Khabar dan Angin: Excursus on Faith in Kelantan
Baru-baru ini, pameran seni Khabar dan Angin, anjuran Projek Dialog bersama Suruhanjaya Tinggi Kanada baru sahaja selesai di Balai Seni Visual Negara.
Projek tersebut telah membawa 8 seniman untuk menanggapi realiti kehidupan dan kepelbagaian agama dan kerohanian di Kelantan. Hasilnya ialah pameran seni ini, yang telah mendapat sambutan baik dari kalangan ramai.
Banyak yang telah kami pelajari, dari merenung kembali pengalaman ini dan menerima maklumbalas daripada para pelawat tentang karya seni yang dihasilkan.
Untuk memanjangkan perkongsian dan dialog yang dicetuskan oleh projek ini, kami telah menghasilkan sebuah naskah yang memuatkan pemerhatian dan buah fikiran daripada pihak penganjur, para kurator, seniman, dan pengkritik seni – mengimbas kembali proses ini, menimbal kelebihan dan kekurangannya, dan apa yang dapat diperolehi dari kesemuanya.
Harapan kami ialah untuk membuka perbincangan ini ke ruangan awam, bagi mereka yang tidak berpeluang untuk melihat pameran ini, supaya pertukaran ini mungkin mampu meluaskan pandangan kita tentang tanggapan dan kepelbagaian yang wujud di kalangan kita.
Muat turun di sini secara percuma!
Kami mengalu-alukan maklumbalas dari anda!
Seni & Cabaran Naratif Dominan
Gambar: Brotherpeacemaker.wordpress.com[/caption]
Seni, Kerohanian & Kebebasan Berekspresi
3 Disember adalah hari di mana para seniman/seniwati terpilih berkumpul untuk menyertai projek pameran seni.
Hasil kerjasama antara Projek Dialog dan Article 19 ini menyediakan landasan asas kepada para seniman/seniwati untuk menghasilkan karya-karya seni yang berteraskan fahaman mereka terhadap makna kerohanian.
Oleh itu mereka bakal melalui program-program yang telah ditetapkan oleh Projek Dialog dan Article 19, iaitu melawat, memahami dan menghidupi suasana ritual-ritual agama yang wujud di negeri Kelantan Darul Naim.
Projek ini berlangsung dengan hasil kerjasama Article 19, sebuah organisasi hak asasi manusia yang ditubuhkan pada 1987.
Article 19 ditubuhkan untuk menyumbang tenaga, dana dan usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kebebasan memberi pendapat dan berekspresi tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak.
Nama organisasi Article 19 diambil daripada Perkara 19 di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat:
“Setiap orang berhak untuk bebas berpendapat dan mengeluarkan fikiran.
Hak ini termasuklah kebebasan berpendirian tanpa gangguan dan mampu menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.”
Program pengenalan organisasi Article 19 dihadiri oleh seniman/seniwati, kurator, editor Projek Dialog, perwakilan Article 19 dan juga beberapa individu yang menyumbangkan pengalaman mengenai keadaan di negeri Kelantan.
[caption id="attachment_5365" align="aligncenter" width="450"]
Gambar: Clarespark.com[/caption]
Pelan Tindakan Rabat
Pada bahagian awal, pihak Article 19 iaitu Judy Taing dan Andrew Smith menerangkan sedikit sebanyak tanggungjawab pihak mereka di dalam menegakkan hak kebebasan pendapat dan fikiran.
Mereka memperkenalkan Pelan Tindakan Rabat, bagi menghalang kebencian berbentuk kenegaraan, keagamaan dan perkauman yang bakal mencetus keganasan, diskriminasi dan juga permusuhan.
Rencana tindakan ini dihasilkan di Rabat, Morocco pada 5 Oktober 2012.
Ia merupakan kesimpulan dan saranan berdasarkan bengkel-bengkel tentang isu-isu yang telah dinyatakan di atas.
Bengkel-bengkel tersebut telah diadakan di rantau Eropah (Vienna pada 9 dan 10 Februari 2011), di Afrika (Nairobi pada 6 dan 7 April 2011), di Asia Pasifik (Bangkok, 6 dan 7 Julai 2011) dan juga di benua Amerika (Santiago de Chile, 12 dan 13 Oktober 2011).
Tugas mengelak kebencian ini dipertanggungjawabkan kepada kolektif pegawai-pegawai am, para pemimpin agama dan komuniti, media dan para individu.
Ia menekankan keperluan untuk memupuk kesedaran sosial, toleransi, hormat-menghormati, dan dialog antara budaya.
Kerangka Projek Kesenian
Oleh itu, menggunakan landasan ini, projek yang bakal dilaksanakan ini akan menghasilkan beberapa karya dengan harapan ia boleh diterima dengan hati yang terbuka.
Disebabkan projek ini berteraskan isu-isu agama dan hubungan sesama penduduk yang berlainan agama/fahaman hidup, penggerak projek ini merasakan bahawa landasan antarabangsa merupakan sesuatu yang perlu.
Mungkin sahaja mereka melihatnya sebagai salah satu cara agar sudut pandangan yang lain mampu menjangkaui batas negara dan hadir di rantau antarabangsa untuk didengari oleh semua anak bangsa.
Setelah selesai pembentangan mengenai tujuan dan pengenalan Article 19, mesyuarat beralih fokus kepada projek tersebut. Antara persoalan-persoalan yang timbul adalah isu negeri dan justifikasi pemilihan negeri Kelantan.
Apakah sebab utama negeri ini dipilih sebagai keutamaan?
Selain daripada stereotaip kasar mengenai semangat kenegerian Kelantan dan juga laporan media terhadap dominasi wacana politik PAS, wujudkah sebab-sebab yang lain?
Ataupun sebenarnya pilihan ini merupakan hal yang kedua? Apakah keunikan rumah-rumah agama di kawasan tersebut jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain?
Baiklah, jika andaiannya adalah bahawa dominasi wacana PAS dan stereotaip kasar ini sering membelenggu tanggapan masyarakat terhadap negeri Kelantan, apakah tanggungjawab utama seniman/seniwati yang dipilih untuk menjayakan projek ini?
[caption id="attachment_5372" align="aligncenter" width="470"]
Gambar: Come2Kelantan.my[/caption]
Seni – Sarana Bagi Menjangkaui Naratif Dominan
Jika karya-karya tersebut akan dihasilkan melalui fahaman kerohanian yang bakal diperolehi dari projek ini, apakah faktor-faktor yang harus diambil kira?
Pertama, faktor wacana dominan yang telah ada. Dalam konteks projek ini, yang harus difahami secara menyeluruh adalah naratif parti politik PAS.
Seharusnya difahami juga bagaimana naratif politik dominan ini mempengaruhi hubungan keagamaan di sesuatu tempat, sama ada ia membentuk suatu ketegangan yang semakin menebal ataupun sebaliknya.
Faktor kedua adalah keadaan sebenar yang berlangsung di negeri tersebut. Kerana seperti mana yang kita semua tahu, media hanyalah sebagai pengantara yang melaporkan berita dari sudut pandang seseorang.
Realiti sesuatu tempat adalah sesuatu yang benar-benar rumit dan tidak mungkin mana-mana media ataupun medium mampu mewakilinya secara menyeluruh.
Langsung perbandingan di antara kedua faktor ini adalah sesuatu yang penting dan harus diambil kira.
Faktor yang pertama adalah sesuatu yang dibina melalui konsensus ataupun persetujuan sesuatu kelompok, manakala faktor yang kedua merupakan sesuatu yang dinamik dan tidak langsung dapat dimuatkan melalui mana-mana kategori.
Bagi sebuah negeri yang naratifnya didominasi satu agama, wujudkah percanggahan yang jelas di antara kedua-dua faktor tersebut?
Adakah naratif politik yang ada ini langsung tidak memberi ruang secukupnya untuk agama-agama lain terus hidup dan menyebarkan wacananya?
[caption id="attachment_5373" align="aligncenter" width="458"]
Gambar: Thirteen.org[/caption]
Peranan Seni Yang Lebih Meluas
Bagaimanakah seni yang memaknakan atau sebagai cerminan kehidupan manusia, melalui bentuk estetik mampu membentuk suatu sudut pandang yang berlainan?
Ataupun lebih besar lagi, mampukah ia memberi impak dengan menyanggah wacana dominan yang boleh saja dikatakan bercanggah dengan realiti sebenarnya.
