Projek Dialog

Lawan pembodohan!

“Dia telah merendah-rendahkan kaumnya agar kaumnya taat kepadanya. Kaumnya itu adalah golongan yang fasiq.” (Surah Al-Zukhruf, ayat 54) Maksud “fastakhaffa qaumahu” atau “merendah-rendahkan kaumnya” itu, ditafsirkan oleh ulama-ulama sebagai “memperbodohkan”, “merendah-rendahkan akal” dan “mengurangkan impian kaumnya”. Ekoran dari projek pembodohan itu, makanya manusia menjadi mandom. Pihak yang memegang tampuk kekuasaan pula merasa selamat di atas takhta mereka. Bentuk pembodohan Akal adalah alat untuk berfikir. Apabila manusia sudah berfikir, bermulanya projek kebijakan. Projek pembodohan pula adalah projek menimbulkan emosi mengatasi akal. Dengan maksud lain akal mereka dikawal oleh sentimen, bukan sentimen dikawal oleh akal. Apabila akal mereka sudah dikawal, bukan mengawal, ia menjadikan gerakan akal hanya mengikut apa yang diarah, bukan bergerak untuk memikirkan kenapa dirinya diarah dan apa motif dirinya diarah. Cara untuk menimbulkan sentimen ini cukup banyak. Di Malaysia, sentimen itu boleh diangkat dengan dua tajuk besar: perkauman dan agama. Dari sudut sejarah, menaikkan sentimen perkauman ini dilakukan oleh Firaun. Ketika Nabi Musa yang berbangsa Bani Israel tersilap menampar seorang lelaki Koptik, perkara yang ditimbulkan oleh Firaun adalah soal ketuanan Koptik. Lebih-lebih lagi, Koptik adalah bangsa tuan, sedangkan Bani Israel adalah bangsa yang dianggap menumpang. Sentimen perkauman itu diperkemaskan lagi oleh Firaun dengan melakukan proses peng-agamaan. Firaun sanggup mengakui dirinya sebagai tuhan. Dalam al-Quran, Allah mengisahkan perkara yang bermaksud, “Berkata (Firaun), Aku adalah Tuhan kamu yang paling tinggi” (Surah Al-Nazi’at, ayat 24). Tidak ketinggalan juga projek pembodohan itu dilakukan atas wajah agama adalah penguasa yang dihadapi oleh Nabi Ibrahim: Seorang raja yang angkuh, mahu membodohkan rakyat bawahan dengan mendakwa bahawa dirinya seperti tuhan. Keadaan begitu menjadikan Nabi Ibrahim datang untuk menentangnya. Walaupun seorang diri, Ibrahim tetap berlawan dengan raja tersebut untuk memastikan projek pembodohan itu digagalkan. Firman Allah dalam al-Quran, “Apakah kamu tidak (pelik) memikirkan tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya, kerana Allah memberikan kepadanya kekuasaan. Ketika Ibrahim berkata, “Tuhanku adalah yang menghidupkan dan mematikan”. Ia menjawab, “aku juga boleh menghidupkan dan mematikan”. Nabi Ibrahim berkata lagi, “Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh terbitkan matahari dari barat?”. Maka tercengang orang kafir itu” (Surah Al-Baqarah, ayat 258) Sentimen  Agama dalam neraca sentimen, sudah tidak lagi berasaskan kepada penghujahan yang benar. Agama dalam neraca ini akan membawa kepada kesesatan: bukan perdamaian, tetapi permusuhan. Bukan keadilan, tetapi penindasan dan kezaliman. Orang-orang agama dalam neraca sentiment pula mendatangkan hujah-hujah yang bermuarakan sumber Wahyu, tetapi dihujahkan dengan bersulamkan nafsu. Tafsiran agama yang benar telah dicandukan sedemikian rupa. Makanya, agama sudah tidak lagi dilihat dalam wajah yang sebenar. Dalam athar diceritakan bahawa Umar bin Al-Khattab pernah berkata kepada seorang rakannya bernama Ziyad bin Hudair. Kata Umar, “tahukah kamu perkara yang membinasakan islam?”. Ziyad berkata, “Aku tidak tahu”. Maka dijawab Umar, “Islam (yang indah) akan dirosakan oleh kegelinciran Ulama, perdebatan orang munafiq terhadap Kitab Allah dan pentadbiran pemerintah yang menyesatkan (zalim)” (Sunan al-Darimi, Hadis no: 220) Dalam hadis pula diceritatakan bahawa Nabi Muhammad saw pernah berkata, “Aku bimbang berlaku kepada umatku selepasku tiga perkara”. Sahabat bertanya, “apakah itu wahai Rasulullah?”. Jawab Rasulullah, “Kegeliciran Ulama (menafsirkan wahyu mengikut sentiment dan hawa nafsu) atau pemerintah yang zalim dan hawa nafsu yang dituruti”. Dalam menegakkan sentimen, tidak hairan dalil-dalil agama turut diguna pakai. Ia tidak ubah sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib yang bermaksud, “Kalimah yang benar, tetapi dengan maksud yang batil.” Sentimen perkauman juga begitu. Jika firaun merasakan bangsa Koptik sebagai tuan, tidak hairan sentimen ketuanan Koptik dibesar-besarkan oleh Firuan agar fikrah melawan yang dikepalai oleh Nabi Musa tidak bergerak. Sentimen itu tidak ada tujuan lain kecuali untuk membodohkan rakyat Mesir. Ini kerana, rakyat Mesir yang berfikir merupakan bahaya bagi firaun dalam mempertahankan kuasa. Kemajuan Ketika tuhan mencipta Adam sebagai pentadbir bumi, para Malaikat sudah bertanya kepada Allah bahawa manusia yang bakal diciptakan tuhan ini akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah. Makanya malaikat memohon agar mereka sahaja yang mentadbir bumi, kerana sifat malaikat itu sentiasa berzikir, bertasbih dan memuji tuhan. Firman Allah, “ketika berkata Tuhan kamu (Allah) kepada Malaikat, bahawa Aku adalah pencipta khalifah di bumi. Lalu berkata Malaikat, apakah patut Kamu mencipta kalangan yang akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah, sedangkan kami sentiasa bertasbih dan mensucikan Kamu. Berkata (Tuhan), Aku mengetahui perkara yang kamu tidak mengetahuinya” (surah Al-Baqarah, ayat 30) Adam tetap diciptakan Tuhan kerana mahunya tuhan adalah memajukan bumi. Bumi ini tidak maju hanya disebabkan wujudnya makhluk yang tidak boleh berfikir seperti Malaikat, walaupun mereka tidak putus-putus bertasbih dan memuji Allah. Adam melahirkan keturunan manusia layak mentadbir bumi kerana manusia adalah makhluk yang boleh berfikir walaupun ada sebilangan mereka melakukan kerosakan dan pertumpahan darah. Kemajuan bumi bukan kerana penghuninya sekadar rajin berzikir, tetapi bumi menjadi makmur kerana penghuninya mampu berfikir. Dalam Al-Quran, suruhan tidak sekadar tertumpu kepada zikir sahaja, malahan wujud suruhan agar berfikir. Pentadbiran menjadi hebat apabila pentadbir adalah orang yang mampu berfikir dan berzikir. Tetapi dengan kekuatan zikir tanpa kekuatan fikir, kerajaan tidak akan maju. Manusia yang mampu berfikir terbentuk dalam budaya kritis, bukan suasana pembodohan. Islam menyuruh manusia membina kemajuan ini. Sebarang tindakan yang melahirkan pembodohan, Islam menggalakkan agar di lawan. Diselidiki pada sejarah, pasti kita akan tahu bahawa perjuangan para Nabi-Nabi yang terdahulu adalah melawan projek pembodohan ini.       unnamed

]]>

Dialog Sunni-Syiah: Mencari persefahaman dalam kepelbagaian (Bahagian akhir)

