Salahkah Transgender?
Benarkah kewujudan golongan transgender dianggap salah di sisi agama?
Umumnya, seperti yang dinyatakan menerusi makalah bertajuk “Transgender dalam Mitos Hindu”, kehadiran golongan berkenaan bukan sesuatu yang baru dalam budaya India-Hindu.
Di Malaysia pula, topik berkaitan transgender amat kurang diperkatakan secara positif, adil dan bermaruah. Sebaliknya, selalu sahaja diberikan gambaran paling buruk oleh media arus perdana.
Saya menyebut dalam makalah “Minoriti Perlu Berani Bersuara” bahawa golongan minoriti tidak sekadar merujuk kepada “kumpulan kecil” berdasarkan kaum dan agama.
Sebaliknya turut merujuk kepada pendirian politik, ideologi, mazhab, sosial, bahasa, seksualiti dan pelbagai lagi kedudukan yang menjadikan kelompok itu hilang peluang untuk bersuara; selain ditindas golongan majoriti yang berkuasa.
Atas dasar mahu memberikan ruang dan peluang kepada golongan transgender bersuara, maka saya mengaturkan pertemuan dengan Sharan Suresh di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 14 November 2013.
Beliau bukan sahaja seorang transgender tetapi juga terlibat secara langsung dalam usaha murni dan berani memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai golongan berkenaan.
Berikut adalah sebahagian transkrip perbualan kami yang boleh dijadikan asas bagi memulakan dialog dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, ideologi dan agama.
[caption id="attachment_2770" align="aligncenter" width="381"]
Usaha dilakukan untuk mendidik mahasiswa dan orang ramai mengenai transgender.[/caption]
Uthaya: Orang sering mengaitkan golongan transgender dan homoseksual dengan aktiviti seks tidak bermoral. Apakah komen anda?
Sharan: Istilah homoseksual, heteroseksual, biseksual dan sebagainya hanyalah label yang digunakan orang. Identiti gender tidak ada apa-apa kaitan dengan orientasi seks seseorang.
Sudah terbukti secara saintifik bahawa setiap lelaki, pada salah satu peringkat hidupnya (khususnya pada usia remaja), dia akan tertarik kepada sebilangan wanita dan sebilangan lelaki.
Individu lelaki itu tidak semestinya tertarik secara seksual kepada lelaki lain. Cuma, hubungannya dengan individu yang dia tertarik itu lebih intim berbanding dengan individu lain.
Situasi seperti ini pula tidak semestinya hanya berlaku dalam kalangan pelajar lelaki di sekolah lelaki, atau pelajar perempuan di sekolah perempuan seperti selalu diperkatakan. Sebaliknya boleh juga berlaku di sekolah campur.
Bagaimanapun, norma masyarakat yang menjadi penghalang dan membuatkan remaja heteroseksual berkenaan terpaksa memendamkan terus perasaan tertarik itu, walaupun dia bukannya tertarik secara seksual kepada rakannya itu.
Norma dalam masyarakat menetapkan bahawa seorang lelaki hanya boleh tertarik kepada perempuan dan begitu juga sebaliknya. Kononnya kasih-sayang hanya boleh dikongsikan dengan orang yang kita cintai dan tertarik secara seksual – iaitu individu daripada jantina yang berlainan.
Pandangan seperti ini sebenarnya berasaskan pendirian berciri politik dalam agama tertentu pada zaman dahulu yang mahu supaya pasangan berlainan jantina segera berkahwin dan melahirkan anak. Supaya jumlah penganut agama berkenaan dapat ditambah dengan kadar paling segera.
Bercakap mengenai agama, apakah kewujudan golongan transgender bertentangan dengan ajaran agama?
Kita tidak dapat menolak kemungkinan bahawa ajaran agama sebenarnya tidak menghalang kewujudan golongan transgender, iaitu individu yang memiliki anggota tubuh lelaki tetapi mempunyai identiti gender wanita.
Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa kewujudan individu transgender berlaku secara biologikal sejak dalam kandungan dan bukannya dibuat-buat atau ditiru semasa kanak-kanak atau remaja.
Tuhan yang menciptakan lelaki dan wanita jugalah yang menciptakan golongan transgender. Tuhan tidak pernah melakukan kesilapan dalam melaksanakan tugas-Nya. Pihak yang keliru adalah manusia sendiri; bukannya Tuhan.
Misalnya, wujud pelbagai perkara yang bertentangan dan bercanggah dalam ajaran agama seperti difahami oleh manusia. Sebab itulah ada pelbagai agama, kepercayaan, mazhab dan aliran pemikiran.
Terdapat juga klasifikasi yang berbeza-beza bagi Tuhan; walaupun dalam kalangan agama yang mengakui hanya ada satu Tuhan.
Perbezaan kepercayaan, mazhab, agama dan pandangan turut membawa kepada persengketaan dan perang kerana masing-masing percaya bahawa apa yang dipercayainya sahaja adalah betul.
Walaupun mereka menegaskan Tuhan adalah satu, mereka masih berbalah kerana mempunyai pendirian yang berbeza.
Sekiranya diperhatikan dalam soal agama, apa yang diperjuangkan pihak tertentu adalah berdasarkan apa yang mereka percayai sebagai benar; tetapi tidak semestinya seratus peratus seperti apa yang ditetapkan oleh Tuhan.
Adalah tidak adil jika penganut satu agama memaksa penganut agama lain menerima apa yang dipercayainya.
Janganlah semata-mata kerana orang lain mempunyai cara dan kepercayaan yang berbeza terhadap Tuhan, maka kita membuat keputusan bahawa mereka berdosa dan tidak akan diterima oleh Tuhan.
Perbandingan yang sama boleh digunakan dalam isu berkaitan transgender.
Situasi berkaitan perubatan dan biologi cuba disempitkan menerusi pandangan sempit pihak tertentu berdasarkan pengetahuan mereka yang amat sedikit terhadap ajaran sebenar dalam agama.
Mereka tidak tahu apa itu transgender. Mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang sepenuhnya. Akan tetapi mereka mahu menetapkan peraturan terhadap apa yang mereka sendiri tidak tahu!
Istilah yang biasa digunakan dalam filem Tamil adalah “aravani” apabila merujuk kepada golongan transgender. Apakah label ini sesuai?
[caption id="attachment_2769" align="alignleft" width="195"]
Sharan Suresh menerima realiti bahawa dia adalah transgender.[/caption]
Saya ada menyebut tadi mengenai beberapa label seperti homoseksual, heteroseksual dan biseksual. Semua itu hanyalah label yang diberikan oleh orang untuk memudahkan rujukan.
Bagi individu yang memiliki anggota tubuh (fizikal) lelaki tetapi identiti gender wanita, istilah yang diperakui dan digunakan pada peringkat antarabangsa adalah “transgender”.
Pelbagai istilah lain turut digunakan di pelbagai negara. Di beberapa negara, termasuk Filipina, label/istilah yang digunakan adalah “gay” tanpa melakukan klasifikasi sama ada homoseksual, biseksual, lesbian, transgender atau sebagainya.
Penggunaan istilah atau label ini adalah bagi menggambarkan kedudukan identiti individu berkenaan yang berada pada persimpangan antara identiti seks (tubuh dan alat kelamin) dan identiti gender (biologikal dan tertanam dalam minda sejak dalam kandungan).
Istilah binari yang biasa digunakan apabila merujuk kepada gender adalah “lelaki” (male) dan “perempuan/wanita” (female).
Dalam keadaan ini, kita lupa bahawa gender bukan berciri binari (dua) kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa gender tidak hanya terikat kepada “lelaki” dan “perempuan”.
Atas sebab itulah mana-mana individu yang tidak termasuk – atau tidak memenuhi sepenuhnya kriteria konvensional dalam masyarakat – bagi kategori “lelaki” atau “wanita” diletakkan di bawah label “transgender”.
Kriteria konvensional yang saya maksudkan adalah norma dalam masyarakat yang hanya melihat pada kategori “lelaki” dan “wanita” berdasarkan anggota tubuh dan alat kelamin lelaki (zakar) atau alat kelamin wanita (faraj).
Secara konvensional, apabila seorang bayi yang dilahirkan itu ada zakar, maka diberikan identiti gender sebagai “lelaki”.
Amalan ini tidak tepat kerana kehadiran zakar atau faraj adalah “identiti seks” dan tidak semestinya mewakili “identiti gender”.
Bagaimana pula dengan individu transeksual?
Istilah “transeksual” merujuk kepada individu yang sedar bahawa identiti seks yang dimilikinya (fizikal) adalah berbeza dengan identiti gender dalam mindanya (sejak dalam kandungan).
Misalnya seorang individu yang dilahirkan dengan alat kelamin lelaki tetapi memiliki identiti gender wanita.
Individu berkenaan memilih untuk hidup sebagai wanita, iaitu berdasarkan identiti gender wanita yang dimiliki (dalam minda) dan bukan identiti seks (alat kelamin).
Individu transeksual tahu bahawa identiti seks – iaitu alat kelamin dan ciri-ciri fizikal lain – boleh diubah.
Bagaimanapun, identiti gender yang tertanam dalam minda sejak dalam kandungan akan terus kekal hingga akhir hayat.
Secara mudah, “transgender” merujuk kepada keadaan umum individu yang memiliki identiti seks (fizikal) dan identiti gender (naluri) yang bertentangan.
Keadaan “transeksual” pula umpama subset iaitu salah satu daripada pelbagai label yang berada di bawah kategori “transgender”.
Misalnya, saya sendiri. Saya dilahirkan dengan alat kelamin lelaki (zakar) tetapi identiti gender saya sejak bayi adalah perempuan. Maknanya saya menyedari bahawa saya sebenarnya seorang individu perempuan.
Sejak kanak-kanak hingga kini, saya hidup sebagai seorang wanita. Identiti gender ini akan kekal hingga akhir hayat saya.
Adakah transgender akan berusaha menjalani pembedahan bagi mengubah identiti seks mereka?
Apabila bercakap mengenai golongan transgender, tidak semestinya mereka perlu membuang “identiti seks” (zakar) melalui pembedahan.
Memang ada transgender yang membuat pembedahan membuang zakar kerana mereka mampu dari segi kewangan. Akan tetapi, ramai yang tidak mampu menampung kos pembedahan yang memang amat mahal.
