Oleh Afiq Noor
Hijab, atau bertudung, merupakan satu amalan yang diterima sebagai sesuatu yang fardhu oleh kebanyakkan kita di Malaysia dan negara-negara Muslim lain.
Anjuran untuk berhijab ini disokong oleh dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadith yang menurut saya tidak perlu dihuraikan dengan panjang lebar lagi.
Namun saya tertarik untuk membawa perhatian kita kepada perbahasan alternatif seputar isu Hijab yang jarang sekali diketengahkan dalam wacana keislaman di Malaysia.
Hijab dalam Al-Quran
Anjuran untuk memakai Hijab dapat kita temui di dalam Surah Al-Nuur ayat 31 yang menyatakan:
“Katakanlah kepada wanita-wanita mukminah hendaklah mereka menahan pandangan mereka dan memelihara kemaluan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau kepada lelaki yang tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”
Dan di dalam Surah Al-Ahzab ayat 59, Allah memerintahkan:
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Inilah dasar pijakan hukum yang menjadi asas kepada perintah agar perempuan-perempuan Muslimah untuk menutup rambutnya dan melabuhkan tudungnya sehingga menutupi dada.
Aurat berdasarkan fiqh klasik
Aurat ditakrifkan sebagai kekurangan atau sesuatu yang memalukan dan mengaibkan dari anggota tubuh badan sekiranya di dedahkan untuk tatapan umum.
Menurut Imam Al-Nawawi di dalam Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, aurat diertikan sebagai anggota tubuh manusia yang menurut pandangan umum buruk atau mengaibkan sekiranya diperlihatkan kepada umum dan sekiranya dibiarkan terbuka akan menimbulkan fitnah.
Fitnah yang dimaksudkan oleh Al-Nawawi adalah fitnah seksual, oleh yang demikian majoriti ulama’ berpendapat bahawa aurat wajib ditutup.
Sekiranya kita meneliti perbahasan fiqh tentang aurat, terutamanya aurat perempuan. Kita akan menemui perbezaan di antara batas aurat perempuan merdeka (Al-Hurrah) dan batas aurat hamba (Al-Amah).
Di dalam Mazhab Syafie, batas aurat perempuan merdeka adalah keseluruhan tubuh mereka kecuali muka dan tapak tangan.
Bahkan Al-Muzani menambah bahawa tapak kaki perempuan juga bukan termasuk dalam batas aurat yang harus ditutup.
Begitu juga pendapat tentang batas aurat perempuan merdeka menurut Mazhab Maliki, walaubagaimanapun menurut Muhammad Bin Abdullah Al-Maghribi sekiranya perempuan merdeka tersebut merasa bimbang terhadap fitnah, maka ia harus menutup muka dan tapak tangannya.
Manakala menurut Ibnu Qudamah batas aurat perempuan menurut Mazhab Hanbali adalah keseluruhan tubuh badannya bahkan menurut Abu Bakr Al-Harits, keseluruhan tubuh perempuan adalah aurat termasuklah kukunya.
Batas aurat perempuan merdeka dan perempuan hamba
Manakala batasan aurat bagi perempuan hamba menurut Imam Al Nawawi boleh dibahagikan kepada tiga pendapat.
Pertama, majoriti ulama’ Syafieyah menyatakan bahawa batas aurat bagi perempuan hamba adalah sama seperti batasan aurat lelaki merdeka, iaitu di antara pusat sehingga lutut.
Kedua, menurut Al-Thabari batas aurat perempuan hamba sama seperti batas aurat perempuan merdeka kecuali kepala tidak wajib ditutupi.
Ketiga, aurat perempuan hamba adalah sama dengan perempuan merdeka kecuali bahagian tubuh badan yang diperlukan untuk membuat kerja seperti kepala, leher dan lengan.
Al-Marghinani dalam kitabnya Al-Hidayah Syarh Al-Bidayah menyatakan bahawa batas aurat lelaki adalah sama dengan batas aurat perempuan hamba, perut dan punggung perempuan hamba dan lelaki adalah aurat.
Selain dari itu seluruh tubuhnya adalah bukan aurat. Kesimpulan ini dibuat berdasarkan kisah Umar Al Khatab yang telah memerintahkan agar Daffar (seorang hamba perempuan) untuk membuka tudung kepalanya. Umar bertanya kepada Daffar – “Adakah engkau ingin menyerupai perempuan merdeka?”
Menurut Al-Marghinani lagi, aurat perempuan hamba tidak sama dengan perempuan merdeka kerana pada kebiasaannya hamba perempuan ini harus keluar dari rumah untuk melunaskan pekerjaan sebagaimana yang diarahkan oleh tuannya.
Muhammad Ali Al-Shobuni di dalam Rawa’i Al-Bayan Tafsir Ayat Al Ahkam Min Al Quran senada dengan Al-Marghinani dalam hal aurat perempuan hamba.
