“Tidak kami disuruh kecuali mengabdikan diri kepadaNya dalam keadaan Ikhlas kepada agama”. (Surah Al-Baiyyinah, ayat 5)
Dari sudut dunia pula, kebaikan yang dilakukan tetap dikira sebagai kebaikan, tidak kira pelaku itu Muslim atau tidak. Keburukan pula adalah keburukan, tidak kira pelaku itu tidak Muslim atau tidak.
Penilaian sesuatu itu baik, tidak semestinya mesti ia datang dari orang Islam. Sesuatu tindakan oleh orang bukan Islam tidak semestinya buruk hanya kerana akidahnya semata-mata.
Dalam hadis, dipamerkan Nabi memuji keadilan raja Habshah, walaupun ketika itu beliau seorang beragama kristian. Malahan, di suruh para sahabat berlindung di bawah pemerintahan tersebut.
Dalam Al-Quran pula, ada pengiktrafan terhadap amanah yang dilakukan oleh Abdullah bin Salam ketika beliau belum lagi beragama Islam. Firman Allah yang bermaksud, “Sebilangan Ahli Kitab, mereka yang diberikan amanah harta yang banyak, mereka akan diberikan kepada kamu” (Surah Ali-Imran, ayat 75)
Dalam Al-Quran juga, dipamerkan bahawa Allah tidak akan membinasakan negara yang diperintah oleh orang bukan Islam, jika negara itu terdapat rakyat yang saling melakukan islah atau pembaik pulih antara setengah dengan setengah yang lain.
Firman Allah yang bermaksud, “tidaklah Tuhan kamu membinasakan kerajaan secara zalim dalam keadaan ahli (rakyat) saling melakukan islah atau pembaik pulih” (Surah Hud, 117)
Dalam meniliti ayat ini, Al-Imam Fakhr Al-Din Al-Razi menyatakan, “Maksudnya adalah, Allah swt tidak akan membinasakan rakyat sesebuah negara dengan sebab mereka mensyirikkan Allah dalam keadaan mereka saling baiki membaiki dan saling berbuat baik dalam urusan sesama mereka.
Sesungguhnya kebinasaan itu tidak diturunkan dengan sebab rakyatnya tidak beraqidah Islam, tetapi diturunkan kebinasaan dengan sebab buruk dalam urusan sesama mereka, disamping mereka tidak berhenti dari melakukan kerosakan dan kezaliman.”(Rujukan: Fakhr Al-Din Al-Razi (meninggal 606 Hijrah), Mafatih Al-Ghaib (nama lain: Al-Tafsir Al-Kabir), Dar ihya’ Al-Turath Al-‘Arabi – Bairut, tarikh : 1420 Hijrah)
Islam mengutamakan kelayakan
Islam meletak bahawa perlantikan seseorang pemerintah itu berdasarkan kepada kelayakan, bukan berasaskan keturunan. Nabi muhammad SAW ada menyatakan yang bermaksud, “Apabila disandarkan urusan itu kepada orang bukan berkelayakan, tunggulah saat kehancuran”. (Al-Bukhari, Hadis no : 59)
Sebarang tindakan yang mendatangkan kerosakan, bukan dari kehendak Islam. Sabda Nabi yang bermaksud “tiada kerosakan kepada diri sendiri dan kerosakan kepada orang lain dalam Islam” (Al-Tibrani, Al-Mukjam Al-Awsat, hadis no : 5193)
Dari sudut kepercayaan, Nabi SAW menyatakan bahawa kerosakan, malahan kehancuran bakal berlaku dengan melantik pemerintah yang tidak berkelayakan. Jelas dan nyata, perlantikan bukan kerana keturunan, tetapi dengan kelayakan.
Lebih nyata lagi, sistem perlantikan berasaskan kepada keturunan bukan kehendak Islam itu dilakukan oleh seorang sahabat dari kalangan Bani Umayyah bernama Muawiyyah, sedangkan Nabi SAW pernah berkata, “lelaki yang mula-mula menukarkan sunnah aku adalah lelaki dari Bani Umayyah”. (Albani, Silsilah Al-Ahadis Al-Sahihah, Maktabah Al-Ma’arif Li Al-Nasyr wa Al-tawzi’ – Riyadh, tarikh : 1422 – 2002, hadis no : 1749)
Hadis ini dihasankan oleh Syaikh Albani, malahan dibahas oleh Syaikh Albani bahawa hadis ini bermaksud merujuk kepada menukar sistem pentadbiran kepada monarki. (Albani, Silsilah Al-Ahadis Al-Sahihah, Maktabah Al-Ma’arif Li Al-Nasyr wa Al-tawzi’ – Riyadh, tarikh : 1422 – 2002, jilid 4, muka surat 330)
Politik / siyasah
Siyasah punyai maksud pentadbiran, mendidik, mengurus dan pelbagai lagi. Jika Islam melihat penurunan Syariah untuk memberi kebaikan, manfaat dan kemaslahatan kepada manusia, makanya politik adalah sebagai alat untuk memastikan kebaikan, manfaat dan kemaslahatan itu tercapai.
Ekoran itu, Al-Qaradawi menyatakan bahawa siyasah itu adalah melaksanakan sesuatu yang dapat memberi kemaslahatan (manfaat dan kebaikan) kepada rakyat (Al-Siyasah Al-Syariiyyah Fi Nusus Al-Syariah wa maqasidiha, Maktabah wahbah – Kaherah, tarikh : 2005 – 1426, hlmn 29)
Allal Al-Fasi pula menyatakan bahawa politik itu perlu kepada tiga perkara, iaitu memberikan hak kepada yang berhak, mengakui keadilan dan tadbir urusan rakyat dengan baik. (Maqasid Syariah wa makarimuha, Dar Al-Salam, tarikh : 2011 – 1432, hlmn 165)
Nyata di sini bahawa politik dalam Islam itu adalah berusaha sedaya mungkin agar tercapai kemaslahatan dan kemanfaatan untuk rakyat semaksima mungkin. Sesuatu sistem yang boleh menghalang tercapainya kemaslahatan semaksima mungkin, maka ia bukan kehendak Islam.
Demokrasi
Meneropong dari sudut sejarah politik umat Islam sejak zaman penurunan wahyu dan selepas itu, didapati bahawa sifat politik itu tidak statik, tetapi bersifat berubah-ubah.
Ini dapat dibuktikan dengan cara pelantikan Abu Bakar Al-Siddiq tidak sama dengan cara perlantikan Umar bin Al-Khattab. Begitujuga cara perlantikan Umar tidak sama dengan perlantikan Osman bin Affan, seterusnya cara perlantikan Ali bin Abi Talib.
Di era Muawiyyah, berlaku peperangan saudara melibatkan sesama Muslim, menjadikan bentuk politik umat Islam bertukar kepada monarki. Dari satu sisi, dilihat bahawa perubahan kepada monarki kerana nak elak dari diambil peluang oleh musuh-musuh luaran.
Namun, di era kini pengamalan demokrasi semakin berkembang di negara-negara umat Islam. Dalam keadaan begitu, demokrasi bukan sistem yang baik, tetapi dalam maksud mengurangkan kerosakan, demokrasi jauh lebih baik jika mahu dibandingkan dengan monarki.
Malahan, sebilangan sarjana-sarjana Muslim seperti Rashid Al-Ghanoushi dan Hasan Al-Turabi menyatakan bahawa demokrasi dari sudut rohnya selaras dengan ajaran Islam.
Dari perbahasan ini, kelihatan bahawa monarki bukan sistem yang dianjur oleh Islam, tetapi penggunaannya di era Muawiyyah adalah berasaskan darurat, iaitu keterpaksaan kerana hendak mengelak dari berlaku kerosakan yang lebih besar.
