Jangan lupa ikatan kemanusiaan kita
Pertama sekali, buat rakyat Malaysia keseluruhannya. Ingatlah bahawa pada dasarnya, kita semua bersaudara. Ikatan inilah yang membuatkan kita anak warga Malaysia.
Tidak kiralah sama ada kita berbeza rupa, warna, fahaman agama, mahupun ideologi kehidupan sekalipun, akhirnya perasaan sayang terhadap negara ini dan rakyatnya yang menakrifkan kita sebagai anak jati Malaysia.
Dan ianya tidaklah lebih jelas daripada usaha semua anak Malaysia, dari pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan umur yang tampil berganding bahu untuk menolong mangsa-mangsa banjir baru-baru ini.
Pasti ramai yang menyaksikan sendiri tubuh-tubuh yang mengerahkan diri tanpa dipaksa, demi belas ihsan terhadap manusiawi dan juga haiwan. Lihat sahaja betapa rencamnya mereka. Kesepaduan dalam kepelbagaian inilah yang membuatkan Malaysia indah.
Usah lagi persoalkan persaudaraan kita. Sudah terang lagi nyata, apabila tiba saatnya yang memerlukan, tangan-tangan beraneka warna inilah yang akan menghulurkan bantuan.
Kebanyakan daripada mereka langsung tidak mengharapkan supaya mereka dikenali, mahupun ganjaran atau balasan.
Di saat ini, segala perbezaan adalah enteng – diketepikan dahulu. Nyawa lebih penting daripada persoalan Muslim Sunni-Syiah, Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, lesbian, gay, transgender, konservatif, liberal, ekstremis, imam yang menyokong Hudud, penari dangdut, pekerja asing, pelarian, politik – semuanya wajib diselamatkan dahulu. Anjing dan babi hutan sekalipun.
Inilah kemanusiaan, kebaikan yang merentasi segala perbezaan agama dan identiti diri.
Majoriti perlukan minoriti
Buat rakyat Malaysia yang menganggap diri mereka majoriti di tanah air ini, ketahuilah bahawa anda amat memerlukan warga-warga lain dalam mengharungi cabaran ini dan yang akan datang.
Hakikatnya ialah majoriti ini hanya mencecah 50%, dan jauh lagi untuk mengejar status ekonomi 50% masyarakat majmuk yang lain.
Bayangkan jika 50% atau lebih daripada pertolongan ini hilang. Atau bayangkan jika mereka tidak pernah wujud, betapa ruginya kebudayaan Malaysia yang telahpun bercampur dan meresap ke dalam kehidupan sehari-harian sehingga mungkin kita sendiri tidak sedar ataupun lupa (roti canai, kain pelikat – semua ini asalnya dari luar Nusantara).
Maka hargailah warga-warga yang dianggap minoriti ini. Jangan sesekali mudah terpacul kata-kata yang menghambat pertalian persaudaraan ini. Sebaliknya, cubalah mengenali sesama sendiri.
Usah segan bertanya, asalkan santun. Pelajari mana yang baik untuk memajukan diri. Akhirnya rezeki masing-masing hasil usaha, dan bukan dari sikap ketuanan ataupun hak.
Tanamkan azam menjelang tahun baru ini untuk berusaha lebih dan memperbaiki diri. Perjuangkan keadilan dan hak bersama.
Pelihara hak dan martabat warga minoriti
Untuk golongan minoriti, khususnya yang terpinggir. Harapan kami ialah supaya anda dapat hidup dengan martabat kemanusiaan yang setara dengan warga Malaysia yang lain.
Prejudis dan kebencian berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan persefahaman.
Maka teruskanlah usaha anda dalam membina kesedaran, teguhkan hati dan bersabar, kerana ianya mengambil masa. Jangan mudah berputus-asa dengan warga Malaysia. Anda mempunyai hak untuk hidup, dan tidak harus memencilkan diri.
Bagi golongan moderat. Walaupun ada kalanya diam itu lebih bermaruah, dan tindakan adalah lebih bermakna, namun ianya tanggungjawab anda untuk bersuara jika berlaku ketidakadilan.
Perubahan hanya akan berlaku apabila suara rakyat cukup untuk memperbetulkan keadaan atau menuntut sesuatu yang lebih baik. Anda berhak untuk bersuara, dan keberanian perlu untuk menegakkan kebenaran.
Bak kata Edmund Burke, “Kejahatan akan menang hanya apabila manusia-manusia baik berdiam diri.”
Berteguhlah rakyat Malaysia!
Maka berteguhlah rakyat Malaysia. Yang pasti, kita sendiri perlu lebih bertanggungjawab dalam membentuk negara ini. Untuk mendorong rakyat dan pemimpin kita supaya lebih cakna perihal-perihal penting, kita sendiri perlu beralih dari isu-isu remeh dan menumpukan perbincangan di sana.
Pastinya satu iktibar besar kebelakangan ini ialah kepentingan untuk memelihara alam. Apa yang boleh kita lakukan secara persendirian?
Ya, sudah wujud NGO-NGO yang menangani isu-isu ini. Yang perlu hanyalah usaha dari kita untuk menyokongnya. Sampai bila kita mahu menuding jari? Penyelesaian terletak di tangan kita. “Jadilah perubahan yang ingin kamu lihat,” kata Gandhi.
Mungkin eloklah tahun 2014 ini menutup tirainya.
Terlalu banyak perit jerih dan pengajaran yang sukar untuk kita. Moga di ambang tahun baru ini membawa satu nafas baru, harapan baru. Maju dan maju ke hadapan, selangkah demi selangkah anak Malaysia!
Pengalaman minoriti dalam isu Interlok
Apa sebenarnya yang berlaku dalam pertemuan?
Untuk makluman, saya pernah menyiarkan petikan catatan mengenai kandungan mesyuarat itu di blog saya pada 18 Mac 2011. Kemudian, dalam sesi pertemuan semula dengan Muhyiddin pada 23 Mac 2011, Dr Lim Swee Tin tampil mengatakan bahawa kandungan catatan di blog itu adalah palsu, tidak benar dan fitnah. Muhyiddin tidak melayan kata-katanya.
Pada 16 Mac 2011, Lim Swee Tin menggantikan tempat Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin (yang berada di luar negara) untuk membentangkan perakuan panel bebas kepada Muhyiddin.
Timbalan Perdana Menteri melahirkan rasa gembira kerana panel bebas secara konsensus (sebulat suara) bersetuju meminda frasa “kasta Paria” yang menjadi isu pokok. Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa isu Interlok edisi murid belum selesai kerana masyarakat India khasnya sedang menunggu hasil daripada panel bebas.
[caption id="attachment_4237" align="alignleft" width="300"] Novel Interlok Edisi Murid menimbulkan kontroversi
apabila dijadikan teks Komsas.[/caption]
Turut diakui oleh Muhyiddin bahawa ini adalah teks sekolah dan boleh dipinda dan disesuaikan. Bagaimanapun, hanya perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India akan dipinda kerana kaum Melayu dan Cina “tidak bangkitkan isu”.
Berdasarkan resolusi yang diperakukan panel bebas secara konsensus, isu “kasta Paria” sudah berjaya diselesaikan. Beberapa saranan sudah dikemukakan berhubung isu kaum India dan Muhyiddin mahu menyelesaikan isu terbabit secara menyeluruh supaya tidak ada isu berulang selepas ini.
Muhyiddin berkata, beliau sudah membaca semua cadangan dalam senarai yang diperakukan panel bebas; dan didapati bukan hanya berkaitan perasaan (sensitiviti) kaum India, tetapi juga soal bahasa dan kesalahan fakta.
Kalau boleh, Menteri Pendidikan meminta panel bebas melihat semula cadangan-cadangan oleh anggota panel kaum India kerana beliau “tak nak debat berpanjangan”.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) waktu itu, Datuk Termuzi Abd Aziz mencadangkan supaya perhatian pindaan ditumpu pada “paria” sahaja serta meminta konsensus panel bebas “ubah itu sahaja” dengan alasan “kerana itu yang timbulkan masalah besar”.
Rajendran menegaskan bahawa pada mesyuarat pertama panel bebas (16 Februari 2011), keputusan sudah diambil bahawa perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum perlu dipinda bagi mencari “jalan penyelesaian kepada kemelut”.
Datin Siti Saroja Basri menyatakan bahawa suaminya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) sebenarnya tidak setuju satu perkataan pun ditukar tetapi sedia berkorban dan membenarkan “kasta Paria” dipinda.
Isu sebenar bukan sekadar frasa “kasta Paria”
Munyiddin berkata, panel bebas tidak harus mengungkitkan kesalahan bahasa dalam novel ini kerana semacam mengajar pengarang bagaimana untuk menulis dengan betul.
Termuzi sekali lagi berkata, lebih baik hanya “kasta Paria” dipinda kerana itulah “persoalan pokok”; khususnya selepas wakil kaum India sudah membuktikan bahawa watak Maniam bukan seorang “paria” seperti dinyatakan novel ini.
Rajendran berkata, perkara-perkara menyentuh sensitiviti kaum India perlu juga dibetulkan (dimurnikan) kerana ketiga-tiga wakil kaum India membawa “suara” masyarakat India.
Termuzi berkata, ketiga-tiga wakil kaum India sepatutnya menjelaskan kepada masyarakat India mengapa hanya “kasta Paria” ditukar/dipinda.
