Projek Dialog

Memerdekakan budaya Malaysia: Matlamat dan cabaran

Oleh Zikri Rahman

The paradox of education is precisely this—that as one begins to become conscious one begins to examine the society in which he is being educated…”

– James Baldwin

Budaya bukan setakat hafalan robot

Kebudayaan hanya hadir saat kita punya kesedaran, dan kesedaran itu yang mula-mula membenih sebuah pergerakan, membuah ranum gugusan kesatuan dan yang akhirnya menuai sesebuah bangsa menggapai tunas sebenar-benar merdeka.

Tidak ada sesebuah negara,apatah lagi sebuah ketamadunan yang terbina tanpa kebudayaan yang diperhalusi sewajarnya. Warga Malaysia dalam hal ini tidak terkecuali dalam menggagaskan acuan gerakan kebudayaannya sendiri.

Dalam pada itu, tulisan ini meninjau akan keberadaan gerakan kebudayaan, isu dan tindakan kebudayaan serta rumusan yang boleh kita perhalusi dalam merencana sebuah gerakan kebudayaan yang utuh.

Seiringan itu,seperti yang digarap Paolo Freire dalam bukunya Cultural Action For Freedom,kebudayaan dalam kata nama lainnya, pendidikan adalah “cultural action for freedom and therefore an act of knowing and not of memorization.”

Menilai pernyataan “act of knowing” dan “not of memorization” ini, antara kerangka pedagogi kritikal yang turut perlu diberikan perhatian oleh Freire turut berlegar sekitar penghakikian (conscientization) dan penghakikatan (determination) dalam konteks pensejarahan yang konkrit dan ikatan realiti kebudayaan dalam masyarakat.

“Warisan” penjajah

Yang wajib kita sedari, tidak akan ada proses pembudayaan yang neutral khususnya dalam proses pendidikan; yang formal mahupun tidak formal hasil dari naratif pensejarahan yang meraikan elitisme seperti yang dinukil oleh Ranajit Guha, pelopor kajian sejarah Subaltern dan Post-Kolonial dalam makalahnya, On Some Aspects Of The Historiography Of Colonial India, lebih-lebih lagi pabila,

“…Elitist historiography is of course not without its uses. It helps us to know more about the structure of the colonialist state, the operation of its various organs in certain historical circumstances, the nature of the alignment of classes which sustained it; some aspects of the ideology of the elite as the dominant ideology of the period…”

Ini boleh ditelusuri khususnya dalam pengukuhan ideologi serta struktur yang dominan dalam sesebuah jangka masa pemerintahan.

Ambil contoh bagaimana penjajahan kolonial British memperkukuh lagi struktur feudalisme di Tanah Melayu dengan meletakkan kedudukan agama Islam dan bahasa Melayu dalam bidang kuasa Raja-Raja kekal sehingga ke hari ini.

Yang kedua, realiti kebudayaan sesebuah masyarakat turut memainkan peranan khususnya dalam menanggapi pergelutan politik identiti dan kerencaman budaya yang semakin ruwet.

Dalam soal ini,pada awal-awal perangkaan Perlembagaan negara ini, kita dapat melihat bagaimana gerakan politik, sebagai contoh pakatan PUTERA-AMCJA menyatakan sikap dan pandangan dalam menggariskan hala tuju kebudayaan; soal bahasa dan identiti kaum di dalam Perlembagaan Rakyat tahun 1947 sebagai contoh.

Soal ini bahkan turut dilewati beberapa pemikir khususnya Franz Fanon yang berpendapat bahawa proses pembebasan dan pembudayaan dalam proses dekolonisasi itu sendiri seringkali sebuah fenomena bergulat keganasan kerana,

“.decolonization is quite simply the replacing of a certain ‘species’ of men by another ‘species’ of men. Without any period of transition, there is a total, complete and absolute substitution.”

Lantas, bagaimana gerakan kebudayaan di Malaysia menjawab kompleksiti budaya dalam isu-isu rentetan sebelum dan selepas peristiwa Kemerdekaan?

Isu tersirat, tindakan tersurat

Ketika awal-awal Malaysia masih sarat dijajah; oleh Portugis,kemudian Jepun dan British antaranya, persoalan tentang kebudayaan dalam erti kata ilmu pengetahuan mencorak pendidikan bangsanya mula menjadi perhatian anak bangsanya.

Portugis dengan semboyan “Gold, Glory, Gospel”, Jepun masuk-masuk sahaja Tanah Melayu tahun 1942 segera mencari Pak Sako, atau nama sebenarnya Ishak Haji Muhammad untuk meneruskan penerbitan akhbar Warta Malaya dan Utusan Melayu, dan penentangan terhadap British turut hadir dalam kerangka persuratan kesusasteraan tanah air ketika itu. Nah, semuanya berlegar sekitar kebudayaan!

Kompleksiti isu kebudayaan ini turut diteruskan dalam proses dekolonisasi neo-imperialisme dan neo-liberalisme yang masih berjalan, ditegaskan lagi oleh penubuhan Angkatan Sastrawan 50′ atau lebih dikenali sebagai ASAS ’50 yang menggariskan “seni untuk masyarakat” sebagai anutan dalam wadah perjuangan kebudayaan mereka.

Bertitik tolak dari soal-soal budaya; bahasa, adat, agama, falsafah, sastera antara lainnya, pendidikan merupakan tindakan kebudayaan paling ampuh menimbang untung nasib dalam menentukan hakikat dan hakiki seseorang individu dalam bermasyarakat.

Seiringan itu, tindakan kebudayaan disusun dalam kerangka pendidikan, ambil contoh gerakan literasi yang digagas oleh Paolo Freire dalam usaha menuntut proses pendemokrasian yang lebih menyeluruh. Di Malaysia, di bawah naungan Badan Kebajikan Pelajaran Majlis Agama Tertinggi Se-Malaya (MATA) dicapai kata sepakat pada tahun 1947 di Maktab Mahmud ditubuhkan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR).

Penubuhan LEPIR justeru memperjelaskan dinamika elemen kebudayaan; keterkaitan agama dan pendidikan, dalam menelusuri pancaroba bangsa Melayu ketika itu khususnya dalam masalah pendidikan yang melarat kepada sistem sosial, politik dan ekonomi.*

Dinamika tradisi-tradisi kebudayaan kita, terangkum soal bahasa, agama, kaum, antaranya ini juga hendaklah dilihat secara kolektif fungsinya lagi-lagi dalam tindakan gerakan kebudayaan yang mengagaskan leluhur emansipatif.

Ini ditegaskan oleh akademia Azhar Ibrahim dalam catatannya, Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi bahawa: “Sains sosial emansipatif menolak segala bentuk lagak untuk menjadi ‘saintifik’ dan ‘moden’ sehingga mengabaikan sendiri tradisi cendekiawan/etika yang ada dalam sejarah keagamaan kita.”

Beriringan pada itu, setiap krisis, polemik dan kontradiksi yang terzahir dalam aspek kebudayaan harus diraikan sesungguh-sungguhnya khususnya dalam daya kita menolak fatalisme, budaya senyap dan sunyi yang berakar umbi dari tatanan feudalisme.

Justeru pada kerangka teori dan praksis mana yang sesuai dijadikan teras gerakan kebudayaan?

Seribu Daya, Seribu Cara.

Sesungguhnya, tidak akan ada satu teori dan praksis yang boleh dijadikan dogma kerana yang jelas, paling utama adalah kesedaran. Dan kesedaran hanya terzahir di dalam tindakan/praksis yang membumi dalam tradisi kebudayaan negara kita sendiri.

Wali Songo dengan wayang kulitnya,(1)Teater “Bangsawan” yang digunakan oleh aktivis politik Indonesia dan Malaysia sedari tahun 1920-an(2) serta usaha menterjemah karya Usman Awang, Salam Benua ke dalam bahasa Mandarin adalah beberapa daya tindakan kebudayaan dalam tradisi leluhur kita sendiri.

