Pengenalan dan Latarbelakang Tujuan dokumen ini adalah untuk menjelaskan secara ringkas kepada orang-orang Kristian yang tidak faham bila, kenapa dan bagaimana Gereja-gereja di Malaysia menggunakan kata ‘Allah’. Ia juga untuk orang Kristian yang keliru tentang bagaimana harus bertindak apabila berhadapan dengan orang bukan Islam yang jahil tentang penggunaan kata ‘Allah’ dalam agama Kristian. Terdapat banyak (tidak tepat) kenyataan bukan Kristian yang mendakwa bahawa kita tidak boleh menggunakan kata ‘Allah’ kerana ia adalah istilah eksklusif untuk agama Islam yang merujuk kepada Tuhan Islam dan hanya boleh digunakan oleh orang Islam. Ia merupakan masalah pelik di Malaysia kerana di negara-negara Islam yang lain , di negara Arab – penganut Kristian berbahasa Arab menggunakan kata ‘Allah’. Umat Kristian sendiri kadang-kadang jahil kecuali jika kita berdoa dalam Bahasa Malaysia, kita berdoa kepada ‘Allah’ dalam bahasa kita sendiri. Sebagai contoh, dalam Bahasa Inggeris, kita tidak menggunakan kata ‘Allah’. Walau bagaimanapun, lebih 60% daripada Kristian di Malaysia hanya bercakap dalam Bahasa Malaysia, dan perkataan yang digunakan untuk Tuhan di dalam kitab Bahasa Malaysia (Al-Kitab) sejak terjemahan pada tahun 1731, adalah ‘Allah’. Kata ini digunakan oleh Bumiputera Kristian yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantara mereka terutama di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia, dan masyarakat Baba di Melaka Sejarah Makna dan Penggunaan 1. Kata ‘Allah’ adalah istilah yang digunakan bagi Tuhan yang tertinggi diantara tuhan-tuhan, sebelum wahyu Islam. The Shorter Encyclopedia of Islam, ed. H.A.R. Gibb & J. H. Kramer dan The Oxford Encyclopedia of the Modern Islamic World, ed. John L. Esposito, menyokong dan mengesahkan pernyataan ini. Dari segi sejarah, penganut Kristian berbahasa Melayu di AsiaTenggara telah menggunakan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan. Buktinya adalah seperti berikut: – Wujudnya Kitab salat as sawai atau Katekismus Kristian di dalam Bahasa Melayu telah ditulis pada tahun 1514 dan diterbitkan sekitar 1545, – Telah ada versi cetakan Injil Matius di dalam Bahasa Melayu oleh A.C. Ruyl pada tahun 1629, Kamus Melayu-Latin telah dicetak di Roma pada tahun 1631 (Dictionarium The Malaicum-Latinum dan Latinum – Malaicum) – Terjemahan Kitab Kejadian oleh D. Brouwerius (1662), – Terjemahan M. Leijdecker (1733), – Terjemahan H.C. Klinkert (1879), – Terjemahan W.A. Bode (1938), dan – Pada tahun 1731-1733, telah wujud Al-Kitab Bahasa Melayu lengkap mengandungi kata ‘Allah’ iaitu terjemahan untuk ‘God’. 3. Oleh itu, sejak awal lagi, kata ‘Allah’ telah digunakan dalam liturgi, doa-doa dan ibadat orang-orang Kristian yang bertutur dalam Bahasa Malaysia. Tetapi selama berabad-abad itu, tidak ada bantahan atau kegemparan mengenai penggunaan kata ‘Allah’. Bahasa Bantahan terhadap penggunaan kata ‘Allah’ kebanyakannya berpunca dari wacana politik, atau di kalangan mereka yang membantah dengan tuduhan bahawa penterjemahan dan penggunaan kata ‘Allah’ baru sahaja berlaku. Ini tidak benar kerana sebab-sebab berikut: 1. Dalam bahasa-bahasa Semitik, kata ‘Allah’ telah digunakan secara meluas di Timur Tengah sejak abad ke-5 SM, sehingga masa perkembangan Islam dan penyebaran Bahasa Arab pada abad ke-7 M. 2. Penterjemahan Al-Kitab bukan menterjemah dari Bahasa Inggeris tetapi berdasarkan teks-teks dari Al-Kitab Ibrani dan teks Yunani. Dalam Bahasa Ibrani, kata ‘Allah’ mempunyai bentuk akar yang sama seperti Bahasa Arab. Jadi, apabila kata ‘Allah’ pertama kali diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, para penterjemah sebenarnya mengikut penggunaan Bahasa Arab Kristian dan mengekalkan perkataan ‘Allah’. 3. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kata ‘Allah’ digunakan sebelum kedatangan Islam. Ia bukan ciptaan umat Islam dan kewujudannya tidak bermula di dalam Al-Quran. Haruskah Kristian Menggantikan kata ‘Allah’ dengan ‘Tuhan’? Ini tidak mungkin atas sebab-sebab berikut : 1. Dalam Bahasa Melayu, ‘Allah’ bermakna ‘Tuhan’ dan ‘Tuhan’ bermaksud ‘Lord’. Ini jelas apabila kita membaca Al-Kitab, ‘Allah’ dan ‘Tuhan’ digunakan di dalam Al-Kitab, dan kedua-duanya mempunyai konotasi yang berbeza. Oleh itu ‘Allah’ tidak boleh digantikan dengan ‘Tuhan’. 