Ia sama seperti Islam mengharamkan makan babi, tetapi diizinkan makan kerana darurat, seperti tiada makanan lain kecuali babi untuk menjaga nyawa, maka babi itu dibenarkan untuk dimakan.
Namun, selepas nyawa sudah terjaga, maka hukum makan babi itu menjadi haram semula. Dalam mantiq yang sama dalam melihat pengamalan monarki di era Muawiyyah.
Wallahu alam
Kehangatan pilihanraya kampus dan kebangkitan suara mahasiswa
Boikot PRK UiTM? Tetapi keadaan di UiTM berbeza. Rata-rata ramai yang tidak sedar bahawa suara mahasiswa dipinggirkan oleh pihak pentadbiran UiTM. Penulis ada terbaca rencana “Boikot PRK UiTM?” yang ditulis oleh Dr Jamaluddin Ahmad, Pensyarah Fakulti Pendidikan, UiTM Shah Alam di laman The Malaysian Insider. Kenyataan “Aspirasi akan terus bertahan di UiTM” mendapat perhatian penulis. Setelah diselidiki, ternyata ada asasnya. Tekanan sistem UiTM itu sendiri menyebabkan pelajar dilema sama ada mahu mengundi atau memboikot PRK UiTM. Contohnya akta 174 di mana kaedah tatatertib UiTM menegah para pelajar daripada memboikot kelas/aktiviti rasmi UiTM. Bak kata lain Akta 174 diguna pakai untuk mencengkam kebebasan bersuara mahasiswa. Kesannya mahasiswa UiTM sering dilihat dan dicapkan sebagai mahasiswa yang ‘lesu’ terhadap isu semasa, sering dipandang serong oleh masyarakat kerana dianggap mementingkan diri sendiri. Dek status quo UiTM sebagai benteng tempat terakhir bagi mahasiswa Melayu dan Bumiputera. Jadi tidak hairanlah wujud kumpulan Pro-M seperti yang bergerak secara “anonymous” di laman sosial seperti UiTM Insider, Kelab Sosialis UiTM, Pro Mahasiswa UiTM, GAMUS UiTM dan lain-lain, memberi kesedaran untuk “ingkar” kepada larangan tersebut. Sementara itu media arus perdana kerap mempamerkan propaganda UiTM bahawa Pro-M langung tidak mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UiTM kerana kononnya kemenangan semua kerusi dibolot oleh Pro-A. Namun, perkara sebenar disini UiTM tidak menggamalkan sistem dwi-parti bagi pilihan raya kampus mereka. Walhal, Pro A juga tidak wujud kerana yang ada hanya wakil mahasiswa dari setiap fakulti dan bertanding secara individu setelah ‘direstui’ oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP) melalui pelbagai tapisan. Menurut akta 174, calon Jawatankuasa Perwakilan Pelajar tidak dibenarkan membuat apa sahaja pakatan atau kelayakan bertanding mereka akan digugurkan. Jika berlakunya pertandingan antara calon Pro A dan Pro M, bolehkah kita bayangkan kesan dan impaknya jika Pro A tewas kepada Pro M di UiTM. Perkara inilah yang mahu dielakkan oleh pihak pengurusan UiTM dan kerajaan. Sudah tentu pihak pengurusan atasan UiTM selaku pelindung mahasiswa Melayu dan Bumiputera mahu menjaga imej UiTM selaku universiti penyokong kerajaan pemerintah sepenuhnya. Inilah demokrasi terpilih ala UiTM. “Suara Mahasiswa Suara Keramat” Sejak AUKU diperkenalkan dulu, mungkin pentadbiran universiti mengugut para siswa dan siswi dengan panggilan-panggilan “tak bersyukur” dan ‘pengkhianat’ sekiranya kita menyuarakan sebarang ketidakadilan. Namun, adakah pihak universiti masih dapat menghalang mereka untuk menggunakan kewarasan intelektual mereka dalam menegakkan hak mereka? Penulis ingin menegaskan mahasiswa dididik untuk mempelopori pelbagai bidang intelektual mereka. Sewajarnya keberanian dan kesungguhan golongan intelektual ini menghadapi pelbagai isu-isu akademik, universiti, kebajikan mereka mahupun isu nasional serta global sepatutnya digalakan. Justeru, akan timbul kesedarkan komuniti di sekeliling mereka agar lebih sensitif dan responsif akan apa-yang terjadi di sekeliling mereka. Sebagai kesimpulan, “suara mahasiswa suara keramat” bukanlah satu angan-angan kosong yang hanya boleh dipermainkan oleh sebilangan pihak tertentu bagi mencengkam kebebasan bersuara mereka. Dan kita juga berharap pihak pentadbiran universiti UiTM akan mengubah dasar mereka agar dapat mendengar dan mempertimbangkan suara mahasiswa supaya kepimpinan mahasiswa lebih efisyen dan mencapai taraf pemimpin yang berdaya saing diperingkat global. Akhir kata, jom renungkan kata-kata hikmat daripada seorang pensyarah dan penulis terkenal Amerika, Alfie Kohn (1993): “Students should not only be trained to live in a democracy when they grow up; they should have the chance to live in one today.”
]]>Larangan kalimah Allah: Suatu renungan
Sebab Larangan dibuat
Perkara itu ditetapkan setelah berbinang dengan Dewan diRaja Selangor yang bersidang pada 11 November lalu seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1988. Enakmen tersebut terpakai kepada semua orang sama ada Islam atau bukan Islam dalam negeri Selangor.
Sebab yang lain adalah untuk mengelakkan kekeliruan umat Islam di negeri ini dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dalam agama mereka, kerana kalimah Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu seperti yang terdapat dalam surah Al-Ikhlas sebagaimana titah baginda.
Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 (En. 1/88)
Ramai penduduk Selangor yang bukan Islam tertanya-tanya adakah hak kebebasan beragama dilindungi atau dikawal?
Kewujudan enakmen ini adalah salah satu bentuk intimidasi ke atas mereka. Setelah diselidik enakmen ini, dilampirkan satu jadual iaitu Jadual 1 (Sekysen 9) Bahagian 1 yang terkandung perkataan-perkataan (35) dan luahan yang tidak boleh digunakan atau dikaitkan dengan orang bukan Islam.
Kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan
Perkara 11 (4) ada menyebut: “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”
Menurut Perkara 3 perlembagaan negara, Islam merupakan agama rasmi persekutuan. Namun agama-agama lain bebas diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan tanpa boleh disekat. Ini bermakna kebebasan beragama sebagai sebahagian hak asasi manusia dijamin di sisi perlembagaan negara.
Namun berbanding agama-agama lain Islam mendapat keistimewaan dan perlindungan di bawah undang-undang .
Kesan Perlaksanaan
Artikel ini bukan untuk mengajak pembaca untuk mengutuk mahupun akur terhadap peruntukkan undang-undang yang dilihat seakan-akan meminggir penganut bukan Islam di Malaysia.
Ianya lebih kepada kesedaran mengenai implikasinya ke atas penganut bukan Islam. Pertama, jikalau kesemua enakmen diwartakan dan dilaksanakan serta-merta, akan ramai penganut bukan Islam dihukum melaluinya dengan pelbagai kesalahan.
Dari sudut penganut bukan Islam, mereka tidak boleh mengamalkan agama mereka secara terang-terangan kerana khuatir dikenakan tindakan. Kedua, artikel-artikel, penulisan, akhbar, kitab suci serta buku-buku keagamaan mungkin akan ditapis, disekat dan dipaksa untuk suntingan semula.
