Projek Dialog

Kisah puasa

Sami Buddha tidak makan selepas tengah hari. Sami Buddha tidak makan selepas tengah hari.[/caption] Maka, saya memilih untuk memperkatakan mengenai amalan berpuasa dalam konteks di luar tuntutan agama Islam. Perkara pertama yang muncul dalam fikiran adalah kejadian sewaktu kontroversi novel Interlok: Edisi Murid (2010) masih hangat diperkatakan. Pada Mei 2011, pengerusi Pasukan Tindakan Interlok Nasional (National Interlok Action Team; NIAT) mengadakan sidang media bagi kali yang entah keberapa puluh dan mengumumkan akan mengadakan mogok lapar (berpuasa) sebagai langkah mendesak kerajaan “menghapuskan dan memansuhkan” novel Interlok: Edisi Murid (2010) dan Interlok (1970) edisi asal. “Kita [sic] sanggup lakukan mogok lapar. Kami bukan berpuasa, tetapi berlapar. Tidak makan berhari-hari. Kita akan berjuang habis-habisan sehingga kerajaan menghapuskan novel Interlok ini,” kata pengerusi NIAT (The Malaysian Insider, 28 Mei 2011) Sebaik mendapat tahu mengenai cadangan itu, saya hanya mampu menampar dahi dan menggeleng-geleng. Pengerusi NIAT adalah seorang individu beragama Islam. Apa yang saya tahu sejak zaman kanak-kanak adalah bahawa seseorang yang beragama Islam melafazkan niat “sahaja aku berpuasa kerana Allah” dan bukan bagi apa-apa tujuan lain. Maka, niat NIAT agak merunsingkan saya kerana boleh mengundang pelbagai kontroversi yang tidak diingini. Mujurlah NIAT kemudian membatalkan niat mengadakan mogok lapar (berpuasa) selepas berita mengenai cadangan itu sudah tersiar di pelbagai media; khususnya akhbar Tamil. [caption id="attachment_2210" align="alignleft" width="300"]Waythamoorthy pernah berpuasa sebelum menjadi “anak emas” Najib. Waythamoorthy pernah berpuasa sebelum menjadi “anak emas” Najib.[/caption] Pada April 2013, pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf), P. Waythamoorthy mengadakan mogok lapar (berpuasa) sehingga akhirnya berjaya menjadi “anak emas” pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak. Kisah menarik itu sudah sedia diketahui umum. Seorang lagi individu bernama Shanjay juga dilaporkan mengadakan mogok lapar di Padang Cheti, Klang pada sekitar masa yang sama. Khabarnya niat “berpuasa hingga mati” itu juga dibatalkan selepas dipujuk oleh beberapa politikus dari Pakatan Rakyat (PR). Mogok lapar atau tindakan nekad “berpuasa hingga mati” seperti dilakukan oleh “Wira-wira Hindraf” ini bukanlah sesuatu yang baru dalam budaya India. Pasti semua orang – termasuk puak etnosentrik yang menjadi katak di bawah tempurung – tahu mengenai Mohandas K. Gandhi (Mahatma Gandhi) yang banyak kali mengadakan mogok lapar sebagai sebahagian daripada siri protes politik dan protes sosial menentang British. Mogok lapar seperti itu yang dianggap berciri ahimsa (tanpa kekerasan) turut bertujuan membawa kesedaran kepada pihak tertentu mengenai isu yang menjadi punca “puasa hingga mati” itu diadakan. Mogok lapar yang dibuat oleh Waythamoorthy dan Shanjay – serta hampir sahaja dilakukan oleh pengerusi NIAT – mengingatkan saya kepada konsep santhara dalam amalan agama Jain. Dalam amalan itu, seseorang yang memilih untuk “berpuasa hingga mati” tidak akan akur pada pujuk-rayu atau janji-janji daripada pemimpin BN atau PR (misalnya). Mengikut ajaran Jain, orang yang meninggal dunia berikutan amalan santhara tidak boleh dikira sebagai membunuh diri; sebaliknya berjaya menghapuskan karma negatif pada kehidupan ini. Dalam agama Islam pula, boleh dikategorikan sebagai salah satu dosa besar. Seorang aktivis keturunan Mexico di Amerika Syarikat, Cesar Chavez dilaporkan mengadakan mogok lapar berciri ahimsa selama 25 hari pada tahun 1968. Ketua kesatuan pekerja dan petani itu juga menggalakkan para pengikutnya berpuasa sebagai tanda protes terhadap ketidakadilan yang dilakukan oleh kerajaan. Para penganut agama Kristian – serta penganut agama Islam – tentu sedia maklum akan insiden Jesus (Nabi Isa) berpuasa selama 40 hari, 40 malam semasa berada di padang pasir; sementara Syaitan pula dilaporkan cuba mempengaruhi Jesus supaya menggunakan mukjizat untuk menukar batu-batan menjadi roti dan memakannya. Ada juga agama melarang berpuasa Penganut agama Kristian turut mengamalkan puasa mengikut mazhab masing-masing. Malah, ada juga mazhab tertentu yang tidak menggalakkan penganutnya berpuasa atas alasan tersendiri. Penelitian terhadap Roman Katolik, Anglikan, Protestan dan sebagainya boleh membantu pemahaman orang ramai terhadap hal ini. [caption id="attachment_2211" align="alignleft" width="300"]Kitab Guru Granth Sahib menegah amalan berpuasa. Kitab Guru Granth Sahib menegah amalan berpuasa.[/caption] Agama Sikh dikatakan ada banyak persamaan dengan agama Islam. Malah, istilah “Allah” digunakan dalam kitab suci Guru Granth Sahib untuk merujuk kepada Tuhan. Mungkin puak tertentu yang (sengaja) menimbulkan kekecohan berhubung penggunaan istilah “Allah” oleh orang Bukan Islam (Tidak Islam) terlepas pandang akan hakikat ini. Berbalik kepada soal berpuasa, agak menarik untuk diperhatikan bahawa agama Sikh tidak menggalakkan penganutnya berpuasa; kecuali bagi tujuan perubatan dan kesihatan. (Harap maklum: Dibenarkan berpuasa bagi tujuan perubatan dan kesihatan; bukannya dibenarkan tidak berpuasa atas alasan perubatan dan kesihatan seperti yang kadang-kadang kita temui dalam kalangan rakan-rakan beragama Islam.) Kesemua lima Guru dalam agama Sikh tidak menggalakkan pengikut agama itu berpuasa kerana amalan berkenaan dikatakan tidak membawa apa-apa manfaat dari segi kerohanian. Malah, kitab Guru Granth Sahib menegaskan bahawa orang Sikh yang berpuasa “mendapat manfaat kurang daripada satu cangkerang” (are rewarded with less than a shell) kerana seseorang yang tidak makan (berpuasa) dianggap menyeksa diri. Suatu perkara yang mungkin tidak diketahui umum adalah bahawa Guru Granth Sahib juga secara khusus menyatakan bahawa penganut agama Sikh tidak perlu berpuasa, khususnya pada bulan Ramadan. Bagi sesiapa yang membaca kisah Siddharta Gautama Buddha pasti tahu bahawa putera itu pada asalnya beragama Hindu. Maka, dalam usahanya “menemui Tuhan”, Siddharta berpuasa dan hanya makan sedikit makanan selama bertahun-tahun dia melakukan pertapaan. Malangnya, putera itu gagal mencapai moksha dan nirvana yang diinginkannya. Hanya selepas itu Siddharta mencapai budhi dan mengasaskan ajaran agama Buddha. Sejak itu, Siddharta Gautama Buddha mengajar para pengikutnya supaya makan secara sederhana (moderate) dan bukannya berpuasa (tidak makan langsung). Kalau kita berpeluang bertemu sami-sami Buddha, ramai yang akan menceritakan bahawa mereka lazimnya tidak makan selepas waktu tengah hari. Amalan itu tidak dianggap sebagai “berpuasa” (tidak makan) tetapi sebagai disiplin diri berdasarkan ajaran “makan secara sederhana” yang ditekankan oleh Siddharta Gautama Buddha. [caption id="attachment_2212" align="alignleft" width="300"]Penganut Baha’i berpuasa pada bulan ke-19. Penganut Baha’i berpuasa pada bulan ke-19.[/caption] Di Malaysia, ramai juga penganut Baha’i walaupun mereka mungkin disangka orang Hindu. Pada bulan Ala (sekitar Mac) mengikut kalendar Baha’i, para pengikut berpuasa dari waktu matahari terbit hingga matahari terbenam berdasarkan panduan lengkap yang terkandung dalam Kitab-i-Aqdas. Sebagaimana konsep “puasa” dalam Islam, penganut Baha’i juga tidak makan, minum atau merokok sepanjang tempoh berpuasa. Individu berumur bawah 15 tahun dan lebih 70 tahun dikecualikan daripada syarat perlu berpuasa. Wanita mengandung, ibu yang menyusukan bayi, pesakit kronik dan wanita yang datang haid juga diberikan pengecualian. Bagi golongan buruh yang terpaksa bekerja menggunakan tenaga yang banyak, mereka dibenarkan tidak berpuasa tetapi diminta tidak makan di hadapan orang ramai. Malah, jumlah makanan yang dijamah perlukan kurang berbanding hari biasa. Semoga catatan serba ringkas ini membuka mata dan minda kita untuk menyedari hakikat bahawa “berpuasa” bukan amalan atau tuntutan dalam agama Islam sahaja. Sebaliknya masyarakat pelbagai kaum dan agama turut mengamalkannya mengikut cara tersendiri – tanpa “heboh” dan “bikin kecoh”.

