Projek Dialog

Apa kesalahan LGBT?

extinction) manusia di bumi ini. Mereka mengatakan bahawa golongan LGBT menghalang proses kelanjutan manusia sebagai satu spesies di muka bumi. Siapa yang menghancurkan muka bumi? Tetapi apa yang boleh disaksikan, berdasarkan fakta yang jelas adalah manusialah yang jelas sekali tidak menghargai semua yang dicipta oleh Tuhan. Sepatutnya, manusia yang berhujah sedemikian perlu risau bahawa bumi ini tidak akan berterusan dengan kemusnahan alam sekitar yang begitu pesat. Contohnya: Jumlah orang di dunia pada tahun ini adalah sekitar 7.2 bilion, dan dijangka meningkat ke 9 billion pada tahun 2050. Dianggarkan 40% daripada jumlah orang di dunia ini adalah miskin di mana kemiskinan relatif semakin meningkat. Di dalam laporan Bank Dunia, dicatatkan kejayaan mengurangkan kemiskinan di seluruh dunia, tetapi statistik yang membanggakan itu semata-mata adalah kejayaan dasar politik dan sosio-ekonomi Negara China. Rantau dunia yang lain seperti Afrika, Amerika Latin, Eropah Timor dan Asia Tengah masih dalam kemiskinan, dan keadaannya tidak berubah, bahkan ada yang meningkat jumlahnya. Jangan dilupai bahawa berjuta-juta masih dalam kebuluran. Dianggarkan seorang daripada 8 orang di dunia ini (12.5%) berkebuluran dan ia merupakan faktor penyebab utama sebanyak 50% daripada jumlah kematian 10.9 milion kanak-kanak berlaku setiap tahun. Secara purata, seramai 30% daripada orang perempuan yang ada perhubungan intim menghadapi keganasan daripada pasangannya. Sebanyak 38% pembunuhan perempuan dilakukan oleh pasangannya. Mengapakah isu-isu sebegitu tidak mendapat perhatian agamawan? Mengapakah kemarahan mereka hanya ditujukan kepada golongan minoriti seksual? LGBT: Tanda kiamat? Terdapat juga orang yang percaya bahawa kemunculan golongan LGBT dengan lebih nyata di kalangan masyarakat adalah satu tanda bahawa dunia akan kiamat. Samalah pemahaman dan ketakutan mereka tentang kewujudan begitu banyak jenis penyakit yang baru. Mereka mempercayai semua ini timbul kerana kemarahan Tuhan terhadap manusia, dan atas sebab itu mereka marah pula terhadap orang yang dipandang sebagai “masalah” atau “songsang”. Di dalam hal ini, saya ingin berkongsi perspektif yang lain, yang bagi saya, lebih mirip kepada apa yang saya rasa patut diutamakan oleh semua iaitu penyempurnaan kemanusiaan kita. Manusia begitu mementingkan diri sehingga belas kasihan susah dicurah kepada mereka yang  berbeza, mereka yang terasing, mereka yang dianggap tidak layak, mereka yang dihukum sebagai orang yang berdosa dan sampah masyarakat. Bak kata lain kita  sudah menjadi berat sebelah dalam menentukan siapa yang akan diterima dan ditolak. Kita, manusia yang perosak dan  pemusnah alam, lebih suka menghukum daripada menunjukkan belas kasihan kita terhadap mereka yang dipandang “kurang berharga sebagai manusia”. Saya berpendapat bahawa kesengsaraan golongan LGBT yang dipinggir adalah satu peringatan  bahawa kita sudah lama lalai untuk menyempurnakan kemanusiaan kita. Kita sepatutnya lebih berperi kemanusiaan. Sebaliknya, kita masih bertungkus lumus menguatkan apa-apa jenis kuasa (sosial, ekonomi, politik, teknologi) yang kita ada. Di dalam kelakuan sebegitu kita hanya memastikan dunia ini akan menyaksikan pemerluasan gejala-gejala kemusnahan yang bagi saya, lebih membimbangkan: rasuah, perlumbaan untuk meraih keuntungan yang melampau, eksploitasi tenaga buruh, keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, diskriminasi terhadap pendatang, dan seterusnya. Prejudis salah tumpuan Di dalam hal seksualiti sahaja, terutamanya isu hak asasi manusia LGBT, isu lanjutan manusia timbul dengan begitu ghairah di kalangan orang yang memperalatkan agama. Isu-isu penting yang lain, seperti keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, penindasan tenaga buruh dan penghambaan moden, eksploitasi alam sekitar, serta keuntungan yang melampau tidak dipandang sebagai faktor utama yang akan menghapuskan kewujudan manusia di bumi ini. Tetapi di dalam hal seksualiti, terutamanya untuk mengawal hak asasi wanita dan hak asasi golongan LGBT, undang-undang mudah sajaka diluluskan dan dikuatkuasakan. Kepada orang yang beriman, saya ingin bertanya, bukankah “isu” kelanjutan manusia di bumi ini keistimewaan tunggal Tuhan dan tidak patut dijadikan kebimbangan ciptaan-Nya? Benarkah “penimbulan” LGBT ini akan membawa kepada penghapusan manusia di bumi ini? Pada pendapat saya, tanpa wujudnya LGBT pun, kita sudah memastikan penghapusan bumi tersayang.         unnamed

]]>

Pendidikan merawat sikap kediktatoran (bahagian 2)

