Projek Dialog

Apa kesalahan LGBT?

extinction) manusia di bumi ini. Mereka mengatakan bahawa golongan LGBT menghalang proses kelanjutan manusia sebagai satu spesies di muka bumi. Siapa yang menghancurkan muka bumi? Tetapi apa yang boleh disaksikan, berdasarkan fakta yang jelas adalah manusialah yang jelas sekali tidak menghargai semua yang dicipta oleh Tuhan. Sepatutnya, manusia yang berhujah sedemikian perlu risau bahawa bumi ini tidak akan berterusan dengan kemusnahan alam sekitar yang begitu pesat. Contohnya: Jumlah orang di dunia pada tahun ini adalah sekitar 7.2 bilion, dan dijangka meningkat ke 9 billion pada tahun 2050. Dianggarkan 40% daripada jumlah orang di dunia ini adalah miskin di mana kemiskinan relatif semakin meningkat. Di dalam laporan Bank Dunia, dicatatkan kejayaan mengurangkan kemiskinan di seluruh dunia, tetapi statistik yang membanggakan itu semata-mata adalah kejayaan dasar politik dan sosio-ekonomi Negara China. Rantau dunia yang lain seperti Afrika, Amerika Latin, Eropah Timor dan Asia Tengah masih dalam kemiskinan, dan keadaannya tidak berubah, bahkan ada yang meningkat jumlahnya. Jangan dilupai bahawa berjuta-juta masih dalam kebuluran. Dianggarkan seorang daripada 8 orang di dunia ini (12.5%) berkebuluran dan ia merupakan faktor penyebab utama sebanyak 50% daripada jumlah kematian 10.9 milion kanak-kanak berlaku setiap tahun. Secara purata, seramai 30% daripada orang perempuan yang ada perhubungan intim menghadapi keganasan daripada pasangannya. Sebanyak 38% pembunuhan perempuan dilakukan oleh pasangannya. Mengapakah isu-isu sebegitu tidak mendapat perhatian agamawan? Mengapakah kemarahan mereka hanya ditujukan kepada golongan minoriti seksual? LGBT: Tanda kiamat? Terdapat juga orang yang percaya bahawa kemunculan golongan LGBT dengan lebih nyata di kalangan masyarakat adalah satu tanda bahawa dunia akan kiamat. Samalah pemahaman dan ketakutan mereka tentang kewujudan begitu banyak jenis penyakit yang baru. Mereka mempercayai semua ini timbul kerana kemarahan Tuhan terhadap manusia, dan atas sebab itu mereka marah pula terhadap orang yang dipandang sebagai “masalah” atau “songsang”. Di dalam hal ini, saya ingin berkongsi perspektif yang lain, yang bagi saya, lebih mirip kepada apa yang saya rasa patut diutamakan oleh semua iaitu penyempurnaan kemanusiaan kita. Manusia begitu mementingkan diri sehingga belas kasihan susah dicurah kepada mereka yang  berbeza, mereka yang terasing, mereka yang dianggap tidak layak, mereka yang dihukum sebagai orang yang berdosa dan sampah masyarakat. Bak kata lain kita  sudah menjadi berat sebelah dalam menentukan siapa yang akan diterima dan ditolak. Kita, manusia yang perosak dan  pemusnah alam, lebih suka menghukum daripada menunjukkan belas kasihan kita terhadap mereka yang dipandang “kurang berharga sebagai manusia”. Saya berpendapat bahawa kesengsaraan golongan LGBT yang dipinggir adalah satu peringatan  bahawa kita sudah lama lalai untuk menyempurnakan kemanusiaan kita. Kita sepatutnya lebih berperi kemanusiaan. Sebaliknya, kita masih bertungkus lumus menguatkan apa-apa jenis kuasa (sosial, ekonomi, politik, teknologi) yang kita ada. Di dalam kelakuan sebegitu kita hanya memastikan dunia ini akan menyaksikan pemerluasan gejala-gejala kemusnahan yang bagi saya, lebih membimbangkan: rasuah, perlumbaan untuk meraih keuntungan yang melampau, eksploitasi tenaga buruh, keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, diskriminasi terhadap pendatang, dan seterusnya. Prejudis salah tumpuan Di dalam hal seksualiti sahaja, terutamanya isu hak asasi manusia LGBT, isu lanjutan manusia timbul dengan begitu ghairah di kalangan orang yang memperalatkan agama. Isu-isu penting yang lain, seperti keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, penindasan tenaga buruh dan penghambaan moden, eksploitasi alam sekitar, serta keuntungan yang melampau tidak dipandang sebagai faktor utama yang akan menghapuskan kewujudan manusia di bumi ini. Tetapi di dalam hal seksualiti, terutamanya untuk mengawal hak asasi wanita dan hak asasi golongan LGBT, undang-undang mudah sajaka diluluskan dan dikuatkuasakan. Kepada orang yang beriman, saya ingin bertanya, bukankah “isu” kelanjutan manusia di bumi ini keistimewaan tunggal Tuhan dan tidak patut dijadikan kebimbangan ciptaan-Nya? Benarkah “penimbulan” LGBT ini akan membawa kepada penghapusan manusia di bumi ini? Pada pendapat saya, tanpa wujudnya LGBT pun, kita sudah memastikan penghapusan bumi tersayang.         unnamed

]]>

Islam: Agama melawan penindasan?