Pada masa sama, ada juga transgender yang tidak memikirkan soal membuang alat kelamin mereka kerana apa yang lebih penting adalah identiti gender (minda) dan bukannya identiti seks (alat kelamin).
Sebenarnya, sehingga awal tahun 1980-an, pembedahan membuang zakar bagi golongan transgender dilakukan secara sah di Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya).
Selepas seorang individu transgender selesai menjalani pembedahan membuang zakar (identiti seks) di sana, maklumat jantina pada kad pengenalan boleh diubah secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara.
[caption id="attachment_2771" align="aligncenter" width="388"]
Sesi perbincangan khas mengenai transgender berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.[/caption]
Mengapa pula perkhidmatan pembedahan itu dihentikan?
Masalah hanya berlaku selepas tahun 1982 apabila keluar fatwa mengharamkan pembedahan menukar jantina di kalangan orang Islam.
Apa yang menyedihkan adalah bahawa ramai yang tidak memahami hakikat bahawa golongan transgender bukan mahu “menukar jantina”.
Sebaliknya transgender mahu memastikan “identiti seks” (fizikal) selaras dengan “identiti gender” yang tertanam dalam minda sejak masih berada dalam bentuk embrio di dalam kandungan ibu.
Seperti saya katakan, identiti seks boleh diubah tetapi identiti gender kekal hingga mati.
Kalau kita perhatikan, istilah “mukhannathun” terdapat dalam Hadis sahih untuk merujuk kepada golongan transgender iaitu individu yang lahir dengan alat kelamin (identiti seks) lelaki tetapi memiliki sepenuhnya identiti gender wanita.
Dinyatakan dengan jelas bahawa jika keadaan “mukhannathun” (transgender) itu wujud sejak kecil (kanak-kanak), maka individu terbabit tidak perlu rasa bersalah atau malu dengan keadaan dirinya.
Menurut Hadis, “mukhannathun” atau “mukhannas” adalah seorang individu (lelaki) yang menyerupai wanita.
Ada dua jenis “mukhannathun” dirujuk di mana salah satu adalah lelaki (identiti seks) yang benar-benar memiliki identiti gender wanita dan mempunyai adab serta tingkah-laku yang sama seperti wanita secara semula jadi (bukan dibuat-buat).
Ternyata Hadis itu merujuk kepada golongan transgender. Dinyatakan secara jelas bahawa golongan itu tidak berdosa selagi mereka tidak melakukan perzinaan, dosa dan maksiat.
Hukum terhadap zina, dosa dan maksiat itu sama juga bagi golongan heteroseksual.
Apa yang ditegah dalam agama Islam, Quran dan Hadis adalah apabila seorang individu dengan identiti gender lelaki dan identiti seks lelaki – iaitu “lelaki sejati” – mahu mengubah keadaan itu.
Di sinilah muncul kelompok lelaki yang suka berpakaian seperti wanita (cross-dressing) walaupun mereka bukannya transgender.
Malangnya, akibat kejahilan dan kerana tidak cukup maklumat serta pengetahuan, pihak tertentu menganggap transgender sama dengan cross-dresser.
Akibatnya, golongan transgender yang tidak berdosa selalu menjadi mangsa.
Saya berharap penindasan berikutan kejahilan seperti ini akan berakhir. Masyarakat dan pihak berkuasa perlu diberikan maklumat tepat dan benar mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan transgender.
[Ulangsiar makalah yang diterbitkan pada 21 November 2013]
Budaya di Asia Tenggara: Kaku atau Dinamik?
Gambar: Orchid DMC[/caption]
Konflik Budaya
Secara amnya dunia yang saya hidupi pada waktu ini, tidak pernah ketandusan konflik. Konflik yang merangkumi pelbagai jenis isu: dari isu agama hingga ke isu budaya.
Dalam artikel ini, secara spesifiknya saya akan menyentuh aspek budaya, dan bagaimanakah sudut pandangan seniman dan budayawan tentang definisi budaya di dalam konteks Asia Tenggara.
Artikel ini merupakan ulasan dan tanggapan saya terhadap perbincangan acara KataKatha yang diadakan pada beberapa minggu lepas, berkenaan hal-hal kebudayaan (secara sedar atau tidak) di rantau ini.
Oleh itu, harus diingatkan terlebih dahulu bahawa artikel ini mempunyai dua tanggapan berbeza mengenai hal budaya.
Satu daripada saya sendiri, selaku anak muda yang hanya memaknakan dirinya melalui ritma kehidupan yang biasa-biasa.
Kedua daripada barisan panelis yang terdiri daripada budayawan, sejarawan, seniman/seniwati, dan arkitek yang sudah tentunya mempunyai pengalaman yang lebih jelas dan berupaya untuk membentuk pendapat yang lebih jitu tentang budaya itu sendiri.
[caption id="attachment_5327" align="aligncenter" width="551"]
Sesi KataKatha. Gambar: Cheryl Hoffmann[/caption]
Kosmopolitan, Poliglot & Keberagaman Seni: Adakah Asia Tenggara Suatu Budaya?
Dialog yang bertajuk Cosmopolitans, Polyglots & The Creative Mess: Is Southeast Asia A Culture? mempersoalkan asas kebudayaan di rantau ini, apakah faktor-faktor suatu kebudayaan itu berubah dan sebab-sebab yang mempengaruhinya.
Kerawakan sudut pandang mereka hanya mampu saya cernakan semula melalui kerangka pemikiran dan tanggapan yang terhasil tentang maksud budaya.
Dengan penuh harapan juga saya menginginkan suatu perbincangan dan kritikan sihat muncul daripada artikel ini.
Menurut saya, budaya secara amnya merupakan manifestasi kehidupan sesuatu kawasan, negara ataupun kelompok etnik.
Ia merangkumi pelbagai aspek dari sistem linguistik, politik sehingga ke aspek estetika yang turut mencernakan tingkat pemikiran yang molek untuk dinyatakan kepada khalayak awam.
Dengan konteks zaman pasca moden ini, yang kebanyakannya mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme, secara kasarnya dapatlah kita memisahkan dua definisi budaya:
- Satu naratif kebudayaan yang berpaksikan kepentingan sesuatu kelompok
- Kedua adalah kesinambungan naratif kebudayaan yang tidak dapat diletakkan dalam kategori apa-apa pun.
Istana Pagaruyung (Minangkabau)[/caption]
Budaya yang Difahami, Dibentuk dan Dihidupi
Wujudkah jurang yang jelas antara ketiga bentuk budaya ini? Sebagai contoh, apakah perbezaan antara yang difahami, dibentuk dan dihidupi melalui budaya melepak?
Melepak merupakan aktiviti yang memerlukan ruang, maka setiap ruang fizikal didirikan atas nama kebudayaan dan ‘melepak’ secara langsung merangkumi pelbagai faktor: publik/awam, tingkat pengeluaran suara, jarak umum di antara tubuh-tubuh, keluasan sesuatu ruang, utiliti dan lain-lain.
Aktiviti melepak hadir secara konsensus. Persetujuan tentang perkataan ‘melepak’ barangkali wujud melalui tiga cara budaya:
- Difahami
- Yang wujud melalui ilmu (takrif kamus DBP: melepak merupakan amalan yang negatif, lalai/alpa dan disorientasi budaya)
- Pemerhatian kehidupan harian / keadaan sekeliling
- Dibentuk
- Melalui pengeluaran media (blog/tulisan sastera/bahan akademik), pembentukan ruang fizikal (bangunan, monumen atau taman),
- Susunan objek di dalam ruang (perabot, tempat pejalan kaki dsb),
- Kedinamikan struktur kuasa melalui pelbagai tingkat
- Dihidupi
- Penghidupan suatu jangka masa yang pelbagai (emosi/keadaan fizikal/keadaan sosial/sejarah/pergerakan tubuh),
- Dinamik dan tidak statik,
- Spontan dan sentiasa berada di dalam proses/peralihan
Pink Man (Thailand). Gambar: H+F Collection[/caption]
Budaya, Keterbukaan & Pergelutan Kuasa dan Realiti
Edward Said melalui bukunya yang bertajuk ‘Budaya dan Imperialisme’ turut juga menyatakan bagaimana produk budaya itu sendiri membawa agenda sesuatu kelompok (yang dimanipulasi secara sedar ataupun tidak).
Dr. Farish Noor sebagai contoh menyatakan sikap keterbukaan rantau ini sebagai salah satu sifat utama yang terhasil daripada budaya.
Beliau meneruskan lagi dengan mengatakan bahawa kedudukan rantau ini, yang secara sedar mengakui keberadaan tamadun-tamadun di benua lain membentuk sikap keterbukaan yang disebutnya tadi.
Rantau ini tidak melihat ketamadunan sebagai sesuatu yang tertutup, sebaliknya bersikap terbuka untuk menerima citra kebudayaan dari tempat lain.
Ini dengan jelas terlihat dengan peralihan atau proses sejarah kita yang melalui beberapa bentuk agama dan juga mewarisi beberapa nilai yang masih dapat ditemui pada zaman pasca moden ini.
Oleh itu secara halusnya kita menanggapi hal-hal yang kecil melalui cara yang benar-benar berbeza.
Beliau memberi contoh bagaimana setiap penduduk mengguna pakai teknologi apa-apa pun, atau menghuni sesuatu tempat yang telah ditetapkan fungsi sosialnya dengan cara yang berbeza.
Misalnya, pusat membeli belah – bagaimana anak-anak muda menghuni tempat tersebut tanpa membeli apa-apa pun, melawan logik konsumer.
Budaya yang dipraktikkan secara harian inilah yang merupakan kesinambungan budaya tempatan yang telah berterusan dari generasi ke generasi.
Beliau sendiri menegaskan bahawa perkara-perkara seperti ini yang seharusnya diberi perhatian oleh para intelektual, budayawan dan seniman/seniwati.
Kebolehan untuk memahami ritma harian yang asli dan semula jadi adalah peluang untuk memahami konflik yang terlahir antara naratif dominan penguasa dan naratif individu yang menghidupi budaya itu sendiri.
Begitu juga dengan Kanakan Balintagos, pembikin filem dari Filipina yang juga merupakan etnik Palawan menceritakan proses mengenali semula identiti beliau.
Beliau sendiri bergelut dengan idea tersebut, pergelutan di antara apa yang difahami dengan apa yang dihidupi secara hakiki itulah yang membelenggunya.
Langsung timbul persoalan tentang konsep eksotik, iaitu bagaimana perwakilan etniknya sendiri pada suatu masa berada pada tahap yang begitu superfisial.
