Khabar dan Angin: Excursus on Faith in Kelantan
Baru-baru ini, pameran seni Khabar dan Angin, anjuran Projek Dialog bersama Suruhanjaya Tinggi Kanada baru sahaja selesai di Balai Seni Visual Negara.
Projek tersebut telah membawa 8 seniman untuk menanggapi realiti kehidupan dan kepelbagaian agama dan kerohanian di Kelantan. Hasilnya ialah pameran seni ini, yang telah mendapat sambutan baik dari kalangan ramai.
Banyak yang telah kami pelajari, dari merenung kembali pengalaman ini dan menerima maklumbalas daripada para pelawat tentang karya seni yang dihasilkan.
Untuk memanjangkan perkongsian dan dialog yang dicetuskan oleh projek ini, kami telah menghasilkan sebuah naskah yang memuatkan pemerhatian dan buah fikiran daripada pihak penganjur, para kurator, seniman, dan pengkritik seni – mengimbas kembali proses ini, menimbal kelebihan dan kekurangannya, dan apa yang dapat diperolehi dari kesemuanya.
Harapan kami ialah untuk membuka perbincangan ini ke ruangan awam, bagi mereka yang tidak berpeluang untuk melihat pameran ini, supaya pertukaran ini mungkin mampu meluaskan pandangan kita tentang tanggapan dan kepelbagaian yang wujud di kalangan kita.
Muat turun di sini secara percuma!
Kami mengalu-alukan maklumbalas dari anda!
Seni & Cabaran Naratif Dominan
Gambar: Brotherpeacemaker.wordpress.com[/caption]
Seni, Kerohanian & Kebebasan Berekspresi
3 Disember adalah hari di mana para seniman/seniwati terpilih berkumpul untuk menyertai projek pameran seni.
Hasil kerjasama antara Projek Dialog dan Article 19 ini menyediakan landasan asas kepada para seniman/seniwati untuk menghasilkan karya-karya seni yang berteraskan fahaman mereka terhadap makna kerohanian.
Oleh itu mereka bakal melalui program-program yang telah ditetapkan oleh Projek Dialog dan Article 19, iaitu melawat, memahami dan menghidupi suasana ritual-ritual agama yang wujud di negeri Kelantan Darul Naim.
Projek ini berlangsung dengan hasil kerjasama Article 19, sebuah organisasi hak asasi manusia yang ditubuhkan pada 1987.
Article 19 ditubuhkan untuk menyumbang tenaga, dana dan usaha bagi meningkatkan kesedaran tentang pentingnya kebebasan memberi pendapat dan berekspresi tanpa dikongkong oleh mana-mana pihak.
Nama organisasi Article 19 diambil daripada Perkara 19 di bawah Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat:
“Setiap orang berhak untuk bebas berpendapat dan mengeluarkan fikiran.
Hak ini termasuklah kebebasan berpendirian tanpa gangguan dan mampu menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan.”
Program pengenalan organisasi Article 19 dihadiri oleh seniman/seniwati, kurator, editor Projek Dialog, perwakilan Article 19 dan juga beberapa individu yang menyumbangkan pengalaman mengenai keadaan di negeri Kelantan.
[caption id="attachment_5365" align="aligncenter" width="450"]
Gambar: Clarespark.com[/caption]
Pelan Tindakan Rabat
Pada bahagian awal, pihak Article 19 iaitu Judy Taing dan Andrew Smith menerangkan sedikit sebanyak tanggungjawab pihak mereka di dalam menegakkan hak kebebasan pendapat dan fikiran.
Mereka memperkenalkan Pelan Tindakan Rabat, bagi menghalang kebencian berbentuk kenegaraan, keagamaan dan perkauman yang bakal mencetus keganasan, diskriminasi dan juga permusuhan.
Rencana tindakan ini dihasilkan di Rabat, Morocco pada 5 Oktober 2012.
Ia merupakan kesimpulan dan saranan berdasarkan bengkel-bengkel tentang isu-isu yang telah dinyatakan di atas.
Bengkel-bengkel tersebut telah diadakan di rantau Eropah (Vienna pada 9 dan 10 Februari 2011), di Afrika (Nairobi pada 6 dan 7 April 2011), di Asia Pasifik (Bangkok, 6 dan 7 Julai 2011) dan juga di benua Amerika (Santiago de Chile, 12 dan 13 Oktober 2011).
Tugas mengelak kebencian ini dipertanggungjawabkan kepada kolektif pegawai-pegawai am, para pemimpin agama dan komuniti, media dan para individu.
Ia menekankan keperluan untuk memupuk kesedaran sosial, toleransi, hormat-menghormati, dan dialog antara budaya.
