Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) boleh diterima bulat-bulat sebagai fakta, maka hakikat yang sedang berlaku di depan mata adalah situasi di mana semakin ramai umat Islam sudah terpesong daripada ajaran Islam sebenar. Selain daripada itu, kekuatan umat Islam di Malaysia semakin tergugat dan isu murtad sudah sampai ke tahap kritikal serta semakin bertambah setiap hari. Agama-agama yang menjadi pilihan mereka yang “keluar Islam” adalah Hindu, Buddha dan Kristian. Maklumat di atas bukan rekaan tetapi dipetik daripada buku berkenaan yang diedarkan secara percuma kepada sekitar 1,000 pelajar universiti, pelajar sekolah menengah dan masyarakat pelbagai kaum dan agama yang menghadiri (atau dipaksa menghadiri) “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 6 Mei 2014. Seminar itu khabarnya anjuran bersama Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Warisan Ibnu Aaby dan MAIS dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Media Karangkraf, TV Al-Hijrah, Kumpulan Zikay dan Kumpulan Pantai Bharu. Makalah saya bertajuk “Dilema Melayu, Cina, India” disiarkan di Projek Dialog pada 16 April 2014. Dalam makalah berkenaan, saya memetik kata-kata AB Sulaiman, penulis buku Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013) yang berhujah bahawa “There is no such thing as a Malay race”. Lalu saya dihubungi wakil suatu kelompok yang menggelarkan diri mereka sebagai “The Patriot” dan membidas saya dengan alasan bahawa apabila saya memetik hujah Sulaiman, maknanya saya menyokong dan bersetuju dengan pandangan beliau. Memandangkan mungkin ada wakil puak-puak “kurang cerdik” yang membaca makalah ini, maka biarlah saya nyatakan secara terang-terangan (black and white) bahawa pandangan MAIS serta maklumat daripada buku Pendedahan Agenda Kristian yang dipetik dalam makalah ini tidak semestinya mewakili pandangan saya. Pelbagai maklumat serta berita mengenai buku ini disiarkan di portal berita dalam talian dan laman rangkaian sosial (khususnya Facebook) sejak ia diedarkan kepada peserta seminar pada 6 Mei 2014. Dakwah Islam VS dakyah Kristian? Kesimpulan keseluruhan bagi bab pertama terdapat di halaman 16. Ramai yang mengambil foto halaman itu untuk dipaparkan menerusi Facebook. Enam kesimpulan yang dinyatakan adalah seperti berikut: Nasrani (Kristian) adalah musuh Islam yang sentiasa berniat jahat serta memaparkan sikap negatif kepada umat Islam. Nasrani (Kristian) adalah pembawa berita pendustaan dan mereka sentiasa berusaha menyelewengkan fakta tentang kebenaran ajaran Islam. Nasrani (Kristian) akan berusaha sehabis mungkin untuk menimbulkan rasa sakit hati di kalangan umat Islam. Jalan keluar dari usaha dakyah Nasrani (Kristian) ialah dengan berhujah kepada mereka mengenai kebenaran Islam di samping memantapkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah SAW. Umat Islam mestilah bersikap tegas dan berhati-hati terhadap Nasrani (Kristian) serta tidak taat dan tidak menjadikan mereka sebagai pelindung/pemimpin/penjaga. Jika umat Islam alpa terhadap peranan hujah kebenaran dan ragu-ragu dengan Islam, mereka akan mudah terpengaruh dengan tipu daya Nasrani (Kristian). [caption id="attachment_3483" align="alignleft" width="300"] Kesimpulan yang pasti menyentuh sensitiviti umat Bukan Islam.[/caption] Bab kedua membantu pembaca pelbagai kaum dan agama – memandangkan buku ini ditulis menggunakan Bahasa Malaysia – untuk memahami secara mendalam mengenai gerakan evangelisme. Saya berjaya mendapatkan senaskhah buku Pendedahan Agenda Kristian pada 15 Mei 2014 dan terus meluangkan masa membacanya dengan penuh minat dan rasa ingin tahu. Buku Syiah pun saya baca, inikan pula buku yang tidak diharamkan. Tambahan pula, ia bukannya buku dari luar (Indonesia atau Somalia, misalnya) tetapi terbitan di Malaysia sendiri, di mana kita amat memahami serta menghormati sensitiviti kaum dan agama. Di mana sekitar 61.3 peratus penduduk beragama Islam, 19.8 peratus beragama Buddha, 9.2 peratus Kristian dan 6.3 peratus Hindu. Buku itu menghuraikan bahawa gerakan evangelisme di bawah mazhab Evangelical memfokuskan usaha penyebaran agama Kristian