Projek Dialog

Akta Hasutan dan ayat-ayat cinta

Cinta yang satu Menurut tokoh falsafah Jerman, Freidrich Hegel (1770 – 1831) boleh malah perlu dalam soal kenegaraan. Bukan sekadar cinta dan kebebasan, tapi juga melibatkan individu, masyarakat, perundangan, sejarah, malah dengan monarki. Bahkan dengan Tuhan. Kesemuanya harus keseluruhan, jadi Satu. “Jerman bukan lagi sebuah Negara”. Ujar Hegel dalam esei ‘The German Constitution’, bagi menimbulkan dilema perundangan pada waktu Jerman menuju kemodenan di awal kurun ke-19, tapi masih dalam perpecahan wilayah, pada masa yang sama menghadapi ancaman siri peperangan di Eropah. Perundangan dalam sesebuah negara itu tidak sepatutnya hanya berteraskan institusi kuasa serta proses, lebih penting untuk melihat ruang yang lebih luas meliputi kehendak warganya, corak hubungan sosial serta kesedaran budaya masyarakat semasa. Kritikan ini ditujukan terhadap penguasa khususnya pengamal perundangan yang menjadikan undang-undang hanya untuk mengekalkan norma cara hidup kebiasaan dan sekadar senarai peraturan untuk mengawal perilaku rakyatnya tanpa peduli sama ada undang-undang itu masuk akal, rasional atau masih relevan dengan kesedaran masyarakat semasa. Peranan sistem perundangan Keperluan perundangan itu hadir dengan pilihan dan persetujuan para warganya. Bukan berdasarkan kehendak penguasa yang merasakan sepatutnya ada untuk mengawal dan menuntut kepatuhan warganya. Negara bukan hanya tentang institusi dan sistem, tapi lebih utama kesedaran, kemahuan serta semangat rakyat yang secara bebasnya menumpahkan taat setia. Institusi, sama ada perundangan ataupun politik sewajarnya mengikut semangat zaman warganya, bukan sebaliknya. Wujud atau tidak Negara itu akan teruji dalam situasi menghadapi cabaran, khususnya ancaman musuh. Jerman, yang pada waktu itu sedang menghadapi serangan ketenteraan Perancis pimpinan Napoleon Bonaparte, kemudiaannya tewas dalam ‘Pertempuran Jena’ pada 1806. Kekalahan Jerman ini bukan sangat tentang peperangan, tetapi kerana gagalnya menghasilkan warga yang berkesedaran dan taat setia untuk mempertahankan tanah air dan persaudaraan se-Negara. Hegel, seorang Jerman. Namun, dalam peperangan tersebut merasakan selayaknya kemenangan berpihak Perancis dan Napoleon kerana Negara itu sebenarnya bukan pada nama. Makna negara Nama Negara itu tidak penting, begitu juga siapa pemimpinnya. Sistem kenegaraan,cara lantikan pemerintahan, corak pentadbiran, percukaian, malah penentuan nilai, pendidikan, bahasa mahupun identiti beragama, itu semua bukan keutamaan dalam satu negara di era moden, melainkan kesetiaan, semangat dan cinta warganya kepada Negara. Tapi purlu untuk dipersoalkan: apa yang penting sangat sampai perlu ada cinta pada Negara? Dan pastinya cinta itu bukan paksaan. Jadi apa yang membuatkan Negara itu terlalu istimewa sampai menjadi kewajipan untuk berikrar janji taat-setia? Kenapa perlu Patriotisme? “What is rational is real, and what is real is rational.” Petikan terkemuka Hegel ini dari karya Philosophy of Right menjelaskan tentang apa yang rasional itu ada, dan apa yang ada itu mestilah rasional. Konsep realiti ini bukanlah sekadar pengetahuan, tapi mampu untuk dihidupkan, diwujudkan, menghasilkan tindakan. Realiti itu bukan sekadar persoalan makna (essence), tapi juga mampu ada (existence). Rasional itu pula mestilah boleh diterima akal, bukan sekadar ditahap kefahaman, tapi juga penghayatan. Daripada asas ini, Hegel menerangkan perihal pembentukan ideal hubungan sesama manusia dalam masyarakat. Sekiranya cinta yang menjadi asas hubungan sesama manusia itu benar, ia mestilah boleh difahami, dihayati malah membebaskan belenggu yang menimpa manusia. Dinamika keluarga dan masyarakat Perhubungan paling asas sesama manusia melalui institusi kekeluargaan di mana perhubungan sesama pasangan dalam satu perkahwinan berasaskan perasaan dan kasih sayang yang menghasilkan pembebasan jiwa kedua-dua individu dengan matlamat yang sama, mengukuhkan hubungan berkeluarga dengan kelahiran dan pembesaran generasi kemudian. Di tahap masyarakat pula, hubungan sesama ahli berasaskan ‘kontrak’, persetujuan yang saling memenuhi keperluan bersama. Hegel menggunakan terma ‘civil-society’ dalam menjelaskan perhubungan ini yang turut berperanan dalam urusan pasaran, komuniti serta perlindungan. Hubungan bersama ini membawa kepada pembebasan dalam aspek keperluan kehidupan ahli masyarakat yang saling memerlukan satu sama lain. Jadi apa pula yang diperlukan sebagai asas hubungan dalam Negara? Kebersama warga Negara menghasilkan kebersamaan warga yang kemuncaknya terletak pada kesedaran