Sebab Larangan dibuat
Perkara itu ditetapkan setelah berbinang dengan Dewan diRaja Selangor yang bersidang pada 11 November lalu seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam) 1988. Enakmen tersebut terpakai kepada semua orang sama ada Islam atau bukan Islam dalam negeri Selangor.
Sebab yang lain adalah untuk mengelakkan kekeliruan umat Islam di negeri ini dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain dalam agama mereka, kerana kalimah Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu seperti yang terdapat dalam surah Al-Ikhlas sebagaimana titah baginda.
Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 (En. 1/88)
Ramai penduduk Selangor yang bukan Islam tertanya-tanya adakah hak kebebasan beragama dilindungi atau dikawal?
Kewujudan enakmen ini adalah salah satu bentuk intimidasi ke atas mereka. Setelah diselidik enakmen ini, dilampirkan satu jadual iaitu Jadual 1 (Sekysen 9) Bahagian 1 yang terkandung perkataan-perkataan (35) dan luahan yang tidak boleh digunakan atau dikaitkan dengan orang bukan Islam.
Kaitan dengan Perlembagaan Persekutuan
Perkara 11 (4) ada menyebut: “Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”
Menurut Perkara 3 perlembagaan negara, Islam merupakan agama rasmi persekutuan. Namun agama-agama lain bebas diamalkan di mana-mana bahagian persekutuan tanpa boleh disekat. Ini bermakna kebebasan beragama sebagai sebahagian hak asasi manusia dijamin di sisi perlembagaan negara.
Namun berbanding agama-agama lain Islam mendapat keistimewaan dan perlindungan di bawah undang-undang .
Kesan Perlaksanaan
Artikel ini bukan untuk mengajak pembaca untuk mengutuk mahupun akur terhadap peruntukkan undang-undang yang dilihat seakan-akan meminggir penganut bukan Islam di Malaysia.
Ianya lebih kepada kesedaran mengenai implikasinya ke atas penganut bukan Islam. Pertama, jikalau kesemua enakmen diwartakan dan dilaksanakan serta-merta, akan ramai penganut bukan Islam dihukum melaluinya dengan pelbagai kesalahan.
Dari sudut penganut bukan Islam, mereka tidak boleh mengamalkan agama mereka secara terang-terangan kerana khuatir dikenakan tindakan. Kedua, artikel-artikel, penulisan, akhbar, kitab suci serta buku-buku keagamaan mungkin akan ditapis, disekat dan dipaksa untuk suntingan semula.
Ketiga, ianya telah melanggar kontrak sosial sebagaimana dalam Perjanjian 18/20 Perkara Sarawak dan Sabah pada 1963. Sabah dan Sarawak telah dijanjikan Perkara 1: Agama bahawa apa-apa perundangan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak terpakai kerana di Sabah dan Sarawak tiada agama rasmi. Rata-rata ada juga penduduk Sabah dan Sarawak tinggal di Semenanjung Malaysia atas tuntutan nafkah hidup. Adakah mereka juga dikenakan tindakan menurut enakmen itu jika disabit kesalahan?
Apa yang harus diperbuat?
Apa yang ingin penulis katakan di sini ialah bahawa keadaan kepelbagaian dan keharmonian agama dilihat seakan-akan telur dihujung tanduk. Terlalu banyak kerosakan telah terjadi sehingga usaha untuk menyatupadukan penduduk berbilang kaum dan agama kelihatan sukar dilaksanakan.
Antara cadangan yang boleh dikemukakan disini adalah, semak semula semua undang-undang yang ada di negara Malaysia ini termasuk Perlembagaan Persekutan, Undang-undang Negeri dan Undang-undang Syariah. Adakah ianya menepati kontrak sosial Persekutuan Malaysia yang termeterai pada 16 September 1963? Jika bercanggah, perlunya satu usul dibawa di Parlimen bagi pindaan yang sesuai secara adil dan saksama.
Kedua, tukar mentaliti kita sebagai rakyat Malaysia. Kita ada Rukun Negara, gagasan 1Malaysia dan Wawasan 2020. Semua pihak, dari pemerintah sehingga kakitangan swasta dan kerajaan sewajarnya dibentuk dan diasah untuk berfikiran matang dan terbuka dalam pelbagai perkara dalam kehidupan seharian kita.
Akhir kalam, dialog merupakan salah satu kunci untuk mampu mematangkan toleransi antara kaum dan agama didunia ini. Manusia sememang hidup dalam kolompok berbeza-beza dalam pemikiran mahupun cara hidupnya. Namun demikian, demi keamanan wajarlah kita berusaha untuk mencapai ke arah itu.
Transgender dan agama
Transgender dalam Mitos Hindu” (Free Malaysia Today, 11 November 2013), kehadiran golongan berkenaan bukan sesuatu yang baru dalam budaya India-Hindu.
Di Malaysia pula, topik berkaitan transgender amat kurang diperkatakan secara positif, adil dan bermaruah. Sebaliknya, selalu sahaja diberikan gambaran paling buruk oleh media arus perdana.
Saya menyebut dalam makalah “Minoriti Perlu Berani Bersuara” (Projek Dialog, 18 September 2012) bahawa golongan minoriti tidak sekadar merujuk kepada “kumpulan kecil” berdasarkan kaum dan agama.
Sebaliknya turut merujuk kepada pendirian politik, ideologi, mazhab, sosial, bahasa, seksualiti dan pelbagai lagi kedudukan yang menjadikan kelompok itu hilang peluang untuk bersuara; selain ditindas golongan majoriti yang berkuasa.
Atas dasar mahu memberikan ruang dan peluang kepada golongan transgender bersuara, maka saya mengaturkan pertemuan dengan Sharan Suresh di pejabatnya di Kuala Lumpur pada 14 November 2013.
Beliau bukan sahaja seorang transgender tetapi juga terlibat secara langsung dalam usaha murni dan berani memberikan kesedaran kepada masyarakat mengenai golongan berkenaan.
Berikut adalah sebahagian transkrip perbualan kami yang boleh dijadikan asas bagi memulakan dialog dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, ideologi dan agama.
Uthaya: Orang sering mengaitkan golongan transgender dan homoseksual dengan aktiviti seks tidak bermoral. Apakah komen anda?
Sharan: Istilah homoseksual, heteroseksual, biseksual dan sebagainya hanyalah label yang digunakan orang. Identiti gender tidak ada apa-apa kaitan dengan orientasi seks seseorang.
Sudah terbukti secara saintifik bahawa setiap lelaki, pada salah satu peringkat hidupnya (khususnya pada usia remaja), dia akan tertarik kepada sebilangan wanita dan sebilangan lelaki.
Individu lelaki itu tidak semestinya tertarik secara seksual kepada lelaki lain. Cuma, hubungannya dengan individu yang dia tertarik (attracted) itu lebih intim berbanding dengan individu lain.