bahagian pertama, hubungkait antara pemerintah diktator (atau separa diktator) sangat berkait dengan kewujudan masyarakat yang diktator. Sementara masyarakat tersebut terbentuk daripada individu-individu yang hidup dalam suasana ‘pendidikan kediktatoran’. Antaranya, mereka merupakan masyarakat yang menyerahkan tanggungjawab mereka kepada “pihak yang bertanggungjawab” semata-mata. Tanggungjawab selaku manusia dan warga terhad sekadar untuk diri (dan ahli keluarga terdekat), tidak lebih daripada itu. Mereka juga sebuah masyarakat yang punya sikap takut secara kolektif. Ketakutan secara kolektif menyebabkan mereka takut membantah sebarang ketidakadilan, takut melapor kesalahan pihak berkedudukan, lebih rela berdiam diri dibungkam suara dan kebebasan dan seumpamanya. Sifat takut secara kolektif itu hakikatnya berasal daripada sifat takut yang ada dalam individu-individu, lalu tergabung dan menjadi lebih besar. Sifat takut secara kolektif itu turut dibentuk oleh propaganda sebahagian media. Rakyat dialih fokus supaya takut dengan bangsa dan kumpulan tertentu, sambil diajar untuk “berani” menerima bahawa rasuah, penipuan dan sebagainya “tidak mengapa” demi kepentingan mereka, dan supaya “orang lain” tidak merampasnya. Justeru ketakutan asalnya sebuah sikap sesetengah individu, berubah menjadi kolektif. Suasana persekitaran seperti alat kekuasaan yang mengambil kesempatan melakukan pendidikan kediktatoran menerusi penyebaran sifat ketakutan. Selain itu, sebahagian penguasa kadang-kadang mencipta “musuh” dalam negara dan luar negara, demi menghalalkan proses dedemokratisasi. Rakyat ditakutkan dengan “musuh” tertentu, media lalu menyebarkannya. Kadang-kadang musuh yang diciptakan ada dalam negara; seperti para pemimpin politik atau pemimpin gerakan sosial yang tidak sehaluan dengan pemerintah. Kadang-kadang musuh yang diciptakan itu ada di luar negara; seperti badan dan kumpulan tertentu. Apabila telah tersebar kewujudan musuh, maka beberapa undang-undang dan akta baharu diperkenalkan, walaupun peraturan-peraturan itu bertentangan dengan prinsip-prinsip demokrasi, tetapi ia menjadi halal demi keselamatan negara! Kita boleh melihat realiti ini dalam dunia antarabangsa, termasuk oleh negara yang mengaku paling demokratik dan jaguh hak-hak asasi manusia. Amerika melancarkan “perang menangani keganasan” (war on terrorism), secara terangnya ia dituju kepada Islam dan para penganutnya. Atas slogan tersebut, mereka mula mendemonisasi badan, pertubuhan dan tokoh-tokoh tertentu yang beragama Islam. Media-media ternama pula menyampaikannya dengan berkesan. Istilah-istilah tertentu seperti “jihad”, “hijab” dan “Islamis” ditafsirkan dengan tafsiran tertentu, disebarkan media-media antarabangsa dan ia akhirnya menjadi tafsiran popular dalam kalangan sesetengah pihak. Sesetengah masyarakat dunia yang “demokratik” pula merelakannya, demi keselamatan “kami” dan “kita”! Seperti konteks ketakutan kolektif dalam perbincangan kita di atas, ia turut terpakai dalam dunia antarabangsa; ketakutan secara individual oleh sesetengah negara akhirnya membentuk ketakutan secara kolektif, dan akhirnya negara-negara “kuasa besar” membuli masyarakat antarabangsa dengan pelbagai slogan muluk dan atas nama “kebaikan kita”. Tanpa disedari, akhirnya semua pihak bercakap tentang jaminan sekelamatan, ancaman, ketakutan, musuh dan sebagainya, lalu emosi menguasai minda; khasnya dalam pelaksanaan dasar dan interaksi antara manusia yang berlainan identiti (kaum, agama, jantina, kecenderungan politik dan sebagainya). Dek kerana, ketakutan sebegitu; “kita tidak lagi boleh berfikir dengan tenang, rasional dan dengan erti sebagai seorang manusia.”[i] Hukum alam; mencipta keberaniand an pendidikan demokratik Sebagaimana kertas tidak akan basah selagi tidak dicurahkan air, demikian juga sekalian perubahan lain yang tidak akan berjaya selagi tidak dijalankan usaha untuk mengubahnya . Fethullah Gulen telah menyatakan: “Islam considers a society to be composed of conscious individuals equipped with free will and having responsibility toward both themselves and others. Islam goes a step further by adding a cosmic dimension. It sees humanity as the “motor” of history, contrary to fatalistic approaches of some of the nineteenth century Western philosophies of history such as dialectical materialism and historicism. Just as every individual’s will and behavior determine the outcome of his or her life in this world and in the hereafter, a society’s progress or decline is determined by the will, worldview, and lifestyle of its inhabitants. The Koran (13:11) says: “God will not change the state of a people unless they change themselves [with respect to their beliefs, worldview, and lifestyle].” [Islam menganggap sesuatu masyarakat itu terdiri daripada manusia yang sedar yang dipersiapkan dengan pilihan sendiri dan mempunyai tanggungjawab terhadap diri mereka dan orang lain. Islam melangkah setapak lagi dengan menambahkan dimensi kosmik. Ia melihat kemanusiaan sebagai “motor” yang menggerakkan sejarah. Hal ini bertentangan dengan pendekatan fatalis sesetengah falsafah sejarah Barat abad ke-19 seperti materialis dialektik dan historisisme. Sepertimana kehendak dan kelakuan seseorang individu itu akan menatijahkan hasil kehidupannya di dunia ini maupun di hari akhirat, kemajuan dan kemunduran sesuatu masyarakat itu ditentukan oleh kehendak, pandangan sarwa dan gaya hidup umat itu sendiri. Al Qur’an [13: 11] menyebutkan: “Sesungguhnya Tuhan tidak akan merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri merubah apa yang ada dalam dirinya (berupa keyakinan, pandangan sarwa dan gaya hidup]” Inilah rahsia perubahan sosial zaman berzaman, segala perjuangan dan perubahan yang besar pasti bermula dengan perubahan yang datang dari dalam diri manusia. Jika ketakutan merupakan antara yang meninggalkan kesan besar dalam cara berfikir manusia; di dalam negara dan peringkat antarabangsa, maka menanganinya suatu tanggungjawab. Keberanian datang dari dalam diri manusia, jalan terbaik untuk membentuknya sudah tentu menerusi pendidikan. Mengulang kembali pandangan al-Kawakibi di atas berkenaan pertembungan antara sang diktator dan ilmuan dalam menarik masyarakat, jelas bahawa ilmu menjadi tulang belakang kepada kewujudan kediktatoran dalam pemerintahan, sementara masyarakat menjadi penentu kepada kekalnya kediktatoran sesuatu pemerintahan ataupun robohnya kediktatoran tersebut. Sekiranya masyarakat jahil, maka mereka akan takut, kemudian setelah takut mereka akan menyerah kepada kekuasaan. Sebaliknya jika masyarakat berpengetahuan, mereka akan berkata-kata, kemudian setelah berkata-kata mereka akan melaksana. Dalam mengkritik sistem pendidikan dunia Arab yang bermasalah dalam membentuk masyarakat yang sedar dan berperanan, Prof Dr Louay Safi menjelaskan: “We talk about wealth but we do not talk about the responsibility of creating job opportunities for others. When we talk about authority we do not link it to the social duty to improve the social structure, it’s always linked to the glory of one person. And our Arab societies should solve this problem. Of course this was the basis of the political corruption, this strong linkage of the glory of the person, to the authority – and talk about heroes, how to worship them, this is the problem, this is what led to the corruption also.” [Kita bercakap tentang kekayaan tetapi kita tidak bercakap tentang tanggungjawab mencipta peluang pekerjaan untuk orang lain. Apabila kita bercakap tentang kekuasaan, kita tidak mengaitkannya dengan tugas sosial untuk meningkatkan struktur sosial, ia sentiasa