Projek Dialog

Dialog Sunni-Syiah: Mencari persefahaman dalam kepelbagaian (bahagian 3)

(Anda juga dijemput membaca bahagian pertama dan kedua) Hakikat cerita dengan tafsiran terhadap cerita adalah dua perkara yang berbeda. Sesuatu cerita dari si pencerita, jika dilihatnya sebagai positif, makanya cerita itu juga akan kelihatan positif. Jika negatif dilihat oleh pencerita, makanya cerita itu juga akan kelihatan negatif. Di sebelah Sunni, banyak cerita-cerita yang direkacipta lalu disandarkan kepada Syiah. keadaan yang sama juga berlaku di pihak Syiah terhadap Sunni. Sikap sebegini tidak melahirkan natijah yang baik, sebaliknya boleh melahirkan permusuhan yang tidak berkesudahan. Antara kejadian yang berlaku dalam perkara ini adalah seperti dakwaan Syiah bahawa pihak Sunni melakukan tuduhan kepada mereka bahawa ajaran Syiah itu kononnya bermata-airkan kepada fikrah dan usaha dakyah yang dilakukan oleh seorang lelaki yahudi dari yaman yang bernama Abdullah bin Saba’. Di pihak Syiah, mereka mendakwa bahawa individu bernama Abdullah bin Saba’ adalah satu manusia yang wujud, tetapi mereka menyatakan bahawa mengaitkan individu itu dengan Syiah adalah satu perkara yang tidak benar. Pada mereka, kewujudan Abdullah bin Saba’ yang wujud dalam riwayat mereka, hanya cerita tentang Abdullah bin Saba’ yang mengatakan bahawa Saidina Ali sebagai Tuhan. Ekoran itu, ada sarjana Syiah, seperti al-Syaikh Hasan al-Hyari secara terang-terang mengkafirkan Abdullah bin Saba’ dan melaknatinya. Adapun dakwaan bahawa Abdullah bin Saba’ itu sebagai seorang yang mula-mula menyebarkan fahaman Syiah dan berusaha sebagai pembunuh kepada Ali, pada sebilangan sarjana Syiah, ia adalah perkara yang cukup tidak benar jika disandarkan kepada Syiah. Antara tokoh Syiah yang melakukan penjelasan ini adalah Yasir al-Habib dengan beliau menyatakan bahawa kisah tentang Abdullah bin Saba’ yang dikaitkan dengan Syiah dan dikaitkan  pembunuhan terhadap Saidina Osman ini datang dari riwayat seorang perawi bernama Saif bin Omar. Dari sudut pandang Syiah, riwayat Saif bin Omar terus ditolak, tetapi dari sudut Sunni, ada sebilangan mereka menerima riwayat Saif bin Omar, dan ada sebilangan mereka menolak riwayatnya. Antara tokoh Sunni yang menolak itu adalah Ibn Hibban. Ada pula sebilangan lain menolak dalam periwayatannya dari sudut hadis, tetapi menerimanya dalam periwayatan sejarah. Sebilangan Sunni mendatangkan beberapa riwayat selain riwayat Saif bin Umar tentang Abdullah bin Saba’, tetapi dijawab oleh sarjana Syiah bahawa riwayat selain Saif bin Umar itu hanya menceritakan kewujudan Abdullah bin Saba’ yang juga diakui oleh Syiah, tetapi tentang riwayat Abdullah bin Saba’ kononnya pengasas fahaman Syiah dan melakukan usaha pembunuhan terhadap Saidina Osman adalah dakwaan yang tidak ada sandaran riwayat. Jika kita perhatikan ini, kita dapati bahawa tuduhan bahawa Syiah itu bermuarakan kepada fahaman Abdullah bin Saba’, seorang yahudi dari yaman adalah satu tuduhan yang tidak sihat. Ini kerana, tuduhan itu berasaskan kepada melihat dari sisi pandang Sunni, sedangkan riwayat itu tertolak dalam sisi pandang Syiah. Dalam Sunni, hendak menyatakan sesuatu perkara itu haram pun memerlukan kepada nas yang saheh dan sareh, inikan pula dalam melakukan tuduhan terhadap Syiah yang kononnya bermuarakan dari fahaman seorang yahudi dari yaman bernama Abdullah bin Saba’ yang sekadar tanggapan dan sumber yang dikhilafi di kalangan Sunni sendiri. Lebih parah, jika sumber itu sendiri ditolak oleh sarjana-sarjana Syiah sendiri. Paksa terima riwayat Mendesak Syiah menerima riwayat Sunni adalah satu perkara yang ajaib, sepertimana ajaib jika Syiah mendesak Sunni menerima riwayat mereka. Lebih parah lagi, jika setiap pihak sudah mempunyai pegangan bahawa riwayat dari pihak sebelah menyebelah wajib ditolak, seperti Syiah mewajibkan menolak riwayat Sunni, dan Sunni mewajibkan menolak sesuatu riwayat jika di sana wujud perawi Sunni. Soal kekhilafan dalam menerima dan menolak seseorang perawi adalah perkara biasa dalam pengajian ilmu hadis. Usahkan antara Sunni dan Syiah, malahan sesama ulama Sunni sendiri kadangkala berlaku khilaf dalam menentukan status seseorang perawi hadis. Seperti contoh, kupasan Dr Taha Jabir dalam bukunya yang bertajuk “La Ikraha fi al-Din” tentang kekhilafan antara al-Bukhari dan Ibn Solah dalam menentukan status seorang perawi hadis bernama Ikrimah maula Ibn Abbas. Di sisi al-Bukhari, Ikrimah adalah seorang yang saheh, tetapi di sisi Ibn Solah, Ikrimah adalah satu perawi yang bermasalah. Ini dikuatkan dengan beberapa riwayat yang dibawa oleh Dr Taha Jabir seperti ungkapan anak Ibn Abbas yang bernama Ali bahawa beliau ada berkata bahawa Ikrimah selalu berdusta atas nama bapanya. Begitujuga ungkapan Ibn Sirin yang menyatakan bahawa Ikrimah adalah seorang pendusta dan berbagai-bagai lagi riwayat yang dikemukakan. Dr Taha Jabir juga ada menyatakan bahawa riwayat Ikrimah itu tidak diguna pakai oleh Imam Muslim kecuali jika wujud riwayat lain yang mendokongnya. Juga beliau menyatakan bahawa Ikrimah tidak diterima imam Malik kecuali jika wujud syawahid. (La Ikraha fi al-Din (terjemahan), hlmn 127) Di kalangan ulama hadis dari aliran Sunni sendiri, terdapat di kalangan mereka yang berbeda pendapat dengan Imam al-Bukhari dan Imam Muslim yang dipercayai Sunni sebagai sumber yang terkuat selepas al-Quran. Contohnya adalah al-Syaikh Albani ada menyatakan doif pada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Antaranya adalah seperti hadis bahawa Nabi Muhammad SAW ada menyatakan yang bermaksud; “Sesungguhya hamba yang bercakap dengan sesuatu kalimah yang tidak mendatangkan kerosakan, pasti Allah SWT akan angkat beberapa darjat untuknya” (al-Bukhari, bab menjaga lidah dan perkataan Nabi Muhammad SAW “barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia bercakap perkara baik ataupun diam” dalam hadis ke 5997) Hadis ini adalah hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, tetapi, hadis ini dinilai doif oleh Albani. Pada Albani, perawi bernama Abd al-Rahman bin Mahdi adalah seorang yang lemah ingatan dengan merujuk kepada beberapa tokoh, seperti Yahya bin Muin yang mengatakannya lemah dan sebagainya. (lihat dalam kitab al-Silsilah al-Doifah, dalam hadis ke 1299) Dilihat kepada kekhilafan di kalangan ulama hadis dalam menerima sesuatu riwayat, kita akan dapati bahawa soal penentuan seseorang perawi itu kuat atau tidak adalah perkara yang boleh berlaku khilafiah dalam Sunni. sudah pasti, kekhilafan ini berlaku dengan Syiah. Dikalangan Sunni sendiri berlaku khilaf. kekhilafan itu tidak menjadikan satu pihak boleh memaksa satu pihak yang lain agar mengikuti mereka, begitujuga di pihak satu lagi. Dalam keadaan tidak dapat memaksa, tetapi budaya hormati kepercayaan masing-masing tetap subur, juga satu pihak tidak boleh paksa untuk menerima komentar di pihak lain, begitulah juga sebaliknya, tetapi mereka dibenarkan berhujjah seilmiah mungkin untuk memastikan dipihaknya lebih benar dari pihak satu lagi. Tuduhan Syiah  Jika di pihak unni, mereka menuduh Syiah bermuarakan ajaran yahudi, sedangkan di pihak Syiah pula, mereka juga menuduh dengan tuduhan yang sama. Antara tuduhan Syiah terhadap Sunni dalam hal ini adalah seperti mendakwa bahawa Umar mengambil beberapa serpihan kitab dari kalangan ahli Kitab. Tindakan Umar itu menjadikan Rasulullah SAW marah dan menegur tindakan Umar tersebut. (Hadis Riwayat Ahmad, Bab Musnad Jabir bin Abd Allah, Hadis no : 14623) Juga tuduhan Syiah bahawa kononnya Sunni menjisimkan atau memandang bahawa Allah adalah tuhan yang berjisim. Pada mereka, itu adalah bukti bahawa Sunni bermuarakan yahudi. Semua tuduhan ini adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana, Sunni menolak pengambilan sumber hukum dari selain al-Quran dan al-Sunnah yang saheh. Hadis riwayat Umar yang dikemukakan di atas adalah bukti bahawa yahudi tidak dijadikan sebagai sumber Sunni. ekoran itu, dalam Sunni jika sesuatu hukum itu tidak bersumberkan kepada sumber yang saheh, makanya pengamalan tersebut hendaklah ditolak, malahan ia diistilahkan sebagai bidaah yang diharamkan. Sabda Nabi Muhammad SAW, “Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang bukan dari urusan kami, maka ianya tertolak” (Muslim, Bab tertolak amalan batil dan tertolak perkara-perkara baru, hadis no : 3243) Tuduhan bahawa Sunni menganggap Allah SWT sebagai tuhan yang berjisim juga adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana, golongan yang menyatakan Allah adalah tuhan yang berjisim juga ditolak oleh Sunni, malahan dianggap sebagai bukan Sunni. Ini kerana, Sunni berpegang dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “Tidaklah Dia menyerupai sesuatu pun. Dia adalah Tuhan yang maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Surah al-Syura, ayat 11). Ataupun dari aliran asyairah pula, mereka menimbulkan istilah mukhalafah taala min hawadis atau tidak menyerupai Allah yang Maha Tinggi itu dari sebarang perkara-perkara baru. AKAN BERSAMBUNG….