Lim Swee Tin berkata, novel Interlok bukan teks sejarah. Katanya, perkara penting yang perlu ditukar adalah “Paria” sahaja, manakala “yang lain jika perlu sahaja”. Beliau juga berharap wakil kaum India “dapat bertolak-ansur dan bertoleransi” dalam hal ini.
Untuk makluman, cadangan pindaan sudah pun dipersetujui secara konsensus sebelum diserahkan kepada Muhyiddin. Akan tetapi, apabila bertemu menteri itu, masing-masing mula seolah-olah merapu dan mengampu.
Sudah mula jelas seakan-akan ketiga-tiga wakil kaum India (nota: bukan wakil MIC) akan dipergunakan untuk merealisasikan agenda tertentu. Minoriti cuba dimanipulasi oleh majoriti. Apakah minoriti akan tunduk?
[caption id="attachment_4239" align="alignleft" width="300"] Kavyan mengkaji pelbagai edisi novel Interlok[/caption]
Saya mengingatkan Muhyiddin bahawa saranan pindaan yang dikemukakan wakil kaum India sudah diperakukan secara konsensus oleh panel ebas pada 4 Mac 2011.
Diingatkan juga bahawa memang sararan itu meliputi aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India.
Novel Interlok: Edisi Murid (nota: bukan edisi asal) dijadikan teks mata pelajaran Bahasa Malaysia, maka aspek bahasa dan tatabahasa perlu dilihat juga. Bagi kesalahan fakta, diberi cadangan pemurnian. Maka, semua perakuan cadangan ini tidak keluar daripada terma rujukan panel bebas.
Menteri Pendidikan berkata, frasa “kasta Paria” memang bersifat menghina tetapi “yang lain-lain saya tak pandang serius”. Saya berkata, apabila berlaku kesalahan fakta, maka kesalahan fakta itu menyentuh sensitiviti kaum India.
Muhyiddin berkata, Pak Lah adalah seorang pengarang dan kita (panel bebas) tidak boleh membetulkan seorang pengarang. Ringkasnya, kata beliau, “tak ada lain yang bersifat menghina”.
Asakan demi asakan terpaksa ditangkis
Lim Swee Tin berkata, panel bebas memperakukan enam resolusi pada 4 Mac 2011 dan diserahkan kepada Menteri Pendidikan, dan “boleh pilih satu yang paling bijak” serta juga “peluang kepada Uthaya untuk menyenaraikan manakah yang benar-benar mengguris hati masyarakat India; dibawa untuk kita (panel bebas) perakukan pembaikan”.
Muhyiddin berkata, hanya khususkan pada perkara yang menyentuh sensitiviti, perasaan dan berbentuk penghinaan serta pilih yang paling penting sahaja. Beliau tidak mahu “resolusi” tapi “keputusan” daripada panel bebas supaya boleh dikemukakan di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011.
Beliau meninggalkan bilik perjumpaan dan Lim Swee Tin mengambil alih tugas pengerusi. Beliau meminta wakil kaum India menyenaraikan hal-hal yang benar-benar menyentuh sensitiviti kaum India; selain memikirkan “sensitiviti Sasterawan Negara”.
Lim Swee Tin berkata, panel bebas akan membuat resolusi tunggal sahaja nanti. Bagi saya, sudah nampak bibit-bibit bahawa beliau yang sebelum ini berani menyarankan 20 halaman novel Interlok: Edisi Murid dibuang begitu sahaja dengan alasan “novel ini terlalu panjang”, kini sudah “berubah” atas alasan tertentu. Beliau seolah-olah sudah mahu bersama-sama majoriti kerana mungkin suara majoriti lebih lantang.
Termuzi berkata, Pak Lah setuju meminda “kasta Paria” sahaja. Rajendran berkata mewakili minoriti bahawa wakil kaum India (minoriti) akan menyenaraikan perkara-perkara yang “benar-benar sensitif dan mesti ditukar”.
Lim Swee Tin berkata, perlu disenaraikan dahulu kerana antara perkara yang disenaraikan sebagai “sensitif” oleh kaum India (minoriti) “mungkin boleh diterima masyarakat umum” (majoriti).
Krishnabahawan berkata, ketiga-tiga wakil kaum India setuju “kasta Paria” dipinda dan pada masa sama, perlu juga dibuat pindaan pada perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India sebagaimana diperakukan pada 4 Mac 2011.
Lim Swee Tin berkata, tidak semestinya pandangan wakil kaum India diterima kerana katanya “kita bincang dulu … terserah pada DBP dan Pak Lah”.
Saya berkata, segala perkara yang terkandung dalam senarai yang dikemukakan wakil kaum India serta sudah diperakukan panel bebas pada 4 Mac 2011 adalah mewakili kaum India; bukan mewakili kami bertiga sahaja.
Saya mengemukakan contoh peribahasa Tamil yang salah di halaman 209. Termuzi berkata, “itu fakta salah. Yang kita hendak sekarang, benda yang sensitif”.
Pengalaman yang memperkasa golongan minoriti
Saya berkata, perkara itu menyentuh sensitiviti kerana perkataan “varataku” tidak wujud. Termuzi terus berkata, “kalau tak wujud dalam Bahasa Tamil, tak sensitiflah”.
Lim Swee Tin berkata, “anggapkan penulis itu (Pak Lah) salah. … Biarkan pengarang itu yang bertanggungjawab kepada kesilapan yang dia buat. … Hukumannya adalah bahawa Pak Lah tak pandai”.
Termuzi dan Lim Swee Tin hampir serentak berkata, “kita tolak sahajalah (cadangan pindaan) yang ini”.
[caption id="attachment_4238" align="alignleft" width="178"]
Tiga wakil kaum India dilantik sebagai panel
oleh Menteri Pendidikan pada Februari 2011.[/caption]
Saya merujuk halaman 211 berkaitan lokasi Malabar di mana “ini menyentuh sensitiviti kerana apa yang dinyatakan di sana sudah salah”. Lim Swee Tin berkata, “itu tak sensitiflah, Uthaya” manakala Termuzi berkata, “salah fakta tak sensitif”.
Lim Swee Tin mula mengecilkan skop dengan berkata, “yang menyentuh sensitiviti dari segi agama”. Manakala perkara-perkara yang dikemukakan wakil kaum India disifatkan sebagai “kesilapan pengarang. … Biarkan zaman menghukum atau pun mengadilinya, bukan kita”.
Termuzi berkata, “memanglah fakta tu salah, tapi tak nampak jadi sensitif”.
Selepas terus diasak, ketiga-tiga wakil kaum India meminta kebenaran untuk keluar dari bilik untuk berbincang. Hasil perbincangan, kami bertiga memutuskan untuk berundur dari panel bebas. Kami berpegang teguh bahawa keputusan yang dipersetujui semua anggota panel bebas secara konsensus adalah apa yang diperakukan pada mesyuarat 4 Mac 2011.
Kami tahu bahawa kalau kami terus berada dalam mesyuarat itu, minoriti akan terus diasak, diperlakukan sesuka hati dan cuba dipergunakan bagi membolehkan kumpulan majoriti mencapai agenda terancang yang diimpikan.
Kemudian, pada 23 Mac 2011, kami bertiga diundang bertemu semula dengan Muhyiddin. Kami menegaskan bahawa kami tidka mahu bermesyuarat lagi kerana sudah keluar daripada panel bebas yang ternyata pincang.
Dalam pertemuan itu – yang anehnya turut dihadiri “majoriti” sebagai penonton – Muhyiddin memberikan jaminan bahawa kesemua saranan pindaan yang dikemukakan wakil kaum India akan dibuat.
Tentulah janji itu tinggal janji kerana hanya 19 pindaan dilakukan dalam versi novel yang dicetak semula oleh DBP dengan persetujuan MIC. Kavyan pula terus menolak pemurnian yang tidak menepati konsep “janji ditepati” tetapi itu kisah yang lain pula.
Apa yang pasti, minoriti perlu berani bersuara walaupun majoriti kelihatan gah dan gagah. Ingatlah bahawa Tuhan sentiasa bersama-sama orang yang benar. Semoga catatan berdasarkan pengalaman saya dalam isu novel Interlok: Edisi Murid menjadi pedoman serta menjawab pelbagai persoalan.
Saksikan kemusnahan Kampung Chetti
Berita tentang kemusnahan Kampung Chetti turut dilaporkan akhbar Tamil.[/caption]
“Kerja-kerja pembinaan di sini bermula sekitar 7.00 pagi dan berjalan sehingga 5.00 petang. Kadang-kadang berlarutan sehingga lewat malam. Hari ini (Ahad) sepatutnya tidak boleh kerja, tetapi mereka masih kerja,” kata Supramania di tengah-tengah bunyi bising jentera di tapak projek semasa kami melakukan tinjauan.
Katakan, kerja-kerja di Lot 93 masih menyebabkan keretakan kecil pada bangunan Kuil Sri Muthu Mariamman yang bersempadan dengan kawasan pembinaan. Aduan sudah dilakukan sejak lebih setahun lalu tetapi tidak ada apa-apa tindakan positif daripada pihak berwajib, termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Seperti dinyatakan dalam makalah “Mengenali minoriti Kampung Chetti” (Projek Dialog, 29 Disember 2013), Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi di Kampung Chetti yang dibina pada 1781 dipercayai kuil Hindu tertua di Kepulauan Melayu (Nusantara).