]]>

Perpaduan menerusi baca cerpen

Interaksi penting bagi memupuk perpaduan. Interaksi penting bagi memupuk perpaduan.[/caption] Dari semasa ke semasa, Kavyan mendapat bantuan dana daripada DBP. Sumbangan bahan bacaan pula sering dihulurkan oleh PNM, Kumpulan Media Karangkraf dan Gemilang Publishing. Sokongan moral dan sumbangan tenaga diperoleh daripada pelbagai pihak yang sudah maklum akan aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya anjuran Kavyan sejak 1999. Ramai yang membayangkan Kavyan sebagai sebuah organisasi besar dengan sumber kewangan yang lumayan. Andaian ini berdasarkan keaktifan kumpulan ini merancang, mengendalikan dan menjayakan pelbagai acara yang melibatkan penyertaan masyarakat pelbagai kaum di hampir seluruh negara. Sebenarnya, Kavyan bergerak tanpa dana yang besar. Kekuatan utama entiti ini adalah penglibatan sekumpulan penulis dan peminat sastera pelbagai kaum yang menawarkan diri secara sukarela. Pasti sahaja tiada sebarang pulangan – atau habuan – material dan kewangan. Dalam perkembangan terbaru, berlangsung “Lawatan Penulisan Kavyan” ke Ipoh, Taiping dan Permatang Pauh. Penyelaras projek, Kughan Nadarajah berjaya melaksanakan acara itu dengan kos yang paling minimum. [caption id="attachment_2190" align="alignleft" width="300"]Aktiviti Kavyan secara sederhana tetapi berkesan. Aktiviti Kavyan secara sederhana tetapi berkesan.[/caption] Program itu yang berlangsung pada 29-30 Jun 2013 turut diisi dengan acara persembahan cerpen di Restoran Nachi’s Indian Cuisine, Ipoh; taman permainan di Taman Tasik Taiping; dan Zammaz Nur Villa Homestay, Permatang Pauh. Sokongan padu pelbagai pihak Selain daripada melawat Kampung Kacang Puteh di Buntong, menikmati suasana nyaman di Taman Tasik Taiping dan turun ke sawah yang menghijau di Permatang Pauh, peserta turut mengambil bahagian dalam bengkel penulisan dan bengkel membaca cerpen. Seperti biasa, suasana harmoni dan persaudaraan begitu nyata dalam kalangan para peserta pelbagai kaum dan agama. Berlaku juga dialog secara santai berkaitan bahasa, sastera, budaya, agama dan pelbagai topik lain yang mungkin dianggap terlalu sensitif untuk dibincangkan dalam persatuan penulis lain. Bagi meneruskan kempen galakan membaca, majalah-majalah sumbangan Kumpulan Media Karangkraf diberikan sebagai cenderamata kepada penonton yang hadir menyaksikan acara “Baca Cerpen Kavyan” di ketiga-tiga lokasi. Acara ini juga boleh dianggap sebagai kesinambungan kepada “Baca Cerpen Kavyan” yang berlangsung dari 29 Ogos hingga 2 September 2003 di Galeri Shah Alam. Malah, acara baca cerpen dan baca novel yang dipelopori oleh Kavyan sudah menjadi acara bulanan dalam skala kecil dan sederhana. Memandangkan Kavyan tidak bernaung di bawah mana-mana parti politik – serta tidak mengharapkan sumbangan dana daripada mana-mana politikus yang berkepentingan – maka segala aktiviti dapat dirancang dan dilaksanakan secara bebas tanpa perlu terikat pada “restu” politikus. Mungkin inilah kelebihan Kavyan berbanding beberapa pihak lain. [caption id="attachment_2191" align="alignleft" width="300"]Acara “baca cerpen” sudah sinonim dengan Kavyan. Acara “baca cerpen” sudah sinonim dengan Kavyan.[/caption] Selepas kejayaan “Lawatan Penulisan Kavyan”, aktiviti bulanan yang dirancang adalah “Jerayawara Kavyan” (Kavyan’s Roadshow) di mana wakil kumpulan ini akan membuat persembahan cerpen dan puisi di tempat-tempat awam. Dua lokasi yang menjadi pilihan awal bagi jerayawara adalah Dataran Shah Alam di Persiaran Sultan, Shah Alam dan Porta de Santiago iaitu tinggalan Kota A Famosa di Melaka. Tempat-tempat lain akan dipilih mengikut cadangan dan permintaan. Seperti biasa, Kavyan memastikan bahawa keseluruhan acara dikendalikan dalam Bahasa Malaysia dan karya-karya yang dipersembahkan semasa jerayawara adalah Sastera Kavyan, iaitu cerpen/puisi Bahasa Malaysia yang dihasilkan oleh penulis kaum India. Perlu dinyatakan bahawa idea bagi “Jerayawara Kavyan” dicetuskan oleh Shahrulnizam Abd Hamid yang menyelaraskan sesi persembahan cerpen semasa “Lawatan Penulisan Kavyan”. Usaha yang dilakukan oleh sekumpulan anak muda menerusi “Buku Jalanan” di seluruh negara juga menjadi perangsang. Seterusnya, pada 1 September 2013 akan berlangsung acara “Baca Cerpen Kavyan: Sedekad Kemudian” di Galeri Shah Alam sebagai mengimbas kenangan kejayaan acara yang diadakan sepuluh tahun dahulu. Pasti sahaja tidak akan ada rekod 384 cerpen dibacakan oleh 166 peserta pelbagai kaum dalam masa 96 jam 32 minit. Sebaliknya acara pada kali ini bertujuan meneruskan usaha memasyarakatkan sastera, mendaulatkan Bahasa Malaysia dan memupuk minat membaca secara berterusan dalam kalangan masyarakat. Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said yang Penasihat Agung Kavyan sudah mengesahkan penyertaan. Orang ramai boleh melayari www.kavyan.blogspot.com untuk mendapatkan maklumat “Baca Cerpen Kavyan” dan pelbagai acara lain yang dianjurkan bagi memupuk perpaduan dan meningkatkan persefahaman menerusi aktiviti bahasa, sastera, seni dan budaya.  

