Projek Dialog

Cinta gadis gula-gula getah

 

(Sebahagian dari) mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul-Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka” dan setengahnya pula berkata: “Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka”, – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). Al Kahfi, 22.[12]

I Tak ingat nama pemandu bas mini tersebut. Yang semua orang tahu beliau lewat sekitar 30 ke 50 minit. Cuaca agak sejuk, di hadapan, berdiri dua anak lelaki berumur mungkin 9 atau 10 tahun. Sekejap mereka berlari, menyepak pasir dan berkejaran. Sekejap mereka kembali dan asyik menuding jari ke baju Naim yang tertulis perkataan dalam tulisan Jawi; Syria. Betul ke ni anak Syria?[1] Ishak jawab acuh tak acuh; ya kerana mereka tidak ke sekolah pada waktu sebegini. Jam di tangan menunjukkan angka 2.30 minit. Dua anak Syria [2] ini masih di hadapan kami. Duduk di atas tembok, seolah-olah sedang menunggu barsama-sama kami. Sesekali, mereka mengirim senyum yang hujungnya tawa besar antara mereka tatkala mengerling kami. Tipikal gaya Arab, bumi Irbid juga seolah-olah baru selesai perang. Di hadapan, sebuah lubang besar terbentuk. Katanya sebuah apartmen akan dibina. Di hujung satu sudut, kelihatan sampah berlonggok. Di hujung sudut yang lain juga, terlonggok sampah-sampah lama. Bukan di hujung sudut itu sahaja, di sepanjang tepi jalan juga. Ah, di mana-mana sebenarnya. Bas mini sampai. Kami naik dengan barang bantuan. II Pun, tak ingat pukul berapa kami sampai ke Mafraq dari Irbid. Tempat pertama kami sampai, kawasan tersebut lengang. Dari lenggok perbualan pemandu bas kami, difahamkan sejumlah pelarian Syria [3] pernah membuka khemah mereka di sini tetapi akhirnya diminta berpindah oleh pihak berkuasa. Bas kemudiannya berpusing beberapa lama mencari ke mana berpindahnya pelarian tersebut. Tak berapa lama kemudian, setelah melalui sebuah lorong kecil kami berjaya menemui sekumpulan kecil pelarian dengan khemah tertera perkataan UNHCHR.[4] Seorang lelaki muda dengan wajah kusam dan rambut tidak terurus menyambut kami. Anak muda ini naik ke dalam bas sehingga kami sampai betul-betul di hadapan kawasan khemah. Hanya ada sekitar 8 ke 10 buah khemah kecil. Bas kini dikerumuni lelaki dan perempuan yang memegang sijil pelarian dari UNHCR,[5] lebih dari 30 orang semuanya. III Belum kaki kanan menapak keluar dari lantai bas, hawa udara dingin menyelinap masuk ke dalam jaket. Suhu betul-betul rendah di kawasan lapang ini. Di celah kedinginan ini, mereka berebut menghulur sijil pelarian[6] yang tertera nama mereka dengan kenyataan yang membenarkan mereka untuk menerima bantuan. Abe, ketua rombongan akhirnya bersetuju untuk menyampaikan bantuan, sepaket beras, sekotak teh, gula, tepung, beberapa bahan makanan yang lain untuk sebuah keluarga serta sepasang kasut untuk setiap anak-anak. Kami bergerak ke khemah[7] untuk mengira berapa ramai yang menginap di dalam khemah-khemah tersebut. Rambut tak terurus, muka berdebu, pakaian kotor. Tak pasti berapa lama mereka tak mandi di musim sejuk ini. Seorang lelaki tua berjalan ke sana sini berkaki ayam. Belasan anak-anak berumur kurang dari 12 tahun mengelilingi kami dengan senyum di bibir, meminta kasut baharu yang tahan sejuk untuk mereka. IV  Seorang wanita tua mengeluarkan x-ray miliknya dari celah khemah, memohon agar diberi wang untuk membeli ubat asma. Angin dingin bertiup dan hati meluluh saat mendengar penyakit asma di musim sejuk sebegini. Khemah[8] mereka tidak punya apa-apa selain hamparan tikar dan tilam, dengan bahagian tepi ditindih dengan batu agar angin tidak dapat menembusinya. Khemah yang mempunyai dapur boleh dibilang. Tiada elektrik, tiada bekalan air. Dan mereka tidak dapat bekerja kerana status sebagai pelarian, maka tiada wang untuk dibelanjakan. Baju yang sama mungkin sudah dipakai berbulan-bulan, selipar atau kasut yang sama, tiada bekalan makanan[9], selain harapan bahawa akan ada rombongan yang hadir memberi bantuan. V Selesai Maghrib, kasut disarung untuk berjalan ke luar. Angin sejuk memeluk dan seperti biasa, poket diseluk untuk mengecas haba. Di hadapan masjid di