Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) boleh diterima bulat-bulat sebagai fakta, maka hakikat yang sedang berlaku di depan mata adalah situasi di mana semakin ramai umat Islam sudah terpesong daripada ajaran Islam sebenar.
Selain daripada itu, kekuatan umat Islam di Malaysia semakin tergugat dan isu murtad sudah sampai ke tahap kritikal serta semakin bertambah setiap hari. Agama-agama yang menjadi pilihan mereka yang “keluar Islam” adalah Hindu, Buddha dan Kristian.
Maklumat di atas bukan rekaan tetapi dipetik daripada buku berkenaan yang diedarkan secara percuma kepada sekitar 1,000 pelajar universiti, pelajar sekolah menengah dan masyarakat pelbagai kaum dan agama yang menghadiri (atau dipaksa menghadiri) “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam pada 6 Mei 2014.
Seminar itu khabarnya anjuran bersama Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Warisan Ibnu Aaby dan MAIS dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Media Karangkraf, TV Al-Hijrah, Kumpulan Zikay dan Kumpulan Pantai Bharu.
Makalah saya bertajuk “Dilema Melayu, Cina, India” disiarkan di Projek Dialog pada 16 April 2014. Dalam makalah berkenaan, saya memetik kata-kata AB Sulaiman, penulis buku Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013) yang berhujah bahawa “There is no such thing as a Malay race”.
Lalu saya dihubungi wakil suatu kelompok yang menggelarkan diri mereka sebagai “The Patriot” dan membidas saya dengan alasan bahawa apabila saya memetik hujah Sulaiman, maknanya saya menyokong dan bersetuju dengan pandangan beliau.
Memandangkan mungkin ada wakil puak-puak “kurang cerdik” yang membaca makalah ini, maka biarlah saya nyatakan secara terang-terangan (black and white) bahawa pandangan MAIS serta maklumat daripada buku Pendedahan Agenda Kristian yang dipetik dalam makalah ini tidak semestinya mewakili pandangan saya.
Pelbagai maklumat serta berita mengenai buku ini disiarkan di portal berita dalam talian dan laman rangkaian sosial (khususnya Facebook) sejak ia diedarkan kepada peserta seminar pada 6 Mei 2014.
Dakwah Islam VS dakyah Kristian?
Kesimpulan keseluruhan bagi bab pertama terdapat di halaman 16. Ramai yang mengambil foto halaman itu untuk dipaparkan menerusi Facebook. Enam kesimpulan yang dinyatakan adalah seperti berikut:
Nasrani (Kristian) adalah musuh Islam yang sentiasa berniat jahat serta memaparkan sikap negatif kepada umat Islam.
Nasrani (Kristian) adalah pembawa berita pendustaan dan mereka sentiasa berusaha menyelewengkan fakta tentang kebenaran ajaran Islam.
Nasrani (Kristian) akan berusaha sehabis mungkin untuk menimbulkan rasa sakit hati di kalangan umat Islam.
Jalan keluar dari usaha dakyah Nasrani (Kristian) ialah dengan berhujah kepada mereka mengenai kebenaran Islam di samping memantapkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah SAW.
Umat Islam mestilah bersikap tegas dan berhati-hati terhadap Nasrani (Kristian) serta tidak taat dan tidak menjadikan mereka sebagai pelindung/pemimpin/penjaga.
Jika umat Islam alpa terhadap peranan hujah kebenaran dan ragu-ragu dengan Islam, mereka akan mudah terpengaruh dengan tipu daya Nasrani (Kristian).
[caption id="attachment_3483" align="alignleft" width="300"] Kesimpulan yang pasti menyentuh sensitiviti umat Bukan Islam.[/caption]
Bab kedua membantu pembaca pelbagai kaum dan agama – memandangkan buku ini ditulis menggunakan Bahasa Malaysia – untuk memahami secara mendalam mengenai gerakan evangelisme.
Saya berjaya mendapatkan senaskhah buku Pendedahan Agenda Kristian pada 15 Mei 2014 dan terus meluangkan masa membacanya dengan penuh minat dan rasa ingin tahu. Buku Syiah pun saya baca, inikan pula buku yang tidak diharamkan.
Tambahan pula, ia bukannya buku dari luar (Indonesia atau Somalia, misalnya) tetapi terbitan di Malaysia sendiri, di mana kita amat memahami serta menghormati sensitiviti kaum dan agama. Di mana sekitar 61.3 peratus penduduk beragama Islam, 19.8 peratus beragama Buddha, 9.2 peratus Kristian dan 6.3 peratus Hindu.
Buku itu menghuraikan bahawa gerakan evangelisme di bawah mazhab Evangelical memfokuskan usaha penyebaran agama Kristian melalui pelbagai cara dan pendekatan termasuk usaha yang bersifat serangan.
“Gerakan usaha evangelisme ini menuntut komitmen yang tinggi dalam diri pendakyah Kristian, persiapan yang rapi (dari) segi fizikal, mental dan rohani serta strategi pendekatan yang betul,” kata buku itu.
Sebagai pengamal multifaith (percaya pada ajaran semua agama), berdasarkan maklumat dalam buku Pendedahan Agenda Kristian, saya mendapati ada banyak persamaan antara gerakan yang dilakukan oleh orang Islam dan Kristian.
Tambahan pula, kedua-duanya memang agama yang berdakwah. Perbezaan yang nyata hanyalah apabila MAIS menggunakan istilah “dakwah” bagi Islam dan “dakyah” bagi Kristian.
Pengerusi MAIS, Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dalam kata-kata aluannya menjelaskan bahawa penulis buku berkenaan adalah “berdasarkan dalil nas al-Qur’an dan hadis” dalam usaha “memberi petunjuk kepada umat Islam tentang sikap sebenar golongan Nasrani dan Kristian terhadap Islam”.
Kristianisasi punca orang Melayu murtad?
Pada bahagian pengenalan, dinyatakan bahawa penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian, sebaliknya menghuraikan elemen gerakan kristianisasi yang wajar diberikan perhatian oleh umat Islam.
Kristianisasi dikatakan menjadi punca utama kes murtad dalam kalangan orang Islam. “Jenayah ini ibarat menculik anak orang lain dari rumah mereka dan mengajarkan kepada anak itu bahawa ibubapa [sic] mereka tidak benar,” kata buku itu.
Buku terbitan MAIS ini yang diedarkan kepada peserta pelbagai agama semasa seminar (6 Mei 2014) mengingatkan bahawa umat Islam perlu sentiasa berhati-hati dengan tindak-tanduk golongan Kristian.
“Umat Islam juga perlu mengelak daripada terjebak dalam perangkap samar yang sentiasa dipasang oleh pihak yang mengambil kesempatan menangguk di aur yang keruh untuk memecahbelahkan [sic] kesatuan umat yang akhirnya menguntungkan golongan Kristian secara tidak langsung.” Demikian dinyatakan dalam buku berkenaan.
Bab 3 antara lain berusaha menunjukkan kaitan antara kes murtad dan usaha kristianisasi. Bagaimanapun, diakui bahawa ada faktor dalaman dan faktor luaran yang menjadi punca gejala murtad semakin menular.
Faktor dalaman adalah kejahilan serta keinginan meneroka perkara baru. Faktor luaran yang disenaraikan adalah ujian kebendaan, kelemahan penguatkuasaan, desakan hidup, perkahwinan, kelemahan ummah dan usaha mubaligh agama lain.
[caption id="attachment_3484" align="alignleft" width="300"]
Orang Kristian dikatakan ada agenda jahat.[/caption]
Tidak perlulah saya menghuraikan faktor-faktor di atas. Sesungguhnya orang ramai (yang waras sahaja) boleh melihat dan memahami sendiri apakah benar dakwaan bahawa gerakan kristianisasi dan agenda Kristian yang menjadi punca utama murtad dalam kalangan orang Islam atau “kelemahan” sendiri.
