Catatan Dari Jalanan – Kerjasama Membela Kaum Tertindas
Gambar: Fernando Fong, The Rakyat Post[/caption]
Di kelas jalanan Chow Kit kemudiannya, Nik mengkhabarkan padaku bahawa ada anak yang tidak mahu belajar. Aku tanyakan kembali kalau budak itu tak mahu belajar atau dia mahu belajar benda lain. Seperti biasa kami bersembang dengan kanak-kanak itu, cuba memujuknya tanpa memaksa.
Sebagai manusia dia tidak boleh dipaksa, dan sebagai anak yang sangat kecil dan hidup dalam persekitaran dan budaya dimana dia harus menurut perintah, dia masih tidak mampu memikul autoriti membuat keputusan sendiri sebebasnya. Kami cuba bimbing, cuba cari minat dia.
Bersembang-sembang dengan rakan-rakan gerakan lain yang datang memerhati dan berkongsi idea, aku meluahkan harapan kepada seorang kawan untuk mendapatkan tenaga orang-orang yang minat mengajar mereka kemahiran-kemahiran spesifik sesuai dengan minat mereka. Kita beri mereka pededahan, ajar mereka kemahiran itu, bimbing mereka menentukan arah tuju.
Semasa aku di sekolah dulu, seperti kau, aku dipaksa belajar semua subjek oleh guru dan fokus pada kesemua subjek itu, akhirnya yang aku minat pun entah ke mana yang aku tak minat pun ke longkang. Aku risau kalau-kalau budak-budak ini pun tidak ada yang mahu melihat mana minat dan bakat sebenar mereka dan apa yang mereka mahu buat dalam hidup.
[caption id="attachment_4601" align="aligncenter" width="380"]
Gambar: Sciencedaily.com[/caption]
Kita boleh katakan ibu bapa mereka memainkan peranan penting, tapi kita juga perlu faham ibu bapa mereka bukan beruntung seperti kita. Ini bukan dari kalangan ibu bapa yang mana ibu melayan muzik Mozart sewaktu mengandung anak dengan suami di sisi memegang tangannya sambil tersenyum, mampu memberi makanan dan nutrisi sihat kepada anak-anak, menghantar mereka ke nurseri kemudian ke sekolah, ulang-alik ke sekolah berdiskusi dengan guru tentang perkembangan anak-anak, menyediakan tusyen serta mengajar di rumah ketika musim cuti, menolong dengan kerja-kerja sekolah, manghantar mereka ke kelas piano, biola dan gimnastik atau kelas seni melukis.
Itupun kalau semua yang dilakukan ini benar-benar untuk membentuk anak menjadi manusia baik yang bebas dan faham kebebasan orang lain. Terkadang tampaknya cuma seperti menyerahkan tanggungjawab kita sendiri pada institusi lain supaya anak itu ‘menjadi’. Menyerahkan duit kepada orang lain untuk menghasilkan anak cemerlang. Nah, ibu bapa yang ‘beruntung’ ini pun akhirnya cuma menunggu magis berlaku hasil dari pelaburannya sana sini.
Kita juga tidak boleh memaksa pengalaman kita atau gagasan kita semata-mata ke atas mereka. Kita bukan mahu menjadikan mereka seperti kita. Mereka akan menjadi diri mereka, bebas memilih apa yang mereka mahu. Cuma perlu dibimbing cara-cara untuk mereka mendapat kebebasan itu, dan bagaimana untuk menikmatinya tanpa merampas kebebasan orang lain.
Di Chow Kit tempat mereka belajar, kenderaan berasak-asak dalam kesesakan lalu lintas sampai ke tengah malam. Adakah kita mahu keluarkan mereka dari kemiskinan mereka dan masukkan mereka ke dalam kemiskinan yang satu lagi ini? Adakah kita mahu mereka jadi seperti kita yang tertipu dengan industri perniagaan pendidikan dan kemudian menjadi robot-robot pejabat dan syarikat-syarikat besar? Itu bukan kejayaan namanya. Ianya tidak membebaskan mereka.
[caption id="attachment_4602" align="alignleft" width="140"]
Gambar: NBC News[/caption]
Kita adalah produk pendidikan yang mengajar kita supaya terlibat dalam perlumbaan tikus (‘rat race’) ekonomi di mana kita diajar untuk memijak kepala satu sama lain untuk menjadi nombor satu dan perkara ini nampaknya akan berlanjutan ke anak cucu kita.
Fokus cuma diberi kepada kebolehan individu tanpa mengambil kira kesannya terhadap struktur masyarakat. Kita menghasilkan kuda-kuda lumba yang laju tapi golongan terpinggir terus disisihkan, walhal kita ini orang-orang yang berpendidikan.
Kita cuba wujudkan satu persekitaran di Chow Kit di mana anak-anak ini kenal erti kerjasama dan menghormati satu sama lain dalam proses mereka menjadi manusia yang baik. Bukan cuma menjadi apa yang ia mahu jadi tanpa menghiraukan persekitaran.
