Projek Dialog

Pengalaman minoriti dalam isu Interlok

Apa sebenarnya yang berlaku dalam pertemuan? Untuk makluman, saya pernah menyiarkan petikan catatan mengenai kandungan mesyuarat itu di blog saya pada 18 Mac 2011. Kemudian, dalam sesi pertemuan semula dengan Muhyiddin pada 23 Mac 2011, Dr Lim Swee Tin tampil mengatakan bahawa kandungan catatan di blog itu adalah palsu, tidak benar dan fitnah. Muhyiddin tidak melayan kata-katanya. Pada 16 Mac 2011, Lim Swee Tin menggantikan tempat Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin (yang berada di luar negara) untuk membentangkan perakuan panel bebas kepada Muhyiddin. Timbalan Perdana Menteri melahirkan rasa gembira kerana panel bebas secara konsensus (sebulat suara) bersetuju meminda frasa “kasta Paria” yang menjadi isu pokok. Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa isu Interlok edisi murid belum selesai kerana masyarakat India khasnya sedang menunggu hasil daripada panel bebas. [caption id="attachment_4237" align="alignleft" width="300"]Novel Interlok Edisi Murid menimbulkan kontroversi apabila dijadikan teks Komsas. Novel Interlok Edisi Murid menimbulkan kontroversi
apabila dijadikan teks Komsas.[/caption] Turut diakui oleh Muhyiddin bahawa ini adalah teks sekolah dan boleh dipinda dan disesuaikan. Bagaimanapun, hanya perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India akan dipinda kerana kaum Melayu dan Cina “tidak bangkitkan isu”. Berdasarkan resolusi yang diperakukan panel bebas secara konsensus, isu “kasta Paria” sudah berjaya diselesaikan. Beberapa saranan sudah dikemukakan berhubung isu kaum India dan Muhyiddin mahu menyelesaikan isu terbabit secara menyeluruh supaya tidak ada isu berulang selepas ini. Muhyiddin berkata, beliau sudah membaca semua cadangan dalam senarai yang diperakukan panel bebas; dan didapati bukan hanya berkaitan perasaan (sensitiviti) kaum India, tetapi juga soal bahasa dan kesalahan fakta. Kalau boleh, Menteri Pendidikan meminta panel bebas melihat semula cadangan-cadangan oleh anggota panel kaum India kerana beliau “tak nak debat berpanjangan”. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) waktu itu, Datuk Termuzi Abd Aziz mencadangkan supaya perhatian pindaan ditumpu pada “paria” sahaja serta meminta konsensus panel bebas “ubah itu sahaja” dengan alasan “kerana itu yang timbulkan masalah besar”. Rajendran menegaskan bahawa pada mesyuarat pertama panel bebas (16 Februari 2011), keputusan sudah diambil bahawa perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum perlu dipinda bagi mencari “jalan penyelesaian kepada kemelut”. Datin Siti Saroja Basri menyatakan bahawa suaminya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) sebenarnya tidak setuju satu perkataan pun ditukar tetapi sedia berkorban dan membenarkan “kasta Paria” dipinda. Isu sebenar bukan sekadar frasa “kasta Paria” Munyiddin berkata, panel bebas tidak harus mengungkitkan kesalahan bahasa dalam novel ini kerana semacam mengajar pengarang bagaimana untuk menulis dengan betul. Termuzi sekali lagi berkata, lebih baik hanya “kasta Paria” dipinda kerana itulah “persoalan pokok”; khususnya selepas wakil kaum India sudah membuktikan bahawa watak Maniam bukan seorang “paria” seperti dinyatakan novel ini. Rajendran berkata, perkara-perkara menyentuh sensitiviti kaum India perlu juga dibetulkan (dimurnikan) kerana ketiga-tiga wakil kaum India membawa “suara” masyarakat India. Termuzi berkata, ketiga-tiga wakil kaum India sepatutnya menjelaskan kepada masyarakat India mengapa hanya “kasta Paria” ditukar/dipinda. Lim Swee Tin berkata, novel Interlok bukan teks sejarah. Katanya, perkara penting yang perlu ditukar adalah “Paria” sahaja, manakala “yang lain jika perlu sahaja”. Beliau juga berharap wakil kaum India “dapat bertolak-ansur dan bertoleransi” dalam hal ini. Untuk makluman, cadangan pindaan sudah pun dipersetujui secara konsensus sebelum diserahkan kepada Muhyiddin. Akan tetapi, apabila bertemu menteri itu, masing-masing mula seolah-olah merapu dan mengampu. Sudah mula jelas seakan-akan ketiga-tiga wakil kaum India (nota: bukan wakil MIC) akan dipergunakan untuk merealisasikan agenda tertentu. Minoriti cuba dimanipulasi oleh majoriti. Apakah minoriti akan tunduk? [caption id="attachment_4239" align="alignleft" width="300"]Kavyan mengkaji pelbagai edisi novel Interlok Kavyan mengkaji pelbagai edisi novel Interlok[/caption] Saya mengingatkan Muhyiddin bahawa saranan pindaan yang dikemukakan wakil kaum India sudah diperakukan secara konsensus oleh panel ebas pada 4 Mac 2011. Diingatkan juga bahawa memang sararan itu meliputi aspek kesilapan bahasa, kesalahan fakta dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India. Novel Interlok: Edisi Murid (nota: bukan edisi asal) dijadikan teks mata pelajaran Bahasa Malaysia, maka aspek bahasa dan tatabahasa perlu dilihat juga. Bagi kesalahan fakta, diberi cadangan pemurnian. Maka, semua perakuan cadangan ini tidak keluar daripada terma rujukan panel bebas. Menteri Pendidikan berkata, frasa “kasta Paria” memang bersifat menghina tetapi “yang lain-lain saya tak pandang serius”. Saya berkata, apabila berlaku kesalahan fakta, maka kesalahan fakta itu menyentuh sensitiviti kaum India. Muhyiddin berkata, Pak Lah adalah seorang pengarang dan kita (panel bebas) tidak boleh membetulkan seorang pengarang. Ringkasnya, kata beliau, “tak ada lain yang bersifat menghina”. Asakan demi asakan terpaksa ditangkis Lim Swee Tin berkata, panel bebas memperakukan enam resolusi pada 4 Mac 2011 dan diserahkan kepada Menteri Pendidikan, dan “boleh pilih satu yang paling bijak” serta juga “peluang kepada Uthaya untuk menyenaraikan manakah yang benar-benar mengguris hati masyarakat India; dibawa untuk kita (panel bebas) perakukan pembaikan”. Muhyiddin berkata, hanya khususkan pada perkara yang menyentuh sensitiviti, perasaan dan berbentuk penghinaan serta pilih yang paling penting sahaja. Beliau tidak mahu “resolusi” tapi “keputusan” daripada panel bebas supaya boleh dikemukakan di Dewan Rakyat pada 24 Mac 2011. Beliau meninggalkan bilik perjumpaan dan Lim Swee Tin mengambil alih tugas pengerusi. Beliau meminta wakil kaum India menyenaraikan hal-hal yang benar-benar menyentuh sensitiviti kaum India; selain memikirkan “sensitiviti Sasterawan Negara”. Lim Swee Tin berkata, panel bebas akan membuat resolusi tunggal sahaja nanti. Bagi saya, sudah nampak bibit-bibit bahawa beliau yang sebelum ini berani menyarankan 20 halaman novel Interlok: Edisi Murid dibuang begitu sahaja dengan alasan “novel ini terlalu panjang”, kini sudah “berubah” atas alasan tertentu. Beliau seolah-olah sudah mahu bersama-sama majoriti kerana mungkin suara majoriti lebih lantang. Termuzi berkata, Pak Lah setuju meminda “kasta Paria” sahaja. Rajendran berkata mewakili minoriti bahawa wakil kaum India (minoriti) akan menyenaraikan perkara-perkara yang “benar-benar sensitif dan mesti ditukar”. Lim Swee Tin berkata, perlu disenaraikan dahulu kerana antara perkara yang disenaraikan sebagai “sensitif” oleh kaum India (minoriti) “mungkin boleh diterima masyarakat umum” (majoriti). Krishnabahawan berkata, ketiga-tiga wakil kaum India setuju “kasta Paria” dipinda dan pada masa sama, perlu juga dibuat pindaan pada perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India sebagaimana diperakukan pada 4 Mac 2011. Lim Swee Tin berkata, tidak semestinya pandangan wakil kaum India diterima kerana katanya “kita bincang dulu … terserah pada DBP dan Pak Lah”. Saya berkata, segala perkara yang terkandung dalam senarai yang dikemukakan wakil kaum India serta sudah diperakukan panel bebas pada 4 Mac 2011 adalah mewakili kaum India; bukan mewakili kami bertiga sahaja. Saya mengemukakan contoh peribahasa Tamil yang salah di halaman 209.  Termuzi berkata, “itu fakta salah. Yang kita hendak sekarang, benda yang sensitif”. Pengalaman yang memperkasa golongan minoriti Saya berkata, perkara itu menyentuh sensitiviti kerana perkataan “varataku” tidak wujud. Termuzi terus berkata, “kalau tak wujud dalam Bahasa Tamil, tak sensitiflah”. Lim Swee Tin berkata, “anggapkan penulis itu (Pak Lah) salah. … Biarkan pengarang itu yang bertanggungjawab kepada kesilapan yang dia buat. … Hukumannya adalah bahawa Pak Lah tak pandai”. Termuzi dan Lim Swee Tin hampir serentak berkata, “kita tolak sahajalah (cadangan pindaan) yang ini”. [caption id="attachment_4238" align="alignleft" width="178"]Tiga wakil kaum India dilantik sebagai panel oleh Menteri Pendidikan pada Februari 2011. Tiga wakil kaum India dilantik sebagai panel
oleh Menteri Pendidikan pada Februari 2011.[/caption] Saya merujuk halaman 211 berkaitan lokasi Malabar di mana “ini menyentuh sensitiviti kerana apa yang dinyatakan di sana sudah salah”. Lim Swee Tin berkata, “itu tak sensitiflah, Uthaya” manakala Termuzi berkata, “salah fakta tak sensitif”. Lim Swee Tin mula mengecilkan skop dengan berkata, “yang menyentuh sensitiviti dari segi agama”. Manakala perkara-perkara yang dikemukakan wakil kaum India disifatkan sebagai “kesilapan pengarang. … Biarkan zaman menghukum atau pun mengadilinya, bukan kita”. Termuzi berkata, “memanglah fakta tu salah, tapi tak nampak jadi sensitif”. Selepas terus diasak, ketiga-tiga wakil kaum India meminta kebenaran untuk keluar dari bilik untuk berbincang. Hasil perbincangan, kami bertiga memutuskan untuk berundur dari panel bebas. Kami berpegang teguh bahawa keputusan yang dipersetujui semua anggota panel bebas secara konsensus adalah apa yang diperakukan pada mesyuarat 4 Mac 2011. Kami tahu bahawa kalau kami terus berada dalam mesyuarat itu, minoriti akan terus diasak, diperlakukan sesuka hati dan cuba dipergunakan bagi membolehkan kumpulan majoriti mencapai agenda terancang yang diimpikan. Kemudian, pada 23 Mac 2011, kami bertiga diundang bertemu semula dengan Muhyiddin. Kami menegaskan bahawa kami tidka mahu bermesyuarat lagi kerana sudah keluar daripada panel bebas yang ternyata pincang. Dalam pertemuan itu – yang anehnya turut dihadiri “majoriti” sebagai penonton – Muhyiddin memberikan jaminan bahawa kesemua saranan pindaan yang dikemukakan wakil kaum India akan dibuat. Tentulah janji itu tinggal janji kerana hanya 19 pindaan dilakukan dalam versi novel yang dicetak semula oleh DBP dengan persetujuan MIC. Kavyan pula terus menolak pemurnian yang tidak menepati konsep “janji ditepati” tetapi itu kisah yang lain pula. Apa yang pasti, minoriti perlu berani bersuara walaupun majoriti kelihatan gah dan gagah. Ingatlah bahawa Tuhan sentiasa bersama-sama orang yang benar. Semoga catatan berdasarkan pengalaman saya dalam isu novel Interlok: Edisi Murid menjadi pedoman serta menjawab pelbagai persoalan. unnamed