]]>

MCCBCHST: Perlihara kesetaraan hak ibu bapa dalam isu penukaran agama kanak-kanak

RANG UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 2013 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TIDAK MENGIKTIRAF PERTUKARAN AGAMA ANAK OLEH HANYA SALAH SEORANG IBU ATAU BAPA  Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu,Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah sebulat suara akan berberapa perkara yang berkaitan dengan RANG UNDANG-UNDANG PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 2013 yang dibentangkan di Parlimen pada sesi bacaan pertama pada 26 Jun 2013. Ini kerana ia akan menjejaskan hak asasi manusia rakyat bukan Islam. Rang undang-undang tersebut bukan sahaja menyamar sebagai undang-undang Islam, bahkan ia cuba mengubah Perlembagaan Persekutuan secara satu hala dengan menterjemahkan perkataan “ibu bapa” di dalam perlembagaan tersebut kepada “ibu atau bapa”. Pengislaman seorang kanak-kanakoleh hanya salah satu ibu atau bapanya yang telah memasuki Islam akan mengakibatkan ketidakadilan yang serius terhadap ibu bapayang bukan Islam dan  anak-anak yang terlibat dalam perkahwinan tersebut  – Seksyen 107 (b): “”jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama lslam olehnya”. Peruntukan ini tidak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan negara kita dan akan membawa kepada ketidakadilan sosial. Kami berpendirian bahawa Kabinet Persekutuan harus bertanggungjawab terhadap percanggahan ini. Walhal Kabinet pernah memutuskan pada perbincangan 2314/2009 bahawa salah seorang ibu atau bapa tidak berhak untuk menukarkan agama anak yang dibawah umur dalam perkahwinan tersebut. Namun begitu, Kabinet telah bercanggah dengan keputusan ini dan memutuskan dalam perbincangan D. R. 1/2013 bahawa pertukaran agama seorang kanak-kanak oleh hanya seorang ibu bapa adalah sesuai untuk diperkuatkuasakan. Hal ini menunjukkan bahawa kabinet langsung tidak telus akan janji dan tindakannya dalam menangani isu ini. MCCBCHST bersepakat membantah mana-mana penukaran agama anak secara satu hala oleh hanya salah seorang ibu atau bapa, kerana ia akan menjejaskan hak dan kehidupan rakyat bukan Islam. Bahkan, pengIslaman secara satu hala tersebut tidak bermoral mahupun berakhlak. Kami ingin bertanya kepada anggota-anggota Kabinet, apakah perasaan anda jika anak-anak anda dipaksa menukarkan agama tanpa persetujuan anda? Seperti bak kata pepatah, “Alang berjawab, tepuk berbalas.” Kami ingin menegaskan bahawa jika perkataan “Ibu bapa” di dalam artikel 12(4) di-tafsirkan sebagai “salah seorangibu atau bapa”, maka ia akan bercanggah dengan intipati persuratan perkara4 dalam Perlembagaan Persekutuan – yang juga merupakan perundangan tertinggi di negara ini. Malah, jika penafsiran tersebut digunakan dalam perbicaraan perundangan, maka tiada lagi jalan lain yang dapat dilakukan oleh ibu atau bapa yang bukan Islam tersebut bagi mengembalikan anaknya ke agama yang dianuti sebelum agamanya ditukarkan. Kesan daripada penafsiran ini tidak masuk akal kerana ia tidak berlandaskan intipati pengislaman yang sebenar dan sebaliknya hanyalah bersifat cetek . Berdasarkan kes SUBASHINI (2008), keputusan kes tersebut ternyata kelihatan seperti setengah masak kerana sebab-sebab berikut:- I)                 Mahkamah tidak memohon Fasal Tafsiran Berkanun Artikel 160(1) (jadual kesebelas) dimana “perkataan yang berasal daripada jantina maskulin juga membawa maksud perempuan” dan “perkataan yang bersifat singular juga membawa maksud plural, dan perkataan yang bersifat plural juga membawa maksud tunggal”. II)               Akta Penjagaan Kanak Kanak1961 menyatakan bahawa ia menjamin kesamarataan hak penjagaan ibubapa. III)             Jika hanya salah seorang“ibu atau bapa” memilih untuk menukarkan agamanya dan juga melalui proses tersebut menukarkan agama anaknya tanpa persetujuan pasangan mereka, maka ia akan mengakibatkan kesan yang tidak masuk akal dan ironis. Ini kerana pasangan suami atau isteri mereka yang kekal dengan agama asalnya pun secara teknikal boleh mengembalikan anaknya ke agama asal yang dianuti sebelum ini. Kami memahami bahawa Rang Undang-undang tersebut membolehkan Mahkamah Syariah memutuskan sama ada seseorang itu adalah Muslim atau tidak. Sila lihat seksyen 51(3)(b) (x) dan (xi). Selama ini penguatkuasaan perundangan ini adalah dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi Sivil dan bukannya Mahkamah Syariah. Oleh itu, pindaan yang dicadangkan tidak sejajar denganPerlembagaan Persekutuan. Justeru itu, MCCBCHST menyaran pihak Kabinet untuk menarik balik Rang Undang-undang di atas, sehingga isu-isu penting yang kami ulas diatas dibahaskan dengan teliti oleh semua pihakyang berkenaan. Mana-mana penguatkuasaan Rang Undang-Undang secara membuta-tuli tidak akan diterima bahkan ia juga tidak sealiran dengan Perlembagaan, mengakibatkan pihak yang terjejas tidak mempunyai pilihan dalam mencari penyelesaian aman melalui saluran undang-undang lain, sama ada dalam ataupun luar negara.

