salam (keamanan). Itu antara perkara paling asas yang diketahui dan diakui oleh semua pada peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, nampak gayanya, keadaan sedikit berbeza dalam konteks di Malaysia kerana sentiasa ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencemarkan kesucian dan keindahan Islam dengan memanipulasi nama Islam itu sendiri.
Dalam perkembangan terkini – dan masih hangat – adalah isu “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 6 Mei 2014.
Seperti yang saya tegaskan dalam laporan polis pada 8 Mei 2014, sebagai pengamal multifaith (percaya pada ajaran semua agama), saya membidas kandungan seminar itu yang dijadikan platform mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan. Rujuk www.uthayasb.blogspot.com untuk maklumat lanjut.
Apabila saya berpeluang membaca buku Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan MAIS, perasaan saya amat terganggu. Seperti yang saya nyatakan dalam makalah bertajuk “Benarkah ini agenda Kristian?” (Projek Dialog, 16 Mei 2014), saya berjaya mendapatkan senaskhah buku itu pada 15 Mei 2014 dan terus membacanya dengan penuh teliti.
Perasaan saya terganggu bukan sahaja kerana buku itu berciri anti-Kristian serta boleh diklasifikasikan sebagai bahan bacaan berunsur fitnah terhadap ajaran Kristian dan penganut Kristian.
[caption id="attachment_3495" align="alignleft" width="300"] Salah satu laman yang dipromosikan MAIS dalam buku ini.[/caption]
Selain daripada itu, saya terasa amat bimbang kerana buku itu khabarnya telah diedarkan secara percuma kepada peserta – majoriti Melayu-Islam – yang menghadiri (atau dipaksa menghadiri) seminar berkenaan.
Saya mempunyai alasan untuk berasa khuatir bahawa buku Pendedahan Agenda Kristian boleh menjadi pencetus, pemangkin dan penggalak kepada lebih ramai orang Melayu meninggalkan agama Islam (murtad; daripada kata “riddah” dalam bahasa Arab) dan memilih untuk memeluk agama Kristian.
Selepas saya dan Perzeus James membuat laporan polis (8 Mei 2014), kami berdua diminta pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 Mei 2014 untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes.
Antara lain, kami menegaskan kepada pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Rohaini Baharom, bahawa penganjur dan penceramah seminar itu perlu disiasat mengikut Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan kerana menggalakkan perpecahan, permusuhan, ketidak harmonian dan kebencian dengan menggunakan alasan agama.
Nampaknya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu diminta segera mengkaji buku Pendedahan Agenda Kristian yang dikhuatiri menyelitkan “agenda” tersembunyi “memudahkan” orang Islam murtad!
Punca orang Melayu keluar Islam
Dalam pada Jakim dan KDN “meraikan kejayaan” mengharamkan novel Perempuan Nan Bercinta (2012) karya Faisal Tehrani hampir dua tahun selepas ia diterbitkan (dan khabarnya sudah habis dijual dan dibaca orang), jangan sampai buku “panduan untuk murtad” seperti ini terlepas daripada radar.
Sesungguhnya Pendedahan Agenda Kristian adalah sebuah buku yang berciri anti-Kristian, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat, mengancam ketenteraman awam, berniat jahat, berunsur fitnah dan mengandungi anasir-anasir yang mampu menghancurkan keharmonian rakyat pelbagai kaum, agama, etnik, kepercayaan dan mazhab di Malaysia.
Seperti dinyatakan dalam buku itu sendiri, “tindakan memurtadkan umat Islam walau dengan apa alasan sekalipun adalah sesuatu perkara yang tidak wajar.” Anehnya, terdapat banyak unsur “galakan murtad” dalam buku ini sendiri!
“Isu murtad di kalangan umat Islam di Malaysia telah sampai ke tahap kritikal malah dikhuatiri semakin bertambah setiap hari. Gejala ini memberi gambaran kepada kita bahawa semakin ramai umat Islam telah terpesong daripada ajaran Islam sebenar selain kekuatan Islam di Malaysia semakin tergugat oleh pelbagai anasir dalaman atau luaran.”
Petikan di atas (daripada halaman 30 buku berkenaan) benar-benar merisaukan saya dan membuatkan saya khuatir akan kesan psikologi yang akan dirasai oleh generasi muda Melayu-Islam yang memiliki “kejahilan” dan “keinginan meneroka perkara baru” (halaman 31).
Sejak kecil hingga sekarang, saya tidak pernah membayangkan ada orang Melayu-Islam yang sanggup meninggalkan segala keistimewaan, kemewahan dan peluang khas yang dimiliki (seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan) semata-mata kerana terpengaruh dengan “gelombang murtad” iaitu “gejala yang semakin menular”. Tambahan pula, murtad dikira sebagai jenayah berat dalam Islam.
Bagaimanapun, buku Pendedahan Agenda Kristian seolah-olah tampil “mengajar” pelbagai teknik dan taktik yang boleh ditangani untuk kekal murtad tanpa perlu kehilangan apa-apa kemewahan dan hak istimewa yang diperolehi sebagai Bumiputera dan Melayu-Islam.
[caption id="attachment_3494" align="alignleft" width="300"]
Kisah menarik bagaimana Jamaluddin menjadi paderi Melayu pertama.[/caption]
Buku ini turut mengakui wujud “kelalaian dan kelemahan jatidiri umat Islam” termasuk faktor-faktor luaran seperti “ujian kebendaan, kelemahan penguatkuasaan, desakan hidup, perkahwinan, kelemahan ummah” selain “usaha mubaligh agama lain”.
Orang Melayu yang ada “niat” untuk murtad mungkin tidak sanggup berbuat demikian selama ini kerana “Mahkamah Syariah mengharamkan seseorang Muslim keluar daripada agama Islam (murtad) berdasarkan peruntukan undang-undang Islam” (halaman 38).
Bagaimanapun, kalau mereka berpeluang membaca buku ini, saya khuatir, bimbang dan gelisah bahawa mereka akan mendapat “semangat baru”. Apa tidaknya! Buku ini “mengajar” apa yang pernah dan boleh dilakukan secara langkah demi langkah (step by step).
Diterangkan dalam buku ini (halaman 35) mengenai “kejayaan” Jamaluddin Osman @ Joshua Jamaluddin dilantik menjadi Paderi Melayu pertama di Petaling Jaya pada tahun 1987.
Kes-kes yang menaikkan semangat!
“Beliau pernah ditahan ISA. Tetapi pihak gereja, beberapa NGO, beberapa pemimpin politik dan Majlis Peguam pernah membantah dan mencabar kes berkenaan di mahkamah. Father Joshua Jamaluddin memiliki iras Melayu dan berpakaian seperti Melayu kini lepas bebas untuk menggerakkan program kristianisasi terhadap umat Islam.”
Harap maklum bahawa perenggan di atas bukan daripada sebuah buku dakwah mubaligh Kristian, tetapi daripada sebuah buku terbitan MAIS yang diedarkan secara percuma kepada orang ramai (Islam) semasa seminar anti-Kristian di UiTM.
Tidak mustahil bahawa “semakin ramai umat Islam (yang) telah terpesong daripada ajaran Islam sebenar” (halaman 30) akan berasa kagum membaca kisah kejayaan Father Joshua Jamaluddin yang “kini lepas bebas”. Mungkin mereka tidak pernah tahu mengenai perkara ini tetapi kini mereka sudah tahu secara jelas dan mendalam.
Jangan lupa bahawa “kempen Kristianisasi” ini bukan dilakukan mubaligh Kristian, sebaliknya menerusi sebuah buku terbitan MAIS. Sementara UiTM menganjurkan seminar anti-Kristian, MAIS pula seolah-olah mengambil peluang mengedarkan buku “panduan untuk murtad” kepada peserta yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.
[caption id="attachment_3491" align="alignleft" width="300"]
Kes Lina Joy dan Nor Aishah boleh dijadikan “panduan” untuk murtad.[/caption]
Kes Lina Joy dihuraikan dalam bentuk isi-isi penting yang mudah dibaca dan difahami (halaman 36-41). Kalaulah saya seorang Melayu-Islam dan saya bercadang untuk murtad – tanpa “dipengaruhi” orang Kristian – maka banyak panduan berguna yang boleh saya pelajari dengan membaca buku Pendedahan Agenda Kristian.
Bayangkan bahawa saya (andaikan saya Melayu-Islam) seorang pelajar yang menghadiri “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” pada 6 Mei 2014 dan menerima senaskhah buku berkenaan yang diedarkan secara percuma oleh MAIS.
Ibu bapa saya pasti tidak menghalang saya membaca buku itu; malah mungkin berasa bangga melihat anak mereka sudah mula membaca buku-buku “agama” terbitan MAIS selepas menghadiri seminar anti-Kristian anjuran UiTM.
Kes Aishah Bokhari (halaman 42-46) mungkin akan menambah semangat dan keyakinan saya bahawa ada pelbagai pihak (NGO, peguam dan sebagainya) yang akan tampil “membantu” saya sekiranya saya memutuskan untuk meninggalkan agama Islam (murtad).
Pada halaman 47, dinyatakan bahawa salah satu kesan daripada kes Lina Joy dan Aishah Bokhari adalah “buka peluang kes baharu dan tambah keberanian yang telah murtad” walaupun mengikut hukum syarak, “pesalah murtad boleh dikenakan hukuman bunuh” (halaman 30).
Pada penelitian saya sebagai seorang pengamal media, “impak dan kesan ke atas umat Islam” seperti yang dikhuatiri itu sebenarnya turut dibawakan menerusi buku Pendedahan Agenda Kristian terbitan MAIS. Tambahan pula, buku ini ditulis menggunakan Bahasa Malaysia yang amat mudah dibaca dan difahami orang Melayu.
(Soal bahasa terpaksa diungkitkan di sini kerana terdapat kes buku tulisan Charles Darwin dan Karen Armstrong dalam versi Bahasa Inggeris dibiarkan tetapi terjemahan Bahasa Malaysia diharamkan oleh KDN di negara bertuah ini.)
Jakim, KDN elok siasat sebelum terlewat
[caption id="attachment_3492" align="alignleft" width="300"]
Buku ini wajar diteliti oleh Jakim dan KDN kerana mungkin boleh menyesatkan orang Islam.[/caption]
Memandangkan bahawa kini terdapat capaian internet di mana-mana, MAIS seolah-olah tidak lupa “membuka ruang dan peluang” kepada orang Melayu-Islam yang mungkin mahu mendapatkan lebih banyak maklumat dan “panduan untuk murtad” dari seluruh dunia.
Mereka hanya perlu mendapatkan beberapa pautan (link) yang dipromosikan dalam buku ini (halaman 48-52) untuk tahu bahawa mereka tidak sendirian dalam “perjuangan” mereka untuk meninggalkan agama Islam!
Malah, MAIS secara penuh licik memberikan pautan bagi sebuah laman “yang ditubuhkan untuk membela golongan murtad yang ingin melarikan diri ke luar negara setelah murtad”. Sekali lagi, harap maklum bahawa pautan itu bukan diberikan oleh “mubaligh Kristian” dan “musuh-musuh Islam”.
Melalui buku Bahasa Malaysia ini juga, saya (bayangkan bahawa saya orang Melayu-Islam yang tidak tahu Bahasa Inggeris) berjaya memahami sepenuhnya makna “evangelisme”.
Saya difahamkan – oleh MAIS – bahawa “agama Kristian adalah agama misionari, yang meletakkan statusnya sebagai agama universal. Ajarannya menetapkan bahawa agama ini mesti disebarkan ke seluruh umat manusia.”
Menerusi buku ini juga (halaman 58-59), orang Melayu mungkin menjadi amat kagum dengan semangat para penganut Kristian yang “perlu menyediakan prasarana misionari mubaligh seperti penyebar agama, bahan, sasaran fokus dan cara penyebaran.”
