Penterjemahan tidak rasmi “Why St George is a Palestinian Hero” oleh Yolande Knell, terbitan www.bbc.com. Diterjemah oleh Megat Hanis.
St George di Palestin
Tatkala England sedang menyambut santo-pelindung mereka, rakyat Palestin juga tidak melepaskan peluang merancang perayaan tersendiri menyambut tokoh tersebut yang mereka juga anggap sebagai wira.
Kibaran bendera yang sama kelihatan di atas gereja rakyat Palestin di kampung Al-Khadr di Tebing Barat.
Palang Merah yang dilatari hamparan putih di bendera tersebut dikaitkan dengan Santo George sejak Perang Salib.
Itulah bendera negara England yang juga digunakan sebagai bendera rasmi negara-negara dan bandar-bandar lain yang mengambil Santo George sebagai santo-pelindung.
Walaubagaimanapun, rakyat Palestin mempunyai sebab tersendiri mempamerkan simbol tersebut dan rasa hormat terhadap syahid Kristian itu. Bagi mereka, beliaulah wira tempatan yang melawan penindasan terhadap orang-orang Kristian di Tanah Suci itu.
“Kami percaya bahawa dia seorang syahid yang hebat dengan kepercayaannya dalam mempertahankan ajaran dan nilai-nilai Kristian” kata Atallah Hanna, seorang ketua biskop Ortodoks Yunani.
“Dengan pengorbanan demi kepercayaannya dia berupaya mengalahkan kejahatan. Kami mengangkat George sebagai pelindung bagi rakyat yang hidup di sini – dan disebabkan beliau dilahirkan di Palestin yang bersejarah, kami berdoa kepadanya demi mengingati kami dan tanah suci ini.”
Siapakah St George?
Santo George merupakan seorang askar Rum sewaktu kurun ke 3 AD, saat Emperor Diocletian di puncak kuasa. Dikatakan bahawa beliau pernah tinggal di al-Khadr berdekatan Bethlehem, di tanah yang dimiliki keluarga ibunya.
Walaupun ayah santo itu selalunya dikatakan berasal dari Cappadocia, sebuah kawasan di Turki moden, ibunya pula dipercayai merupakan seorang Palestin dari Lydda iaitu Lod, Israel kini.
Santo itu diingati kerana menyumbangkan harta miliknya dan tetap teguh dengan imannya ketika beliau dipenjara dan diseksa sebelum akhirnya dijatuhkan hukuman bunuh.
Terdapat banyak gereja di Tebing Barat dan Israel yang membawa nama Santo George – di al-Khadr, Lod dan di sekitar Galilee, misalnya.
Hari St George
Di barat, Hari Santo George jatuh pada 23 April, walhal di kawasan Palestin, ianya jatuh pada 6 May, berdasarkan kalendar yang digunakan oleh Eropah Timur.
Festival dibuat untuk Santo itu di al-Khadr, dengan membawa penganut-penganut dari kawasan Bethlehem untuk menyalakan lilin dan menyempurnakan doa. Sewaktu perayaan, roti istimewa dibuat yang menggambarkan aksi santo tersebut sebagai pembunuh naga.
Imej-imej tersebut antara ciri-ciri utama yang banyak terdapat di rumah orang Palestin Kristian dan di bangunan-bangunan awam. Ini mengingatkan mereka bahawa santo itu membawa perlindungan.
“Dia adalah santo tempatan yang telah membawa banyak keajaiban. Kami sangat menghormatinya”. Jelas pengukir arca, Akram Anastas.
“Dia ditonjolkan sebagai pahlawan yang penuh keamanan dan kasih sayang, menunggang kudanya dan selalu melawan kejahatan, iaitu simboliknya naga itu. Kami tulis di bawahnya dalam bahasa Arab, “Tuhan berkati rumah kami”.
Anastas telah pun mengukir ribuan arca santo itu sepanjang kerjayanya, menjualnya kepada rakyat Palestin dan pembeli luar negara.
“Saya sangat sukakan beliau. Dia teman baik saya dan saya telah berjumpa dengannya banyak kali dalam hidup. Beliau malaikat penjaga saya,” katanya lagi.
Nama “George” telah pun menjadi kebiasaan di sekitar kawasan rakyat Palestin kerana kaitan nama tersebut dengan semangat, keberanian dan kehormatan yang tinggi.
Nama lainnnya ialah Khadr (perkataan arab bermaksud “yang hijau”) dan Jerries.
Di sebuah kedai kopi di Bethlehem yang dikenali sebagai “Abu George” (Bapa George), saya duduk bersama ahli keluarga Thalgieh, yang semuanya dinamakan “George”.
“Mungkin sekarang kita ada 10 orang bernama George. Akan datang mungkin bilangannya mencecah 100 orang” kata George Elias Saba Thalgieh.
“Di Bethlehem ini, bukan keluarga kami sahaja, tetapi kami semua percaya Santo George akan membantu kami ketika kami memerlukannya. Jika kamu menghadapi kemalangan dan perkataan pertama kamu sebut, “Ya Khadr”- itu bermaksud kami memanggil Santo George untuk membantu kami”.
“Saya suka nama itu. Datuk kami George, saya George jadi anak-anak saya akan namakan anak mereka George,” tambah anak saudara lelaki tua itu, George Nabil George Thalgieh, penyanyi yang terkenal.
Ritual Perayaan St George
Menunggu ketibaan Hari Santo George tahun ini, dua generasi itu berhimpun sekali menyanyikan sebuah lagu traditional.
“Oh Santo George, kami berdoa di al-Khadr”, menurut lirik tersebut, “Kamilah Kristian dengan lilin di tangan kami.”
Terdapat beberapa tradisi yang dikaitkan dengan Santo tersebut.
Kadangkala Paderi Ortodoks Yunani diminta untuk memasukkan sebentuk kunci ke dalam mulut kanak-kanak yang mempunyai kesukaran bertutur, untuk “membuka” ikatan lidah mereka.
Ada satu ritual di mana pengunjung meletakkan rantai di sekeliling leher mereka, melalui tubuh mereka dan kemudian menciumnya sebanyak tiga kali. Ini dikatakan dapat membuang penyakit.
Surat-surat meminta Santo George menyelesaikan masalah keluarga pula disimpan di dalam kaca yang melindungi ikonnya.
Rakyat yang meminta pertolongan paderi itu turut memberikan kambing kepada gereja supaya dagingnya dapat diagihkan kepada rakyat miskin.