2. Kata Tuhan telah digunakan untuk Yesus Kristus iaitu Tuhan Yesus. Sekiranya Kristian menggantikan kata ‘Allah’ untuk Tuhan, ia menimbulkan banyak kekeliruan dan tidak keruan yang merujuk kepada Tuhan dan Yesus kerana: – Makna ‘Allah’ dan Tuhan adalah berbeza. – Ini sangat jelas melalui satu contoh sahaja. Di dalam Yesaya, Bab 41 dan Ayat 13; 43:3 dan 51:51. “For I am the LORD, your GOD…” diterjemahkan sebagai “Akulah Tuhan, Allah kamu…”(ALKITAB : Berita Baik. 2001. Edisi Kedua. Terbitan The Bible Society of Malaysia). – Ia akan mewujudkan situasi tidak masuk akal jika orang Kristian perlu menterjemahkan frasa alkitabiah ‘Lord God’ sebagai Tuhan Tuhan. Pengulangan kata Tuhan Tuhan menunjukkan jamak di dalam Bahasa Malaysia, ia seolah-olah memperlihatkan bahawa agama Kristian percaya akan banyak tuhan, ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. – Umat Kristian berbahasa Malaysia tidak akan dapat mengesahkan ketuhanan Yesus Kristus dan mengajar doktrin Tritunggal kerana dua perkataan ini adalah kata-kata asas dan penting untuk mengekalkan serta menyampaikan kebenaran ini. Kesan-kesan Larangan Kata ‘Allah’ 1. Penafian penggunaan kata‘ Allah’ adalah melanggar hak perlembagaan kebebasan beragama rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan melindungi hak setiap rakyat Malaysia untuk menganut agama dan amalan pilihan masing-masing. Perkara 11 (3) jelas memperuntukkan bahawa setiap kumpulan agama mempunyai hak untuk mengurus hal ehwal agama mereka sendiri. 2. Padatahun 2009, Mahkamah Tinggi memberikan penghakiman yang membenarkan Gereja Katolik menggunakan perkataan ‘Allah’. Kerajaan (semua rakyat Malaysia, termasuk Kristian) membawanya ke Mahkamah Rayuan dan ia masih belum selesai. 3. Selain itu, terdapat juga pelanggaran hak menggunakan kata-kata penting dalam Al -Kitab Bahasa Malaysia. Lihat arahan 5 Disember 1986 daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri menyatakan bahawa, sebagai tambahan kepada ‘Allah’, kata-kata : Al-Kitab, Firman, Rasul, Iman, Ibadah, Injil, Wahyu, Nabi, Syukur, Solat dan doa adalah tidak boleh digunakan dalam Al-Kitab. Di samping itu, membuat larangan melalui fatwa hanyalah relevan dengan umat Islam sahaja dan tidak terpakai kepada bukan Islam. 4. Melarang penggunaan kata ‘Allah’ dan istilah-istilah lainadalah tidak adil. Kristian Bumiputera perlu diberi penghormatan dan kebebasan untuk memanggil Tuhan dalam satu-satunya bahasa yang mereka. Ini adalah penting bagi identiti agama dan budaya mereka. 5. Jika gereja-gereja di Malaysia bersetuju untuk berhenti menggunakan kata ‘Allah’, bermakna hak untuk mengedit Kitab Suci agama utama dunia telah diberikan kepada sebuah kerajaan sekular. Ini akan menjadi satu perkara memalukan dan kejadian yang belum pernah berlaku pada mana-mana agama dan kerajaan. Kesimpulan Sesetengah umat Islam mendakwa berulang kali bahawa orang Kristian di Malaysia enggan berhenti menggunakan kata ‘Allah’ kerana mahu mengelirukan umat Islam dan memurtadkan penganut Islam, sekali gus menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara. Tuntutan itu adalah tidak berasas kerana tiada bukti penggunaan kata ini membawa ancaman keselamatan negara. Tuduhan ini kekal sebagai tidak berasas. Sebaliknya, keadaan sebegitu dibuat kerana jahil dengan hakikat bahawa apabila orang Kristian menggunakan Al-Kitab, ia adalah khusus untuk umat Kristian berbahasa Malaysia. Gereja-gereja di Malaysia tidak pernah mencadangkan untuk mengubah kata ‘Allah’ dan ‘Lord’ kepada ‘Allah’ dan ‘Tuhan’, begitu juga bahasa- bahasa lain dalam Al-Kitab. 16 Mei 2013 DISEDIAKAN OLEH PERSEKUTUAN KRISTIAN MALAYSIA (The Christian Federation of Malaysia)
]]>Ke arah pencapaian Islah Muslim
Makalah ini penyambungan kepada makalah awal yang bertajuk Krisis pemikiran politik Islam
Al-Quran bercakap tentang kemuliaan anak-anak Adam (17:70), tetapi sebahagian Muslim bercakap tentang kemuliaan dan kehormatan Muslim semata-mata, lantas mengabaikan hakikat setiap manusia mesti dimuliakan dan ada hak-haknya yang wajib ditunaikan.
Al-Quran menyebut tentang konsep keadilan dalam menjatuhkan hukuman antara manusia (4:58), ada yang melupakan soal manusia selain mereka, lantas hanya bercakap soal adil dan saksama “sesama kami”, yang menganut agama kami!
Al-Quran melarang kaum Muslim daripada bersikap tidak adil sekalipun terhadap kaum yang mereka benci (5:8), sebahagian Muslim pula bercakap soal lebih baik mengundi pemimpin Muslim yang jadong berbanding bukan-Muslim yang berkredibiliti dan terbukti keadilannya dalam mengurus tadbir.
Apabila risalah agama merupakan kasih sayang untuk sekalian alam (21:107) bukan semata-mata untuk Muslim apatah lagi bangsa Melayu, bererti wacana negara yang mahu ditegakkan atas aspirasi dan keyakinan beragama haruslah memberi kebaikan kepada semua tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang sosial.
Atas nama Islah, kita bermula
Kita tiada pilihan lain, selain keluar dari kejumudan dan jalan gelap yang sedang menimpa masharakat kita khasnya di tanah air, kita wajib menggantikan wacana politik yang berorientasikan halalisation danharamisation kepada wacana-wacana soal etika-etika yang berada di sebalik praktikal politik.