]]>

Hentikan tuduhan tak berasas

HENTIKAN TUDUHAN YANG TAK BERASAS DAN TUNTUTAN UNTUK “TINDAKAN” ATAS PENGGUNAAN PERKATAAN “ALLAH”
Memandangkan tarikh pendengaran 10hb September 2013 untuk rayuan oleh Kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Malaya untuk membenarkan akhbar The Herald menggunakan perkataan “Allah” kian mendekati, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) menyatakan kebimbangan atas panggilan oleh pelbagai kumpulan untuk ‘mempertahankan’ Islam daripada dihina dan diancam. Secara khusus, kami merujuk kepada satu program televisyen di mana tuduhan yang dilemparkan mengenai apa yang dipanggil plot Kristian untuk memurtadkan umat Islam itu, adalah tidak benar dan tidak berasas, dan kepada khutbah Jumaat rasmi yang ditulis oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan disampaikan pada 6 September 2013, yang memanggil untuk “tindakan” untuk mempertahankan Islam oleh orang Islam ke atas penggunaan perkataan “Allah” merujuk kepada Tuhan oleh orang Kristian, dan bahawa pertahanan sebegitu adalah “perjuangan suci “. Isunya ialah samada panggilan sedemikian boleh menjadi penyebab dan mencetuskan hasutan tindakbalas yang menyebabkan gangguan awam. Pemerhatian sepintas lalu keatas tuduhan-tuduhan dan kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa mereka bertindak mengikut perasaan tanpa berlandaskan fakta. Walau bagaimanapun, seruan untuk “tindakan” oleh sesetengah umat Islam memperlihatkan sebagai satu tindakan yang membahayakan dan membimbangkan kepada rakyat umum Malaysia. Lebih membimbangkan, seolah-olah tiada tindakan atau kenyataan dari mana-mana jua pihak berkuasa kerajaan untuk menyeru semua pihak bertenang atau menghentikan tindakan yang boleh menyemarakkan kemarahan dan emosi.
Dijelaskan sekali lagi bahawa: 1. Perkataan “Allah” yang merujuk kepada Tuhan yang digunakan oleh kira-kira 60% daripada 2.6 juta orang Kristian di Malaysia. Kristian Bumiputera, yang berBahasa Malaysia sebagai bahasa utama yang digunakan untuk beribadah dan berdoa, telah lama menggunakan Alkitab Bahasa Malaysia yang mengandungi perkataan “Allah” merujuk keapda Tuhan tanpa sebarang kekecohan, halangan atau bantahan. 2. Perkataan “Allah” yang merujuk kepada Tuhan telah digunakan selama beratus-ratus tahun dalam pelbagai terjemahan dan dari Alkitab (sila rujuk kepada Lembaran Fakta CFM yang dikeluarkan pada 16 Mei 2013). 3. Hanya di Malaysia penggunaan perkataan “Allah” yang merujuk kepada Tuhan oleh orang Kristian menjadi isu bagi orang Islam. Kristian di Timur Tengah bebas menggunakan perkataan “Allah”. Tanpa sebarang kekeliruan. 4. Tuduhan yang berulang kali mengatakan penggunaan perkataan “Allah” merupakan sebahagian daripada alat konspirasi Kristian untuk memurtadkan umat Islam tidak pernah dibuktikan. Tuduhan yang sedemikian diperlihatkan sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tuduhan sedemikan harus dihentikan. Ini adalah bertujuan menyemaikan perasaan ketakutan dan mencetuskan ketegangan antara agama. CFM menyeru teman-teman kita dari pihak Islam untuk merenung, memahami dan menghargai konteks bagaimana, bila dan mengapa orang Kristian menggunakan perkataan “Allah”. Sudah berabad-abad penggunaan perkataan “Allah” digunakan berlanjutan melalui sejarah kita bersama tanpa sebarang masalah, dan kita telah menikmati keamanan dan keharmonian relatif selama bertahun-tahun ketika penggunaan ini telah berterusan.
Dalam menangani isu penggunaan perkataan “Allah” untuk merujuk kepada Tuhan, dan isu-isu yang lain berkenaan dengan agama, kita perlu kebenaran, iaitu fakta dan bukti untuk diperiksakan, bukan rayuan kepada sekadar retorik emosi atau asas untuk menghina, atau percakapan komplot dan dakwaan penukaran agama. CFM bersungguh-sungguh menyeru kepada Kerajaan Malaysia, yang mewakili SEMUA rakyat Malaysia, untuk memastikan, menegakkan dan memelihara kebebasan beragama di Malaysia. Jangan biarkan JAKIM menjadi suara rasmi bagi pihak kerajaan yang telah mengatakan bahawa ia adalah sebuah kerajaan yang mewakili rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. CFM menyeru semua orang Kristian untuk terus berdoa untuk keamanan dan keadilan. Semoga Allah memberkati dan melindungi negara kita yang tercinta, dan memberikan keamanan kepada semua rakyat Malaysia.
Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi dan Jawatankuasa Eksekutif, Persekutuan Kristian Malaysia
]]>