Pelbagai artikel berkaitan agama Kristian dalam Bahasa Inggeris diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia untuk dimuatkan dalam buku ini sehingga mampu membuatkan pembaca Melayu-Islam (yang tidak tahu Bahasa Inggeris sekalipun) kagum dengan gerakan mubaligh Kristian yang amat profesional, tahan lasak dan intelektual.
[caption id="attachment_3493" align="alignleft" width="300"]
Pembaca akan lebih memahami dan kagum dengan gerakan mubaligh Kristian.[/caption]
Malah, dikemukakan pelbagai “penyamaran” yang boleh dimanfaatkan oleh orang Melayu yang sudah meninggalkan Islam dan memeluk Kristian secara senyap-senyap. Ada pelbagai idea yang mungkin tidak pernah kita terfikir selama ini. MAIS memang hebat, bijak dan licik dalam “menyampaikan maklumat berguna” berhubung perkara ini.
Ingat: Segala maklumat dan “panduan untuk murtad” itu bukan disebarkan kepada anda oleh orang Kristian dan “musuh-musuh Islam” tetapi oleh sebuah pertubuhan Islam. Dan saya mungkin dipersalahkan kerana melakukan pendedahan ini serta meluahkan kekhuatiran saya secara terbuka.
Buat masa ini, buku Pendedahan Agenda Kristian tidak diharamkan oleh Jakim dan KDN. Maka bayangkanlah bahawa orang Melayu-Islam bebas membacanya secara berani di tempat terbuka untuk mendapatkan “panduan untuk murtad”.
Perkara ini amat merisaukan saya. Besarlah harapan saya bahawa Jakim dan KDN akan menganggap makalah ini sebagai aduan rasmi daripada seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, lalu mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung gejala murtad dalam kalangan orang Melayu.
Benarkah ini agenda Kristian?
Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) boleh diterima bulat-bulat sebagai fakta, maka hakikat yang sedang berlaku di depan mata adalah situasi di mana semakin ramai umat Islam sudah terpesong daripada ajaran Islam sebenar.
Selain daripada itu, kekuatan umat Islam di Malaysia semakin tergugat dan isu murtad sudah sampai ke tahap kritikal serta semakin bertambah setiap hari. Agama-agama yang menjadi pilihan mereka yang “keluar Islam” adalah Hindu, Buddha dan Kristian.
Maklumat di atas bukan rekaan tetapi dipetik daripada buku berkenaan yang diedarkan secara percuma kepada sekitar 1,000 pelajar universiti, pelajar sekolah menengah dan masyarakat pelbagai kaum dan agama yang menghadiri (atau dipaksa menghadiri) “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 6 Mei 2014.
Seminar itu khabarnya anjuran bersama Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Warisan Ibnu Aaby dan MAIS dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Media Karangkraf, TV Al-Hijrah, Kumpulan Zikay dan Kumpulan Pantai Bharu.
Makalah saya bertajuk “Dilema Melayu, Cina, India” disiarkan di Projek Dialog pada 16 April 2014. Dalam makalah berkenaan, saya memetik kata-kata AB Sulaiman, penulis buku Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013) yang berhujah bahawa “There is no such thing as a Malay race”.
Lalu saya dihubungi wakil suatu kelompok yang menggelarkan diri mereka sebagai “The Patriot” dan membidas saya dengan alasan bahawa apabila saya memetik hujah Sulaiman, maknanya saya menyokong dan bersetuju dengan pandangan beliau.
Memandangkan mungkin ada wakil puak-puak “kurang cerdik” yang membaca makalah ini, maka biarlah saya nyatakan secara terang-terangan (black and white) bahawa pandangan MAIS serta maklumat daripada buku Pendedahan Agenda Kristian yang dipetik dalam makalah ini tidak semestinya mewakili pandangan saya.
Pelbagai maklumat serta berita mengenai buku ini disiarkan di portal berita dalam talian dan laman rangkaian sosial (khususnya Facebook) sejak ia diedarkan kepada peserta seminar pada 6 Mei 2014.
Dakwah Islam VS dakyah Kristian?
Kesimpulan keseluruhan bagi bab pertama terdapat di halaman 16. Ramai yang mengambil foto halaman itu untuk dipaparkan menerusi Facebook. Enam kesimpulan yang dinyatakan adalah seperti berikut:
Nasrani (Kristian) adalah musuh Islam yang sentiasa berniat jahat serta memaparkan sikap negatif kepada umat Islam.
Nasrani (Kristian) adalah pembawa berita pendustaan dan mereka sentiasa berusaha menyelewengkan fakta tentang kebenaran ajaran Islam.
Nasrani (Kristian) akan berusaha sehabis mungkin untuk menimbulkan rasa sakit hati di kalangan umat Islam.
Jalan keluar dari usaha dakyah Nasrani (Kristian) ialah dengan berhujah kepada mereka mengenai kebenaran Islam di samping memantapkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah SAW.
Umat Islam mestilah bersikap tegas dan berhati-hati terhadap Nasrani (Kristian) serta tidak taat dan tidak menjadikan mereka sebagai pelindung/pemimpin/penjaga.
Jika umat Islam alpa terhadap peranan hujah kebenaran dan ragu-ragu dengan Islam, mereka akan mudah terpengaruh dengan tipu daya Nasrani (Kristian).
[caption id="attachment_3483" align="alignleft" width="300"] Kesimpulan yang pasti menyentuh sensitiviti umat Bukan Islam.[/caption]
Bab kedua membantu pembaca pelbagai kaum dan agama – memandangkan buku ini ditulis menggunakan Bahasa Malaysia – untuk memahami secara mendalam mengenai gerakan evangelisme.
Saya berjaya mendapatkan senaskhah buku Pendedahan Agenda Kristian pada 15 Mei 2014 dan terus meluangkan masa membacanya dengan penuh minat dan rasa ingin tahu. Buku Syiah pun saya baca, inikan pula buku yang tidak diharamkan.
Tambahan pula, ia bukannya buku dari luar (Indonesia atau Somalia, misalnya) tetapi terbitan di Malaysia sendiri, di mana kita amat memahami serta menghormati sensitiviti kaum dan agama. Di mana sekitar 61.3 peratus penduduk beragama Islam, 19.8 peratus beragama Buddha, 9.2 peratus Kristian dan 6.3 peratus Hindu.
Buku itu menghuraikan bahawa gerakan evangelisme di bawah mazhab Evangelical memfokuskan usaha penyebaran agama Kristian melalui pelbagai cara dan pendekatan termasuk usaha yang bersifat serangan.
“Gerakan usaha evangelisme ini menuntut komitmen yang tinggi dalam diri pendakyah Kristian, persiapan yang rapi (dari) segi fizikal, mental dan rohani serta strategi pendekatan yang betul,” kata buku itu.
Sebagai pengamal multifaith (percaya pada ajaran semua agama), berdasarkan maklumat dalam buku Pendedahan Agenda Kristian, saya mendapati ada banyak persamaan antara gerakan yang dilakukan oleh orang Islam dan Kristian.
Tambahan pula, kedua-duanya memang agama yang berdakwah. Perbezaan yang nyata hanyalah apabila MAIS menggunakan istilah “dakwah” bagi Islam dan “dakyah” bagi Kristian.
Pengerusi MAIS, Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dalam kata-kata aluannya menjelaskan bahawa penulis buku berkenaan adalah “berdasarkan dalil nas al-Qur’an dan hadis” dalam usaha “memberi petunjuk kepada umat Islam tentang sikap sebenar golongan Nasrani dan Kristian terhadap Islam”.
Kristianisasi punca orang Melayu murtad?
Pada bahagian pengenalan, dinyatakan bahawa penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian, sebaliknya menghuraikan elemen gerakan kristianisasi yang wajar diberikan perhatian oleh umat Islam.
Kristianisasi dikatakan menjadi punca utama kes murtad dalam kalangan orang Islam. “Jenayah ini ibarat menculik anak orang lain dari rumah mereka dan mengajarkan kepada anak itu bahawa ibubapa [sic] mereka tidak benar,” kata buku itu.
Buku terbitan MAIS ini yang diedarkan kepada peserta pelbagai agama semasa seminar (6 Mei 2014) mengingatkan bahawa umat Islam perlu sentiasa berhati-hati dengan tindak-tanduk golongan Kristian.
“Umat Islam juga perlu mengelak daripada terjebak dalam perangkap samar yang sentiasa dipasang oleh pihak yang mengambil kesempatan menangguk di aur yang keruh untuk memecahbelahkan [sic] kesatuan umat yang akhirnya menguntungkan golongan Kristian secara tidak langsung.” Demikian dinyatakan dalam buku berkenaan.
Bab 3 antara lain berusaha menunjukkan kaitan antara kes murtad dan usaha kristianisasi. Bagaimanapun, diakui bahawa ada faktor dalaman dan faktor luaran yang menjadi punca gejala murtad semakin menular.
Faktor dalaman adalah kejahilan serta keinginan meneroka perkara baru. Faktor luaran yang disenaraikan adalah ujian kebendaan, kelemahan penguatkuasaan, desakan hidup, perkahwinan, kelemahan ummah dan usaha mubaligh agama lain.
[caption id="attachment_3484" align="alignleft" width="300"]
Orang Kristian dikatakan ada agenda jahat.[/caption]
Tidak perlulah saya menghuraikan faktor-faktor di atas. Sesungguhnya orang ramai (yang waras sahaja) boleh melihat dan memahami sendiri apakah benar dakwaan bahawa gerakan kristianisasi dan agenda Kristian yang menjadi punca utama murtad dalam kalangan orang Islam atau “kelemahan” sendiri.
Makalah ini tidak bertujuan menghukum sesiapa atau mana-mana pihak. Bukan juga bermakna saya “menyokong” atau “sependapat” dengan MAIS semata-mata kerana saya memetik kandungan buku terbitannya. (Ahli “The Patriot” dan kelompok kurang cerdik, sila ambil maklum.)
Walaupun buku Pendedahan Agenda Kristian diedarkan secara percuma kepada peserta Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara, memang sukar untuk “melihat” buku ini di mana-mana. Hal ini nyata apabila ramai yang bertanyakan buku ini menerusi Facebook tetapi hampir tiada sesiapa yang mengaku memilikinya.
Maka, makalah ini sekadar bertujuan menghuraikan secara ringkas sebahagian kandungan buku ini demi manfaat bersama khalayak pelbagai kaum, etnik, agama, mazhab dan kepercayaan.
Tambahan pula, buku ini turut menyentuh mengenai “Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian” (walaupun setahu kita, “Cina” bukan agama). Biarlah semua orang tahu mengenai kandungan buku ini yang sedang hangat diperkatakan.
Tentu MAIS gembira kerana selain daripada sekadar sekitar 1,000 peserta yang menghadiri seminar anti-Kristian di UiTM, kini kandungan serta mesej buku Pendedahan Agenda Kristian sudah disebarkan ke seluruh dunia menerusi makalah ini.
Usaha lupa: “Penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian,” seperti kata penerbit.
Dilema sekelompok Melayu
Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013) terpaksa diakui kebenarannya.
Apabila saya menulis makalah “Dilema Melayu, Cina, India” (Projek Dialog, 16 April 2014) serta memetik beberapa pandangan Sulaiman, saya mengandaikan akan ada hujah balas yang rasional dan bernas daripada pembaca untuk menafikan kata-kata ilmuan berumur 71 tahun itu.
Akan tetapi, ternyata masih wujud sekelompok kecil manusia yang kurang mampu membaca – bukan sekadar mengeja-eja dan mengeluarkan suara – lalu memutar-belitkan fakta sehingga komen-komen yang disebarkan menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook tersasar jauh dari topik asal.
Saya hanya mampu menepuk dahi dengan penuh kecewa apabila kesimpulan yang dibuat oleh beberapa kelompok manusia daripada makalah berkenaan adalah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”.