]]>

Saksikan kemusnahan Kampung Chetti

PD 2Tamil Berita tentang kemusnahan Kampung Chetti turut dilaporkan akhbar Tamil.[/caption] “Kerja-kerja pembinaan di sini bermula sekitar 7.00 pagi dan berjalan sehingga 5.00 petang. Kadang-kadang berlarutan sehingga lewat malam. Hari ini (Ahad) sepatutnya tidak boleh kerja, tetapi mereka masih kerja,” kata Supramania di tengah-tengah bunyi bising jentera di tapak projek semasa kami melakukan tinjauan. Katakan, kerja-kerja di Lot 93 masih menyebabkan keretakan kecil pada bangunan Kuil Sri Muthu Mariamman yang bersempadan dengan kawasan pembinaan. Aduan sudah dilakukan sejak lebih setahun lalu tetapi tidak ada apa-apa tindakan positif daripada pihak berwajib, termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Seperti dinyatakan dalam makalah “Mengenali minoriti Kampung Chetti” (Projek Dialog, 29 Disember 2013), Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi di Kampung Chetti yang dibina pada 1781 dipercayai kuil Hindu tertua di Kepulauan Melayu (Nusantara). Tinjauan mendapati beberapa kuil lama yang dibina menggunakan batu kapur (limestone) berdepan masalah besar berikutan projek pembinaan ini. Misalnya, Kuil Sri Anggala Parameswari yang digazetkan sebagai Warisan Negara terletak sekitar 300 meter dari tapak pembinaan; Kuil Sri Kailasanar (sekitar 400 meter) dan Kuil Sri Muthu Mariamman (100 meter). Kampung Chetti seluas lima ekar sebenarnya sudah digazetkan sebagai perkampungan warisan pada tahun 2002. Menurut peraturan, undang-undang dan enekmen sedia ada, perlu ada buffer zone di sekililing (sempadan) perkampungan warisan ini. [caption id="attachment_4209" align="alignleft" width="300"]PD 2Supramania Supramania mengakui bahawa pihka berkuasa belum membantu menyelamatkan Kampung Chetti.[/caption] Malangnya, entah bagaimana projek diluluskan dan diteruskan di tapak Lot 93 yang secara terang-terangan melanggar enekmen sedia ada. Pihak berwajib – dalam hal ini, kerajaan pusat dan kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) – terang-terangan membiarkan sahaja kezaliman, ketidakadilan, pencabulan, kemusnahan dan kepupusan berlaku. Apa yang aneh dan menghairankan adalah bahawa wakil BN (termasuk MIC dan Nazri) beriya-iya mahu muncul sebagai wira dalam menggazetkan bagunan Vivekananda Ashram sebagai tapak warisan. Memang amat menghairankan, mendukacitakan dan menimbulkan seribu pertanyaan kerana pihak yang sama juga menutup mata sedangkan Kampung Chetti semakin terhapus di depan mata! Pelbagai bahan, makalah dan rujukan didokumentasikan oleh Kavyan di laman www.kampungchetti.blogspot.com sebagai rujukan dan perjuangan menuntut hak penduduk minoriti di Kampung Chetti. Banjir kilat paras pinggang musnahkan harta pusaka Supramania mengakui bahawa sejak kunjungan terakhir kami (15 Januari 2014) dan siri makalah di media alternatif, wakil MIC, Umno dan MBMB telah datang melakukan tinjauan di sekitar kawasan ini. “MBMB datang selepas kami buat aduan. Air dari kawasan pembinaan lari masuk ke dalam parit besar di kampung kami. Tanah yang masuk sekali menyebabkan parit tersumbat. Sebab itu, setiap kali hujan lebat, Kampung Chetti banjir kilat. “Setiap kali banjir lumpur yang boleh mencapai paras pinggang, penduduk terpaksa mengangkat barang. Pada tahun ini sahaja, sudah lima kali banjir kilat,” ketua kampung itu menceritakan dengan nada sedih kerana beliau sendiri tidak mampu melakukan apa-apa untuk menolak bala yang menimpa. Kerajaan negeri menghulurkan bantuan RM200 kepada setiap keluarga terjejas untuk menampung kos makanan, tetapi jumlah kerugian yang ditanggung setiap kali banjir tentulah tidak ternilai. [caption id="attachment_4207" align="alignleft" width="300"]PD 2Lawatan Kughan (tengah) dan Preevinn mendengar penerangan Supramania.[/caption] Tambahan pula, setiap rumah di kampung ini adalah bahan bersejarah yang boleh rosak akibat banjir kerana dibina menggunakan kayu. Setiap rumah pula menyimpan barangan lama yang merupakan bahan sejarah yang tidak ternilai. Sayangnya, kerajaan tidak tahu; atau buat-buat tidak tahu. Semasa berbual-bual dengan Supramania, saya bertanya secara khusus apakah wakil kerajaan negeri, Umno dan MIC yang datang melawat ada menghulurkan sebarang bantuan atau menjanjikan apa-apa. “Mereka hanya datang, tengok kampung dan kawasan projek (Lot 93), kemudian balik,” katanya tanpa menghuraikan lebih lanjut; mungkin kerana tidak mahu mendedahkan aib dan kelemahan pihak terbabit kepada umum. Pengerusi MIC Melaka, Mahadevan dalam kenyataannya kepada Bernama (8 Januari 2014) yang turut disiarkan di akhbar Kosmo! (9 Januari 2014) memberi jaminan bahawa parti komponen BN itu akan memastikan Kampung Chetti terus terpelihara sebagai warisan sejarah negara. Janji-janji manis politikus itu juga dilaporkan di akhbar The Star (10 Januari 2014) dan memberikan gambaran seolah-olah MIC sudah pun tampil membela nasib kaum Chetti. Tetapi sehingga kini, habuk pun tiada. Undangan terbuka ke majlis perkahwinan “terakhir” “Datuk Mahadevan ada datang tengok tetapi tidak ada apa-apa yang dilakukan setakat ini. Semangat para penduduk pun sudah semakin luntur. Kami memang tidak puas hati. “Apa yang pasti, kami tidak akan menyerah kalah. Sasaran kami adalah untuk meminta kerajaan negeri membatalkan projek pembinaan di Lot 93 dengan mengambil kira kedudukan Kampung Chetti sebagai tapak warisan yang diiktiraf Unesco,” Supramania masih optimis. Sambil mendengar penjelasan dan luahan perasaan beliau, saya memandang ke arah kawasan pembinaan yang kelihatan sudah hampir 50 peratus siap. Apakah mungkin kerajaan pusat dan kerajaan negeri masih mampu melakukan sesuatu untuk membatalkan projek itu? Buat masa ini, ketua kampung itu berasa lega kerana rancangan pembinaan jalan khas yang menghubungkan bangunan pencakar langit di Lot 93 dan jalan raya utama sudah dibatalkan. Jaminan lisan khabarnya diberikan oleh seseorang berjawatan “setiausaha” di pejabat ketua menteri. [caption id="attachment_4208" align="alignleft" width="300"]PD 2Projek Pembinaan di Lot 93 terus berjalan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.[/caption] Apabila ditanya, Supramania mengakui bahawa sebenarnya tiada sebarang jaminan juga dalam hal itu kerana tidak ada apa-apa surat atau dokumen rasmi diberikan berkenaan pembatalan itu. “Kalau jalan masih dibuat, kami akan bantah sekeras-kerasnya. Kami tak akan kasi masuk. Kalau jalan itu sudah masuk (dibina), kaum Chetti sudah hilang. Ke mana kami boleh pergi? Kalau kami sudah diarah berpindah, Kampung Chetti akan hilang,” katanya. Dahulu, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13, ketua menteri waktu itu, Datuk Seri Mohd Ali Rustam memberikan jaminan projek dibatalkan. Selepas pilihan raya dan selepas BN menang, janji itu menjadi “janji dicapati”. Rayuan dan aduan penduduk Kampung Chetti tidak dihiraukan ketua menteri baru. Menurut laporan Malaysia Gazette (2 Januari 2014), “Kampung Chetti dilihat antara agenda utama Idris untuk mengembalikan semula kepercayaan masyarakat India terhadap kepimpinan BN di negeri tersebut.” Realiti yang pahit untuk ditelan adalah bahawa perkampungan warisan ini akan pupus dalam masa terdekat kerana sikap dan ketamakan yang ditunjukkan oleh pihak berkuasa pada peringkat kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Pada 22 November 2014, bermula jam 7.00 malam, suatu majlis perkahwinan tradisional masyarakat Chetti akan berlangsung di Kuil Sri Muthu Mariamman. Orang ramai dijemput hadir untuk menyaksikan serta memeriahkan majlis. Selain daripada tanda solidariti terhadap perjuangan penduduk Kampung Chetti, orang ramai juga boleh hadir supaya tidak terlepas peluang menyaksikan suatu upacara perkahwinan (terakhir?) penuh tradisi sebelum kerajaan “membunuh” kampung ini. unnamed