Mereka boleh dibimbing berbincang dan membuat keputusan secara kolektif kerana hakikatnya mereka juga seperti kita, jiwa-jiwa yang bermasyarakat. Di situ kita sendiri akan belajar bagaimana kita pun menjadi seperti itu kerana kita sendiri perlu kesedaran ini. Kita dan mereka, saling belajar dari satu sama lain.
Kolektif-kolektif, gerakan-gerakan yang melakukan khidmat masyarakat tidak perlu bersatu di bawah panji sama. Masing-masing mengendali kolektif masing-masing tetapi kita tidak dapat lari dari mempunyai kesefahaman, semangat setiakawan dan solidariti untuk satu sama lain.
Ini bukan persaingan antara syarikat korporat, ini bukan permainan mengejar nama baik. Kita belajar dari satu sama lain, bergantung kepada satu sama lain sejurus menyedari bahawa ‘nasib’ kita ini di tangan kita sendiri yang mana semakin kuat kita bekerjasama semakin mudah kita mengharungi kesusahan.
Kita tidak perlu ada pengurus-pengurus lantikan yang menguruskan kita dan membuat keputusan untuk kita tanpa bertanya pendapat kita. Kita tidak mahu jadi masyarakat yang pasif dan tidak terlibat dalam keputusan-keputusan yang membabitkan kita di mana demokrasi itu cuma perkataan yang sia-sia, yang diucapkan oleh orang-orang dari mimbar tinggi, orang-orang yang langsung tidak memahami kita atau mewakili kita.
Nak tukar mentol pun upah si Parjo.
Hidup Anak Jalanan: Chow Kit
Anak-anak Chow Kit.”
[caption id="attachment_4551" align="aligncenter" width="562"] Gambar: Religion of Love[/caption]
Ini bukan kertas kerja untuk kajian akademik, dan sudah tentu kau pun tidak akan meluangkan masa membaca kajian akademik. Aku pun akhirnya tak akan bergambar dengan topi kelakar, memegang segulung kertas kalau buat kajian akademik. Aku difahamkan berkali-kali rakyat Malaysia tidak gemar membaca. Maka aku cuba ringkaskan dan mudahkan untuk pemahaman kita.
Jarang juga aku menjumpai orang bercerita tentang anak jalanan dalam Bahasa Malaysia , atau bahasa yang mudah difahami umum, jadi aku cuba untuk berfungsi di sini. Cuma kadang-kadang kau akan jumpa perkataan-perkataan yang sukar difahami, waktu tu kau tahu bahawa dunia belum kiamat dan perangai kita perlu diubah sedikit demi sedikit.
Kalau kau rasa kau terlalu bijak untuk diperlakukan begini, pergi baca buku-buku tebal yang setaraf dengan keintelektualan kau, atau sambung berzikir mencari keredhaan Allah Ta’ala. Jangan buang masa di sini.
Di seluruh dunia, anak jalanan ini adalah termasuk dalam kategori orang rentan, golongan marginal atau lebih mudah dibahasakan sebagai tertindas.
Mereka adalah hasil dari pembangunan ekonomi, penghakisan nilai kemanusiaan, peperangan (di negara-negara yang dilanda peperangan), kemiskinan, keganasan rumah tangga serta penderaan fizikal dan mental.
Terdapat beberapa bentuk atau ciri-ciri khas anak jalanan mengikut identifikasi yang dikelaskan WHO :
- Anak jalanan: Anak yang langsung tidak berumah dan menghuni jalanan. Biasanya ditinggalkan keluarga atau kematian ahli keluarga. Mereka tidur di tepi-tepi jalan, rumah-rumah kawan atau bangunan terbiar.
- Anak yang berada di jalanan : Ini jenis yang kerap melawat keluarga. Ia mungkin pulang ke rumah untuk tidur tiap malam, tapi banyak meluangkan masa di jalanan (kebanyakan hari dan kadang malam) disebabkan kemiskinan atau penderaan fizikal atau seksual di rumah.
- Sebahagian dari keluarga jalanan: Mereka tinggal di jalanan bersama keluarga, berpindah dari satu tempat ke tempat lain bila perlu dan menjalankan kegiatan ekonomi di jalanan bersama keluarga.
- Anak dalam penjagaan institusi: Berasal dari situasi di mana ia tidak berumah dan terdedah pada risiko jika kembali ke jalanan.



Anak-anak Chow Kit
Ini bandar kita
Gelandangan bekerja
Kenapa tak mampu beli rumah? Fikir sendiri lah. Ini bukan sains kejuruteraan DNA babi yang memerlukan satu negara memerah otak di Facebook selama berminggu-minggu.
Gaji ciput, kerja berjam-jam. Gelandangan bukan tak bekerja, mereka bekerja. Cuma faham-faham lah, mereka bukan loyar, majistret. Gaji minima tak dipantau, ramai pekerja yang masih ditipu majikan, dan pendidikan tentang hak pekerja masih sangat rendah, lebih-lebih lagi dikalangan yang miskin dan tak berpelajaran ini. Yang tempatan pula perlu bersaing dengan pekerja asing lagi.