Pertamanya, gerakan kebudayaan harus ditunjangi oleh warga berbilang identiti yang mempunyai naratif mencapai utopia secara kolektif seperti diungkap oleh Paolo Freire: “Communion with the people – accessible only to those with a utopian vision, in the sense referred to in this essay – is one of the fundamental characteristics of cultural action for freedom.”

Melawan keterasingan budaya

Keterasingan kebudayaan harus dijambatankan dengan keupayaan gerakan kebudayaan untuk menerjah masuk ke ruang massa, menerusi lingkup ruang awam menyubur proses dialogikal yang kritikal, reflektif dan inkuisitif.

Keterlibatan massa dan gerakan kebudayaan wajib berlaku secara nyata, terus, berterusan, langsung dan dua hala kepada warga keseluruhannya. Mustahaknya hal ini adalah untuk gerakan kebudayaan sentiasa berupaya membuat penilaian dan dekonstruksi terhadap pendekatan yang diunjurkan.

Penekanan terhadap sebuah tindakan kebudayaan perlu ditunjangi sebuah gerakan dan organisasi harus berjalan mampan dan menyeluruh dalam menggembur ranah sosial, politik dan ekonomi dengan nilai-nilai demokratik dengan pelan rancangan yang fokus.

Keberpihakan adalah unsur penting dalam sebuah gerakan kebudayaan, khususnya dalam menanggapi soal kelas tertindas dan terpinggir dalam sesebuah masyarakat seiring dengan pemberdayaan warga secara keseluruhannya. Kecenderungan atau pengamatan sahaja tidak cukup, komitmen dan tindakan mencari jalan penyelesaian perlu menjadi tonggak gerakan kebudayaan.

Dapat tidak dapat, warga yang berbilang identiti – ideologi, kaum, budaya, agama – dalam nada apa sekalipun – pencerahan, kebangkitan,islah, etsetra-etsetra – perlu menggengam dan menggepal satu tindakan dengan beroganisasi secara kendiri, organik dan alamiah dengan menggagas sebuah tekad kebudayaan memikul tanggungjawab.

Ini harus berlaku sehingga bilamana warga itu benar-benar merdeka saatnya diperakui haknya untuk mengungkap dalam fikrahnya sendiri, untuk menjadi dirinya yang sebenar-benar.

Berbudaya, Bertamadunlah!