St George pada Muslim Palestin
Sesetengah rakyat Muslim Palestin, terutama yang datang dari al-Khadr, juga mengamalkannya.
“Bukan sahaja penganut Kristian menghargai beliau, Muslim juga merasakan kekuatan dan keajaiban Santo George,” kata Paderi Ananias.
“Ketika gereja itu dibina [era Byzantine] kejiranannya penganut Kristian. Saya tidak tahu bila rakyat tempatan menjadi Muslim, tetapi dibawah Empayar Turki Uthmaniyah, mereka melindungi gereja tersebut dan mereka menjadi sangat rapat.”
Seorang wanita tua memakai baju traditional labuh dan hijab Islam memberitahu saya: “Kami semua percaya kepada al-Khadr, termasuk suami saya. Saya telah berjanji untuk nyalakan lilin di gereja al-Khadr”
Ramai sarjana Muslim menganggap pesuruh Tuhan yang disebut di dalam Al-Quran sebagai pembantu Nabi Musa merujuk kepada ikon al-Khadr, yakni Santo George.
Setelah 1,700 tahun sejak kematian beliau, Santo itu telah dikaitkan dengan bermacam-macam tokoh lain sama ada yang bersejarah atau mitos.
Legenda yang menyebut bahawa beliau menyelematkan seorang anak dara dengan membunuh naga mungkin datang dari era Zaman Pertengahan.
Walaupun banyak butiran mengenai kehidupan beliau tidak jelas, rakyat Palestin memandang beliau sebagai taudalan hebat bagi membantu yang memerlukan dan berdiri teguh mempertahankan keyakinan seseorang.
Reputasi inilah yang menyebabkan beliau popular di seluruh dunia.
Mengapa Saya Mengajar Evolusi Kepada Pelajar Islam
Penterjemahan tidak rasmi “Why I Teach Evolution to Muslim Students” oleh Rana Dajani, terbitan www.nature.com. Diterjemah oleh Yana Rizal.
Mengapa Perlu Mengajar Evolusi?
Menggalakkan pelajar mencabar idea begitu penting untuk memupuk generasi saintis Islam yang bebas berfikir, kata Rana Dajani.
Permasalahan sikap terhadap sains telah diimport ke dalam masyarakat Islam akibat globalisasi dan pemodenan yang pesat – sebagai contoh, penolakan teori evolusi. Namun ia juga merupakan peluang.
Saya mengajar evolusi kepada pelajar-pelajar universiti di Jordan. Hampir kesemua daripada mereka menentang idea tersebut pada mulanya. Guru-guru sekolah mereka barangkali telah mengabaikan atau sekadar menyentuh subjek ini.
Namun, kebanyakan pelajar masih terbuka untuk membincangkan evolusi, dan di akhir kursus ini, majoriti dapat menerimanya.
Jikalau pelajar Islam mampu mencabar idea akademik yang kontroversi sebegini, maka mereka juga boleh menilai aspek-aspek kehidupan mereka dengan mempersoalkan keadaan yang sediakala – dan bukan hanya menerima secara membuta tuli. Kebolehan dan sikap begini adalah penting dalam pembentukan personaliti dan menjadi warga yang bertanggungjawab.
Meyakini Islam & Evolusi
Para pelajar sering terkejut. Saya memakai tudung, maka mereka tahu bahawa saya seorang yang mengamalkan ajaran Islam.
Namun saya bersyarah menyokong evolusi sebagai mekanisme penjelasan tentang kepelbagaian dan perkembangan spesies. Malah mengiktiraf Charles Darwin sebagai saintis yang menyumbang kepada pemahaman kita tentang kemunculan dan kepelbagaian hidupan di bumi. Barangkali sayalah Muslim pertama yang mendukung teori ini kepada mereka.
Sesetengah pelajar mengadu kepada universiti bahawa saya berdakyah menentang Islam. Namun pegawai-pegawai universiti berpuas hati apabila saya menunjukkan bahawa evolusi termasuk dalam subjek buku-buku teks yang telah diluluskan oleh universiti. Apa yang saya ajarkan adalah langsung daripada buku-buku ini.
Saya memuji pelajar yang mengadu atas keberanian pendirian mereka, dan saya bersedia membincangkan kebimbangan mereka bersama-sama.
Di Mana Percanggahannya?
Apabila mengajar, saya berikan penjelasan terperinci evolusi alam tumbuhan dan pembiakan pilihan. Kemudian, kami membincangkan penentangan antibiotik, vaksin influenza dan perkembangan perubatan HIV.
Setelah perbincangan ini, kebanyakan pelajar bersedia untuk menerima evolusi sebagai mekanisme penjelasan pembentukan semua spesies kecuali manusia.
Ramai yang memetik bukti dari Al-Quran yang ditafsirkan bahawa Adam – dan kejadian manusia – diciptakan secara spontan. Evolusi manusia masih topik yang pantang kerana pelajar tidak bersedia untuk melepaskan konsep bahawa manusia diciptakan berbeza.
Saya mengingatkan mereka bahawa Islam memberi amaran tentang keangkuhan, dan manusia hanyalah sebahagian daripada ciptaan.
Sarjana Islam seperti Hussein al-Jisr dan Ahmad Medhat pada tahun 1880-an menyokong evolusi. Sebelum Darwin, al-Jahiz dan lain-lain mencadangkan teori asas evolusi pada abad kesembilan.
Saya menjelaskan bahawa tanggapan kontroversi antara evolusi dan Islam hanya timbul pada abad kedua-puluh, apabila idea-idea Darwin dikaitkan dengan kolonialisme, imperialisme, Barat, ateisme, materialisme dan perkauman.
Ulama Islam mula berpendirian menolak evolusi, dan kemudiannya diikuti awam. Para ulama menggunakan ideologi Kristian tentang penciptaan untuk menyokong pendirian mereka, sekaligus menyerap juga pergelutan antara sains dan agama di Barat kepada Islam.
Sesetengah pelajar berhujah bahawa penerimaan evolusi bermakna penafian kewujudan Tuhan. Saya mengatakan bahawa evolusi tidak membincangkan asal-usul alam semesta. Tiada siapa lagi yang memahami permulaan kejadian.
Bagi saya, permulannya ialah Tuhan. Setelah itu, kaedah-kaedah logik dan sains menerangkan perkembangan alam semesta dan seterusnya.