]]>

Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang: Satu Ulasan

Sharifah Nursyahidah Saat saya mengamati semula suasana sekolah yang telah saya tinggalkan lapan tahun yang lepas untuk membandingkan dengan apa yang ada sekarang, barangkali tidak ada bezanya kerana saya merasakan bahawa sekolah itu tetap sama, tidak lebih dari sebuah institusi yang memaksakan manusia. Bahkan, saya kira loceng dan pagar yang mengelilingi kawasan sekolah adalah simbol kepada pemenjaraan, kerana ia begitu tekun mengatur pelajar-pelajar untuk akur kepada arahan. Mungkin kelainannya adalah apabila sebelum memasuki penjara yang sebenar, individu-individu tertentu awal-awal lagi sudah disabitkan bersalah, namun semasa di sekolah para pelajar telah dibentuk untuk menjadi pesalah kepada kehidupan mereka sendiri. Saya tidak bermaksud untuk merendah-rendahkan mana-mana institusi sekolah, namun hal-hal tentang proses persekolahan yang tidak ada debat, kritik dan gugatan sehingga lebih mengarah kepada dehumanisasi jelas ketara sebagaimana yang dibahaskan dalam buku yang ditulis oleh Zul Fikri Zamir, Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang. Isu sentral dalam Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang Buku ini mengandungi pelbagai bahagian, satu himpunan tulisan beliau di bermacam-macam media seperti di The Malaysian Insider dan Projek Dialog. Kalau diperhatikan, tulisan-tulisan beliau ada yang usianya sudah dua tiga tahun yang lepas namun begitu isu-isunya masih segar kerana inilah hakikat yang sedang berlaku sekarang di negara kita, khususnya kepada anak-anak muda kita. Saya tertarik apabila beliau memulakan buku ini dengan mengambil kata-kata daripada Praemodya Ananta Toer, “apalah guna sekolah-sekolah didirikan; kalau tak dapat mengajar mana yang benar, dan mana yang tidak…” dan memilih untuk mengakhiri buku ini pula dengan bab Kritik Teater. Mungkin ada yang tertanya-tertanya kenapa soal seni dan sastra diselitkan sekali dalam buku yang tajuknya cenderung kepada pendidikan. Maka telahan saya, tema sebenar buku ini tidaklah semata-mata kepada pendidikan yang mengongkong, tetapi dalam konteks yang lebih luas seputar permasalahan politik, ekonomi dan sosial melalui perkaitannya dengan persoalan kelas, budaya, etika dan macam-macam lagi. Ringkasnya, beliau cuba untuk menerangkan tentang hegemoni, penindasan dan dominasi sebagaimana yang diketengahkan oleh Gramsci. Ini kerana saya perhatikan peraturan dan polisi yang ditekankan oleh State (negara) banyak mendasari tulisan beliau kerana beliau seolah-olah berpendapat bahawa ianya adalah satu bentuk ketidakadilan kepada masyarakat, khususnya AUKU dan HEP. Ia banyak kali diulang dalam tulisan beliau, kerana realitinya dasar-dasar ini yang melibatkan anak-anak muda telah menyebabkan mereka menjadi tidak luwes dan tidak ada daya untuk memainkan peranan dalam hal-hal masyarakat. Dalam perkara ini, saya bersetuju dengan beliau. Ini kerana anak-anak muda adalah suara kepada rakyat, terutamanya mahasiswa kerana mereka adalah cerminan dan perwakilan kepada rakyat sebab ilmu yang mereka miliki seharusnya berupaya untuk menentang apa-apa penganiayaan oleh para penguasa. Satu kesia-siaan sekiranya mahasiswa hanya duduk dalam kelas belajar semata-mata untuk menjawab soalan peperiksaan tanpa mempraktikkan ilmu-ilmu tersebut di luar kampus. Maka, tidak akan ada proses perkembangan diri di sini. Mereka hanya menerima tanpa mengamal. We don’t need no thought control Melewati keseluruhan buku ini, saya berterusan teringat petikan lirik lagu Pink Floyd – Another Brick in the Wall, “We don’t need no education, We don’t need no thought control, No dark sarcasm in the classroom, Teachers leave them kids alone, Hey teacher leave them kids alone, All in all it’s just another brick in the wall, All in all you’re just another brick in the wall…”. Saya meyakini bahawa hakikat tujuan pendidikan adalah untuk membangun diri sendiri tanpa dikawal mahupun dikongkong oleh mana-mana pihak. Adam Adli, Safwan Anang, Bawani dan lain-lain merupakan contoh-contoh individu yang berjaya melepaskan dan membebaskan diri dari sistem pendidikan yang membelenggu. Benar, mereka hanyalah sebuah sosok. Pandangan mereka mungkin tidak mewakili rata-rata segmen masyarakat kita yang masih lagi pada kebiasaan “apa” dan bukannya “kenapa”, namun begitu mereka berhasil untuk melontarkan sikap dan tindakan yang dipercayai benar dengan sendirinya tanpa menurut membabi buta. Ini kerana pendidikan seharusnya bersifat membebaskan. Ia berperanan besar untuk membentuk peribadi, pemikiran dan perilaku manusia supaya mereka memahami dan dapat bertindak balas terhadap isu-isu sekitar nilai-nilai sejati kemanusiaan yang harus dipelihara. Walau bagaimanapun, sebaliknya pula yang berlaku kerana ia cuma melahirkan produk-produk yang menjadi ‘pengikut buta’ ataupun ‘pak turut’, lebih-lebih lagi dengan campur tangan politik para penguasa di sekolah serta universiti yang mengganggu keharmonian dan makna sebenar pendidikan. Sekiranya dibuat kajian, pasti ramai yang menyatakan