dan nilai-nilai etika yang sama. Kesedaran bersama ini yang akan membentuk persaudaraan dengan jaminan pengekalan kepentingan individu, saling rasa hormat, serta saling memperbaiki antara satu sama lain. Perhubungan ini menjadi asas kepada taat setia, dengan ikrar untuk melindungi kepentingan sesama ahli dengan semangat pemilikan dan tanggungjawab bersama. Hubungan ini hanya akan mampu tercapai dengan rasa cinta antara warga, serta penghargaan akan kebebasan setiap individu untuk mencapai cita-cita. Cinta Negara itu rasional. Cinta Negara itu punya arah dan arahnya ialah kebebasan. Kebebasan, bukan liberalisme Kebebasan itu intipati bagi setiap individu mengembangkan kebolehan diri. Hanya dengan kebebasan, kemuncak kehidupan manusia dapat dicapai. Sama ada dalam bentuk kreativiti seni, imajinasi sains dan falsafah mahu pun pengalaman beragama. Namun kebebasan itu juga perlu rasional. Kebebasan perlu dipastikan faedahnya dinikmati semua. Dalam perhubungan politik, kebebasan itu ada batasan supaya kebebasan individu itu akan meraikan kebebasan individu lain, bukan menyekat, dan tidak terasing. Hegel mengkritik konsep kebebasan liberal yang sering menganggap negara sebagai sekatan kepada kebebasan individu. Kebebasan yang terlalu tertumpu kepada individu ini mengakibatkan berlakunya pengasingan (alienation) antara kehendak individu dengan kepentingan Negara, malah boleh menyebabkan kepentingan individu ataupun sekolompok mengatasi kepentingan umum Negara. Pembebasan itu tak berlaku dalam pengasingan. Bukan sekadar antara individu, malah perbatasan kebebasan juga perlu mengambilkira persoalan sejarah, perundangan dan semestinya Negara. Kerana Negara itu sendiri ialah warganya, maka juga tanggungjawab Negara untuk menjamin pembebasan warga keseluruhannya. Negara itu hanya akan wujud dengan penyatuan kesedaran para warganya, untuk mempertahankan kepentingan dan segala pemilikannya daripada sebarang ancaman, menuju kebebasan dengan dengan semangat cinta dan taat setia. Patriotisme itu hanya boleh berdiri dengan cinta ini, murni, abadi, sejati. Malaysia? Dengan semangat penyatuan keseluruhan ini, sampai Negara itu disifatkan sebagai manifestasi Tuhan di muka bumi. Cukuplah terbang di awangan idealisme Hegel, kembali bertapak di dunia nyata. Cuma persoalannya, Malaysia, sejauhmana kita sudah satu Negara? “Andai Ku terbuang tak diterima, andai Aku disingkirkan. Ke mana harus Ku bawakan cinta ini..? Aku bukanlah seorang perwira, gagah menghunus senjata, namun hati rela berjuang walau dengan cara sendiri demi cinta ini..” Bendera masih gemilang berkibaran, dari dataran sampailah tepian jalan, irama Negaraku pun diberi penghormatan di pawagam. Slogan kenegaraan saling bergantian, yang paling utama, “Syukurlah, Malaysia masih aman”. Jika ini yang jadi kepentingan utama Negara, memadailah, kemerdekaan ini sudah hampir selesai. Kekal dalam keamanan, sembang-sembang perpaduan, sedang segelintir rebut kekayaan. Perjuangan ini sampai bilapun kibar bendera, dendang irama negara. Cukuplah nak digelar pencinta Negara. Pada masa yang sama, para cendekiawan, agamawan serta anak-anak muda yang menyeru pembebasan berhadapan penahanan dan penjara, digelar penghasut-penderhaka. Sering jadi mengelirukan, ketara kesedaran warga sebenarnya masih bertentangan. Tujuan bernegara ini sebenarnya apa, tuntut kesyukuran, atau membebaskan? Siapa sebenarnya pencinta, siapa pula penghasut? Seakan Negara ini masih belum wujud. “Ku ingin kotakan seribu janji, sepanjang kedewasaan ini. Ku ingin sampaikan pesanan, Akulah penyambung warisan” Segalanya satu proses Negara ini masih belum sempurna, masih dalam pembentukan. Terpulanglah kepada para warganya untuk menentukan, kerana di sebalik setiap kata, juga setiap tindakan, kita membuat pilihan. Kita generasi penyambung warisan, cuma yang jadi pilihan warisan siapa yang ingin diperturunkan. Kebebasan itu warisan kemanusiaan, bukan warisan penjajahan. Jadi seharusnya mengikut penghasut zalim gila kuasa, atau pencinta yang mahu merdeka? Namun, kalaulah dianggap Negara idaman itu khayalan sahaja. Cinta dan merdeka itu tak lain mainan kata-kata. Negara itu sekadar hal perundangan dan kuasa. Tapi, sewajarnya masih boleh mengambil pengajaran, buat segalanya yang dimiliki, juga yang memiliki kita. Bukankah bicara Tuhan mengajarkan; “Hak milik siapakah segalanya yang di langit dan yang di bumi? Hak milik Tuhan yang menentukan dengan rahmat dan kasih sayang…” Atau bukan dari Tuhan sebaik pengajaran? Atau bukan Tuhan kemuncak Cinta dan kekuasaan? Atau bicara Tuhan juga satu hasutan? #MansuhAktaHasutan unnamed      