Mendamaikan Sains & Agama – Ke Arah Kemajuan
Dari pengalaman saya, ramai orang Islam terbuka untuk mempertimbangkan hal ini. Saya telah menemui beberapa saintis Islam yang setuju dengan pendirian saya, namun tidak secara terbuka kerana takut dilabelkan sebagai pencetus masalah.
Sesetengah ulama juga bersetuju, namun ingin mengubah pendapat secara beransur-ansur, supaya tidak terus ditentang sekaligus membantut perkembangan.
Pendapat saya, sebagai seorang saintis Islam, ialah Al-Quran menyuruh manusia untuk memerhati dan merenung hakikat dunia sementara mengejar ilmu. Ia tidak mengesahkan penemuan saintifik. Sains membolehkan kita mempersoalkan dan mengetahui bagaimana dunia berfungsi dan Al-Quran menyediakan panduan moral untuk menghadapinya.
Jika timbulnya percanggahan antara penemuan sains dan tafsiran Al-Quran, maka kita boleh berbalik kepada kedua-duanya, sains (yang berubah dengan kemajuan) dan tafsiran Al-Quran (yang tidaklah sentiasa tepat, kerana ianya penaakulan manusia) sebagai punca perbezaan. Ini adalah proses yang berterusan, dan merupakan sebahagian daripada tujuan kehidupan orang Islam.
Tanggungjawab Pendidik Membuka Minda
Sama ada seorang pelajar menerima konsep evolusi manusia ataupun tidak, bukanlah faktor dalam cara penandaan kertas peperiksaan mereka. Sebagai pendidik, objektif kami ialah membantu pelajar supaya bebas berfikiran sendiri.
Saya tidak mahu pelajar-pelajar menulis bahawa mereka menerima evolusi hanya untuk lulus peperiksaan. Saya ingin mereka memberikan hujah untuk mencapai kesimpulan mereka, walaupun ia akhirnya menolak evolusi manusia.
Jika tidak, maka ianya sama seperti orang-orang yang mengutuk evolusi: memaksa pandangan mereka keatas orang lain.
Matlamat saya ialah untuk mengajar pembentukan metodologi rasional bagi menilai alam semulajadi dan menghasilkan pendapat, hipotesis dan teori sendiri, bukan hanya meniru yang lain.
Ianya seruan untuk cara fikiran yang baru: perjalanan untuk menuntut ilmu, yang merupakan salah satu prinsip asas Islam. Jika kita berjaya dalam usaha ini, maka kita akan menyumbang kepada pembentukan generasi saintis Islam yang bebas berfikir.
[Rana Dajani ialah profesor biologi molekul di Universiti Hashimiah di Zarqa, Jordan, dan merupakan sarjana pelawat di Institut Faraday, Universiti Cambridge, UK.]
Insiden Protes Salib: Renungan dan Harapan
Hindari konflik agama dan kaum!
Meskipun protes salib tidak menggundang sebarang keganasan seperti mana insiden Taman Medan pada tahun 2001, amat jelas bahawa konflik membabitkan kaum dan agama wajar dielakkan di sebuah persekutuan yang bernama Malaysia.
Tidak cukupkah apa yang berlaku di gereja The Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur yang dibakar pada 8 Januari 2010 serta insiden cat hitam disimbah pada dinding luar Gereja Baptist Melaka di Durian Daun pada 10 Januari 2010?
Begitu juga insiden balas seperti serangan terhadap dua surau berasingan di Muar menjadi sasaran serangan pembakaran sengaja dan sebuah lagi surau di Seremban disimbah dengan cat merah dan disepahkan dengan botol arak pada tahun 2010.
Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan yang mempunyai masyarakat majmuk memerlukan toleransi rakyatnya untuk memahami adat, kaum serta agama antara satu sama lain.
Surat Terbuka Kepada Encik Alvin Tan
Penterjemahan tidak rasmi “An Open Letter to Mr. Alvin Tan” oleh Reverend Sherman Kuek. Diterjemah oleh Johan Zolhaidi. Kehadapan Encik Alvin, Saya menulis kepada saudara kerana secara peribadinya saya marah terhadap tindakan saudara yang melakukannya dengan hasrat yang salah, dan saya menganggap tindakan seperti itu penuh dengan sikap kurang ajar dan kejam. Daripada menyatakan rasa tidak setuju terhadap tindakan kamu melalui cara yang kurang sopan mengutuk di belakang kamu, saya memilih untuk memberitahu terus kepada saudara dimana saya berharap ianya merupakan cara yang penuh hormat. Sama seperti pihak awam yang lain di Malaysia, saya sedar akan kurangnya rasa hormat saudara terhadap pihak yang berkuasa, norma sosial dan moral. Dengan itu, saya tidak akan terkejut jika surat ini dibalas secara tidak hormat; barangkali tindakan yang saudara boleh ambil adalah dengan tidak menghiraukannya sama sekali. Tetapi mengikut konteks dimana kami sebagai rakyat Malaysia hidup, apa yang dilakukan oleh kamu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja tanpa suara tidak setuju daripada rakyat Malaysia. Diteruskan lagi, jika apa yang ingin dilakukan oleh kamu, iaitu mengutuk dan membenci hanya ditujukan kepada orang Muslim di Malaysia, ternyata kamu silap membaca keadaan di Malaysia. Saya berharap kamu mengambil masa yang lebih lama untuk memahami dan membuat analisa terhadap apa yang berlaku di negara kita dan terlibat secara konstruktif, dan bukannya melakukannya dengan perilaku yang tidak senonoh.Saudara mungkin memikirkan kenapa saya, daripada semua orang, memilih untuk menghabiskan masa saya untuk menulis surat balasan kepada video yang kamu buat, dimana kamu melaungkan azan orang Muslim tanpa memakai baju sambil menggunakan keyboard. Barangkali bukan niat kamu untuk menolak idea ritual keagamaan secara keseluruhan, tetapi ia tetap merupakan sesuatu yang biadap dan walaupun kamu hanya menghina satu agama secara khusus, tindakan yang dilakukan oleh kamu merupakan serangan kepada agama. Tindakan menghina itu, secara peribadi, bukan hanya menyerang teman-teman Muslim tetapi turut dilihat sebagai serangan kepada manusia-manusia di dunia yang menganut pelbagai agama dimana setiap diantara mereka mempunyai cara-cara yang unik bagi meluahkan keinginan mereka untuk mengecapi rasa kewujudan Tuhan. Penghinaan kamu mungkin sahaja boleh