Makalah ini tidak bertujuan menghukum sesiapa atau mana-mana pihak. Bukan juga bermakna saya “menyokong” atau “sependapat” dengan MAIS semata-mata kerana saya memetik kandungan buku terbitannya. (Ahli “The Patriot” dan kelompok kurang cerdik, sila ambil maklum.)
Walaupun buku Pendedahan Agenda Kristian diedarkan secara percuma kepada peserta Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara, memang sukar untuk “melihat” buku ini di mana-mana. Hal ini nyata apabila ramai yang bertanyakan buku ini menerusi Facebook tetapi hampir tiada sesiapa yang mengaku memilikinya.
Maka, makalah ini sekadar bertujuan menghuraikan secara ringkas sebahagian kandungan buku ini demi manfaat bersama khalayak pelbagai kaum, etnik, agama, mazhab dan kepercayaan.
Tambahan pula, buku ini turut menyentuh mengenai “Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian” (walaupun setahu kita, “Cina” bukan agama). Biarlah semua orang tahu mengenai kandungan buku ini yang sedang hangat diperkatakan.
Tentu MAIS gembira kerana selain daripada sekadar sekitar 1,000 peserta yang menghadiri seminar anti-Kristian di UiTM, kini kandungan serta mesej buku Pendedahan Agenda Kristian sudah disebarkan ke seluruh dunia menerusi makalah ini.
Usaha lupa: “Penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian,” seperti kata penerbit.
Apa kesalahan LGBT?
extinction) manusia di bumi ini. Mereka mengatakan bahawa golongan LGBT menghalang proses kelanjutan manusia sebagai satu spesies di muka bumi.
Siapa yang menghancurkan muka bumi?
Tetapi apa yang boleh disaksikan, berdasarkan fakta yang jelas adalah manusialah yang jelas sekali tidak menghargai semua yang dicipta oleh Tuhan.
Sepatutnya, manusia yang berhujah sedemikian perlu risau bahawa bumi ini tidak akan berterusan dengan kemusnahan alam sekitar yang begitu pesat.
Contohnya: Jumlah orang di dunia pada tahun ini adalah sekitar 7.2 bilion, dan dijangka meningkat ke 9 billion pada tahun 2050.
Dianggarkan 40% daripada jumlah orang di dunia ini adalah miskin di mana kemiskinan relatif semakin meningkat.
Di dalam laporan Bank Dunia, dicatatkan kejayaan mengurangkan kemiskinan di seluruh dunia, tetapi statistik yang membanggakan itu semata-mata adalah kejayaan dasar politik dan sosio-ekonomi Negara China.
Rantau dunia yang lain seperti Afrika, Amerika Latin, Eropah Timor dan Asia Tengah masih dalam kemiskinan, dan keadaannya tidak berubah, bahkan ada yang meningkat jumlahnya. Jangan dilupai bahawa berjuta-juta masih dalam kebuluran. Dianggarkan seorang daripada 8 orang di dunia ini (12.5%) berkebuluran dan ia merupakan faktor penyebab utama sebanyak 50% daripada jumlah kematian 10.9 milion kanak-kanak berlaku setiap tahun.
Secara purata, seramai 30% daripada orang perempuan yang ada perhubungan intim menghadapi keganasan daripada pasangannya. Sebanyak 38% pembunuhan perempuan dilakukan oleh pasangannya.
Mengapakah isu-isu sebegitu tidak mendapat perhatian agamawan? Mengapakah kemarahan mereka hanya ditujukan kepada golongan minoriti seksual?
LGBT: Tanda kiamat?
Terdapat juga orang yang percaya bahawa kemunculan golongan LGBT dengan lebih nyata di kalangan masyarakat adalah satu tanda bahawa dunia akan kiamat.
Samalah pemahaman dan ketakutan mereka tentang kewujudan begitu banyak jenis penyakit yang baru. Mereka mempercayai semua ini timbul kerana kemarahan Tuhan terhadap manusia, dan atas sebab itu mereka marah pula terhadap orang yang dipandang sebagai “masalah” atau “songsang”.
Di dalam hal ini, saya ingin berkongsi perspektif yang lain, yang bagi saya, lebih mirip kepada apa yang saya rasa patut diutamakan oleh semua iaitu penyempurnaan kemanusiaan kita.
Manusia begitu mementingkan diri sehingga belas kasihan susah dicurah kepada mereka yang berbeza, mereka yang terasing, mereka yang dianggap tidak layak, mereka yang dihukum sebagai orang yang berdosa dan sampah masyarakat.
Bak kata lain kita sudah menjadi berat sebelah dalam menentukan siapa yang akan diterima dan ditolak. Kita, manusia yang perosak dan pemusnah alam, lebih suka menghukum daripada menunjukkan belas kasihan kita terhadap mereka yang dipandang “kurang berharga sebagai manusia”.
Saya berpendapat bahawa kesengsaraan golongan LGBT yang dipinggir adalah satu peringatan bahawa kita sudah lama lalai untuk menyempurnakan kemanusiaan kita.
Kita sepatutnya lebih berperi kemanusiaan. Sebaliknya, kita masih bertungkus lumus menguatkan apa-apa jenis kuasa (sosial, ekonomi, politik, teknologi) yang kita ada. Di dalam kelakuan sebegitu kita hanya memastikan dunia ini akan menyaksikan pemerluasan gejala-gejala kemusnahan yang bagi saya, lebih membimbangkan: rasuah, perlumbaan untuk meraih keuntungan yang melampau, eksploitasi tenaga buruh, keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, diskriminasi terhadap pendatang, dan seterusnya.
Prejudis salah tumpuan
Di dalam hal seksualiti sahaja, terutamanya isu hak asasi manusia LGBT, isu lanjutan manusia timbul dengan begitu ghairah di kalangan orang yang memperalatkan agama.
Isu-isu penting yang lain, seperti keganasan terhadap wanita, diskriminasi terhadap kanak-kanak, penindasan tenaga buruh dan penghambaan moden, eksploitasi alam sekitar, serta keuntungan yang melampau tidak dipandang sebagai faktor utama yang akan menghapuskan kewujudan manusia di bumi ini.
Tetapi di dalam hal seksualiti, terutamanya untuk mengawal hak asasi wanita dan hak asasi golongan LGBT, undang-undang mudah sajaka diluluskan dan dikuatkuasakan.
Kepada orang yang beriman, saya ingin bertanya, bukankah “isu” kelanjutan manusia di bumi ini keistimewaan tunggal Tuhan dan tidak patut dijadikan kebimbangan ciptaan-Nya?
Benarkah “penimbulan” LGBT ini akan membawa kepada penghapusan manusia di bumi ini? Pada pendapat saya, tanpa wujudnya LGBT pun, kita sudah memastikan penghapusan bumi tersayang.
Hudud: Kerisauan seorang Kristian
Perbandingan daripada perspektif Kristian
Dalam menyiapkan makalah ini, saya juga berbincang dalam satu sesi pengkajian ‘Alkitab’ bersama rakan-rakan siswa dalam komuniti Persatuan Pelajar Katolik Shah Alam mengenai isu ini.
Petikan yang kami kaji adalah Injil Matius bab 18 ayat 6 hingga ayat 9. Di sana kami menganalisa bahawa Yesus Kristus sendiri memberi peringatan keras yang kelihatan sama dengan konsep hudud iaitu membuang sebahagian anggota badan bagi menghindari orang lain daripada melakukan dosa.
Namun, adakah Yesus bermaksud sedemikian? Yesus menggunakan perumpamaan dalam mengajar bahawa punca dosa mahupun jenayah adalah kerosakan moral dan penyesatan diri. Ia adalah perkara yang wajar ditangani oleh setiap individu bagi menghindarkan diri daripada menyebabkan kerosakan pada diri dan masyarakat.
Yesus tidak mengajar umatnya untuk menghukum manusia lain sewenang-wenangnya mengikut hutang ‘nyawa bayar nyawa’ tetapi berpegang teguh pada nilai keadilan, belas kasihan dan pengampunan.