(Anda juga dijemput membaca bahagian pertamakeduaketiga dan keempat) Pentingnya dialog Pernah satu hari saya berbeda pendapat dengan seorang teman yang sama beraliran Sunni tentang sikap mencari damai dalam perbedaan antara Sunni dan Syiah. Teman saya itu mahu mengambil sikap membenteras Syiah dengan kekerasan, sedangkan saya mencadangkan dialog yang lebih sihat. Pendapat saya ditolak beliau. Apabila saya bertanya, apa sikap sewajarnya terhadap mereka yang berfahaman Syiah. Beliau menjawab, “cukup sekadar mereka mengakui bahawa mereka bukan beragama Islam” Saya bertanya lagi, “apa pendapat anda jika mereka pula minta Sunni mengakui bahawa Sunni bukan beragama Islam?” Soalan saya itu menyebabkan dia terdiam. Rata-rata kita menilai kononnnya dialog antara Sunni – Syiah seperti gagal. Tanpa kita sedari bahawa kesan dari usaha damai yang diusahakan mereka terdahulu menjadikan usaha dialog segar antara dua belah pihak semakin berlaku. Walaupun tidak semeriah seperti yang dijangka, sekurang-kurangnya di pihak Syiah sendiri sudah ada sebilangan mereka yang menyeru agar kritikan dan mengkafirkan sebilangan sahabat oleh Sunni tidak dilakukan. Dalam perbuatan mengkafirkan sesiapa sahaja secara terbuka, kebimbangan yang paling besar adalah ia akan membawa kepada pertumpahan darah. Pengkafiran akan mangkibatkan sesuatu yang boleh dibincang secara damai bertemu jalan kegagalan. Ini kerana, menuduh orang yang tidak sehaluan sebagai kafir, melahirkan sentimen kebencian dan kemarahan, akan tentunya menghalang dialog secara ilmiah dan rasional. Bahayanya tuduhan pengkafiran Mengkafirkan manusia bermaksud menentukan orang yang tidak sealiran sebagai terkeluar dari islam. Dalam maksud yang lain, dia telah menentukan orang yang dituduhkannya  sebagai ahli neraka, sedangkan semasa si penuduh melakukan tuduhan tersebut, dirinya sendiri pun masih belum ada “cop mohor” kelayakkan masuk syurga. Hakikat yang perlu diterima oleh sesiapa sahaja bahawa ke syurga atau tidak, bukan cop dan lebel kafir yang diberikan oleh seseorang terhadap seseorang yang lain; bukan dari satu aliran terhadap aliran lain; bukan dari satu fahaman terhadap fahaman yang lain. Syurga seseorang itu berdasarkan rahmat dari Allah SWT. Dalam riwayat Sunni, daripada Al-Imam al-Bukhari, didatangkan satu Hadis bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda, “Sesekali seseorang itu tidak masuk syurga dengan sebab amalannya”. Lalu seorang sahabat bertanya kepada Nabi, apakah diri Nabi Muhammad SAW juga begitu? Nabi SAW menjawab yang maksudnya, “Ya, aku juga tidak masuk syurga dengan amalan, tetapi dengan dikurniakan rahmatNya”. (Al-Bukhari, Hadis No : 5241, Muslim, Hadis No : 5040) Dalam kes sebegini, saya amat terkesan dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Al-Imam Al-Tahawi yang pernah menyatakan, “Kami menetapkan sebagai ahli Qiblat (Kaabah) sebagai Muslim dan Mukmin selama mereka mengiktiraf dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dia beramal dengan semua perkataan Baginda SAW dan membenarkan semua yang Baginda SAW beritakan.” Dalam pemikiran Sunni, sesuatu perkara itu tidak boleh diletakkan hukum haram kecuali terdapat nas yang jelas dan saheh. Inikan pula, untuk menentukan seseorang itu kafir, sudah pasti tidak boleh berlaku kecuali dengan sesuatu yang jelas dan nyata. Di zaman penurunan wahyu, budaya kafir mengkafir ini tidak berlaku, tetapi hairan di zaman wahyu sudah berhenti, budaya takfir ini semakin menjadi-jadi. Ini memberi gambaran, bagaimana budaya kafir mengkafir ini bukan satu perkara yang sihat, tetapi ia terhasil dari sikap kebencian, emosi melampau, hawa nafsu dan berpunca dari sikap tidak berusaha mencari jalan damai dalam berhadapan dengan perbedaan. Ada sebilangan Sunni marah dengan sikap sebilangan Syiah yang mengkafirkan sahabat, makanya mereka mengambil sikap mengkafirkan balik orang-orang Syiah. Jika difikirkan balik, sikap orang Sunni yang sebegitu sekali-kali tidak dapat mendatangkan kedamaian, kecuali permusuhan semakin membengkak, Akibat dari itu dialog antara dua belah pihak semakin gagal berlaku. Dan di pihak sebilangan orang-orang Syiah ada pula yang mahu mengkafirkan sahabat, apakah perlunya mereka mengeluarkan kenyataan kafir mengkafir terhadap sahabat di khalayak, sedangkan ia sedikit pun tidak mendatangkan hasil yang baik dalam hubungan antara masyarakat yang terdiri dari berbagai latar pegangan mazhab dan aliran. Tahaluf  Saya secara peribadi tidak berharap agar Sunni membuang pakaian Sunni, lalu menyarung pakaian Syiah, atau Syiah membuang pakaian Syiah, lalu menyarung pakaian Sunni. Pada saya, setiap Sunni dan Syiah perlu kekal dengan pemahaman dan kepercayaan masing-masing. Tetapi tapi dalam perbedaan kepercayaan ini, mereka boleh seiring sejalan dalam perkara yang boleh mereka bersama, dan berdialog secara segar dalam perkara yang mereka berbeda. Isu-isu sensitive antara kedua-duanya, seperti isu mengkafirkan sahabat wajar dielak berlaku di khalayak demi untuk menghormati perasaan Sunni. Pihak Sunni juga patut diak turut menimbulkan sensitive yang melahirkan perbalahan dengan Syiah. Tetapi, jika mahu ia didebatkan secara ilmiah, hendaklah dilakukan di kalangan mereka yang berkelayakkan sahaja. Tujuannya adalah, agar perbedaan ini tidak melahirkan perbalahan, sebaliknya menghasilkan natijah yang baik. Pada saya, seruan agar menSyiahkan orang Sunni, atau menSunnikan orang Syiah bukan seruan yang sihat, kerana ia adalah permulaan terhadap perasaan rasa tidak jujur antara satu dengan yang lain. Dengan perasaan sebegini, perbedaan itu satu masa nanti akan bernatijahkan perbalahan dan permusuhan. Makanya, dialog sihat dan damai akan bertemu kekusutan dan jalan buntu. Kesimpulan Perbedaan pendapat, kepercayaan dan aliran tidak seharusnya difikirkan sebagai perbalaham. Sebaliknya ia perlu dianggap sebagai warna warni untuk mengindahkan kehidupan. Namun, perbalahan sering terjadi ekoran tidak ada sikap ingin kenal mengenali dan fahami memahami antara satu dengan yang lain. Banyak tamadun yang hebat dahulu runtuh ekoran tidak bersedia mengenali pihak yang berbeda. Tamadun yang berjaya mencipta nama, selalunya bermula dari sikap pencoraknya dari kalangan mereka yang hormati perbedaan, malahan tidak segan untuk pelajari kelebihan dari pihak yang berbeda dengan mereka.         unnamed

]]>

Dari kubur Yahudi ke gurdwara

street art). Masjid Kapitan Keling dibina pada tahun 1801 manakala Kuil Sri Maha Mariamman dibina pada 1833. Perlu dinyatakan bahawa kesemua tempat ini bukan terasing sebagai “tempat pameran untuk dilawati” atau “muzium kenangan”. Sebaliknya adalah tempat-tempat yang masih terus “hidup” dengan aktiviti seharian masyarakat tempatan. Seorang rakan Facebook, Nagathisen Katahenggam pula membawa saya dan Kughan ke dua tempat istimewa yang tidak termasuk dalam jadual asal kami. Yahudi sudah lama berakar-umbi di sini Sebenarnya saya agak terkejut dan hairan apabila dimaklumkan bahawa terdapat suatu kawasan kubur khusus bagi orang Yahudi di Georgetown. Dalam perjalanan (berkereta) ke sana, Nagathisen menceritakan serba sedikit mengenai kubur itu dan orang Yahudi. [caption id="attachment_2743" align="alignleft" width="300"]Raju (kiri) dan Nagathisen di hadapan satu-satunya Kubur Yahudi yang terdapat di negara ini. Raju (kiri) dan Nagathisen di hadapan satu-satunya Kubur Yahudi yang terdapat di negara ini.[/caption] Rupa-rupanya memang pernah ada kumpulan minoriti orang Yahudi di Pulau Pinang sehingga akhir tahun 1970-an. Hubungan antara Yahudi dan penduduk negara ini dikatakan bermula di Lembah Bujang pada abad kesembilan, serta turut kukuh di Melaka pada abad ke-18. Hasil pencarian di ruang siber, saya mendapat maklumat bahawa menjelang tahun 1963, hanya terdapat 20 keluarga orang Yahudi di Pulau Pinang. Terdahulu, semasa penjajahan Jepun (1941-45), orang Yahudi di Malaya dan Singapura turut menjadi mangsa kekejaman tentera Jepun. Selepas Perang Dunia Kedua, kebanyakan daripada orang Yahudi yang terselamat memilih untuk berhijrah ke Israel, Australia dan Amerika Syarikat, selain tinggal di Singapura. Segala maklumat ini adalah amat baru bagi saya. Malah hanya kini saya mendapat peluang untuk melangkah masuk ke kawasan perkuburan Yahudi – tanpa perlu ke luar negara! Siapa sangka bahawa dalam pada politikus dan puak tertentu di Malaysia berkempen secara besar-besaran, penuh kelantangan tetapi tanpa ilmu yang mendalam mengenai orang Yahudi, rupa-rupanya mereka terlepas pandangan bahawa Yahudi sudah lama berakar-umbi di negara ini. [caption id="attachment_2742" align="alignleft" width="300"]Batu-batu kecil diletakkan pengunjung pada kubur terbaru (dan terakhir) di Kubur Yahudi. Batu-batu kecil diletakkan pengunjung pada kubur terbaru (dan terakhir) di Kubur Yahudi.[/caption] Kubur Yahudi Pulau Pinang yang kami lawati diasaskan pada tahun 1835 di atas tanah hampir seluas 3.5 kilometer persegi (sekitar 38 ribu kaki persegi) di tepi Jalan Zainal Abidin. Nama jalan itu sendiri dahulu dikenali sebagai Jalan Yahudi. (Agak lucu dan ironi juga apabila melihat bangunan Umno Pulau Pinang tersergam di Jalan Yahudi.) Penjaga kawasan kubur yang dilawati hanya memperkenalkan dirinya sebagai Raju. Katanya, kerja menjaga kawasan kubur berkenaan dilakukan secara turun-temurun. Elaun dibayar oleh lembaga pemegang amanah yang ditubuhkan pada 1885. Raju membawa saya, Kughan dan Nagathisen melawat kubur yang unik ini sambil memberikan penerangan berdasarkan pengalaman. Bagi Nagathisen sendiri, ini kali pertama beliau berpeluang masuk ke kawasan perkuburan ini yang menempatkan lebih seratus kubur. Berakhirnya sebuah warisan Rupa dan bentuk kubur Yahudi memang unik dan tersendiri serta mengikut gaya kubur di Israel. Orang ramai yang menziarah tidak membawa bunga seperti yang biasa dilakukan masyarakat Malaysia. Sebaliknya, ketulan batu diletakkan di atas kubur bagi menggantikan bunga. Kubur paling tua bertarikh 9 Julai 1835 manakala yang paling baru (dan dipercayai terakhir) bertarikh 15 Julai 2011. Saki-baki orang Yahudi di Pulau Pinang dikatakan sudah sama ada memeluk ajaran Kristian sejak tahun 1970-an atau berhijrah ke luar negara. Kewujudan tanah perkuburan Yahudi ini nampaknya kurang diketahui orang ramai. Mujurlah juga tanah itu milik persendirian dan dijaga oleh lembaga pemegang amanah. Jika tidak, dengan sentimen anti-Israel dan anti-Yahudi yang begitu kuat, pasti ada pihak membuat tarian punggung atau membakar buku-buku di hadapan kubur berkenaan! Menurut Nagathisen dan Raju, satu-satunya synagogue – rumah ibadat orang Yahudi – yang terletak di Jalan Nagore telah ditutup pada tahun 1976. Penutupan itu bukanlah kerana tekanan daripada kerajaan yang tidak mengiktiraf negara Israel, atau ugutan daripada kumpulan ultra kiasu, fanatik dan pentaksub seperti (contoh sahaja) Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ridhuan Tee Abdullah dan Utusan Malaysia. [caption id="attachment_2745" align="alignleft" width="300"]Darbar Sahib (dewan sembahyang) di tingkat atas manakala perpustakaan, pejabat dan sebagainya di tingkat bawah Wadda Gurdwara Sahib. Darbar Sahib (dewan sembahyang) di tingkat atas manakala perpustakaan, pejabat dan sebagainya di tingkat bawah Wadda Gurdwara Sahib.[/caption] Sebaliknya, synagogue berkenaan terpaksa ditutup kerana korum (minyan) jemaah seramai sepuluh orang dewasa tidak dapat dipenuhi. Bangunan lama itu – saumaah atau rumah perhimpunan – kini sudah tidak berfungsi. Selepas meluangkan sedikit masa di Kubur Yahudi, Nagathisen membawa saya dan Kughan ke Wadda Gurdwara Sahib yang turut menempatkan Sekolah Khalsa Dharmik. Kalau nama “Jalan Yahudi” ditukar kepada “Jalan Zainal Abidin”, nama “Jalan Kiln Bata” (Brick Kiln Road) pula ditukar kepada “Jalan Gurdwara” sempena rumah ibadat ini. Menurut “pemandu pelancong” kami, nama lain bagi Wadda Gurdwara Sahib adalah Gurdwara Sahib Khalsa Dharmak Jatha Wadda dan Diamond Jubilee Sikh Temple. Nama terakhir itu adalah kerana tapak/tanah bagi pembinaan rumah ibadat berkenaan diberikan kepada penganut Sikh pada tahun 1897 sempena sambutan jubli intan Ratu Victoria. Konvoi Rumah Ibadat Dana bagi pembinaan gurdwara ini merupakan sumbangan masyarakat Sikh yang menyerahkan gaji sebulan bagi merealisasikan impian membina rumah ibadat berkenaan. Pengorbanan mereka ternyata berbaloi kerana apabila siap pada 1899, Wadda Gurdwara Sahib diiktiraf gurdwara terbesar di Asia Tenggara. Saya pernah terlibat secara langsung dalam Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan pada 2 Oktober 2010, 2 Mei 2011, 17 Februari 2013 dan 12 Oktober 2013. Saya juga sudah biasa memasuki gurdwara, masjid, kuil, gereja, wat dan tokong. Namun, saya tetap terpesona dengan keunikan setiap “rumah Tuhan” yang dikunjungi sejak usia kanak-kanak. [caption id="attachment_2744" align="alignleft" width="300"]Salah satu tokong di Jalan Masjid Kapitan Keling yang memang layak dikenali sebagai “Jalan Harmoni”. Salah satu tokong di Jalan Masjid Kapitan Keling yang memang layak dikenali sebagai “Jalan Harmoni”.[/caption] Atas sebab itulah juga saya menerima pelawaan Kughan untuk melawat Georgetown kerana senarai tempat yang disediakannya meliputi rumah-rumah ibadat dan tapak warisan pelbagai kaum/agama/mazhab. Selepas berpeluang mengadakan lawatan ke pelbagai tempat menarik, unik, bersejarah dan bermakna di Tapak Warisan Dunia ini, saya semakin yakin bahawa ia lokasi yang sesuai bagi mengadakan Konvoi Rumah Ibadat anjuran Kavyan dan Projek Dialog pada masa akan datang. Konvoi ke beberapa rumah ibadat sekitar Jalan Ipoh dan Sentul, Kuala Lumpur pada 12 Oktober 2013 mendapat perhatian masyarakat di dalam dan luar negara selepas liputan khas disiarkan menerusi BBC World News sepuluh hari kemudian. Malah, Kavyan menerima e-mel daripada pelbagai pihak – dari dalam dan luar negara – yang begitu teruja untuk terlibat sama dalam konvoi akan datang. Masing-masing gembira kerana sementara politikus – Badut Paul Lathic – membuat manipulasi “pecah dan perintah” serta menyemarakkan api perkauman untuk terus berkuasa, usaha-usaha murni memupuk perpaduan kaum/agama masih semarak dalam kalangan masyarakat. Siri konvoi melibatkan pelbagai rumah ibadat di pelbagai lokasi sedang dalam perancangan. Orang ramai boleh menghubungi editor@projekdialog.com untuk maklumat lanjut.