[caption id="attachment_3357" align="alignleft" width="300"] Berapa ramai yang membaca buku ini sebelum komen?[/caption]
Lebih menarik apabila ada pula puak tertentu yang sekadar membaca kesimpulan itu dan mula kecoh secara berlebih-lebihan tanpa ada kemampuan membaca makalah asal. Apatah lagi kemampuan membaca buku tulisan Sulaiman.
Sayang seribu kali sayang. Ada sekumpulan kecil manusia yang tidak cukup pandai untuk membezakan antara “hujah Uthaya Sankar SB” dan “hujah AB Sulaiman”. Maka, seluruh hujah balas (reaksi) menjadi tidak logik dan sekadar merapu.
Bayangkan bahawa seseorang berada di Kuala Lumpur dan mahu memandu ke Perlis menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan. Dia terus memandu menuju ke Seremban dan tertanya-tanya mengapa tidak ada papan tanda menunjukkan arah Perlis. Dia terus memandu hingga ke Johor Bahru tetapi tetap mengatakan bahawa dia mahu pergi ke Perlis.
Saya sudah menegaskan pada ayat terakhir dalam makalah itu sendiri: “… saya berharap topik yang diketengahkan di sini akan mendapat reaksi pelbagai pihak berasaskan pemikiran rasional dan hujah berbentuk fakta ke arah memulakan dialog sihat.”
Maka, apabila diberitahu bahawa ada beberapa pandangan sedang disebarkan menerusi laman rangkaian sosial, saya teruja kerana mengharapkan serta mengandaikan bahawa akan ada dialog yang intelektual.
Malangnya, apa yang saya temui hanyalah komen-komen merapu yang tidak sedikit pun mengembangkan minda. Sebaliknya, reaksi penuh emosional yang sesungguhnya membuktikan segala hujah serta pandangan yang dikemukakan oleh Sulaiman menerusi bukunya.
Cuba menegakkan benang yang basah
Anehnya, apabila ada orang tampil mengemukakan komen yang intelektual dan rasional serta ternyata memahami kandungan sebenar makalah saya, mereka pula menjadi sasaran kelompok “minda tertutup” yang tidak mahu mengizinkan akal (Arab) dan budi (Sanskrit) mengatasi emosi negatif sedang mereka sebarkan.
Bayangkanlah hakikat bahawa saya hanya memetik satu bahagian kecil daripada buku Sensitive Truths in Malaysia tetapi reaksi yang tersebar di ruang siber sudah lebih daripada mencukupi untuk menunjukkan memang wujud sekelompok kecil manusia (bukan semua) sebagaimana digambarkan oleh Sulaiman. Ya, ternyata bukan imaginasi penulis semata-mata!
“There is no such thing as a Malay race,” kata Sulaiman, penulis, ilmuan dan pengkaji berumur 71 tahun itu dalam bukunya. Pada pandangan beliau, “kaum Melayu” tidak wujud. Mengulas lebih lanjut, Sulaiman mengakui bahawa hujah dan pandangan ini pasti membuatkan Perkasa, Umno dan puak etnosentrik marah dan kecewa.
Demikian salah satu petikan dalam makalah saya yang ternyata menimbulkan kemarahan sekelompok kecil warga siber dan keyboard warriors. Tetapi ingat! Majoriti kelompok itu yang berkongsi komen penuh emosional tidak pula mengambil inisiatif membaca keseluruhan makalah asal yang saya tulis.
Salah satu komen panjang yang sempat saya baca dimulakan dengan premis “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”. Dari mula hingga akhir komen panjang-lebar itu, itulah benang basah yang cuba ditegakkan.
Lebih menyedihkan (kerana saya telah mengharapkan komen dan dialog intelektual) apabila rata-rata orang yang membaca komen panjang-lebar itu pula terus mempercayai sepenuhnya hujah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud” lalu tampil sebagai “serikandi Melayu” untuk berhujah penuh emosional; kononnya demi mempertahankan maruah kaum, bangsa dan agama.
[caption id="attachment_3359" align="alignleft" width="300"]
Topik mengenai “Melayu” terus diperdebatkan.[/caption]
Apabila saya memetik pandangan Sulaiman dalam makalah yang membicarakan dilema orang Melayu, Cina dan India, salah satu harapan saya adalah supaya khalayak (khususnya khalayak sasaran buku itu, iaitu orang Melayu) mencari, meneliti, membaca dan memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis berkenaan sehingga beliau berani berkata “There is no such thing as a Malay race.”
Malangnya, mungkin kerana buku berkenaan ditulis menggunakan Bahasa Inggeris (“bahasa penjajah”) maka diabaikan begitu sahaja. Tanpa disedari, salah satu “sikap Melayu” yang disebutkan oleh Sulaiman dalam bukunya sudah terbukti benar dalam kelompok kecil ini.
Lebih menarik apabila makalah asal saya di Projek Dialog juga tidak dibaca. Kalaulah dibaca, tentu kelompok kecil yang “menyalak bukit” itu akan sedar bahawa “we are barking up the wrong tree” – mereka sedang menyalak ke arah pokok yang salah.
(Oh, ya! Pasti selepas ini akan dijadikan isu oleh sekelompok kecil manusia kononnya “Uthaya samakan bangsa Melayu dengan anjing” semata-mata kerana saya menggunakan peribahasa Melayu dan Inggeris pada perenggan di atas. Sekali gus terus membuktikan satu lagi hujah Sulaiman dalam bukunya.)
Komen emosional, tidak rasional
Kalaulah kelompok kecil manusia yang penuh emosional itu berpeluang membaca makalah asal saya, tentu mereka akan faham apa yang sebenarnya diperkatakan. Tidak perlulah saya menerangkan satu per satu di sini kerana perbuatan itu hanya akan membuktikan hakikat mengenai daya intelektual sekelompok kecil orang Melayu sebagaimana diperkatakan oleh Sulaiman.
Sesiapa yang membaca makalah asal saya akan tahu (kecuali mereka memilih untuk berpura-pura tidak tahu) bahawa pandangan “kaum Melayu tidak wujud” dikemukakan oleh Sulaiman dalam bukunya. Saya memetik pandangan itu antara lain untuk menunjukkan contoh dilema dalam kalangan orang Melayu.
Malangnya, sekelompok kecil manusia yang disifatkan oleh Sulaiman sebagai bersifat etnosentrik, memiliki minda tertutup, bersikap seperti katak di bawah tempurung serta tidak mahu berfikir secara rasional memilih untuk hanya berpegang pada hujah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud” yang dikemukakan oleh beberapa “serikandi Melayu” menerusi komen merapu di ruang siber.
Sebagai penulis makalah dan sebahagian keluarga Projek Dialog yang mengimpikan dialog, perbahasan, hujah dan komen intelektual yang membina minda, tentulah saya berasa amat sedih kerana apa yang berlaku hanyalah komen-komen emosional yang tidak lain dan tidak bukan sekadar mengukuhkan lagi pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh Sulaiman dalam bukunya.
(Buku Bahasa Inggeris itu masih berada dalam pasaran serta boleh dibeli dan dibaca oleh sesiapa yang benar-benar berminat. Maka tidak perlulah saya menterjemahkan keseluruhan kandungan buku itu di sini.)
Salah seorang individu yang terbaca sebahagian komen-komen di ruang siber telah mengirimkan pautan kepada saya menerusi mesej peribadi di Facebook. Selepas pergi laman berkenaan dan membaca komen-komen merapu berasaskan premis “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”, saya meluahkan rasa kecewa kepada individu berkenaan.
Saya katakan bahawa rata-rata komen di pautan berkenaan hanya menguatkan hujah Sulaiman mengenai mentaliti, pemikiran dan intelektualiti sekelompok orang Melayu. Saya tegaskan juga bahawa orang yang mengatakan “kaum Melayu tidak wujud” adalah Sulaiman.
“Saudara telah memetik kata-kata itu dalam makalah, maka kami berhak untuk mengatakan bahawa itu adalah hujah saudara juga dan saudara pasti setuju dengan pandangan Sulaiman,” jawabnya dan saya terkedu.
Sulaiman benar sekali lagi! Malah, penulis itu mengatakan “kaum Melayu tidak wujud” dan bukannya “bangsa Melayu tidak wujud” atau “keturunan Melayu tidak wujud” atau “orang Melayu tidak wujud” atau “Kepulauan Melayu tidak wujud”.
Menerusi makalah saya, diperkatakan mengenai dilema serta kekeliruan yang dihadapi orang Melayu, Cina dan India di Malaysia (ulang: di Malaysia) berikutan penggunaan “keturunan”, “kaum” dan “bangsa”. Tidak tahu pula di mana saya menafikan kewujudan orang Melayu.
Silogisme Sulaiman ternyata benar
Sulaiman memberikan beberapa contoh silogisme (syllogism) dalam bukunya. Salah satu: “The Malay is Muslim. Only Muslims go to Heaven. Therefore the Malay goes to Heaven.”
Reaksi merapu yang tersebar selepas makalah saya tersiar boleh disimpulkan menerusi silogisme seperti berikut: “Sulaiman says the Malay race does not exist. Uthaya quoted Sulaiman in his article. Therefore Uthaya says the Malay race does not exist.”
Kalaulah saya menafikan kewujudan orang Melayu, mengapa pula saya menulis sekian banyak makalah khusus mengenai orang Melayu? Misalnya “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013) dan “Perihal Raja-raja Melayu” (Projek Dialog, 5 November 2013).
Makalah “Kisah Tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) menegaskan bahawa Malayu/Melayu telah wujud di Nusantara (Kepulauan Melayu) jauh sebelum kedatangan Islam. Akan tetapi, seperti yang dapat diduga, makalah itu juga menimbulkan kemarahan sekelompok kecil manusia.
Semasa membaca buku tulisan Sulaiman, saya tersenyum lucu apabila beliau membandingkan kelompok “bodoh sepat” (pura-pura bodoh) dengan kelompok “bodoh sombong” (terlalu bodoh sehingga tidak sedar dirinya bodoh). Apabila membaca segala komen merapu di ruang siber mengenai makalah saya, saya terkedu memikirkan kebenaran kata-kata itu.
Mujurlah rata-rata orang Melayu yang saya kenali tidak termasuk dalam kelompok kecil seperti yang dikritik oleh Sulaiman menerusi bukunya. Rata-rata orang Melayu yang saya kenali tidak akan dipengaruhi emosi dan terus melenting tanpa membaca makalah asal serta buku yang menjadi rujukan.
Malangnya, dalam realiti, tidak semua orang sehebat dan sebijak rakan-rakan dan saudara-mara Melayu-Islam yang saya kenali dalam kehidupan seharian. Sebagaimana dalam mana-mana kaum, ras, etnik dan bangsa, akan tetap ada sekelompok kecil manusia yang memenuhi hampir kesemua ciri yang diketengahkan oleh Sulaiman dengan penuh berani dalam bukunya.
[caption id="attachment_3358" align="alignleft" width="300"]
Salah satu pandangan yang dikongsi di ruang siber.[/caption]
Satu-satunya komen agak intelektual yang sempat saya baca (sehingga makalan ini ditulis) adalah apa yang dikemukakan secara kolektif oleh suatu kelompok yang menggelarkan diri mereka “The Patriot”. Terima kasih kepada seorang individu bernama Helmi Effendy yang mengirimkan pautan berkenaan.
Tajuk “Melayu itu bangsa yang tidak wujud – Uthaya Sankar SB” serta pelbagai hujah tetap merupakan premis yang tersasar jauh. Akan tetapi, saya cukup gembira kerana banyak “pendedahan” yang mereka lakukan mengenai orang Melayu menerusi tulisan berkenaan dan pasti bermanfaat dalam mengatasi dilema Melayu.
Dalam pada itu, saya masih optimis bahawa akan ada dialog, perbahasan dan komen intelektual dan rasional daripada khalayak pembaca pelbagai lapisan selepas membaca buku Bahasa Inggeris oleh Sulaiman. Atau sekurang-kurangnya selepas membaca dengan teliti makalah saya yang ditulis menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah difahami oleh semua.