Dan semasa berhujah ada rakan saya mengutarakan petikan daripada Injil Yohanes bab 8 ayat 1 hingga ayat 11. Ia tentang bagaimana Yesus enggan menghukum wanita berzina supaya direjam sampai mati setelah diasak oleh guru Taurat Yahudi.
Beliau memberi kenyataan balas sedemikian; “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia” (Yohanes 8:7). Di sini saya lihat, urusan menghukum adalah lebih layak ditentukan sebagai urusan Tuhan dan ianya akan diselesaikan sendiri di akhirat kelak melalui syurga dan neraka.
Gereja Katolik yang terkenal dengan hukuman Pasitan (Inqusition) sejak kurun ke-12 hingga ke kurun ke-16 turut menyaksikan penyalahgunaan hukuman penalti yang kejam seperti pancung, bakar hidup-hidup dan rejam sampai mati. Namun setelah berlakunya renungan sejarah secara serius Gereja pun insaf dengan meletakkan peluang kepada pertaubatan individu dan martabat nyawa manusia setelah terhapusnya Pasitan ini. Namun, ianya bukan bererti, tiada hukuman kepada penjenayah di muka bumi ini bagi menjamin keselamatan awam. Berikut adalah saranan Gereja Katolik dalam menangani jenayah:
“Dalam usaha untuk melindungi kepentingan bersama, pihak berkuasa awam yang sah mesti menjalankan hak dan kewajipan untuk mengenakan hukuman mengikut keseriusan jenayah yang dilakukan. Hukuman tidak berkhidmat semata-mata bagi tujuan mempertahankan ketenteraman awam dan menjamin keselamatan individu; ia juga menjadi alat untuk pembetulan pesalah jenayah itu, pembetulan yang juga mengambil kira pada nilai moral penebus dosa apabila pihak yang bersalah secara sukarela menerima hukumannya. Tindakan pemerintah untuk menetapkan tanggungjawab atas kejahatan yang juga adalah tertakluk pada peribadi insaniah harus diiringi dengan kewajiban untuk mencari kebenaran tanpa syarat dan harus dijalankan atas dasar penghormatan pada martabat dan hak peribadi manusia. Hak seorang tertuduh harus juga dilindungi seperti hak seorang bebas. Prinsip hukum yang berlaku umum harus selalu ditaati yakni hukuman baru dijatuhkan setelah kesalahan tertuduh dibuktikan. Sesungguhnya masyarakat moden mempunyai usaha untuk secara efektif meniadakan tindak kejahatan jenayah dengan melumpuhkan para penjahat, sehingga tidak merugikan masyarakat lagi, tanpa menutup peluang bagi mereka untuk memperbaiki diri. Cara-cara damai dan tanpa pertumpahan darah (hukuman mati) lebih diutamakan kerana cara-cara itu lebih menjawab syarat-syarat konkrit bagi kesejahteraan umum dan lebih sesuai dengan martabat manusia.” (Kompendium Ajaran Sosial Gereja, no. 402-405)
Kesimpulan
Tidak cukup dwi-standardkah undang-undang syariah serta undang-undang jenayah sivil sedia ada? Tidak membantukah undang-undang jenayah sivil yang kita ada sekarang?
Mengapa perlu hudud di negara yang hanya mempunyai majoriti 60.4% penduduk Muslim? Sudahkah dapat persetujuan semua umat Muslim di negara ini tentang perlaksanaannya?
Bagaimana penerimaan yang bukan Muslim? Bagaimana hukuman hendak dijalankan? Apakah ijtihad serta rujukan yang perlu diambil dan dirujuk?
Model negera Islam yang mengamalkan undang-undang Hudud manakah yang terbaik untuk dijadikan contoh? Apakah jaminan bahawa undang-undang ‘Tuhan’ ini berjaya mengurangkan jenayah?
Sekirannya kesemua persoalan di atas tidak berhasil dijawab, saya mengandaikan undang-undang ini berkemungkinan akan gagal dan menjadi tidak wajar dilaksanakan sama ada di Kelantan mahupun ke atas seluruh Malaysia.
Keyakinan umat bukan Islam adalah kunci utama penerimaan undang-undang Hudud di negara ini serta dalam mengekalkan keharmonian dalam negara.
Madonna dan Majlis Agama Islam Pahang
hukuman di mahkamah sivil dengan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Wasatiyah
Sudah tentu berita ini menimbulkan tanda tanya, memandangkan ia datang dari negeri asal Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang cekap-cekatan, suka-selesa, bijak-arif, matang-mendalam khusus ketika mengenengahkan idea-idea mengenai wasatiyyah atau jalan tengah.
Cita-cita moderat beliau adalah supaya umat Islam menjauh diri dari kejumudan dan ekstrimisme.
Bukanlah rahsia, Perdana Menteri menjaguhi isu-isu sebegini sehingga melontarkan seruan perdamaian dan wasatiyyah di New York. Pada 28 September 2013 ketika Perhimpunan Agung PBB Ke-68, Datuk Seri Najib Razak, telah mengajak dunia supaya menghapuskan semua bentuk amalan ekstremisme. Sebagai pencetus gagasan Pergerakan Global untuk Kesederhanaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) beliau tidak lelah berdakwah supaya umat Islam terus menjadi umat yang moderat dan tidak terikut-ikut dengan amalan yang tidak membangunkan intelektualisme dan rasional.
Tentulah kita tidak ada apa-apa bantahan sekalipun untuk seruan-seruan dahsyat yang sungguh membanggakan itu. Malah kesederhanaan Datuk Seri Najib sangat menyayat hati kita semua.
Ini kerana sehari sebelum membuat ucapan penuh legenda di United Nations New York itu, dalam satu syarahan yang mengangakan berjudul ‘The New Meetings, Moderation: The New Modernity’ (Pertemuan Baharu, Kesederhanaan: Kemodenan Baharu), tajaan bersama Council on Foreign Relations (CFR)’s Religion dan Foreign Policy Initiative, di Peter G. Peterson Hall, The Harold Pratt House, New York, Perdana Menteri telah mengatakan dengan sesungguh dan seikhlas hati, “Dan jika kita memilih pendekatan wassatiyah dan menolak nazisme atau militan, dan pemikiran yang ekstremis, akan ada peluang kita boleh berusaha ke arah menjadikan dunia ini sebuah dunia yang aman.”
Bagaimanakah saranan wasatiyyah oleh beliau ini dapat dilaksanakan?
Entah.
Kelihatannya saranan Datuk Seri Najib itu benar-benar bahaya untuk sesetengah, meminjam kata-kata beliau sendiri, nazi, militan dan ekstrimis Melayu.
Ada apa dengan Bible dalam laci?
Memang, tidak dinafikan yang larangan meletakkan Bible di dalam laci kamar hotel dengan larangan membaca Bible adalah dua hal berbeza.
Jelas sekali niat larangan terhadap Bible tersebut adalah supaya tiada berlakunya ‘penyebaran agama selain Islam’. Ia juga menunjukkan pihak berkuasa Islam di Pahang merasakan akidah penumpang Muslim di hotel di seluruh Pahang amat rapuh dan lemau sehingga tatkala menarik laci hotel dan terjumpa Bible, serta merta mereka akan tercemar dan terjerumus ke dalam dunia kesaliban.
Salah satu ketertutupan dan bukan kesederhanaan ialah apabila kita melompat kera dan menjadi terlalu takut, sensitif dan lekas rasa terancam dengan dunia luar (baca: yang lain dari Melayu dan Islam). Dalam dunia makin maju dan teknologi makin bermutu, kita sedapat-dapatnya berlaku matang dan tidak merapu.
Menukar bacaan, Bible dengan al Quran, atau al Quran dengan Bible membolehkan seorang manusia memecah kebuntuan zamannya.