]]>

Apabila Mahathir tegur Najib

Sejarah Melayu di mana watak bendahara, Sang Rajuna Tapa, membuka pintu kota kepada musuh atas kepentingan peribadi. Mahathir mempunyai pengalaman dalam politik selama lebih 40 tahun. Tambahan pula, beliau memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun (1981-2003). Maka, tentulah ramai yang bersetuju bahawa negarawan dan politikus itu mempunyai pengalaman, hak dan kewajaran membuat teguran terhadap pemimpin masa kini, khususnya Najib. Umum mengetahui bahawa Mahathir sendiri yang memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya pada 2003. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Mahathir jugalah yang mengkritik Abdullah secara terbuka serta menyokong Najib menjadi pengganti. Lalu, mengapa Mahathir sendiri tampil menegur Najib, seolah-olah beliau “tersilap” membuat pilihan? Umpama mebuka pekung di dada “Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya,” kata Mahathir di blognya. Timbul pertanyaan mengapa Mahathir melakukan kritikan secara terbuka sehingga semacam membuka pintu kepada “musuh” melakukan serangan bertubi-tubi. Dalam hal ini, mantan perdana menteri itu memberikan alasan bahawa dasar dan tindakan Najib tidak lebih berkesan daripada Abdullah, serta beliau tidak menyangka pencapaian BN di bawah Najib dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (2013) lebih buruk daripada Abdullah dalam PRU-12 (2008). “Harapan saya, Najib akan mengambil ikhtibar daripada prestasinya yang buruk dalam PRU-13. Malangnya sehingga kini tidak nampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya secara langsung kepada Najib,” akuinya di blog. Tanpa sedikit pun menafikan kemungkinan Mahathir berniat baik dalam membuat teguran itu, hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa perbuatan beliau umpama membuka pekung di dada, atau menepuk air di dulang. Umum mengetahui bahawa Najib dikiritik hebat dari pelbagai penjuru oleh pelbagai pihak, sementara Najib sendirian dalam menangani segara serangan itu. Maka, apabila tokoh seperti Mahathir sendiri membuat kritikan yang secara langsung mempersoalkan kredibiliti Najib, maka mudahlah untuk orang ramai memetik kata-kata Mahathir untuk melakukan serangan susulan. Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, misalnya, menyeru Mahathir supaya mendesak Najib meletakkan jawatan perdana menteri. Malah, menurut Ibrahim, jika Najib bermaruah, maka beliau pasti akan melepaskan jawatannya secara serta-merta. Suara-suara kritikan yang lantang, berani dan terbuka juga datang daripada Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang dinaungi Mahathir. Suara sokongan kurang lantang Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah benpendapat bahawa sedangkan kerajaan Singapura sedia menerima nasihat daripada bekas perdana menterinya, Lee Kuan Yew, maka Najib juga perlu bersedia menerima nasihat dan pandangan Mahathir. Secara perbandingan, beberapa pemimpin Umno yang mengemukakan pandangan terhadap kritikan Mahathir masih bersikap berhati-hati. Misalnya, rata-rata mengatakan mereka menghormati teguran, kritikan dan pandangan Mahathir. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Bera menzahirkan sokongan penuh terhadap segala dasar yang diperkenalkan oleh Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno. Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku Ahli Parlimen Jempol pula dilaporkan oleh Bernama (20 Ogos 2014) sebagai menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Najib menguruskan negara dengan baik. Akan tetapi, siapalah Ismail dan Isa berbanding Mahathir. Pasti sahaja suara, pandangan dan hujah Mahathir selaku seorang pemimpin yang disegani pada peringkat antarabangsa lebih dipandang serius. Sikap berdiam diri media arus perdana juga membuktikan bahawa Mahathir masih digeruni. Mereka seolah-olah mengambil sikap berhati-hati kerana tidak mahu menerima kesan buruk jika menyokong Najib – sekali gus tidak menyokong Mahathir – secara terang-terangan. Tanpa menafikan hak dan niat Mahathir membuat teguran dan mengkritik kepimpinan Najib, mantan perdana menteri itu sepatutnya telah menggunakan cara yang lebih sesuai dan profesional untuk menyampaikan tegurannya. Orang ramai – seperti saya, misalnya – pasti tidak ada peluang untuk bertemu Najib sesuka hati. Mahathir pula tentu ada peluang untuk mengatur pertemuan tertutup bersama-sama Najib. Saya yakin Najib tidak akan menolak undangan Mahathir. Terlanjur perahu boleh diundur Bayangkan jika pertemuan empat mata berlangsung antara Mahathir dan Najib. Bayangkan segala kritikan, teguran dan rasa tidak puas hati disampaikan secara langsung dan dari hati ke hati oleh Mahathir kepada Najib. Pastilah kesannya tidak seburuk teguran terbuka yang dilakukan Mahathir menerusi blog – seolah-olah tidak ada langsung peluang bertemu Najib secara bersemuka. Mungkin inilah juga yang dimaksudkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor apabila beliau mencadangkan Mahathir tidak lagi memberikan teguran secara terbuka mengenai masalah dalaman Umno dan kepimpinan kerajaan pusat. “Sekarang ini, seluruh negara sedar Najib menjadi lebih teruk daripada Badawi,” Syed Akhbar Ali pula mencatatkan di blognya. Walaupun Mahathir kemudian mengulas bahawa beliau tidak meminta Najib meletakkan jawatan berikutan teguran terbuka itu, penjelasannya sudah tidak bermakna lagi. Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar, misalnya, memetik teguran awal Mahathir dan mengulas bahawa kelemahan Najib yang didedahkan itu perlu dipandang serius oleh rakyat. Mahfuz menambah komen (Harakah Daily, 19 Ogos 2014) bahawa Najib lebih banyak melakukan perkara bombastik demi kepentingan diri tetapi bukan demi negara. Nah! Siapakah yang telah membuka pintu kota seluas-luasnya sehingga memungkinkan segala kritikan pedas ini tersebar tanpa sekatan? Mustahil untuk mendakwa para pengkritik – sama ada politikus dari parti lawan atau orang ramai yang bersikap apolitikal – kerana mereka sekadar mengulas teguran terbuka yang dibuat oleh Mahathir. Saya amat yakin bahawa Mahathir tidak akan sesekali menarik balik kritikan dan tegurannya kerana ia melibatkan soal maruah dan kredibilitinya. Apakah Najib akan dibiarkan sendirian oleh media arus perdana untuk berjuang secara solo untuk membuktikan kata-kata Mahathir tidak benar? Sama-sama kita nantikan dengan penuh harapan.    