unnamed

]]>

Menganuti dua agama sekali: Meninjau fenomena keluarga majmuk agama

Penterjemahan tidak rasmi “What’s it like ‘being both?’ A conversation with interfaith family pioneer, author, Susan Katz Miller” yang, disiarkan di Chron pada 28/08/2014. Penterjemahan oleh Yana Rizal. Bagaimana rasa identiti dua agama sekaligus? Perbualan bersama perintis keluarga beragama majmuk dan penulis, Susan Katz Miller.  Setiap hari, rakyat Amerika kian berinteraksi dengan manusia dari pelbagai agama. Dari jiran-jiran Mormon, rakan sekerja Hindu, dan rakan-rakan yang tidak beragama, tidak hairanlah bahawa perkahwinan antara agama kini semakin banyak di Amerika Syarikat. Naomi Schaeffer Riley melaporkan bahawa hampir setengah (42%) daripada perkahwinan di Amerika Syarikat merupakan perkahwinan antara agama. Peningkatan ini tidak mengira lokasi, jantina, status pendidikan, mahupun tahap pendapatan. Buku Susan Katz Miller, Being Both: Embracing Two Religions in One Interfaith Family (Penterjemahan literal: Menjadi Kedua-duanya: Menghayati Dua Agama Dalam Satu Keluarga) – sebuah buku yang dikatakan sebagai “bukti indah dan inspirasi tentang kuasa cinta….” oleh Reza Aslan, seorang penulis terkenal dan perintis pengajian antara agama – telah ditulis berdasarkan perkembangan demografi ini, dan kesannya terhadap institusi keluarga sekarang. Ia juga menarik pada sesiapa yang berada dalam hubungan seagama ataupun tidak beragama. Bagi mereka yang dalam perkahwinan seagama, “Being Both” memperkenalkan satu dunia lain yang sering dihakimi, dan diketepikan, oleh orang keagamaan yang memandang rendah terhadap penyatuan berbeza agama. Barangkali, walaupun anda berkahwin dengan seseorang yang seagama, anda mempunyai saudara ataupun kenalan yang mempunyai latar belakang agama majmuk, dan mungkin anda berminat tentang dinamik keluarganya, atau ingin mengetahui bagaimana anda boleh mendekatkan diri dengan cara yang terbaik dan sesuai. Buku ini merupakan satu peluang mudah untuk memahami kelebihan, dan cabaran dalam sebuah keluarga yang beragama majmuk. Untuk pemimpin-pemimpin agama, seperti pastor, imam, rabbi, dan sebagainya, ia mencabar mereka untuk mempertimbangkan “teologi pastoral” bagi keluarga yang beragama majmuk. Bagi ahli akademik, ia membuka ruang untuk penyelidikan selanjutnya. Walaupun Miller telah menjalankan tinjauannya sendiri, beliau menyarankan bahawa sudah tiba masanya untuk bidang ini dikaji dengan lebih mendalam secara kuantitatif dan kualitatif. Miller menulis dari pengalaman agama-majmuknya sendiri, dan dengan itu mengekalkan nada yang positif sepanjang buku tersebut. Pakar kemajmukan agama itu merangkumi perbincangan yang luas, daripada komuniti keluarga beragama majmuk, kepada upacara perayaan kematangan / baligh kanak-kanak dalam keluarga majmuk, dan akhirnya pandangan agama mereka apabila dewasa. Buku ini memberi tumpuan khas kepada hubungan Yahudi-Kristian dan terhad dalam perbincangannya mengenai perkahwinan majmuk agama lain seperti Islam, Buddha, Sikh, yang tidak beragama, atau kepercayaan-kepercayaan yang lain. Walaubagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh Miller sendiri, beliau mengalu-alukan penerbitan buku-buku yang mampu meneroka kepelbagaian jenis keluarga beragama majmuk yang lain. Saya berpeluang untuk mengutarakan beberapa pertanyaan susulan kepada Miller mengenai kelenturan sifat agama, meneruskan lagi perbincangan mengenai keluarga beragama majmuk, dan masa depan masyarakat beragama majmuk di Amerika Syarikat. Jawapan beliau sangat wajar untuk direnungkan bersama: Chron: Anda menyatakan bahawa, “Kanak-kanak, sama ada mereka beragama majmuk ataupun tidak, akan keluar ke dunia ini dan membuat pilihan agama mereka sendiri.” Ini membimbangkan sesetengah pihak, mengapa anda fikirkan bahawa mereka tidak seharusnya risau? Susan Katz Miller: Warga Amerika kian bertukar mazhab dan agama, dan meninggalkan kepercayaan formal untuk menjadi “spiritual tetapi tidak beragama,” menurut Pew Research. Inilah realiti keagamaan kita yang fleksibel, di dalam sebuah negara yang mempunyai kebebasan beragama. Jika anda mahukan anak-anak anda mempunyai identiti agama tertentu, strategi terbaik anda ialah untuk membesarkan anak-anak anda dengan identiti tunggal tersebut. Jika kedua-dua ibu bapa bersetuju untuk membesarkan anak-anak mereka dengan satu agama, silakan. Tetapi jika anda mempunyai dua agama dalam keluarga tersebut, ataupun satu pandangan alam beragama dan satu lagi sekular, pada saya anda tidak boleh mengabaikan pandangan alternatif itu. Kanak-kanak ini membesar dengan mengenali dan menyayangi keluarga daripada dua amalan berlainan, dua sistem kepercayaan. Saya percaya bahawa ini membuatkan mereka cenderung kepada universalisme, membina silaturrahim [bridge-building], dan menyemai kedamaian, yang saya lihat sebagai satu kelebihan dalam hidup, dan baik untuk dunia. Dunia kompleks kita kini saling berhubung melalui media dan internet, dan menyusutkan keupayaan kita untuk berinteraksi dalam dunia sebenar. Kanak-kanak yang menjangkaui sempadan budaya, etnik, kaum dan agama tradisional mempunyai satu kelebihan sebagai penghubung budaya dan diplomat yang boleh membantu kita menjadikan dunia yang kompleks ini suatu dunia yang aman. Bagaimanakan sambutan terhadap buku ini? Tahun ini dipenuhi dengan perbincangan yang menguja. Saya telah berucap di hadapan kalangan ibu bapa, mahasiswa, kumpulan-kumpulan dialog antara agama, dan di hadapan hampir 50 rabbi. Saya berdialog dengan menteri dan paderi, orang Islam dan Hindu. Jika berpeluang, saya ingin melawat setiap seminari di Amerika, kerana golongan paderi perlu bersedia untuk memberikan kaunseling kepada keluarga-keluarga beragama majmuk yang kian semakin banyak. Dan paderi kolej, khususnya, kini mencari kaedah untuk membantu pelajar dengan identiti agama yang kompleks, ataupun yang berada dalam hubungan antara agama yang kompleks. Saya boleh membantu dengan kaedah ini. Terutamanya sekali, saya amat terharu dengan masyarakat Yahudi yang kini mula mempertimbangkan kembali strategi mereka yang mengabaikan 25% daripada perkahwinan bersama pasangan bukan Yahudi, di mana anak-anak mereka dibesarkan “sebahagian Yahudi dan sebahagiannya yang lain.” Mereka ini bukanlah keluarga yang menolak agama Yahudi: mereka masih mahu mengekalkan hubungan keagamaan ini. Contohnya tahun ini, akhbar yang dihormati, Jewish Daily Forward telah menjemput saya sebagai pakar nasihat untuk keluarga beragama majmuk, iaitu satu ruangan baru bagi mereka, di samping pandangan-pandangan yang lebih konservatif. Bagaimanakah seseorang yang tiada pengalaman dalam hubungan antara agama boleh berinteraksi dengan komuniti beragama majmuk dengan lebih baik dan mewujudkan suasana yang tidak meminggirkan mereka? Nasihat saya, ialah cuba melihat bahawa manusia, keseluruhannya termasuklah kita, mempunyai identiti agama yang kompleks. Tiada seorang pun yang dapat dilabelkan dalam satu kotak tertentu dengan mudah. Walaupun kamu sangat berpegang kepada sebuah kepercayaan, misalnya Presbyterian, kamu masih mungkin tidak bersetuju dengan sesetengah kepercayaan atau amalan jiran seagama anda. Setiap seorang daripada kita membina identiti keagamaan dan kerohanian (ataupun humanis) daripada latar belakang keluarga, pertembungan kita dengan alam, sastera, kitab-kitab agama, dan dengan orang lain. Orang-orang daripada keluarga beragama majmuk tidaklah berbeza dalam hal ini. Kami hanya bermula dengan pengaruh kekeluargaan yang lebih meluas. Apakah langkah pertama bagi keluarga beragama majmuk yang ingin lebih menjadi proaktif? Pasangan yang berkahwin bermula di atas dasar kasih sayang dan hormat-menghormati, dan secara idealnya mereka telah mempunyai perbualan yang mendalam dan persefahaman tentang kehidupan keagamaan dan spiritual keluarga mereka pada masa akan datang. Malangnya, seringkali ianya keluarga dan saudara-mara lain, yang mungkin mempunyai pengalaman yang kurang intim dengan orang-orang beragama lain, yang memberi tekanan terhadap perkahwinan tersebut, tentang pendidikan dan identiti anak-anak mereka pada masa depan dan seterusnya. Semua orang dalam keadaan ini perlu bekerja keras untuk terus berhadapan antara satu sama lain dengan perasaan kasih sayang, dan bukannya kebimbangan mahupun sikap mempertahankan diri. Sebaik-baiknya, daripada berundur ataupun mengelak satu sama lain, luangkan masa bersama keluarga dan saudara-mara, bercuti dan menyambut perayaan bersama-sama dan melibatkan diri dalam ritual agama, tanpa mendesak sesiapa untuk menukar agama atau memilih masa depan tertentu untuk anak-anak mereka. Apakah potensi, dan juga cabaran terbesar, yang dihadapi oleh keluarga beragama majmuk pada masa kini? Sebagai keluarga beragama majmuk, kami adalah bukti kebebasan beragama dan keupayaan untuk menjangkaui sempadan sosial di Amerika hari ini. Ini sekaligus merupakan potensi dan cabaran. Pengalaman saya sendiri, daripada keluarga tiga-generasi yang bahagia, adalah sangat positif. Cabaran utama saya ialah menjelaskan kebahagiaan ini kepada orang ramai, terutamanya generasi “baby boomers” dan golongan yang lebih tua, yang mengatakan “tidak boleh begitu.” Saya mendapati bahawa anak-anak muda, generasi Millennial dan khususnya “Generasi Z” yang lebih baru, seringkali mempunyai latar belakang keluarga yang kompleks, dan mempunyai pemahaman yang lebih intuitif mengenai kerumitan beragama. Ada sesetengah yang mungkin menyangkal, “bukankah mengatakan bahawa seseorang itu beragama majmuk sama seperti menimbulkan suatu agama baru, yang kini menghargai nilai-nilai pluralisme, toleransi, sinkretisme dan seakan menyembah suatu penggabungan politeistik tuhan? Bukankah mengatakan sesuatu itu ‘kedua-duanya sekali’ hanya satu bentuk keagamaan secara bufet, yang sewenang-wenangnya dipilih-pilih? Apakah respons anda? Keagamaan majmuk bukanlah suatu agama yang lain: ia tidak mempunyai teologi tersendiri, mahupun amalan-amalan yang ditentukan. Kemajmukan agama adalah satu keadaan yang terhasil daripada perkahwinan, ataupun kelahiran, ke dalam keluarga yang beragama majmuk. Masyarakat yang menyokong keluarga beragama majmuk memberikan ruang bagi mereka untuk mengekalkan hubungan dengan kedua-dua agama, mengajar anak-anak mereka tentang sejarah dan teks kedua-duanya, dan memberikan mereka peluang untuk mengalami ritual agama, di mana mereka mungkin tidak diterima atau tidak selesa di rumah ibadat yang lebih tradisional. Komuniti seperti ini juga memberi ruang kepada keluarga-keluarga ini untuk menghayati kemajmukan agama mereka secara positif, dan tidak berasa terpinggir. Sebahagian besar daripada buku anda tertumpu kepada keluarga-keluarga beragama Yahudi-Kristian. Anda mengatakan bahawa anda mengalu-alukan buku-buku lain yang dapat membincangkan gabungan agama majmuk yang lain, tetapi anda juga mengatakan bahawa, “setiap penggabungan agama mewujudkan cabaran dan keserasian yang unik.” Boleh anda terangkan? Saya juga menemu bual pasangan-pasangan beragama majmuk yang lain seperti Islam, Hindu dan Buddha, maka di dalam buku saya anda dapat melihat secara ringkas bagaimana cara hidup keluarga-keluarga ini. Persamaan di dalam semua ini ialah peranan penting sikap hormat-meghormati, pendidikan antara satu sama lain dan penglibatan bersama dalam upacara agama, dan juga usaha untuk mengekalkan hubungan positif dengan keluarga dan saudara-mara. Saya boleh menyarankan tiga buku yang telahpun diterbitkan. The Book of Mormon Girl oleh Joanna Brooks tentang keluarga Yahudi-Mormon, Saffron Cross oleh J. Dana Trent mengenai sebuah keluarga Hindu-Kristian, dan juga sebuah buku baru, In Faith and In Doubt oleh Dale McGowan, mengenai keluarga-keluarga Kristian dan humanis sekular. Apakah langkah seterusnya dalam bidang penyelidikan keluarga dan masyarakat beragama majmuk? Buku saya adalah yang pertama untuk meninjau dan menemu bual kanak-kanak beragama majmuk yang telah dibesarkan dengan pendidikan agama majmuk. Pada saya, hasilnya memberangsangkan, dan memberi harapan dengan menyangkal idea bahawa kanak-kanak beragama majmuk yang dibesarkan sebagai “kedua-duanya sekali” akan kekeliruan. Tetapi saya benar-benar berharap bahawa ahli akademik kini akan menyusul dengan kajian yang lebih meluas tentang perjalanan spiritual dan keagamaan bagi kanak-kanak ini. Bagi ramai pembaca, ini merupakan pengalaman pertama mereka dalam konsep komuniti beragama majmuk. Boleh anda simpulkan wawasan utama komuniti beragama majmuk kepada tiga? Komuniti keluarga beragama majmuk:

  1. Memberikan “ruang ketiga” di mana seseorang itu bukanlah “tetamu”, dan pasangan ini boleh mendalamkan pemahaman dan perasaan hormat mereka terhadap kedua-dua agama.
  2. Memberi pendidikan kepada kanak-kanak beragama majmuk, supaya mereka boleh mempelajari sejarah, teks, kepercayaan dan amalan kedua-dua agama dalam program dikendalikan oleh seorang guru Yahudi dan Kristian di dalam setiap bilik darjah.
  3. Memberi ruang kepada keluarga beragama majmuk untuk meraikan cuti bersama-sama, membincangkan pengalaman mereka, dan menerapkan sikap positif dalam kanak-kanak dari keluarga yang beragama majmuk.
Anda menyentuh tentang potensi ” identiti dan amalan agama majmuk” bagi seseorang individu, dan permasalahan institusi agama. Sila terangkan. Banyak institusi keagamaan di Amerika sedang berusaha untuk mengekalkan keahlian dan hubungan mereka dengan masyarakat, dalam satu era di mana orang kian memilih untuk menjadi spiritual tetapi tidak beragama, ataupun yang tidak berpegang kepada konsep kerohanian sama sekali. Sebaik-baiknya, keluarga yang membesarkan anak-anak mereka dengan ajaran agama majmuk dapat mengekalkan hubungan dengan kedua-dua institusi agama, misalnya sebuah rumah ibadat Yahudi dan gereja, di dalam komuniti keluarga beragama majmuk, tanpa merasa bahawa mereka tidak diterima. Ianya terpulang kepada institusi-institusi agama ini untuk memutuskan sama ada mereka bersedia untuk menerima kanak-kanak yang beragama majmuk. Apabila keluarga-keluarga ini diterima, maka manfaatnya adalah untuk pasangan tersebut, anak-anak mereka, dan juga institusi tersebut dengan menggalakkan penyertaan dalam aktiviti ibadat, dan berhadapan dengan realiti kemajmukan agama di dalam dunia abad ke-21 ini.   ]]>

Muslim menggadaikan nyawanya untuk Kristian di Mosul

Laman web ankawa.com mengisahkan seorang profesor universiti yang telah mati dibunuh kerana menentang penganiayaan anti-Kristian. Sementara itu, ISIS telah menetapkan jizyah sebanyak 450 dolar:

Beliau enggan berdiam diri tentang keganasan yang dihadapi oleh penganut Kristian di Mosul, yang terpaksa memilih samaada untuk memeluk Islam, membayar jizyah (cukai Islam untuk warga bukan Islam) atau melarikan diri. Profesor Mahmoud Al ‘Asali, seorang profesor perundangan dan pensyarah bidang pedagogi di Universiti Mosul, telah berani membantah ugutan kejam ini yang beliau percayai adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Tetapi beliau telah membayar harga pendirian ini dengan nyawa: beliau dibunuh oleh militan ISIS di Mosul semalam.

Ankawa.com – antara sumber berita terpantas mengenai bencana yang dihadapi penganut Kristian di Iraq – telah menyiarkan kisah tersebut. Di tengah pergolakan tragedi yang sedang berlaku di negara ini, laman web tersebut tidak mahu kisah keberanian ini terlepas dari pandangan awam tanpa disedari. Profesor Ali ‘Asali cukup sedar apakah risiko yang dihadapinya: semua di Mosul mengetahui bahawa di Raqqa – sebuah kota di Syria yang telah ditakluki ISIL pada tahun lepas – ramai aktivis hak asasi manusia telahpun berkorban nyama menentang kekerasan ISIS. Namun Al ‘Asali tidak mampu hanya berdiam diri.

Begitu juga ramai umat Islam yang lain, yang telah melancarkan kempen “Saya warga Iraq, Saya Kristian” sebagai tindak balas kepada tanda huruf “Nun” yang tertulis pada dinding rumah-rumah Kristian di Mosul. Semalam, sebahagian daripada mereka hadir di luar Gereja St. George di Baghdad, bersama panji yang tertera dengan cogan kata tersebut dan menyiarkan gambarnya di Facebook.

Tetapi tindakan-tindakan penentangan ini tidak mampu menghentikan kegilaan fundamentalis ISIS. Pada hari ini, pembersihan etnik kian berterusan, dengan penguatkuasaan jizyah – cukai “perlindungan” Islam yang perlu dibayar oleh semua orang bukan Islam yang ingin kekal atau kembali ke Mosul. Jumlah bulanan yang perlu dibayar ialah 450 dolar, iaitu suatu jumlah yang mustahil bagi sesiapa yang menetap di Utara Iraq. Hari ini, sebuah lagi lokasi bersejarah Kristian telah jatuh ke tangan ISIS: bangunan biara Syro-Katolik Mar Benham, berhampiran dengan Qaraqosh, iaitu bandar Kristian di dataran Nineveh yang merupakan pusat pelarian bagi majoriti penganut Kristian. Biarawan-biarawan telah menduduki Mar Benham sejak abad ke-4 lagi. “Mereka menghalau tiga biarawan dan beberapa keluarga yang tinggal di biara tersebut dan memaksa mereka meninggalkan kuncinya,” ujar Yohanna Petros Moshe, biskop Syro-Katolik Mosul, kepada agensi berita Fides. Blog Bagdadhope melaporkan bahawa biara tersebut dibaik pulih pada tahun 1986 dan telah menjadi destinasi penziarahan bagi penganut agama Kristian dan juga Islam.   Makalah asal oleh Giorgio Bernardelli, disiar di vatican insider 07/21/2014. Penterjemahan oleh Yana Rizal.   unnamed

]]>

Seminar: Kebebasan, Agama dan Media Sosial

RUANG TERHAD. DAFTAR DI: projekdialog@yahoo.com 

Projek Dialog dengan kerjasama Article 19 akan mengendalikan seminar untuk meniliti isu-isu sekitar hubungan kebebasan agama dan hak asasi dalam era media sosial. 