dilakukan terhadap zikir Latin Katolik ataupun zikir Veda oleh penganut hinduisme, dan mana-mana pun, rasa hormat sebagai prinsipal fundamental terhadap rasa keagamaan yang dianuti oleh jiran kita yang lain telah pun dicabul. Untuk itu, tindakan yang saudara lakukan membuat saya marah. Sejak muda lagi, saya mempunyai rasa hormat yang mendalam terhadap majoriti Muslim yang saya kenal. Saya menghormati rasa cinta mereka terhadap Tuhan, kesetiaan mereka kepada keluarga mereka, dan terutama sekali, saya kagum dengan cara anak-anak kecil Muslim diajar untuk berhubung dengan ibu-bapa mereka. Dalam hidup dan iman saya hari ini, saya telah sedar untuk praktis apa yang telah saya belajar daripada teman-teman Muslim saya, perihal rasa hormat kepada Tuhan, terhadap golongan yang lebih tua dan kepentingan kehidupan didalam komuniti. Saya percaya hidup di kalangan orang Muslim selama ini telah menjadikan saya seorang Kristian yang lebih elok daripada apa yang dapat saya bayangkan. Saya tidak rasa saudara bermaksud untuk menghina golongan Muslim yang saya maksudkan di atas. Mungkin kamu hanya sekadar bertindak untuk mengutuk pempolitikan agama di Malaysia dan hanya mengutuk beberapa individu yang salah menggunakan agama untuk kepentingan agenda politikal mereka sendiri. Pertama sekali, cara yang dilakukan oleh kamu tidak mendatangkan kebaikan kepada kebanyakkan penduduk di sini yang mempertaruhkan kehidupan kami dengan membuat pilihan untuk terus tinggal disini agar dapat melibatkan diri untuk membina semula bangsa kita dengan pendekatan yang positif dan konstruktif. Kedua, tindakan saudara bukan hanya menyerang golongan yang salah menggunakan agama tetapi majoriti rakyat Malaysia yang hanya mengamalkan agama mereka dan mencintai Tuhan dengan cara yang terbaik mereka tahu. Meskipun terdapat banyak prospek (samada ianya benar atau salah) untuk kehidupan yang lebih baik untuk kami dan generasi selepas kami di negara luar, kebanyakkan daripada kami memilih untuk tinggal disini kerana disini kami dilahirkan dan kami ingin anak-anak kami membesar disini. Pilihan ini dibuat bukan kerana tidak adanya kesusahan yang dihadapi oleh kami, tetapi kerana kami tekad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih bagus. Atas sebab inilah kami memilih untuk turut terlibat dengan pendekatan yang konstruktif dan tidak membuat masalah sosial dan politikal kepada rakyat Malaysia yang lain hanya untuk mencari perlindungan di tempat lain sambil meninggalkan kesan buruk yang terhasil daripada tindakan yang telah kami lakukan. Kamu menghina apa yang kami pertahankan dengan hidup kami. Kebebasan untuk meluahkan apa sahaja merupakan suatu keperluan bagi masyarakat untuk maju kehadapan, kerana ia juga memberi ruang untuk masyarakat membiasakan diri mereka dengan mekanisme untuk mengkritik diri sendiri dan membuat renungan terhadap tindakan yang pernah dilakukan. Tetapi wujud juga kebebasan luahan yang tidak bertanggungjawab dan tidak matang, mengambil kesempatan untuk mempergunakan prinsipal murni ini dengan membawa kerosakkan terhadap kebenaran, keindahan dan kebaikan yang boleh dijumpai di dalam suatu tamadun. Dengan penuh hormat, saya berasa benar dengan menganggap bahawa saudara bersalah melakukan jenayah moral. Untuk ini, saya berasa kesal kerana kamu memilih untuk memaparkan suatu tindakan yang tidak senonoh terhadap teman-teman Muslim kami. Melalui apa yang saya mampu dan sebagai rakyat Malaysia, saya tegas menolak setiap tindakan yang telah dan bakal kamu lakukan. Dan saya menyatakan penghargaan saya kepada semua rakyat Malaysia yang berniat baik, yang memegang kepada ilmu yang benar dan suci di dalam ajaran-ajaran dan praktis-praktis keagamaan mereka. Dan saya berdoa satu hari nanti, saudara juga akan sedar perkara terakhir yang kami inginkan adalah insiden yang memisahkan kami semua, lebih-lebih lagi sesuatu yang tidak langsung diperlukan. Rakaman video kamu, yang dilihat lebih narsisistik daripada kelakar ataupun hiburan, adalah suatu penghinaan kepada seluruh usaha kami untuk membina masyarakat yang lebih bagus untuk semua anak-anak kami daripada semua agama. Walaupun apapun, saya berharap agar kamu hidup dengan senang di Amerika dimana apa yang ingin kamu luahkan tidak akan dihalang. Tetapi pada dasarnya, bukannya penggunaan keistimewaan dan hak yang menentukan kualiti seseorang. Jenis manusia yang bakal kita bentuk, ditentukan oleh pilihan-pilihan harian yang kita lakukan untuk mencari keamanan, cinta, dan nilai setiakawan dengan jiran-jiran kita walaupun tiada kelebihan untuk kita. Rev. Diakon Dr Sherman Kuek OFS Diakon Gereja Katolik di Malaysia Nota: Surat ini sepenuhnya dibawah tanggungjawab saya dan tidak mewakili Gereja Katolik ataupun mana-mana institusi yang saya terlibat.
]]>Ada apa dengan salib?
Ithychis yang merujuk kepada beberapa cerita Bible berkenaan ikan.
[caption id="attachment_4663" align="alignleft" width="300"] Lambang Ithychis[/caption]
Salib hanya diterima pakai oleh penganut Kristian sekitar tahun 400 Masihi. Logiknya mudah,ia adalah lambang yang amat mudah dilukis, dicat dan diukir di mana-mana. Salib kemudiannya direka ubah dan disesuaikan untuk mewakili ideologi khusus golongan agama, kawasan geografi atau topologi penduduk malah kasta masyarakat yang diwakili salib itu.
Sebagai contoh, salib dengan bentuk bumi dibawahnya digunakan sebagai simbol kebesaran raja-raja Eropah, dan salib berbentuk “T” digunakan untuk mewakili St Francis, seorang tokoh mubaligh Katolik.
Sesetengah salib mewakili kawasan geografi, seperti salib Perancis yang menggabungkan salib dengan bentuk fleur-des-lis, atau salib Anuradhapura, yang mempunyai ciri-ciri tempatan Sri Lanka.