Dilema Melayu, Cina, India
Asal-usul orang Melayu masih menjadi topik sensitif untuk dibincangkan.[/caption]
Bercakap tentang istilah “bangsa”, orang Cina di negara bertuah ini selalu dilabelkan sebagai “bangsa Cina”. Mujurlah juga kerana terdapat perbezaan ejaan antara “Cina” (orang) dan “China” (negara).
Bagi orang India pula, pasti timbul kekeliruan apabila mereka digelar sebagai “bangsa India” kerana terdapat negara bernama “India”. Mungkin sahaja orang Melayu kurang memahami isu ini kerana tidak ada negara bernama “Melayu”.
Sejak dahulu, apabila saya mengisi apa-apa borang, saya mencatatkan begini pada maklumat berkaitan yang diminta: keturunan Malayali, kaum India, bangsa Malaysia. Tambahan pula, dalam surat beranak saya memang dicatatkan keturunan saya adalah Malayalam (Malayali).
Perbuatan saya sering menimbulkan rasa tidak puas hati kerani atau pegawai yang meminta saya mengisi borang. Katanya, saya sepatutnya mencatatkan begini sahaja: bangsa India.
Meneliti erti dalam kamus
Lalu saya bertanya, bagaimana dengan “kaum”? Katanya, kaum, keturunan dan bangsa sama sahaja. Saya perlu mengisi “India” sahaja bagi ketiga-tiganya.
Saya pernah menulis mengenai isu ini dalam majalah Pelita Bahasa (September 1998), ArahKiri (Disember 2002), Kavya (Mei 2003) dan Siasah (Jun 2003). Akan tetapi, kekeliruan dan salah tanggap terhadap istilah-istilah ini masih wujud sehingga hari ini.
Mengikut definisi dalam kamus, bangsa adalah “kumpulan manusia yang sama asal-usulnya serta serupa sifat-sifatnya” atau “kumpulan manusia yang menjadi rakyat sesebuah negara”.
Sementara itu, istilah kaum pula didefinisikan sebagai “golongan orang sebagai sebahagian daripada satu bangsa yang besar; suku bangsa”. Tentu sahaja definisi ini dilihat secara umum/asas dan bukannya secara mendalam dari sudut antropologi dan sosiologi.
Apa-apa pun, frasa “bangsa India” sebenarnya boleh membawa (sekurang-kurangnya) dua makna yang sangat berbeza. Pertama, orang itu adalah warganegara atau rakyat negara India. Kedua, orang itu termasuk dalam kumpulan manusia yang memiliki sifat-sifat yang sama; tetapi tidak semestinya warganegara India.
Biar kita lihat contoh mudah untuk membezakan antara “kaum” dan “bangsa”, khususnya dalam konteks negara Malaysia. Katakan A berasal dari negeri Perak, B dari Selangor dan C dari Sabah.
Andainya A, B dan C dikatakan memiliki sifat “kenegerian”, kita faham apa yang dimaksudkan. Begitu juga jika D, E dan F berasal dari daerah yang berbeza dan memiliki sifat “kedaerahan”. Kita faham secara tepat apa yang dimaksudkan.
Semangat perkauman, semangat kebangsaan
Sekarang kita teliti pula konvensi (kelaziman) di negara kita terhadap definisi “bangsa” yang disamakan dengan “kaum”. Kita ambil contoh G dikatakan bangsa Melayu, H bangsa Cina dan I bangsa India.
Jadi, apakah yang dimaksudkan apabila G, H dan I dikatakan memiliki sifat kebangsaan? Apakah masing-masing berjiwa Malaysia (Bangsa Malaysia) atau masing-masing masih bersifat kemelayuan, kecinaan dan keindiaan (khususnya berdasarkan negara asal-usul nenek-moyang)?
Bezakan pula apabila kita katakan bahawa G adalah individu kaum Melayu, H kaum Cina dan I kaum India. Kita harap tidak akan wujud sifat perkauman (kekauman?). Sebaliknya timbul semangat kebangsaan iaitu semangat keMalaysiaan.
Sekadar contoh mudah untuk difikirkan dan direnungkan, jika “kaum” dan “bangsa” dianggap sama sahaja, bayangkan makna yang boleh dibawa oleh frasa “lagu kebangsaan”, “bahasa kebangsaan”, “budaya kebangsaan” dan seumpamanya!
Contoh-contoh mudah di atas diharap akan membuka mata orang ramai terhadap kekeliruan yang boleh timbul apabila “bangsa” dan “kaum” dianggap sama dan serupa dari aspek makna dalaman.
Sesungguhnya saya mengimpikan utopia di mana rakyat Malaysia (Bangsa Malaysia) tidak ditanya tentang kaum dan keturunan. Sementara menanti bulan jatuh ke riba, saya akan terus mengisi borang-borang rasmi dengan maklumat yang sama: keturunan Malayali, kaum India, bangsa Malaysia.
Sudah dinyatakan bahawa perbincangan ini adalah secara umum sahaja; tanpa pergi secara mendalam dari sudut kajian antropologi dan sosiologi. Dinyatakan juga bahawa orang Melayu di Malaysia mungkin kurang memahami isu “keturunan”, “kaum” dan “bangsa” seperti difahami (dan dihadapi) orang “Bukan Melayu”.
Kaum Melayu tidak wujud?
Di negara bertuah ini, orang Jawa, Bugis, Minang, Batak, Arab, Punjabi Muslim, India Muslim, Cina Muslim dan sebagainya (asalkan beragama Islam) secara mudah dimasukkan dalam kategori keturunan, kaum, ras, etnik dan bangsa Melayu.
Saya pernah menulis makalah bertajuk “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013), “Hidayah Bangga Kekal Cina” (Free Malaysia Today, 4 Mac 2013), “Kami Tidak Masuk Melayu” (The Malaysian Insider, 4 Mac 2013), “Masuk Islam, Bukan Masuk Melayu” (Projek Dialog, 5 Mac 2013), “Perihal Raja-raja Melayu” (Projek Dialog, 5 November 2013) dan “Hidup 1Melayu!” (Free Malaysia Today, 7 Disember 2013) berdasarkan pandangan rakan-rakan pelbagai kaum.
Amat jelas bahawa orang India dan orang Cina merupakan diaspora yang wujud di Malaysia sejak ratusan tahun dahulu dan merupakan warganegara Malaysia. Bangsa India dan bangsa China pula merujuk kepada warganegara India dan China; termasuk mereka yang tinggal/bekerja di luar negara asal.
Bagaimana pula jika “kaum Melayu” atau “Malay race” tidak wujud? Ini sebenarnya idea atau hujah yang dikemukakan oleh AB Sulaiman menerusi bukunya, “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem” (2013).
“There is no such thing as a Malay race,” kata Sulaiman, penulis, ilmuan dan pengkaji berumur 71 tahun dalam bukunya. Pada pandangan beliau, “kaum Melayu” tidak wujud.
Mengulas lebih lanjut, Sulaiman mengakui bahawa hujah dan pandangan ini pasti membuatkan Perkasa, Umno dan puak etnosentrik marah dan kecewa. Apa tidaknya! Survival atau kelangsungan hidup politik mereka akan berakhir jika ia benar. Maka, mereka pasti menentang hujah ini.
Tambahan pula, menurut Sulaiman, corak pemikiran orang Melayu tidak begitu mementingkan aspek peraturan dan undang-undang. Sebaliknya ia dipengaruhi nilai-nilai tradisi, keengganan menerima perubahan, berpusatkan kelompok sendiri, penuh dengan kekeliruan, serta wujud pertentangan idea dan keangkuhan.
Melayu hanya bahasa, bukan keturunan
“Istilah ‘Melayu’ tidak merujuk kepada mana-mana kaum atau etnik. Sebaliknya istilah itu merujuk kepada bahasa yang dipertuturkan oleh sekitar 385.5 juta orang di Nusantara.
“Akan tetapi, bahasa Melayu yang dipertuturkan penduduk pelbagai negara di Kepulauan Melayu adalah berbeza mengikut sempadan; misalnya di Indonesia, Malaysia dan Filipina,” tegasnya.
Hujah yang dikemukakan ini segera mengingatkan saya kepada makalah bertajuk “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) yang menimbulkan kemarahan pihak tertentu berikutan hujah dan fakta yang dikemukakan mengenai realiti orang Melayu.
[caption id="attachment_3274" align="alignleft" width="300"]
Orang India di Malaysia terus berdepan pelbagai dilema.[/caption]
Dilema berhubung konsep “kaum” ini mungkin kurang dihadapi orang Cina dan India kerana masih wujud negara China dan India sebagai bukti asal-usul nenek-moyang mereka. Orang Cina dan India masih ada tamadun yang boleh dijadikan rujukan.
Bagi orang Melayu pula, bukan sahaja kewujudan “kaum Melayu” dipersoalkan (seperti dilakukan oleh Sulaiman) tetapi tidak wujud sebuah negara bernama “Melayu” sebagai bukti asal-usul nenek-moyang mereka. Indonesia pula lazimnya tidak mahu diakui sebagai negara asal orang Melayu.
Bagaimana dengan Perkara 160 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memberikan definisi “Melayu” serta menjadi asas pegangan ramai? Dinyatakan antara lain bahawa “orang Melayu” ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat Melayu.
Dalam hal ini, Dr Abdul Rahman Embong dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipetik oleh Sulaiman sebagai menjelaskan bahawa definisi itu merujuk kepada “Melayu” dari sudut budaya (bahasa) dan bukannya dari sudut biologi, keturunan atau kaum.
Tentulah pandangan ini akan menimbulkan kemarahan dan rasa tidak selesa dalam kalangan sekelompok orang Melayu yang disifatkan oleh Sulaiman sebagai bersifat etnosentrik, memiliki minda tertutup, bersikap seperti katak di bawah tempurung serta tidak mahu berfikir secara rasional.
“Kebenaran budaya” tidak perlu diterima semua pihak
Mengulas lanjut, Sulaiman mengatakan bahawa definisi “Melayu” dalam Perlembagaan bukan berdasarkan fakta atau rujukan sains. Dengan itu, konsep “Melayu” itu sendiri merupakan “kebenaran budaya” (cultural truth) dan bukannya “kebenaran universal” (universal truth).
Hal-hal “kebenaran budaya” hanya merujuk kepada apa-apa yang diiktiraf dan diterima oleh sekelompok masyarakat; bukannya hal-hal yang sudah terbukti secara sah berdasarkan fakta yang tidak dapat dipertikaikan serta sudah diperakukan pula secara universal.
Maknanya, Melayu atau “kemelayuan” – termasuk konsep Ketuanan Melayu yang menjadi laungan keramat sekelompok politikus – serta sering dilaungkan oleh sekumpulan orang India-Muslim dan Cina-Muslim di negara ini sebenarnya hanyalah “kebenaran budaya” yang “betul” bagi kelompok orang Melayu semata-mata.
Sekelompok orang India-Muslim dan Cina-Muslim yang beranggapan mereka adalah orang Melayu juga ketara menerima “kebenaran budaya” itu sebagai kebenaran hakiki. Sebaliknya, orang Bukan Melayu tidak tertakluk untuk menerimanya sebagai fakta kerana ia bukan “kebenaran universal”.
Satu lagi contoh yang suka saya gunakan adalah mengenai Hang Tuah. Sulaiman turut menggunakan contoh ini dalam bukunya. Hang Tuah dipercayai pernah melafazkan kata-kata “Takkan Melayu hilang di dunia”. Hal ini sering kita dengar dan baca sejak usia kanak-kanak.
Sebenarnya, Hang Tuah mungkin sahaja legenda atau mitos. Individu bernama Hang Tuah berkemungkinan tidak pernah wujud. Ada teori mengatakan dia sebenarnya orang Cina. Saya berpandangan bahawa kisah Hang Tuah lima bersaudara adalah saduran kisah Ramayana dan Mahabharata. Akan tetapi, dalam kalangan orang Melayu, kewujudan Hang Tuah adalah “kebenaran budaya”.