Kita akan tumpukan aspek teori dan praktikal.  Dari segi teori kita akan membahaskan kebebasan agama dalam kerangka hak asasi manusia dan kaitannya dengan keadaan tempatan. Kemudian sesi praktikal akan diadakan, di mana cara cara media sosial boleh digunakan untuk advokasi harian akan dibentang. Antara lain kita akan membahaskan: Apakah asas hubungan tersebut? Bagaimanakah ia boleh diperlihara dalam konteks Malaysia? Apakah cabaran yang akan dilalui dalam menegakkan hak asasi dan apakah langkah-langkah praktikal yang boleh diambil oleh rakyat biasa dalam meningkatkan kesadaran masyarakat terhadap isu ini? Seminar ini berbentuk forum yang terdiri daripada panelis dan pakar, serta ruang perbincangan terbuka di mana hadirin dapat menyuarakan pendapat mereka. Seminar ini akan diadakan pada Ahad, Ogos 24 2014, dari jam 9 pagi ke 8 malam. Makan tengah hari dan makan malam akan disediakan. Tempat: Pusat Rakyat Loyar Burok. Turut serta: Faisal Tehrani, Lena Hendry, Uthaya Sankar SB, Khairil Yusof dan Ehsan Shahwahid RUANG TERHAD. DAFTAR DI: projekdialog@yahoo.com Sila telefon: 0123319537 jika anda ada sebarang pertanyaan. 10608723_572433826200565_6595252433728348794_o 10537325_572527862857828_7419434369246466651_n  

]]>

15 fakta menarik tentang Hinduisme

Disediakan oleh Yana Rizal.  1. Hinduisme adalah agama tertua di dunia

Ia berasal dari tamadun Vedic India (alaf kedua dan pertama sebelum masihi).

2. Asal-usul Hinduisme tidak diketahui

Hinduisme tidak mempunyai pengasas agama mahupun nabi.

Sebaliknya, Hinduisme merupakan warisan pengajaran dan kebenaran, undang-undang spiritual, dan amalan yang diturunkan oleh pendeta zaman-berzaman. 

3. Gelaran “Hindu” tidak wujud di dalam kitab-kitab Hindu

“Hindu” merupakan gelaran yang diberikan oleh orang-orang Arab untuk masyarakat di kawasan sungai Indus, dengan cara hidup mereka. 

4. Hinduisme adalah cara hidup.

Hinduisme tidak diasaskan sebagai sebuah “agama” seperti yang biasa difahami, tetapi merupakan satu cara hidup berdasarkan pengajaran daripada kisah-kisah kitab Hindu.

Hinduisme tidak mempunyai sistem yang seragam mahupun badan autoriti keagamaan, kerana falsafah ketuhanan dan kehidupannya yang meluas dan dinamik. [caption id="attachment_3839" align="alignleft" width="300"]Hinduisme merupakan warisan pengajaran dan kebenaran, undang-undang spiritual, dan amalan yang diturunkan oleh pendeta zaman-berzaman. Hinduisme merupakan warisan pengajaran dan kebenaran, undang-undang spiritual, dan amalan yang diturunkan oleh pendeta zaman-berzaman.[/caption] 5. Berjuta-juta Tuhan? TIDAK. Agama Hindu mempercayai hanya SATU tuhan.

Tuhan ini adalah roh segala alam, yang bernama Brahman.

Brahman ialah suatu realiti agung yang tidak berubah, di dalam dan di luar dunia ini, dan tidak mampu untuk diketahui atau difahami dengan sepenuhnya. Roh Brahman ini berada di dalam semua benda.

6. Tapi, dewa Hindu kan berbagai-bagai?

Kerana Tuhan adalah Maha Agung, maka Dia adalah di mana-mana dan dalam segala-galanya, dan tidak mempunyai satu identiti utama. Manusia tidak dapat memahami Tuhan sebagai “satu bentuk sebenar,” sebab itulah terdapat variasi berbeza dalam bentuk Tuhan.

Kesemua ini merupakan penzahiran kepada sifat-sifat Brahman yang berlainan.

Hinduisme menggalakkan penganutnya mendekati Tuhan dengan cara yang paling sesuai dengan diri mereka.

Maka mereka mempunyai pilihan untuk berdoa kepada beberapa atau semua bentuk Tuhan yang berbeza, atau hanya berdoa kepada satu Tuhan yang Maha Esa.

Pembezaan dewa-dewa ini membantu menumpukan doa mengikut keadaan yang sesuai. Sebagai contoh, jika seseorang baru memulakan perniagaan, dia akan menyembah Ganesha, dewa gajah yang mewakili kejayaan. [caption id="attachment_3606" align="alignleft" width="203"]“Hindu” merupakan gelaran yang diberikan oleh orang-orang Arab untuk masyarakat di kawasan sungai Indus, dengan cara hidup mereka. “Hindu” merupakan gelaran yang diberikan oleh orang-orang Arab untuk masyarakat di kawasan sungai Indus, dengan cara hidup mereka.[/caption] 7. Adakah Hinduisme mempunyai dewa-dewa utama?

Ya. Trimurti ataupun tiga dewa utama adalah Brahma (pencipta), Vishnu, (pemelihara) dan Shiva (pemusnah). 

Selain itu, Dewa Ganesha (kejayaan), Dewa Krishna (keagungan), Dewa Hanuman (kekuatan), Dewa Rama (keberanian dan kebaikan) dan Dewi Parvati (kekuasaan dan kecintaan) juga amat popular.

8. Hindu agama menyembah patung? BUKAN.

Penganut Hindu bukan menyembah patung itu sendiri, tetapi menganggapnya hanya sebagai perwakilan fizikal kepada Tuhan.

Ini membantu mereka memberikan tumpuan kepada penyembahan dan meditasi, dan memudahkan mereka mendekati Tuhan.

9. Hindu menyembah lembu? Juga bukan.

Agama Hindu menganggap bahawa semua makhluk kehidupan adalah suci, namun lembu mempunyai tempat yang istimewa. 

Lembu dihormati sebagai sumber rezeki dan simbol keibuan, yang membekalkan susu dan keperluan hidup yang lain. 

10. Apakah kepercayaan-kepercayaan asas Hinduisme?

Walaupun Hinduisme tidak mempunyai sistem kepercayaan yang seragam, dan menerima pelbagai kepercayaan, secara amnya penganut Hindu berpegang kepada:

Tuhan sebagai Roh dan Realiti Agung

Kebenaran kitab-kitab Vedas

Pengajaran golongan Brahman (pendeta)

Samsara (kelahiran semula): Semua roh kehidupan akan dilahirkan dalam kitaran hidup baru – sehinggalah roh ini mencapai kebebasan (moksha), status pencerahan tertinggi dan penyatuan dengan roh alam.

Karma: Prinsip sebab dan akibat, di mana kelakuan kita dalam kehidupan ini akan menentukan kehidupan yang seterusnya. Kelakuan yang baik akan menyebabkan kelahiran semula yang baik, kelakuan jahat akan menyebabkan musibah dalam kehidupan akan datang.

Dharma: Kebenaran universal, dan tanggungjawab etika.

11. Puruṣārtha: 4 matlamat kehidupan Hindu 

Kama: Kemahuan dan kenikmatan, samaada fizikal atau emosi

Artha: Kejayaan dan kemakmuran dalam kehidupan

Dharma: Kemuliaan dan kebaikan. Mengawal Kama dan Artha dalam rangka moral Dharma secara pragmatik, iaitu cara hidup yang betul

Moksha: Kebebasan dari kitaran hidup, satu-satunya matlamat yang sebenar

12. Apakah perayaan-perayaan Hindu?

Disebabkan kepercayaan Hindu yang berbeza-beza, perayaan sesebuah komuniti juga selalunya berbeza mengikut budaya dan dewa yang diutamakan di kawasan itu. 

Diwali/Deepavali (“Pesta Cahaya”) – Disambut oleh penganut Hindu sedunia untuk menandakan kemenangan cahaya atas kegelapan, pengetahuan atas kejahilan, kebaikan atas kejahatan, dan pengharapan atas putus asa.

Holi (“Pesta Warna”) – Pesta keramaian di mana warna-warna dicampakkan dengan sukaria antara semua tidak kira status sosial, dan simbolik untuk melupakan sengketa lama. Lahir daripada tradisi legenda Krishna.