melalui pelbagai cara dan pendekatan termasuk usaha yang bersifat serangan. “Gerakan usaha evangelisme ini menuntut komitmen yang tinggi dalam diri pendakyah Kristian, persiapan yang rapi (dari) segi fizikal, mental dan rohani serta strategi pendekatan yang betul,” kata buku itu. Sebagai pengamal multifaith (percaya pada ajaran semua agama), berdasarkan maklumat dalam buku Pendedahan Agenda Kristian, saya mendapati ada banyak persamaan antara gerakan yang dilakukan oleh orang Islam dan Kristian. Tambahan pula, kedua-duanya memang agama yang berdakwah. Perbezaan yang nyata hanyalah apabila MAIS menggunakan istilah “dakwah” bagi Islam dan “dakyah” bagi Kristian. Pengerusi MAIS, Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dalam kata-kata aluannya menjelaskan bahawa penulis buku berkenaan adalah “berdasarkan dalil nas al-Qur’an dan hadis” dalam usaha “memberi petunjuk kepada umat Islam tentang sikap sebenar golongan Nasrani dan Kristian terhadap Islam”. Kristianisasi punca orang Melayu murtad? Pada bahagian pengenalan, dinyatakan bahawa penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian, sebaliknya menghuraikan elemen gerakan kristianisasi yang wajar diberikan perhatian oleh umat Islam. Kristianisasi dikatakan menjadi punca utama kes murtad dalam kalangan orang Islam. “Jenayah ini ibarat menculik anak orang lain dari rumah mereka dan mengajarkan kepada anak itu bahawa ibubapa [sic] mereka tidak benar,” kata buku itu. Buku terbitan MAIS ini yang diedarkan kepada peserta pelbagai agama semasa seminar (6 Mei 2014) mengingatkan bahawa umat Islam perlu sentiasa berhati-hati dengan tindak-tanduk golongan Kristian. “Umat Islam juga perlu mengelak daripada terjebak dalam perangkap samar yang sentiasa dipasang oleh pihak yang mengambil kesempatan menangguk di aur yang keruh untuk memecahbelahkan [sic] kesatuan umat yang akhirnya menguntungkan golongan Kristian secara tidak langsung.” Demikian dinyatakan dalam buku berkenaan. Bab 3 antara lain berusaha menunjukkan kaitan antara kes murtad dan usaha kristianisasi. Bagaimanapun, diakui bahawa ada faktor dalaman dan faktor luaran yang menjadi punca gejala murtad semakin menular. Faktor dalaman adalah kejahilan serta keinginan meneroka perkara baru. Faktor luaran yang disenaraikan adalah ujian kebendaan, kelemahan penguatkuasaan, desakan hidup, perkahwinan, kelemahan ummah dan usaha mubaligh agama lain. [caption id="attachment_3484" align="alignleft" width="300"] Orang Kristian dikatakan ada agenda jahat.[/caption] Tidak perlulah saya menghuraikan faktor-faktor di atas. Sesungguhnya orang ramai (yang waras sahaja) boleh melihat dan memahami sendiri apakah benar dakwaan bahawa gerakan kristianisasi dan agenda Kristian yang menjadi punca utama murtad dalam kalangan orang Islam atau “kelemahan” sendiri. Makalah ini tidak bertujuan menghukum sesiapa atau mana-mana pihak. Bukan juga bermakna saya “menyokong” atau “sependapat” dengan MAIS semata-mata kerana saya memetik kandungan buku terbitannya. (Ahli “The Patriot” dan kelompok kurang cerdik, sila ambil maklum.) Walaupun buku Pendedahan Agenda Kristian diedarkan secara percuma kepada peserta Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara, memang sukar untuk “melihat” buku ini di mana-mana. Hal ini nyata apabila ramai yang bertanyakan buku ini menerusi Facebook tetapi hampir tiada sesiapa yang mengaku memilikinya. Maka, makalah ini sekadar bertujuan menghuraikan secara ringkas sebahagian kandungan buku ini demi manfaat bersama khalayak pelbagai kaum, etnik, agama, mazhab dan kepercayaan. Tambahan pula, buku ini turut menyentuh mengenai “Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian” (walaupun setahu kita, “Cina” bukan agama). Biarlah semua orang tahu mengenai kandungan buku ini yang sedang hangat diperkatakan. Tentu MAIS gembira kerana selain daripada sekadar sekitar 1,000 peserta yang menghadiri seminar anti-Kristian di UiTM, kini kandungan serta mesej buku Pendedahan Agenda Kristian sudah disebarkan ke seluruh dunia menerusi makalah ini. Usaha lupa: “Penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian,” seperti kata penerbit.
