagai salah. Maka begitulah tindakan mereka melarang pemberian kalimah Allah kepada non-Muslim dengan alasan ia boleh mengelirukan Muslim. Jika benar Muslim boleh keliru pun (walaupun dakwaan itu tidak berasas sama sekali), tugasan yang perlu dibuat adalah memberi penjelasan maksud kalimah Allah yang sebenar, bukan dilarang pemberian kalimah Allah terhadap non-Muslim. Ini ditambahi lagi, cara faham Nabi Isa oleh Muslim tidak sama dengan cara faham kristian. Tetapi, sejak dahulu lagi penggunaan itu berlaku, Muslim di Malaysia tidak pernah keliru pun maksud nabi Isa itu. Secara  nyatakan, penggunaan kalimah Allah untuk non-Muslim tidak terlarang pun dari sumber nas Al-Quran dan Al-Hadis. Malahan, di seluruh Negara-negara termasuk Sabah dan serawak, larangan itu tidak pernah berlaku kecuali di semenanjung Malaysia. Mereka yang melarang itu juga, hakikatnya tidak berhujjah berasaskan Al-Quran dan Al-Sunnah, tetapi berhujah menggunakan hawa nafsu sentiment disamping dikepilkan andaian meleset dalam menafikan keizinan Islam itu. Wallahu ‘Alam.