Tinjauan mendapati beberapa kuil lama yang dibina menggunakan batu kapur (limestone) berdepan masalah besar berikutan projek pembinaan ini. Misalnya, Kuil Sri Anggala Parameswari yang digazetkan sebagai Warisan Negara terletak sekitar 300 meter dari tapak pembinaan; Kuil Sri Kailasanar (sekitar 400 meter) dan Kuil Sri Muthu Mariamman (100 meter).
Kampung Chetti seluas lima ekar sebenarnya sudah digazetkan sebagai perkampungan warisan pada tahun 2002. Menurut peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada, perlu ada buffer zone di sekililing (sempadan) perkampungan warisan ini.
[caption id="attachment_4209" align="alignleft" width="300"]
Supramania mengakui bahawa pihka berkuasa belum membantu menyelamatkan Kampung Chetti.[/caption]
Malangnya, entah bagaimana projek diluluskan dan diteruskan di tapak Lot 93 yang secara terang-terangan melanggar enekmen sedia ada. Pihak berwajib – dalam hal ini, kerajaan pusat dan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) – terang-terangan membiarkan sahaja kezaliman, ketidakadilan, pencabulan, kemusnahan dan kepupusan berlaku.
Apa yang aneh dan menghairankan adalah bahawa wakil BN (termasuk MIC dan Nazri) beriya-iya mahu muncul sebagai wira dalam menggazetkan bagunan Vivekananda Ashram sebagai tapak warisan.
Memang amat menghairankan, mendukacitakan dan menimbulkan seribu pertanyaan kerana pihak yang sama juga menutup mata sedangkan Kampung Chetti semakin terhapus di depan mata!
Pelbagai bahan, makalah dan rujukan didokumentasikan oleh Kavyan di laman www.kampungchetti.blogspot.com sebagai rujukan dan perjuangan menuntut hak penduduk minoriti di Kampung Chetti.
Banjir kilat paras pinggang musnahkan harta pusaka
Supramania mengakui bahawa sejak kunjungan terakhir kami (15 Januari 2014) dan siri makalah di media alternatif, wakil MIC, Umno dan MBMB telah datang melakukan tinjauan di sekitar kawasan ini.
“MBMB datang selepas kami buat aduan. Air dari kawasan pembinaan lari masuk ke dalam parit besar di kampung kami. Tanah yang masuk sekali menyebabkan parit tersumbat. Sebab itu, setiap kali hujan lebat, Kampung Chetti banjir kilat.
“Setiap kali banjir lumpur yang boleh mencapai paras pinggang, penduduk terpaksa mengangkat barang. Pada tahun ini sahaja, sudah lima kali banjir kilat,” ketua kampung itu menceritakan dengan nada sedih kerana beliau sendiri tidak mampu melakukan apa-apa untuk menolak bala yang menimpa.
Kerajaan negeri menghulurkan bantuan RM200 kepada setiap keluarga terjejas untuk menampung kos makanan, tetapi jumlah kerugian yang ditanggung setiap kali banjir tentulah tidak ternilai.
[caption id="attachment_4207" align="alignleft" width="300"]
Kughan (tengah) dan Preevinn mendengar penerangan Supramania.[/caption]
Tambahan pula, setiap rumah di kampung ini adalah bahan bersejarah yang boleh rosak akibat banjir kerana dibina menggunakan kayu. Setiap rumah pula menyimpan barangan lama yang merupakan bahan sejarah yang tidak ternilai. Sayangnya, kerajaan tidak tahu; atau buat-buat tidak tahu.
Semasa berbual-bual dengan Supramania, saya bertanya secara khusus apakah wakil kerajaan negeri, Umno dan MIC yang datang melawat ada menghulurkan sebarang bantuan atau menjanjikan apa-apa.
“Mereka hanya datang, tengok kampung dan kawasan projek (Lot 93), kemudian balik,” katanya tanpa menghuraikan lebih lanjut; mungkin kerana tidak mahu mendedahkan aib dan kelemahan pihak terbabit kepada umum.
Pengerusi MIC Melaka, Mahadevan dalam kenyataannya kepada Bernama (8 Januari 2014) yang turut disiarkan di akhbar Kosmo! (9 Januari 2014) memberi jaminan bahawa parti komponen BN itu akan memastikan Kampung Chetti terus terpelihara sebagai warisan sejarah negara.
Janji-janji manis politikus itu juga dilaporkan di akhbar The Star (10 Januari 2014) dan memberikan gambaran seolah-olah MIC sudah pun tampil membela nasib kaum Chetti. Tetapi sehingga kini, habuk pun tiada.
Undangan terbuka ke majlis perkahwinan “terakhir”
“Datuk Mahadevan ada datang tengok tetapi tidak ada apa-apa yang dilakukan setakat ini. Semangat para penduduk pun sudah semakin luntur. Kami memang tidak puas hati.
“Apa yang pasti, kami tidak akan menyerah kalah. Sasaran kami adalah untuk meminta kerajaan negeri membatalkan projek pembinaan di Lot 93 dengan mengambil kira kedudukan Kampung Chetti sebagai tapak warisan yang diiktiraf Unesco,” Supramania masih optimis.
Sambil mendengar penjelasan dan luahan perasaan beliau, saya memandang ke arah kawasan pembinaan yang kelihatan sudah hampir 50 peratus siap. Apakah mungkin kerajaan pusat dan kerajaan negeri masih mampu melakukan sesuatu untuk membatalkan projek itu?
Buat masa ini, ketua kampung itu berasa lega kerana rancangan pembinaan jalan khas yang menghubungkan bangunan pencakar langit di Lot 93 dan jalan raya utama sudah dibatalkan. Jaminan lisan khabarnya diberikan oleh seseorang berjawatan “setiausaha” di pejabat ketua menteri.
[caption id="attachment_4208" align="alignleft" width="300"]
Pembinaan di Lot 93 terus berjalan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.[/caption]
Apabila ditanya, Supramania mengakui bahawa sebenarnya tiada sebarang jaminan juga dalam hal itu kerana tidak ada apa-apa surat atau dokumen rasmi diberikan berkenaan pembatalan itu.
“Kalau jalan masih dibuat, kami akan bantah sekeras-kerasnya. Kami tak akan kasi masuk. Kalau jalan itu sudah masuk (dibina), kaum Chetti sudah hilang. Ke mana kami boleh pergi? Kalau kami sudah diarah berpindah, Kampung Chetti akan hilang,” katanya.
Dahulu, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, ketua menteri waktu itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberikan jaminan projek dibatalkan. Selepas pilihan raya dan selepas BN menang, janji itu menjadi “janji dicapati”. Rayuan dan aduan penduduk Kampung Chetti tidak dihiraukan ketua menteri baru.
Menurut laporan Malaysia Gazette (2 Januari 2014), “Kampung Chetti dilihat antara agenda utama Idris untuk mengembalikan semula kepercayaan masyarakat India terhadap kepimpinan BN di negeri tersebut.”
Realiti yang pahit untuk ditelan adalah bahawa perkampungan warisan ini akan pupus dalam masa terdekat kerana sikap dan ketamakan yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa pada peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri.
Pada 22 November 2014, bermula jam 7.00 malam, suatu majlis perkahwinan tradisional masyarakat Chetti akan berlangsung di Kuil Sri Muthu Mariamman. Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan serta memeriahkan majlis.
Selain daripada tanda solidariti terhadap perjuangan penduduk Kampung Chetti, orang ramai juga boleh hadir supaya tidak terlepas peluang menyaksikan suatu upacara perkahwinan (terakhir?) penuh tradisi sebelum kerajaan “membunuh” kampung ini.
Kuil Sri Maha Nageswari Amman
Kughan Nadarajah (kanan) turut serta dalam
pertemuan dengan Moorthy Pattan.[/caption]
Kata-kata nenek-moyang itu menunjukkan betapa kuil sebagai rumah ibadat memainkan peranan penting dalam kehidupan orang Hindu, yakni penganut Sanathana Dharma iaitu agama tauhid pertama, terawal dan tertua di dunia.
Pada 14 September 2014, saya dan Kughan Nadarajah berpeluang melawat Kuil Sri Maha Nageswari Amman yang terletak bersebelahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Emerald, Kemuning Utama, Shah Alam.
Kunjungan kami adalah susulan undangan pengerusi Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman, Moorthy Pattan. Beliau yang saya kenali sejak tahun 2004 memang sudah beberapa kali mengajak saya ke kuil baru itu sejak hampir setahun lalu.
Kuil ini pada mulanya dua kuil berasingan yang dikenali dengan nama Kuil Maha Mariamman dan Kuil Nageswari Amman. Kedua-duanya dulu terletak di Ladang Emerald, di tepi Jalan Bukit Kemuning yang menghubungkan Taman Sri Muda, Shah Alam ke Kampung Jawa, Klang.
Semasa saya mewawancara Moorthy dan ibunya, Letchumi lebih sedekad lalu bagi sebuah makalah di majalah Sarina (Ogos 2004), kedua-dua kuil sudah pun diarah berpindah.
“Paramount Property selaku pemaju yang mengambil alih kawasan ini memberikan suku ekar tanah untuk kuil baru. Pemaju juga menghulurkan bantuan dana bagi menampung kos membina bangunan kuil.
“Pihak pemaju itu selalu datang ke kuil untuk bersembahyang dan meminta saya melakukan pooja khas sebelum pembinaan dimulakan di beberapa tapak perumahan di Ladang Emerald yang kini dikenali sebagai Kemuning Utama,” Moorthy menceritakan.