]]>Krisis pemikiran politik Islam
Tentang hubungan antara agama dan politik Mengulas tentang dunia Muslim dan pemikiran mereka tidak dapat lari daripada mengulas sumber-sumber yang menjadi rujukan mereka dalam kehidupan, selain tentang ‘bagaimana’ mereka berinteraksi dengan dunia moden yang serba mencabar ini sambil berpegang dengan sumber-sumber (al-Quran, al-Hadis dan teks-teks tradisi) yang menjadi rujukan. Soal hubungan agama dengan politik sentiasa menjadi topik yang berlarutan, namun malangnya seringkali ia berlangsung dengan penuh mengecewakan sejak berdekad-dekad lamanya. Ia bermula dengan kekacauan cara berfikir yang ditimbulkan oleh sebahagian yang mengaku sebagai ‘salafi’ apabila perbincangan politik dibahaskan secara terlalu literal. Tokoh ilmuan Muslim antarabangsa, al-Qaradhawi mengulas dan mengkritik fenomena ‘literal dalam nas-nas berkaitan al-muamalat’ tersebut dalam banyak karya beliau seperti as-Siyasah as-Shariyyah fi Dhau’ Nusus as-Shariah wa Maqasidiha dan Dirasah fi Fiqh Maqasid al-Shariah[i] atas nama az-Zhohiriah al-Judud yang membahaskan persoalan-persoalan agama secara terasing daripada objektif-objektif Shariah. Di tangan mereka, hubungan agama dan kehidupan seperti hanyalah halalisation dan haramisation; lantas ditolak wacana-wacana semasa dalam pemikiran politik atas alasan bidaah. Al-Qaradhawi semasa mengulas fenomena tersebut menyatakan: “Mereka menolak petikan daripada selain kita (Muslim), menganggapnya sebagai perkara baru dalam agama dan segala perkara baru adalah bidaah, setiap bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan balasannya neraka. Lantas mereka menganggap demokrasi seluruhnya (kemungkaran) yang wajib ditentang, sementara penerimaan pandangan majority (bidaah Barat) yang diimport.” (al-Siyasah al-Shariyyah, hlm. 231) Demokrasi haram, penubuhan parti haram, pengehadan tempoh pemerintahan haram dan segala idea-idea baru akan dibalas haram oleh mereka dan golongan yang menuruti mereka. Kita perasan di tanah air kita fenomena halalisation dan haramisation ini berlangsung hangat terutama menjelang musim pilihanraya. Contohnya kita tidak lupa apabila ada sebahagian golongan agama yang mengharamkan pengundian calon-calon bukan Muslim. Penulisan ini bukan ruang untuk membincangkan secara ilmiah dan mendalam persoalan tersebut, tapi sesuatu yang sungguh wajar kita banteras ialah fenomena mereka yang ‘menghidupkan’ (mematikan!) wacana pemikiran politik Islam kontemporari dengan berkata “haram” semata-mata. ia adalah suatu krisis yang memandulkan khazanah pemikiran kita. Awalnya ia mungkin sebuah tindak-tanduk yang mengharamkan falsafah politik, akhirnya tanpa sedar ia bertukar menjadi sebuah falsafah yang mengharamkan segala pandangan yang berbeda dengan mereka, “min tahrim al-falsafah ila falsafah at-tahrim” (daripada mengharamkan falsafah kepada falsafah yang mengharamkan) sebagaimana diulas seorang penulis bernama Turki al-Hamad dalam bukunya as-Siyasah bayn al-Halal wa al-Haram”. Gerakan dan ideologi? Tentang agama dan politik, sebahagian gerakan Islamis pula masih gagal menjelaskan secara kritikal bagaimana sebenarnya hubungan antara kedua-duanya. Apabila disoal, mereka akan menjawab ringkas; “agama dan politik tidak boleh dipisahkan”. Soal kepercayaan dan pendirian kaum Muslim yang sentiasa melihat kehidupan dan isu-isunya menerusi kaca mata tradisi agama mereka, ia dihormati dan tidak disangkal. Namun wajarlah polemik hubungan antara agama dan politik ini dibincang kritis oleh mereka, contohnya soal bagaimana sebenarnya agama berinteraksi dengan politik? Soalnya juga ialah bagaimana membedakan antara pembahagian ruang dalam wacana agama dan politik? Adakah memandangkan politik berhajat kepada agama, dan mereka merupakan sebuah gerakan politik berorientasikan agama, maka segala idea dan pandangan politik mereka merupakan ‘agama’? Persoalan tersebut mestilah dibincang serius dan kritikal memandangkan jika tidak ia akan terus menambah kekeliruan dan campur aduk yang tidak seimbang antara dua ruang, dibimbangi akhirnya wujud unsur pemaksaan idea-idea politik atas nama agama dan autoriti khasnya dalam sebuah masharakat jamak agama dan budaya seperti Malaysia. Demikian juga dengan persoalan antara peranan negara, komuniti, keluarga dan peribadi. Kerajaan bukan ibu bapa kita, ibu bapa kita bukan kerajaan. Komuniti ada tanggungjawabnya, kerajaan ada