]]>

Kuil Sri Maha Nageswari Amman

Kughan Nadarajah (kanan) turut serta dalam pertemuan dengan Moorthy Pattan. Kughan Nadarajah (kanan) turut serta dalam
pertemuan dengan Moorthy Pattan.[/caption] Kata-kata nenek-moyang itu menunjukkan betapa kuil sebagai rumah ibadat memainkan peranan penting dalam kehidupan orang Hindu, yakni penganut Sanathana Dharma iaitu agama tauhid pertama, terawal dan tertua di dunia. Pada 14 September 2014, saya dan Kughan Nadarajah berpeluang melawat Kuil Sri Maha Nageswari Amman yang terletak bersebelahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Emerald, Kemuning Utama, Shah Alam. Kunjungan kami adalah susulan undangan pengerusi Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Mariamman, Moorthy Pattan. Beliau yang saya kenali sejak tahun 2004 memang sudah beberapa kali mengajak saya ke kuil baru itu sejak hampir setahun lalu. Kuil ini pada mulanya dua kuil berasingan yang dikenali dengan nama Kuil Maha Mariamman dan Kuil Nageswari Amman. Kedua-duanya dulu terletak di Ladang Emerald, di tepi Jalan Bukit Kemuning yang menghubungkan Taman Sri Muda, Shah Alam ke Kampung Jawa, Klang. Semasa saya mewawancara Moorthy dan ibunya, Letchumi lebih sedekad lalu bagi sebuah makalah di majalah Sarina (Ogos 2004), kedua-dua kuil sudah pun diarah berpindah. “Paramount Property selaku pemaju yang mengambil alih kawasan ini memberikan suku ekar tanah untuk kuil baru. Pemaju juga menghulurkan bantuan dana bagi menampung kos membina bangunan kuil. “Pihak pemaju itu selalu datang ke kuil untuk bersembahyang dan meminta saya melakukan pooja khas sebelum pembinaan dimulakan di beberapa tapak perumahan di Ladang Emerald yang kini dikenali sebagai Kemuning Utama,” Moorthy menceritakan. Katanya, pihak pemaju berkenaan juga terlibat melakukan upacara pecah tanah dan penanaman adikal (batu asas) bagi Kuil Sri Maha Nageswari Amman pada 16 September 2011. Kuil Maha Mariamman sebenarnya berusia lebih seratus tahun dan dipercayai diasaskan oleh kumpulan pekerja ladang kelapa sawit yang mula-mula datang ke Ladang Emerald. Berhala berusia lebih seratus tahun Pattan yang merupakan penjaga dan petugas yang melakukan upacara pemujaan di Kuil Maha Mariamman kemudian mengasaskan Kuil Nageswari Amman pada tahun 1970-an berikutan peristiwa terserempak sepasang ular tedung di sisi sebuah busut berhampiran kuil. [caption id="attachment_4137" align="alignleft" width="300"]PD 2Terdedah Bangunan kuil akan dibiarkan terdedah
kepada hujan dan matahari selama enam bulan
sebelum dicat.[/caption] Semasa saya mewawancara Letchumi dan Moorthy pada 2004, Ladang Emerald sudah dikosongkan. Rumah-rumah sudah dirobohkan dan para penduduk sudah berpindah ke tempat lain. Apa yang tinggal hanyalah kuil berkenaan serta SJKT Ladang Emerald. Sewaktu saya dan Kughan melawat bangunan kuil yang masih dalam pembinaan baru-baru ini, kami diberikan taklimat khas oleh Moorthy yang turut membawa kami melawat bahagian atas (bumbung) kuil yang dipanggil gopuram. “Kedua-dua kuil kecil yang asal sudah dipindahkan ke tapak baru sekitar lima tahun lalu. Projek pembinaan bangunan kuil baru ini pula bermula hampir satu setengah tahun lalu,” kata Moorthy sambil membawa kami melawat setiap penjuru kuil. Sejumlah sepuluh pekerja pakar dibawa khas dari Tiruchi, Tamil Nadu, India. Mereka bekerja dua belas jam sehari bagi memastikan bangunan kuil ini dibina mengikut rekabentuk yang diinginkan dan juga mengikut jadual yang ditetapkan. [caption id="attachment_4131" align="alignleft" width="300"]PD 2Seni Kerja seni yang cukup halus oleh pakar binaan
yang dibawa khas dari India.[/caption] Saya dan Kughan kagum melihat kehalusan seni pada setiap tiang, dinding, penjuru dan bumbung bangunan kuil ini. Apabila beberapa foto dipaparkan di Facebook, ramai yang menyukai serta segera berkongsi foto-foto itu dengan penuh kekaguman. Menurut Moorthy, rekabentuk kuil adalah berdasarkan idea yang beliau sendiri kemukakan. Selama beberapa tahun, beliau melawat lebih 150 kuil yang sedang dalam pembinaan di Tamil Nadu untuk mendapatkan idea terbaik. Moorthy turut mengadakan perbincangan, rundingan dan perkongsian idea dengan pakar pembinaan kuil di India sebelum membuat rekabentuk kuil ini dengan kerjasama jurutera pakar. Sebuah kuil pasti sahaja tidak lengkap tanpa berhala. Walaupun kuil baru yang amat cantik dan rekabentuknya mengagumkan sedang dalam proses pembinaan, berhala utama yang akan ditempatkan di ruang utama (mulastanam) tetap berhala lama. “Berhala Ambal (Amman) ditempatkan di kuil asal sejak lebih seratus tahun dahulu. Mendiang bapa mewariskan kuil ini kepada saya. Berhala yang sama akan ditempatkan di mulastanam nanti. “Buat masa ini, berhala Ambal ditempatkan di kuil sementara di sebelah bangunan kuil yang sedang dalam pembinaan ini,” kata Moorthy sambil merujuk kepada bangunan bersaiz sederhana yang tidak putus-putus dikunjungi peganut dari jauh dan dekat. Mahameru yang kurang diberikan perhatian Tujuh berhala baru pula ditempah khas dari Bangalore. Berhala Vinayagar, Murugan dan sebagainya diperbuat daripada batu hitam. Sesungguhnya, dalam ajaran Hindu, ilmu ikonografi amat penting dalam proses membuat berhala bagi kegunaan di kuil dan rumah. Kuil baru itu nanti akan turut menempatkan navagraham serta memiliki mahameru. Navagraham adalah sembilan dewa yang mewakili sistem solar dan dipercayai amat mempengaruhi kehidupan setiap individu. Mahameru pula mungkin agak kurang dikenali oleh penganut Hindu sendiri di Malaysia. Nama-nama lain termasuk Sri Chakra, Sri Yantra dan Navayoni Chakra. Rekaannya berupa mandala atau lingkaran bulat bercorak. Secara paling asas, mahameru terhasil daripada gabungan empat segi tiga yang mewakili Shiva dan lima segi tiga mewakili Shakti. Mahameru juga mewakili Lalitha atau Tirupura Sundari yang merujuk kepada “keindahan tiga dunia (syurga, bumi, neraka)”. Bahagian mahameru juga penting dalam struktur binaan bangunan kuil dan diberi perhatian khusus oleh Moorthy. Secara saintifik, terbukti berlaku pantulan tenaga positif apabila seseorang berada berdekatan mahameru. [caption id="attachment_4132" align="alignleft" width="300"]Bahagian mahameru mampu mengalirkan tenaga positif kepada pengunjung kuil. Bahagian mahameru mampu mengalirkan
tenaga positif kepada pengunjung kuil.[/caption] Di Kuil Sri Maha Nageswari Amman, mahameru akan ditempatkan di bahagian bumbung; benar-benar di atas tempat orang ramai berdiri untuk memohon restu Maha Mariaman yang ditempatkan di mulastanam. Seperti dinyatakan tadi, berhala Maha Mariamman berusia lebih seratus tahun akan ditempatkan di kuil baru ini. Sejumlah tujuh berhala lain pula ditempah khas dari Banglore. Setelah berhala siap dan dibawa ke kuil ini, upacara khas yang dinamakan “jalamsamadhi” akan dilangsungkan. Dalam upacara keagamaan berpandukan veda iaitu kitab agama, berhala akan dibenam dalam tangki air selama 48 hari. Sesiapa yang kurang memahami ilmu ikonografi serta menganggap berhala di kuil Hindu sebagai batu semata-mata wajar mengambil inisiatif memahami ajaran dalam veda supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dan fitnah yang menyentuh sensitiviti penganut agama Hindu. Tentu sahaja rakyat pelbagai kaum, etnik, agama dan budaya yang hidup bersatu tidak memerlukan kehadiran lebih ramai Zakir Naik, Zulkifli Noordin dan Ridhuan Tee Abdullah yang hanya mahu memecah-belah umat manusia. Peluang mengunjungi kuil, mengenali senibina unik Berbalik kepada kisah tadi, semasa meluangkan masa hampir sejam melawat kuil dan berbual-bual dengan Moorthy pada 14 September 2014, saya dan Kughan turut berpeluang melihat bahagian rajagopuram dan menara mulastanam yang melangit. [caption id="attachment_4133" align="alignleft" width="300"]Rajagopuram ini dibina mengikut panduan, syarat dan peraturan agama dan veda. Rajagopuram ini dibina mengikut panduan,
syarat dan peraturan agama dan veda.[/caption] Menara pada bahagian mulastanam tingginya sekitar 8.5 meter (28 kaki) manakala rajagopuram yang merupakan bahagian depan kuil tingginya hampir 11.6 meter (38 kaki). Kedua-dua menara ini dihiasi ukiran tangan serta hiasan tambahan yang penuh seni, cantik, halus dan mengasyikkan. Menurut Moorthy, ketinggian menara mulastanam dan rajagopuram tidak boleh dibuat sesuka hati. Panduan dalam veda menetapkan ukuran yang betul, sesuai dan temat sebagai panduan. Apabila ditanya mengenai tarikh bangunan kuil ini akan siap sepenuhnya, Moorthy berkata, tarikh jangkaan adalah Februari 2015. Bagaimanapun proses keseluruhan belum lengkap. “Apabila kerja-kerja pembinaan siap, bangunan kuil ini akan dibiarkan terdedah kepada hujan dan panas selama enam bulan. Selepas itu, barulah kerja-kerja mengecat akan dimulakan.“ Kalau kerja-kerja mengecat dimulakan sebaik bangunan siap dibina, hasilnya nanti tidaklah sehebat yang diinginkan. Untuk menguruskan kerja-kerja mengecat, kami akan membawa tiga pekerja pakar dari Tiruchi dan mereka akan dibantu sejumlah pekerja tempatan,” Moorthy menjelaskan. [caption id="attachment_4136" align="alignleft" width="300"]Bangunan kuil akan dibiarkan terdedah kepada hujan dan matahari selama enam bulan sebelum dicat. Letchumi menjaga busut ini yang
dipercayai dihuni ular tedung istimewa.[/caption] Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama sejak 2010, serta konvoi pada Oktober 2013 mendapat liputan media antarabangsa. Mungkin apabila Kuil Sri Maha Nageswari Amman hampir siap nanti, suatu kunjungan khas boleh diaturkan oleh Kavyan dengan kerjasama Projek Dialog. Para peserta pelbagai kaum dan agama pasti kagum dengan keunikan senibina kuil ini. Orang ramai boleh menghubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut jika berminat turut serta. Semasa konvoi itu nanti, peserta juga mungkin akan berpeluang melihat seekor ular tedung istimewa yang dikatakan menghuni busut besar di kuil ini. Biarlah saya tidak mengulas lanjut mengenainya sehingga peserta datang untuk melihatnya sendiri. unnamed