tentang perasaan tidak menyenangkan tentang institusi pendidikan yang telah merenggut kebebasan berfikir mereka. Namun berbalik kepada soal AUKU tadi, saya juga percaya bahawa sebahagian besar mahasiswa kita langsung tidak pernah membaca keseluruhan isi undang-undang tersebut, sama ada mereka menyokong mahupun menentangnya. Sastera: Kelas kedua? Dalam bab Pendidikan Nasional, penulis turut ada menyatakan tentang ‘keanehan’ pengasingan murid kepada sistem berdasarkan sains dan sastera di sekolah apabila kelas SAINS terhad kepada murid-murid yang pandai sahaja, sementara kelas sastera khusus kepada mereka yang bukan dalam kategori tersebut. Maka secara tidak langsung, mereka telah diletakkan dalam kelas kedua (second-class) ketika layanan yang lebih baik diberikan kepada pelajar-pelajar sains. Ini kerana mereka dilihat eksklusif berbanding para pelajar yang mengambil sastera. Pernyataan Zul Fikri Zamir ini bukan omong-omong kosong. Saya teringat pengalaman saya dahulu seusainya keputusan peperiksaan PMR. Saya ingin memohon kelas sastera kerana minat saya yang amat dalam bidang itu. Walau bagaimanapun, ada guru di sekolah saya yang menegur dan menyuruh saya untuk memohon kelas sains, dengan alasan bahawa tidak ada apa-apa yang boleh diperoleh di kelas kedua itu. Saya hairan, bukankah sastera juga ilmu? Apakah sekolah memang didirikan untuk tujuan peperiksaan dan industri kerja semata-mata, bukannya makna ilmu itu sendiri yang bermatlamat untuk memberikan pencerahan? Lantaran saya yang ketika itu lurus sangat, saya akur kepada keputusan guru saya, bukannya saya. Sejarah dan kebenaranSejarah ditulis oleh mereka yang menang‘. Kata-kata sinis ini menggambarkan keadaan sejarah yang ditulis cuma dari satu perspektif sahaja, tanpa menimbang keseluruhan cerita ataupun peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu lampau. Lebih-lebih lagi apabila penulisan tersebut menyebelahi semata-mata golongan yang memiliki kuasa. Mereka hanya akan menceritakan hal yang baik-baik sahaja tentang mereka mahupun memanipulasi fakta-fakta yang ada supaya rakyat terus mempercayai pada kemegahan yang dibuat-buat oleh mereka. Nah, perkara ini saya kesan dalam tulisan penulis apabila beberapa kali beliau menulis tentang ’55 tahun Malaysia merdeka’. Zul Fikri Zamir menulis tentang institusi pendidikan yang tenat namun dalam tidak sedar, beliau turut masih terperangkap dalam sejarah yang tidak jujur ini. Pernyataan ini tidak betul sebenarnya kerana kemerdekaan 31 Ogos 1957 hanya untuk Tanah Melayu sahaja, manakala Sabah atau Borneo Utara ketika itu mendapat kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1963. Hanya selama 2 minggu Sabah berdiri sebagai sebuah negara kerana penyatuan bersama Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963 telah membentuk sebuah negara yang baru, yakni Malaysia. Seusainya saya meneliti buku ini, saya rasa puas kerana ia membuatkan saya rasa terkesan. Saya kira buku ini harus dibaca oleh semua, khususnya bakal pendidik dan pendidik. Saya begitu kagum dengan gerakan Teach For the Needs yang dipelopori oleh penulis sendiri dan rakan-rakannya. Saya percaya bahawa ia satu-satunya gerakan di negara ini yang dekat dengan saranan pedagogi kaum tertindas yang dibawa oleh Freire. Saya berharap supaya ia dapat diluaskan lagi kepada lingkungan anak-anak gelandangan, petani, nelayan atau siapa sahaja yang tidak mempunyai ruang dan peluang untuk menghadiri sekolah. Ia tidak harus dibataskan untuk para murid yang kurang berkemampuan menghadiri kelas tuisyen sahaja kerana ‘needs’ yang sebenar harus dapat dimaknai dengan sebetul-betulnya. Inilah kebenaran pendidikan. Untuk semua. Bak kata John F. Kennedy, ‘the goal of education is the advancement of knowledge and the dissemination of truth’. Dan ya, kalau Zul Fikri menyambung kiasan Buya Hamka ‘Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, Kalau bekerja sekadar bekerja, kera di hutan juga bekerja’ dengan; ‘Kalau mahasiswa setakat belajar, lembu di padang juga belajar’ Izinkan saya pula untuk menambah; ‘Kalau guru cuma mengajar, Ketam di darat juga mengajar’ (Selain mengajar untuk berjalan, ketam juga mengajar untuk bekerjasama!)

]]>

Kematian tragis Thinasraj

 KEMATIAN TRAGIS THINASRAJ DI FLAT PPR, KOTA DAMANASARA

Pada Jumaat 21 Jun 2013 kira-kira pukul 4 petang, ThinasrajA /LManickadass menemui maut akibat terjatuh dari tingkat 14BlokD PPR flat Kota Damansara ketika dia sedang bermain bersebelahan dengan pagar beranda yang berkarat dan rapuh. Keluarganya teramat sedih akan tragedi tersebut. Hal ini kerana Thinasraj akan genap berumur enam tahun pada 26Jun 2013, malah keluarganya juga telah membuat persiapan bagi meraikan hari lahirnya minggu ini. Kematian tragis yang sia-sia ini seharusnya dapat dielakkan. Keadaan flat PPR yang teruk dan membahayakan ini telah dimaklumkan berulang-ulang kali kepada pihak berkuasa yang berkaitan supaya melakukan penyelengaraan bangunan yang sepatutnya. Berikut merupakan aduan-aduan yang telah dikemukakan oleh Persatuan Penduduk PPR Kota Damansara:

Tarikh:

Individu/ Organisasi

Bukti Disertakan:

12-06-11

YB Sivarasa

Bukti Gambar semasa lawatan

23-06-11

YB Nasir

Bukti Gambar semasa lawatan

25-06-11

YB Sivarasa, YB Nasir

Dialog MBPJ- PPR

23-10-11

Lawatan Menteri Besar ke Flat PPR

Bukti rakaman video/ ringkasan 10 perkara yang dituntut

29-11-11

Menteri Besar, YB Sivarasa, YB Dr.Nasir, Exco Kerajaan Tempatan & Datuk Bandar PJ

Surat aduan (tiada sokongan dari Ahli Majlis)

16-03-13

ADUN YB. Nasir

Keratan surat khabar

  Kami, penduduk Flat PPR Kota Damansara sangat marah dan kecewa dengan kematian tragis dan sia-sia yang tidak diingini ini. Ibu bapa Thinasraj juga telah membuat laporan polis agar siasatan selanjutnya dijalankan terhadap pihak-pihak yang bertanggungjawab akan kematian budak tersebut. Kami, ahli keluarga Thinasraj dengan sokongan penduduk-penduduk Flat PPR Kota Damansara, NGO dan Ketua Persatuan Penduduk PJ menuntut:
  1. Penyelenggaraan harus dilakukan segera ke atas semua ciri-ciri keselamatan flat PPR termasuk jeriji, pagar keselamatan dan alat pemadam kebakaran agar keselamatan kanak-kanak di flat ini terjamin.
  2. Siasatan selanjutnya harus dilakukan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab dalam hal kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan, isu kecuaian yang mengakibatkan kematian tragis tersebut, dan kes peruntukkan RM1.2 juta daripada Menteri Besar yang telah dibelanjakan.
  3. Permohonan maaf dan pampasan kepada keluarga Thinasraj.

Ditandatangani oleh:

Murally A/L Muniandi (Abang kepada ibu kandung) Dhana Lakshmi A/P Muniandi (Ibu kandung) En Johari Nander, Pengerusi Persatuan Penduduk flat PPR Kota Damansara Organisasi-organisasi Bukan Kerajaan (NGOs), menyokong tuntutan keluarga Thinasraj dan penduduk flat PPR Kota Damansara: ALIRAN Caring Citizens Childline Christian Advocacy Network on Poverty Issues (CANOPI) Community Action Network (CAN) Community Excel Services (CES) Friends In Conversation (FIC) Friends Of Kota Damansara (FOKD) Islamic Renaissance Front (IRF) Malaysian Child Resource Institute (MCRI ) Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Projek Dialog Protect and Save the Children (PSC) Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) Voice of the Children Yayasan Chow Kit (YCK)     ]]>

Pertukaran agama kanak-kanak: Siapakah yang akan bertanggungjawab?

MCCBCHST bertanya kepada kerajaan Malaysia: Siapakah yang akan bertanggungjawab untuk memperbetulkan yang salah?  MCCBCHST (Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao) ingin membawa perhatian semua rakyat Malaysia yang mencintai keadilan – tidak kiralah apapun agama mereka – ke kejadian di bawah ini yang telah terlalu kerap berlaku … dan satu kes yang sama sekali lagi muncul dalam akhbar. Seorang suami meninggalkan keluarganya; tiada berita mengenai suami tersebut selama 16 bulan. Kemudian dia menganut agama Islam dan merampas anak-anaknya yang masih dibawah umur dan membawa mereka ke pihak Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan untuk meng-Islamkan mereka. Dia  memburuk-burukkan isteri bukan Islamnya tanpa sebarang bukti, malah juga tanpa sebarang dokumen yang membolehkan dia mengambil tindakan sebegitu tanpa kebenaran pihak isterinya. Namun begitu, pegawai di Jabatan Agama Islam tetap meneruskan langkah peng-Islaman kanak-kanak yang masih dibawah umur tersebut, tanpa persetujuan ibu mereka yang sah. Apabila ibu mereka pergi ke tadika untuk mengambil anak lelakinya yang bernama Nitran, dia mendapati bahawa dia telah dibawa pergi oleh seorang lelaki yang masih suaminya. Si Ibu pula kemudiannya pergi ke Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan di Paroi, dimana dia amat terkejut apabila dia diberitahu oleh seorang pegawai kanan di sana bahawa Nitran yang berumur lima tahun dan Sharmila yang berumur lapan tahun telah di-Islamkan tanpa persetujuan ibunya yang sah, semata-mata di atas permintaan bapanya yang telah baru-baru ini memeluk lslam (yang masih ada dalam perkahwinan sivil dengan si ibu yang bukan Islam). Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) berasa terkejut. Keputusan Kabinet sebelum ini pernah menyatakan bahawa “Ibu atau bapa berseorangan tidak boleh menukarkan agama kanak-kanak mereka” (di suratkhabar The Sun, 24 April 2009). Nitran dan Sharmila, berusia lima dan lapan, kini telah di-Islamkan – tetapi mereka masih berada dalam jagaan ibu bukan Islam mereka. Justeru itu, MCCBCHST meminta penjelasan daripada pihak berkuasa di Malaysia berkenaan perkara-perkara berikut:- 1.  Adakah keputusan Kebinet pada April 2009 hanya merupakan reaksi melepaskan batuk di tangga untuk menenangkan rakyat Malaysia yang bukan Islam berikutan munculnya banyak kes ketidakadilan yang dahsyat? 2. Adakah keputusan Kabinet mempunyai kuasa ataupun pihak kakitangan kerajaan boleh bertindak mengikut sesuka hati mereka – dan adakah kakitangan-kakitangan kerajaan lain dibenarkan berbuat sedemikian walaupun dengan arahan daripada Perdana Menteri dan kabinet? 3. Bukankah ia mandatori ataupun sekurang-kurangnya lebih pragmatik dan adil bagi pegawai yang menukarkan agama kanak-kanak yang masih dibawah umur kepada Islam untuk mengesahkan hak penjagaan dan isu-isu berkaitan dengan bapa mereka yang baru sahaja bertukar agama? 4. Bolehkah dan mampukah penukaran agama bagi kanak-kanak direverse semula atas premis ketidaktelusan? 5. Jika kes ini pergi ke makamah, adakah Makamah Sivil akan melepaskan tanggungjawab mereka atas kesalahtafsiran artikel 21A? 6. Walaupun Mahkamah Sivil mempunyai kuasa untuk menjamin hak-hak pasangan bukan Islam dan kanak-kanak dalam jagaan pihak isterinya dalam perkahwinan sivil, adakah pihak polis akan memastikan penguatkuasaan keputusan tersebut, dan adakah pihak berkuasa Islam akan mematuhi undang-undang tersebut? 7. Dalam proses membuat keputusan dalam hal ini, adakah kerajaan meletakkan kepentingan yang terbaik bagi kanak-kanak tersebut? 8. Akankah keadilan ibu bukan Islam itu terbela? Mahkamah Persekutuan mempunyai peluang baru-baru ini untuk menyelesaikan kes Shamala;  walaubagaimanapun mereka memilih untuk tidak menangani isu ini kerana Shamala telah meninggalkan negara ini.