Sosialis macam Pak Sako: Mendalami novel-novel terpilih

Siapa Pak Sako? Ishak Haji Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako dilahirkan pada 24 September 1909 di Kampung Buntut Pulau, Temerloh, Pahang[i]. Nama asal beliau adalah Awang Ahmad Haji Muhammad. Dalam tahun 1924 beliau telah diterima masuk ke Sekolah Inggeris, Clifford School di Kuala Lipis dan lulus cemerlang pada tahun 1929. Pak Sako pernah menempuh karier antara lain sebagai pegawai pentadbir pada tahun 1931, majistret pada tahun 1933, peguam pada tahun 1936, wartawan Utusan Melayu pada tahun 1939, dan terlibat dalam politik mulai tahun 1959. Ketika itu Pak Sako terlibat dalam Parti Buruh Malaya dan pernah ditahan pemerintah kerana kegiatan politiknya antara tahun 1965-1966. Sewaktu inilah Pak Sako menghasilkan novel antara lain Yang Miskin dan Yang Mewah, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, serta Tijah Tukang Chukor. Novel Budak Beca yang turut dibincangkan dalam kertas ini ditulis lebih awal dari itu, iaitu pada tahun 1956 dan diterbitkan pada tahun Malaya menerima kemerdekaan. Dalam bidang sastera, Pak Sako pernah menerima anugerah Pejuang Sastera daripada kerajaan Malaysia pada 29 Mei 1976. Beliau juga pernah menerima Anugerah Budayawan GAPENA pada tahun 1987 tetapi menolaknya. Pada 29 Jun 1973 beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kesusasteraan oleh Universiti Malaya. Selain itu, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako turut menerima anugerah Bintang Setia Mahkota Pahang oleh DYMM Sultan Pahang (Pak Sako 1987: iv). Pak Sako adalah seorang jurnalis-pengarang yang dihormati pelbagai lapisan masyarakat. Sebagai seorang ahli politik dari Barisan Sosialis tidaklah menghairankan Pak Sako misalnya lebih diperakukan oleh pendokong parti pembangkang khususnya untuk pengorbanan yang telah beliau berikan sepanjang perjuangannya untuk kemerdekaan Malaysia: I support the proposal that the government give and privileges to Pak Sako for his contribution to the struggle for independence, literature and journalism of Malaysia, as recognition by the nation for Pak Sako’s sacrifice, dedication and contribution to the well-being of Malaysia. I suggest that a special recognition be created by an Act of Parliament whereby the nation accord recognition to illustrious sons and daughters of Malaysia who had rendered distinguished life-long service to the people nation, but who may be out of the mainstream of official recognition, like Pak Sako (Lim Kit Siang 1987). Mereka itulah pejuang-pejuang kemerdekaan. Tetapi tidak…… jarang disebut Dr. Burhanuddin, jarang disebut Pak Sako (Ishak Haji Muhammad). Jarang disebut Ibrahim Yaakob. Jarang disebut Shamsiah Fakeh. Jarang disebut mereka yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan dan merengkok dalam tahanan (Mohamad Sabu 2003: 94). Salah satu sebab mengapa Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako mendapat perhatian dan penghargaan yang besar dari kumpulan oposisi dan golongan kiri ialah kerana ‘personalitinya yang memandang berat kepada hal ehwal masyarakat’, dan latar belakang beliau yang ‘datang dari keluarga petani (kelas bawahan)’. Selain itu Pak Sako juga dikaitkan dengan politik kepembangkangan kerana sering menyuarakan kritikan keras terhadap pihak berkuasa. Lantaran itu beliau dilihat sebagai ‘pengorak langkah’ yang ‘mendahului zamannya’ dalam ‘menentang ketidakadilan pemerintah dan masyarakat melalui penanya terutama karya-karya sasteranya’ (Abdul Latiff Abu Bakar 1988: 92-95). Novel Sosialis Terdapat beberapa buah novel Pak Sako yang kurang diberi perhatian. Antara lain adalah Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor. Novel-novel yang disebutkan ini kurang dikenali pengikut sastera kerana pertamanya, diterbitkan oleh penerbit yang kurang dikenali. Selain novel Yang Miskin dan Yang Mewah, penerbit untuk novel-novel Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor adalah Penerbit Marang. Dalam prakata novel Tijah Tukang Chukor, H.C Mohamad A. Rahman (1967: 8) pemilik Penerbit Marang menyatakan beliau tidak membayar Pak Sako royalti yang tinggi sebab tidak berkemampuan dan berterima kasih kepada Pak Sako kerana sengaja memilih Penerbit Marang. Pak Sako dinyatakan ‘suka menolong penerbit2 kechil seperti saya supaya boleh maju’. Penerbit juga menjelaskan lantaran itu karya-karya Pak Sako ini sukar dikerjakan kerana selain harus dicetak di Singapura, ia juga ‘dijual dengan menjelajah seluroh Malaysia Barat dan Singapura pada tiap2 bulan’. Keduanya, sebagai satu andaian awal, karya-karya ini ditulis dalam bentuk wacana. Ketika tahun 1950 sehingga 1960an, karya-karya bersifat wacana masih belum banyak. Terdapat banyak wacana yang telah diketengah dan dibincangkan oleh Pak Sako. Namun esei ini hanya akan memberi perhatian kepada wacana masyarakat sivil dan juga kritikan beliau terhadap politik tiada etika. Sebelum idea-idea Pak Sako diketengahkan, sinopsis novel-novel yang didalami diturunkan di bawah ini. Novel Yang Miskin dan Yang Mewah diterbitkan oleh Pustaka Melayu Baru pada tahun 1966. Pak Sako menulis novel ini ketika ditahan di bawah Internal Security Act pada tahun 1965. Menurut beliau, novel ini selesai dikarang ‘di Kemah Tahanan Kuala Lumpur di bilek khas No. 65’ dan draf manuskripnya disunting ketika berada ‘di Kemah Tahanan Khas Batu Gajah Perak’ (Pak Sako 1966: 120). Yang Miskin dan Yang Mewah adalah sebuah novel tipis (novelet) yang mengisahkan secebis pengalaman Zarina Zainab Ghafoor. Zarina yang digelar Za Za Gabor ini merupakan setiausaha peribadi Profesor Ali Ahmad, seorang ilmuan dalam bidang kemasyarakatan. Harus dinyatakan di sini novel Yang Miskin dan Yang Mewah ini tidak mempunyai plot yang berkesinambungan. Naratif diikat sebab dan akibatnya antara lain menerusi surat-surat Zarina Zainab Ghafoor kepada kakak angkatnya, Siti Shamsinar. Selain itu ditampilkan perbicaraan akademik antara Abu Bakar dan Masiran, iaitu dua orang pensyarah universiti mengenai sebuah forum yang bakal dianjurkan oleh Profesor Ali Ahmad berjudul – Yang Miskin dan Yang Mewah. Kemuncak novel ini ialah penganjuran forum itu sendiri yang dipengerusikan oleh Dato Osman Lailatulkadar. Perbincangan mengenai taraf hidup orang Melayu, hala tuju negara, propaganda pihak kerajaan, kemiskinan yang semakin melarat dalam kalangan kaum bawahan dan kebejatan moral menjadi inti pati forum ini. Novel seterusnya memperlihatkan Profesor Ali Ahmad dan temannya Profesor Kudus mengupah seorang pemuda kampung yang cerdas bernama Shamsuddin untuk mengkaji dan menyiasat keadaan orang Melayu di pedalaman. Shamsuddin yang diminati oleh Zarina Zainab Ghafoor adalah adik Siti Shamsinar. Ketiga-tiganya iaitu Zarina Zainab Ghafoor, Shamsuddin dan Siti Shamsinar turut hadir di acara forum tersebut. Selepas satu tempoh menjadi pembantu penyelidik kepada Profesor Ali Ahmad, Shamsuddin pulang dan menikahi Zarina Zainab Ghafoor yang baru menjanda. Pada malam Jumaat, ketika perkahwinan mereka masih lagi baharu, novel ini ditamatkan dengan perbualan antara  Zarina Zainab Ghafoor dan suaminya mengenai nasib orang Melayu khususnya kaum wanita yang terdesak sehingga menjadi pelacur. Perbincangan pengantin baharu tersebut disulam dengan adegan urut mengurut, geletek menggeletek dan usik mengusik antara pasangan tersebut. Pak Sako menyatakan beliau menulis novel Yang Miskin dan Yang Mewah ini untuk memberi kritikan yang membina, dan mensasarkan gagasan keadilan masyarakat dan ekonomi. Beliau seterusnya menyebut karya ini terilham dari kisah perjuangan kaum minoriti di Amerika syarikat, Afrika Selatan dan Rhodesia (Pak Sako 1966: ii). Sementara itu, novel Budak Beca pertama kali diterbitkan dalam tahun 1957 dan dicetak kembali oleh Marwillis Publisher pada tahun 1992. Makalah ini akan merujuk kepada edisi tahun 1992. Novel Budak Beca berlatar belakang Trengganu dan Kelantan ketika Malaya di ambang kemerdekaan. Seperti Yang Miskin dan Yang Mewah, novel Budak Beca juga tidak mempunyai satu cerita yang utuh. Ini adalah kerana Pak Sako turut mengabaikan prinsip sebab dan akibat atau plot, sebaliknya memberi keutamaan kepada pemikiran, idea-idea beliau sekitar nasib kaum Melayu di pedalaman. Budak Beca mengisahkan pengalaman Mamat, seorang bekas mata-mata khas (Special Branch Police) yang baru sahaja bersara dari tugasnya dan diberikan imbuhan besar dalam bentuk wang. Dalam keadaan mewah, Mamat terleka dan menghabiskan wang yang ada dengan berpoya-poya dan sentiasa berjoli. Ketika Mamat dalam keadaan lupa tersebut, Pak Sako sengaja menampilkan watak seperti Embong, seorang pengayuh beca yang sering memberikan nasihat-nasihat keagamaan dan sedikit sebanyak kritikal terhadap golongan politikus. Mamat dinyatakan menghidap penyakit kelamin ekoran kegemarannya melanggani pelacur. Tanpa memanjangkan nasib Embong, Pak Sako membuka sub-plot baharu dengan memperkenalkan watak Mustapha, seorang petugas masyarakat sivil (anggota badan bukan kerajaan) dari Persatuan Pengisi Kemerdekaan atau PPK. Mustapha hadir di Trengganu untuk menyiasat keadaan golongan miskin dan pedalaman bagi membolehkan kerja-kerja pengupayaan (empowerment) dijalankan kelak. Mamat yang kehabisan wang dan dalam keadaan sakit kini terdesak melakukan kerja seperti Embong iaitu menjadi pengayuh beca. Mustapha berkenalan dengan Mamat dan sering meminta bantuan becanya sebagai pengangkutan utama untuk ke mana-mana. Perkenalan itu menjadi lebih kukuh sehingga mereka duduk serumah. Mustapha sering memberi pandangan politik dan kritis dengan isu semasa. Beliau mendorong Mamat untuk berubat, menyambung pelajaran dan membaiki taraf kehidupan. Menerusi watak Mustapha ini idea, wacana dan juga kritikan terhadap masyarakat diketengahkan. Mustapha juga sering mengutus laporan kepada setiausaha agung persatuannya mengenai sosio-politik orang Melayu di Pantai Timur. Pak Sako turut menampilkan beberapa watak wanita tetapi keberadaan mereka di dalam novel Budak Beca ini tidak signifikan. Watak Mamat berusaha keras untuk belajar dengan bantuan Mustapha kemudiannya telah boleh menulis dan membaca buku-buku falsafah. Di akhir novel Budak Beca, Mustapha dan Mamat memutuskan untuk membeli traktor, meneroka tanah baharu dan berhasrat untuk menjadi ‘kaum tani yang berjaya dan berjasa’ (Pak Sako 1992: 156). Novel ketiga dalam sorotan makalah ini adalah Norita dan Kesah2 Kuching Hitam. Novel ini diterbitkan pada tahun 1966 oleh Penerbit Marang. Novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam dibuka naratifnya dengan hasrat Norita, seorang janda kaya yang bersiap meninggalkan pekan Kluang untuk ke Kuala Lumpur. Norita memberi pesan kepada Abang Leh (Salleh) untuk melihat-lihat keadaan rumah besarnya serta memastikan Minah, orang gajinya cukup wang saraan yang telah siap diagihkan. Plot seterusnya bergerak ke Kuala Lumpur di mana Norita diberi gambaran berperanan sebagai ‘kuching hitam’ yang menggajikan seorang gadis muda bernama Rose. Selain memperdagangkan Rose, watak Noriman, seorang pemuda lupa daratan yang suka berjudi dan berpoya-poya telah hadir di kamar penginapan Norita dalam keadaan mabuk. Norita telah mencuri tiket loteri milik Noriman. Oleh kerana bimbang pekerjaannya melacurkan Rose dihidu pihak berkuasa, dan Noriman mencarinya, Norita telah membawa Rose untuk berpindah ke pekan kecil di Pahang. Di Kuala Lipis, Norita dan Rose cuba menjerat sekumpulan penduduk kampung yang merupakan pelombong bijih dan emas. Mereka berdua menyamar sebagai peniaga batu dan kain batik yang berjaya. Rose telah ditugaskan untuk menggoda Pak Kassim dan mencuri hasil bijih atau emas milik Pak Kassim. Walaubagaimanapun Pak Kassim dan kawan-kawannya tidak berjaya diperdayakan. Akibatnya Norita dan Rose terus menjadi pelarian. Sebagaimana novel Yang Miskin dan Yang Mewah, dan Budak Beca, novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam ini tidak mempunyai plot yang kukuh. Selain berlatar belakangkan Kluang, Kuala Lumpur dan Pahang, novel ini diberi latar masa ketika berlakunya konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia. Berbanding Yang Miskin dan Yang Mewah, dan Budak Beca, novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam bagaimanapun lebih menekankan persoalan pelacuran, dan pemerdagangan manusia sambil menyelitkan kritikan dan idea politik Pak Sako terhadap politikus. Novel ini turut mengabaikan prinsip sebab dan akibat serta menyampaikan idea-idea Pak Sako mengenai kebejatan moral orang Melayu menerusi keratan akhbar, perbualan pelombong bijih dan emas serta tanggapan-tanggapan pelacur dan ibu ayam terhadap isu semasa pada waktu itu. Novel terakhir yang diketengahkan dalam esei ini adalah berjudul Tijah Tukang Chukor. Novel Tijah Tukang Chukor ini juga diterbitkan pada tahun 1967 oleh Penerbit Marang. Novel ini diawali dengan watak Tok Seman atau Osman yang berusaha menyelaraskan dusun durian orang kampung dengan mewujudkan ‘Tabong Bimbingan Belia’ yang bertujuan untuk memberi latihan berniaga. Tabung ini bertujuan menghimpunkan wang supaya dapat membeli alat muzik untuk pasukan pancaragam kampung dan menganjurkan pelbagai acara lokal. Salah seorang teman Osman adalah kadir yang sering ke Kuala Lumpur dan menceritakan perihal sebuah kedai gunting rambut yang dimiliki oleh seorang wanita Melayu. Wanita ini diberi gelaran ‘Tijah tukang chukor’ dan memberi perkhidmatan menggunting, mencukur dan mendandan pelanggan dengan baik. Pekerjaan seorang perempuan Melayu sebagai tukang gunting pada waktu itu sangat langka. Ketika Tijah memberikan perkhidmatan menggunting rambut dan mencukur misai atau janggut pelanggannya, Tijah akan berbual-bual dengan mereka sambil membincangkan pelbagai isu semasa antara lain ialah bagaimana untuk mengatasi persaingan dalam perniagaan. Salah seorang pelanggan setia Tijah ialah Samsuri. Teman baik Samsuri pula adalah Dollah. Plot novel bergerak apabila Samsuri mengikut Dollah ke rumah Pak Ngahnya. Di tengah-tengah novel ini tersela adegan Tijah dan Samsuri berkelah serta cerpen karangan Nuraini yang dibaca oleh Tijah. Ketika perniagaan Tijah semakin merosot, salah seorang pelanggan Tijah bernama Murad yang diberi gambaran sebagai seorang yang kaya dan gemuk telah meminang Tijah. Ibu bapa Tijah membuat keputusan untuk mengahwinkan Tijah dengan Murad meski diketahui keperibadian Murad sangat tidak bermoral. Isteri pertama Murad pula seorang tahi judi dan anaknya, Salleh pula mengalami kemurungan. Walaubagaimanapun Tijah berkeras menolak lamaran Murad. Tijah malah nekad sehingga sengaja membiar diri ditangkap basah dengan Dollah. Novel diakhiri dengan perkahwinan Tijah dan Dollah dan hasrat kedua-duanya untuk membesarkan perniagaan Tijah menjadi ‘Persolekan Tijah dan Dollah’. Seperti mana Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, dan Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, novel Tijah Tukang Chukor juga mengabaikan aspek cerita yang kukuh dan lebih memberi penekanan kepada idea dan kritikan-kritikan Pak Sako terhadap masyarakat khususnya tingkah laku orang Melayu. Sebelum mendalami wacana yang dibentangkan dalam novel-novel terpilih ini, adalah jelas berdasarkan paparan di atas, Pak Sako berusaha mempersembahkan karya beliau  dengan gaya kewacanaan. Keempat-empat novel yang dikemukakan dalam kertas ini iaitu Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor ternyata mengabaikan komponen cerita. Pak Sako tidak memberi perhatian kepada aspek konvensional sebuah karya sastera seperti pendahuluan, klimaks dan pengakhiran cerita. Novel Yang Miskin dan Yang Mewah misalnya digubah secara anti-plot. Malahan kemuncak novel ini adalah penganjuran forum mengenai kelas sosial dalam masyarakat yang turut dijadikan judul novel ini. Watak-watak yang diketengahkan juga tidak jelas latar belakangnya, dimatikan begitu sahaja tanpa kesan; dan hanya berguna untuk menggerakkan idea atau wacana dan pemikiran beliau tentang bermacam-macam isu dan persoalan. Dalam novel Budak Beca sebagai misalan, watak pengayuh beca bernama Embong dan Mamat hanya diperalatkan untuk menyampaikan pandangan-pandangan Pak Sako mengenai Malaya di ambang kemerdekaan. Malahan di tengah naratif, watak Embong hilang begitu sahaja dan tidak diperihalkan lebih lanjut. Namun begitu, watak-watak yang ditampilkan oleh Pak Sako dalam karya-karya di atas adalah watak-watak yang selalunya tidak bermoral, iaitu antara lain adalah pelacur, pemaksiat yang akhirnya akan insaf, penjudi, dan pemabuk. Watak beragama seperti Pak Abbas, bapa Tijah dalam novel Tijah Tukang Chukor diberi peranan kecil. Walaupun sedemikian, perlakuan maksiat dan batil watak-watak ini tidak dibesar-besarkan dan diketengahkan secara terkawal. Malahan adegan yang sepatutnya erotis antara suami isteri tidak diberi porsi yang besar dan hanya ditampilkan untuk memancing minat pembaca kepada idea-idea lain. Sering kali juga gurau senda suami isteri, pasangan kekasih atau gandingan pelacur pelanggan tersebut ditamatkan begitu sahaja dan tidak ditokok secara keterlaluan. Dalam karya Norita dan Kesah2 Kuching Hitam misalnya, usaha Rose untuk memancing, menggoda dan memperdaya Pak Kassim lebih disarati dengan jual beli pantun berbanding adegan seksual yang memberahikan. Oleh demikian, karya Pak Sako di atas dapat dikatakan menuju kepada ciri gagasan Persuratan Baru yang memilih untuk mengangkat daya kreatif yang tinggi, terkawal dan beradab’. Dalam erti kata lain seks atau erotisme tidak menjadi komponen wajib dan tidak dijadikan elemen sensasi