Mungkin begitu juga dengan baju tradisional itu sendiri, wujudnya konflik di antara apa yang difahami dengan apa yang dihidupi. Sedangkan baju tradisional pada suatu masa merupakan pakaian harian penduduk tempatan.
Kesimpulan
Perbincangan tersebut secara amnya menekankan kedinamikan budaya sebagai sesuatu yang harus terus menerus dicari oleh para ahli akademik, budayawan, seniman dan juga individu di sesuatu rantau.
Konflik pasti akan berlaku, di antara naratif dominan yang mungkin saja disertai pengaruh modal (yang tidak memihak kepada orang kebanyakan) dan juga naratif yang senantiasa di dalam proses, tidak dapat dikawal.
Oleh itu, apa yang saya pelajari hasil daripada perbincangan tersebut adalah perbezaan di antara beberapa jenis naratif budaya yang sedang berlaku pada masa yang sama.
Dan tugas kita, sebagai penduduk yang menghidupi hasil kebudayaan itu sendiri adalah untuk memahami dan mula membezakan antara kebudayaan yang benar-benar ada dan kekuasaan yang berselindung di sebalik naratif kebudayaan yang seringkali bercanggah dengan apa yang kita rasakan.
]]>
Hidup Tanpa Daging, Macam Muhammad
[Terjemahan daripada “Meatless Like Muhammad“, oleh Shireen Hakim. Diterjemahkan oleh Megat Hanis.]
Orang Islam sentiasa berusaha mengikuti Sunnah, dengan mengikuti cara hidup baginda Nabi Muhammad SAW. Kita lebih dekat dengan Tuhan dengan mengikuti amalan baginda seperti senyum dan menderma.
Bagaimana pula dengan mengikuti tabiat pemakanannya? Kita juga mahu makan menurutnya, seperti memasak menggunakan minyak zaitun dan menikmati buah delima dari pohonan.
Kita tahu bahawa jika baginda memilih makanan tertentu ia pastinya bermanfaat.
Walaubagaimanapun, terdapat satu tabiat pemakanan beliau yang sangat penting untuk kesihatan kita, tetapi seringkali diketepikan.
Menurut sumber Hadith, Nabi Muhammad begitu jarang memakan daging, dan hanya memakannya ketika majlis istimewa atau sebagai tetamu.
Pemakanan sehariannya terdiri daripada makanan kegemarannya seperti kurma, air , cuka, madu, yogurt, roti barli dan anggur. Daging pula hanya sesekali, itupun beliau lebih menggemari bahu atau kaki kambing.
Baginda tidak pernah kenyang memakan roti dan daging. Pernah sebagai tetamu baginda dihidangkan gulai labu dan daging, namun baginda hanya memilih labunya untuk dimakan.
Baginda dan sahabat-sahabatnya menanti-nanti hari Jumaat, kerana seorang wanita tempatan akan menghidangkan mereka jamuan tanpa daging, dengan pengganti daging.
Masyarakat awal Muslim meneruskan tradisi Nabi Muhammad yang jarang memakan daging.
Seperti kata Khalifah ke-2 umat Islam, Umar bin Al-Khattab: “berhati-hatilah dengan daging, kerana ia menyebabkan ketagihan seperti alkohol”
Beliau pernah menegur anaknya yang selalu mengidam dan membeli daging. Umar merupakan contoh yang baik buat kita, kerana Nabi pernah bersabda, “Jika ada nabi selepas aku, pastinya ia Umar”.
Maka, memakan daging dengan sedikit merupakan sunnah nabi dan tradisi awal Islam.
Kini, tabiat memakan daging sangat bercanggah dengan amalan Nabi SAW, Umar dan juga masyarakat Islam terdahulu. Ada sebabnya mengapa mereka jarang memakan daging: ia sangat berbahaya jika diambil selalu.
Pemakanan daging yang berterusan berpotensi mendatangkan penyakit seperti sakit jantung, kanser dan kelebihan berat badan.
Daging merupakan makanan yang bermanfaat dan halal, dan kita bersyukur kerana dikurniakan nikmat tersebut. Namun, kita harus sedar bahawa kita sedang berlebihan, dan perlu mengurangkan pengambilannya.
Bagaimana Tabiat Pemakanan Daging Seharian Dianggap Normal?
Tabiat ini sebenarnya meniru cara pemakanan Barat yang juga telah dicemari zaman peperangan dan kepentingan politik. Menariknya, masyarakat awal Amerika juga jarang memakan daging.
Namun, ketika Perang Dunia 1 dan 2, daging dicatu. Apabila keamanan tercapai dan daging boleh didapati semula, masyarakat mengganggap makanan mewah sebagai makanan ruji.
Malangnya, apabila daging menjadi makanan harian, penyakit jantung dan kanser naik mendadak.
Kesihatan rakyat Amerika merudum sehingga pada tahun 70-an, Kongress telah meluluskan “Matlamat Diet” yang menyatakan bahawa kita harus mengurangkan pengambilan daging.
Walau bagaimanapun, para pelobi daging berusaha keras untuk memastikan daging termasuk dalam Panduan Diet AS. Para pelobi ini kemudiannya berterusan mengiklankan dan memasarkan ideologi kepentingan daging di sekolah-sekolah dan program nutrisi.
Maka, kita masih berfikir bahawa kita perlu memakan daging setiap hari, dan biasa dengan keadaan itu. Tabiat pemakanan Barat ini merebak ke Asia dan negara-negara Amerika Latin, menguatkan penyamarannya sebagai diet yang normal.
Malangnya, diet yang sarat daging berkait rapat dengan punca kematian tertinggi di AS seperti sakit jantung, kanser dan obesiti.
Peratusan populasinya yang menghidapi penyakit ini sangat besar: sakit jantung (11%), kanser (8.5%) dan obesiti (33%). Sebaliknya, mereka yang mengambil daging secara berkala didapati lebih sihat.
Fleksitarian (mereka yang mengambil daging beberapa kali seminggu/sebulan) mempunyai kadar sakit jantung dan kanser yang lebih rendah, 15% kurang berat badan dan hidup 3.6 tahun lebih lama.
Vegetarian yang langsung tidak mengambil daging dianggarkan 17 paun lebih ringan, hidup 5 tahun lebih lama dan mempunyai 30% kurang kadar risiko kanser.
Ramai yang memakan burger daging, kepak ayam dan pizza daging seharian, menghidapi penyakit jantung atau kanser, dan kemudian langsung mengubah tabiat pemakanan mereka.
Ambillah langkah proaktif dan mulakan memakan makanan sihat sekarang, sebelum anda jatuh sakit.
Jadi, Apa Yang Patut Kita Makan Selain Daging?
Terdapat banyak protein enak tanpa daging, dan kaedah sangat mudah untuk mengamalkannya dalam diet seharian.
Antaranya adalah kekacang dan mentega kacang, ikan, lentil, taufu, telur, susu, keju dan yogurt, kubis, nasi perang dan quinoa. Setiap hari, makanlah 5-7 auns atau 4-6 hidangan protein ini.
Contoh hidangan seperti: 1 cawan susu organik (8 gram protein), 1 cawan yogurt Greek (11 gram), 1 cawan kacang hitam (16 gram), 1 sudu mentega badam (4 gram), 1 auns salmon (5 gram), setengah cawan tauhu tanpa-GMO (20 gram), 1 cawan nasi perang (5 gram), 1 cawan quinoa (8 gram), 1 cawan kubis (3 gram) dan 1 cawan brokoli (4 gram).
Protein-protein ini lebih bermanfaat dan sarat nutrient berbanding dengan daging: dengan tambahan protein, zat besi dan vitamin B12, ia juga mengandungi lemak tidak tepu, asid lemak omega-3, dan serat. Kajian menunjukkan protein tanpa daging dapat meningkatkan kekuatan tentera dan lebih mudah dihadam. Makanan ini mengurangkan risiko penyakit dan kematian. Ia juga meningkatkan kadar metabolisme, dan membantu mengurangkan berat badan. Kita digalakkan memakan protein tanpa daging untuk kebanyakan hari dalam seminggu, dan daging (ayam atau kambing) hanya untuk sehari dua. Ikuti langkah-langkah berikut untuk mengamalkan diet tanpa daging:
- Sertai gerakan Isnin Tanpa Daging yang popular: jangan memakan daging pada hari Isnin. (Jika anda berpuasa pada hari Isnin, maka bersahur dan berbuka puasalah tanpa daging).
- Masukkan hidangan tanpa daging kegemaran dalam pemakanan seharian, dan kerapkan pengambilannya (seperti pizza sayur, sandwich mentega kacang dan burrito nasi)
- Dalam sehari, ambil satu hidangan tanpa daging, kemudian tingkatkannya. Teruskan sehingga seluruh hari dilalui tanpa daging.
- Penuhi dapur dan peti sejuk anda dengan protein yang dinyatakan di atas supaya anda sentiasa mempunyai pilihan.
- Kunjungilah restoran yang menyediakan juadah tanpa daging seperti restoran Chitpole, CPK , sushi dan Mediterranean.
Tabiat pemakanan protein tanpa daging menjimatkan masa, tenaga dan stress.
Protein tanpa daging juga mudah didapati di banyak lokasi dan selalunya halal. Oleh itu, terdapat lebih banyak pilihan restoran dan kedai-kedai runcit.
Hidangan tanpa daging mampu meningkatkan kesihatan kita dan bertepatan dengan sunnah. Ia tidak menjadikan seseorang itu vegetarian, dan anda masih boleh menikmati daging.
Shireen Hakim ialah seorang penulis dan pelatih nutrisi. Shireen menganuti bidang nutrisi di UCLA, Columbia dan Loma Linda University.
]]>
Wacana Kebebasan: Hak, Batasan, dan Keseimbangan
Oleh Mohd Izzuddin Ramli
Kebebasan merupakan salah satu tunjang utama dalam sistem demokrasi yang dianuti oleh sebahagian besar masyarakat dunia pada hari ini.
Tanpa kebebasan, masyarakat tidak akan mampu untuk menjadi warganegara yang aktif dalam membangunkan negara serta menyuburkan sistem itu sendiri. Kebebasan asas ini merangkumi kebebasan untuk bersuara, berekspresi, berpersatuan, berhimpun dan sebagainya.