[caption id="attachment_3273" align="alignleft" width="300"]
Buku ini menyingkap pelbagai fakta yang mungkin memeranjatkan.[/caption]
Orang Bukan Melayu – serta orang Melayu di luar Malaysia – tidak semestinya bersetuju dengan kewujudan Hang Tuah kerana ia bukan “kebenaran universal”. Pembacaan buku “Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem” tulisan Sulaiman akan membantu pemahaman lanjut berhubung topik ini.
Nampak gayanya, sementara orang Cina dan India di Malaysia menghadapi dilema berikutan penggunaan label “kaum” dan “bangsa” serta “pendatang”, orang Melayu pula tidak menghadapi sebarang masalah dalam soal itu. Sebaliknya, berdasarkan kajian Sulaiman, dilema sebenar orang Melayu adalah mengenai kewujudan “Melayu” itu sendiri!
Penulis itu dalam bukunya mengatakan bahawa orang Melayu yang kononnya berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain (Alexander the Great) kurang memiliki kepakaran dalam hal-hal teknikal. Namun begitu, saya berharap topik yang diketengahkan di sini akan mendapat reaksi pelbagai pihak berasaskan pemikiran rasional dan hujah berbentuk fakta ke arah memulakan dialog sihat.
Alkisah hutang lukisan Pak Samad
Pisang emas dibawa berlayar,
Masak sebiji di atas peti;
Hutang lukisan perlu dibayar,
Jangan sampai menyesal nanti.
[caption id="attachment_3239" align="alignleft" width="300"] Salah satu slaid yang dipaparkan sewaktu pembentangan.[/caption]
Sewaktu membuat pendedahan terbuka mengenai “hutang” Kerajaan Negeri Selangor kepada Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said (Pak Samad) pada 1 April 2014, saya tidak menyangka tindakan itu akan membuka laluan ke arah pendedahan yang lebih besar mengenai Pakatan Rakyat (PR), khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Khabarnya Kerajaan Negeri Selangor masih berhutang belasan ribu ringgit setelah membeli lukisan daripada Pak Samad. Kalau ada wakil PR yang hadir, bolehlah tolong sampaikan kepada Menteri Besar dan Exco terbabit. Katakan bahawa Uthaya mengungkitkan isu ini.”
Demikian saya berkata semasa pembentangan kertas kerja sempena pelancaran rasmi novel Sungai Mengalir Lesu karya Pak Samad di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) pada 1 April 2014.
Pada pendirian saya, pendedahan itu amatlah wajar untuk menunjukkan betapa kuasawan dan politikus beranggapan bahawa mereka boleh sewenang-wenangnya mengambil “harta” milik seniman dan sasterawan secara percuma.
Seolah-olah hasil seni dan sastera tidak mempunyai nilai. Seolah-olah seniman dan sasterawan perlu bersedia memberikan “harta” (hasil karya) dan “bakat” secara percuma kepada kuasawan dan politikus tanpa mengharapkan sebarang bayaran yang setimpal.
Insiden melibatkan lukisan Pak Samad berlaku pada 26 September 2012 apabila beliau diberikan Anugerah Sasterawan Tamu Selangor. Sesungguhnya, semasa membentangkan kertas kerja di KLSCAH, saya tidak tahu jumlah lukisan Pak Samad yang dibeli kerajaan negeri, siapakah Exco terbabit, kepada siapa lukisan itu dihadiahkan dan harga/nilai sebenar lukisan terbabit.
[caption id="attachment_3238" align="alignleft" width="300"]
Kebimbangan yang diluahkan semasa membicarakan novel Pak Samad.[/caption]
Hanya pada keesokan hari (2 April 2014), saya mendapat maklumat penuh menerusi laporan-laporan bertajuk “Exco Selangor tidak bayar duit lukisan Pak Samad” (Astro Awani), “Exco hutang lukisan Samad Said RM16,000” (Free Malaysia Today), “Exco Selangor akui tak bayar lukisan Pak Samad” (The Malaysian Insider) dan “Kerajaan Selangor akan bayar lukisan Pak Samad” (Malaysiakini).
Melalui laporan media alternatif itulah saya – sebagaimana orang ramai – mendapat tahu bahawa dua buah lukisan dibeli untuk dihadiahkan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sempena majlis yang berlangsung pada 26 September 2012.
Soalnya, mengapa masa yang begitu lama diambil – jika kerajaan negeri ikhlas dan jujur dalam pembelian itu – untuk membayar kepada Pak Samad? Sebagai seorang seniman, Pak Samad pula memilih untuk berdiam diri dan tidak mengungkitkan isu “hutang” berkenaan.
Beri geran, ambil lukisan?
Akan tetapi, apakah hal ini bermakna PR dan PKR boleh buat-buat lupa? Jika inilah sikap yang dimiliki, apakah bezanya antara Barisan Nasional (BN) dan PR dalam soal menghargai seniman dan sasterawan?
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 7 Januari 2014 memperkotak-katikkan golongan sasterawan dengan membahagikan mereka menjadi dua kelompok: “penyokong kerajaan” dan “penyokong pembangkang”. Seolah-olah golongan sasterawan dan seniman tidak punya maruah; sebaliknya perlu bernaung di bawah parti politik dan celah kangkang politikus.
Berbalik kepada isu tadi, Pak Samad tidak mendedahkan nama Exco terbabit semasa berucap di KLSCAH bagi mengulas pendedahan terbuka yang saya lakukan berhubung lukisan terbabit. Beliau hanya menyatakan bahawa Exco terbabit sudah dimaklumkan tentang harga lukisan yang mahu dibeli.
Sehari selepas pendedahan dibuat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail tampil “mengakui kesilapan gagal melunaskan bayaran lukisan yang dibeli” (The Malaysian Insider, 2 April 2014) dan “Mesyuarat Exco negeri meluluskan pembayaran penuh kepada Pak Samad secepat mungkin selepas ini” (Malaysiakini, 2 April 2014).
Maknanya, jika isu “hutang” itu tidak ditimbulkan, maka kerajaan negeri dan Exco terbabit mungkin akan terus buat-buat lupa sampai kiamat – atau sehingga BN “merampas” Selangor.
“Saya tidak terkejut apabila terbaca mengenai Pak Samad dan lukisannya. Saya semacam sudah programkan diri secara tidak sedar bahawa politikus adalah spesis manusia yang oportunis,” kata Kirubananthan Muniandi, seorang tukang lukis dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
“Besar kemungkinan berlaku salah faham dalam isu ini. Mungkin Kerajaan Negeri Selangor melihat Pak Samad sebagai pro-PR, maka lukisan tersebut dianggap sebagai ‘sumbangan’ dan bukannya ‘pembelian’. Usah kita lupa bahawa karya seni Pak Samad ada nilai dan harga tersendiri,” Nagathisen Katahenggam, seorang penjawat awam dari Pulau Pinang berkongsi pandangan menerusi mesej Facebook.
Nampaknya Kerajaan Negeri Selangor memang “hebat”. Luluskan geran RM10,000 kepada Pak Samad tetapi pada masa sama “mencuri” (terlepas pandang perihal bayaran) lukisan bernilai RM16,000. Demikian saya paparkan pada ruangan status Facebook pada 4 April 2014 selepas membaca pelbagai kenyataan Rodziah yang disiarkan di media.
Menurut laporan The Malaysian Insider (2 April 2014), lukisan berkenaan “tidak dibayar” tanpa pengetahuan Rodziah. Katanya, berlaku salah faham kerana kerajaan negeri hanya membayar RM10,000 atas pengiktirafan Pak Samad sebagai Sasterawan Tamu Selangor tetapi “tidak menyentuh mengenai sebarang urusan jual-beli lukisan berjumlah RM16,000.”
Kenyataan bercanggah oleh politikus
Rodziah juga memberitahu sidang media bahawa isu itu dianggap selesai selepas diserahkan kepada Dr Ahmad Yunus Hairi yang memegang portfolio Sukan, Belia dan Adat Resam Melayu untuk tindakan selanjutnya.
Akan tetapi, seperti biasa, nampaknya kata-kata politikus tidak boleh dipercayai sepenuhnya. Apa tidaknya! Pada 2 April 2014, Rodziah mengesahkan bahawa kedua-dua lukisan berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Muzium Negeri Selangor di bawah pengurusan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat).
Dalam sidang media khas pada 4 April 2014, Rodziah mengatakan bahawa beliau tidak pasti sama ada dua lukisan itu telah diserahkan kepada Padat untuk tujuan pameran.
Sebaliknya, tujuan sebenar sidang media khas itu adalah untuk membolehkan Rodziah menunjukkan “bukti” bahawa geran berjumlah RM10,000 yang diumumkan pada 26 September 2012 sudah dibayar kepada Pak Samad pada 5 Februari 2013.
[caption id="attachment_3240" align="alignright" width="300"]
Pak Samad terpaksa “mengakui” hutang lukisan selepas diungkitkan.[/caption]
Soalnya bukan geran RM10,000 tetapi “hutang” RM16,000 bagi lukisan Pak Samad. Akan tetapi, nampak gayanya, seperti dilaporkan Malaysiakini, Rodziah dalam sidang media itu mengaku “tidak ada secara langsung terlibat dalam proses rundingan berkaitan harga lukisan berkenaan” dan beliau “tidak berada dalam lembaga pengarah badan itu pada hujung 2012”.
Dua hari sebelumnya, Exco itu mengakui bahawa “apa yang berlaku adalah ekoran salah faham” kerana beliau yang ketika itu memegang portfolio kebudayaan negeri “tidak mengetahui yang lukisan tersebut perlu dibayar berasingan”.
Pada sidang media 4 April 2014, beliau mengakui bahawa “kerajaan negeri tidak boleh beli terus, jadi kita beli melalui Padat dan diserahkan kepada mereka (Anwar dan Khalid)” serta “pembelian itu dibincang dan (harganya) dipersetujui kedua-dua pihak” iaitu kerajaan negeri dan Padat.
Sudah dinyatakan bahawa apabila saya membangkitkan isu “hutang” ini pada 1 April 2014, saya tidak tahu siapa Exco terbabit. Maka, agak “menarik” juga apabila ditimbulkan dalam Malaysiakini (4 April 2014) kemungkinan saya mahu menggagalkan usaha Rodziah bertanding jawatan Ketua Wanita PKR dalam pemilihan parti.
Perkara kecil ini kembali menyedarkan kita bagaimana politikus dianggap “dewa” dan segala perkara yang berlaku pasti ada kaitan dengan hal-hal peribadi mereka. Hutang lukisan yang ditimbulkan adalah demi menuntut hak Pak Samad yang juga Penasihat Agung Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan); tiada apa-apa kaitan dengan golongan “dewa”, kuasawan dan politikus.
Dalam hal ini, saya memuji sikap Rodziah yang mengakui bahawa “wajarlah pihak itu menimbulkan tanda tanya dalam media (mengenai hutang lukisan) supaya kami tersedar balik” dan “saya melihat ia sebagai satu keluhan terhadap pentadbiran kerajaan negeri supaya dipercekapkan lagi” (Malaysiakini, 4 April 2014).
Jangan zalimi seniman, sasterawan!
Berikutan pendedahan yang dibuat, Pak Samad sudah dihubungi Jabatan Muzium Selangor untuk menguruskan bayaran “hutang” lukisan (The Malaysian Insider, 3 April 2014). Maknanya, golongan seniman dan sasterawan perlu berani bersuara lantang jika mahu menuntut hak dan “hutang” daripada kerajaan.
“Sekiranya atas dasar jual-beli, seharusnya begitulah tradisi perniagaan. Sebaliknya jika atas dasar ‘ambil dulu, kira kemudian’ maka terbuka untuk membuat tuntutan di kemudian hari. Seniman memerah keringat dan idea. Jika pembeli tidak membayar, mereka seharusnya berasa malu,” kata Tengku Syahrel Raja Alaaudin (Awang Kechil), seorang pelukis dan penulis dari Kuala Lumpur.
