Projek Dialog

Dilema sekelompok Melayu

Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013) terpaksa diakui kebenarannya. Apabila saya menulis makalah “Dilema Melayu, Cina, India” (Projek Dialog, 16 April 2014) serta memetik beberapa pandangan Sulaiman, saya mengandaikan akan ada hujah balas yang rasional dan bernas daripada pembaca untuk menafikan kata-kata ilmuan berumur 71 tahun itu. Akan tetapi, ternyata masih wujud sekelompok kecil manusia yang kurang mampu membaca – bukan sekadar mengeja-eja dan mengeluarkan suara – lalu memutar-belitkan fakta sehingga komen-komen yang disebarkan menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook tersasar jauh dari topik asal. Saya hanya mampu menepuk dahi dengan penuh kecewa apabila kesimpulan yang dibuat oleh beberapa kelompok manusia daripada makalah berkenaan adalah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”. [caption id="attachment_3357" align="alignleft" width="300"]Berapa ramai yang membaca buku ini sebelum komen? Berapa ramai yang membaca buku ini sebelum komen?[/caption] Lebih menarik apabila ada pula puak tertentu yang sekadar membaca kesimpulan itu dan mula kecoh secara berlebih-lebihan tanpa ada kemampuan membaca makalah asal. Apatah lagi kemampuan membaca buku tulisan Sulaiman. Sayang seribu kali sayang. Ada sekumpulan kecil manusia yang tidak cukup pandai untuk membezakan antara “hujah Uthaya Sankar SB” dan “hujah AB Sulaiman”. Maka, seluruh hujah balas (reaksi) menjadi tidak logik dan sekadar merapu. Bayangkan bahawa seseorang berada di Kuala Lumpur dan mahu memandu ke Perlis menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan. Dia terus memandu menuju ke Seremban dan tertanya-tanya mengapa tidak ada papan tanda menunjukkan arah Perlis. Dia terus memandu hingga ke Johor Bahru tetapi tetap mengatakan bahawa dia mahu pergi ke Perlis. Saya sudah menegaskan pada ayat terakhir dalam makalah itu sendiri: “… saya berharap topik yang diketengahkan di sini akan mendapat reaksi pelbagai pihak berasaskan pemikiran rasional dan hujah berbentuk fakta ke arah memulakan dialog sihat.” Maka, apabila diberitahu bahawa ada beberapa pandangan sedang disebarkan menerusi laman rangkaian sosial, saya teruja kerana mengharapkan serta mengandaikan bahawa akan ada dialog yang intelektual. Malangnya, apa yang saya temui hanyalah komen-komen merapu yang tidak sedikit pun mengembangkan minda. Sebaliknya, reaksi penuh emosional yang sesungguhnya membuktikan segala hujah serta pandangan yang dikemukakan oleh Sulaiman menerusi bukunya. Cuba menegakkan benang yang basah Anehnya, apabila ada orang tampil mengemukakan komen yang intelektual dan rasional serta ternyata memahami kandungan sebenar makalah saya, mereka pula menjadi sasaran kelompok “minda tertutup” yang tidak mahu mengizinkan akal (Arab) dan budi (Sanskrit) mengatasi emosi negatif sedang mereka sebarkan. Bayangkanlah hakikat bahawa saya hanya memetik satu bahagian kecil daripada buku Sensitive Truths in Malaysia tetapi reaksi yang tersebar di ruang siber sudah lebih daripada mencukupi untuk menunjukkan memang wujud sekelompok kecil manusia (bukan semua) sebagaimana digambarkan oleh Sulaiman. Ya, ternyata bukan imaginasi penulis semata-mata! “There is no such thing as a Malay race,” kata Sulaiman, penulis, ilmuan dan pengkaji berumur 71 tahun itu dalam bukunya. Pada pandangan beliau, “kaum Melayu” tidak wujud. Mengulas lebih lanjut, Sulaiman mengakui bahawa hujah dan pandangan ini pasti membuatkan Perkasa, Umno dan puak etnosentrik marah dan kecewa. Demikian salah satu petikan dalam makalah saya yang ternyata menimbulkan kemarahan sekelompok kecil warga siber dan keyboard warriors. Tetapi ingat! Majoriti kelompok itu yang berkongsi komen penuh emosional tidak pula mengambil inisiatif membaca keseluruhan makalah asal yang saya tulis. Salah satu komen panjang yang sempat saya baca dimulakan dengan premis “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”. Dari mula hingga akhir komen panjang-lebar itu, itulah benang basah yang cuba ditegakkan. Lebih menyedihkan (kerana saya telah mengharapkan komen dan dialog intelektual) apabila rata-rata orang yang membaca komen panjang-lebar itu pula terus mempercayai sepenuhnya hujah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud” lalu tampil sebagai “serikandi Melayu” untuk berhujah penuh emosional; kononnya demi mempertahankan maruah kaum, bangsa dan agama. [caption id="attachment_3359" align="alignleft" width="300"]Topik mengenai “Melayu” terus diperdebatkan. Topik mengenai “Melayu” terus diperdebatkan.[/caption] Apabila saya memetik pandangan Sulaiman dalam makalah yang membicarakan dilema orang Melayu, Cina dan India, salah satu harapan saya adalah supaya khalayak (khususnya khalayak sasaran buku itu, iaitu orang Melayu) mencari, meneliti, membaca dan memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis berkenaan sehingga beliau berani berkata “There is no such thing as a Malay race.” Malangnya, mungkin kerana buku berkenaan ditulis menggunakan Bahasa Inggeris (“bahasa penjajah”) maka diabaikan begitu sahaja. Tanpa disedari, salah satu “sikap Melayu” yang disebutkan oleh Sulaiman dalam bukunya sudah terbukti benar dalam kelompok kecil ini. Lebih menarik apabila makalah asal saya di Projek Dialog juga tidak dibaca. Kalaulah dibaca, tentu kelompok kecil yang “menyalak bukit” itu akan sedar bahawa “we are barking up the wrong tree” – mereka sedang menyalak ke arah pokok yang salah. (Oh, ya! Pasti selepas ini akan dijadikan isu oleh sekelompok kecil manusia kononnya “Uthaya samakan bangsa Melayu dengan anjing” semata-mata kerana saya menggunakan peribahasa Melayu dan Inggeris pada perenggan di atas. Sekali gus terus membuktikan satu lagi hujah Sulaiman dalam bukunya.) Komen emosional, tidak rasional Kalaulah kelompok kecil manusia yang penuh emosional itu berpeluang membaca makalah asal saya, tentu mereka akan faham apa yang sebenarnya diperkatakan. Tidak perlulah saya menerangkan satu per satu di sini kerana perbuatan itu hanya akan membuktikan hakikat mengenai daya intelektual sekelompok kecil orang Melayu sebagaimana diperkatakan oleh Sulaiman. Sesiapa yang membaca makalah asal saya akan tahu (kecuali mereka memilih untuk berpura-pura tidak tahu) bahawa pandangan “kaum Melayu tidak wujud” dikemukakan oleh Sulaiman dalam bukunya. Saya memetik pandangan itu antara lain untuk menunjukkan contoh dilema dalam kalangan orang Melayu. Malangnya, sekelompok kecil manusia yang disifatkan oleh Sulaiman sebagai bersifat etnosentrik, memiliki minda tertutup, bersikap seperti katak di bawah tempurung serta tidak mahu berfikir secara rasional memilih untuk hanya berpegang pada hujah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud” yang dikemukakan oleh beberapa “serikandi Melayu” menerusi komen merapu di ruang siber. Sebagai penulis makalah dan sebahagian keluarga Projek Dialog yang mengimpikan dialog, perbahasan, hujah dan komen intelektual yang membina minda, tentulah saya berasa amat sedih kerana apa yang berlaku hanyalah komen-komen emosional yang tidak lain dan tidak bukan sekadar mengukuhkan lagi pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh Sulaiman dalam bukunya. (Buku Bahasa Inggeris itu masih berada dalam pasaran serta boleh dibeli dan dibaca oleh sesiapa yang benar-benar berminat. Maka tidak perlulah saya menterjemahkan keseluruhan kandungan buku itu di sini.) Salah seorang individu yang terbaca sebahagian komen-komen di ruang siber telah mengirimkan pautan kepada saya menerusi mesej peribadi di Facebook. Selepas pergi laman berkenaan dan membaca komen-komen merapu berasaskan premis “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”, saya meluahkan rasa kecewa kepada individu berkenaan. Saya katakan bahawa rata-rata komen di pautan berkenaan hanya menguatkan hujah Sulaiman mengenai mentaliti, pemikiran dan intelektualiti sekelompok orang Melayu. Saya tegaskan juga bahawa orang yang mengatakan “kaum Melayu tidak wujud” adalah Sulaiman. “Saudara telah memetik kata-kata itu dalam makalah, maka kami berhak untuk mengatakan bahawa itu adalah hujah saudara juga dan saudara pasti setuju dengan pandangan Sulaiman,” jawabnya dan saya terkedu. Sulaiman benar sekali lagi! Malah, penulis itu mengatakan “kaum Melayu tidak wujud” dan bukannya “bangsa Melayu tidak wujud” atau “keturunan Melayu tidak wujud” atau “orang Melayu tidak wujud” atau “Kepulauan Melayu tidak wujud”. Menerusi makalah saya, diperkatakan mengenai dilema serta kekeliruan yang dihadapi orang Melayu, Cina dan India di Malaysia (ulang: di Malaysia) berikutan penggunaan “keturunan”, “kaum” dan “bangsa”. Tidak tahu pula di mana saya menafikan kewujudan orang Melayu. Silogisme Sulaiman ternyata benar Sulaiman memberikan beberapa contoh silogisme (syllogism) dalam bukunya. Salah satu: “The Malay is Muslim. Only Muslims go to Heaven. Therefore the Malay goes to Heaven.” Reaksi merapu yang tersebar selepas makalah saya tersiar boleh disimpulkan menerusi silogisme seperti berikut: “Sulaiman says the Malay race does not exist. Uthaya quoted Sulaiman in his article. Therefore Uthaya says the Malay race does not exist.” Kalaulah saya menafikan kewujudan orang Melayu, mengapa pula saya menulis sekian banyak makalah khusus mengenai orang Melayu? Misalnya “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013) dan “Perihal Raja-raja Melayu” (Projek Dialog, 5 November 2013). Makalah “Kisah Tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) menegaskan bahawa Malayu/Melayu telah wujud di Nusantara (Kepulauan Melayu) jauh sebelum kedatangan Islam. Akan tetapi, seperti yang dapat diduga, makalah itu juga menimbulkan kemarahan sekelompok kecil manusia. Semasa membaca buku tulisan Sulaiman, saya tersenyum lucu apabila beliau membandingkan kelompok “bodoh sepat” (pura-pura bodoh) dengan kelompok “bodoh sombong” (terlalu bodoh sehingga tidak sedar dirinya bodoh). Apabila membaca segala komen merapu di ruang siber mengenai makalah saya, saya terkedu memikirkan kebenaran kata-kata itu. Mujurlah rata-rata orang Melayu yang saya kenali tidak termasuk dalam kelompok kecil seperti yang dikritik oleh Sulaiman menerusi bukunya. Rata-rata orang Melayu yang saya kenali tidak akan dipengaruhi emosi dan terus melenting tanpa membaca makalah asal serta buku yang menjadi rujukan. Malangnya, dalam realiti, tidak semua orang sehebat dan sebijak rakan-rakan dan saudara-mara Melayu-Islam yang saya kenali dalam kehidupan seharian. Sebagaimana dalam mana-mana kaum, ras, etnik dan bangsa, akan tetap ada sekelompok kecil manusia yang memenuhi hampir kesemua ciri yang diketengahkan oleh Sulaiman dengan penuh berani dalam bukunya. [caption id="attachment_3358" align="alignleft" width="300"]Salah satu pandangan yang dikongsi di ruang siber. Salah satu pandangan yang dikongsi di ruang siber.[/caption] Satu-satunya komen agak intelektual yang sempat saya baca (sehingga makalan ini ditulis) adalah apa yang dikemukakan secara kolektif oleh suatu kelompok yang menggelarkan diri mereka “The Patriot”. Terima kasih kepada seorang individu bernama Helmi Effendy yang mengirimkan pautan berkenaan. Tajuk “Melayu itu bangsa yang tidak wujud – Uthaya Sankar SB” serta pelbagai hujah tetap merupakan premis yang tersasar jauh. Akan tetapi, saya cukup gembira kerana banyak “pendedahan” yang mereka lakukan mengenai orang Melayu menerusi tulisan berkenaan dan pasti bermanfaat dalam mengatasi dilema Melayu. Dalam pada itu, saya masih optimis bahawa akan ada dialog, perbahasan dan komen intelektual dan rasional daripada khalayak pembaca pelbagai lapisan selepas membaca buku Bahasa Inggeris oleh Sulaiman. Atau sekurang-kurangnya selepas membaca dengan teliti makalah saya yang ditulis menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah difahami oleh semua.                 unnamed    