Adakah seni yang seringkali dilihat sebagai paparan estetik semata-mata, mampu menganjurkan suatu mesej jelas terhadap hubungan keagamaan di sesuatu tempat?
Di sinilah asas utama bagi para seniman/seniwati yang bakal terlibat dalam projek ini. Tempat permulaan untuk mereka menilai kembali sudut pandang mereka; apa yang harus dicerna dan apa yang harus dinilai semula secara kritikal.
Kerana semestinya, tugas seni adalah untuk mengenal pasti intipati kehidupan. Intipati kehidupan yang barangkali senang sekali terlepas, dipukau oleh kepantasan masa dan kepadatan ruang.
Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa intipati kehidupan adalah sesuatu yang subjektif, tetapi penghasilan karya objektif merupakan saksi kepada realiti yang ada.
Dengan harapan agar setiap tafsiran objektif inilah yang mampu dipersetujui oleh ramai pihak, mewakili sudut pandang yang benar-benar meluas dan mengukuhkan lagi hubungan yang telah lama dibina.
Ia menganjurkan pandangan yang berbeza daripada pemaknaan kehidupan yang kadangkala jumud, reaksioner, dan kaku mengawal realiti mengikut acuan sendiri.
Projek ini bakal memberi ruang kepada mereka untuk membentuk semula tanggapan umum yang telah ada terhadap negeri Kelantan.
Mereka menggalas tanggungjawab besar – iaitu untuk memahami keadaan sebenar kehidupan beragama di negeri yang didominasi oleh wacana satu agama.
Harus diingatkan bahawa ini tidak langsung membawa erti provokasi ataupun pelanggaran tatanan moral yang sedia ada.
Barangkali dengan permulaan di negeri pantai timur ini, percubaan bagi para seniman untuk menilai dan memberi sudut pandang segar terhadap hubungan beragama mampu sedikit sebanyak membuka banyak lagi ruang untuk menghidupkan semula imaginasi yang ada terhadap sesuatu kawasan.
KORBAN: Harga sebuah Cinta dan Revolusi
Oleh Lee Slimshady
Senja 19 September aku duduk mengopi di Restoran Yassen Jalan Tuanku Abdul Rahman sambil memerhati rakan-rakan wilayah cinta sedang melayani dan menyantuni anak-anak jalanan di hadapan Alka Ria.
Tetapi kali ini aku tidak menyertai rakan-rakan yang lain dalam menyebar cinta di jalanan buat anak-anak warga miskin kota.
Mungkin memberi peluang kepada “pecinta – pecinta” lain mencurahkan kasih buat anak-anak jalanan ini. Dalam seketika teringat pula kepada seorang rakan berkepala botak yang menggunakan nama pena Sang Pencinta.
Aku mengenali Sang Pencinta yang berkepala botak ketika sama-sama meneroka ruang demokratik dalam #OccupyDataran tapi sayangnya tidak mengenali secara dekat dan mengapa dia menggelarkan dirinya sebagai Sang Pencinta aku sendiri pun tidak tahu.
Sambil menghirup kopi panas aku memerhati anak-anak kecil ini belajar dan sedikit demi sedikit fikiran ku mula menerawang jauh dalam sejarah cinta umat manusia beribu-ribu tahun lamanya.
Dalam simpanan kotak sejarah yang aku ada, hanya satu nama sahaja yang mengaitkan Cinta dalam catatan sejarah tidak kiralah ia dari kitab suci, manuskrip papyrus mahupun catatan hieroglif purba di Babylon mahupun di Mesir.
Paling tepat sosok inilah yang telah mengorbankan cintanya demi wahyu yang telah dikirim dari langit ke-7 yang terselit mesej rahsia buat seluruh umat manusia.
Justeru aku tidak berniat untuk meminggirkan para atheist dalam coretan populis ini hanya sekadar mahu berkongsi semangat revolusi dan fahaman tentang cinta buat seluruh insan di setiap pelosok jagat raya.
Tidak semestinya pandangan dan pendapat aku ini betul dan janganlah sampai diakui keabsahannya sebelum dicabar dan disiasat kebenarannya.
Kisah Ibrahim Alaihissalam
Oleh itu bagi aku satu-satunya individu pertama yang aku rujuk terlebih dahulu sebelum Paderi Saint Valentinus adalah Nabi Ibrahim alaihis salam.
Kerana ketika Ibrahim meninggalkan bayi comel dan isteri tersayang di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang tak mungkin aku dapat membayangkan perasaan hiba yang lahir dari naluri seorang ayah.
Perasaan yang amat pilu tatkala anak yang dinantikan zuriatnya sendiri setelah bertahun lamanya akhirnya terpaksa ditinggalkan begitu sahaja di bawah panas terik mentari.
Hati ayah mana yang tidak emosi apabila saat-saat manis membelai bayi comel dari darah keturunan sendiri terpaksa dilupakan demi menurut perintah dari langit ke-7.
Andai aku berada di tempat Ibrahim secara jujurnya mustahil aku dapat melaksanakan perintah tersebut kerana naluri kebapaan mencengkam kuat dalam jiwa sebaik menatap bayi comel lebih-lebih lagi zuriatku sendiri.
Sedikit demi sedikit wajah isteri yang tercinta hilang di tengah-tengah padang pasir kontang. Hatinya mula resah, jiwanya mula gelisah dan kini naluri bapanya berkecamuk.
Demi cinta kepada isteri, dan kasihnya kepada bayi Ismail yang comel, ditadah kedua belah tangannya lalu dijulang ke langit lantas mengemis Cinta dari Sang Pencipta menagih simpati buat kasih insani.
Ibrahim sedar hamba hina sepertinya tidak layak mengemis Cinta yang Maha Esa meski sang Jibrail yang setia tanpa sempadan pun belum mampu memiliki kasih Sang Pencipta.
Di kala itu berlari-lari kecillah Siti Hajar mendaki menuruni bukit Marwa dan Safa mengejar bayangan fatamorgana yang disangka lautan tatkala bayi Ismail meraung mendahagakan air sedangkan susu dari tubuhnya telah kering.
Mujur Sang Pencipta itu punya nama yang Maha Mengasihani.
Korban emosi, kasih dan sayang hamba Ibrahim itu dibalas bawah hentakan kudus tumit bayi Ismail a.s lalu terpancurlah kejernihan sumur air ditengah-tengah padang pasir tandus yang menghapuskan segala kedahagaan.
Ternyata Cinta yang Maha Esa adalah Cinta yang Teragung. Tanpa Rasul utusan itu sedar, kasih Maha Pencipta itu mengatasi segala-galanya. Cahaya CintaNya merentasi kebencian, kegelapan dan bisikan kejahatan.
Maka berkumpullah seluruh bangsa jurhum demi berkongsi Cinta dari sebuah telaga hasil kurnia ilahi berkat hentakan kudus dari tumit kaki bayi Ismail.
Kisah Cinta Ibrahim ini bermula dari hanya seketil rasa kasih dan akhirnya terbina sebuah kota di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang.
Cinta Seni & Pemburuan Makna
Lalu diabadikan cinta Ibrahim, Siti Hajar dan bayi Ismail itu dalam bait-bait puitis yang dicoret oleh bapa kesusasteraan Melayu moden Hamzah Fansuri.
[caption id="attachment_5164" align="alignleft" width="351"]
Hamzah Fansuri[/caption]
Malah diadaptasi pula bait-bait puitis itu dalam sebuah lagu gubahan penyanyi dan komposer tersohor M. Nasir bertajuk “Raikan Cinta” yang pernah menduduki carta teratas lagu popular tanah air suatu ketika dahulu.
Aku juga turut mengalunkan bait-bait lirik lagu tersebut sambil memetik gitar milik rakan serumah tanpa menghayati dengan tepat makna dan maksud yang cuba disampaikan dalam lirik lagu berkenaan.
Namun dalam pada masa yang sama aku mula mengesyaki ada maksud mendalam dalam bait-bait puitis ini, jika tidak takkanlah lirik tersebut dipetik dari karya tersohor Bapa Kesusateraan Melayu Moden seperti Hamzah Fansuri.
Bermula dari saat itu aku mula memburu jawapan kepada setiap persoalan.
Secara perlahan-lahan aku mula menyiasat segala naratif yang ada di sekeliling hidup aku dan mencungkil kebenaran serta kesahihan setiap naratif tersebut.