]]>

Fiqh Waqi’ bukan alasan untuk kezaliman

Keadilan Sebabnya jelas: keadilan merupakan perkara penting dalam kemaslahatan. Dan keadilan harus memerhati dan menjawab kepada realiti sesuatu keadaan. Jika tidak tercapai keadilan, maka itu bukan kehendak Syariah. Ibn al-Qayyim ada menyatakan bahawa, “syariah itu adalah keadilan Allah terhadap hambaNya, rahmatNya kepada kalangan makhlukNya, bayang-bayangNya do bumiNya.” Beliau juga berkata “apabila nyata tanda-tanda keadilan dan nyata jalan-jalan kearah tercapainya itu, maka dapatilah di sana ada Syariah dan agama Allah.” Memang benar bahawa ulama tidak sepakat dalam penghuraian makna keadilan.  Pemahaman-pemahaman yang ada memang pelbagai. Keadilan yang difahami sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya adalah kefahaman keadilan yang popular di kalangan sarjana Muslim. Di sana, terdapat perbahasan balik terhadap maksud kefahaman keadilan itu, seperti penjelasan Al-Qaradawi dalam satu temuramah beliau yang bertajuk Syariah wa hayah. Dalam temuramah tersebut, beliau ditanya tentang keadilan, lalu beliau menyatakan bahawa keadilan itu adalah memberikan hak kepada mereka yang berhak. Al-Qaradawi berpegang kepada satu hadis sahih dimana Nabi Muhammad SAW ada bersabda, “sesungguhnya pada jasad kamu itu ada hak, pada ahli keluarga kamu itu ada haknya, maka berikan hak kepada yang berhak” Penggunaan fiqh waqi’ adalah untuk menjayakan proses keadilan ini. Ia bertujuan untuk memastikan perlaksanaan itu berjaya memberikan hak kepada mereka yang berhak, tanpa melahirkan sebarang kerosakan. Tapak bagi bangunannya fiqh waqi’ adalah keadilan. Ia merupakan salah satu kaedah untuk menjayakan proses pemberian hak kepada yang berhak, bukan  sebaliknya. Larangan hak Namun ada sebilangan Muslim di Malaysia, yang mendakwa mereka sebagai golongan berilmu, menggunakan alasan fiqh waqi’ untuk menghalang hak orang bukan Islam di Malaysia dari bebas mengamalkan agama mereka. Dakwaan ini tidak lebih hanya mencandukan pemikiran orang awam agar penghujahan mereka kononnya dilihat benar. Hakikatnya, menjadikan fiqh waqi’ sebagai alasan untuk melarang orang bukan Islam dari bebas mengamalkan hak agama mereka, seperti penggunaan kalimah Allah adalah salah dari aturan dan ketetapan bagi fiqh waqi’. Lebih parah, dalam penggunaan kalimah Allah, pemberian hak penggunaan terhadap orang bukan Islam itu adalah pemberian Tuhan. Makanya dengan alasan fiqh waqi’ mereka menafikan hak pemberian itu merupakan proses menolak ketetapan Tuhan dengan menggunakan lebel agama. Lebih membawa kerosakan adalah, apabila ada di kalangan mereka golongan yang mencipta dan membangkitkan sentimen kebencian antara Muslim dan bukan-Muslim. Mereka menimbulkan dakwaan-dakwaan yang tidak benar disebalik pemberian kalimah Allah, kemudian mereka halang penggunaan itu dengan alasan fiqh waqi’. Mereka tidak menjanakan usaha untuk memahami konteks Kristian di Malaysia yang begitu rumit dengan cara yang ilmiah dan mendalam. Mereka rasa hanya cukup untuk memainkan sentimen agama.  Keluh kesah, cabaran dan kehendak masyarakat Kristian di sini langsung tidak dihiraukan. Jadi adakah hujah dan kesimpulan larangan mereka berdasarkan realiti di Malaysia? Apabila agama dimainkan Hakikat Islam itu adalah rahmat untuk sekalian alam. Islam datang untuk menghapuskan permusuhan, bukan sebagai pencetus kepada huru-hara. Islam juga hadir untuk memberikan hak bagi mereka yang berhak. Hak itu hendaklah diperlihara untuk, dan oleh, seseorang itu bagai tubuh badannya sendiri. Islam menganggap bahawa orang yang bekerja sepanjang masa tanpa diberikan rehat sebagai zalim terhadap badannya. Islam juga menjanjikan syurga kepada mereka yang memberi minum dan makan walaupun kepada seekor anjing sekalipun. Dari situ memang jelaslah Islam menganggap ia sebagai zalim, sudah pasti teramat zalim, jika ada penafian hak bagi masyarakat bukan Muslim di Malaysia, terutamanya dalam kehendak mereka beragama. Sudah pasti orang yang menyebarkab kebencian di kalangan manusia (antara Muslim dan bukan-Muslim; antara Melayu dengan bukan Melayu) adalah tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam. Lebih salah, apabila kezaliman yang dilakukan itu bersulamkan lebel-lebel agama.