Suatu yang baik apabila etika-etika yang diletakkan Islam dalam soal pengurusan keduniaan ialah set etika yang secara asasnya boleh diterima semua agama sekalipun berlaku perdebatan dan perselisihan dalam pemerincian. Krisis yang disebutkan mesti ditangani atas semangat perobahan (at-Taghyiir) dan pembaikian (al-Islah), lantas memerlukan kerjasama banyak pihak sama ada intelektual, ahli politik mahupun masharakat kebanyakan.
Untuk menjelaskan secara ringkas aspirasi Islah dalam pemikiran kontemporari politik Islam khasnya di tanah air kita, saya menjelaskan pandangan-pandangan di bawah secara ringkas:
1) Revolusi etika (Ethical revolution – at-Thawrah al-Akhlaqiyyah)
Tentang ethical revolution, saya meminjam perkataan yang digunakan oleh intelektual terkenal, Dr Jasser Auda semasa beliau memberi ucapan dalam satu majlis di Qatar pada 9 Mac 2013.Antara yang dinyatakan beliau ialah kita melihat betapa seluruh dunia sedang menghadapi krisis moral dan etika dalam segenap lapangan kehidupan termasuk politik.
Ini adalah zaman di mana sistem kehakiman yang diharap bisa memberi keadilan, sistem kehakiman pula menjadi pelindung kepada pemimpin jadong dan koruptor kelas atasan. Institusi-institusi pendidikan yang asalnya sebagai tempat mendidik manusia dan tempat pembudayaan ilmu, tapi akhinya ia menjadi tempat kreativiti terhalang, kebebasan intelektual menjadi terlarang. Sementara itu, kerusi-kerusi politik bukan lagi menjadi medium melaksanakan tanggungjawab dan berbakti kepada masharakat, sebaliknya tempat mengumpul kekayaan dan harta benda.
Reaksi dan respon sebahagian masharakat dunia terhadap sekalian kecelaruan tersebut ialah dengan turun ke jalan raya dan menjatuhkan pemimpin diktator daripada singgahsana kuasa. Itu salah satu tindakan manusia berani dan bermaruah, tapi ia tidak benar-benar cukup karena pada saat ini kita sangat berhajat kepada revolusi intelektual dan spiritual.
Supaya perobahan politik dan dunia yang dicita-citakan itu berlangsung lebih baik, islah radikal pada sisi intelektual dan spiritual sangat diperlukan. Negara bukanlah matlamat akhir, sebagaimana difikirkan oleh sebahagian Islamis ataupun bukan Islamis, tetapi negara salah satu jalan penting demi mencapai kebaikan.
Untuk merealisasikan ethical revolution dalam pemikiran kontemporari politik Islam, wajarlah kita memandang politik dengan melihat ‘apa di sebalik apa’, dan di sebalik pemikiran kontemporari politik Islam, ‘apa di sebalik apa’ ialah objektif-objektif tertinggi Shariah (Maqasid as-Shariah).
Keadilan, amanah, kebebasan, kemuliaan insan, keamanan, kebajikan, perpaduan nasional dan pelbagai lagi nilai-nilai fundamental telah ditinggalkan daripada dibincang serius untuk dicapai dalam praktikal politik tanah air kita. Gerakan-gerakan Islamis dan ahli-ahli politik yang berada di kancah politik mestilah menjadikan sekalian nilai-nilai fundamental sebagai tujuan dan panduan dalam praktikal politik demi kepentingan negara dan warganegaranya.
2) Islam dan demokrasi
Kediktatoran wajib ditolak walau atas apa nama sekalipun, tokoh ilmuan terkenal, Almarhum Mahmud Shaltut menulis:
“Dengan penegasan al-Quran akan prinsip Shura, Islam menghukum musuh dan perosak kemanusiaan; iaitu kediktatoran dalam pemerintahan dan pemikiran, monopoli perundangan, pengurusan kewangan dan pentadbiran. Demikian juga menetapkan kemuliaan pemikiran terhadap individu-individu, sementara bagi masharakat, haknya yang tabii dalam mentadbir urusan-urusannya.”
Satu perbincangan yang telah lama berlangsung, masih berlangsung dan berkemungkinan akan terus berlangsung ialah mengenai Islam dan demokrasi. Untuk projek al-Islah, kita mesti sentiasa mengulang bahawa jawhar-jawhar agung agama Islam tidak bertentangan dengan konsep-konsep umum yang wujud dalam demokrasi.
Malek benNabi semasa mengulas tentang Islam dan demokrasi, ia menyebut bahawa prinsip-prinsip demokrasi mengajar manusia tentang membebaskan diri daripada diperhamba sesiapa dan daripada memperhamba orang lain, demokrasi juga antara teras utamanya ialah kemuliaan manusia karena ia projek menolak sebarang tindakan perhambaan dan kecenderungan seseorang untuk memperhamba.
Justeru demokrasi menurut Malek benNabi ialah projek pendidikan karamah insaniyyah (human dignity) yang mesti bermula dengan merobah apa yang ada dalam diri manusia terlebih dahulu.
Dalam konteks tanah air kita, pendidikan nilai-nilai teras demokratik mesti terus dipergiat karena kita tidak bisa membina sebuah negara yang demokratik semata-mata dengan meletakkan perkataan demokratik dalam perlembagaan, manifesto atau nama parti, tetapi demokrasi akan berlangsung baik apabila rakyat mengetahui bahawa perjuangan menolak penipuan, korupsi dan kediktatoran ialah perjuangan yang hanya bisa didokong oleh pemilik dhamir yang menghayati nilai-nilai demokratis.
Hanya manusia yang merdeka dan mengangkat kemuliaan insan bisa membina sebuah negara demokratik dan berpartisipasi dalam membentuk sebuah masharakat dan negara yang harmoni. Atas nama demokrasi juga, tidak wajar dihalang partisipasi mana-mana pihak dalam hal-hal kepolitikan selagi mana ia bergerak secara aman.