]]>

Navaratri: Meraikan emansipasi wanita

Navaratri atau Maha Navaratri dalam kalangan penganut ajaran Hindu adalah pada bulan Purattasi (September-Oktober) mengikut kalendar Tamil. Perkataan “nava” bermakna “sembilan” dan “ratri” bermakna “malam”. Seperti yang dapat diagak, sambutan Navaratri adalah selama sembilan malam berturut-turut. Sambutannya berlangsung dari 25 September hingga 3 Oktober 2014 khusus bagi meraikan Sakthi Devi yang dimanifetasikan sebagai dewi-dewi dalam sembilan inkarnasi yang penuh variasi. Walaupun Hinduisme adalah agama tauhid pertama dan tertua di dunia, konsep trimurti (tiga dewa) memang diketahui umum; sesuai dengan konsep Ekan Anekan di mana Tuhan adalah Maha Esa tetapi berada di mana-mana dan dalam segala rupa. Tuhan dalam ajaran Hinduisme dimanifestasikan menerusi trimurti iaitu Brahma (Pencipta), Vishnu (Pemelihara) dan Shiva (Pemusnah; Pengakhir). Bagi melaksanakan tugas sebagai pencipta, pemelihara dan pemusnah (dengan erti kata menguasai segala-galanya di mayapada), maka Brahma, Vishnu dan Shiva mendapat sakti (Sakthi; kuasa) daripada pasangan masing-masing iaitu Durga, Laksmi dan Saraswati. Ketiga-tiga dewi ini masing-masing mewakili keberanian/kekuatan, kemewahan/harta dan ilmu/pengetahuan. Sebelum timbul sebarang kekeliruan dan salah tafsir, harus ditekankan bahawa Tuhan dalam ajaran Hindu adalah Maha Esa. Bagaimanapun, bagi menggambarkan segala sifat yang dimiliki-Nya, penganut Hindu dibenarkan mevisualkan rupa Tuhan yang pelbagai mengikut kemampuan masing-masing. Berbalik kepada sambutan Navaratri selama sembilan hari serta kehadiran tiga dewi, masing-masing diraikan selama tiga hari. Durga pada hari pertama, kedua dan ketiga; diikuti Laksmi selama tiga hari; dan Saraswati pada tiga hari terakhir. Upacara serta sambutan Navaratri boleh dibuat di rumah atau di kuil. Bagaimanapun, bagi memudahkan urusan serta bagi melibatkan lebih ramai orang, maka upacara khas biasanya diadakan di kuil. Boleh diraikan mengikut pemahaman masing-masing Dalam Markandey Purana, dinyatakan bahawa inkarnasi Sakthi ialah sebagai Shailputri, Brahmacharni, Chandraghanta, Kushmanda, Skandamata, Katyayani, Kalratri, Mahagauri dan Siddhidatri. [caption id="attachment_4041" align="alignleft" width="300"]Sembilan manifestasi Sakthi Devi diraikan sepanjang Navaratri. Sembilan manifestasi Sakthi Devi diraikan sepanjang Navaratri.[/caption] Inkarnasi Sakthi Devi juga disebut dalam Shiva Purana dan sering menjadi rujukan dalam kalangan orang Hindu yang meraikan Navaratri. Bagaimanapun, terpulang kepada setiap individu untuk memilih sembilan inkarnasi yang mahu diraikan. Harus diakui bahawa ajaran Hinduisme iaitu Sanatana Dharma (“agama yang abadi”) amat kompleks dan mungkin sukar difahami orang luar yang kurang pengetahuan mendalam mengenai agama tauhid pertama dan tertua ini. Apa-apa maklumat yang dikongsikan di sini adalah secara amat mudah dan amat ringkas demi membantu pemahaman agar masyarakat pelbagai kaum dan agama boleh saling menghormati. Antara inkarnasi Sakthi Devi (Mother Goddess) ialah Durga, Bhadrakali (Kali), Ambal, Annapoorna, Sarvamangala, Lalita dan Moogambikai. Patung dewi-dewi ini biasanya disusun pada rak bertangga khas yang dibuat bagi majlis “kolu” sepanjang sambutan Navaratri. Ada warna khas yang dipilih dan ditetapkan bagi setiap hari. Misalnya, bagi tahun ini, warna-warna yang ditetapkan (mengikut urutan hari) adalah kuning, hijau, kelabu, jingga, putih, merah, biru, merah jambu dan ungu. Sambutan Navaratri bukanlah suatu acara yang rigid dan terlalu formal. Sebaliknya setiap individu diberikan kekebasan untuk menyambutnya mengikut pilihan masing-masing. Hal ini penting kerana setiap individu yang berbeza umur, pengetahuan, tahap ketakwaan, pendidikan, latar belakang dan sebagainya pasti memiliki kemampuan yang berbeza untuk meraikan dan menghayati mana-mana sambutan dalam Hinduisme. Semasa berkongsi kisah menerusi Facebook baru-baru ini, Chitra Alagan yang lahir di Taiping, Perak dan kini bekerja di Pulau Pinang terkenang akan pelbagai juadah nabati (sayur-sayuran) yang dihidangkan sepanjang Navaratri. Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor pula mengimbas pengalaman menyanyikan lagu-lagu keagamaan memuji Amman (Mariamman). “Sepanjang sembilan malam, lagu-lagu pujaan dinyanyikan di kuil. Satu lagi pengalaman Navaratri yang tidak boleh saya lupakan adalah sambutan Saraswati Pooja di mana buku-buku diletakkan di bilik sembahyang dan semua ahli keluarga bersembahyang bersama dan berdoa demi kemajuan dalam pelajaran,” kata guru kelahiran Klang itu. Saraswati Pooja dan Ayudha Pooja Saraswati Pooja disambut pada hari kelapan (2 Oktober 2014) khusus bagi Saraswati iaitu dewi yang dikaitkan dengan ilmu, pengetahuan, seni dan sastera. Upacara sambutan ini sangat terkenal di sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) demi memohon restu bagi murid-murid. Buku-buku pelajaran akan diletakkan di hadapan berhala Saraswati untuk mendapatkan restu. Akan tetapi, harus dinyatakan dan diingatkan bahawa Saraswati Pooja bukan hanya bagi bahan bacaan seperti buku. Sebaliknya turut melibatkan apa-apa barangan yang digunakan orang untuk sama ada menimba ilmu atau menyara diri. Maknanya, seorang ahli muzik mungkin meletakkan alat muzik miliknya di hadapan berhala Saraswati untuk mendapatkan restu, anugraham (anugerah) dan memohon dimurahkan rezeki. Seorang penulis mungkin meletakkan alat tulis, buku nota atau komputer riba semasa Saraswati Pooja dijalankan. Seorang petani mungkin meletakkan cangkul dan sabit untuk memenuhi hajat di hati. Bercakap mengenai cangkul, sabit dan pelbagai peralatan lain mungkin mengingatkan penganut Hindu kepada Ayudha Pooja pada hari kesembilan. Perkataan “ayudha” atau “ayudham” membawa makna “senjata”. Akan tetapi, tidak pula bermakna bahawa senjata seperti parang, pisau, tombak, pistol, senapang, kayu pemukul, rantai dan sebagainya dipuja pada hari berkenaan. Sebaliknya peralatan yang membantu kita dalam berjuang meneruskan kehidupan dengan membuat kerja-kerja yang halal dikenang pada hari tersebut. Restu Tuhan juga diminta menerusi upacara sembahyang atau puja khas. Selama sembilan hari sepanjang Navaratri, pelbagai acara seni dan kebudayaan diadakan di kuil. Mereka yang berbakat dalam seni tari tradisional seperti bharatanatyam akan membuat persembahan khas untuk menonjolkan keunikan setiap dewi yang diraikan pada hari berkenaan. Individu yang pandai membuat kolem menggunakan beras, bijirin dan bunga pula menghasilkan lukisan seni yang penuh warna-warni untuk menonjolkan bakat kesenian serta meraikan sifat-sifat keindahan dan kesenian yang dikaitkan dengan dewi-dewi yang diraikan. Nyanyian lagu-lagu thevaram serta upacara pooja (puja) khas di kuil memang menjadi kebiasaan. Bunga pelbagai warna, buah-buahan dan manisan dipersembahkan di hadapan berhala sebelum diagih-agihkan kepada orang ramai. Makna simbolik yang mungkin dilupakan [caption id="attachment_4040" align="alignleft" width="300"]Bukan sekadar dewi yang diraikan, tetapi juga kehebatan golongan wanita. Bukan sekadar dewi yang diraikan, tetapi juga kehebatan golongan wanita.[/caption] Seperti yang dinyatakan tadi, sambutan Navaratri bukanlah suatu upacara yang rigid atau diwajibkan. Sebaliknya Sanatana Dharma memberikan kekebasan kepada orang ramai untuk meraikan kebesaran Tuhan Yang Maha Esa menerusi cara dan pilihan masing-masing mengikut kemampuan serta tahap ketakwaan. Selepas sambutan selama sembilan hari (Navaratri), maka hari kesepuluh (4 Oktober 2014) adalah Vijayadasami iaitu hari meraikan kemenangan atau kejayaan (wijaya). Sambutan itu diraikan secara simbolik dengan mengangkat Durga yang dikatakan berjaya memusnahkan syaitan berkepala kerbau, Mahishasura. Secara mudah ia menandakan kejayaan kebaikan menghancurkan kejahatan. Durga digambarkan sebagai dewi yang memegang senjata dengan lima pasang tangan serta duduk di atas seekor singa. Gelaran lain yang diberikan kepada dewi berkenaan ialah Mahishasura Mardhani. Salah satu mesej tidak tertulis yang diraikan menerusi Navaratri adalah kehebatan, kuasa, kekuatan, jati diri, kekentalan, keberanian dan semangat juang yang dimiliki oleh golongan wanita dalam kehidupan seharian. Maka sambutan Navaratri bukan sekadar meraikan dan memuja dewi-dewi dalam bentuk berhala. Sebaliknya untuk memperkasa, memotivasi dan menjana kekuatan dalam diri golongan wanita itu sendiri. Atas dasar dan kesedaran itulah juga beberapa filem Tamil dan Hindi bertema emansipasi wanita mengangkat dewi-dewi seperti Kali, Durga dan Amman untuk memberikan semangat juang kepada watak dalam filem. Pada masa sama, Navaratri juga seharusnya berperanan mengingatkan orang ramai (khususnya lelaki) betapa pentingnya kehadiran golongan wanita dalam kehidupan kita. Seperti kata watak seorang ayah dalam cerpen “Doa Tahun Baru” (Kisah dari Siru Kambam): “Awaklah Lakshmi dalam rumah ini. … Awaklah yang memberikan nafas pada rumah tangga ini.” Apa gunanya meraikan Navaratri jika golongan wanita masih merasakan diri mereka serba lemah dan terpaksa bergantung kepada orang lain (lelaki)? Dan apa gunanya meraikan kehebatan dewi-dewi jika golongan lelaki masih memperhambakan wanita? unnamed