Maha Shivaratri – Meraikan Dewa Shiva, pada hari perkahwinannya kepada Dewi Parvati. 

Ram Navami – Meraikan kelahiran Dewa Rama.

Krishna Janmastami – Meraikan kelahiran Dewa Krishna.

Ganesh Chaturthi – Meraikan kelahiran Dewa Ganesha.

Thaipusam – Meraikan kejayaan Dewa Murugan ke atas kejahatan. Perayaan penting bagi masyarakat Tamil, seperti di Malaysia. 

Thai Ponggal – Pesta menuai bagi masyarakat Tamil.

13. Adakah Hinduisme mendukung sistem kasta?  [caption id="attachment_3842" align="alignleft" width="300"] Diskriminasi kasta bertunjangkan budaya, dan bukan agama.   Diskriminasi kasta bertunjangkan budaya, dan bukan agama.[/caption] Tidak. Diskriminasi kasta bertunjangkan budaya, dan bukan agama.   

Kasta merupakan suatu sistem kuno yang digariskan di dalam kitab-kitab Hindu sebagai kelas pekerjaan, tetapi sebaliknya telah dijadikan dasar hierarki sosial yang sangat ketat.   

Kelas kasta (varna) Hinduisme dibahagikan seperti berikut:

Brahman: Golongan pendeta, profesional dan intelektual

Kshatriya: Pemimpin masyarakat, pahlawan dan bangsawan

Vaishya: Dahulunya petani dan penternak, sekarang pedagang

Shudra: Pekerja buruh kasar, penukang atau pemberi khidmat

Dalit/“Yang tidak boleh disentuh”/Pariah: Kelas ini bukan sebahagian daripada Hinduisme, tetapi merupakan pembahagian sosial yang menganggap mereka sebagai golongan terbawah.

 Golongan ini sering dipinggirkan dan dianiayai, namun ini bukanlah ajaran Hinduisme.  

Diskriminasi kasta telah diharamkan di dalam Perlembagaan India, di bawah Perkara 15 dan 17. 

14. Mengapa Hindu menggalakkan pemakanan Vegetarian?

Ini berdasarkan prinsip “ahimsa”, iaitu tiada keganasan. 

Oleh kerana semua kehidupan adalah penzahiran Tuhan , maka penganut Hindu digalakkan menghormati kehidupan dengan tidak memakan daging. 

15. Hinduisme mempunyai 4 Mazhab utama [caption id="attachment_3600" align="alignleft" width="202"]Karma: Prinsip sebab dan akibat, di mana kelakuan kita dalam kehidupan ini akan menentukan kehidupan yang seterusnya. Karma: Prinsip sebab dan akibat, di mana kelakuan kita dalam kehidupan ini akan menentukan kehidupan yang seterusnya.[/caption] Vaishnavi: Mazhab terbesar, yang memuja Vishnu atau salah satu avatarnya (identiti kelahiran semulanya) sebagai Dewa tertinggi dan merupakan kepercayaan monoteistik.

Shaivi: Memuja Siva sebagai Dewa tertinggi dan merupakan kepercayaan monoteistik.   

Shakti: Memuja Shakti, atau Devi (Ibu Agung) dalam semua bentuknya sambil tidak menolak kepentingan ketuhanan maskulin atau neutral. Dewi Agung, atau Devi, ialah Tuhan tertinggi, iaitu Brahman sendiri, tanpa tandingan, dan semua bentuk ketuhanan lain adalah semata-mata manifestasi Devi. 

Smarti: Prinsip kesamaan semua dewa-dewa, dan semuanya adalah manifestasi satu kuasa ilahi. Ini merupakan takrifkan Hinduisme yang digunakan oleh Mahkamah Agung India, kerana ianya paling sekular.  

Mazhab-mazhab Hinduisme tidak menganggap mazhab lain sebagai saingan, dan setiap mazhab bebas meminjam kepercayaan dan amalan dari yang lain.         Sila emel projekdialog@yahoo.com untuk rujukan dan sumber khusus maklumat di atas.   unnamed  