]]>

Pupuklah perpaduan sebagai pengorbanan

Media antarabangsa turut berminat membuat liputan konvoi kali ini. Media antarabangsa turut berminat membuat liputan konvoi kali ini.[/caption] Jennifer Pak dari BBC World News yang menyertai konvoi pada kali ini ternyata tertarik dengan usaha kami “melawan arus” menganjurkan acara yang menyatukan pelbagai kaum/agama di tengah-tengah keghairahan politikus serta puak ultra kiasu, fanatik dan rasis sanggup melakukan apa sahaja bagi memisahkan masyarakat. Kunjungan ke rumah-rumah ibadat dilakukan sebagai usaha murni membantu meningkatkan persefahaman, perpaduan dan nilai persaudaraan dalam kalangan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, budaya dan agama. Parti-parti politik ternyata tidak mampu – dan tidak mahu – memikul tanggungjawab murni ini kerana tidak memberikan “pulangan” dan “keuntungan” politik kepada mereka. Politikus hanya dapat “hidup” dengan meneruskan tradisi “pecah dan perintah”. Pihak rumah ibadat menerima dengan tangan terbuka Pada 31 Ogos 2013, saya berpeluang mengambil bahagian dalam “interfaith walk” melibatkan masyarakat pelbagai kaum dan agama di taman tasik Kota Kemuning, Shah Alam. Walau pun hujan, sambutan diterima daripada ratusan peserta pelbagai agama – walaupun pemimpin daripada pertubuhan agama tertentu memutuskan untuk tidak hadir. Di pihak Kavyan pula, seperti biasa, kami menumpukan pada kumpulan kecil supaya ada interaksi dan hubungan erat antara semua peserta sepanjang (dan selepas) program. Pihak pengurusan kuil, gurdwara, masjid dan wat memberikan kerjasama dan reaksi positif apabila dihubungi untuk menyatakan niat kami mengatur satu lagi konvoi ke rumah-rumah ibadat berkenaan. (Gereja tidak sempat dikunjungi pada kali ini kerana tidak sempat mendapatkan balasan daripada pihak pengurusan.) [caption id="attachment_2543" align="alignleft" width="300"]Peserta berkumpul di kuil sebelum memulakan konvoi. Peserta berkumpul di kuil sebelum memulakan konvoi.[/caption] Di Kuil Subramaniam Chettiar, Jalan Ipoh, kami diberikan kebebasan melawat, merakamkan foto/video, bertanya soalan dan melihat secara dekat ritual yang dijalankan. Perlu dinyatakan bahawa walaupun kelima-lima rumah ibadat yang dikunjungi pada kali ini adalah sama  dengan lokasi dikunjungi pada 2010 dan 2011, para peserta (kecuali saya) adalah kumpulan yang berbeza. Maka tidak muncul soal bosan melawat tempat sama. Malah saya sendiri tidak sedikit pun berasa jemu walaupun ini kali ketiga saya mengetuai konvoi ke lokasi sama. Ketibaan kami di Gurdwara Sahib, Jalan Sentul disambut mesra oleh jawatankuasa rumah ibadat agama Sikh itu. Para peserta diberikan penerangan asas mengenai agama berkenaan serta pantang-larang dan peraturan. Kami juga dibawa melihat bilik khas di mana kitab Guru Granth Sahib (teks suci) disimpan dengan penjagaan rapi pada setiap petang sebelum dibawa keluar pada setiap pagi. Kemudian, para peserta dijamu dengan teh herba sambil berbual-bual dan bertukar-tukar pandangan. Tentu sahaja para peserta tidak melepaskan peluang merakamkan foto untuk dimuatkan segera ke Facebook bagi tatapan rakan-rakan yang terlepas peluang menyertai konvoi ini. Konvoi bermula pukul 9:30 pagi dan kami hanya berpeluang meluangkan sekitar 45 minit di setiap rumah ibadat. Tentu sahaja masa ini terlalu singkat dan tidak cukup untuk memberikan gambaran penuh mengenai setiap agama dan ritual. Apa-apa pun, kunjungan secara berkumpulan seperti ini pasti mampu membuka mata serta membuka peluang – selain memecahkan sebarang prejudis, jika ada – agar masyarakat pelbagai kaum/agama tidak ragu-ragu untuk berkunjung ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama bagi mengeratkan silatulrahim. Tiada niat menukar agama sesiapa! [caption id="attachment_2544" align="alignleft" width="300"]Berkongsi maklumat bersama-sama rakan demi meningkatkan persefahaman. Berkongsi maklumat bersama-sama rakan demi meningkatkan persefahaman.[/caption] Memanglah ada orang yang memberikan komentar “apa gunanya berkunjung ke masjid kalau peserta konvoi tidak tertarik untuk bertukar agama”.  Atau komen “kalau masuk gereja/kuil/tokong, tak takutkah akidah tergugat?” Komen negatif seperti ini pasti sahaja datang daripada pihak yamg tidak memahami niat dan tujuan Konvoi Rumah Ibadat diadakan. Kavyan sedikit pun tidak berniat mempersoalkan pegangan agama sesiapa. Sebaliknya, Kavyan dan Projek Dialog mahu membuka ruang dan peluang mengeratkan hubungan. Apabila kami berkunjung ke Tokong Dewa Pengawal di Jalan Sentul, tidak ada petugas di sana. Bagaimanapun perkara ini tidak menjadi masalah kerana pintu tokong Cina itu terbuka kepada umum. Malah, beberapa wanita menawarkan diri untuk memberikan penjelasan berserta demonstrasi mengenai ritual sembanyang yang diamalkan. Ukiran serta patung-patung pelbagai warna pula sangat menarik perhatian para peserta konvoi. [caption id="attachment_2545" align="alignleft" width="300"]Peluang mempelajari cara bersembahyang di tokong. Peluang mempelajari cara bersembahyang di tokong.[/caption] Peserta termuda berumur 14 tahun manakala peserta tertua berumur 45 tahun. Rata-rata peserta pelbagai kaum dan agama ini belum pernah berpeluang berkunjung ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama – apatah lagi ke lima rumah ibadat berbeza sekali harung. Di Masjid Al-Hidayah, Sentul, peserta konvoi yang beragama Islam bertindak sebagai jurucakap yang memberikan penerangan. Peserta diterangkan dan ditunjukkan cara berwuduk yang betul. Malah, peserta pelbagai agama turut berwuduk sebelum memasuki masjid. Memandangkan kami tiba di Wat Buddha Sri Lanka, Sentul sekitar 1:30 petang, kami dipersilakan makan tengah hari sebelum memulakan lawatan. Masakan nabati (vegetarian) yang disajikan adalah halal dan para peserta ternyata menikmatinya dengan penuh selera. Selepas itu, seorang sami Buddha memberikan penjelasan serta menjawab pelbagai pertanyaan dan kemusykilan yang dikemukakan. Pertanyaan-pertanyaan ini sebenarnya membantu para peserta lebih memahami ajaran sebenar agama Buddha. Kemudian, memandangkan hujan turun agak lebat, kami disajikan teh dan kopi. Semasa berbual-bual santai, para peserta berkongsi pandangan dan pengalaman. Perkara paling asas yang diakui semua peserta adalah bahawa konvoi seperti ini amat positif dan perlu diadakan selalu. Walaupun dijalankan pada skala kecil dan tanpa publisiti, apa yang lebih penting adalah kesan positif yang dibawakannya. Para peserta juga menyedari serta mengakui bahawa setiap agama menyeru kepada kebaikan. Ternyata Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali; bukan untuk membenci atau saling menindas. Foto-foto yang dirakamkan olah para peserta sudah tersebar luas menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter. Semoga semangat dan aura positif yang lahir menerusi Konvoi Rumah Ibadat masuk ke dalam jiwa orang ramai.