3) Perbincangan kritikal
Untuk menjayakan aspirasi Islah dan menangani krisis pemikiran kontemporari politik Islam di tanah air kita, wacana kritikal tentang hal tersebut wajar terus dihidupkan. Tanpa menafikan kebaikan wacana antara idea, fahaman dan agama, namun wacana yang bertujuan menyelesaikan hal-hal dalaman pemikiran politik Islam tidak boleh dikesampingkan.
Saya memberi contoh, pembacaan teks-teks klasik tidak wajar berlangsung literal hingga apabila ditanya sesuatu soalan, terus dikeluarkan bulat-bulat apa yang wujud dalam teks-teks klasik. Bahana sikap tersebut ialah timbulnya isu “kafir harbi”, “darul kufr”, “pembangkang khawarij”, “haram pilihanraya” dan sebagainya.
Penulis buku “Who Needs an Islamic State”, Dr Abdel Wahab el-Affendi dalam bab kedua buku itu telah menulis satu sub-topik bertajuk“Problems with the Classical Theory”. Beliau mengulas salah isu penerimaan al-Mawardi perihal penamaan (penentuan) pemimpin oleh pemimpin sebelumnya, dalam kitabnya, Ahkam Sultoniyyah:
“Al-Mawardi memetik kisah Abu Bakr melantik Umar menjadi penggantinya sebagai dalil bahawa adalah sah untuk mana-mana pemerintah memilih penggantinya.
Beliau mengabaikan hakikat bahawa tindakan sedemkian adalah sah bukan kerana individu menentukannya, tetapi juga kerana tindakan itu disahkan oleh umat-umat Islam yang utama pada masa itu. Beliau turut terlepas pandang, perbezaan ketara antara perlantikan Umar oleh Abu Bakr dan paksaan melalui kekerasan Muawiyah melantik anaknya sebagai pengganti. Ini merupakan kekurangan di dalam mana-mana teori.” (hlm. 76)
Demikian juga penilaian kritikal terhadap beberapa isu seperti apabila apa-apa dasar (bersifat “sivil” mahupun “keagamaan”) yang mahu dilaksanakan dalam sesebuah negara, semua pihak wajar terlibat dalam perbahasan dan memberi komentar; tanpa mengira agama, kerana semua merupakan rakyat dan berhak tahu dan memberi respon terhadap apa-apa yang melibatkan negara.
Dalam sesebuah negara, apabila perbahasan berhubung sesuatu dasar dan perdebatan serta komentar dalam hal-hal yang berkait dengan negara, tidak boleh sesetengah pihak menyuruh pihak yang lain “diam” atau “jangan campuri urusan agama/ideologi kami”, negara ini milik semua dan apa-apa bentuk partisipasi hendaklah diizinkan. Adapun yang wajar diberi perhatian oleh semua warga ialah mengelakkan menyentuh sensitiviti keagamaan dan perkauman, dan ia sangat berkait dengan soal etika dan kesedaran individu atau masharakat.
Sebahagian pihak teruja amat untuk menutup mulut pihak lain yang mereka tak persetujui dengan pelbagai tuduhan dan kebengisan, sekalipun perdebatan dan perbahasan itu diizinkan dan menurut perlembagaan negara.
Perlu diberi penekanan juga bahawa kepelbagaian identiti tidak semestinya bertentangan antara satu sama lain. Sebagai contoh seorang lelaki/wanita yang Muslim, maka identiti keagamaannya ialah Islam, dia juga punya identiti sebagai berbangsa Melayu contohnya beserta pelbagai lagi identiti. Dalam masa yang sama dia merupakan seorang warga sebuah negara, identiti kenegaraannya ialah warganegara Malaysia.
Identitinya sebagai seorang Muslim tetap tidak menolaknya untuk terus hidup dan berpartisipasi sebagai anggota masharakat yang punya tanggungjawab dan hak dalam negaranya. Demikian juga identiti-identiti yang lain, kepelbagaian identiti apabila berada dalam sesebuah negara, kita akan menemui titik persilangan dalam beberapa sudut yang umum, tanpa menghapuskan identiti keagamaan dan kebangsaannya.
Dalam sebahagian teks-teks klasik, perbincangan tentang teori identiti difahami secara literal dan jauh dari konteks sejarah oleh sesetengah Muslim, akibatnya (sebagaimana saya sebut berulang kali di atas) ia membawa kepada kekeliruan dalam memahami konsep kesamarataan kewarganegaraan khasnya dalam negara yang jamak agama, bangsa dana budaya. Akhirnya menatijahkan pandangan-pandangan yang “ekslusif” dan “tidak dibenarkan untuk didebatkan” dalam hal-hal bersifat nasional.
Khatimah
Sama ada disedari atau tidak, di tanah air kita krisis pemikiran kontemporari pemikiran Islam sememangnya berlaku, ia jelas tampak apabila kandungan perbincangan dan persoalan yang ditimbulkan masih lagi berlegar-legar pada sudut Muslim dan bukan Muslim, Islam dan demokrasi dan akhirnya menatijahkan halalisation dan haramisation oleh segelintir golongan literal. Untuk menghadapinya kita hanya ada dua pilihan iaitu; pertama, melakukan Islah dan ethical revolution. Kedua, kembali kepada yang pertama.
Krisis pemikiran politik Islam
Tentang hubungan antara agama dan politik
Mengulas tentang dunia Muslim dan pemikiran mereka tidak dapat lari daripada mengulas sumber-sumber yang menjadi rujukan mereka dalam kehidupan, selain tentang ‘bagaimana’ mereka berinteraksi dengan dunia moden yang serba mencabar ini sambil berpegang dengan sumber-sumber (al-Quran, al-Hadis dan teks-teks tradisi) yang menjadi rujukan.
Soal hubungan agama dengan politik sentiasa menjadi topik yang berlarutan, namun malangnya seringkali ia berlangsung dengan penuh mengecewakan sejak berdekad-dekad lamanya.