Mazhab Protestan lazimnya menggunakan salib asas, manakala golongan Katolik sering menggunakan salib dengan ikon Yesus dipaku atasnya, dikenali sebagai ‘crucifix’.
Golongan Protestant menganggap salib yang kosong melambangkan kejayaan Yesus mengatasi kematian dan kebangkitanNya.Golongan Katolik pula lazimnya menggunakan salib ‘crucifix’ untuk mengingatkan mereka tentang dosa.
Kepercayaan Kristian adalah, Yesus disalib dan dibunuh sebagai tebusan untuk dosa manusia. Bezanya golongan Katolik lebih menekankan ‘cause’ atau sebab , manakala golongan Protestan lebih menekankan kesan kematian Kristus tadi, yakni penyelamatan umat Kristian dan dunia.
Maka semenjak abad ke 4, salib digunakan secara meluas dalam upacara keagamaan dan penyembahan kedua-dua golongan Kristian utama dunia.
Bagi seseorang penganut Kristian, salib adalah simbol keagamaan paling mudah difahami dan dikenali. Doktrin atau ajaran berkenaan Penyaliban dan Kebangkitan Yesus merupakan tema utama ajaran Kristian itu sendiri. Tanpa salib, ajaran agama Kristian hanyalah coretan kisah-kisah sejarah, ajaran moral dan rohaniah yang tidak banyak berbeza dari siri ‘Chicken Soup for the Soul’.
Jadi, tidak keterlaluan untuk mengatakan yang Salib merupakan jatidiri seorang penganut Kristian.
Apakah simboliknya Salib kepada seseorang Kristian? Bagi penulis, takrifan dan maksud salib itu bergantung kepada penganut itu sendiri. Bagi sesetengah Kristian, ia merupakan simbol harapan di dunia ini dan dunia akan datang. Untuk Kristian yang lain pula, ia merupakan simbol sesalan dan keinsafan atas dosa.
Bagi Kristian yang lain lagi, ia merupakan lambang kekuatan iman dan keakuran kepada kuasa yang Esa. Rata-rata, salib menyatukan umat Kristian dalam identiti mereka sebagai pengikut Yesus. Tatkala kepelbagaian dan diversiti kepercayaan umat Kristian, salib antara titik pertemuan yang jarang ditemui merentasi mazhab-mazhab Kristian dan ideologi doktrin Kristian yang berbeza.
Tujuan salib didirikan di tempat-tempat ibadah umat Kristian adalah kerana sebab-sebab di atas. Ia mewakili identiti mereka sebagai sekumpulan Kristian, untuk mengingatkan mereka tentang Yesus Kristus, sebab mereka melakukan perkara yang dilakukan pada masa itu.
Di sekolah, mengajar pelajar, di hospital menyembuhkan penyakit. Di gereja, menyembah Tuhan. Semua yang dilakukan atas nama agama oleh golongan Kristian adalah demi Tuhan mereka, Yesus.
Secara rasionalnya, yang diturunkan atau ditanggalkan setiap kali ada golongan yang meradang dengan salib, atas sebab yang hanya diketahui mereka, hanyalah struktur plastik, logam atau kayu yang berbentuk palang. Namun yang dinafikan kepada golongan Kristian tadi, bukanlah hanya satu hiasan atau perkakas menarik untuk mencantikkan tempat beribadat mereka. Yang disekat adalah hak mereka untuk mentakrif dan mengamalkan agama mereka sendiri.
Yang dilarang adalah kebebasan mereka untuk menyembah Tuhan mereka sendiri. Yang dinafikan adalah jati diri dan identiti mereka sebagai seorang Kristian di tanah tempat kelahiran mereka.
Kasih Sayang dan Sistem Keadilan Manusia
parable” (kisah ringkas yang digunakan sebagai tunjuk-ajar) dalam Kitab Injil.
Semakin matang pemikiran dan daya analisa saya, semakin berkembang lah pemahaman saya dengan apa yang ingin ditunjuk oleh perumpamaan-perumpamaan tersebut.
Ada satu perumpamaan yang saya sering fikirkan. Ia adalah cerita tentang keinginan segolongan masyarakat pada zaman Nabi Isa untuk merejam seorang perempuan yang didakwa berzina. Hairan juga kenapa lelaki yang bersalah tidak sama-sama dikelilingi dan dikongkong sebegitu.
Nabi Isa dicabar oleh pemimpin pada masa itu, dan ditanya apa yang patut dibuat dengan perempuan tersebut sebab mengikut undang-undang yang diturunkan oleh Musa (Moses), perempuan tersebut patut direjam.
Nabi Isa pula berkata kepada mereka, “Sesiapa yang langsung tidak berdosa dipersilakan melontar batu yang pertama”.
Ramai yang menafsir perumpamaan ini sebagai satu tauladan, tunjuk-ajar bahawa kita tidak patut mengagungkan diri dan mengadili dosa orang lain. Itu keistimewaan Tuhan.
Setiap orang patut meninjau dalam dirinya dahulu, dan kalau berdosa, patut berusaha menukar diri dalamnya dahulu.
Bagi saya, apa yang disampaikan bukan setakat pemahaman ramai, yang tertumpu kepada kenyataan bahawa sebagai manusia yang tidak sempurna, kita patut meneliti kesalahan dan dosa kita dahulu dan berusaha berbuat begitu pada setiap masa.
Setiap system melambangkan nilai zamannya
Bagi saya, perumpamaan tersebut juga menunjukkan bahawa sistem keadilan pada masa itu adalah sistem yang ditegakkan oleh manusia, berdasarkan pemahaman zaman itu: atas apa yang dianggap sebagai kesalahan, siapa yang dipandang sebagai pesalah (dan pandangan tersebut tidak semestinya satu kebenaran) dan hukumannya.
Bagi saya, apa yang saya dapat fahami adalah hukuman rejam itu datangnya dari budaya masyarakat tersebut, pemahaman yang tidak lengkap tentang keadilan dan kekeliruan tentang bagaimana keadilan patut ditadbirkan sebaik-baiknya.
Kekurangan pemahaman tentang keadilan dicerminkan oleh keinginan untuk menghukum dan melihat orang yang dianggap berdosa itu menderita.
Mengapa saya kata begini?
Keadilan dan kasih sayang
Nabi Isa pernah ditanya, di antara Sepuluh Perintah Tuhan (Ten Commandments) yang diturunkan, yang mana lebih penting.