Masyarakat pun bersalah Masyarakat yang lebih mengutamakan hukuman daripada meneliti dan melawan punca masalah adalah masyarakat penindas. Saya menggunakan perkataan masyarakat kerana ia merangkumi golongan pentadbir negara dan juga rakyat biasa. Penindasan tidak saja dilakukan oleh golongan politikus dan korporat, ia juga malah dilakukan oleh golongan awam. Apabila rakyat memilih untuk berdiam diri bilamana berlaku kezaliman penguasa, agamawan dan korporat, rakyat sebenarnya bersubahat dalam penindasan tersebut. Subahat ini bukan dari sudut niat semata, malah ia subahat berupa perbuatan kerana ketidakadilan yang patut dilawan dengan daya upaya dibiarkan berleluasa, seolah menggalakkan lagi kezaliman bermaharajalela. Ia serupa rakyat sendiri melakukan perbuatan menindas itu dengan tangan-tangan mereka. Muslim pun turut serta Saya mahu menyentuh tentang masyarakat Islam secara khusus dan betapa mandulnya ia dalam menangani isu ketidakadilan sosial dan ekonomi. Kalau kita melihat di sekeliling, masalah kemiskinan masih parah. Golongan miskin tegar bukan hanya wujud di ceruk kampung tapi di celah-celah bandar. Malah kehidupan bandar lebih perit dari kehidupan kampung. Begitu ramai anak-anak yang tak bersekolah kerana tidak berduit, dan masih ramai yang kelaparan, gelandangan semakin bertambah, penagih dadah berkeliaran sekitar kota dan golongan fakir miskin dan muallaf yang ditinggalkan keluarga kebajikannya tak dijaga. Islam ni untuk apa?  Islam seharusnya bukan sekadar gerakan agama, ia malah gerakan ekonomi. Tapi ia bukan gerakan ekonomi pelambakan harta untuk golongan tertentu, ia bukan ekonomi ekspo perbankan Islam yang dijaja di pusat dagang, ia gerakan ekonomi yang bertunjangkan keadilan untuk golongan lemah. Nilai ekonomi dalam Islam menekankan prinsip penyamarataan dan kesamaan. Islam melarang penimbunan harta dan menentang akan lebihan keperluan yang tidak diagih-agihkan kepada golongan lemah. Kita tidak mahu mengatakan bahawa hukum alam itu ada yang kaya maka ada yang miskin. Kata-kata sebegitu hanya menguntungkan golongan elit dan penguasa. Sekurang-kurangnya dalam Islam tidak ada konsep sebegitu kerana keadilan dalam Islam bukan hanya bersifat hukum malah lebih dari itu ia bersifat distributif. Ia bersifat mengagih kekayaaan supaya wujud keseimbangan sosial. Wujudnya jurang perbezaan kelas ekonomi yang kian bertambah cuma membawa masyarakat kepada kehancuran. Ya, ekonomi dalam al-Quran tidak bersifat dogma tapi lebih kepada penyerapan nilai. Saya tidak mengatakan wujud sebuah sistem ekonomi yang lengkap di dalam al Quran itu. Tapi nilai-nilai yang diajar dalam kitab itu dengan jelas mengisyaratkan yang al Quran tidak bersetuju dengan sistem ekonomi yang menindas. Kesejahteraaan masycrakat dan keadilan cuma boleh ditegakkan jika nilai-nilai itu digunapakai. Sistem ekonomi yang menindas dan mengeksploitasi jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan harus ditentang. Muslim dicandu?  Di sini bukan ruang untk membahaskan dengan panjang tentang sistem ekonomi. Apa yang mahu disampaikan sebenarnya adalah orang-orang Islam itu punya penyakit tidak mahu meneliti masalah dari puncanya dan sering bersifat menghukum. Kita digula-gulakan oleh golongan politikus dengan kegilaan mereka mahu melaksanakan perundangan syariah dan retorik hudud contohnya. Kita sibuk memilih rotan jenis apa yang mahu digunakan untuk menghukum tapi lupa mengingati diri kita atas sebab apa perlunya mengangkat rotan itu terlebih dahulu. Masyarakat yang kecanduan angan-angan negara Islam ini semakin hari semakin terbuai dengan permainan politik penguasa. Rasuah berleluasa, kepincangan dalam perlaksanaan pengagihan zakat disebut-sebut, hak-hak pekerja terus dicabul, gaji yang tidak setimpal dengan nilai kerja, ketelusan institusi baitulmal dipersoal, rumah orang-orang miskin diroboh bagi tujuan menguntungkan syarikat gergasi, kampung-kampung diceroboh atas nama pembangunan, anak-anak yatim dipaksa meminta-minta di jalanan, pembaziran dalam perbelanjaan negara dan pelbagai lagi kezaliman yang jelas sekali ditentang oleh agama yang kita anuti ini. Semua ini berlaku dan kita sibuk berhujah bagaimana si pencuri perlu dihukum, bagaimana orang-orang berzina perlu dimalukan di khalayak ramai dan bagaimana memenangi perlumbaan siapa yang lebih Islam ini. Si pencuri Milo dan tabung wang masjid terus dipukul hingga lunyai oleh tuhan-tuhan jalanan. Di mana kehebatan Islam?  Brunei mahu melaksanakan undang-undang syariah kita pun sibuk tidak mahu tertinggal. Konon malu kita tidak melaksanakan seruan Tuhan, namun tidak malu dengan hakikat yang kita dicengkam sistem ekonomi bercorak penindasan sedemikian rupa sehingga begitu payah kita mahu menjadi Muslim pun kerana masalah ini. Perlaksanaan undang-undang syariat dan hudud tidak lain hanya tunggangan penguasa semata dalam mengekalkan status quo. Apa saja yang tidak mengganggu sistem ekonomi penindasan ini, itulah yang diberi suap kepada orang Islam supaya mereka kekal redha dengan kemapan institusi agama dan pentadbiran negara. Ya, ini negara yang majoritinya umat Islam. Sayangnya majoriti inilah yang disuap saban hari dengan ceramah-ceramah agama berunsur jenaka, fatwa-fatwa berpihak kepada penguasa, ritual-ritual ibadah yang kering, doktrin-doktrin yang abstrak dan sulit difahami, khutbah berunsur sektarian dan ulama-ulama yang sibuk mengkafirkan satu sama lain. Golongan agamawan dan parti politik keagamaan sampai hari ini gagal meyakinkan masyarakat dengan pelan tindak ekonomi dan sosial yang mampu menaik taraf hidup golongan tertindas. Mana sistem ekonomi Islam yang dicanang-canang kehebatannya? Kalau sudah wujud, di mana keberkesanannya? Atau adakah memang benar fungsi agama cuma untuk memberi makanan rohani dan menghukum orang?         unnamed