]]>

Assajjad Movement condemns the arrest of Malaysian Shia cleric

the arrest was made after ROS lodged a police report on the existence of Ja’fari movement whom are not registered as an association. However it is important to note here that on 24 July 2013, Secretary General of the Ministry of Home Affairs, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, said that it is decided by the Home Ministry that any Shia movement are not recognized and considered illegal. This according to him is in accordance with Section 5 of the Societies Act 1966. He was commenting an attempt by a Shia organization to apply to register with the The Registrar of Societies of Malaysia in the state of Melaka on June 18 2011, but was rejected on August 4 of the same year. Datuk Othman Mustapha, Head of Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (The Department of Islamic Development Malaysia under Prime Minister’s office) once stated that Shia is a banned faith in Malaysia under Sharia law, and any movement or activities as a community is also illegal and can be arrested under civil law. On 29th July 2013, Minister in the Prime Minister’s Department Datuk Seri Jamil Khir Baharom said that Malaysian government tolerates Christians, Hindus and other faith but wont allow Shia faith to exist as Malaysian Muslims are only entitled to be Sunni followers. He also stated that Shia is not a school of thought that is recognized. Malaysian government’s ill treatments against Shia adherents are resulted from a 1996 fatwa banning, outlawing and declaring Shia as ‘a deviant teaching’. Mr Kamil Zuhairi was released with two guarantors before midnight and the investigation is still ongoing. He is given a date to appear in court and is suspected of violating section 42 of the Societies Act. Mr Kamil will be given two months by ROS to give explanations or he will face charge. We denounce this act of the State as opressive as it violates the fundamental rights of human beings. The State should be reminded of its obligation to respect and fully protect the rights of all individuals to assemble peacefully and associate freely. We believe this matter should be taken into consideration by Mr Maina Kiai, UN Special Rapporteur on the rights to freedom of assembly and association.

]]>

Adakah Tuhan menentang anak yatim?