Namun demikian, kebebasan juga cenderung untuk disalahgunakan terutamanya dalam menyebarkan unsur-unsur kebencian, baik terhadap individu, kumpulan-kumpulan masyarakat mahupun etnik.
Yang lebih membimbangkan adalah, ucapan-ucapan yang berbaur kebencian ini cenderung untuk mewujudkan keadaan tidak tenteram, perbalahan dan lebih parah mampu mencetuskan konflik kekerasan dalam masyarakat.
Kebelakangan ini kita seringkali diresahkan dengan bermacam isu yang mampu mengganggu-gugat ketenteraman awam. Hal ini dapat dilihat sekurang-kurangnya melalui ucapan-ucapan sebilangan pemimpin dan juga masyarakat awam.
Sebagai contoh isu pergaduhan yang berlaku di sebuah pasaraya di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ada sesetengah pihak yang cuba menyiram minyak ke dalam api dengan mengaitkannya dengan isu perkauman.
Hal ini lebih memburukkan apabila negara ini masih tidak mempunyai undang-undang yang mampu untuk mendidik masyarakat dalam menguruskan kebebasan dengan sebaiknya.
Pengenalan undang-undang seperti Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA), atau yang lebih baru iaitu Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 walau bagaimanapun disalahgunakan oleh pihak pemerintah sendiri untuk menghalang suara-suara pengkritik.
[caption id="attachment_5396" align="aligncenter" width="960"]
Sesi perbincangan meja bulat di Pulau Pinang[/caption]
Pelan Tindakan Rabat dan Projek Dialog
Menyedari hakikat bahawa masih wujud kelompangan yang luas dalam isu ini, maka sebuah dokumen yang dikenali sebagai Pelan Tindakan Rabat diwujudkan.
Pelan yang terhasil daripada beberapa siri bengkel yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) ini merangkumi pelaksanaan undang-undang dan dasar bagi membendung unsur-unsur kebencian dalam bersuara termasuk dalam aspek kaum, agama dan sebagainya.
Pelan ini diwujudkan bukanlah bertujuan untuk mengekang hak kebebasan bersuara setiap rakyat. Akan tetapi ia adalah suatu usaha untuk menghalang sebarang bentuk unsur-unsur ucapan kebencian di semua peringkat baik dalam kalangan pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin agama, pihak media dan juga individu.
Di Malaysia, antara pihak yang memberi sokongan penuh terhadap pelan ini adalah Projek Dialog melalui penganjuran beberapa siri bengkel seperti di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.
Bengkel yang dijalankan bertujuan untuk memberi penerangan secara terperinci tentang pelan tindakan ini serta bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan tempatan dan kalangan akademik untuk menambahbaik pelan agar sesuai pelaksanaannya dengan konteks negara ini.
Perbincangan yang diadakan telah berjaya mencadangkan beberapa penambahbaikan terhadap Pelan Tindakan Rabat. Ia merangkumi beberapa aspek penting yang menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat di negara ini.
Antaranya adalah tentang pendidikan hak asasi manusia, pembelaan kaum minoriti, media dan stereotaip, kebebasan akademik, kebebasan berkarya untuk seniman dan perlindungan terhadap bandan-badan bukan kerajaan.
[caption id="attachment_5390" align="aligncenter" width="485"]
Gambar dari: We Are One America[/caption]
Pendidikan hak-hak asasi dan peranan media
Membicarakan persoalan kebebasan dan tanggungjawab sememangnya tidak terlepas untuk membicarakan hal yang lebih mendasar iaitu hak asasi manusia. Hak asasi manusia adalah antara perkara yang paling utama yang harus dilindungi oleh pemerintah untuk setiap warganegaranya.
Namun demikian, masih ramai daripada rakyat negara ini yang tidak memahami hak-hak asas mereka sebagai warganegara.
Keadaan ini cenderung untuk mewujudkan gejala penindasan – baik dari pemerintah ke atas rakyatnya mahupun antara semasa rakyat sendiri.
Dalam hal ini, pendidikan tentang hak-hak asas manusia dilihat penting dan perlu diberikan perhatian pada peringkat awal lagi khususnya kepada para pelajar sekolah mahupun universiti.
Pendidikan boleh diberikan melalui pengenalan terhadap sukatan-sukatan pelajaran yang mengajarkan tentang peri pentingnya sikap bertoleransi antara para pelajar. Kaedah-kaedah yang lebih proaktif dan interaktif perlu digunakan bagi setiap sekolah untuk mengajarkan para pelajar dari pelbagai latarbelakang budaya dengan menggunakan contoh-contoh yang konkrit dan sebenar.
Hak-hak asasi kaum minoriti seperti golongan transgender, orang asli, pekerja asing dan pelbagai lagi juga perlu diutamakan. Dalam hal ini, pendidikan tentang hak-hak asas juga perlu diberikan kepada mereka melalui penyediaan capaian-capaian maklumat yang lebih baik serta sumber-sumber bantuan.
Menyedari hakikat bahawa negara ini memiliki kekayaan dalam kepelbagaian kaum dan budayanya, maka capaian-capaian maklumat adalah penting khususnya dalam aspek budaya, agama dan kepercayaan, gender, orientasi seksual dan sebagainya.
Aspek pelaporan media yang berkecenderungan untuk menyediakan laporan yang tanpa sedar memperkukuhkan stereotaip perkauman dan prejudis turut sama menyumbang kepada ketidaktenteraman awam.
Hal ini menuntut kepada perlunya disediakan garis panduan untuk media bagi menghapuskan streotaip dan menyediakan laporan yang lebih beretika dan tidak memiliki bias perkauman.
Perkara sebegini jelas sekali masih dilihat menebal dalam kebanyakan media di negara ini. Media lebih gemar untuk menggunakan lensa perkauman dalam melihat atau melaporkan pelbagai isu misalnya dengan menggunakan istilah seperti “Cina”, “Melayu” dan “India” bagi menggambarkan masyarakat Malaysia daripada menggunakan istilah “rakyat Malaysia” sendiri.
Contohnya dalam kes pergaduhan di Plaza Low Yatt Kuala Lumpur antara pihak penjual dan pembeli, namun digambarkan sebagai pergaduhan antara kaum. Penggunaan lensa perkauman secara tidak sedar telah memperlebarkan lagi jurang perbezaan antara rakyat negara ini.
[caption id="attachment_5391" align="aligncenter" width="946"]
Gambar dari: Zunar[/caption]
Adakah ahli akademik dan seniman perlu mendapatkan kebenaran untuk menyuarakan pendapat?
Aspek lain yang perlu juga dititikberatkan adalah kebebasan akademik. Dalam kes Dr Azmi Sharom, pensyarah undang-undang di Universiti Malaya misalnya, kebebasan akademik jelas sekali sedang berada dalam keadaan yang membimbangkan di negara ini. Azmi didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 semata-mata memberikan pendapatnya atas kapasiti ahli akademik.
Kebebasan akademik perlu dijamin dengan sebaik mungkin oleh semua pihak. Dengan memahami dan menyuburkan budaya akademik yang bebas akan memastikan kebebasan kalangan akademik dan pelajar menyatakan pendapat mereka tanpa sebarang ancaman rasa takut.
Hal ini perlu diambilkira kerana universiti adalah institusi yang bebas dan menjadi tempat untuk percambahan ilmu. Golongan ini perlu diberikan kebebasan untuk menyatakan pendapat selagi tidak menyatakan kata-kata yang berunsur kebencian.
Kebelakangan ini kita juga seringkali mendengar isu seniman yang diancam kerana berkarya. Kartunis Zunar misalnya sedang didakwa dengan pelbagai tuduhan semata-mata menjalankan tugasnya sebagai pengkarya yang politikal.
Oleh yang demikian, kepercayaan dan penghargaan harus diberikan kepada para seniman dalam mengekalkan kebebasan berekspresi melalui seni. Para seniman sepatutnya bebas untuk menyatakan idea mereka melalui kerja-kerja seni, dalam masa yang sama sedar akan norma-norma sosial dan kawalan-kawalan yang munasabah.
Antara hal lain yang turut sama penting adalah menjamin hak-hak kumpulan-kumpulan masyarakat sivil dan para aktivis untuk bergerak secara bebas dalam mempromosikan pelbagai isu hak asasi manusia.
Oleh yang demikian, adalah sangat mendesak untuk diwujudkan sebuah garis panduan untuk membezakan antara kumpulan-kumpulan bukan kerajaan yang cenderung mempromosikan kebencian dan kumpulan-kumpulan yang tidak.
Peranan semua pihak
Usaha untuk memberikan pemahaman serta mendidik masyarakat dalam menguruskan kebebasan yang dimiliki dengan baik perlulah dilakukan oleh semua pihak, tidak terkecuali desakan untuk dilaksanakan Pelan Tindakan Rabat pada peringkat perundangan negara.
Untuk mencapai hasrat ini, maka usaha-usaha untuk memperkenalkan pelan tindakan ini secara lebih meluas perlu dilakukan.
Penglibatan lebih ramai orang perseorangan serta badan-badan bukan kerajaan bagi membincangkan dan menambahbaik pelan ini perlu dilakukan agar cakupannya menjadi lebih meluas.
Seni & Cabaran Naratif Dominan
Gambar: Brotherpeacemaker.wordpress.com[/caption]
Seni, Kerohanian & Kebebasan Berekspresi
3 Disember adalah hari di mana para seniman/seniwati terpilih berkumpul untuk menyertai projek pameran seni.
Hasil kerjasama antara Projek Dialog dan Article 19 ini menyediakan landasan asas kepada para seniman/seniwati untuk menghasilkan karya-karya seni yang berteraskan fahaman mereka terhadap makna kerohanian.
Oleh itu mereka bakal melalui program-program yang telah ditetapkan oleh Projek Dialog dan Article 19, iaitu melawat, memahami dan menghidupi suasana ritual-ritual agama yang wujud di negeri Kelantan Darul Naim.
Projek ini berlangsung dengan hasil kerjasama Article 19, sebuah organisasi hak asasi manusia yang ditubuhkan pada 1987.
Article 19 ditubuhkan untuk menyumbang tenaga, dana dan usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kebebasan memberi pendapat dan berekspresi tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak.
Nama organisasi Article 19 diambil daripada Perkara 19 di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat:
“Setiap orang berhak untuk bebas berpendapat dan mengeluarkan fikiran.
Hak ini termasuklah kebebasan berpendirian tanpa gangguan dan mampu menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.”