Katanya, pihak pemaju berkenaan juga terlibat melakukan upacara pecah tanah dan penanaman adikal (batu asas) bagi Kuil Sri Maha Nageswari Amman pada 16 September 2011.
Kuil Maha Mariamman sebenarnya berusia lebih seratus tahun dan dipercayai diasaskan oleh kumpulan pekerja ladang kelapa sawit yang mula-mula datang ke Ladang Emerald.
Berhala berusia lebih seratus tahun
Pattan yang merupakan penjaga dan petugas yang melakukan upacara pemujaan di Kuil Maha Mariamman kemudian mengasaskan Kuil Nageswari Amman pada tahun 1970-an berikutan peristiwa terserempak sepasang ular tedung di sisi sebuah busut berhampiran kuil.
[caption id="attachment_4137" align="alignleft" width="300"] Bangunan kuil akan dibiarkan terdedah
kepada hujan dan matahari selama enam bulan
sebelum dicat.[/caption]
Semasa saya mewawancara Letchumi dan Moorthy pada 2004, Ladang Emerald sudah dikosongkan. Rumah-rumah sudah dirobohkan dan para penduduk sudah berpindah ke tempat lain. Apa yang tinggal hanyalah kuil berkenaan serta SJKT Ladang Emerald.
Sewaktu saya dan Kughan melawat bangunan kuil yang masih dalam pembinaan baru-baru ini, kami diberikan taklimat khas oleh Moorthy yang turut membawa kami melawat bahagian atas (bumbung) kuil yang dipanggil gopuram.
“Kedua-dua kuil kecil yang asal sudah dipindahkan ke tapak baru sekitar lima tahun lalu. Projek pembinaan bangunan kuil baru ini pula bermula hampir satu setengah tahun lalu,” kata Moorthy sambil membawa kami melawat setiap penjuru kuil.
Sejumlah sepuluh pekerja pakar dibawa khas dari Tiruchi, Tamil Nadu, India. Mereka bekerja dua belas jam sehari bagi memastikan bangunan kuil ini dibina mengikut rekabentuk yang diinginkan dan juga mengikut jadual yang ditetapkan.
[caption id="attachment_4131" align="alignleft" width="300"] Kerja seni yang cukup halus oleh pakar binaan
yang dibawa khas dari India.[/caption]
Saya dan Kughan kagum melihat kehalusan seni pada setiap tiang, dinding, penjuru dan bumbung bangunan kuil ini. Apabila beberapa foto dipaparkan di Facebook, ramai yang menyukai serta segera berkongsi foto-foto itu dengan penuh kekaguman.
Menurut Moorthy, rekabentuk kuil adalah berdasarkan idea yang beliau sendiri kemukakan. Selama beberapa tahun, beliau melawat lebih 150 kuil yang sedang dalam pembinaan di Tamil Nadu untuk mendapatkan idea terbaik.
Moorthy turut mengadakan perbincangan, rundingan dan perkongsian idea dengan pakar pembinaan kuil di India sebelum membuat rekabentuk kuil ini dengan kerjasama jurutera pakar.
Sebuah kuil pasti sahaja tidak lengkap tanpa berhala. Walaupun kuil baru yang amat cantik dan rekabentuknya mengagumkan sedang dalam proses pembinaan, berhala utama yang akan ditempatkan di ruang utama (mulastanam) tetap berhala lama.
“Berhala Ambal (Amman) ditempatkan di kuil asal sejak lebih seratus tahun dahulu. Mendiang bapa mewariskan kuil ini kepada saya. Berhala yang sama akan ditempatkan di mulastanam nanti.
“Buat masa ini, berhala Ambal ditempatkan di kuil sementara di sebelah bangunan kuil yang sedang dalam pembinaan ini,” kata Moorthy sambil merujuk kepada bangunan bersaiz sederhana yang tidak putus-putus dikunjungi peganut dari jauh dan dekat.
Mahameru yang kurang diberikan perhatian
Tujuh berhala baru pula ditempah khas dari Bangalore. Berhala Vinayagar, Murugan dan sebagainya diperbuat daripada batu hitam. Sesungguhnya, dalam ajaran Hindu, ilmu ikonografi amat penting dalam proses membuat berhala bagi kegunaan di kuil dan rumah.
Kuil baru itu nanti akan turut menempatkan navagraham serta memiliki mahameru. Navagraham adalah sembilan dewa yang mewakili sistem solar dan dipercayai amat mempengaruhi kehidupan setiap individu.
Mahameru pula mungkin agak kurang dikenali oleh penganut Hindu sendiri di Malaysia. Nama-nama lain termasuk Sri Chakra, Sri Yantra dan Navayoni Chakra. Rekaannya berupa mandala atau lingkaran bulat bercorak.
Secara paling asas, mahameru terhasil daripada gabungan empat segi tiga yang mewakili Shiva dan lima segi tiga mewakili Shakti. Mahameru juga mewakili Lalitha atau Tirupura Sundari yang merujuk kepada “keindahan tiga dunia (syurga, bumi, neraka)”.
Bahagian mahameru juga penting dalam struktur binaan bangunan kuil dan diberi perhatian khusus oleh Moorthy. Secara saintifik, terbukti berlaku pantulan tenaga positif apabila seseorang berada berdekatan mahameru.
[caption id="attachment_4132" align="alignleft" width="300"] Bahagian mahameru mampu mengalirkan
tenaga positif kepada pengunjung kuil.[/caption]
Di Kuil Sri Maha Nageswari Amman, mahameru akan ditempatkan di bahagian bumbung; benar-benar di atas tempat orang ramai berdiri untuk memohon restu Maha Mariaman yang ditempatkan di mulastanam.
Seperti dinyatakan tadi, berhala Maha Mariamman berusia lebih seratus tahun akan ditempatkan di kuil baru ini. Sejumlah tujuh berhala lain pula ditempah khas dari Banglore.
Setelah berhala siap dan dibawa ke kuil ini, upacara khas yang dinamakan “jalamsamadhi” akan dilangsungkan. Dalam upacara keagamaan berpandukan veda iaitu kitab agama, berhala akan dibenam dalam tangki air selama 48 hari.
Sesiapa yang kurang memahami ilmu ikonografi serta menganggap berhala di kuil Hindu sebagai batu semata-mata wajar mengambil inisiatif memahami ajaran dalam veda supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dan fitnah yang menyentuh sensitiviti penganut agama Hindu.
Tentu sahaja rakyat pelbagai kaum, etnik, agama dan budaya yang hidup bersatu tidak memerlukan kehadiran lebih ramai Zakir Naik, Zulkifli Noordin dan Ridhuan Tee Abdullah yang hanya mahu memecah-belah umat manusia.
Peluang mengunjungi kuil, mengenali senibina unik
Berbalik kepada kisah tadi, semasa meluangkan masa hampir sejam melawat kuil dan berbual-bual dengan Moorthy pada 14 September 2014, saya dan Kughan turut berpeluang melihat bahagian rajagopuram dan menara mulastanam yang melangit.
[caption id="attachment_4133" align="alignleft" width="300"] Rajagopuram ini dibina mengikut panduan,
syarat dan peraturan agama dan veda.[/caption]
Menara pada bahagian mulastanam tingginya sekitar 8.5 meter (28 kaki) manakala rajagopuram yang merupakan bahagian depan kuil tingginya hampir 11.6 meter (38 kaki). Kedua-dua menara ini dihiasi ukiran tangan serta hiasan tambahan yang penuh seni, cantik, halus dan mengasyikkan.
Menurut Moorthy, ketinggian menara mulastanam dan rajagopuram tidak boleh dibuat sesuka hati. Panduan dalam veda menetapkan ukuran yang betul, sesuai dan temat sebagai panduan.
Apabila ditanya mengenai tarikh bangunan kuil ini akan siap sepenuhnya, Moorthy berkata, tarikh jangkaan adalah Februari 2015. Bagaimanapun proses keseluruhan belum lengkap.
“Apabila kerja-kerja pembinaan siap, bangunan kuil ini akan dibiarkan terdedah kepada hujan dan panas selama enam bulan. Selepas itu, barulah kerja-kerja mengecat akan dimulakan.“
Kalau kerja-kerja mengecat dimulakan sebaik bangunan siap dibina, hasilnya nanti tidaklah sehebat yang diinginkan. Untuk menguruskan kerja-kerja mengecat, kami akan membawa tiga pekerja pakar dari Tiruchi dan mereka akan dibantu sejumlah pekerja tempatan,” Moorthy menjelaskan.
[caption id="attachment_4136" align="alignleft" width="300"] Letchumi menjaga busut ini yang
dipercayai dihuni ular tedung istimewa.[/caption]
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama sejak 2010, serta konvoi pada Oktober 2013 mendapat liputan media antarabangsa.
Mungkin apabila Kuil Sri Maha Nageswari Amman hampir siap nanti, suatu kunjungan khas boleh diaturkan oleh Kavyan dengan kerjasama Projek Dialog.
Para peserta pelbagai kaum dan agama pasti kagum dengan keunikan senibina kuil ini. Orang ramai boleh menghubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut jika berminat turut serta.
Semasa konvoi itu nanti, peserta juga mungkin akan berpeluang melihat seekor ular tedung istimewa yang dikatakan menghuni busut besar di kuil ini. Biarlah saya tidak mengulas lanjut mengenainya sehingga peserta datang untuk melihatnya sendiri.