Ketiga, ianya telah melanggar kontrak sosial sebagaimana dalam Perjanjian 18/20 Perkara Sarawak dan Sabah pada 1963. Sabah dan Sarawak telah dijanjikan Perkara 1: Agama bahawa apa-apa perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai kerana di Sabah dan Sarawak tiada agama rasmi. Rata-rata ada juga penduduk Sabah dan Sarawak tinggal di Semenanjung Malaysia atas tuntutan nafkah hidup. Adakah mereka juga dikenakan tindakan menurut enakmen itu jika disabit kesalahan?
Apa yang harus diperbuat?
Apa yang ingin penulis katakan di sini ialah bahawa keadaan kepelbagaian dan keharmonian agama dilihat seakan-akan telur dihujung tanduk. Terlalu banyak kerosakan telah terjadi sehingga usaha untuk menyatupadukan penduduk berbilang kaum dan agama kelihatan sukar dilaksanakan.
Antara cadangan yang boleh dikemukakan disini adalah, semak semula semua undang-undang yang ada di negara Malaysia ini termasuk Perlembagaan Persekutan, Undang-undang Negeri dan Undang-undang Syariah. Adakah ianya menepati kontrak sosial Persekutuan Malaysia yang termeterai pada 16 September 1963? Jika bercanggah, perlunya satu usul dibawa di Parlimen bagi pindaan yang sesuai secara adil dan saksama.
Kedua, tukar mentaliti kita sebagai rakyat Malaysia. Kita ada Rukun Negara, gagasan 1Malaysia dan Wawasan 2020. Semua pihak, dari pemerintah sehingga kakitangan swasta dan kerajaan sewajarnya dibentuk dan diasah untuk berfikiran matang dan terbuka dalam pelbagai perkara dalam kehidupan seharian kita.
Akhir kalam, dialog merupakan salah satu kunci untuk mampu mematangkan toleransi antara kaum dan agama didunia ini. Manusia sememang hidup dalam kolompok berbeza-beza dalam pemikiran mahupun cara hidupnya. Namun demikian, demi keamanan wajarlah kita berusaha untuk mencapai ke arah itu.
Daripada belanjawan ke bajet: Upacara Anglisasi bahasa untuk mewujudkan Melayu Borjuis Baharu
“A man who has a language consequently possesses the world expressed and implied by that language.” – Frantz Fanon, “Black Skin, White Masks”
Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa perkataan ‘bajet’ digunakan walhal korpus Bahasa Melayu mempunyai perkataan untuk makna yang sama iaitu ‘belanjawan’? Tetapi ‘bajet’ hanyalah satu dari ribuan perkataan yang telah di-Melayukan. Biasakah anda dengan perkataan seperti Transformasi, Fiskal, Akomodatif, Indikator, Fertigasi ataupun Sekuriti? Pernahkah anda tertanya-tanya, mengapa di Malaysia, sebuah negara yang mempunyai bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu, selain mempunyai puluhan bahasa penduduk asal yang lain seperti Bahasa Cina, Bahasa Tamil ataupun Bahasa Iban – terlalu gilakan Bahasa Inggeris? Sistem pendidikan kita telah membuktikan betapa gilanya kita terhadap Bahasa Inggeris ini. Pada 2002-2003, tanpa adanya perbahasan di Dewan Negara, sebuah dasar yang mengangkat Bahasa Inggeris telah dilaksanakan secara tergesa-gesa dan dinamakan dengan Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sebagai rekod, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah melaksanakan program mentor untuk memperkasa kemahiran guru yang mengajar Bahasa Inggeris dengan belanja sehingga 270 juta untuk 360 mentor dalam tempoh tiga tahun sahaja sehingga 2013. Tidak cukup dengan itu, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan September 2013 lalu telah mewartakan subjek Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jadi, apakah sebenarnya yang sedang berlaku? Fungsi bahasa Satu perkara yang perlu kita semua setuju dan jelas adalah Bahasa Inggeris penting, namun sejauh mana pentingnya bahasa asing ini perlu dilihat dengan kaca mata yang adil dan kritis. Untuk memahami dengan lebih mendalam senario ini, kita perlu merujuk apakah fungsi sebenar bahasa. Ngugi Wa Thiong’o, penulis Kenya di dalam makalah beliau ‘Imperialism of Languge: English, a Language For The World?’ menyatakan bahawa bahasa mempunyai dua aspek iaitu i) sebagai cara berhubung dan ii) sebagai pendukung sejarah dan kebudayaan. Menurut beliau lagi, berbeza dengan negara seperti Afrika, negara ‘Scadinavian’ seperti Norway, Sweden dan Finland menggunakan Bahasa Inggeris hanya sebagai komunikasi, tidak lebih dari itu. Ngugi Wa Thiong’o menegaskan, bahasa asing boleh dipelajari dan digunakan jika tiga aspek ini dpaat dipenuhi iaitu; i) kesetaraan ekonomi, ii) kesetaraan politik dan iii) kesetaraan budaya. Dengan kata lain, Bahasa asing perlu dipelajari di mana yang membelajar itu mempunyai autonomi, bahawa ia berkuasa ke atas keadaannya. Budaya menindas Tetapi beliau menyatakan bahawa sejarah pendokongan Bahasa Inggeris sebagai bahasa institusi dan dasar di kalangan negara-negara bekas jajahan British berlaku di dalam suatu konteks di mana Bahasa Inggeris meminggir bahasa lain. Sebagai bahasa penjajah atau ‘language of the conqueror’, Bahasa Inggeris disajikan sebagai bahasa ‘penyelamat’ di mana penjajah menyarankannya sebagai bahasa yang akan membawa kepada taraf hidup yang lebih tinggi. Oleh kerana Bahasa Inggeris diinstitusikan dalam keadaan kolonialisme di mana adanya hierarki kukuh antara penjajah yang mengawal dan rakyat yang dikawal, tidak hairanlah Bahasa Inggeris itu mula menyerap ke dalam fabrik masyarakat tempatan. Ini berlaku hampir di semua negara yang pernah dijajah di bawah Empayar British. Secara sikit demi sedikit, melalui sedutan perlahan ke dalam sistem ekonomi, politik dan institusi budaya kolonial British, mereka (baca: rakyat yang dijajah) yang menggunakan Bahasa Inggeris dianggap bebas dari kegelapan kerana menzahirkan bahasa yang kononya melambangkan ‘Pencerahan Eropah’. Di dalam makalah yang sama Wa Thiong’o juga menceritakan tentang konteks kolonial Afrika untuk menunjukkan bagaiman penggunaan Bahasa Inggeris semata-mata dianggap kononya sebagai bukti kebijaksanaan dan ketamadunan seseorang itu. Beliau menyifatkan ini sebagai sejenis ‘false consciousness’ (kesedaran palsu) kerana mereka yang berbangga dalam penguasaan Bahasa Inggeris tidak pula mengambil kira hakikat eksploitasi dan keganasan kolonial apabila mereka meraikan ketamadunan British yang dikatakan sungguh “cerah”. Malahan menurut beliau, Bahasa Inggeris telah diajarkan kepada seluruh masyarakat Afrika seolah-olah mereka tidak mempunyai lidah untuk bahasa mereka sendiri. Bahayanya situasi ini, mereka yang tidak tahu dan tidak faham menggunakan Bahasa Inggeris akan dilihat lebih rendah. Budaya Eurosentrik Menurut Wa Thiong’o, seperti yang telah menjadi kebiasaan dalam konteks pasca-kolonial, pewaris kuasa daripada penjajahan British berasal dari golongan elit. Dalam konteks itu adanya wacana keinginan untuk berkongsi lidah dan sistem kepercayaan yang sama dengan pemimpin