Program pengenalan organisasi Article 19 dihadiri oleh seniman/seniwati, kurator, editor Projek Dialog, perwakilan Article 19 dan juga beberapa individu yang menyumbangkan pengalaman mengenai keadaan di negeri Kelantan.
[caption id="attachment_5365" align="aligncenter" width="450"]
Gambar: Clarespark.com[/caption]
Pelan Tindakan Rabat
Pada bahagian awal, pihak Article 19 iaitu Judy Taing dan Andrew Smith menerangkan sedikit sebanyak tanggungjawab pihak mereka di dalam menegakkan hak kebebasan pendapat dan fikiran.
Mereka memperkenalkan Pelan Tindakan Rabat, bagi menghalang kebencian berbentuk kenegaraan, keagamaan dan perkauman yang bakal mencetus keganasan, diskriminasi dan juga permusuhan.
Rencana tindakan ini dihasilkan di Rabat, Morocco pada 5 Oktober 2012.
Ia merupakan kesimpulan dan saranan berdasarkan bengkel-bengkel tentang isu-isu yang telah dinyatakan di atas.
Bengkel-bengkel tersebut telah diadakan di rantau Eropah (Vienna pada 9 dan 10 Februari 2011), di Afrika (Nairobi pada 6 dan 7 April 2011), di Asia Pasifik (Bangkok, 6 dan 7 Julai 2011) dan juga di benua Amerika (Santiago de Chile, 12 dan 13 Oktober 2011).
Tugas mengelak kebencian ini dipertanggungjawabkan kepada kolektif pegawai-pegawai am, para pemimpin agama dan komuniti, media dan para individu.
Ia menekankan keperluan untuk memupuk kesedaran sosial, toleransi, hormat-menghormati, dan dialog antara budaya.
Kerangka Projek Kesenian
Oleh itu, menggunakan landasan ini, projek yang bakal dilaksanakan ini akan menghasilkan beberapa karya dengan harapan ia boleh diterima dengan hati yang terbuka.
Disebabkan projek ini berteraskan isu-isu agama dan hubungan sesama penduduk yang berlainan agama/fahaman hidup, penggerak projek ini merasakan bahawa landasan antarabangsa merupakan sesuatu yang perlu.
Mungkin sahaja mereka melihatnya sebagai salah satu cara agar sudut pandangan yang lain mampu menjangkaui batas negara dan hadir di rantau antarabangsa untuk didengari oleh semua anak bangsa.
Setelah selesai pembentangan mengenai tujuan dan pengenalan Article 19, mesyuarat beralih fokus kepada projek tersebut. Antara persoalan-persoalan yang timbul adalah isu negeri dan justifikasi pemilihan negeri Kelantan.
Apakah sebab utama negeri ini dipilih sebagai keutamaan?
Selain daripada stereotaip kasar mengenai semangat kenegerian Kelantan dan juga laporan media terhadap dominasi wacana politik PAS, wujudkah sebab-sebab yang lain?
Ataupun sebenarnya pilihan ini merupakan hal yang kedua? Apakah keunikan rumah-rumah agama di kawasan tersebut jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain?
Baiklah, jika andaiannya adalah bahawa dominasi wacana PAS dan stereotaip kasar ini sering membelenggu tanggapan masyarakat terhadap negeri Kelantan, apakah tanggungjawab utama seniman/seniwati yang dipilih untuk menjayakan projek ini?
[caption id="attachment_5372" align="aligncenter" width="470"]
Gambar: Come2Kelantan.my[/caption]
Seni – Sarana Bagi Menjangkaui Naratif Dominan
Jika karya-karya tersebut akan dihasilkan melalui fahaman kerohanian yang bakal diperolehi dari projek ini, apakah faktor-faktor yang harus diambil kira?
Pertama, faktor wacana dominan yang telah ada. Dalam konteks projek ini, yang harus difahami secara menyeluruh adalah naratif parti politik PAS.
Seharusnya difahami juga bagaimana naratif politik dominan ini mempengaruhi hubungan keagamaan di sesuatu tempat, sama ada ia membentuk suatu ketegangan yang semakin menebal ataupun sebaliknya.
Faktor kedua adalah keadaan sebenar yang berlangsung di negeri tersebut. Kerana seperti mana yang kita semua tahu, media hanyalah sebagai pengantara yang melaporkan berita dari sudut pandang seseorang.
Realiti sesuatu tempat adalah sesuatu yang benar-benar rumit dan tidak mungkin mana-mana media ataupun medium mampu mewakilinya secara menyeluruh.
Langsung perbandingan di antara kedua faktor ini adalah sesuatu yang penting dan harus diambil kira.
Faktor yang pertama adalah sesuatu yang dibina melalui konsensus ataupun persetujuan sesuatu kelompok, manakala faktor yang kedua merupakan sesuatu yang dinamik dan tidak langsung dapat dimuatkan melalui mana-mana kategori.
Bagi sebuah negeri yang naratifnya didominasi satu agama, wujudkah percanggahan yang jelas di antara kedua-dua faktor tersebut?
Adakah naratif politik yang ada ini langsung tidak memberi ruang secukupnya untuk agama-agama lain terus hidup dan menyebarkan wacananya?
[caption id="attachment_5373" align="aligncenter" width="458"]
Gambar: Thirteen.org[/caption]
Peranan Seni Yang Lebih Meluas
Bagaimanakah seni yang memaknakan atau sebagai cerminan kehidupan manusia, melalui bentuk estetik mampu membentuk suatu sudut pandang yang berlainan?
Ataupun lebih besar lagi, mampukah ia memberi impak dengan menyanggah wacana dominan yang boleh saja dikatakan bercanggah dengan realiti sebenarnya.
Adakah seni yang seringkali dilihat sebagai paparan estetik semata-mata, mampu menganjurkan suatu mesej jelas terhadap hubungan keagamaan di sesuatu tempat?
Di sinilah asas utama bagi para seniman/seniwati yang bakal terlibat dalam projek ini. Tempat permulaan untuk mereka menilai kembali sudut pandang mereka; apa yang harus dicerna dan apa yang harus dinilai semula secara kritikal.
Kerana semestinya, tugas seni adalah untuk mengenal pasti intipati kehidupan. Intipati kehidupan yang barangkali senang sekali terlepas, dipukau oleh kepantasan masa dan kepadatan ruang.
Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa intipati kehidupan adalah sesuatu yang subjektif, tetapi penghasilan karya objektif merupakan saksi kepada realiti yang ada.
Dengan harapan agar setiap tafsiran objektif inilah yang mampu dipersetujui oleh ramai pihak, mewakili sudut pandang yang benar-benar meluas dan mengukuhkan lagi hubungan yang telah lama dibina.
Ia menganjurkan pandangan yang berbeza daripada pemaknaan kehidupan yang kadangkala jumud, reaksioner, dan kaku mengawal realiti mengikut acuan sendiri.
Projek ini bakal memberi ruang kepada mereka untuk membentuk semula tanggapan umum yang telah ada terhadap negeri Kelantan.
Mereka menggalas tanggungjawab besar – iaitu untuk memahami keadaan sebenar kehidupan beragama di negeri yang didominasi oleh wacana satu agama.
Harus diingatkan bahawa ini tidak langsung membawa erti provokasi ataupun pelanggaran tatanan moral yang sedia ada.
Barangkali dengan permulaan di negeri pantai timur ini, percubaan bagi para seniman untuk menilai dan memberi sudut pandang segar terhadap hubungan beragama mampu sedikit sebanyak membuka banyak lagi ruang untuk menghidupkan semula imaginasi yang ada terhadap sesuatu kawasan.
Pelan Tindakan Rabat & Ungkapan Kebencian
Gambar: Socialnomics.net[/caption]
Kebebasan Bersuara, Ungkapan Kebencian & Penyalahgunaan Undang-undang
Dalam era serba moden ini, kita tidak terlepas daripada mengungkapkan segala sesuatu terutama di laman media sosial. Kebebasan bersuara dan berekspresi ini dilihat seolah-olah tidak mempunyai sempadan.
Manusia tidak kisah apa jua latar belakang bebas bersuara tentang pelbagai perkara sama ada komen terhadap berita media, menyebarkan dakyah ideologi, menjaja kisah hidup peribadi atau meraikan keluarga dan rakan-rakan.
Ada juga yang berjenaka, menyebarkan imej-imej serta video berunsur nasihat mahupun “menyerang” apa-apa yang dilihat tidak enak atau tidak selari dengan pendapat peribadi individu yang terasa.
Tidak kurang hebatnya dalam era demokrasi ini, rakyat Malaysia sejak tahun 1998 dilihat semakin berani bersuara melalui demonstrasi dengan mempertahankan ideologi politik dan agama, membantah penindasan hak-hak tertentu dan melakukan tuntutan bagi sesuatu tujuan.
Meskipun demikian, kebebasan bersuara mahupun berekpresi ini juga boleh disalahgunakan untuk menyebarkan kebencian.
Di Malaysia, undang-undang yang boleh digunakan untuk mencegah ungkapan kebencian amat terhad seperti Seksyen 298 dan 298A dalam Kanun Keseksaan.
Malangnya, penguasaan undang-undang masih dilihat meragukan meskipun kerajaan meminda akta seperti Akta Hasutan 1948.
Tambahan pula, ada akta baru yang diperkenalkan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang dikenali sebagai SOSMA dan terkini Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA).
Rakyat dapat menilai sendiri bagaimana akta tersebut diguna pakai.
Ia bukanlah untuk membela suara minoriti mahupun mengekang kebencian tetapi lebih kepada memelihara kepentingan pemerintah dengan menghalang suara-suara sumbang yang mengkritik kerajaan.
[caption id="attachment_5365" align="aligncenter" width="450"]
Gambar: Clarespark.com[/caption]
Apa itu Pelan Tindakan Rabat?[1]
Pelan Tindakan Rabat merupakan dokumen praktikal bagi membendung kebencian dalam bersuara.
Beberapa siri bengkel telah diadakan di pelbagai negara oleh Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Hak Asasi Manusia (OHCHR) bagi mendapatkan penilaian menyeluruh dari pakar-pakar dalam hal ini.
Ia merangkumi pelaksanaan undang-undang dan dasar yang berkait dengan advokasi terhadap kebencian nasional, kaum atau agama yang membawa diskriminasi, permusuhan dan keganasan di peringkat nasional dan serantau.