]]>

Melawan kebencian kolektif

Bedar Sukma Bisu saya telah bertanya sebanyak dua kali menerusi watak Wefada; ‘Apakah yang lebih penting, kemakmuran (keperluan perut) atau kebebasan (keperluan benak)? Jika makanan adalah keperluan atau alas perut dari kelaparan, apakah makanan akal atau alas benak dari kejahilan? Agama adalah keperluan yang penting. Oleh kerana itu, dalam sesebuah negara demokratik, kerajaan sebagai bapa akan menjaga keperluan akal ini secara saksama dan tanpa diskriminasi. Hal ini menjadi lebih sulit kerana kerajaan juga perlu melindungi penganut agama minor. Sebelum memahami apakah itu minoriti agama, wajar difahami apakah yang dimaksudkan dengan agama menurut standard antarabangsa. Definisi agama sangat luas meliputi kepercayaan, panduan baik dan buruk atau moral, yang turut merangkumi kepercayaan yang bertuhan (theistic), yang tidak bertuhan (non-theistic) dan tiada kepercayaan (atheistic) . State, atau sesebuah kerajaan perlu mengiktiraf kemerdekaan agama dan kepercayaan. Sekiranya atas sesuatu alasan keagamaan atau ideologi, sesebuah kerajaan enggan mengiktiraf sesuatu ajaran itu sebagai agama, kerajaan masih bertanggungjawab untuk mengiktirafnya sebagai satu kepercayaan (belief). Sesebuah minoriti agama itu terikat oleh solidariti sesama mereka untuk mempertahankan budaya, tradisi, agama atau bahasa. Oleh demikian objektif bersifat politik dan militari tidak termasuk dalam hal ini. Pada sesi United Nations yang ke-25 lalu, Profesor Dr Heiner Bielefeidt, Special Rapporteur on freedom of religion or belief, telah memberi beberapa saranan yang menarik untuk diikuti oleh kerajaan. Pada 11 Mac 2014, beliau membentangkan laporan dengan tema ‘collective religious hatred’. Dr Bielefeidt menegaskan kebencian terhadap agama secara kolektif bukan sesuatu yang alamiah tetapi adalah sesuatu yang boleh dielakkan. Kebencian terhadap agama secara kolektif berlaku kerana adanya ketakutan atau kebimbangan. Perasaan tersebut adalah lawan kepada kasih sayang. Berdasarkan pemerhatian terhadap laporan dan rungutan berkaitan kemerdekaan beragama dari negara-negara anggota United Nations, beliau menyatakan kebencian terhadap agama secara kolektif terjadi kerana situasi politik. Kebencian kolektif Terdapat tiga punca kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa; 1. Wabak korupsi merupakan punca utama berlakunya kebencian terhadap agama secara kolektif. Di dalam sesebuah negara, institusi awam milik kerajaan wajar membantu masyarakat dan agama. Akan tetapi, oleh kerana rasuah atau korupsi berakar, institusi awam gagal memainkan peranan dan fungsi sebenarnya. Oleh sebab itu masyarakat lebih gemar bergantung kepada komuniti agama mereka. Ini menyebabkan komunikasi yang sepatutnya berjalan antara institusi dan masyarakat terganggu. 2. Iklim politik yang bersifat autoritatif menyebabkan kebencian terhadap agama secara kolektif merebak. Iklim politik yang tidak sihat dan kurang memberikan ruang untuk berdialog mengakibatkan penutupan ruang interaksi. Ekoran dari itu juga menyebabkan kontra hujah dan respon balas tidak berlaku. Dalam iklim politik autoritatif, kerajaan akan menyalahkan minoriti untuk sesuatu, atau dalam erti kata lain minoriti agama mengalami pelabelan, paranoia dan dikambinghitamkan. 3. Politik identiti yang sempit juga menjadi salah satu punca kepada kebencian terhadap agama secara kolektif. Terdapat kerajaan yang menggunakan agama untuk membentuk atau menegaskan satu acuan identiti nasional. Dalam hal ini agama tertentu dibajai sebagai unsur perpaduan nasional, atau dijadikan definisi untuk satu budaya atau identiti tunggal. Akibatnya, kaum minoriti yang terkeluar dari agama tertentu tersebut akan mengalami pengasingan, menggugat perpaduan dan kestabilan, pengkhianat, tidak setia dan musuh negara. Saranan Bielfield Profesor Dr Heiner Bielefeidt selaku Special Rapporteur on freedom of religion or belief seterusnya menggariskan beberapa pendekatan untuk mengatasi kebencian terhadap agama secara kolektif. Pertama, beliau menyeru supaya setiap orang menghormati setiap orang yang lain mempunyai hak untuk kemerdekaan beragama. Di peringkat kerajaan, rasa percaya yang kukuh perlu dibina. Ini memerlukan infrastruktur yang asasnya adalah ‘hormat’, kata kunci utama dalam hak asasi manusia. Sesebuah negara berhak mempunyai satu agama rasmi akan tetapi ruang untuk diskriminasi mesti tidak dibenarkan. Kedua, beliau juga menegaskan rasa percaya yang kukuh hanya boleh berlaku antara kerajaan dengan minoriti agama dengan syarat berlakunya komunikasi yang pesat. Dalam hal ini komunikasi tersebut adalah i) antara semua kelompok agama inter dan intra; ii) usaha mendekati minoriti agama oleh kerajaan secara berterusan; iii) membenarkan debat awam tentang isu-isu agama, yang tidak sepihak, berjalan secara lancar malah disuburkan. Ini bermaksud jika kelompok ahlus sunnah wal jamaah diizinkan melakukan kempen, jelajah, dan siri seminar bahaya Syiah; minoriti agama ini juga perlu diberdayakan dan diberi ruang untuk memberi jawapan balas secara setara (setanding). Dalam hal ini pihak kerajaan hanya perlu mengawasi situasi debat awam itu supaya tidak menjejaskan kestabilan. Lensa hak asasi manusia tidak menerima alasan ‘menjejaskan keselamatan negara’ secara sewenang-wenang sebagai alasan menutup dialog kerana komunikasi yang dimaksudkan adalah komunikasi dua arah yang mana agensi kerajaan mempunyai akses cukup untuk berhubungan dengan minoriti agama apabila berlakunya bibit krisis ekoran dari kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa; dan minoriti agama tahu siapakah yang boleh mereka hubungi dan menjadi tempat bergantung di saat kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa bertukar menjadi bibit-bibit bencana. Peranan kerajaan Dalam hal ini, kerajaan memainkan peranan ibu bapa yang mendamai, mengurus dan bersikap objektif apabila anak-anak bertingkah tentang hak masing-masing. Kerajaan juga tidak dapat menjadikan ‘menjejaskan keselamatan awam’ sebagai alasan untuk mengelak berlakunya komunikasi sihat antara kerajaan dan minoriti agama kerana kebencian terhadap agama secara kolektif mempunyai gejala-gejala yang jelas kelihatan. Satu kriteria yang jelas sebagai gejala pada gerakan mempromosi kebencian terhadap agama secara kolektif adalah ‘ia diiklankan secara terbuka oleh mereka yang melakukannya’. Justeru kerajaan perlu menutup jurang antara amaran awal dengan tindakan segera tanpa perlu berlengah; ‘government need to close the gap between early warning and ealy action’. Komunikasi di atas, hanya boleh berlaku apabila terdapatnya budaya wacana yang sihat, ‘culture of free public discourse’. Dalam hak asasi manusia, tindakan pencegahan dibenarkan, akan tetapi, komunikasi yang lancar dan berterus-terang mesti masih boleh berjalan. Tindakan pencegahan mestilah didefinisikan dan diketahui umum dan ditegakkan tanpa sebarang hasrat untuk diskriminasi atau boleh menyebabkan berlakunya diskriminasi. Dalam masa yang sama dialog mesti dirancakkan dengan syarat kelompok agama tidak memperaga dan menonjolkan identiti keagamaan mereka. Institusi pendidikan pula mesti berperanan untuk menyediakan komunikasi di atas. Terdapat suara skeptikal dan sinis apakah saranan-saranan Heiner Bielefeidt selaku Special Rapporteur on freedom of religion or belief ini boleh dan realistik untuk dilaksanakan. Sukacita untuk disebutkan Sierra Leone telah melakukannya dan melakukannya dengan berjaya. Namun demikian satu wacana atau makalah yang lain diperlukan untuk mengenengahkan kejayaan Sierra Leone dalam hal kemerdekaan beragama ini. Agama dan kemerdekaannya adalah keperluan untuk akal. Manusia yang bebas memilih dan kenyang secara akliah akan bertindak lebih waras dan sihat untuk memenuhi keperluan perut.         unnamed