]]>

Apabila Mahathir tegur Najib

Sejarah Melayu di mana watak bendahara, Sang Rajuna Tapa, membuka pintu kota kepada musuh atas kepentingan peribadi. Mahathir mempunyai pengalaman dalam politik selama lebih 40 tahun. Tambahan pula, beliau memegang jawatan perdana menteri selama 22 tahun (1981-2003). Maka, tentulah ramai yang bersetuju bahawa negarawan dan politikus itu mempunyai pengalaman, hak dan kewajaran membuat teguran terhadap pemimpin masa kini, khususnya Najib. Umum mengetahui bahawa Mahathir sendiri yang memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya pada 2003. Bagaimanapun, tidak lama kemudian, Mahathir jugalah yang mengkritik Abdullah secara terbuka serta menyokong Najib menjadi pengganti. Lalu, mengapa Mahathir sendiri tampil menegur Najib, seolah-olah beliau “tersilap” membuat pilihan? Umpama mebuka pekung di dada “Saya menegur kerana saya berpendapat pemimpin yang tidak ditegur akan percaya segala-gala yang dilakukan oleh mereka baik-baik belaka. Hanya apabila ditegur sahaja barulah pemimpin akan sedar akan kesalahan dan mungkin akan memperbetulkannya,” kata Mahathir di blognya. Timbul pertanyaan mengapa Mahathir melakukan kritikan secara terbuka sehingga semacam membuka pintu kepada “musuh” melakukan serangan bertubi-tubi. Dalam hal ini, mantan perdana menteri itu memberikan alasan bahawa dasar dan tindakan Najib tidak lebih berkesan daripada Abdullah, serta beliau tidak menyangka pencapaian BN di bawah Najib dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (2013) lebih buruk daripada Abdullah dalam PRU-12 (2008). “Harapan saya, Najib akan mengambil ikhtibar daripada prestasinya yang buruk dalam PRU-13. Malangnya sehingga kini tidak nampak apa-apa perubahan dari segi dasar atau pendekatan walaupun saya cuba menyampaikan pendapat saya secara langsung kepada Najib,” akuinya di blog. Tanpa sedikit pun menafikan kemungkinan Mahathir berniat baik dalam membuat teguran itu, hakikat yang tidak dapat dinafikan adalah bahawa perbuatan beliau umpama membuka pekung di dada, atau menepuk air di dulang. Umum mengetahui bahawa Najib dikiritik hebat dari pelbagai penjuru oleh pelbagai pihak, sementara Najib sendirian dalam menangani segara serangan itu. Maka, apabila tokoh seperti Mahathir sendiri membuat kritikan yang secara langsung mempersoalkan kredibiliti Najib, maka mudahlah untuk orang ramai memetik kata-kata Mahathir untuk melakukan serangan susulan. Naib Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, misalnya, menyeru Mahathir supaya mendesak Najib meletakkan jawatan perdana menteri. Malah, menurut Ibrahim, jika Najib bermaruah, maka beliau pasti akan melepaskan jawatannya secara serta-merta. Suara-suara kritikan yang lantang, berani dan terbuka juga datang daripada Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang dinaungi Mahathir. Suara sokongan kurang lantang Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah benpendapat bahawa sedangkan kerajaan Singapura sedia menerima nasihat daripada bekas perdana menterinya, Lee Kuan Yew, maka Najib juga perlu bersedia menerima nasihat dan pandangan Mahathir. Secara perbandingan, beberapa pemimpin Umno yang mengemukakan pandangan terhadap kritikan Mahathir masih bersikap berhati-hati. Misalnya, rata-rata mengatakan mereka menghormati teguran, kritikan dan pandangan Mahathir. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ahli Majlis Tertinggi Umno dan Ketua Umno Bahagian Bera menzahirkan sokongan penuh terhadap segala dasar yang diperkenalkan oleh Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno. Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad selaku Ahli Parlimen Jempol pula dilaporkan oleh Bernama (20 Ogos 2014) sebagai menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Najib menguruskan negara dengan baik. Akan tetapi, siapalah Ismail dan Isa berbanding Mahathir. Pasti sahaja suara, pandangan dan hujah Mahathir selaku seorang pemimpin yang disegani pada peringkat antarabangsa lebih dipandang serius. Sikap berdiam diri media arus perdana juga membuktikan bahawa Mahathir masih digeruni. Mereka seolah-olah mengambil sikap berhati-hati kerana tidak mahu menerima kesan buruk jika menyokong Najib – sekali gus tidak menyokong Mahathir – secara terang-terangan. Tanpa menafikan hak dan niat Mahathir membuat teguran dan mengkritik kepimpinan Najib, mantan perdana menteri itu sepatutnya telah menggunakan cara yang lebih sesuai dan profesional untuk menyampaikan tegurannya. Orang ramai – seperti saya, misalnya – pasti tidak ada peluang untuk bertemu Najib sesuka hati. Mahathir pula tentu ada peluang untuk mengatur pertemuan tertutup bersama-sama Najib. Saya yakin Najib tidak akan menolak undangan Mahathir. Terlanjur perahu boleh diundur Bayangkan jika pertemuan empat mata berlangsung antara Mahathir dan Najib. Bayangkan segala kritikan, teguran dan rasa tidak puas hati disampaikan secara langsung dan dari hati ke hati oleh Mahathir kepada Najib. Pastilah kesannya tidak seburuk teguran terbuka yang dilakukan Mahathir menerusi blog – seolah-olah tidak ada langsung peluang bertemu Najib secara bersemuka. Mungkin inilah juga yang dimaksudkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor apabila beliau mencadangkan Mahathir tidak lagi memberikan teguran secara terbuka mengenai masalah dalaman Umno dan kepimpinan kerajaan pusat. “Sekarang ini, seluruh negara sedar Najib menjadi lebih teruk daripada Badawi,” Syed Akhbar Ali pula mencatatkan di blognya. Walaupun Mahathir kemudian mengulas bahawa beliau tidak meminta Najib meletakkan jawatan berikutan teguran terbuka itu, penjelasannya sudah tidak bermakna lagi. Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar, misalnya, memetik teguran awal Mahathir dan mengulas bahawa kelemahan Najib yang didedahkan itu perlu dipandang serius oleh rakyat. Mahfuz menambah komen (Harakah Daily, 19 Ogos 2014) bahawa Najib lebih banyak melakukan perkara bombastik demi kepentingan diri tetapi bukan demi negara. Nah! Siapakah yang telah membuka pintu kota seluas-luasnya sehingga memungkinkan segala kritikan pedas ini tersebar tanpa sekatan? Mustahil untuk mendakwa para pengkritik – sama ada politikus dari parti lawan atau orang ramai yang bersikap apolitikal – kerana mereka sekadar mengulas teguran terbuka yang dibuat oleh Mahathir. Saya amat yakin bahawa Mahathir tidak akan sesekali menarik balik kritikan dan tegurannya kerana ia melibatkan soal maruah dan kredibilitinya. Apakah Najib akan dibiarkan sendirian oleh media arus perdana untuk berjuang secara solo untuk membuktikan kata-kata Mahathir tidak benar? Sama-sama kita nantikan dengan penuh harapan.    