ini saya akan menulis tentang pertentangan di antara Tuhan dan anak yatim. Dan saya akan menulis berdasarkan pemerhatian saya. Tetapi kali ini jangan harap saya akan masukkan petikan dari al-Quran atau Hadis. Saya tidak akan memakai serban pada kali ini untuk menjual agama. Malah jangan harapkan saya memetik kata-kata pujangga besar. Anak-anak ini lebih besar dari pujangga sebesar mana pun mereka. Hari ini Malaysia, sebuah negara Asean paling maju, punya menara berkembar setinggi 4 kali Everest, jaringan LRT 18 kali lebih dahsyat dari Tube di London, malah penganjur pertandingan kereta berenjin jet kapal terbang F1 yang disegani seluruh dunia. Semua rakyat berbangga menjadi anak Malaysia. Khabarnya 6 tahun lagi, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Kereta terbang di Kuala Lumpur, polis robot aka Robocop di Machang dan Putrajaya akan menjadi pusat pentadbiran paling canggih dengan teknologi aeronautik dan nuklear menjadi nadi kehidupannya. “Tolong Kami Bantu Kami” Tetapi dua hari yang lalu, saya terjumpa sebuah video di laman Youtube menayangkan sebuah program untuk orang kaya, bangsawan dan kerabat diraja di sebuah mahligai bertatah emas yang menggunakan anak yatim untuk membuat persembahan. Dan persembahan yang ditayangkan di dalam video tersebut adalah persembahan anak yatim, menyanyikan lagu Tolong Kami Bantu Kami. Saya tak perlukan penjelasan lanjut. Saya tak nak tahu siapa arahkan anak-anak ini menyanyi lagu seperti itu. Saya tak peduli siapa yang bawa mereka ke majlis yang menghidangkan air dari syurga itu. Semua orang boleh beri alasan. Siapa sahaja boleh cipta pelbagai situasi untuk menyesuaikan diri mereka. Semua itu boleh pergi mati. Tetapi tatkala kita berbual hal Wawasan 2020, mengamalkan sistem perbankan Islamik, demokrasi berparlimen, mempunyai seorang angkasawan Muslim dan berjuta slogan muluk-muluk, lihat bagaimana akhlak kita dengan anak yatim? Masyarakat ‘2nd Class’ Tuan-tuan dipersilakan pergi ke rumah anak yatim di sekitar kariah tuan-tuan setiap hujung minggu. Lihat apa aktiviti mereka. Kalau mereka tak bermain pasir, mereka akan diangkut oleh orang kaya, kaum bangsawan dan kerabat diraja ke kenduri-kendara untuk menghabiskan sisa makanan. Tuan-tuan lihat baju yang mereka pakai, dan perhatikan baju yang disumbangkan oleh masyarakat. Tuan-tuan belek buku yang mereka baca. Baju yang mereka pakai bukan baju baharu. Baju yang mereka pakai itu baju ‘2nd hand’ yang dilonggokkan oleh keluarga Pak Ali yang mahu mengosongkan almari rumah. Buku yang mereka baca bukan buku baharu. Buku itu ialah buku ‘2nd hand’ yang di hantar oleh keluarga Makcik Zainab yang merasa rumahnya kini sempit dengan longgokan buku teks anak-anaknya. Kita panggil anak-anak ini datang makan di kenduri kita kerana kita mahukan pahala, kerna kita mahu masuk ke syurga dengan jalan pintas. Jika bukan kerana syurga, mustahil kita akan panggil anak-anak ini menghabiskan makanan kita. Kita sumbangkan baju terpakai kerana rumah kita semak dan penuh dengan baju-baju lama. Dengan menghantarnya ke rumah-rumah anak yatim, kita harap Tuhan akan memberikan kita skuter hibrid untuk ke syurga dengan lebih pantas. Kita longgokkan buku terpakai ke pusat jagaan anak yatim kerana mahu mengubahsuai rumah. Ketika itu baru kita terlihat longgokan buku. Dengan menghantarnya ke tempat yang tidak ada siapa akan menolak, kita berdoa agar Tuhan membelikan kita sebuah kereta berenjin jet kapal terbang untuk memotong orang lain dan lebih cepat masuk syurga. Tiket sehala ke syurga Itu baru cerita bab kenduri, bab baju dan bab buku. Pada bulan Ramadhan lebih dahsyat suasananya. Saban hari anak-anak akan dibawa berbuka puasa bersama orang kaya, sang bangsawan dan kerabat diraja ini. Mereka akan dihidangkan dengan susu dari syurga, kurma dari zaman Nabi serta daging burung Merak dari kayangan. Semua orang berlumba-lumba mendapatkan mereka. Semua syarikat, yayasan mahupun agensi kerajaan akan memastikan mereka dapat berbuka puasa bersama anak-anak. Ketika berbuka itulah mereka berbual sesama mereka seolah-olah mereka telah mendapat satu tiket ke syurga setiap seorang. Ahli politik tidak kurang jijiknya, mereka akan terjun bersama orang kaya, sang bangsawan dan kerabat diraja ini untuk membeli baju raya kepada anak-anak. Di akhirnya anak-anak ini akan mendapat 5 pasang baju melayu dan baju kurung setiap seorang. Seolah-olah inilah baju yang mereka perlu pakai selama setahun. Ketika ini, rumah dan pusat jagaan akan dipenuhi dengan ratusan tan beras sumbangan orang ramai. Masyarakat berebut-rebut membeli tiket sehala ke syurga dengan sumbangan beras-beras ini. Jika benar kita mahu menjamu anak-anak, mengapa tunggu Sabtu atau Ahad? Jika benar kita mahu  menyumbangkan baju atau buku, mengapa berikan yang terpakai? Jika benar kita mahu membeli baju baharu kepada mereka, mengapa tunggu bulan Ramadhan? Jawapannya mudah. Semua yang kita lakukan, bukan untuk anak-anak. Tetapi semuanya untuk kita. Untuk pahala kita. Untuk skuter hibrid kita. Untuk kereta berenjit jet kapal terbang kita. Untuk tiket sehala kita. Skuter hibrid, kereta berenjin jet kapal terbang dan tiket sehala ini akan membawa kita ke syurga tanpa perlu beratur di akhirat nanti. 10 kali Haji Tetapi ini hanyalah secebis dari seluruh skandal penyelewengan anak-anak yatim yang sedang hebat dan giat dijalankan di seluruh negara. Ada yayasan yang menggunakan anak-anak untuk mengutip derma. Ada pertubuhan yang menggunakan anak-anak untuk menyara pekerjanya. Ada pemimpin yang menggunakan anak yatim untuk memanjat tangga politik. Ada agamawan yang menggunakan anak yatim untuk menjual serban dan jubah agamanya. Anak-anak ini digunakan, dipergunakan, diperah dan dijual tanpa ada pembela. Siang dan malam mereka adalah ihsan orang lain. Mereka tidak pernah dianggap sebagai anak merdeka. Mereka dicemuh di sekolah. Di luar, mereka bukan sahaja dipandang sebagai warga ‘2nd class’, tetapi digunakan oleh pelbagai orang dan persatuan untuk kepentingan orang lain. Inilah yang berlaku apabila masyarakat tidak pernah berpihak kepada yang tertindas. Negara mampu menghantar ribuan jemaah haji saban tahun, tetapi masih ada anak yatim yang menyanyikan lagu Tolong Kami Bantu Kami di majlis hari jadi kaum bangsawan.  Masyarakat tidak pernah ikhlas untuk membantu golongan tertindas ini. Masyarakat yang kita punyai ialah masyarakat individualistik. Mereka boleh pergi haji 10 kali, tetapi masih menghantar baju terpakai ke rumah anak yatim. Mereka boleh pergi 1000 kali umrah, tetapi masih tidak punya masa untuk membuka beg anak-anak, berbual dan memberikan kasih sayang kepada golongan ini. Yang penting ialah pahala, bukan pendidikan anak-anak. Yang penting ialah syurga, bukan masa depan anak-anak. Tuhan bersama siapa? Jadi seluruh kesengsaraan dan penindasan terhadap anak yatim ini menimbulkan persoalan, adakah Tuhan menentang anak yatim? Bagaimana kaum agamawan boleh bersama-sama Tuhan menentang anak yatim? Tuhan tahu perasaan anak-anak ini tatkala mereka merintih kepenatan dihurung ke hulu ke hilir memenuhkan jemputan orang kaya. Tuhan tahu rintih hati mereka tatkala air menitik keluar dari kelopak mata merindukan ibu bapa yang tiada. Tuhan tahu hati-hati yang diperlakukan seperti hamba ketika mereka tidak punya sang pelindung. Yang perlukan bantuan bukan mereka tetapi kita. Yang perlu kita doa kepada Tuhan ialah untuk mengurniakan semula otak ke dalam kepala dan naluri kemanusiaan di dalam hati kita. Agar mentaliti masyarakat berubah dan melihat anak-anak ini sebagai anak merdeka. Anak-anak ini tidak perlukan baju atau buku baharu. Yang mereka perlukan ialah kasih sayang. Mereka perlu diterima di dalam struktur sosial sebagai ahli masyarakat, bukannya warga kelas kedua. Anak-anak ini adalah tanggungjawab kita secara kolektif. Jika mahukan tiket sehala ke syurga sekalipun, tak perlu tunggu bulan Ramadhan untuk belikan mereka baju atau buku baharu. Kitalah yang perlu turun dan hadir ke rumah mereka untuk memasak makanan, bukan mereka yang perlu beratur dan menunduk di hadapan kita ketika mengambil nasi kenduri. Yang pasti, Tuhan sentiasa bersama anak-anak. Dia mengucup ubun anak-anak sehingga mereka menangis setiap hari. Tuhan tidak pernah bersama orang kaya, sang bangsawan atau kerabat diraja, golongan penindas yang memaksa anak mengemis dan meminta-minta di hadapan mereka tatkala mereka mencicip sirap emas di keraian syurga dunia. Tuhan tidak pernah bersama lelaki berserban agama jadi-jadian yang menjual anak-anak untuk memenuhkan poket jubahnya sendiri. Untuk yang sentiasa melihat Malaysia sebagai sebuah negara moden, model negara Islam progresif dengan utopia Wawasan 2020, majlis Ya Hanana 1000 malam, sistem perbankan Islamik yang cemerlang serta tidak percaya wujudnya golongan tertindas di negara ini, saya ucapkan selamat maju jaya. Anak-anak yatim akan terus diperlakukan sebegini rupa, dijual, dipandang dan diperlekeh sebagai warga ‘2nd class’, diminta mengemis untuk sesuatu yang mereka tak pernah minta; kerana kita punya warga masyarakat seperti anda. Orang yang tidak punya sikap, serta tidak pernah berani untuk berpihak kepada orang yang tertindas. Yang perlu kita risaukan ialah diri kita sendiri. Adakah Tuhan bersama kita?         unnamed