]]>

Temubual khas bersama ketua pengarang The Herald

Nor Arlene Tan. Nor Arlene Tan: Pertama sekali, saya ingin bertanya mengenai ‘The Herald’. Mengapa pihak gereja Katolik menerbitkan akhbar mingguan tersebut? Rev. Lawrence Andrew: The Herald merupakan sebuah akhbar mingguan Katolik untuk masyarakat beragama Katolik. Maknanya, ia dijual khas untuk orang-orang Katolik sahaja dan bukan kepada orang lain. Setiap akhbar mingguan Herald akan dibungkuskan dan dihantar ke alamat gereja tertentu di seluruh Malaysia, kami tidak menjual dengan sesuka hati di luar kawasan gereja. Ia merupakan sebuah akhbar keagamaan untuk orang Katolik berkenaan isu-isu perkembangan yang berlaku di gereja dalam negara mahupun di luar negara. Masyarakat Katolik akan mendapat pemahaman yang lebih mendalam akan agama mereka sendiri. Nor Arlene Tan: Mengapa menerbitkan akhbar mingguan The Herald dalam Bahasa Melayu? Rev. Lawrence Andrew: Mengapa kami menerbitkan The Herald dalam Bahasa Melayu? Mengapa dalam Bahasa Tamil? Mengapa dalam Bahasa Cina? Mengapa dalam Bahasa Inggeris? Kami menerbitkannya dalam Bahasa yang difahami oleh pembaca-pembaca kami yang rata-ratanya lebih selesa membaca dalam Bahasa Melayu. Nor Arlene Tan: Terdapat ura-ura yang mengatakan bahawa masyarakat Melayu Islam boleh menjadi keliru jika perkataan “Allah” dipergunakan oleh agama lain. Setujukah anda dengan kenyataan tersebut? Bolehkah anda jelaskan sejarah dan makna “Allah”? Rev. Lawrence Andrew: “Allah” adalah sebuah perkataan Arab, iaitu “Al-Ilah”, dan perkataan tersebut telah wujud sejak dari awal-awal lagi. Sebelum perkataan tersebut wujud dalam perbendaharaan kata Bahasa Melayu, ia telahpun wujud dan dipergunakan dengan luas orang ramai. “Allah” bukan perkataan Bahasa Melayu seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak. [caption id="attachment_2712" align="alignleft" width="225"]Optimized-Lawrence baca herald Ingeris Reveren Lawrence membaca Herald Bahasa Inggeris.[/caption] Sebagai contoh perkataan seperti “suci” dan “dosa” bukan sebuah perkataan Bahasa Melayu. Cuba bertanya dengan orang Melayu apakah perkataan “dosa” dalam Bahasa Arab? Sebaliknya, “suci” dan “dosa” merupakan perkataan Sanskrit yang berasal dari India. Jadi, bila kita mula memahami asal-usul Bahasa Melayu, kita akan dapati Bahasa Melayu adalah berakar daripada pelbagai Bahasa-Bahasa yang lain.* Maka demikian, perkataan “Allah” muncul dari zaman Arab dan juga pra-Arab, sebelum kemunculan agama Kristian yang awal. Dan agama Islam muncul selepas kedatangan Kristian. Tidak sepatutnya wujud kekeliruan dikalangan orang Melayu kerana kamus yang terawal di negara ini adalah kamus terjemahan Latin-Melayu yang diterbitkan dalam tahun 1613, dan di dalam kamus tersebut telahpun terdapat penterjemahan perkataan “Allah” dari Bahasa Latin ke Bahasa Melayu. Yang menariknya, kamus Melayu masih belum wujud, tetapi kamus terjemahan Latin-Melayu telah wujud. Jika kita melihat akan perkara ini, perkataan “Allah” telah wujud lebih awal daripada apa yang diperkatakan oleh sesetengah orang Melayu. Nor Arlene Tan : Apakah sejarah penggunaan kalimah “Allah” di Malaysia? Rev. Lawrence Andrew: Bahasa yang digunapakai oleh gereja Katolik di Malaysia atau Tanah Melayu sebelum jajahan kuasa kolonial British selama ini adalah dalam Bahasa Melayu. Bahasa tersebut ditukarkan ke Bahasa Ingeris selepas kedatangan kuasa kolonial British ke Tanah Melayu. Apabila pihak British menyarankan penggunaan Bahasa Ingeris sebagai Bahasa pengantar dan juga orang ramai menjadi lebih berpendidikan, mereka mulai bertutur dalam Bahasa Ingeris.  Apabila mereka menjadi lebih selesa bertutur dalam Bahasa Ingeris, Bahasa pengantar dalam gereja Katolik ditukarkan sebahagiannya daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Ingeris. Selain itu, terdapat juga migrasi daripada India, orang-orang Tamil yang datang ke Tanah Melayu, serta imigrasi orang-orang Cina daripada China ke Tanah Melayu, wujudnya Bahasa-Bahasa penghantar yang lain digunapakai oleh gereja Katolik, bersama-sama dengan Bahasa Melayu, Bahasa kuno yang telah dipakai sekian lama oleh pihak gereja Katolik di Tanah Melayu. Bahasa Melayu bukan Bahasa yang baru sahaja digunapakai oleh gereja Katolik, ia telah digunapakai dalam Bahasa Melayu sebelum negara ini mencapai kemerdekaan. Malah pihak gereja Katolik telah mengunakan Bahasa Melayu sejak kurun awal lagi semasa mesin pencetakan baru-baru digunakan untuk mencetak buku pada kurun ke-16. Pada masa tersebut, gereja Katolik telahpun mempunyai buku-buku dalam Bahasa Melayu, dimana masyarakat Melayu zaman kini mungkin agak sukar membaca dan memahami kerana ejaan dan ayatnya adalah amat kuno. Nor Arlene Tan : Apakah sejarah pengaruh dan perkembangan Bahasa Melayu dalam ilmiah Katolik? Rev. Lawrence Andrew: Pernahkah anda mendengar nama tokoh Munshi Abdullah? Beliau adalah bapa persuratan Melayu. Ramai yang tidak mengetahui bahawa beliau juga telah menterjemahkan kitab Bible ke dalam Bahasa Melayu. Sebutan ejaan Bahasa Melayu pada zaman itu dipengaruhi oleh pihak Portugis, Belanda dan British. Jadi bunyi sebutan tersebut adalah berdasarkan bunyi sebutan Bahasa Portugis. Bahasa Melayu juga mempunyai pengaruhi daripada masyarakat kolonial, sebagai contoh, perkataan “motocycle” dalam Bahasa Ingeris, di dalam Bahasa Melayu adalah “motosikal”, di Indonesia adalah “sepeda motor”. Lihatlah pengstrukturan Bahasanya adalah berbeza; Bahasa Melayu adalah dipengaruhi daripada Bahasa Ingeris, walhal Bahasa Indonesia dipengaruhi daripada Bahasa Belanda. Jadi, kita dapat simpulkan bahawa Bahasa Melayu mempunyai akar pengaruh yang mendalam daripada pelbagai Bahasa-Bahasa yang lain, termasuk juga Bahasa kolonial. Nor Arlene Tan: Bolehkah anda menunjuk contoh bahan ilmiah Katolik dalam Bahasa Melayu pada zaman dahulu? Rev. Lawrence Andrew: Saya akan menunjukkan sebuah buku daripada abad ke-19 bertajuk “Porkara Terakhir”. Ia sebuah buku bacaan doa bagi orang-orang Katolik dalam Bahasa Melayu. Ia BUKAN Bahasa Indonesia. Ia adalah Bahasa Melayu asli. [caption id="attachment_2706" align="alignleft" width="300"]Optimized-sombahyanglah chapter (from buku Porkara Terakhir) Bab “Sombahiang” Porkara Terakhir.[/caption] Sebagai contoh teks dalam buku Porkora Terakhir“Ia, Maha Penebus ku, tiap kali beita sudah buat dosa, sudahlah beita mengalau angkau deri hati ku, sambel choba membunoh Allah sabuleh nha…”, ia adalah sebuah Bahasa sehari-harian di dalam Bahasa Melayu kuno; penggunaan ayat seperti ini tidak wujud dalam Bahasa Indonesia. Yang satu lagi ini adalah buku bacaan doa Katolik bertajuk Kebaktian Se’hari Harian yang diterbitkan pada tahun 1890 juga menggunakan Bahasa Melayu kuno. Sebagai contoh teks dalam buku tersebut adalah “Sapuloh Penhurohan Allah”, ia merupakan 10 Rukun Perintah Allah daripada Bible (Ten Commandments). Kedua-dua buku tersebut menggunakan kalimah “Allah” sebagai erti Tuhan. Selain itu, perkataan lain yang digunapakai dalam Bible dan ilmiah Katolik dalam Bahasa Melayu adalah perkataan “Rasul”. Contohnya di dalam buku Kebaktian Se’hari Harian, perkataan Bahasa Ingeris “St. Paul” (Paul the Apostle) digelar sebagai “Elrasul Paulus” dalam Bahasa Melayu; dan “St. Luke” (Luke the Evangelist) digelar sebagai “Elrasul Lukas”. Maka anda dapat melihat Bahasa Melayu telahpun digunapakai dalam gereja-gereja Katolik di Malaysia sejak lama dahulu sebelum pengaruh bahan ilmiah Katolik Bahasa Indonesia di negara ini. Nor Arlene Tan: Adakah penggunaan kalimah “Allah” oleh masyarakat bukan Islam diterima oleh masyarakat Melayu dan Islam ketika itu? Rev. Lawrence Andrew: Bagaimana masyarakat pada masa itu menerima perkataan tersebut adalah sama seperti bagaiamana masyarakat pada masa itu menerima orang-orang India, Cina dan Eropah sebelum kemerdekaan. Mereka semua adalah kawan. [caption id="attachment_2714" align="alignleft" width="300"]Reveren Lawrence menerangkan mengenai Porkara Terakhir sebagai contoh dalam sejarah penggunaan Bahasa Melayu dalam konteks Kristian di Semenanjung. Reveren Lawrence menerangkan mengenai Porkara Terakhir sebagai contoh dalam sejarah penggunaan Bahasa Melayu dalam konteks Kristian di Semenanjung.[/caption] Tanyalah pada datuk anda, pada masa dulu mereka akan duduk bersama bersembang sambil minum teh tarik atau makan nasi lemak dengan orang Cina dan orang India tanpa masalah perkauman atau agama. Mereka juga akan pergi berkunjung ke rumah masing-masing. Dahulu, kawan-kawan Melayu saya sering berkunjung ke rumah saya, mereka akan datang bermakan sama-sama di rumah saya. Tetapi kini orang Melayu sudah tidak berani mengunjungi rumah orang bukan Islam. Bapa saya mempunyai seorang pemandu Melayu yang selalu memandu kami ke sana-sini, dan dia akan selalu teman makan bersama-sama dengan kami. Oleh kerana kami menghormati amalan agamanya, bila-bila masa kami memasak ayam di rumah, pada masa dahulu tiada supermarket, maka kami akan membeli ayam hidup di pasar dan dia akan menyembelihkan ayam tersebut untuk dimasak dan makan bersama-sama kami sekeluarga. Pada masa dahulu, terdapat penerimaan semua agama dan bangsa, kami saling hormat-menghormati dan menerima amalan budaya dan agama setiap kaum. Nor Arlene Tan: Adakah pihak gereja Katolik menyebarkan ajaran Katolik ke orang ramai? Rev. Lawrence Andrew: Bagi pihak yang menuduh kami menggunakan Bahasa Melayu untuk menukarkan agama orang Melayu Islam, cuba mereka nyatakan berapakah orang Melayu telah menukar agama ke Kristian? Cuba anda bertanya dengan A-G Tan Sri Abdul Gani Patail (Peguam Negara Malaysia) apakah maksud perkataan “Our Father” dan “Hail Mary” dalam Bahasa Ingeris?  