Kemudian yang menerima upah mengikut kadar waktu bekerja yang terlalu pendek, mereka pun sama malang.
Mudah menyuruh mereka melakukan dua, tiga pekerjaan dalam sehari (macam lah kita yang bercakap ni mampu), dan bukan tiada, ada yang melakukannya. Tapi mana ada majikan akan memberi kerja menurut kelapangan masa si pemohon kerja? Jadual kerja bukan mengikut suka hati si pemohon.
Gelandangan dibenci
Ini belum lagi kita sentuh tentang diskriminasi majikan kepada gelandangan.
Majikan akan memilih calon yang beralamat tetap, dan sudah tentu yang tampak pun kemas ketika temuduga (sesuatu yang bukan mudah dilakukan untuk orang yang tidak bertempat tinggal).
Dalam banyak-banyak nama, si gelandangan akan jadi calon pilihan terakhir. Dan biasanya ada satu stigma yang melekat pada gelandangan ini bila mereka memohon kerja, mereka akan dipukul tabur sebagai ada masalah dadah, rekod jenayah, tidak boleh dipercayai, pencuri dan sebagainya.
Dan memang ada yang pernah ada masalah dadah pun, yang itu lagi payah. Masalah pengangkutan, kesihatan, kecacatan fizikal, komunikasi (susah tak ada telefon!), rekod pekerjaan (kebanyakan gelandangan punya rekod tidak berpekerjaan atau punya tempoh tidak bekerja yang panjang selepas pekerjaan terakhir, mereka ini pun mudah jadi mangsa diskriminasi) juga menjadi faktor susah mendapat pekerjaan.
Usaha ketara
Yang pasti, bukan semua mereka malas. Masing-masing berusaha. Cuma mereka perlukan kasih sayang dan dorongan, perhatian dan bimbingan.
Ramai mereka yang terpisah dengan atau dibuang keluarga, yatim, tidak berpendidikan tinggi, dipinggir dari masyarakat, membuatkan moral mereka jatuh. Mereka bukan ada penyokong macam kita yang ada anak isteri atau suami, kawan-kawan yang positif, pakar motivasi di Tv dan buku-buku bina sahsiah diri dan personality.
Dunia di jalanan sangat berbeza dengan dunia kelas menengah dan tinggi.
Maka di sinilah wujudnya gerakan-gerakan dapur jalan dan memperkasakan miskin bandar. Di sinilah peranan mereka. Satu, meringankan beban kewangan si miskin dan kedua menyokong mereka dari segi didikan dan moral. Tanpa gerakan-gerakan ini, jalanan itu benar-benar seperti neraka dunia.
Soup kitchen, tapi sampai bila?
Ketika tulisan ini dikarang, perang besar-besaran sedang dilaung-laungkan menentang fakir miskin dan gelandangan, juga ‘soup kitchens’ bandar Kuala Lumpur.
Usaha-usaha sedang dilakukan untuk menyorok gelandangan di bawah permaidani merah bandar, entah sempena menuggu kehadiran siapa.
Sejarah akan mencatatkan, para pembuat kebajikan yang biasanya dilihat sebagai penyantun dan penyayang akan bangkit melawan perintah Pak Menteri dan terus keluar seperti biasa memperkasakan golongan miskin yang tertindas dek perniagaan tanah bandar, dan pemerdagangan golongan pekerja.
Pak Man, yang sedar tidak sedar apa yang sedang berlaku di sekelilingnya, terus didorong cita-citanya mahu memperbaiki kehidupan sendiri.
Terus membayangkan pokok-pokok dan anak-anak ayam yang akan membesar di lamanya, dan terus tersenyum dengan telatah anak-anak muda aktivis yang kini sudah menjadi kawan-kawan baiknya, atau anak-anaknya.
Dan di saat aku menulis ini juga, seorang ibu tunggal dalam lingkukan 30an baru sampai dari Ipoh, menjejak kaki di Kuala Lumpur buat pertama kalinya untuk bekerja di kota menara kembar malam tadi.
Di sebalik riuh tetamu soup kitchen, dia menjengketkan kaki mencapai tinggiku, meninggikan suara dan berkata padaku “Beri sedikit masa, saya akan dapat kerja, nanti saya juga mahu tolong awak tolong orang” dalam pelat yang aku tak tahu nak kata Cina kah, Melayukah atau India.
“Hiduplah kamu kaum wanita.” bisikku sendiri.
Pusat Gelandangan Dunia Putra
Siapa gelandangan?
Gelandangan ini ertinya yang tidak tetap tempat tinggal dan pekerjaannya. Gelandangan tegar tidak punya rumah dan pekerjaan. Golongan ini merempat di Kuala Lumpur sekali-sekala menyewa bilik dalam sekitar RM 25 sehari dan jika tidak berkemampuan, mereka bergelandangan, siang merayau mengemis atau membuat kerja-kerja dengan upah murah, malam tidur di kaki lima atau di bawah jambatan.