[caption id="attachment_2770" align="alignleft" width="300"]
Usaha dilakukan untuk mendidik mahasiswa dan orang ramai mengenai transgender.[/caption]
Situasi seperti ini pula tidak semestinya hanya berlaku dalam kalangan pelajar lelaki di sekolah lelaki, atau pelajar perempuan di sekolah perempuan seperti selalu diperkatakan. Sebaliknya boleh juga berlaku di sekolah campur.
Bagaimanapun, norma masyarakat yang menjadi penghalang dan membuatkan remaja heteroseksual berkenaan terpaksa memendamkan terus perasaan tertarik itu, walaupun dia bukannya tertarik secara seksual kepada rakannya itu.
Norma dalam masyarakat menetapkan bahawa seorang lelaki hanya boleh tertarik kepada perempuan dan begitu juga sebaliknya. Kononnya kasih-sayang hanya boleh dikongsikan dengan orang yang kita cintai dan tertarik secara seksual – iaitu individu daripada jantina yang berlainan.
Pandangan seperti ini sebenarnya berasaskan pendirian berciri politik dalam agama tertentu pada zaman dahulu yang mahu supaya pasangan berlainan jantina segera berkahwin dan melahirkan anak. Supaya jumlah penganut agama berkenaan dapat ditambah dengan kadar paling segera.
Bercakap mengenai agama, apakah kewujudan golongan transgender bertentangan dengan ajaran agama?
Kita tidak dapat menolak kemungkinan bahawa ajaran agama sebenarnya tidak menghalang kewujudan golongan transgender, iaitu individu yang memiliki anggota tubuh lelaki tetapi mempunyai identiti gender wanita.
Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa kewujudan individu transgender berlaku secara biologikal sejak dalam kandungan dan bukannya dibuat-buat atau ditiru semasa kanak-kanak atau remaja.
Tuhan yang menciptakan lelaki dan wanita jugalah yang menciptakan golongan transgender. Tuhan tidak pernah melakukan kesilapan dalam melaksanakan tugas-Nya. Pihak yang keliru adalah manusia sendiri; bukannya Tuhan.
Misalnya, wujud pelbagai perkara yang bertentangan dan bercanggah (contradicting) dalam ajaran agama seperti difahami oleh manusia. Sebab itulah ada pelbagai agama, kepercayaan, mazhab dan aliran pemikiran. Terdapat juga klasifikasi yang berbeza-beza bagi Tuhan; walaupun dalam kalangan agama yang mengakui hanya ada satu Tuhan.
Perbezaan kepercayaan, mazhab, agama dan pandangan turut membawa kepada persengketaan dan perang kerana masing-masing percaya bahawa apa yang dipercayainya sahaja adalah betul. Walaupun mereka menegaskan Tuhan adalah satu, mereka masih berbalah kerana mempunyai pendirian yang berbeza.
Sekiranya diperhatikan dalam soal agama, apa yang diperjuangkan pihak tertentu adalah berdasarkan apa yang mereka percayai sebagai benar; tetapi tidak semestinya seratus peratus seperti apa yang ditetapkan oleh Tuhan.
Adalah tidak adil jika penganut satu agama memaksa penganut agama lain menerima apa yang dipercayainya. Janganlah semata-mata kerana orang lain mempunyai cara dan kepercayaan yang berbeza terhadap Tuhan, maka kita membuat keputusan bahawa mereka berdosa dan tidak akan diterima oleh Tuhan.
Perbandingan yang sama boleh digunakan dalam isu berkaitan transgender. Situasi berkaitan perubatan dan biologi cuba disempitkan menerusi pandangan sempit pihak tertentu berdasarkan pengetahuan mereka yang amat sedikit terhadap ajaran sebenar dalam agama.
Mereka tidak tahu apa itu transgender. Mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang sepenuhnya. Akan tetapi mereka mahu menetapkan peraturan terhadap apa yang mereka sendiri tidak tahu!
Istilah yang biasa digunakan dalam filem Tamil adalah “aravani” apabila merujuk kepada golongan transgender. Apakah label ini sesuai?
Saya ada menyebut tadi mengenai beberapa label seperti homoseksual, heteroseksual dan biseksual. Semua itu hanyalah label yang diberikan oleh orang untuk memudahkan membuat rujukan.
[caption id="attachment_2769" align="alignleft" width="195"]
Sharan Suresh menerima realiti bahawa dia adalah transgender.[/caption]
Bagi individu yang memiliki anggota tubuh (fizikal) lelaki tetapi identiti gender wanita, istilah yang diperakui dan digunakan pada peringkat antarabangsa adalah “transgender”.
Penggunaan istilah atau label ini adalah bagi menggambarkan kedudukan identiti individu berkenaan yang berada pada persimpangan antara identiti seks (tubuh dan alat kelamin) dan identiti gender (biologikal dan tertanam dalam minda sejak dalam kandungan).
Pelbagai istilah lain turut digunakan di pelbagai negara. Di beberapa negara, termasuk Filipina, label/istilah yang digunakan adalah “gay” tanpa melakukan klasifikasi sama ada homoseksual, biseksual, lesbian, transgender atau sebagainya.
Istilah binari yang biasa digunakan apabila merujuk kepada gender adalah “lelaki” (male) dan “perempuan/wanita” (female). Dalam keadaan ini, kita lupa bahawa gender bukan berciri binari (dua) kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa gender tidak hanya terikat kepada “lelaki” dan “perempuan”.
Atas sebab itulah mana-mana individu yang tidak termasuk – atau tidak memenuhi sepenuhnya kriteria konvensional dalam masyarakat – bagi kategori “lelaki” atau “wanita” diletakkan di bawah label “transgender”.
Kriteria konvensional yang saya maksudkan adalah norma dalam masyarakat yang hanya melihat pada kategori “lelaki” dan “wanita” berdasarkan anggota tubuh dan alat kelamin lelaki (zakar) atau alat kelamin wanita (faraj).
Secara konvensional, apabila seorang bayi yang dilahirkan itu ada zakar, maka diberikan identiti gender sebagai “lelaki”. Amalan ini tidak tepat kerana kehadiran zakar atau faraj adalah “identiti seks” dan tidak semestinya mewakili “identiti gender”.
Bagaimana pula dengan individu transeksual?
Istilah “transeksual” merujuk kepada individu yang sedar bahawa identiti seks yang dimilikinya (fizikal) adalah berbeza dengan identiti gender dalam mindanya (sejak dalam kandungan).
Misalnya seorang individu yang dilahirkan dengan alat kelamin lelaki tetapi memiliki identiti gender wanita. Individu berkenaan memilih untuk hidup sebagai wanita, iaitu berdasarkan identiti gender wanita yang dimiliki (dalam minda) dan bukan identiti seks (alat kelamin).