]]>

2014 setakat ini: Cabaran dan Harapan

“Malaysia Yang Berduka Bertanya: Apa Sudah Terjadi Dengan Kita?” Namun begitu, makalah ini bukan bertujuan untuk menyenaraikan dan mendebatkan isu-isu yang melanda negara. Makalah ini bertujuan untuk meraikan Malaysia dan rakyatnya kerana di tengah semua duri kemelut ini senang untuk kita menjadi sinis dan lupa dengan tunas-tunas harapan yang bercambah. Tunas harapan di tengah duri Pada 17 April 2014, Malaysia telah kehilangan salah satu tokoh politiknya di dalam sebuah kemalangan jalan raya. Rupa-rupanya di sebalik sifatnya yang tegas, dirinya sebuah jiwa yang cekal mencari keadilan tanpa mengira agama dan bangsa. Sepertinya pemergian peguam ini yang juga dikenali sebagai Harimau Jelutong terasa kurang adil pula dan terlalu cepat berlaku. Awal bulan ini seorang menteri wilayah telah mengarahkan dapur jalanan untuk ditempatkan semula dari pusat bandar Kuala Lumpur, serta menyatakan bahawa peminta (serta pemberi) sedekah akan dikenakan denda. Alasannya golongan gelandangan serta peminta sedekah menjejaskan imej pusat bandar dan aktiviti dapur jalanan pula menyumbang kepada kekotoran yang bersepah. Tetapi ingatkah anda bagaimana kita telah bersatu menentang pernyataan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab terhadap golongan gelandangan dan bersatu menghargai usaha warga sukarela yang terlibat dalam dapur jalanan? Minggu lalu pula tersebar video seorang wanita yang naik angin melemparkan kata-kata kasar kepada seorang uncle yang telah melanggar keretanya yang mahal. Tetapi ingatkah anda bagaimana kita telah bersatu menentang tindakan wanita tersebut sebagai rasis dan tidak bertempat, dan mengambil iktibar dari sifat uncle yang tenang dan pantas memaafkan? Melangkah ke depan Pada setiap kisah pasti tersirat pengajarannya. Mungkin inilah pengajarannya: kita sebagai rakyat Malaysia harus berhenti menjadi pasif. Kita harus semakin aktif mengejar kemajuan – bukan sahaja kemajuan fizikal dan material, tetapi juga kemajuan mental, emosi dan rohani. Kejarlah kebenaran, walaupun kebenaran itu kadang-kadang pahit untuk ditelan. Kejarlah kasih sayang yang tidak mengira agama dan bangsa, kerana jelas kita sudah tidak mempunyai masa untuk berbalah dan mendirikan tembok pemisahan di antara kita. Pengajaran ini bukanlah pesanan yang baru. Tetapi mungkin sudah tiba masanya kita pindahkan apa yang kita tahu di minda (head knowledge) dan terapkan di hati (heart knowledge) agar ia mengalir dari setiap tingkah laku dan kata-kata kita. Penulis tidak tahu bagaimana keadaannya di tahun-tahun yang akan datang. Mungkin banyak lagi yang perlu kita tempuhi. Mungkin masih jauh perjalanan di dalam terowong ini. Hakikatnya, kita tinggal di dunia yang terlalu kurang sempurna. Tetapi itu tidak penting – yang penting kita berani mengambil langkah: langkah demi langkah menuju ke depan untuk negara. Untuk kita bersama. Makalah ini diakhiri dengan sajak hasil nukilan sasterawan negara Datuk Dr. Kamal Abdullah, atau juga dikenali dengan nama penanya Kemala. Ya, jangan berduka Malaysiaku – seperti matahari yang bersinar setelah habisnya hujan, pastilah akan terukir kembali senyum di wajah yang suram, pastilah juga kecekalan dan perpaduan akan semakin tersemat di jiwa rakyat yang diduga. Bangkitlah, negaraku! Dunia menanti.   Kubebat tanganmu yang luka Kubebat dadamu yang luka Kubebat bahumu yang luka Kubebat pipimu yang luka Kugiring matamu yang duka Kuiring lagumu yang duka Kusaring cumbumu yang duka. Embun mencari rumput tempat berpaut Daun mencari tangkai untuk bertaut. Jangan berduka, Malaysiaku! Gunung dilingkari kabut Mendung memayungi bumi Berhujan darahkah Wilayah Utara? Serigala melolong di gunung Todak melompati teluk tanjung Nadim lahir lagi Demi hidup baru. Makna baru. Ada kilat ragu di matamu Berhujan darahkah Wilayah Selatan? Tiba juga pesan warisan Tegaklah atas nama peribadi Senyum ibu dan sapaan Tuhan. Jangan berduka, Malaysiaku! Kalau ada wabak Memadami jejak-jejak putih Kalau ada lagak menepisi kasih Akan berhujan perakkah di Barat? Langit Timur membawa jalur-jalur Sejarah berhujan emaskah Sang Ningrat? Ada tembang pilu sang nelayan Ada tempang lagu petani kemarau Mencari kasih di sudut hati Suaranya serak dan parau. Selepas jauh berjalan Kaki direjami sendayan Dengan duka pertama Pahlawan menatap cermin retak pusaka. Jangan berduka, Malaysiaku! Empangan Utara dan Selatan Tembok kota Timur dan Barat Gelora dua samudera menampar Angin tujuh zaman terdampar Firasat ibu mencabar. Kecil-kecil bintang seribu Langit tanah air mengerdip cahaya Kecil-kecil bintang kasihmu Titipkan rindu pahlawan utama. Kudakap dadamu calar Kutatap bahumu balar Kutatap langkahmu wajar Semoga tetap berjiwa benar. Belantara cinta Insan Dalam hidayat Tuhan Kucabut ranjau tujuh zaman Kugenggam mutiara masa depan. Jangan berduka, Malaysiaku! –       Kemala, Jangan Berduka Malaysiaku (Watan, 3 Disember 1984)  

]]>

Rang undang-undang kebencian kaum dan agama: Syiah diabaikan lagi?

Apakah yang berubah setelah Rang Undang-Undang Kebencian kaum dan agama?  Tanpa memperkecilkan usaha Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) menggubal dan membawa Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama ke Parlimen, satu pertanyaan yang mendalam perlu diajukan; apakah khutbah Jumaat yang memomokkan penganut Syiah dan Kristian akan terlepas dari senarai kebencian? Terdapat banyak contoh sedia ada bagaimana khutbah Jumaat menjadi sumber kebencian dan ini dilakukan oleh agensi kerajaan (State) atas nama agama.

Penggubal Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama wajar mengambil kira Pelan Tindakan Rabat (Rabat Plan of Action 2013) yang ditawarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ia sudah memadai untuk dijadikan panduan untuk mengenalpasti apakah yang wajar dinamai sebagai ‘kebencian dan hasutan’ dan apa pula yang boleh dikategorikan sebagai ‘kebebasan bersuara’.

Apakah yang terkandung dalam Pelan Tindakan Rabat?

Pertamanya, ia menyediakan polisi dan juga panduan untuk kerajaan, dan masyarakat sivil dalam mencegah kebencian agama secara kolektif. Ia juga menghuraikan apa yang tidak wajar dianggap sebagai ‘kemerdekaan bersuara’ dan dapat dianggap sebagai kebencian terhadap agama secara kolektif (lihat Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights. 2012. Rabat Plan of Action on the prohibition of advocacy of national, racial or religious hatred that constitutes incitement to discrimination, hostility or violence. Rabat: Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights (OHCHR). Halaman 6-7).

Kebencian terhadap agama secara kolektif melibatkan;

i. Konteks;

Hanya dengan analisis konteks, sesuatu ucapan itu dapat ditentukan latar sosial dan politiknya dan apakah ia ditujukan kepada satu kumpulan sasaran.

ii. Pengucap;

Kedudukan individu pengucap adalah penting untuk dikenalpasti. Secara khususnya apakah individu pengucap itu mewakili mana-mana kumpulan agama yang lain, atau apakah statusnya dalam masyarakat.

iii. Niat;

Dalam hal ini, niat dan bukan kelalaian atau ketidaksengajaan diberi fokus. Dalam erti kata lain terdapat elemen hasutan, dan mengajak; yang secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak.

iv. Kandungan dan bentuk;

Analisis kandungan dan bentuk ucapan juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak.

v. Keluasan;

Keluasan ucapan juga dititik beratkan. Dalam konteks ini apakah ucapan tersebut dilakukan secara publik, juga saiz audiennya apakah kecil atau besar, dan apakah ia berbentuk penerbitan, atau media di internet atau arus perdana, dan apakah audien mempunyai akses kepada ucapan atau siaran terbabit.

vi. Potensi risiko.

Hasutan dan fitnah yang menanam kebencian terhadap agama secara kolektif ditentukan berdasarkan potensi risiko yang mungkin terjadi lantaran ucapan atau siaran tersebut. Dalam hal ini ucapan kebencian tersebut selalunya adalah langsung dan memang memaksudkan sesuatu yang buruk terhadap sasaran .

Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, tidak syak lagi khutbah jumaat berjudul ‘Rasulullah saw Kekasih Allah’ bertarikh 25 Januari 2013 adalah seruan kepada kebencian. Intipati khutbah menyamakan mereka yang menuntut penggunaan kalimah Allah untuk non Muslim sebagai ‘musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam’. Justeru tidak menghairankan khutbah tersebut disambut dengan rasa kurang selesa daripada masyarakat Kristian tempatan. Rev Fr Simon Labrooy dalam satu laporan media menyatakan kekesalan kerana ada individu di dalam Jabatan Kemajuan Agama Islam yang cenderung untuk ‘mengisytihar perang’ dan berfikir untuk perpecahan berbanding ‘perpaduan’ (lihat Clara Chooi. 2013. Friday sermon irks local church leaders as Allah row rages on. The Malaysianinsider. 26 Januari.)

Demikian juga khutbah Jumaat di Selangor bertarikh 6 April 2012 yang menyeru umat Islam menghindari Syiah. Khutbah berjudul ‘Penyelewengan Syiah Di Malaysia’ tersebut menyatakan, antara lain ‘Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini’ . Khutbah ini adalah satu bentuk pemomokan yang serius, memandangkan dalam masa yang sama, harus diingat seramai sepuluh orang qari bermazhab Syiah dari Iran dan Iraq telah memenangi Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia sejak tahun 1961.

Adakah Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama dapat mengheret Jabatan Agama Islam termasuk para menteri atau ketua agama Islam sendiri sekiranya kebencian terhadap agama secara kolektif dilakukan atas nama agama seperti berlakunya di mimbar masjid?
      unnamed

]]>