Irbid ini, kelihatan deretan peniaga memasang meja untuk berniaga baju musim sejuk di tepi jalan. Menunggu Marwan yang berjanji untuk membawa makan bersama dengan menyandar di hujung pintu pagar. Entah dari mana, tiga anak kecil muncul menonong di hadapan. Di tangan mereka kelihatan paket gula-gula getah[10], seorang abang, seorang adik dan seorang lagi adik kecil, sang perempuan. Masing-masing tolak menolak untuk mendapatkan perhatian. Sebagai seorang lelaki yang tidak belajar bahasa Arab tinggi, aku memang tidak faham langsung perkataan yang keluar dari mulut mereka. Kata Musa ketika sempat ziarahnya di Mafraq beberapa hari lalu, anak-anak ini tidak menggunakan bahasa Arab formal. Bahasa Arab mereka bahasa pasar. Ah, kalau Arab formal pun belum tentu aku faham juga. VI Tidak semena-mena, seorang lelaki Arab berbadan besar dari belakang menempik anak-anak ini dengan mengangkat kasutnya gaya membaling ke arah mereka.  Anak-anak yang terkejut,  adik perempuan paling kecil jatuh dahulu di hadapan. Sang abang sempat berlari, sang adik pula cuba membantu adik perempuan. Nasib tidak menyebelahi, syiling sang adik keluar dari poket jaketnya, beberapa gula getah juga jatuh. Ketika sedang mengutip itulah, lelaki tadi datang dan menyepak bontot sang adik. Sang abang sudah hilang, sang adik pula jatuh ke tanah kali ini. Terkocoh-kocoh mereka mengutip dan berlari meninggalkan kawasan masjid. Di hadapan aku kejadian itu berlaku, aku lihat ada sisa di atas tanah. Gula-gula getah.[11] (Dan perasaan sesal memeluk. Aku tak sempat membeli satu-dua gula-gula getah dari anak Syria ini.[12] )         ***   1) Sehingga 2,379,710 rakyat Syria menjadi pelarian sejak konflik bermula pada 2011 menjadikan mereka sebagai kumpulan pelarian terbesar dalam sejarah perang moden dengan tiada harapan konflik akan selesai dalam masa terdekat (Data UNHCR) 2) Dianggarkan populasi pelarian akan mencecah 4 juta sehingga penghujung 2014 (Data UNHCR) 3) Dari 30,000 anak Syria didaftarkan di sekolah awam dan sekolah dalam kem pada Mac 2013, ia meningkat kepada 83,000 anak pada hujung September 2013. (Data UNHCR) 4) Seluruh generasi Syria sedang dipertaruhkan dengan krisis memasuki tahun ketiga, program pendidikan seperti pendidikan awal kanak-kanak, perlindungan fizikal dan psiko-sosial serta kemahiran adalah sangat penting untuk menyediakan anak-anak ini untuk membina semula negara mereka ketika mereka pulang nanti. 5) Di Lebanon, 80% anak Syria tidak bersekolah, jumlah mereka bersamaan 435,000. 3 tahun lalu, 90% anak-anak Syria masih ke sekolah. (Data UNHCR) 6) Di Iraq pelarian Syria berjumlah sehingga 1.13 juta keseluruhannya selepas pintu Peshkhabour dibuka. (Data UNHCR) 7) Di Jordan, sehingga 576,354 pelarian direkodkan sehingga 31 Disember 2013. (Data UNHCR) 8) Di Turki, sehingga 571,513 rakyat Syria direkodkan sehingga 13 Januari 2014. (Data UNHCR) 9) Sehingga 11,420 anak-anak Syria dilaporkan meninggal dunia sehingga Disember 2013 dengan setiap 10 orang yang mati, seorang adalah kanak-kanak. (Data Oxford Research Group) 10) Di Lebanon dan Jordan, anak-anak seawal 8 tahun bekerja untuk mendapatkan makanan. Mereka dipaksa bekerja oleh keluarga sendiri untuk membantu menyara keluarga. Pendaftaran murid di sekolah-sekolah dalam kem seperti Zatari juga rendah kerana mentaliti seperti ini. (Data UNICEF Jordan) 11) April 2014 ini, #TFTN akan membuka kelas pertama untuk anak-anak Syria di Irbid. Dijangkakan pada hujung tahun lebih banyak sekolah akan dibina untuk memastikan generasi muda Syria ini mendapat pendidikan yang sepatutnya. 12) Perjalanan ke Jordan baru-baru ini mengingatkan satu perkara. Ke mana hala tuju pendidikan jika bukan untuk kemanusiaan?         unnamed ]]>

Dunia Kiamat Akibat Dehumanisasi

Semasa mengisi borang UPU untuk memilih bidang yang saya minati dan universiti yang saya ingini, saya berasa sungguh bersemangat dan gembira kerana saya tidak sangka yang saya akan sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi. Saya selalu membayangkan bahawa konsep universiti ini adalah institusi yang paling kompleks, kerana fakulti manusia yang tertinggi iaitu intelek diterokai.