Ali Shariati, pejuang contoh
Pengalaman membaca dan membandingkan sejarah umat antara Islam dan Kristian telah membolehkan Ali Shariati, salah seorang pemikir agung Islam di zaman moden menemukan Catholic liberation theology seperti dinukil Ervand Abrahamian, dalam ‘The lranian Mojahedin’.
Sukar membayangkan Ali Shariati menginap di sebuah kamar hotel di Paris berasa terganggu dan terancam akidahnya saat ia menarik laci kamar sewanya itu ia terjumpa dan membaca Bible.
Bukan sahaja membacanya, Ali malah menggauli bahan-bahan teologi pembebasan ketika sempat berada di Perancis. Maka tidaklah memeranjatkan jika ditemukan kesejajaran perbincangan oleh Carlos Mesters tentang Nabi Ibrahim seperti terkandung dalam bukunya ‘A Journey of Liberation: Abraham and Sarah Yesterday and Today’ (edisi asal Portugis pada tahun 1978) dengan perbincangan mengenai Nabi Ibrahim juga dalam buku ‘Haji’ dan ‘Mi’ad ba Ibrahim’ oleh Ali Shariati.
Walaupun tidaklah sepenuhnya benar idea-idea revolusi Ali Shariati datangnya dari Bible. Islam Syiah yang dianuti oleh Shariati sudah mencukupi sebagai sumber revolusi, pun, hakikat bahawa beliau mendekati agama dan gagasan lain tanpa rasa terancam adalah sesuatu yang patut dirujuk.
Madonna, artis contoh
Tradisi untuk tidak gentar dan takut terhadap sesuatu yang baharu, juga terlihat diraikan oleh Madonna. Dalam satu wawancara dengan Harper’s Bazaar, pop ikon dan penyanyi untuk lagu-lagu seperti ‘Like A Prayer’ dan ‘Material Girl’ itu menegaskan tahun lalu yang ia membina sekolah untuk anak-anak gadis Muslim dan kini menghabiskan masa membaca al-Quran.
Pada pertengahan tahun 90an, Madonna memilih untuk menukar agama dari Katolik kepada Kabbalah setelah membaca ‘Taurat’.
Kini, dengan dorongan beberapa teman, Madonna memilih untuk membaca al-Quran dan menyatakan pentingnya untuk terus membaca kitab-kitab suci sedia ada; kata beliau lagi, ‘I think it is important to study all the holy books. As my friend Yaman always tells me, a good Muslim is a good Jew, and a good Jew is a good Christian, and so forth. I couldn’t agree more. To some people this is a very daring thought.’
Sungguh ‘daring’ bagi Madonna untuk memberani diri menolak Islamofobia, tetapi juga sungguh malang pihak berkuasa agama Pahang untuk mengadoptasi Kristianofobia. Apakah Madonna akan memeluk Islam dan menukar nama kepada Maryam Madonna?
Bukan itu ceritanya tentu. Inti di sini adalah kematangan dan keterbukaan untuk menyerap, memahami sesuatu yang baharu. Ini tidaklah bermakna kita perlu meyakini dan mempercayainya. Dalam dunia rencam, kefahaman terhadap peradaban, agama dan kepercayaan lain sangat mendesak. Justeru membaca naskah suci lain akan membuka pengalaman dan kematangan ilmu yang menakjubkan.
Mac lalu, ketika berkempen yang tidak sepenuhnya jadi di Kajang, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyaran supaya generasi muda Melayu membuka dan membaca teks klasik Hindu seperti ‘Ramayana’, ‘Mahabharatha’ dan ‘Thirukkural’.
Beliau juga mengajak generasi muda Hindu menelaah al-Quran[1]. Saranan, atau tindak-tanduk praktikal oleh Ali Shariati, Madonna dan Anwar Ibrahim ini jauh mengatasi seruan-seruan umum kesederhanaan, wasatiyyah dan moderatisme tetapi tidak ditunjukkan apa-apa pendekatan benar dan real.
Tiada keserdehanaan tanpa dialog
Dialog kesederhanaan akan berlaku bukan dengan menyelimutkan diri, ia hanya akan berlaku; dialog, menerusi pertukaran bahan bacaan. Dalam erti kata lain membaca kitab suci agama lain akan membuka satu dialog.
Oleh kerana Perdana Menteri tidak memberikan pendekatan yang bermakna untuk bersederhana dalam ucapan-ucapan dahsyat beliau, kita terpaksa mencari kaedah sedia ada.
Kita boleh menyebut nama seperti Johan Wolfgang Von Goethe sebagai contoh sihat, akan tetapi, untuk mereka yang jarang-jarang berdialog, memadailah nama-nama eceran seperti Madonna dan Anwar Ibrahim untuk dijadikan teladan.
Malaysia memerlukan pendekatan matang untuk terus ke hadapan. Pengharaman, larangan dan kekangan terhadap bahan bacaan sama sekali tidak membantu menyuburkan nusa ini. Bahkan ia mempamerkan sikap jumud, terkepung dan terkebelakang. Aksi baharu Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) yang melarang semua hotel dan rumah tumpangan di Pahang dari meletakkan kitab suci Bible dalam kamar sewaan jatuh dalam kategori tadi.
Bagaimana jika Barack Obama, rakan selfie Perdana Menteri mengambil keputusan bercuti di Cherating atau Taman Negara dan kerana Michelle terlupa membawa Bible peribadinya telah terpanggil untuk mencarinya dalam laci hotel penginapan?
Apakah jawapan kesederhanaan yang dapat beliau berikan?
Dialog antara agama: Cara menuju ke hadapan
“Antihesis”
Seperti yang kita ketahui, Malaysia adalah sebuah negara yang unik dimana ia mempunyai pelbagai etnik yang hidup dengan budaya yang berlainan tetapi berada di bawah satu sistem perlembagaan undang-undang yang sama.
Disini saya melihat kepelbagaian itu unik tetapi kepelbagaian itu juga cenderung membawa kepada sifat “etnosentrik” iaitu anggapan bahawa ciri-ciri sesuatu budaya sangat wajar, betul dan lebih utama daripada budaya etnik lain yang dipandang rendah serta dianggap ganjil ataupun dikatakan tidak bermoral.
Nilai etnosentrik ini seterusnya membawa kepada persaingan sesama etnik dalam perebutan kuasa, pengaruh dan perhatian daripada masyarakat setempat.
Dari sudut pandang saya, masalah “kalimah Allah”ini berlaku disebabkan konsep “etnosentrik”. Sebelah pihak merasakan perkataan ini adalah “esklusif” dan agama lain tidak boleh menggunakannya dan sebelah pihak lain pula rasa tercabar dan menganggap tindakan ini tidak wajar dan telah melanggar hak asasi manusia seperti yang termaktub di dalam Artikel 11, Perlembagaan Malaysia yang menyeru untuk kebebasan beragama.
Persaingan dalam penggunaan perkataan ini wujud antara dua pihak ini. Apabila dua pandangan dan pendapat yang berbeza ini berlaku, maka agama telah menjadi mangsa kepada sesuatu “antithesis” iaitu percanggahan pendapat dan perspektif antara dua pihak terhadap sesuatu isu.
Antihesis ini menyebabkan perbahasan, penghuraian dan kritikkan berlaku untuk menunjukkan “siapakah yang betul dan tepat”. Selepas perbahasan dan penghuraian percanggahan berlaku, antithesis sepatutnya membantu dalam menjana pendapat dan pandangan baru tetapi malangnya isu ini seolah-olah tidak akan menemui titik penamat pergolakannya hingga hari ini.
Seawal isu ini bermula sehingga menjadi kes mahkamah, masyarakat Kristian dan Islam masih tidak dapat menyelesaikan percanggahan ini walaupun dialog sudah diadakan. Beberapa forum sudah dijalankan dan perkumpulan kecil di buat tetapi permasalahan ini masih berterusan. Kenapakah permasalahan ini amat sukar untuk dibendung dan mencapai satu synthesis iaitu pemikiran dan pandangan baru yang terhasil akibat daripada anthesis untuk kearah penyelesaian. Adakah kerana pemikiran etnosentrik sangat kuat sehingga sukar untuk mencapai toleransi?