]]>

Isu muzikal Easter: pesanan untuk kawan

Ancaman muzikal? Muzikal Easter tersebut bukanlah satu ancaman kepada umat Islam kerana jika dilihat dari perspektif positif dalam masyarakat majmuk. Sememangnya gereja tersebut berniat untuk menjemput umat bukan Kristian hadir ke aktiviti tersebut. Namun, adakah dengan menghadiri aktiviti tersebut lebih mudah seseorang itu jatuh murtad atau kafir? Begitu juga dengan situasi saya yang pernah pergi ke surau/masjid dan menyertai aktiviti yang ada disana tanpa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan  iman dan kepercayaan  saya sendiri . Pada masa sama saya menghormati mereka beribadat: adakah saya masuk Islam atau keluar Kristian? Sudah tentu tidak! Mengekang penganut agama lain daripada melakukan aktiviti kerohanian dan ibadah serta melarang mereka menjemput penganut agama lain hadir ke aktiviti serta ibadat mereka adalah sesuatu yang bertentangan dengan norma masyarakat majmuk. Bagaimanalah kiranya seseorang itu dapat mengenali agama lain jika masuk ke rumah ibadat penganut agama lain itu dianggap sebagai haram dan taboo? Lebih parah lagi, ISMA dalam laman webnya ada membangkitkan isu penggunaan bahasa kebangsaan sebagai sesuatu yang kelihatan eksklusif untuk umat Islam. Sedangkan bahasa Melayu itu sendiri pun menggunakan pelbagai kata pinjaman daripada Sanskrit, Tamil, Eropah, Arab dan bahasa asing yang lain. Oleh sedemikian, amat  tidak wajar jika sesuatu bahasa apatah lagi bahasa kebangsaan itu disekat penggunaannya oleh penganut agama lain dalam apa jua upacara mahupun komunikasi mereka. Sungguh sempit sudut pandang ISMA apabila mengatakan penganut Kristian berbangsa Cina dan India merupakan majoriti penganut Kristian di Semenanjung Malaysia serta mereka tidak gemar menggunakan bahasa kebangsaan. Ini mengabai kewujudan penganut Kristian Sabah dan Sarawak mahupun orang Asli di Semanjung Malaysia yang turut menggunakan bahasa kebangsaan. Mengenali Hari Khamis Suci Perayaan hari Khamis Suci atau juga dikenali sebagai hari Khamis Putih ini disambut dengan penuh penghayatan akan peristiwa-peristiwa sebelum Yesus Kristus menghampiri wafatnya di kayu salib. Ia adalah hari pertama yang menandai permulaan Triduum (persiapan 3 hari)   Paska. Pada hari ini umat Kristian mengenang kembali santapan malam terakhir yang dilakukan Yesus bersama 12 pengikutnya. Tambahan pula, umat Yahudi ketika itu turut menyambut hari raya Roti Tidak Beragi pada 14 Nisan dalam kalender Yahudi. Dalam santapan terakhir itu juga, Yesus dikhianati oleh pengikutnya Yudas Iskariot. Ketika santapan tersebut, Yesus menyerahkan tubuh dan darahnya pada dalam bentuk roti dan anggur yang diberikan kepada para pengikutnya sebagai kenangan penyerahan dirinya bagi umat manusia. Selain daripada itu Yesus  juga mencuci kaki kedua belas pengikutnya sebelum diserahkan ke pengadilan untuk kemudian dijatuhkan hukuman mati melalui penyaliban di kayu salib. Dalam perspektif Katolik, umat dalam mengenang santapan tersebut menyambut ibadat ‘ekaristi’ sebagai kenangan akan Yesus berdasarkan kata-katanya, “Kenangkanlah akan Aku bila merayakan Perjamuan ini.” Ibadat ekaristi menjadi ‘jantung’ daripada iman Katolik dimana “sumber dan puncak seluruh kehidupan Kristiani” dan “hakikat dan rangkuman iman” digenapi dalam hubungan peribadi mereka dengan Yesus sebagai sarana keselamatan. [Katekismus Ajaran Gereja Katolik] Manakala dalam upacara misa Khamis Suci, paderi yang memimpin misa turut meneladani hal sama seperti yang dilakukan oleh Yesus yaitu mencuci kaki orang lain. Perlakuan mencuci kaki merupakan salah satu bentuk pengajaran bagi para pengikutnya mengenai penghormatan. Umum diketahui, kita hanya menghormati orang yang dianggap mempunyai status atau kasta yang sedarjat ataupun yang lebih tinggi. Yesus ingin mengajarkan bahawa penghormatan hanya berkesan terlaksana daripada atas ke bawah. Sebagaimana penghormatan guru terhadap muridnya. Begitu juga daripada hormat daripada penguasa kepada rakyatnya. Mengenali Hari Jumaat Agung Hari Jumaat Agung disambut bagi mengenang peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kematiannya. Bermula dengan pengadilan Yesus di hadapan guru-guru agama Yahudi diikuti dengan penyangkalan sebanyak tiga kali oleh pengikut terdekatnya, Petrus, bahawa dia mengenal Yesus. Kemudian, Yesus  diadili oleh Pontius Pilatus menurut hukum Romawi. Sesudah diadili, Yesus memikul salibnya ke bukit Golgota dan disana dia menghembuskan nafas terakhir dengan menyerahkan nyawanya kepada Bapa di syurga dengan mengenapi kesemua apa yang dikatakan oleh dia sendiri. Tafsiran peristiwa dari sudut pandang Kristian Memang tidak dinafikan bahawa Islam mempunyai ceritanya tersendiri mengenai peristiwa ini. Namun, umat Kristian mengimani peristiwa ini sebagai sesuatu yang amat sakral dan bermakna bagi mereka. Hukuman Yesus dikayu salib bukanlah sesuatu yang hina namun ianya merupakan misteri pergorbanan Yesus kepada pengikutnya. Mesej utama peristiwa ini adalah mengenai hubungan peribadi Tuhan dengan manusia. Masalah dosa atau kejahatan merupakan satu perkara yang runcing dalam kehidupan. Melalui Yesus, yang juga disebut Anak ‘Allah’ oleh penganut Kristian, Tuhan memberikan mekanisme/contoh terbaik bagi melenyapkan kutukan dosa akibat kehendak bebas manusia. Melalui salib, umat Kristian percaya bahawa Tuhan bersama-sama dengan manusia dalam melawan kejahatan walaupun kesan penderitaan akibat dosa manusia tidak dapat dilenyapkan dalam kehidupan manusia.  Bagi umat Kristian, kehidupan kekal di syurga merupakan destinasi utama keselamatan mereka melalui Yesus. Dalam peristiwa ini, ‘Allah’ Bapa bukanlah hakim yang kejam Yesus dihukum mati disalib. Pada kayu salib itu, Tuhan itu sendiri sebenarnya ikut mengalami kesan yang paling buruk daripada keadaan manusia yang berdosa. Disamping itu, salib menunjukkan kepada umat Kristian betapa berharganya pengampunan daripada Tuhan. Sebagaimana mengampuni merupakan seseuatu yang sukar bagi manusia. Untuk mengampuni manusia, inkarnasi Yesus merupakan tujuan asal tersebut bagi mengantikan korban bakaran yang dilakukan bangsa Israel. Mengenali Hari Paska Agama Kristian tidak akan wujud sekiranya kebangkitan Yesus Kristus itu tidak menjadi realiti. Dalam Injil, Yesus menampakkan diri kepada banyak orang. Ianya bukan khayalan pengikut Yesus semata-mata namun disertai dengan bukti fizikal seperti kesan luka tangan dan rusuk kepada pengikutnya. Selepas kebangkitannya, Yesus bersama-sama pengikutnya selama 40 hari sebelum dinaikan ke langit. Hari Paska ini juga mempunyai kaitan dengan tradisi bangsa Israel. Hari Paska ini berubah-rubah mengikut kalender bulan Yahudi. Perkataan ‘Paska’ itu sendiri berasal daripada kata Ibrani ‘Pesach’ yang artinya ‘passover’, ‘dibebaskan’ yang mengacu kepada pembebasan bangsa Israel daripada penjajahan Mesir melalui nabi Musa dalam kitab Taurat. Peristiwa ini dikenang oleh bangsa Israel dengan perjamuan anak domba (kambing biri-biri). Perjamuan ini diadakan setiap tahun bagi memperingati perayaan penebusan, perjanjian Tuhan dengan mereka, daripada perhambaan menuju kebebasan, daripada kematian meuju kehidupan. Signifikannya bagi umat Kristian, peristiwa ini diperingati dan disempurnakan dalam perayaan Paska, di mana Yesus Kristus itulah Sang Anak Domba Paska yang dikorbankan, untuk membebaskan umat manusia daripada kutukan dosa. Kesimpulan Saya berharap dengan berkongsi penulisan makalah ini, ramai orang dapat memahami tentang apa dan mengapa umat Kristian menyambut sambutan hari Khamis Suci, Jumaat Agung dan Minggu Paska daripada perspektif saya sebagai Kristian dan Katolik . Harapan saya juga menginginkan setiap rakyat Malaysia diberi hak kebebasan beragama yang sewajarnya kerana terlampau banyak isu sentimen agama yang berlaku yang turut mengakibatkan Malaysia tidak lagi dihormati sebagai negara masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama di dunia. Menyambut hari Jumaat Agung (Good Friday) dan Hari Paska (Easter Sunday) kepada semua umat Kristian di Malaysia yang menyambutnya.         unnamed