untuk melicin dan melincirkan cerita. Rumusnya, kesempatan tertentu yang ada ketika berkarya tidak membuatkan Pak Sako memilih untuk menghuraikan adegan seks dan erotisme. Watak-watak dalam gelora seks tersebut akan sebaliknya memilih untuk berhujah idea. Pembentangan wacana tampak mendadak atau spontan justeru tidak disusun atur, atau disaring dan dianalisis secara mendalam. Dalam novel-novel di atas, watak-watak seperti setiausaha peribadi seorang profesor, pengayuh beca, petugas masyarakat sivil, tukang gunting rambut malah ibu ayam ikut menyatakan idea kritis tentang masyarakat. Ini dapat dikatakan sengaja dilakukan oleh Pak Sako memandangkan beliau masih boleh memilih watak ilmuan seperti yang dihadapkan dalam novel Yang Miskin dan Yang Mewah. Sungguh pun wacananya tidak dibahaskan dengan bersungguh-sungguh, kritikan dan idea yang diketengahkan oleh Pak Sako, meski tidak begitu mendalam, dapat dikatakan segar dan elok dikaji. Wacana Masyarakat Sivil Sejak ‘The Universal Declaration of Human Rights’ diperkenalkan pada 10 Disember 1948, kewujudan dan pemerkasaan masyarakat sivil telah diberi perhatian yang besar. Malah deklarasi hak asasi manusia di peringkat global tersebut menegaskan hak asasi manusia sesebuah negara hanya dapat diukur sakit sihatnya menerusi dialog hak asasi manusia yang bertunjangkan keberadaan dan keberkesanan masyarakat sivil (Swiss Federal Department of Foreign Affairs 2008: 31). Dalam hal ini aktor atau watak masyarakat sivil adalah aktivis hak asasi manusia, badan-badan bukan kerajaan yang berperanan untuk mengupayakan kumpulan tertindas, organisasi yang memperjuangkan isu-isu kebajikan masyarakat lokal, gerakan sosial, institusi awam seperti universiti dan golongan profesional yang terlibat dengan hak asasi manusia seperti peguam, doktor perubatan, sarjana dan petugas kemanusiaan (United Nations Human Rights 2008: vii-viii). Keberadaan watak Mustapha di dalam novel Budak Beca selaku seorang penyelidik dan petugas dari sebuah badan bukan kerajaan menjelaskan pandangan Pak Sako mengenai masyarakat sivil. Pengarang memberikan isyarat jelas bahawa parti-parti politik belum tentu dapat dipercayai berbanding masyarakat sivil yang berperanan untuk mengupayakan masyarakat dari pelbagai aspek: Pernah Mamat bertanya dari mana Mustapha dapat wang. “Dari persatuan saya,” jawab Mustapha. “Umno atau negara?” Mamat bertanya. Nama parti-parti politik yang sentiasa bergaduh itu memang Mamat tahu, tetapi dia tidak masuk salah satu dari dua parti itu. “Bukan. Persatuan yang menghantar saya ke mari tidak bertujuan politik, tetapi sebuah persatuan kebajikan yang bertujuan memberikan jasanya kepada orang ramai, kepada masyarakat, yang bertujuan membimbing rakyat jelata kehidupan yang lebih baik, yang bersih dan jujur, berbudi kepada orang ramai.” “Saya tidak faham,” kata Mamat. “Yang saya tahu ialah sekarang orang-orang dalam negeri ini sedang sibuk dan menyebut soal-soal politik. Perkara pilihanraya.” (Pak Sako 1992: 37). Selain itu Pak Sako juga memberi peringatan kepada masyarakat atau pembacanya perihal tipu muslihat ahli politik. Ini berbeza dengan peranan masyarakat sivil yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang awam akan hak-hak sebenar yang dimiliki oleh mereka. Dialog dalam petikan di bawah ditutur oleh Mamat kepada watak Embung: “Mereka jadi Yang Berhormat ialah kerana kita, sebab kita yang memilih mereka itu dan yang memakmurkan negara kita ini kita juga. Kita yang menanam padi, kita yang mencangkul jalan, kita yang menggali tali air dan saya umpamanya. Sudah tujuh tahun berjuang untuk kepentingan tanahair. Negeri ini boleh jadi merdeka ialah sebab kita semua. Orang-orang yang jadi Berhormat itu ialah kerana tipu muslihatnya, kerana pujuk rayu dan kecek temberangnya. Hidup mereka itu yang sebenarnya tidaklah ada bezanya dengan kita semua.” (Pak Sako 1992: 5). Novel Budak Beca turut membenihkan saranan supaya masyarakat sivil menjana laba menerusi perniagaan dan penerokaan tanah untuk mengupayakan golongan tertindas. Antara lain, bentuk pengupayaan yang difikirkan oleh watak Mustapha sebagai berkesan adalah dengan menanggung pendidikan kaum miskin ini, atau dalam erti kata lain memberikan pendidikan percuma: Jikalau belanja mendidik seorang pemuda di sebuah universiti berjumlah tiga ribu ringgit setahun, dan belanja mendidik ahli-ahli kita hanya seribu ringgit sahaja setahun dalam satu rancangan seperti yang saya syorkan itu maka faedahnya kepada masyarakat boleh dikatakan serupa sahaja sebab nilai tujuannya serupa iaitu menjadikan pemuda-pemuda itu rakyat yang baik, berguna sepenuh hidupnya kepada tanah air dan bangsa (Pak Sako 1992: 92). Surat-surat atau laporan rasmi Mustapha hasil penyelidikannya mengenai mentaliti orang kampung dan miskin di Pantai Timur seperti yang diajukan kepada setiausaha agung persatuannya di Kuala Lumpur berfungsi untuk menjelaskan idea-idea Pak Sako. Idea-idea tersebut adalah untuk memperkasakan masyarakat sivil demi kesejahteraan orang awam atau rakyat. Ini dilakukan, memandangkan parti politik penuh dengan tipu muslihat dan gagal melihat keutamaan atau kepentingan kaum tertindas. Ini dapat dikesani dalam bab yang diberi judul ‘Laporan’ (Pak sako 1992: 86-99) dan bab ‘Mamat Mengarang’ (Pak Sako 1992: 111-125). Dalam pada itu novel Yang Miskin dan Yang Mewah menampilkan watak Profesor Ali Ahmad dan Profesor Kudus dari Universiti Hang Jebat yang mengupah khidmat Shamsuddin untuk melakukan penyelidikan mengenai keadaan masyarakat Melayu di pedalaman dan bagaimana kaum miskin dan melarat ini ditindas dan terkebelakang oleh polisi dan dasar yang diletakkan oleh pemerintah ketika itu. Penganjuran forum berjudul ‘Yang Miskin dan Yang Mewah’ menyediakan platform untuk aktor masyarakat sivil berbahas pro dan kontra mengenai dasar-dasar kerajaan. Forum itu juga menjadi ruang untuk kritikan-kritikan terhadap kerajaan dibentangkan. Sebagai contoh, dalam novel ini, watak Anton Zailani seorang mahasiswa dari Universiti Malaya telah dihadirkan untuk mengkritik dasar kerajaan yang sendeng dan berpihak kepada kaum pemodal: Dato’ Pengerusi yang terhormat. Pada pengajian saya masa’alah kemiskinan orang2 Melayu tidak boleh selesai dengan mengadakan beberapa orang kapitalis Melayu sebab pada dasar-nya penindasan kaum kapitalis itu tidak memileh kaum atau bangsa. Kapitalis Melayu akan menindas buroh2 Melayu atau buroh2 daripada apa bangsa juga pun asalkan mereka itu boleh mendapat keuntongan. Sa-bagai chontoh yang kechil dan mudah, mari-lah kita lihat dan saksikan sa-orang pekedai Melayu yang berniaga dalam kampong sabuah Melayu. Adakah si pekedai itu akan menjual barang2 lebeh murah daripada sa-buah kedai yang lain dalam kampong itu juga yang dipunyai oleh seorang Malbari? Tentu tidak! Sebab-nya mudah benar. Kalau oleh dia saorang Melayu dan pelanggan2nya semau-nya Melaya maka dia menjual barang2nya lebeh murah kepada orang2 Melayu maka dalam sadikit masa sahaja dia akan bengkerap, kedai-nya tutop dan orang Malbari itu akan maju dan beruntong. Jadi, saya ulangi bahawa masa’alah kemiskinan orang2 Melayu tidak boleh hapus atau selesai degan mengadakan beberapa orang kapitalis2 Melayu, pemborong2 Melayu. Inilah yang di-sebut orang teori kachang goreng (Pak Sako 1966: 50). Seperti mana surat-surat yang ditulis oleh Mustapha kepada pimpinan persatuannya dalam novel Budak Beca, surat-surat Zarina Zainab Ghafoor kepada kakaknya Siti Shamsinar dalam novel Yang Miskin dan Yang Mewah turut berisi kritikan terhadap orang Melayu yang belum boleh bersatu merubah nasib mereka sendiri sebaliknya terus terpengaruh dengan hal-hal karut dan khayal. Zarina menegaskan orang Melayu masih di takuk kemiskinan kerana tidak sedar kepada jurang kelas yang semakin lebar. Ini ekoran orang Melayu sentiasa berhibur dan tertutup oleh perkembangan isu semasa (Pak Sako 1966: 9-19). Selain itu watak Osman dalam novel Tijah Tukang Chukor dihadapkan kepada pembaca sebagai berusaha untuk menyelia urus keuntungan yang diperolehi oleh orang kampung Buloh Gading ekoran jualan laris durian (Pak Sako 1967: 10-12). Dalam karya Pak Sako ini, musuh masyarakat sivil diwakili oleh kaum pemodal-hartawan. Kemajuan perniagaan dan kecekalan Tijah menolak lamarannya membuatkan Murad marah dan mengugut untuk menjatuh dan menindas Tijah: “Ooh baru jadi tukang chukor sudah sombong, ya? Nanti saya upah samseng2 jahanamkan tempat anak awak itu”. Inche Murad mengugut lagi. “Tolong-lah tuan. Janganlah tuan buat apa2 padanya, tuan. Kesihan-lah pada kami orang2 miskin. Tuan orang Melayu, saya orang Melayu. Tuan orang Islam, saya pun orang Islam”, Pak Abbas merayu. “Duit saya tidak kenal Melayu dan tidak kenal Islam”, sahut Inche’ Murad dengan takbur dan bongkak (Pak Sako 1967: 162). Tijah juga menyelar sikap ibu-bapanya yang sanggup menjodohkannya dengan Murad atau anaknya Salleh semata-mata kerana Murad berkedudukan tinggi. Secara terang Tijah membantah dan menyifatkan tindakan bapanya tersebut sebagai satu bentuk korupsi: “Ayah dan emak sudah korapsi”, kata Tijah dengan muka masam. “Rumah tangga boleh runtoh apabila sa-orang ayah dan sa-orang emak korapsi, bila makan suap. Kerajaan pun boleh runtoh dan jatoh apabila para menteri dan pemimpin2 kerajaan itu korapsi. Ayah dan emak nak jual saya, ya?’ Tijah menyoal dengan chara marah (Pak Sako 1967: 153). Meskipun idea-idea Pak Sako tentang masyarakat sivil ini diajukan dalam bentuk surat, forum, dan perbualan orang biasa (tidak terpelajar), ia masih memberi keterangan yang memadai untuk persoalan yang ingin disampaikan oleh Pak Sako. Kritikan Terhadap Politik Tiada Etika Antara keempat-empat novel terpilih yang dibincangkan dalam esei ini, novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam sarat memuatkan kritikan terhadap politik liar atau politik tiada etika. Apa yang dimaksudkan dengan politik tiada etika di sini adalah politik kotor yang korup, penyelewengan kuasa, keganasan politik dan budaya politik lucah tanpa integriti. Tersebarluasnya politik korup, batil dan tiada etika ini menyebabkan rakyat atau orang awam kehilangan kepercayaan kepada pemerintah serta memilih untuk cenderung kepada masyarakat sivil yang lebih hampir dengannya: What happens when political leaders behave unethically? The public becomes cynical and suspicious, people morale suffers, and confidence in government is shattered. To combat this cynicism, the political leaders must exhibit the old-fashioned virtues of honesty, respect, integrity, professionalism, accountability, fairness, competence, and responsibility (Chinda Tejavanija 2007: 8). K Ramanathan (1989: 319) misalnya menyebutkan salah satu ciri politik tiada etika adalah apabila terdapatnya ciri-ciri totalitarian. Antara ciri totalitarian ini adalah apabila ‘hanya satu parti politik sahaja yang wujud meliputi peratusan yang kecil daripada jumlah penduduk keseluruhannya’. Beliau seterusnya menyatakan pemonopolian media massa dan pengawasan semua aspek kehidupan dengan pengawalan dan pemantauan terhadap semua lapisan masyarakat merupakan salah satu ciri politik rejim atau politik yang mengikat. Suatu hal yang wajar disentuh ialah politik tidak bermoral menjadi tema khusus dalam Norita dan Kesah2 Kuching Hitam. Persoalan ini ditampilkan menerusi watak Norita dan Rose, dua watak yang tidak bermoral iaitu ibu ayam dan pelacur (tukang urut). Pak Sako kelihatannya ingin menegaskan ketidaksenangan beliau terhadap gaya politik biadab yang berleluasa dalam politik negara ketika itu. Terdapat kemungkinan Pak Sako sengaja memilih watak yang tidak bermoral seperti ibu ayam dan pelacur untuk menjelaskan persoalan keruntuhan moral ahli politik. Sebagai contoh, watak Norita (seorang ibu ayam) membacakan kepada Rose keratan akhbar mengenai niat dan azam ahli politik wanita dari parti UMNO untuk membela nasib kaum perempuan. Dapat diandaikan di sini, bahawa watak pelacur yang bercakap mengenai hasrat seorang pemimpin wanita untuk membela kaum wanita adalah satu sindiran pedas terhadap parti tersebut: Aku bersukachita bahwa sekarang sudah ada tindakan2 atau sa-kurang-kurangnya suara2 daripada pemimpin2 kaum wanita untok menjaga maruah, kehormatan dan kepentingan kita kaum wanita seluroh-nya” – sambong Norita yang kemudian membachakan satu berita dari Batu Pahat yang tersiar dalam Utusan Melayu… …Norita meletakkan kertas-khabar itu balek ka-atas meja. Berita itu yang sa-benarnya bukan besar dan tidak pula luar biasa kapada-nya. Bagaimana pun dia besar hati mengetahui bahwa wanita2 Melayu sekarang sudah bertambah ramai yang berani menyatakan pendapat dan fikirannya. Dia sedar, kemajuan dalam berbagai-bagai lapangan, telah dichapai oleh kaum wanita bangsa-nya. Hal ini juga menyenangkan hati-nya. Tetapi nasib golongan wanita2 saperti Rose, Lili, Mary, Maria dan lain2 yang beraih malam di bandar2 besar dan kechil dalam Malaysia adalah mendesak dan menggesa perasaan-nya supaya berbuat sa-suatu yang baik dan menguntongkan untok mereka itu. “Saya angkat tangan beri hormat pada Che’ Sumiah” – kata Rose olok-olok berbangga (Pak Sako 1968: 89-94). Dalam satu sedutan lain dari novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, Pak Sako menegur perseteruan politik antara pemimpin-pemimpin Melayu di Pahang pada waktu itu. Beliau menyifatkan perselisihan politik mereka adalah bersumberkan kebendaan dan kuasa dan bukan untuk kepentingan masyarakat atau rakyat. Watak Kassim yang sedang diperhatikan Norita dan Rose mengeluh kepada teman bualnya: “Yang dah kaya nak kaya lagi. Pada hal rezeki banyak dalam negeri ini, terutama macham negeri pahang ini. Kalau berbagi dengan adil neschaya tak habis sampai ka-chuchu chichit. Tetapi apa sudah jadi? Lihat saja-lah perkara Rahman Talib dengan Bakar Ismail, mithal-nya. Yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang. Lesong dengan chupak berlaga, ayam yang kenyang, dan antan yang patah” – bersungut lagi orang tua itu. “Betul. Inche’ Kassim, betul” – Mat Din menyokong dan bersimpati dengan perasaan tak puas hati-nya itu. “Baru2 ini pulak, Inche Kassim” – Omar pula menokok – “Ada chadangan nak buat undang2 untok kepentingan orang2 yang memegang tampok kerajaan negeri ini. Kalau mereka itu mati atau dapat kemalangan, hilang mata atau tangan, mithalnya, kerajaan negeri ini akan bayar kepada mereka itu atau waris-waris-nya” (Pak Sako 1968: 124). Seperti yang dinyatakan oleh Chinda Tejavanija (2007) sebelumnya, politik tiada etika hanya akan menyebabkan rakyat tidak berpartisipasi, putus asa dan hilang kepercayaan kepada pemerintah atau kerajaan, khususnya jika kerajaan tersebut kerajaan yang korup. Dalam konteks ini, watak Norita dalam novel Norita dan Kesah2 Kuching Hitam menyatakan kerajaan tidak menyumbang apa-apa kepada kehidupannya yang sudah sedia tidak bermoral itu: Itu semua-nya tidak berarti apa2 kepada Norita. Kabinet turun naik, kerajaan2 hanchor lebor, dan bertukar ganti. Itu sudah berulang2 kali semenjak zaman dahulu kala. Sa-puloh jong masok, anjing berchawat ekor juga. Dua puluh jong pechah, ikan2 yu yang kenyang (Pak Sako 1968: 168). Teguran dan kritikan Pak Sako terhadap politik tiada etika ini wajar menjadi renungan. Pak Sako, sebagai tokoh besar kesusasteraan dari Pahang sendiri pernah menjadi mangsa politik tanpa etika. Menurut Wahba (1987: 54-55), Pak Sako pernah bertanding di parlimen Temerloh mewakili Barisan Sosialis pada tahun 1959. Meskipun Pak Sako mendapat sokongan yang menggalakkan, beliau telah tewas kerana terdapatnya propaganda jahat bahawa kononnya Pak Sako bertanggungjawab membawa masuk Jepun ke Tanah Melayu. Propaganda atau fitnah Pak Sako selaku ejen asing ini disebarkan oleh ‘pendatang-pendatang daripada Sumatra (Kampar)’ yang berfahaman ‘mahu kaya dan senang’. Tan Sri Abdul Samad Ismail (1996: 26) dalam mengulas aktiviti politik Pak Sako menyatakan ‘Ishak berhasrat menjadi seorang wakil rakyat di barisan pembangkang’ dan tidak pernah berharap ‘untuk menjadi Perdana Menteri’. Malah Abdul Samad menegaskan kehidupan seorang pemimpin pembangkang agak sukar walau beliau ‘terletak di luar arus perdana’. Apa yang lebih penting, Abdul Samad juga mencatatkan yang perjuangan politik Pak Sako ‘tidak pernah mencetuskan konflik yang tajam dengan golongan lain’ dan ideologi ‘politiknya tidak mempengaruhi nilai-nilainya sebagai seorang manusia yang rendah diri’. Kesimpulan Tidak dapat dinafikan lagi Pak Sako atau Ishak Haji Muhammad adalah figur besar dari negeri Pahang. Kewibawaan beliau sebagai sasterawan bukan sahaja menyerlah dalam karya beliau seperti Putera Gunung Tahan dan Anak Mat Lela Gila, bahkan pengarang kelahiran Temerloh, ini turut menyerlah dalam karya terpilihnya seperti Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor. Karya-karya Pak Sako ini kurang diketahui umum sedangkan ia menampilkan mesej yang kuat serta baik persembahannya. Karya-karya Pak Sako yang terpinggir ini ternyata mempunyai keistimewaan tersendiri dan sangat relevan dengan lingkungan sosio-politik hari ini. Dua wacana yang kelihatan jelas sekali dalam novel-novel terpilih beliau ini adalah wacana masyarakat sivil dan juga kritikan beliau terhadap politik tiada etika. Dalam wacana-wacananya ketika tahun 1960an itu Pak Sako berpendapat kerajaan yang ada tidak banyak membantu orang Melayu dan memusuhi keadilan untuk golongan miskin. Novel-novel terpilih Pak Sako iaitu Yang Miskin dan Yang Mewah, Budak Beca, Norita dan Kesah2 Kuching Hitam, dan Tijah Tukang Chukor masih boleh dan enak ditatap wacananya kali ini.