Ia bermula dengan kekacauan cara berfikir yang ditimbulkan oleh sebahagian yang mengaku sebagai ‘salafi’ apabila perbincangan politik dibahaskan secara terlalu literal. Tokoh ilmuan Muslim antarabangsa, al-Qaradhawi mengulas dan mengkritik fenomena ‘literal dalam nas-nas berkaitan al-muamalat’ tersebut dalam banyak karya beliau seperti as-Siyasah as-Shariyyah fi Dhau’ Nusus as-Shariah wa Maqasidiha dan Dirasah fi Fiqh Maqasid al-Shariah[i] atas nama az-Zhohiriah al-Judud yang membahaskan persoalan-persoalan agama secara terasing daripada objektif-objektif Shariah.
Di tangan mereka, hubungan agama dan kehidupan seperti hanyalah halalisation dan haramisation; lantas ditolak wacana-wacana semasa dalam pemikiran politik atas alasan bidaah. Al-Qaradhawi semasa mengulas fenomena tersebut menyatakan:
“Mereka menolak petikan daripada selain kita (Muslim), menganggapnya sebagai perkara baru dalam agama dan segala perkara baru adalah bidaah, setiap bidaah adalah sesat dan setiap kesesatan balasannya neraka. Lantas mereka menganggap demokrasi seluruhnya (kemungkaran) yang wajib ditentang, sementara penerimaan pandangan majority (bidaah Barat) yang diimport.” (al-Siyasah al-Shariyyah, hlm. 231)
Demokrasi haram, penubuhan parti haram, pengehadan tempoh pemerintahan haram dan segala idea-idea baru akan dibalas haram oleh mereka dan golongan yang menuruti mereka. Kita perasan di tanah air kita fenomena halalisation dan haramisation ini berlangsung hangat terutama menjelang musim pilihanraya. Contohnya kita tidak lupa apabila ada sebahagian golongan agama yang mengharamkan pengundian calon-calon bukan Muslim.
Penulisan ini bukan ruang untuk membincangkan secara ilmiah dan mendalam persoalan tersebut, tapi sesuatu yang sungguh wajar kita banteras ialah fenomena mereka yang ‘menghidupkan’ (mematikan!) wacana pemikiran politik Islam kontemporari dengan berkata “haram” semata-mata. ia adalah suatu krisis yang memandulkan khazanah pemikiran kita.
Awalnya ia mungkin sebuah tindak-tanduk yang mengharamkan falsafah politik, akhirnya tanpa sedar ia bertukar menjadi sebuah falsafah yang mengharamkan segala pandangan yang berbeda dengan mereka, “min tahrim al-falsafah ila falsafah at-tahrim” (daripada mengharamkan falsafah kepada falsafah yang mengharamkan) sebagaimana diulas seorang penulis bernama Turki al-Hamad dalam bukunya as-Siyasah bayn al-Halal wa al-Haram”.
Gerakan dan ideologi?
Tentang agama dan politik, sebahagian gerakan Islamis pula masih gagal menjelaskan secara kritikal bagaimana sebenarnya hubungan antara kedua-duanya.
Apabila disoal, mereka akan menjawab ringkas; “agama dan politik tidak boleh dipisahkan”. Soal kepercayaan dan pendirian kaum Muslim yang sentiasa melihat kehidupan dan isu-isunya menerusi kaca mata tradisi agama mereka, ia dihormati dan tidak disangkal.
Namun wajarlah polemik hubungan antara agama dan politik ini dibincang kritis oleh mereka, contohnya soal bagaimana sebenarnya agama berinteraksi dengan politik? Soalnya juga ialah bagaimana membedakan antara pembahagian ruang dalam wacana agama dan politik?
Adakah memandangkan politik berhajat kepada agama, dan mereka merupakan sebuah gerakan politik berorientasikan agama, maka segala idea dan pandangan politik mereka merupakan ‘agama’?
Persoalan tersebut mestilah dibincang serius dan kritikal memandangkan jika tidak ia akan terus menambah kekeliruan dan campur aduk yang tidak seimbang antara dua ruang, dibimbangi akhirnya wujud unsur pemaksaan idea-idea politik atas nama agama dan autoriti khasnya dalam sebuah masharakat jamak agama dan budaya seperti Malaysia.
Demikian juga dengan persoalan antara peranan negara, komuniti, keluarga dan peribadi. Kerajaan bukan ibu bapa kita, ibu bapa kita bukan kerajaan. Komuniti ada tanggungjawabnya, kerajaan ada tanggungjawabnya. Keluarga, komuniti, sekolah, universiti dan kerajaan pasti akan mempunyai tanggungjawab yang berbeda, malah bentuk dan jenis kemungkaran yang mesti dicegah juga berbeda kuasa dan peranannya.
Rasuah, salah guna kuasa, kes-kes jenayah dan sebagainya antara kemungkaran yang mesti diselesaikan kerajaan, tapi etika berpakaian, waktu keluar malam dan sebagainya pula merupakan tugas ibu bapa, atau rakan-rakan (komuniti), bukannya tugas kerajaan.
Ada beberapa masalah yang memerlukan kerjasama dan tanggungjawab oleh kerajaan dan komuniti, tetapi bentuk tanggungjawab pastinya berbeda. Ada pula isu-isu yang hanya melibatkan komuniti dan ada pula yang hanya berkaitan peribadi dan komuniti. Saya melihat, wacana pembahagian tugas dan peranan antara keluarga, komuniti dan kerajaan masih tidak berlangsung dengan baik oleh mana-mana kumpulan Islam sedangkan ia mempunyai perkaitan rapat dengan persoalan hubungan antara agama dan politik.
Gerakan Islamis dan kaum cendekia awam yang memberi perhatian terhadap perbincangan ini juga haruslah sedar akan keperluan untuk memperbaharui wacana-wacana tentang hubungan agama dan politik.
Pengalaman Islamis pada zaman kolonial sudah tentu tidak sama dengan apa yang mereka sedang hadapi pada zaman ini. Saya memberikan contoh apabila dibincangkan soal negara Islam dan negara sekular, kandungan perbincangannya pada hari ini mempunyai perbedaan dengan apa yang dibincangkan pada era kolonial dan awal pasca-kolonial.