British – tidak lain tidak bukan untuk kelihatan seperti mereka. Dari situ, mulalah tren di mana rakyat diajar menggunakan Bahasa Inggeris dan dipimpin untuk beriman dan mempercayai betapa perlu dan pentingnya Bahasa Inggeris untuk masa depan mereka. Malangnya apabila situasi ini berlaku, perkembangan sains dan teknologi disimpan di dalam rak Bahasa Inggeris, bukan lagi di dalam perpustakaan bahasa asal mereka. Berbanding dengan masyarakat biasa yang tidak berbahasa Inggeris, ilmu tersebut terpenjara di dalam penjara Bahasa Inggeris. Imperialisme bahasa ini adalah bentuk budaya kolonial baharu di zaman moden ini. Dalam konteks Malaysia, imperialisme bahasa ini digunakan untuk membentuk satu golongan kolonial baharu iaitu ‘Melayu Borjuis Baharu’. Melayu Borjuis Baharu Seperti konteks umum pasca-kolonial yang dijelaskan secara ringkas tadi, golongan ini adalah golongan yang sama mewarisi pemerintahan dari British 50 tahun yang lalu. Golongan ini adalah sekumpulan kecil elitis yang merangka dasar dan pemikiran bangsa sekian lama ke atas sekumpulan besar masyarakat yang lain. Dan tugas mereka kini adalah untuk memelihara kumpulan kecil elitis ini, melalui pembentukan sekumpulan kecil elitis kecil yang lain untuk menyokong mereka pada masa hadapan. Golongan ini bercakap di dalam Bahasa Inggeris, menulis menggunakan Bahasa Inggeris, menghantar anak-anak mereka belajar sehingga ke London bahkan sedang berusaha keras merangka dasar pendidikan pro-British melalui gerakan imperialisme Bahasa Inggeris di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan negara. Lebih jauh, mereka sedang memastikan masyarakat terbesar juga berfikir di dalam Bahasa Inggeris dengan penyerapan perkataan-perkataan asas, walaupun perkataan tersebut wujud sejak sekian lama di dalam korpus Bahasa Melayu. Untuk memastikan gerakan imperialisme mereka ini berjaya, budaya Euro-sentrik dijadikan fahaman asas di dalam keluarga kecil elitis yang berpusat di Taman Tun Dr Ismail, Mont Kiara dan Bangsar. Mereka akan memastikan komunikasi efektif hanya di dalam Bahasa Inggeris, menjadikan masyarakat terbahagi kepada dua iaitu i) kumpulan kecil elitis yang memerintah dan ii) kumpulan besar masyarakat yang diperintah. Upacara Anglisasi Kini kita tiba kepada soalan mudah; apakah proses imperialisme moden melalui bahasa ini berjaya? Ya, jawapannya mereka berjaya. Kini anak muda Malaysia tidak akan diambil bekerja di syarikat perniagaan ternama jika tidak tahu berbahasa Inggeris. Untuk sebahagian besar pensyarah, hasil kerja penyelidikan mereka tidak akan diiktiraf jika tidak mempunyai label ISI-Scopus yang perlu diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris. Di universiti awam, para mahasiswa berlumba-lumba mengadakan program menggunakan Bahasa Inggeris. Samada program intelektual mahupun tidak, mereka akan kelihatan lebih ‘antarabangsa’ jika dapat menganjurkannya di dalam Bahasa Inggeris tanpa mengambil kira latar belakang pelajar dan impak dari program tersebut kepada pelajar secara makro. Masyarakat awam yang sejak dari kecil diajar untuk beriman kepada fahaman Euro-sentrik mula memandang golongan kecil elitis yang memerintah dan menduduki tempat khas dalam negara sebagai malaikat yang perlu dipatuhi kerana mereka lebih pandai berbahasa Inggeris. Di akhirnya, mereka akan kekal sebagai golongan kecil elitis, yang merangka dan membentuk cara faham dan berfikir masyarakat terbesar. Manakala wujud semacam ketakutan dalaman kepada masyarakat biasa, golongan pertengahan dan bawahan yang tidak belajar di luar negara serta mempunyai kemahiran minimal di dalam Bahasa Inggeris. Mereka berasa diri mereka lebih kecil dan tidak mampu mengatasi mereka yang mempunyai kemahiran lebih baik di dalam Bahasa Inggeris (walaupun selalunya kemahiran yang mereka miliki dalam lapangan mereka sendiri lebih baik dari mereka yang punyai kemahiran lebih baik dalam Bahasa Inggeris ini). Kumpulan elitis kecil ini – adalah golongan yang sama memerintah sejak dari dahulu, diperturunkan dari anak beranak kepada saudara mara dan sepupu-sepapat, dihantar ke London untuk belajar bahasa dan cara berfikir kolonial – dan segera pulang untuk menjalankan imperialisme di dalam negara dan bangsa mereka sendiri, untuk kepentingan diri, keluarga dan kumpulan kecil elitis ini. Perlukah kita belajar Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris? Perlukah kita menguasai Bahasa Inggeris untuk mendapatkan kerja di dalam negara yang bahasa kebangsaannya adalah Bahasa Melayu? Perlukah kita berbelanja ratusan juta untuk mengimport mentor Bahasa Inggeris untuk membantu guru Bahasa Inggeris kita? Perlukah kita menyerap ribuan perkataan dari Bahasa Inggeris ke dalam Bahasa Melayu? Berbaloikah pengorbanan yang kita lakukan ini? Jawapannya tidak. Namun kita tidak dapat melakukan apa-apa kerana yang berkuasa kini adalah kumpulan kecil elitis – yang kini sedang merangka sebuah gerakan imperialisme untuk membina sekumpulan kecil Melayu Borjuis Baharu yang kelak pada masa hadapan akan menyokong mereka dari segi politik dan ekonomi. Rusia telah membuktikan pengembaraan ke angkasa lepas tidak memerlukan Bahasa Inggeris. Perancis, Jerman dan sekian banyak negara Eropah telah membuktikan Bahasa Inggeris bukanlah syarat untuk menjadi maju. Sedangkan Malaysia, sebuah negara paling unik dari komposisi budaya di Asia Tenggara pula sedang tergila-gilakan Bahasa Inggeris. Keterdesakkan untuk menyertai arus globalisasi yang berakar di negara-negara empayar, hanya akan menggadaikan autonomi budaya Malaysia. Ia mengabai peluang yang ada untuk menghayati keunikan kemajmukan negara kita yang sudah berkurun lama dibentuk dan dijanakan secara organik. Inilah hakikat yang patut menjadi sumber untuk memperkayakan lagi pengalaman bahasa rakyat Malaysia. Bahasa Inggeris perlu dipelajari, tetapi jangan haraplah ia akan menyelamatkan kita. Bagi mereka yang mendokong logik anglisasi sebagai cara mendapat pelabur asing, kita sudah tahu asal-usul logik kolonial ini. Kesemua upacara penukaran istilah tidak lain hanyalah sebahagian kecil dari ritual keagamaan untuk menyembah Bahasa Inggeris – untuk menunjukkan bahawa mereka lebih warak dan beriman dari yang lain. Mereka ini adalah – Melayu Borjuis Baharu.
Dialog Sunni-Syiah: Mencari persefahaman dalam kepelbagaian (Bahagian akhir)
(Anda juga dijemput membaca bahagian pertama, kedua, ketiga dan keempat)
Pentingnya dialog
Pernah satu hari saya berbeda pendapat dengan seorang teman yang sama beraliran Sunni tentang sikap mencari damai dalam perbedaan antara Sunni dan Syiah. Teman saya itu mahu mengambil sikap membenteras Syiah dengan kekerasan, sedangkan saya mencadangkan dialog yang lebih sihat.