Helmy Samad selaku pengurus syarikat Wira Bukit Sdn Bhd yang menerbitkan buku-buku Pak Samad turut meluahkan pandangan menerusi catatan di Facebook.
“Dari zaman Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), projek buku dengan Kerajaan Negeri Melaka, perolehan koleksi buku dan manuskrip oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan kini soal lukisan Bapak. Salahkah meminta sesuatu yang terhutang?
“Saya tahu Bapak dalam kesulitan. Bapak tiada banyak sumber hasil kecuali daripada karya dan pembacaan puisi. Bapak juga sangat ‘cerewet’ dan berhati-hati dalam hal ini. Bapak tidak mahu ‘dibeli’ atau rasa ‘terhutang’ jasa.
“Kadang-kadang dalam kehidupan, meminta sesuatu yang terhutang adalah satu ‘kesalahan’. Dalam soal ini, saya hanya mahukan Bapak dibayar,” kata Helmy dalam catatannya itu.
Muhyiddin beranggapan bahawa golongan sasterawan sentiasa bersama kerajaan (BN) dan tidak pernah bersama pembangkang (PR) dalam membangunkan negara (Utusan Malaysia, 8 Januari 2014). Saya percaya sudah terlewat untuk membaiki sebarang ketololan yang sudah berakar-umbi dalam minda politikus dan juak-juak BN.
Akan tetapi, janganlah pula PR yang membentuk Kerajaan Negeri Selangor sejak 2008 meniru kebodohan pihak lawannya. Seniman dan sasterawan (kecuali “macai” dan puak “carma” yang tidak ada maruah diri) serta hasil karya (seni dan sastera) mereka ada harga serta nilai yang perlu dihormati.
Mungkin benar bahawa sekelompok seniman dan sasterawan menyokong perjuangan PR kerana menyampah dan meluat dengan BN. Akan tetapi, beringatlah bahawa sekiranya PR bersikap “dua kali lima, lima kali dua” dengan BN, seniman dan sasterawan tidak akan menyokong secara membabi buta.
Sasterawan dan seniman ada kuasa untuk “menjatuhkan” politikus yang zalim, menindas dan tidak beretika. Air yang tenang jangan disangka tidak berbuaya. Semoga Kerajaan Negeri Selangor tidak menjadi “mangsa” kemarahan seniman dan sasterawan.
Kuasai BM, kekalkan jati diri
E Pian berkongsi pengalaman semasa sesi ceramah.[/caption]
Demikian antara intipati penting daripada sesi ceramah yang disampaikan oleh E Pian Pro Paul (Pian Chindaphed) kepada sekumpulan guru Bahasa Malaysia dari SJKC Kuen Cheng 1 dan SJKC Kuen Cheng 2 pada 20 Mac 2014.
Pandangan dan hujah yang diketengahkan itu mungkin kedengaran agak biasa tetapi sebenarnya amat penting dalam usaha memastikan masyarakat pelbagai kaum, etnik, budaya dan agama di negara bertuah ini dapat sama-sama meningkatkan usaha menguasai Bahasa Malaysia tanpa perlu mengorbankan jati diti.
Dalam sesi ceramah sekitar sejam di Bilik Mesyuarat SJKC Kuan Cheng 2, Kuala Lumpur, penulis berketurunan Siam dan beragama Buddha itu yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkongsi pengalaman sendiri untuk dijadikan contoh terbaik kepada para guru yang hadir.
“Penduduk keturunan Siam dan Cina di Kelantan memang cukup akrab dengan bahasa dan budaya Melayu. Malah, saya dan abang saya berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu Siam. Bersama anak-anak pula, saya menggunakan bahasa Siam Kelantan.
“Sejak kecil, saya bergaul dengan orang Melayu di kampung saya iaitu Kampung Padang, Gelang Mas, Pasir Mas. Penggunaan Bahasa Malaysia standard pula dikuasai menerusi pembacaan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” E Pian menceritakan secara santai.
[caption id="attachment_3161" align="alignleft" width="150"]
Kelompok penulis Siam diangkat dalam Dewan Sastera, Ogos 2013.[/caption]
Minat membaca membawa pula kepada minat menulis cerpen di mana karya pertamanya – sebuah cerpen yang ditulis pada tahun 1984 – tersiar dengan judul “Mek” di akhbar Watan, tiga tahun kemudian. Bakatnya terus diasah apabila menyambung pengajian di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya pada 1987-1990.
“Penguasaan bahasa yang saya miliki bukannya datang semata-mata kerana saya lahir dan membesar dalam kalangan orang Melayu di Kelantan. Sebaliknya, saya belajar Bahasa Malaysia secara formal bukan hanya di sekolah tetapi juga dengan banyak membaca buku dan majalah.
“Semasa saya di sekolah menengah, mendiang ayah saya pernah berpesan kepada saya bahawa sebagai seorang anak Malaysia, saya wajib mahir dalam penggunaan bahasa kebangsaan,” kata beliau yang kini menjawat jawatan pegawai perancang bahasa di Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP.
Kes-kes terpencil beri gambaran negatif
Kata-kata itu segera mengingatkan saya kepada sajak “Datukku Bahasa Malaysia” (Siasah, Oktober 2002) di mana watak “datuk” berpesan kepada “saya”: “Kau tidak harus hanya berbangga bercakap bahasa ibunda; kau tidak harus hanya berbangga bercakap bahasa Inggeris; tetapi kau wajib berbangga bercakap Bahasa Malaysia.”
E Pian turut menceritakan kepada para guru yang hadir bahawa beliau mengambil mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau mengakui bahawa langkah itu membuatkan ramai yang mengandaikan bahawa beliau akan meninggalkan agama asal (Buddha).
Walau bagaimanapun, amat membanggakan bahawa penulis keturunan Siam ini masih mengekalkan jati diri dan agama asal. Pada masa sama, beliau berbangga kerana menguasai Bahasa Malaysia dan agama Islam secara mendalam.
Situasi seperti ini memang selalu berlaku dalam kalangan penulis Bukan Melayu yang terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia. Saya mula menulis secara profesional pada tahun 1992. Penguasaan Bahasa Malaysia (Melayu), budaya Melayu dan agama Islam yang dimiliki adalah membanggakan.
Akibatnya, soalan yang sering diajukan oleh rakan-rakan penulis dan wartawan Melayu-Islam adalah sama ada saya mempunyai “niat” meninggalkan agama asal dan mengahwini orang Melayu. Saya menyifatkan pertanyaan itu sebagai “soalan kedua paling bodoh” selepas soalan “Bagaimana saudara boleh fasih Bahasa Malaysia?”
Pengalaman awal saya berdepan dengan orang dan pertanyaan seperti ini terungkap dalam cerpen “Impian Syarif” (Siru Kambam, 1996) dan makalah “Pertanyaan yang Memalukan” (Pelita Bahasa, Ogos 1997).
Di sisi yang lain pula, masyarakat Bukan Melayu berhak untuk kecewa dengan sikap beberapa individu (penulis) yang memilih untuk meninggalkan agama asal – malah “meninggalkan” kaum dan budaya asal! – berikutan penguasaan bahasa Melayu.
Gambaran negatif yang dihantar oleh kelompok kecil dalam kes-kes terpencil seperti ini adalah bahawa sekiranya seseorang menguasai Bahasa Malaysia (Melayu), mendalami ajaran Islam serta mengenali budaya orang Melayu, maka ada kemungkinan besar bahawa individu terbabit akan meninggalkan agama asal.
Beberapa contoh penulis Bukan Melayu
E Pian yang merupakan penerima pelbagai anugerah penulisan, khasnya Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011, menjadi contoh baik untuk menunjukkan bahawa seseorang penulis tidak perlu berkompromi dalam soal bahasa ibunda, jati diri, agama, budaya dan tradisi apabila terlibat dalam bidang penulisan bahasa kebangsaan.
Dalam sesi ceramah berkenaan, turut disentuh mengenai beberapa penulis Bukan Melayu yang aktif menghasilkan karya Bahasa Malaysia dan didapati bahawa terdapat suatu persamaan yang amat ketara antara kesemua mereka.
Lim Swee Tin lahir dan membesar di Bachok, Kelantan dan mengakui bahawa “membesar di kalangan orang Melayu” menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada penguasaan bahasa Melayu yang dimilikinya.
Saroja Theavy Balakrishnan berasal dari Kedah manakala Raja Rajeswari Seetha Raman membesar di Bagan Serai, Perak. Kedua-dua mereka juga mengakui secara terbuka bahawa faktor utama penguasaan bahasa Melayu adalah pergaulan dengan jiran-tetangga kaum Melayu.
Dalam kes saya pula, sepertimana saya tegaskan menerusi suatu wawancara (theSun, 16 Julai 2009), saya lahir dan membesar di sebuah kampung berpenduduk majoriti kaum India. Saya tidak rela berpura-pura mengatakan bahawa penguasaan Bahasa Malaysia yang saya miliki adalah kerana saya membesar dalam kalangan jiran Melayu.
Sebaliknya, saya sentiasa menegaskan dengan bangga dan gembira bahawa walaupun saya membesar di Aulong Lama, Taiping dalam kalangan kaum India (dan satu atau dua jiran Melayu), penguasaan Bahasa Malaysia tidak menjadi masalah kerana ia bahasa kebangsaan yang sama-sama kami cintai sejak usia muda.
Sewaktu membincangkan topik berkenaan, E Pian mengakui bahawa walaupun tidak membesar atau bergaul sepenuhnya dengan orang Melayu, seseorang masih boleh menguasai bahasa kebangsaan sekiranya bahasa itu digunakan dalam kalangan masyarakat dan kawan-kawan sendiri.
Penulis kumpulan cerpen Garis Sempadan (2010) itu memberikan contoh di mana rakan-rakan pelbagai kaum (Bukan Melayu) boleh sahaja menggunakan Bahasa Malaysia untuk berkomunikasi walaupun individu kaum Melayu tidak hadir dalam perbualan itu.
Persatuan Siam Kelantan, Kuala Lumpur dan Selangor
Suatu contoh baik yang E Pian berikan adalah suasana di Sabah dan Sarawak di mana penduduk pelbagai kaum, etnik, keturunan dan latar belakang menggunakan Bahasa Malaysia secara lazim untuk berkomunikasi. Hal ini membuktikan bahawa Bahasa Malaysia bukan milik orang Melayu semata-mata.
Malah, hasil pergaulan saya dengan rakan-rakan Bukan Melayu dan Bukan Islam di Sabah dan Sarawak, mereka turut menggunakan Bahasa Malaysia dalam kalangan kelompok sendiri; termasuk dalam upacara keagamaan. Contoh paling dekat adalah penggunaan Bahasa Malaysia dalam upacara keagamaan Kristian di gereja.
Saya juga secara penuh sedar menggunakan Bahasa Malaysia untuk menghasilkan makalah dan cerpen yang mengangkat kisah serta budaya India dan agama Hindu; walaupun sering dituduh “cuba menyebarkan agama Hindu”.
[caption id="attachment_3159" align="alignleft" width="150"]
Budaya dan agama dikekalkan orang Siam di Kelantan.[/caption]
Di sisi yang lain, penguasaan dan penggunaan Bahasa Malaysia tidak pula bermakna bahasa ibunda serta bahasa-bahasa lain dipinggirkan. Perkara ini turut diakui E Pian yang merupakan Setiausaha Persatuan Siam Kelantan, Kuala Lumpur dan Selangor (Pesila).
“Walaupun kita mahir dalam bahasa kebangsaan, ia tidak menghilangkan jati diri kita. Saya boleh menegaskan perkara ini berdasarkan pengalaman saya sendiri.
“Walaupun saya menulis sajak, cerpen, skrip drama dan televisyen, serta menjadi pegawai perancang bahasa di DBP dan menguasai bahasa kebangsaan, tetapi semua itu tidak sedikit pun menghilangkan jati diri saya sebagai individu keturunan Siam dan beragama Buddha,” katanya.