Tiada akta khusus mengawal gelandangan. Gelandangan yang ditahan pihak berkuasa biasanya dikategorikan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Akta Kesihatan Mental 2001 dan Akta Orang Papa 1977.
Di bawah Akta Orang Papa 1977 (yang perlu disemak semula) mengemis merupakan kesalahan. Ini termasuk perbuatan yang mendorong kepada pemberian sedekah, sama ada atau tidak terdapat apa-apa perbuatan berpura-pura menyanyi, bermain, berlakon, menawarkan sesuatu untuk jualan atau selainnya. OKU pun dilarang menjual tisu.
Serbuan
Aku difahamkan pihak berkuasa kerap melakukan serbuan dan menangkap gelandangan. Wakil Kechara selalu turun ke padang, bertahun sudah lamanya, memasuki ceruk-ceruk kota dan memberi makanan, begitu juga dengan NGO-NGO lain.
Mereka kenal muka-muka gelandangan. Yang tidak berapa masuk akal adalah, orang-orang yang ditangkap minggu ini, contohnya, akan ada semula bergelandangan minggu depan.
Jumlah mereka tidak pernah berkurangan. kalau 200 orang ditangkap dalam satu sesi contohnya, seharusnya jumlah gelandangan turun 200.
Tak kan lah dengan begitu cepat wujud 200 gelandangan baru menggantikan yang ditangkap? Kalau begitu Kuala Lumpur seharusnya lebih banyak gelandangan daripada jumlah orang yang berpekerjaan dan bertempat tinggal.
Bila ditangkap, gelandangan ini akan dikelaskan mengikut masalah-masalah mereka dan dihantar kepada jabatan-jabatan bertanggungjawab. Maka mereka sepatutnya tiada di jalanan.
Katakanlah jabatan-jabatan pemulihan, institusi kebajikan, atau lokap sudah penuh oleh kerana itu mereka kembali atau dikembalikan ke jalanan, maka adakah patut kita berpeluk tubuh mengatakan sudah tidak ada tempat?
Atau patutkah lebih banyak pusat penempatan dibina untuk mereka? Macam mana kita mahu mengatasi masalah ini dalam 5-10 tahun akan datang pula?
Masalah sistem bukan individu
Golongan gelandangan akan sentiasa bertambah. Kerana orang yang jatuh ke tahap papa akan sentiasa bertambah. Ini kerana kemiskinan semakin menjadi-jadi.
Populasi manusia semakin bertambah, bandar semakin sempit, harga rumah semakin mahal, harga barang-barang keperluan semakin naik, kos sara diri, perubatan, serba-serbi semakin mahal, orang-orang sakit jiwa kerana kesempitan hidup makin bertambah, kadar merantau ke bandar pun semakin tinggi.
Yang tidak naik adalah gaji. Aku difahamkan dari gelandangan yang cuba mencari pekerjaan sendiri yang banyak syarikat yang mengambil pekerja tidak melaksanakan gaji minima, bahkan ada yang mengadu tidak dibayar gaji atau ditipu jumlah gaji. Kebanyakan dari gelandangan adalah yang tidak punya pekerjaan.
Seorang gelandangan mengatakan perlu gaji sekurang-kurangnya RM1500 untuk menyara diri dan keluarga kecil.
Antara punca-punca orang bergelandangan adalah masalah ketagihan dadah. Walaupun ini bukan golongan yang paling ramai, dan golongan paling ramai adalah yang tak berpekerjaan, tapi masalah tidak berpekerjaan dan ketagihan dadah berkait rapat.
Sukar bagi bekas penagih mencari pekerjaan. Memang biasa majikan tidak mahu mengambil pekerja yang mempunyai masalah dadah kerana tidak mahu terlibat dengan komplikasi yang bakal terjadi.
Ya, memang wajar kerana tempat meraka di pusat pemulihan. Malangnya bekas penagih pun sering ditolak bekerja kerana stigma yang melekat pada mereka.
Tapi bagaimana kita mahu menyelesaikan masalah ini? Soalannya lagi tempoh pemulihan untuk penagih dadah mencukupi kah atau perlu dipanjangkan? Dan setelah penagih-penagih ini dilepaskan, wajarkah mereka dibiarkan begitu saja?
Kebanyakan bekas penagih akan kembali ke keadaan lama mereka kerana tidak diterima dalam masyarakat dan sukar mendapat pekerjaan bagi menyara diri. Situasi itu mengembalikan mereka ke jalanan dan mendekatkan mereka semula pada dadah, kemudian mereka ditangkap semula, dilepaskan, dan kembali ke jalanan.
Ia adalah sebuah vicious cycle! Akta dadah perlu disemak dan AADK pun harus kerap turun padang. Dan kita tidak tahu siapa dalang-dalang di belakang industri dadah ini. Polis lebih mengetahui. Yang pastinya tokey-tokey ini bukan gelandangan, bukan miskin, bukan golongan kelas pertengahan pun.