“Nak, jiwamu mula memberontak dan mindamu sedang melalui proses evolusi” kata seorang pakcik tua yang aku temui di perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam.
Terkejut dengan perubahan tanpa sedar itu, sebenarnya bukan sahaja dilalui oleh aku seorang malah rakan-rakan lain yang mula melakukan pemburuan terhadap kesahihan naratif.
Cinta, Revolusi & Pengorbanan
Revolusi pada awalnya adalah satu istilah yang amat asing tetapi hebat bagi aku. Setiap kali menyebutnya membuat aku rasa teruja tanpa mengerti lebih mendalam bentuk fiziknya.
Mencari kesempurnaan dan menghapuskan pembodohan juga perlukan cinta untuk membina sebuah masyarakat yang progresif. Namun tanpa revolusi sebagai kaedahnya, maka cinta itu hanyalah sia-sia.
Cinta kepada perubahan dan kebebasan untuk membina dunia baru, tanpa menggerakan perubahan itu secara drastik maka kekallah cinta itu sekadar ilusi maya.
Sebab itu ia bukanlah hanya kisah lagenda antara Romeo dan Juliet atau kisah cinta tragik antara Uda dan Dara, maka secara fiziknya ia menuntut suatu pengorbanan.
Lantas ia menjadi satu perkara yang menghantui minda para reformis.
Banyak antara kita cukup petah dan lantang bila memperkatakan tentang perubahan, tetapi apabila diajukan persoalan tentang pengorbanan maka ramai yang mula memberi alasan untuk melarikan diri.
Penyair terkenal W.S Rendra pernah mengungkapkan;
“Andai takut pada risiko usah bicara pasal perjuangan”
Maka risiko itu adalah pengorbanan yang akan dituntut dalam suatu gerakan perubahan. Kerana itu seringkali para revolusioner mengibarkan warna merah sebagai tanda menjadi korban dalam kebangkitan.
Pengorbanan Helah & Pengorbanan Sebenar
Tapi usah disamakan warna merah ini dengan himpunan baju merah tempoh hari kerana bagi aku himpunan itu bukan satu kebangkitan tetapi sekadar mengampu pemerintah.
Janganlah juga disamakan dengan demonstrasi depan Masjid Ubudiah dan Istana Bukit Chandan Kuala Kangsar ketika rampasan kuasa negeri Perak melalui pintu belakang istana suatu masa dahulu.
Ramai telah ditangkap manakala pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah di rumah Menteri Besar dan diceritakan betapa mereka yang ditangkap ini adalah wira rakyat dan kutipan derma dibuat untuk wira-wira ini.
Diumumkan malam itu jumlah kutipan derma untuk menjamin semua para tahanan adalah sebanyak RM13 ribu. Tapi sampai hari ini duit tu tak sampai ke tangan para tahanan sebagai wang jaminan.
Kasihan buat rakan-rakan yang telah dijadikan sebagai mangsa ihsan orang ramai untuk mengaut keuntungan maka berhati-hati agar tidak dijadikan alat kepentingan politik orang lain untuk mengaut keuntungan.
Tidak ada makna pengorbanan malah jauh sekali maksud perubahan di situ kerana keseluruhan ia sekadar helah ahli politik untuk mengekalkan kekuasaan dan mengaut keuntungan atas kesengsaraan orang lain.
Sebab itu dalam sejarah kita lihat sendiri dalam merealisasikan cinta maka banyak jiwa yang telah terkorban. Secara psikologinya ia bukanlah satu perkara yang kita ingini namun itulah realiti yang perlu dihadapi.
Justeru bergerak dari kebangkitan revolusi maka korban adalah perkara subjektif bagi para revolusioner.
Maka tidak hairan jika kita lihat pendukung perjuangan radikal progresif seperti Ahmad Boestamam meletakan slogan “merdeka dengan darah” sebagai konsep perjuangan Angkatan Pemuda Insaf (API).
Maka akan datang suara-suara sumbang memperlekehkan dasar perjuangan tersebut lantas mengaitkannya sebagai satu perkara yang ditegah oleh agama.
Larangan Agamawan & Revolusi Murni
Lalu ujian untuk menulenkan lagi cinta Ibrahim tidak terhenti di situ sahaja kerana perjalanan dan proses baru sahaja bergerak pada fasa pertama. Mesej Tuhan belum lagi jelas untuk diungkapkan meskipun dalam kiasan.
Maka Ibrahim a.s diseru sekali lagi untuk membuktikan kesetiaan kepada Maha Pencipta yang mana ia menuntut satu lagi pengorbanan yang amat besar dalam hidupnya.
Kali ini zuriatnya diperintahkan agar disembelih sebagai korban. Buat kali kedua nalurinya sebagai seorang bapa diuji sepenuhnya.
Tatkala perintah dari langit ke-7 mahu dilaksanakan maka muncul suara-suara sumbang Sang Azazel (Iblis) yang telah dilaknat lantas mengaitkan perintah itu dengan percanggahan dalam ajaran agama.
Maka mempersetankan suara-suara kurang siuman yang mengaitkan suatu usaha murni itu dengan percanggahan dalam ajaran agama bukanlah suatu yang janggal kerana Siti Hajar sendiri melakukan dengan jayanya.
Malah Ibrahim a.s sendiri merejam suara-suara “sial” itu dengan batu sehingga ia kekal ke hari ini sebagai ritual ibadah haji yang wajib dijalani setiap muslim yang mengerjakan haji.
Tetapi malangnya ritual ini gagal dimaknai dalam realiti kehidupan sebenar.
Sebab itu sering aku persoalkan dalam menggerakkan perubahan mengapa harus mempedulikan suara-suara sumbang yang mengaitkan segala usaha murni dalam membuat perubahan dengan penegahan dalam agama.
Sebab itu ketika aku menyoal seorang rakan yang mahu menyertai demonstrasi #Bersih4 tentang kenyataan seorang agamawan yang mengatakan bahawa himpunan itu haram di sisi agama maka jawabnya;
“Kalau semuanya salah di sisi agama macam tu tak payahlah Nabi Ibrahim nak turut perintah Tuhan untuk sembelih Nabi Ismail ”
“Kenapa pula? ” Soalku yang inginkan kepastian.
“Sebab kata Iblis apa yang dilakukan oleh Ibrahim a.s tidak pernah diajar oleh mana-mana agama di dunia ini ” Jelas sahabatku dengan jawapan yang mampu buat aku tersenyum.
Penjelasan yang dibuat sahabatku ini menunjukan andai usaha untuk membersihkan kekotoran itu ditegah kononnya atas nama agama maka haram untuk kita untuk menuruti larangan tersebut.
Maka Tuhan pada awalnya telah mensyari’atkan keatas kita untuk mempersetankan apa sahaja larangan agamawan keatas usaha yang murni dan bersih.
Justeru Imam Al-Ghazali telah mengingatkan dalam Ihya Ulumudin bahawa setiap agamawan yang menjejakkan kakinya ke dalam istana maka akan hilanglah cahayanya.
Maka setiap kebangkitan revolusi itu tidak terlepas dari asosiasi pembohongan agama kerana para agamawan itu telah di rantai lehernya oleh kuasa-kuasa politik kecuali mereka yang cekal untuk bangkit menentangnya.
Pengorbanan Untuk Menegakkan Keadilan
Maka bangkit perlawanan untuk menegakan keadilan, kebebasan dan menuntut hak. Paling penting sekali adalah membina sebuah ketamadunan yang bebas dari parasit pembodohan.
Sudah pasti ia pertarungan yang amat sengit yang akan mengorbankan banyak jiwa. Banyak lulusan agama tempatan enggan mengakui keabsahan naratif ini sebab motif pengorbanan Ibrahim a.s gagal difahami dengan jelas.
Bagi aku ia tidak pelik kerana sang Jibrail juga mempertikaikan hal yang sama khususnya tentang pergorbanan dan pertumpahan darah.
Namun begitu apabila aku meneliti babak akhir kisah korban Ibrahim dan Ismail maka pasti ramai yang akan mendakwa berlaku satu keajaiban.
Di saat yang sepatutnya Ismail a.s dikorbankan, diturunkan seekor kibas lantas Ismail bukanlah korban yang sebenar kerana bagi aku itu bukan satu keajaiban tetapi anugerah.
Lantas di sebalik korban itu maka Tuhan mengajarkan hamba bahawa di dalam hidup ini korban adalah suatu perkara yang subjektif dalam menggembleng sebuah perjuangan.
