Penterjemahan tidak rasmi “Why I Teach Evolution to Muslim Students” oleh Rana Dajani, terbitan www.nature.com. Diterjemah oleh Yana Rizal.
Mengapa Perlu Mengajar Evolusi?
Menggalakkan pelajar mencabar idea begitu penting untuk memupuk generasi saintis Islam yang bebas berfikir, kata Rana Dajani.
Permasalahan sikap terhadap sains telah diimport ke dalam masyarakat Islam akibat globalisasi dan pemodenan yang pesat – sebagai contoh, penolakan teori evolusi. Namun ia juga merupakan peluang.
Saya mengajar evolusi kepada pelajar-pelajar universiti di Jordan. Hampir kesemua daripada mereka menentang idea tersebut pada mulanya. Guru-guru sekolah mereka barangkali telah mengabaikan atau sekadar menyentuh subjek ini.
Namun, kebanyakan pelajar masih terbuka untuk membincangkan evolusi, dan di akhir kursus ini, majoriti dapat menerimanya.
Jikalau pelajar Islam mampu mencabar idea akademik yang kontroversi sebegini, maka mereka juga boleh menilai aspek-aspek kehidupan mereka dengan mempersoalkan keadaan yang sediakala – dan bukan hanya menerima secara membuta tuli. Kebolehan dan sikap begini adalah penting dalam pembentukan personaliti dan menjadi warga yang bertanggungjawab.
Meyakini Islam & Evolusi
Para pelajar sering terkejut. Saya memakai tudung, maka mereka tahu bahawa saya seorang yang mengamalkan ajaran Islam.
Namun saya bersyarah menyokong evolusi sebagai mekanisme penjelasan tentang kepelbagaian dan perkembangan spesies. Malah mengiktiraf Charles Darwin sebagai saintis yang menyumbang kepada pemahaman kita tentang kemunculan dan kepelbagaian hidupan di bumi. Barangkali sayalah Muslim pertama yang mendukung teori ini kepada mereka.
Sesetengah pelajar mengadu kepada universiti bahawa saya berdakyah menentang Islam. Namun pegawai-pegawai universiti berpuas hati apabila saya menunjukkan bahawa evolusi termasuk dalam subjek buku-buku teks yang telah diluluskan oleh universiti. Apa yang saya ajarkan adalah langsung daripada buku-buku ini.
Saya memuji pelajar yang mengadu atas keberanian pendirian mereka, dan saya bersedia membincangkan kebimbangan mereka bersama-sama.
Di Mana Percanggahannya?
Apabila mengajar, saya berikan penjelasan terperinci evolusi alam tumbuhan dan pembiakan pilihan. Kemudian, kami membincangkan penentangan antibiotik, vaksin influenza dan perkembangan perubatan HIV.
Setelah perbincangan ini, kebanyakan pelajar bersedia untuk menerima evolusi sebagai mekanisme penjelasan pembentukan semua spesies kecuali manusia.
Ramai yang memetik bukti dari Al-Quran yang ditafsirkan bahawa Adam – dan kejadian manusia – diciptakan secara spontan. Evolusi manusia masih topik yang pantang kerana pelajar tidak bersedia untuk melepaskan konsep bahawa manusia diciptakan berbeza.
Saya mengingatkan mereka bahawa Islam memberi amaran tentang keangkuhan, dan manusia hanyalah sebahagian daripada ciptaan.
Sarjana Islam seperti Hussein al-Jisr dan Ahmad Medhat pada tahun 1880-an menyokong evolusi. Sebelum Darwin, al-Jahiz dan lain-lain mencadangkan teori asas evolusi pada abad kesembilan.
Saya menjelaskan bahawa tanggapan kontroversi antara evolusi dan Islam hanya timbul pada abad kedua-puluh, apabila idea-idea Darwin dikaitkan dengan kolonialisme, imperialisme, Barat, ateisme, materialisme dan perkauman.
Ulama Islam mula berpendirian menolak evolusi, dan kemudiannya diikuti awam. Para ulama menggunakan ideologi Kristian tentang penciptaan untuk menyokong pendirian mereka, sekaligus menyerap juga pergelutan antara sains dan agama di Barat kepada Islam.
Sesetengah pelajar berhujah bahawa penerimaan evolusi bermakna penafian kewujudan Tuhan. Saya mengatakan bahawa evolusi tidak membincangkan asal-usul alam semesta. Tiada siapa lagi yang memahami permulaan kejadian.
Bagi saya, permulannya ialah Tuhan. Setelah itu, kaedah-kaedah logik dan sains menerangkan perkembangan alam semesta dan seterusnya.
Mendamaikan Sains & Agama – Ke Arah Kemajuan
Dari pengalaman saya, ramai orang Islam terbuka untuk mempertimbangkan hal ini. Saya telah menemui beberapa saintis Islam yang setuju dengan pendirian saya, namun tidak secara terbuka kerana takut dilabelkan sebagai pencetus masalah.
Sesetengah ulama juga bersetuju, namun ingin mengubah pendapat secara beransur-ansur, supaya tidak terus ditentang sekaligus membantut perkembangan.
Pendapat saya, sebagai seorang saintis Islam, ialah Al-Quran menyuruh manusia untuk memerhati dan merenung hakikat dunia sementara mengejar ilmu. Ia tidak mengesahkan penemuan saintifik. Sains membolehkan kita mempersoalkan dan mengetahui bagaimana dunia berfungsi dan Al-Quran menyediakan panduan moral untuk menghadapinya.
Jika timbulnya percanggahan antara penemuan sains dan tafsiran Al-Quran, maka kita boleh berbalik kepada kedua-duanya, sains (yang berubah dengan kemajuan) dan tafsiran Al-Quran (yang tidaklah sentiasa tepat, kerana ianya penaakulan manusia) sebagai punca perbezaan. Ini adalah proses yang berterusan, dan merupakan sebahagian daripada tujuan kehidupan orang Islam.
Tanggungjawab Pendidik Membuka Minda
Sama ada seorang pelajar menerima konsep evolusi manusia ataupun tidak, bukanlah faktor dalam cara penandaan kertas peperiksaan mereka. Sebagai pendidik, objektif kami ialah membantu pelajar supaya bebas berfikiran sendiri.
Saya tidak mahu pelajar-pelajar menulis bahawa mereka menerima evolusi hanya untuk lulus peperiksaan. Saya ingin mereka memberikan hujah untuk mencapai kesimpulan mereka, walaupun ia akhirnya menolak evolusi manusia.
Jika tidak, maka ianya sama seperti orang-orang yang mengutuk evolusi: memaksa pandangan mereka keatas orang lain.
Matlamat saya ialah untuk mengajar pembentukan metodologi rasional bagi menilai alam semulajadi dan menghasilkan pendapat, hipotesis dan teori sendiri, bukan hanya meniru yang lain.
Ianya seruan untuk cara fikiran yang baru: perjalanan untuk menuntut ilmu, yang merupakan salah satu prinsip asas Islam. Jika kita berjaya dalam usaha ini, maka kita akan menyumbang kepada pembentukan generasi saintis Islam yang bebas berfikir.
[Rana Dajani ialah profesor biologi molekul di Universiti Hashimiah di Zarqa, Jordan, dan merupakan sarjana pelawat di Institut Faraday, Universiti Cambridge, UK.]
Kebangkitan Kapitalisme Islamik di Malaysia
Gambar: Mthago WordPress[/caption]
Kebangkitan Ekonomi Melayu
Perubahan dinamika politik di Malaysia senang dikaitkan dengan identiti kaum dan etnik. Proses pembangunan yang pesat setelah Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada tahun 1969 telah menggalakkan urbanisasi komuniti Melayu dengan pesat.
Selepas tahun 1969, proses penghijrahan komuniti Melayu dari kawasan desa ke kota semakin kerap. Ia mempercepatkan mobiliti sosial di kalangan golongan-golongan tertentu orang Melayu dengan peningkatan peluang pendidikan.
Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia sangat signifikan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB). Mobiliti sosial yang berlaku di dalam komuniti Melayu memperhebatkan lagi dominansi politik identiti dan agama di ruangan awam.
Islamisasi
Kebangkitan Islam di Malaysia wajar dinilai menerusi perkembangan etnik dan agama. Proses Islamisasi kerajaan yang pesat pada tahun 80an dengan pembentukan nilai-nilai Islam dalam masyarakat mendorong apa yang dikatakan sebagai ‘kapitalisme Islamik’.
Proses Islamisasi giat membentuk cara hidup dan pemikiran komuniti Melayu yang berlandaskan ajaran dan nilai Islam.
Kesan ini dapat dilihat dengan gaya pemakaian orang Melayu ; misalnya majoriti orang Melayu mula memakai tudung dan mengenakan jubah. Proses ini membesarkan dualiti identiti Islam dan Melayu, sepertimana diterangkan oleh Dr Chandra Muzafar sebagai ‘dikotomisasi etnik’.
Kesan Islamisasi juga dirasakan dengan berkembangnya industri makanan halal yang semakin pesat. Masyarakat Melayu mula memikirkan soal ‘halal dan haram’ di dalam makanan. Isu penggunaan gelatin yang dikatakan mengandungi unsur babi mula menjadi kerisauan di dalam komuniti Melayu.
Dasar kerajaan turut menggalakkan berkembangnya proses Islamisasi. Badan-badan agama Islam seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jabatan-jabatan Islam negeri diberikan autonomi untuk mengurus-setia industri makanan halal di Malaysia.
Teori Modernisme & Kapitalisme Islam
[caption id="attachment_4587" align="alignleft" width="249"]
Rise of Islamic Capitalism. Gambar: Simon and Schuster[/caption]
Penganalisis politik berketurunan Iran, Vali Nasr menerangkan bahawa proses Islamisasi politik di negara majoriti Islam mendorong kemunculan kelas menengah atasan Islam yang menjadi pelaku politik, ekonomi dan sosial yang sangat berpengaruh.
Di dalam bukunya, “The Rise of Islamic Capitalism” (2009) – Nasr menulis bagaimana golongan menengah atasan Islam berupaya membentuk identiti dan kelas sosial baru berlandaskan ajaran dan nilai-nilai Islam.
Kemunculan golongan kelas menengah baru ini mendukung usaha Islamisasi dari segi budaya, ekonomi dan sosial. Sekitar tahun 80an, industri pembankan Islam menjadi semakin pesat.
Kesannya dapat dilihat menerusi akses terhadap pendidikan. Orientasi pendidikan Islam semakin berkembang dengan lahirnya badan pemikir seperti International Institute of Islamic Thought (IIIT) yang mengumpulkan para pemikir dan professional untuk membincangkan masalah kontemporari umat Islam sejagat.
Modernisme pendidikan yang dimulakan oleh tokoh pembaharuan Islam, Syeikh Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al-Afghani memberikan pengaruh yang besar di dalam pembangunan dan pemodenan Islam.
Mereka melihat peri-pentingnya Islam untuk disesuaikan dengan perkembangan zaman. Modernisasi Islam merupakan satu-satunya alat yang dapat membangkitkan umat Islam daripada kemunduran.
Benih-benihnya di Malaysia
Seperti yang dihujahkan oleh penulis, proses perkembangan sosial di dalam komuniti Melayu sangat terkait dengan identiti kaum dan agama. Maraknya proses Islamisasi turut mendorong gaya kehidupan masyarakat Melayu terutamanya di kawasan bandar-bandar industri seperti Shah Alam, Bangi dan Gombak.
Proses urbanisasi dan modernisasi orang Melayu menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) melahirkan lapisan kelas menengah baru yang mempunyai kekuatan ekonomi, politik dan sosial.
Pembesaran kelas menengah Melayu di Malaysia menggalakkan aktiviti sosial dan kemasyarakatan. Proses ini mendorong lahirnya pertubuhan Islam seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang menjadi pusat aktiviti golongan kelas menengah Melayu dan Islam.
ABIM juga menjadi wadah generasi muda yang memainkan peranan penting sebagai agen sosial yang efektif. Peranan yang dimainkan pertubuhan-pertubuhan Islam di dalam mengerakkan agenda sistem pendidikan bercorak Islam juga merupakan faktor penting kemunculan Kapitalisme Islamik di Malaysia.
Nah, bagaimana ia mendorong munculnya Kapitalisme Islamik?
Golongan kelas menengah Melayu yang menerima pendidikan Islam di dalam dan luar negara membangkitkan kesedaran mereka untuk memimpin agenda ummah. Mereka juga aktor penting di dalam pembawakan wacana Islam dan masyarakat.
Di dalam “Islamic Resurgence in Malaysia” (1988), Chandra Muzaffar menerangkan bagaimana golongan kelas menengah Melayu-Islam ini menguasai pentas politik dengan wacana seputar isu Islam dan Melayu. Kesan Islamisasi juga melahirkan jurang polarisasi di antara kaum dan agama.
Proses Islamisasi yang giat di Malaysia juga didukung oleh pelaku politik seperti Anwar Ibrahim.
Kebangkitan Anwar Ibrahim di dalam arena politik menyebabkan wacana sosial tertumpu kepada isu-isu Islam dan pembangunan. Semasa beliau dilantik menjadi Menteri Pendidikan, Anwar melaksanakan dasar-dasar pendidikan Islam seperti mewajibkan matapelajaran Islam sebagai kurikulum di dalam sistem pendidikan negara.
[caption id="attachment_4585" align="aligncenter" width="721"]
Gambar: Wikimedia.org[/caption]
Dari Penguasaan Politik & Pendidikan ke Kapitalisme Islam
Kelahiran institusi pengajian Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Institut Kemajuan Islam Malaysia (IKIM), serta kemunculan industri perbankan Islam seperti Bank Islam pada tahun 1983 turut menyumbang ke arah giatnya proses Islamisasi di Malaysia.
Idea penubuhan Bank Islam turut tidak terlepas daripada kritikan oleh tokoh-tokoh sosial dan profesional di Malaysia. Almarhum Prof. Syed Husin Alatas mengkritik bahawa idea perbankan Islam tidak ada bezanya dengan sistem perbankan konvensional. Ia cuma Islam pada namanya.
Begitu juga kritikan pakar ekonomi, Abdul Razzaq-Lubis yang mendakwa Bank Islam menggunakan amalan riba’ di dalam unsur perbankan. Maka, penubuhan Bank Islam itu tidak Islamik.
Perkembangan industri makanan halal turut mendorong proses kapitalisme Islamik. Industri makanan halal kini merupakan bahan komoditi penting di dalam urusan perdagangan domestik dan antarabangsa.
Agenda kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama industri halal mendorong pertumbuhan pemain industri halal di Malaysia.
Ia turut mendorong aktiviti perdagangan secara aktif semenjak dua dekad lalu. Jumlah perdagangan membabitkan industri makanan halal turut menyumbang hampir 14 bilion daripada jumlah perdagangan di dalam dan luar negara.
Kemunculan kapitalisme Islamik di Malaysia merupakan akibat daripada proses Islamisasi yang giat berlaku di Malaysia.
Ia tidak bermaksud bahawa ‘Kapitalisme Islamik’ membawa konotasi yang negatif, tetapi penulis cuba untuk mengaitkan bagaimana proses Islamisasi mendorong pembangunan berlandaskan ajaran Islam, sekaligus memarakkan proses kapitalisme yang Islamik.
Perlunya Wanita Bersuara
Mitos Pemerintahan Khalifah
Terjemahan “The Myth of the Caliphate“, tulisan Nick Danforth yang diterbitkan oleh Foreign Affairs pada 19 November 2014. Diterjemahkan oleh Yana Rizal.