Beliau berkata, “Mengasihi Tuhan atas segala-galanya, dan mengasihi sesama manusia seperti kamu mengasihi diri kamu”.
Ada orang yang berkata jawapan Nabi Isa adalah rumusan pesanan Sepuluh Perintah Tuhan. Bagi saya, ia bukan rumusan tetapi kata-kata yang sangat tepat dan yang paling susah untuk menepati
Sekiranya, kita dapat mengasihi sesama manusia seperti kita mengasihi diri kita sendiri, kita tidak akan begitu berghairah memikir apakah hukuman yang terbaik untuk menyeksa mereka yang dianggap berdosa (seperti golongan LGBT) ataupun mereka yang berzina.
Sebaliknya, kita akan menumpu perhatian kita ke atas cara-cara untuk mencapai kesimbangan dalam masyarakat tanpa perlu mengambil jalan keluar yang bersifat balas dendam.
Kita tidak akan memikir tentang hukuman yang paling memalukan dan yang akan menghukum orang tersebut selama-lamanya. Kita tidak akan cuba meragut nyawanya atas kepercayaan silap yang kita menjalankan tugas atau tanggungjawab kita.
Bukan sahaja hukuman mati yang meragut nyawa, tetapi hukuman yang meragut maruah seseorang juga turut “meragut” nyawanya.
Hujah yang saya utarakan di atas biasanya dibidas dengan perangai yang agak angkuh, “Kalau tak buat salah, kenapa takut?”.
Pemikiran sebegini langsung tidak mengambilkira tentang apakah kefahaman masyarakat zaman ini tentang hukuman yang sekadar dengan kesalahan.
“Dosa” bagi Nabi Isa adalah isu di antara kamu dengan Tuhan. Jadi cabarannya kepada kita sebagai manusia yang matang dalam pemikiran kita, yang matang dalam kepercayaan kita, adalah untuk menentukan apakah hukuman yang sepatutnya dijatuhkan tanpa apa-apa bentuk penyeksaan atau apa-apa kecenderungan untuk mendendam orang yang didapati bersalah?
Sukar bukan?
Mungkin ia bermakna sistem keadilan yang kita patut tegakkan bukan sekadar untuk menghukum, dan tidak berbentuk membalas dendam, tetapi untuk membantu sedaya boleh untuk memulihkan semula mereka yang didapati bersalah.
Kesalahan di sini juga tidak semestinya sama dengan pemahaman kita tentang dosa individu. Dalam bukunya, “Law is a Bottomless-pit” [Penterjemahan: “Undang-undang Adalah Satu Lubang Maut), John Arbuthnot menunjukkan bahawa undang-undang adalah mekanisme yang paling tidak berkesan untuk mempastikan tahap moral rakyat.
Hakikatnya, sistem keadilan hanya mencerminkan kematangan pemahaman kita tentang keadilan. Selagi sistem tersebut menumpu kepada balas dendam, selagi kita gagal sebagai sebuah masyarakat yang dikatakan percaya kepada Tuhan.
Memahami hujah “Jesus adalah Muslim”
multifaith – percaya pada kebaikan dalam semua agama – saya juga berusaha memahami kisah Jesus dari perspektif Islam, iaitu berdasarkan sumber Al-Quran.
Secara asas, kita perlu faham bahawa sejak kecil, orang Melayu-Islam di Malaysia diperkenalkan kepada Al-Quran, Hadis dan Sunah. Kebanyakan daripada mereka tidak pernah berpeluang mengenali kandungan ajaran agama-agama lain.
Maka, sikap empati (bukan simpati) perlu dimiliki untuk memahami mengapa orang Islam tidak dapat memahami – apatah lagi menerima – fakta-fakta mengenai Jesus dari sudut ajaran Kristian dan Bible.
Perbincangan di sini tidak bertujuan mencari siapa yang betul dan siapa yang salah. Sebaliknya membuka peluang kepada orang ramai memahami mengapa orang Islam berpegang teguh pada kepercayaan bahawa Jesus sebenarnya beragama Islam, dan ajaran yang disampaikan oleh Baginda juga dakwah Islam.
Dari sudut penelitian orang Islam, ada pelbagai dalil yang membuktikan hakikat Jesus sebenarnya beragama Islam. Umat Islam mempercayai serta mengaku Jesus sebagai nabi dan rasul. Baginda diutuskan oleh Allah untuk menyampaikan wahyu kepada Bani Israel; sebagaimana boleh dirujuk dalam Surah Ali Imran (Ayat 48-49).
Jesus adalah manusia biasa – bukan “anak Tuhan” atau “Son of God” – dan diakui orang Islam sebagai rasul ke-24. Ahmad Iqram Mohamad Noor dalam buku Misteri Bahtera Nabi Nuh (2014) menjelaskan bahawa terdapat 313 rasul dan setiap rasul wajib menyampaikan ajaran yang diwahyukan Allah kepada kaumnya.
Dalam buku itu juga dinyatakan jumlah nabi yang diutuskan Allah adalah 124,000 orang. Seorang nabi menerima wahyu untuk diri sendiri dan tidak wajib menyampaikannya kepada orang lain. Mereka juga hanya mengikut syariat yang sudah dibawakan rasul-rasul terdahulu; bukannya membawa syariat baru daripada Allah.
Menurut pandangan Islam iaitu agama tauhid yang terakhir, Jesus bukan setakat nabi tetapi seorang rasul. Jesus tidak pernah mengatakan Baginda anak Allah dan baginda juga tidak menyembah berhala. Jesus menyampaikan ajaran tauhid iaitu menyembah Tuhan yang esa (tunggal).
Jesus tidak menyampaikan ajaran Kristian?
“Jesus adalah seorang Muslim. Dia beriman kepada Allah. Dia mengesakan Allah. Ajaran yang disampaikan oleh beliau sama seperti ajaran yang disampaikan oleh Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Daud, Nabi Ishak, Nabi Ismail, Nabi Musa, dan nabi-nabi yang lain.”
Demikian hujah Jaafar Siddiq @ Muhammad Jaya dari Indonesia dalam bukunya yang diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia dengan judul Jesus Adalah Muslim? (2013). Beliau juga menulis buku berjudul Ternyata Nabi Muhammad Saw Tidak Buta Huruf dan Ternyata Yesus Muslim.