]]>

Hudud: Kerisauan seorang Kristian

  Perbandingan daripada perspektif Kristian Dalam menyiapkan makalah ini, saya juga berbincang dalam satu sesi pengkajian ‘Alkitab’ bersama rakan-rakan siswa dalam komuniti Persatuan Pelajar Katolik Shah Alam mengenai isu ini. Petikan yang kami kaji adalah Injil Matius bab 18 ayat 6 hingga ayat 9. Di sana kami menganalisa bahawa Yesus Kristus sendiri memberi peringatan keras yang kelihatan sama dengan konsep hudud iaitu membuang sebahagian anggota badan bagi menghindari orang lain daripada melakukan dosa. Namun, adakah Yesus bermaksud sedemikian? Yesus menggunakan perumpamaan dalam mengajar bahawa punca dosa mahupun jenayah adalah kerosakan moral dan penyesatan diri. Ia adalah perkara yang wajar ditangani oleh setiap individu bagi menghindarkan diri daripada menyebabkan kerosakan pada diri dan masyarakat. Yesus tidak mengajar umatnya untuk menghukum manusia lain sewenang-wenangnya mengikut hutang ‘nyawa bayar nyawa’ tetapi berpegang teguh pada nilai keadilan, belas kasihan dan pengampunan. Dan semasa berhujah ada rakan saya mengutarakan petikan daripada Injil Yohanes bab 8 ayat 1 hingga ayat 11. Ia tentang bagaimana Yesus enggan menghukum wanita berzina supaya direjam sampai mati setelah diasak oleh guru Taurat Yahudi. Beliau memberi kenyataan balas sedemikian; “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia” (Yohanes 8:7). Di sini saya lihat, urusan menghukum adalah lebih layak ditentukan sebagai urusan Tuhan dan ianya akan diselesaikan sendiri di akhirat kelak melalui syurga dan neraka. Gereja Katolik yang terkenal dengan hukuman Pasitan (Inqusition) sejak kurun ke-12 hingga ke kurun ke-16 turut menyaksikan penyalahgunaan hukuman penalti yang kejam seperti pancung, bakar hidup-hidup dan rejam sampai mati. Namun setelah berlakunya renungan sejarah secara serius Gereja pun insaf dengan meletakkan peluang kepada pertaubatan individu dan martabat nyawa manusia setelah terhapusnya Pasitan ini. Namun, ianya bukan bererti, tiada hukuman kepada penjenayah di muka bumi ini bagi menjamin keselamatan awam. Berikut adalah saranan Gereja Katolik dalam menangani jenayah: “Dalam usaha untuk melindungi kepentingan bersama, pihak berkuasa awam yang sah mesti menjalankan hak dan kewajipan untuk mengenakan hukuman mengikut keseriusan jenayah yang dilakukan. Hukuman tidak berkhidmat semata-mata bagi tujuan mempertahankan ketenteraman awam dan menjamin keselamatan individu; ia juga menjadi alat untuk pembetulan pesalah jenayah itu, pembetulan yang juga mengambil kira pada nilai moral penebus dosa apabila pihak yang bersalah secara sukarela menerima hukumannya. Tindakan pemerintah untuk menetapkan tanggungjawab atas kejahatan yang juga adalah tertakluk pada peribadi insaniah harus diiringi dengan kewajiban untuk mencari kebenaran tanpa syarat dan harus dijalankan atas dasar penghormatan pada martabat dan hak peribadi manusia. Hak seorang tertuduh harus juga dilindungi seperti hak seorang bebas. Prinsip hukum yang berlaku umum harus selalu ditaati yakni hukuman baru dijatuhkan setelah kesalahan tertuduh dibuktikan. Sesungguhnya masyarakat moden mempunyai usaha untuk secara efektif meniadakan tindak kejahatan jenayah dengan melumpuhkan para penjahat, sehingga tidak merugikan masyarakat lagi, tanpa menutup peluang bagi mereka untuk memperbaiki diri. Cara-cara damai dan tanpa pertumpahan darah (hukuman mati) lebih diutamakan kerana cara-cara itu lebih menjawab syarat-syarat konkrit bagi kesejahteraan umum dan lebih sesuai dengan martabat manusia.” (Kompendium Ajaran Sosial Gereja, no. 402-405) Kesimpulan Tidak cukup dwi-standardkah undang-undang syariah serta undang-undang jenayah sivil sedia ada? Tidak membantukah undang-undang jenayah sivil yang kita ada sekarang? Mengapa perlu hudud di negara yang hanya mempunyai majoriti 60.4% penduduk Muslim? Sudahkah dapat persetujuan semua umat Muslim di negara ini tentang perlaksanaannya? Bagaimana penerimaan yang bukan Muslim? Bagaimana hukuman hendak dijalankan? Apakah ijtihad serta rujukan yang perlu diambil dan dirujuk? Model negera Islam yang mengamalkan undang-undang Hudud manakah yang terbaik untuk dijadikan contoh? Apakah jaminan bahawa undang-undang ‘Tuhan’ ini berjaya mengurangkan jenayah? Sekirannya kesemua persoalan di atas tidak berhasil dijawab, saya mengandaikan undang-undang ini berkemungkinan akan gagal dan menjadi tidak wajar dilaksanakan sama ada di Kelantan mahupun ke atas seluruh Malaysia. Keyakinan umat bukan Islam adalah kunci utama penerimaan undang-undang Hudud di negara ini serta dalam mengekalkan keharmonian dalam negara.         unnamed