Tertumpahnya darah merah itu ke bumi demi menuntut sebuah keadilan dan perubahan, biarpun ia perit untuk diterima. Sesetengah bangsa di dunia melihat pengorbanan itu satu kemuliaan.
Ia seperti ibarat membelah dan mengupas sebiji durian yang memiliki kulit berduri tajam. Sudah pasti duri-duri itu melukai tangan yang mengupasnya.
Tetapi andai kulitnya yang berduri tajam berjaya dikupas maka akan kita menikmati betapa lembut dan manisnya isi durian tersebut.
Penghayatan Maksud Korban Yang Hilang
Maka sebelum kemanisan itu dikecapi ia harus melalui proses yang amat perit. Paling pasti ia menuntut nilai korban yang besar sebagai sebuah ganjaran yang harus dibayar untuk sebuah kejayaan.
Maka korban itu perlu untuk meraih kejayaan dalam suatu kebangkitan atau perjuangan. Tanpa pengorbanan takkan ada apa-apa kejayaaan.
Korban adalah harga sebuah revolusi. Korban menjadi pertukaran penting untuk sebuah perubahan dalam hidup.
Apa yang aku kesalkan ialah ibadah korban ini hanya sekadar syarat ritual sebagai muslim setiap kali tiba Aidil Adha tanpa setiap dari kita mengerti dan mempraktikkan maksud korban dalam revolusi hidup sebenar.
Maka mesej Tuhan dalam kisah pengorbanan Ibrahim dan Ismail gagal diterjemahkan dalam hidup manusia
Setiap kali itu juga aku sering teringat kata-kata Sam Witwicky (lakonan Shia Saide LaBeouf) dalam filem Transformers mengungkapkan slogan moyangnya Kapten Archibald Witwicky iaitu;
“No Sacrifice, No Victory” (Tiada kejayaan tanpa pengorbanan)
Salam Aidil Adha buat semua, aku menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf zahir dan batin.
*Lee SlimShady adalah bekas aktivis #OccupyDataran yang beriman kepada perjuangan radikal progresif jalanraya.
Kolem 3D – Tradisi India di Zaman Baru
Ruben membuat kolem sepanjang 18 meter di MidValley sempena Deepavali pada tahun lalu[/caption]
Kolem? Apa Simboliknya
Orang ramai yang berkunjung ke pusat beli-belah MidValley menjelang sambutan Deepavali pada tahun lalu melahirkan kekaguman melihat rekaan kolem pelbagai warna bersaiz 18 x 4.5 meter (60 x 15 kaki) yang menghiasi ruang legar.
Rasa hairan dan kagum bertambah apabila mereka menyedari bahawa individu yang mengusahakan kolem tiga dimensi (3D) itu adalah seorang pemuda berumur 28 tahun.
Kreativiti yang digunakan oleh Ruben Prakash dan rakan-rakannya untuk menghasilkan lukisan kolem yang cantik dan berwarna-warni itu ternyata menarik minat pengunjung pelbagai kaum lebih mengenali seni rekaan kolem.
Perkataan kolem dalam Bahasa Tamil membawa makna “indah” atau “cantik”. Penduduk di bahagian India Utara menggunakan istilah ranggoli yang biasa didengar dalam filem-filem Bollywood.
Tradisi rekaan kolem pada lantai dan kaki lima di depan rumah menjadi amalan dalam kalangan gadis dan wanita kaum India sejak ribuan tahun dahulu. Amalan itu berbalik kepada ajaran dharma atau kebajikan yang menjadi salah satu perkara penting dalam Sanathana Dharma (Hinduisme).
[caption id="attachment_4708" align="alignleft" width="400"]
Beras hancur dicampur pewarna makanan[/caption]
Pada zaman dahulu, golongan wanita India lebih banyak menghabiskan masa membuat kerja-kerja rumah dan menjaga keluarga. Maka, peluang untuk mereka terlibat dalam aktiviti kebajikan (dharma) dalam masyarakat umum sangat kurang.
Bagi mengatasi kekurangan itu, mereka mula mencipta corak kolem menggunakan serbuk tepung beras pada lantai. Senireka berwarna putih ini bukan hanya cantik dipandang, malah menjadi sumber makanan bagi serangga kecil, semut dan burung. Maka, golongan wanita juga berpeluang melakukan kebajikan yang dituntut dalam ajaran Hindu.
Sejarah ini dijelaskan secara ringkas oleh Retna Devi Balan menerusi sebuah makalah yang disiarkan dalam majalah Dewan Budaya keluaran September 1997. Katanya, selain daripada beras dan tepung beras, bahan-bahan lain yang selalu digunakan adalah kerisik kelapa, biji sagu, kacang hijau dan bunga.
Menurut Ruben yang tinggal di Puchong, Selangor, ada juga pembuat kolem yang turut menggunakan rempah-ratus tradisional India seperti bunga cengkih, kayu manis dan serbuk kunyit dalam usaha menghasilkan kolem yang unik serta menampilkan kekayaan tradisi.
“Saya menggunakan pewarna makanan untuk dicampurkan pada serbuk beras bagi menghasilkan corak pelbagai warna. Hal ini penting bagi memastikan bahawa tujuan asal rekaan kolem tidak terabai; iaitu memberikan makanan kepada serangga kecil dan semut,” kata graduan bidang reka bentuk grafik dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya.
Ada juga kedai menjual serbuk kolem pelbagai warna yang dicampur bahan kimia. Corak kolem yang terhasil memang cantik tetapi selepas beberapa hari, bahan kolem itu terpaksa dibuang kerana serangga tidak akan memakannya. Maknanya, rekaan kolem itu hanya untuk hiasan dan tidak lagi memenuhi tujuan asal memberi makan kepada serangga dan burung.
Tradisi Tidak Lupus di Tangan Pemuda
[caption id="attachment_4712" align="alignleft" width="201"]
Ruben Prakash[/caption]
Apabila Ruben diundang membuat kolem khas di MidValley pada tahun lalu, dia memastikan hanya bahan-bahan asli digunakan. Maknanya, hanya beras hancur dan pewarna makanan yang selamat dimakan digunakan.
“Awal-awal lagi saya sudah memberitahu pihak pengurusan bahawa apabila pameran berakhir beberapa minggu kemudian, beras warna itu jangan dibuang ke dalam tong sampah. Sebaliknya diberikan kepada serangga atau burung,” kata pemuda itu yang turut meminati bidang tarian, karate dan yoga.
Ruben tinggal di Persatuan Pure Life, Jalan Puchong sejak berumur sembilan tahun. Pada waktu itulah saya mengenalinya apabila beberapa kali Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan aktiviti Baca Cerpen Kavyan dan Apresiasi Sastera Remaja.
Semasa tinggal di Persatuan Pure Life, Ruben tertarik untuk mempelajari tarian tradisional etnik Tamil iaitu bharatanatyam. Pemuda ini turut belajar joget, tarian kipas, kathak, ngajat dan kathakali.
“Semasa tinggal di Persatuan Pure Life, saya belajar sendiri teknik rekaan kolem asas menggunakan tepung beras. Kemudian, seorang sukarelawan wanita yang datang dari India mengajar saya cara-cara menghasilkan kolem yang pelbagai,” kata Ruben yang menggunakan daya kreativiti dan imaginasi bagi menghasilkan pelbagai rekaan dan corak kolem.
Corak merak, bunga, lukisan abstrak, angsa, teratai dan wajah penari kathakali sering menjadi pilihan orang ramai yang mengundangnya membuat kolem sempena majlis perkahwinan, pertunangan, upacara keagamaan atau sekadar hiasan pada majlis kebudayaan.
Tidak ada saiz standard untuk rekaan kolem. Apa yang pasti, kolem biasanya berbentuk simetri. Kolem paling asas adalah dengan meletakkan empat titik pada lantai menggunakan serbuk tepung beras yang dicairkan dengan sedikit air. Kemudian, jari digunakan untuk membentuk corak garisan beralun mengelilingi titik-titik berkenaan.
[caption id="attachment_4711" align="aligncenter" width="502"]
Penghuni Persatuan Pure Life belajar membuat kolem ringkas[/caption]
Pada Mei 2003, sekumpulan 30 pelajar pelbagai kaum dari Kolej Prime USJ (kini Kolej SEGi) menghasilkan kolem 102.5 x 1.2 meter. Kolem dengan motif merak itu menggunakan sekitar 800 kilogram kerisik kelapa yang dikeringkan sebelum dicampurkan dengan pewarna ungu, kuning, hitam, putih, biru dan hijau. Kejayaan para pelajar tersebut turut mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records.