Sejarah Politik Sebuah Idea
Pada tahun 1924, pemimpin Turki Kemal Ataturk secara rasmi memansuhkan khilafah Uthmaniyyah.
Hari ini, kebanyakan perbincangan Barat tentang ISIS bermula dengan merujuk peristiwa ini kononnya sebagai satu titik perubahan besar dalam sejarah Islam. Beberapa Islamis kontemporari juga sama pemikirannya.
Misalnya, ada sebab mengapa Lion Cub, penerbitan bahan kanak-kanak Ikhwan Muslimin, pernah beberapa kali menganugerahkan Ataturk, si “pengkhianat Yahudi”, tempat pertama dalam pertandingan “Kenalilah Musuh Agama Anda”.
Walaupun Islamis hari ini merujuk kepada pemerintahan Uthmaniyyah, namun sebahagian besar daripada mereka lebih tertumpu kepada usaha mewujudkan semula khilafah-khilafah sebelumnya:
- Era keempat-empat Khulafa Ar-Rasyidin, yang memerintah sebaik selepas kewafatan Muhammad pada abad ketujuh, contohnya, atau
- Khilafah Abbasiyah, yang wujud dalam berbagai bentuk dari abad kesembilan hingga ketiga belas (sebelum dimansuhkan secara rasmi oleh puak Mongol)






Al-Quran Percuma dan 'Anticipatory Bail'
Al-Quran terjemahan pelbagai bahasa ada di seluruh dunia.[/caption]
Program One Soul One Quran di bawah Yayasan Maklumat dan Khidmat Islamik (IIS) dilancarkan pada Januari 2015 kononnya dalam usaha “membantu menangani masalah salah faham mengenai mesej Al-Quran dan ajaran Islam sebenar.”
Menurut pengarah projek, Sabariah Abdullah, pengedaran Al-Quran terjemahan dalam Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin kepada orang awam Bukan Islam dilaksanakan selama empat setengah bulan, iaitu sehingga Jun 2019, dan melibatkan anggaran perbelanjaan mencecah RM11.5 juta.
Secara paling mudah dan spontan, saya suka menyarankan supaya wang sebanyak itu dimanfaatkan untuk membimbing serta memulihkan insan-insan sesat seperti Ridhuan Tee Abdullah, Perkasa dan ISMA supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Hal ini penting kerana segala usaha “membantu menangani masalah salah faham mengenai mesej Al-Quran dan ajaran Islam sebenar” terhalang dan musnah akibat dakyah serta kempen anti-dakwah yang dilakukan secara sedar atau tidak sedar oleh puak fanatik, etnosentrik, ultra kiasu dan pelampau seperti mereka. Kalaulah “pembetulan” dan “pemulihan” dapatkan dilakukan pada peringkat akar umbi dan pada puncanya sendiri, maka tidak timbul masalah orang Bukan Islam salah anggap terhadap ajaran Islam. Secara mudah, mana mungkin masyarakat awam mendapat gambaran positif dan sebenar mengenai kesucian dan kehebatan Islam selagi wujud manusia seperti Ridhuan Tee serta orang-orang kuat dalam ISMA, Perkasa dan sekutunya? Dalam pada itu, walaupun sudah beberapa bulan sejak projek penyebaran dan pengedaran Al-Quran dimulakan, nampaknya pihak berkenaan masih teraba-raba dalam kegelapan. Perkembangan ini membuktikan bahawa seperti biasa, kita hanya pandai melancarkan sesuatu tanpa perancangan teliti. Apatah lagi dalam perkara melibatkan isu-isu sensitif berkaitan agama dan kitab agama. Ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara mudah memberikan penyelesaian bahawa “penganut Bukan Islam boleh memulangkan semula salinan Al-Quran yang diberikan” jika tidak berminat untuk menerimanya. Ketahui Punca Al-Quran Percuma Ditolak Soalan pertama: Apa perlunya orang Bukan Islam terbabit menerima kitab berkenaan jika mereka memang tidak berminat untuk memiliki dan membacanya? Mengapa mereka perlu menanggung beban memulangkannya semula? Soalan kedua: Kepada siapakah kitab itu perlu dipulangkan? Kepada pengedar di tepi jalan, ke masjid atau kepada jiran-tetangga beragama Islam? Bayangkan reaksi jiran beragama Islam jika orang Bukan Islam menyerahkan Al-Quran kepadanya! Nescaya disangka ada muslihat menyebarkan agama lain kepada mereka! Timbul pula isu kerana dalam insiden pengedaran Al-Quran yang dilaporkan oleh Young Buddhist Association of Malaysia berlaku di sekitar Klang, baru-baru ini, tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab. Jadi, kepada siapa mahu dipulangkan kitab berkenaan jika orang Bukan Islam tidak mahu memilikinya? Tidak ada pihak yang mengaku mengedarkannya. Maka, apakah mahu dibuang ke dalam laut, sungai, tong sampah, atau dibakar sahaja? Demikian antara persoalan dan kebimbangan yang diluahkan oleh rakan-rakan menerusi mesej peribadi kepada saya berikutan penyiaran makalah bertajuk “Kenapa Bukan Islam Menolak Al-Quran Percuma?” (Kuala Lumpur Post, 5 Mac 2015). Walaupun saya secara peribadi tidak bermasalah – malah mengalu-alukan – menerima sumbangan Al-Quran versi Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil dan Mandarin, saya juga tetap memahami kebimbangan yang diluahkan oleh orang ramai dalam isu ini. Bantahan dan kebimbangan pihak-pihak seperti Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST), Malaysia Hindu Sangam (MHS) dan Young Buddhist Association of Malaysia memang sangat berasas. Saya memahami pendirian mereka. Walaupun Perkara 3 dalam Perlembagaan memberikan jaminan agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai di seluruh negara, badan-badan agama serta penganut Bukan Islam sedar bahawa mereka tidak terlepas atau bebas daripada dakwah Islam dalam pelbagai cara. Saya percaya atas alasan itulah juga MCCBCHST menyeru penduduk Bukan Islam supaya tidak menerima Al-Quran yang diedarkan kerana dibimbangi “bakal menggugat kepercayaan penganut bukan Muslim.” Dalam hal ini, tentu sahaja “jaminan” yang diberikan oleh ahli jawatankuasa Biro Tarbiyyah ISMA, Mohd Azizie Hasan bahawa “tidak timbul langsung isu untuk memaksa orang bukan Islam memeluk Islam” tidak sedikit pun membantu menjernihkan keadaan. Antara Prejudis dan Niat Tersembunyi Saya secara peribadi tidak percaya pada “jaminan” ISMA. Hal ini adalah kerana apabila saya menyatakan bahawa Nabi Muhammad adalah satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi, ISMA terus “menyeru” saya masuk Islam (IsmaWeb, 19 Julai 2013). Maka, apabila orang Bukan Islam menerima Al-Quran yang diedarkan secara percuma, menelitinya dengan niat murni, lalu menyatakan kekaguman terhadap nilai-nilai liberal yang terkandung dalam Islam, pasti ISMA dan sekutunya akan segera memaksa (“menyeru”) individu terbabit terus masuk Islam. Berdasarkan alasan seperti ini serta pengalaman saya sendiri sejak kanak-kanak, maka saya amat memahami kebimbangan yang diluahkan oleh pertubuhan dan individu Bukan Islam. Seperti ditegaskan MCCBCHST, Perkara 11 (4) sepatutnya digunakan sebagai pelindung penganut Islam, tetapi tidak boleh digunakan untuk menyebarkan Islam kepada orang Bukan Islam. Sekiranya itulah “niat tersembunyi” – seperti diyakini rata-rata orang