Individu transeksual tahu bahawa identiti seks – iaitu alat kelamin dan ciri-ciri fizikal lain – boleh diubah. Bagaimanapun, identiti gender yang tertanam dalam minda sejak dalam kandungan akan terus kekal hingga akhir hayat.
Secara mudah, “transgender” merujuk kepada keadaan umum individu yang memiliki identiti seks (fizikal) dan identiti gender (naluri) yang bertentangan.
Keadaan “transeksual” pula umpama subset iaitu salah satu daripada pelbagai label yang berada di bawah kategori “transgender”.
Misalnya, saya sendiri. Saya dilahirkan dengan alat kelamin lelaki (zakar) tetapi identiti gender saya sejak bayi adalah perempuan. Maknanya saya menyedari bahawa saya sebenarnya seorang individu perempuan. Sejak kanak-kanak hingga kini, saya hidup sebagai seorang wanita. Identiti gender ini akan kekal hingga akhir hayat saya.
Adakah transgender akan berusaha menjalani pembedahan bagi mengubah identiti seks mereka?
Apabila bercakap mengenai golongan transgender, tidak semestinya mereka perlu membuang “identiti seks” (zakar) melalui pembedahan. Memang ada transgender yang membuat pembedahan membuang zakar kerana mereka mampu dari segi kewangan.
Akan tetapi, ramai yang tidak mampu menampung kos pembedahan yang memang amat mahal. Pada masa sama, ada juga transgender yang tidak memikirkan soal membuang alat kelamin mereka kerana apa yang lebih penting adalah identiti gender (minda) dan bukannya identiti seks (alat kelamin).
Sebenarnya, sehingga awal tahun 1980-an, pembedahan membuang zakar bagi golongan transgender dilakukan secara sah di Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya).
Selepas seorang individu transgender selesai menjalani pembedahan membuang zakar (identiti seks) di sana, maklumat jantina pada kad pengenalan boleh diubah secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara.
Mengapa pula perkhidmatan pembedahan itu dihentikan?
Masalah hanya berlaku selepas tahun 1982 apabila keluar fatwa mengharamkan pembedahan menukar jantina dalam kalangan orang Islam.
[caption id="attachment_2771" align="alignleft" width="300"]
Sesi perbincangan khas mengenai transgender berlangsung di Bangkok, Thailand baru-baru ini.[/caption]
Apa yang menyedihkan adalah bahawa ramai yang tidak memahami hakikat bahawa golongan transgender bukan mahu “menukar jantina”.
Sebaliknya transgender mahu memastikan “identiti seks” (fizikal) selaras dengan “identiti gender” yang tertanam dalam minda sejak masih berada dalam bentuk embrio di dalam kandungan ibu. Seperti saya katakan, identiti seks boleh diubah tetapi identiti gender kekal hingga mati.
Kalau kita perhatikan, istilah “mukhannathun” terdapat dalam Hadis sahih untuk merujuk kepada golongan transgender iaitu individu yang lahir dengan alat kelamin (identiti seks) lelaki tetapi memiliki sepenuhnya identiti gender wanita.
Dinyatakan dengan jelas bahawa jika keadaan “mukhannathun” (transgender) itu wujud sejak kecil (kanak-kanak), maka individu terbabit tidak perlu rasa bersalah atau malu dengan keadaan dirinya.
Menurut Hadis, “mukhannathun” atau “mukhannas” adalah seorang individu (lelaki) yang menyerupai wanita. Ada dua jenis “mukhannathun” dirujuk di mana salah satu adalah lelaki (identiti seks) yang benar-benar memiliki identiti gender wanita dan mempunyai adab serta tingkah-laku yang sama seperti wanita secara semula jadi (bukan dibuat-buat).
Ternyata Hadis itu merujuk kepada golongan transgender. Dinyatakan secara jelas bahawa golongan itu tidak berdosa selagi mereka tidak melakukan perzinaan, dosa dan maksiat. Hukum terhadap zina, dosa dan maksiat itu sama juga bagi golongan heteroseksual.
Apa yang ditegah dalam agama Islam, Quran dan Hadis adalah apabila seorang individu dengan identiti gender lelaki dan identiti seks lelaki – iaitu “lelaki sejati” – mahu mengubah keadaan itu. Di sinilah muncul kelompok lelaki yang suka berpakaian seperti wanita (cross-dressing) walaupun mereka bukannya transgender.
Malangnya, akibat kejahilan dan kerana tidak cukup maklumat serta pengetahuan, pihak tertentu menganggap transgender sama dengan cross-dresser. Akibatnya, golongan transgender yang tidak berdosa selalu menjadi mangsa.
Saya berharap penindasan berikutan kejahilan seperti ini akan berakhir. Masyarakat dan pihak berkuasa perlu diberikan maklumat tepat dan benar mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan transgender.
Dialog Sunni-Syiah: Mencari persefahaman dalam kepelbagaian (Bahagian akhir)
(Anda juga dijemput membaca bahagian pertama, kedua, ketiga dan keempat)
Pentingnya dialog
Pernah satu hari saya berbeda pendapat dengan seorang teman yang sama beraliran Sunni tentang sikap mencari damai dalam perbedaan antara Sunni dan Syiah. Teman saya itu mahu mengambil sikap membenteras Syiah dengan kekerasan, sedangkan saya mencadangkan dialog yang lebih sihat.
Pendapat saya ditolak beliau. Apabila saya bertanya, apa sikap sewajarnya terhadap mereka yang berfahaman Syiah. Beliau menjawab, “cukup sekadar mereka mengakui bahawa mereka bukan beragama Islam”
Saya bertanya lagi, “apa pendapat anda jika mereka pula minta Sunni mengakui bahawa Sunni bukan beragama Islam?”
Soalan saya itu menyebabkan dia terdiam.
Rata-rata kita menilai kononnnya dialog antara Sunni – Syiah seperti gagal. Tanpa kita sedari bahawa kesan dari usaha damai yang diusahakan mereka terdahulu menjadikan usaha dialog segar antara dua belah pihak semakin berlaku.
Walaupun tidak semeriah seperti yang dijangka, sekurang-kurangnya di pihak Syiah sendiri sudah ada sebilangan mereka yang menyeru agar kritikan dan mengkafirkan sebilangan sahabat oleh Sunni tidak dilakukan.
Dalam perbuatan mengkafirkan sesiapa sahaja secara terbuka, kebimbangan yang paling besar adalah ia akan membawa kepada pertumpahan darah. Pengkafiran akan mangkibatkan sesuatu yang boleh dibincang secara damai bertemu jalan kegagalan.
Ini kerana, menuduh orang yang tidak sehaluan sebagai kafir, melahirkan sentimen kebencian dan kemarahan, akan tentunya menghalang dialog secara ilmiah dan rasional.