VERMOX
]]>

Pelihara kebebasan bersuara, tegakkan hak asasi

Kami di Projek Dialog ingin menyatakan rasa marah, benci dan jengkel kami terhadap pencabulan kebebesan besuara, terkandung dalam Piagam Hak Asasi Manusia 1948 yang berleluasa menerusi Akta Hasutan di negara ini.

Berita pendakwaan terhadap Profesor Madya Dr Azmi Sharom di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan adalah contoh kekangan yang terpilih ini.

Dalam sebuah negara, apabila pihak berkuasa mulai mensasarkan ahli akademik, sarjana, wartawan dan seniman; itu menjadi petanda dan kayu ukur yang negara tersebut sedang mengamalkan pendekatan autoritarian.

Kami ingin mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa piagam UNESCO 1997 menerusi ‘Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel’ sejak 11 November 1997, pada Artikel 26 dan 27 menyatakan bahawa ahli akademik mempunyai hak untuk menyumbang kepada perubahan sosial di mana mereka bebas memberi pandangan akademik terhadap sebarang dasar kerajaan dan dasar yang memberi kesan terhadap pendidikan tinggi; “the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education”.

Kami di Projek Dialog dengan ini menyatakan solidariti terhadap ahli-ahli akademik di Malaysia yang berani mengkritik dan bekerja untuk mendaulat amanah negara, malah amanah kemanusiaan.

Kami telah mengajukan masalah-masalah yang menimpa ahli akademik di negara ini seperti pengharaman karya, arahan menerusi surat tunjuk sebab dan kini pendakwaan di bawah Akta Hasutan kepada badan-badan internasional.

Kami akan memastikan pendekatan dialog digunakan, dan bukannya pendekatan kuku besi.

Malaysia baru sahaja menyambut kemerdekaan yang ke 57, sebarang tindakan ke belakang adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.

Kami ingin mengingatkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan komitmen beliau terhadap peningkatan hak asasi manusia.  

VERMOX
]]>

Persekutuan Kristian Malaysia: Kita mesti terus berharap

Tahun ini, kita memperingati Ulang Tahun Merdeka yang ke-57 dan ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke-51. Masyarakat Kristian di Malaysia sentiasa menganggap ia suatu rahmat untuk berkongsi detik-detik dan peristiwa-peristiwa penting sepanjang sejarah kita sebagai satu negara. Walau bagaimanapun, pengalaman kami sepanjang tahun ini tercalar akibat dua kejadian; pertamanya, perampasan Kitab Suci kami daripada premis Pertubuhan Bible Malaysia dan keduanya, keengganan Mahkamah Persekutuan untuk memberi kebenaran kepada Gereja Roman Katolik untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan terhadap kes Herald. Kami terus bimbang tentang status kitab suci yang dirampas dan kesudahan beberapa kes-kes mahkamah yang belum diputuskan berhubung dengan penggunaan kalimah “Allah” oleh umat-umat Kristian. Tambahannya, kita juga menyaksikan peningkatan di dalam fahaman pelampau perkauman dan keagamaan, di mana puak-puak dengan kebencian dan pemikiran sempit sering dimarakkan oleh maklumat palsu dan penyalahtafsiran; dusta dan ucapan-ucapan yang mengapi-apikan merobek susunan kemasyarakatan negara kita yang telah dibina di atas prinsip kesederhanaan dan kepelbagaian budaya. Kita percaya semua rakyat Malaysia sesungguhnya turut merasa bimbang. Memandangkan pelbagai cabaran yang sedang kita hadapi hari ini, tambahan dengan kenyataan dan pengumuman kurang sensitif dan kurang logik daripada sesetengah anggota kerajaan serta parti politik yang mentadbir, juga menerusi pemacuan dasar ekonomi yang hanya menambahkan kos sara hidup, maka ia tidak menghairankan apabila ramai telah menunduk kepada pandangan pesimis dan sinis. Sekiranya kita ingin terus bertahan sebagai sebuah negara yang bersatu, dan ingin mempertahankan harapan untuk masa depan bersama, kita semua mesti melawan dan menentang pengaruh-pengaruh yang membinasakan ini. Semua yang menyerah kepada ketakutan dan kekecewaan akan menjadi musuh harapan. Sebaliknya, kita mesti mengelakkan kenaifan dan optimis palsu yang berpunca daripada kejahilan dan sikap acuh tak acuh ataupun perbuatan sengaja bagi menutup isu-isu yang penting. Apakah itu harapan sejati?

Harapan sejati melibatkan pengorbanan kerana ia tidak berkisar pada kedamaian minda atau ketiadaan persengketaan.