Menurut beliau perempuan hamba akan terbeban dengan urusan-urusan pekerjaan sehingga terpaksa keluar dari rumah, pergi ke pasar dan memenuhi segala keperluan tuannya. Sekiranya diperintahkan untuk berpakaian seperti perempuan Muslimah merdeka, sudah pasti ia akan menyusahkan dan membebankan hamba perempuan tersebut menyelesaikan urusan pekerjaannya.
Sementara itu, Ibnu Hazm di dalam Al-Muhalla’ berpendapat bahawa batas aurat bagi perempuan merdeka dan perempuan hamba adalah sama dalam apa keadaan sekalipun kerana tidak ada dalil dari Al-Quran mahupun Hadith yang menyatakan perbezaan di antara batas aurat perempuan merdeka dan perempuan hamba.
Makna aurat berbeza berdasar tafsiran
Secara umumnya, sekiranya kita meneliti teks-teks klasik fiqh yang membahaskan tentang persoalan aurat kita pasti akan berjumpa dengan perbahasan-perbahasan tentang perbezaan aurat di antara perempuan merdeka dengan perempuan hamba.
Dan perbezaan ini sangat ketara kerana para ulama menyatakan bahawa alasan perbezaan tersebut rata-ratanya adalah untuk memudahkan, keperluan dan mengelakkan kesulitan bagi perempuan hamba tersebut melakukan urusan kerja yang diarahkan oleh tuannya.
Ibnu Hajar Al-Asqalani di dalam Fath-Al Bari menyatakan bahawa pakaian (Al-Malabis) adalah berbeza-beza di setiap negeri.
Sekiranya kita meneliti dari sudut sejarah dan latar sosial masyarakat arab pada masa tersebut pakaian-pakaian seperti khimar dan jalabib sebagaimana yang disebutkan di dalam Surah Al Nuur ayat 31 merupakan pakaian kebudayaan bagi masyarakat Arab pada ketika itu.
Muhammad Tahir Ibn Ashoor di dalam bukunya Maqasid Syariah Al Islamiyah menyatakan bahawa adat kebiasaan sesuatu kaum tidak boleh dipaksakan ke atas kaum lain atas nama agama.
Beliau sewaktu menghuraikan Surah Al-Ahzab ayat 59 yang memerintahkan agar isteri-isteri Nabi dan perempuan beriman untuk melabuhkan jilbab mereka sehingga menutupi dada menyatakan – “Ini adalah ajaran yang mempertimbangkan adat orang-orang Arab sehingga bangsa-bangsa lain yang tidak menggunakan jilbab tidak diwajibkan atas syariat ini”.
Makna “aurat” bergantung kepada budaya masyarakat dan zaman
Tafsiran aurat sendiri begitu subjektif dan berbeza-beza di antara ulama’ walaupun objektif utama penutupan aurat adalah untuk mengelakkan berlakunya fitnah seksual (Khauf Al-Fitnah) terhadap perempuan.
Pemahaman terhadap batas anggota tubuh yang membawa keaiban juga berbeza dari setiap tempat dan banyak dipengaruhi oleh keadaan budaya masyarakat setempat.
Perempuan, sebagaimana lelaki, mempunyai hak yang sama ke atas tubuh badannya dan berhak diberikan kebebasan untuk memilih pakaian yang menurut pandangannya adalah sesuai dan mampu mengelakkan fitnah.
Sekiranya dia memilih untuk bertudung, itu baik untuknya dan sekiranya dia memilih untuk tidak bertudung itu juga baik untuknya. Yang lebih penting ialah mereka memakai pakaian yang terhormat.
Kebebasan bersuara dan toleransi agama di Malaysia
Takrifan kebebasan beragama
Kita akur akan Perlembagaan Persekutuan Malaysia bahawa Islam merupakan agama rasmi. Manakala dalam Sabah dan Sarawak melalui Perjanjian Malaysia 1963 Perkara 1 diperakukan bahawa tiada agama rasmi.
Ketetapan kepada undang-undang ini menjamin kedudukan majoriti pada masa yang sama tidak mengabaikan golongan minoriti dalam mengamalkan mereka.
Namun, saya ingin berbeza dengan menyatakan bahawa kebebasan beragama sewajarnya dilandaskan pada martabat peribadi manusia dan bahawa kebebasan itu mesti dipertahankan sebagai sebuah hak sivil dalam tatanan hukum bermasyarakat.
Kebebasan beragama ini menuntut hak individu untuk hidup menurut kebenaran imannya sendiri sesuai dengan pilihan dirinya tanpa dipaksa melawan hati nurani mahupun ditindas oleh batas-batas undang-undang serta tekanan individu perseorangan mahupun kelompok secara umum.
Kebebasan bersuara dalam beragama di Internet
Setiap manusia berhak menyebarkan, mengajar serta mengamalkan ajaran agama mereka masing-masing di Internet. Tiada sekatan serta tekanan wajar diperakukan kepada sesiapa.
Kehidupan manusiawi di muka bumi yang mempunyai kepadatan penduduk 7 bilion serta capaian penggunaan Internet yang meliputi hampir separuh penduduknya memungkinkan maklumat serta perkongsian ajaran serta tafsiran semua agama disampaikan serta diperoleh.