]]>

Mempertahankan agama minoriti

Prinsip dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa menjadi rujukan. Prinsip dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa menjadi rujukan.[/caption] Bayangkan jika suatu forum khas diadakan bagi mempertahankan serta melindungi agama-agama minoriti di Malaysia daripada dakyah dan serangan pihak luar. Forum itu nanti pasti sahaja berciri ilmiah, penyelidikan, akademik dan tiada sebarang unsur hasutan atau penghinaan yang bertentangan dengan hak-hak sah agama minoriti dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perkara 3 (1) menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Kebebasan beragama bagi penganut “agama minoriti” ini dijamin oleh Perlembagaan dan mereka mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing. Wacana Pengenalan kepada Minoriti Agama di Malaysia oleh Dr Mohd Faizal Musa, felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 12 Jun 2014 juga agak menarik untuk diperhatikan. Ia antara lain membantu khalayak meneliti realiti mazhab Syiah di Malaysia dari sudut berbeza. Bagaimanapun, perlu dibezakan antara “minoriti agama” dan “agama minoriti” supaya tidak timbul kekeliruan dan salah tanggap. Dewasa ini, banyak forum, seminar dan perbincangan diadakan dalam usaha mempertahankan agama Islam daripada “agenda Kristianisasi”. Contoh terdekat adalah Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014. Seminar itu secara terang-terangan mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan, serta secara jelas berciri anti-perpaduan, berniat jahat, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan mengancam ketenteraman awam. Walaupun mendapat bantahan masyarakat Tidak Islam (Bukan Islam) serta beberapa laporan polis dibuat, belum ada sebarang tindakan diambil terhadap penganjur serta sekumpulan penceramah yang terbukti adalah “bekas paderi dan bekas rahib palsu”. Hujah Muhyiddin jadi panduan dan rujukan Semasa sidang Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014, Ahli Parlimen Penampang, Ignatius Dorell Leiking meminta Menteri Pendidikan menjelaskan tindakan kementerian terhadap UiTM yang telah secara tidak langsung menyebarkan kebencian antara agama melalui penganjuran seminar itu. Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis menegaskan bahawa seminar itu berciri akademik dan bersifat sesi percambahan minda (brainstorming), serta bertujuan mempertahankan agama Islam daripada cabaran luar. Dia menyifatkannya sebagai suatu perbincangan akademik yang perlu dilihat secara positif. Selaras dengan itu, Forum Mempertahankan Agama Minoriti yang dicadangkan pula bertujuan membicarakan cara-cara mempertahankan “agama minoriti” daripada serangan dan dakyah pihak luar. Perlu ditekankan bahawa seperti kata tajuk, forum itu nanti bertujuan “mempertahankan” dan bukannya “menghasut”. Apatah lagi melanggar Perkara 11 (4) dan “mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”. [caption id="attachment_3626" align="alignleft" width="300"]Wakil agama minoriti diberi peluang berkongsi fakta berdasarkan penyelidikan. Wakil agama minoriti diberi peluang berkongsi fakta berdasarkan penyelidikan.[/caption] Bayangkan bahawa koleksi makalah berbentuk penyelidikan berjaya diterbitkan susulan forum tertutup berkenaan dan diedarkan kepada peserta sahaja bagi tujuan akademik. Tentulah akan dipastikan tidak ada sebarang kandungan yang menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta Hasutan 1948. Buku itu hanya membincangkan tentang usaha mempertahankan agama minoriti serta penjelasan mengenai agenda dakyah pihak luar yang mengancam agama minoriti. Kalau Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpeluang meneliti buku itu nanti, beliau juga akan mengakui bahawa ia hanya satu penyelidikan (study). Sama seperti jawapannya bagi buku Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan Mais yang diedarkan semasa seminar anti-Kristian di UiTM. Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah suatu program akademik dan perbincangan ilmiah bagi menerangkan permasalahan dakyah pihak luar yang menjadi isu dan perbahasan hangat dalam kalangan penganut agama minoriti. Dalam forum itu nanti, perbincangan dan penjelasan pasti sahaja dilakukan secara ilmiah yang bersifat pro dan kontra, selaras dengan budaya intelektual yang diharapkan; serta dijalankan dalam suasana harmoni tanpa menghina mana-mana agama lain. (Saya meminjam banyak idea daripada jawapan Muhyiddin di Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014.)   Oleh itu, fakta dan perbincangan dalam forum itu perlulah dilihat secara positif sebagai suatu bentuk percambahan minda dan intelektual yang sedikit pun tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan. Kandungan forum tidak langgar Perlembagaan Forum tertutup itu juga difokuskan kepada khalayak terpilih yang intelektual, matang dan mampu membicarakan topik-topik sensitif secara ilmiah dan akademik. Maka tidak timbul soal ada pihak yang mungkin rasa tergugat dari segi keimanan. Umum mengetahui bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan ada mengeluarkan beberapa pandangan (atau “fatwa” dalam Bahasa Arab) berhubung larangan penyebaran agama Bukan Islam kepada orang Islam. Buku Pendedahan Agenda Kristian menghuraikannya lebih lanjut sebagai “larangan yang menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam serta larangan umat Islam menyertai aktiviti yang mempunyai kaitan dengan agama lain khususnya Kristian.” Agak menarik untuk diperhatikan bahawa majlis fatwa merumuskan senarai “agama lain” sebagai “Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian”. Mungkin sahaja “Cina” merujuk kepada pelbagai ajaran, kepercayaan dan agama yang dianuti orang Cina. Bagi tujuan Forum Mempertahankan Agama Minoriti yang dicadangkan ini, senarai “agama minoriti” tidak akan dikhususkan kepada mana-mana agama. Sebaliknya merujuk kepada mana-mana agama, ajaran, anutan dan mazhab minoriti yang terkeluar daripada acuan “agama bagi Persekutuan” dalam Perkara 3 (1). Forum itu nanti akan membuka peluang meneliti hak dan kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan kepada penganut agama minoriti, serta menghuraikan batasan dan had yang ditetapkan dalam Perlembagaan berkaitan hak penganut agama minoriti. Panel juga dijangka memperkatakan isu-isu semasa berkaitan agama minoriti dalam ruang lingkup dan kebebasan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Maknanya, tidak ada apa-apa kandungan yang melanggar peruntukan Perlembagaan. Saya membayangkan suatu forum ilmiah di mana panel membentangkan hujah, pandangan dan fakta berdasarkan kajian, penyelidikan dan pengalaman berkaitan topik dakyah pihak luar ke atas penganut agama minoriti. Panel dan peserta tentu berpeluang membincangkan cara-cara mempertahankan agama minoriti dan penganut agama minoriti daripada serangan dan dakyah pihak luar. Hal ini selaras peruntukan Perkara 11 dan maklumat terperinci boleh dirujuk dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia (2006). Selaras semangat Bangsa Malaysia, forum itu juga boleh dijadikan medan untuk mencadangkan cara-cara memupuk perpaduan, meraikan kepelbagaian dan meningkatkan sifat tolak-ansur dalam kalangan masyarakat pelbagai agama. Puak ultra kiasu, pelampau tidak dibenarkan hadir Pembicara atau ahli panel forum akan dipilih daripada kalangan individu intelektual, rasional dan matang yang mampu mengemukakan pandangan, hujah, idea, pengalaman dan kritikan berdasarkan topik yang ditetapkan. Panel diberikan kebebasan untuk berbicara secara akademik serta berdasarkan penyelidikan dan pengalaman sambil mengambil kira segala peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara. Pembicara bertanggungjawab sepenuhnya atas segala pandangan, hujah dan kritikan yang dikemukakan. Pemudah cara (moderator) pula berhak menghalang pembicara daripada meneruskan hujah-hujah yang difikirkan kurang sesuai. Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah aktiviti tertutup kerana topik berkaitan agama minoriti mungkin dianggap sensitif bagi kelompok tertentu yang berminda tertutup dan takut pada bayang-bayang sendiri. [caption id="attachment_3628" align="alignleft" width="300"]Kejayaan” seminar di UiTM boleh juga dijadikan panduan bagi forum. Kejayaan” seminar di UiTM boleh juga dijadikan panduan bagi forum.[/caption] Peserta mestilah berumur lebih 18 tahun dan mahu hadir atas kerelaan sendiri. Penyertaan hanya atas undangan penganjur bagi memastikan puak ultra kiasu, pelampau, fanatik, kurang cerdik, rasis dan seumpamanya tidak terlepas masuk ke forum ilmiah ini. Orang ramai, wakil media, pemerhati atau sesiapa yang berminat untuk hadir wajib mendapatkan kelulusan penganjur dengan mengisi borang dalam talian (online). Segala langkah berjaga-jaga ini penting – antara lain – demi “keperluan memelihara ketenteraman awam” serta memastikan forum itu nanti tidak disalah anggap mengandungi unsur hasutan. Lebih teruk jika dituduh sebagai usaha menyebarkan agama minoriti kepada masyarakat awam (termasuk penganut agama Islam dalam lingkungan mazhab Ahlu Sunnah Waljamaah). Kalau forum diadakan di Selangor, maka Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 perlu diambil kira, walaupun forum ini hanya bertujuan “mempertahankan agama minoriti” dan bukannya “menyebarkan agama minoriti”. Sebelum forum bermula, pemudah cara akan mengingatkan para peserta bahawa tujuan forum tertutup itu diadakan bukan untuk dicurigai, memperkecilkan mana-mana agama dan bukan untuk menyerang pegangan dan kepercayaan penganut mana-mana agama lain. Sebaliknya, forum ini adalah semata-mata bagi mempertahankan jati diri penganut agama minoriti di Malaysia dan memberi kefahaman kepada penganut agama minoriti yang diselubungi pelbagai kekeliruan seperti isu serangan, cabaran dan ancaman dakyah pihak luar. Berdialog sambil memartabatkan bahasa kebangsaan Istilah “dakwah” tidak digunakan dalam cadangan forum ini kerana bimbang kemungkinan ada puak kurang cerdik yang hanya tahu mengaitkan perkataan “dakwah” dengan agama Islam. Lalu, mungkin frasa “serangan, cabaran dan ancaman dakwah pihak luar” disalah tafsir sebagai “serangan, cabaran dan ancaman dakwah Islam”. Sekiranya Forum Mempertahankan Agama Minoriti menjadi kenyataan, penganjur mungkin wajar membenarkan wartawan dan media membuat liputan. Untuk selamat, wartawan dan media juga perlu mengemukakan borang penyertaan untuk kelulusan sebelum hadir. [caption id="attachment_3629" align="alignleft" width="275"]Definisi “agama minoriti” akan dibiarkan agak longgar supaya bersifat inklusif. Definisi “agama minoriti” akan dibiarkan agak longgar supaya bersifat inklusif.[/caption] Kalau wartawan hadir dan membuat liputan, mungkin akan timbul pula persoalan bahawa kandungan forum itu tidak lagi bersifat “tertutup”. Sebagai individu yang pernah bekerja di bahagian editorial berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akhbar Sinar Harian, tentulah perkara itu juga sudah saya fikirkan. Sebarang siaran berita mengenai forum agama minoriti itu nanti adalah atas dasar etika kewartawanan dan tidak bertujuan mengganggu ketenteraman awam. Apa-apa yang dilaporkan wartawan dan media adalah interpretasi berdasarkan etika kewartawanan dan tidak semestinya menggambarkan secara tepat kandungan forum serta apa yang benar-benar berlaku dalam forum. Forum perlu dikendalikan dalam Bahasa Malaysia selaras dengan kedudukan bahasa ini sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Frasa dan istilah bahasa-bahasa lain boleh digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian. Peserta yang mengemukakan soalan perlu diingatkan supaya menggunakan Bahasa Malaysia. Langkah ini sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Peserta akan dibenarkan mengambil foto (atau selfie) serta membuat rakaman audio dan visual (jika mahu) untuk tujuan akademik, rujukan, penulisan atau untuk disebarkan kepada umum atas tanggungjawab sendiri. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa forum yang dijalankan itu adalah aktiviti tertutup (closed door forum). Segala perkara yang diperkatakan semasa forum tertutup adalah bersifat ilmiah, akademik dan penyelidikan; serta mungkin tidak mampu difahami khalayak umum. Bayangkan jika forum tertutup ini dapat benar-benar dijalankan dalam skala kecil-kecilan pada 6 Julai 2014, genap dua bulan selepas seminar anti-Kristian di UiTM. Jika anda benar-benar berminat menjayakannya, hubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.         unnamed

]]>

Tuhan untukku, Allah milikmu?

Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” (2013). Buku berkenaan diedarkan secara percuma bersama-sama buku “Pendedahan Agenda Kristian” (2014) pada Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014. Wakil MAIS memberitahu wartawan The Malaysian Insider (25 Mei 2014) bahawa buku berkenaan hanya diedarkan kepada masyarakat Islam. Pada hakikatnya, ia diedarkan juga kepada peserta Kristian yang dipaksa menghadiri seminar berkenaan. Saya berpeluang membaca buku itu pada 30 Mei 2014 dan memperoleh pelbagai maklumat menarik. Memandangkan buku tersebut dalam Bahasa Inggeris, mungkin sebahagian khalayak sasaran menghadapi masalah untuk memahami kandungannya. Jika perkara itu berlaku, tentulah usaha dan niat murni MAIS menjadi sia-sia. Tambahan pula, dalam isu kalimah Allah yang menjadi fokus utama buku ini, MAIS menekankan bahawa “penggunaan perkataan Allah dalam Bible versi bahasa Melayu sebenarnya bertujuan memecah-belah (split) orang Melayu-Islam” (halaman 45). [caption id="attachment_3560" align="alignleft" width="300"]Buku ini perlu dibaca dengan teliti supaya tidak terkeliru. Buku ini perlu dibaca dengan teliti supaya tidak terkeliru.[/caption] Bab 3 dimulakan dengan penerangan kandungan Perkara 4 (1), Perkara 3 (1), Perkara 11 (1), Perkara 11 (4) dan Perkara 11 (5) dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia antara lain menyentuh kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, hak beragama, dan larangan menyebarkan agama-agama lain kepada orang Islam. Pembaca diingatkan (halaman 18) bahawa penyebaran agama-agama lain, termasuk pengedaran buku atau petikan ajaran selain Islam dalam Bahasa Malaysia kepada orang Islam, serta penggunaan perkataan-perkataan yang berasal daripada ajaran Islam adalah bertentangan dengan peruntukan perlembagaan negara. Turut ditekankan bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang Tidak Islam (Bukan Islam) melanggar Perkara 11 (4) kerana “Allah” dalam konteks keagamaan adalah milik eksklusif Islam. “Adalah menjadi penghinaan kepada Islam dan Muslim jika kalimah Allah disalahguna mengikut citarasa dan keinginan penganut agama lain,” kata MAIS sehingga membuatkan saya tertanya-tanya apakah saya yang tidak faham Perkara 11 (4) selama ini. Entah bagaimana MAIS berjaya mengaitkan kedua-duanya! Walau bagaimanapun, saya tidak mahu masuk campur dalam isu penggunaan kalimah Allah dalam akhbar mingguan The Herald kerana Mahkamah Persekutuan dijadualkan membuat keputusan kes pada 23 Jun 2014. Apa yang saya lakukan hanyalah memperkatakan, menghuraikan serta menterjemahkan sebahagian kandungan buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” demi manfaat sebahagian individu yang menghadiri seminar anti-Kristian pada 6 Mei 2014 tetapi menghadapi kesukaran memahami kandungan buku berkenaan. Umat Islam mudah dikelirukan orang Kristian? Sebenarnya, isu kalimah Allah bukan sesuatu yang baru. Mesyuarat Kabinet pada 16 Mei 1986 memutuskan bahawa kalimah Allah termasuk perkataan-perkataan yang dilarang penggunaannya oleh orang Tidak Islam (halaman 20). Selain daripada Allah, perkataan seperti baitullah, solat dan Kaabah turut digazetkan sebagai milik eksklusif orang Islam pada 5 Disember 1986. Keputusan sama khabarnya dipersetujui Mesyuarat Kabinet pada 18 Oktober 2006, 1 November 2006 dan 3 Januari 2008. Menurut MAIS, Majlis Fatwa Kebangsaan juga sudah membincangkan pada 5-7 Mei 2008 berhubung isu tuntutan orang Kristian mahu menggunakan kalimah Allah. Fatwa yang dikeluarkan adalah bahawa kalimah Allah merupakan eksklusif untuk Islam dan Muslim, serta tidak boleh digunakan oleh agama-agama lain. Antara penjelasan yang diberikan adalah bahawa kalimah Allah yang digunakan orang Islam adalah nama khas. Istilah Allah pula tidak pernah digunakan dalam bahasa asal Bible. Istilah yang digunakan dalam Bahasa Greek adalah Theos dan diterjemahkan sebagai God dalam Bahasa Inggeris. “Maka orang Kristian yang bertutur bahasa Melayu masih boleh mengamalkan agama mereka dengan menggunakan perkataan Tuhan tanpa perlu meminjam nama Allah Yang Maha Suci kerana tindakan itu menjadi satu bentuk penyalahgunaan nama Allah,” menurut penjelasan yang diberikan. [caption id="attachment_3559" align="alignleft" width="300"]Antara hujah yang digunakan oleh MAIS dalam buku ini. Antara hujah yang digunakan oleh MAIS dalam buku ini.[/caption] Turut dihujahkan bahawa kalimah Allah tidak pernah muncul dalam Old Testament (Torah) yang ditulis menggunakan Bahasa Hebrew dan New Testament (Bible) yang menggunakan Bahasa Greek. Perkataan yang digunakan bagi Tuhan adalah El, Eloah, Elohim dan YHWH. Apabila membaca segala maklumat dalam buku ini, pembaca pasti akan teringat akan hujah-hujah hampir sama dan serupa dalam kes mahkamah berhubung isu penggunaan kalimah Allah. Seolah-olah teks yang sama dikitar semula. Salah satu perkara yang boleh dianggap keterlaluan adalah sikap MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan yang terlalu obses terhadap apa yang mereka bayangkan sebagai “agenda kristianisasi”. Realiti takut akan bayang-bayang sendiri juga menjadi asas penerbitan buku “Pendedahan Agenda Kristian” yang boleh turut dijadikan “panduan untuk mereka yang mahu murtad” – rujuk “Buku MAIS boleh undang murtad” (Projek Dialog, 18 Mei 2014). Dalam buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” dinyatakan sekali lagi bahawa satu-satunya sebab orang Kristian mahu menggunakan kalimah Allah adalah untuk “mengelirukan orang Muslim” dan mengatakan bahawa semua agama adalah sama. Tuhan Maha Esa. Tidak ada dua. Saya tidak pasti jika ada pihak (termasuk MAIS) yang mahu berkata sebaliknya. Sebagai pengamal multifaith, saya juga menegaskan bahawa Tuhan Maha Esa. Tidak ada dua, tiga, empat, lima. Jangan sampai anggap ada Tuhan lain! Apabila sudah sah dan diakui bahawa Tuhan Maha Esa, mengapa pula ada pihak tertentu (yang mengakui keesaan Tuhan) tampil berhujah seolah-olah adalah lebih daripada satu Tuhan? Lebih menakutkan apabila mereka (yang mengakui keesaan Tuhan) tampil berkata “Tuhan awak tidak sama dengan Tuhan saya” seolah-olah ada lebih daripada satu Tuhan. Dalam menangani hal ini, jangan pula ada pihak yang terkeliru lalu berhujah bahawa “Tuhan awak tidak sama dengan Tuhan saya” sama maksudnya dengan pendirian “Bagiku agamaku, bagimu agamamu.” Kita perlu mampu memahami apa itu “Tuhan” dan apa itu “agama” sebelum membuka mulut. Berbalik kepada minat dan keghairahan MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan menghina dan memfitnah agama Kristian, perkara sama dilakukan di halaman 23. Disajikan tuduhan bahawa Bible telah diubah dan dipinda mengikut keinginan paderi Kristian, sehingga akhirnya orang Kristian tidak lagi tahu nama Tuhan mereka. Sekali lagi dikatakan bahawa niat orang Kristian menterjemah God sebagai Allah dalam Bible versi Bahasa Malaysia adalah supaya penganut Islam juga menjadi seperti mereka (orang Kristian) yang tidak tahu makna sebenar Tuhan. Tentu sahaja saya tidak berniat mempersoalkan bidang kuasa MAIS dan Majlis Fatwa Kebangsaan. Bagaimanapun, tentulah amat menyedihkan apabila Islam yang suci dicemari dengan tindakan pihak tertentu yang seolah-olah memperalatkan Islam dan Allah untuk menghina, memperlekeh, memperbodoh, memfitnah dan menyalahkan agama Kristian dan pengikut ajaran Krsitian. Sementara itu, Jawatankuasa Fatwa Selangor membuat keputusan berhubung isu kalimah Allah pada 10 Jun 2008 sebelum digazetkan pada 27 Januari 2010. Perkara itu khusus berkaitan “isu tuntutan hak orang Kristian menggunakan kalimah Allah”. Seksyen 9 dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 menyenaraikan sejumlah perkataan dan frasa Bahasa Arab yang tidak boleh digunakan oleh orang Tidak Islam di luar konteks Islam. Harap maklum bahawa peraturan itu sebenarnya bukan melarang atau mengharamkan terus penggunaan Allah, Illahi, rasul, nabi, dakwah, fatwa, wahyu, subhanallah, masya-Allah, alhamdulillah, insya-Allah dan sebagainya. [caption id="attachment_3561" align="alignleft" width="300"]Bab 3 melihat isu kalimah Allah dari sudut perundangan. Bab 3 melihat isu kalimah Allah dari sudut perundangan.[/caption] Sekiranya Seksyen 3 (kriteria menentukan sama ada seseorang itu Islam), Seksyen 4, Seksyen 5, Seksyen 6, Seksyen 7, Seksyen 8, Seksyen 10 dan Seksyen 12 dilihat bersama-sama Seksyen 9, maka kita akan lebih memahami perkara ini serta tidak mudah tertipu. Malah, Seksyen 9 (1) dan Seksyen 9 (2) menjelaskan bahawa tidak menjadi kesalahan jika seorang individu Tidak Islam menggunakan perkataan dan frasa “terlarang” itu dalam konteks agama Islam serta dalam bentuk petikan atau rujukan (quotation or reference). Pembaca sasaran (Melayu-Islam) serta orang ramai (Tidak Islam) yang berpeluang membaca buku “Obligation to Preserve the Sanctity of the Name Allah” wajar menghadam buku ini secara menyeluruh dan bijak supaya tidak tertipu, terkhilaf atau terpengaruh dengan agenda anti-Kristian yang seolah-olah menjadi asas kebanyakan buku terbitan MAIS. Insya-Allah kita tidak akan termasuk dalam golongan yang dimurkai dan dilaknati Allah.         unnamed