Octoberfest dan Halloween: Fahami budaya, hormat kepelbagaian
Perbezaan pendapat
Perbezaan pendapat antara ahli politik PAS juga menarik perhatian saya sepanjang mengikuti perkembangan isu ini. Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan mengatakan pesta arak ini mesti dicegah segera manakala Ahli Parlimen Shah Alam iaitu Khalid Samad menyatakan pesta ini tidak boleh dihalang.
Nasrudin Hasan berpendapat negara tidak boleh dibiarkan membangun dengan budaya mungkar dan maksiat kerana ia akan membinasakan tamadun dan maruah, dan negara ini tidak mendapat keberkatan dan akan dimurkai Allah. Manakala Khalid Samad berpendapat Islam mengiktiraf yang arak bukan sesuatu yang haram mengikut ajaran agama mereka.
Saya akur bahawa Persekutuan Malaysia adalah negara ber-Perlembagaan dan Islam adalah agama rasmi. Namun, saya berpendapat dalam meraikan kepelbagaian masyarakat yang berbilang kaum dan agama, adalah tidak wajar jika beban masyarakat majoriti diletakkan ke atas masyarkat minoriti.
Sewajarnya masyarakat minoriti sedaya upaya menghormati senstitiviti masyarakat majoriti dan pada masa sama masyarakat majoriti tidak sewajarnya menidakkan apa yang ingin dilakukan masyarkat minoriti walaupun bertentangan dengan prinsip mereka.
Jadi, kunci utamanya adalah hormat-menghormati serta saling memahami antara satu sama lain.
Provokasi?
Tindakan segelintir politikus daripada parti DAP yang mempromosikan pesta Octoberfest sebagai tanda solidariti dan memuat naik gambar aktiviti mereka ke laman media sosial bukanlah sesuatu idea yang bijak. Ditambah dengan sensitiviti segelintir umat Muslim di Malaysia yang terlalu sensitif telah menyemarakkan api yang membara.
Memang diakui politikus juga mempunyai hak peribadi dan kebebasan sivil mereka menggunakan media sosial, namun niat mereka tidak menghalalkan cara.
Berkaitan dengan pesta Octoberfest, biarlah ianya menjadi urusan peribadi dan tidak perlulah diwar-warkan sehingga mendapat litupan media dan mengundang rasa tidak senang kepada rakyat yang beragama Islam.
Sebagai politikus mereka merupakan public figure yang menjadi pemimpin serta teladan rakyat. Rakyat menilai apa yang politikus lakukan. Penghakiman mereka mungkin salah namun sebarang tindakan yang mendatangkan syak serta mendatangkan ketegangan kaum dan agama wajar dielakkan.
Sejarah Octoberfest dan konteks kita
Saya juga ingin berkongsi maklumat tentang “Octoberfest” dan hukum minum arak dalam agama Kristian Katolik. Pesta Octoberfest adalah budaya yang berasal dari Bavaria, Jerman.
Jika dilihat dari sudut kaca Barat, pesta ini ada baik dan buruknya. Yang baiknya, pesta ini juga disambut sebagai aktiviti sampingan gereja bagi mengumpul dana untuk melakukan kebajikan.
Ianya bukan semata-mata acara minum bir tapi juga pesta makanan dan pesta bida barang lama untuk dijual. Yang buruknya, pesta ini disalah gunakan sehingga membuatkan orang mabuk.
Jadi mohon izin untuk saya kategorikan aktiviti ini dalam konteks Islam; saya boleh kategorikan pesta ini sebagai “harus” jika dilakukan dengan berhemah. “Makruh” jika tidak beretika. “Haram” jika mengundang mabuk dan menyinggung umat agama lain. “Halal” jika ianya untuk mencari dana kebajikan.
Hukumnya jelas bagi penganut Katolik: “Kebajikan penguasaan diri menjauhkan segala bentuk keterlaluan: tiap penggunaan makanan, minuman (alkohol), rokok, dan ubat-ubatan yang berlebihan. Siapa yang dalam keadaan mabuk atau dengan kecepatan tinggi membahayakan keamanan orang lain dan keamanannya sendiri di jalan, di air, atau di udara, membuat dosa besar.” (Katekismus Gereja Katolik, 2290)
Arak dan budaya
Persoalan mungkin timbul: bukankah arak itu diminum untuk mabuk?
Tanggapan itu adalah kurang tepat. Arak seperti wain juga digunakan dalam upacara Misa Kudus dalam Gereja Katolik dalam menghidupkan kembali peristiwa Perjamuan Terakhir sebelum Kristus disalibkan.
Ajaran Katolik telah membataskan arak hanya diminum dalam keadaan sederhana. Jadi jika diminum selain daripada upacara dan bagi tujuan sosial maka pengawalan diri adalah penting untuk mengelakkan mabuk dan seterusnya mengundang masalah ketenteraman awam.
Sebagai contoh salah satu Gereja Katolik di Amerika Syarikat boleh dijadikan case study bagaimana acara ini dimanfaatkan untuk kebajikan sebagai acara tahunan mereka yang saya lihat lebih pada manifestasi budaya masyarakat Barat. Ianya tidak diamalkan gereja di Malaysia, kerana kurang sesuai dek menghormati sensitiviti umat Islam.
Pesta Halloween : Asal usul dan sudut Katolik
Tetapi, belum lagi pulih kemarahan segelintir umat Islam mengenai Pesta Octoberfest, malam Halloween pula dijadikan mangsa. Ada segelintir pihak konservatif Muslim mengkritik isu penganjuran ‘Malam Halloween’ di sebuah sekolah antarabangsa di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan.
Promosi aktiviti tersebut dengan kain rentang dan papan iklan besar pada mula mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Seremban dan kemudian ditarik balik setelah mendapat aduan daripada kumpulan Islam.
Antara persoalan yang dibangkitkan sebagai sentimen oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang terlibat dalam aduan tersebut menyifatkan acara itu sebagai “budaya barat” dan tidak sepatutnya diadakan kerana bertentangan dengan budaya Islam.
Saya ingin menceritakan kisah disebalik ‘Malam Halloween’ yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun. Asal usul Halloween adalah tuntas amat bersifat Kristiani berbanding Kebaratan. Tarikh Halloween yang jatuh pada 31 Oktober berkait rapat dengan seorang Paus, sambutannya serta tuntutannya adalah kesan daripada kesalehan umat Katolik aman ‘medieval’.
Namun, Halloween jatuh pada hari terakhir Oktober adalah berkait rapat dengan pesta Para Orang Kudus yang dikenali “Solemnity of All Saints” mahupun “All Hallows” yang jatuh pada 1 November.
Upacara pesta dalam Gereja Katolik ini disambut untuk mengenang semua santo dan santa yang berada di syurga yang selalunya disambut pada 13 Mei sebelum dipindah ke 1 November oleh Paus Gregorius III pada tahun 741.
Kemudian upacara pesta ini diperintahkan untuk disambut ke seluruh kawasan oleh Paus Gregorius IV pada 840. Misa yang diadakan pada malam hari 31 Oktober itu dikenali merupakan vigil dan ianya dikenali sebagai “All Hallows Even,” or “Hallowe’en.”.
Manakala pada tahun 998, Santo Odilo dari biara Cluny di selantan Perancis, memperkenalkan pada 2 November hari khas untuk mendoakan kesemua roh saudara seiman yang telah meningal dunia. Hari khas tersebut dikenali sebagai Pesta Para Arwah ataupun All Souls Day yang tersebar dari Perancis dan diterima pakai seluruhnya ole Gereja Katolik.
Halloween era kini
Tampaknya Halloween dalam konteks pemahaman sekarang bukanlah sebagai vigil mahupun tradisi Katolik. Tradisi Halloween ini dijadikan pesta duniawi secara komersial mula dikenali dengan pemakaian kostum yang mula muncul di Perancis pada abad ke-14 dan ke-15.
Budaya pesta Halloween ini berkembang dengan pesat apabila pertembungan imigran Perancis dan Irish sewaktu koloni British di Amerika Utara sewaktu zaman 1700an. Masyarakat Irish memfokuskan pada golongan neraka manakala masyarakat Perancis memfokuskan pada golongan kuburan.
Kostum yang dikenakan selalunya setan dan iblis dari kebudayaan Eropah, manusia labu, zombie, mumia, tengkorak, makhluk angkasa luar, penyihir, kelawar, burung hantu, burung gagak, rumah hantu, kucing hitam, goblin, drakula dan manusia serigala.
Budaya trick or treat dalam Halloween sinonim dengan kanak-kanak yang datang dari rumah ke rumah untuk meminta makanan dan duit dan perlakuan nakal akan dilakukan terhadap tuan rumah atau hartanya jika permintaan diabaikan.
Budaya “trick or treat” ini juga mempunyai kaitan dengan Guy Fawkes yang turut disambut hari peringatannya pada 5 November dan terkenal dengan topeng Vandetta yang merupakan manifestasi wajahnya.
Dia seorang pemberontak Katolik yang ingin meletupkan Raja James I dan Parlimen England dengan serbuk senjata api namun gagal. Konsep “trick or treat” boleh disimbolikkan sebagai pemberontakan akan berlaku jika sesuatu hak tidak diberikan yang merujuk kepada penidasan beragama umat Katolik di England dimana Gereja Anglican adalah denominasi rasmi England.