]]>

Zulkifli Noordin bukan Super Muslim

Seperti biasa, buka mata pagi tadi saya terus mengimbas berita terkini di Internet. Berita di Facebook, sebenarnya. Facebook lebih pantas dari media perdana. Terkejut baca Karpal Singh sudah arwah. Sambil bersiap untuk ke tempat kerja dan membaca pengesahan berita dari media, layar hitam putih sumbangan Karpal Singh kepada negara berputar dalam fikiran. Sebagai rakyat Malaysia yang tak terlepas dari menjadi mangsa percaturan politik dan naluri membentuk teori konspirasi, kontroversi hudud juga bermain di kepala. Mana tidaknya, nama mendiang seolah sudah sinonim dengan isu itu. “Tiap yang hidup pasti mati”, fikir saya. Kemudian kawan-kawan di Facebook mengongsi berita  yang mula mengganggu fikiran saya. Zulkifli Noordin, hero kita, sekali lagi muncul menyarungkan pakaian Super Muslim ketika saat-saat genting. Dengan penuh dedikasi, Zul hero kita merasakan mulutnya perlu dibuka, dia perlu berkata sesuatu atas berita kematian Karpal. Allah sudah mematikan Karpal,  Zul menulis dengan penuh semangat. Yakinlah Zul bahawa Islam sudah menang. Barangkali air mata jernih turun membasahi pipinya dan hingus membasahi bibir kerana terharu dengan apa yang dikira Zul sebagai kemenangan usaha Pas dengan kerjasama parti Islam UMNO yang mahu menegakkan syariat Tuhan di bumi Kelantan. Musuh sudah disingkirkan Allah. Zul harus tweet rasa syukurnya. Zul harus berkata sesuatu. Ini Zul, Zul Kulim. Zul boleh! Dan Zul telah melakukannya. Belas kasihan dalam Islam Dalam Islam, atau mana-mana agama, wujud konsep belas kasihan. Malah orang tidak beragama juga memahami konsep belas kasihan. Hatta binatang punya belas kasihan. Belas kasihan ini selemah-lemah naluri yang menyatukan manusia. Manusia tidak dipaksa menyintai manusia lain keseluruhannya, tapi ia ada sedikit perasaan belas kasihan sekurang-kurangnya. Belas kasihan ini lah melahirkan rasa hormat kita pada orang lain terutama yang ditimpa musibah. Belas kasihan mampu membuatkan kita faham adab hidup bermasyarakat, apatah lagi dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Bila kematian berlaku, manusia akan merasa tersentuh, jika tidak sebak, sekurang-kurangnya terharu, tergamam. Naluri belas kasihan manusia paling tidak pun akan membuatnya merasakan perlu diam sebagai tanda hormat. Kalau manusia tidak peduli pun, benar-benar dia tidak peduli dan berdiam. Zul tidak ada naluri asas ini. Muncul pula kemudian Datuk Nawawi Ahmad. Bangun pagi, dia merasakan ini hari yang indah maka membuatkannya terangsang untuk berjenaka. Kebetulan terbaca berita kematian Karpal, dia pun merasakan rangsangan berjenaka itu semakin kuat, seperti rangsangan seks yang tidak dapat dibendung. Nawawi pun bertungkus lumus menghasilkan gambar dengan sedikit bakat yang dipelajarinya dari fenomena budaya meme di Internet. Ya, Nawawi sudah berjaya. Langsung butang post ditekan dan dia menunggu dengan penuh ghairah. Peluh membasahi dahinya. ‘Like’ yang pertama sudah cukup membuatkan Nawawi inzal. Nawawi pun terbaring keletihan, tersenyum puas. Rasa malu juga membuatkan manusia tidak bertindak di luar batas norma masyarakat. Seperti mana manusia malu berjalan telanjang di tengah-tengah Kuala Lumpur begitu juga manusia malu mengetawakan orang yang telah mati (telanjang di Langkawi pun bukan perkara biasa). Manusia malu pada keluarga si mati dan malu untuk diri sendiri, malu menimbulkan kemarahan dan malu jika diejek tidak berperikemanusiaan. Kedua-dua spesimen bergelar Zul dan Nawawi tidak dianugerahi Tuhan dengan naluri belas kasihan dan perasaan malu barangkali. Lebih dari itu, mereka tidak memahami budaya dan norma masyarakat, juga mempunyai pemahaman agama yang cetek. Saya meragui status kewarganegaraan mereka. Lebih dari itu, saya meragui status kemanusiaan mereka. Takziah diucapkan kepada agama Islam kerana punya orang-orang seperti Zul dan Nawawi. Islam di Malaysia nazak dan akan mati jika virus Zul Nawawi dibiarkan merebak. Karpal Singh akan terus diingati untuk jasa-jasa beliau kepada negara. Apa sahaja fahaman agama dan politik kita, kita tidak dapat menafikan beliau seorang manusia yang hebat dan berdedikasi pada keadilan dan kesaksamaan. Jasa beliau pada keadilan sosial mungkin lebih banyak dari jumlah kuman dalam otak Zul Noordin dan Nawawi. Keluarga dan rakan-rakan akrab beliau lebih mengenali hati budi beliau. Ke mana Karpal Singh setelah mati bukan urusan saya, bukan urusan anda. Karpal Singh kembali menghadap mahkamah Ilahi. Biarlah sang peguam dan hakim berentap sesama mereka.         unnamed