]]>

Malaysia: Ke arah negara Islam-totalitarian

 sebuah sistem pemerintahan, yang menjadi musuh kepada sistem pemerintahan demokrasi. Ia sebuah sistem pemerintahan dari suatu negara, yang bukan hanya berusaha mengontrol (mengawal) segala aspek ekonomi dan politik masyarakat, tetapi juga selalu berusaha menentukan nilai-nilai baik dan buruk, kepercayaan, anutan, dan faham sesebuah masyarakat. Hasilnya, tak ada lagi batas pemisah antara hak dan kewajiban oleh negara dan masyarakat. Dalam sistem totalitarian, bukan negara yang melayani masyarakat, tetapi sebaliknya sebanyak mungkin anggota masyarakat, khususnya mereka yang bekerja di lembaga–lembaga pemerintah diwajibkan melaksanakan berbagai tugas untuk membantu penguasa membangun negara ke arah bentuk yang ideal. Contohnya diwajibkan menjadi anggota satu-satunya parti politik atau satu-satunya serikat buruh ciptaan pemerintah. Apabila sesebuah nilai,dianggap oleh penguasa sebagai bentuk ideal, maka nilai tersebut akan dimasukkan ke dalam kepala masyarakat, sebagai pola fikir rasmi, pola fikir daulah. Totalitarian tidak mengira budaya Berbagai bentuk sistem totalitarian telah wujud semenjak hari–hari mula manusia mengenal apa itu ketamadunan. Tambahan pula sistem totalitarian ini boleh sahaja didirikan oleh orang–orang berketurunan Nabi-nabi suci, orang–orang yang bercakap Arab, orang–orang berkulit putih, berkulit hitam, bahkan sawo matang. Sistem totalitarian tidak mengenal ras, agama bahkan kepercayaan. Boleh jadi di sini adalah perbezaan – perbezaan antara pemeluk totalitarian tetapi semuanya memilik ciri–ciri bersama, iaitu sekurang–kurangnya dua yang utama, iaitu adanya ideologi yang disuapkan, disebarkan dan dipaksa masukkan (sama ada secara sedar ataupun tidak) ke dalam berbagai aspek kehidupan sehari–harian masyarakat dan keberadaan satu parti politik tunggal agar seluruh komponen masyarakat boleh diorganisir (diselia) melalui sebuah parti tunggal tadi. Alasan agama Pimpinan parti tunggal ini adalah jelmaan Tuhan. Sekiranya pada zaman-zaman klasik, dalam zaman monarki yang ketika itu belum dikenal sebuah perkataan bernama parti, konsep ini di dalam Arab –Islam, dinamai sebagai ‘zillullahu fil ard‘, atau ‘bayang Allah/ Tuhan di muka bumi’, seperti itulah konsep totalitarian inimahu menjadi, dalam zaman moden ini. Sistem ini mahu mengawal segala– galanya. Pimpinan parti tunggal ini akan mengontrol sistem perpolitikan negara, termasuk lembaga – lembaga pengadilan, parlimen (jika ada), lembaga – lembaga pendidikan (taska, taski, tadika, tabika, sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah agama, sekolah tak agama, sekolah asrama, sekolah tak asrama, pondok, kolej swasta, universiti) mengawal komunikasi seperti suratkhabar, radio, tv, bahkan di zaman moden ini, masih ada sosok yang gila mahu mengontrol internet meskipun sudah bersara dari jabatan presiden, samalah seperti kawalan Republik Rakyat Tiongkok (China) terhadap internet. Malaysia totalitarian? Bukankah itu yang tengah berlaku di Malaysia sekarang? Ekonomi politik sosial yang sudah menjadi semakin sial dan sundal hari demi hari, dan ahli-ahli politik sekular konon-konon sudah terima agama sebagai cara hidup, walhal sama ada mereka sedar atau tidak, mereka sedang memperkudakan agama, dan menunggangnya menjadikan kuda tunggangan untuk mencapai serakah nafsu politik mereka yang lebih liar dari kuda, untuk meraih kertas-kertas undi. Bilangan  pendengar ceramah-ceramah politik mereka yang semakin merosot dan susut, maka digunakanlah agama sewenang-wenangnya. Sebenarnya, tujuan paling fundamental mereka adalah terus berkuasa sampai kiamat, membolot hegemoni politik  dan ekonomi, dan semua ini cuma dimilik oleh segelintir elit (kroni) mereka. Timbunan – timbunan kekayaan bumi ini cuma beredar-edar di sekitar mereka sahaja. Maka mereka memerlukan sebuah tajuk yang bodoh untuk sebuah masyarakat yang tak mahu berfikir. Tanpa referendum dan kesepakatan (consensus) rakyat, dan semuanya cuma diputuskan oleh segelintir elit berkopiah dan berserban wajarlah dilawan tanpa belah bagi. Mereka sepatutnya sedar, bahawa perangai ini adalah perangai jahat, bodoh dan sombong, yang sekiranya, lawan mereka pula melakukan, mereka akan menentang mati-matian. Sekiranya negara ini diperintah oleh watak sekular dari garis keras seperti Attarturk, yang melarang simbol-simbol agama dan sangat gilakan barat, maka apakah reaksi mereka? Jalan keluar?  Asghar Ali Engineer menulis: “negara – negara Islam fundamentalis telah mencampakkan nilai-nilai falsafah Islam dan cenderung menerapkan hudud ini secara mekanis. Negara-negara ini tidak cukup memiliki pemahaman dan kesedaran untuk menerapkan hudud dalam perspektif falsafah dan rohani yang tepat. Mereka lebih menitikberatkan pada keuntungan politik daripada manfaat spiritualnya. Mereka tidak lagi mempedulikan kehidupan dunia dan akhirat. Mereka hanya memikirkan kepentingan politiknya.” Polemik ini sebenarnya sudah begitu busuk dan basi, tetapi masih diusung ke sana ke sini sampai ke hari ini, kerana wujudnya tukang–tukang politik yang hanya memikirkan pilihanraya dan perut masing–masing, dan wacana rakyat yang lembab dan dibiarkan stagnan, statik dan beku. Polemik kerat tangan orang, rejam sampai mati ini, cuma laku ketika rejim-rejim konon bertuhan ini mulai dipertikai, mulai dipersoal, mulai dipertanyakan tentang sikap –sikap mereka, terhadap kekakuan ekonomi, lantas mereka mengalihkan keisu undang–undang fundamentalist untuk meraih perhatian massa yang kononnya beriman. Undang – undang, sepatutnya keadilan adalah esensi utamanya: Rahmatan lil ‘alamin dalam konteks Islam. Tetapi di manakah keadilannya, jika undang – undang seberat Hudud, hanya jatuh kepada orang – orang Islam? Jika pelakunya adalah dua orang dari agama yang berbeza, maka yang berat menimpa yang Islam, dan yang ringan kena kepada bukan Islam, dimanakah keadilannya? Di manakah tarbiyahnya? Lebih jauh lagi elit di Malaysia berada terlalu tinggi di langit, dan nampaknya begitu sukar sekali undang –undang Islam untuk mencapai mereka, apatah lagi untuk merotan mereka! Jadi, undang – undang dipakukan kepada rakyat bawah,sementara mereka – mereka yang di atas, akan sentiasa di atas (above the law), di manakah keadilannya? Islamis jangan perasan Penggemar – penggemar kanun Islam di Malaysia, janganlah perasan bahawa mereka satu – satunya negara Islam yang pertama di dunia moden ini yang mahu mendaulatkan hukum Tuhan. Rejim Zia ul Haq (Pakistan), rejim monarki Saudi dan Bolkiah (Brunei) juga telah melaksanakannya, apakah mereka lebih okey dari kita? Kita boleh melihat hal ini dengan kunjungan Muhyidin Yasin ke Kelantan menziarahi Nik Aziz, Asyraf Wajdi Dusuki dengan Nik Aziz,dengan paparan besar di akhbar pembangkang: ‘PAS TIDAK TUNDUK’. Kemudian bola tanggung ini disambut tradisi cliché dari DAP, rakan – rakan non Muslim lain, bahawa ini cuma mimpi (walhal,mereka pun tahu bahawa ini cita – cita PAS semenjak azali lagi,seperti mereka yang bercita–citakan Malaysian Malaysia). Kemungkinan besar, tokoh reformasi popular DSAI akan dimasukkan ke dalam (penjara) untuk jangka masa yang lama, sementara Karpal Singh (ikon yang paling tegar menentang totalitarian di Malaysia) pula telah mati. Negara Islam fasis, yang tidak melalui perbincangan seluruh rakyat, dan demokrasi rakyat jelata, hanya boleh berlangsung dengan jayanya apabila seluruh penggiat – penggiat fasisme seperti Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali, ISMA, PERKASA, PEMBINA dan fundamentalist – fundamentalist kanan seperti PAS bersatu hati.         unnamed  