Intelektual Vs Realiti konteks
Apabila kita membahaskan tentang agama dalam konteks sejarah, teology, akademik dan etimologi, kita memerlukan suatu pengetahuan dan ilmu yang sangat mendalam dimana ianya memerlukan suatu penyelidikan dan pembacaan yang lebih terperinci. Ianya sangat membantu kepada kita untuk memahami konsep, isi kandungan dan menjawap persoalan-persoalan yang sering bermain-main di minda kita sebagai contoh, bagaimana Islam atau Kristian bermula? Perkataan “Allah” datang dari mana?.
Akan tetapi adakah sejarah,akademik teology dan etimologi mencukupi untuk menampung perubahan keadaan semasa yang sentiasa bergerak khususnya dalam arus kemodenan.
Seseorang yang intelektual seharusnya peka kepada realiti sebenar dunia dan mengambil kira semua faktor-faktor perubahan keadaan semasa. Segala teori dan ilmu di atas kertas, walaupun teramat penting, tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah yang melanda sekarang iaitu “Kalimah Allah”.
Ilmu intelektual dan realiti seharusnya berjalan seiring dan di seimbangkan. Seseorang intelektual seharusnya bijak untuk mengaplikasikan segala ilmu dan teori ke atas realiti sebenar manusia apabila membuat analisa terhadap masalah yang berlaku tersebut.
“Jangan ada benci”
Percanggahan, pergaduhan dan ketidaksefaham sudah pastinya menimbulkan perasaan tidak senang hati, prejudis dan kebencian antara satu sama lain. Maka disini saya ingin menyarankan agar kita cuba sedaya upaya untuk mengelak adanya perasaan-perasaan negatif tersebut untuk mencari ruang kepada penyelesaian.
Saranan disini bukan bersifat “apologetic” tetapi lebih kepada penyelesaian secara lebih lembut dimana kita akan bersahabat dengan “ pposite” seperti perumpamaan mengatakan “ Kecil api menjadi kawan, besar ia menjadi lawan”.
Apabila kita berjaya menjadi sahabat kepada “opposite”, kita bukan sahaja boleh bekerja dalam isu “Kalimah Allah” tetapi juga bekerja dengan isu-isu lain yang berkaitan dengan kemanusiaan dalam jangka panjang. Saya ingin membawa pembaca untuk memberikan renungan secara lebih mendalam apakah kesan-kesan baik dan buruk jangka panjang berlaku sekiranya perang “Antithesis” ini berterusan?.
“Intimate dialog”
Ruang penyelesaian boleh dicapai melalui “intimate dialog” dengan lebih kerap untuk mencapai kesepakatan yang dikehendaki.
Intimate dialog lebih kepada suasana santai dan relaks dan proses pengeluaran segala isi buah fikiran juga tidak dalam keadaan tegang dan formal. Melalui pengalaman saya, sesi berdialog dalam keadaan tegang adalah lebih sukar untuk mencapai kesepakatan kerana proses pengeluaran isi buah fikiran adalah berlandaskan kepada emosi yang marah dan tegang Lantas, saya terfikir apakah gunanya berdialog seperti begitu?
Saya juga melihat keperluan berdialog sesama umat Kristian iaitu Katolik dengan Protestan dan juga sesama umat Islam untuk melihat sebenar pandangan dan pendapat dari kumpulan yang sama kerana saya percaya setiap insan mempunyai perspektif dan pandangan yang berbeza antara satu sama lain.
“The law of the unity of opposites”
Disini saya dengan berbesar hati ingin mengkongsikan satu petikan kegemaran saya untuk renungan bersama iaitu “The law of the unity of opposites” oleh Friedrich Engels dimana dia mengatakan “perhaps all things in the world exist in opposition. day and night, hot and cold, good and bad, near and far but they do not really exist separately to each other. They form unions outside of which neither can exist. Day has no meaning without night, good without bad. The identity of each depends on the the identity of the other”. Petikan ini telah membantu saya untuk memberikan renungan secara lebih mendalam apabila berhadapan dengan isu ini.
Oleh itu, saya mengharapkan agar persefahaman dan kesepakatan akan tercapai di antara kedua-dua pihak tentang penggunaan “Kalimah Allah” ini. Persefahaman dan kesepakatan ini menjadi kunci kepada keamanan negara yang hidup berbilang kaum. Apabila melihat kepada keadaan sekeliling semasa juga, saya menyedari bahawa ada banyak lagi isu-isu kemanusiaan di luar sana yang memerlukan perhatian. Maka, saya berfikir “Isu mana lagi penting”?
Kisah Anak Bangsa Malaysia
Persoalan ini yang bermain di minda Saya ketika memenuhi jemputan sebagai wakil Projek Dialog ke satu bengkel perpaduan bertema “Saya Anak Bangsa Malaysia” anjuran koalisi NGO, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) di Broga penghujung minggu yang lalu. Tiba di lokasi program di pedalaman, terasing daripada hiruk-pikuk kesebokan kota, lolos daripada dibelenggu asap jerebu yang menyesakkan dan terasa bebas daripada sengketa polemik di ruang media Malaysia. Nafas segar cukup membuka minda, dengan harapan mendapat pemahaman baru erti seorang warganegara.
Para peserta tiba lalu berkumpul bersama membentuk satu bulatan. Selepas ucapan pembukaan ringkas, pengerusi program mengajak para peserta untuk diam bertafakur selama satu minit, memperingati dan berdoa untuk MH370.
Rata-rata peserta dengan menutup mata, wajah tersugul membisu. Satu minit ini dirasakan amat bermakna. Walaupun disegenap ruang dewan kecil itu diam kaku, yang hidup dan menyemarak hanyalah jiwa-jiwa yang masih menyimpan harapan kepada yang Maha Kuasa untuk mengembalikan suatu kehilangan.
Mungkin bukan sekadar kehilangan satu penerbangan, tetapi juga kehilangan semangat dan cita-cita satu bangsa yang berjaya. Satu minit berlalu tanpa sedar, mata dibuka, dirasakan azam dan semangat baru menjelma.
Kesedihan dan kehilangan ini perlu diketepikan buat sementara demi meneruskan pencarian dan perjuangan yang harus dihadapi. Tidak semena-mena, hujan turun mengundang senyuman para peserta yang ternyata merindukan titisan air turun dari langit. Mungkin ini tanda restu Tuhan terhadap usaha perpaduan dan penyatuan ini.
Para peserta masih duduk dalam bulatan. Kebanyakannya anak-anak muda sekitar awal 20-an, daripada pelbagai latarbelakang kaum, agama dan asal tempat tinggal. Semasa sesi perkenalan, bangun seorang anak muda yang bersemangat sekali dengan penampilan yang agak berbeza, berbaju batik dan entah apa kelengkapan kepala diperbuat daripada buluh yang kelihatan amat asing. Nama anak muda itu Dendi, dari perkampungan Orang Asli Temiar jauh di pendalaman sekitar Gua Musang, Kelantan. Selain beliau, ada lagi 5 orang mewakili komuniti Orang Asli dari kawasan berbeza, selain peserta mewakili komuniti Melayu, Cina, India, Dusun, Kadazan, Iban dari serata pelusuk Malaysia, menonjolkan kekayaan kepelbagaian warisan dan budaya masyarakat Negara ini.
Bengkel perpaduan ini mengambil masa dua hari, dengan pelbagai aktiviti menarik dijalankan bertema perpaduan nasional tanpa diskriminasi di bawah kelolaan fasilitator-aktivis berpengalaman Fahmi Reza dan Lena Hendry.