Kerangka Projek Kesenian
Oleh itu, menggunakan landasan ini, projek yang bakal dilaksanakan ini akan menghasilkan beberapa karya dengan harapan ia boleh diterima dengan hati yang terbuka.
Disebabkan projek ini berteraskan isu-isu agama dan hubungan sesama penduduk yang berlainan agama/fahaman hidup, penggerak projek ini merasakan bahawa landasan antarabangsa merupakan sesuatu yang perlu.
Mungkin sahaja mereka melihatnya sebagai salah satu cara agar sudut pandangan yang lain mampu menjangkaui batas negara dan hadir di rantau antarabangsa untuk didengari oleh semua anak bangsa.
Setelah selesai pembentangan mengenai tujuan dan pengenalan Article 19, mesyuarat beralih fokus kepada projek tersebut. Antara persoalan-persoalan yang timbul adalah isu negeri dan justifikasi pemilihan negeri Kelantan.
Apakah sebab utama negeri ini dipilih sebagai keutamaan?
Selain daripada stereotaip kasar mengenai semangat kenegerian Kelantan dan juga laporan media terhadap dominasi wacana politik PAS, wujudkah sebab-sebab yang lain?
Ataupun sebenarnya pilihan ini merupakan hal yang kedua? Apakah keunikan rumah-rumah agama di kawasan tersebut jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain?
Baiklah, jika andaiannya adalah bahawa dominasi wacana PAS dan stereotaip kasar ini sering membelenggu tanggapan masyarakat terhadap negeri Kelantan, apakah tanggungjawab utama seniman/seniwati yang dipilih untuk menjayakan projek ini?
[caption id="attachment_5372" align="aligncenter" width="470"]
Gambar: Come2Kelantan.my[/caption]
Seni – Sarana Bagi Menjangkaui Naratif Dominan
Jika karya-karya tersebut akan dihasilkan melalui fahaman kerohanian yang bakal diperolehi dari projek ini, apakah faktor-faktor yang harus diambil kira?
Pertama, faktor wacana dominan yang telah ada. Dalam konteks projek ini, yang harus difahami secara menyeluruh adalah naratif parti politik PAS.
Seharusnya difahami juga bagaimana naratif politik dominan ini mempengaruhi hubungan keagamaan di sesuatu tempat, sama ada ia membentuk suatu ketegangan yang semakin menebal ataupun sebaliknya.
Faktor kedua adalah keadaan sebenar yang berlangsung di negeri tersebut. Kerana seperti mana yang kita semua tahu, media hanyalah sebagai pengantara yang melaporkan berita dari sudut pandang seseorang.
Realiti sesuatu tempat adalah sesuatu yang benar-benar rumit dan tidak mungkin mana-mana media ataupun medium mampu mewakilinya secara menyeluruh.
Langsung perbandingan di antara kedua faktor ini adalah sesuatu yang penting dan harus diambil kira.
Faktor yang pertama adalah sesuatu yang dibina melalui konsensus ataupun persetujuan sesuatu kelompok, manakala faktor yang kedua merupakan sesuatu yang dinamik dan tidak langsung dapat dimuatkan melalui mana-mana kategori.
Bagi sebuah negeri yang naratifnya didominasi satu agama, wujudkah percanggahan yang jelas di antara kedua-dua faktor tersebut?
Adakah naratif politik yang ada ini langsung tidak memberi ruang secukupnya untuk agama-agama lain terus hidup dan menyebarkan wacananya?
[caption id="attachment_5373" align="aligncenter" width="458"]
Gambar: Thirteen.org[/caption]
Peranan Seni Yang Lebih Meluas
Bagaimanakah seni yang memaknakan atau sebagai cerminan kehidupan manusia, melalui bentuk estetik mampu membentuk suatu sudut pandang yang berlainan?
Ataupun lebih besar lagi, mampukah ia memberi impak dengan menyanggah wacana dominan yang boleh saja dikatakan bercanggah dengan realiti sebenarnya.
Adakah seni yang seringkali dilihat sebagai paparan estetik semata-mata, mampu menganjurkan suatu mesej jelas terhadap hubungan keagamaan di sesuatu tempat?
Di sinilah asas utama bagi para seniman/seniwati yang bakal terlibat dalam projek ini. Tempat permulaan untuk mereka menilai kembali sudut pandang mereka; apa yang harus dicerna dan apa yang harus dinilai semula secara kritikal.
Kerana semestinya, tugas seni adalah untuk mengenal pasti intipati kehidupan. Intipati kehidupan yang barangkali senang sekali terlepas, dipukau oleh kepantasan masa dan kepadatan ruang.