]]>

Madonna dan Majlis Agama Islam Pahang

hukuman di mahkamah sivil dengan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. Wasatiyah Sudah tentu berita ini menimbulkan tanda tanya, memandangkan ia datang dari negeri asal Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang cekap-cekatan, suka-selesa, bijak-arif, matang-mendalam khusus ketika mengenengahkan idea-idea mengenai wasatiyyah atau jalan tengah. Cita-cita moderat beliau adalah supaya umat Islam menjauh diri dari kejumudan dan ekstrimisme. Bukanlah rahsia, Perdana Menteri menjaguhi isu-isu sebegini sehingga melontarkan seruan perdamaian dan wasatiyyah di New York. Pada 28 September 2013 ketika Perhimpunan Agung PBB Ke-68, Datuk Seri Najib Razak, telah mengajak dunia supaya menghapuskan semua bentuk amalan ekstremisme. Sebagai pencetus gagasan Pergerakan Global untuk Kesederhanaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beliau tidak lelah berdakwah supaya umat Islam terus menjadi umat yang moderat dan tidak terikut-ikut dengan amalan yang tidak membangunkan intelektualisme dan rasional. Tentulah kita tidak ada apa-apa bantahan sekalipun untuk seruan-seruan dahsyat yang sungguh membanggakan itu. Malah kesederhanaan Datuk Seri Najib sangat menyayat hati kita semua. Ini kerana sehari sebelum membuat ucapan penuh legenda di United Nations New York itu, dalam satu syarahan yang mengangakan berjudul ‘The New Meetings, Moderation: The New Modernity’ (Pertemuan Baharu, Kesederhanaan: Kemodenan Baharu), tajaan bersama Council on Foreign Relations (CFR)’s Religion dan Foreign Policy Initiative, di Peter G. Peterson Hall, The Harold Pratt House, New York, Perdana Menteri telah mengatakan dengan sesungguh dan seikhlas hati, “Dan jika kita memilih pendekatan wassatiyah dan menolak nazisme atau militan, dan pemikiran yang ekstremis, akan ada peluang kita boleh berusaha ke arah menjadikan dunia ini sebuah dunia yang aman.” Bagaimanakah saranan wasatiyyah oleh beliau ini dapat dilaksanakan? Entah. Kelihatannya saranan Datuk Seri Najib itu benar-benar bahaya untuk sesetengah, meminjam kata-kata beliau sendiri, nazi, militan  dan ekstrimis Melayu. Ada apa dengan Bible dalam laci? Memang, tidak dinafikan yang larangan meletakkan Bible di dalam laci kamar hotel dengan larangan membaca Bible adalah dua hal berbeza. Jelas sekali niat larangan terhadap Bible tersebut adalah supaya tiada berlakunya ‘penyebaran agama selain Islam’. Ia juga menunjukkan pihak berkuasa Islam di Pahang merasakan akidah penumpang Muslim di hotel di seluruh Pahang amat rapuh dan lemau sehingga tatkala menarik laci hotel dan terjumpa Bible, serta merta mereka akan tercemar dan terjerumus ke dalam dunia kesaliban. Salah satu ketertutupan dan bukan kesederhanaan ialah apabila kita melompat kera dan menjadi terlalu takut, sensitif dan lekas rasa terancam dengan dunia luar (baca: yang lain dari Melayu dan Islam). Dalam dunia makin maju dan teknologi makin bermutu, kita sedapat-dapatnya berlaku matang dan tidak merapu. Menukar bacaan, Bible dengan al Quran, atau al Quran dengan Bible membolehkan seorang manusia memecah kebuntuan zamannya. Ali Shariati, pejuang contoh Pengalaman membaca dan membandingkan sejarah umat antara Islam dan Kristian telah membolehkan Ali Shariati, salah seorang pemikir agung Islam di zaman moden menemukan Catholic liberation theology seperti dinukil Ervand Abrahamian, dalam ‘The lranian Mojahedin’. Sukar membayangkan Ali Shariati menginap di sebuah kamar hotel di Paris berasa terganggu dan terancam akidahnya saat ia menarik laci kamar sewanya itu ia terjumpa dan membaca Bible. Bukan sahaja membacanya, Ali malah menggauli bahan-bahan teologi pembebasan ketika sempat berada di Perancis. Maka tidaklah memeranjatkan jika ditemukan kesejajaran perbincangan oleh Carlos Mesters tentang Nabi Ibrahim  seperti terkandung dalam bukunya ‘A Journey of Liberation: Abraham and Sarah Yesterday and Today’ (edisi asal Portugis pada tahun 1978) dengan perbincangan mengenai Nabi Ibrahim juga dalam buku ‘Haji’ dan ‘Mi’ad ba Ibrahim’ oleh Ali Shariati. Walaupun tidaklah sepenuhnya benar idea-idea revolusi Ali Shariati datangnya dari Bible. Islam Syiah yang dianuti oleh Shariati sudah mencukupi sebagai sumber revolusi, pun, hakikat bahawa beliau mendekati agama dan gagasan lain tanpa rasa terancam adalah sesuatu yang patut dirujuk. Madonna, artis contoh Tradisi untuk tidak gentar dan takut terhadap sesuatu yang baharu, juga terlihat diraikan oleh Madonna. Dalam satu wawancara dengan Harper’s Bazaar, pop ikon dan penyanyi untuk lagu-lagu seperti ‘Like A Prayer’ dan ‘Material Girl’ itu menegaskan tahun lalu yang ia membina sekolah untuk anak-anak gadis Muslim dan kini menghabiskan masa membaca al-Quran. Pada pertengahan tahun 90an, Madonna memilih untuk menukar agama dari Katolik kepada Kabbalah setelah membaca ‘Taurat’. Kini, dengan dorongan beberapa teman, Madonna memilih untuk membaca al-Quran dan menyatakan pentingnya untuk terus membaca kitab-kitab suci sedia ada; kata beliau lagi, ‘I think it is important to study all the holy books. As my friend Yaman always tells me, a good Muslim is a good Jew, and a good Jew is a good Christian, and so forth. I couldn’t agree more. To some people this is a very daring thought.’ Sungguh ‘daring’ bagi Madonna untuk memberani diri menolak Islamofobia, tetapi juga sungguh malang pihak berkuasa agama Pahang untuk mengadoptasi Kristianofobia. Apakah Madonna akan memeluk Islam dan menukar nama kepada Maryam Madonna? Bukan itu ceritanya tentu. Inti di sini adalah kematangan dan keterbukaan untuk menyerap, memahami sesuatu yang baharu. Ini tidaklah bermakna kita perlu meyakini dan mempercayainya. Dalam dunia rencam, kefahaman terhadap peradaban, agama dan kepercayaan lain sangat mendesak. Justeru membaca naskah suci lain akan membuka pengalaman dan kematangan ilmu yang menakjubkan. Mac lalu, ketika berkempen yang tidak sepenuhnya jadi di Kajang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyaran supaya generasi muda Melayu membuka dan membaca teks klasik Hindu seperti ‘Ramayana’, ‘Mahabharatha’ dan ‘Thirukkural’. Beliau juga mengajak generasi muda Hindu menelaah al-Quran[1]. Saranan, atau tindak-tanduk praktikal oleh Ali Shariati, Madonna dan Anwar Ibrahim ini jauh mengatasi seruan-seruan umum kesederhanaan, wasatiyyah dan moderatisme tetapi tidak ditunjukkan apa-apa pendekatan benar dan real. Tiada keserdehanaan tanpa dialog Dialog kesederhanaan akan berlaku bukan dengan menyelimutkan diri, ia hanya akan berlaku; dialog, menerusi pertukaran bahan bacaan. Dalam erti kata lain membaca kitab suci agama lain akan membuka satu dialog. Oleh kerana Perdana Menteri tidak memberikan pendekatan yang bermakna untuk bersederhana dalam ucapan-ucapan dahsyat beliau, kita terpaksa mencari kaedah sedia ada. Kita boleh menyebut nama seperti Johan Wolfgang Von Goethe sebagai contoh sihat, akan tetapi, untuk mereka yang jarang-jarang berdialog, memadailah nama-nama eceran seperti Madonna dan Anwar Ibrahim untuk dijadikan teladan. Malaysia memerlukan pendekatan matang untuk terus ke hadapan. Pengharaman, larangan dan kekangan terhadap bahan bacaan sama sekali tidak membantu menyuburkan nusa ini.  Bahkan ia mempamerkan sikap jumud, terkepung dan terkebelakang. Aksi baharu Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) yang melarang semua hotel dan rumah tumpangan di Pahang dari meletakkan kitab suci Bible dalam kamar sewaan jatuh dalam kategori tadi. Bagaimana jika Barack Obama, rakan selfie Perdana Menteri mengambil keputusan bercuti di Cherating atau Taman Negara dan kerana Michelle terlupa membawa Bible peribadinya telah  terpanggil untuk mencarinya dalam laci hotel penginapan? Apakah jawapan kesederhanaan yang dapat beliau berikan?         unnamed

]]>

Adakah Tuhan menentang anak yatim?