Dipermudahkan, pesta Halloween ini tidak kurang seperti pesta Hari Santo Valentinus, pesta Paska (Easter) dan pesta Krismas yang dipopularkan untuk menepati budaya masyarakat setempat dengan niat dan tujuan tertentu.
Jikalau ada dakwaan bahawa Halloween itu pesta menyembah syaitan, adalah lebih baik dihayati asal usulnya dari sudut Gereja Katolik yang membawa pengertian murni iaitu meneladani santo dan santa yang sudah pun pasti berada di syurga serta mendoakan para arwah yang sudah meninggal bagi meringankan azab perjalanan mereka ke syurga sementara berada di tempat penantian di akhirat.
Kesimpulan: Faham isu, jangan menghukum dengan sentimen
Memang tidak dapat dinafikan, terdapat konflik antara agama serta kaitannya dengan budaya dalam dinamika masyarakat di Malaysia.
Perbezaan-perbezaan hukum agama semestinya tidak boleh dijadikan penyebab konflik; pencarian bersama akan keamanan daripada komuniti beragama merupakan sebuah sumber yang penting bagi perpaduan.
Perlu diingatkan hormat-menghormati dan saling faham-memahami antara satu sama lain adalah kunci keamanan antara penganut berbilang agama dan fahaman di Malaysia wajar dititik beratkan. J
Justeru itu, keamanan bukanlah bererti ketiadaan konflik, sebaliknya keamanan didasarkan pada suatu pemahaman yang tepat tentang peribadi kemanusiaan dan menuntut ditegakkannya suatu tatacara yang tuntas atas dasar keadilan serta cinta kasih.
Navaratri: Meraikan emansipasi wanita
Navaratri atau Maha Navaratri dalam kalangan penganut ajaran Hindu adalah pada bulan Purattasi (September-Oktober) mengikut kalendar Tamil.
Perkataan “nava” bermakna “sembilan” dan “ratri” bermakna “malam”. Seperti yang dapat diagak, sambutan Navaratri adalah selama sembilan malam berturut-turut.
Sambutannya berlangsung dari 25 September hingga 3 Oktober 2014 khusus bagi meraikan Sakthi Devi yang dimanifetasikan sebagai dewi-dewi dalam sembilan inkarnasi yang penuh variasi.
Walaupun Hinduisme adalah agama tauhid pertama dan tertua di dunia, konsep trimurti (tiga dewa) memang diketahui umum; sesuai dengan konsep Ekan Anekan di mana Tuhan adalah Maha Esa tetapi berada di mana-mana dan dalam segala rupa.
Tuhan dalam ajaran Hinduisme dimanifestasikan menerusi trimurti iaitu Brahma (Pencipta), Vishnu (Pemelihara) dan Shiva (Pemusnah; Pengakhir).
Bagi melaksanakan tugas sebagai pencipta, pemelihara dan pemusnah (dengan erti kata menguasai segala-galanya di mayapada), maka Brahma, Vishnu dan Shiva mendapat sakti (Sakthi; kuasa) daripada pasangan masing-masing iaitu Durga, Laksmi dan Saraswati.
Ketiga-tiga dewi ini masing-masing mewakili keberanian/kekuatan, kemewahan/harta dan ilmu/pengetahuan.
Sebelum timbul sebarang kekeliruan dan salah tafsir, harus ditekankan bahawa Tuhan dalam ajaran Hindu adalah Maha Esa. Bagaimanapun, bagi menggambarkan segala sifat yang dimiliki-Nya, penganut Hindu dibenarkan mevisualkan rupa Tuhan yang pelbagai mengikut kemampuan masing-masing.
Berbalik kepada sambutan Navaratri selama sembilan hari serta kehadiran tiga dewi, masing-masing diraikan selama tiga hari. Durga pada hari pertama, kedua dan ketiga; diikuti Laksmi selama tiga hari; dan Saraswati pada tiga hari terakhir.
Upacara serta sambutan Navaratri boleh dibuat di rumah atau di kuil. Bagaimanapun, bagi memudahkan urusan serta bagi melibatkan lebih ramai orang, maka upacara khas biasanya diadakan di kuil.
Boleh diraikan mengikut pemahaman masing-masing
Dalam Markandey Purana, dinyatakan bahawa inkarnasi Sakthi ialah sebagai Shailputri, Brahmacharni, Chandraghanta, Kushmanda, Skandamata, Katyayani, Kalratri, Mahagauri dan Siddhidatri.
[caption id="attachment_4041" align="alignleft" width="300"] Sembilan manifestasi Sakthi Devi diraikan sepanjang Navaratri.[/caption]
Inkarnasi Sakthi Devi juga disebut dalam Shiva Purana dan sering menjadi rujukan dalam kalangan orang Hindu yang meraikan Navaratri. Bagaimanapun, terpulang kepada setiap individu untuk memilih sembilan inkarnasi yang mahu diraikan.
Harus diakui bahawa ajaran Hinduisme iaitu Sanatana Dharma (“agama yang abadi”) amat kompleks dan mungkin sukar difahami orang luar yang kurang pengetahuan mendalam mengenai agama tauhid pertama dan tertua ini.
Apa-apa maklumat yang dikongsikan di sini adalah secara amat mudah dan amat ringkas demi membantu pemahaman agar masyarakat pelbagai kaum dan agama boleh saling menghormati.
Antara inkarnasi Sakthi Devi (Mother Goddess) ialah Durga, Bhadrakali (Kali), Ambal, Annapoorna, Sarvamangala, Lalita dan Moogambikai. Patung dewi-dewi ini biasanya disusun pada rak bertangga khas yang dibuat bagi majlis “kolu” sepanjang sambutan Navaratri.
Ada warna khas yang dipilih dan ditetapkan bagi setiap hari. Misalnya, bagi tahun ini, warna-warna yang ditetapkan (mengikut urutan hari) adalah kuning, hijau, kelabu, jingga, putih, merah, biru, merah jambu dan ungu.
Sambutan Navaratri bukanlah suatu acara yang rigid dan terlalu formal. Sebaliknya setiap individu diberikan kekebasan untuk menyambutnya mengikut pilihan masing-masing.
Hal ini penting kerana setiap individu yang berbeza umur, pengetahuan, tahap ketakwaan, pendidikan, latar belakang dan sebagainya pasti memiliki kemampuan yang berbeza untuk meraikan dan menghayati mana-mana sambutan dalam Hinduisme.
Semasa berkongsi kisah menerusi Facebook baru-baru ini, Chitra Alagan yang lahir di Taiping, Perak dan kini bekerja di Pulau Pinang terkenang akan pelbagai juadah nabati (sayur-sayuran) yang dihidangkan sepanjang Navaratri.
Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor pula mengimbas pengalaman menyanyikan lagu-lagu keagamaan memuji Amman (Mariamman).
“Sepanjang sembilan malam, lagu-lagu pujaan dinyanyikan di kuil. Satu lagi pengalaman Navaratri yang tidak boleh saya lupakan adalah sambutan Saraswati Pooja di mana buku-buku diletakkan di bilik sembahyang dan semua ahli keluarga bersembahyang bersama dan berdoa demi kemajuan dalam pelajaran,” kata guru kelahiran Klang itu.
Saraswati Pooja dan Ayudha Pooja
Saraswati Pooja disambut pada hari kelapan (2 Oktober 2014) khusus bagi Saraswati iaitu dewi yang dikaitkan dengan ilmu, pengetahuan, seni dan sastera.
Upacara sambutan ini sangat terkenal di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) demi memohon restu bagi murid-murid. Buku-buku pelajaran akan diletakkan di hadapan berhala Saraswati untuk mendapatkan restu.
Akan tetapi, harus dinyatakan dan diingatkan bahawa Saraswati Pooja bukan hanya bagi bahan bacaan seperti buku. Sebaliknya turut melibatkan apa-apa barangan yang digunakan orang untuk sama ada menimba ilmu atau menyara diri.
Maknanya, seorang ahli muzik mungkin meletakkan alat muzik miliknya di hadapan berhala Saraswati untuk mendapatkan restu, anugraham (anugerah) dan memohon dimurahkan rezeki.
Seorang penulis mungkin meletakkan alat tulis, buku nota atau komputer riba semasa Saraswati Pooja dijalankan. Seorang petani mungkin meletakkan cangkul dan sabit untuk memenuhi hajat di hati.
Bercakap mengenai cangkul, sabit dan pelbagai peralatan lain mungkin mengingatkan penganut Hindu kepada Ayudha Pooja pada hari kesembilan. Perkataan “ayudha” atau “ayudham” membawa makna “senjata”.
Akan tetapi, tidak pula bermakna bahawa senjata seperti parang, pisau, tombak, pistol, senapang, kayu pemukul, rantai dan sebagainya dipuja pada hari berkenaan.
Sebaliknya peralatan yang membantu kita dalam berjuang meneruskan kehidupan dengan membuat kerja-kerja yang halal dikenang pada hari tersebut. Restu Tuhan juga diminta menerusi upacara sembahyang atau puja khas.
Selama sembilan hari sepanjang Navaratri, pelbagai acara seni dan kebudayaan diadakan di kuil. Mereka yang berbakat dalam seni tari tradisional seperti bharatanatyam akan membuat persembahan khas untuk menonjolkan keunikan setiap dewi yang diraikan pada hari berkenaan.