Beliau akan memberitahu bahawa beliau pernah belajar di sekolah Katolik. Adakah beliau telah menukarkan agamanya ke Katolik? Tidak, beliau masih seorang Islam. Cuba bertanya dengan Dato’ Sri Najib Razak (Perdana Menteri Malaysia) adakah beliau kenal “Our Father”, beliau juga pernah belajar di sekolah Katolik St. John. Pihak gereja Katolik tidak sesekali pergi untuk menukarkan agama orang lain ke Kristian dengan sesuka hati. Jika mereka telah menukar agama dengan belajar di sekolah Katolik, mereka tidak akan menjadi orang Islam sampai sekarang. Nor Arlene Tan: Barbincang berkenaan keputusan Makamah Rayuan kelmarin, bolehkah anda berkongsi pandangan anda dengan keputusan tersebut? Rev. Lawrence Andrew: Keputusan Makamah yang pertama diputuskan pada 2009 adalah berasaskan undang-undang yang terdapat di negara ini. Ia berdasarkan kuasa kehakiman dan pengintepretasian prinsip undang-undang negara ini. Keputusan tersebut dihujahkan secara logik. Tetapi di dalam Mahkamah Rayuan baru-baru ini, mereka sepatutnya mencari kesalahan dalam proses penghakiman bagi keputusan Makamah yang lepas jika mereka ingin mengubah keputusan di Mahkamah Rayuan. Nor Arlene Tan: Mengapakah terdapat sensitiviti dan tentangan berkenaan isu penggunaan kalimah “Allah” oleh bukan Islam di kalangan sesetengah orang Melayu Islam? Rev. Lawrence Andrew: Siapakah orang-orang tersebut? Ibrahim Ali dan Perkasa. Siapakah mereka? Mereka telah membuat bising dan bersikap anti terhadap orang bukan Melayu dan orang bukan Islam. Mereka memanggil orang bukan Melayu sebagai pendatang dan menyuruh mereka keluar ke negara ini jika tidak puas hati, mereka juga sibuk mengancam untuk membakar Bible, dsb. Adakah ini budaya seorang Melayu? Orang Melayu tidak pernah mempunyai perlakuan sebegini. Dimanakah perangai jahil ini muncul? Orang Melayu tidak pernah biadap seperti ini. Saya sendiri sejak dahulu tidak pernah mengalami atau berjumpa dengan seorang Melayu berakhlak sedemikian. Jika terdapat perselisihan atau persengketaan diantara agama atau kaum, orang Melayu akan duduk berbincang bersama-sama kami untuk menyelesaikan masalah dengan aman. Apabila perkara buruk berlaku, mereka (Perkasa) akan sibuk berdemonstrasi di sana sini, tetapi kami dari pihak gereja tidak akan berdemonstrasi. Kami menghormati undang-undang negara ini. Adakah kami membuat bising? Tidak sama sekali. Kami akur dengan proses undang-undang mahkamah dan bersedia melalui peringkat-peringkat seterusnya dalam prosedur penghakiman. Nor Arlene Tan: Bagaimanakah reaksi masyarakat Kristian di Sabah dan Sarawak berkenaan dengan isu kalimah “Allah” ini? Rev. Lawrence Andrew: Itulah mereka berasa sangat tersinggung. Mereka berkongsi satu Bahasa – Bahasa Melayu. Oleh kerana mereka bertutur dalam Bahasa yang sama, secara tiba-tiba orang Kristian di sana dihalang daripada menggunakan kalimah “Allah”. Di dalam penerbitan The Herald bulan Oktober ini, terdapat nukilan editorial dari akhbar-akhbar utama di Pakistan dan Turki yang mengatakan keputusan penghakiman ini adalah salah. Sesiapa tidak boleh mempunyai hak cipta terhadap perkataan “Allah”, ini termasuk juga orang Melayu. Nor Arlene Tan: Adakah pihak gereja Katolik mengadakan penglibatan komuniti atau dialog antara agama dengan orang Melayu Islam untuk menjelaskan situasi sebenar dan meredakan sentimen? Rev. Lawrence Andrew: Kami aktif dalam Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST). Mereka mengetahui dan simpati tentang isu tersebut, dan hadir memberi sokongan kepada kami semasa pengumuman keputusan Mahkamah Rayuan tersebut. Kami juga menerima banyak sokongan daripada orang Islam dan organisasi Islam seperti Sisters In Islam (SIS). Marina Mahathir juga telah bersuara dan menulis terhadap isu ini. Menariknya, juga terdapat di internet berkenaan cerita “Ayah” – jangan membiarkan anak-anak kamu memanggil dirimu “Ayah”, kerana anak-anak kami memanggil kami “Ayah”. Nor Arlene Tan: Pada pendapat anda, apakah pengislamisasian (Islamization) yang merebak ke negara ini adalah pengaruh daripada perkembangan Islam global atau situasi politik dalam negara ini? Rev. Lawrence Andrew: Ramai yang mengatakan pencambahan pengislamisasian ini berlaku kerana perkembangan Islam global yang berlaku di Iran dan Timur Tengah, seperti kebangkitan Arab (Arab Spring) di Timur Tengah. Pada pendapat saya, peristiwa tersebut tidak memberi kesan mendalam kepada pemikiran masyarakat kita. [caption id="attachment_2716" align="alignleft" width="225"]Penggunaan Bahasa Melayu memang tidak asing dalam sejarah Kristian di Malaysia. Penggunaan Bahasa Melayu memang tidak asing dalam sejarah Kristian di Malaysia.[/caption] Namun begitu, saya akui terdapat pengarabisasian (Arabization) di negara ini semasa zaman 90-an, sebagai contohnya wujudnya pergerakan Al-Arqam yang kini telah diharamkan, wanita mereka berpakaian jubah penuh dan berniqab, ini sememangnya adalah pengaruh daripada budaya Arab. Dahulunya, orang-orang Melayu lebih suka bersongkok. Songkok bukan budaya Islam, ia adalah budaya asli Melayu, dan ia juga budaya di Indonesia. Saya selalu memakai songkok pada masa dulu, dan masyarakat pada masa itu dapat menerimanya. Tetapi jika saya memakai songkok pada hari ini, dan makan pula di kedai makanan Cina, saya mungkin akan dipersoal dan mereka mungkin fikir bahawa saya adalah Melayu (Islam). Kini, jika anda ke Putrajaya anda hanya akan berjumpa dengan orang-orang Melayu sahaja. Walhal pada dahulu kala, ketua bagi tentera laut adalah orang India, termasuk juga dalam pasukan polis, polis-polis dahulu adalah berbilang kaum. Namun sekarang para penjawat awam (civil servants) telah menjadi semakin Melayu (mono-etnik). Jika anda ingin mendapat pekerjaan dalam kerajaan dan anda bukan orang Melayu, lupakan sahaja untuk memohon pekerjaan tersebut. Sesiapa yang ingin dinaikkan pangkat dalam kerajaan terpaksa menukar agamanya ke Islam. Jadi, bukan perkembangan global yang mempengaruhi pengislamisasian di negara ini, ia adalah politik dalaman di kalangan yang berkuasa yang sibuk menyebarkan pengislamisasian di keseluruhan negara ini. Terdapat pertelagahan yang berterusan diantara parti politik PAS dan UMNO untuk saling bersaing bagi mengislamkan negara ini. Malah, keputusan menghalang penggunaan kalimah “Allah” oleh Makamah Rayuan ini juga merupakan salah satu cara pengislamisasian di negara ini. Nor Arlene Tan: Soalan terakhir saya, apakah cabaran terbesar rakyat Malaysia hadapi dinegara ini dalam konteks bangsa dan agama, dimana kerajaan dan masyarakat sivil perlu memainkan peranan yang lebih mendalam? Rev. Lawrence Andrew: Pada pendapat saya, cabaran utama yang kita hadapi, jika kita jujur dengan semangat 1 Malaysia; 1 Malaysia di sini bermaksud semua kaum sama-sama bersatu, dan bukannya asimilasi menjadi satu bangsa sahaja – setakat ini maksud 1 Malaysia adalah Satu Bangsa. Jika kita benar-benar hidup dalam semangat 1 Malaysia seperti saya katakan, setiap kaum sama-sama bersatu, perpaduan diperkukuhkan seperti semasa kita mencapai kemerdekaan, maka apa yang diperlukan oleh kita semua adalah untuk menerima satu sama lain. Jangan memandang rendah kaum lain. Cabaran yang terbesar dalam diri kita semua adalah kita telah mengasingkan diri kita daripada komuniti lain dan kita telah memecahbelahkan negara ini kepada Melayu dan bukan Melayu. Oleh kerana masyarakat kita telah dipolarisasi, ketuanan Melayu telah menjadi agenda utama negara ini. Konteks perbincangan negara ini telah bertukar menjadi ketuanan Melayu atau UMNOputra (seperti dilebelkan oleh sesetengah orang) dimana orang Melayu perlu mendapat keistimewaan yang lebih daripada semua kaum yang lain. Dan ini telah menyebabkan ketegangan antara kaum. Jadi, cara yang bagus untuk meredakan sentimen ini adalah kita semua perlu menerima negara ini sebagai negara kita. Kita semua adalah pendatang, termasuk kesemua perdana menteri negara kita, yang aslinya adalah orang asal dan orang asli di negara ini. Nor Arlene Tan: Terima kasih kerana sudi mengadakan temubual ini bersama Projek Dialog. Rev. Lawrence Andrew: Sama-sama. Nota: *Kata-kata lain yang berasal daripada Bahasa Sanskrit sebagai contoh adalah:   “sandiwara”, “bumi”, “istana”, “merdeka”, dan lebih lagi.  Dalam “Malay Words of Sanskrit Origin” menyatakan:  Hari ini, jika seorang Melayu bertutur dalam sebuah ayat yang mempunyai sepuluh perkataan, kemungkinan besar lima hingga tujuh perkataan tersebut adalah perkataan Sanskrit dan selebihnya adalah berasal dari perkataan Arab, Tamil, Hindi, Inggeris, Cina, Farsi atau dari beberapa asal yang lain.