Saya turut bangga dengan usaha-usaha yang dilakukan secara berterusan oleh Pesila sejak 1998 untuk memastikan penduduk keturunan Siam di Malaysia tetap menguasai, menghargai dan memelihara bahasa, budaya, jati diri dan agama kelompok berkenaan.
“Salah satu objektif penubuhan Pesila adalah untuk mewujudkan sekolah bahasa Thai di Kuala Lumpur. Dalam perlembagaan persatuan, dinyatakan secara jelas bahawa Pesila bermatlamat mengembalikan penguasaan bahasa ibunda dalam kalangan ahli persatuan dan masyarakat Siam tanpa mengabaikan kepentingan bahasa kebangsaan,” beliau menegaskan.
Semangat waja seperti ini wajar disebarkan kepada lapisan masyarakat pelbagai kaum, etnik dan keturunan di Malaysia dalam usaha meraikan kepelbagaian yang sesungguhnya merupakan keunikan yang mungkin hanya terdapat di negara bertuah ini.
Dewa dewi dalam seni agama Hindu
Memahami konsep berhala Hindu” (Projek Dialog, 27 Februari 2014) dibaca dan dikongsi lebih 1,400 pengguna Facebook.
Sambutan di luar dugaan ini membuktikan secara jelas bahawa masyarakat pelbagai kaum, etnik dan agama di Malaysia berminat untuk mengambil tahu serta memahami konsep-konsep asas dalam ajaran dan agama yang terdapat di negara berpenduduk majmuk ini.
Saya percaya bahawa penerangan dan penjelasan yang disampaikan menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah telah membantu khalayak memahami pelbagai perkara berkaitan konsep berhala dalam ajaran Hindu sejak lebih 5,000 tahun dahulu.
Pengetahuan dalam bidang Murtisilpasastra atau ikonografi iaitu ilmu seni/sains ukiran berhala boleh membantu orang ramai lebih memahami konsep berhala yang terdapat di kuil atau di rumah rakan-rakan penganut Hindu; tanpa perlu merasakan keimanan dan pegangan agama masing-masing tergugat.
[caption id="attachment_3107" align="alignleft" width="150"] Setiap berhala memiliki mahkota dan senjata peribadi.[/caption]
Peserta yang pernah mengikuti Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) sejak 2010 sudah berpeluang menjejakkan kaki ke dalam kuil untuk melihat, bertanya dan mendapatkan penjelasan mengenai hal-hal berkaitan Hinduisme, termasuk konsep berhala.
Dalam konteks kemajmukan di Malaysia, tentu sahaja setiap individu tanpa mengira kaum, etnik dan agama pernah melihat berhala – sama ada secara langsung, menerusi kaca televisyen, media cetak atau internet.
Saya akan cuba menggunakan sedikit pengetahuan ilmu ikonografi untuk membantu memahami ciri-ciri berhala ini. Apabila saya katakan “berhala” (idol), sila bezakan daripada “patung” (statue). Malah, harap maklum bahawa penganut Hindu (Sanatana Dharma) bukan menyembah berhala atau batu berkenaan; sebaliknya menyembah Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Wujud.
Kerja-kerja mengukir berhala biasanya dibuat menggunakan batu khas seperti granit dan marmar oleh individu profesional yang disebut silpi. Ukiran dibuat berpandukan syarat, peraturan, norma dan panduan yang sangat rigid.
[caption id="attachment_3108" align="alignleft" width="150"]
Dewi Lakshmi sebagai Tanyalakshmi (kiri) dan Veeralakshmi.[/caption]
Namun begitu, setiap berhala mempunyai ciri-ciri khusus yang menjadikannya unik dan tersendiri. Harus ditekankan bahawa berhala-berhala ini tidak mewakili beberapa Tuhan atau dewa-dewi; sebaliknya mewakili ciri-ciri atau sifat-sifat berjumlah infiniti (tidak terhingga) yang dimiliki Tuhan Yang Maha Esa.
Setiap berhala biasanya diukir bersama-sama tiga perkara yang boleh membantu orang ramai mengenal pasti dan membezakan dewa-dewi berkenaan. Tiga perkara itu adalah kritam (mahkota dan gaya rambut), mudra (posisi tangan dan jari-jemari) serta ayudham (senjata dan peralatan).
Kritam, mudra dan ayudham
Setiap dewa dan dewi menggayakan kritam yang berbeza dari segi bentuk, saiz, hiasan dan warna. Kritam pada berhala Dewa Vishnu biasanya meninggi dan kurang hiasan. Mahkota pada kepala Dewi Lakshmi dan Dewi Saraswati misalnya mempunyai beberapa lapis dengan diameter berbeza; dan setiap lapis/tingkat dihiasi batu-batu hiasan berbeza saiz dan warna.
Ada juga dewa-dewi yang tidak mengenakan – atau dikenakan – kritam. Sebaliknya rambut sendiri digayakan umpama mahkota. Contoh terbaik dan paling mudah adalah Dewa Shiva yang selalu digambarkan mengikat rambut menjadi sanggul yang tinggi. Terdapat bulan sabit terselit pada rambut serta anak sungai (Ganges) mengalir dari puncak sanggul.
Selain daripada kritam yang unik, setiap berhala juga menampilkan mudra menggunakan aksi tangan dan jari dewa-dewi. Posisi dan kedudukan “bahasa isyarat” yang dinamakan hastabhinaya dalam tarian seperti Bharatanatyam dan Kathakali ini ternyata dipinjam oleh silpi (pengukir berhala) daripada Natyasastra iaitu teks panduan muzik, tarian dan drama tradisional India.
[caption id="attachment_3110" align="alignleft" width="150"]
Konvoi Rumah Ibadat turut membawa peserta ke kuil.[/caption]
Mudra yang ditunjukkan oleh setiap berhala mungkin menggabungkan posisi kedua-dua tangan dan digelar samyukta. Sekiranya hanya melibatkan sebelah tangan, maka dinamakan asamyukta. Tentu sahaja segaja istilah ini menggunakan Bahasa Sanskrit kerana rata-rata teks ajaran Hindu sejak 5,000 tahun dahulu menggunakan bahasa berkenaan.
Rujukan dalam buku-buku mengenai ikonografi seperti Silparatna, Silpasangraha dan Silpasara menjelaskan bahawa terdapat antara 35 dan 39 mudra yang digambarkan menerusi berhala di kuil yang diukir oleh silpi menggunakan batu.
Walau bagaimanapun, sekiranya kita memperhatikan berhala dewa-dewi di kuil-kuil seluruh Malaysia, mungkin sekitar 8 hingga 10 mudra sahaja yang biasa digunakan. Maknanya, hanya mudra-mudra yang paling penting dan utama masih dipaparkan menerusi ukiran berhala.
Memandangkan berhala mewakili Tuhan dan disembah bagi mendapatkan perlindungan, maka mudra atau posisi tangan yang paling lazim ditemui adalah abhayamudra. Posisi ini adalah di mana tangan berhala (dewa atau dewi) seolah-olah memberikan jaminan kepada penganut bahawa mereka (umat) dilindungi.
Tuhan juga disembah dan doa dipanjangkan kepada-Nya untuk mendapatkan sesuatu. Maka, satu lagi mudra yang biasa terdapat pada berhala di kuil adalah posisi seperti mengurniakan anugerah atau memberikan apa yang diminta. Posisi ini dinamakan varadamudra.
Posisi tangan seolah-olah merestui merupakan satu lagi mudra penting. Dalam novel Panchayat: Edisi Khas (2012) misalnya, watak utama memandang tangan berhala yang berada dalam posisi merestui. Dia merasakan seolah-olah Kaali Devi berkata: “Usah risau, anakku. Aku tahu apa yang perlu dilakukan sekarang.”
Perkara yang amat nyata pada berhala Hindu adalah kehadiran beberapa pasang tangan. Setiap berhala (dewa-dewi) biasanya mempunyai dua pasang tangan. Secara simbolik ia cuba menyampaikan mesej bahawa Tuhan (yang sifat-Nya diwakili oleh berhala itu) adalah lebih “istimewa” berbanding manusia.
Dalam cerpen “Doa Tahun Baru” (Kisah dari Siru Kambam, 2013), watak kanak-kanak bernama Rama menyebut bahawa “Amma tidak kurang hebat berbanding Dewi Lakshmi walaupun Amma tidak ada empat pasang tangan seperti pada berhala Dewi Lakshmi di kuil.”
“Kasihan Amma. Mungkin Amma perlu ada lapan tangan seperti Dewi Lakshmi untuk memudahkannya membuat semua kerja seorang diri,” fikir lagi kanak-kanak berusia enam tahun itu dalam cerpen yang berlatar belakangkan tahun 1964.
Kenali binatang tunggangan
Sekiranya kita perhatikan berhala dewa-dewi, setiap tangan menggambarkan mudra-mudra yang berbeza. Atau tangan-tangan itu akan memegang senjata atau peralatan yang ada makna tersendiri.
Walaupun istilah ayudham membawa makna “senjata”, dalam ilmu ikonografi, ia turut merujuk kepada peralatan tangan (props) yang dipegang oleh dewa-dewi.
Shiva biasanya memegang trisula (tombak bermata tiga) dan damaru (gendang tangan). Dewa Murugan pula memegang sula (tombak bermata satu) seperti yang terdapat pada patung (statue) setinggi 42.7 meter di hadapan kuil di Batu Caves.
Saraswathi yang dikaitkan dengan ilmu pengetahuan biasanya memegang pustaka (buku) manakala Ganesha memegang modakam (sejenis manisan) dan bhagnadanta (gading yang patah).
Brahma yang berkepala empat boleh dikenali melalui kamandalu (bekas air) yang dipegang dengan tangan. Vishnu pula sering digambarkan memegang cakra (cakera) dan sankha (sangkakala).
Berhala yang ditempatkan di kuil bagi tujuan sembahyang lazimnya diperbuat daripada batu seperti granit dan marmar. Berhala jenis ini dinamakan acala atau dhruvabera. Berhala yang digunakan bagi tujuan perarakan semasa upacara keagamaan serta berhala yang ditempatkan di rumah penganut Hindu diperbuat daripada logam, kayu, batu atau tanah liat serta dikenali sebagai utsavamurti.
[caption id="attachment_3109" align="alignleft" width="150"]
Merak menjadi wahana tunggangan Dewa Murugan.[/caption]
Setiap berhala (dewa-dewi) juga biasanya ada vahana (kenderaan atau kenaikan) tersendiri. Menurut catatan berkaitan perkembangan (evolusi) ajaran Hinduisme, kehadiran vahana ada kaitan dengan purana, mitos dan legenda mengenai setiap dewa-dewi sejak ribuan tahun dahulu.
Shiva memiliki nandi (lembu) sebagai kenderaan rasmi, Vishnu menunggang garuda, manakala Brahma menaiki hamsa (angsa). Dhurga menggunakan simha (singa) sebagai kenaikan manakala Ganesha – dewa berkepala gajah – menunggang mushika (tikus) dan Murugan menaiki mayil (merak).
Maka, seseorang boleh mengenal pasti identiti sesuatu berhala berdasarkan vahana yang ditunggangi serta ayudha yang dipegang. Setiap satu aspek ini mempunyai makna simbolik dan tidak sepatutnya ditafsir secara luaran semata-mata.
Sesungguhnya Hinduisme adalah ajaran berusia lebih 5,000 tahun yang sangat kompleks dan subjektif sifatnya. Setiap aspek yang dipaparkan pada berhala menerusi ukiran mempunyai makna simbolik yang perlu ditafsir mengikut budhi (tahap pemikiran) masing-masing.
Sebab itulah dikatakan bahawa seseorang yang tidak ada budhi akan melihat berhala sebagai batu dan patung semata-mata, manakala seseorang yang ada budhi dan beriman akan mampu melihat Tuhan Yang Maha Wujud pada berhala tersebut.