Pendapat saya ditolak beliau. Apabila saya bertanya, apa sikap sewajarnya terhadap mereka yang berfahaman Syiah. Beliau menjawab, “cukup sekadar mereka mengakui bahawa mereka bukan beragama Islam”
Saya bertanya lagi, “apa pendapat anda jika mereka pula minta Sunni mengakui bahawa Sunni bukan beragama Islam?”
Soalan saya itu menyebabkan dia terdiam.
Rata-rata kita menilai kononnnya dialog antara Sunni – Syiah seperti gagal. Tanpa kita sedari bahawa kesan dari usaha damai yang diusahakan mereka terdahulu menjadikan usaha dialog segar antara dua belah pihak semakin berlaku.
Walaupun tidak semeriah seperti yang dijangka, sekurang-kurangnya di pihak Syiah sendiri sudah ada sebilangan mereka yang menyeru agar kritikan dan mengkafirkan sebilangan sahabat oleh Sunni tidak dilakukan.
Dalam perbuatan mengkafirkan sesiapa sahaja secara terbuka, kebimbangan yang paling besar adalah ia akan membawa kepada pertumpahan darah. Pengkafiran akan mangkibatkan sesuatu yang boleh dibincang secara damai bertemu jalan kegagalan.
Ini kerana, menuduh orang yang tidak sehaluan sebagai kafir, melahirkan sentimen kebencian dan kemarahan, akan tentunya menghalang dialog secara ilmiah dan rasional.
Bahayanya tuduhan pengkafiran
Mengkafirkan manusia bermaksud menentukan orang yang tidak sealiran sebagai terkeluar dari islam.
Dalam maksud yang lain, dia telah menentukan orang yang dituduhkannya sebagai ahli neraka, sedangkan semasa si penuduh melakukan tuduhan tersebut, dirinya sendiri pun masih belum ada “cop mohor” kelayakkan masuk syurga.
Hakikat yang perlu diterima oleh sesiapa sahaja bahawa ke syurga atau tidak, bukan cop dan lebel kafir yang diberikan oleh seseorang terhadap seseorang yang lain; bukan dari satu aliran terhadap aliran lain; bukan dari satu fahaman terhadap fahaman yang lain. Syurga seseorang itu berdasarkan rahmat dari Allah SWT.
Dalam riwayat Sunni, daripada Al-Imam al-Bukhari, didatangkan satu Hadis bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda, “Sesekali seseorang itu tidak masuk syurga dengan sebab amalannya”.
Lalu seorang sahabat bertanya kepada Nabi, apakah diri Nabi Muhammad SAW juga begitu? Nabi SAW menjawab yang maksudnya, “Ya, aku juga tidak masuk syurga dengan amalan, tetapi dengan dikurniakan rahmatNya”. (Al-Bukhari, Hadis No : 5241, Muslim, Hadis No : 5040)
Dalam kes sebegini, saya amat terkesan dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Al-Imam Al-Tahawi yang pernah menyatakan, “Kami menetapkan sebagai ahli Qiblat (Kaabah) sebagai Muslim dan Mukmin selama mereka mengiktiraf dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dia beramal dengan semua perkataan Baginda SAW dan membenarkan semua yang Baginda SAW beritakan.”
Dalam pemikiran Sunni, sesuatu perkara itu tidak boleh diletakkan hukum haram kecuali terdapat nas yang jelas dan saheh. Inikan pula, untuk menentukan seseorang itu kafir, sudah pasti tidak boleh berlaku kecuali dengan sesuatu yang jelas dan nyata.
Di zaman penurunan wahyu, budaya kafir mengkafir ini tidak berlaku, tetapi hairan di zaman wahyu sudah berhenti, budaya takfir ini semakin menjadi-jadi.
Ini memberi gambaran, bagaimana budaya kafir mengkafir ini bukan satu perkara yang sihat, tetapi ia terhasil dari sikap kebencian, emosi melampau, hawa nafsu dan berpunca dari sikap tidak berusaha mencari jalan damai dalam berhadapan dengan perbedaan.
Ada sebilangan Sunni marah dengan sikap sebilangan Syiah yang mengkafirkan sahabat, makanya mereka mengambil sikap mengkafirkan balik orang-orang Syiah.
Jika difikirkan balik, sikap orang Sunni yang sebegitu sekali-kali tidak dapat mendatangkan kedamaian, kecuali permusuhan semakin membengkak, Akibat dari itu dialog antara dua belah pihak semakin gagal berlaku.
Dan di pihak sebilangan orang-orang Syiah ada pula yang mahu mengkafirkan sahabat, apakah perlunya mereka mengeluarkan kenyataan kafir mengkafir terhadap sahabat di khalayak, sedangkan ia sedikit pun tidak mendatangkan hasil yang baik dalam hubungan antara masyarakat yang terdiri dari berbagai latar pegangan mazhab dan aliran.
Tahaluf
Saya secara peribadi tidak berharap agar Sunni membuang pakaian Sunni, lalu menyarung pakaian Syiah, atau Syiah membuang pakaian Syiah, lalu menyarung pakaian Sunni.
Pada saya, setiap Sunni dan Syiah perlu kekal dengan pemahaman dan kepercayaan masing-masing.
Tetapi tapi dalam perbedaan kepercayaan ini, mereka boleh seiring sejalan dalam perkara yang boleh mereka bersama, dan berdialog secara segar dalam perkara yang mereka berbeda.
Isu-isu sensitive antara kedua-duanya, seperti isu mengkafirkan sahabat wajar dielak berlaku di khalayak demi untuk menghormati perasaan Sunni.
Pihak Sunni juga patut diak turut menimbulkan sensitive yang melahirkan perbalahan dengan Syiah.
Tetapi, jika mahu ia didebatkan secara ilmiah, hendaklah dilakukan di kalangan mereka yang berkelayakkan sahaja. Tujuannya adalah, agar perbedaan ini tidak melahirkan perbalahan, sebaliknya menghasilkan natijah yang baik.
Pada saya, seruan agar menSyiahkan orang Sunni, atau menSunnikan orang Syiah bukan seruan yang sihat, kerana ia adalah permulaan terhadap perasaan rasa tidak jujur antara satu dengan yang lain.
Dengan perasaan sebegini, perbedaan itu satu masa nanti akan bernatijahkan perbalahan dan permusuhan. Makanya, dialog sihat dan damai akan bertemu kekusutan dan jalan buntu.
Kesimpulan
Perbedaan pendapat, kepercayaan dan aliran tidak seharusnya difikirkan sebagai perbalaham. Sebaliknya ia perlu dianggap sebagai warna warni untuk mengindahkan kehidupan. Namun, perbalahan sering terjadi ekoran tidak ada sikap ingin kenal mengenali dan fahami memahami antara satu dengan yang lain.
Banyak tamadun yang hebat dahulu runtuh ekoran tidak bersedia mengenali pihak yang berbeda. Tamadun yang berjaya mencipta nama, selalunya bermula dari sikap pencoraknya dari kalangan mereka yang hormati perbedaan, malahan tidak segan untuk pelajari kelebihan dari pihak yang berbeda dengan mereka.