Sudah tentu ia berusaha untuk mengekang ungkapan kebencian yang melampau, tanpa menjejaskan kebebasan berekspresi sebagaimana yang dilindungi oleh undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Siri bengkel ini berakhir di Rabat, Maghribi pada 4 dan 5 Oktober 2012 bagi menghasilkan analisa perbandingan bagi dapatan setiap bengkel sebelumnya.
Hasilnya, bengkel tersebut mengenal pasti tindakan bagi setiap peringkat dan untuk merangka langkah terbaik serta alat bagi perkongsian pengalaman.
Ringkasnya, kunci utama pelan tersebut adalah untuk menghalang sebarang hasutan kebencian secara tanggungjawab bersama daripada kakitangan kerajaan, pemimpin agama mahupun komuniti, media dan individu.
Justeru, adanya keperluan untuk memupuk kesedaran sosial, tolak ansur, hormat-menghormati dan dialog antara agama/budaya.
[caption id="attachment_5366" align="aligncenter" width="559"]
Gambar: Hma-rekan.com[/caption]
Ungkapan Kebencian yang Menjadi Jenayah
Dalam hal ini, Pelan Tindakan Rabat mencadangkan ujian penentuan enam bahagian untuk ekspresi/ungkapan yang dianggap sebagai kesalahan jenayah:
- Konteks – konteks adalah amat penting apabila menilai jika kenyataan tertentu mungkin dilihat sebagai hasutan ke arah diskriminasi, permusuhan atau keganasan terhadap kumpulan sasar;
- Pembicara – kedudukan atau status pembicara dalam masyarakat perlu dipertimbangkan, terutama kedudukan individu dalam konteks khalayak yang ditujukan ungkapan tersebut;
- Niat – Artikel 20 Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) mensyaratkan niat jenayah sebagai penentu. Ia termasuklah “sokongan” atau “hasutan” dan bukannya pengagihan atau pengedaran bahan semata-mata;
- Kandungan dan bentuk – Kandungan ungkapan itu perlu menjadi tumpuan penentuan, pada tahap mana ia provokatif dan juga bentuk, gaya dan jenis hujahnya;
- Takat pengungkapan – Sejauh mana capaian ungkapannya, sama ada ia umum atau peribadi, saiz khalayak, kemampuan penyebarannya dan sama ada khalayak berupaya untuk bertindak atas hasutan itu;
- Kemungkinan, termasuk kesegeraan – Mahkamah perlu membuat keputusan sama ada terdapat kemungkinan munasabah bahawa ungkapan tersebut mampu menghasut tindakan sebenar terhadap kumpulan sasaran.
Gambar: Steve Morrish.com[/caption]
Menilai Kemungkinan yang Ada
Memang tidak dapat dinafikan faktor agama itu sendiri boleh dijadikan alat bagi menyebarkan kebencian. Teks kitab suci dalam setiap agama juga mengandungi ayat-ayat sukar yang boleh mengguris sensitiviti antara agama.
Di sinilah pemimpin agama perlu memainkan peranan penting mereka agar tidak menanamkan kebencian terhadap sesuatu kelompok yang berlainan dengan mereka.
Jelas, keterbukaan untuk menerima perbezaan dan meraikan kepelbagaian memerlukan dialog yang berterusan.
Bersama Projek Dialog menerusi bengkel kebebasan bersuara yang dianjurkan, saya pernah menulis makalah “Kebebasan Bersuara Dan Toleransi Agama di Malaysia” sebagai renungan.
Salah satu kempen penting yang perlu dididik kepada rakyat Malaysia adalah sikap “setuju untuk berbeza pendapat”, bahawa tiada pendapat yang wajar dipaksakan kepada yang lain jika perbezaan itu tidak dapat diterima.
Pelan Tindakan Rabat ini wajar dilaksanakan dalam perundangan negara bagi mengekang ungkapan kebencian, namun melindungi kebebasan bersuara pada waktu yang sama.
Usaha bagi memberi kesedaran serta pengajaran wajar dipergiat melalui video, risalah, media sosial, dialog antara agama dan dalam kehidupan seharian kita.
Tuntas, ungkapan kebencian tidak wajar dijadikan sebahagian kebebasan bersuara kerana khuatir ia akan menjadi suatu bentuk penzaliman mahupun keganasan.
[1] http://www.ohchr.org/Documents/Issues/Opinion/SeminarRabat/Rabat_draft_outcome.pdf
]]>
KORBAN: Harga sebuah Cinta dan Revolusi
Oleh Lee Slimshady
Senja 19 September aku duduk mengopi di Restoran Yassen Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhati rakan-rakan wilayah cinta sedang melayani dan menyantuni anak-anak jalanan di hadapan Alka Ria.
Tetapi kali ini aku tidak menyertai rakan-rakan yang lain dalam menyebar cinta di jalanan buat anak-anak warga miskin kota.
Mungkin memberi peluang kepada “pecinta – pecinta” lain mencurahkan kasih buat anak-anak jalanan ini. Dalam seketika teringat pula kepada seorang rakan berkepala botak yang menggunakan nama pena Sang Pencinta.
Aku mengenali Sang Pencinta yang berkepala botak ketika sama-sama meneroka ruang demokratik dalam #OccupyDataran tapi sayangnya tidak mengenali secara dekat dan mengapa dia menggelarkan dirinya sebagai Sang Pencinta aku sendiri pun tidak tahu.
Sambil menghirup kopi panas aku memerhati anak-anak kecil ini belajar dan sedikit demi sedikit fikiran ku mula menerawang jauh dalam sejarah cinta umat manusia beribu-ribu tahun lamanya.
Dalam simpanan kotak sejarah yang aku ada, hanya satu nama sahaja yang mengaitkan Cinta dalam catatan sejarah tidak kiralah ia dari kitab suci, manuskrip papyrus mahupun catatan hieroglif purba di Babylon mahupun di Mesir.
Paling tepat sosok inilah yang telah mengorbankan cintanya demi wahyu yang telah dikirim dari langit ke-7 yang terselit mesej rahsia buat seluruh umat manusia.
Justeru aku tidak berniat untuk meminggirkan para atheist dalam coretan populis ini hanya sekadar mahu berkongsi semangat revolusi dan fahaman tentang cinta buat seluruh insan di setiap pelosok jagat raya.
Tidak semestinya pandangan dan pendapat aku ini betul dan janganlah sampai diakui keabsahannya sebelum dicabar dan disiasat kebenarannya.
Kisah Ibrahim Alaihissalam
Oleh itu bagi aku satu-satunya individu pertama yang aku rujuk terlebih dahulu sebelum Paderi Saint Valentinus adalah Nabi Ibrahim alaihis salam.
Kerana ketika Ibrahim meninggalkan bayi comel dan isteri tersayang di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang tak mungkin aku dapat membayangkan perasaan hiba yang lahir dari naluri seorang ayah.
Perasaan yang amat pilu tatkala anak yang dinantikan zuriatnya sendiri setelah bertahun lamanya akhirnya terpaksa ditinggalkan begitu sahaja di bawah panas terik mentari.
Hati ayah mana yang tidak emosi apabila saat-saat manis membelai bayi comel dari darah keturunan sendiri terpaksa dilupakan demi menurut perintah dari langit ke-7.
Andai aku berada di tempat Ibrahim secara jujurnya mustahil aku dapat melaksanakan perintah tersebut kerana naluri kebapaan mencengkam kuat dalam jiwa sebaik menatap bayi comel lebih-lebih lagi zuriatku sendiri.
Sedikit demi sedikit wajah isteri yang tercinta hilang di tengah-tengah padang pasir kontang. Hatinya mula resah, jiwanya mula gelisah dan kini naluri bapanya berkecamuk.
Demi cinta kepada isteri, dan kasihnya kepada bayi Ismail yang comel, ditadah kedua belah tangannya lalu dijulang ke langit lantas mengemis Cinta dari Sang Pencipta menagih simpati buat kasih insani.
Ibrahim sedar hamba hina sepertinya tidak layak mengemis Cinta yang Maha Esa meski sang Jibrail yang setia tanpa sempadan pun belum mampu memiliki kasih Sang Pencipta.
Di kala itu berlari-lari kecillah Siti Hajar mendaki menuruni bukit Marwa dan Safa mengejar bayangan fatamorgana yang disangka lautan tatkala bayi Ismail meraung mendahagakan air sedangkan susu dari tubuhnya telah kering.
Mujur Sang Pencipta itu punya nama yang Maha Mengasihani.
Korban emosi, kasih dan sayang hamba Ibrahim itu dibalas bawah hentakan kudus tumit bayi Ismail a.s lalu terpancurlah kejernihan sumur air ditengah-tengah padang pasir tandus yang menghapuskan segala kedahagaan.
Ternyata Cinta yang Maha Esa adalah Cinta yang Teragung. Tanpa Rasul utusan itu sedar, kasih Maha Pencipta itu mengatasi segala-galanya. Cahaya CintaNya merentasi kebencian, kegelapan dan bisikan kejahatan.
Maka berkumpullah seluruh bangsa jurhum demi berkongsi Cinta dari sebuah telaga hasil kurnia ilahi berkat hentakan kudus dari tumit kaki bayi Ismail.
Kisah Cinta Ibrahim ini bermula dari hanya seketil rasa kasih dan akhirnya terbina sebuah kota di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang.
Cinta Seni & Pemburuan Makna
Lalu diabadikan cinta Ibrahim, Siti Hajar dan bayi Ismail itu dalam bait-bait puitis yang dicoret oleh bapa kesusasteraan Melayu moden Hamzah Fansuri.
[caption id="attachment_5164" align="alignleft" width="351"]
Hamzah Fansuri[/caption]
Malah diadaptasi pula bait-bait puitis itu dalam sebuah lagu gubahan penyanyi dan komposer tersohor M. Nasir bertajuk “Raikan Cinta” yang pernah menduduki carta teratas lagu popular tanah air suatu ketika dahulu.
Aku juga turut mengalunkan bait-bait lirik lagu tersebut sambil memetik gitar milik rakan serumah tanpa menghayati dengan tepat makna dan maksud yang cuba disampaikan dalam lirik lagu berkenaan.
Namun dalam pada masa yang sama aku mula mengesyaki ada maksud mendalam dalam bait-bait puitis ini, jika tidak takkanlah lirik tersebut dipetik dari karya tersohor Bapa Kesusateraan Melayu Moden seperti Hamzah Fansuri.