Teori Barat mungkin menyatakan; secularization = freedom = religious pluralism = democracy, tapi akhirnya yang berlaku ialah secularization = colonialism = de-Islamization = dictatorship. Justeru apabila diajak mewacanakan soal negara Islam dan negara sekular, haruslah dinilai kembali wacana yang lalu dan disusun kembali menurut konteks hari ini dan menurut latar sesebuah negara, tanpa meninggalkan apa yang diyakini mereka. Demikian juga tidak wajar perbincangan tersebut hanya memberi kita dua pilihan sahaja iaitu sama ada hitam atau putih; sama ada negara Islam atau negara sekular.
Justeru tidak dapat tidak dalam projek pengharmonian antara agama dan politik ini, ditentukan apa itu objektif-objektif Shariah (fundamental values) di sebalik sekalian perdebatan dan wacana yang diadakan, contohnya antara objektif utama Shariah menerusi pintu politik ialah keadilan, keamanan, kemuliaan manusia dan kebebasan.
Dunia yang makin kompleks dan cabaran yang makin berbeda mengkehendaki penilaian semua tentang persoalan-persoalan di atas, dengan menyediakan jawapan yang tidak lagi utopia dan simplistik, tetapi lebih realistik dan menepati objektif-objektif Shariah yang mesti dicapai.
Negara untuk kebaikan semua warganegara, bukan untuk kepentingan golongan Muslim sahaja
Krisis dalam pemikiran kontemporari politik Islam khasnya di tanah air kita menjadi makin rumit apabila soal interaksi antara Muslim dan bukan-Muslim telah dicacatkan menerusi perbincangan yang bersifat sektarian dan penuh dengan sentimen keagamaan, selain berdasarkan kaca mata hitam-putih.
Kita berada dalam kesempitan dada apabila para pemimpin jadong (iaitu jahat, bodoh dan sombong dan dibantu cita bencana – meminjam istilah Syed Husein al-Attas) telah mengambil kesempatan realiti kepelbagaian agama untuk mengapi-apikan antara Muslim dan bukan-Muslim, sekaligus menyempitkan wacana pemikiran politik Islam, khasnya berkaitan hubungan antara agama.
Antara yang terbaharu, ada kumpulan yang melaungkan slogan keIslaman dan kebangsaan Melayu menganggap bangsa selain warga Cina, India dan lain-lain sebagai berkewarganegaraan kelas kedua, mereka juga masih menyebarkan kebencian seperti menyebut “pendatang Cina” dan sebagainya, sedangkan semua merupakan warganegara dalam satu negara.
Prof Dr Louay Safi, tokoh intelektual Muslim yang terkenal telah menulis satu artikel menarik bertajuk Linas’a ila bina’ dawlah madaniyyah tahmi huquq al-muwathinin, la dawlah diniyyah tar’a masolih al-mu’minin (Ke arah membina negara madani yang melindungi hak-hak warganegara, bukannya negara agama yang menjaga kepentingan orang beriman), beliau menutup tulisan itu dengan menyatakan;
“Legitimasi politik terlaksana menerusi pelaksanaan prinsip-prinsip umum yang dibawa piagam Madinah bukannya menerusi pelaksanaan hukum-hukum fiqh yang khas untuk pengikut agama Islam. Perjanjian Madinah yang mentadbir kehidupan Rasulullah saw dan para sahabat tidak menyentuh pelaksanaan hukum-hakam Islam dengan gambaran sempit yang diseru oleh sebahagian golongan beragama pada hari ini. Menerusinya ia mahu menukarkan sistem politik kepada sistem diktator yang religius, bertentangan dengan jawhar agama dan ruh Islam; keadilan, kesamarataan, saling membantu, saling bermaafan, menghormati kepelbagaian agama, pilihan-pilihan manusia dan kebebasan rakyat, jauh daripada dikte-dikte pemerintahan mutlak atau negara yang diktator.”
Ternyata politik berorientasikan ketakutan dan sentimen keagamaan dan perkauman telah mengalihkan perhatian banyak pihak akan perbincangan sebenar yang wajar diangkat. Lebih memburukkan keadaan apabila segelintir pihak telah memetik beberapa teks klasik mengenai hubungan antara Muslim dan bukan-Muslim dengan keluar dari konteks yang dikehendaki.
Mereka menimbulkan persoalan “kafir harbi” sedangkan sekalian rakyat sama ada penganut agama Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Atheist, Agnostik dan lain-lain merupakan warganegara yang sah, mempunyai hak-hak yang mesti diberi dan mempunyai tanggungjawab yang mesti dilaksana.
Hal kesamarataan kewarganegaraan tersebut telah diulas oleh ramai tokoh ilmuan Muslim seperti Fahmi Huwaydi menerusi karya terkenalnya Muwathinun La Dzimmiyyun, al-Qaradawi dalam beberapa tulisannya; antaranya al-Want wa al-Muwatanah dan Dr Muhammad Imarah turut menulis dalam pelbagai bukunya. Salah satunya ialah dalam buku Thawrah 25 Yanayir (Revolusi 25 Januari), beliau semasa mengulas tentang konsep kewarganegaraan telah menulis:
“Kesetiaan seseorang warganegara terhadap negaranya mewajibkan ia berlepas diri daripada musuh-musuh negara tersebut. Sepertimana untuk negara ada hak-hak ke atas warganegara, demikian juga sesungguhnya untuk warganegara ada hak-hak ke atas negara dan rakyatnya. Antara hak yang terpenting ialah; kesamarataan dalam persamaan peluang (equal opportunities), penafian diskriminasi dalam hak-hak politik, sosial dan ekonomi disebabkan warna kulit, kelas dan agama, sambil merealisasikan perpaduan sosial yang menjadikan rakyat jasad yang satu.”