Walaupun tidak dapat dinafikan bahawa intipati kehidupan adalah sesuatu yang subjektif, tetapi penghasilan karya objektif merupakan saksi kepada realiti yang ada.
Dengan harapan agar setiap tafsiran objektif inilah yang mampu dipersetujui oleh ramai pihak, mewakili sudut pandang yang benar-benar meluas dan mengukuhkan lagi hubungan yang telah lama dibina.
Ia menganjurkan pandangan yang berbeza daripada pemaknaan kehidupan yang kadangkala jumud, reaksioner, dan kaku mengawal realiti mengikut acuan sendiri.
Projek ini bakal memberi ruang kepada mereka untuk membentuk semula tanggapan umum yang telah ada terhadap negeri Kelantan.
Mereka menggalas tanggungjawab besar – iaitu untuk memahami keadaan sebenar kehidupan beragama di negeri yang didominasi oleh wacana satu agama.
Harus diingatkan bahawa ini tidak langsung membawa erti provokasi ataupun pelanggaran tatanan moral yang sedia ada.
Barangkali dengan permulaan di negeri pantai timur ini, percubaan bagi para seniman untuk menilai dan memberi sudut pandang segar terhadap hubungan beragama mampu sedikit sebanyak membuka banyak lagi ruang untuk menghidupkan semula imaginasi yang ada terhadap sesuatu kawasan.
Projek Dialog di Freedom Film Fest – Filem Apa?
Dialog Melalui Haluan Media Popular
Secara umumnya media popular dilihat sebagai sarana penyebaran maklumat kepada seluruh massa. Ia juga dapat digunakan sebagai landasan kepada beberapa pihak untuk menganalisa sesuatu masalah.
Ia dengan penuh harapan merasakan bahawa medium tersebut mampu mempertingkatkan kesedaran kepada orang awam.
Permasalahan yang diutarakan itu semestinya harus berputar fenomena yang berkait rapat dengan konteks tempatan dan bagaimana ia mempengaruhi kehidupan kita secara tidak sedar.
Menurut pendapat saya, inilah yang jarang benar dilakukan oleh kita semua.
Kalau bukan para akademik ataupun para pemikir yang melaksanakan usaha seperti ini, tidak selalunya timbul inisiatif untuk mengutarakan sesuatu masalah dengan analisis yang jelas tentang apa yang berlaku pada zaman ini.
Projek Dialog selaku landasan yang menganjurkan dialog sesama rakyat turut berusaha untuk melakukan inisiatif penyebaran maklumat menggunakan media popular.
Projek Dialog untuk tahun ini turut terlibat menghasilkan dua karya yang bakal ditayangkan di Freedom Film Fest di PJ Live Arts Centre, Jaya One.
Freedom Film Fest merupakan festival filem terulung di Malaysia yang menggunakan teknologi media sebagai salah satu sarana untuk menekankan aspek demokrasi dan menyarankan penggunaannya di kalangan para aktivis.
Gabungan antara visual, tekstual, dan juga bunyi lebih memberikan impak yang besar, diikuti dengan perbincangan yang memberangsangkan mengenai setiap masalah yang dipaparkan.
Filem yang ditayangkan pula merupakan dokumentari yang jarang benar didanai oleh industri perfileman, sedangkan filem-filem inilah yang benar-benar mengutarakan masalah realiti sosial yang dihadapi oleh kita semua.
Dengan ini mari kita memperkenalkan karya dokumentari yang turut dihasilkan oleh pihak Projek Dialog iaitu Viral,Sial! dan juga Dialog dengan Dendi.
“Viral,Sial!” oleh David Buri
Filem ini berdasarkan fenomena beberapa bulan lalu sewaktu BFM Kupas menayangkan satu episod yang bertajuk “Hudud: Isi Periuk Nasi”.
Pada waktu itu pengacara utamanya, Edry Faisal tidak dapat muncul kerana beliau menjadi sukarelawan di Kelantan. Langsung dia digantikan oleh pengacara wanita, Aisyah Tajuddin.
Nah, bermula dari situlah jelas terlihat isu kebebasan menyatakan pendapat ternyata langsung tidak dapat dipraktikkan dengan sihat tanpa digugat ancaman yang kini sudah tiba pada tahap yang membahayakan.
Seluruh Malaysia termasuklah media arus perdana turut memberi liputan mengenai hal ini. Tidak lupa juga kepada pihak-pihak penguasa yang turun padang menyatakan pendapat mereka mengenai video ini.
Jadi apakah persoalan-persoalan yang timbul dari filem dokumentari ini?