Tetapi pengalaman pada minggu pertama langsung melenyapkan imaginasi itu, kerana orientasi dimulakan dengan ceramah rasis dan menakutkan. Dan pengalaman ke kuliah setiap hari ialah pengalaman yang membosankan tiada bezanya dari sekolah menegah. Pensyarah mengajar dan pelajar belajar, dan muntahkanya pada waktu peperiksaan.

Saya kurang didedahkan dengan konsep hak asasi manusia semasa di universiti dan ia bermula agak lambat iaitu pada tahun 2009, dimana saya mengikuti satu dialog tentang anti-diskriminasi di Kuala Lumpur. Pengalaman pada masa itu sungguh mengkagumkan, terutamanya orang ramai yang berada di forum itu, merekalah yang saya bayangkan selama ini iaitu berdialog dan bersuara lantang, bertanyakan soalan dan memberi pendapat. Orang ramai yang terdiri daripada pelajar, pekerja, ahli akademik, ahli politik, aktivis, makcik, pakcik semua berdialog antara sesama tanpa diskriminasi bangsa, umur dan idea masing-masing.

Keberanian dan kelantangan dalam bilik itu langsung membuka mata saya dan saya dapat merasakan seluruh kosmos alam semesta bergerak menuju ke dalam diri dan memberi tenaga dan harapan baru. Itulah pendidikan hak asasi manusia saya yang pertama. Dan kisah Bawani mengingatkan saya tentang keadaan itu dan banyak situasi dialog yang pernah saya ikuti selama ini, yang memang tidak dipergiatkan di universiti. Tindakan Bawani berdiri untuk bertanyakan soalan dan pendapat merupakan satu jenis pendidikan yang memanusiakan, dimana pencerahan akal dan fikiran berlaku.

Saya bersetuju dengan Zul Fikri yang mengakhiri artikelnya1 kalau mahasiswa setakat belajar, lembu di padang juga belajar (selain belajar untuk membuang air, lembu juga belajar untuk membiak). Saya rasa bahawa fungsi mahasiswa tidak hanya tertakhluk kepada belajar, bekerja lepas itu kahwin dan beranak kemudian mati. Kita mempunyai panggilan yang lebih jauh dari itu, satu panggilan untuk menjadi garam dan terang dunia untuk memberi rasa dan cahaya dan mengubah realiti dunia yang tidak adil. Atau secara ringkasnya untuk menjadi manusia yang sejati.

Menurut artikel 1 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), setiapmanusia dilahirkan bebas dan samarata dari segi martabat dan hak-hak. Mereka dikaruniai akal dan hati nurani dan harus bertindak terhadap satu sama lain dalam semangat persaudaraan. Pernyataan ini sungguh dalam jika kita benar-benar membuat refleksi dan kaitkannya dengan panggilan kita untuk memperjuangkan keadilan dan perdamaian di masyarakat. Ini bermaksud manusia mempunyai kesucian hidup yang dilandaskan pada martabat dan kemerdekaan peribadi yang paling tinggi.

Tetapi jika kita melihat kontradiksi realiti sekarang, cerita kemiskinan yang disebabkan oleh struktur yang tidak adil punca daripada nilai sikap yang tidak manusiawi. Ini telah menyebabkan golongan ditindas ini tidak mempunyai martabat, dilayan seperti tiada maruah, hidup bagaikan robot, mayat hidup yang tiada nyawa. Seperti yang dikatakan oleh seorang pekerja migran, “though we look physically healthy, mentally we are sick. It’s unbearable”. Dengan itu, golongan ditindas telah mengalami dehumanisasi (tidak manusiawi), iaitu perbuatan yang menjatuhkan martabat dan menafikan sifat-sifat seluruh keperibadian seorang manusia.

Maka benarlah apa yang diramalkan oleh masyarakat Maya tentang dunia akan kiamat. Kerana kaum ditindas yang merangkumi golongan majoriti memang merasakan hidup seharian mereka ialah hari kiamat, dimana situasi kehidupan ekonomi dan politik menyerang martabat peribadi mereka, bukan sahaja itu tapi mereka benar benar mati akibat penindasan. Golongan penindas juga menjadi dehumanisasi dan hilang nilai kemanusiaannya apabila mereka menolak martabat dan rasa hormat terhadap orang lain. Oleh itu sebagai kaum (mahasiswa) yang mempunyai peluang mendapat pencerahan intelek, seharusnya memberikan kembali kepada masyarakat dan bukannya menghancurkan masyarakat.