dikaitkan dengan kehebatan seseorang. Masyarakat Arab kita mesti menyelesaikan masalah ini. Sudah tentu ini merupakan asas kepada korupsi dalam politik, perhubungan yang kuat antara kehebatan manusia dengan kekuasaan – dan bercakap tentang pahlawan-pahlawan, bagaimana mahu menyembah mereka, inilah masalahnya, ini juga yang membawa kepada korupsi.] Menerusi perbincangan ini juga, kita akan melihat kepentingan kaum intelektual dan berilmu menggerakkan masyarakat menuju sedar dan bertanggungjawab. Jika para ilmuan juga bersifat individualistik, maka sudah pasti masyarakat diktator akan terus wujud dan perubahan sosial dan projek pembangunan manusia dan negara akan tergendala. Pendidikan (menerusi apa-apa medium pun) haruslah mengajar keberanian; berani untuk memberi pandangan, mempertahankan hak, membuat laporan atas sebarang ketidakadilan dan sebagainya. Bagi masyarakat Muslim – pada pandangan saya – antara medium yang baik untuk mendidik keberanian ialah menerusi proses pengajaran keagamaan yang berlangsung di pelbagai tempat. Selain berkait dengan sistem kepercayaan dan psikologi, pendidikan berkaitan undang-undang juga sangat penting dalam mencipta keberanian. Manusia akan bertambah berani dan yakin apabila mereka tahu akan hak-hak mereka yang terjamin dalam perlembagaan, selain setelah mereka tahu saluran dan prosedur yang sepatutnya. Masyarakat mesti turut dididik dengan persoalan kedaulatan undang-undang, hak-hak kewarganegaraan dan kesamarataannya, dialog antara kaum dan agama, kebebasan berkeyakinan dan menghormati kaum minoriti. Tanggungjawab pendidikan ini sudah tentu tidak akan berjaya dipikul oleh sebuah pemerintahan yang diktator, justeru para pendidik, ilmuan dan organisasi sosial patut memainkan peranan dalam membentuk masyarakat sivil sama ada menerusi forum, seminar, tetaer jalanan, filem atau apa-apa sahaja mekanisme yang relevan. Persaudaraan dan pro-dialog Melahirkan masyarakat yang berani, demokratik, bertanggungjawab dan ada misi kemanusiaan haruslah turut disertai dengan penerapan nilai-nilai sejagat yang dikongsi semua pihak. Salah satunya ialah nilai persaudaraan. Nilai persaudaraan sangat penting dalam membendung suasana ketakutan dan pembulian oleh kekuasaan. Atas nama persaudaraan kemanusiaan, maka kita membela hak golongan yang tersisih dan dinafikan hak mereka. Ia asasnya bermula dari dalam diri, menerusi latihan dan didikan oleh keluarga, sekolah, komuniti masyarakat dan sebagainya. Persaudaraan kemanusiaan dan kenegaraan akan menyebabkan kita mendahulukan perbincangan dalam kebanyakan perkara, menghindari permusuhan, kritikal terhadap media dan kekuasaan, serta berwaspada dengan cubaan-cubaan penyebaran sikap ketakutan membuta tuli (sudah tentu ketakutan dalam keadaan tertentu, ada relevannya) dalam masyarakat. Dalam sesebuah negara, kita ibarat berada dalam sebuah bahtera yang sedang berada di tengah-tengah lautan luas. Demi kebaikan dan kepentingan bersama, sebarang tindakan dan langkah yang diambil haruslah dianggap penting. Demikian juga dalam konteks antarabangsa, kita semua adalah warga dunia yang satu, dan ibarat sedang berada dalam satu bahtera yang besar dan memerlukan kita sentiasa cuba memastikan kita berperanan dalam memelihara kebaikan dan menolak kejahatan. Disebabkan latar belakang yang berbeza (sosial, agama, bangsa, negara dan lain-lain), menjadi suatu yang amat rumit untuk kita mencapai kata sepakat dalam setiap perkara, dan menjadi suatu kemestian untuk kita bersetuju untuk tidak bersetuju dan bersepakat dalam hal-hal yang asas dan bersifat kenilaian sejagat. Dialog juga tidak semestinya akan menyebabkan kedua-duanya mencapai persetujuan dalam setiap perkara, tetapi setidak-tidaknya dialog akan mengurangkan kebencian tanpa asas antara dua (dan lebih) pihak yang berbeza. Menurut perspektif Islam, mengutamakan dialog dan kerjasama dalam hal-hal berbentuk nilai sejagat menjadi antara sifat asasnya, sambil bersedia untuk bertegas dalam hal-hal yang menjadi asas keyakinan (bersetuju untuk tidak bersetuju). Asasnya ialah rasa sifat tawaduk dan tidak meninggi diri. Tawaduk sekalipun sangat ditekan dalam pemikiran Islam, namun ia tetap sebuah nilai sejagat yang mesti disebarkan. Tawaduk bukan sebuah “kerendahan hati” lalu menyebabkan kita menyerahkan diri kepada sebarang penyalahgunaan kekuasaan. Tapi tawaduk sebuah nilai yang mengajar kita merendah diri, mendengar, meluaskan bacaan dan menambah persahabatan. Tawaduk menyebabkan kita sentiasa mahu belajar dan berhati-hati sebelum membuat keputusan dan tindakan. Dalam dialog (dan bahkan seluruh kehidupan kita), nilai tawaduk sangat penting dan merupakan sebuah perhiasan ketamadunan. Paulo Freire turut menekan kerendahan diri dalam bukunya Pedagogy of the Oppressed sewaktu membincangkan tentang dialog dan hubungannya dengan pembebasan. Katanya: “Bagaimanakah saya mengambil bahagian dalam sesuatu dialog jika saya sentiasa melemparkan kejahilan terhadap orang lain dan tidak melihat diri sendiri?” Pantulan dan Kesimpulan Kebebasan merupakan antara syarat dalam merawat masyarakat diktator, sementara pendidikan merupakan asas rawatannya. Masyarakat mestilah bebas daripada tekanan, paksaan dan campur tangan pihak lain dalam membuat pilihan dan keputusan. Kalau keputusan dan pilihan yang baik belum tentu diperoleh jika kebebasan dikurniakan, keputusan dan pilihan yang tidak baik pasti akan diperoleh jika kebebasan tidak dikurniakan. Tokoh revolusi Perancis, Jean-Jacques Rosseau (1712-1778) yang dikenali sebagai salah seorang intelektual yang berperanan besar dalam masyarakat pada zamannya menulis dalam bukunya bertajuk The Social Contract: “To renounce liberty is to renounce being a man, to surrender the rights of humanity and even its duties. For him who renounces everything no indemnity is possible. Such a renunciation is incompatible with man’s nature; to remove all liberty from his will is to remove all morality from his acts.”[v] [Untuk menolak kebebasan bererti untuk menolak menjadi manusia, menyerahkan hak-hak dan tanggungjawab kemanusiaan. Untuk mereka yang menolak segalanya tiada penebusan yang mungkin. Penolakan sebegitu adalah tidak selari dengan fitrah manusia; untuk membuang segala kebebasan dari kemahuannya beerti membuang segala moral daripada tindakannya.] Al-Kawakibi sewaktu ditanya mengapakah Allah menguji hamba-hamba-Nya dengan para diktator? Beliau menjawab: “Sesungguhnya Allah Maha Adil tidak menzalimi seorang pun. Maka seseorang diktator tidak akan menguasai melainkan ke atas golongan diktator. Sekiranya orang yang bertanya itu memandang dengan pandangan orang bijaksana dan mendalam, setiap individu dari kalangan tawanan kediktatoran merupakan diktator terhadap dirinya. Sekiranya dia mampu, dia akan menjadikan isterinya, keluarganya, kabilahnya, kaumnya dan setiap orang, sehinggalah Tuhannya yang menciptakannya, pengikut kepada pandangan dan tindakannya.”[vi] Masyarakat merupakan himpunan pelbagai jenis manusia, oleh yang demikian jika kita ingin mengubah masyarakat, manusia haruslah menjadi individu pertama yang wajib diubah. Sifat individualistik mestilah digantikan dengan sifat saling cakna dan sedar sementara sifat redha dengan kesusahan dan kezaliman mesti diubah dengan kesungguhan dalam “mengubah takdir”, ketakutan mesti ditukar menjadi keberanian dan tawaduk mesti menggantikan sikap keangkuhan. Segala-galanya bermula dengan diri manusia dalam menjadi manusia yang bernilai dan seterusnya ahli masyarakat sivil dan warganegara yang bertanggungjawab serta demokratik. (Sila email editor di projekdialog@yahoo.com untuk bibliografi lengkap)         unnamed