Pada tahun 2008, Ruben mendaftarkan Mangalam Creation yang berpengkhususan dalam kerja-kerja penghasilan kolem. Pemilihan nama adalah sempena Datin Paduka A. Mangalam yang mengendalikan Persatuan Pure Life dan menjadi sumber inspirasi serta pemberi semangat kepada Ruben sejak mula-mula tinggal di rumah anak yatim itu.
Sekumpulan remaja dari Persatuan Pure Life juga terlibat dalam aktiviti rekaan kolem bersama Ruben di bawah Mangalam Creation. Malah, beberapa anak didiknya memenangi pertandingan rekaan kolem dari semasa ke semasa. Segala kejayaan ini tidaklah menghairankan jika kita berpeluang melihat sendiri keunikan dan keistimewaan kolem yang dihasilkan.
Meneruskan Tradisi India di Zaman Baru
Salah satu corak menarik adalah kolem tiga dimensi (3D) yang menggabungkan seni reka visual tiga dimensi dengan rekaan kolem dua dimensi. Hasilnya adalah kolem yang seolah-olah benar-benar muncul dan timbul secara tiga dimensi pada permukaan lantai.
[caption id="attachment_4709" align="aligncenter" width="602"]
Kolem tiga dimensi seperti ini mendapat sambutan hangat[/caption]
Contohnya, bahagian kepala dan leher merak dibuat dalam bentuk 3D menggunakan polistirena. Bahan-bahan kolem pelbagai warna dilekatkan pada permukaan kepala dan leher merak itu mengikut corak yang sesuai.
Kemudian, bahagian kepala 3D itu diletakkan secara menegak di atas lantai. Rekaan kolem bagi badan, sayap dan ekor merak dibuat penuh indah pada lantai. Maka terhasillah kolem 3D yang menggambarkan seekor merak mengigal megah.
Menurut Ruben, corak kolem 3D yang sering dibuat olehnya adalah merak, gajah dan bunga teratai. Orang ramai yang mengundangnya membuat kolem sempena majlis perkahwinan, pertunangan, ponggal, tahun baru, Vishu, Ugadi dan Deepavali sering meminta pemuda itu menggunakan daya kreativiti bagi menghasilkan corak serta rekaan kolem yang lain daripada yang lain.
Hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa ramai juga generasi muda kaum India yang tidak tahu mencipta kolem. Ada juga wanita yang memberikan alasan tiada masa kerana sibuk dengan kerja, atau tidak cukup ruang di rumah yang sempit; apatah lagi jika tinggal di rumah pangsa.
Pada masa yang sama, bagi mengekalkan tradisi dan budaya, ramai yang menggunakan kolem tiruan berbentuk pelekat. Sayangnya kolem jenis ini tidak memenuhi niat asal mencipta kolem iaitu melakukan kebajikan dengan memberi makan kepada semut, serangga kecil dan burung.
Ramai pula yang memanfaatkan ruang kecil di rumah untuk mencipta kolem yang kecil, kemas dan cantik dengan menggunakan daya kreativiti dan imaginasi. Lampu kecil dan bunga-bungaan ditambah untuk menaikkan seri pada kolem kecil yang dibentuk. Perkembangan ini menunjukkan bahawa kesedaran terhadap nilai tradisional semakin meningkat di kalangan generasi muda.
Bagi mereka yang kekurangan idea, terdapat banyak buku terbitan India yang mengumpulkan pelbagai corak kolem serta memberikan panduan asas rekaan kolem. Ruben mengaku sering merujuk pelbagai buku seperti itu bagi mendapatkan idea dan inspirasi untuk menghasilkan corak-corak baru mengikut citarasa semasa.
Menurut Ruben, dengan adanya YouTube, orang ramai bukan sahaja boleh belajar memasak makanan pelbagai negara, tetapi juga cara mengikat sari dan membuat kolem. Generasi muda yang celik komputer dan teknologi maklumat (IT) pasti teruja untuk belajar menghasilkan kolem secara mudah.
Buat masa ini, Ruben menggunakan masa lapang untuk mengajar sekumpulan kanak-kanak dan remaja di Persatuan Pure Life menciptakan kolem dan membuat pelbagai barangan perhiasan bagi acara kebudayaan India.
Katanya, selain merupakan suatu sumbangan kecil kepada rumah anak-anak yatim yang menjadi tempat tinggalnya sejak berumur sembilan tahun, kelas rekaan kolem ini juga membantu mengisi masa lapang penghuni dengan aktiviti berguna.
Dengan adanya semangat meraikan kepelbagaian, memupuk persefahaman dan mengeratkan perpaduan, masyarakat pelbagai kaum dan etnik juga menunjukkan minat untuk mempelajari seni membuat kolem yang menjadi salah satu identiti kebanggaan kaum India.
Melukis gambar Nabi: Sejarah Islam yang tersembunyi mengenai imej Muhammad
Penterjemahan tidak rasmi “Drawing the prophet: Islam’s hidden history of Muhammad images” terbitan the Guardian. Penterjemah: Johan Zolhaidi.
Bagi kebanyakkan orang Islam, apa-apa gambaran visual tentang Nabi Muhammad dilihat sebagai suatu pencabulan ke atas agama Islam, tetapi pengharaman itu tidak selalunya mutlak dan sejak abad ketujuh, wujudnya tradisi seni Islamik yang menggambarkan secara visual tentang utusan Tuhan itu. Mengikut kata sarjana, ianya bermula dengan lukisan kecil yang cantik dari abad ke 13. Dibayar oleh pihak yang kaya dan berkuasa pada masa itu, para pelukis yang beragama Islam melakar hampir setiap episod tentang hidup Nabi Muhammad seperti yang tertera pada kitab Al-Quran dan teks-teks yang lain, dari waktu beliau lahir sehingga wafat dan juga peristiwa beliau diangkat naik ke syurga. Dengan niat bimbingan peribadi untuk aktiviti bersembahyang dan penghargaan, lukisan yang dilukis dengan terperinci ini dihasilkan untuk kedua-dua kelompok Islam, Sunni dan Shia, dan contoh-contoh lukisan yang berjaya diselamatkan boleh dijumpai di beberapa muzium utama dan di dalam koleksi perpustakaan. Ia telah menyediakan landasan kepada tradisi imej pemujaan dan inspirasi yang masih wujud sehingga ke hari ini, dari ikon yang dijaga dengan baik di rumah hingga ke lukisan mural pada bangunan lima-tingkat yang dikomisen oleh kerajaan di tengah bandar Tehran, dan juga seni jalanan yang revolusioner di Kaherah – walaupun gambar nabi dikaburkan di kedua-dua kawasan awam tersebut. Di kala terjadinya tragedi pembunuhan kartunis di pejabat majalah Charlie Hebdo di Perancis, kebanyakkan orang Muslim dan juga bukan Muslim berpendapat bahawa Islam memang sentiasa menghalang ataupun melarang apa-apa gambaran Nabi Muhammad, sebahagiannya adalah kerana wujudnya amaran yang tercatat di dalam Al-Quran dan juga teks agama yang lain tentang penyembahan ataupun apa sahaja yang dapat dilihat sebagai laluan kepada penyembahan. Pendapat ini jarang benar dipersoalkan, mungkin kerana kewujudan gambar-gambar Nabi Muhammad tidak diketahui ramai dan hampir tidak langsung dibincangkan oleh orang awam yang berada di luar daripada komuniti yang menciptanya, mempelajarinya dan membelinya. Tetapi kekaburan karya-karya ini seringkali menghampakan para pakar, yang melihatnya sebagai sebahagian daripada kekayaan warisan kesenian Islam dan membenci tanggapan bahawa satu-satunya penggambaran tentang Nabi yang wujud adalah karya yang rasis dan menghina, dan hanya dicipta oleh mereka yang tidak mempercayai agama Islam. “Ianya benar-benar penting untuk para audiens yang tidak pernah melihat karya yang menggambarkan kesolehan Nabi Muhammad untuk melihatnya, agar mereka mampu untuk membezakan karya yang mempunyai nilai kebatinan yang tinggi dan indah yang telah dihasilkan sejak 1000 tahun yang lepas dan dihasilkan untuk tatapan para Muslim, dengan penggambaran yang menghina dan lucah [yang sering ditunjukkan di dalam berita sejak kebelakangan ini],” kata Omid Safi, pengarah Pusat Pengajian Islam di Duke University yang terletak di North Carolina. Penulis kepada buku yang menceritakan tentang kehidupan Nabi, Memories of Muhammad, menyimpan satu gambar nabi di rumahnya, dibawanya dari Iran semasa beliau lari dari negara tersebut sewaktu umurnya kecil. “Saya rasa kebanyakkan orang tahu bahawa untuk saya, sebagai ahli akademik dan Muslim yang tajam pemerhatian, ianya terlahir daripada tradisi dimana dengan melihat ikon tersebut, mengingatkan saya tentang nabi, dan memikirkan tentang nabi mengingatkan saya tentang Tuhan,” katanya. “Ia menggunakan deria-deria yang ada untuk tiba menjumpai Tuhan.” Safi