Individu yang pandai membuat kolem menggunakan beras, bijirin dan bunga pula menghasilkan lukisan seni yang penuh warna-warni untuk menonjolkan bakat kesenian serta meraikan sifat-sifat keindahan dan kesenian yang dikaitkan dengan dewi-dewi yang diraikan.
Nyanyian lagu-lagu thevaram serta upacara pooja (puja) khas di kuil memang menjadi kebiasaan. Bunga pelbagai warna, buah-buahan dan manisan dipersembahkan di hadapan berhala sebelum diagih-agihkan kepada orang ramai.
Makna simbolik yang mungkin dilupakan
[caption id="attachment_4040" align="alignleft" width="300"]
Bukan sekadar dewi yang diraikan, tetapi juga kehebatan golongan wanita.[/caption]
Seperti yang dinyatakan tadi, sambutan Navaratri bukanlah suatu upacara yang rigid atau diwajibkan. Sebaliknya Sanatana Dharma memberikan kekebasan kepada orang ramai untuk meraikan kebesaran Tuhan Yang Maha Esa menerusi cara dan pilihan masing-masing mengikut kemampuan serta tahap ketakwaan.
Selepas sambutan selama sembilan hari (Navaratri), maka hari kesepuluh (4 Oktober 2014) adalah Vijayadasami iaitu hari meraikan kemenangan atau kejayaan (wijaya).
Sambutan itu diraikan secara simbolik dengan mengangkat Durga yang dikatakan berjaya memusnahkan syaitan berkepala kerbau, Mahishasura. Secara mudah ia menandakan kejayaan kebaikan menghancurkan kejahatan.
Durga digambarkan sebagai dewi yang memegang senjata dengan lima pasang tangan serta duduk di atas seekor singa. Gelaran lain yang diberikan kepada dewi berkenaan ialah Mahishasura Mardhani.
Salah satu mesej tidak tertulis yang diraikan menerusi Navaratri adalah kehebatan, kuasa, kekuatan, jati diri, kekentalan, keberanian dan semangat juang yang dimiliki oleh golongan wanita dalam kehidupan seharian.
Maka sambutan Navaratri bukan sekadar meraikan dan memuja dewi-dewi dalam bentuk berhala. Sebaliknya untuk memperkasa, memotivasi dan menjana kekuatan dalam diri golongan wanita itu sendiri.
Atas dasar dan kesedaran itulah juga beberapa filem Tamil dan Hindi bertema emansipasi wanita mengangkat dewi-dewi seperti Kali, Durga dan Amman untuk memberikan semangat juang kepada watak dalam filem.
Pada masa sama, Navaratri juga seharusnya berperanan mengingatkan orang ramai (khususnya lelaki) betapa pentingnya kehadiran golongan wanita dalam kehidupan kita.
Seperti kata watak seorang ayah dalam cerpen “Doa Tahun Baru” (Kisah dari Siru Kambam): “Awaklah Lakshmi dalam rumah ini. … Awaklah yang memberikan nafas pada rumah tangga ini.”
Apa gunanya meraikan Navaratri jika golongan wanita masih merasakan diri mereka serba lemah dan terpaksa bergantung kepada orang lain (lelaki)? Dan apa gunanya meraikan kehebatan dewi-dewi jika golongan lelaki masih memperhambakan wanita?
Memerdekakan budaya Malaysia: Matlamat dan cabaran
Oleh Zikri Rahman
“The paradox of education is precisely this—that as one begins to become conscious one begins to examine the society in which he is being educated…”
– James Baldwin
Budaya bukan setakat hafalan robot
Kebudayaan hanya hadir saat kita punya kesedaran, dan kesedaran itu yang mula-mula membenih sebuah pergerakan, membuah ranum gugusan kesatuan dan yang akhirnya menuai sesebuah bangsa menggapai tunas sebenar-benar merdeka.
Tidak ada sesebuah negara,apatah lagi sebuah ketamadunan yang terbina tanpa kebudayaan yang diperhalusi sewajarnya. Warga Malaysia dalam hal ini tidak terkecuali dalam menggagaskan acuan gerakan kebudayaannya sendiri.
Dalam pada itu, tulisan ini meninjau akan keberadaan gerakan kebudayaan, isu dan tindakan kebudayaan serta rumusan yang boleh kita perhalusi dalam merencana sebuah gerakan kebudayaan yang utuh.
Seiringan itu,seperti yang digarap Paolo Freire dalam bukunya Cultural Action For Freedom,kebudayaan dalam kata nama lainnya, pendidikan adalah “cultural action for freedom and therefore an act of knowing and not of memorization.”
Menilai pernyataan “act of knowing” dan “not of memorization” ini, antara kerangka pedagogi kritikal yang turut perlu diberikan perhatian oleh Freire turut berlegar sekitar penghakikian (conscientization) dan penghakikatan (determination) dalam konteks pensejarahan yang konkrit dan ikatan realiti kebudayaan dalam masyarakat.
“Warisan” penjajah
Yang wajib kita sedari, tidak akan ada proses pembudayaan yang neutral khususnya dalam proses pendidikan; yang formal mahupun tidak formal hasil dari naratif pensejarahan yang meraikan elitisme seperti yang dinukil oleh Ranajit Guha, pelopor kajian sejarah Subaltern dan Post-Kolonial dalam makalahnya, On Some Aspects Of The Historiography Of Colonial India, lebih-lebih lagi pabila,
“…Elitist historiography is of course not without its uses. It helps us to know more about the structure of the colonialist state, the operation of its various organs in certain historical circumstances, the nature of the alignment of classes which sustained it; some aspects of the ideology of the elite as the dominant ideology of the period…”
Ini boleh ditelusuri khususnya dalam pengukuhan ideologi serta struktur yang dominan dalam sesebuah jangka masa pemerintahan.
Ambil contoh bagaimana penjajahan kolonial British memperkukuh lagi struktur feudalisme di Tanah Melayu dengan meletakkan kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dalam bidang kuasa Raja-Raja kekal sehingga ke hari ini.
Yang kedua, realiti kebudayaan sesebuah masyarakat turut memainkan peranan khususnya dalam menanggapi pergelutan politik identiti dan kerencaman budaya yang semakin ruwet.
Dalam soal ini,pada awal-awal perangkaan Perlembagaan negara ini, kita dapat melihat bagaimana gerakan politik, sebagai contoh pakatan PUTERA-AMCJA menyatakan sikap dan pandangan dalam menggariskan hala tuju kebudayaan; soal bahasa dan identiti kaum di dalam Perlembagaan Rakyat tahun 1947 sebagai contoh.
Soal ini bahkan turut dilewati beberapa pemikir khususnya Franz Fanon yang berpendapat bahawa proses pembebasan dan pembudayaan dalam proses dekolonisasi itu sendiri seringkali sebuah fenomena bergulat keganasan kerana,
“.decolonization is quite simply the replacing of a certain ‘species’ of men by another ‘species’ of men. Without any period of transition, there is a total, complete and absolute substitution.”
Lantas, bagaimana gerakan kebudayaan di Malaysia menjawab kompleksiti budaya dalam isu-isu rentetan sebelum dan selepas peristiwa Kemerdekaan?
Isu tersirat, tindakan tersurat
Ketika awal-awal Malaysia masih sarat dijajah; oleh Portugis,kemudian Jepun dan British antaranya, persoalan tentang kebudayaan dalam erti kata ilmu pengetahuan mencorak pendidikan bangsanya mula menjadi perhatian anak bangsanya.
Portugis dengan semboyan “Gold, Glory, Gospel”, Jepun masuk-masuk sahaja Tanah Melayu tahun 1942 segera mencari Pak Sako, atau nama sebenarnya Ishak Haji Muhammad untuk meneruskan penerbitan akhbar Warta Malaya dan Utusan Melayu, dan penentangan terhadap British turut hadir dalam kerangka persuratan kesusasteraan tanah air ketika itu. Nah, semuanya berlegar sekitar kebudayaan!
Kompleksiti isu kebudayaan ini turut diteruskan dalam proses dekolonisasi neo-imperialisme dan neo-liberalisme yang masih berjalan, ditegaskan lagi oleh penubuhan Angkatan Sastrawan 50′ atau lebih dikenali sebagai ASAS ’50 yang menggariskan “seni untuk masyarakat” sebagai anutan dalam wadah perjuangan kebudayaan mereka.
Bertitik tolak dari soal-soal budaya; bahasa, adat, agama, falsafah, sastera antara lainnya, pendidikan merupakan tindakan kebudayaan paling ampuh menimbang untung nasib dalam menentukan hakikat dan hakiki seseorang individu dalam bermasyarakat.
Seiringan itu, tindakan kebudayaan disusun dalam kerangka pendidikan, ambil contoh gerakan literasi yang digagas oleh Paolo Freire dalam usaha menuntut proses pendemokrasian yang lebih menyeluruh. Di Malaysia, di bawah naungan Badan Kebajikan Pelajaran Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) dicapai kata sepakat pada tahun 1947 di Maktab Mahmud ditubuhkan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR).
Penubuhan LEPIR justeru memperjelaskan dinamika elemen kebudayaan; keterkaitan agama dan pendidikan, dalam menelusuri pancaroba bangsa Melayu ketika itu khususnya dalam masalah pendidikan yang melarat kepada sistem sosial, politik dan ekonomi.*
Dinamika tradisi-tradisi kebudayaan kita, terangkum soal bahasa, agama, kaum, antaranya ini juga hendaklah dilihat secara kolektif fungsinya lagi-lagi dalam tindakan gerakan kebudayaan yang mengagaskan leluhur emansipatif.