[caption id="attachment_4458" align="alignleft" width="300"] Kedua-dua buku ini turut menyentuh mengenai Jesus dan Kristian.[/caption]
Kalau Jesus beragama Islam, bagaimana dengan kepercayaan orang Kristian? Dari perspektif orang Islam, Jesus bukan orang Kristian atau Nasrani. Apa yang dikenali sebagai ajaran Kristian pada hari ini sebenarnya berasaskan ajaran yang diperkenalkan oleh Paul selepas kewafatan Jesus.
Kisah Barnabas dan Saul (Paul) dalam Acts (11: 25-26) sering digunakan sebagai bukti untuk menunjukkan bahawa Jesus tidak menyampaikan ajaran Kristian. Sebaliknya Paul dan Barnabas (atau pengikut mereka berdua) yang menyampaikan ajaran Kristian.
Jaafar Siddiq menerangkan bahawa dalam akidah Islam, Jesus bukan pembawa agama Kristian tetapi agama Nasrani. Ajaran Nasrani oleh Jesus tidak sama dengan ajaran Kristian yang dikembangkan oleh Paul dan pengikutnya selepas kewafatan Jesus.
Dalam Bible sendiri, perkataan “Kristian” tidak digunakan. Jesus dan 12 anak murid Baginda tidak pernah mengiktiraf diri mereka sebagai orang Kristian atau penganut ajaran Kristian.
Surah Maryam (Ayat 30) dan Surah An-Nisa (Ayat 172) dijadikan bukti untuk menunjukkan Jesus adalah hamba Allah dan nabi yang menyampaikan syariat Islam kepada Bani Israel.
Kitab Zabur, Taurat, Bible dan Al-Quran diturunkan oleh Allah kepada nabi yang berbeza pada masa/zaman yang berbeza. Akan tetapi, syariat, hukum dan ajaran yang terkandung dalam wahyu kepada Nabi Daud, Nabi Musa, Jesus dan Rasulullah adalah sama.
Memandangkan Jesus beriman kepada Allah dan menyampaikan ajaran tauhid, maka Baginda adalah seorang Muslim. Ajaran dalam kitab Taurat sepatutnya sama dengan Bible, dan ajaran dalam Bible sepatutnya sama dengan Al-Quran.
Bible bukan bersumberkan Jesus!
Pandangan yang disepakati orang Islam adalah bahawa sebagaimana Nabi Nuh, Nabi Ibrahim dan Nabi Musa berpegang pada ajaran tauhid serta merupakan penganut Islam kerana menyerah diri kepada Allah, maka begitulah juga dengan Jesus.
“Dalam ajaran Islam, semua rasul adalah beragama Islam kerana mereka menyeru supaya mengesakan Tuhan yang satu iaitu Allah,” kata Jaafar Siddiq dalam bukunya.
Kata-kata di atas perlu sentiasa diingat apabila berinteraksi dengan rakan-rakan Islam; apatah lagi jika berbahas mengenai perbezaan pandangan antara ajaran Islam dengan agama-agama lain.
Orang Islam mengakui bahawa Taurat, Bible dan Al-Quran adalah daripada Allah. Ketiga-tiganya menyeru umat mengesakan Allah. Malah ada persamaan pada ibadat dalam ketiga-tiganya.
Abu Sofeya dalam bukunya, Islam Menjawab 20 Hujah Mubaligh Kristian (2014), menyebut bahawa orientalis barat dan mubaligh Kristian “sedaya upaya mengkaji demi membuktikan Al-Quran bukan datang daripada Allah tetapi ia adalah ciptaan Nabi Muhammad.”
“Ajaran yang disampaikan oleh Jesus sebenarnya sama seperti ajaran Yahudi dan Islam. Ajaran Kristian yang ada kini adalah ajaran yang sesat dan menyimpang daripada ajaran Isa Al-Masih atau Jesus. Ia juga menyimpang daripada apa yang diwahyukan oleh Allah,” Jaafar Siddiq menegaskan dalam bukunya.
Surah At-Takwir (Ayat 25) menjadi bukti bahawa keseluruhan kandungan Al-Quran adalah firman dan wahyu daripada Allah. Kandungannya kekal seperti yang disampaikan oleh Allah kepada Nabi Muhammad.
Sementara itu, orang Islam percaya bahawa Bible yang ada sekarang bukan firman dan wahyu Allah. Umat Islam percaya Bible, khususnya Perjanjian Baru, yang ditulis oleh Matthew, Mark, Luke dan John serta diperakukan oleh gereja, bukan bersumberkan Jesus.
Maknanya, kitab Injil yang diturunkan oleh Allah kepada Jesus tidak sama dengan Bible yang menjadi pegangan penganut Kristian sekarang. Malah, Jesus yang dikenali oleh orang Kristian menerusi Bible bukan Jesus sebenar (Nabi Isa) yang diutuskan oleh Allah.
Penganut Kristian mula marah dan tersinggung
“Para syaitan bersembunyi di sebalik nama agama-agama tauhid yang telah berjaya disesatkan iaitu agama Hindu, Buddha, Zoroasterinisme, Taoisme, Confucianisme, Yahudinisme, Kristianisme dan lain-lain istilah purba yang pada zaman moden ini telah sangat dikenalpasti oleh umat Islam sebagai agama-agama yang sesat.”
Demikian hujah Kamaludin Endol dalam bukunya, Gautama Buddha Seorang Nabi? (2014) sambil turut menyatakan “adanya campur tangan Iblis dan syaitan yang memperalatkan ahli-ahli agama purba bagi membuat rombakan di sana sini demi kepentingan peribadi mereka” serta “kitab Taurat dan Injil berada dalam kesesatan yang nyata”.
Pelbagai hujah digunakan oleh umat Islam untuk membuktikan bahawa Jesus beragama Islam serta ajaran yang disampaikan oleh Baginda kepada Bani Israel sama seperti ajaran Islam.
Berbeza dengan amalan orang Kristian sekarang yang menguburkan jenazah dengan pelbagai pakaian, jenazah Jesus dikafankan oleh Joseph menggunakan kain putih.
Cara berwuduk, bersembahyang, berpuasa, bersedekah dan membayar zakat misalnya sama dalam Islam dan ajaran asal yang dibawakan Jesus. Segala amalan Nabi Musa, Jesus dan Nabi Muhammad dijadikan bukti untuk menunjukkan bahawa mereka adalah Muslim yang menyerah diri kepada Allah.
Seperti yang sudah dinyatakan sejak awal, segala perbincangan dalam makalah ini adalah dari sudut pandangan orang Islam. Hujah-hujah di sini mungkin – malah pasti – disanggah orang Kristian.