Bermula dari saat itu aku mula memburu jawapan kepada setiap persoalan.
Secara perlahan-lahan aku mula menyiasat segala naratif yang ada di sekeliling hidup aku dan mencungkil kebenaran serta kesahihan setiap naratif tersebut.
“Nak, jiwamu mula memberontak dan mindamu sedang melalui proses evolusi” kata seorang pakcik tua yang aku temui di perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.
Terkejut dengan perubahan tanpa sedar itu, sebenarnya bukan sahaja dilalui oleh aku seorang malah rakan-rakan lain yang mula melakukan pemburuan terhadap kesahihan naratif.
Cinta, Revolusi & Pengorbanan
Revolusi pada awalnya adalah satu istilah yang amat asing tetapi hebat bagi aku. Setiap kali menyebutnya membuat aku rasa teruja tanpa mengerti lebih mendalam bentuk fiziknya.
Mencari kesempurnaan dan menghapuskan pembodohan juga perlukan cinta untuk membina sebuah masyarakat yang progresif. Namun tanpa revolusi sebagai kaedahnya, maka cinta itu hanyalah sia-sia.
Cinta kepada perubahan dan kebebasan untuk membina dunia baru, tanpa menggerakan perubahan itu secara drastik maka kekallah cinta itu sekadar ilusi maya.
Sebab itu ia bukanlah hanya kisah lagenda antara Romeo dan Juliet atau kisah cinta tragik antara Uda dan Dara, maka secara fiziknya ia menuntut suatu pengorbanan.
Lantas ia menjadi satu perkara yang menghantui minda para reformis.
Banyak antara kita cukup petah dan lantang bila memperkatakan tentang perubahan, tetapi apabila diajukan persoalan tentang pengorbanan maka ramai yang mula memberi alasan untuk melarikan diri.
Penyair terkenal W.S Rendra pernah mengungkapkan;
“Andai takut pada risiko usah bicara pasal perjuangan”
Maka risiko itu adalah pengorbanan yang akan dituntut dalam suatu gerakan perubahan. Kerana itu seringkali para revolusioner mengibarkan warna merah sebagai tanda menjadi korban dalam kebangkitan.
Pengorbanan Helah & Pengorbanan Sebenar
Tapi usah disamakan warna merah ini dengan himpunan baju merah tempoh hari kerana bagi aku himpunan itu bukan satu kebangkitan tetapi sekadar mengampu pemerintah.
Janganlah juga disamakan dengan demonstrasi depan Masjid Ubudiah dan Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar ketika rampasan kuasa negeri Perak melalui pintu belakang istana suatu masa dahulu.
Ramai telah ditangkap manakala pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah di rumah Menteri Besar dan diceritakan betapa mereka yang ditangkap ini adalah wira rakyat dan kutipan derma dibuat untuk wira-wira ini.
Diumumkan malam itu jumlah kutipan derma untuk menjamin semua para tahanan adalah sebanyak RM13 ribu. Tapi sampai hari ini duit tu tak sampai ke tangan para tahanan sebagai wang jaminan.
Kasihan buat rakan-rakan yang telah dijadikan sebagai mangsa ihsan orang ramai untuk mengaut keuntungan maka berhati-hati agar tidak dijadikan alat kepentingan politik orang lain untuk mengaut keuntungan.
Tidak ada makna pengorbanan malah jauh sekali maksud perubahan di situ kerana keseluruhan ia sekadar helah ahli politik untuk mengekalkan kekuasaan dan mengaut keuntungan atas kesengsaraan orang lain.
Sebab itu dalam sejarah kita lihat sendiri dalam merealisasikan cinta maka banyak jiwa yang telah terkorban. Secara psikologinya ia bukanlah satu perkara yang kita ingini namun itulah realiti yang perlu dihadapi.
Justeru bergerak dari kebangkitan revolusi maka korban adalah perkara subjektif bagi para revolusioner.
Maka tidak hairan jika kita lihat pendukung perjuangan radikal progresif seperti Ahmad Boestamam meletakan slogan “merdeka dengan darah” sebagai konsep perjuangan Angkatan Pemuda Insaf (API).
Maka akan datang suara-suara sumbang memperlekehkan dasar perjuangan tersebut lantas mengaitkannya sebagai satu perkara yang ditegah oleh agama.
Larangan Agamawan & Revolusi Murni
Lalu ujian untuk menulenkan lagi cinta Ibrahim tidak terhenti di situ sahaja kerana perjalanan dan proses baru sahaja bergerak pada fasa pertama. Mesej Tuhan belum lagi jelas untuk diungkapkan meskipun dalam kiasan.
Maka Ibrahim a.s diseru sekali lagi untuk membuktikan kesetiaan kepada Maha Pencipta yang mana ia menuntut satu lagi pengorbanan yang amat besar dalam hidupnya.
Kali ini zuriatnya diperintahkan agar disembelih sebagai korban. Buat kali kedua nalurinya sebagai seorang bapa diuji sepenuhnya.
Tatkala perintah dari langit ke-7 mahu dilaksanakan maka muncul suara-suara sumbang Sang Azazel (Iblis) yang telah dilaknat lantas mengaitkan perintah itu dengan percanggahan dalam ajaran agama.
Maka mempersetankan suara-suara kurang siuman yang mengaitkan suatu usaha murni itu dengan percanggahan dalam ajaran agama bukanlah suatu yang janggal kerana Siti Hajar sendiri melakukan dengan jayanya.
Malah Ibrahim a.s sendiri merejam suara-suara “sial” itu dengan batu sehingga ia kekal ke hari ini sebagai ritual ibadah haji yang wajib dijalani setiap muslim yang mengerjakan haji.
Tetapi malangnya ritual ini gagal dimaknai dalam realiti kehidupan sebenar.
Sebab itu sering aku persoalkan dalam menggerakkan perubahan mengapa harus mempedulikan suara-suara sumbang yang mengaitkan segala usaha murni dalam membuat perubahan dengan penegahan dalam agama.
Sebab itu ketika aku menyoal seorang rakan yang mahu menyertai demonstrasi #Bersih4 tentang kenyataan seorang agamawan yang mengatakan bahawa himpunan itu haram di sisi agama maka jawabnya;
“Kalau semuanya salah di sisi agama macam tu tak payahlah Nabi Ibrahim nak turut perintah Tuhan untuk sembelih Nabi Ismail ”
“Kenapa pula? ” Soalku yang inginkan kepastian.
“Sebab kata Iblis apa yang dilakukan oleh Ibrahim a.s tidak pernah diajar oleh mana-mana agama di dunia ini ” Jelas sahabatku dengan jawapan yang mampu buat aku tersenyum.
Penjelasan yang dibuat sahabatku ini menunjukan andai usaha untuk membersihkan kekotoran itu ditegah kononnya atas nama agama maka haram untuk kita untuk menuruti larangan tersebut.
Maka Tuhan pada awalnya telah mensyari’atkan keatas kita untuk mempersetankan apa sahaja larangan agamawan keatas usaha yang murni dan bersih.
Justeru Imam Al-Ghazali telah mengingatkan dalam Ihya Ulumudin bahawa setiap agamawan yang menjejakkan kakinya ke dalam istana maka akan hilanglah cahayanya.
Maka setiap kebangkitan revolusi itu tidak terlepas dari asosiasi pembohongan agama kerana para agamawan itu telah di rantai lehernya oleh kuasa-kuasa politik kecuali mereka yang cekal untuk bangkit menentangnya.
Pengorbanan Untuk Menegakkan Keadilan
Maka bangkit perlawanan untuk menegakan keadilan, kebebasan dan menuntut hak. Paling penting sekali adalah membina sebuah ketamadunan yang bebas dari parasit pembodohan.
Sudah pasti ia pertarungan yang amat sengit yang akan mengorbankan banyak jiwa. Banyak lulusan agama tempatan enggan mengakui keabsahan naratif ini sebab motif pengorbanan Ibrahim a.s gagal difahami dengan jelas.
Bagi aku ia tidak pelik kerana sang Jibrail juga mempertikaikan hal yang sama khususnya tentang pergorbanan dan pertumpahan darah.
Namun begitu apabila aku meneliti babak akhir kisah korban Ibrahim dan Ismail maka pasti ramai yang akan mendakwa berlaku satu keajaiban.
Di saat yang sepatutnya Ismail a.s dikorbankan, diturunkan seekor kibas lantas Ismail bukanlah korban yang sebenar kerana bagi aku itu bukan satu keajaiban tetapi anugerah.
Lantas di sebalik korban itu maka Tuhan mengajarkan hamba bahawa di dalam hidup ini korban adalah suatu perkara yang subjektif dalam menggembleng sebuah perjuangan.
Tertumpahnya darah merah itu ke bumi demi menuntut sebuah keadilan dan perubahan, biarpun ia perit untuk diterima. Sesetengah bangsa di dunia melihat pengorbanan itu satu kemuliaan.
Ia seperti ibarat membelah dan mengupas sebiji durian yang memiliki kulit berduri tajam. Sudah pasti duri-duri itu melukai tangan yang mengupasnya.
Tetapi andai kulitnya yang berduri tajam berjaya dikupas maka akan kita menikmati betapa lembut dan manisnya isi durian tersebut.
Penghayatan Maksud Korban Yang Hilang
Maka sebelum kemanisan itu dikecapi ia harus melalui proses yang amat perit. Paling pasti ia menuntut nilai korban yang besar sebagai sebuah ganjaran yang harus dibayar untuk sebuah kejayaan.
Maka korban itu perlu untuk meraih kejayaan dalam suatu kebangkitan atau perjuangan. Tanpa pengorbanan takkan ada apa-apa kejayaaan.
Korban adalah harga sebuah revolusi. Korban menjadi pertukaran penting untuk sebuah perubahan dalam hidup.
Apa yang aku kesalkan ialah ibadah korban ini hanya sekadar syarat ritual sebagai muslim setiap kali tiba Aidil Adha tanpa setiap dari kita mengerti dan mempraktikkan maksud korban dalam revolusi hidup sebenar.
Maka mesej Tuhan dalam kisah pengorbanan Ibrahim dan Ismail gagal diterjemahkan dalam hidup manusia
Setiap kali itu juga aku sering teringat kata-kata Sam Witwicky (lakonan Shia Saide LaBeouf) dalam filem Transformers mengungkapkan slogan moyangnya Kapten Archibald Witwicky iaitu;
“No Sacrifice, No Victory” (Tiada kejayaan tanpa pengorbanan)
Salam Aidil Adha buat semua, aku menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf zahir dan batin.