tanggungjawabnya. Keluarga, komuniti, sekolah, universiti dan kerajaan pasti akan mempunyai tanggungjawab yang berbeda, malah bentuk dan jenis kemungkaran yang mesti dicegah juga berbeda kuasa dan peranannya. Rasuah, salah guna kuasa, kes-kes jenayah dan sebagainya antara kemungkaran yang mesti diselesaikan kerajaan, tapi etika berpakaian, waktu keluar malam dan sebagainya pula merupakan tugas ibu bapa, atau rakan-rakan (komuniti), bukannya tugas kerajaan. Ada beberapa masalah yang memerlukan kerjasama dan tanggungjawab oleh kerajaan dan komuniti, tetapi bentuk tanggungjawab pastinya berbeda. Ada pula isu-isu yang hanya melibatkan komuniti dan ada pula yang hanya berkaitan peribadi dan komuniti. Saya melihat, wacana pembahagian tugas dan peranan antara keluarga, komuniti dan kerajaan masih tidak berlangsung dengan baik oleh mana-mana kumpulan Islam sedangkan ia mempunyai perkaitan rapat dengan persoalan hubungan antara agama dan politik. Gerakan Islamis dan kaum cendekia awam yang memberi perhatian terhadap perbincangan ini juga haruslah sedar akan keperluan untuk memperbaharui wacana-wacana tentang hubungan agama dan politik. Pengalaman Islamis pada zaman kolonial sudah tentu tidak sama dengan apa yang mereka sedang hadapi pada zaman ini. Saya memberikan contoh apabila dibincangkan soal negara Islam dan negara sekular, kandungan perbincangannya pada hari ini mempunyai perbedaan dengan apa yang dibincangkan pada era kolonial dan awal pasca-kolonial. Teori Barat mungkin menyatakan; secularization = freedom = religious pluralism = democracy, tapi akhirnya yang berlaku ialah secularization = colonialism = de-Islamization = dictatorship. Justeru apabila diajak mewacanakan soal negara Islam dan negara sekular, haruslah dinilai kembali wacana yang lalu dan disusun kembali menurut konteks hari ini dan menurut latar sesebuah negara, tanpa meninggalkan apa yang diyakini mereka. Demikian juga tidak wajar perbincangan tersebut hanya memberi kita dua pilihan sahaja iaitu sama ada hitam atau putih; sama ada negara Islam atau negara sekular. Justeru tidak dapat tidak dalam projek pengharmonian antara agama dan politik ini, ditentukan apa itu objektif-objektif Shariah (fundamental values) di sebalik sekalian perdebatan dan wacana yang diadakan, contohnya antara objektif utama Shariah menerusi pintu politik ialah keadilan, keamanan, kemuliaan manusia dan kebebasan. Dunia yang makin kompleks dan cabaran yang makin berbeda mengkehendaki penilaian semua tentang persoalan-persoalan di atas, dengan menyediakan jawapan yang tidak lagi utopia dan simplistik, tetapi lebih realistik dan menepati objektif-objektif Shariah yang mesti dicapai. Negara untuk kebaikan semua warganegara, bukan untuk kepentingan golongan Muslim sahaja Krisis dalam pemikiran kontemporari politik Islam khasnya di tanah air kita menjadi makin rumit apabila soal interaksi antara Muslim dan bukan-Muslim telah dicacatkan menerusi perbincangan yang bersifat sektarian dan penuh dengan sentimen keagamaan, selain berdasarkan kaca mata hitam-putih. Kita berada dalam kesempitan dada apabila para pemimpin jadong (iaitu jahat, bodoh dan sombong dan dibantu cita bencana – meminjam istilah Syed Husein al-Attas) telah mengambil kesempatan realiti kepelbagaian agama untuk mengapi-apikan antara Muslim dan bukan-Muslim, sekaligus menyempitkan wacana pemikiran politik Islam, khasnya berkaitan hubungan antara agama. Antara yang terbaharu, ada kumpulan yang melaungkan slogan keIslaman dan kebangsaan Melayu menganggap bangsa selain warga Cina, India dan lain-lain sebagai berkewarganegaraan kelas kedua, mereka juga masih menyebarkan kebencian seperti menyebut “pendatang Cina” dan sebagainya, sedangkan semua merupakan warganegara dalam satu negara. Prof Dr Louay Safi, tokoh intelektual Muslim yang terkenal telah menulis satu artikel menarik bertajuk Linas’a ila bina’ dawlah madaniyyah tahmi huquq al-muwathinin, la dawlah diniyyah tar’a masolih al-mu’minin (Ke arah membina negara madani yang melindungi hak-hak warganegara, bukannya negara agama yang menjaga kepentingan orang beriman), beliau menutup tulisan itu dengan menyatakan; “Legitimasi politik terlaksana menerusi pelaksanaan prinsip-prinsip umum yang dibawa piagam Madinah bukannya menerusi pelaksanaan hukum-hukum fiqh yang khas untuk pengikut agama Islam. Perjanjian Madinah yang mentadbir kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat tidak menyentuh pelaksanaan hukum-hakam Islam dengan gambaran sempit yang diseru oleh sebahagian golongan beragama pada hari ini. Menerusinya ia mahu menukarkan sistem politik kepada sistem diktator yang religius, bertentangan dengan jawhar agama dan ruh Islam; keadilan, kesamarataan, saling membantu, saling bermaafan, menghormati kepelbagaian agama, pilihan-pilihan manusia dan kebebasan rakyat, jauh daripada dikte-dikte pemerintahan mutlak atau negara yang diktator.” Ternyata politik berorientasikan ketakutan dan sentimen keagamaan dan perkauman telah mengalihkan perhatian banyak pihak akan perbincangan sebenar yang wajar diangkat. Lebih memburukkan keadaan apabila segelintir pihak telah memetik beberapa teks klasik mengenai hubungan antara Muslim dan bukan-Muslim dengan keluar dari konteks yang dikehendaki. Mereka menimbulkan persoalan “kafir harbi” sedangkan sekalian rakyat sama ada penganut agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Atheist, Agnostik dan lain-lain merupakan warganegara yang sah, mempunyai hak-hak yang mesti diberi dan mempunyai tanggungjawab yang mesti dilaksana. Hal kesamarataan kewarganegaraan tersebut telah diulas oleh ramai tokoh ilmuan Muslim seperti Fahmi Huwaydi menerusi karya terkenalnya Muwathinun La Dzimmiyyun, al-Qaradawi dalam beberapa tulisannya; antaranya al-Want wa al-Muwatanah dan Dr Muhammad Imarah turut menulis dalam pelbagai bukunya. Salah satunya ialah dalam buku Thawrah 25 Yanayir (Revolusi 25 Januari), beliau semasa mengulas tentang konsep kewarganegaraan telah menulis: “Kesetiaan seseorang warganegara terhadap negaranya mewajibkan ia berlepas diri daripada musuh-musuh negara tersebut. Sepertimana untuk negara ada hak-hak ke atas warganegara, demikian juga sesungguhnya untuk warganegara ada hak-hak ke atas negara dan rakyatnya. Antara hak yang terpenting ialah; kesamarataan dalam persamaan peluang (equal opportunities), penafian diskriminasi dalam hak-hak politik, sosial dan ekonomi disebabkan warna kulit, kelas dan agama, sambil merealisasikan perpaduan sosial yang menjadikan rakyat jasad yang satu.” Demikian sebagaimana tersebar dalam teks-teks klasik dan semasa politik Islam bahawa interaksi antara Muslim dan bukan-Muslim terasnya ialah konsep Lahum ma lana wa ‘alayhim ma ‘alayna iaitu soal hak dan tanggungjawab sama ada Muslim ataupun bukan Muslim adalah sama dalam sesebuah negara. Malangnya konsep ini tidak begitu diangkat ke tengah-tengah masharakat di Malaysia gara-gara sentimen agama dan kaum yang sempit. Selagi kita tidak keluar daripada sentimen keagamaan dan perbuatan memetik teks-teks klasik politik tanpa meraikan realiti semasa, selagi itulah kita akan terus terjerumus dalam gua kejahilan dan kemunduran karena kita akan gagal memberi fokus terhadap projek pembaikian dan perobahan dalam pemikiran kontemporari politik Islam. Makalah ini bersambung ke makalah bertajuk Ke Arah Pencapaian Islah Muslim
]]>Apa kesalahan LGBT?
extinction) manusia di bumi ini. Mereka mengatakan bahawa golongan LGBT menghalang proses kelanjutan manusia sebagai satu spesies di muka bumi. Siapa yang menghancurkan muka bumi? Tetapi apa yang boleh disaksikan, berdasarkan fakta yang jelas adalah manusialah yang jelas sekali tidak menghargai semua yang dicipta oleh Tuhan. Sepatutnya, manusia yang berhujah sedemikian perlu risau bahawa bumi ini tidak akan berterusan dengan kemusnahan alam sekitar yang begitu pesat. Contohnya: Jumlah orang di dunia pada tahun ini adalah sekitar 7.2 bilion, dan dijangka meningkat ke 9 billion pada tahun 2050. Dianggarkan 40% daripada jumlah orang di dunia ini adalah miskin di mana kemiskinan relatif semakin meningkat. Di dalam laporan Bank Dunia, dicatatkan kejayaan mengurangkan kemiskinan di seluruh dunia, tetapi statistik yang membanggakan itu semata-mata adalah kejayaan dasar politik dan sosio-ekonomi Negara China. Rantau dunia yang lain seperti Afrika, Amerika Latin, Eropah Timor dan Asia Tengah masih dalam kemiskinan, dan keadaannya tidak berubah, bahkan ada yang meningkat jumlahnya. Jangan dilupai bahawa berjuta-juta masih dalam kebuluran. Dianggarkan seorang daripada 8 orang di dunia ini (12.5%) berkebuluran dan ia merupakan faktor penyebab utama sebanyak 50% daripada jumlah kematian 10.9 milion kanak-kanak berlaku setiap tahun. Secara purata, seramai 30% daripada orang perempuan yang ada perhubungan intim menghadapi keganasan daripada