Respon Marina Mahathir kepada ISMA: Islam menegakkan keadilan
Marina Mahathir Saya kecewa ISMA tetap menegaskan keputusan mereka untuk memfitnah saya sebagai ‘dalang ‘ di sebalik COMANGO. Tambahan pula, ISMA meneruskan taktik membuli dengan menyelewengkan kata-kata saya dalam kenyataan mereka yang terkahir. Memang saya bangga menjadi ahli Sisters in Islam yang telah giat berjuang selama dua puluh tahun untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan bagi golongan Muslimah di Malaysia. Sejak peringkat awal penubuhan lagi, Sisters in Islam adalah antara gerakan wanita yang utama yang merujuk kepada Quran dan Sunnah untuk menekankan prinsip-prinsip etika dalam membela keadilan untuk kaum wanita. Kini, usaha kami sudah menjadi ilham kepada organisasi-organisasi wanita di negara-negara Muslim yang lain dalam pendirian kita bahawa Al-Quran ke arah keadilan dan kesaksamaan. Ini adalah asas kepercayaan saya, bahawa semua manusia dicipta oleh Tuhan yang Satu, Maha Pengasih, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Berbeza dengan manusia, Tuhan tidak membuat kesilapan dan oleh itu dia mencipta setiap insan mengikut kehendak-Nya. Oleh itu, peranan kami adalah untuk menghormati keputusan Allah dan ciptaan-Nya. Ia satu keharusan untuk kita menilai setiap insan ciptaan Tuhan dengan maruah, rasa hormat dan perikemanusiaan, tanpa mengira bangsa, agama, orientasi seksual dan keupayaannya. Seperti yang difirman Allah dalam Surah Al -Hujurat, ayat 13: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya. Saya ingin mengulang penegasan saya bahawa ISMA menyebar fitnah dengan mengatakan bahawa saya adalah dalang di sebalik COMANGO . Saya sedar bahawa SIS adalah sebahagian daripada peserta Comango. Saya juga sedar bahawa laporan Comango disediakan untuk proses UPR. Tetapi saya tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat atau terlibat secara peribadi dalam menghasilkan laporan tersebut, yang hanya salah satu daripada 28 laporan NGO mengenai keadaan hak asasi manusia di Malaysia. Sepertimana yang semua orang tahu, laporan-laporan NGO adalah sebahagian daripada proses kajian semula PBB dan tiada apa-apa yang luar biasa mengenai laporan Comango. Saya tahu mengenai laporan itu dan saya menyokongnya tidak kurang kerana ia bukan seperti apa yang ISMA katakana. Ini jelas bagi sesiapa yang cukup mengambil berat untuk membacanya melalui laman web Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia akan tahu. Jadi amatlah tidak jujur bagi ISMA untuk menyatakan bahawa COMANGO ke luar negara untuk memusnahkan imej Malaysia dan Islam. Seluruh dunia memangpun sudah peka terhadap apa yang berlaku di Malaysia dengan adanya internet. Seperti apa yang dijelaskan COMANGO, kerajaan Malaysia sering hadir ke mesyuarat-mesyuarat PBB untuk melaporkan perekembangannya dalam memenuhi kewajipan untuk akur kepada pelbagai perjanjian dan peretujuan PBB. Biasanya, kerajaan menyetujui dan melaksanakan perjanjian-perjanjian berikut. Satu contoh baru-baru ini ialah alokasi 30% untuk wanita menganggotai jawatankuasa sesebuah syarikat, dasar yang disarankan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Convention for the Elimination of Discrimination Against Women / CEDAW). ISMA enggan untuk mengaku bahawa mereka sudah mencetak dan menyebar 70,000 flyer yang mengandungi fitnah terhadap saya. Ini aduan saya. ISMA berlaku tidak jujur apabila mereka ingin mengubah isu. Surah Al-Hujurat, Ayat 12 menyatakan: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. Ini Islam kepercayaan saya. Saya amat berharap bahawa ia juga Islam kepercayaan ISMA.
]]>Perihal Raja-raja Melayu
The Malay Rulers: Regression or Reform? (2013) adalah edisi yang dikemas kini daripada buku Isu Raja dan Pindaan Perlembagaan (1993).
[caption id="attachment_2694" align="alignleft" width="300"] Majlis pelancaran “The Malay Rulers” berlangsung di Petaling Jaya.[/caption]
Buku setebal 86 halaman ini terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) dan dijangka kurang mendapat “perhatian” puak ultra kiasu memandangkan buku ini ditulis dalam “bahasa asing”.
Syed Husin sudah menulis dan menyelenggarakan sekitar 20 buku dan buku terbaru ini dilancarkan di Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya pada 3 November 2013. Saya berpeluang hadir kerana kebetulan menemani Datuk A. Samad Said dan isterinya sempena Deepavali.
Harus saya akui bahawa sepanjang ucapan pelancaran oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; serta ulasan buku oleh Profesor Tunku Shamsul Bahrin dan Profesor Aziz Bari, saya lebih tekun membaca The Malay Rulers: Regression or Reform? kerana kandungannya amat mempersonakan.
Baru-baru ini, saya menulis sebuah makalah pendek berjudul “Kisah tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) yang mendapat reaksi yang pelbagai daripada pelbagai pihak. Saya menerima segala kritikan dan pandangan itu dengan penuh terbuka demi percambahan minda dan dialog positif.
Dalam buku Syed Husin, beliau turut menyentuh beberapa perkara “sensitif” yang menimbulkan kemarahan sesetengah pihak apabila saya menyebut mengenainya dalam makalah saya. Maka buku ini wajar dijadikan bacaan wajib supaya mendapat pencerahan minda.
Buku ini terbahagi kepada enam bab dan disusun secara kemas bagi memudahkan pembacaan dan pemahaman. Saya akan memetik serta mengulas beberapa bahagian yang mencuri tumpuan saya semasa membacanya.
Terjemahan kesemua petikan adalah oleh saya sendiri dan jika timbul sebarang pertikaian – sebagaimana dalam Perlembagaan Malaysia – maka versi asal Bahasa Inggeris adalah rujukan yang sah.
Bab satu dimulakan dengan asal-usul Raja-raja Melayu. Dinyatakan bahawa walaupun Iskandar Zulkarnain dinyatakan dalam Quran, tidak diketahui jika individu itu sama dengan King Alexander the Great “yang hidup, memerintah dan menakluk lebih 2,300 tahun dahulu”.
Asal-usul Raja-raja Melayu
Syed Husin memetik kisah daripada Sejarah Melayu di mana dinyatakan bahawa raja Melayu pertama di Alam Melayu ialah Seri Teri Buana.
“Menurut legenda, dia muncul daripada muntah seekor lembu. Menurut kepercayaan Hindu, lembu adalah binatang suci, dan dalam sejarah awal orang Melayu, mereka menerima pengaruh kuat daripada budaya Hindu. Adalah dipercayai bahawa Seri Teri Buana merupakan keturunan Alexander,” kata Syed Husin dalam bukunya.
Perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana juga dihuraikan dalam buku ini. Antara perkara penting dalam perjanjian itu adalah bahawa orang Melayu tidak akan menderhaka terhadap raja.
[caption id="attachment_2693" align="alignleft" width="265"]
Teks “Sejarah Melayu” merakamkan pelbagai perkara penting berkaitan Raja-raja Melayu.[/caption]
Sesudah dan selepas kedatangan Islam, pengaruh Hindu amat kuat dalam sistem beraja di negara kita; sebagaimana turut terakam dalam Sejarah Melayu serta dapat pula dilihat sendiri sehingga hari ini.
Seperti kata Syed Husin, ajaran Hindu dan Islam sama-sama menekankan konsep “raja yang adil” (Just King). Bagaimanapun, dalam sejarah ketamadunan Islam, terdapat beberapa contoh pemerintah (raja/sultan) yang kejam dan kurang bijak (cruel and foolish).
Dalam sejarah Kesultanan Melayu juga tidak kurang contoh pemerintah yang memiliki kualiti buruk seperti itu. Pada pandangan Syed Husin, hal ini menunjukkan bahawa ciri-ciri pemerintah seperti digariskan dalam Islam tidak semestinya wujud dalam realiti.
Semasa membicarakan sistem feudal, penulis menyebut bahawa salah satu ciri utama yang tampak jelas adalah “minda abdi” (slave psychology) dalam kalangan orang Melayu; dan diperkuatkan pula menerusi konsep “setia” dan “derhaka”.