Demikian sebagaimana tersebar dalam teks-teks klasik dan semasa politik Islam bahawa interaksi antara Muslim dan bukan-Muslim terasnya ialah konsep Lahum ma lana wa ‘alayhim ma ‘alayna iaitu soal hak dan tanggungjawab sama ada Muslim ataupun bukan Muslim adalah sama dalam sesebuah negara. Malangnya konsep ini tidak begitu diangkat ke tengah-tengah masharakat di Malaysia gara-gara sentimen agama dan kaum yang sempit.
Selagi kita tidak keluar daripada sentimen keagamaan dan perbuatan memetik teks-teks klasik politik tanpa meraikan realiti semasa, selagi itulah kita akan terus terjerumus dalam gua kejahilan dan kemunduran karena kita akan gagal memberi fokus terhadap projek pembaikian dan perobahan dalam pemikiran kontemporari politik Islam.
Makalah ini bersambung ke makalah bertajuk Ke Arah Pencapaian Islah Muslim
Pendidikan merawat sikap kediktatoran (bahagian 1)
Kedikdatoran: mengenali suatu masalah
Apabila menyebut tentang kediktatoran dan sifat-sifatnya, antara yang terawal muncul dalam minda sesetengah orang ialah gambaran sebuah pemerintahan mutlak yang berlandaskan pandangan seseorang individu, ataupun beberapa individu tertentu dan tidak terikat dengan perlembagaan mahupun peraturan.
Pemerintah diktator lazimnya akan menuju ke arah kezaliman kerana sesebuah kuasa dan pemerintahan mutlak seringkali akan menjadi korup dengan mutlak.
Namun demikian perbincangan mengenai kediktatoran sentiasa terhenti sekadar sifat “pemimpin diktator” sambil dilupakan perihal kediktatoran yang wujud dalam diri sesetengah masyarakat dan individu. Saya melihat, kewujudan pemimpin diktator dan zalim tidak sunyi daripada kewujudan awal sebuah masyarakat yang diktator.
Justeru, sebuah pemerintahan diktator hanya bisa dijatuhkan sekiranya dijalankan aktiviti merawat masyarakat yang diktator.
Masyarakat diktator
Masyarakat diktator yang saya maksudkan ialah sebuah masyarakat individualistik, tamak dan beragama serta berideologi demi kepentingan.
Mereka hidup dalam keadaan senang, justeru tiada apa yang perlu diperjuangkan sekalipun pemerintahan di hadapannya mencanggahi demokrasi dan mencabuli hak-hak rakyat sendiri. Respon mereka terhadap sesebuah pemerintahan despotik ialah “asalkan bukan aku dan keluargaku”.
Sekiranya sesebuah pemerintahan diktator mahu menentukan cara pemerintahan, undang-undang dan sebagainya menurut kepala mereka semata-mata, masyarakat diktator juga berkongsi sikap sedemikian.
Sekiranya mereka majoriti, mereka mahu menentukan cara berpakaian, mazhab dan agama golongan lain dengan kekuasaan ataupun kekuatan yang dimiliki. Pokoknya, masyarakat diktator ingin menentukan semua perkara.
Menurut masyarakat diktator, kelompok minoriti ataupun the other mestilah mengikuti apa yang mereka yakini sekalipun dalam masa yang sama, mereka sendiri tidak gemar jika kehidupan mereka dikawal dan ditentukan oleh orang lain.
Justeru dalam hubungan antara kaum dan agama, ruang publik tidak digunakan untuk menyelesaikan perselisihan dan perbezaan, sebaliknya pengharaman buku, serbuan dan undang-undang dianggap sebagai solusi.
Anggapan mereka, gunung yang tinggi hanya boleh didaki menerusi laluan yang diambil kelompoknya, adapun laluan lain tidak diizinkan sedangkan tiada sesiapa bisa memaksa apa yang ada dalam nurani manusia. Lantas, demokrasi yang asalnya mahu menjatuhkan kezaliman dan kediktatoran, telah mencetuskan tirani majoriti ke atas kaum minoriti.
Kalaupun masyarakat diktator melaungkan slogan kebebasan bersuara, syaratnya suara itu menyebelahi mereka. Jika tidak, orang yang bersuara itu akan dilabel sebagai jumud, tradisional, sesat, “liberal” ataupun kafir. Mereka mahu berkata-kata tetapi enggan mendengar, mereka mahu bebas tetapi enggan membebaskan.
Justeru, individualistik menjadi sangat cocok dengan kewujudan masyarakat diktator, sikap individualistik itu menyebabkan kewujudan masyarakat pluralistik langsung tidak diendahkan, apatah lagi dihargai. Barangkali inilah yang dinamakan sebagai dogmatic mind sebagaimana dinyatakan oleh Prof Dr Tariq Ramadan dalam bukunya The Quest for Meaning:
“The dogmatic mind displays, moreover, one further characteristic. It would be a mistake to think that it accepts the existence of only one point of view: the dogmatic mind is a binary mind. Whilst it states that its truth is the only truth, that its Way is exclusive and that its universal is the only universal, that is because it stipulates – at the same time – that anything that does not partake of that truth, that path and that universal is, at best, absolutely ‘other’ and, at worst, culpably mistaken.”
[Minda dogmatik memperlihatkan satu lagi ciri. Adalah suatu kesalahan untuk mengandaikan bahawa ia hanya menerima kewujudan hanya satu pandang arah: minda dogmatik itu adalah satu minda binari. Manakala ia menyatakan bahawa kebenarannya itu adalah satu-satunya kebenaran, jalannya pula begitu ekslusif dan universalnya hanyalah ia satu-satunya, kerana ia mengandaikan – pada masa yang sama – sesuatu yang tidak mengikuti kebenaran tersebut, jalan itu dan universal itu, paling tidak, sesuatu yang sama sekali “lain’ dan lebih parah, sesuatu yang salah].