tidak memberitahu kesemua teman Muslim yang melawat rumahnya, siapakah ikon di rumahnya itu, dan dia hanya merujuk gambar tersebut sebagai manusia suci, kerana kebanyakkan ahli teologi akan menolaknya sebagai kufur. Sheikh Ibrahim Mogra, seorang imam di Leicester and penolong setiausaha agung Sidang Muslim di Great Britain, memberitahu BBC: “Islam secara amnya melarang penggunaan imej, dan bila tiba persoalan untuk menggambarkan Nabi Muhammad SAW, larangan menjadi lebih relevan: kami tidak dibenarkan untuk menggambarkan beliau dalam apa keadaan, cara ataupun bentuk.” Negara-negara Arab Muslim telah menolak kesemua rujukan tentang bentuk manusia sejak Islam mengambil tempat di seluruh benua, dengan para pemimpin terawal resah memikirkan cara untuk memisahkan kepercayaan jahiliah dan berhala yang digantikan oleh mereka. Tapi ianya tidak benar bagi orang Parsi dan Turki semasa agama Islam mula mengakar di tempat mereka, mengikut kata Profesor Christiane Gruber di University of Michigan, seorang pakar tentang penggambaran nabi di dalam kesenian Islam. Gambar pertama yang terselamat dari benua-benua ini dianggarkan terhasil pada abad ke 13 dan tidak dibataskan pada mana-mana kelompok. “Beberapa gambar yang terawal dicipta oleh pemimpin Sunni, yang ingin melawan Shiisme bapanya,” kata Gruber. Karya-karya tersebut barangkali sebahagian daripada tradisi yang lebih lama, tetapi askar-askar Mongol telah diarah oleh cucu Genghis Khan untuk menawan Baghdad pada 1258 dan menghancurkan perpustakaan imperial. “Kita tidak tahu banyak tentang buku kesenian Islamik sebelum itu,” kata Gruber. “Mungkin sahaja wujudnya suatu tradisi sebelum itu tetapi kita tidak akan tahu tentangnya ataupun mengisi jurang yang telah ada.” Pemimpin-pemimpin Muslim yang mengarah untuk menghasilkan gambar-gambar itu tidak pernah cuba untuk meletakkannya di kawasan pemujaan awam, dan dekorasi masjid hanya dibataskan kepada kaligrafi, floral ataupun senireka geometri. Sebaliknya imej-imej ini adalah barang mewah yang digunakan sebagai pujaan peribadi oleh segolongan elit, yang ingin mempelajari dan bertafakur tentang kehidupan nabi dan ajarannya di rumah. “Tidak ada banyak perbincangan awam tentang imej-imej Muhammad,” kata Gruber. “Kita tidak boleh menyalahkan komuniti Muslim tentang ketidaktahuan mereka bahawa gambar-gambar ini wujud, jika kita tidak memaparkannya kepada khalayak ramai. Menerbitkan gambar-gambar ini akan mengembalikan nilai artistik apabila berhadapan dengan sikap tidak hormat yang dilihat sebagai sesuatu yang benar-benar tidak munasabah. Adalah lebih baik untuk kita melihat kesemua gambar-gambar yang indah ini. Para Muslim dapat berbangga dengannya sebagai sebahagian daripada warisan kesenian yang benar-benar kaya.” Tidak wujud gambar-gambar Nabi Muhammad yang dipamerkan ke khalayak awam di UK. Metropolitan Museum of Art di New York pula, telah meletakkan satu gambar yang cantik merujuk kepada peristiwa Nabi Muhammad diangkat ke syurga di galeri kesenian Islam. Gambar kedua dapat dilhat di laman web muzium tersebut dibimbingi pengenalan mengenai tradisi seni yang ada. “Paparan sebegini, walaupun dapat dikatakan jarang wujud, masih boleh diterima oleh segolongan orang Muslim, kerana terdapat banyak penerimaan yang berlainan terhadap penggambaran Nabi – dan manusia secara am – di dalam dunia Islam,” mengikut pernyataan laman web itu. “Imej Nabi Muhammad pada bahagian awal buku diserikan dengan tingkat pemberkatan dan penyucian yang tinggi. Dengan demikian, ilustrasi Nabi Muhammad adalah suatu kebiasaan, khususnya di kawasan dunia Islam yang terletak di benua timur.” Baru-baru ini paparan kesenian Islam, termasuk imej-imej Nabi, di Bibliothéque Nationale yang terletak di Perancis berjaya menarik beberapa pelawat dan tidak menimbulkan apa-apa kontroversi. Dari sekitar 1500 Masihi, di kawasan Uthmaniyah, munculnya imej-imej Muhammad dengan mukanya diselubungi purdah, atau di dalam beberapa kes mukanya digantikan dengan bara api yang berwarna emas. Gambaran muka Muhammad tidak selalunya dikaburkan di dalam setiap gambaran yang ada, dan walaupun tradisi penggambaran beliau di dalam bentuk manusia mulai menjadi lesu, ianya tidak pernah mati. Ianya sesuatu yang umum di Iran, dimana kebelakangan ini wujudnya penjualan poskad, gambar-gambar dan juga karpet yang memaparkan imej Nabi, dan pada tahun 2008 kerajaan Iran memberi tugas kepada pelukis untuk melukiskan peristiwa Nabi menaiki buraq menuju ke syurga pada dinding bangunan lima tingkat, diinspirasikan oleh salah satu lukisan manuskrip. Ia juga turut muncul semula di kawasan Mesir yang kebanyakkannya dihuni oleh kelompok Sunni, dimana lukisan di dinding yang terletak di Jalan Mohamed Mahmoud menggambarkan Nabi Muhammad di atas kuda, mungkin bersedia untuk perang, dialihkan daripada orang yang melihatnya tapi dapat dikenali melalui tulisan kaligrafi yang terapung seakan bintang diatas kepalanya. Nasima Begum, jurucakap wanita bagi Sidang Muslim bagi Great Britain, berkata bahawa pandangan tentang penggambaran Muhammad adalah selaras, and menggambarkan seni suci itu sebagai pengajian sejarah yang janggal. “Persepsi tentang cara untuk menggambarkan Nabi tidak pernah berubah,” kata beliau. “Dipercayai bahawa Nabi tidak patut digambarkan langsung, walau bagaimanapun pada abad ke 12 dan 13, barangkali wujud buku yang menggambarkan Nabi Muhammad, tetapi mengikut fakta dimana gambarnya ditutup ataupun dikaburkan pada abad ke 16 menunjukkan bahawa kebanyakkan Muslim tidak selesa dengan pendekatan sebegitu rupa dan secara tidak langsung purdah digunakan untuk menutup mukanya.” Beliau menolak untuk memberi komen samaada sidang majlis tersebut akan bersetuju ataupun tidak mengenai paparan imej Nabi di pameran seni Islam, ataupun penerbitan mereka. Untuk Gruber dan ahli akademik yang lain, menerbitkan dan meraikan gambar-gambar dikirakan sesuatu yang penting. “Ianya bukan sesuatu yang merendahkan warisan yang ada; sebenarnya bagi saya adalah agak janggal bagi para Muslim untuk tidak menerbitkannya,” kata Gruber. “Seperti wujudnya suatu mesej yang merugikan apabila Muslim tidak mampu untuk menanganinya apabila melihat imej-imej tersebut ataupun berbincang mengenainya.” Beliau turut berkata semasa mengaji dan mengajar di dalam masa sedekad ini, beliau tidak pernah diugut dan tidak merasakan bahawa kerjanya berbahaya. “Jika saya berselindung di sebalik ketakutan, lalu ia pastinya bermakna bahawa saya sudahpun menganggap bahawa Muslim pada dasarnya ataupun sememangnya cenderung kepada keganasan, dan itu saya rasa adalah sesuatu yang menjelikkan,” kata beliau. “Setiap kali saya melihat atau mengadakan perbincangan awam tentang imej-imej sebegini, yang ada hanyalah reaksi positif.” KEHIDUPAN NABI MUHAMMAD 570 Muhammad dilahirkan di Mekah, Arab Saudi. Bapanya meninggal sekitar waktu itu. 575 Ibunya meninggal dunia, Muhammad menjadi anak yatim dan dijaga oleh atuknya, seorang yang berpengaruh di Mekah dan kemudian dijaga oleh pakciknya. 595 Pada umur 25, baginda mengahwini Khadija, seorang balu yang kaya. Mereka melahirkan dua anak lelaki, yang mati semasa bayi dan empat anak perempuan. 610 Muhammad menerima wahyunya yang pertama, di gua yang terletak di pinggir kota Mekah. 613 Baginda mula memberi ceramah kepada orang ramai. Muhammad, keluarganya dan pengikutnya dihukum dan dikecam. 622 Muhammad dan pengikutnya meninggalkan Mekah dan berhijrah ke pekan wahah yang dinamakan Yathrib, kemudian bertukar menjadi Madinah, tempat dimana ayahnya dikuburkan. Tahun ini menandakan tahun permulaan di dalam kalendar Islam. 630 Setelah bertahun-tahun berperang, pengikut Nabi menawan Mekah tanpa pertumpahan darah. 632 Baginda pulang semula ke Mekah, memberi ceramah perpisahan, kemudian meninggal di Madinah setelah jatuh sakit.