Bahayanya tuduhan pengkafiran
Mengkafirkan manusia bermaksud menentukan orang yang tidak sealiran sebagai terkeluar dari islam.
Dalam maksud yang lain, dia telah menentukan orang yang dituduhkannya sebagai ahli neraka, sedangkan semasa si penuduh melakukan tuduhan tersebut, dirinya sendiri pun masih belum ada “cop mohor” kelayakkan masuk syurga.
Hakikat yang perlu diterima oleh sesiapa sahaja bahawa ke syurga atau tidak, bukan cop dan lebel kafir yang diberikan oleh seseorang terhadap seseorang yang lain; bukan dari satu aliran terhadap aliran lain; bukan dari satu fahaman terhadap fahaman yang lain. Syurga seseorang itu berdasarkan rahmat dari Allah SWT.
Dalam riwayat Sunni, daripada Al-Imam al-Bukhari, didatangkan satu Hadis bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda, “Sesekali seseorang itu tidak masuk syurga dengan sebab amalannya”.
Lalu seorang sahabat bertanya kepada Nabi, apakah diri Nabi Muhammad SAW juga begitu? Nabi SAW menjawab yang maksudnya, “Ya, aku juga tidak masuk syurga dengan amalan, tetapi dengan dikurniakan rahmatNya”. (Al-Bukhari, Hadis No : 5241, Muslim, Hadis No : 5040)
Dalam kes sebegini, saya amat terkesan dengan apa yang pernah diungkapkan oleh Al-Imam Al-Tahawi yang pernah menyatakan, “Kami menetapkan sebagai ahli Qiblat (Kaabah) sebagai Muslim dan Mukmin selama mereka mengiktiraf dengan apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Dia beramal dengan semua perkataan Baginda SAW dan membenarkan semua yang Baginda SAW beritakan.”
Dalam pemikiran Sunni, sesuatu perkara itu tidak boleh diletakkan hukum haram kecuali terdapat nas yang jelas dan saheh. Inikan pula, untuk menentukan seseorang itu kafir, sudah pasti tidak boleh berlaku kecuali dengan sesuatu yang jelas dan nyata.
Di zaman penurunan wahyu, budaya kafir mengkafir ini tidak berlaku, tetapi hairan di zaman wahyu sudah berhenti, budaya takfir ini semakin menjadi-jadi.
Ini memberi gambaran, bagaimana budaya kafir mengkafir ini bukan satu perkara yang sihat, tetapi ia terhasil dari sikap kebencian, emosi melampau, hawa nafsu dan berpunca dari sikap tidak berusaha mencari jalan damai dalam berhadapan dengan perbedaan.
Ada sebilangan Sunni marah dengan sikap sebilangan Syiah yang mengkafirkan sahabat, makanya mereka mengambil sikap mengkafirkan balik orang-orang Syiah.
Jika difikirkan balik, sikap orang Sunni yang sebegitu sekali-kali tidak dapat mendatangkan kedamaian, kecuali permusuhan semakin membengkak, Akibat dari itu dialog antara dua belah pihak semakin gagal berlaku.
Dan di pihak sebilangan orang-orang Syiah ada pula yang mahu mengkafirkan sahabat, apakah perlunya mereka mengeluarkan kenyataan kafir mengkafir terhadap sahabat di khalayak, sedangkan ia sedikit pun tidak mendatangkan hasil yang baik dalam hubungan antara masyarakat yang terdiri dari berbagai latar pegangan mazhab dan aliran.
Tahaluf
Saya secara peribadi tidak berharap agar Sunni membuang pakaian Sunni, lalu menyarung pakaian Syiah, atau Syiah membuang pakaian Syiah, lalu menyarung pakaian Sunni.
Pada saya, setiap Sunni dan Syiah perlu kekal dengan pemahaman dan kepercayaan masing-masing.
Tetapi tapi dalam perbedaan kepercayaan ini, mereka boleh seiring sejalan dalam perkara yang boleh mereka bersama, dan berdialog secara segar dalam perkara yang mereka berbeda.
Isu-isu sensitive antara kedua-duanya, seperti isu mengkafirkan sahabat wajar dielak berlaku di khalayak demi untuk menghormati perasaan Sunni.
Pihak Sunni juga patut diak turut menimbulkan sensitive yang melahirkan perbalahan dengan Syiah.
Tetapi, jika mahu ia didebatkan secara ilmiah, hendaklah dilakukan di kalangan mereka yang berkelayakkan sahaja. Tujuannya adalah, agar perbedaan ini tidak melahirkan perbalahan, sebaliknya menghasilkan natijah yang baik.
Pada saya, seruan agar menSyiahkan orang Sunni, atau menSunnikan orang Syiah bukan seruan yang sihat, kerana ia adalah permulaan terhadap perasaan rasa tidak jujur antara satu dengan yang lain.
Dengan perasaan sebegini, perbedaan itu satu masa nanti akan bernatijahkan perbalahan dan permusuhan. Makanya, dialog sihat dan damai akan bertemu kekusutan dan jalan buntu.
Kesimpulan
Perbedaan pendapat, kepercayaan dan aliran tidak seharusnya difikirkan sebagai perbalaham. Sebaliknya ia perlu dianggap sebagai warna warni untuk mengindahkan kehidupan. Namun, perbalahan sering terjadi ekoran tidak ada sikap ingin kenal mengenali dan fahami memahami antara satu dengan yang lain.
Banyak tamadun yang hebat dahulu runtuh ekoran tidak bersedia mengenali pihak yang berbeda. Tamadun yang berjaya mencipta nama, selalunya bermula dari sikap pencoraknya dari kalangan mereka yang hormati perbedaan, malahan tidak segan untuk pelajari kelebihan dari pihak yang berbeda dengan mereka.