*Lee SlimShady adalah bekas aktivis #OccupyDataran yang beriman kepada perjuangan radikal progresif jalanraya.
Projek Dialog di Freedom Film Fest – Filem Apa?
Dialog Melalui Haluan Media Popular
Secara umumnya media popular dilihat sebagai sarana penyebaran maklumat kepada seluruh massa. Ia juga dapat digunakan sebagai landasan kepada beberapa pihak untuk menganalisa sesuatu masalah.
Ia dengan penuh harapan merasakan bahawa medium tersebut mampu mempertingkatkan kesedaran kepada orang awam.
Permasalahan yang diutarakan itu semestinya harus berputar fenomena yang berkait rapat dengan konteks tempatan dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan kita secara tidak sedar.
Menurut pendapat saya, inilah yang jarang benar dilakukan oleh kita semua.
Kalau bukan para akademik ataupun para pemikir yang melaksanakan usaha seperti ini, tidak selalunya timbul inisiatif untuk mengutarakan sesuatu masalah dengan analisis yang jelas tentang apa yang berlaku pada zaman ini.
Projek Dialog selaku landasan yang menganjurkan dialog sesama rakyat turut berusaha untuk melakukan inisiatif penyebaran maklumat menggunakan media popular.
Projek Dialog untuk tahun ini turut terlibat menghasilkan dua karya yang bakal ditayangkan di Freedom Film Fest di PJ Live Arts Centre, Jaya One.
Freedom Film Fest merupakan festival filem terulung di Malaysia yang menggunakan teknologi media sebagai salah satu sarana untuk menekankan aspek demokrasi dan menyarankan penggunaannya di kalangan para aktivis.
Gabungan antara visual, tekstual, dan juga bunyi lebih memberikan impak yang besar, diikuti dengan perbincangan yang memberangsangkan mengenai setiap masalah yang dipaparkan.
Filem yang ditayangkan pula merupakan dokumentari yang jarang benar didanai oleh industri perfileman, sedangkan filem-filem inilah yang benar-benar mengutarakan masalah realiti sosial yang dihadapi oleh kita semua.
Dengan ini mari kita memperkenalkan karya dokumentari yang turut dihasilkan oleh pihak Projek Dialog iaitu Viral,Sial! dan juga Dialog dengan Dendi.
“Viral,Sial!” oleh David Buri
Filem ini berdasarkan fenomena beberapa bulan lalu sewaktu BFM Kupas menayangkan satu episod yang bertajuk “Hudud: Isi Periuk Nasi”.
Pada waktu itu pengacara utamanya, Edry Faisal tidak dapat muncul kerana beliau menjadi sukarelawan di Kelantan. Langsung dia digantikan oleh pengacara wanita, Aisyah Tajuddin.
Nah, bermula dari situlah jelas terlihat isu kebebasan menyatakan pendapat ternyata langsung tidak dapat dipraktikkan dengan sihat tanpa digugat ancaman yang kini sudah tiba pada tahap yang membahayakan.
Seluruh Malaysia termasuklah media arus perdana turut memberi liputan mengenai hal ini. Tidak lupa juga kepada pihak-pihak penguasa yang turun padang menyatakan pendapat mereka mengenai video ini.
Jadi apakah persoalan-persoalan yang timbul dari filem dokumentari ini?
Pertama, adakah fenomena kecaman ini disebabkan oleh gender Aisyah Tajuddin dan kelantangan beliau mempersoalkan isu ini menggunakan medium internet?
Harus juga kita ingatkan bahawa keberanian beliau untuk berdiri di hadapan kamera dan menyindir keutamaan ahli politik PAS tentang hudud adalah sesuatu yang jarang kita lihat di negara ini.
Sedangkan para lelaki sendiri tidak berani untuk menyatakan pendapat mereka di khalayak awam, sebaliknya sibuk berbicara di kedai kopi tanpa apa-apa risiko.
Jika difikirkan lagi, adakah sekiranya ia dilakukan oleh seorang lelaki, maka tingkat kecamannya pasti berbeza? Dan sehubungan dengan itu, adakah agama masih lagi dibawah jagaan pimpinan lelaki?
Bilamana seorang perempuan mula mempersoalkannya, segala struktur sosial mulai tergugat dan tidak lagi menunjukkan piawaian ketakwaan yang seharusnya?
Persoalan inilah yang saya rasakan bakal dikupas. Wujudkah suatu analisa yang mampu menerangkan masalah ini dengan jelas?
Adakah ini semuanya bakal berakhir kepada persoalan kuasa untuk menyebarkan wacana ataupun kesedaran yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki?
Dan lebih teruk lagi, bagaimana pula dengan ruang bagi kita semua untuk menyatakan pendapat?
Adakah negara kita semakin lama semakin dihakis kebebasannya untuk bersuara, sebaliknya bakal digantikan suatu sistem autoritarian yang bakal membungkam kesemua suara yang menentang keadaan sistem sedia ada?
Fenomena ini merupakan sesuatu yang harus difikirkan, kerana beliau secara jelas diugut secara tidak adil.
Hanya kerana seorang wanita dari golongan rakyat biasa memberi pendapat, lalu hampir seluruh rakyat negara mengecamnya.
“Dialog dengan Dendi” oleh Badrul Hisham Ismail
“Dia sudah tak betah duduk di bandar. Bandar yang penuh gelisah. Yang tak kenal manusia dan kemanusiaan, hanya kenal urusan.”
Bagi penduduk kota, persoalan mengenai isu kemodenan dan hiruk pikuk kota adalah realiti yang tidak dapat kita nafikan.
Kelelahan kehidupan adalah sesuatu yang sering dipendam, maka bermula dari situ ada yang mulai mencari jalan keluar. Jalan eskapisme yang mampu mengalihkan pandangan kita jauh dari realiti kota di depan mata.
Filem ini adalah karya yang mengutarakan persoalan mengenai alternatif cara hidup yang meraikan kewujudan manusia.
Di mana pilihan manusia itu tidak lagi dibataskan di ruang-ruang kota, sebaliknya jauh ke dalam kawasan pedalaman hutan.
Ini merupakan persoalan eksistensial, mengikut kata-kata orang muda di kala ini.
Jika tiada yang berbalik atau berselindung di sebalik harapan ataupun ilusi, manusia kota secara amnya mulai hilang arah dan tidak lagi mampu menerima hikmah yang ditawarkan oleh citra kemodenan.
Kesinambungan mekanisme kehidupan di sini pastinya pada suatu masa akan melahirkan suatu persoalan.
Mengapa kita masih melangsungkan kehidupan yang nyata bercanggah dengan naluri kita sebagai manusia? Mengapa manusia di sekeliling kita masih lagi melangsungkan kehidupan mereka tanpa keluhan yang ketara?
Filem ini merupakan hasil kerjasama antara Projek Dialog dan juga Rhu Graha.
Ia menceritakan tentang Ehsan, seorang warga kota yang sudah serik dengan kehidupan kota. Beliau bertemu dengan Dendi, seorang Temiar dan membuat keputusan untuk melawatnya di kawasan pedalaman hutan.
Di situ beliau mulai merenung kembali keberadaan dirinya di kota dan di tempat tinggal Dendi, dan bagaimana perbandingannya berjaya memberikan sudut pandang yang baru terhadap kehidupan beliau.
Apakah tidak ada langsung intipati budaya orang asli yang boleh diambil dan dipelajari untuk kita semua?
Orang asli yang melangsungkan kehidupan berdasarkan agama animisme dapat juga dilihat sebagai agama yang memberi keutamaan kepada alam semula jadi dunia ini.
Mereka tidak sesekali merasakan bahawa alam adalah sumber yang seharusnya diguna pakai untuk kepentingan manusia sesuka hati.
Sebaliknya mereka dengan penuh hormat merasakan kehidupan kita secara biologikal turut juga dipengaruhi oleh keberlangsungan kehidupan alam di sekeliling kita.
Melalui filem ini kita ditawarkan dengan sudut pandang yang berlainan. Ia mempersoalkan keutamaan kita terhadap dunia moden yang tidak lagi mampu memberikan ketenangan dalam kegelisahan kehidupan di kota.
Gambaran Keseluruhan
Secara amnya, kedua-dua filem ini memberikan keutamaan kepada dua perkara.
Pertama, ia mempersoalkan ruang kebebasan kita sebagai rakyat biasa untuk menyatakan pendapat tanpa dibungkam oleh pihak berkuasa.
Ia juga mempersoalkan kecaman zalim oleh para pengguna media sosial yang secara jelasnya begitu berani menyatakan sifat binatang yang mungkin pada bila-bila masa sahaja mampu dilepaskan begitu sahaja.
Ini adalah kondisi psikologikal yang masih belum diterokai dengan jelas, dan punca-puncanya juga masih belum dicari jawapannya.
Secara tidak langsung ia membentuk haluan kepada kita semua untuk terus memikirkan nilai-nilai yang sebenarnya mendominasi wacana negara kita.
Adakah kita diselubungi ketakutan yang melampau atau kekuatan yang nyata untuk menjangkaui keadaan kemunduran negara yang membangun?
Kedua, ia mempersoalkan citra kemodenan yang telah dimulakan oleh arus globalisasi dunia Barat.
Adakah kesinambungan zaman industri benar-benar menghasilkan keadaan yang bagus? Atau adakah ia benar-benar tempang, hanya memberi keutamaan kepada kebolehan dan pengumpulan nilai material semata-mata?
Memang benar persoalan-persoalan seperti ini boleh sahaja dikatakan sebagai suatu klise jika hanya diselitkan dengan retorik tanpa apa-apa bimbingan.
Tetapi melalui penggunaan medium popular, yang turut memaparkan aspek realiti sosial yang nyata, kita dapat mewujudkan rasa empati yang jelas.
Ini bukti bagaimana impak visual berjaya menyampaikan suatu intipati yang menjangkaui batas syarahan, yang selalu sahaja tidak dapat menembusi benak hati-hati manusia.
Dengan ini Projek Dialog mengharapkan bahawa dialog tidak hanya berlaku di ruang fizikal, perbualan antara beberapa sosok individu, tetapi juga melalui karya-karya filem yang mempamerkan isu-isu penting yang perlu difikirkan oleh kita semua.
Dikarang oleh Johan Zolhaidi