pasangannya. Sebanyak 38% pembunuhan perempuan dilakukan oleh pasangannya. Mengapakah isu-isu sebegitu tidak mendapat perhatian agamawan? Mengapakah kemarahan mereka hanya ditujukan kepada golongan minoriti seksual? LGBT: Tanda kiamat? Terdapat juga orang yang percaya bahawa kemunculan golongan LGBT dengan lebih nyata di kalangan masyarakat adalah satu tanda bahawa dunia akan kiamat. Samalah pemahaman dan ketakutan mereka tentang kewujudan begitu banyak jenis penyakit yang baru. Mereka mempercayai semua ini timbul kerana kemarahan Tuhan terhadap manusia, dan atas sebab itu mereka marah pula terhadap orang yang dipandang sebagai “masalah” atau “songsang”. Di dalam hal ini, saya ingin berkongsi perspektif yang lain, yang bagi saya, lebih mirip kepada apa yang saya rasa patut diutamakan oleh semua iaitu penyempurnaan kemanusiaan kita. Manusia begitu mementingkan diri sehingga belas kasihan susah dicurah kepada mereka yang berbeza, mereka yang terasing, mereka yang dianggap tidak layak, mereka yang dihukum sebagai orang yang berdosa dan sampah masyarakat. Bak kata lain kita sudah menjadi berat sebelah dalam menentukan siapa yang akan diterima dan ditolak. Kita, manusia yang perosak dan pemusnah alam, lebih suka menghukum daripada menunjukkan belas kasihan kita terhadap mereka yang dipandang “kurang berharga sebagai manusia”. Saya berpendapat bahawa kesengsaraan golongan LGBT yang dipinggir adalah satu peringatan bahawa kita sudah lama lalai untuk menyempurnakan kemanusiaan kita. Kita sepatutnya lebih berperi kemanusiaan. Sebaliknya, kita masih bertungkus lumus menguatkan apa-apa jenis kuasa (sosial, ekonomi, politik, teknologi) yang kita ada. Di dalam kelakuan sebegitu kita hanya memastikan dunia ini akan menyaksikan pemerluasan gejala-gejala kemusnahan yang bagi saya, lebih membimbangkan: rasuah, perlumbaan untuk meraih keuntungan yang melampau, eksploitasi tenaga buruh, keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, diskriminasi terhadap pendatang, dan seterusnya. Prejudis salah tumpuan Di dalam hal seksualiti sahaja, terutamanya isu hak asasi manusia LGBT, isu lanjutan manusia timbul dengan begitu ghairah di kalangan orang yang memperalatkan agama. Isu-isu penting yang lain, seperti keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, penindasan tenaga buruh dan penghambaan moden, eksploitasi alam sekitar, serta keuntungan yang melampau tidak dipandang sebagai faktor utama yang akan menghapuskan kewujudan manusia di bumi ini. Tetapi di dalam hal seksualiti, terutamanya untuk mengawal hak asasi wanita dan hak asasi golongan LGBT, undang-undang mudah sajaka diluluskan dan dikuatkuasakan. Kepada orang yang beriman, saya ingin bertanya, bukankah “isu” kelanjutan manusia di bumi ini keistimewaan tunggal Tuhan dan tidak patut dijadikan kebimbangan ciptaan-Nya? Benarkah “penimbulan” LGBT ini akan membawa kepada penghapusan manusia di bumi ini? Pada pendapat saya, tanpa wujudnya LGBT pun, kita sudah memastikan penghapusan bumi tersayang.
]]>Islam: Agama melawan penindasan?
Masyarakat pun bersalah Masyarakat yang lebih mengutamakan hukuman daripada meneliti dan melawan punca masalah adalah masyarakat penindas. Saya menggunakan perkataan masyarakat kerana ia merangkumi golongan pentadbir negara dan juga rakyat biasa. Penindasan tidak saja dilakukan oleh golongan politikus dan korporat, ia juga malah dilakukan oleh golongan awam. Apabila rakyat memilih untuk berdiam diri bilamana berlaku kezaliman penguasa, agamawan dan korporat, rakyat sebenarnya bersubahat dalam penindasan tersebut. Subahat ini bukan dari sudut niat semata, malah ia subahat berupa perbuatan kerana ketidakadilan yang patut dilawan dengan daya upaya dibiarkan berleluasa, seolah menggalakkan lagi kezaliman bermaharajalela. Ia serupa rakyat sendiri melakukan perbuatan menindas itu dengan tangan-tangan mereka. Muslim pun turut serta Saya mahu menyentuh tentang masyarakat Islam secara khusus dan betapa mandulnya ia dalam menangani isu ketidakadilan sosial dan ekonomi. Kalau kita melihat di sekeliling, masalah kemiskinan masih parah. Golongan miskin tegar bukan hanya wujud di ceruk kampung tapi di celah-celah bandar. Malah kehidupan bandar lebih perit dari kehidupan kampung. Begitu ramai anak-anak yang tak bersekolah kerana tidak berduit, dan masih ramai yang kelaparan, gelandangan semakin bertambah, penagih dadah berkeliaran sekitar kota dan golongan