Bukan Islam yang menghubungi saya – maka wajarlah mereka berhati-hati (bukan “prejudis”) demi mempertahankan agama sendiri mengikut peruntukan sah dalam Perlembagaan. Tambahan pula, pengarah Islamic Renaissance Front (IRF), Dr Ahmad Farouk Musa dilaporkan berkata, “pilihan masih di tangan individu bukan Islam sama ada untuk menerima kitab Al-Quran terjemahan itu atau tidak.” Kenyataan ini juga membuktikan bahawa pertubuhan dan individu Bukan Islam berhak untuk awal-awal lagi membuat kenyataan rasmi – semacam mendapatkan anticipatory bail dalam filem Tamil – bagi mengelakkan sebarang kerumitan, kesukaran dan masalah yang mungkin timbul pada kemudian hari. Bak kata pepatah Melayu: Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Maka, saya tidak nampak apa-apa alasan untuk mengkritik, menidakkan atau menghina pendirian badan-badan seperti MCCBCHST dan MHS. Mereka berhak untuk berkata “Thanks, but no thanks” sejak awal sebelum sejuta naskhah Al-Quran percuma diedarkan kepada orang awam Bukan Islam. Saya pula gembira menerima senaskhah The Holy Quran daripada rakan-rakan dari Jemaat Ahmadiyyah Muslim Malaysia. Versi ini agak membantu kerana mengekalkan teks Arab serta diberikan terjemahan Inggeris dan ulasan ringkas. Cadangan dan Saranan Rakan-rakan Dalam pada itu, saya masih tertunggu-tunggu pihak IIS menyumbangkan Al-Quran dalam keempat-empat bahasa sebagai rujukan peribadi dan koleksi di perpustakaan mini Rumah Kavyan yang merupakan pusat aktiviti bahasa, sastera, kebajikan, seni dan budaya. Seorang guru dari Jelebu, Negeri Sembilan, Jazilah Ramly, bersetuju dengan cadangan saya supaya Al-Quran yang diterjemahkan itu diedarkan ke perpustakaan awam dan desa di seluruh negara. Maka, sesiapa yang berminat boleh membacanya tanpa sekatan atau paksaan. Tambahan pula, Al-Quran memang sudah diterjemahkan ke pelbagai bahasa seluruh dunia. Malaysia bukan negara pertama yang melakukannya. “Mungkin pengedarannya boleh diluaskan kepada pertubuhan atau persatuan agama-agama Bukan Islam di seluruh negara. Ini langkah lebih baik untuk membantu usaha mengenali Al-Quran seperti diharapkan,” katanya. Jazilah juga bersetuju bahawa langkah “mengenali” agama haruslah berciri dua hala. Beliau mengaku memiliki beberapa buah Bible dalam versi Bahasa Malaysia dan Inggeris. “Saya sendiri sangat ingin memiliki bahan bacaan berkaitan agama-agama lain daripada sumber agama itu sendiri, seperti agama Sikh, Hindu dan Buddha,” katanya. Walaupun memang ada banyak buku mengenai agama-agama Bukan Islam yang ditulis dari kaca mata Islam, tentulah lebih baik dan afdal jika versi dari kaca mata agama asal itu sendiri dibaca untuk meningkatkan pemahaman. Sekurang-kurangnya boleh mengelakkan sebarang bentuk manipulasi fakta dan kandungan kitab suci seperti yang khabarnya sering dilakukan orang-orang seperti Zakir Naik. [caption id="attachment_4537" align="alignleft" width="225"]


Islam yang mana satu?
temptations of power’. Pengalaman Islam di dalam politik adalah pertembungan Islam dengan kekuasaan.
Islam-politik atau sering disebut “Political Islam” menekankan kepentingan hukum syariah dan kewujudan negara agama (Islamic state). Ia menembus masuk ke dalam ruang awam dan membicarakan tentang kepentingan semua warganegara.
Kuasa politik Islam merupakan sebahagian daripada orde politik yang signifikan di dalam dunia harini.
Kemunculan ekstremisme pemikiran selalu dikaitkan dengan ‘politik Islam’. Ini menyebabkan ramai penganalisis berpendapat bahawa Islam merupakan faktor yang penting di dalam perkembangan dunia politik masakini.
Namun, saya memilih untuk berbeza pendirian. Matlamat semua agama adalah untuk menciptakan kebaikan buat umat manusia. Dan Islam tidak terkecuali. Kekuatan Islam bukan terletak pada sandaran ideologi. Sebaliknya Islam menekankan nilai-nilai spiritualiti.
Politik sebagai agama?
Pengalaman ‘politik sebagai agama’ atau ‘agama sebagai politik’ adalah percubaan untuk menerapkan pemahaman agama sebagai kuasa. Begitu juga apa yang kita sebut sebagai ‘political Islam’. Ia adalah wajah ‘Islam sebagai kuasa’.
Islam adalah agama yang berdiri dengan kekuatan ‘masyarakat nilai’ (value-based society). Islam hanya akan berjaya apabila ia difahami sebagai agama yang menzahirkan kerohanian dan ketenangan jiwa.
Pengkaji Michael Hart yang memilih Nabi Muhammad sebagai tokoh dunia yang paling berpengaruh meletakkan asas pemikiran Muhammad pada tiga nilai; politik, agama dan spiritualiti.
Kajian ini dikatakan sebagai kajian personaliti tokoh yang paling komprehensif.
Soalnya bukan Nabi Muhammad yang paling berpengaruh atau tidak. Tetapi, ia tentang pencapaian seorang manusia bernama Muhammad yang mengangkat darjat kemanusiaan di tahap yang sangat tinggi dalam sejarah manusia.
Tampaknya, sebahagian daripada kita yang mengaku “umat Muhammad” inilah yang sedang merendahkan darjat seorang manusia pada harini. Kerana perbezaan, kita membunuh dan mencederakan.
Pencapaian Muhammad adalah intipati untuk diri kita sendiri.
Pernahkah kita terfikir apakah “Islam” masakini adalah “Islam” yang diajarkan oleh Muhammad atau “Islam” yang direka-reka untuk kepentingan individu?
Soalnya berbalik kepada kita untuk memilih versi yang mana satu ; samada Islam yang mengajarkan rahmat dan kasih sayang atau Islam yang mengajar kita untuk membenci dan menyakiti.
Islam dan Islamisme
Islam berbeza dengan Islamisme. Islam adalah cara hidup. Manakala Islamisme pula ideologi politik yang mengikat Islam dan kekuasaan melalui jalan politik. Muslim tidak semestinya berfahaman Islamis. Mereka mungkin sekular, demokrat atau nasionalis!
Seorang Muslim mungkin sahaja seorang demokrat, liberal, konservatif mahupun progresif. Tetapi, seorang Islamis itu semestinya seorang Muslim.
Nah, apa yang membezakan Islam dan Islamisme?
Di dalam buku ‘Islam and Islamism‘, Bassam Tibi menegaskan bahawa perbezaan Islam dan Islamisme terletak pada penzahiran budaya, nilai hidup dan warisan.
Seorang yang taat dengan ajaran Islam belum tentu seorang Islamis. Islamisme adalah gerakan khusus yang bersifat politikal.
Islam pula tidak semestinya politikal. Islam boleh berperanan sebagai alat kebudayaan dan keruhanian. Istilah yang selalu digunakan ialah ‘Islam Sufi.’
Islam mempunyai keunikan menerusi amalan ibadah dan ritual keagamaan. Seorang muslim mungkin sahaja apolitikal. Tetapi mereka tetap berpegang teguh dengan ajaran agama.
Islamis pula adalah mereka yang berfikiran bahawa hukum/syariat Islam harus ditegakkan melalui jalan politik.
Yang membezakan Islam dan Islamisme adalah Islam sebagai ‘spiritualiti’ manakala Islamisme adalah Islam sebagai ideologi.