ini saya akan menulis tentang pertentangan di antara Tuhan dan anak yatim. Dan saya akan menulis berdasarkan pemerhatian saya. Tetapi kali ini jangan harap saya akan masukkan petikan dari al-Quran atau Hadis. Saya tidak akan memakai serban pada kali ini untuk menjual agama. Malah jangan harapkan saya memetik kata-kata pujangga besar. Anak-anak ini lebih besar dari pujangga sebesar mana pun mereka. Hari ini Malaysia, sebuah negara Asean paling maju, punya menara berkembar setinggi 4 kali Everest, jaringan LRT 18 kali lebih dahsyat dari Tube di London, malah penganjur pertandingan kereta berenjin jet kapal terbang F1 yang disegani seluruh dunia. Semua rakyat berbangga menjadi anak Malaysia. Khabarnya 6 tahun lagi, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Kereta terbang di Kuala Lumpur, polis robot aka Robocop di Machang dan Putrajaya akan menjadi pusat pentadbiran paling canggih dengan teknologi aeronautik dan nuklear menjadi nadi kehidupannya. “Tolong Kami Bantu Kami” Tetapi dua hari yang lalu, saya terjumpa sebuah video di laman Youtube menayangkan sebuah program untuk orang kaya, bangsawan dan kerabat diraja di sebuah mahligai bertatah emas yang menggunakan anak yatim untuk membuat persembahan. Dan persembahan yang ditayangkan di dalam video tersebut adalah persembahan anak yatim, menyanyikan lagu Tolong Kami Bantu Kami. Saya tak perlukan penjelasan lanjut. Saya tak nak tahu siapa arahkan anak-anak ini menyanyi lagu seperti itu. Saya tak peduli siapa yang bawa mereka ke majlis yang menghidangkan air dari syurga itu. Semua orang boleh beri alasan. Siapa sahaja boleh cipta pelbagai situasi untuk menyesuaikan diri mereka. Semua itu boleh pergi mati. Tetapi tatkala kita berbual hal Wawasan 2020, mengamalkan sistem perbankan Islamik, demokrasi berparlimen, mempunyai seorang angkasawan Muslim dan berjuta slogan muluk-muluk, lihat bagaimana akhlak kita dengan anak yatim? Masyarakat ‘2nd Class’ Tuan-tuan dipersilakan pergi ke rumah anak yatim di sekitar kariah tuan-tuan setiap hujung minggu. Lihat apa aktiviti mereka. Kalau mereka tak bermain pasir, mereka akan diangkut oleh orang kaya, kaum bangsawan dan kerabat diraja ke kenduri-kendara untuk menghabiskan sisa makanan. Tuan-tuan lihat baju yang mereka pakai, dan perhatikan baju yang disumbangkan oleh masyarakat. Tuan-tuan belek buku yang mereka baca. Baju yang mereka pakai bukan baju baharu. Baju yang mereka pakai itu baju ‘2nd hand’ yang dilonggokkan oleh keluarga Pak Ali yang mahu mengosongkan almari rumah. Buku yang mereka baca bukan buku baharu. Buku itu ialah buku ‘2nd hand’ yang di hantar oleh keluarga Makcik Zainab yang merasa rumahnya kini sempit dengan longgokan buku teks anak-anaknya. Kita panggil anak-anak ini datang makan di kenduri kita kerana kita mahukan pahala, kerna kita mahu masuk ke syurga dengan jalan pintas. Jika bukan kerana syurga, mustahil kita akan panggil anak-anak ini menghabiskan makanan kita. Kita sumbangkan baju terpakai kerana rumah kita semak dan penuh dengan baju-baju lama. Dengan menghantarnya ke rumah-rumah anak yatim, kita harap Tuhan akan memberikan kita skuter hibrid untuk ke syurga dengan lebih pantas. Kita longgokkan buku terpakai ke pusat jagaan anak yatim kerana mahu mengubahsuai rumah. Ketika itu baru kita terlihat longgokan buku. Dengan menghantarnya ke tempat yang tidak ada siapa akan menolak, kita berdoa agar Tuhan membelikan kita sebuah kereta berenjin jet kapal terbang untuk memotong orang lain dan lebih cepat masuk syurga. Tiket sehala ke syurga Itu baru cerita bab kenduri, bab baju dan bab buku. Pada bulan Ramadhan lebih dahsyat suasananya. Saban hari anak-anak akan dibawa berbuka puasa bersama orang kaya, sang bangsawan dan kerabat diraja ini. Mereka akan dihidangkan dengan susu dari syurga, kurma dari zaman Nabi serta daging burung Merak dari kayangan. Semua orang berlumba-lumba mendapatkan mereka. Semua syarikat, yayasan mahupun agensi kerajaan akan memastikan mereka dapat berbuka puasa bersama anak-anak. Ketika berbuka itulah mereka berbual sesama mereka seolah-olah mereka telah mendapat satu tiket ke syurga setiap seorang. Ahli politik tidak kurang jijiknya, mereka akan terjun bersama orang kaya, sang bangsawan dan kerabat diraja ini untuk membeli baju raya kepada anak-anak. Di akhirnya anak-anak ini akan mendapat 5 pasang baju melayu dan baju kurung setiap seorang. Seolah-olah inilah baju yang mereka perlu pakai selama setahun. Ketika ini, rumah dan pusat jagaan akan dipenuhi dengan ratusan tan beras sumbangan orang ramai. Masyarakat berebut-rebut membeli tiket sehala ke syurga dengan sumbangan beras-beras ini. Jika benar kita mahu menjamu anak-anak, mengapa tunggu Sabtu atau Ahad? Jika benar kita mahu  menyumbangkan baju atau buku, mengapa berikan yang terpakai? Jika benar kita mahu membeli baju baharu kepada mereka, mengapa tunggu bulan Ramadhan? Jawapannya mudah. Semua yang kita lakukan, bukan untuk anak-anak. Tetapi semuanya untuk kita. Untuk pahala kita. Untuk skuter hibrid kita. Untuk kereta berenjit jet kapal terbang kita. Untuk tiket sehala kita. Skuter hibrid, kereta berenjin jet kapal terbang dan tiket sehala ini akan membawa kita ke syurga tanpa perlu beratur di akhirat nanti. 10 kali Haji Tetapi ini hanyalah secebis dari seluruh skandal penyelewengan anak-anak yatim yang sedang hebat dan giat dijalankan di seluruh negara. Ada yayasan yang menggunakan anak-anak untuk mengutip derma. Ada pertubuhan yang menggunakan anak-anak untuk menyara pekerjanya. Ada pemimpin yang menggunakan anak yatim untuk memanjat tangga politik. Ada agamawan yang menggunakan anak yatim untuk menjual serban dan jubah agamanya. Anak-anak ini digunakan, dipergunakan, diperah dan dijual tanpa ada pembela. Siang dan malam mereka adalah ihsan orang lain. Mereka tidak pernah dianggap sebagai anak merdeka. Mereka dicemuh di sekolah. Di luar, mereka bukan sahaja dipandang sebagai warga ‘2nd class’, tetapi digunakan oleh pelbagai orang dan persatuan untuk kepentingan orang lain. Inilah yang berlaku apabila masyarakat tidak pernah berpihak kepada yang tertindas. Negara mampu menghantar ribuan jemaah haji saban tahun, tetapi masih ada anak yatim yang menyanyikan lagu Tolong Kami Bantu Kami di majlis hari jadi kaum bangsawan.  Masyarakat tidak pernah ikhlas untuk membantu golongan tertindas ini. Masyarakat yang kita punyai ialah masyarakat individualistik. Mereka boleh pergi haji 10 kali, tetapi masih menghantar baju terpakai ke rumah anak yatim. Mereka boleh pergi 1000 kali umrah, tetapi masih tidak punya masa untuk membuka beg anak-anak, berbual dan memberikan kasih sayang kepada golongan ini. Yang penting ialah pahala, bukan pendidikan anak-anak. Yang penting ialah syurga, bukan masa depan anak-anak. Tuhan bersama siapa? Jadi seluruh kesengsaraan dan penindasan terhadap anak yatim ini menimbulkan persoalan, adakah Tuhan menentang anak yatim? Bagaimana kaum agamawan boleh bersama-sama Tuhan menentang anak yatim? Tuhan tahu perasaan anak-anak ini tatkala mereka merintih kepenatan dihurung ke hulu ke hilir memenuhkan jemputan orang kaya. Tuhan tahu rintih hati mereka tatkala air menitik keluar dari kelopak mata merindukan ibu bapa yang tiada. Tuhan tahu hati-hati yang diperlakukan seperti hamba ketika mereka tidak punya sang pelindung. Yang perlukan bantuan bukan mereka tetapi kita. Yang perlu kita doa kepada Tuhan ialah untuk mengurniakan semula otak ke dalam kepala dan naluri kemanusiaan di dalam hati kita. Agar mentaliti masyarakat berubah dan melihat anak-anak ini sebagai anak merdeka. Anak-anak ini tidak perlukan baju atau buku baharu. Yang mereka perlukan ialah kasih sayang. Mereka perlu diterima di dalam struktur sosial sebagai ahli masyarakat, bukannya warga kelas kedua. Anak-anak ini adalah tanggungjawab kita secara kolektif. Jika mahukan tiket sehala ke syurga sekalipun, tak perlu tunggu bulan Ramadhan untuk belikan mereka baju atau buku baharu. Kitalah yang perlu turun dan hadir ke rumah mereka untuk memasak makanan, bukan mereka yang perlu beratur dan menunduk di hadapan kita ketika mengambil nasi kenduri. Yang pasti, Tuhan sentiasa bersama anak-anak. Dia mengucup ubun anak-anak sehingga mereka menangis setiap hari. Tuhan tidak pernah bersama orang kaya, sang bangsawan atau kerabat diraja, golongan penindas yang memaksa anak mengemis dan meminta-minta di hadapan mereka tatkala mereka mencicip sirap emas di keraian syurga dunia. Tuhan tidak pernah bersama lelaki berserban agama jadi-jadian yang menjual anak-anak untuk memenuhkan poket jubahnya sendiri. Untuk yang sentiasa melihat Malaysia sebagai sebuah negara moden, model negara Islam progresif dengan utopia Wawasan 2020, majlis Ya Hanana 1000 malam, sistem perbankan Islamik yang cemerlang serta tidak percaya wujudnya golongan tertindas di negara ini, saya ucapkan selamat maju jaya. Anak-anak yatim akan terus diperlakukan sebegini rupa, dijual, dipandang dan diperlekeh sebagai warga ‘2nd class’, diminta mengemis untuk sesuatu yang mereka tak pernah minta; kerana kita punya warga masyarakat seperti anda. Orang yang tidak punya sikap, serta tidak pernah berani untuk berpihak kepada orang yang tertindas. Yang perlu kita risaukan ialah diri kita sendiri. Adakah Tuhan bersama kita?         unnamed