Harapan sejati menuntut keberanian untuk mengambil risiko, tekad moral untuk terus setia dengan pegangan kita serta melawan secara aktif terhadap pengaruh-pengaruh binasa, kebencian dan keganasan.

Harapan sejati tidak sesekali menafikan kebenaran, hakikat kehidupan yang suram, pereputan dan kerasuahan yang menjangkiti masyarakat kita. Harapan sejati mesti mendedahkan selubung dusta, penipuan dan tipu daya yang sering digunakan untuk memaksa dan menakluki minda menerusi maklumat palsu dan ketakutan.

Harapan sejati nampak masa depan adalah terletak pada perbincangan yang bermakna, penerimaan sesama sendiri, kerendahan hati dan saling menghormati.

Harapan sejati menuntut untuk orang lain apa yang kita tuntut untuk diri kita.

Harapan sejati tidak memisahkan “kita” daripada “mereka” tetapi menganggap semua sebagai “satu”. Dan setiap tindakan yang memberi harapan merupakan satu kemenangan. Justerunya, kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi komitmen baru kepada kerjasama padu demi menyelamatkan Malaysia daripada pengaruh pemikiran sempit, fahaman agama pelampau dan perpecahan kaum. Kami menggesa semua rakyat Malaysia untuk berusaha lebih gigih lagi ke arah perubahan individu, antara individu dan institusi untuk mengubah negara kita menjadi sebuah masyarakat yang lebih bertoleransi dan berprihatin di mana semua dapat menikmati sepenuhnya kehidupan dan kebebasan, perlindungan saksama di bawah undang-undang dan kebebasan asasi. Kami menyaran semua rakyat Malaysia untuk menyokong pergerakan-pergerakan dan kumpulan-kumpulan yang berusaha untuk menyatupadukan kita sebagai rakyat Malaysia agar kita dapat hidup aman dan damai. Kebelakangan ini, negara kita diselubungi oleh kedukaan yang teramat atas kehilangan penumpang dan krew-krew pesawat penerbangan MH 370 dan MH 17. Umat-umat Kristian di Malaysia bersatu dengan semua rakyat Malaysia dan sahabat-sahabat yang kehilangan orang kesayangan dan rakan mereka dalam dua tragedi ini, dalam doa dan renungan mendalam, demi memohon ketenangan jiwa dan pendorongan bagi mereka yang berkabung. Walau bagaimanapun, kita menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak menunduk kepada perasaan putus asa dan kemuraman di hari-hari yang sukar ini. Marilah kita bersatu di dalam doa kepada Tuhan yang Maha Kuasa bagi memohon kekuatan untuk bertahan dan kegagahan untuk berharap dan berusaha ke arah Malaysia yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia. Kami memanjatkan doa untuk pemimpin-pemimpin negara kita, iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, Mentri-mentri Besar dan Ketua-ketua Menteri serta ahli-ahli kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, para kehakiman, pasukan polis dan angkatan tentera, semoga mereka menjunjungkan kebebasan beragama dengan integriti mutlak sepertimana yang dijaminkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka untuk kebaikan bersama. Semoga Allah merahmati negara kita yang tercinta, Malaysia, serta semua rakyatnya!
Ditandatangani oleh,



Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi Bishop Emeritus Antony Selvanayagam, Naib Pengerusi

Archbishop Datuk Bolly Lapok, Naib Pengerusi

Rev. Datuk Jerry Dusing, Naib Pengerusi

VERMOX
]]>

Rang undang-undang kebencian kaum dan agama: Syiah diabaikan lagi?

Apakah yang berubah setelah Rang Undang-Undang Kebencian kaum dan agama?  Tanpa memperkecilkan usaha Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) menggubal dan membawa Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama ke Parlimen, satu pertanyaan yang mendalam perlu diajukan; apakah khutbah Jumaat yang memomokkan penganut Syiah dan Kristian akan terlepas dari senarai kebencian? Terdapat banyak contoh sedia ada bagaimana khutbah Jumaat menjadi sumber kebencian dan ini dilakukan oleh agensi kerajaan (State) atas nama agama.

Penggubal Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama wajar mengambil kira Pelan Tindakan Rabat (Rabat Plan of Action 2013) yang ditawarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ia sudah memadai untuk dijadikan panduan untuk mengenalpasti apakah yang wajar dinamai sebagai ‘kebencian dan hasutan’ dan apa pula yang boleh dikategorikan sebagai ‘kebebasan bersuara’.

Apakah yang terkandung dalam Pelan Tindakan Rabat?

Pertamanya, ia menyediakan polisi dan juga panduan untuk kerajaan, dan masyarakat sivil dalam mencegah kebencian agama secara kolektif. Ia juga menghuraikan apa yang tidak wajar dianggap sebagai ‘kemerdekaan bersuara’ dan dapat dianggap sebagai kebencian terhadap agama secara kolektif (lihat Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights. 2012. Rabat Plan of Action on the prohibition of advocacy of national, racial or religious hatred that constitutes incitement to discrimination, hostility or violence. Rabat: Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights (OHCHR). Halaman 6-7).