Respon Marina Mahathir kepada ISMA: Islam menegakkan keadilan
Marina Mahathir Saya kecewa ISMA tetap menegaskan keputusan mereka untuk memfitnah saya sebagai ‘dalang ‘ di sebalik COMANGO. Tambahan pula, ISMA meneruskan taktik membuli dengan menyelewengkan kata-kata saya dalam kenyataan mereka yang terkahir. Memang saya bangga menjadi ahli Sisters in Islam yang telah giat berjuang selama dua puluh tahun untuk menegakkan keadilan dan kesaksamaan bagi golongan Muslimah di Malaysia. Sejak peringkat awal penubuhan lagi, Sisters in Islam adalah antara gerakan wanita yang utama yang merujuk kepada Quran dan Sunnah untuk menekankan prinsip-prinsip etika dalam membela keadilan untuk kaum wanita. Kini, usaha kami sudah menjadi ilham kepada organisasi-organisasi wanita di negara-negara Muslim yang lain dalam pendirian kita bahawa Al-Quran ke arah keadilan dan kesaksamaan. Ini adalah asas kepercayaan saya, bahawa semua manusia dicipta oleh Tuhan yang Satu, Maha Pengasih, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Berbeza dengan manusia, Tuhan tidak membuat kesilapan dan oleh itu dia mencipta setiap insan mengikut kehendak-Nya. Oleh itu, peranan kami adalah untuk menghormati keputusan Allah dan ciptaan-Nya. Ia satu keharusan untuk kita menilai setiap insan ciptaan Tuhan dengan maruah, rasa hormat dan perikemanusiaan, tanpa mengira bangsa, agama, orientasi seksual dan keupayaannya. Seperti yang difirman Allah dalam Surah Al -Hujurat, ayat 13: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya. Saya ingin mengulang penegasan saya bahawa ISMA menyebar fitnah dengan mengatakan bahawa saya adalah dalang di sebalik COMANGO . Saya sedar bahawa SIS adalah sebahagian daripada peserta Comango. Saya juga sedar bahawa laporan Comango disediakan untuk proses UPR. Tetapi saya tidak pernah menghadiri mana-mana mesyuarat atau terlibat secara peribadi dalam menghasilkan laporan tersebut, yang hanya salah satu daripada 28 laporan NGO mengenai keadaan hak asasi manusia di Malaysia. Sepertimana yang semua orang tahu, laporan-laporan NGO adalah sebahagian daripada proses kajian semula PBB dan tiada apa-apa yang luar biasa mengenai laporan Comango. Saya tahu mengenai laporan itu dan saya menyokongnya tidak kurang kerana ia bukan seperti apa yang ISMA katakana. Ini jelas bagi sesiapa yang cukup mengambil berat untuk membacanya melalui laman web Pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia akan tahu. Jadi amatlah tidak jujur bagi ISMA untuk menyatakan bahawa COMANGO ke luar negara untuk memusnahkan imej Malaysia dan Islam. Seluruh dunia memangpun sudah peka terhadap apa yang berlaku di Malaysia dengan adanya internet. Seperti apa yang dijelaskan COMANGO, kerajaan Malaysia sering hadir ke mesyuarat-mesyuarat PBB untuk melaporkan perekembangannya dalam memenuhi kewajipan untuk akur kepada pelbagai perjanjian dan peretujuan PBB. Biasanya, kerajaan menyetujui dan melaksanakan perjanjian-perjanjian berikut. Satu contoh baru-baru ini ialah alokasi 30% untuk wanita menganggotai jawatankuasa sesebuah syarikat, dasar yang disarankan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Convention for the Elimination of Discrimination Against Women / CEDAW). ISMA enggan untuk mengaku bahawa mereka sudah mencetak dan menyebar 70,000 flyer yang mengandungi fitnah terhadap saya. Ini aduan saya. ISMA berlaku tidak jujur apabila mereka ingin mengubah isu. Surah Al-Hujurat, Ayat 12 menyatakan: Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. Ini Islam kepercayaan saya. Saya amat berharap bahawa ia juga Islam kepercayaan ISMA.
]]>Fiqh Waqi’ bukan alasan untuk kezaliman
Keadilan Sebabnya jelas: keadilan merupakan perkara penting dalam kemaslahatan. Dan keadilan harus memerhati dan menjawab kepada realiti sesuatu keadaan. Jika tidak tercapai keadilan, maka itu bukan kehendak Syariah. Ibn al-Qayyim ada menyatakan bahawa, “syariah itu adalah keadilan Allah terhadap hambaNya, rahmatNya kepada kalangan makhlukNya, bayang-bayangNya do bumiNya.” Beliau juga berkata “apabila nyata tanda-tanda keadilan dan nyata jalan-jalan kearah tercapainya itu, maka dapatilah di sana ada Syariah dan agama Allah.” Memang benar bahawa ulama tidak sepakat dalam penghuraian makna keadilan. Pemahaman-pemahaman yang ada memang pelbagai. Keadilan yang difahami sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya adalah kefahaman keadilan yang popular di kalangan sarjana Muslim. Di sana, terdapat perbahasan balik terhadap maksud kefahaman keadilan itu, seperti penjelasan Al-Qaradawi dalam satu temuramah beliau yang bertajuk Syariah wa hayah. Dalam temuramah tersebut, beliau ditanya tentang keadilan, lalu beliau menyatakan bahawa keadilan itu adalah memberikan hak kepada mereka yang berhak. Al-Qaradawi berpegang kepada satu hadis sahih dimana Nabi Muhammad SAW ada bersabda, “sesungguhnya pada jasad kamu itu ada hak, pada ahli keluarga kamu itu ada haknya, maka berikan hak kepada yang berhak” Penggunaan fiqh waqi’ adalah untuk menjayakan proses keadilan ini. Ia bertujuan untuk memastikan perlaksanaan itu berjaya memberikan hak kepada mereka yang berhak, tanpa melahirkan sebarang kerosakan. Tapak bagi bangunannya fiqh waqi’ adalah keadilan. Ia merupakan salah satu kaedah untuk menjayakan proses pemberian hak kepada yang berhak, bukan sebaliknya. Larangan hak Namun ada sebilangan Muslim di Malaysia, yang mendakwa mereka sebagai golongan berilmu, menggunakan alasan fiqh waqi’ untuk menghalang hak orang bukan Islam di Malaysia dari bebas mengamalkan agama mereka. Dakwaan ini tidak lebih hanya mencandukan pemikiran orang awam agar penghujahan mereka kononnya dilihat benar. Hakikatnya, menjadikan fiqh waqi’ sebagai alasan untuk melarang orang bukan Islam dari bebas mengamalkan hak agama mereka, seperti penggunaan kalimah Allah adalah salah dari aturan dan ketetapan bagi fiqh waqi’. Lebih parah, dalam penggunaan kalimah Allah, pemberian hak penggunaan terhadap orang bukan Islam itu adalah pemberian Tuhan. Makanya dengan alasan fiqh waqi’ mereka menafikan hak pemberian itu merupakan proses menolak ketetapan Tuhan dengan menggunakan lebel agama. Lebih membawa kerosakan adalah, apabila ada di kalangan mereka golongan yang mencipta dan membangkitkan sentimen kebencian antara Muslim dan bukan-Muslim. Mereka menimbulkan dakwaan-dakwaan yang tidak benar disebalik pemberian kalimah Allah, kemudian mereka halang penggunaan itu dengan alasan fiqh waqi’. Mereka tidak menjanakan usaha untuk memahami konteks Kristian di Malaysia yang begitu rumit dengan cara yang ilmiah dan mendalam. Mereka rasa hanya cukup untuk memainkan sentimen agama. Keluh kesah, cabaran dan kehendak masyarakat Kristian di sini langsung tidak dihiraukan. Jadi adakah hujah dan kesimpulan larangan mereka berdasarkan realiti di Malaysia? Apabila agama dimainkan Hakikat Islam itu adalah rahmat untuk sekalian alam. Islam datang untuk menghapuskan permusuhan, bukan sebagai pencetus kepada huru-hara. Islam juga hadir untuk memberikan hak bagi mereka yang berhak. Hak itu hendaklah diperlihara untuk, dan oleh, seseorang itu bagai tubuh badannya sendiri. Islam menganggap bahawa orang yang bekerja sepanjang masa tanpa diberikan rehat sebagai zalim terhadap badannya. Islam juga menjanjikan syurga kepada mereka yang memberi minum dan makan walaupun kepada seekor anjing sekalipun. Dari situ memang jelaslah Islam menganggap ia sebagai zalim, sudah pasti teramat zalim, jika ada penafian hak bagi masyarakat bukan Muslim di Malaysia, terutamanya dalam kehendak mereka beragama. Sudah pasti orang yang menyebarkab kebencian di kalangan manusia (antara Muslim dan bukan-Muslim; antara Melayu dengan bukan Melayu) adalah tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam. Lebih salah, apabila kezaliman yang dilakukan itu bersulamkan lebel-lebel agama.