Ini ditegaskan oleh akademia Azhar Ibrahim dalam catatannya, Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi bahawa: “Sains sosial emansipatif menolak segala bentuk lagak untuk menjadi ‘saintifik’ dan ‘moden’ sehingga mengabaikan sendiri tradisi cendekiawan/etika yang ada dalam sejarah keagamaan kita.”Beriringan pada itu, setiap krisis, polemik dan kontradiksi yang terzahir dalam aspek kebudayaan harus diraikan sesungguh-sungguhnya khususnya dalam daya kita menolak fatalisme, budaya senyap dan sunyi yang berakar umbi dari tatanan feudalisme.
Justeru pada kerangka teori dan praksis mana yang sesuai dijadikan teras gerakan kebudayaan?
Seribu Daya, Seribu Cara.
Sesungguhnya, tidak akan ada satu teori dan praksis yang boleh dijadikan dogma kerana yang jelas, paling utama adalah kesedaran. Dan kesedaran hanya terzahir di dalam tindakan/praksis yang membumi dalam tradisi kebudayaan negara kita sendiri.
Wali Songo dengan wayang kulitnya,(1)Teater “Bangsawan” yang digunakan oleh aktivis politik Indonesia dan Malaysia sedari tahun 1920-an(2) serta usaha menterjemah karya Usman Awang, Salam Benua ke dalam bahasa Mandarin adalah beberapa daya tindakan kebudayaan dalam tradisi leluhur kita sendiri.
Pertamanya, gerakan kebudayaan harus ditunjangi oleh warga berbilang identiti yang mempunyai naratif mencapai utopia secara kolektif seperti diungkap oleh Paolo Freire: “Communion with the people – accessible only to those with a utopian vision, in the sense referred to in this essay – is one of the fundamental characteristics of cultural action for freedom.”
Melawan keterasingan budaya
Keterasingan kebudayaan harus dijambatankan dengan keupayaan gerakan kebudayaan untuk menerjah masuk ke ruang massa, menerusi lingkup ruang awam menyubur proses dialogikal yang kritikal, reflektif dan inkuisitif.Keterlibatan massa dan gerakan kebudayaan wajib berlaku secara nyata, terus, berterusan, langsung dan dua hala kepada warga keseluruhannya. Mustahaknya hal ini adalah untuk gerakan kebudayaan sentiasa berupaya membuat penilaian dan dekonstruksi terhadap pendekatan yang diunjurkan.
Penekanan terhadap sebuah tindakan kebudayaan perlu ditunjangi sebuah gerakan dan organisasi harus berjalan mampan dan menyeluruh dalam menggembur ranah sosial, politik dan ekonomi dengan nilai-nilai demokratik dengan pelan rancangan yang fokus.
Keberpihakan adalah unsur penting dalam sebuah gerakan kebudayaan, khususnya dalam menanggapi soal kelas tertindas dan terpinggir dalam sesebuah masyarakat seiring dengan pemberdayaan warga secara keseluruhannya. Kecenderungan atau pengamatan sahaja tidak cukup, komitmen dan tindakan mencari jalan penyelesaian perlu menjadi tonggak gerakan kebudayaan.
Dapat tidak dapat, warga yang berbilang identiti – ideologi, kaum, budaya, agama – dalam nada apa sekalipun – pencerahan, kebangkitan,islah, etsetra-etsetra – perlu menggengam dan menggepal satu tindakan dengan beroganisasi secara kendiri, organik dan alamiah dengan menggagas sebuah tekad kebudayaan memikul tanggungjawab.
Ini harus berlaku sehingga bilamana warga itu benar-benar merdeka saatnya diperakui haknya untuk mengungkap dalam fikrahnya sendiri, untuk menjadi dirinya yang sebenar-benar.
Berbudaya, Bertamadunlah!
]]>Hudud: Kerisauan seorang Kristian
Perbandingan daripada perspektif Kristian
Dalam menyiapkan makalah ini, saya juga berbincang dalam satu sesi pengkajian ‘Alkitab’ bersama rakan-rakan siswa dalam komuniti Persatuan Pelajar Katolik Shah Alam mengenai isu ini.
Petikan yang kami kaji adalah Injil Matius bab 18 ayat 6 hingga ayat 9. Di sana kami menganalisa bahawa Yesus Kristus sendiri memberi peringatan keras yang kelihatan sama dengan konsep hudud iaitu membuang sebahagian anggota badan bagi menghindari orang lain daripada melakukan dosa.
Namun, adakah Yesus bermaksud sedemikian? Yesus menggunakan perumpamaan dalam mengajar bahawa punca dosa mahupun jenayah adalah kerosakan moral dan penyesatan diri. Ia adalah perkara yang wajar ditangani oleh setiap individu bagi menghindarkan diri daripada menyebabkan kerosakan pada diri dan masyarakat.
Yesus tidak mengajar umatnya untuk menghukum manusia lain sewenang-wenangnya mengikut hutang ‘nyawa bayar nyawa’ tetapi berpegang teguh pada nilai keadilan, belas kasihan dan pengampunan.
Dan semasa berhujah ada rakan saya mengutarakan petikan daripada Injil Yohanes bab 8 ayat 1 hingga ayat 11. Ia tentang bagaimana Yesus enggan menghukum wanita berzina supaya direjam sampai mati setelah diasak oleh guru Taurat Yahudi.
Beliau memberi kenyataan balas sedemikian; “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia” (Yohanes 8:7). Di sini saya lihat, urusan menghukum adalah lebih layak ditentukan sebagai urusan Tuhan dan ianya akan diselesaikan sendiri di akhirat kelak melalui syurga dan neraka.
Gereja Katolik yang terkenal dengan hukuman Pasitan (Inqusition) sejak kurun ke-12 hingga ke kurun ke-16 turut menyaksikan penyalahgunaan hukuman penalti yang kejam seperti pancung, bakar hidup-hidup dan rejam sampai mati. Namun setelah berlakunya renungan sejarah secara serius Gereja pun insaf dengan meletakkan peluang kepada pertaubatan individu dan martabat nyawa manusia setelah terhapusnya Pasitan ini. Namun, ianya bukan bererti, tiada hukuman kepada penjenayah di muka bumi ini bagi menjamin keselamatan awam. Berikut adalah saranan Gereja Katolik dalam menangani jenayah:
“Dalam usaha untuk melindungi kepentingan bersama, pihak berkuasa awam yang sah mesti menjalankan hak dan kewajipan untuk mengenakan hukuman mengikut keseriusan jenayah yang dilakukan. Hukuman tidak berkhidmat semata-mata bagi tujuan mempertahankan ketenteraman awam dan menjamin keselamatan individu; ia juga menjadi alat untuk pembetulan pesalah jenayah itu, pembetulan yang juga mengambil kira pada nilai moral penebus dosa apabila pihak yang bersalah secara sukarela menerima hukumannya. Tindakan pemerintah untuk menetapkan tanggungjawab atas kejahatan yang juga adalah tertakluk pada peribadi insaniah harus diiringi dengan kewajiban untuk mencari kebenaran tanpa syarat dan harus dijalankan atas dasar penghormatan pada martabat dan hak peribadi manusia. Hak seorang tertuduh harus juga dilindungi seperti hak seorang bebas. Prinsip hukum yang berlaku umum harus selalu ditaati yakni hukuman baru dijatuhkan setelah kesalahan tertuduh dibuktikan. Sesungguhnya masyarakat moden mempunyai usaha untuk secara efektif meniadakan tindak kejahatan jenayah dengan melumpuhkan para penjahat, sehingga tidak merugikan masyarakat lagi, tanpa menutup peluang bagi mereka untuk memperbaiki diri. Cara-cara damai dan tanpa pertumpahan darah (hukuman mati) lebih diutamakan kerana cara-cara itu lebih menjawab syarat-syarat konkrit bagi kesejahteraan umum dan lebih sesuai dengan martabat manusia.” (Kompendium Ajaran Sosial Gereja, no. 402-405)
Kesimpulan
Tidak cukup dwi-standardkah undang-undang syariah serta undang-undang jenayah sivil sedia ada? Tidak membantukah undang-undang jenayah sivil yang kita ada sekarang?
Mengapa perlu hudud di negara yang hanya mempunyai majoriti 60.4% penduduk Muslim? Sudahkah dapat persetujuan semua umat Muslim di negara ini tentang perlaksanaannya?
Bagaimana penerimaan yang bukan Muslim? Bagaimana hukuman hendak dijalankan? Apakah ijtihad serta rujukan yang perlu diambil dan dirujuk?
Model negera Islam yang mengamalkan undang-undang Hudud manakah yang terbaik untuk dijadikan contoh? Apakah jaminan bahawa undang-undang ‘Tuhan’ ini berjaya mengurangkan jenayah?
Sekirannya kesemua persoalan di atas tidak berhasil dijawab, saya mengandaikan undang-undang ini berkemungkinan akan gagal dan menjadi tidak wajar dilaksanakan sama ada di Kelantan mahupun ke atas seluruh Malaysia.
Keyakinan umat bukan Islam adalah kunci utama penerimaan undang-undang Hudud di negara ini serta dalam mengekalkan keharmonian dalam negara.