[i] Dalam sebuah buku yang lain, Pak Sako dinyatakan berasal dan lahir di Kampung Segentang. Lihat A. Karim Haji Abdullah. 1988. Pak Sako Bestari. Binakarya Sdn Bhd. Petaling Jaya. Halaman 1. Pak Sako sendiri turut menyatakan beliau dilahirkan di Kampung Segentang. Lihat Pak Sako. 1996. Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Halaman 29.   Rujukan A. Karim Haji Abdullah. 1988. Pak Sako Bestari. Petaling Jaya. Binakarya Sdn Bhd. Abdul Latiff Abu Bakar. 1988. ‘Ishak Sebagai Seorang Penulis dan Ahli Politik’. Dlm. A. Karim Haji Abdullah (ed.). Pak Sako Bestari. Petaling Jaya. Binakarya Sdn Bhd. Abdul Samad Ismail. 1996. ‘Kata Pendahuluan’. Dlm. Pak Sako. Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Chinda Tejavanija. 2007. Ethics Of Political Leaders: The Comparative Study Of George W. Bush & Thaksin Shinawatra. Tanpa Tempat. King Prajadhipok’s Institute. http://www.spu.ac.th/intl/files/2011/02/Article-2.pdf H.C Mohamad A. Rahman. 1967. Dlm. Ishak Haji Muhammad. Tijah Tukang Chukor. Marang. Penerbit Marang. Ishak Haji Muhammad. 1966. Yang Miskin dan Yang Mewah. Kuala Lumpur. Pustaka Melayu Baru. Ishak Haji Muhammad. 1967. Tijah Tukang Chukor. Marang. Penerbit Marang. Ishak Haji Muhammad. 1968. Norita dan Kesah2 Kuching Hitam. Marang. Penerbit Marang. K. Ramanathan. 1989. Asas Sains Politik. Shah Alam. Fajar Bakti. Mohamad Sabu. 2003. Hansard Parlimen:  Perbahasan Rang Undang-undang Arkib Negara 2003. Dokumen Kerajaan DR.25.6.2003. Cawangan Dokumentasi Parlimen Malaysia. Kuala Lumpur.1-109. Pak Sako. 1987. Catatan Pengalaman Pak Sako. Petaling Jaya. Binakarya Sdn Bhd. Pak Sako. 1992. Budak Beca. Kuala Lumpur. Marwilis Publisher & Distributor Sdn Bhd. Pak Sako. 1996. Memoir Pak Sako: Putera Gunung Tahan. Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Siang, L.K. 1987. Pursuit of a Malaysian Dream: Parliamentary Opposition Leader DAP Secretary-General and MP for Tanjung. 29 September. Bibliotheca. http://bibliotheca.limkitsiang.com/ Swiss Federal Department of Foreign Affairs. 2008. ABC of Human Rights. Bern. Directorate of Public International Law. United Nations Human Rights. 2008. Working With the United Nations Human Rights Programme: A Handbook for Civil Society. Geneva. Office of the High Commisioner for Human Rights. Wahba. 1987. Pak Sako Tokoh Tiga Zaman. Kuala Lumpur. Progressive Products Supply.
VERMOX
]]>