Melihat kepada pelajar yang tepuk tangan untuk Sharifah dan lepas itu tepuk lagi untuk Bawani adalah satu petanda, iaitu mereka tidak dapat mengesankan penindasan sedang berlaku kerana proses dehumanisasi dan doktrinasi telah meresap dalam institusi pendidikan. Perlakuan pasif ini adalah kerana mereka juga ditindas, mereka pun dilakukan tidak berdaya dan dibenamkan dalam “kebudayaan bisu” yang dikatakan oleh Freire sebagai “submerged in the culture of silence”.

Pernah sekali, oleh kerana perasaan ingin tahu saya mengikutinya satu aktiviti pelancaran PERKASA yang diadakan dalam universiti. Ternyata sesi doktrinasi juga berlaku, dan dibelakang saya dua pelajar sedang bercerita, langsung tidak mendengar dan tidak menghiraukan ucapan diatas. Tetapi apabila tiba-tiba penceramah berkata “betul kan apa saya cakap ni”, untuk meminta maklum balas fakta sejarah (yang kurang betul). Dua orang dibelakang itu tanpa mengambil tahu apa yang berlaku tadi tiba tiba cakap “betul betul”! Dan ada seorang lagi secara tiba-tiba menjerit “hidup Melayu!”, yang dua orang tadi dan seluruh dewan pun terikut-ikut. Tindakan membuta tuli ini dibuat tanpa akal kerana proses dehumanisasi yang sangat kuat dan langsung tidak memberi ruang akal untuk berjalan. Adakah institusi pendidikan ini hanya menjadi gudang suruhan oleh penindas supaya kita mematuhi sistem ketidakadilan dan menafikan martabat sendiri dan orang lain?

Dengan dehumanisasi menjadi kenyataan yang sudah lama dalam institusi pendidikan, apakah yang membuatkan Bawani mampu bangun untuk bersuara? Saya tidak kenal Bawani secara peribadi, tapi melihat kepada kebanyakkan manusia yang berani bersuara saya nampak persamaan yang sama. Manusia yang bersikap kritikal, berani bersuara atas ketidakadilan, ini kerana mereka ada kapasiti untuk mencintai sesama. Dalam erti kata yang lain mereka menggunakan akal dan fikiran untuk refleksi, tangan dan kaki untuk bertindak secara solidariti dengan golongan akar umbi yang ditindas dan ada hati untuk memanusiakan kembali manusia. Seperti yang dikatakan oleh Che Guevara, “At the risk of seeming ridiculous, true revolutionary is guided by feelings of great love”.

Bukan itu saja, dengan keterlibatan konkrit dengan komuniti, mahasiswa mampu untuk membuat analisis yang berdasarkan kepada realiti. Dan keterlibatan dengan komuniti inilah panggilan yang menjangkau pengalaman hanya duduk dalam kelas, pergi membeli belah dan tengok wayang atau drama Korea. Sebagai contoh, mengapa kurang penglibatan mahasiswa untuk ingin mengetahui tentang penindasan yang dihadapi oleh orang kampung atau komuniti yang dipinggirkan, seperti rampasan tanah, pembinaan empangan atau pengusiran rumah.

Dan sedar atau tidak, banyak larangan atau halangan direka untuk menghalang mahasiswa daripada mempunyai campurtangan kritikal dengan realiti komuniti. Hal ini kerana penindas tahu bahawa campurtangan kritikal ini bukan kepentingannya, kerana penindas hanya pentingkan keadaan dimana manusia meneruskan ketundukan itu dan menerima realiti mereka yang ditindas. Kerana pada saat kesedaran itu bermula, mata mahasiswa akan terbuka dan dengan intervensi analisis sosial, ini akan memberi keyakinan dan tenaga baru untuk bertindak bersama komuniti akar umbi untuk menidakkan struktur ketidakadilan secara konkrit. Saya rasa itu yang berlaku pada kebangkitan mahasiswa pada tahun 70an, dimana pendedahan kepada penindasan dan penderitaan yang dirasai oleh rakyat miskin di Baling.

Jadi, merujuk kepada pendapat pelajar pada video Forum Suara Mahasiswa Part 4 minit yang ke 18:30, mendengar ceramah itu bukanlah satu pendedahan, dan pendedahan juga bukan berlaku apabila rujukpada internet sahaja. Mahasiswa harus betul-betul berdepan dengan melibatkan diri ke komuniti akar umbi untuk melihat sendiri realiti mereka, buat sendiri buat penilaian dan baru mahasiswa akan tahu apa tindakan seterusnya. Oleh itu, azam saya tahun ini masih juga sama, iaitu untuk menjadi lebih manusia dan solidariti dengan yang ditindas, kerana iman tanpa perbuatan adalah mati.

1 Surat Terbuka kepada Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin (http://www.projekdialog.com/featured/surat-terbuka-kepada-sharifah-zohra-jabeen-syed-shah-miskin/)  
]]>