Islamis pula mungkin sahaja fundamentalis dan konservatif. Moderat mahupun progresif. Pro kebebasan atau anti-kebebasan. Ia terpulang kepada cara bagaimana golongan Islamis menempatkan fahaman mereka di dalam pergelutan politik dan kekuasaan.
Kita tidak boleh melambakkan pemikiran bahawa Islam dan Islamisme itu dengan kesimpulan bahawa ia anti demokrasi dan pro-keganasan.
Pada masa yang sama, kita tidak pula meletakkan klaim bahawa Islam itu liberal atau demokratik. Islam itu sendiri ditafsirkan berbeza-beza menurut mazhab dan jemaah.
Pemahaman terhadap Islam itu juga bergantung dengan cara fikir masing-masing. ‘Islam’ yang baik pada kita, belum tentu baik untuk orang lain. ‘Islam’ yang benar bagi orang lain juga belum tentu benar di mata kita.
Tetapi yang pasti, Islam mengajarkan umatnya untuk menggunakan akal. Akal yang mengajar kita untuk menjadi baik atau buruk. Maka, “Islam” dan “Akal” merupakan kesinambungan umat Islam supaya maju dan rasional.
Islam politik vs Islam spiritual
Kita harus faham bahawa ‘Islam sebagai cara hidup’ barangkali berbeza dengan ‘Islam sebagai ideologi politik’.
Sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu sifatnya, pemikirannya dan gaya hidupnya berbeza-beza. Kita tidak boleh menganggap Islam dan Islamisme itu sama dan muktamad. Noktah.
Bagi saya ; jika kita percaya bahawa Islam itu adalah ‘rahmatan fil alamin'(rahmat buat sekelian alam) — kita harus setuju bahawa perbezaan dan pluraliti itu adalah rahmat buat Islam. Jarang sekali kita mengakui hakikat bahawa perbedaan adalah peluang untuk kita saling belajar dan mengenali satu sama lain.
Islam adalah agama yang membuka ruang terhadap pentafsiran dan penalaran terhadap wacana. Barangkali ‘perbezaan’ di dalam sejarah Islam adalah sesuatu perkara yang biasa. Islam juga agama bermazhab – dicorakkan mengikut budaya dan amalan setempat.
Islam meraikan perbedaan berfikir dan budaya. Namun, akhirnya terpulang kepada kita (diri sendiri) untuk mencorakkan versi “Islam” yang bagaimana dan macam mana!
Ada apa dengan “Kafir”?
Bulan lepas, saya menghikayatkan pengalaman saya mengikuti misi banjir ke negeri Pahang.
Secara sempoi dan separa berseloroh, perkataan “kafir” digunakan. Maklumbalas yang diterima cukup galak, tetapi bukan semuanya menggalakkan.
Ramai juga yang rata-rata tidak membaca makalah itu secara keseluruhan, tetapi terus diterangkan panjang lebar- betapa salahnya dan betapa tak sensitifnya penulis menggunakan istilah laknat itu. Sedangkan perkataan sensitif itu hanya digunakan sekali dalam keseluruhan artikel tersebut.
Maka saya pun terasa terpanggil untuk menulis makalah kedua ini, bukan sebagai bidasan, tapi lebih kepada memberi konteks sepenuhnya, pemahaman terhad saya dengan istilah “Kafir”.
Terlebih dahulu, izinkan saya memohon maaf jika ada yang terkilan dengan penggunaan istilah tersebut.
Tujuan makalah terdahulu adalah untuk menggalakkan persefahaman Kristian-Islam, malangnya pembaca dari kalangan kedua komuniti itulah yang tidak senang dengan istilah tersebut.
Rata-rata segelintir pembaca beragama Islam mempersoalkan apakah saya benar-benar faham akan istilah tersebut, manakala rakan mereka yang beragama Kristian merasakan penulis sengaja sama ada ingin melaga-lagakan Islam-Kristian ataupun memandang enteng agama sendiri.
Kafir, Gentile, Goyim
Istilah “kafir” dan setara dengannya bukan unik kepada penganut agama Islam semata-mata. Lazimnya, agama-agama Abrahamik sememangnya sering membezakan antara penganut agama sendiri yang akan selamat di akhirat, dengan penganut agama lain yang nasibnya tidak begitu terjamin setelah hayat meninggalkan jasad.
Pembezaan ini bukan sahaja disebut dalam teks agama masing-masing, malah termasuk upacara keagamaan,perbincangan agama, doa, ilmiah,dialog perbandingan agama malah juga tertib sosial apabila berurusan dengan golongan bukan dari agama sendiri tadi.
Sebagai contoh, orang Kristian ada beberapa istilah sendiri yang digunakan- seperti Gentile, Pagan, nonbeliever, yang juga digunakan bersilih ganti dengan cara yang agak serupa sepertimana “kafir” digunakan oleh saudara beragama Islam.
Sungguhpun tidak sejelas yang dinyatakan dalam agama Islam, di mana ia dirujuk dalam Al-Quran sebanyak 134 kali, lengkap dengan huraian dan maksud tersendiri, malahan juga dirujuk dalam sunnah dan rujukan agama lain seperti Tafsir ibn Kathir,di mana istilah tersebut dijelaskan agak mendalam, kitab agama Kristian sendiri ada memberi bayangan konotasi perkataan Gentile yang dipakai.
Bergantung pada jenis kitab yang digunapakai,perkataan Gentile muncul antara 123 hingga 168 kali di dalam Bible.
Menariknya, sebelum kedatangan Yesus, istilah Gentile (sinonim dengan “Goy” atau “Goyim” yang digunakan agama Yahudi) dalam pengunaan Old Testament, membawa konteks “negara luar” atau “dunia”.
Namun untuk membuat kesimpulan bahawa konotasi negatif atau kurang enak yang dikaitkan dengan istilah Gentile cuma bermula setelah kedatangan Yesus, adalah agak simplistik.
Mungkin lebih sesuai dikatakan pemahaman atau erti kata perkataan itu sendiri telah berubah mengikut masa. Ada yang menganggap pengunaan itu sebagai pengunaan biasa zaman tersebut.
Ada yang menganggap ia biadap. Ada yang menganggap kita tidak patut mempersoalkan sesuatu yang telah diturunkan oleh Tuhan.Sedihnya,pendapat terakhir tadi tidak meninggalkan banyak ruang bicara.
Niat disebalik penggunaan istilah
Sememangnya, setiap agama akan mengajar kita suatu jalan untuk diikuti, namun bagi penulis, penghayatan semangat apa yang diajar tadi lebih penting dari penerimaan terang-terangan apa yang diajar.
Bagi penulis, itulah yang dibawa oleh pengunaan perkataan yang dianggap kurang enak seperti ‘kafir’ atau Pagan atau apa-apa istilah positif atau negatif yang dibawa mana-mana agama.
Sejelas atau sekabur mana pun penjelasan, pada saya, bergantung hampir sepenuhnya kepada si pendengar untuk menerima atau menolaknya sebagai pujian mahupun cacian ataupun istilah harian.
Sesuatu perkataan hanya mempunyai kuasa mempengaruhi kita jika kita membenarkan perkataan itu menguasai kita.
Jadi bagi penulis ini, “kafir”, hanya satu istilah harian yang tidak patut dianggap terlalu negatif oleh orang bukan Islam. Tapi itu hanyalah sekadar pendapat penulis.