]]>

Hukuman Sebatan: Siapa yang terhukum dan dihukum?

enkrateia yang boleh dibahas secara psikologi, gender bahkan feminisme – yang hanya akan memfokuskan “penderitaan yang memerlukan pembelaan” dan “perilaku narsistik yang perlu dikecam” – cara pikir binari ini yang hanya membuat kita kembali kepada tulang rusuk dan meletakkan kesalahan pada biologi seseorang. Sedangkan al-Quran telah lama mengesahkan kesetaraan; perempuan dan lelaki sama-sama menerima perjanjian asal-primordial (al–A’raf, 7:127), dicipta sebagai hamba (al–Hujurat, 49:13), khalifah (al–An’am, 6:15), dimuliakan (al–Isra’ 17:70), diberi keampunan (al–A’raf, 7:20, 22, 23) dan keturunan (al–Baqarah, 2:187) serta berpotensi meraih prestasi (al–Imran, 3:195; an–Nisa, 4:124; Ghafir, 40:40). Sudah jelas bahawa tiada kelebihan yang membolehkan satu jantina mengatasi jantina yang lain sehingga dibentuk hukuman yang bertujuan merendahkan salah seorang daripada mereka. Sosioekonomi dan seksualiti Justeru, perkara pokok di sini adalah bagaimana boleh terjadinya sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah bukan sahaja di Johor Bahru tetapi juga di tempat-tempat lain yang belum masuk berita. Jika diperhatikan, sumbang mahram berlaku dalam kalangan saudara yang tidak boleh berkahwin – sehingga tidak boleh menimbulkan syak pada sesiapa. Begitu juga dengan persetubuhan luar nikah antara pasangan kekasih yang boleh berkahwin – tetapi berlaku di tempat-tempat yang dikira selamat agar tidak menimbulkan syak. Kedua-dua kejadian ini dibenarkan berlaku dalam keadaan sosioekonomi yang tidak stabil dan seksualiti yang dikekang. Nah, apa pula kaitannya lelaki perempuan bermadu asmara dengan kadar inflasi yang kian meningkat? Suka untuk dinyatakan di sini, kejadian seperti ini tidak hanya terjadi pada mat rempit, kaki botol, kaki judi tetapi juga pak lebai dan ketua kampung yang menurut ramai, satu golongan itu kurang didikan dan satu lagi kuat pegangan agamanya. Adalah berasas untuk mengatakan bahawa ekonomi antara punca utama masyarakat berkelakuan devians – setidaknya mereka tidak perlu ke sarang pelacuran berbayar dan berdepan risiko ditangkap mata-mata atau menghidap penyakit berbahaya. Malah, duit yang ada boleh dibelanjakan untuk keperluan seharian kerana keperluan biologi sudah terpenuh dengan mereka yang berada depan mata (adik beradik, ibu ayah, sanak saudara, datuk nenek, cucu piut). Begitu juga halnya dengan persetubuhan di luar nikah yang banyak berlaku kerana hubungan yang diinstitusikan dalam bentuk perkahwinan menelan belanja banyak. Seksualiti yang diredam di sebuah negara yang didakwa sebagai negara Islam yang datang bersamanya masalah ekonomi yang tidak kunjung selesai menyebabkan masyarakat mengambil jalan mudah untuk mendapatkan kepuasan. Kepincangan sosial dalam konteks ini bolehlah dikatakan berkadar terus dengan kos hidup. Fungsi Negara Justeru, dalam isu sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah ini penyelesaiannya bukan terletak dengan memisahkan atau menyatukan pasangan yang terlibat. Sebagaimana masalah buang anak tidak terselesai dengan menghukum ayah dan ibunya. Terdapat fungsi negara dalam hal ini untuk menyediakan jaringan keselamatan sosial buat warganya. Fungsi negara bukanlah mengintai-intai keseronokan orang lain tetapi memadam kesengsaraan warganya. Negara seharusnya mampu untuk patuh dalam sosial kontrak yang sudah ada. Kerajaan sebagai timbal balik kepatuhan yang diberi, mesti memenuhi kebajikan dan keselamatan warganya. Perhatian yang berat sebelah ini telah meminggirkan keselamatan negara sedang membangun (NSM) di rantau Asia terutamanya dalam konteks Malaysia. Neorealisme didapati gagal menjelaskan aspek keselamatan yang dihadapi NSM seperti kemiskinan, ketidaksetaraan dan pergolakan kaum. Jadi, keselamatan akhirnya untuk siapa – negara atau rakyat? Inilah yang dimaksudkan dengan jaringan keselamatan sosial yang menyentuh lebih banyak khalayak daripada menyalahkan masyarakat atas keruntuhan ‘moral’. Sebagai warga yang terdiri daripada cerdik pandai, tidaklah sukar untuk melihat bagaimana aktor bukan negara disalahkan sementara aktor negara memanfaatkan keadaan ini untuk menunjukkan siapa lebih Islam dan melepaskan diri daripada tanggungjawab akan keselamatan komprehensif – mengandungi keselamatan insan (rujuk 7 kategori yang digariskan PBB) yang salah satunya ialah struktur ekonomi dan hak asasi manusia. Ketidakstabilan sosial seperti sumbang mahram dan persetubuhan luar nikah ini petunjuk gagalnya jaringan keselamatan sosial untuk mengurangkan kemisikinan dan mencapai kesejahteraan. Dan ia bukan bahan gosip petang hari antara jiran melainkan petanda kelemahan dalam pelaksanaan dasar sosial dan dasar ekonomi negara.