]]>Alkisah hutang lukisan Pak Samad
Pisang emas dibawa berlayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang lukisan perlu dibayar,
Jangan sampai menyesal nanti.
[caption id="attachment_3239" align="alignleft" width="300"] Salah satu slaid yang dipaparkan sewaktu pembentangan.[/caption]
Sewaktu membuat pendedahan terbuka mengenai “hutang” Kerajaan Negeri Selangor kepada Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) pada 1 April 2014, saya tidak menyangka tindakan itu akan membuka laluan ke arah pendedahan yang lebih besar mengenai Pakatan Rakyat (PR), khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Khabarnya Kerajaan Negeri Selangor masih berhutang belasan ribu ringgit setelah membeli lukisan daripada Pak Samad. Kalau ada wakil PR yang hadir, bolehlah tolong sampaikan kepada Menteri Besar dan Exco terbabit. Katakan bahawa Uthaya mengungkitkan isu ini.”
Demikian saya berkata semasa pembentangan kertas kerja sempena pelancaran rasmi novel Sungai Mengalir Lesu karya Pak Samad di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 1 April 2014.
Pada pendirian saya, pendedahan itu amatlah wajar untuk menunjukkan betapa kuasawan dan politikus beranggapan bahawa mereka boleh sewenang-wenangnya mengambil “harta” milik seniman dan sasterawan secara percuma.
Seolah-olah hasil seni dan sastera tidak mempunyai nilai. Seolah-olah seniman dan sasterawan perlu bersedia memberikan “harta” (hasil karya) dan “bakat” secara percuma kepada kuasawan dan politikus tanpa mengharapkan sebarang bayaran yang setimpal.
Insiden melibatkan lukisan Pak Samad berlaku pada 26 September 2012 apabila beliau diberikan Anugerah Sasterawan Tamu Selangor. Sesungguhnya, semasa membentangkan kertas kerja di KLSCAH, saya tidak tahu jumlah lukisan Pak Samad yang dibeli kerajaan negeri, siapakah Exco terbabit, kepada siapa lukisan itu dihadiahkan dan harga/nilai sebenar lukisan terbabit.
[caption id="attachment_3238" align="alignleft" width="300"]
Kebimbangan yang diluahkan semasa membicarakan novel Pak Samad.[/caption]
Hanya pada keesokan hari (2 April 2014), saya mendapat maklumat penuh menerusi laporan-laporan bertajuk “Exco Selangor tidak bayar duit lukisan Pak Samad” (Astro Awani), “Exco hutang lukisan Samad Said RM16,000” (Free Malaysia Today), “Exco Selangor akui tak bayar lukisan Pak Samad” (The Malaysian Insider) dan “Kerajaan Selangor akan bayar lukisan Pak Samad” (Malaysiakini).
Melalui laporan media alternatif itulah saya – sebagaimana orang ramai – mendapat tahu bahawa dua buah lukisan dibeli untuk dihadiahkan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sempena majlis yang berlangsung pada 26 September 2012.
Soalnya, mengapa masa yang begitu lama diambil – jika kerajaan negeri ikhlas dan jujur dalam pembelian itu – untuk membayar kepada Pak Samad? Sebagai seorang seniman, Pak Samad pula memilih untuk berdiam diri dan tidak mengungkitkan isu “hutang” berkenaan.
Beri geran, ambil lukisan?
Akan tetapi, apakah hal ini bermakna PR dan PKR boleh buat-buat lupa? Jika inilah sikap yang dimiliki, apakah bezanya antara Barisan Nasional (BN) dan PR dalam soal menghargai seniman dan sasterawan?
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Januari 2014 memperkotak-katikkan golongan sasterawan dengan membahagikan mereka menjadi dua kelompok: “penyokong kerajaan” dan “penyokong pembangkang”. Seolah-olah golongan sasterawan dan seniman tidak punya maruah; sebaliknya perlu bernaung di bawah parti politik dan celah kangkang politikus.
Berbalik kepada isu tadi, Pak Samad tidak mendedahkan nama Exco terbabit semasa berucap di KLSCAH bagi mengulas pendedahan terbuka yang saya lakukan berhubung lukisan terbabit. Beliau hanya menyatakan bahawa Exco terbabit sudah dimaklumkan tentang harga lukisan yang mahu dibeli.
Sehari selepas pendedahan dibuat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail tampil “mengakui kesilapan gagal melunaskan bayaran lukisan yang dibeli” (The Malaysian Insider, 2 April 2014) dan “Mesyuarat Exco negeri meluluskan pembayaran penuh kepada Pak Samad secepat mungkin selepas ini” (Malaysiakini, 2 April 2014).
Maknanya, jika isu “hutang” itu tidak ditimbulkan, maka kerajaan negeri dan Exco terbabit mungkin akan terus buat-buat lupa sampai kiamat – atau sehingga BN “merampas” Selangor.
“Saya tidak terkejut apabila terbaca mengenai Pak Samad dan lukisannya. Saya semacam sudah programkan diri secara tidak sedar bahawa politikus adalah spesis manusia yang oportunis,” kata Kirubananthan Muniandi, seorang tukang lukis dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Besar kemungkinan berlaku salah faham dalam isu ini. Mungkin Kerajaan Negeri Selangor melihat Pak Samad sebagai pro-PR, maka lukisan tersebut dianggap sebagai ‘sumbangan’ dan bukannya ‘pembelian’. Usah kita lupa bahawa karya seni Pak Samad ada nilai dan harga tersendiri,” Nagathisen Katahenggam, seorang penjawat awam dari Pulau Pinang berkongsi pandangan menerusi mesej Facebook.
Nampaknya Kerajaan Negeri Selangor memang “hebat”. Luluskan geran RM10,000 kepada Pak Samad tetapi pada masa sama “mencuri” (terlepas pandang perihal bayaran) lukisan bernilai RM16,000. Demikian saya paparkan pada ruangan status Facebook pada 4 April 2014 selepas membaca pelbagai kenyataan Rodziah yang disiarkan di media.
Menurut laporan The Malaysian Insider (2 April 2014), lukisan berkenaan “tidak dibayar” tanpa pengetahuan Rodziah. Katanya, berlaku salah faham kerana kerajaan negeri hanya membayar RM10,000 atas pengiktirafan Pak Samad sebagai Sasterawan Tamu Selangor tetapi “tidak menyentuh mengenai sebarang urusan jual-beli lukisan berjumlah RM16,000.”
Kenyataan bercanggah oleh politikus
Rodziah juga memberitahu sidang media bahawa isu itu dianggap selesai selepas diserahkan kepada Dr Ahmad Yunus Hairi yang memegang portfolio Sukan, Belia dan Adat Resam Melayu untuk tindakan selanjutnya.