]]>

Dilema Melayu, Cina, India

10248949_10152072784243990_940535555_n Asal-usul orang Melayu masih menjadi topik sensitif untuk dibincangkan.[/caption] Bercakap tentang istilah “bangsa”, orang Cina di negara bertuah ini selalu dilabelkan sebagai “bangsa Cina”. Mujurlah juga kerana terdapat perbezaan ejaan antara “Cina” (orang) dan “China” (negara). Bagi orang India pula, pasti timbul kekeliruan apabila mereka digelar sebagai “bangsa India” kerana terdapat negara bernama “India”. Mungkin sahaja orang Melayu kurang memahami isu ini kerana tidak ada negara bernama “Melayu”. Sejak dahulu, apabila saya mengisi apa-apa borang, saya mencatatkan begini pada maklumat berkaitan yang diminta: keturunan Malayali, kaum India, bangsa Malaysia. Tambahan pula, dalam surat beranak saya memang dicatatkan keturunan saya adalah Malayalam (Malayali). Perbuatan saya sering menimbulkan rasa tidak puas hati kerani atau pegawai yang meminta saya mengisi borang. Katanya, saya sepatutnya mencatatkan begini sahaja: bangsa India. Meneliti erti dalam kamus Lalu saya bertanya, bagaimana dengan “kaum”? Katanya, kaum, keturunan dan bangsa sama sahaja. Saya perlu mengisi “India” sahaja bagi ketiga-tiganya. Saya pernah menulis mengenai isu ini dalam majalah Pelita Bahasa (September 1998), ArahKiri (Disember 2002), Kavya (Mei 2003) dan Siasah (Jun 2003). Akan tetapi, kekeliruan dan salah tanggap terhadap istilah-istilah ini masih wujud sehingga hari ini. Mengikut definisi dalam kamus, bangsa adalah “kumpulan manusia yang sama asal-usulnya serta serupa sifat-sifatnya” atau “kumpulan manusia yang menjadi rakyat sesebuah negara”. Sementara itu, istilah kaum pula didefinisikan sebagai “golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa”. Tentu sahaja definisi ini dilihat secara umum/asas dan bukannya secara mendalam dari sudut antropologi dan sosiologi. Apa-apa pun, frasa “bangsa India” sebenarnya boleh membawa (sekurang-kurangnya) dua makna yang sangat berbeza. Pertama, orang itu adalah warganegara atau rakyat negara India. Kedua, orang itu termasuk dalam kumpulan manusia yang memiliki sifat-sifat yang sama; tetapi tidak semestinya warganegara India. Biar kita lihat contoh mudah untuk membezakan antara “kaum” dan “bangsa”, khususnya dalam konteks negara Malaysia. Katakan A berasal dari negeri Perak, B dari Selangor dan C dari Sabah. Andainya A, B dan C dikatakan memiliki sifat “kenegerian”, kita faham apa yang dimaksudkan. Begitu juga jika D, E dan F berasal dari daerah yang berbeza dan memiliki sifat “kedaerahan”. Kita faham secara tepat apa yang dimaksudkan. Semangat perkauman, semangat kebangsaan Sekarang kita teliti pula konvensi (kelaziman) di negara kita terhadap definisi “bangsa” yang disamakan dengan “kaum”. Kita ambil contoh G dikatakan bangsa Melayu, H bangsa Cina dan I bangsa India. Jadi, apakah yang dimaksudkan apabila G, H dan I dikatakan memiliki sifat kebangsaan? Apakah masing-masing berjiwa Malaysia (Bangsa Malaysia) atau masing-masing masih bersifat kemelayuan, kecinaan dan keindiaan (khususnya berdasarkan negara asal-usul nenek-moyang)? Bezakan pula apabila kita katakan bahawa G adalah individu kaum Melayu, H kaum Cina dan I kaum India. Kita harap tidak akan wujud sifat perkauman (kekauman?). Sebaliknya timbul semangat kebangsaan iaitu semangat keMalaysiaan. Sekadar contoh mudah untuk difikirkan dan direnungkan, jika “kaum” dan “bangsa” dianggap sama sahaja, bayangkan makna yang boleh dibawa oleh frasa “lagu kebangsaan”, “bahasa kebangsaan”, “budaya kebangsaan” dan seumpamanya! Contoh-contoh mudah di atas diharap akan membuka mata orang ramai terhadap kekeliruan yang boleh timbul apabila “bangsa” dan “kaum” dianggap sama dan serupa dari aspek makna dalaman. Sesungguhnya saya mengimpikan utopia di mana rakyat Malaysia (Bangsa Malaysia) tidak ditanya tentang kaum dan keturunan. Sementara menanti bulan jatuh ke riba, saya akan terus mengisi borang-borang rasmi dengan maklumat yang sama: keturunan Malayali, kaum India, bangsa Malaysia. Sudah dinyatakan bahawa perbincangan ini adalah secara umum sahaja; tanpa pergi secara mendalam dari sudut kajian antropologi dan sosiologi. Dinyatakan juga bahawa orang Melayu di Malaysia mungkin kurang memahami isu “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” seperti difahami (dan dihadapi) orang “Bukan Melayu”. Kaum Melayu tidak wujud? Di negara bertuah ini, orang Jawa, Bugis, Minang, Batak, Arab, Punjabi Muslim, India Muslim, Cina Muslim dan sebagainya (asalkan beragama Islam) secara mudah dimasukkan dalam kategori keturunan, kaum, ras, etnik dan bangsa Melayu. Saya pernah menulis makalah bertajuk “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013), “Hidayah Bangga Kekal Cina” (Free Malaysia Today, 4 Mac 2013), “Kami Tidak Masuk Melayu” (The Malaysian Insider, 4 Mac 2013), “Masuk Islam, Bukan Masuk Melayu” (Projek Dialog, 5 Mac 2013), “Perihal Raja-raja Melayu” (Projek Dialog, 5 November 2013) dan “Hidup 1Melayu!” (Free Malaysia Today, 7 Disember 2013) berdasarkan pandangan rakan-rakan pelbagai kaum. Amat jelas bahawa orang India dan orang Cina merupakan diaspora yang wujud di Malaysia sejak ratusan tahun dahulu dan merupakan warganegara Malaysia. Bangsa India dan bangsa China pula merujuk kepada warganegara India dan China; termasuk mereka yang tinggal/bekerja di luar negara asal. Bagaimana pula jika “kaum Melayu” atau “Malay race” tidak wujud? Ini sebenarnya idea atau hujah yang dikemukakan oleh AB Sulaiman menerusi bukunya, “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem” (2013). “There is no such thing as a Malay race,” kata Sulaiman, penulis, ilmuan dan pengkaji berumur 71 tahun dalam bukunya. Pada pandangan beliau, “kaum Melayu” tidak wujud. Mengulas lebih lanjut, Sulaiman mengakui bahawa hujah dan pandangan ini pasti membuatkan Perkasa, Umno dan puak etnosentrik marah dan kecewa. Apa tidaknya! Survival atau kelangsungan hidup politik mereka akan berakhir jika ia benar. Maka, mereka pasti menentang hujah ini. Tambahan pula, menurut Sulaiman, corak pemikiran orang Melayu tidak begitu mementingkan aspek peraturan dan undang-undang. Sebaliknya ia dipengaruhi nilai-nilai tradisi, keengganan menerima perubahan, berpusatkan kelompok sendiri, penuh dengan kekeliruan,  serta wujud pertentangan idea dan keangkuhan. Melayu hanya bahasa, bukan keturunan “Istilah ‘Melayu’ tidak merujuk kepada mana-mana kaum atau etnik. Sebaliknya istilah itu merujuk kepada bahasa yang dipertuturkan oleh sekitar 385.5 juta orang di Nusantara. “Akan tetapi, bahasa Melayu yang dipertuturkan penduduk pelbagai negara di Kepulauan Melayu adalah berbeza mengikut sempadan; misalnya di Indonesia, Malaysia dan Filipina,” tegasnya. Hujah yang dikemukakan ini segera mengingatkan saya kepada makalah bertajuk “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu berikutan hujah dan fakta yang dikemukakan mengenai realiti orang Melayu. [caption id="attachment_3274" align="alignleft" width="300"]Orang India di Malaysia terus berdepan pelbagai dilema. Orang India di Malaysia terus berdepan pelbagai dilema.[/caption] Dilema berhubung konsep “kaum” ini mungkin kurang dihadapi orang Cina dan India kerana masih wujud negara China dan India sebagai bukti asal-usul nenek-moyang mereka. Orang Cina dan India masih ada tamadun yang boleh dijadikan rujukan. Bagi orang Melayu pula, bukan sahaja kewujudan “kaum Melayu” dipersoalkan (seperti dilakukan oleh Sulaiman) tetapi tidak wujud sebuah negara bernama “Melayu” sebagai bukti asal-usul nenek-moyang mereka. Indonesia pula lazimnya tidak mahu diakui sebagai negara asal orang Melayu. Bagaimana dengan Perkara 160 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberikan definisi “Melayu” serta menjadi asas pegangan ramai? Dinyatakan antara lain bahawa “orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat Melayu. Dalam hal ini, Dr Abdul Rahman Embong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipetik oleh Sulaiman sebagai menjelaskan bahawa definisi itu merujuk kepada “Melayu” dari sudut budaya (bahasa) dan bukannya dari sudut biologi, keturunan atau kaum. Tentulah pandangan ini akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak selesa dalam kalangan sekelompok orang Melayu yang disifatkan oleh Sulaiman sebagai bersifat etnosentrik, memiliki minda tertutup, bersikap seperti katak di bawah tempurung serta tidak mahu berfikir secara rasional. “Kebenaran budaya” tidak perlu diterima semua pihak Mengulas lanjut, Sulaiman mengatakan bahawa definisi “Melayu” dalam Perlembagaan bukan berdasarkan fakta atau rujukan sains. Dengan itu, konsep “Melayu” itu sendiri merupakan “kebenaran budaya” (cultural truth) dan bukannya “kebenaran universal” (universal truth). Hal-hal “kebenaran budaya” hanya merujuk kepada apa-apa yang diiktiraf dan diterima oleh sekelompok masyarakat; bukannya hal-hal yang sudah terbukti secara sah berdasarkan fakta yang tidak dapat dipertikaikan serta sudah diperakukan pula secara universal. Maknanya, Melayu atau “kemelayuan” – termasuk konsep Ketuanan Melayu yang menjadi laungan keramat sekelompok politikus – serta sering dilaungkan oleh sekumpulan orang India-Muslim dan Cina-Muslim di negara ini sebenarnya hanyalah “kebenaran budaya” yang “betul” bagi kelompok orang Melayu semata-mata. Sekelompok orang India-Muslim dan Cina-Muslim yang beranggapan mereka adalah orang Melayu juga ketara menerima “kebenaran budaya” itu sebagai kebenaran hakiki. Sebaliknya, orang Bukan Melayu tidak tertakluk untuk menerimanya sebagai fakta kerana ia bukan “kebenaran universal”. Satu lagi contoh yang suka saya gunakan adalah mengenai Hang Tuah. Sulaiman turut menggunakan contoh ini dalam bukunya. Hang Tuah dipercayai pernah melafazkan kata-kata “Takkan Melayu hilang di dunia”. Hal ini sering kita dengar dan baca sejak usia kanak-kanak. Sebenarnya, Hang Tuah mungkin sahaja legenda atau mitos. Individu bernama Hang Tuah berkemungkinan tidak pernah wujud. Ada teori mengatakan dia sebenarnya orang Cina. Saya berpandangan bahawa kisah Hang Tuah lima bersaudara adalah saduran kisah Ramayana dan Mahabharata. Akan tetapi, dalam kalangan orang Melayu, kewujudan Hang Tuah adalah “kebenaran budaya”. [caption id="attachment_3273" align="alignleft" width="300"]Buku ini menyingkap pelbagai fakta yang mungkin memeranjatkan. Buku ini menyingkap pelbagai fakta yang mungkin memeranjatkan.[/caption] Orang Bukan Melayu – serta orang Melayu di luar Malaysia – tidak semestinya bersetuju dengan kewujudan Hang Tuah kerana ia bukan “kebenaran universal”. Pembacaan buku “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem” tulisan Sulaiman akan membantu pemahaman lanjut berhubung topik ini. Nampak gayanya, sementara orang Cina dan India di Malaysia menghadapi dilema berikutan penggunaan label “kaum” dan “bangsa” serta “pendatang”, orang Melayu pula tidak menghadapi sebarang masalah dalam soal itu. Sebaliknya, berdasarkan kajian Sulaiman, dilema sebenar orang Melayu adalah mengenai kewujudan “Melayu” itu sendiri! Penulis itu dalam bukunya mengatakan bahawa orang Melayu yang kononnya berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain (Alexander the Great) kurang memiliki kepakaran dalam hal-hal teknikal. Namun begitu, saya berharap topik yang diketengahkan di sini akan mendapat reaksi pelbagai pihak berasaskan pemikiran rasional dan hujah berbentuk fakta ke arah memulakan dialog sihat.         unnamed