]]>

Hudud di Kelantan: Kesangsian berasas

Perbincangan fiqh dalam konteks Dalam isu undang-undang hudud Kelantan, bukan soal polimik undang-undang dan politik sahaja yang dibincangkan, tetapi terdapat juga polemik fiqh yang masih tidak mendapat jawapan tuntas. Dalam makalah ini, saya tidak menyatakan semua polemik fiqh tersebut, tetapi hanya sudut pandang yang mahu dibawa ke meja perbincangan ini. Sedia maklum bahawa dalam dunia moden ini, bukan tidak ada negara yang telah melaksanakan hudud. Ini dapat dilihat di negara sudan dan Pakistan. Namun, kedua-dua negara ini telah membuktikan kegagalan dalam perlaksanaan hukuman tersebut. Contoh dalam kes Pakistan, definisi zina agak longgar sehinggakan mangsa rogol di Pakistan tidak terbela. Ini kerana, dalam kes Pakistan, mangsa rogol perlu mendatangkan saksi empat orang dengan alasan bahawa ia dibawah kesalahan zina. Bukan sekadar itu, malahan kegagalan mangsa rogol mendatangkan saksi empat orang, menjadikan mangsa rogol pula dikenakan hukuman atas kesalahan Qazaf. Dalam kes Sudan pula, apabila definisi murtad amat longgar, menjadikan pihak kerajaan seperti punyai kuasa untuk menuduh orang yang tidak sehaluan sebagai murtad: pengkritik keputusan kerajaan dituduh murtad dengan alasan mengkritik undang-undang islam (kononnya), lalu dia dihukum dengan hukuman bunuh. Perkara ini telah menimpa seorang ulama Islam di Sudan bernama Syaikh Mahmood Taha. Kebimbangan ini wujud dalam Enakmen Hudud Kelantan. Makanya tidak hairan bahawa kebimbangan fitnah bakal terjadi ekoran terlaksananya undang-undang tersebut berlaku. Di sisi lain pula seperti hukum bunuh dalam kesalahan murtad dan penzina yang telah merasai persetubuhan secara sah. Khilaf Di kalangan ulama Islam sendiri, terdapat kekhilafan dalam menyatakan hukuman bunuh terhadap kesalahan murtad. Dr Taha Jabir menulis sebuah buku bertajuk “La Ikrah fi al-Din” telah merungkai perkara ini secara jitu. Disamping itu pula, Syaikh Mahmood Syaltut, seorang ulama besar dari Universiti al-Azhar pernah mempersoalkan tentang status hukuman bunuh terhadap kesalahan murtad, kerana ia tidak wujud dalam al-Quran, sedangkan hukuman mencuri dan qazaf yang dianggap kurang berat pula ada dalam al-Quran. Dalam hujah mereka, al-Quran tidak boleh diatasi oleh hadis, lebih-lebih lagi jika wujud percanggahan dengan umum al-Quran. Pada mereka, umum al-Quran telah menyatakan hukuman bunuh tidak dibenarkan kecuali wujud nas al-Quran sendiri yang menyatakan keizinan membunuh tersebut. Alasan mereka adalah merujuk kepada ayat 151 dari surah al-An’am dan ayat 33 dari surah al-Isra’ yang menyatakan larangan membunuh manusia. Adapun keizinan bunuh pula, yang wujud dalam al-Quran hanya hukuman Qisas (melayu : kesalahan balasan, seperti orang membunuh, maka dibunuh balas; orang meluka, maka diluka balas), hukuman muharabah (melayu : pemberontakan). Mereka berhujah lagi, kewujudan hadis-hadis yang menyebut tentang hukuman bunuh terhadap orang murtad, bukan melibatkan kesalahan hudud, tetapi lebih kepada kesalahan yang berwajah politik, seperti tindakan Saidina Abu Bakar al-Siddiq yang melakukan serangan terhadap orang murtad yang tidak membayar zakat kerana di kala itu, zakat merupakan sumber utama negara. Hudud menurut siapa? Ini dikukuhkan lagi bahawa di zaman Nabi Muhammad saw, agak ramai juga yang murtad, tetapi tidak pernah disuruh bunuh oleh Nabi Muhammad saw ekoran murtadnya mereka itu. Kejadian ini berlaku seperti sejarah Isra’ dan mikraj yang cukup masyhur di kalangan umat islam; murtadnya Ubadillah bin Jahsy yang asalnya beragama hanif yang memeluk Islam, lalu memeluk agama kristian di Habsyah; murtadnya seorang penulis wahyu berasal dari Bani Najjar kepada agama Kristian; Murtadnya Abdullah bin Sa’ad bin Abi Sarah yang merupakan adik beradik susuan Saidina Osman bin Affan ekoran tindakannya melakukan penyelewengan pada beberapa teks ayat al-Quran sehinggakan Allah SWT menurunkan ayat 93 dari surah al-An’am. Disamping itu pula, tentang hukuman rejam bagi penzina yang pernah merasai persetubuhan secara sah yang wujud dalam undang-undang hudud Kelantan, sedangkan hukuman tersebut terdapat pertikaian, apakah ia wujud dalam islam atau tidak? Al-Imam Abu Zuhrah menyatakan bahawa hukuman tersebut tidak wujud dalam Islam. Pandangan itu disokong oleh al-Qaradawi dan Dr Mustafa al-Zarqa’. Alasan beliau, bahawa hukuman itu tidak wujud dalam al-Quran, sedangkan dalam hadis, ia merujuk kepada hukuman di awal islam yang dimansukhkan dengan ayat sebat seratus sebatan  kepada penzina. Pada beliau, hukuman rejam adalah syariat yahudi yang tidak wajar dianggap sebagai kesalahan hudud. Hudud dan ekonomi Zaman khalifah islam ke-2, di bawah pentadbiran Saidina Umar, beliau menangguhkan hukuman potong tangan kepada pencuri. Tindakan itu kerana melihat status ekonomi negara yang tidak mengizinkan perlaksanaan tersebut. Ia dikenali sebagai ‘Am al-Maja’ah (Tahun kebuluran). Al-Qaradawi pernah menyatakan, “sebelum melaksanakan hudud, beri makan terlebih dahulu kepada orang-orang lapar, sediakan pekerjaan untuk penganggur, berikan pendidikan kepada orang jahil; semestinya melaksanakan perkara ini sebelum melaksanakan hudud”. Dari sudut fiqh, tindakan Kelantan mahu melaksanakan hudud, sewajarnya dicukupkan syarat-syarat kelayakan untuk perlaksanaan. Bukan sekadar syarat dari sudut ekonomi, tetapi dari sudut kredibiliti negeri dalam mengurus kewangan negeri juga wajar diwujudkan terlebih dahulu; yang sehingga kini masih gagal. Kelantan di bawah kepimpinan PAS adalah negeri yang berhasrat mahu melaksanakan hudud yang dilihat berat, tetapi seperti mengabaikan kewajipan yang lebih besar dari hudud, iaitu melaksanakan badan Hisbah (seperti Selcat di Selangor dan Pinang Cat di Pulau Pinang). Kewajipan melaksanakan Hisbah berbanding hudud ini, umpama kewajipan mendapat kemampuan kewangan dan kesihatan tubuh badan untuk menunaikan kewajipan menunaikan ibadat haji. Ada pihak menyatakan bahawa hisbah tidak disebut dalam al-Quran, sedangkan hudud itu disebutkan dalam al-Quran (hukuman hudud yang disebut dalam al-Quran, hanya kesalahan mencuri, pemberontakan, zina dan Qazaf. Adapun kesalahan minum arak, termaktub dalam hadis). Dengan itu, menjadikan kewajipan Hudud didahulukan berbanding Hisbah. Dijawab bahawa al-Quran, tidak pernah dinyatakan larangan memukul ibu bapa, tetapi yang termaktub dalam al-Quran adalah larangan mengatakan “oh” kepada ibu bapa. Walaupun tidak disebut larangan memukul ibu bapa, tetapi dengan kefahaman larangan mengatakan “oh” terhadap ibu bapa itu sudah difahami secara jelas terhadap larangan memukul ibu bapa. Maka begitulah kewajipan melaksanakan Hisbah sebelum melaksanakan hudud. Begitujuga, bahawa sebelum Kelantan mahu melaksanakan hudud, sewajibnya Kelantan melaksanakan pengurusan hasil mahsul balak secara Islam terlebih dahulu. Ini kerana, kepentingan melaksanakan pengurusan hasil mahsul balak mengikut Islam lebih utama berbanding kepentingan perlaksanaan hudud, sepertimana kepentingan solat lebih diutamakan berbanding kepentingan menunaikan ibadat haji. Hudud di Malaysia: suatu realiti? Manusia mungkin tidak akan meragui kewajipan hudud, tetapi disebabkan sudah ada perlaksanaannya di sebilangan negara membawa kepada kezaliman (kes Pakistan dan Sudan) menjadikan manusia sangsi dengan hukum itu. Manusia mungkin tidak meragui hudud, tetapi keraguan itu berlaku pada pihak pelaksana yang tidak punyai kredibiliti ekoran kegagalan melaksanakan perkara yang lebih mudah dari hudud. Bukan isu hudud mahu dilaksanakan atau tidak, tetapi yang menjadi isu adalah, apakah kepimpinan pemerintahan Kelantan mahu melaksanakan hudud itu benar-benar punyai kredibiliti dan kelayakkan melaksanakannya? Ekoran kredibiliti dan kelayakkan, makanya bukan isu menolak atau terima hudud, tetapi yang menjadi isu adalah, apakah Kelantan berjaya memberikan fitrah dalam perlaksanaan hudud atau mendatangkan fitnah pada perlaksanaan hukum itu? Islam yang hebat, kadangkala buruk kerana kegagalan umatnya. (Sila email editor di projekdialog@yahoo.com untuk bibliografi lengkap)       unnamed

]]>

Melayu: kaum terasing

“Man is condemned to be free: condemned, because he did not create himself, yet nonetheless free, because once cast into the world, he is responsible for everything he does.” – Jean Paul Sartre

Masyarakat Melayu suka dikenali sebagai masyarakat yang mewarisi budaya sopan santun yang tinggi, menghormati orang yang lebih tua, menjaga tatasusila, memiliki kesetiaan yang tinggi terhadap autoriti, mempunyai sikap kejiranan yang baik, menjaga keluarganya, menyantuni pelbagai bangsa dan agama dan sebagainya.