Siapa akan bela mereka?
Setiap gelandangan itu punya punca kenapa dia bergelandangan. Tiada siapa yang suka bergelandangan, suka tidur di tepi jalan dalam kesejukan dan menjadi makanan nyamuk dan pelbagai kutu hama dan bakteria. Tiada siapa yang suka dijangkiti penyakit dan dan tiada yang selesa hidup meminta-minta.
Walaupun NGO banyak memberi makan kepada gelandangan, terlalu naif kita mengatakan atas alasan itulah mereka selesa bergelandangan.
Mereka tidak dapat bersaing dengan kepesatan pembangunan bandar dan harga tinggi yang terpaksa dibayar untuk berjalan seiring dengan kepesatan itu. Dan sentiasa akan ada orang-orang yang akan kalah dalam persaingan sengit yang didokongi Kapitalisme ini. Meminjam kata-kata wakil Kechara, “kami ada kerana mereka ada, dan kerana jumlah mereka makin bertambah. Kalau kami tidak memberi, apa nasib mereka?”.
Kami juga berbicara tentang orang-orang yang dulunya sukses dan kini bergelandangan. Kemudian kami setuju yang tidak mustahil kami berdua pun boleh jatuh ke jalanan jua akhirnya.
Hakikat mereka
Rata-rata gelandangan di Jalan Petaling dan Jalan Imbi adalah orang-orang tua. Mereka adalah orang-orang yang kebanyakannya ditinggalkan atau meninggalkan keluarga. Semakin meningkat umur mereka semakin kurang kemampuan bekerja.
Rata-rata mereka ini juga bekas tentera dan pekerja kerajaan, dan sebahagian lain yang sudah habis diperah syarikat-syarikat swasta sehingga sudah tidak mampu menyumbang kepada target produktiviti yang dikejar-dikejar sang CEO. Mereka keseorangan dan ada yang sudah tewas mempertahankan kewarasan akal.
Di Chow Kit ramai kaum wanita dan anak-anak. Di Kotaraya pula tempat gelandangan imigran berkumpul. Mereka adalah warga-warga asing yang terdampar. Mereka pun ada cerita mereka. Ada banyak lagi kategori gelandangan yanng menghuni jalanan Kuala Lumpur.
Golongan yang sakit melarat, kurang upaya, lari dari rumah, masalah keluarga, kemurungan, berpendapatan rendah, ketagih arak dan judi. Semuanya memerlukan pendekatan pemulihan yang berbeza dan mempunyai latar sejarah yang pelbagai.
Ada banyak punca yang mengheret mereka ke jalanan, bukan kemalasan semata-mata. Yang pastinya, mereka semua adalah produk sebuah masyarakat yang gagal, bahan buangan sistem ekonomi dan sosial yang pincang.
NGO?
Kechara bersetuju bahawa NGO-NGO perlu bekerjasama, perlu ada kesatuan bagi melicinkan kerja bahkan mereka sendiri pun mengalu-alukan sukarelawan untuk menyertai mereka atau mendapat pengkaderan melalui mereka.
NGO-NGO baru juga perlu belajar bekerja dengan cara yang betul. Ada ‘dos and don’ts’ dalam aktivisme membantu gelandangan yang perlu difahami setiap sukarelawan. Kechara juga selama ini banyak berurusan dengan badan-badan kerajaan.
Selain memberi makan, mereka juga menolong menyalurkan gelandangan ke arah pihak berwajib yang berkenaan, sesuai dengan keperluan dan kondisi gelandangan. Mereka juga punyai mobile clinic yang menyalurkan bantuan perubatan, selain menolong gelandangan rakyat tempatan mendaftar pengenalan diri dan mengganti kad pengenalan.
Aku berpendapat NGO-NGO juga perlu fahami masalah sistem ekonomi sedia ada ini dan wujud satu kesatuan dalam suara menyeru fokus ke arah kebajikan masyarakat dan polisi sosial kerajaan yang lebih bijak.
Perlu wujudkan kesedaran di kalangan masyarakat bahawa gelandangan dan miskin tegar ini lahir mereka pun daripada sifat tamak haloba masyarakat dan ‘rat race’ yang dikelola Kapitalisme.
Punca-punca yang lebih besar ini harus diberi perhatian supaya kita tidak bermain di gigi air sahaja, menunggu ombak krisis ekonomi datang dan menelan kita semua. Yang kelas menengah akan jatuh ke kelas bawahan dan yang sedia di kelas bawah akan jatuh bergelandangan.
Masyarakat perlu sedar yang kemiskinan adalah penindasan. Ia bukan pilihan dan bukan secara gampang boleh disebut sebagai ‘takdir’.
Masalah ini lebih besar dari sekadar ‘orang-orang miskin yang menjejaskan imej bandar’.