]]>

Jemputan: Konvoi Rumah Ibadat 4

Tarikh: 12 Oktober 2013 (Sabtu)

Masa: 10.00 pagi – 12.30 tengah hari

Tempat: Sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Sentul, Kuala Lumpur

Peserta: Terbuka kepada umum

Anjuran: Projek Dialog dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)

Pendahuluan

Walaupun masyarakat pelbagai kaum, etnik, budaya, adat dan agamatinggal bersama di negara ini sejak berkurun-kurun lamanya, persefahaman dan perasaan saling menghormati dalam kalangan Bangsa Malaysia sering dipolitikkan pihak berkepentingan.

Dewasa ini, pelbagai isu berbaur perkauman dan konflik agama disensasikan pelbagai pihak dan media. Gambaran negatif yang ditonjolkan ini tidak dipersetujui majoriti Bangsa Malaysia yang mengutamakan perpaduan dan integrasi.

Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) berjaya menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat di Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2010 dan 2 Mei 2011. Pada 17 Februari 2013, konvoi dijalankan di Seremban dengan kerjasama Hidayah Centre Negeri Sembilan.

Konvoi Rumah Ibadat IV

Tarikh: 12 Oktober 2013 (Sabtu)

Masa: 10.00 pagi – 12.30 tengah hari

Tempat: Sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Sentul, Kuala Lumpur

Peserta: Terbuka kepada umum

Rumah-rumah Ibadat (cadangan dan tertakluk pindaan)

1. Kuil Subramaniam Chettiar, Jalan Ipoh (tempat berkumpul mulai 9:30 pagi –RUJUK PETA SUPAYA TIDAK SESAT)

2. Gurdwara, Jalan Sentul

3. Gereja Katolik St Joseph, Jalan Sentul

4. Tokong Dewa Pengawal, Jalan Sentul

5. Masjid Al-Hidayah, Sentul

6. Wat Budha Sri Lanka, Jalan Sentul (tempat bersurai)

Tujuan Konvoi

Kunjungan ini dilakukan dalam usaha murni membantu meningkatkan persefahaman, perpaduan dan nilai persaudaraan dalam kalangan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, budaya dan agama.

Peserta sendiri akan bertindak sebagai penyampai maklumat mengenai rumah-rumah ibadat yang dikunjungi supaya dapat dilakukan dengan cara yang mudah dan mesra.

Kunjungan ini diharapkan akan dapat menghindarkan segala salah tanggap dan pandangan tidak benar mengenai rumah-rumah ibadat pelbagai agama.

Peserta Konvoi

Rombongan ini boleh disertai peserta pelbagai kaum, etnik, budaya, bahasa dan agama yang berminat untuk mengeratkan perpaduan, persefahaman dan mengeratkan persaudaraan.

Peserta digalakkan membawa ahli keluarga kerana dapat membantu generasi muda menimba ilmu yang amat berguna ke arah pembinaan Bangsa Malaysia.

Kesemua peserta yang berminat akan diterima tanpa prejudis.

Kesemua peserta dalam rombongan ini tidak mempunyai apa-apa agenda politik. Sebaliknya ikhlas dalam memupuk perpaduan serta perasaan saling memahami dan menghormati.

Tidak ada had minimum dan maksimum jumlah peserta.

Tidak ada had umur minimum dan maksimum.

Para peserta perlu mematuhi peraturan dan norma di rumah-rumah ibadat yang dikunjungi.

Para peserta wajib berpakaian sopan dan sesuai.

Pengisian Konvoi

Kunjungan ke rumah-rumah ibadat seperti masjid, kuil, tokong, gereja, wat dan gurdwara secara berkonvoi.

Mendapatkan penerangan mengenai sejarah rumah-rumah ibadat dan agama berkenaan.

Melihat sendiri aktiviti di rumah-rumah ibadat berkenaan.

Berkongsi pengalaman menerusi perbualan dan dialog santai.