“Konsep ‘derhaka’ ada makna penting dalam budaya Melayu. Dalam Sejarah Melayu, apabila Seri Teri Buana meletakan syarat bahawa rakyat tidak akan menderhaka kepada raja, jelas ada pengaruh tradisi Hindu,” kata bekas tahanan ISA (1974-80) ini.
Di Malaysia, pada penelitian Syed Husin, beberapa perkataan/frasa yang digunakan orang/rakyat semasa menghadap raja/sultan berciri menghina diri sendiri (self-denigrating). Contoh yang dikemukakan adalah “patik”, “duli” dan “sembah”.
Krisis Perlembagaan 1983 dan 1993
“Istilah ‘patik’ bermakna hamba-abdi atau kadang-kadang digunakan juga untuk merujuk anjing. Mengapa rakyat perlu meletakkan diri pada kedudukan begitu rendah di hadapan raja?
“Kata ‘duli’ pula membawa makna kaki (Sanskrit). Mengapa masih perlu menggunakan ‘memohon ampun’ dan ‘menjunjung duli’? Penggunaan ‘sembah’ (worship) mungkin lanjutan daripada kepercayaan bahawa raja adalah umpama Tuhan. Sepatutnya, dalam Islam, hanya Allah layak disembah,” Syed Husin menegaskan.
Perubahan yang berlaku dalam Kesultanan Melayu sejak British menguasai Pulau Pinang turut dihuraikan dengan mengkhususkan beberapa insiden penting dan sensitif di Perak, Johor dan Terengganu.
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa antara motif utama penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union adalah demi memastikan Raja-raja Melayu tidak kehilangan kuasa. Malah, atas dasar itulah juga Umno (lama/asal) ditubuhkan pada 11 Mei 1946.
[caption id="attachment_2692" align="alignleft" width="300"]
Umno ditubuhkan antara lain bagi mempertahankan kuasa raja-raja.[/caption]
Atas sebab itu, tentulah amat menarik untuk meneliti konflik yang muncul antara golongan Raja-raja Melayu dan “pemerintah” (Umno-Barisan Nasional) sejak negara mencapai kemerdekaan.
Krisis Perlembagaan yang berlaku pada tahun 1983 tentu sahaja tidak akan dapat dibaca dalam buku teks di sekolah, kolej dan universiti tempatan. Syed Husin menghuraikan dengan jelas tindakan Perdana Menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad meminda Perlembagaan yang mula mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa tindakan itu khabarnya “terpaksa” dilakukan oleh Mahathir sebelum Sultan Johor “yang sukar dikawal” (difficult to control) menjadi Agong.
Akibat bantahan daripada Majlis Raja-raja Melayu, DAP, Pas dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Mahathir terpaksa membatalkan usaha “murni” itu. Bagaimanapun, sedikit pindaan berjaya dibuat pada Perkara 66 (4A) tanpa meminta persetujuan Majlis Raja-raja Melayu!
Delegasi Umno yang terdiri daripada Anwar Ibrahim, Abdullah Ahmad, Sanusi Junid, Daim Zainuddin dan Rafidah Aziz bertemu beberapa raja/sultan pada tahun 1991 untuk menyerahkan memorandum dan draf Kod Etika bagi Raja-raja Melayu.
Umno ganti peranan Raja-raja Melayu?
Parlimen mencatatkan sejarah pada 10 Disember 1992 apabila Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan resolusi berkaitan kejadian Douglas Gomez, guru dan jurulatih hoki pasukan Kolej Sultan Abu Bakar “dipukul dan dicederakan” (beaten and injured) oleh Sultan Johor, Tengku Mahmud Iskandar Shah di Istana Bukit Serene pada 30 November 1992.
Pendedahan yang dilakukan oleh Syed Husin menerusi buku ini mengenai Raja-raja Melayu dan keluarga mereka pasti membuatkan pembaca hampir tidak percaya.
Misalnya, sebelum insiden Istana Bukit Serene, pada Julai 1992, Tengku Bendahara Johor, Tengku Abdul Majid khabarnya memukul dan mencederakan penjaga gol pasukan hoki Perak, Mohamed Jaafar Mohamed Vello. Kisah lanjut dan terperinci boleh dibaca dalam buku ini.
Kisah bagaimana Tengku Mahmud Iskandar Shah terpaksa melepaskan jawatan Tengku Mahkota pada 1972 tetapi kemudian berjaya mendapatkan tandatangan ayahnya, Sultan Ismail, serta menjadi “sultan yang tidak ditabalkan” sangat mengujakan; bagaikan membaca kisah dalam hikayat dan epik klasik.
Dalam isu berhubung kekebalan Raja-raja Melayu, Mahathir membuat keputusan membentangkan usul di Parlimen pada 18-19 Januari 1993. Suasana pada waktu itu amat genting.
[caption id="attachment_2695" align="alignleft" width="300"]
Buku ini wajib dibaca bagi memahami isu sebenar seputar Raja-raja Melayu.[/caption]
Pindaan yang dicadangkan Mahathir melibatkan Perkara 181 (2) dan akan membuatkan raja/sultan kehilangan banyak kuasa. Soalan yang timbul adalah mengapa Umno yang diasaskan demi mempertahankan kedudukan dan kuasa Raja-raja Melayu kini menjadi punca raja/sultan kehilangan imuniti?
Beberapa pemimpin Umno dan pengarang beberapa akhbar yang bekerjasama dengan mereka mengemukakan hujah bahawa Raja-raja Melayu sudah tidak terlalu penting kerana Umno lebih mampu mempertahankan ketuanan dan hak istimewa orang Melayu,” Syed Husin menghuraikan.
Bab empat buku ini meneliti beberapa perkembangan terkini yang melibatkan Raja-raja Melayu, Umno-BN, serta konflik di Perlis, Terengganu, Perak dan Selangor.
Dalam bab kelima, kes-kes di England, Perancis, Jepun, Indonesia, India dan Iran dikemukakan bagi membantu pembaca lebih memahami – serta membuat perbandingan – peristiwa perebutan kuasa melibatkan golongan raja/sultan dan kerajaan/rakyat.
Buku ini amat sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang berminat memahami realiti dan masa depan Raja-raja Melayu. Sekurang-kurangnya kita akan tahu siapa sebenanya yang sedang cuba menghapuskan (membunuh?) institusi diraja. Malah, kita akan tahu siapa sebenarnya yang “mempertahankan” kekebalan Raja-raja Melayu pada 1993 dan mengapa mereka berbuat demikian.