Pertama, adakah fenomena kecaman ini disebabkan oleh gender Aisyah Tajuddin dan kelantangan beliau mempersoalkan isu ini menggunakan medium internet?
Harus juga kita ingatkan bahawa keberanian beliau untuk berdiri di hadapan kamera dan menyindir keutamaan ahli politik PAS tentang hudud adalah sesuatu yang jarang kita lihat di negara ini.
Sedangkan para lelaki sendiri tidak berani untuk menyatakan pendapat mereka di khalayak awam, sebaliknya sibuk berbicara di kedai kopi tanpa apa-apa risiko.
Jika difikirkan lagi, adakah sekiranya ia dilakukan oleh seorang lelaki, maka tingkat kecamannya pasti berbeza? Dan sehubungan dengan itu, adakah agama masih lagi dibawah jagaan pimpinan lelaki?
Bilamana seorang perempuan mula mempersoalkannya, segala struktur sosial mulai tergugat dan tidak lagi menunjukkan piawaian ketakwaan yang seharusnya?
Persoalan inilah yang saya rasakan bakal dikupas. Wujudkah suatu analisa yang mampu menerangkan masalah ini dengan jelas?
Adakah ini semuanya bakal berakhir kepada persoalan kuasa untuk menyebarkan wacana ataupun kesedaran yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki?
Dan lebih teruk lagi, bagaimana pula dengan ruang bagi kita semua untuk menyatakan pendapat?
Adakah negara kita semakin lama semakin dihakis kebebasannya untuk bersuara, sebaliknya bakal digantikan suatu sistem autoritarian yang bakal membungkam kesemua suara yang menentang keadaan sistem sedia ada?
Fenomena ini merupakan sesuatu yang harus difikirkan, kerana beliau secara jelas diugut secara tidak adil.
Hanya kerana seorang wanita dari golongan rakyat biasa memberi pendapat, lalu hampir seluruh rakyat negara mengecamnya.
“Dialog dengan Dendi” oleh Badrul Hisham Ismail
“Dia sudah tak betah duduk di bandar. Bandar yang penuh gelisah. Yang tak kenal manusia dan kemanusiaan, hanya kenal urusan.”
Bagi penduduk kota, persoalan mengenai isu kemodenan dan hiruk pikuk kota adalah realiti yang tidak dapat kita nafikan.
Kelelahan kehidupan adalah sesuatu yang sering dipendam, maka bermula dari situ ada yang mulai mencari jalan keluar. Jalan eskapisme yang mampu mengalihkan pandangan kita jauh dari realiti kota di depan mata.
Filem ini adalah karya yang mengutarakan persoalan mengenai alternatif cara hidup yang meraikan kewujudan manusia.
Di mana pilihan manusia itu tidak lagi dibataskan di ruang-ruang kota, sebaliknya jauh ke dalam kawasan pedalaman hutan.
Ini merupakan persoalan eksistensial, mengikut kata-kata orang muda di kala ini.
Jika tiada yang berbalik atau berselindung di sebalik harapan ataupun ilusi, manusia kota secara amnya mulai hilang arah dan tidak lagi mampu menerima hikmah yang ditawarkan oleh citra kemodenan.
Kesinambungan mekanisme kehidupan di sini pastinya pada suatu masa akan melahirkan suatu persoalan.
Mengapa kita masih melangsungkan kehidupan yang nyata bercanggah dengan naluri kita sebagai manusia? Mengapa manusia di sekeliling kita masih lagi melangsungkan kehidupan mereka tanpa keluhan yang ketara?
Filem ini merupakan hasil kerjasama antara Projek Dialog dan juga Rhu Graha.
Ia menceritakan tentang Ehsan, seorang warga kota yang sudah serik dengan kehidupan kota. Beliau bertemu dengan Dendi, seorang Temiar dan membuat keputusan untuk melawatnya di kawasan pedalaman hutan.
Di situ beliau mulai merenung kembali keberadaan dirinya di kota dan di tempat tinggal Dendi, dan bagaimana perbandingannya berjaya memberikan sudut pandang yang baru terhadap kehidupan beliau.
Apakah tidak ada langsung intipati budaya orang asli yang boleh diambil dan dipelajari untuk kita semua?
Orang asli yang melangsungkan kehidupan berdasarkan agama animisme dapat juga dilihat sebagai agama yang memberi keutamaan kepada alam semula jadi dunia ini.
Mereka tidak sesekali merasakan bahawa alam adalah sumber yang seharusnya diguna pakai untuk kepentingan manusia sesuka hati.
Sebaliknya mereka dengan penuh hormat merasakan kehidupan kita secara biologikal turut juga dipengaruhi oleh keberlangsungan kehidupan alam di sekeliling kita.