]]>

Kalimah Allah: Satu sudut pandang Kristian Sarawak

Penjelasan konteks Sememangnya dalam kemelut isu ini terdapat banyak salah faham mengenai keadaan demografik dan budaya masyarakat Kristian Malaysia, terumatanya di Borneo. Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk memberi sedikit penjelasan: Umum diketahui, dianggarkan lebih 40 etnik di Sarawak dan 32 etnik di Sabah yang terdiri dalam pelbagai kelompok bangsa, ras dan kaum. Jika ditanya mengenai demografi penduduk agama Kristian di Kepulauan Borneo, jumlah Bumiputera Kristian di Malaysia Timur adalah 1,448,967 orang daripada jumlah keseluruhan Bumiputera Kristian Malaysia yang terdiri daripada 1,549,193 orang. Berdasarkan daripada stastistik tersebut, dapat dinyatakan disini kepelbagaian Bumiputera Kristian berbilang kaum dan etnik juga dipengaruhi dengan kawasan geografik dan kepelbagaian mazhab serta aliran agama Kristian itu sendiri yang turut mempunyai latar belakang sejarah yang pelbagai. Seperti yang diketahui, antara mazhab Kristian yang utama di Malaysia termasuk Roman Katolik, Anglikan, Evangelikal, Baptis, Brethren, gereja berkarisma bebas, Lutheran, Methodis, Presbyterian dan gereja-gereja yang tak ber-denominasi. Tetapi, jika kita perhatikan pada tahap yang lebih lokal di Borneo, demografiknya begitu rumit. Tiada masyarakat Kristian yang “monolitik” yang senang difaham secara pukul rata. Contohnya di Sarawak, penganut Kristian berbeza mengikut kaum serta mazhabnya. Sebagai contoh umum, kaum Bidayuh kebanyakkannya menganut fahaman Roman Katolik dan Anglikan. Kaum orang Ulu (Kayan, Kelabit, Lun Bawang) majoritinya menganut fahaman Evangelikal. Kaum Iban menganuti pelbagai mazhab/aliran Kristian. Kaum Melanau di Sarawak dilihat majoritinya Islam juga mempunyai penganut Kristian aliran Katolik. Begitu juga di Sabah, penganut Kristian dibezakan melalui etnik dan daerah. Contohnya kaum Kadazan-Dusun majoritinya adalah Roman Katolik, kaum Murut pula lebih ke arah evangelikal. Medium bahasa yang digunakan dalam upacara keagamaan Kristian di Sabah dan Sarawak memang pelbagai: secara umumnya ia termasuk Bahasa Inggeris di samping bahasa ibunda etnik / suku masing-masing dan juga Bahasa Malaysia. Akan tetapi, Bahasa Malaysia tetap digunakan lebih kerap kerana ianya bertindak sebagai medium yang menyatu padukan pelbagai etnik, kaum dan mazhab Kristian di Borneo apabila berkumpul dalam satu upacara keagamaan. Membumikan teologi Memang tidak dapat dinafikan bahawa agama Kristian tidak mempunyai kata nama khas yang khusus untuk merujuk kepada nama tuhan bagi menerangkan konsep Trinitas (Trinity) sebagaimana Yahudi mahupun Islam. Justeru, kaedah pembumian agama untuk keadaan tempatan (atau dalam istilah Bahasa Inggeris contextualization ataupun indigenization) digunakan untuk menterjemah istilah ‘Elohim’ dan ‘Adonai’ daripada bahasa Ibrani (Yahudi) dalam Perjanjian Lama, dan istilah ‘Kurios’ dan ‘Theos’ daripada bahasa Yunani dalam Perjanjian Baru yang ada pada Alkitab (Bible) mengikut bahasa ibunda dan bahasa setempat. Pembumian digunakan dalam kajian terjemahan Alkitab berhubung dengan tetapan yang berkaitan dengan budaya masyarakat setempat bagi memahami penggunaan perkataan yang dipinjam daripada Perjanjian Lama bahasa Ibrani dan Perjanjian Baru bahasa Yunani yang merupakan bahasa asal Alkitab. Keputusan yang tidak adil Dari sini kita boleh lihat bahawa larangan untuk penggunaan kalimah Allah di konteks Malaysia timur jelas meminggirkan. Umat Kristian sudah menggunakan kalimah tersebut sekian lama sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia. Bahkan dalam bahasa Iban, pencipta juga digelar ‘Allah Taala’ sebelum kedatangan agama Kristian. Secara mudahnya kita hanya harus merjuk kepada pernyataan berikut dalam 20/18 Perjanjian Malaysia 1963: Perkara 1: Agama “Tiada bantahan terhadap Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia tetapi Borneo Utara/Sarawak sepatutnya tidak mempunyai agama rasmi. Segala bidang kuasa Malaya yang berkaitan dengan Islam tidak patut dikuatkuasakan di Borneo Utara/Sarawak.” Dalam ini, kita juga patut sedar bahawa penganut Kristian Bumiputera di Semenajung Malaysia juga terdiri daripada penduduk asal Orang Asli dan penduduk asal Sabah dan Sarawak yang berhijrah ke sana turut menggunakan bahasa ibunda sebagai medium. Adakah adil larangan ini ke atas akhbar Katolik Herald sekiranya petikan Alkitab, upacara sembahyang dan doa itu dipetik dalam bahasa Malaysia di Semenanjung Malaysia? Keliru? Dakwaaan penggunaan kalimah ‘Allah’ tersebut akan mengelirukan umat Islam adalah tidak benar kerana akhbar tersebut tidak dijual dan diedarkan di luar lingkungan gereja. Pihak gereja juga ingin bersifat defensif bagi memastikan terjemahan Alkitab dan bahasa pertuturan upacara keagamaan dalam Bahasa Malaysia terpelihara daripada perubahan. Akhir, gereja juga ingin memelihara kebebasan nurani penganut Kristian Orang Asli, Sabah dan Sarawak agar bebas menggunakan bahasa ibunda dan bahasa Malaysia dalam kehidupan keagamaan mereka. Dialog untuk pemahaman dan penyelesaian Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam dan Melayu, JAKIM, majlis agama Islam negeri-negeri, mufti-mufti, ahli politik dan kerajaan Persekutuan seharusnya bertindak rasional dalam mengendalikan isu ini agar ianya tidak menjadi satu barah berlanjutan yang akan merosakkan perpaduan antara kaum dan agama. Penjelasan, pengajaran dan dialog adalah jalan terbaik memahami persamaan dan perbezaan antara agama. Akhir kalam, ayuhlah rakyat Malaysia tinggalkan pemikiran jumud dan dangkal mengenai isu ini. Sama-samalah menghayati pegangan agama masing-masing dan hormatilah pegangan agama lain selaras dengan prinsip kebebasan beragama. Sehubungan dengan itu, kita dapat membaiki perpaduan dan kestabilan negara Malaysia ini sebaik mungkin.

]]>

Apabila agama dipolitikkan: Cabaran dan penyelesaian

Talibanisme Semasa Taliban memerintah di Afghanistan, banyak keputusan dan tindakan Taliban kelihatan tidak cermat dan tanpa difikirkan kesan buruk disebalik tindakan itu. Antara yang ketara adalah, tindakan Taliban yang meruntuhkan patung Buddha yang didakwa berumur lebih 2 ribu tahun di satu kawasan bernama Bamiyan. Patung itu amat besar, sehinggakan ia sama tinggi dengan bukit di situ. Diberitahu juga, bahawa kawasan Bamiyan sudah tidak ada penganut Buddha tetapi terdapat penduduk yang berfahaman syiah. Taliban telah meletupkan patung tersebut untuk dihancurkan dengan alasan penjagaan aqidah dan memerangi syirik. Tindakan Taliban itu dikritik hebat oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi. Kritikan itu, menjadikan kalangan Pro-Taliban melebelkan Qaradawi sebagai ulama berhala. Dalam kenyataan Al-Qaradawi dalam perkara ini, beliau menyatakan bahawa pada tahun ke 7 hijriah, berlaku Umrah al-Qadha’ bahawa Nabi MUHAMMAD SAW dan para sahabat masih lagi melakukan Tawaf keliling Kaabah dalam keadaan kaabah ketika itu masih  dipenuhi dengan patung-patung sembahan orang Quraish. Al-Qaradawi menyatakan lagi, tindakan Taliban itu kelihatan bermusuh dengan Amerika dan Eropah, tetapi tanpa mereka sedar bahawa mereka sudah menjadi punca permusuhan orang Islam dengan orang bukan Islam di Timur. Ekoran kebencian mereka terhadap barat mereka meruntuhkan patung Bamiyan. Kesan dari itu, umat Islam di negara Buddha ditekan dan ditindas atas sentimen yang sama. Ternyata keadaan itu berlaku, sepertimana selepas kejadian runtuhnya patung Bamiyan, kedengaran pembunuhan beramai – ramai terhadap umat Islam di selatan Thailand dan keadaan tidak selesa di kalangan Umat Islam di Vietnam. Fikir kesan Dalam Al-Quran, Allah SWT ada menyatakan, “Jangan kamu cela mereka yang menyembah selain Allah, kerana bimbang mereka akan mencela Allah secara  permusuhan dan tanpa ilmu” (Surah al-an’am, ayat 108) Dalam komentar Imam al-Baidhawi terhadap ayat ini, beliau menyatakan, “Pada awalnya, Umat Islam selalu mencela mereka (yang menyembah selain Allah), lalu mereka ditegah supaya (dipihak mangsa celaan) tidak melakukan celaan balas terhadap Allah. Ia menjadi dalil bahawa perkara yang dibenarkan pun pada asalnya, jika boleh membawa kepada maksiat yang pasti, maka ia wajib ditinggalkan, kerana perkara yang membawa kepada kejahatan, ia turut sama dianggap sebagai jahat” (al-Baidhawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, jld 2, hlmn 177) Dalam erti kata yang lain, dalam ayat ini Allah SWT mengajar kepada manusia bahawa sesuatu tindakan yang mahu dilakukan hendaklah diperhatikan juga sudut kesan sampingannya. Jika diperhatikan, seseorang doktor di hospital tidak akan memberikan sesuatu ubat kepada pesakitnya sesuka hati, tetapi difikirkan juga apa implikasi atau kesan sampingan yang bakal berlaku. Politikkan agama Di Malaysia, banyak isu-isu melibatkan hubungan Muslim dan non-muslim menjadi calar ekoran sudut faham agama cukup terkebelakang. Cara faham Islam sebilangan orang Islam di Malaysia tidak berasaskan kepada ilmu, tetapi lebih kepada sentimen dan mainan politik. Sebelum ini, di malaysia pernah di bisingkan dengan isu larangan orang bukan Islam masuk ke masjid dengan alasan bahawa orang bukan Islam tidak mandi junub. Sedangkan dari sudut perbahasan Islam, jika dibaca dalam hadis yang saheh diceritakan ada seorang lelaki yang bernama Sumamah bin Ussal yang tidak beragama Islam telah diikat dalam masjid ekoran ditawan dalam satu peperangan, disamping dalam hukum fiqh, orang bukan Islam tidak akan sah mandi junubnya. (ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 1, hlmn 268) Begitujuga, di Malaysia pernah dibisingkan  dengan isu larangan mendoakan kepada orang bukan Islam ekoran seorang pendakwah telah berkhutbah di salah sebuah masjid di Pulau Pinang telah mendoakan kepada Allah agar diberikan hidayah kepada ketua Menteri Negeri tersebut yang tidak beragama Islam. Dari sudut pandang Islamnya, tiada larangan pun perbuatan tersebut. Ini kerana, dalam banyak hadis didapati bahawa Nabi Muhammad SAW mendoakan hidayah kepada Umar bin al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam. [sila rujuk Muhammad bin Afifi al-Bajuri, Nurul al-Yaqin Fi Sirah Said al-Mursalin, hlmn 52] Begitujuga doa harapkan hidayah oleh Nabi Muhammad SAW terhadap kaum Taif yang menolak dakwah dan melontarkan kepada Nabi dengan batu. [Sila rujuk Ibn al-Qayyim, Zad al-Maad, jld 3, hlmn 29]. Tanpa kita lupa juga dengan isu larangan orang bukan Islam membaca Al-Quran ekoran seorang ahli politik yang tidak beragama Islam telah membaca satu ayat dari Al-Quran dalam satu ceramah beliau. Walhal, jika dibaca dalam hadis terdapat beberapa kisah yang mempamerkan keizinan orang bukan Islam membaca Al-Quran, seperti Abu Bakar al-Siddiq pernah menyatakan kepada seorang perempuan yahudi yang sedang menjampi Aisyah dengan kata Abu Bakar al-Siddiq, “Jampilah dia dengan membaca kitabullah (Al-Quran) [Sila Rujuk Imam Malik, Muwatta’, hadis no : 1982] Jika kita perhatikan balik, semua isu-isu yang dibangkitkan tidak lebih kecuali mahu mewujudkan suasana yang tidak sihat dalam hubungan antara Muslim dan orang bukan Islam di malaysia. Ia tidak menguntungkan dakwah, tetapi lebih kepada mewujudkan suasana yang tidak harmoni. Hubungan Di Malaysia, sudut pandang Islam dalam beberapa perkara, jika dibandingkan dengan cara Nabi Muhammad, pasti kita akan nampak perbedaan yang amat ketara. Terdekat seperti isu penggunaan Kalimah Allah untuk orang bukan Islam, ia menjadi isu yang berpanjangan sehinggakan melibatkan perbicaraan mahkamah. Walhal, jika diperhatikan dari sudut sumber Islam disamping pengamalan di semua negara dan sejak zaman wahyu sehingga sekarang, hanya semenanjung malaysia sahaja yang melarang. Ini gambaran keanehan cara sudut faham Islam di malaysia jika mahu dibandingkan di tempat lain, yang sudah pasti terlalu amat ganjil jika dibandingkan dengan Islam di era keNabian. Melihat kepada itu, tidak hairan implikasi dan kesan yang tertimpa, hubungan Muslim dan orang bukan Islam di malaysia kelihatan seperti tenang di luar, tetapi dari sudut hati kecil wujud seribu satu permusuhan. Ekoran dari itu, mula wujud suara-suara tidak puas hati, hilang keharmonian seperti terbaru kedengaran suara orang bukan Islam yang beragama hindu melarang penyembelihan lembu korban secara terbuka dengan alasan menghormati sensitiviti dan sebagainya. Seharusnya, Islam itu perlu dibahas mengikut nilai, lunas dan ajaran Nabi, bukan dipolitik-kepartiankan atau disentimenkan tanpa ilmu, kerana ia bukan mendatangkan hasil yang baik, sebaliknya keadaan semakin memburuk. Dalam keadaan begitu, di pihak rakan-rakan yang tidak beragama Islam, mereka perlu sedar bahawa tindakan provokasi atas nama Islam itu sebenarnya bukan dari ajaran Islam, tetapi itu adalah sikap sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab. Hakikat sebenar, rujukan mereka bukan kepada Islam, tetapi kepada sentimen mereka yang berasaskan kepada hawa nafsu. Namun, lebel Islam di gunakan untuk mempamerkan tindakan mereka seperti benar, walhal Ia tidak benar sama sekali. Tindakan mereka itu, tidak sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali yang pernah berkata, “Kalimah yang benar, tetapi yang dikehendaki adalah kebatilan.” [sila rujuk Ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 2, hlmn 545) Wallahu alam. Sila hubungi editor@projekdialog.com untuk bibliografi yang lebih lengkap. 