Seni dan budaya: apa cerita?

Jalanan-LOGO-02-300x166

Islamisasi, Arabisme, kapitalisme dan kuasa: apa persamaan mereka? Semua memainkan peranan dalam menekan dan mengkongkong hak dan perkembangan seni budaya di Malaysia. Inilah antara isu-isu yang dikupas dalam episod Dialog Jalanan minggu ini.

Zikri Rahman dan Baihaqi Najib kali ini disertai penggerak-penggerak seni Hasmi Hashim dan Aisyah Baharuddin untuk merenung isu kepentingan seni dalam kematangan (?) masyarakat Malaysia dan masa depan seni mereka yang tak tentu. Dendangan suara merdu Mior Yusuf Aziddin turut menyertai perbincangan. Mengenai Dialog Jalanan: Dialog Jalanan merupakan satu podcast yang bertujuan untuk meluaskan wacana kritis melalui renungan mengenai isu-isu semasa, terutamanya isu-isu yang berkaitan dengan hal hubungan antara budaya dan agama di negara Malaysia yang kaya dengan kemajmukan. Niat asas kami hanyalah untuk mendalamkan pemahaman kami terhadap isu-isu yang biasanya digelar sensitif dengan cara yang berpaksikan nilai kemanusiaan. Niat dan matlamat kami bukan untuk menyebar mana-mana ideologi atau agama. Podcast ini diterbitkan dengan kerjasama Buku Jalanan. Buku Jalanan ialah sebuah gerakan perpustakaan jalanan yang berkonsepkan peminjaman buku secara percuma, tanpa birokrasi dan seiringan dengan aktiviti seni serta kebudayaan. Ianya bermula di Shah Alam pada tahun 2011 dan kini telah berkembang kepada lebih dari 30 buah perpustakaan – semuanya bergerak dengan autonomi penuh dan dicorakkan oleh keadaan dan agenda tempatan masing-masing. Yang menyatukan kesemua Buku Jalanan ialah sebuah aktivisme untuk membawa kesusasteraan dan kebudayaan ke masyararakat umum dengan menggunakan ruang awam di setiap kota yang mereka diami.
VERMOX
]]>

CFM: Satu negara bagi semua

Penyataan Hari Merdeka Christian Federation of Malaysia / Persekutuan Kristian Malaysia: Pada tahun ini Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-56 bagi Malaya dan ulang tahun yang ke-50 bagi formasi negara Malaysia sejak tahun  1963. Kita mengucap syukur kepada Tuhan yang Maha Besar bagi hikmat dan kekuatan  yang dikurniakan kepada pemimpin nasional dan negeri sepanjang tahun ini bagi  keamanan yang relatif dan kemakmuran yang kita nikmati sebagai satu negara. Seiring dengan bapa-bapa pengasas Malaysia, doa dan harapan kami ialah supaya Tuhan yang Maha Besar akan membimbing kita dalam memberi visi dan  membentuk satu bangsa yang menyatukan semua orang; satu bangsa yang merangkumi semua dan bukan satu negara yang berpecah. Satu negara bagi semua. Perjalanan selama 50 tahun merupakan satu langkah kecil dalam evolusi sebuah negara. Namun, kita boleh berbangga walaupun berdepan dengan banyak dugaan kita telah harunginya sebagai satu bangsa terdiri dari pelbagai kaum yang bersatu dalam keamanan dan harmoni, disebabkan oleh nilai hormat sesama sendiri dan perhubungan harmoni antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, janganlah kita menjadi angkuh tetapi secara aktif membina negara ini bersama dibawah naungan Tuhan dan terus mencari rahmat, damai dan kebaikan untuk yang lain dan komuniti kita. Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengukuhkan negara kita atas tiang berkembar kebenaran dan keadilan dalam usaha untuk memberi semua harapan dan tempat di atas tanah tercinta Malaysia. Kami mengesa semua rakyat Malaysia untuk membentuk satu system undangundang yang akan memberikan kesaksamaan dan perlindungan yang sama rata di bawah undang-undang untuk kesemua rakyat Malaysia. Kami menyeru semua rakyat Malaysia yang aman dan yang cintakan keamanan untuk menolak mereka yang mempunyai unsur perkauman dan cauvinis agama dalam pertuturan dan tindakan mereka. Kita perlu menentang dengan aktif semua yang menerap ketakutan dan kebencian terhadap orang lain atas dasar bangsa dan agama demi kepentingan dan kelebihan politik tertentu. Kami meminta semua rakyat Malaysia untuk terus menunjukkan sikap saling hormat menghormati dan menjaga hak-hak asasi manusia dan maruah satu sama lain dan menunjukkan kesemua ini melalui keberanian untuk bersuara menentang ketidakadilan dan semua jenis ekstremisme. Marilah kita mempertingkatkan kesedaran kita dan pertimbangan kita bagi orang lain yang hidup di sekeliling kita dan melayani semua orang dengan kasih sayang, maruah dan hormat kerana kita semua anak-anak Tuhan. Sebagai Kristian di Malaysia kita terus berdoa untuk kesejahteraan dan kebaikan negara kita yang tercinta MALAYSIA. Kami berdoa agar Tuhan yang Maha Besar akan membantu dalam usaha pembinaan negara kita yang terus membentuk dan memakmurkan negara atas dasar kebenaran dan keadilan supaya kita boleh hidup bersama-sama dalam perpaduan, damai dan harmoni. Kita berdoa untuk kesediaan serta kesungguhan polis dan angkatan tentera kita untuk memastikan perlindungan dan keselamatan negara yang kita cintai. Kita terus berdoa untuk berkat kebijaksanaan dan keberanian moral dari Tuhan kepada Yang Di-Pertuan Agong, Raja-Raja, Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet beliau, kesemua Mentri Besar negeri dan Ketua Menteri dan juga ahli-ahli Majlis Eksekutif mereka, dan semua Ahli Parlimen kita dan Wakil Rakyat Negeri, bahawa mereka akan mewakili rakyat dengan penuh tanggungjawab dan integriti, kejujuran dan mentadbir dengan adil, sentiasa mengecapi kebaikan bersama. Ditandatangani oleh: Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi Bishop Emeritus Antony Selvanayagam, Naib-Pengerusi Rev. Datuk Jerry Dusing, Naib-Pengerusi Bishop Philip Lok Oi Peng, Naib-Pengerusi

VERMOX
]]>

Dialog: Budaya kita ke?