Kebencian terhadap agama secara kolektif melibatkan;

i. Konteks;

Hanya dengan analisis konteks, sesuatu ucapan itu dapat ditentukan latar sosial dan politiknya dan apakah ia ditujukan kepada satu kumpulan sasaran.

ii. Pengucap;

Kedudukan individu pengucap adalah penting untuk dikenalpasti. Secara khususnya apakah individu pengucap itu mewakili mana-mana kumpulan agama yang lain, atau apakah statusnya dalam masyarakat.

iii. Niat;

Dalam hal ini, niat dan bukan kelalaian atau ketidaksengajaan diberi fokus. Dalam erti kata lain terdapat elemen hasutan, dan mengajak; yang secara aktif dapat ditentukan berdasarkan adanya hubungan antara objek, subjek ucapan dan juga khalayak.

iv. Kandungan dan bentuk;

Analisis kandungan dan bentuk ucapan juga sangat kritikal dalam menentukan apakah ia satu pencabulan hak asasi manusia. Kandungan ucapan itu perlu ditentukan apakah ia berbau provokasi, langsung dan apakah hujah-hujahnya tuntas atau tidak.

v. Keluasan;

Keluasan ucapan juga dititik beratkan. Dalam konteks ini apakah ucapan tersebut dilakukan secara publik, juga saiz audiennya apakah kecil atau besar, dan apakah ia berbentuk penerbitan, atau media di internet atau arus perdana, dan apakah audien mempunyai akses kepada ucapan atau siaran terbabit.

vi. Potensi risiko.

Hasutan dan fitnah yang menanam kebencian terhadap agama secara kolektif ditentukan berdasarkan potensi risiko yang mungkin terjadi lantaran ucapan atau siaran tersebut. Dalam hal ini ucapan kebencian tersebut selalunya adalah langsung dan memang memaksudkan sesuatu yang buruk terhadap sasaran .

Berdasarkan perkara-perkara yang dinyatakan di atas, tidak syak lagi khutbah jumaat berjudul ‘Rasulullah saw Kekasih Allah’ bertarikh 25 Januari 2013 adalah seruan kepada kebencian. Intipati khutbah menyamakan mereka yang menuntut penggunaan kalimah Allah untuk non Muslim sebagai ‘musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam’. Justeru tidak menghairankan khutbah tersebut disambut dengan rasa kurang selesa daripada masyarakat Kristian tempatan. Rev Fr Simon Labrooy dalam satu laporan media menyatakan kekesalan kerana ada individu di dalam Jabatan Kemajuan Agama Islam yang cenderung untuk ‘mengisytihar perang’ dan berfikir untuk perpecahan berbanding ‘perpaduan’ (lihat Clara Chooi. 2013. Friday sermon irks local church leaders as Allah row rages on. The Malaysianinsider. 26 Januari.)

Demikian juga khutbah Jumaat di Selangor bertarikh 6 April 2012 yang menyeru umat Islam menghindari Syiah. Khutbah berjudul ‘Penyelewengan Syiah Di Malaysia’ tersebut menyatakan, antara lain ‘Syiah menafikan dan menolak al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini’ . Khutbah ini adalah satu bentuk pemomokan yang serius, memandangkan dalam masa yang sama, harus diingat seramai sepuluh orang qari bermazhab Syiah dari Iran dan Iraq telah memenangi Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia sejak tahun 1961.

Adakah Rang Undang-undang Kebencian Kaum dan Agama dapat mengheret Jabatan Agama Islam termasuk para menteri atau ketua agama Islam sendiri sekiranya kebencian terhadap agama secara kolektif dilakukan atas nama agama seperti berlakunya di mimbar masjid?
      unnamed