]]>Perjanjian antarabangsa tentang Hak-hak Awam dan Politik Antarabangsa (ICCPR): Apa lagi yang masih kita tunggukan?
ICCPR memberi ruang kebebasan untuk kumpulan minoriti agama dan ia akan membenarkan hak kebebasan menukar beragama. ICCPR telah ditandatangani oleh 167 buah negara. Ketika sidang UPR Malaysia pada 24 Oktober lalu, Palestin (sebuah wilayah Islam) telah bertindak menyuarakan pandangan supaya Malaysia segera memeterai perjanjian antarabangsa ini. Tindakan Palestin ini sememangnya terpuji. Selain Palestin, negara lain yang mendesak Malaysia menandatangani ICCPR adalah Slovakia, Ukraine, Belanda, Australia, Hungary, Jepun, Switzerland dan Sierra Leone. Apakah yang ditakuti oleh NGO Muslim dengan ICCPR? Mesir, Jordan, Bahrain, Iraq, Iran, Maghribi, Lubnan, Sudan, Syria, Turki, Algeria, Pakistan, Indonesia, Yaman dan Afghanistan adalah antara negara Islam yang telah menandatangani ICCPR. Antara negara Islam yang tidak menandatangani ICCPR adalah Arab Saudi dan Qatar. Sebagai sebuah negara Islam yang bercita-cita kelihatan moderat di peringkat antarabangsa, keraguan untuk menandatangani ICCPR tidak mencerminkan hasrat wasatiyyah pimpinan negara ini. Apakah yang Malaysia tunggu lagi? Perjanjian ini akan melindungi hak-hak minoriti agama. Ini merupakan satu tindakan paling waras untuk dilakukan oleh Malaysia bagi mengimbangi kepelbagaian agama, dan mazhab yang wujud di negara ini. Sikap angkuh penindas yang menafikan hak kaum marjinal dan terpinggir adalah tidak Islamik dan bertentangan dengan ajaran Islam asal yang dibawa oleh Rasulullah saw. Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad melindungi kaum buruh, pro wanita, menjaga hak minoriti Yahudi, menjalinkan hubungan mesra dengan Nasrani (seperti yang ditunjukkan ketika hijrah pertama ke Habsyah) dan tidak bersifat menghukum. Apabila Rasulullah saw membuka kota Mekah dan menjadi kuasa majoriti, kaum musyrikin yang jatuh menjadi minoriti tidak dikerasi, bahkan diampun. Dua artikel berkaitan iaitu Artikel 18 dan 20 dari Perjanjian Antarabangsa Tentang Hak-Hak Awam dan Politik ini sudah pasti akan dapat menghentikan pemomokan pihak berkuasa agama, khutbah Jumaat sarat kebencian, fenomena media mengarang cerita palsu dan serbuan ganas Jabatan Agama terhadap komuniti Syiah. Malaysia wajar memenuhi tuntutan antarabangsa supaya menghapuskan diskriminasi terhadap penganut agama minoriti.
]]>
Kalimah Allah: Satu sudut pandang Kristian Sarawak
Penjelasan konteks Sememangnya dalam kemelut isu ini terdapat banyak salah faham mengenai keadaan demografik dan budaya masyarakat Kristian Malaysia, terumatanya di Borneo. Disini saya ingin mengambil kesempatan untuk memberi sedikit penjelasan: Umum diketahui, dianggarkan lebih 40 etnik di Sarawak dan 32 etnik di Sabah yang terdiri dalam pelbagai kelompok bangsa, ras dan kaum. Jika ditanya mengenai demografi penduduk agama Kristian di Kepulauan Borneo, jumlah Bumiputera Kristian di Malaysia Timur adalah 1,448,967 orang daripada jumlah keseluruhan Bumiputera Kristian Malaysia yang terdiri daripada 1,549,193 orang. Berdasarkan daripada stastistik tersebut, dapat dinyatakan disini kepelbagaian Bumiputera Kristian berbilang kaum dan etnik juga dipengaruhi dengan kawasan geografik dan kepelbagaian mazhab serta aliran agama Kristian itu sendiri yang turut mempunyai latar belakang sejarah yang pelbagai. Seperti yang diketahui, antara mazhab Kristian yang utama di Malaysia termasuk Roman Katolik, Anglikan, Evangelikal, Baptis, Brethren, gereja berkarisma bebas, Lutheran, Methodis, Presbyterian dan gereja-gereja yang tak ber-denominasi. Tetapi, jika kita perhatikan pada tahap yang lebih lokal di Borneo, demografiknya begitu rumit. Tiada masyarakat Kristian yang “monolitik” yang senang difaham secara pukul rata. Contohnya di Sarawak, penganut Kristian berbeza mengikut kaum serta mazhabnya. Sebagai contoh umum, kaum Bidayuh kebanyakkannya menganut fahaman Roman Katolik dan Anglikan. Kaum orang Ulu (Kayan, Kelabit, Lun Bawang) majoritinya menganut fahaman Evangelikal. Kaum Iban menganuti pelbagai mazhab/aliran Kristian. Kaum Melanau di Sarawak dilihat majoritinya Islam juga mempunyai penganut Kristian aliran Katolik. Begitu juga di Sabah, penganut Kristian dibezakan melalui etnik dan daerah. Contohnya kaum Kadazan-Dusun majoritinya adalah Roman Katolik, kaum Murut pula lebih ke arah evangelikal. Medium bahasa yang digunakan dalam upacara keagamaan Kristian di Sabah dan Sarawak memang pelbagai: secara umumnya ia termasuk Bahasa Inggeris di samping bahasa ibunda etnik / suku masing-masing dan juga Bahasa Malaysia. Akan tetapi, Bahasa Malaysia tetap digunakan lebih kerap kerana ianya bertindak sebagai medium yang menyatu padukan pelbagai etnik, kaum dan mazhab Kristian di Borneo apabila berkumpul dalam satu upacara keagamaan. Membumikan teologi Memang tidak dapat dinafikan bahawa agama Kristian tidak mempunyai kata nama khas yang khusus untuk merujuk kepada nama tuhan bagi menerangkan konsep Trinitas (Trinity) sebagaimana Yahudi mahupun Islam. Justeru, kaedah pembumian agama untuk keadaan tempatan (atau dalam istilah Bahasa Inggeris contextualization ataupun indigenization) digunakan untuk menterjemah istilah ‘Elohim’ dan ‘Adonai’ daripada bahasa