Buku Jesus Adalah Muslim? sudah pun mendapat kritikan sekelompok penganut Kristian dari Bintulu, Sarawak. Kumpulan Fiat Youth Bintulu dalam catatan blog bertarikh 15 Oktober 2013 menyatakan pendapat bahawa buku berkenaan tidak patut diterbitkan dan dijual di Malaysia kerana “menyinggung sentimen agama” dan “menghina penganut agama Kristian”.
“Apabila individu tertentu merasakan dirinya hebat dan betul dan cuba untuk mengusahakan sesuatu agar memisahkan kelompok agama yang terbesar di dunia, dia sendiri sebenarnya kafir apatah lagi tindakannya boleh menyebabkan sesebuah negara bertelagah sesama sendiri kerana sentimen sensitif ini,” kata catatan di blog berkenaan.
Perkongsian pandangan menerusi makalah pendek ini bertujuan membantu masyarakat pelbagai kaum dan agama meningkatkan sikap empati supaya mampu memahami pendirian, pegangan dan hujah rakan-rakan Islam dalam soal Kristian, Bible dan Jesus.
Pada masa sama, dengan semangat meraikan perbezaan dan kepelbagaian, tentu sahaja dialog, perbahasan, polemik dan perkongsian pendapat secara intelektual dalam kalangan masyarakat amat dialu-alukan demi mencari kebenaran.
Ada apa dengan “Kafir”?
Bulan lepas, saya menghikayatkan pengalaman saya mengikuti misi banjir ke negeri Pahang.
Secara sempoi dan separa berseloroh, perkataan “kafir” digunakan. Maklumbalas yang diterima cukup galak, tetapi bukan semuanya menggalakkan.
Ramai juga yang rata-rata tidak membaca makalah itu secara keseluruhan, tetapi terus diterangkan panjang lebar- betapa salahnya dan betapa tak sensitifnya penulis menggunakan istilah laknat itu. Sedangkan perkataan sensitif itu hanya digunakan sekali dalam keseluruhan artikel tersebut.
Maka saya pun terasa terpanggil untuk menulis makalah kedua ini, bukan sebagai bidasan, tapi lebih kepada memberi konteks sepenuhnya, pemahaman terhad saya dengan istilah “Kafir”.
Terlebih dahulu, izinkan saya memohon maaf jika ada yang terkilan dengan penggunaan istilah tersebut.
Tujuan makalah terdahulu adalah untuk menggalakkan persefahaman Kristian-Islam, malangnya pembaca dari kalangan kedua komuniti itulah yang tidak senang dengan istilah tersebut.
Rata-rata segelintir pembaca beragama Islam mempersoalkan apakah saya benar-benar faham akan istilah tersebut, manakala rakan mereka yang beragama Kristian merasakan penulis sengaja sama ada ingin melaga-lagakan Islam-Kristian ataupun memandang enteng agama sendiri.
Kafir, Gentile, Goyim
Istilah “kafir” dan setara dengannya bukan unik kepada penganut agama Islam semata-mata. Lazimnya, agama-agama Abrahamik sememangnya sering membezakan antara penganut agama sendiri yang akan selamat di akhirat, dengan penganut agama lain yang nasibnya tidak begitu terjamin setelah hayat meninggalkan jasad.
Pembezaan ini bukan sahaja disebut dalam teks agama masing-masing, malah termasuk upacara keagamaan,perbincangan agama, doa, ilmiah,dialog perbandingan agama malah juga tertib sosial apabila berurusan dengan golongan bukan dari agama sendiri tadi.
Sebagai contoh, orang Kristian ada beberapa istilah sendiri yang digunakan- seperti Gentile, Pagan, nonbeliever, yang juga digunakan bersilih ganti dengan cara yang agak serupa sepertimana “kafir” digunakan oleh saudara beragama Islam.
Sungguhpun tidak sejelas yang dinyatakan dalam agama Islam, di mana ia dirujuk dalam Al-Quran sebanyak 134 kali, lengkap dengan huraian dan maksud tersendiri, malahan juga dirujuk dalam sunnah dan rujukan agama lain seperti Tafsir ibn Kathir,di mana istilah tersebut dijelaskan agak mendalam, kitab agama Kristian sendiri ada memberi bayangan konotasi perkataan Gentile yang dipakai.
Bergantung pada jenis kitab yang digunapakai,perkataan Gentile muncul antara 123 hingga 168 kali di dalam Bible.
Menariknya, sebelum kedatangan Yesus, istilah Gentile (sinonim dengan “Goy” atau “Goyim” yang digunakan agama Yahudi) dalam pengunaan Old Testament, membawa konteks “negara luar” atau “dunia”.
Namun untuk membuat kesimpulan bahawa konotasi negatif atau kurang enak yang dikaitkan dengan istilah Gentile cuma bermula setelah kedatangan Yesus, adalah agak simplistik.
Mungkin lebih sesuai dikatakan pemahaman atau erti kata perkataan itu sendiri telah berubah mengikut masa. Ada yang menganggap pengunaan itu sebagai pengunaan biasa zaman tersebut.
Ada yang menganggap ia biadap. Ada yang menganggap kita tidak patut mempersoalkan sesuatu yang telah diturunkan oleh Tuhan.Sedihnya,pendapat terakhir tadi tidak meninggalkan banyak ruang bicara.
Niat disebalik penggunaan istilah
Sememangnya, setiap agama akan mengajar kita suatu jalan untuk diikuti, namun bagi penulis, penghayatan semangat apa yang diajar tadi lebih penting dari penerimaan terang-terangan apa yang diajar.
Bagi penulis, itulah yang dibawa oleh pengunaan perkataan yang dianggap kurang enak seperti ‘kafir’ atau Pagan atau apa-apa istilah positif atau negatif yang dibawa mana-mana agama.
Sejelas atau sekabur mana pun penjelasan, pada saya, bergantung hampir sepenuhnya kepada si pendengar untuk menerima atau menolaknya sebagai pujian mahupun cacian ataupun istilah harian.
Sesuatu perkataan hanya mempunyai kuasa mempengaruhi kita jika kita membenarkan perkataan itu menguasai kita.
Jadi bagi penulis ini, “kafir”, hanya satu istilah harian yang tidak patut dianggap terlalu negatif oleh orang bukan Islam. Tapi itu hanyalah sekadar pendapat penulis.