Akan tetapi, seperti biasa, nampaknya kata-kata politikus tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Apa tidaknya! Pada 2 April 2014, Rodziah mengesahkan bahawa kedua-dua lukisan berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Muzium Negeri Selangor di bawah pengurusan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).
Dalam sidang media khas pada 4 April 2014, Rodziah mengatakan bahawa beliau tidak pasti sama ada dua lukisan itu telah diserahkan kepada Padat untuk tujuan pameran.
Sebaliknya, tujuan sebenar sidang media khas itu adalah untuk membolehkan Rodziah menunjukkan “bukti” bahawa geran berjumlah RM10,000 yang diumumkan pada 26 September 2012 sudah dibayar kepada Pak Samad pada 5 Februari 2013.
[caption id="attachment_3240" align="alignright" width="300"]
Pak Samad terpaksa “mengakui” hutang lukisan selepas diungkitkan.[/caption]
Soalnya bukan geran RM10,000 tetapi “hutang” RM16,000 bagi lukisan Pak Samad. Akan tetapi, nampak gayanya, seperti dilaporkan Malaysiakini, Rodziah dalam sidang media itu mengaku “tidak ada secara langsung terlibat dalam proses rundingan berkaitan harga lukisan berkenaan” dan beliau “tidak berada dalam lembaga pengarah badan itu pada hujung 2012”.
Dua hari sebelumnya, Exco itu mengakui bahawa “apa yang berlaku adalah ekoran salah faham” kerana beliau yang ketika itu memegang portfolio kebudayaan negeri “tidak mengetahui yang lukisan tersebut perlu dibayar berasingan”.
Pada sidang media 4 April 2014, beliau mengakui bahawa “kerajaan negeri tidak boleh beli terus, jadi kita beli melalui Padat dan diserahkan kepada mereka (Anwar dan Khalid)” serta “pembelian itu dibincang dan (harganya) dipersetujui kedua-dua pihak” iaitu kerajaan negeri dan Padat.
Sudah dinyatakan bahawa apabila saya membangkitkan isu “hutang” ini pada 1 April 2014, saya tidak tahu siapa Exco terbabit. Maka, agak “menarik” juga apabila ditimbulkan dalam Malaysiakini (4 April 2014) kemungkinan saya mahu menggagalkan usaha Rodziah bertanding jawatan Ketua Wanita PKR dalam pemilihan parti.
Perkara kecil ini kembali menyedarkan kita bagaimana politikus dianggap “dewa” dan segala perkara yang berlaku pasti ada kaitan dengan hal-hal peribadi mereka. Hutang lukisan yang ditimbulkan adalah demi menuntut hak Pak Samad yang juga Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan); tiada apa-apa kaitan dengan golongan “dewa”, kuasawan dan politikus.
Dalam hal ini, saya memuji sikap Rodziah yang mengakui bahawa “wajarlah pihak itu menimbulkan tanda tanya dalam media (mengenai hutang lukisan) supaya kami tersedar balik” dan “saya melihat ia sebagai satu keluhan terhadap pentadbiran kerajaan negeri supaya dipercekapkan lagi” (Malaysiakini, 4 April 2014).
Jangan zalimi seniman, sasterawan!
Berikutan pendedahan yang dibuat, Pak Samad sudah dihubungi Jabatan Muzium Selangor untuk menguruskan bayaran “hutang” lukisan (The Malaysian Insider, 3 April 2014). Maknanya, golongan seniman dan sasterawan perlu berani bersuara lantang jika mahu menuntut hak dan “hutang” daripada kerajaan.
“Sekiranya atas dasar jual-beli, seharusnya begitulah tradisi perniagaan. Sebaliknya jika atas dasar ‘ambil dulu, kira kemudian’ maka terbuka untuk membuat tuntutan di kemudian hari. Seniman memerah keringat dan idea. Jika pembeli tidak membayar, mereka seharusnya berasa malu,” kata Tengku Syahrel Raja Alaaudin (Awang Kechil), seorang pelukis dan penulis dari Kuala Lumpur.
Helmy Samad selaku pengurus syarikat Wira Bukit Sdn Bhd yang menerbitkan buku-buku Pak Samad turut meluahkan pandangan menerusi catatan di Facebook.
“Dari zaman Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), projek buku dengan Kerajaan Negeri Melaka, perolehan koleksi buku dan manuskrip oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan kini soal lukisan Bapak. Salahkah meminta sesuatu yang terhutang?
“Saya tahu Bapak dalam kesulitan. Bapak tiada banyak sumber hasil kecuali daripada karya dan pembacaan puisi. Bapak juga sangat ‘cerewet’ dan berhati-hati dalam hal ini. Bapak tidak mahu ‘dibeli’ atau rasa ‘terhutang’ jasa.
“Kadang-kadang dalam kehidupan, meminta sesuatu yang terhutang adalah satu ‘kesalahan’. Dalam soal ini, saya hanya mahukan Bapak dibayar,” kata Helmy dalam catatannya itu.
Muhyiddin beranggapan bahawa golongan sasterawan sentiasa bersama kerajaan (BN) dan tidak pernah bersama pembangkang (PR) dalam membangunkan negara (Utusan Malaysia, 8 Januari 2014). Saya percaya sudah terlewat untuk membaiki sebarang ketololan yang sudah berakar-umbi dalam minda politikus dan juak-juak BN.
Akan tetapi, janganlah pula PR yang membentuk Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008 meniru kebodohan pihak lawannya. Seniman dan sasterawan (kecuali “macai” dan puak “carma” yang tidak ada maruah diri) serta hasil karya (seni dan sastera) mereka ada harga serta nilai yang perlu dihormati.
Mungkin benar bahawa sekelompok seniman dan sasterawan menyokong perjuangan PR kerana menyampah dan meluat dengan BN. Akan tetapi, beringatlah bahawa sekiranya PR bersikap “dua kali lima, lima kali dua” dengan BN, seniman dan sasterawan tidak akan menyokong secara membabi buta.
Sasterawan dan seniman ada kuasa untuk “menjatuhkan” politikus yang zalim, menindas dan tidak beretika. Air yang tenang jangan disangka tidak berbuaya. Semoga Kerajaan Negeri Selangor tidak menjadi “mangsa” kemarahan seniman dan sasterawan.
Seni dan budaya: apa cerita?
Islamisasi, Arabisme, kapitalisme dan kuasa: apa persamaan mereka? Semua memainkan peranan dalam menekan dan mengkongkong hak dan perkembangan seni budaya di Malaysia. Inilah antara isu-isu yang dikupas dalam episod Dialog Jalanan minggu ini.
Zikri Rahman dan Baihaqi Najib kali ini disertai penggerak-penggerak seni Hasmi Hashim dan Aisyah Baharuddin untuk merenung isu kepentingan seni dalam kematangan (?) masyarakat Malaysia dan masa depan seni mereka yang tak tentu. Dendangan suara merdu Mior Yusuf Aziddin turut menyertai perbincangan. Mengenai Dialog Jalanan: Dialog Jalanan merupakan satu podcast yang bertujuan untuk meluaskan wacana kritis melalui renungan mengenai isu-isu semasa, terutamanya isu-isu yang berkaitan dengan hal hubungan antara budaya dan agama di negara Malaysia yang kaya dengan kemajmukan. Niat asas kami hanyalah untuk mendalamkan pemahaman kami terhadap isu-isu yang biasanya digelar sensitif dengan cara yang berpaksikan nilai kemanusiaan. Niat dan matlamat kami bukan untuk menyebar mana-mana ideologi atau agama. Podcast ini diterbitkan dengan kerjasama Buku Jalanan. Buku Jalanan ialah sebuah gerakan perpustakaan jalanan yang berkonsepkan peminjaman buku secara percuma, tanpa birokrasi dan seiringan dengan aktiviti seni serta kebudayaan. Ianya bermula di Shah Alam pada tahun 2011 dan kini telah berkembang kepada lebih dari 30 buah perpustakaan – semuanya bergerak dengan autonomi penuh dan dicorakkan oleh keadaan dan agenda tempatan masing-masing. Yang menyatukan kesemua Buku Jalanan ialah sebuah aktivisme untuk membawa kesusasteraan dan kebudayaan ke masyararakat umum dengan menggunakan ruang awam di setiap kota yang mereka diami. ]]>