Turut dimuatkan wacana ilmiah berkenaan Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia dan Perlembagaan Malaysia dimana pakar dalam kedua-dua dokumen penting ini member penerangan disusuli diskusi interaktif bersama para peserta.
Namun, apa yang paling berguna kepada para peserta ialah aktiviti-aktiviti kreatif dan kritikal yang telah menambah tahap penghargaan dan pemahaman akan konsep Negara serta kepelbagaian komuniti dalam masyarakat Malaysia.
Satu aktiviti yang menarik telah menilai kembali peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah yang telah banyak mempengaruhi reality semasa di Malaysia ketika ini. Peristiwa-peristiwa ini termasuklah tertubuhnya Kesultanan Melayu Melaka, peristiwa zaman penjajahan, proses mencapai kemerdekaan, 13 Mei, sehinggalah pilihanraya ke-13 tahun lalu.
Setiap peristiwa ini dibincangkan bersama-sama, bagaimana ianya menjadi penyebab dan membentuk keadaan semasa sekarang. Penilaian ini ternyata membuka mata dan fikiran para peserta, bahawa terdapat perbezaan bagi setiap peristiwa yang berlaku sebenarnya difahami melalui sudut pandang individu dan komuniti yang berlainan.
Aktiviti lain yang turut digemari peserta ialah sesi debat dimana beberapa kumpulan dengan ahli pelbagai latarbelakang kaum dibentuk. Setiap kumpulan telah ditentukan untuk sama ada menyokong atau membantah usul ini, membuatkan peserta perlu kreatif dan kritikal terhadap isu yang dibangkitkan walaupun mungkin berbeza daripada pendirian peribadi sebenar. Aktiviti debat ini membolehkan peserta meletakkan kedudukan mereka dalam perspektif pihak yang berlainan dan perlu memahami dan berhujah walaupun mungkin berbeza dengan pendirian peribadi. Yang pastinya debat ini telah dapat melontarkan pelbagai hujah daripada perspektif yang pelbagai untuk kita fahami isu ini, sama ada bersetuju atau tidak.
Namun, pengalaman yang tentunya paling berharga ialah peluang berinteraksi sesama peserta, berkongsi pengalaman peribadi dan bergaul mesra.
Dalam satu perbualan bersama Dendi, anak muda Orang Asli berumur 21 tahun, beliau menceritakan pengalaman dan cabaran yang dihadapi dirinya sendiri dan umumnya komuniti Orang Asli untuk memainkan peranan dalam masyarakat Malaysia.
Beliau mengakui permasalahan yang dialami Orang Asli khususnya dalam hal perkembangan ekonomi dan pendidikan menyebabkan peranan mereka terbatas dan sering dilihat tidak penting dalam pembangunan Negara.
Tetapi pada masa yang sama, banyak pihak termasuk pemimpin masyarakat dan agensi kerajaan sebenarnya tidak jujur dan tidak cukup bersungguh memajukan komuniti Orang Asli serta membantu proses integrasi dalam masyarakat Malaysia yang lebih luas.
Ramai sebenarnya dikalangan anak muda Orang Asli yang telah mencuba untuk berhijrah ke bandar, berkerja dan bermasyarakat. Tetapi, sering kali diskriminasi berlaku sama ada secara sedar atau tidak sedar oleh ‘orang bandar’ khususnya berkaitan perbezaan budaya dan taraf pendidikan. Beliau sendiri pernah cuba menetap dan berkerja selama 3 tahun di kota raya Kuala Lumpur, hakikatnya sukar sekali untuk menyesuaikan diri dan bermuhibah bersama ‘orang bandar’.
Selain itu, faktor tekanan ekonomi dan kos kehidupan yang terlalu tinggi hinggakan hampir mustahil untuk golongan muda seperti beliau, dengan latarbelakang serba kekurangan untuk bersaing dan memenuhi keperluan hidup di kota raya.
Di sebalik bermacam-macam kesusahan ini, Dendi tetap menyatakan harapan masa depan Malaysia perlu dibangunkan tanpa diskriminasi kepada mana-mana golongan. Masyarakat Malaysia perlu membebaskan diri daripada masalah sentimen perkauman dengan tumpuan harus diberi kepada kepentingan Negara supaya faedah dapat dikecapi oleh semua warga Malaysia.
Menyentuh tentang ahli politik dan pemimpin Negara, Dendi menyuarakan kekecewaannya, “Ahli politik dan orang atasan selalu dengan mudah menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk kepentingan pihak sendiri, tanpa mengambilkira kesan terhadap perkembangan perpaduan Negara. Mereka juga sering tidak bersungguh dan tidak ikhlas dalam membantu dan membangun masyarakat yang memerlukan. Ini amatlah dikesalkan.”
Kata-kata ini boleh saja amat menginsafkan buat kita bila difikirkan pelbagai usaha dan pengorbanan sama ada kecil atau besar yang telah dilakukan sebilangan rakyat Malaysia biasa di waktu ini atau zaman sebelumnya untuk mengecapi perpaduan dan penyatuan Bangsa Malaysia.
Usaha-usaha ini termasuklah dua hari berharga yang diluangkan para peserta bengkel perpaduan ini, kebanyakannya merupakan pelajar kolej atau universiti dengan pelbagai tugasan yang perlu diselesaikan. Begitu juga dikalangan profesional muda yang sudah berkerjaya mengenepikan waktu rehat atau peluang menambah pendapatan demi membina semula cita-cita Bangsa Malaysia.
Lebih besar lagi pengorbanan peserta daripada komuniti Orang Asli seperti Dendi, yang menempuh perjalanan selama 10 jam, termasuk 3 jam melalui ‘jalan hutan’ untuk tiba ke Gua Musang dari kampung mereka di pendalaman, sebelum menaiki bas ekspress ke Kuala Lumpur.
Perjalanan pergi-balik menelan belanja sekitar RM200-300, merupakan nilai yang sama mereka dapat kumpulkan untuk hasil pendapatan selama satu bulan menorah getah dan mencari hasil hutan. Bagi mereka, ini tetap satu usaha yang berbaloi demi masa depan Negara.
[caption id="attachment_3134" align="alignright" width="300"]
Penulis (kanan) dengan Dendi, anak muda Orang Asli yang berwawasan.[/caption]
Di penghujung program bengkel “Saya Anak Bangsa Malaysia” ini, sekali lagi para peserta dikumpulkan membentuk bulatan untuk berkongsikan harapan setiap peserta akan masa hadapan Malaysia. Tiba giliran Saya, sedang hujan rahmat masih bercucuran, harapanku ringkas “Semoga suatu hari nanti, Dendi akan jadi Perdana Menteri”. Harapan ini mungkin kedengaran sinikal, tapi jika difikirkan sebenarnya logikal. Orang Asli seperti Dendi menjadi pemimpin Negara, mengapa tidak? Datang daripada komuniti tradisi asal yang mula-mula menabur budi di tanah air ini, menempuh pelbagai cabaran kehidupan sama ada di kota raya, pendalaman, mahupun di hutan belantara, namun tetap komited memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan bersama buat semua rakyat Malaysia. Bagaimana lagi dapat kita nafikan, dengan semangat, pengorbanan dan perjuangan sebegini, merekalah yang paling layaknya berkata “Aku Anak Bangsa Malaysia”.
Dialog antara agama: nilai dan kepentingan
Malaysia merupakan sebuah masyarakat majmuk dimana rakyatnya berbilang kaum, bangsa dan agama. Agama Islam yang merupakan agama rasmi Persekutuan membentuk komposisi 60.4% manakala agama Kristian yang merupakan agama majoriti Bumiputera Sabah dan Sarawak membentuk komposisi 9.2% penduduk Malaysia berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan dan Statistik Negara.
Kedua-dua agama ini sering mendapat perhatian nasional ekoran daripada rentetan demi rentetan isu yang mengoncang sensitiviti agama masing-masing.
Isu Kristianisasi ke atas umat Islam, isu murtad dalam kalangan umat Islam sendiri dan isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam merupakan suatu kekhuatiran yang amat serius bagi umat Islam di negara ini.