Melalui filem ini kita ditawarkan dengan sudut pandang yang berlainan. Ia mempersoalkan keutamaan kita terhadap dunia moden yang tidak lagi mampu memberikan ketenangan dalam kegelisahan kehidupan di kota.
Gambaran Keseluruhan
Secara amnya, kedua-dua filem ini memberikan keutamaan kepada dua perkara.
Pertama, ia mempersoalkan ruang kebebasan kita sebagai rakyat biasa untuk menyatakan pendapat tanpa dibungkam oleh pihak berkuasa.
Ia juga mempersoalkan kecaman zalim oleh para pengguna media sosial yang secara jelasnya begitu berani menyatakan sifat binatang yang mungkin pada bila-bila masa sahaja mampu dilepaskan begitu sahaja.
Ini adalah kondisi psikologikal yang masih belum diterokai dengan jelas, dan punca-puncanya juga masih belum dicari jawapannya.
Secara tidak langsung ia membentuk haluan kepada kita semua untuk terus memikirkan nilai-nilai yang sebenarnya mendominasi wacana negara kita.
Adakah kita diselubungi ketakutan yang melampau atau kekuatan yang nyata untuk menjangkaui keadaan kemunduran negara yang membangun?
Kedua, ia mempersoalkan citra kemodenan yang telah dimulakan oleh arus globalisasi dunia Barat.
Adakah kesinambungan zaman industri benar-benar menghasilkan keadaan yang bagus? Atau adakah ia benar-benar tempang, hanya memberi keutamaan kepada kebolehan dan pengumpulan nilai material semata-mata?
Memang benar persoalan-persoalan seperti ini boleh sahaja dikatakan sebagai suatu klise jika hanya diselitkan dengan retorik tanpa apa-apa bimbingan.
Tetapi melalui penggunaan medium popular, yang turut memaparkan aspek realiti sosial yang nyata, kita dapat mewujudkan rasa empati yang jelas.
Ini bukti bagaimana impak visual berjaya menyampaikan suatu intipati yang menjangkaui batas syarahan, yang selalu sahaja tidak dapat menembusi benak hati-hati manusia.
Dengan ini Projek Dialog mengharapkan bahawa dialog tidak hanya berlaku di ruang fizikal, perbualan antara beberapa sosok individu, tetapi juga melalui karya-karya filem yang mempamerkan isu-isu penting yang perlu difikirkan oleh kita semua.
Dikarang oleh Johan Zolhaidi
Kafir tunggal di tengah banjir
Region of Love, yang meyumbang barangan dan 5 wakil) dua NGO utama yang menggerakkan misi ini masing-masing berteraskan mahasiswa dan pemuda Islam (mahasiswa Sudah 9 tahun tak layak menggunakan gelaran itu).
Saya melawan merasa janggal dan bertekad untuk redha sahaja bahawa inilah ketentuan Maha Esa. Ada kalanya ketentuan nasib dari Tuhan itu lebih kelakar berbanding episod Maharaja Lawak.
Mujur sahabatku Hussain turut sama. Dapatlah berbual sesama sendiri, berbicara ilmiah, bicara hal ehwal semasa, bicara lucu.
Kafir sesat di tengah banjir
Setelah penat membungkus pek makanan dan barang keperluan semalaman kami ditunjukkan ke tempat tidur yang disediakan. Kami agak selesa, terutamanya jika dibandingkan dengan keadaan “kolam renang: yang terpaksa didiami penduduk hanya beberapa kilometer dari markas operasi kami.
Setelah bertugas mulalah saya berbual dengan rakan sukarelawan baharu. Topik rancak menjurus ke arah agama. Sebelum sebarang perbualan yang tidak diingini berlaku,penafian dikeluarkan- “Cuup! Bang, saya bukan Islam ni!”
Keresahan saya disambut dengan gelak ketawa, seolah-olah saya bergurau. Sebenarnya itu satu respon yang saya biasa terima dari teman-teman Melayu: senantiasa dianggap orang Melayu sesat entah dari mana, tetapi berkebolehan bertutur Bahasa Melayu tanpa pelat India dari sebelah ayah ataupun pelat apek pengaruh ibu.
Sebagai bukti saya pun tunjukkan rantai salib dari celah T shirt untuk pengesahan lanjut. Ini disambut dengan ketawa dan persoalan ikhlas dari mereka: bagaimana pula saya boleh sesat memasuki kumpulan ini.