VERMOX
]]>

Dilema Melayu, Cina, India

10248949_10152072784243990_940535555_n Asal-usul orang Melayu masih menjadi topik sensitif untuk dibincangkan.[/caption] Bercakap tentang istilah “bangsa”, orang Cina di negara bertuah ini selalu dilabelkan sebagai “bangsa Cina”. Mujurlah juga kerana terdapat perbezaan ejaan antara “Cina” (orang) dan “China” (negara). Bagi orang India pula, pasti timbul kekeliruan apabila mereka digelar sebagai “bangsa India” kerana terdapat negara bernama “India”. Mungkin sahaja orang Melayu kurang memahami isu ini kerana tidak ada negara bernama “Melayu”. Sejak dahulu, apabila saya mengisi apa-apa borang, saya mencatatkan begini pada maklumat berkaitan yang diminta: keturunan Malayali, kaum India, bangsa Malaysia. Tambahan pula, dalam surat beranak saya memang dicatatkan keturunan saya adalah Malayalam (Malayali). Perbuatan saya sering menimbulkan rasa tidak puas hati kerani atau pegawai yang meminta saya mengisi borang. Katanya, saya sepatutnya mencatatkan begini sahaja: bangsa India. Meneliti erti dalam kamus Lalu saya bertanya, bagaimana dengan “kaum”? Katanya, kaum, keturunan dan bangsa sama sahaja. Saya perlu mengisi “India” sahaja bagi ketiga-tiganya. Saya pernah menulis mengenai isu ini dalam majalah Pelita Bahasa (September 1998), ArahKiri (Disember 2002), Kavya (Mei 2003) dan Siasah (Jun 2003). Akan tetapi, kekeliruan dan salah tanggap terhadap istilah-istilah ini masih wujud sehingga hari ini. Mengikut definisi dalam kamus, bangsa adalah “kumpulan manusia yang sama asal-usulnya serta serupa sifat-sifatnya” atau “kumpulan manusia yang menjadi rakyat sesebuah negara”. Sementara itu, istilah kaum pula didefinisikan sebagai “golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa”. Tentu sahaja definisi ini dilihat secara umum/asas dan bukannya secara mendalam dari sudut antropologi dan sosiologi. Apa-apa pun, frasa “bangsa India” sebenarnya boleh membawa (sekurang-kurangnya) dua makna yang sangat berbeza. Pertama, orang itu adalah warganegara atau rakyat negara India. Kedua, orang itu termasuk dalam kumpulan manusia yang memiliki sifat-sifat yang sama; tetapi tidak semestinya warganegara India. Biar kita lihat contoh mudah untuk membezakan antara “kaum” dan “bangsa”, khususnya dalam konteks negara Malaysia. Katakan A berasal dari negeri Perak, B dari Selangor dan C dari Sabah. Andainya A, B dan C dikatakan memiliki sifat “kenegerian”, kita faham apa yang dimaksudkan. Begitu juga jika D, E dan F berasal dari daerah yang berbeza dan memiliki sifat “kedaerahan”. Kita faham secara tepat apa yang dimaksudkan. Semangat perkauman, semangat kebangsaan Sekarang kita teliti pula konvensi (kelaziman) di negara kita terhadap definisi “bangsa” yang disamakan dengan “kaum”. Kita ambil contoh G dikatakan bangsa Melayu, H bangsa Cina dan I bangsa India. Jadi, apakah yang dimaksudkan apabila G, H dan I dikatakan memiliki sifat kebangsaan? Apakah masing-masing berjiwa Malaysia (Bangsa Malaysia) atau masing-masing masih bersifat kemelayuan, kecinaan dan keindiaan (khususnya berdasarkan negara asal-usul nenek-moyang)? Bezakan pula apabila kita katakan bahawa G adalah individu kaum Melayu, H kaum Cina dan I kaum India. Kita harap tidak akan wujud sifat perkauman (kekauman?). Sebaliknya timbul semangat kebangsaan iaitu semangat keMalaysiaan. Sekadar contoh mudah untuk difikirkan dan direnungkan, jika “kaum” dan “bangsa” dianggap sama sahaja, bayangkan makna yang boleh dibawa oleh frasa “lagu kebangsaan”, “bahasa kebangsaan”, “budaya kebangsaan” dan seumpamanya! Contoh-contoh mudah di atas diharap akan membuka mata orang ramai terhadap kekeliruan yang boleh timbul apabila “bangsa” dan “kaum” dianggap sama dan serupa dari aspek makna dalaman. Sesungguhnya saya mengimpikan utopia di mana rakyat Malaysia (Bangsa Malaysia) tidak ditanya tentang kaum dan keturunan. Sementara menanti bulan jatuh ke riba, saya akan terus mengisi borang-borang rasmi dengan maklumat yang sama: keturunan Malayali, kaum India, bangsa Malaysia. Sudah dinyatakan bahawa perbincangan ini adalah secara umum sahaja; tanpa pergi secara mendalam dari sudut kajian antropologi dan sosiologi. Dinyatakan juga bahawa orang Melayu di Malaysia mungkin kurang memahami isu “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” seperti difahami (dan dihadapi) orang “Bukan Melayu”. Kaum Melayu tidak wujud? Di negara bertuah ini, orang Jawa, Bugis, Minang, Batak, Arab, Punjabi Muslim, India Muslim, Cina Muslim dan sebagainya (asalkan beragama Islam) secara mudah dimasukkan dalam kategori keturunan, kaum, ras, etnik dan bangsa Melayu. Saya pernah menulis makalah bertajuk “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013), “Hidayah Bangga Kekal Cina” (Free Malaysia Today, 4 Mac 2013), “Kami Tidak Masuk Melayu” (The Malaysian Insider, 4 Mac 2013), “Masuk Islam, Bukan Masuk Melayu” (Projek Dialog, 5 Mac 2013), “Perihal Raja-raja Melayu” (Projek Dialog, 5 November 2013) dan “Hidup 1Melayu!” (Free Malaysia Today, 7 Disember 2013) berdasarkan pandangan rakan-rakan pelbagai kaum. Amat jelas bahawa orang India dan orang Cina merupakan diaspora yang wujud di Malaysia sejak ratusan tahun dahulu dan merupakan warganegara Malaysia. Bangsa India dan bangsa China pula merujuk kepada warganegara India dan China; termasuk mereka yang tinggal/bekerja di luar negara asal. Bagaimana pula jika “kaum Melayu” atau “Malay race” tidak wujud? Ini sebenarnya idea atau hujah yang dikemukakan oleh AB Sulaiman menerusi bukunya, “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem” (2013). “There is no such thing as a Malay race,” kata Sulaiman, penulis, ilmuan dan pengkaji berumur 71 tahun dalam bukunya. Pada pandangan beliau, “kaum