Kita juga terkenal dengan kesantunan dalam mengkritik dan menegur dengan pantun-pantun, sajak-sajak, puisi-puisi dalam menyatakan pendirian. Kita malah tidak biasa menerima kritikan secara terbuka dan lebih memilih pendekatan yang lebih beradab dan hikmah. Walaubagaimanapun, sikap-sikap ideal ini menyebabkan “side-effect” tersendiri yakni takut bercakap benar dan bersikap jujur agar menjaga hati supaya tidak terluka jika perkara yang dilontarkan itu pahit untuk diterima. Kita adalah masyarakat yang lebih mementingkan adab berbandingkan sifat bertanya dan cabar mencabar secara kritis. Kita juga sering kali mengangkat nilai kekeluargaan , persahabatan terlalu tinggi sehingga membutakan mata terhadap kezaliman, ketidakadilan, korupsi dan segala negativiti yang dibawa oleh ahli keluarga sendiri dan orang-orang terdekat yang kita sayangi. Kita juga suatu masyarakat yang sentiasa mengambil pendekatan berhati-hati dalam mendepani sesuatu perkara. Kita takut untuk mengambil risiko akan perubahan yang ingin dibuat. Kita terlalu takut mengorbankan stabiliti  yang dipunyai untuk mencapai keadaan yang lebih baik. Segala perubahan yang cuba dibawa oleh  orang-orang yang mempunyai pemikiran yang berlainan dianggap suatu ancaman malah terasing dari nilai-nilai dari tradisi yang mereka pegang. Fenomena-fenomena ini melahirkan masyarakat kita yang susah untuk berubah, pasif terhadap pembaharuan, budaya suka mengampu asalkan punya keselamatan ekonomi, kronisme keluarga dalam pentadbiran, ketidakadilan yang diserahkan kepada takdir, penyerahan daya fikir kepada autoriti-autoriti kepada ilmu, kesetiaan membuta tuli kepada institusi masyarakat seperti keluarga dan raja,  ketaksuban terhadap tradisi dan merasa superioriti, penyerapan segala pemikiran dari luar secara total tanpa mengikut konteks yang akhirnya terperangkap antara mendukung status quo dan memberi alternatif yang juga terbuka untuk dipersoalkan. Keterasingan dalam konteks Melayu Semua ini juga bertitik tolak dari sikap keterasingan masyarakat kita dari mendepani realiti. Keinginan untuk menjadi diri sendiri dimusnahkan dengan persepsi masyarakat dan norma-norma sedia ada yang mengekang dirinya untuk memanifestasikan potensi diri yang sebenar. Meluahkan pendapat dan diri sebenar mereka merupakan suatu pantang larang dan dosa besar jika ia bercanggah dengan nilai-nilai masyarakat. Kesannya mereka lebih rela menjadi hipokrit dan menyerah diri kepada nilai-nilai yang telah ditetapkan tanpa membuat pilihan yang bertanggungjawab. Masyarakat pula lebih suka melihat kestabilan yang kosmetik dan keamanan yang palsu  tanpa mendepani dan mengakui perbezaan yang wujud dalam setiap individu-individu yang berbeza dari sistem nilai mereka. Sebagai contoh, seorang melayu yang menjadi muslim secara keturunan, yang mana pada akhirnya memilih untuk keluar dari sistem nilai Islam dan menjadi atheist, pastinya dia akan dikecam dan disisihkan dari keluarga dan masyarakat kerana dianggap sesat dan menyeleweng. Keterasingan: individu dan masyarakat Keterasingan ini berlaku kepada kedua-dua pihak yakni pada individu tersebut dan masyarakat. Individu yang cuba melawan atau keluar dari sistem nilai itu akan memilih sama ada untuk kekal berada dalam agama walaupun sudah tidak mempercayainya kerana takut disisihkan. Jikapun dia mengikuti agamanya, tetapi bukan dengan pilihannya sendiri, sebarang kerosakan dan kepincangan yang berlaku atas kapasiti dirinya akan terpalit kepada agama yang dianuti tanpa pilihannya itu. Mereka juga akan cuba memulihkan akidah mereka tanpa mempedulikan fikiran dan kejujuran hati mereka sendiri untuk membuat pilihan. Untuk masyarakat pula, keterasingan dari mendepani realiti bahawa setiap individu itu berbeza fikrah dan pegangannya walaupun anak mereka sendiri, menyebabkan mereka tidak dapat menerima hakikat wujudnya perbezaan, ketidaksetujuan dan perubahan dalam tradisi yang mereka pegang selama ini. Hasilnya, mereka lebih suka melihat masyarakatnya yang seragam dan bersetuju sahaja dengan tradisi zaman berzaman dan pegangan akidah yang sama secara luaran tanpa mengiktiraf terdapatnya perbezaan yang boleh sama-sama kita hormati, atau perubahan yang mendalam sepanjang aliran zaman. Melihat berbondong-bondong orang pergi ke masjid lima waktu sehari semalam , berbuat pesta zikir besar-besaran , dan memberi khutbah-khutbah setiap jumaat dan ditadahkan kepada telinga penganut-penganutnya itu seperti sudah cukup menjadikan mereka beriman dan beramal soleh tanpa mengambil kira konteks masyarakat moden yang terdedah kepada teknologi maklumat yang menyebabkan pemikiran penganutnya dipengaruhi idea-idea dari pelbagai saluran. Kesan terhadap keterasingan ini ialah, masyarakat melayu secara umumnya, lebih suka melihat “biah solehah” mahupun keamanan sosial yakni keamanan dari fikrah songsang (baca: berbeza) dan berada dalam keadaan selesa tanpa bersiap sedia dengan segala kemungkinan berlakunya perbezaan yang datang dari luar mahupun kesedaran individu-individu dalam masyarakat  tersebut. Ketidaksediaan ini menyebabkan mereka terasing dengan sendirinya dengan hanya mempelajari dogma dan nilai-nilai tradisi masing-masing tanpa melihat dalam konteks masyarakat yang lebih luas yang dipenuhi dengan kepelbagaian. Mereka akan cepat merasa sensitif dan beraksi dengan ekstrim apabila nilai-nilai mereka diganggu gugat. Masyarakat juga akan menyimpan mereka-mereka yang hipokrit dalam agama mereka dan buih-buih yang sentiasa memburukkan imej dan ajaran agama yang indah itu. Mereka akan merasa ralat dengan keterbukaan dan harmoni yang cuba dibawa dalam proses interaksi dengan kepelbagaiaan dan perubahan. Perbezaan dan perubahan bukan lagi suatu rahmat, malah menjadi malapetaka yang tidak sanggup dihadapi. Kebebasan dalam konteks Melayu? Penyelesaian terhadap keterasingan ialah kebebasan. Tetapi apakah maksud kebebasan ini? Semua orang menceritakan tentang kebebasan dan menjuarainya. Namun kebebasan mempunyai banyak penakrifan yang berbeza. Tambahan pula, dalam masyarakat melayu yang berpegang kepada tradisinya, rempuhan pemodenan yang membawa aliran-aliran yang membawa konsep kebebasan individu yang digali dari rasionaliti tentu sekali memberi cabaran kepada masyarakat melayu Islam yang juga masih bergelut dengan variasi-variasi aliran akidah yang pelbagai. Georg Wilhelm Friedrich Hegel, seorang tokoh falsafah German yang Masyhur, bagi saya, tepat dalam soal kebebasan ini. Pada beliau pertembungan antara pelopor kebebasan individu dan pendukung tradisi masyarakat yang bukanlah suatu yang negatif. Beliau benar dalam mengatakan bahawa “The history of the world is none other than the progress of the conciousness of freedom.” Kebebasan sepanjang sejarah adalah pertembungan (struggle) untuk mencapai kebebasan. Sehingga ke hari ini, persoalan kebebasan bergema di merata tempat. Ia memberi kesan yang baik kepada proses kebebasan yang lebih segar dan baru. Melalui kaca mata Hegel, kebebasan bukan suatu nilai mutlak yang kekal dan tidak berubah akan tetapi sentiasa berkembang setelah pertembungan dan pergelutan itu berjaya diatasi. Ini jelas berbeza dengan konsep individualiti abstrak yang mana kebebasan itu merupakan hak asasi manusia yang ada sejak azali. Apa yang Hegel tunjukkan ialah, kebebasan bukanlah sewenang-wenang bagi sesuatu individu atau komuniti berbuat sesuka hati dan tidak mahu diganggu. Non-interference penting, tetapi ia tidak mencukupi untuk memberi maksud yang lebih lengkap dan menyeluruh kepada kebebasan. Kebebasan bagi Hegel suatu proses pergelutan berpanjangan. Seperti mana juga tradisi perlu difikir-kaji, begitu jugalah kebebasan liberal perlu diuji-cabar agar dialektik yang berterusan akan menumbuhkan kebebasan bentuk baru yang lebih mengambil sisi-sisi tradisi dan konteks secara konkrit dan digabungkan dengan konsep kebebasan individu yang akhirnya membentuk sintesis yang menggabungkan tradisi dan kebebasan. Tradisi di sini bukan sesuatu benda monolitik dan statik yang mesti disanjung dan diterima secara total dan buta tuli. Ia sudah memadai untuk dianggap sebagai sesuatu landasan yang tidak boleh dielakkan kerana kita hanya boleh bermula daripada keadaan yang sedia ada. Penolakan secara total terhadap tradisi dan pengambilan secara total konsep kebebasan individualist liberal juga adalah suatu bentuk kelampauaan yang tidak mengambil kira nilai-nilai masyarakat setempat. Tetapi ini bukan setakat menerima realiti semata-mata. Hegel akur kepada hakikat manusia sebagai makhluk yang mempunyai idealnya tersendiri. Cuma pencapaian ideal itu harus berlaku dalam dunia, dalam arus dan liku-liku realiti secara konkrit. Jika kita inginkan kebebesan itu sebagai suatu hakikat, jadi non-interference itu tidak mencukupi. Kebebesan harus dizahirkan sebagai satu cara hidup, di mana ia tidak terbatas dalam rangka apa yang dibayangkan dalam imaginasi kita, tetapi direalisasikan secara konkrit. Di sinilah pergelutan itu penting. Dalam pergelutan antara ideal dan realiti, apa yang ada sekarang dan impian kebebasan yang ingin dicapai boleh dizahirkan: keunikan setap individu akan dihargai. Pada masa yang sama, individu tersebut tidak memahami dirinya sebagai satu entiti yang tercerai dari masyarakat, tetapi dia memahami bagaimana potensi dan depth dirinya boleh dikenali dengan lebih mendalam dan bermakna setelah berhadapan dengan dunia secara langsung. Masyarakat pula melihat bagaimana pengiktirfan terbuka terhadap keunikan setiap individu membolehkan perkembangan dan kesuburan wacana dan budaya yang membawa kepada evolusi dalam penghayatan terhadap makna dan dimensi-dimensi kebebesan. Proses itu bukan satu yang mudah, atau singkat, tetapi itulah realiti yang harus diterima: kebebasan bermakna dan berharga kerana kemuncaknya boleh dirasa, maknanya difaham, apabila ia terhasil dan dirasa dalam pergelutan. Kesimpulan Anak-anak melayu yang ingin bebas dari kekangan masyarakatnya perlulah bersedia untuk berhadapan dengan penolakan dan penyisihan. Kebebasan tidak lagi sewenangnya diberi sebagai hak akan tetapi perlu dituntut dan diperjuangkan sehingga diterima oleh masyarakat. Pergelutan yang berlaku janganlah dianggap sebagai suatu permusuhan akan tetapi suatu pergelutan yang perlu bagi mendapatkan “recognition” dari masyarakat terhadap individu yang ingin menjadi diri sendiri. Mereka harus bertanggungjawab atas kebebasan yang dituntut itu. Masyarakat pula, perlu lah bersedia dengan sebarang tuntutan kebebasan dan mendepaninya dengan hujah dan cuba mengatasinya tanpa manipulasi undang-undang dan paksaan. Masyarakat perlu sedia keluar dari zon selesa mereka dan cuba menelaah mengapakah kebebasan begitu menggiurkan di zaman ini dan bagaimana menyuai padan kebebasan individu yang pelbagai untuk diadaptasi supaya nilai-nilai tradisi dapat menerima perubahan zaman untuk hidup bersama secara harmoni.         unnamed ]]>