Tuhan dan bencana
Lantas teruslah saya berbual dengan rakan baharu. Teringin juga untuk tahu pandangan rakan dari golongan Islam berkenaan lontaran segelintir ahli-ahli politik yang menyentuh isu banjir, terutama sekali pandangan segelintir ahli PAS yang menganggap banjir sebagai balasan Tuhan kerana tidak melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Maka menjawablah seorang rakan “betul bro, Tuhan yang ikut pergi Tesco semalam, Tuhan jugalah yang tolong load trak tadi, tadi kau tak nampak ke Tuhan sebelah aku tengah campak guni beras? Nanti besok Tuhan ikut redah banjir”
Agak takut juga untuk membalas. Jawapan itu boleh disambut sebagai detik kesinisan dalam menghadapi becana banjir. Tetapi ia juga boleh ditafsir sebagai luahan kecewa.
Dua hari berlalu dan persoalan agama saya tidak lagi dibangkitkan. Demikian juga fahaman politik, ideologi kemasyarakatan mahupun citarasa seksual. Persoalan yang sering ditanya menyentuh tentang samada saya biasa makan sambal belacan, samada merokok atau tidak, dan jika saya mempunyai pemetik api.
Tumpuan kami hanya pada nilai kemanusiaan sejagat yang secara nalurinya, dianuti semua.
Alangkah indahnya dunia ini jika ini dihayati dan diamalkan sentiasa.
Saya renung kembali kata-kata rakan tadi. Saya percaya memang Tuhanlah yang ke Tesco, yang memenuhi trak dan menurunkan guni beras. Tuhan yang menggerakkan hati, tangan dan kaki manusia untuk melupakan segala permasalahan lain dan melakukan suatu kebaikan dalam semangat kemasyarakatan, secara jemaah.
Tuhanlah yang menanam sifat kemanusiaan di dalam jiwa kita semua.
Impak sosial setelah banjir di Kelantan
Pendahuluan
Untuk sekian kali Malaysia mengalami banjir besar yang merugikan. Kehadiran dan kekerapan hujan di Malaysia yang terletak di Zon Equatorial bukanlah sesuatu yang luar biasa.
Angin Monsun Timur Laut membawa hujan yang lebat ke negeri-negeri di Pantai Timur dan juga ke Sabah dan Sarawak. Seperti sebelumnya, hujan ini akan turun dengan lebat beberapa hari secara berterusan lantas mengakibatkan banjir seperti bah besar yang berlaku pada tahun 1967, dan 1971.
Di dalam catatan sejarah banjir besar kerap berlaku di negara ini, antara lain pada tahun 1931, 1947, 1954, 1957, 1967 dan 1971. Bah besar pada tahun 1926 dan 1971 dikatakan berlaku oleh ‘kerana kelemahan infrastruktur saliran yang tidak mampu menampung hujan dalam kuantiti banyak’.
Jika kurangnya pembangunan menjadi alasan kepada banjir pada tahun 1926, 1967 dan 1971; secara umum, rata-rata masyarakat menyalahkan pembangunan yang tidak seimbang sebagai musabab kepada banjir yang berlaku pada tahun 2014 ini.
Jika kurangnya pembangunan menjadi alasan kepada banjir pada tahun 1926, 1967 dan 1971; secara umum, rata-rata masyarakat menyalahkan pembangunan yang tidak seimbang sebagai musabab kepada banjir yang berlaku pada tahun 2014 ini.
Dakwaan ini sejajar dengan ingatan sarjana dan ahli akademik seperti mana yang pernah dinyatakan oleh Tuan Pah Rokiah Syed Hussain dari Universiti Utara Malaysia dalam makalah beliau berjudul ‘Implikasi Bencana Banjir Terhadap Sosioekonomi Penduduk Lembangan Kelantan’[1] dan juga kertas bertajuk ‘Pembangunan Dataran Banjir Lembah Sireh, Kelantan: Isu dan Cabaran’ oleh Mariney Mohd Yusoff, pensyarah kanan Geografi dari Universiti Malaya [2].
Jika kedua-dua pengkaji tersebut membincangkan kepincangan pembangunan di Kelantan, hal yang sama turut dikesani oleh kumpulan penyelidik diketuai Muhammad Barzani Gasim dari Universiti Kebangsaan Malaysia apabila mereka mengaitkan banjir yang berlaku antara 17 Disember sehingga 19 Disember 2006 di Segamat Johor dengan perubahan guna tanah yang berleluasa dan tanpa pemantauan:
Berlakunya banjir ini besar kemungkinan berkaitan dengan kesan perubahan guna tanah, keadaan sistem saliran yang tidak terpelihara disamping keadaan iklim. Oleh yang demikian, dicadangkan pengekalan hutan simpan, kawal perubahan guna tanah, penaiktarafan sistem saliran, elak pembangunan di kawasan rendah patut dipertimbangkan oleh pihak penguat kuasa di Johor [3].