Tidak kurangnya juga masyarakat Kristian yang juga bersifat defensif apabila sesetengah isu dibangkitkan, contohnya: isu peng-Islaman di kawasan pedalaman, isu sekolah mubaligh kehilangan identiti, isu larangan pengunaan kalimah Allah, isu ancaman bakar Alkitab oleh segelintir fundamentalis Islam dan isu baling bom di gereja.
Disebalik pelbagai kemelut ni, pelbagai stereotaip muncul yang sedikit sebanyak bakal meretakan perpaduan yang terbina. Justeru itu, usaha untuk menjernihkan stereotaip ini harus bagi mengelakkan suasana ketegangan agama yang serius. Dialog antara agama adalah salah satu usaha baik bagi memulihkan kemelut yang ada bagi menunjukkan toleransi dan empati terhadap satu sama lain secara hormat.
Dialog
Penulis berpeluang untuk berdialog bersama ahli akademik yang mewakili satu pertubuhan bukan kerajaan yang membantah penggunaan kalimah Allah oleh umat Kristian di Malaysia. Penulis berasa sangat teruja kerana dapat bersua muka bersama mereka bagi mendapat pandangan mereka.
Atas dasar itu penulis menyahut seruan Gereja Katolik yang merupakan pegangan hidup penulis untuk membina jambatan dengan agama lain.
Sebagaimana yang disarankan oleh Paus Fransiskus dalam Apostolic Exhortation Evangelii Gadium di mana beliau membincang dialog antara agama, “Satu sikap keterbukaan terhadap kebenaran dan dalam cinta kasih harus membentuk dialog dengan penganut dalam kalangan agama bukan Kristian, walaupun dalam pelbagai kancah halangan dan kesukaran, terutama dalam bentuk fundamentalisme dalam kedua belah pihak. Dialog antara agama adalah satu syarat penting untuk keamanan di dalam dunia, maka ianya menjadi satu tanggungjawab seorang Kristian termasuk komuniti agama lain…Dalam cara sedemikian, kita belajar untuk menerima yang lain serta cara mereka hidup, berfikir dan bersuara. Kita juga boleh menyertai satu sama lain dalam mengangkat tanggunjawab dalam memberi keadilan dan keamanan, yang sepatutnya menjadi satu prinsip asas terhadap semua petembungan kita. Dialog yang memacu keamanan sosial dan keadilan itu sendiri melangkaui kesemua pertimbangan praktikal, adalah satu komitmen beretika yang akan membawa ke arah satu situasi sosial. Usaha dilaksanakan dengan satu tema yang khusus akan berupaya menjadi proses saling mendengar, dimana kedua-dua belah pihak dapat memperkayakan dan dimurnikan. Usaha ini, hasilnya juga akan membawa kearah cinta terhadap kebenaran.”
Dalam sesi dialog itu, NGO tersebut lantang menyuarakan penggunaakan kalimah Allah dari segi kemurnian kata nama khas dan penggunaannya yang bersifat eksklusif. Manakala, penulis menyampaikan bahawa hak umat Kristian menggunakannya adalah berpunca dari segi sejarah, budaya, bahasa dan penggunaanya yang bersifat sejagat.
Sementara itu hadirin ramai serta terdiri daripada berbilang kaum dan agama yang sudah tentu akan menhangatkan suasana dialog, jadi sesi soal jawab bersama panelis juga tidak lepas daripada soalan-soalan kontroversi. Ternyata dialog ini terkesan dalam membina suasana “saling mendengar” bukan sahaja antara penganut Islam dan Kristian bahkan yang lain.
Disebalik kehangatan dialog tersebut terdapat beberapa perkara yang harus dielakkan bagi membentuk suasana dialog yang sihat. Penulis mendapati terdapat pola tidak sihat dalam pengutaraan pendapat antara panelis dan para hadirin. Ya, memang tidak dapat dinafikan bahawa dialog bukan merupakan satu cara bagi memuktamadkan penyelesaian masalah tetapi dialog antara agama bagi penulis disifatkan lebih kepada pencarian alternatif terhadap permasalahan hidup bermasyarakat.
Pengajaran
Satu sahaja perkara yang penulis ingin kritik ialah sikap “Saya selalu betul, kamu selalu salah” atau istilah etnosentrik/etnosentrime ketika berdialog. Pandangan sesuatu kaum, bangsa atau agama majoriti yang mengatakan hanya itulah yang betul dan tepat adalah tidak wajar untuk ditonjolkan.
Pendapat tersebut tidak wajar dipaksakan terhadap orang lain yang berlainan pegangan. Dalam berdialog, sikap tersebut harus ditukar kepada “setiap pendapat mungkin ada betulnya.” Namun, dalam dialog antara agama usaha “saling mendengar” itu tidak hanya bersifat mendengar semata-mata tanpa bersuara.
Setiap pendapat dalam dialog adalah penting. Dalam membicarakan isu seperti kalimah Allah, perkara ini timbul menjadi polemik agama apabila Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2007 terhadap akhbar mingguan Katolik Herald. Perkara yang sepatutnya dibincangkan bagaimana kemelut ini wajar diselesaikan atau diredakan. Namun, hal ini tidak ditekankan pula dalam dialog ketika itu kerana kekangan pendapat bersama NGO Islam tersebet.
Disamping itu, selama lebih 3 jam dialog, penulis amat positif dengan hasil dialog tersebut. Banyak input serta output diperoleh dalam memahami permasalahan isu kalimah Allah antara Islam dan Kristian. Rata-rata para audiens juga bersikap terbuka walaupun ada yang tidak berpuas hati terhadap pendapat panelis sama ada pihak Muslim mahupun pihak penulis. Pertembungan ini adalah positif walaupun berlainan pendapat.
Memahami satu sama lain
Penulis berupaya untuk memahami sensitiviti umat Islam di Malaysia setelah isu tersebut masuk ke dalam kes mahkamah dan diwar-warkan media arus perdana berdasarkan hujah mereka dan begitu juga penulis berasakan audiens Kristian yang hadir juga berupaya untuk memahami sensitiviti mereka.
Sementara itu, penulis juga berharap agar pihak NGO Muslim tersebut dan audiens Muslim yang hadir juga terkesan dalam memahami tentang niat serta kewajaran umat Kristian di Malaysia menggunakan kalimah tersebut tanpa mengundang rasa tidak senang terhadap umat Kristian.
Penulis sangat optimis bahawa dialog seperti begini wajar diteruskan. Tatkala isu ini masih dalam kes mahkamah, terdapat banyak lagi isu-isu keagamaan lain yang menanti ibarat telur dihujung tanduk yang penulis rasakan perlunya dialog antara agama ini diadakan. Akhir kata, penulis sekali lagi inigin memetik kata-kata Paus Fransiskus dalam memacu dialog antara agama terutama bagi penganut Kristian dan Islam sebagai renungan bersama.
“Hubungan kita terhadap penganut Islam telah membawa kepada kepentingan yang utama, memandangkan kehadiran mereka yang signifikan di negara-negara tradisi Krisitian, dimana mereka dibenarkan untuk beribadat secara bebas dan menjadi sebahagian dalam masyarakat. Kita semestinya tidak lupa bahawa mereka berpegang pada iman Abraham, dan bersama kita bersujud menyembah ‘Allah’ yang tunggal dan maha rahim, yang akan menghakimi manusia pada hari kiamat…Kristian sepatutnya menerima dengan setiakawan dan hormat terhadap imigran Muslim di negara kita (Kristian) dan pada masa yang sama kita juga berharap dan meminta untuk diterima dan dihormati di negara Islam. Saya (Paus Fransiskus) meminta dan dengan rendah diri memohon mana-mana negara untuk memberi umat Kristian kebebasan mereka beragama dan mengamalkan ajaran mereka, sebagaimana umat Islam nikmati di negara Barat. Berhadapan dengan siri peristiwa keganasan fundamentalisme yang mengecewakan, hormat kita terhadap pengikut Islam sejati yang membawa ke arah generasi keamanan, dimana bagi Islam yang sebenar dan tafsiran Al-Quran yang sewajarnya menentang segala bentuk keganasan.”