Identiti, pendidikan dan teknologi: wawancara bersama Prof. Ebrahim Moosa (Bahagian 2)
Bahagian kedua penterjemahan temubual BFM Night School bersama Professor Ebrahim Moosa, ahli fikir Islam terkemuka masakini. Dicatat dan diterjemah oleh Hamizah Hanan. (Klik link ini untuk bahagian pertama perbincangan.) F.R: Saya bersetuju apabila prof menyebut tentang terdapat suatu masa di mana sikap optimistik itu seolah-olah diharamkan. Terutamanya apabila ada warga Malaysia sanggup untuk bersama dalam usaha yang jarang dilakukan untuk merapatkan jurang antara Islam dan moderniti. Sehinggakan ianya telah terhalang dan berubah arah ke suatu jalan yang tiada siapa ingin lalui. Terutamanya sekarang ini, dengan pimpinan negara sepertimana yang Prof sebutkan adalah dalam keadaan yang sangat merisaukan. Saya ingin menyimpulkan diskusi ini dengan perbincangan tentang pendidikan dan perundangan bersama buku tulisan Prof yang bakal diterbitkan pada bulan Mac tidak lama lagi iaitu berkenaan dengan Madrasah. Betul? Tajuk penuhnya apa ya? E.M: ‘What Is a Madrasa?’ F.R: Saya fikir Muslim zaman ini terutamanya yang berada di persimpangan perjalanan yang kompleks dan moden ini tertanya-tanya. Apakah cara yang terbaik untuk kita mendidik generasi Muslim yang baru? Terutamanya mereka yang celik media dan bersikap sentiasa ingin mencuba serta lebih banyak terdedah kepada permasalahan yang rumit. Selain itu sekarang ini, Prof juga boleh perhatikan bahawa terdapat banyak sekolah agama swasta yang dibina dan banyak aduan dibuat tentang kerisauan para ibu bapa berkenaan adakah pendidikan Islam yang terdapat dalam kurikulum kebangsaan ini adalah betul-betul menepati piawaian Islamik atau tidak dan sebagainya. Apa pandangan umum yang boleh Prof kongsikan daripada pengalaman Prof sendiri mempelajari dan mengkaji bidang pendidikan agama Islam ini? E.M: Buat pengetahuan kamu, apa yang kebanyakan orang maksudkan sebagai Islamik adalah mereka fikir ianya mesti mempunyai pelbagai pengkhususan tertentu dan ianya sangatlah kaku. Sedangkan itu bukanlah Islamik. Islamik adalah kecemerlangan dan kecemerlangan adalah Islamik. Dalam suatu kisah nabi yang terkenal di mana beliau ditanyakan tentang ‘apa itu ihsan?’. Kemudiannya, beliau menjawab Ihsan adalah sebuah perkataan yang memberi maksud kecantikan dan kecemerlangan. Ia membawa maksud sesuatu yang cantik dan mempunyai pengertian yang tertentu iaitu kesempurnaan. Jadi pada masa itu, nabi telah ditanya apakah pengertian Islam, iman dan ihsan. Nabi juga menjawab dengan cara, ihsan itu adalah apabila kamu menyembah Tuhan seolah-olah kamu melihatnya serta kamu juga mengetahui bahawa Tuhan melihat kamu. Inilah yang dikatakan dengan intipati kecantikan dan kecemerlangan. Ihsan, Islam dan syariah, teras utamanya adalah makarimul akhlak iaitu pembangunan peribadi. Sistem pendidikan menjadikan anda berfikir bahawa anda lebih baik daripada yang lain. Sistem pendidikan sebegini tidak mengajar kita tentang nilai kemanusiaan yang perlu ditekankan untuk mencipta kecemerlangan dalam pembentukan peribadi seseorang. Ianya sangat bertentangan. Sistem pendidikan tidak menerapkan rasa cinta akan ilmu pengetahuan, tidak menerapkan semangat untuk memahami bahawa ilmu pengetahuan adalah sebuah barang yang telah hilang bagi individu yang beriman. Sesiapa yang menjumpainya, dialah yang paling berhak menggunakannya. Apa yang dimaksudkan dengan Islam adalah berkaitan dengan kajian, percubaan dan eksperimen. Cuba anda fikirkan bagaimana orang Arab padang pasir, bila mana mereka meninggalkan semenanjung Arab, keluarga mereka, Iraq dan Syria? Anda fikirkan, agaknya bagaimana mereka berhadapan dengan legasi Byzantine dan legasi Parsi? Mereka tidak hanya berkata-kata untuk kekal dengan sejarah Mekah dan Madinah sahaja. Malah, mereka cuba meneroka dan mempelajari ilmu pengetahuan yang baru. Dan orang-orang Muslim ini bersungguh-sungguh. Mereka berusaha untuk mencapai kecemerlangan. Orang Parsi menulis tatabahasa Arab, dan ada yang menulis berkenaan falsafah. Al-kindi merupakan ahli falsafah Arab yang pertama. Banyak pusat-pusat intelektual terbentuk pada waktu itu. Semuanya berkaitan dengan eksperimen atau percubaan. Tiada siapa yang berkata ‘Ok, anda perlu berhati-hati sebelum mempelajarinya’. Anda yang menggunakan ilmu pengetahuan tersebut dan anda boleh meletakkan tepi perkara-perkara yang dirasakan tidak dapat diselesaikan atau tidak membantu. Tetapi yang penting adalah, anda tidak perlu berasa takut dengan ilmu pengetahuan. Jadi, apa yang saya fikirkan berlaku bukan sahaja di Malaysia, malahan di banyak tempat di dunia adalah berkenaan pertumbuhan pusat pendidikan swasta. Sering kali, pusat pendidikan swasta ini digunakan sebagai suatu jalan untuk melepaskan diri daripada sistem persekolahan awam semasa. Mereka mungkin berfikir bahawa sekolah awam boleh membahayakan atau terdedah dengan pelbagai adat serta budaya dan bagi mereka, mereka ingin mengekalkan tradisi Islam yang sebenar. Jadinya, mereka bina sekolah swasta. Sebahagian daripda sekolah agama awam ini adalah sangat bagus. Mereka mempunyai pelbagai pengalaman dan telah membuat kajian yang banyak. Bila mana mereka menekankan tentang pembentukan identiti, mereka sedar bahawa ini bukanlah matlamat sekolah, tetapi ini adalah berkenaan dengan ilmu pengetahuan. Sedikit sebanyak mereka telah berubah dan melahirkan pelajar-pelajar yang sangat bagus dan cemerlang. Sekolah agama awam yang dikatakan teruk itulah sekolah yang mahu untuk menyumbang kepada pembinaan jati diri pelajar mereka. pendidikan adalah berkenaan dengan pembangunan minda dan pemurnian jiwa. F.R: Apa pula reaksi prof kepada yang mengatakan bahawa permasalahan asal bukanlah pada sistem pendidikan itu sendiri. Tetapi, mentaliti dan pemilihan dalam berfikir itu sendiri yang merasakan perasaan tidak selamat yang semakin berkembang dan bermutasi di sebabkan oleh imperialisme, budaya dan ketenteraan. Terutamanya di kawasan Asia Selatan contohnya, di mana mereka sering berhadapan dengan permasalahan ini. Ini adalah suatu yang amat memalukan kita semua. E.M: Penjajahan ketenteraan adalah suatu masalah. Kita perlu sentiasa melawan, menentang dan sebagainya. Tetapi kita harus buang yang keruh dan ambil yang jernih. Jadi, jika pihak penjajah berbahasa Inggeris, adakah kita mahu menggunakan bahasa yang lain? Semestinya tidak. Kita perlu menggunakan bahasa Inggeris supaya kita mampu berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik. Ini adalah halangan sementara. Jangan kita terlibat dalam suatu perbalahan atau dendam yang akan meyakitkan diri kita lebih daripada ianya menyakiti orang lain. Kadang kala sesetengah orang mengambil pandangan yang sangat epik daripada sisi pandang yang amat sempit dan berkata ‘kita akan melawan perkara ini habis-habisan.’ Tanpa menyedari bahawa sebahagian daripadanya adalah penjajahan budaya. Cuba perhatikan, sebelum berlakunya perubahan globalisasi secara keseluruhan, waktu itu masih terdapat pusat penyebaran berita utama. Hari ini, itu semua sudah tiada. Kita berada pada era globalisasi teknologi, bermakna anda mempunyai iPad, iPhone, Twitter dan mempunyai capaian kepada internet dan sebagainya. Tidak ada penyampaian berita utama secara berpusat. Jadi, jika anda berfikir untuk melakukan hegemoni dan penjajahan budaya, ianya sukar untuk berjaya. Pimpinan persekutuan yang melakukan penyebaran propaganda akan menjadi kurang berkesan sepertmana yang berlaku semasa kebangkitan Arab. Di mana rakyatnya membaca Twitter dan media sosial yang lain. Jadi bagi saya, ianya suatu perkara yang dibesar-besarkan. Isunya adalah, adakah kita mahu melahirkan manusia yang berbakat? Yang akan menjadi aset kepada umat manusia. Ataupun kita hanya ingin menghasilkan manusia yang akan berkhidmat kepada kawasan perumahan mereka sahaja? Atau manusia yang hanya tahu 2 blok sekitar rumah mereka sahaja? Mereka ini tidak akan berkembang maju di dunia. Ini kesan jangka pendek daripada sudut ekonomi. Daripada pandangan sosial pula, adakah kita mahu melahirkan manusia yang berkeyakinan? Perasaan tidak selamat adalah disebabkan oleh kurangnya keyakinan dalam diri dan ini adalah disebabkan oleh kurangnya ilmu pengetahuan. Sebaik sahaja anda terdedah kepada kerumitan dan kompleksiti dunia, anda akan membina keyakinan diri pada masa yang sama. Salah satu masalah utama yang saya dapati dalam kalangan belia Islam adalah kurangnya keyakinan diri, ketidak upayaan untuk menyatakan diri mereka dengan jelas, tidak mampu untuk berkomunikasi dengan baik dan banyak lagi. Bila pulang ke rumah keluarga nanti, cuba anda bercakap dengan anak-anak anda. Mereka hanya akan memberikan jawapan yang berbentuk monosilibus (satu patah perkataan) sahaja kerana mereka sentiasa menggunakan Twitter dan melayari internet hampir sepanjang masa. Mereka tahu untuk melakukan itu. Mereka mampu untuk menulis dengan baik. Namun, bukannya pada komunikasi. Jadi, kita perlu mengajar mereka kemahiran berkomunikasi dengan baik. Kita perlu menggunakan media sosial supaya ia memberi kelebihan kepada kita, iaitu untuk memupuk kehalusan jiwa dan pembinaan minda yang baik. Jadi, cabaran kepada mereka di bidang sosial ini adalah bagaimana untuk mencipta suatu teknologi di mana teknologi inilah yang digunakan oleh kanak-kanak hampir 80-90 % di media sosial. Mencipta sebuah permainan yang menggalakan dan menarik untuk memikirkan tentang pembinaan peribadi yang baik. Berbanding mencipta permainan berkenaan aksi tembak menembak dan membunuh sepanjang masa. Apa kata mereka membuat sesuatu permainan yang kompleks yang mampu mengasah minda dan membuatkan jiwa mereka memahami apa yang dimaksudkan dengan kecantikan. Mungkin, kita boleh memperkenalkan cerita–cerita ar-Rumi, cerita penghafaz al-Quran dan mungkin penceritaan tentang sejarah Melayu. Bawakan mereka kesemua cerita dan sejarah itu ke dalam media sosial. Anda mempunyai orang-orang yang amat berbakat di negara anda untuk mencipta permainan kompleks yang menarik. Dengan hanya menggunakan internet untuk merangsang perkembangan otak kanak-kanak ke arah tahap pemikiran yang lebih tinggi. Hanya mengunakan sesuatu yang seluruh dunia mengatakan ianya sia-sia. F.R: Betul tu. Teknologi yang ada sekarang, mengapa tidak kita gunakannya dengan cara yang betul dan ke arah yang benar. E.M: Tetapi, cuba anda lihat, untuk menggunakannya dengan cara yang betul, anda perlu berfikir di luar kotak. Satu masalah yang pada kebanyakan orang adalah mereka boleh mendapatkan keputusan peperiksaan yang tinggi. Namun, tidak semua bersikap inovatif. Inovasi berlaku bila mana kita digalakkan untuk berfikir secara luar kotak. Inovasi bermula daripada rumah. Ibu bapa boleh membantu dengan menanyakan soalan kepada anak-anak mereka. Contohnya, mereka bukan sahaja bertanyakan apa yang anak-anak mereka pelajari di sekolah. Tetapi, membantu anak-anak berfikir dengan cara ‘Mengapa tidak kamu lakukan dengan cara yang ini atau cara yang lain?’. Dengan cara ini, sedikit sebanyak membantu anak-anak untuk berfikir di luar kotak. Jika tidak, semuanya berfikir dengan cara yang sama dan akhirnya tiada inovasi yang akan berlaku. Inovasi bermakna kita memberi peluang untuk berkata ‘Ok, kamu tidak terbatas dengan bagaimana cara saya melakukannya. Kamu boleh melakukannya dengan cara kamu sendiri. Beri peluang anak-anak ini untuk berbuat demikian di makmal serta di dalam kelas supaya semuanya tiada pemikiran yang beku. Ini akan membuka peluang-peluang yang lain. Seingat saya salah satu cara yang saya lakukan untuk menjadikan diri saya lebih kehadapan daripada rakan-rakan yang lain adalah ke mana sahaja saya pergi untuk menuntut pendidikan tradisional ini, saya tidak pernah berasa puas hati dan cukup dengan apa yang mereka ajarkan. Jadinya, saya sering mengalami pergolakan dan membaca bahan-bahan selain yang terdapat dalam kokurikulum. Lebih banyak perkara yang saya temui, inilah yang banyak membantu saya. Tetapi pemikiran yang beku adalah merupakan jalan akhir kepada inovasi. F.R: Bercakap tentang pencarian di luar, terdapat juga kecenderungan dalam kalangan golongan liberal di bandar untuk memandang pemikiran secara tradisi ini ataupun pendidikan tradisional merupakan suatu pemikiran yang sudak lapuk. Model pemikiran yang mereka anggap sesuatu yang tidak lagi boleh digunakan. Apakah mereka tersilap faham ataupun terlepas pandang hingga menyebabkan mereka mempunyai pandangan sebegitu, terutamanya jenis sikap moden yang sombong? E.M:Dalam buku saya yang bertajuk ‘What is Madrasah’, saya ada kongsikan pengalaman saya sendiri bagaimana saya belajar di madrasah dan apa yang saya temui di sana. Pada mulanya, saya fikir ‘Ini adalah apa yang saya pelajari di sana. Jadi adakah ianya bernilai?’ Hanya kemudian, baru saya menyedari bahawa apa yang saya pelajari selama ini adalah suatu yang sangat bernilai. Kekayaan khazanah tradisi. Namun malangnya, belajar di madrasah, ianya tidak memberi kita kaca mata ataupun keupayaan sebenar untuk kita menghargai kekayaan tradisi itu sendiri. Hanya apabila saya mula membaca Derida, falsafah barat dan falsafah bahasa kemudiannya barulah saya dapat memahami dengan lebih baik, apa yang saya fikirkan. Apabila saya kembali kepada tradisi, saya dapat melihat kekayaan di dalamnya. Jadi saya kongsikan sedikit sebayak di dalam buku tersebut yang akan berada di pasaran pada bulan Mac depan. Jika para pendengar berminat dengan ‘What is Madrasah’ ianya juga boleh didapati di laman web amazon.com dan kedai-kedai buku tertentu. Saya berharap agar saya berpeluang untuk bertukar pandangan dan berbincang dengan pembaca selepas mereka mendapat buku saya. Tapi perlu diingat, kita kaya dengan tradisi. Tidak semua tradisi adalah mesra pengguna pada hari ini. Jadi, bila anda mahu melibatkan tradisi, anda perlu memilih jalan