NGO dan Obama: Hak asasi atau alat imperialis?

Membongkar hipokrasi inteligensia liberal Berlalunya beberapa hari yang lalu juga, Presiden Obama mengunjungi ke tanahair kita. Setibanya beliau, bergulung karpet merah, tabik hormat dan pujian-pujian yang melangit tingginya – tak kurang pula Perdana Menteri kita berfoto “selfie” terhegeh-hegeh tanpa segan silu. Media massa milik pihak berkuasa dan para ahli politik berlumba-lumba menunjukkan keimanan mereka kepada empayar Amerika dan Raja segala Raja di bumi ini. Tapi di sini bukan saya ingin menunjukkan kehairanan saya kepada kedangkalan dan kepandiran mereka ini tapi saya ingin menujukan kritikan kepada organisasi dan aktivis “hak asasi manusia” seperti Bersih, Islamic Rennaisance Front (IRF), COMANGO, dan sebagainya yang baru-baru ini telah bertemu dengan Presiden Obama. Kepada merekalah saya hunuskan pedang ini. Mereka ini yang telah melaungkan slogan-slogan menyeru kepada kedaulatan hak asasi setiap manusia, menganjurkan forum-forum membahas kebebasan sivil dan telahpun mewakili sebuah suara liberal yang berimpian mengangkat maruah, kebebasan dan kesucian nyawa setiap manusia: Tetapi mengapa mereka dan inteligensia yang mengangkat organisasi-organisasi ini akhirnya rebah di kaki imperialis? Mengapa perlu menangis sebak di bawah duli Presiden Obama yang sepatutnya diletakkan sebagai salah seorang pencabul hak asasi terbesar dunia hari ini? Saya hampir pitam membaca laporan The Malay Mail, “Obama lends ear to human rights issues” (28 April 2014), yang mana para penggerak NGO-NGO terpilih ini tertawan dengan watak Obama yang kononnya prihatin dan jujur (“Obama pulled up a chair and listened to them in an informal meet”). Seolah satu babak Wayang Siam, Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah pula menarik nafas lega dapat meluahkan kepada Obama tentang keadaan demokrasi di Malaysia yang tenat. Aneh sekali kita meletakkan harapan dan idealisme demokrasi kepada Obama yang telah sekian lama bersubahat dengan diktator-diktator Timur Tengah (Saudi, Mesir, Bahrain, Tunisia, Qatar) untuk menundukkan suara demokratik rakyat negara-negara Arab. Beberapa minggu sebelum Hosni Mubarak dihumban oleh rakyat Mesir pada tahun 2011, Timbalan Presiden Amerika menegaskan bahawa Mubarak “bukan seorang diktator, beliau ialah sekutu kita”. Ternyata Obama dan para pengikutnya adalah orang terakhir di alam ini yang menghargai nilai demokrasi kepada masyarakat tertindas – bagi mereka kita semua ini cuma caturan dan permainan. Tentu sekali tiada siapa yang mencadangkan agar Presiden Obama dipulau atau diludah – teruskan sahaja jika ada peluang bersidang bersama Presiden Obama itu. Akan tetapi atas terma apa dan siapa pertemuan itu diadakan? Adakah ia datang menghadap empayar ataupun ia terus lantang mengecam kuasa? Ternyata jika dilihat rekod Obama, beliau atau kerajaan pentadbiran beliau langsung tidak layak memberi payungan kepada perjuangan rakyat negara ini menuntut keadilan sosial. Sesungguhnya petikan Edward Said tentang “speaking truth to power” itu jelas lebih mudah diucap dari dipraktikkan. NGO hak asasi sejagat atau NGO hak yang tertentu? Sebagai seorang rakyat kecil yang sama-sama mendokong perjuangan untuk kebebasan, kesamarataan dan persaudaraan, saya secara kerasnya mengecam sikap minda tertawan yang melanda inteligensia kita yang hanyut dek persona dan imej publisiti Obamania. Benar sekali bahawa banyak keluhan dan kritikan NGO hak asasi manusia ini amatlah penting dan perlu didokong oleh setiap rakyat Malaysia yang berakal budi. COMANGO contohnya merupakan satu gabungan pelbagai usaha untuk merungkaikan diskriminasi kaum, seksualiti dan agama yang bukan sekadar deras mengalir dalam masyarakat kita malah diperhebat oleh institusi-institusi kerajaan Malaysia. Malangnya di balai rong menghadap Obama, piawai hak asasi ini seolah-olah tergantung demi 15 minit sesi mengeluh kepada sang Agung. Di mana kecaman kepada tindakan Amerika di seluruh dunia? Di mana kecaman kepada Perjanjian Usahasama Rentas Pasifik (TPPA)? Sedangkan pemerintah autoritarian seperti Mahathir Mohamad pun mempunyai maruah dan harga diri untuk berdiri sama tinggi dan berani mengecam dasar luar Amerika – tak lupa juga polisi ekonominya yang anti-Dunia ke-3. Apa yang terbongkar oleh episod ini ialah keselesaan para cendekiawan melalui NGO yang berkelihatan bebas ini bersekongkol dengan kuasa. Ia juga memperlihat sebuah paradoks yang tak lain tak bukan permainan kuasa imperial – di negara masing-masing, para NGO tajaan Amerika ini memperjuang menentang kekuasaan elit tempatan mereka tetapi di persada sejagat ia sebahagian dari hegemoni rangkaian kuasa dan kapital. Penceraian kezaliman dasar luar Amerika (contohnya di Pakistan dan Yaman yang disebutkan tadi), daripada perjuangan hak asasi di Malaysia menunjukkan betapa lemahnya wacana hak asasi dalam masyarakat kita sehinggakan inteligensia kita boleh menutup sebelah mata tentang situasi di negara lain untuk melihat Amerika sebagai penyelamat kita. Apa kita sudah lupa solidariti bersama rakyat Palestin yang sedang terseksa akibat dasar bersama Amerika-Israel? Apa kita sudah membuang semangat setiakawan dengan semua perjuangan rakyat negara-negara membangun menentang dominasi global melalui keganasan ekonomi (TPPA contohnya) dan kekuatan ketenteraan? Inteligensia penyanggah kuasa autoriter Baru sahaja minggu yang lalu, sebuah forum anjuran penerbit bebas SIRD telah membahas tugas intelektual dalam masyarakat membangun Dunia ke-3 seperti kita dan juga menyingkap sejarah penentangan di antara cendekiawan kita. Walaupun malang sekali sunyi sepi dihadiri oleh hanya sekumpulan kecil, tetapi perbincangan tersebut membuat kesimpulan penting tentang para inteligensia (dalam konteks ini para penggerak NGO) yang seharusnya berfungsi sebagai obor kemanusiaan yang menyanggah kuasa autoritarian tak kira di mana dan dari mana ia hadir. Besar sekali hajat saya agar karya salah seorang panelis pada hari tersebut, Azhar Ibrahim “Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi”, diteliti oleh semua: “Dalam keadaan masyarakat yang mana terjadinya penindasan dan wujudnya sikap tidak toleran kepada kepelbagaian, […] suara-suara dan perjuangan para inteligensia yang berfungsi harus dapat menggerakkan perlawanan, langsung mengucapkan pendirian, kepercayaan dan keazaman mereka untuk menyanggah mereka yang zalim, korup dan dangkal. Pendek kata, para inteligensia kita seharusnya memikul tugas […] menyanggah autoriti kuku besi dan salah guna kuasa” Tapi juga izinkan orang kecil seperti saya ini untuk memanjangkan idea tersebut agar melingkungi rakyat terbanyak kerana sesungguhnya tiadanya perlu pendidikan sarjana tinggi atau anugerah kemuliaan atau diangkat mengetuai organisasi untuk berperanan dalam masyarakat. Setiap rakyat Malaysia ini bisa mengingati dan memahami setiap angkara binasa baik dari NGO atau kerajaan. Rakyat tertindas tanpa bersekongkol dengan penzalim inilah yang sebenarnya menerajui dan memperhidupkan wacana hak asasi. Perjumpaan dengan Obama seharusnya menjadi platform untuk mempertahan nasib masyarakat dunia membangun dan menolak polisi imperialis yang akhirnya memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia. Sebaliknya para NGO yang tersohor dengan perjuangan mereka ini telah membenarkan wacana mereka ditawan oleh kuasa neo-kolonial. Jika para NGO terus hanyut dibuai mabuk dana dan berkompromi soal integriti, akan tiba masanya para NGO dipertanggungjawabkan atas setiap perlecehan mereka. Dan akan terhunuslah pedang akal rakyat terhadap mereka.