Perenggan di atas mengesahkan bahawa faktor hujan sahaja tidak boleh dijadikan alasan kepada berlakunya banjir besar di Malaysia.
Adalah jelas korupsi menyumbang kepada bencana di negara ini. Walaubagaimanapun, artikel ini tidak akan membincangkan persoalan pembangunan pincang dan korupsi sebaliknya akan melihat impak sosial yang berlaku selepas sesuatu bencana besar, dalam konteks ini banjir besar 2014 di Kelantan.
Impak sosial
Impak sosial yang dimaksudkan dalam artikel ini melibatkan empat aspek iaitu pertama, psikososial; kedua, sosiodemografik; ketiga, sosio-ekonomi dan keempat, sosio-politikal.
Untuk mengukur impak sosial, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan memberi perhatian kepada ratio-impak iaitu dengan formula – amaun kerosakan dibahagi dengan amaun sumber asas komuniti (community resources)[4] – supaya impak bencana itu dapat dinilai terlebih dahulu.
Hanya dengan melengkapkan langkah pertama ini barulah aspek-aspek yang melibatkan impak sosial iaitu psikososial, sosiodemografik, sosio-ekonomi dan sosio-politikal dapat dikenal pasti dan dijangkakan.
Artikel ini hanyalah satu pengamatan awal dan masih belum dirapi atau dirumus dengan kutipan data. Walaubagaimanapun ia dapat menjadi panduan kepada penyelidik kemudiannya untuk melakukan kajian impak sosial bencana 2014 tersebut.
Sebelum makalah ini memanjangkan topik perbincangan yang dinyatakan di atas, adalah penting untuk kita membezakan antara musibah dan bencana. Enrico L. (Henry) Quarantelli, dari Disaster Research Center University of Delaware selaku seorang sosiologis yang banyak mengkaji kesan bencana, menyatakan terdapat perbezaan yang besar antara musibah dan bencana.
Beliau memberikan enam perbezaan untuk menjelaskan apakah itu bencana. Bencana terjadi apabila, pertamanya struktur masyarakat terkesan dengan amat mendalam.
Ini termasuklah pusat perlindungan, organisasi bantuan kecemasan dan hospital sendiri gagal berfungsi ketika bencana berlaku. Kedua, ketika bencana sedang terjadi, pihak berkuasa tempatan gagal melakukan tugas membantu dan bantuan kecemasan hanya dapat disalurkan ketika proses pemulihan iaitu sesudah bencana mereda.
Ketiga, bantuan dari masyarakat terdekat (dalam hal ini dari luar Kelantan) gagal dikejarkan ke tempat terjadinya bencana secara serta-merta. Seterusnya, keempat, kita mengetahui ia bukan musibah tetapi adalah bencana apabila fungsi masyarakat jatuh mendadak dan terganggu untuk satu tempoh yang panjang.
Dalam hal ini masyarakat akan sama sekali gagal untuk kembali ke situasi asal seperti persekolahan, perniagaan, perkebunan dan lain-lain dalam tempoh singkat. Ini bermakna ahli masyarakat akan disibukkan oleh pengurusan pasca bencana sebelum dapat kembali normal. Selain itu ketika terjadinya bencana, kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan komunikasi terputus menandakan fungsi masyarakat terjejas secara menyeluruh.
Kelima, sesebuah bencana akan mendapat liputan meluas media massa termasuk di peringkat antarabangsa. Lebih besar sesebuah bencana itu maka lebih besar liputannya di media massa antarabangsa. Dalam hal ini, oleh kerana Perdana Menteri, Najib Tun Razak pulang agak lambat kerana diketahui bermain golf dengan Presiden Obama di Hawaii, bencana besar di Kelantan tersebut telah mendapat perhatian media massa internasional sehingga ia bukan lagi dapat dianggap suatu musibah biasa.
Keenam, menurut Quarantelli, sebaik sesuatu bencana berlaku kebiasaannya pemimpin politik paling atas akan turun padang. Besar atau kecil bencana itu dapat diukur apabila masyarakat tidak mengendahkan kehadiran pemimpin politik tersebut malah mereka dikecam atau dikritik samada secara berdepan, atau di belakang.
Dalam erti kata lain, simbol kehadiran mereka sebagai satu ‘lambang pembujukan tokoh politik’ tidak lagi dianggap mustahak atau relevan oleh masyarakat memandangkan mereka sedang menempuh penderitaan dan kesengsaraan yang jauh lebih besar [5].