]]>

Hakim wanita: menanggapi majlis fatwa

“Perlantikan Hakim Syarie wanita bukanlah dalam keadaan yang mendesak”

Adakah kesimpulan ini sahih? Wanita sebagai hakim Apabila ulama-ulama fiqh  membahaskan tentang pelantikan orang perempuan sebagai hakim, kekhilafan yang biasanya timbul adalah seperti berikut; Pendapat pertama : Perempuan tidak harus menjadi hakim secara mutlak. Antara ulama yang mengatakan begitu adalah imam Dasuqi dari mazhab Maliki. Beliau menyatakan; “Ahli Kehakiman mesti adil, iaitu kelayakkannya adalah keadilan …….  Lelaki secara pasti, bukan perempuan tidak khunsa.” Imam al-Nawawi dari mazhab syafie menyatakan; “Disyaratkan padanya akan perkara yang disyaratkan pada hakim, dan penambahannya sepertimana dia berkata (syarat pemerintah, hendaklah ia adalah orang Islam), untuk meraikan kemaslahatan islam dan ahlinya …… mesti lelaki, kerana lemahnya akal perempuan, dan perempuan tidak dapat bercampur dengan orang lelaki. Dan telah saheh hadis yang menyatakan (tidak akan Berjaya sesuatu kaum yang mereka melantik perempuan sebagai orang yang urus urusan mereka.” Al-Iddah Syarh al-Umdah pula menyatakan, “Keadaan (hakim) itu mesti lelaki. Maka berhimpun lelaki dan baligh, kerana kanak-kanak tidak ada perkataan baginya (tidak diambil kira) dan perempuan pula kekurangan akal dan sedikit pandangan, ia bukan berkelayakan ketika kehadiran para lelaki dan pertemuan pihak yang bercanggah.” Berdasarkan pendapat ketiga-tiga aliran mazhab ini, jelas kelihatan bahawa mereka berpendapat bahawa pelantikan perempuan sebagai hakim adalah tidak harus,  malahan keputusan yang mereka (hakim wanita) buat juga tidak sah. Tetapi ada juga khilaf yang berlainan. Pendapat kedua : Harus secara mutlak bagi orang perempuan menjadi hakim. Ibn Hazm menyatakan;, “Harus bahawa perempuan menjadi hakim – Ia juga adalah pendapat Abu Hanifah – Sesungguhnya diriwayatkan dari Umar bin al-Khattab bahawa beliau melantik perempuan dari kaumnya untuk mengurus pasar. Ada pihak menyatakan bahawa Rasulullah SAW ada bersabda: “Kaum itu tidak akan berjaya yang menyandarkan urusan mereka kepada perempuan”. Kami (Ibn Hazm) berkata,  “Nabi Muhammad SAW berkata begitu pada urusan umum, iaitu dalam urusan khilafah.” Pendapat ketiga : Dibenarkan perempuan menjadi hakim dalam semua perkara kecuali perkara yang berkaitan dengan darah dan hudud. Al-Imam al-Kasani dari mazhab Hanafi berkata; “Adapun Lelaki, bukan syarat untuk diikut secara umum, kerana perempuan adalah dari kalangan ahli penyaksian secara umumnya kecuali dia tidak boleh berhukum dalam perkara hudud dan Qisas, kerana tidak berlaku penyaksian pada perempuan dalam perkara ini (hudud dan Qisas) sedangkan keahlian hakim berlegar pada keahlian penyaksian.” Hujah pihak melarang Setiap pihak punyai dalil dan penghujahan masing-masing. Larangan orang perempuan menjadi hakim berasaskan beberapa nas, antaranya firman Allah yang mengatakan bahawa “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan” (Surah al-Nisa’ (4), ayat 34) Dalam firman Allah ini, dipamerkan bahawa orang perempuan tidak boleh dilantik menjadi hakim kerana  lelaki dinyatakan sebagai pemimpin dan pengawal terhadap orang perempuan. Ada juga yang menafsir ayat berikut dengan tanggapan tambahan bahawa kononya sifat perempuan  lebih banyak mengikut emosi berbanding rasionaliti dalam sebarang tindakan dan keputusan mereka. Contohnya, menurut al-Imam al-Qurtubi; “Ada yang mengatakan, lelaki itu punyai kelebihan dari sudut kekuatan jiwa dan tabiat, yang ia tiada pada orang perempuan, kerana tabiat bagi lelaki adalah panas dan kering, lalu padanya terdapat kekuatan dan kekerasan. Tabiat perempuan, dikuasai oleh kebasahan dan kesejukan, ia membawa makna kelembutan dan kelemahan, lalu Allah menjadikan bagi mereka hak berkuasa terhadap perempuan dengan sebab itu.” Mereka juga berhujah dengan merujuk kepada hadis bahawa Nabi Muhammad saw ada bersabda; “Selama-lamanya sesuatu kaum tidak akan berjaya jika urusan mereka diserahkan kepada perempuan.” Hakikat penghakiman adalah tercapainya keamanan yang merupakan kejayaan. Dalam hadis ini pula, Nabi Muhammad SAW mempamerkan bahawa perempuan tidak boleh mengurus urusan orang ramai,  dan sudah pasti ialah kehakiman antara urusan orang ramai itu. Mereka turut berhujah bahawa melantik perempuan sebagai imam solat pun sudah dilarang, inikan pula dalam urusan kehakiman yang kesan baik dan buruknya lebih besar berbanding solat. Mereka juga sering merujuk kepada zaman wahyu dan salaf soleh, di mana didapati bahawa tiada terdapat satu kejadian pun bahawa perempuan dilantik menjadi hakim. Ini merupakan bukti mereka bahawa perempuan tidak boleh menjadi hakim. Tambahan lagi, mereka juga menyatakan bahawa perempuan tidak boleh menjadi hakim kerana terdapat dalam hadis bahawa Nabi Muhammad SAW menyatakan tentang orang perempuan yang punyai kelemahan akal dan kelemahan agama. Ekoran itu, Nabi SAW menyatakan bahawa kesaksian orang perempuan seumpama setengah dari kesaksian lelaki. Sabda Nabi saw; “Wahai para perempuan,  bersedekahlah, kerana sesungguhnya aku melihat kebanyakan kamu adalah ahli neraka”. Pihak perempuan bertanya,  “Dengan sebab apa wahai Rasulullah? “. Berkata nabi, “Mereka banyak melaknat dan ingkari keluarga. Aku tidak lihat kalangan yang kurang akal dan agama”. Kami (perempuan) berkata,  “apakah kekurangan agama dan akal kami wahai Rasulullah?”. Jawab Nabi, “bukankah kesaksian perempuan itu menyamai setengah kesaksian lelaki?”. Mereka menjawab, “benar”. Berkata lagi, “itu merupakan kekurangan agamanya. Bukankah apabila perempuan kedatangan haid, dia tidak boleh solat dan puasa?”