]]>

Sang Sapurba, Demang Lebar Daun dan Perlembagaan

“Maka sembah Demang Lebar Daun. ‘Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak.’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.’ Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Janji yang mana itu, Tuanku?’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.’ Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu.’” Ini adalah waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun yang menjadi asas taat setia orang Melayu kepada raja mereka. Menurut perjanjian, keturunan Demang Lebar Daun (orang Melayu) harus taat dan setia kepada raja mereka, walau dizalimi sekalipun. Pada masa yang sama, keturunan Sang Sapurba (raja Melayu) juga berjanji bahawa tidak akan mengaibkan atau menista rakyatnya walau dosa mereka sebesar mana sekalipun, dan jika dihukum mati ia harus mengikut hukum Syarak. Daripada dialog ini, yang terkandung di dalam karya Melayu klasik ‘Sulalatus Salatin’ atau lebih dikenali sebagai ‘Sejarah Melayu’, kita dapat memahami konsep ‘derhaka’ dalam konteks budaya dan pemikiran orang Melayu. Jika rakyat keturunan Demang Lebar Daun itu melanggar waadat ini, maka derhakalah dia. Akta derhaka? Mutakhir ini, derhaka menjadi topik perbincangan.  Bekas hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah mencadangkan supaya suatu ‘Akta Derhaka’ digubal. Menurut laporan Bernama: “Patut ada undang-undang khas digubal tentang apa-apa perbuatan yang terjumlah dan terangkum dalam kesalahan derhaka. Undang-undang ini sesuai kerana rakyat di beberapa lapisan tidak memahami sebenarnya kuasa Raja. “Sudah tiba masanya bagi kerajaan menggubal undang-undang mengenai penderhakaan, bukan di bawah hasutan,” katanya kepada pemberita di luar Seminar Institusi Raja anjuran Universiti Malaysia Perlis di sini. Mengulas lanjut, beliau berkata undang-undang khas itu perlu menggariskan definisi derhaka dari sudut perbuatan, ucapan, sindiran, grafik dan lain-lain, serta mengenakan hukuman keras sekurang-kurangnya dua tahun penjara. “Ini supaya rakyat tahu tiada maaf bagi mereka yang melakukan kesalahan derhaka,” katanya. Cadangan ini diutarakan kerana beliau berpendapat bahawa kesalahan hasutan itu berbeza dengan penderhakaan. Dari sudut ini, penulis bersetuju dengannya; kesalahan hasutan yang terkandung dalam Akta Hasutan memerlukan elemen kecenderungan pihak ketiga terhasut oleh kata-kata atau perbuatan tertuduh. Derhaka pula bersifat peribadi, iaitu di antara individu dengan raja atau institusi diraja itu sendiri. Bukan ‘Treason’ Media telah menterjemahkan cadangan Akta Derhaka ini sebagai ‘Treason Act’. Tetapi pada penulis, ‘treason’ berbeza dengan derhaka. Treason adalah belot atau khianat, seperti percubaan menggulingkan pemerintah. Melawan raja adalah ‘treason’. Tetapi derhaka tidak mermerlukan perbuatan yang begitu drastik, tidak taat kepada raja itu boleh dianggap derhaka. Di Malaysia, kita tidak mempunyai undang-undang lese majeste atau undang-undang yang menghukum perbuatan menjatuhkan maruah atau martabat raja. Bandingkan ini dengan Thailand, misalnya, di mana hukuman dikenakan ke atas mereka yang dikatakan telah menghina raja mereka. Akta Hasutan bukanlah undang-undang lese majeste, walaupun kadangkala ianya digunapakai seperti ianya undang-undang lese majeste. Cadangan bekas hakim tersebut akan membawa lese majeste ke dalam badan undang-undang tanahair. Persoalannya, adakah Akta Derhaka ini diperlukan? Kita balik semula kepada waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Pentingnya waadat ini untuk memastikan kesinambungan di antara raja dan rakyat zaman berzaman. Untuk mengikat nasib sang raja dengan rakyatnya, melalui perjanjian yang tidak boleh dilanggar oleh mana-mana pihak. Sekiranya waadat ini dimungkiri, maka pihak lagi satu tidak mempunyai tanggungjawab untuk terus mentaati waadat tersebut. Sekiranya rakyat derhaka, ia akan mengancam kesinambungan masyarakat Melayu dan sistem pemerintahan diraja mutlak pada ketika itu. Waadat baru Kita ada waadat baru sebenarnya. Perjanjian di antara raja, kerajaan dan warganegara. Waadat ini adalah Perlembagaan Persekutuan. Perjanjian yang  jauh lebih utuh daripada waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Kuasa raja-raja, kedudukan raja-raja dan keistimewaan raja-raja kesemuanya dijamin dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Begitu banyak dan lengkap perlindungan yang ada di dalam Perlembagaan, termaktub dan hampir mustahil untuk diubah. Apa-apa perkara yang menyentuh perihal raja-raja bukan setakat memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen untuk dipinda, ia juga perlu perkenan daripada raja-raja Melayu sendiri. Waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun sudah berubah. Raja mutlak kini menjadi raja berperlembagaan. Di bawah waadat baru ini, kebebasan asasi rakyat didukung, kedudukan institusi diraja dimartabatkan serta dilindungi dan badan-badan kerajaan yang lain diberi kuasa dengan sempadan-sempadan yang nyata. Semuanya di bawah undang-undang terulung negara, Perlembagaan Persekutuan. Maka melalui waadat Perlembagaan ini, rakyat dijamin kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Kebebasan ini sememangnya boleh disekat, tetapi sekatan hanya boleh digubal oleh Parlimen atas sebab-sebab tertentu yang dinyatakan oleh Perlembagaan sendiri. Juga, sekatan yang dikenakan haruslah sekatan yang munasabah. Malahan, Perlembagaan memberikuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang untuk melarang dipersoalkan perkara berkenaan kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa raja-raja di negeri masing-masing. Kukuhnya kedudukan raja-raja Melayu di bawah Perlembagaan, ianya tidak mungkin terancam dengan kata-kata, walaupun boleh ditafsirkan sebagai menghina. Undang-undang lese majeste seperti Akta Derhaka untuk menghukum mereka yang menjatuhkan maruah atau martabat, menghina atau tidak menghormati institusi diraja tidak diperlukan kerana kedudukan dan kedaulatan institusi diraja sememangnya sudah terjamin. Undang-undang bukan jalan penyelesaian kepada semua cabaran yang kita hadapi. Sekiranya dihujahkan bahawa kita berhadapan dengan ‘penyakit’ rakyat yang tidak lagi menghormati institusi diraja, penjenayahan ‘derhaka’ bukanlah ubat yang mujarab. ‘Rawatan’ yang terbaik adalah pendidikan dan pemahaman, bukan dengan hukuman. Penulis yakin bahawa dengan pendidikan dan pemahaman, rakyat akan menghormati institusi diraja kerana mereka akan faham peri pentingnya institusi diraja di dalam kerangka tanahair kita.

]]>