Setiap berhala itu pula tidaklah mewakili Tuhan yang berlainan. Sebaliknya, sebagai agama Tauhid yang pertama di muka bumi, ajaran Hindu menekankan konsep Ekan Anekan – Tuhan Yang Maha Esa dan Maha Wujud di mana-mana serta dalam mana-mana rupa dan bentuk yang diingini-Nya.
Hinduisme bukan agama politeisme seperti sering dipropagandakan pihak tertentu. Sedikit budhi dan ilmu ikonografi boleh membantu memahami hakikat sebenar mengenai ajaran kompleks dan unik ini.
Memahami konsep berhala Hindu
Sanatana Dharma ini membuatkan ramai yang keliru terhadap agama Tauhid tertua ini. Malah, ramai yang menganggap serta melabelkannya sebagai agama politeisme dan agama yang menyembah berhala.
Sejak tahun 2010, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat ke masjid (Islam), gereja (Kristian), kuil (Hindu), tokong (Tao), wat (Buddha) dan gurdwara (Sikh) dalam usaha memupuk persefahaman antara agama.
Setiap kali mengunjungi kuil, soalan lazim yang dikemukakan peserta Bukan Hindu adalah berkaitan berhala – atau “patung” – yang terdapat di rumah ibadat berkenaan.
Rata-rata ingin tahu mengapa ada dewa-dewi yang pelbagai dan berapakah pula jumlah “Tuhan” dalam ajaran Hindu. Soalan mereka adalah amat wajar. Malah, salah satu tujuan Konvoi Rumah Ibadat adalah membuka ruang dialog di mana peserta bebas mengemukakan pertanyaan berdasarkan rasa ingin tahu.
Saya pernah menulis makalah ringkas bertajuk “Cerita Kecil Tentang Agama Hindu” (Projek Dialog, 10 Oktober 2012), “Berapa Tuhan Orang Hindu?” (The Malaysian Insider, 12 Ogos 2013) dan “330 Juta Tuhan Hindu” (Free Malaysia Today, 17 Ogos 2013) dalam usaha menjawab antara pertanyaan yang sering dikemukakan rakan-rakan Hindu dan Bukan Hindu.
Sesungguhnya Hinduisme adalah antara agama Tauhid yang pertama dan tertua di dunia. Fakta ini mungkin mahu dipertikaikan puak tertentu tetapi tidak boleh dinafikan. Malah, Kamaludin Endol dalam bukunya Hinduisme Agama Tauhid Terawal? (2014) mengemukakan hujah bahawa ajaran Hindu adalah agama Tauhid pertama yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Adam.
[caption id="attachment_3100" align="alignleft" width="150"] Sebuah berhala Dewa Ganesha yang dipuja dan disembah di Kuil Subramaniam Chettiar, Kuala Lumpur.[/caption]
Ajaran Hindu sering dikaitkan dengan penyembahan berhala. Stereotaip ini sudah terlalu lama berleluasa – khususnya di Malaysia – sehingga ramai yang terlupa akan hakikat bahawa Hindusime bukan (ulang: bukan) agama politeisme yang menyembah berhala.
Lalu orang ramai – dan tentunya puak etnosentrik, fanatik, pelampau, rasis dan ultra kiasu – akan mempersoalkan mengapa penganut Hindu pergi ke kuil dan menyembah berhala Murugan, Shiva, Ganesha, Mariamman, Kaali dan sebagainya.
Secara mudah dan logik akal, apa yang disembah penganut Hindu bukanlah berhala – atau “patung” – tetapi sifat-sifat dan unsur-unsur kewujudan Tuhan yang digambarkan menerusi berhala itu. Sekadar perbandingan, apabila umat Islam bersolat berkiblatkan Kaabah, bukanlah objek itu yang disembah; sebaliknya Allah Yang Maha Esa.
Sifat-sifat Tuhan digambarkan secara gambaran
Apakah Allah hanya boleh disembah dengan menghadap kiblat? Demikian soalan retorik yang selalu saya kemukakan dan selalunya tidak mampu dijawab rakan-rakan yang mempersoalkan mengenai amalan orang Hindu bersembahyang menghadap berhala di kuil.
Pertanyaan lain yang selalu bermain dalam fikiran orang ramai – termasuk generasi muda Hindu – adalah mengenai amalan menyembah berhala. Ramai yang tidak mampu memberikan penjelasan apabila rakan-rakan bertanya atau memperli.
Keadaan keliru, dilema dan tidak mampu berhujah balas seperti ini berbalik kepada kejahilan orang Hindu sendiri terhadap kandungan ajaran Hindu – khususnya dalam soal “menyembah” berhala.
Secara bandingan, jawapan yang tersedia dalam agama Islam adalah jelas dan tidak mengundang persoalan lanjut. Misalnya, dalam Islam diakui bahawa sifat-sifat yang dimiliki Allah adalah berciri infiniti; tidak boleh dibilang dengan angka.
Bagaimanapun, terdapat 99 nama Allah yang merupakan nama-nama terpilih yang merujuk kepada sifat-sifat Allah. Seorang penganut Hindu yang bijak akan mampu memberikan contoh perbandingan yang sama untuk menjelaskan mengenai kewujudan “ratusan dan ribuan” Tuhan dalam ajaran Hindu.
Untuk berlaku adil, harus ditekankan dan dimaklumkan bahawa berbeza dengan Islam, penganut Hindu dibenarkan “menggambarkan” (visualize) sifat-sifat Tuhan dalam bentuk lukisan, tulisan, ukiran, berhala dan sebagainya.
Namun begitu, perlu juga dinyatakan bahawa “gambaran” (visualization) itu sebenarnya tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Terdapat syarat dan peraturan, serta kelayakan khusus bagi individu yang mengukir berhala.
[caption id="attachment_3101" align="alignleft" width="150"]
Patung papier-mache ini sekadar hiasan di ruang tamu rumah penulis sejak tahun 2000.[/caption]
Dalam hal ini, suatu contoh yang boleh diberikan adalah apabila terdapat patung (ulang: patung) Ganesha – dewa berkepala gajah – yang diperbuat daripada papier-mache dan dijadikan hiasan di ruang tamu rumah. Saya juga ada satu di rumah.
Atau lukisan Shiva – dewa bertubuh warna nila – yang digambarkan sedang bertapa dijadikan hiasan dinding di bilik bacaan. Begitu juga dengan patung Hanuman – lotong sakti terkenal dalam epik Ramayana – yang diletakkan sebagai hiasan di atas meja.
Penjelasan menerusi ilmu ikonografi
Objek-objek hiasan seperti ini sering dilihat di rumah orang Hindu dan sering pula menimbulkan rasa kurang selesa yang amat berasas kepada pengunjung. Mereka tidak tahu sama ada ia berhala (yang disembah) atau sekadar patung (hiasan).
Dalam hal ini, masalah paling besar adalah apabila penganut Hindu sendiri kurang – atau langsung tidak – memahami bidang sains imej atau ikonografi yang menjadi asas kepada pembuatan dan pemilikan berhala dewa-dewi.
Pembaca yang berpeluang meneliti cerpen “Interlok dan Siru Kambam”, “Kisah Cik Timun Busuk” dan “Persubahatan Encik Limau” dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013) tentu menyedari kewujudan Kumpulan Ikonografer Siru Kambam yang mengemukakan hujah berkaitan berhala Dewa Shiva di kampung berkenaan.
Dalam ajaran Hindu sejak dahulu, wujud ilmu ikonografi yang dinamakan “Murtisilpasastra” – panduan mengukir berhala. Dalam kitab-kitab Veda, Tuhan digambarkan dalam pelbagai rupa fizikal mengikut sifat-sifat yang dimiliki-Nya.
Sudah dinyatakan sejak awal bahawa ajaran Hindu bermula lebih 5,000 tahun dahulu dan merupakan agama yang amat kompleks serta subjektif sifatnya. Maka tidak hairanlah jika ramai yang sudah tidak tahu mengenai ilmu sains ikonografi yang mampu menerangkan kewujudan berhala dalam agama Tauhid tertua ini.
Mengikut catatan Veda – teks agama Hindu – golongan rishi yang melakukan pertapaan telah berpeluang “melihat” Tuhan dalam “bentuk” yang pelbagai; iaitu mengikut sifat-sifat Tuhan yang infiniti.
Gambaran “rupa” Tuhan – atau juga sering disebut dewa-dewi – dirakamkan dalam bentuk sloka (lagu) dalam kitab-kitab oleh golongan pendeta ini. Kamaludin dalam buku Hinduisme Agama Tauhid Terawal? menggelarkan golongan pendeta atau rishi ini sebagai Nabi dan Rasul.
Kemudian, golongan pengukir berhala yang dipanggil silpi pula menghayati sloka yang dihasilkan rishi berkenaan. Untuk menjadi silpi bukanlah perkara mudah. Individu terbabit perlu patuh pada pelbagai syarat dan peraturan agama. Hanya individu terpilih boleh diiktiraf sebagai pengukir berhala.
Pengukir berhala (silpi) yang diiktiraf itu pula wajib patuh pada diksa iaitu syarat, peraturan dan akujanji tertentu yang ditetapkan dalam kitab Veda. Pelbagai norma dan pantang-larang agama wajib dipatuhi oleh individu yang mahu kekal sebagai silpi.
Daripada ‘dhyanasloka’ kepada ‘mantramurti’
Apabila seorang silpi diamanahkan tugas mengukir berhala Tuhan, dia akan merujuk kepada dhyanasloka iaitu catatan berlaku yang dilakukan oleh rishi yang berpeluang “melihat” Tuhan.
Mengikut catatan dalam pelbagai bahan rujukan, seorang silpi akan menghafaz dhyanasloka serta berdoakan kepada Tuhan. Akhirnya, gambaran visual sebagaimana digambarkan dalam dhyanasloka akan muncul dalam minda pengukir tadi.
Gambaran itu dinamakan mantramurti dan dijadikan rujukan mental oleh silpi untuk mengukir berhala dewa atau dewi berkenaan. Setelah siap, tentu sahaja akan diteliti dan diamati oleh rishi tadi untuk mengesahkan bahawa ukiran berhala yang dihasilkan oleh silpi berdasarkan dhyanasloka dan mantramurti adalah sama dengan apa yang dilihat oleh si pendeta tadi.
Sudah dinyatakan tadi bahawa sifat-sifat yang dimiliki Tuhan adalah infiniti. Secara logik akal, “rupa” fizikal Tuhan adalah tidak terjangkau oleh fikiran manusia.
Namun begitu, dalam ajaran Hindu – khususnya menerusi kitab-kitab Veda – dinyatakan bahawa Tuhan “muncul” di hadapan para rishi dalam “bentuk” yang boleh diterima akal rasional manusia.
Gambaran “bentuk” fizikal itulah yang dijadikan dhyanasloka dan kemudian dihayati sepenuhnya oleh silpi untuk mengukir berhala yang “mewakili” sifat Tuhan.
Memandangkan jumlah sifat Tuhan adalah infiniti, maka berhala yang dihasilkan juga banyak dan berbeza-beza berdasarkan dhyanasloka yang menjadi rujukan. Kesemuanya menggambarkan atau mewakili sifat-sifat Tuhan dan bukannya menggantikan Tuhan.
Secara mudah, sebagaimana 99 nama yang baik (al-asmaaul husna) dalam Islam tetap merujuk kepada Allah Yang Maha Esa, begitulah juga ratusan atau ribuan berhala (ikon) dalam ajaran Hindu tetapi merujuk kepada Ekan – Tuhan Yang Maha Esa.
Demikian huraian serba ringkas, umum dan mudah yang diharap dapat membantu menyelesaikan serba-sedikit kekusutan dalam jiwa orang Hindu dan Bukan Hindu yang selama ini tertanya-tanya perihal perkara ini.
Orang ramai diundang melayari www.uthayasb.blogspot.com atas pilihan sendiri untuk membaca pelbagai makalah berkaitan budaya India dan ajaran Hindu.