]]>

Kerajaan Negeri Selangor mengelak tanggungjawab

Persatuan Kristian Malaysia: Kerajaan Negeri Selangor Mengelak Tanggungjawab Dilaporkan pada 2 April 2014 Kerajaan Negeri Selangor telah menasihati  Lembaga Alkitab Malaysia (BSM) untuk menulis kepada Peguam Negara  meminta pembebasan terhadap Alkitab yang disita dari premis mereka pada  2 Januari 2014. Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) kecewa dengan pihak Kerajaan Negeri  Selangor dalam cubaannya mencuci tangan dalam perkara itu. Hakikatnya bahawa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang bertindak di  bawah kuasa yang kononnya diberikan kepadanya oleh enakmen Negeri,  menyerbu premis BSM dan merampas lebih 300 buah Alkitab dan Bup Kudus,  Alkitab ditulis dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Iban masing-masing. Alkitab ini masih dalam simpanan mereka. Pegawai-pegawai JAIS hanya berkuasa bertindak selepas berunding dan atas  nasihat Kerajaan Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor bertanggungjawab  terhadap serbuan BSM, JAIS bertindak sebagai sebuah agensi Kerajaan Negeri  Selangor. Oleh itu, adalah bertentangan jika Kerajaan Negeri Selangor sekarang  meminta BSM untuk melihat kepada Peguam Negara untuk menyelesaikan perkara ini. CFM menggesa dengan tegas Kerajaan Negeri Selangor untuk bertindak tanpa  berlengah-lengah lagi mengarahkan pemulangan dengan selamat dan segera  Alkitab kepada BSM. Ia adalah satu cadangan yang lucu bahawa JAIS mempunyai kuasa tertentu  untuk menyita Alkitab, dan bahawa hanya dengan kelulusan dan kebenaran  Peguam Negara bahawa Alkitab yang sama boleh di lepaskan. Ini adalah tidak lain daripada ‘menolak tanggungjawab’, dan sama sekali tidak boleh diterima. Kerajaan Negeri Selangor adalah berkewajipan untuk bertindak dalam perkara  ini dan tidak mengelakkan dari bertanggungjawab. Perintahkan pengembalian  Alkitab itu sekarang. Ditandatangani Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi dan Jawatankuasa Eksekutif, Persekutuan Kristian Malaysia