Ibrani (Yahudi) dalam Perjanjian Lama, dan istilah ‘Kurios’ dan ‘Theos’ daripada bahasa Yunani dalam Perjanjian Baru yang ada pada Alkitab (Bible) mengikut bahasa ibunda dan bahasa setempat. Pembumian digunakan dalam kajian terjemahan Alkitab berhubung dengan tetapan yang berkaitan dengan budaya masyarakat setempat bagi memahami penggunaan perkataan yang dipinjam daripada Perjanjian Lama bahasa Ibrani dan Perjanjian Baru bahasa Yunani yang merupakan bahasa asal Alkitab. Keputusan yang tidak adil Dari sini kita boleh lihat bahawa larangan untuk penggunaan kalimah Allah di konteks Malaysia timur jelas meminggirkan. Umat Kristian sudah menggunakan kalimah tersebut sekian lama sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia. Bahkan dalam bahasa Iban, pencipta juga digelar ‘Allah Taala’ sebelum kedatangan agama Kristian. Secara mudahnya kita hanya harus merjuk kepada pernyataan berikut dalam 20/18 Perjanjian Malaysia 1963: Perkara 1: Agama “Tiada bantahan terhadap Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia tetapi Borneo Utara/Sarawak sepatutnya tidak mempunyai agama rasmi. Segala bidang kuasa Malaya yang berkaitan dengan Islam tidak patut dikuatkuasakan di Borneo Utara/Sarawak.” Dalam ini, kita juga patut sedar bahawa penganut Kristian Bumiputera di Semenajung Malaysia juga terdiri daripada penduduk asal Orang Asli dan penduduk asal Sabah dan Sarawak yang berhijrah ke sana turut menggunakan bahasa ibunda sebagai medium. Adakah adil larangan ini ke atas akhbar Katolik Herald sekiranya petikan Alkitab, upacara sembahyang dan doa itu dipetik dalam bahasa Malaysia di Semenanjung Malaysia? Keliru? Dakwaaan penggunaan kalimah ‘Allah’ tersebut akan mengelirukan umat Islam adalah tidak benar kerana akhbar tersebut tidak dijual dan diedarkan di luar lingkungan gereja. Pihak gereja juga ingin bersifat defensif bagi memastikan terjemahan Alkitab dan bahasa pertuturan upacara keagamaan dalam Bahasa Malaysia terpelihara daripada perubahan. Akhir, gereja juga ingin memelihara kebebasan nurani penganut Kristian Orang Asli, Sabah dan Sarawak agar bebas menggunakan bahasa ibunda dan bahasa Malaysia dalam kehidupan keagamaan mereka. Dialog untuk pemahaman dan penyelesaian Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan Islam dan Melayu, JAKIM, majlis agama Islam negeri-negeri, mufti-mufti, ahli politik dan kerajaan Persekutuan seharusnya bertindak rasional dalam mengendalikan isu ini agar ianya tidak menjadi satu barah berlanjutan yang akan merosakkan perpaduan antara kaum dan agama. Penjelasan, pengajaran dan dialog adalah jalan terbaik memahami persamaan dan perbezaan antara agama. Akhir kalam, ayuhlah rakyat Malaysia tinggalkan pemikiran jumud dan dangkal mengenai isu ini. Sama-samalah menghayati pegangan agama masing-masing dan hormatilah pegangan agama lain selaras dengan prinsip kebebasan beragama. Sehubungan dengan itu, kita dapat membaiki perpaduan dan kestabilan negara Malaysia ini sebaik mungkin.
]]>Apabila agama dipolitikkan: Cabaran dan penyelesaian
Talibanisme Semasa Taliban memerintah di Afghanistan, banyak keputusan dan tindakan Taliban kelihatan tidak cermat dan tanpa difikirkan kesan buruk disebalik tindakan itu. Antara yang ketara adalah, tindakan Taliban yang meruntuhkan patung Buddha yang didakwa berumur lebih 2 ribu tahun di satu kawasan bernama Bamiyan. Patung itu amat besar, sehinggakan ia sama tinggi dengan bukit di situ. Diberitahu juga, bahawa kawasan Bamiyan sudah tidak ada penganut Buddha tetapi terdapat penduduk yang berfahaman syiah. Taliban telah meletupkan patung tersebut untuk dihancurkan dengan alasan penjagaan aqidah dan memerangi syirik. Tindakan Taliban itu dikritik hebat oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi. Kritikan itu, menjadikan kalangan Pro-Taliban melebelkan Qaradawi sebagai ulama berhala. Dalam kenyataan Al-Qaradawi dalam perkara ini, beliau menyatakan bahawa pada tahun ke 7 hijriah, berlaku Umrah al-Qadha’ bahawa Nabi MUHAMMAD SAW dan para sahabat masih lagi melakukan Tawaf keliling Kaabah dalam keadaan kaabah ketika itu masih dipenuhi dengan patung-patung sembahan orang Quraish. Al-Qaradawi menyatakan lagi, tindakan Taliban itu kelihatan bermusuh dengan Amerika dan Eropah, tetapi tanpa mereka sedar bahawa mereka sudah menjadi punca permusuhan orang Islam dengan orang bukan Islam di Timur. Ekoran kebencian mereka terhadap barat mereka meruntuhkan patung Bamiyan. Kesan dari itu, umat Islam di negara Buddha ditekan dan ditindas atas sentimen yang sama. Ternyata keadaan itu berlaku, sepertimana selepas kejadian runtuhnya patung Bamiyan, kedengaran pembunuhan beramai – ramai terhadap umat Islam di selatan Thailand dan keadaan tidak selesa di kalangan Umat Islam di Vietnam. Fikir kesan Dalam Al-Quran, Allah SWT ada menyatakan, “Jangan kamu cela mereka yang menyembah selain Allah, kerana bimbang mereka akan mencela Allah secara permusuhan dan tanpa ilmu” (Surah al-an’am, ayat 108) Dalam komentar Imam al-Baidhawi terhadap ayat ini, beliau menyatakan, “Pada awalnya, Umat Islam selalu mencela mereka (yang menyembah selain Allah), lalu mereka ditegah supaya (dipihak mangsa celaan) tidak melakukan celaan balas terhadap Allah. Ia menjadi dalil bahawa perkara yang dibenarkan pun