]]>

Dilema MAIS terhadap saudara Kristian

Pendedahan Agenda Kristian (2014). Buku berkenaan yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diedarkan secara percuma kepada para peserta “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Saya sudah selesai membaca Bab 5 (bab terakhir) dan ingin berkongsi pelbagai ilmu serta maklumat yang terkandung dalam bab berkenaan demi manfaat masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, mazhab dan kepercayaan di Malaysia. [caption id="attachment_3525" align="alignleft" width="300"]10388964_10152149113968990_1139270627_o Salinan buku diserah di IPD Shah Alam untuk membantu siasatan.[/caption] Tambahan pula, pada 20 Mei 2014, selepas pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk menyerahkan satu salinan fotokopi buku berkenaan bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan, saya singgah di pejabat MAIS di Seksyen 5, Shah Alam. Saya mendapat pengesahan bahawa seminar di UiTM tempoh hari bukan acara tertutup seperti dikatakan sesetengah pihak, tetapi terbuka kepada umum. Buku berkenaan pula biasanya hanya diedarkan (secara percuma) semasa MAIS mengendalikan program seperti ceramah dan seminar. Bagaimanapun, jika ada pihak yang berminat untuk mendapatkan buku tersebut (serta pelbagai bahan bacaan lain yang diterbitkan oleh MAIS), maka boleh sahaja mengemukakan permohonan menerusi surat rasmi dan pasti akan diberikan pertimbangan yang sewajarnya. Bagaimanapun, memandangkan bahawa ramai yang menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat berkaitan kandungan buku tersebut, eloklah saya berkongsi sebahagian daripada kandungannya di sini. Tambahan pula, buku itu sukar diperoleh di mana-mana. Orang ramai juga boleh membaca makalah bertajuk “Benarkah ini agenda Kristian?” (Projek Dialog, 16 Mei 2014) dan “Buku MAIS boleh undang murtad” (Projek Dialog, 18 Mei 2014) yang turut membicarakan sebahagian kandungan buku ini dari beberapa sudut. Bab 5 bertajuk “Cadangan Penyelesaian dan Tindakan untuk Menangani Agenda Kristian” dan dikatakan adalah “bab terpenting yang perlu diberi perhatian dalam memperkukuh kesatuan dan kekuatan pegangan umat Islam dalam menghadapi isu ini (agenda Kristian)” (halaman 109). Sikap sebenar Kristian, menurut pandangan MAIS Perkongsian ilmu, maklumat dan fakta daripada Bab 5 dirasakan amat perlu memandangkan MAIS dalam buku tersebut sudah mengakui bahawa “isu murtad di kalangan umat Islam di Malaysia telah sampai ke tahap kritikal malah dikhuatiri semakin bertambah setiap hari” (halaman 30). Dinyatakan bahawa Hindu, Buddha dan Kristian “menjadi pilihan untuk dianuti oleh Muslim di Malaysia yang murtad” tetapi “hanya Kristian yang didapati paling aktif menggerakkan usaha misionari untuk menarik penganut agama lain khususnya Islam menganut agama tersebut” (halaman 34). [caption id="attachment_3521" align="alignleft" width="300"]Bekas paderi dan biarawati palsu diundang beri ceramah. Bekas paderi dan biarawati palsu diundang beri ceramah.[/caption] Atas sebab itulah juga saya merasakan amat perlu untuk menyebar-luaskan kandungan Bab 5 buku Pendedahan Agenda Kristian kepada orang ramai. Saya tidak akan berpihak kepada sesiapa tetapi membiarkan pembaca membuat penilaian sendiri. Harus diakui bahawa buku ini agak sukar diperolehi buat masa sekarang – susulan laporan polis pada 8 Mei 2014 serta pembukaan fail siasatan kes oleh IPD Shah Alam pada 16 Mei 2014. Maka, saya akan membuat banyak petikan langsung daripada buku berkenaan tanpa ada sebarang niat melanggar Akta Hak Cipta dan hak moral MAIS selaku penerbit. Petikan kata demi kata (verbatim) juga bagi memastikan saya tidak terkhilaf atau tersalah tafsir maksud sebenar yang terkandung dalam buku. Enam kesimpulan berkaitan “sikap sebenar Kristian” dipaparkan pada hujung Bab 1 (halaman 16) seperti berikut: Nasrani (Kristian) adalah musuh Islam yang sentiasa berniat jahat serta memaparkan sikap negatif kepada umat Islam. Nasrani (Kristian) adalah pembawa berita pendustaan dan mereka sentiasa berusaha menyelewengkan fakta tentang kebenaran ajaran Islam. Nasrani (Kristian) akan berusaha sehabis mungkin untuk menimbulkan rasa sakit hati di kalangan umat Islam. Jalan keluar dari usaha dakyah Nasrani (Kristian) ialah dengan berhujah kepada mereka mengenai kebenaran Islam di samping memantapkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah SAW. Umat Islam mestilah bersikap tegas dan berhati-hati terhadap Nasrani (Kristian) serta tidak taat dan tidak menjadikan mereka sebagai pelindung/pemimpin/penjaga. Jika umat Islam alpa terhadap peranan hujah kebenaran dan ragu-ragu dengan Islam, mereka akan mudah terpengaruh dengan tipu daya Nasrani (Kristian). Manakala Bab 5 pula secara langsung mengemukakan pelbagai cadangan bagi penyelesaian dan tindakan untuk menangani apa yang dilabelkan oleh MAIS sebagai “agenda Kristian”. Evangelisme Kristian dituduh punca semua masalah Sebagai langkah muhasabah diri, umat Islam diseru supaya “melihat realiti umat dalam menghadapi cabaran agenda Kristian” berdasarkan lima urutan berikut: Kesedaran – Sejauh mana tahap kesedaran dan sensitiviti kita (umat Islam) dalam menghadapi isu ini (agenda Kristian)? Minat – Setakat mana kesediaan kita untuk menjaga kesucian akidah umat Islam? Kehendak – Pada tahap manakah kesungguhan kita untuk mempertahan kemuliaan agama Allah? Tindakan – Apakah tindakan yang telah kita ambil untuk menyuburkan dakwah dan mencegah anasir yang cuba meruntuhkan (Islam)? Susulan – Adakah kita bersedia secara proaktif untuk melakukan tindakan susulan bagi terus mempertahan kesucian akidah Islam? Ringkasnya, tugas-tugas di atas perlu dilakukan dari dalam (kalangan umat Islam sendiri) tanpa perlu menuding jari menyalahkan pihak luar (“musuh-musuh Islam” khasnya orang Kristian). Sekiranya akidah dan keimanan sudah utuh dan kukuh, datanglah apa-apa cabaran, umat Islam di Malaysia akan tetap berdiri teguh. [caption id="attachment_3524" align="alignleft" width="300"]MAIS menyeru umat Islam sentiasa waspada dengan agenda Kristian. MAIS menyeru umat Islam sentiasa waspada dengan agenda Kristian.[/caption] Apabila keimanan tidak kuat dan akidah tidak sempurna (iaitu masalah “dalaman” Islam dan bukannya masalah “dari luar”), barulah timbul beberapa isu seperti “mengiya dan sokong usaha musuh”, “tertipu dengan usaha musuh”, “meremeh usaha amar makruf dan nahi mungkar” serta “keliru dengan tindakan yang harus diambil” (halaman 110). Walau bagaimanapun, buku Pendedahan Agenda Kristian masih tetap dengan “misi” dan “niat” mahu meletakkan beban kesalahan atas bahu “agenda Kristian” (halaman 110-111). Umat Islam ditanya apakah mereka masih mahu bersangka baik dengan gerakan evangelisme Kristian. “Masih mahu membela evangelisme Kristian sedangkan Allah telah nyatakan mereka akan selama-lamanya tidak redha kepada orang Islam? Masih mahu berada di zon selesa dan yakin sepenuhnya tiada apa-apa yang mereka boleh lakukan?” Demikian antara pertanyaan kepada pembaca. Pada halaman 112-118, dikemukakan “tindakan untuk menghadapi agenda Kristian” yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan, institusi agama Islam (peringkat persekutuan dan negeri), institusi pengajian Islam, politikus Muslim, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, gerakan belia, pendakwah Islam, umat Islam dan Individu Muslim. Antara cadangan MAIS yang menarik perhatian saya adalah “mewujudkan dasar keharmonian antara Islam dan Kristian ke arah masyarakat majmuk yang harmoni” serta “meningkatkan elemen pendidikan seperti kempen dan program kepada masyarakat tentang kehidupan harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum”. Perlu sebar Islam kepada orang Kristian Hal di atas tentulah selaras dengan pengakuan MAIS bahawa “penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian” (halaman vii) dan “kami umat Islam di Malaysia tidak mahu memusuhi penganut agama Kristian” (halaman 120). Dalam pada itu, MAIS turut menggesa supaya “menggunakan pelbagai medium penyebaran seperti khutbah Jumaat untuk mendedahkan situasi sebenar masalah kristianisasi di kalangan umat Islam” serta “merangka modul pendidikan khas untuk sekolah agama berkaitan kesedaran kristianisasi”. Selain daripada “menjalankan penyelidikan tentang cara terbaik menangani usaha kristianisasi ke atas Muslim”, institusi pengajian Islam juga disaran “melahirkan pakar-pakar dalam bidang dakwah kepada golongan Kristian”. Tokoh ultra kiasu, Ridhuan Tee Abdullah menyatakan harapan agar “ada umat Islam yang boleh menyamar masuk ke gereja dan dengar apa yang dibincangkan” (Sinar Harian, 19 Mei 2014) kerana dia beranggapan orang Kristian tiada kerja selain menghina Islam. MAIS pula menerusi buku Pendedahan Agenda Kristian meminta NGO Islam “melakukan risikan dan berdakwah kepada gerakan Kristian” serta “menjadi feeder kepada kerajaan dan institusi agama untuk menghadapi dakyah Kristian”. [caption id="attachment_3523" align="alignleft" width="300"]10396500_10152149114258990_85601244_n (1) Penulis sempat berkunjung ke pejabat MAIS baru-baru ini.[/caption] Sebagai kesimpulan (halaman 119-120), salah satu perkara yang diingatkan kepada umat Islam di negara berpenduduk majmuk ini adalah supaya “waspada dengan taktik, cubaan dan strategi gerakan evangelisme Kristian yang sentiasa tidak reda dan berusaha untuk menghancurkan Islam selagi umat Islam tidak mengikut jejak langkah mereka”. MAIS ternyata “merasa terganggu oleh tindakan evangelis Kristian yang cuba memurtadkan umat Islam” walaupun “kami umat Islam di Malaysia tidak mahu memusuhi penganut agama Kristian” (halaman 120). Ada semacam dilema dan unsur ironi yang amat nyata. Sewaktu berkunjung ke pejabat MAIS pada 20 Mei 2014, saya dimaklumkan bahawa buku Pendedahan Agenda Kristian agak sulit (sukar) diedarkan sekarang berikutan isu seminar anti-Kristian di UiTM yang sedang hangat dan masih dalam siasatan polis. Dalam keadaan seperti itu, besarlah harapan saya bahawa makalah ringkas ini mampu membantu masyarakat memahami sebahagian kandungan buku berkenaan. Saya tidak mahu “menghukum” pada kali ini, sebaliknya menyerahkan kepada pembaca untuk mengemukakan pandangan balas.         unnamed

]]>