]]>

ISMA, jangan hentam keromo

kecaman yang dibuat oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) terhadap Projek Dialog dengan rasa amat hairan. Kecaman ISMA ini telah dimuatkan dalam satu laporan di laman web ISMA bertarikh 10 April 2014 bertajuk “Projek Dialog Penentang Identiti Kebangsaan”. Latar Kecaman yang dikeluarkan oleh ISMA ini dibuat hanya berasaskan beberapa teks ringkas yang dipetik daripada akaun media sosial twitter Projek Dialog. Antara kenyataan yang dikeluarkan termasuklah Projek Dialog menentang Identiti Kebangsaan yang diambil daripada Perlembagaan Persekutuan serta mengaitkan dengan kedudukan Islam, Melayu dan Institusi Diraja di Malaysia. Projek Dialog menganggap laporan yang dikeluarkan ini sebagai suatu tindakan yang terburu-buru tanpa usul periksa. ISMA sepatutnya memahami dan mendalami isu yang dibangkitkan dahulu sebelum mengeluarkan kecaman terhadap kami. Penjelasan dan respon Kami mengambil kesempatan disebalik kekeliruan ISMA ini untuk menjelaskan beberapa perkara berkaitan Projek Dialog serta penilaian wacana identiti nasional yang kami bangkitkan semula ini. Pertama sekali, Projek Dialog bukanlah suatu entity atau organisasi (seperti ISMA) yang mempunyai agenda tersendiri yang menyokong kepentingan golongan tertentu secara eksklusif dan meminggirkan segelintir golongan lain dI Malaysia hingga mengundang perselisihan dalam masyarakat yang berkepelbagaian ini. Projek Dialog sebenarnya merupakan satu platform yang dibentuk bertujuan membuka wacana-wacana baru secara kritikal yang kami lihat perlu ditimbulkan, dibahaskan serta didebatkan atas kepentingan mengiktiraf kekayaan idea dan budaya masyarakat Malaysia yang berkepelbagaian. Atas dasar ini, sememangnya Projek Dialog menggunakan kaedah yang kritis dalam merungkai persoalan-persoalan penting terhadap pelbagai wacana yang mempunyai kepentingan umum kepada masyarakat Malaysia termasuk berkenaan Agama, hubungan antara kaum, serta pembinaan Negara. Kami juga melihat kecaman ISMA ini dibuat tanpa usul periksa yang mendalam. Teks ringkas di laman Twitter Projek Dialog yang dipetik ISMA itu merupakan laporan ringkas hasil perbincangan dalam forum “Penilaian Kritikal Bangsa Malaysia”, di mana peserta yang terlibat dalam program ini sama-sama memberi pandangan dan penilaian konsep identiti nasional, Bangsa Malaysia, pencapaiannya dan juga permasalahannya sejak diperkenalkan pada tahun 1991. Perbincangan ini melibatkan penyertaan anak-anak muda daripada pelbagai latarbelakang dan organisasi termasuk ABIM, Lawyers for Liberty, Komuniti Orang Asli dan lain-lain kumpulan yang melambangkan kepelbagaian masyarakat Malaysia. Sememangnya perbezaan pandangan timbul dalam perbincangan ini, namun sebagai warga Malaysia yang matang, perbezaan tidak semestinya perlu dilihat sebagai satu permasalahan tapi sebagai satu peluang untuk kita memahami realiti perbezaan pendapat dalam masyarakat Malaysia yang rencam dengan pengharapan, pertemuan antara kumpulan berbeza akan dapat meningkatkan persefahaman dalam menghadapi isu-isu kompleks yang timbul dalam masyarakat kita. Perbincangan ini jauh sekali daripada budaya hentam-menghentam pihak yang berbeza seperti yang sering dilakukan oleh beberapa organisasi lain termasuklah ISMA. Fahami Perlembagaan Persekutuan dengan betul Laporan yang sama turut memetik kenyataan Naib Presiden I ISMA, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni yang berpandangan secara ‘hakikatnya’, “Perlembagaan Negara adalah identiti kebangsaan Negara yang merangkumi Islam, Melayu dan Institusi Raja”. Kami merasakan terdapatnya permasalahan dalam memahami konsep identiti nasional daripada kenyataan ini. Meletakkan Perlembagaan Negara sebagai asas identiti nasional melalui sudut pandang ISMA ini perlu dipersoalkan. Kami melihat Perlembagaan Negara merupakan suatu dokumen perundangan tertinggi yang mempunyai legitimasi dan perlu diakui semua warganegara yang bernaung di bawah institusi kenegaraan di Malaysia. Namun, ini jauh sekali daripada memberi definisi khusus terhadap identiti nasional seperti yang dihujahkan ISMA. Malah, tiada ketetapan yang jelas dalam Perlembagaan Negara khusus berkenaan identiti nasional dan ini dapat difahami kerana bukanlah tujuan Perlembagaan itu dibuat untuk menetapkan identiti suatu warganegara. Persoalan yang penting untuk kita fahami berkenaan konsep identiti nasional, di mana subjek yang menjadi tumpuan ialah warga (orang/ masyarakat/ rakyat) dan bukan Negara (state/ struktur/ sistem). Oleh itu, wacana identiti nasional perlulah berasaskan gagasan yang boleh diterima keseluruhan masyarakat Malaysia dengan mengambil kira arah dan kepentingan bersama. Atas sebab ini, penilaian semula perlu dibuat terhadap konsep Bangsa Malaysia yang menjadi salah satu elemen penting dalam Wawasan 2020 yang diperkenalkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed pada tahun 1991:

“..membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu padu serta menyanjung masa hadapan yang diperkongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera, terintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompok etniknya, hak dan keadilan, dan membentuk sebuah ‘Bangsa Malaysia’ dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah bagi terhadap bangsa tersebut.”

Pernyataan di atas jelas menunjukkan gagasan identiti nasional yang dicita-citakan dengan hasrat membina perpaduan dan keharmonian warga Malaysia, dan bukanlah hanya satu cedokan simplistik Perlembagaan seperti yang difahami ISMA.

Namun, apa yang ketara mutakhir ini ialah agenda Bangsa Malaysia seakan-akan tidak Berjaya atau telah digagalkan dengan berkembangnya organisasi-organisasi yang begitu giat memperjuangkan agenda yang hanya eksklusif kepada golongan tertentu (seperti ISMA) tanpa usaha meningkatkan integrasi sesama warga Malaysia kepada satu identiti Bangsa Malaysia yang bersepadu. Isma berhujah secara selektif Satu perkara lagi berkenaan kenyataan ISMA yang berhujah secara selektif dalam memahami Perlembagaan dengan hanya mengambil kira kedudukan Islam, Melayu dan Institusi diRaja. Sedangkan terdapat banyak lagi perkara penting di dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya di bawah Perkara 5 – 13, berkenaan hak-hak asas bertemakan kebebasan, kesamarataan dan kepelbagaian, yang selayaknya diberi pertimbangan kalaupun hendak menjadikan Perlembagaan sebagai asas pembentukan identiti nasional. Malah kami merasakan ISMA memahami Perlembagaan Persekutuan dengan begitu sempit tanpa dinamika untuk disesuaikan dengan perkembangan zaman, seakan-akan ianya suatu dokumen yang sakral, sempurna dan tidak berubah. Seperti membandingkan Perlembagaan ini dengan kitab  suci Al-Quran pula. Sedangkan Perlembagaan Malaysia yang kita warisi kini asalnya dibentuk melalui perangkaan British sebelum Kemerdekaan Malaya lagi pada tahun 1957, dan sejak itu telah mengalami perubahan dengan lebih 600 pindaan telah dibuat sehingga ke hari ini. Kami tidak melihat terdapatnya sebarang permasalahan untuk menilai kembali Perlembagaan Persekutuan dengan tumpuan mencipta idealisme yang kukuh berhadapan realiti semasa hari ini untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara bangsa yang berjaya. Kunjungilah forum Projek Dialog yang akan datang Akhir kata, kami menyeru ISMA supaya lebih teliti dalam mengeluarkan kenyataan atau laporan terutamanya yang berbentuk kecaman terhadap pihak lain. Namun bagi kami, usaha untuk menggalakkan dialog dalam membincangkan pelbagai isu untuk kepentingan Negara perlu diteruskan. Kami mengambil peluang ini untuk mengajak ISMA untuk turut serta dalam program-program Projek Dialog yang akan datang supaya dapat meningkatkan penghargaan terhadap kepelbagaian dan wacana kritis di Malaysia.         unnamed ]]>