. Jawab mereka,  “benar”. Berkata Nabi, “itu merupakan kekurangan agamanya”. Hujah pihak yang membenarkan Pihak yang membenarkan juga mendatangkan hujah – hujah mereka. Antaranya mereka kembali kepada kaedah asal, bahawa sesuatu itu adalah harus selama tiada nas yang melarang. Dan apa yang jelas ialah tiada nas yang melarang perempuan menjadi hakim. Walaupun ada hadis yang mengatakan sesuatu kaum tidak berjaya jika dilantik perempuan sebagai orang yang mengurus urusan mereka, hadis ini hanya merujuk kepada kepimpinan utama seperti khalifah yang tidak relevan pada zaman sekarang lagi. Hujah ini dijawab dengan mengatakan bahawa tegahan perempuan menjadi hakim adalah merujuk kepada kelemahan akal ekoran penguasaan emosi mereka. Tambahan pula ada kesukaran perempuan untuk berhadapan dengan urusan orang bawahan yang pelbagai ketika mentadbir kerajaan. Masalah-masalah tersebut adalah masalah yang juga akan dihadapi oleh perempuan yang menjadi hakim. Ekoran itu, secara mendasarnya wujud juga nas yang melarang dari orang perempuan menjadi hakim secara tidak langsung. Wacana tambahan dan balasan hujah-hujah Pihak yang mengizinkan perempuan menjadi hakim ini membalas hujah itu dengan merujuk kepada keizinan syarak merujuk fatwa kepada perempuan. Itu pula dijawab dengan hujah bahawa di sana wujud perbezaan antara fatwa dan kehakiman. Ini kerana, sesuatu yang dikeluarkan diberikan pilihan antara menerima atau menolak, sedangkan hukuman yang diputuskan oleh hakim tiada pilihan untuk menolak. Dipihak yang mengatakan bahawa perempuan boleh menjadi hakim dalam semua perkara kecuali hudud dan qisas pula berhujah dengan alasan bahawa perempuan diterima penyaksiannya pada semua perkara kecuali hudud dan qisas. Keizinan bagi menjadi saksi adalah keizinan juga menjadi hakim. Hujah ini dijawab dengan menyatakan bahawa bandingan penyaksian diqiaskan dengan kehakiman adalah qias yang tidak seharusnya berlaku kerana larangan perempuan dilarang menjadi pemimpin itu sememangnya wujud dalam nas secara jelas. Dari penghujahan semua pihak ini, nyata bahawa pihak jumhur Ulama yang mengatakan larangan perempuan menjadi hakim lebih kuat. Keadaan Malaysia  Apabila kita lihat bahawa setiap keputusan yang dibuat oleh seseorang hakim tertakluk kepada faktor-faktor dirinya sendiri, jadi tidak hairanlah ada pendapat yang melarang perempuan menjadi hakim. Namun itu berbeza dengan keadaan di mana seseorang hakim itu tidak membuat keputusan secara bersendirian, contohnya di dalam konteks sesuatu majlis kehakiman yang terdiri beberapa orang hakim-hakim yang lain. Dalam konteks ini mereka tidak akan membuat sesuatu keputusan kes kecuali akan dibincangkan dalam majlis tersebut. Jadi larangan terhadap perempuan menjadi hakim adalah tidak tepat, kerana kebimbangan dan kerosakan yang terjadi jika perempuan menjadi hakim tidak akan berlaku.  Dengan itu, dengan mengambil kira bentuk dan kaedah membuat keputusan kehakiman, perempuan tidak patut dilarang dari menjadi hakim. Kupasan Al-Qaradawi tentang hakim wanita Yusuf Al-Qaradawi ialah antara ulama kontemporari yang menyatakan keizinan perempuan menjadi hakim. Beliau juga menyatakan fatwa beliau selaras dengan beberapa fatwa di kalangan ulama yang lain, seperti syaikh Muhammad Al-Ghazali dan Ibn Hazm. Beliau berhujah bahawa tiada nas yang qatie dilalah terhadap larangan tersebut. Menurut beliau, jika wujud pendalilan secara qatie terhadap larangan itu, sudah pasti aliran zahiri seperti Ibn Hazm menyatakan larangan tersebut. Beliau juga menjawab larangan yang merujuk kepada hadis bahawa Nabi saw ada bersabda, “Tidak akan berjaya sesuatu kaum yang menyerahkan urusan mereka kepada perempuan”. Dihujah oleh Al-Qaradawi bahawa hadis ini tidak boleh dilaksanakan secara mutlak, kerana terdapat ayat Al-Quran yang mempamerkan kejayaan sesuatu kaum yang diperintah oleh perempuan seperti kisah yang berkait dengan seorang perempuan di era Nabi Sulaiman yang menguasai sebuah kerajaan di zaman itu. Firman Allah; “Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut); * ” `Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran ugama Allah). ‘ * “Raja perempuan itu berkata lagi: “Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya”.* “Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan”   “Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan.” * “Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita” * “Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah)” * “Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.” (Surah al-Naml, ayat 30-37) Bagi menjawab hujah yang mengatakan perempuan kekurangan akal pula, Al-Qaradawi menyatakan bahawa kisah raja perempuan menerusi surah al-Naml, ayat 30 sampai 37 bercanggah dengan pendapat tersebut. Jika perempuan kekurangan akal, bagaimana dia boleh mentadbir dengan baik? Malahan dalam hadis, terdapat kisah Ummu Salamah dalam sejarah Sulh al-Hudaibiyyah yang memberikan pandangan bernas kepada Nabi Muhammad saw untuk selesaikan kekusutan baginda SAW. Bagi menjawab pula dakwaan bahawa larangan itu tertakluk kepada perempuan yang saksi mereka seramai dua orang menyamai dengan seorang saksi lelaki, Al-Qaradawi menyatakan bahawa ketidak selarasan itu bukan hujah untuk melarang perempuan menjadi hakim, kerana maksud sebenar di sebalik ketetapan itu adalah kerana kesaksian dalam penghakiman memerlukan keyakinan yang jitu. Apa yang nyata dari pandangan Al-Qaradawi ialah perempuan boleh menjadi hakim. Wallahu A’lam. (Sila email projekdialog@yahoo.com untuk rujukan dan bibliografi lanjut)         unnamed ]]>