Menzahirkan pluralisme dalam suasana kemelut
peaceful coexistence” atau kedamaian hidup bersama. Ia menggalakkan umat Islam untuk meletakkan nilai kesamarataan, keharmonian dan keamanan antara agama. Namun begitu, sempena Hari Raya Haji ini pula, dada akhbar dipampangi dengan kontroversi isu baru-baru ini berkenaan perkataan “Allah” dan beberapa lagi tindakan kontroversi pihak jabatan agama, memberi impresi bahawa agama adalah sesuatu yang bersifat eksklusif. Maka demikian, pengalaman menyertai Konvoi Interfaith di tempat-tempat keagamaan di sekitar Jalan Ipoh dan Jalan Sentul merupakan sesuatu yang amat berharga. Saya agak tertarik dengan konsep menziarahi kuil, tokong, masjid dan rumah-rumah ibadat yang terdapat di negara ini untuk meluaskan pemahaman antara agama. Agama Hindu Pencetus Kebenaran Jennifer Pak dari BBC turut mengikuti rombongan anjuran Projek Dialog dan Kumpulan Sasterawan Kavyan. Dalam kebisingan jalan raya dan kesibukan masyarakat bandar menjalani kehidupan seharian mereka, kami memulakan interfaith walk di kuil Hindu Subramanian Chettiar. Kuil tersebut aman indah dan menghijau, terdapat sebuah sangkar besar yang menempatkan beberapa merak dan burung, ukiran-ukiran dewa-dewi dalam mitos Hindu terpampang di dinding dan atap kuil, serta diselubungi bau-bauan wangian kemayan dan bunga. Sami-sami Hindu di kuil tersebut amat selesa dengan kehadiran kami, walaupun mereka sedang sibuk melayani beberapa penganut Hindu yang sedang beratur bersembahyang dan meminta berkat. Agama Hindu merupakan satu cara hidup untuk menuju ke jalan kebenaran atau Dharma yang meliputi setiap adat, tradisi, teologi dan falsafah. Tidak hairanlah ia juga dikatakan sebagai agama yang tertua dalam penyebaran tradisi kesedaran (Enlightenment Tradition). “Allah” dan Agama Sikh Seterusnya, kami berhijrah ke Gurdwara Sahib, sebuah kuil agama Sikh yang tersembunyi di selok Jalan Sentul. Wanita diwajibkan mengenakan selendang, manakala lelaki melilit kain di kepala untuk memasuki Gurdwara. Wakil-wakil daripada agamawan Sikh amat mesra menyambut konvoi kami, malah sempat menyajikan jamuan teh susu herba dan roti. Saya agak tertarik dengan kesamaan agama Sikh dengan agama-agama Nabi Ibrahim (Ibrahamic Faiths). Hal ini kerana mereka percaya kepada konsep monolitik, iaitu Tuhan adalah satu dan mempunyai kitab sucinya iaitu Guru Granth Sahib. Mereka juga mengelarkan Tuhan sebagai “Allah”, gelaran bahasa Arab yang lazim digunakan di Timur Tengah dalam agama Kristian, Yahudi dan Islam. Dewa Pengawal Kesejahteraan Konvoi kami bergerak ke Tokong Dewa Cheok Beh Keing (Dewa Pengawal) di Jalan Sentul, sebuah rumah ibadat dihiasi dengan pelbagai simbol mitos budaya Cina yang berwarna-warni seperti naga, dewa pengawal, ikan emas, dan sebagainya. Penghuni di sekitar tokong tersebut amat gembira menerangkan sejarah tokong tersebut; tokong tersebut telah bertapak di sana lebih daripada 100 tahun, ia menjadi pusat kemasyarakatan bagi kaum Cina untuk berdoakan kesejahteraan hidup. Doa tersebut bukan tertakhluk kepada penganut Dewa tersebut, sesiapa juga boleh mendoakan kesejahteraan kehidupan mereka. Maka, saya dan rakan-rakan yang lain turut membakar kayu bedil dan masing-masing berdoa untuk keamanan antara agama. Antara Islam dan Poster Anti-Syiah Kemudian, kami berangkat ke Masjid Al-Hidayah yang bersih rapi. Ia merupakan sesuatu pengalaman yang amat unik kepada yang bukan Islam, ini adalah pertama kalinya mereka mengambil wuduk dan memegang Al-Quran. Mereka juga sempat melihat para jemaah islam menunaikan solat Zohur. Sejuk mata memandang beberapa umat Islam yang kusyuk membaca ilmiah agama dan bertawakal. Penjaga masjid tersebut juga berbuka hati menerima kami, mereka mengatakan sesiapa sahaja, termasuk yang bukan Islam boleh melawati masjid di sana. Namun begitu, apa yang menyedihkan adalah kami dapati sebuah poster anti-Syiah yang terpampang di dalam masjid. Islam adalah agama sejagat dan realitinya terdapat pelbagai mazhab Islam di dunia ini. Mereka juga mempercayai Allah sebagai Tuhan, walaupun sejarah, adat dan tradisi penyembahan mereka berlainan. Apakah patut agama dijadikan alat bagi memecahbelahkan umat dan menyemarakan kebencian? Ketidakpentingan Ritual Kami mengakhiri destinasi konvoi rumah ibadat di Wat Buddha Sri Lanka. Kuil tersebut tersergam indah di dalamnya dengan sebuah patung Buddha putih yang besar, dihiasi dengan bunga-bunga cantik di mazbah hadapannya. Kami bersantap tengah hari dengan lauk-pauk ‘vegetarian’, sambil menghayati kedamaian kuil tersebut. Sami Buddha tersebut amat mesra dengan kedatangan kami, beliau mengatakan penganut di kuil tersebut sentiasa menerima kunjungan antara agama daripada pelbagai lapisan masyarakat, malah mereka juga sering melakukan aktiviti kebajikan terhadap rakyat Malaysia berbilang kaum. Saya bertanya mengapa terdapat hiasan bunga di mazbah? Apakah ritual pemujaan agama Buddha? Sami Buddha tersebut dengan tenang menerangkan konsep falsafah ajaran Buddha Teravada ini. Jelas beliau, ritual sebenarnya tidak penting langsung dalam mendapat restu atau pahala dari Tuhan, yang penting adalah karakter dan hati budi pengikutnya. Agama sebagai topik “Sensitif” Hakikatnya, walaupun negara kita dicerminkan sebagai sebuah negara yang pluralisme dan harmoni, rakyat Malaysia masih dibelenggu dengan budaya ‘sensitif’, setiap kaum tidak berani untuk berinteraksi mahupun mengambil berat dengan masyarakat beragama lain. Mereka lebih selesa dengan kepompong agama masing-masing, segala interaksi antara agama hanya sebagai ciri simbolik semasa upacara keramaian dan rumah terbuka. Bahkan, budaya berdialog antara agama masih merupakan sesuatu yang agak janggal dalam merapatkan silaturrahim dan keharmonian masyarakatan. Ironinya, saya dapati tiada satu pun penghuni rumah ibadat yang kami kunjungi melayankan kami dengan buruk, walhal, mereka sering menekankan kepentingan kedamaian dan kesejahteraan dalam agama, dan sentiasa menerima penganut agama lain dengan hati yang terbuka. Saya percaya, sesetengah pihak berkepentingan mungkin boleh memperbodohkan umat dengan mempolitikkan nama Tuhan, tetapi, sesiapa yang benar-benar memahami kewujudan agama akan mengetahui bahawa “segala yang baik itu adalah daripada Tuhan, dan segala yang keji itu adalah perbuatan manusia sendiri”.
]]>