]]>

Temubual BFM bersama Reza Aslan, bahagian 2: Kalimah Allah di Malaysia

Temubual Ezra Zaid dan Umapagan Ampikaipakan bersama Reza Aslan berterusan. Kali ini, perbualan mereka turut merangkumi isu kalimah Allah di Malaysia. Reza Aslan merupakan seorang penulis dan cendakiawan agama yang diiktiraf antarabangsa. Beliau merupakan pengarang buku paling laris dalam New York Times bertajuk Zealot: The Life and Times of Jesus of Nazareth.

Buku Pertama Reza Aslan juga merupakan buku paling laris antarabangsa bertajuk “No God But God: The Origins, Evolution, and Future of Islam” (Tiada Tuhan Melainkan Allah: Asal-Usul, Perkembangan dan Masa Depan Islam). Buku tersebut dinamakan salah satu buku yang paling penting dalam dekad ini. Ia juga telah diterjemahkan dalam 30 bahasa yang lain, termasuk dalam Bahasa Melayu, dan boleh didapati dalam kebanyakkan kedai buku.

Berikut adalah transkrip perbualan mereka.

Isu Kalimah Allah Umapagan Ampikaipakan: Kita telah berbincang berkaitan dengan perkembangan yang sedang berlaku dalam wacana Islam di Timur Tengah dan Asia Tenggara, kini saya ingin membawa fokus perbincangan tersebut ke negara ini, iaitu berkenaan keputusan makamah terhadap isu kalimah ‘Allah’ yang telah mendapati liputan berita antarabangsa. Pada Isnin lepas, Makamah Rayuan sebulat suara menolak keputusan makamah pada tahun 2009 yang membenarkan pihak gereja Katolik untuk menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam seksyen Bahasa Malaysia majalah mingguan The Herald. Ezra Zaid: Di tengah-tengah kontroversi di Malaysia berkenaan isu kalimah ‘Allah’, terdapat pelbagai alim ulama, ahli akademik, dan sejarahwan di negara ini yang berkongsi pendapat mereka mengenai asal-usul penggunaan kalimah tersebut. Apakah pendapat anda mengenai isu kalimah ‘Allah’ ini? Reza Aslan: Perspektif saya mengenai isu ini adalah berdasarkan intepretasi sejarah. Ini merupakan fakta sejarah iaitu perkataan ‘Allah’ adalah berdasarkan perkataan asalnya ‘Al-Ilah’. ‘Al-Ilah’ bermaksud Tuhan yang Satu. ‘Allah’ bukan sebuah nama khas bagi Tuhan. Secara jujurnya, sesiapa yang fikir bahawa perkataan ‘Allah’ merupakan sebuah nama bagi tuhan bukan sahaja salah, tetapi mereka sebenarnya mencabar ajaran Al-Quran itu sendiri dan boleh menjadi syirik jika berkeras bahawa tuhan mempunyai sebuah nama. ‘Allah’ hanya adalah sebuah perkataan dalam bahasa Arab yang merujuk kepada maksud tuhan – ia bermaksud setiap tuhan dalam setiap agama, bahkan kita mengetahui secara fakta bahawa masyarakat Kristian dan Yahudi di Semenanjung Arab sebelum kedatangan Islam merujuk kepada tuhan mereka sebagai ‘Allah’. Kenapa perkara ini berlaku? Sebab mereka bertutur dalam bahasa Arab. Bukan kerana ‘Allah’ merupakan sesuatu tuhan yang tertentu, tetapi ia tidak lebih daripada makna bahasa Arabnya bagi tuhan. Ini bukan sebuah pendapat, tetapi fakta. Umapagan Ampikaipakan: Anda mengeluarkan satu tweet yang geli hati berkenaan keputusan makamah  mengharam orang bukan Islam untuk menggunakan perkataan ‘Allah’ yang tidak masuk akal. Anda mengatakan ia bagaikan mengharam perkataan ‘twerking’ kepada sesiapa yang berumur kurang daripada 17 tahun di Amerika Syarikat. Kenapa anda rasa ia tidak masuk akal? Reza Aslan: Perkataan yang saya gunakan bukan ‘tidak masuk akal’, tetapi ‘bodoh’. Menganggap bahawa Allah itu hanya Tuhan untuk orang Islam memanglah satu perkara yang bukan-bukan. ‘Allah’, seperti yang telah saya katakan, hanya merupakan sebuah perkataan bagi tuhan, dan keputusan makamah ini adalah tidak masuk akal dan meyinggung perasaan orang lain:  tanggapan dimana bukan sahaja orang Kristian tidak boleh menggunakan perkataan ‘Allah’ tetapi dengan menggunakan perkataan ‘Allah’ ia mengancam Islam. Ia seakan-akan masyarakat Malaysia teramat bodoh,  bahawa jika mereka mendengar orang Kristian menggunakan perkataan ‘Allah’, mereka akan menjadi Kristian secara tidak sengaja. Kenyataan tersebut adalah bahlul. Terus-terang, ia adalah memalukan. Ia adalah memalukan bagi negara perlembagaan moden yang demokratik, bagi negara bermajoritikan Islam seperti Malaysia yang setanding dengan negara-negara dunia pertama yang maju. Perkara bodoh ini mungkin akan berlaku di Saudi Arabia tetapi tidak sepatutnya berlaku di sini. Ezra Zaid: Menurut ringkasan kuputusan makamah rayuan tersebut, ia menyatakan bahawa penggunaan kalimah ‘Allah’ bukan sesuatu yang penting bagi masyarakat Kristian bagi menunaikan keimanannya terhadap agama Kristian. Jika penggunaan perkataan tersebut dibenarkan oleh orang Kristian, ia akan menyebabkan kekeliruan bagi orang Islam dan mengganggu kestabilan negara ini. Reza Aslan: (KETAWA) Bagaimana anda boleh membaca kenyataan tersebut dan tidak merasa geli hati? Ezra Zaid: Apa yang saya ingin ketengahkan ialah masyarakat Melayu Islam di negara ini dianggap mempunyai hak pemilikan perkataan ‘Allah’ untuk diri mereka sendiri. Adakah idea pemilikan hak perkataan ‘Allah’ oleh sesebuah komuniti melangkaui konteks sejarah and etomologi maksud perkataan tersebut? Reza Aslan: Jawapan saya dari segi sejarah adalah:  Tidak. Dari segi budaya and etomologi adalah:  Tidak. Tapi perkara yang paling penting bagi orang Islam perlu mengetahui, dari segi teologi juga adalah:  Tidak. Mana-mana imam yang mengatakan bahawa Allah mempunyai nama adalah syirik. Allah bukan nama kepada tuhan, orang Islam tidak mempunyai hak pemilikan terhadap nama ‘Allah’. Jika anda membaca Bible dalam bahasa Arab, tuhan dirujukkan sebagai ‘Allah’. Malah di Iran dimana rakyatnya tidak bertutur dalam bahasa Arab, tuhan dirujukkan sebagai ‘Allah’ sebagaimana tuhan juga dirujukkan sebagai ‘Khuda’ dalam bahasa Farsi. Tanggapan bahawa sesiapa boleh mengawal idea, perbuatan, keimanan, dan pemikiran orang ramai dengan mengawal perkataan yang digunakan adalah bodoh dan tidak masuk akal. Ia adalah amat memalukan, bahkan mengaibkan dan tidak akan mendatangkan apa-apa manfaat kepada negara yang progresif seperti Malaysia. Idea sebegini adalah tidak sepatutnya ada dalam wacana mana-mana negara moden demokratik. Ia hanya akan mencemarkan nama baik negara ini, seperti saya utarakan awal tadi. Malaysia merupakan negara model bagi orang Islam diserata dunia. Sebaliknya, isu ini telah menjadi Malaysia sebagai jenaka ejekan oleh orang ramai. Saya ingin jelaskan kepada rakyat Malaysia: seluruh dunia sedang ketawakan korang! Umapagan Ampikaipakan: Jika anda membuat perbezaan tentang apa yang diperkatakan oleh makamah – sebagai contohnya, orang asing yang melawat ke negara ini mungkin akan menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai maksud tuhan dalam agamanya dan dia juga mungkin tidak mempunyai perkataan lain untuk mengambarkan tuhannya. Hal ini adalah amat penting bagi amalan agamanya, tidak kiralah agama Kristian atau Sikh. Reza Aslan: Tepat sekali, kedua-dua agama tersebut (agama Kristian dan Sikh) menggunakan perkataan ‘Allah’. Umapagan Ampikaipakan: Jika saya tidak silap terdapat 56 rujukan perkataan ‘Allah’ dalam Kitab suci agama Sikh. Dalam konteks ini, penduduk Borneo tidak mengetahui perkataan lain selain ‘Allah’ bagi merujukkan kepada tuhan. Reza Aslan: Tepat sekali. Ada seperkara lagi, saya fahami memang terdapat makanisme politik di negara ini; makamah di negara ini tidak bebas dan terikat daripada keputusan cabang eksekutif kerajaan. Saya fahami bagaimana politik di Malaysia berfungsi – keputusan makamah ini adalah keputusan politik lebih daripada apa-apa