yang betul. Hakikatnya anda sentiasa memerlukan kesinambungan. Namun, ada sesetengah jalan yang tidak mempunyai kesinambungan. Maka di sinilah orang moden yang bersikap sombong ini akan memandang rendah kepada sejarah dahulu ataupun tradisi yang lama. Bahkan merekalah yang bercakap tentang tradisi dan cuba melangkaui batasan yang selama ini diterima oleh umum. Disebabkan tradisi memberi kita kesinambungan dan ianya membentuk siapa diri kita pada hari ini. Bagi saya, kehidupan tradisional yang diamalkan sebelum ini menjadikan diri anda sebahagian daripada tradisi tersebut. Tradisi mengajar kita apa yang perlu kita lakukan. Pada hari ini, kita bukanlah tradisi, tetapi kita adalah tradisionalis, iaitu kita sendiri yang memilih untuk mengambil tradisi yang kita mahu dan meninggalkan tradisi yang tidak berkenaan. Jadi, sepertinya kita berada di dalam sebuah kolej yang besar, di mana kita bercampur dan cuba untuk mencari cebisan-cebisan maklumat daripada tradisi kita. Maka, kita keluar daripada keadaan yang dihadkan dengan tradisi sepenuhnya kerana jika kita berpegang kepada tradisi semata-mata, kita akan mengalami krisis yang hebat kerana pengalaman kita akan bercanggah dengan apa yang terdapat dalam tradisi terdahulu. Akhirnya kita akan berakhir dengan jenis pemikiran seumpama bangsa Amish. Amish perlu berpegang kepada suatu jenis cara hidup di mana mereka menolak teknologi. Mereka tidak boleh menggunakan telefon, elektrik dan pemikiran seumpamanya. Ini bukannya cara memahami tradisi Islam yang sebenar. Dalam Islam, tradisi sentiasa diperbaharui, berkembang serta menyesuaikan diri dengan keadaan di negara tersebut. Ia merupakan suatu pengajaran yang sangat berharga buat saya. Berada di sekolah tradisional ini membolehkan saya melihat kedua-dua kebaikan dan keburukan, dan ini saya ada kongsikan di dalam buku tersebut. F.R: Wah, menarik sungguh. Sebagai penutup perbincangan ini, saya ingin menjemput Prof untuk merenung kembali masalah perkauman di Amerika pada hari ini. Selepas kematian ngeri Eric Garner, sebelum itu juga terdapat rusuhan di Ferguson dan Prof pula adalah warga Arfika Selatan yang terdedah kepada permasalahan perkauman ini. Jadi, bagaimana Muslim seluruh dunia seharusnya bertindak dalam berdepan dengan isu ini? Kerana sebagai Muslim ada kecenderungan untuk mereka berfikir tentang masalah mereka sendiri sahaja dan kerap kali berfikir tentang keperitan. Jarang sekali mereka berfikir selain daripada itu. E.M: Saya rasa ini adalah soalan yang sangat penting dan sering kali saya fikirkan. Bertanyakan tentang apa yang saya boleh lakukan ataupun apa yang seharusnya kita lakukan. Masalah perkauman adalah stigma, dan merupakan noda dalam keadaan manusia. Kadang kala kita secara tidak sengaja terlibat dalam masalah perkauman. Jadi kadang kala sesetengah orang akan mempunyai cara pandang yang mengaitkan sesiapa yang berkulit hitam bererti mereka adalah orang Amerika dan mereka tidak memakmurkan sejarah tentang permasalahan sosial dan masalah lain. Ya, kita ada sejarah dan ada masyarakat kulit hitam Amerika telah menaikkan martabat mereka dalam sektor tertentu. Tetapi bukan semua orang dapat keluar daripada kesusahan itu. Jadi, ya, masalah perkauman adalah isu utama di Amerika, Asia Selatan dan seluruh dunia. Bahkan orang Afrika juga mendapat tempias dari permasalahan ini. Ini kerana mereka dilihat sebagai orang asing. Mereka berasal daripada Nigeria, India, Pakistan, Indonesia, Malaysia dan lain-lain lagi. Mereka fikir bahawa mereka munuju kejayaan. Sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Warga Amerika Afrika telah berada di Amerika berabad lamanya. Mereka terpenjara dalam sistem yang dibina. Mereka tidak dapat untuk pergi belajar di sekolah yang baik dan mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Terdapat lebih banyak warga Amerika Afrika yang berada di dalam penjara berbanding di universiti. Ianya menunjukkan bahawa rangkaian sosial di Amerika tidak mempunyai orang berkulit hitam. Isu perkauman ini perlu diperangi di setiap peringkat. Dan ianya bukanlah masalah mereka tetapi ini adalah masalah kita semua. Saya fikir apa yang sedang berlaku adalah, lebih malang lagi, polis dan pihak berkuasa yang boleh melakukan sewenang hati. Apa yang saya maksudkan ialah, bagaimana ianya boleh terjadi apabila polis menggari tangan pejalan kaki dan seterusnya mencekik mangsa. Sedangkan pada ketika itu, dia menjerit untuk mendapatkan pertolongan dan memberitahu bahawa dia tidak boleh bernafas dan akhirnya mati di tangan polis. Pada masa yang sama tiada dakwaan yang dilakukan? Saya tak mampu bayangkan bagaimana ianya boleh berlaku atau terlintas di fikiran mereka untuk melakukan sedemikian rupa. Tidak kira apa yang lelaki tersebut lakukan di Ferguson. Sesetengah pihak mengatakan pemuda tersebut terlibat dengan permasalahan jenayah dan mendesak dan banyak lagi. Tetapi untuk membunuhnya dengan cara sedemikian adalah suatu yang keterlaluan. Jadi apa yang kamu lihat adalah pemberontakan dan protes yang berlaku kerana kekecewaan. Ironinya, Presiden Amerika yang pertama adalah orang berkulit hitam. Presiden ini mencuba sedaya upaya untuk mewakili warga Amerika yang berkulit hitam tetapi beliau juga menyedari isu ini. Ini menjadikan beliau untuk berhati-hati supaya tidak dilihat sebagai seorang pemimpin yang berat sebelah dan juga supaya tidak dilihat sebagai menentang penguatkuasaan undang-undang kerana undang-undang merupakan mata dan telinga kerajaan. Jadi ianya sangat halus dan Presiden mestilah berwaspada dengan setiap perlakuannya. Polis yang tidak bertanggungjawab hendaklah diperangi. Tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh menghapuskan sistem perundangan negara. Apa yang perlu kita lakukan adalah membongkar siapa polis yang tidak bertanggungjawab iaitu orang yang menganiayai bukan sahaja orang berkulit hitam, malahan coklat, putih dan lain-lain lagi. Disebabkan oleh beberapa polis yang tidak bertanggung jawab ini, dan mereka adalah minoriti. Tetapi minoriti ini yang selalu memberikan nama buruk kepada majoriti Muslim di dunia. Berfikir tentang ini, tidak semua warga Amerika yang berkulit putih mempunyai sifat perkauman yang tinggi. Makanya sama. Disebabkan segelintir warga Amerika yang mempunyai sifat perkauman yang tinggi, namun ia telah menyebakan keseluruhan warga Amerika dilabelkan dengan sama. Sama seperti penguatkuasa yang lain. Hanya disebabkan segelintir yang membuat masalah. Namun tempiasnya diterima oleh semua. Kita haruslah berwaspada sebelum menghukum seseorang. Namun, adalah penting untuk kita suarakan kritikan dan mencari jalan penyelesaian supaya kita mampu menyelesaikan permasalahan tersebut. F.R: Terima kasih Prof kerana sudi bersama kami pada hari ini. Nantikan buku tulisan Prof sendiri yang bakal dikeluarkan pada Mac ini dan anda juga boleh melakukan tempahan awal di Amazon.com. E.M: Sama-sama.
]]>