Realiti gelandangan, denyutan jiwa kota
Rumah Pak Cik Wan
“Kadang-kadang ada orang-orang yang pakcik tak kenal datang, pakcik bagi dia orang tidur situ”
Pak Cik Wan yang baru aku kenal itu rumahnya dibuat sendiri dengan papan-papan yang dikutipnya dari kawasan sekitar. Setinggan di Kampung Periuk yang letaknya dekat Jalan Dewan Sultan Sulaiman itu menjadi rumah orang tua yang berasal dari utaraini.
Ini bukan setinggan biasa, fikirku. Ini lebih dhaif dari setinggan. Zaman kanak-kanakku dihabiskan di setinggan. Aku kenal rupa setinggan.
Aku pandang muka temanku McKoy. Namanya Khairul, saja gatal bubuh McKoy, nama pasca-setinggan dia.
Aku tahu McKoy memikirkan benda sama. Orang tua ini sendiri hidup melarat, boleh pula dia tumpangkan gelandangan yang datang dari luar di teratak dhaifnya. Dan begitulah kesempitan hidup menyatukan manusia jua.
Rumah Pak Cik Wan pernah terbakar, ini rumah yang dia bina semula. Sekali lagi aku terbayang kisah sendiri, berdiri di sebelah mak aku di waktu kecil, memerhatikan rumah-rumah jiran terbakar dan menunggu rumah sendiri jadi mangsa.
Atau ketika berlari-lari dari masjid ke rumah mengekori kepulan asap tebal dan marah pada bomba kerana habis buku komik Slam Dunk aku lenjun dibasahi air pili bomba. Bukan sekali dua aku lihat kampung terbakar. Tapi tak terbakar pula rumah aku. Mampu kumpul duit sekolah beli komik pula tu. Jadi aku tak layak ceritakan duka prahara derita Karbala aku di sini.
Pak Cik Wan tahun lepas diberi tawaran menyewa perumahan awam PPR DBKL di Cheras kerana menjadi mangsa kebakaran. Aku meminta dia mengeluarkan segala dokumen simpanannya. Borang Baitulmal 4-5 mukasurat dan surat tawaran DBKL. Katanya dia ke pejabat DBKL sehari selepas dapat surat dan disuruh isi borang. Pak Cik Wan menatap borang lama, keliru kerana tidak biasa isi borang sebegitu.
Dimintanya encik petugas membantu tapi Yang Berhormat Encik Petugas punya urusan seri paduka baginda, jadi menolak untuk membantu dan menyuruh Pak Cik Wan pulang. Pak Cik Wan, si miskin solo kota yang kurang berpelajaran duduk menunggu mukjizat Tuhan Maha Pemberi.
Amin si penyair dan Mckoy tak tahu nak geleng kepala atau tepuk dahi. Rasa sedih bercampur marah. Tak tahu nak salahkan siapa.
Aku membelek surat tawaran. Tarikh luput 14 hari lepas tarikh tawaran pertengahan Jun tahun lepas. Bagaikan seorang politikus, aku pun mengucapkan kata-kata keramat “kena tengok lah apa yang kita boleh buat ni, Amin.” Amin sibuk membelek borang baitulmal “Ni surat perjanjian akad beli hotel 5 bintang ka ni?”.
Kisah Pak Cik Wan, kisah jiwa kota
Pak Cik Wan adalah salah satu jiwa di celah lambakan miskin tegar di kota Kuala Lumpur.
Dia masih beratapkan zink. Ramai yang beratapkan jambatan dan beralaskan kaki lima. Mengikut anggaran yang pernah dibuat Pertiwi, jumlah gelandangan mencecah ribu.
Usaha-usaha membantu gelandangan banyak dijalankan secara konsisten oleh Kechara, Pertiwi, gereja-gereja, dan NGO-NGO lain dan orang perseorangan. Tapi jumlah gelandangan semakin bertambah. Soalnya kenapa?
Saudara, aku tidak percaya orang-orang seperti Pak Cik Wan malas.
Dia polos dan naif, tapi bukan malas. Kalau malas, dia tidak berusaha membina tempat teduh dengan tangannya sendiri. Lebih dari itu, hatinya lebih besar dari bangunan-bangunan milik korporat di sekeliling terataknya itu, kerana di celah kesempitan ruang kecil rumah itu dia menempatkan gelandangan-gelandangan tak dikenali yang tiba di Kuala Lumpur untuk mencari sesuap nasi. Tapi berapa ramai gelandangan yang punya kudrat seperti Pak Cik Wan? Dan berapa setinggan yang boleh dibina di bandar ini? Berapa yang akan kekal dan tak diroboh?
Bagi aku pegawai yang kerjanya cuma memberi borang lebih malas dan lebih layak bergelandangan dari para gelandangan kota. Sistem insititut kebajikan, baitulmal, pusat zakat yang menyusahkan dan borang berjuzuk-juzuk, birokrasi pentadbiran, semua ini lebih layak dipersalahkan dari gelandangan dan orang miskin. Politikus-politikus yang turun sekali-sekala sebelum pilihanraya dan menabur janji manis tanpa usaha konsisten lebih layak digelar malas.