yang lain. Tetapi, saya ingin bincangkan aspek yang lain, iaitu tanggapan bahawa orang Islam di Malaysia perlu dilindungi – oh, orang-orang Islam yang sungguh lemah imannya! Anda perlu dilindungi oleh makamah kerana anda tidak boleh berfikir atau berbuat keputusan untuk diri anda sendiri. Kalau tidak silap, salah seorang hakim mengatakan:  membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ‘Allah’ merupakan ancaman kepada Islam. Keputusan makamah tersebut berlaku pada hari yang sama kejadian teruk pembunuhan masal di Pakistan pada Eid al-Adha. Seorang Taliban meletakkan bom di dalam Al-Quran, membawakannya ke dalam masjid di hari suci dalam kalander Islam ini lalu membunuh orang-orang Islam. Anda ingin mengatakan pasal isu ancaman terhadap Islam? Kelakuan sebegini adalah ancaman yang sebenarnya. Seorang Kristian di Malaysia yang menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai maksud tuhan BUKAN ancaman kepada Islam. Wacana Islam di Amerika Ezra Zaid: Berkata tentang hak pemilikan dan sejarah dalam agama Kristian, anda juga merupakan pengarang kepada buku ‘Zealot’ yang merupakan buku jualan terlaris di New York Times, adakah sukar bagi anda sekarang sebagai seorang cendakiawan Islam menulis buku tentang Nabi Isa di Amerika Syarikat? Reza Aslan: Memang sukar menjadi seorang Muslim di Amerika Syarikat untuk macam-macam sebab, terdapat pelbagai aktiviti dan sentimen anti-Islam di sana. Namun begitu, secara jujurnya, ia telah menjadi perniagaan yang menguntungkan. Terdapat ramai orang di Amerika Syarikat menjadi sangat kaya dengan cuba menyakinkan rakyat Amerika Syarikat bahawa orang Islam sedang cuba untuk mengancam hidup mereka. Dalam bila-bila sahaja, 1% populasi masyarakat Islam Amerika Syarikat akan bangkit dan mengambilalih negara ini. Kebanyakkan idea ini telah pudar, kerana orang ramai mula menyedari kebodohan idea tersebut. Tetapi idea tersebut wujud kerana ketakutan. Rakyat Amerika Syarikat juga sedang berhadapan dengan krisis identiti yang serius. Saya tidak pastilah jika anda perasan tentang perkara tersebut. Masyarakat negara kita [AS] dalam keadaan teruk, politik negara kita [AS] juga sudah tidak berfungsi. Umapagan Ampikaipakan: Tetapi krisis hutang di Amerika Syarikat berjaya dielakkan. Reza Aslan: Betul. Sekali lagi, pada saat-saat terakhir kita berjaya mengelak daripada krisis hutang tersebut. Taniah kepada kita dan kita akan masih berada di sini untuk berbulan-bulan ayang kan datang. Kita juga sedang berhadapan dengan perubahan demografik perkauman dan budaya yang serius – pengkaji demografik memberitahu kepada kami bahawa Amerika Syarikat dalam kurang daripada satu dekad ini akan menjadi negara yang pertama dalam sejarah dunia sebagai negara yang bermajoritikan kaum-kaum minoriti [secara keseluruhnya], dan ini merupakan sesuatu yang luar biasa! Sesuatu yang patut disambut, tetapi seperti yang anda bayangkan, kebanyakkan raykat Amerika Syarikat tidak berfikir seperti itu. Umapagan Ampikaipakan: Pihak Republican tidak tahu untuk berbuat apa lagi. Reza Aslan: Ya. Ini merupakan titik tamat harapan politik mereka, selagi mereka masih mengekalkan sebagai parti orang putih selatan yang bersikap berang. Dalam erti kata lain, isu ini bukan lagi berkenaan dengan orang Islam, tetapi berkenaan dengan rakyat Amerika Syarikat sendiri. Ini adalah tentang identiti krisis Amerika Syarikat, dan orang Islam hanyalah sebagai kambing hitam dalam hal ini. Umapagan Ampikaipakan: Ini adalah peluang yang besar bagi berhadapan dengan isu ini – dengan memperbanyakkan bilangan orang Islam yang berjaya dan kaya di Amerika Syarikat; mereka boleh mengeratkan silaturrahim dengan mengatakan, ‘Hey, kita adalah kawan!’ Reza Aslan: Seperkara yang anda perlu mengetahui tentang orang Islam Amerika Syarikat adalah kita tiada masalah untuk menjana kekayaan, orang Islam di Amerika Syarikat adalah bukan kepalang kayanya. Malah, sebuah kumpulan pengiklanan JWT baru-baru ini menjumlahkan gaji isu rumah tahunan oleh masyarakat Islam dan Timur Tengah Amerika Syarikat dengan jumlah USD170 billion. Anda cuma perlu lihat ahli-ahli pengasas bagi syarikat eBay, Google, Yahoo, Apple, dan sebagainya, berapa orang yang bernama Muhamad atau Ali dalam senarai nama syarikat-syarikat tersebut yang dapat anda jumpai? Masyarakat Islam di Amerika Syarikat telah mengaut kekayaan yang banyak, kini mereka perlu mencari jalan untuk membelanjakannya dengan betul. Dan ini adalah masalahnya, saya fikir ia adalah masalah antara generasi. Anda perlu fahami, mereka adalah kelompok komuniti yang datang dari negara seperti Iran (seperti saya), Pakistan, dan sesetengah kawasan di Timur Tengah; tempat-tempat tersebut tidak mempunyai tradisi yang lama berkenaan kerjasama sivik atau penglibatan politik. Malangnya, kebanyakkan orang Islam yang amat kaya ini tidak menyedari kuasa yang mereka ada untuk mengubah masyarakat. Ini kerana masyakarat Amerika Syarikat adalah berfungsi berdasarkan kapitalisme atau wang. Di negara ini, wang adalah suara. Saya malas dan meluat mendengar rungutan tentang sentiment-sentimen anti-Islam di Amerika Syarikat. Saya fikir, jika anda ada masalah dengan isu ini, anda kenalah menggunakan wang anda untuk memusnahkan mana-mana ahli politik yang mengatakan perkara negatif tentang orang Islam. Beginilah sistem negara ini berfungsi. Semuanya adalah berkaitan dengan wang. Mereka masih belum menyedari hakikat tersebut. Ini adalah sesuatu yang disedari oleh masyarakat Yahudi sejak awal dahulu. Pada tahun 1920-an sehingga 1930-an, di Amerika Syarikat, sentimen anti-Yahudi adalah keterlaluan, maksud saya anti-Semitisme. Ahli politik dan ahli bisnes yang hebat merupakan golongan anti-Semit yang menjelekkan. Masyarakat Yahudi dilihatkan sebagai golongan ‘fifth column’ (*golongan yang dicuriga oleh masyarakat majoriti sebagai golongan bersimpati dengan pihak lawan secara rahsia) dalam masyarakat Amerika Syarikat. 50 tahun kemudian, mereka menjadi sebahagian besar daripada budaya dan gaya hidup Amerika Syarikat. Rakyat Amerika Syarikat sering berkata tentang nilai-nilai hidup Yahudi-Kristian (Judeo-Christian values) negara ini. Bagaimanakah ia boleh terjadi? Mereka sangat bijak untuk menyedari bahawa cara mengubah persepsi masyarakat Yahudi di Amerika Syarikat adalah dengan menggunakan wang anda untuk mempromosikan pendidikan, perhubungan, seni, filem, dan muzik. Terdapat hanya 6 juta orang Yahudi di dalam 350 juta populasi rakyat Amerika Syarikat, namun begitu, mereka berada di serata tempat di televisyen, radio, dan buku; banyak pengarang yang hebat adalah orang Yahudi, banyak artis yang hebat adalah orang Yahudi, banyak arkitek yang hebat adalah orang Yahudi, termasuk juga di dalam perniagaan dan politik. Apa yang mereka lakukan adalah dengan mengintegrasikan komuniti mereka secara keseluruhan ke dalam masyarakat Amerika Syarikat. Walaupun bilangan populasi mereka adalah amat kecil, mereka mempunyai pengaruh kuasa yang kuat dalam budaya Amerika Syarikat. Ezra Zaid: Saya rasa ini merupakan pengajaran kepada rakyat Malaysia di sini. Reza Aslan: Sudah tentunya. Ia merupakan pengajaran bagi semua orang; kita perlu menyedari hakikat tersebut lambat laun juga, bukannya duduk dan merungut terhadap persepsi orang lain terhadap kita. Ezra Zaid: Terima kasih masa anda bersama kami. Reza Aslan: Terima kasih. Anda juga turut dijemput membaca bahagian pertama temubual ini. (Diterjemah oleh Nor Arlene Tan) ]]>