]]>

“Mr. Obama, may I take a selfie with you?”

“With Afghan forces now in the lead for their own security our troops have moved to a support role,” he said. “Together with our allies, we will complete our mission there by the end of this year, and America’s longest war will finally be over.”

– Barack Hussein Obama, 2014 State of the Union speech.

Saya membesar dengan sentimen Dasar Pandang Ke Timur dan Dasar Buy British Last. Saya membesar dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, hero rakyat Malaysia, diiktiraf negara Muslim sebagai pemimpin Islam yang lantang mengkritik Israel . Saya membesar dengan khutbah Jumaat anti imperialisme. Dalam diri saya telah ditanam bahawa negara Amerika Syarikat inilah syaitan paling besar di dunia. Syaitan inilah yang telah menceroboh Vietnam, dalang di sebalik perang Iran-Iraq, kemudian kembali menceroboh Afghanistan pada 2001 dan kemudiannya Iraq pada 2003. Saya membesar dengan ceramah dari para Ustaz pada tiap malam puasa, bahawa Amerika Syarikat ialah Dajjal mata satu yang kini bersembunyi di sebalik bendera bintang segi enam Israel. Merekalah penyokong setia Ariel Sharon dan Benjamin Netanyahu, yang menghulurkan bom, grenad, serta roket yang menyiat dan meletupkan badan anak-anak Palestin di Gaza. Saya membesar dengan membaca pelbagai bahan tulisan anti-Freemason, anti-Rotary Club serta ribuan ‘flyers’ Hizbut Tahrir yang akan menghasut dan menancapkan di dalam minda ini bahawa musuh nombor satu kita ialah George Bush. Tiada musuh yang lebih besar dari mereka lagi di dunia ini. Saya membesar dengan demonstrasi-demonstrasi anti-Amerika di kedutaan dan mesjid-mesjid. Dalam masa beberapa tahun kebelakangan ini sahaja lebih dari 5 demostrasi selepas solat Jumaat diadakan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat membantah itu ini. Sehingga hari ini, saya masih diberitahu bahawa musuh paling utama di dalam hidup ini ialah Amerika Syarikat. Mereka ini pelopor ekonomi neo-liberal. Bapa kapitalis dunia. Mereka mencipta ‘drone’ tanpa manusia yang menyerang orang awam di Pakistan. Mereka menindas negara kecil untuk menandatangani perjanjian yang akan memihak kepada mereka. Jadi apabila ribut satu negara akibat kedatangan Air Force One yang membawa Potus dan The Beast di dalamnya, saya adalah orang yang paling terkujat dan hairan sekali! Ketua Pembangkang, yang selama ini dilabel, dimomok dan dikaitkan sebagai agen Amerika di negara ini tiba-tiba menangis terisak-isak tidak dimasukkan di dalam jadual lawatan sang Potus. Apakah semua ini? Dan secara tiba-tiba, daripada khutbah, ceramah agama, keratan-keratan kertas dan demonstrasi yang menaikkan sepanduk Anti-US serta seluruh ritual membakar bendera Amerika Syarikat berubah kelmarin pada jam 4.50 petang dengan layanan karpet merah dihamparkan. Tak cukup dengan itu, anak muda mula terkinja-kinja mencipta hashtag #welcometomalaysia dan #POTUSinKLdi Twitter. Sungguh Malaysia Truly Asia bunyinya. Semua orang gembira dan teruja membayangkan manusia paling berkuasa di dunia kini berada di Kuala Lumpur! Bukan itu sahaja, anak muda, pemimpin muda dan gabungan bukan kerajaan khabarnya diberikan peluang untuk bertemu sang Potus! Amboi, galaklah anak muda ini memuat naik tiket bertemu sang Potus mereka di Instagram. Lupalah sudah mereka dengan isi khutbah yang baharu mereka dengan 2 hari lalu. Lupalah sudah mereka dengan semua siri ceramah serta demonstrasi di hadapan kedutaan yang pernah mereka sertai. Lebih pelik, untuk menampakkan negara sebagai moderat dan moden, sang Potus dibawa melawat Mesjid Negara! Lupalah semua pejuang agama yang selama ini meroyan apabila ada bukan Muslim yang masuk ke dalam mesjid. Lupalah semua pejuang bangsa yang selama ini histeria dengan isu Bible dalam laci hotel. Habis semua jadi lupa. Negara bagaikan sedang berpesta. Hinggakan kumpulan pejuang hak asasi tersenyum lebar mendapat peluang bertemu sang Potus. Semua ini, berlaku di tengah-tengah usul untuk memperkenalkan Hukum Hudud di negeri Kelantan, perbicaraan kes Liwat 2 Anwar Ibrahim, penarikan semua kitab Bible dari almari hotel dan perdebatan mengenai penggunaan kata Rest In Peace akibat kematian Karpal Singh. Apakah yang sebenarnya berlaku? Saya betul-betul hairan. Sejak dari kecil ditanam, di fahamkan serta dimomokkan bahawa Amerika Syarikat ini ialah negara penjajah yang jahat, tiba-tiba sejak dari semalam pembaca berita di televisyen asyik memperkatakan mengenai selfie sang Potus dengan Perdana Menteri kita dengan kapsyen; ‘Malaysia mempunyai hubungan yang semakin erat dengan Amerika Syarikat!’ Peter Burgen pada April 2012 di dalam The New York Times menyifatkan; “Compare Mr. Obama’s use of drone strikes with that of his predecessor. During the Bush administration, there was an American drone attack in Pakistan every 43 days; during the first two years of the Obama administration, there was a drone strike there every four days,” Saya tidak tahu apa tujuan sebenar sang Potus datang ke negara kita. Tetapi yang lebih pelik ialah untuk melihat bagaimana masyarakat, rakyat serta anak muda memberi reaksi terhadap kedatangan sang Potus ini. Segala khutbah, ceramah agama, keratan kertas anti-US serta demonstrasi bakar bendera yang kita lalui di hadapan kedutaan selama ini hanyalah sebuah halusinasi. Tidak wujud sebenarnya perkara seperti anti-US, anti-Amerika Syarikat atau anti-Obama. Semua, setiap dari kita, samada Perdana Menteri, Ketua Pembangkang, pejuang agama atau bangsa malahkan pejuang hak asasi sekalipun, semuanya sukakan United States of America.* Semua berebut-berebut untuk mengadu domba antara satu sama lain, semua berebut-rebut untuk bergayut di dagu dan poket sang Potus untuk hidup. Kita semua menjadi buta dan tuli, terperangkap di dalam imperialisme kebudayaan seperti mana pernah ditulis Ngungi wa Thiong’o; “Cultural imperialism in the era of neo-colonialism can be a more dangerous cancer because it can take new, subtle forms. It can hide under cloaks of militant nationalism, calls for dead authenticity, performance of cultural symbolism, and even under native racist self-assertive banners that are often substitutes for national self-criticism and collective pride in the culture and history of resistance.” Ketika sang Potus sedang giat mengajak negara berdekatan untuk beri tekanan terhadap Rusia berkenaan kes Crimea, tentera Amerika Syarikat masih belum keluar dari Afghanistan sepenuhnya. Penjara Guantanamo Bay masih belum ditutup. ‘Drones’ di Pakistan masih terbang mengelilingi masyarakat awam mencari mangsa. Israel bahkan, masih menghantar misil dan roket untuk menghancurkan anak-anak Gaza menggunakan peluru dari Amerika. Dan anak muda kita? Masih giat selfie dengan sang Potus (walaupun Obama jaraknya 500 meter), giat mempromosi hubungan erat Kuala Lumpur-Washington di Instagram. Kita tahu anak muda kita bermasalah pabila ditanya wartawan, apakah soalan yang bakal ditanya kepada Obama, anak muda ini menjawab; “Mr Obama, can I do a selfie with you?” Malaysia, Truly Asia.