Penerimaan serta keterbukaan dalam beragama perlu terutama sekali apabila berada di laman sosial. Di samping itu, kebebasan beragama bukanlah sesuatu anutan terhadap kekeliruan tetapi lebih kepada penghormatan serta pemahaman terhadap dinamika agama secara interaktif tanpa meletakkan pemikiran jumud serta penglabelan yang tidak tepat dari sudut kaca kita sendiri.
Pemupukan pluralisme yang sihat adalah harus kerana ianya membantu menyerlahkan keterbukaan dalam berdialag bagi menggalakkan keadilan, persaudaraan, perdamaian dan kekuatan peribadi manusia.
Sebagai contoh, mengangkat usaha Projek Dialog dalam memupuk pluralrisme beragama adalah perkara yang wajar seperti konvoi rumah ibadat, forum serta kempen-kempen kemanusiaan dalam kalangan massa. Semua ini dicapai dengan pengunaan laman sosial serta blog yang interaktif dan bertanggungjawab.
Cabaran kebebasan bersuara dan toleransi agama di Malaysia
Malaysia merupakan negara persekutuan yang mempunyai dinamika penduduk yang berbeza kaum, bangsa, agama dan aliran. Jika diteliti memang ianya kelihatan indah, aman dan sentosa.
Namun hakikatnya, saya mendapati tahap perkauman kita masih berada pada paras membimbangkan. Saya berpendapat ancaman serta ketakutan merupakan faktor yang mendorong perkauman berlaku.
Perlu diingatkan untuk menyuarakan pendapat sama kritikan serta bersikap jujur di laman sosial perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat sekeliling. Jadi ianya bukan sesuatu yang mudah dan harus selektif agar dapat menghindari kekeliruan dan konflik.
Dalam konteks Malaysia, adalah lebih baik menggunakan lenggok bahasa yang sopan apabila melontar kritikan.
Lebih parah, kelompok majoriti saling menganggap mereka terancam manakala kelompok minoriti sering anggap mereka tertindas. Ini mungkin terjadi kerana campur tangan politik bagi hak majoriti serta provokasi pihak tidak bertanggunjawab dan faktor pencabulan hak terhadap yang minoriti yang sering kali dianggap tidak setara dengan majoriti.
Ditambah juga dengan kurangnya pemahaman yang tepat terhadap agama yang lain selain dari agama asalnya sehingga mendatangkan prejudis.
Berdasarkan pengamatan serta pengalaman saya, kesedaran bersuara di laman sosial dalam kalangan rakyat Malaysia amat lemah terutama dalam menyampaikan isu-isu yang bersangkut paut dengan agama.
Dilema utama yang saya lihat adalah ketidakpedulian terhadap budaya sopan santun apabila melontarkan pendapat serta tidak dapat membezakan antara kritikan dan penghinaan. Oleh itu, seminar serta kesedaran sivik wajar diterapkan bagi mengatasi kudis ini.
Begitu juga pendekatan yang wajar diambil apabila merasa tersinggung dengan kritikan serta pendapat yang diterima dalam laman sosial. Daripada menyimbah minyak ke atas api, adalah wajar mengambil pendekatan paradoks dalam menerima pendapat tersebut. Jika ianya tidak benar, pertahankanlah sehingga ianya benar-benar mencapai kata sepakat secara hemah. Jika tidak, abaikan sahaja.
Salah satu masalah besar dalam perundangan negara adalah Akta Hasutan 1948. Akta tinggalan British tersebut wajar dimansuhkan dan diganti dengan akta yang benar-benar menjamin kebebasan bersuara.
kta tersebut bukan sahaja tidak jelas dari segi perlaksanaannya bahkan menampakan penyalahgunaan oleh kerajaan pemerintah bagi menyekat mana-mana rakyat yang ingin bersuara terutama aktivis. Perkara sama juga boleh dilakukan terhadap Akta Keterangan Seksyen 114a.
Adalah menjadi tanggungjawab pemerintah serta politikus untuk memperjuangkan kewujudan kesejahteraan umum dengan cara menciptakan sebuah persekitaran sosial yang manusiawi, di dalamnya rakyat dijamin menikmati hak-hak asasinya secara sungguh-sungguh serta memenuhi kewajibannya secara penuh dan menyeluruh seturut dengan martabat mereka.
Kegagalan berbuat demikian, mengakibatkan kerosakan serta ketidakstabilan negara.
Kesimpulan
Justeru, setiap manusia adalah dipertanggunjawabkan akan apa amanah yang diberi kepada mereka. Sama ada percaya atau tidak, manusia tidak boleh angkuh dengan apa yang mereka ada.
Kepelbagaian dinamika serta perbezaan pendapat bukanlah penghalang untuk hidup rukun dalam bermasyarakat. Sikap agree to disagree wajar diterapkan dalam setiap diri bagi menghindari konflik yang pastinya tidak menguntungkan sesiapa.
Dengan menyemai juga kesedaran cause and effect pada setiap amalan, manusia sewajarnya menuju ke arah kebaikan dan bumi ini pasti akan bertahan sebagai tempat yang terbaik untuk generasi akan datang.