Melayu” tidak wujud. Mengulas lebih lanjut, Sulaiman mengakui bahawa hujah dan pandangan ini pasti membuatkan Perkasa, Umno dan puak etnosentrik marah dan kecewa. Apa tidaknya! Survival atau kelangsungan hidup politik mereka akan berakhir jika ia benar. Maka, mereka pasti menentang hujah ini. Tambahan pula, menurut Sulaiman, corak pemikiran orang Melayu tidak begitu mementingkan aspek peraturan dan undang-undang. Sebaliknya ia dipengaruhi nilai-nilai tradisi, keengganan menerima perubahan, berpusatkan kelompok sendiri, penuh dengan kekeliruan,  serta wujud pertentangan idea dan keangkuhan. Melayu hanya bahasa, bukan keturunan “Istilah ‘Melayu’ tidak merujuk kepada mana-mana kaum atau etnik. Sebaliknya istilah itu merujuk kepada bahasa yang dipertuturkan oleh sekitar 385.5 juta orang di Nusantara. “Akan tetapi, bahasa Melayu yang dipertuturkan penduduk pelbagai negara di Kepulauan Melayu adalah berbeza mengikut sempadan; misalnya di Indonesia, Malaysia dan Filipina,” tegasnya. Hujah yang dikemukakan ini segera mengingatkan saya kepada makalah bertajuk “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu berikutan hujah dan fakta yang dikemukakan mengenai realiti orang Melayu. [caption id="attachment_3274" align="alignleft" width="300"]Orang India di Malaysia terus berdepan pelbagai dilema. Orang India di Malaysia terus berdepan pelbagai dilema.[/caption] Dilema berhubung konsep “kaum” ini mungkin kurang dihadapi orang Cina dan India kerana masih wujud negara China dan India sebagai bukti asal-usul nenek-moyang mereka. Orang Cina dan India masih ada tamadun yang boleh dijadikan rujukan. Bagi orang Melayu pula, bukan sahaja kewujudan “kaum Melayu” dipersoalkan (seperti dilakukan oleh Sulaiman) tetapi tidak wujud sebuah negara bernama “Melayu” sebagai bukti asal-usul nenek-moyang mereka. Indonesia pula lazimnya tidak mahu diakui sebagai negara asal orang Melayu. Bagaimana dengan Perkara 160 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberikan definisi “Melayu” serta menjadi asas pegangan ramai? Dinyatakan antara lain bahawa “orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat Melayu. Dalam hal ini, Dr Abdul Rahman Embong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipetik oleh Sulaiman sebagai menjelaskan bahawa definisi itu merujuk kepada “Melayu” dari sudut budaya (bahasa) dan bukannya dari sudut biologi, keturunan atau kaum. Tentulah pandangan ini akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak selesa dalam kalangan sekelompok orang Melayu yang disifatkan oleh Sulaiman sebagai bersifat etnosentrik, memiliki minda tertutup, bersikap seperti katak di bawah tempurung serta tidak mahu berfikir secara rasional. “Kebenaran budaya” tidak perlu diterima semua pihak Mengulas lanjut, Sulaiman mengatakan bahawa definisi “Melayu” dalam Perlembagaan bukan berdasarkan fakta atau rujukan sains. Dengan itu, konsep “Melayu” itu sendiri merupakan “kebenaran budaya” (cultural truth) dan bukannya “kebenaran universal” (universal truth). Hal-hal “kebenaran budaya” hanya merujuk kepada apa-apa yang diiktiraf dan diterima oleh sekelompok masyarakat; bukannya hal-hal yang sudah terbukti secara sah berdasarkan fakta yang tidak dapat dipertikaikan serta sudah diperakukan pula secara universal. Maknanya, Melayu atau “kemelayuan” – termasuk konsep Ketuanan Melayu yang menjadi laungan keramat sekelompok politikus – serta sering dilaungkan oleh sekumpulan orang India-Muslim dan Cina-Muslim di negara ini sebenarnya hanyalah “kebenaran budaya” yang “betul” bagi kelompok orang Melayu semata-mata. Sekelompok orang India-Muslim dan Cina-Muslim yang beranggapan mereka adalah orang Melayu juga ketara menerima “kebenaran budaya” itu sebagai kebenaran hakiki. Sebaliknya, orang Bukan Melayu tidak tertakluk untuk menerimanya sebagai fakta kerana ia bukan “kebenaran universal”. Satu lagi contoh yang suka saya gunakan adalah mengenai Hang Tuah. Sulaiman turut menggunakan contoh ini dalam bukunya. Hang Tuah dipercayai pernah melafazkan kata-kata “Takkan Melayu hilang di dunia”. Hal ini sering kita dengar dan baca sejak usia kanak-kanak. Sebenarnya, Hang Tuah mungkin sahaja legenda atau mitos. Individu bernama Hang Tuah berkemungkinan tidak pernah wujud. Ada teori mengatakan dia sebenarnya orang Cina. Saya berpandangan bahawa kisah Hang Tuah lima bersaudara adalah saduran kisah Ramayana dan Mahabharata. Akan tetapi, dalam kalangan orang Melayu, kewujudan Hang Tuah adalah “kebenaran budaya”. [caption id="attachment_3273" align="alignleft" width="300"]Buku ini menyingkap pelbagai fakta yang mungkin memeranjatkan. Buku ini menyingkap pelbagai fakta yang mungkin memeranjatkan.[/caption] Orang Bukan Melayu – serta orang Melayu di luar Malaysia – tidak semestinya bersetuju dengan kewujudan Hang Tuah kerana ia bukan “kebenaran universal”. Pembacaan buku “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem” tulisan Sulaiman akan membantu pemahaman lanjut berhubung topik ini. Nampak gayanya, sementara orang Cina dan India di Malaysia menghadapi dilema berikutan penggunaan label “kaum” dan “bangsa” serta “pendatang”, orang Melayu pula tidak menghadapi sebarang masalah dalam soal itu. Sebaliknya, berdasarkan kajian Sulaiman, dilema sebenar orang Melayu adalah mengenai kewujudan “Melayu” itu sendiri! Penulis itu dalam bukunya mengatakan bahawa orang Melayu yang kononnya berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain (Alexander the Great) kurang memiliki kepakaran dalam hal-hal teknikal. Namun begitu, saya berharap topik yang diketengahkan di sini akan mendapat reaksi pelbagai pihak berasaskan pemikiran rasional dan hujah berbentuk fakta ke arah memulakan dialog sihat.         unnamed

VERMOX
]]>