“The use of drones is not only a continual violation of our territorial integrity but also detrimental to our resolve and efforts at eliminating terrorism from our country.”

– Nawaz Sharif, Voice of America, 23 October 2013.

* Nota editor: Harap maklum bahawa PSM dan Bantah TPPA telah melakukan demonstrasi untuk menyuarakan bantahan mereka terhadap perjanjian TPPA yang ingin dicapai Amerika Syarikat.

unnamed

]]>

Assajjad Movement condemns the arrest of Malaysian Shia cleric

the arrest was made after ROS lodged a police report on the existence of Ja’fari movement whom are not registered as an association. However it is important to note here that on 24 July 2013, Secretary General of the Ministry of Home Affairs, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, said that it is decided by the Home Ministry that any Shia movement are not recognized and considered illegal. This according to him is in accordance with Section 5 of the Societies Act 1966. He was commenting an attempt by a Shia organization to apply to register with the The Registrar of Societies of Malaysia in the state of Melaka on June 18 2011, but was rejected on August 4 of the same year. Datuk Othman Mustapha, Head of Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (The Department of Islamic Development Malaysia under Prime Minister’s office) once stated that Shia is a banned faith in Malaysia under Sharia law, and any movement or activities as a community is also illegal and can be arrested under civil law. On 29th July 2013, Minister in the Prime Minister’s Department Datuk Seri Jamil Khir Baharom said that Malaysian government tolerates Christians, Hindus and other faith but wont allow Shia faith to exist as Malaysian Muslims are only entitled to be Sunni followers. He also stated that Shia is not a school of thought that is recognized. Malaysian government’s ill treatments against Shia adherents are resulted from a 1996 fatwa banning, outlawing and declaring Shia as ‘a deviant teaching’. Mr Kamil Zuhairi was released with two guarantors before midnight and the investigation is still ongoing. He is given a date to appear in court and is suspected of violating section 42 of the Societies Act. Mr Kamil will be given two months by ROS to give explanations or he will face charge. We denounce this act of the State as opressive as it violates the fundamental rights of human beings. The State should be reminded of its obligation to respect and fully protect the rights of all individuals to assemble peacefully and associate freely. We believe this matter should be taken into consideration by Mr Maina Kiai, UN Special Rapporteur on the rights to freedom of assembly and association.

]]>

Kerajaan Negeri Selangor mengelak tanggungjawab

Persatuan Kristian Malaysia: Kerajaan Negeri Selangor Mengelak Tanggungjawab Dilaporkan pada 2 April 2014 Kerajaan Negeri Selangor telah menasihati  Lembaga Alkitab Malaysia (BSM) untuk menulis kepada Peguam Negara  meminta pembebasan terhadap Alkitab yang disita dari premis mereka pada  2 Januari 2014. Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) kecewa dengan pihak Kerajaan Negeri  Selangor dalam cubaannya mencuci tangan dalam perkara itu. Hakikatnya bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang bertindak di  bawah kuasa yang kononnya diberikan kepadanya oleh enakmen Negeri,  menyerbu premis BSM dan merampas lebih 300 buah Alkitab dan Bup Kudus,  Alkitab ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Iban masing-masing. Alkitab ini masih dalam simpanan mereka. Pegawai-pegawai JAIS hanya berkuasa bertindak selepas berunding dan atas  nasihat Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor bertanggungjawab  terhadap serbuan BSM, JAIS bertindak sebagai sebuah agensi Kerajaan Negeri  Selangor. Oleh itu, adalah bertentangan jika Kerajaan Negeri Selangor sekarang  meminta BSM untuk melihat kepada Peguam Negara untuk menyelesaikan perkara ini. CFM menggesa dengan tegas Kerajaan Negeri Selangor untuk bertindak tanpa  berlengah-lengah lagi mengarahkan pemulangan dengan selamat dan segera  Alkitab kepada BSM. Ia adalah satu cadangan yang lucu bahawa JAIS mempunyai kuasa tertentu  untuk menyita Alkitab, dan bahawa hanya dengan kelulusan dan kebenaran  Peguam Negara bahawa Alkitab yang sama boleh di lepaskan. Ini adalah tidak lain daripada ‘menolak tanggungjawab’, dan sama sekali tidak boleh diterima. Kerajaan Negeri Selangor adalah berkewajipan untuk bertindak dalam perkara  ini dan tidak mengelakkan dari bertanggungjawab. Perintahkan pengembalian  Alkitab itu sekarang. Ditandatangani Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi dan Jawatankuasa Eksekutif, Persekutuan Kristian Malaysia

]]>