Jalanan-LOGO-02-300x166 Dengan lataran kontroversi basuh anjing dan pergulatan penggunaan surau, Dialog Jalanan pada kali ini membentangkan renungan mereka mengenai kepentingan dialog antara budaya dan kaum untuk konteks Malaysia yang kaya dengan kemajmukan. Episod ini memaparkan perspektif saudara Zaid Kamaruddin dari IKRAM dan saudari Amanda Leonie wakil SALT (School of Acting Justly, Loving Tenderly, Treading Humbly). Pure Vibracion juga turut didengari.  Mengenai Dialog Jalanan:

Dialog Jalanan merupakan satu podcast yang bertujuan untuk meluaskan wacana kritis melalui renungan mengenai isu-isu semasa, terutamanya isu-isu yang berkaitan dengan hal hubungan antara budaya dan agama di negara Malaysia yang kaya dengan kemajmukan. Niat asas kami hanyalah untuk mendalamkan pemahaman kami terhadap isu-isu yang biasanya digelar sensitif dengan cara yang berpaksikan nilai kemanusiaan. Niat dan matlamat kami bukan untuk menyebar mana-mana ideologi atau agama. Podcast ini diterbitkan dengan kerjasama Buku Jalanan. Buku Jalanan ialah sebuah gerakan perpustakaan jalanan yang berkonsepkan peminjaman buku secara percuma, tanpa birokrasi dan seiringan dengan aktiviti seni serta kebudayaan. Ianya bermula di Shah Alam pada tahun 2011 dan kini telah berkembang kepada lebih dari 30 buah perpustakaan – semuanya bergerak dengan autonomi penuh dan dicorakkan oleh keadaan dan agenda tempatan masing-masing. Yang menyatukan kesemua Buku Jalanan ialah sebuah aktivisme untuk membawa kesusasteraan dan kebudayaan ke masyararakat umum dengan menggunakan ruang awam di setiap kota yang mereka diami.
VERMOX
]]>

#Fast4Malaysia: Puasa demi perpaduan

#Fast4Malaysia mula dipromosikan menerusi media sosial dan akhbar tempatan, seperti yang memang sudah dijangkakan, muncul pelbagai reaksi serta tanggapan kurang tepat mengenai acara berkenaan. [caption id="attachment_2339" align="alignleft" width="300"]Kami mengambil peluang berbual-bual dengan beberapa peniaga. Kami mengambil peluang berbual-bual dengan beberapa peniaga.[/caption] Misalnya, ada pihak yang mempersoalkan mengapa masyarakat Bukan Islam perlu sama-sama berpuasa sedangkan “puasa” adalah amalan dan tuntutan dalam agama Islam. Ternyata kelompok seperti ini tidak tahu-menahu mengenai amalan puasa dalam budaya dan agama lain; misalnya seperti yang saya jelaskan secara asas menerusi makalah “Kisah Puasa” (Projek Dialog, 15 Julai 2013) dan “Kisah Viratam” (The Malaysian Insider, 22 Julai 2013). Di pihak Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pula, cadangan yang dikemukakan oleh aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir; perunding media digital, Niki Cheong; dan penggerak Projek Dialog, Ahmad Fuad Rahmat diterima baik kerana objektif #Fast4Malaysia selaras dengan usaha Kavyan memupuk perpaduan menerusi aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya. Maka pada tarikh 31 Julai 2013, Kavyan berusaha mengumpulkan beberapa individu yang memang terlibat dalam aktiviti selama ini. Memandangkan tempoh bagi persiapan tidak lama, acara yang dirancang juga amat sederhana tetapi penuh bermakna dalam usaha mendoakan kesejahteraan bagi negara tercinta ini. Menerusi tema “Tolak Perkauman, Pupuk Perpaduan”, wakil Kavyan diminta memuatkan foto, video, catatan ringkas dan pengalaman berhubung penyertaan dalam acara ini melalui media sosial seperti Facebook dan Twitter menggunakan hashtag #Fast4Malaysia, #Kavyan dan #ProjekDialog. Sejak awal, sudah dinyatakan di Blog Kavyan bahawa #Fast4Malaysia bukan bertujuan meminta peserta pelbagai kaum/agama berpuasa mengikut cara/amalan penganut agama Islam; apatah lagi bermotif dakwah agama. Sebaliknya para peserta berpuasa mengikut amalan/budaya masing-masing. Sesi berbuka puasa anjuran Kavyan dijadualkan pada sekitar pukul 7:30 malam supaya peserta beragama Islam dapat turut berbuka puasa bersama-sama. “Semasa kita meraikan semangat perpaduan sebagai Bangsa Malaysia, ini antara ciri perpaduan dan persefahaman yang sebenar. Ada pihak yang mungkin mempersoalkan mengapa Kavyan mengadakan majlis berbuka puasa. Sebenarnya, ini tanda bahawa orang Bukan Islam turut meraikan orang Islam,” kata Shahulnizam Abd Hamid yang berasal dari Alor Setar, Kedah dan bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarikat multinasional di Shah Alam. Shahrul melibatkan diri secara aktif dalam program Kavyan sejak 2012. Antara aktiviti yang disertainya adalah Baca Cerpen Siru KambamBaca Cerpen Siru Kambam II dan Baca Cerpen Kavyan. Beliau merupakan salah seorang editor bersekutu bagi kumpulan cerpen Kisah dari Siru Kambam (2013) serta penyelaras persembahan semasa Lawatan Penulisan Kavyan ke Ipoh, Taiping dan Permatang Pauh (29-30 Jun 2013). Maka, Shahrul tidak menghadapi masalah untuk menyertai rakan-rakan pelbagai kaum dan agama dalam Kavyan untuk membeli juadah di Bazar Ramadan Taman Sri Muda, terlibat dalam acara ”Baca Cerpen Perpaduan” dan kemudian berbuka puasa secara amat sederhana bersama-sama sebagai sebuah keluarga. [caption id="attachment_2336" align="alignleft" width="275"]Aktiviti dimulakan di Bazar Ramadan Taman Sri Muda. Aktiviti dimulakan di Bazar Ramadan Taman Sri Muda.[/caption] Sejak awal pagi, wakil Kavyan yang terlibat dalam #Fast4Malaysia mula berpuasa mengikut anutan agama masing-masing sebagai tanda menyokong serta mendoakan perpaduan dan keamanan di Malaysia. Peserta beragama Islam bersahur seperti biasa kerana acara diadakan pada bulan Ramadan. “Ini kali pertama saya menyertai #Fast4Malaysia yang pernah diadakan juga pada tahun 2009. Saya rasa cara ini amat baik untuk mendorong persefahaman antara kaum dan agama. Walaupun ada pihak yang memandang serong apabila orang Islam dan Bukan Islam sama-sama berpuasa, berbuka puasa dan meraikan #Fast4Malaysia, saya rasa itu perkara biasa. Banyak perkara negatif yang berlaku sepanjang Ramadan kali ini dan saya gembira kerana ada juga perkara positif seperti ini,” kata Rayner Yeo yang berasal dari Sabah dan kini menetap di Selangor. Anak sulung daripada empat orang adik-beradik dan berdarah kacukan Cina, Dusun dan Murut ini berharap keharmonian antara pelbagai kaum dan agama di Malaysia akan memekar. Rayner adalah peserta Baca Cerpen Siru KambamBaca Cerpen Siru Kambam II dan Baca Cerpen Kavyan, serta bengkel penulisan cerpen dan Lawatan Penulisan Kavyan. Beliau menyokong penuh usaha Kavyan memupuk perpaduan menerusi aktiviti bahasa dan sastera. Berpuasa ikut agama, budaya masing-masing Untuk rekod, wakil Kavyan yang menyokong #Fast4Malaysia telah meneruskan tanggungjawab dan kehidupan seharian seperti biasa sepanjang tempoh berpuasa pada 31 Julai 2013. Berpuasa bukan alasan untuk tidak produktif. Apa yang penting, peserta digalakkan berkongsi pengalaman dari semasa ke semasa menerusi media sosial untuk makluman orang ramai. “Ini merupakan kali pertama saya berpuasa sepenuhnya, iaitu dari awal pagi hingga lewat petang. Sekarang saya dapat lebih memahami dan menghayati bagaimana rakan-rakan saya yang beragama Islam berpuasa. Ternyata cara berpuasa dalam agama Hindu dan Islam sedikit berbeza. Saya gembira kerana dapat merasai kedua-dua cara itu,” kata puteri saya, Devishi Prabha Sankari, yang terlibat dalam aktiviti Kavyan sejak bayi. [caption id="attachment_2338" align="alignleft" width="300"]Acara “Baca Cerpen Perpaduan” diadakan dalam skala kecil-kecilan. Acara “Baca Cerpen Perpaduan” diadakan dalam skala kecil-kecilan.[/caption] Devishi yang merupakan murid Tahun Lima di SK Taman Sri Muda (2), Shah Alam ternyata amat teruja dan menunjukkan minat sejak kali pertama saya memberitahunya mengenai #Fast4Malaysia. Ternyata kanak-kanak juga mengimpikan sebuah negara yang aman dan dihuni rakyat pelbagai kaum yang mengamalkan perpaduan. Sesuai dengan tema “perpaduan”, acara “Baca Cerpen Perpaduan” diadakan di Restoran Seetaram (Nasi Kandar PJ) yang terletak bersebelahan tapak Bazar Ramadan Taman Sri Muda. Setiap peserta membacakan petikan cerpen Bahasa Malaysia yang menggambarkan perpaduan serta suasana kepelbagaian budaya di Malaysia. Memandangkan rata-rata peserta ini sudah biasa mengambil bahagian dalam beberapa acara “baca cerpen” maka tiada sebarang masalah untuk tampil membaca petikan di restoran sambil diperhatikan orang awam. Bagi Perzeus James, pensyarah di Sekolah Perakaunan dan Perniagaan, Kolej FTMS, Bukit Jalil, ini merupakan pengalaman pertama menyertai aktiviti Kavyan. Katanya, walaupun acara baca cerpen dan majlis berbuka puasa dibuat secara kecil-kecilan, ia tetap memberikan sumbangan besar ke arah persefahaman dan perpaduan. “Saya sebenarnya ada suatu mesyuarat berkaitan agama Kristian pada petang ini, tetapi saya memilih untuk menghadiri acara anjuran Kavyan kerana ia sangat istimewa dan amat jarang diadakan. Tambahan pula, saya berpuasa pada hari ini bukan atas tuntutan agama tetapi demi keamanan, perpaduan dan kesejahteraan negara tercinta,” katanya. [caption id="attachment_2337" align="alignleft" width="250"]Memilih juadah untuk dinikmati bersama-sama selepas seharian berpuasa. Memilih juadah untuk dinikmati bersama-sama selepas seharian berpuasa.[/caption] Sesungguhnya majlis berbuka puasa anjuran Kavyan dibuat secara amat sederhana; disertai doa demi keamanan dan perpaduan mengikut agama masing-masing. Antara makanan yang disajikan adalah nasi goreng, tose, mi goreng dan kuih-muih. Pasti tidak dapat menandingi juadah yang dinikmati majoriti orang Islam di Malaysia sepanjang Ramadan. Para peserta pelbagai kaum dan agama juga sempat berkongsi pengalaman dan maklumat mengenai puasa dalam budaya masing-masing. Mungkin sahaja dialog santai yang berlaku ini akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan pihak tertentu yang menentang sebarang dialog antara agama. Bagaimanapun sesi kami berjalan lancar; malah mampu mengukuhkan persaudaraan. Semangat persefahaman, saling menghormati dan persaudaraan ini menjadi antara kunci kejayaan Kavyan sejak diasaskan pada tahun 1999. Acara khas yang diadakan dengan kerjasama Projek Dialog sempena #Fast4Malaysia pula membantu mengukuhkan lagi ikatan itu. Tahniah kepada setiap individu yang mengambil bahagian dalam pelbagai acara #Fast4Malaysia di seluruh dunia. Semoga segala kebaikan ini berterusan dan Malaysia aman selama-lamanya. Lokas samastha sukhino bhavantu. Om, shanti, shanti, shanti. (Saya doakan supaya semua orang selamat dan gembira. Aman, aman, aman.)