pada asalnya, jika boleh membawa kepada maksiat yang pasti, maka ia wajib ditinggalkan, kerana perkara yang membawa kepada kejahatan, ia turut sama dianggap sebagai jahat” (al-Baidhawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, jld 2, hlmn 177) Dalam erti kata yang lain, dalam ayat ini Allah SWT mengajar kepada manusia bahawa sesuatu tindakan yang mahu dilakukan hendaklah diperhatikan juga sudut kesan sampingannya. Jika diperhatikan, seseorang doktor di hospital tidak akan memberikan sesuatu ubat kepada pesakitnya sesuka hati, tetapi difikirkan juga apa implikasi atau kesan sampingan yang bakal berlaku. Politikkan agama Di Malaysia, banyak isu-isu melibatkan hubungan Muslim dan non-muslim menjadi calar ekoran sudut faham agama cukup terkebelakang. Cara faham Islam sebilangan orang Islam di Malaysia tidak berasaskan kepada ilmu, tetapi lebih kepada sentimen dan mainan politik. Sebelum ini, di malaysia pernah di bisingkan dengan isu larangan orang bukan Islam masuk ke masjid dengan alasan bahawa orang bukan Islam tidak mandi junub. Sedangkan dari sudut perbahasan Islam, jika dibaca dalam hadis yang saheh diceritakan ada seorang lelaki yang bernama Sumamah bin Ussal yang tidak beragama Islam telah diikat dalam masjid ekoran ditawan dalam satu peperangan, disamping dalam hukum fiqh, orang bukan Islam tidak akan sah mandi junubnya. (ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 1, hlmn 268) Begitujuga, di Malaysia pernah dibisingkan dengan isu larangan mendoakan kepada orang bukan Islam ekoran seorang pendakwah telah berkhutbah di salah sebuah masjid di Pulau Pinang telah mendoakan kepada Allah agar diberikan hidayah kepada ketua Menteri Negeri tersebut yang tidak beragama Islam. Dari sudut pandang Islamnya, tiada larangan pun perbuatan tersebut. Ini kerana, dalam banyak hadis didapati bahawa Nabi Muhammad SAW mendoakan hidayah kepada Umar bin al-Khattab sebelum beliau memeluk Islam. [sila rujuk Muhammad bin Afifi al-Bajuri, Nurul al-Yaqin Fi Sirah Said al-Mursalin, hlmn 52] Begitujuga doa harapkan hidayah oleh Nabi Muhammad SAW terhadap kaum Taif yang menolak dakwah dan melontarkan kepada Nabi dengan batu. [Sila rujuk Ibn al-Qayyim, Zad al-Maad, jld 3, hlmn 29]. Tanpa kita lupa juga dengan isu larangan orang bukan Islam membaca Al-Quran ekoran seorang ahli politik yang tidak beragama Islam telah membaca satu ayat dari Al-Quran dalam satu ceramah beliau. Walhal, jika dibaca dalam hadis terdapat beberapa kisah yang mempamerkan keizinan orang bukan Islam membaca Al-Quran, seperti Abu Bakar al-Siddiq pernah menyatakan kepada seorang perempuan yahudi yang sedang menjampi Aisyah dengan kata Abu Bakar al-Siddiq, “Jampilah dia dengan membaca kitabullah (Al-Quran)“ [Sila Rujuk Imam Malik, Muwatta’, hadis no : 1982] Jika kita perhatikan balik, semua isu-isu yang dibangkitkan tidak lebih kecuali mahu mewujudkan suasana yang tidak sihat dalam hubungan antara Muslim dan orang bukan Islam di malaysia. Ia tidak menguntungkan dakwah, tetapi lebih kepada mewujudkan suasana yang tidak harmoni. Hubungan Di Malaysia, sudut pandang Islam dalam beberapa perkara, jika dibandingkan dengan cara Nabi Muhammad, pasti kita akan nampak perbedaan yang amat ketara. Terdekat seperti isu penggunaan Kalimah Allah untuk orang bukan Islam, ia menjadi isu yang berpanjangan sehinggakan melibatkan perbicaraan mahkamah. Walhal, jika diperhatikan dari sudut sumber Islam disamping pengamalan di semua negara dan sejak zaman wahyu sehingga sekarang, hanya semenanjung malaysia sahaja yang melarang. Ini gambaran keanehan cara sudut faham Islam di malaysia jika mahu dibandingkan di tempat lain, yang sudah pasti terlalu amat ganjil jika dibandingkan dengan Islam di era keNabian. Melihat kepada itu, tidak hairan implikasi dan kesan yang tertimpa, hubungan Muslim dan orang bukan Islam di malaysia kelihatan seperti tenang di luar, tetapi dari sudut hati kecil wujud seribu satu permusuhan. Ekoran dari itu, mula wujud suara-suara tidak puas hati, hilang keharmonian seperti terbaru kedengaran suara orang bukan Islam yang beragama hindu melarang penyembelihan lembu korban secara terbuka dengan alasan menghormati sensitiviti dan sebagainya. Seharusnya, Islam itu perlu dibahas mengikut nilai, lunas dan ajaran Nabi, bukan dipolitik-kepartiankan atau disentimenkan tanpa ilmu, kerana ia bukan mendatangkan hasil yang baik, sebaliknya keadaan semakin memburuk. Dalam keadaan begitu, di pihak rakan-rakan yang tidak beragama Islam, mereka perlu sedar bahawa tindakan provokasi atas nama Islam itu sebenarnya bukan dari ajaran Islam, tetapi itu adalah sikap sebilangan orang Islam yang tidak bertanggungjawab. Hakikat sebenar, rujukan mereka bukan kepada Islam, tetapi kepada sentimen mereka yang berasaskan kepada hawa nafsu. Namun, lebel Islam di gunakan untuk mempamerkan tindakan mereka seperti benar, walhal Ia tidak benar sama sekali. Tindakan mereka itu, tidak sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Saidina Ali yang pernah berkata, “Kalimah yang benar, tetapi yang dikehendaki adalah kebatilan.” [sila rujuk Ibn Hibban, al-Sirah al-Nabawiyyah wa Akhbar al-Khulafa’, jld 2, hlmn 545) Wallahu alam. Sila hubungi editor@projekdialog.com untuk bibliografi yang lebih lengkap.
]]>