fakir miskin dan muallaf yang ditinggalkan keluarga kebajikannya tak dijaga. Islam ni untuk apa? Islam seharusnya bukan sekadar gerakan agama, ia malah gerakan ekonomi. Tapi ia bukan gerakan ekonomi pelambakan harta untuk golongan tertentu, ia bukan ekonomi ekspo perbankan Islam yang dijaja di pusat dagang, ia gerakan ekonomi yang bertunjangkan keadilan untuk golongan lemah. Nilai ekonomi dalam Islam menekankan prinsip penyamarataan dan kesamaan. Islam melarang penimbunan harta dan menentang akan lebihan keperluan yang tidak diagih-agihkan kepada golongan lemah. Kita tidak mahu mengatakan bahawa hukum alam itu ada yang kaya maka ada yang miskin. Kata-kata sebegitu hanya menguntungkan golongan elit dan penguasa. Sekurang-kurangnya dalam Islam tidak ada konsep sebegitu kerana keadilan dalam Islam bukan hanya bersifat hukum malah lebih dari itu ia bersifat distributif. Ia bersifat mengagih kekayaaan supaya wujud keseimbangan sosial. Wujudnya jurang perbezaan kelas ekonomi yang kian bertambah cuma membawa masyarakat kepada kehancuran. Ya, ekonomi dalam al-Quran tidak bersifat dogma tapi lebih kepada penyerapan nilai. Saya tidak mengatakan wujud sebuah sistem ekonomi yang lengkap di dalam al Quran itu. Tapi nilai-nilai yang diajar dalam kitab itu dengan jelas mengisyaratkan yang al Quran tidak bersetuju dengan sistem ekonomi yang menindas. Kesejahteraaan masycrakat dan keadilan cuma boleh ditegakkan jika nilai-nilai itu digunapakai. Sistem ekonomi yang menindas dan mengeksploitasi jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan harus ditentang. Muslim dicandu? Di sini bukan ruang untk membahaskan dengan panjang tentang sistem ekonomi. Apa yang mahu disampaikan sebenarnya adalah orang-orang Islam itu punya penyakit tidak mahu meneliti masalah dari puncanya dan sering bersifat menghukum. Kita digula-gulakan oleh golongan politikus dengan kegilaan mereka mahu melaksanakan perundangan syariah dan retorik hudud contohnya. Kita sibuk memilih rotan jenis apa yang mahu digunakan untuk menghukum tapi lupa mengingati diri kita atas sebab apa perlunya mengangkat rotan itu terlebih dahulu. Masyarakat yang kecanduan angan-angan negara Islam ini semakin hari semakin terbuai dengan permainan politik penguasa. Rasuah berleluasa, kepincangan dalam perlaksanaan pengagihan zakat disebut-sebut, hak-hak pekerja terus dicabul, gaji yang tidak setimpal dengan nilai kerja, ketelusan institusi baitulmal dipersoal, rumah orang-orang miskin diroboh bagi tujuan menguntungkan syarikat gergasi, kampung-kampung diceroboh atas nama pembangunan, anak-anak yatim dipaksa meminta-minta di jalanan, pembaziran dalam perbelanjaan negara dan pelbagai lagi kezaliman yang jelas sekali ditentang oleh agama yang kita anuti ini. Semua ini berlaku dan kita sibuk berhujah bagaimana si pencuri perlu dihukum, bagaimana orang-orang berzina perlu dimalukan di khalayak ramai dan bagaimana memenangi perlumbaan siapa yang lebih Islam ini. Si pencuri Milo dan tabung wang masjid terus dipukul hingga lunyai oleh tuhan-tuhan jalanan. Di mana kehebatan Islam? Brunei mahu melaksanakan undang-undang syariah kita pun sibuk tidak mahu tertinggal. Konon malu kita tidak melaksanakan seruan Tuhan, namun tidak malu dengan hakikat yang kita dicengkam sistem ekonomi bercorak penindasan sedemikian rupa sehingga begitu payah kita mahu menjadi Muslim pun kerana masalah ini. Perlaksanaan undang-undang syariat dan hudud tidak lain hanya tunggangan penguasa semata dalam mengekalkan status quo. Apa saja yang tidak mengganggu sistem ekonomi penindasan ini, itulah yang diberi suap kepada orang Islam supaya mereka kekal redha dengan kemapan institusi agama dan pentadbiran negara. Ya, ini negara yang majoritinya umat Islam. Sayangnya majoriti inilah yang disuap saban hari dengan ceramah-ceramah agama berunsur jenaka, fatwa-fatwa berpihak kepada penguasa, ritual-ritual ibadah yang kering, doktrin-doktrin yang abstrak dan sulit difahami, khutbah berunsur sektarian dan ulama-ulama yang sibuk mengkafirkan satu sama lain. Golongan agamawan dan parti politik keagamaan sampai hari ini gagal meyakinkan masyarakat dengan pelan tindak ekonomi dan sosial yang mampu menaik taraf hidup golongan tertindas. Mana sistem ekonomi Islam yang dicanang-canang kehebatannya? Kalau sudah wujud, di mana keberkesanannya? Atau adakah memang benar fungsi agama cuma untuk memberi makanan rohani dan menghukum orang?