Masyarakat yang benci, prejudis terhadap orang miskinlah yang lebih layak diberi tazkirah motivasi.
Siapa mereka?
Jabatan Kebajikan Masyarakat mengelaskan mereka sebagai pengemis dan kutu rayau dan menyerahkan tanggungjawab kepada polis. Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat memasukkan gelandaan ke dalam Akta Orang Papa.
Maksudnya definisi gelandangan pun masih samar dan berbeza mengikut badan-badan bertanggungjawab, jadi polisi apa yang patut digubal untuk mereka pun tidak jelas. Kita, masyarakat, ada banyak kerja sekarang untuk dibuat. Aku tak menafikan ada yang sedang berusaha.
Tapi jika masalah ini tidak dipandang serius sekarang oleh semua pihak berwajib, sampai bila pun tidak akan ada penyelesaian kerana jumlah gelandangan dan miskin tegar kian bertambah. Masyarakat pula mudah melepaskan tangan mengatakan gelandangan itu yang mahu jadi gelandangan, dan kita
terus akur pada sistem yang semakin menjarakkan jurang kelas masyarakat ini.
Tuntutan perikemanusiaan
Perlu ada usaha yang lebih teratur dan serius dalam menangani isu ini. Jabatan-jabatan bertanggungjawab, sektor korporat dan masyarakat boleh bekerjasama, tapi masyarakat perlu sedar yang aktiviti turun ke padang dan gotong royong ini sudah lama wujud dalam masyarakat kita dan perlu dikekalkan. Kalau ia hampir mati kita beri ia nafas baru. Budayakan menyantuni orang miskin.
Bukankah ini tuntutan agama? Bukankah kita masyarakat pelbagai agama dan yang tak beragama masing-masing mahu mengarah ke matlamat merealisasikan sebuah masyarakat yang seimbang, saksama?
Kenapa kita mahu mengeluarkan kata-kata seperti “gelandangan sudah banyak diberi makan, mereka tak mahu berubah?”
Bukan gelandangan yang perlu berubah, cara kita mendekati mereka yang perlu berubah. Sistem yang mencipta gelandangan yang perlu berubah.
Masalah ini perlu ada kajian khusus untuk diselami dasarnya dan kemudian diikuti dengan aksi-aksi terus-menerus yang melahirkan impak besar dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga seperti aktiviti ‘bermesra dengan rakyat tersisih’ setahun sekali untuk mendapat nama.
Aku dan yang lain duduk bersembang dengan Pak Cik Wan di kedai mamak, sambil makan. Kami membincangkan tentang menolong Pak Cik Wan menyara diri.
Katanya dia pandai buat steamboat. Seorang perempuan gelandangan juga duduk bersama, ingin jual-jual tisu katanya. Kami yang guerilla ini cuba membantu sepenuh daya.
Memang kami naif. Bukan hero sangat pun. Kami perlukan hero-hero untuk turut sertai kami, sama-sama bergerak, sama-sama membentuk semula kota ini.
Islam: Agama melawan penindasan?
Masyarakat pun bersalah
Masyarakat yang lebih mengutamakan hukuman daripada meneliti dan melawan punca masalah adalah masyarakat penindas.
Saya menggunakan perkataan masyarakat kerana ia merangkumi golongan pentadbir negara dan juga rakyat biasa. Penindasan tidak saja dilakukan oleh golongan politikus dan korporat, ia juga malah dilakukan oleh golongan awam.
Apabila rakyat memilih untuk berdiam diri bilamana berlaku kezaliman penguasa, agamawan dan korporat, rakyat sebenarnya bersubahat dalam penindasan tersebut. Subahat ini bukan dari sudut niat semata, malah ia subahat berupa perbuatan kerana ketidakadilan yang patut dilawan dengan daya upaya dibiarkan berleluasa, seolah menggalakkan lagi kezaliman bermaharajalela.
Ia serupa rakyat sendiri melakukan perbuatan menindas itu dengan tangan-tangan mereka.
Muslim pun turut serta
Saya mahu menyentuh tentang masyarakat Islam secara khusus dan betapa mandulnya ia dalam menangani isu ketidakadilan sosial dan ekonomi.
Kalau kita melihat di sekeliling, masalah kemiskinan masih parah. Golongan miskin tegar bukan hanya wujud di ceruk kampung tapi di celah-celah bandar. Malah kehidupan bandar lebih perit dari kehidupan kampung.
Begitu ramai anak-anak yang tak bersekolah kerana tidak berduit, dan masih ramai yang kelaparan, gelandangan semakin bertambah, penagih dadah berkeliaran sekitar kota dan golongan fakir miskin dan muallaf yang ditinggalkan keluarga kebajikannya tak dijaga.
Islam ni untuk apa?
Islam seharusnya bukan sekadar gerakan agama, ia malah gerakan ekonomi.