Peserta digalakkan merakan foto/video untuk dipaparkan menerusi laman rangkaian sosial seperti FacebookTwitter dan blog.

Maklumat Lanjut

Untuk maklumat lanjut dan penyertaan, sila hubungiinfokavyan@yahoo.com.my selewat-lewatnya pada 11 Oktober 2013.   ]]>

Kebebasan beragama melalui kacamata seorang Jedi

manual bagi negara ini, sama seperti manual yang perlu dibaca bagi memandu sebuah kapal angkasa. Perlembagaan mewujudkan badan-badan Perlembagaan, seperti Parlimen, Mahkamah dan Kerajaan, memberi kuasa kepada badan-badan ini dan juga menggariskan had terhadap kuasa-kuasa yang diberikan tersebut. Perlembagaan juga menjamin kebebasan asasi mereka yang berada di negara ini. Contohnya hak untuk berhimpun, hak untuk bersuara dan hak untuk mengundi. Perlembagaan juga menjamin kebebasan beragama bagi semua. Saya mendapati bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di Malaysia. Ini melegakan saya. Kebebasan beragama juga termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan yang menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. ‘Saya adalah seorang Jedi’ – ini anutan saya. Saya juga bebas mengamalkan kod-kod dan peraturan-peraturan Jedi sebagai amalan agama saya. Hak untuk menganuti dan mengamalkan agama ini tidak boleh disekat oleh mana-mana pihak atas apa-apa alasan sekalipun, melainkan ianya berlawanan dengan apa-apa undang-undang am berhubung dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau moraliti. Maknanya, walaupun peraturan Jedi mengharuskan saya membawa lightsaber (pedang lazer) saya ke mana-mana, tetapi oleh kerana terdapat undang-undang yang menyekat penggunaan senjata di negara ini, maka saya tidak boleh menggunakan Perkara 11 sebagai justifikasi untuk membawa lightsaber saya di khalyak ramai. Tidak mengapa. Saya rasa seteru tradisi Jedi, The Sith, tidak ada di Malaysia. Walaupun saya ada nampak seorang yang mirip Jabba The Hutt di televisyen tempoh hari, sedang melaungkan tentang hak Melayu. Kebetulan, agaknya. Berbalik kepada kebebasan beragama. Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa saya mempunyai hak untuk mengembangkan agama saya. Jadi, sekiranya saya ingin mengajak rakyat Malaysia untuk menyertai orde kami saya boleh. Menurut kajian saya, walaupun saya punya hak untuk mengembangkan agama saya, Perlembagaan membenarkan undang-undang negeri (atau undang-undang Persekutuan bagi Wilayah Persekutuan) untuk mengawal dan menyekat apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang Islam. Di negeri Selangor contohnya, adalah menjadi kesalahan sekiranya saya bercerita tentang perkara-perkara berkenaan anutan dan amalan Jedi kepada seseorang yang beragama Islam. Yang penting bukan agama apa yang disebarkan, tetapi siapa yang menjadi ‘penerima’. Sebab itulah di Selangor juga, ianya menjadi kesalahan sekiranya seseorang Muslim itu berdakwah kepada Muslim yang lain sekiranya dia tidak mempunyai tauliah. Tidak mengapalah. Sebenarnya Jedi memang harus dipupuk dari usia yang amat muda, jika sudah terlalu tua khuatir akan menimbulkan perkara yang tidak diingini. Lihat sahaja apabila Qui Gon Jinn mengambil seorang budak yang terlalu tua bernama Anakin untuk dijadikan Jedi. Sekurang-kurangnya saya kini yakin bahawa hak saya sebagai seorang Jedi dilindungi oleh Perlembagaan. Jadi, jika hak saya untuk menganut dan mengamalkan agama saya dicabuli, saya boleh menegakkan hak saya di Mahkamah. Tetapi saya belum sempat membuat kajian samada Mahkamah di Malaysia telah selama ini menjalankan tanggungjawab mereka untuk menegakkan hak-hak dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Samalah seperti tanggungjawab kami sebagai Jedi untuk berkhidmat dan melindungi seantaro bimasakti daripada anasir-anasir jahat yang mengancam kedamaian. Ah, tak mustahil meraka tidak jalankan tanggungjawab mereka. Apa guna Perlembagaan, jika Mahkamah tidak meluhurkannya, kan? *Nota untuk JAIS, JAKIM dan semua yang sama waktu dengannya, penulis bukanlah seorang Jedi.

]]>