Al-Kawakibi, kediktatoran dan ilmu
Seorang tokoh intelektual Muslim terkenal khasnya pada era kolonial, Abdul Rahman al-Kawakibi (1849-1902) semasa mengulas perihal kediktatoran telah memetik beberapa kata-kata, antaranya ialah:
“Kediktatoran merupakan musuh kebenaran, musuh kebebasan dan merupakan pembunuh kedua-duanya. Kebenaran merupakan bapa kepada manusia, sementara kebebasan pula ibu mereka. Rakyat merupakan anak-anak yatim yang tidur dan tidak mengetahui apa-apa, sementara para ilmuan pula merupakan saudara mereka yang bijaksana. Sekiranya mereka (golongan berilmu) mengejutkan rakyat, pasti rakyat akan bergerak aktif. Adapun jika para ilmuan meninggalkan mereka, mereka akan kekal sebagaimana sebelumnya, lantas akan bersambung tidur mereka (rakyat) dengan kematian.”
Kenyataan tersebut wujud dalam buku terkenalnya berjudul Tobai’ al-Istibdad wa Masori’ al-Isti’bad. Menurutnya lagi, antara kediktatoran yang paling hodoh ialah kediktatoran kejahilan ke atas ilmu dan kediktatoran nafsu ke atas akal (rasional).
Al-Kawakibi mengulang-ulang hubungan antara ilmu dan akal dalam menangani kediktatoran, membayangkan betapa sesebuah masyarakat yang diperintah oleh kuasa yang diktator sebenarnya disebabkan sikap mereka menyerahkan akal kepada pihak pemerintah sehingga diperbodohkan, selain ketidak upayaan mereka bertindak ke atas projek pembodohan yang sedang ditimpakan ke atas mereka.
Selain itu, al-Kawakibi menegaskan:
“Para ilmuan menggesa kepada pencerahan akal, sementara golongan diktator gigih berusaha memadamkan cahaya pencerahan itu. Dua golongan ini (para ilmuan dan pemerintah diktator) saling menarik orang ramai, siapakah orang ramai itu? Mereka merupakan golongan yang apabila jahil, mereka menjadi takut, apabila takut, mereka menyerah (kepada diktator). Sebagaimana mereka merupakan golongan yang apabila berpengetahuan, mereka berkata-kata, dan apabila mereka berkata-kata, mereka melaksana.”
Kaum yang jahil pasti akan memberi keuntungan kepada pemerintah yang diktator. Justeru sekalipun sesebuah pemerintah diktator memberi ruang demokrasi menerusi pilihanraya yang diadakan beberapa tahun sekali, ruang kebebasan memilih itu ibarat debu-debu yang berterbangan kerana masyarakat terus bodoh dan diperbodohkan.
Apa guna kaum yang dibutakan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap perkara yang memerlukan penglihatan yang tajam?
Apa yang boleh dibanggakan jika kaum yang dipekakkan diberi pilihan membuat penghakiman terhadap sesuatu yang memerlukan pendengaran yang teliti?
Oleh yang demikian, kediktatoran pemerintahan sememangnya berasal dari sifat-sifat kediktatoran yang wujud pada sesebuah masyarakat. Adapun antara penawar kepada kediktatoran itu ialah rawatan terhadap masyarakat, salah satunya yang penting ialah menerusi medan pendidikan.
Ketakutan: Individual dan kolektif
Justeru dalam konteks perbincangan kita, apabila berbicara soal kediktatoran, wajar kita timbulkan persoalan; kalau mahu menentang kediktatoran, apa dan siapa yang terlebih dahulu mesti dibetulkan?
Saya melihat, jawapannya ialah manusia; iaitu kita semua…..
(bersambung ke bahagian dua)
(Sila email editor di projekdialog@yahoo.com untuk bibliografi lengkap)
Assajjad Movement condemns the arrest of Malaysian Shia cleric
the arrest was made after ROS lodged a police report on the existence of Ja’fari movement whom are not registered as an association. However it is important to note here that on 24 July 2013, Secretary General of the Ministry of Home Affairs, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, said that it is decided by the Home Ministry that any Shia movement are not recognized and considered illegal. This according to him is in accordance with Section 5 of the Societies Act 1966. He was commenting an attempt by a Shia organization to apply to register with the The Registrar of Societies of Malaysia in the state of Melaka on June 18 2011, but was rejected on August 4 of the same year. Datuk Othman Mustapha, Head of Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (The Department of Islamic Development Malaysia under Prime Minister’s office) once stated that Shia is a banned faith in Malaysia under Sharia law, and any movement or activities as a community is also illegal and can be arrested under civil law. On 29th July 2013, Minister in the Prime Minister’s Department Datuk Seri Jamil Khir Baharom said that Malaysian government tolerates Christians, Hindus and other faith but wont allow Shia faith to exist as Malaysian Muslims are only entitled to be Sunni followers. He also stated that Shia is not a school of thought that is recognized. Malaysian government’s ill treatments against Shia adherents are resulted from a 1996 fatwa banning, outlawing and declaring Shia as ‘a deviant teaching’. Mr Kamil Zuhairi was released with two guarantors before midnight and the investigation is still ongoing. He is given a date to appear in court and is suspected of violating section 42 of the Societies Act. Mr Kamil will be given two months by ROS to give explanations or he will face charge. We denounce this act of the State as opressive as it violates the fundamental rights of human beings. The State should be reminded of its obligation to respect and fully protect the rights of all individuals to assemble peacefully and associate freely. We believe this matter should be taken into consideration by Mr Maina Kiai, UN Special Rapporteur on the rights to freedom of assembly and association.
]]>Forum: Penilaian Kritikal Bangsa Malaysia
Pusat Rakyat Loyar Burok , Kuala Lumpur (A-3A-8, Pantai Business Park, Jalan Pantai Baharu, 59200 Kuala Lumpur.
Penyertaan adalah terbuka untuk semua khususnya anak-anak muda dialu-alukan turut serta memberi pandangan. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Ehsan Shahwahid di alamat email ehsanshahwahid@gmail.com atau di talian 012-2631160.