Apabila agama dipolitikkan: Cabaran dan penyelesaian
Talibanisme Semasa Taliban memerintah di Afghanistan, banyak keputusan dan tindakan Taliban kelihatan tidak cermat dan tanpa difikirkan kesan buruk disebalik tindakan itu. Antara yang ketara adalah, tindakan Taliban yang meruntuhkan patung Buddha yang didakwa berumur lebih 2 ribu tahun di satu kawasan bernama Bamiyan. Patung itu amat besar, sehinggakan ia sama tinggi dengan bukit di situ. Diberitahu juga, bahawa kawasan Bamiyan sudah tidak ada penganut Buddha tetapi terdapat penduduk yang berfahaman syiah. Taliban telah meletupkan patung tersebut untuk dihancurkan dengan alasan penjagaan aqidah dan memerangi syirik. Tindakan Taliban itu dikritik hebat oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi. Kritikan itu, menjadikan kalangan Pro-Taliban melebelkan Qaradawi sebagai ulama berhala. Dalam kenyataan Al-Qaradawi dalam perkara ini, beliau menyatakan bahawa pada tahun ke 7 hijriah, berlaku Umrah al-Qadha’ bahawa Nabi MUHAMMAD SAW dan para sahabat masih lagi melakukan Tawaf keliling Kaabah dalam keadaan kaabah ketika itu masih dipenuhi dengan patung-patung sembahan orang Quraish. Al-Qaradawi menyatakan lagi, tindakan Taliban itu kelihatan bermusuh dengan Amerika dan Eropah, tetapi tanpa mereka sedar bahawa mereka sudah menjadi punca permusuhan orang Islam dengan orang bukan Islam di Timur. Ekoran kebencian mereka terhadap barat mereka meruntuhkan patung Bamiyan. Kesan dari itu, umat Islam di negara Buddha ditekan dan ditindas atas sentimen yang sama. Ternyata keadaan itu berlaku, sepertimana selepas kejadian runtuhnya patung Bamiyan, kedengaran pembunuhan beramai – ramai terhadap umat Islam di selatan Thailand dan keadaan tidak selesa di kalangan Umat Islam di Vietnam. Fikir kesan Dalam Al-Quran, Allah SWT ada menyatakan, “Jangan kamu cela mereka yang menyembah selain Allah, kerana bimbang mereka akan mencela Allah secara permusuhan dan tanpa ilmu” (Surah al-an’am, ayat 108) Dalam komentar Imam al-Baidhawi terhadap ayat ini, beliau menyatakan, “Pada awalnya, Umat Islam selalu mencela mereka (yang menyembah selain Allah), lalu mereka ditegah supaya (dipihak mangsa celaan) tidak melakukan celaan balas terhadap Allah. Ia menjadi dalil bahawa perkara yang dibenarkan pun pada asalnya, jika boleh membawa kepada maksiat yang pasti, maka ia wajib ditinggalkan, kerana perkara yang membawa kepada kejahatan, ia turut sama dianggap sebagai jahat” (al-Baidhawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, jld 2, hlmn 177) Dalam erti kata yang lain, dalam ayat ini Allah SWT mengajar kepada manusia bahawa sesuatu tindakan yang mahu dilakukan hendaklah diperhatikan juga sudut kesan sampingannya. Jika diperhatikan, seseorang doktor di hospital tidak akan memberikan sesuatu ubat kepada pesakitnya sesuka hati, tetapi difikirkan juga apa implikasi atau kesan sampingan yang bakal berlaku. Politikkan agama Di Malaysia, banyak isu-isu melibatkan hubungan Muslim dan non-muslim menjadi calar ekoran sudut faham agama cukup terkebelakang. Cara faham Islam sebilangan orang Islam di Malaysia tidak berasaskan kepada ilmu, tetapi lebih kepada sentimen dan mainan politik. Sebelum ini, di malaysia pernah di bisingkan dengan isu larangan orang bukan Islam masuk ke masjid dengan alasan bahawa orang bukan Islam tidak mandi junub. Sedangkan dari sudut perbahasan Islam, jika dibaca dalam hadis yang saheh diceritakan ada seorang lelaki yang bernama Sumamah bin Ussal yang tidak beragama Islam telah diikat dalam masjid ekoran ditawan dalam satu peperangan, disamping dalam hukum fiqh, orang bukan Islam tidak akan sah mandi junubnya. (ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 1, hlmn 268) Begitujuga, di Malaysia pernah dibisingkan dengan isu larangan mendoakan kepada orang bukan Islam ekoran seorang pendakwah telah berkhutbah di salah sebuah masjid di Pulau Pinang telah mendoakan kepada Allah agar diberikan hidayah kepada ketua Menteri Negeri tersebut yang tidak beragama Islam. Dari sudut pandang Islamnya, tiada larangan pun perbuatan tersebut. Ini kerana, dalam banyak hadis didapati bahawa Nabi Muhammad SAW mendoakan hidayah kepada Umar bin al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam. [sila rujuk Muhammad bin Afifi al-Bajuri, Nurul al-Yaqin Fi Sirah Said al-Mursalin, hlmn 52] Begitujuga doa harapkan hidayah oleh Nabi Muhammad SAW terhadap kaum Taif yang menolak dakwah dan melontarkan kepada Nabi dengan batu. [Sila rujuk Ibn al-Qayyim, Zad al-Maad, jld 3, hlmn 29]. Tanpa kita lupa juga dengan isu larangan orang bukan Islam membaca Al-Quran ekoran seorang ahli politik yang tidak beragama Islam telah membaca satu ayat dari Al-Quran dalam satu ceramah beliau. Walhal, jika dibaca dalam hadis terdapat beberapa kisah yang mempamerkan keizinan orang bukan Islam membaca Al-Quran, seperti Abu Bakar al-Siddiq pernah menyatakan kepada seorang perempuan yahudi yang sedang menjampi Aisyah dengan kata Abu Bakar al-Siddiq, “Jampilah dia dengan membaca kitabullah (Al-Quran)“ [Sila Rujuk Imam Malik, Muwatta’, hadis no : 1982] Jika kita perhatikan balik, semua isu-isu yang dibangkitkan tidak lebih kecuali mahu mewujudkan suasana yang tidak sihat dalam hubungan antara Muslim dan orang bukan Islam di malaysia. Ia tidak menguntungkan dakwah, tetapi lebih kepada mewujudkan suasana yang tidak harmoni. Hubungan Di Malaysia, sudut pandang Islam dalam beberapa perkara, jika dibandingkan dengan cara Nabi Muhammad, pasti kita akan nampak perbedaan yang amat ketara. Terdekat seperti isu penggunaan Kalimah Allah untuk orang bukan Islam, ia menjadi isu yang berpanjangan sehinggakan melibatkan perbicaraan mahkamah. Walhal, jika diperhatikan dari sudut sumber Islam disamping pengamalan di semua negara dan sejak zaman wahyu sehingga sekarang, hanya semenanjung malaysia sahaja yang melarang. Ini gambaran keanehan cara sudut faham Islam di malaysia jika mahu dibandingkan di tempat lain, yang sudah pasti terlalu amat ganjil jika dibandingkan dengan Islam di era keNabian. Melihat kepada itu, tidak hairan implikasi dan kesan yang tertimpa, hubungan Muslim dan orang bukan Islam di malaysia kelihatan seperti tenang di luar, tetapi dari sudut hati kecil wujud seribu satu permusuhan. Ekoran dari itu, mula wujud suara-suara tidak puas hati, hilang keharmonian seperti terbaru kedengaran suara orang bukan Islam yang beragama hindu melarang penyembelihan lembu korban secara terbuka dengan alasan menghormati sensitiviti dan sebagainya. Seharusnya, Islam itu perlu dibahas mengikut nilai, lunas dan ajaran Nabi, bukan dipolitik-kepartiankan atau disentimenkan tanpa ilmu, kerana ia bukan mendatangkan hasil yang baik, sebaliknya keadaan semakin memburuk. Dalam keadaan begitu, di pihak rakan-rakan yang tidak beragama Islam, mereka perlu sedar bahawa tindakan provokasi atas nama Islam itu sebenarnya bukan dari ajaran Islam, tetapi itu adalah sikap sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab. Hakikat sebenar, rujukan mereka bukan kepada Islam, tetapi kepada sentimen mereka yang berasaskan kepada hawa nafsu. Namun, lebel Islam di gunakan untuk mempamerkan tindakan mereka seperti benar, walhal Ia tidak benar sama sekali. Tindakan mereka itu, tidak sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali yang pernah berkata, “Kalimah yang benar, tetapi yang dikehendaki adalah kebatilan.” [sila rujuk Ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 2, hlmn 545) Wallahu alam. Sila hubungi editor@projekdialog.com untuk bibliografi yang lebih lengkap.
]]>