]]>Hudud: Kerisauan seorang Kristian
Perbandingan daripada perspektif Kristian Dalam menyiapkan makalah ini, saya juga berbincang dalam satu sesi pengkajian ‘Alkitab’ bersama rakan-rakan siswa dalam komuniti Persatuan Pelajar Katolik Shah Alam mengenai isu ini. Petikan yang kami kaji adalah Injil Matius bab 18 ayat 6 hingga ayat 9. Di sana kami menganalisa bahawa Yesus Kristus sendiri memberi peringatan keras yang kelihatan sama dengan konsep hudud iaitu membuang sebahagian anggota badan bagi menghindari orang lain daripada melakukan dosa. Namun, adakah Yesus bermaksud sedemikian? Yesus menggunakan perumpamaan dalam mengajar bahawa punca dosa mahupun jenayah adalah kerosakan moral dan penyesatan diri. Ia adalah perkara yang wajar ditangani oleh setiap individu bagi menghindarkan diri daripada menyebabkan kerosakan pada diri dan masyarakat. Yesus tidak mengajar umatnya untuk menghukum manusia lain sewenang-wenangnya mengikut hutang ‘nyawa bayar nyawa’ tetapi berpegang teguh pada nilai keadilan, belas kasihan dan pengampunan. Dan semasa berhujah ada rakan saya mengutarakan petikan daripada Injil Yohanes bab 8 ayat 1 hingga ayat 11. Ia tentang bagaimana Yesus enggan menghukum wanita berzina supaya direjam sampai mati setelah diasak oleh guru Taurat Yahudi. Beliau memberi kenyataan balas sedemikian; “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia” (Yohanes 8:7). Di sini saya lihat, urusan menghukum adalah lebih layak ditentukan sebagai urusan Tuhan dan ianya akan diselesaikan sendiri di akhirat kelak melalui syurga dan neraka. Gereja Katolik yang terkenal dengan hukuman Pasitan (Inqusition) sejak kurun ke-12 hingga ke kurun ke-16 turut menyaksikan penyalahgunaan hukuman penalti yang kejam seperti pancung, bakar hidup-hidup dan rejam sampai mati. Namun setelah berlakunya renungan sejarah secara serius Gereja pun insaf dengan meletakkan peluang kepada pertaubatan individu dan martabat nyawa manusia setelah terhapusnya Pasitan ini. Namun, ianya bukan bererti, tiada hukuman kepada penjenayah di muka bumi ini bagi menjamin keselamatan awam. Berikut adalah saranan Gereja Katolik dalam menangani jenayah: “Dalam usaha untuk melindungi kepentingan bersama, pihak berkuasa awam yang sah mesti menjalankan hak dan kewajipan untuk mengenakan hukuman mengikut keseriusan jenayah yang dilakukan. Hukuman tidak berkhidmat semata-mata bagi tujuan mempertahankan ketenteraman awam dan menjamin keselamatan individu; ia juga menjadi alat untuk pembetulan pesalah jenayah itu, pembetulan yang juga mengambil kira pada nilai moral penebus dosa apabila pihak yang bersalah secara sukarela menerima hukumannya. Tindakan pemerintah untuk menetapkan tanggungjawab atas kejahatan yang juga adalah tertakluk pada peribadi insaniah harus diiringi dengan kewajiban untuk mencari kebenaran tanpa syarat dan harus dijalankan atas dasar penghormatan pada martabat dan hak peribadi manusia. Hak seorang tertuduh harus juga dilindungi seperti hak seorang bebas. Prinsip hukum yang berlaku umum harus selalu ditaati yakni hukuman baru dijatuhkan setelah kesalahan tertuduh dibuktikan. Sesungguhnya masyarakat moden mempunyai usaha untuk secara efektif meniadakan tindak kejahatan jenayah dengan melumpuhkan para penjahat, sehingga tidak merugikan masyarakat lagi, tanpa menutup peluang bagi mereka untuk memperbaiki diri. Cara-cara damai dan tanpa pertumpahan darah (hukuman mati) lebih diutamakan kerana cara-cara itu lebih menjawab syarat-syarat konkrit bagi kesejahteraan umum dan lebih sesuai dengan martabat manusia.” (Kompendium Ajaran Sosial Gereja, no. 402-405) Kesimpulan Tidak cukup dwi-standardkah undang-undang syariah serta undang-undang jenayah sivil sedia ada? Tidak membantukah undang-undang jenayah sivil yang kita ada sekarang? Mengapa perlu hudud di negara yang hanya mempunyai majoriti 60.4% penduduk Muslim? Sudahkah dapat persetujuan semua umat Muslim di negara ini tentang perlaksanaannya? Bagaimana penerimaan yang bukan Muslim? Bagaimana hukuman hendak dijalankan? Apakah ijtihad serta rujukan yang perlu diambil dan dirujuk? Model negera Islam yang mengamalkan undang-undang Hudud manakah yang terbaik untuk dijadikan contoh? Apakah jaminan bahawa undang-undang ‘Tuhan’ ini berjaya mengurangkan jenayah? Sekirannya kesemua persoalan di atas tidak berhasil dijawab, saya mengandaikan undang-undang ini berkemungkinan akan gagal dan menjadi tidak wajar dilaksanakan sama ada di Kelantan mahupun ke atas seluruh Malaysia. Keyakinan umat bukan Islam adalah kunci utama penerimaan undang-undang Hudud di negara ini serta dalam mengekalkan keharmonian dalam negara.
]]>