VERMOX
]]>

Peranan belia dalam menggalakkan dialog antara agama

FABC dan Dialog Antara Agama Semasa mesyuarat para uskup (bishop) Se-Asia pada tahun 1970, para uskup menegaskan bahawa “dialog dengan sesama Asia yang komitmennya dengan agama lain semakin penting”. Salah satu resolusi 1970 mengatakan: “Kami berjanji untuk bersikap terbuka, ikhlas dan secara berterusan berdialog dengan saudara-saudara kita dari agama-agama besar lain di Asia, supaya kita dapat belajar dari satu sama lain bagaimana memperkaya diri secara kerohanian dan bagaimana untuk bekerja lebih efektif bersama-sama pada tugas kita yang sama untuk pembangunan manusia secara keseluruhan”. Sebelum bercakap mengenai antara agama, iaitu topik spesifik artikel ini, adalah diperlukan untuk memberi latar belakang ringkas mengenai Federasi Konferensi-Konferensi Para Uskup Asia (FABC/Federation of Asian Bishop Conference). FABC adalah struktur afiliasi transnasional yang membawa bersama dalam persidangan 14 uskup dari negara-negara berikut sebagai anggota penuh: Bangladesh, India, Indonesia, Jepun, Korea, Laos-Kemboja, Malaysia-Singapura-Brunei, Myanmar (Burma), Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Taiwan, Thailand, dan Vietnam. FABC mempunyai 11 ahli bersekutu diambil dari bidang kuasa gereja Timor Timur (East Timor), Hong Kong, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Macau, Mongolia, Nepal, Siberia, Tadjikistan, Turkmenistan, dan Uzbekistan. Oleh itu, secara total, 28 buah negara diwakili dalam FABC, yang berkembang dari pertemuan bersejarah seramai 180 para Uskup Katolik di Asia dengan Pope Paul VI semasa lawatannya ke Asia pada tahun 1970. Selama 30 tahun kewujduan FABC, ia telah membangunkan kaedah teologi mereka sendiri dan visi untuk gereja di Asia, ini boleh dilihat dalam pelbagai laporan dan pernyataan mereka. Seterusnya ini telah merangsang refleksi teologi (theological reflection) kemunculan ramai ahli professional dan ahli teologi Asia yang menyumbang kepada pertumbuhan teologi Asia yang diinkulturasikan. Dialog, Dialog, Dialog Dialog menjadi keutamaan dalam keprihatinan FABC. Fr. Felix Wilfred menyatakan bahawa “jika kita meringkaskan orientasi FABC dalam satu kata, maka itu adalah ‘dialog’”. Menurut dia, dialog “membebaskan Gereja dari menjadi komuniti yang egois, dan menghubungkannya dengan orang-orang di semua bidang dan dimensi kehidupan mereka”. Fr. Michael Amaladoss juga berpendapat bahawa inkulturasi dan dialog adalah perlu dan penting dalam melakukan penginjilan di Asia. Dan Pope Francis juga menekankan perlunya dialog konstruktif dan membina dalam menghadapi masa kini. Agama yang sepatutnya menjadi kuasa-kuasa perpaduan, sedang menyebarkan kebencian, persaingan dan perpecahan. Fundamentalisme agama yang bertumbuh di serata tempat dan ahli politik menggunakan agama dan simbol-simbol agama untuk kepentingan politik mereka sendiri. Menurut Uskup Agung Thomas Menamparampil dalam wawancara dengan Fides News, di Asia, fundamentalisme agama merupakan bahaya terbesar yang sedang kita alami: seperti, Pentakostalisme, yang menarik dan mengambil umat Katolik dari Gereja, dan juga fundamentalisme Islam, yang mengganggu keharmonian sosial dan agama “. Untuk fenomena ini Gereja “tidak boleh bertindak balas dengan pendekatan agresif” tapi “menyiasat dan memahami sebab-sebab sosial dan psikologi yang membuatkan mereka bertumbuh”. Istilah fundamentalisme yang bersifat pujian pada tahun 1920 telah kini diiystiharkan sebagai perkaataan yang memegang konotasi negatif atau buruk, sebagai “berfikiran sempit, taksub, membangkang untuk peningkatan dan penyebaran pengetahuan, dan berpuak”. Satu lagi petanda umum dalam fundamentalisme agama adalah kesedaran terhadap ketegangan antara “kita”, “kumpulan dalam” dan “mereka”, “kumpulan luar”. Dengan “perasaan-kekitaan” dan solidariti dalam kumpulan yang kuat, kumpulan fundamentalis ini memiliki kecenderungan untuk menilai kumpulan lain dengan standard dan nilai-nilai mereka sendiri. Disebabkan prasangka dan sikap tidak bertoleransi dari “kumpulan dalam”, perasaan saling hormat dan kerjasama menjadi hampir mustahil. Yang tertindas dan terpinggirkan Kanak-anak, belia dan wanita paling terdedah kepada fundamentalisme agama dan berada dalam kedudukan yang lemah. Untuk kanak-kanak dan belia, proses pembangunan mereka boleh terbantut atau disekat apabila mereka terbentuk dalam konteks ancaman dan takut kepada yang lain daripada mereka, iaitu apabila mereka dilatih untuk menerima tanpa soal apa yang pemimpin ajarkan tentang tradisi, apabila mereka hanya diajar kebenaran mutlak mengenai apa yang benar dan tidak dan tidak diajar mengenai pelbagai alternatif dan budaya berlainan dan ketika mereka dibesarkan dalam persekitaran patriarki yang didominasi oleh lelaki. Fasa-fasa pembangunan untuk mencapai kematangan merupakan satu proses peralihan atau zaman perubahan untuk meningkat dewasa dan pengalaman ini membawa banyak pertanyaan yang menyebabkan belia merasakan tidak selamat atau mempunyai keraguan diri. Dan kumpulan fundamentalis mungkin menjadi menarik untuk orang-orang muda yang masih dalam proses pembentukan untuk menentukan identiti mereka dan memerlukan semangat kekitaan dan keselamatan yang dijanjikan oleh kumpulan fundamentalis. Golongan muda yang sekarang terdedah dengan nilai-nilai moden melalui teknologi dan media, juga berasa keliru dan bingung dengan banyak pilihan yang disajikan kepada mereka. Untuk menjalani kehidupan yang memerlukan refleksi berterusan untuk memikirkan pilihan-pilihan ini mungkin membebankan dan ini membawa mereka untuk mencari asas yang kuat dari iman kelompok fundamentalis yang menawarkan “jawapan mudah untuk segala pertanyaan rumit.” Dalam beberapa kes, kanak-kanak yang lahir dan dibesarkan dalam persekitaran fundamentalis tidak akan menganggap diri mereka sebagai fundamentalis sampailah mereka berinteraksi dengan “kumpulan-luar”. Bagi wanita, semua fundamentalis cenderung untuk mengidealkan struktur patriarki dalam otoritas dan moraliti. Lelaki dinilai sebagai pemerintah, dan perempuan harus tunduk. Sudut pandangan ini menyebabkan banyak pelanggaran hak-hak wanita dan kanak-anak dalam kebanyakan masyarakat. Hal ini juga berpendapat bahawa, negara yang mengambil ideologi fundamentalisme agama sebagai ideologi negara menyediakan kepentingan patriarki dan kapitalis di mana tuntutan ekonomi kapitalis mempunyai implikasi yang sangat serius bagi wanita. Peranan belia Kita perlu untuk menyesuaikan dan mendidik orang ramai terutama wanita dan belia dalam tafsiran yang betul dan pengunaan Kitab Suci, untuk mempromosikan nilai-nilai yang membawa kepada perkembangan manusia. Jadi, apabila kita membina program pembentukan, pemahaman teologi harus menjadi sebahagian daripadanya. Ini perlu membantu mereka mengembangkan kepercayaan dan identiti mereka. Pendidikan agama perlu pergi jauh lagi dan kreatif dan bukan hanya mengulangi doktrin-doktrin Gereja. Kerana dengan mengatakan bahawa kita adalah baik, tidak semestinya bermakna bahawa yang “lain” tidak baik, mereka juga boleh jadi baik. Program pembentukan belia seharusnya mempunyai elemen antara agama, dan ia tidak seharusnya mengambil pendekatan benci. Pendidikan antara agama harus memasukkan aktiviti yang boleh membina komuniti dan tidak bersikap ekslusif, berpecah dan diskriminasi. Antara lain, ia harus: – Membantu dalam menggambarkan stereotype kita terhadap “mereka”. – Membantu dalam menilai dan memahami struktur sosio-ekonomi, budaya dan politik yang membawa kepada ketidaksamarataan, ketidakadilan dan diskriminasi. – Menggalakkan belia untuk melibatkan diri dalam tindakan-tindakan yang boleh membawa kepada perubahan sosial dan hak asasi untuk semua. Bukan itu sahaja tetapi ianya harus kreatif dan tidak tertakluk dalam bilik darjah sahaja. Dimana ianya juga boleh dilakukan secara tidak formal, dan memasukkan ajaran agama, iman dan spiritualiti lain. Contohnya: – Membuat seminar, persidangan, latihan mengenai ajaran agama yang lain. – Mengajak agama lain untuk memimpin doa/servis dalam tempat latihan. Melawat dan menyertai servis agama lain. Merayakan perayaan agama lain. – Merayakan perayaan antara agama yang penting seperti, hari hak asasi manusia, hari wanita sedunia. – Dan mempertahankan “agama lain” apabila mereka dianiayai, walaupun komuniti agama anda sendiri menyokong penganiayaan itu. – Bekerjasama dengan agama lain untuk keadilan, keamanan, hak asasi manusia dan pembangunan manusia. Apa Gereja boleh pelajari daripada dialog dengan agama lain di Asia dan pengetahuan yang diperolehi? Menurut Persidangan Uskup Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei;- Dari Islam Gereja boleh belajar tentang solat, puasa dan zakat. Dari Hindu Gereja boleh belajar tentang renungan rohani (meditation). Dari Buddha Gereja boleh belajar tentang pelepasan dari barang-barang material dan menghargai kehidupan. Dari Konfusianisme Gereja boleh belajar tentang berbakti dan menghormati orang tua. Dari Taoisme Gereja boleh belajar tentang kesederhanaan dan kerendahan hati. Dari Animisme Gereja boleh belajar tentang penghormatan dan penghargaan terhadap alam sekitar dan terima kasih atas tuaian. Gereja boleh belajar dari simbolisme yang kaya dan upacara yang sedia ada dalam kepelbagaian adat mereka. Gereja boleh, seperti agama-agama Asia, belajar menjadi lebih menerima, terbuka, sensitif, bertolak ansur, dan mengampuni di tengah-tengah kepelbagaian agama.     (untuk bibliografi lanjut, sila hubungi editor@projekdialog.com)

VERMOX
]]>