Tapi ia bukan gerakan ekonomi pelambakan harta untuk golongan tertentu, ia bukan ekonomi ekspo perbankan Islam yang dijaja di pusat dagang, ia gerakan ekonomi yang bertunjangkan keadilan untuk golongan lemah.
Nilai ekonomi dalam Islam menekankan prinsip penyamarataan dan kesamaan. Islam melarang penimbunan harta dan menentang akan lebihan keperluan yang tidak diagih-agihkan kepada golongan lemah.
Kita tidak mahu mengatakan bahawa hukum alam itu ada yang kaya maka ada yang miskin. Kata-kata sebegitu hanya menguntungkan golongan elit dan penguasa.
Sekurang-kurangnya dalam Islam tidak ada konsep sebegitu kerana keadilan dalam Islam bukan hanya bersifat hukum malah lebih dari itu ia bersifat distributif. Ia bersifat mengagih kekayaaan supaya wujud keseimbangan sosial. Wujudnya jurang perbezaan kelas ekonomi yang kian bertambah cuma membawa masyarakat kepada kehancuran.
Ya, ekonomi dalam al-Quran tidak bersifat dogma tapi lebih kepada penyerapan nilai. Saya tidak mengatakan wujud sebuah sistem ekonomi yang lengkap di dalam al Quran itu. Tapi nilai-nilai yang diajar dalam kitab itu dengan jelas mengisyaratkan yang al Quran tidak bersetuju dengan sistem ekonomi yang menindas.
Kesejahteraaan masycrakat dan keadilan cuma boleh ditegakkan jika nilai-nilai itu digunapakai. Sistem ekonomi yang menindas dan mengeksploitasi jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam dan harus ditentang.
Muslim dicandu?
Di sini bukan ruang untk membahaskan dengan panjang tentang sistem ekonomi. Apa yang mahu disampaikan sebenarnya adalah orang-orang Islam itu punya penyakit tidak mahu meneliti masalah dari puncanya dan sering bersifat menghukum.
Kita digula-gulakan oleh golongan politikus dengan kegilaan mereka mahu melaksanakan perundangan syariah dan retorik hudud contohnya. Kita sibuk memilih rotan jenis apa yang mahu digunakan untuk menghukum tapi lupa mengingati diri kita atas sebab apa perlunya mengangkat rotan itu terlebih dahulu.
Masyarakat yang kecanduan angan-angan negara Islam ini semakin hari semakin terbuai dengan permainan politik penguasa.
Rasuah berleluasa, kepincangan dalam perlaksanaan pengagihan zakat disebut-sebut, hak-hak pekerja terus dicabul, gaji yang tidak setimpal dengan nilai kerja, ketelusan institusi baitulmal dipersoal, rumah orang-orang miskin diroboh bagi tujuan menguntungkan syarikat gergasi, kampung-kampung diceroboh atas nama pembangunan, anak-anak yatim dipaksa meminta-minta di jalanan, pembaziran dalam perbelanjaan negara dan pelbagai lagi kezaliman yang jelas sekali ditentang oleh agama yang kita anuti ini.
Semua ini berlaku dan kita sibuk berhujah bagaimana si pencuri perlu dihukum, bagaimana orang-orang berzina perlu dimalukan di khalayak ramai dan bagaimana memenangi perlumbaan siapa yang lebih Islam ini.
Si pencuri Milo dan tabung wang masjid terus dipukul hingga lunyai oleh tuhan-tuhan jalanan.
Di mana kehebatan Islam?
Brunei mahu melaksanakan undang-undang syariah kita pun sibuk tidak mahu tertinggal.
Konon malu kita tidak melaksanakan seruan Tuhan, namun tidak malu dengan hakikat yang kita dicengkam sistem ekonomi bercorak penindasan sedemikian rupa sehingga begitu payah kita mahu menjadi Muslim pun kerana masalah ini.
Perlaksanaan undang-undang syariat dan hudud tidak lain hanya tunggangan penguasa semata dalam mengekalkan status quo. Apa saja yang tidak mengganggu sistem ekonomi penindasan ini, itulah yang diberi suap kepada orang Islam supaya mereka kekal redha dengan kemapan institusi agama dan pentadbiran negara.
Ya, ini negara yang majoritinya umat Islam. Sayangnya majoriti inilah yang disuap saban hari dengan ceramah-ceramah agama berunsur jenaka, fatwa-fatwa berpihak kepada penguasa, ritual-ritual ibadah yang kering, doktrin-doktrin yang abstrak dan sulit difahami, khutbah berunsur sektarian dan ulama-ulama yang sibuk mengkafirkan satu sama lain.
Golongan agamawan dan parti politik keagamaan sampai hari ini gagal meyakinkan masyarakat dengan pelan tindak ekonomi dan sosial yang mampu menaik taraf hidup golongan tertindas.
Mana sistem ekonomi Islam yang dicanang-canang kehebatannya? Kalau sudah wujud, di mana keberkesanannya? Atau adakah memang benar fungsi agama cuma untuk memberi makanan rohani dan menghukum orang?