Berdasarkan definisi dan pandangan Quarantelli di atas, adalah jelas banjir besar yang berlaku di Pantai Timur, khususnya Kelantan bukan suatu musibah biasa (disaster) malah sebetulnya adalah catastrophe atau dalam bahasa Melayunya bencana (malapetaka).
Hal ini perlu difahami dengan jelas agar kita memahami pula impak sosial yang terjadi akibat bencana ini. Ini adalah kerana impak sosial sesuatu musibah dapat dianggap relatifnya kecil berbanding impak sosial sesebuah bencana.
Impak sosial sesebuah bencana jika tidak ditangani dan segera diberi pengurusan dan solusi utuh bakal mengakibatkan keruntuhan masyarakat secara meluas dan menimbulkan kacau bilau sosial dalam negara secara jangka panjangnya.
Oleh kerana Malaysia jarang berdepan dengan bencana sebesar ini, pengabaian impak sosial bencana boleh memberi kesan negatif serba-serbi di masa mendatang.
Psikososial
Salah satu impak sosial yang mesti dititik-beratkan secara jangka panjang ialah kesihatan mental mangsa, atau mereka yang terbabit menempuh bencana besar seperti banjir ini. Terdapat banyak kajian yang menekankan bahawa bencana boleh memberi kesan psikososial yang amat buruk:
Psychosocial impacts incliude emotional signs such as anxiety, depression, and grief, as well as behavioral effects such as sleep and appetite changes, ritualistic behavior, and substance abuse [6].
Michael K. Lindell, dan Carla S. Prater dalam makalah tulisan mereka ‘Assessing Community Impacts of Natural Disasters’ menyatakan pengabaian aspek ini mendatangkan kesan bahaya dan mudarat kepada masyarakat jika tidak segera dirancang. Mereka menekankan supaya hal ini tidak dipandang enteng.
Sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab dari segi hak asasi warganya hendaklah mengambil kira aspek psikososial ini, iaitu sesudah bantuan kebendaan seperti tempat kediaman, makanan, perubatan dan sara hidup ditangani dan disalur dengan baik.
Dalam erti kata lain, sebaik sahaja kediaman yang musnah dibina semula, dan bantuan sara hidup untuk memulakan kehidupan diberikan serta diagih dengan adil sesama populasi yang terbabit, kerajaan perlu pula mengatasi kesan psikososial supaya mangsa bencana dapat meredakan, mengurangkan dan mengawal kesan trauma, gangguan fikiran dan tingkah-laku mereka.
Ini amat penting kerana jumlah mereka yang mengalami kesakitan dan kekacauan mental akibat bencana besar boleh mengancam keamanan masyarakat kemudiannya, iaitu satu aspek jangka panjang yang kurang diberi perhatian serius oleh negara-negara membangun.
Oleh kerana Malaysia masih berhasrat untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, maka perhatian harus diberikan kepada aspek ini.
Sosiodemografik
Bahagian paling menyakitkan dari kesan sesebuah bencana ialah urusan penempatan dan kediaman semula atau baharu, bagi mangsa banjir.
Enrico L. Henry Quarantelli, menyatakan mangsa akan menempuh empat tahap kediaman.
Quarantelli mengkaji proses yang dialami oleh mangsa taufan Katrina di Amerika Syarikat menjelaskan bahagian paling getir dari empat tahap kediaman tersebut adalah tahap ketiga dan keempat.
Empat tahap yang dimaksudkan adalah, pertama ialah kediaman di pusat kecemasan iaitu sebaik sahaja mereka berjaya diselamatkan dari malapetaka yang terjadi. Kedua, ialah pusat perlindungan sementara di mana bekalan makanan, bermalam dan keperluan asas akan diberikan. Perlindungan sementara ini termasuklah bantuan penginapan yang diberikan oleh sanak saudara, jiran tetangga atau ahli komuniti.
Tahap ketiga ialah mangsa akan membina semula penempatan atau kediaman samada di tempat asal atau di lokasi baharu yang kurang mereka sukai dan tidak selesa, ini termasuklah struktur kediaman yang tidak lagi mereka kenali.
Seterusnya tahap keempat ialah kediaman tetap yang mana mereka mulai berusaha menerima hakikat kehidupan di lokasi baharu yang tidak mereka pilih dan putuskan sebelumnya [7].
Bencana alam: perang kelas
Hakikatnya adalah ahli masyarakat yang memiliki pendapatan rendah akan mengalami kesulitan untuk membangunkan semula penempatan mereka dan biasanya akan menderita sepanjang proses tahap ketiga dan keempat di atas.
Dalam kerangka hak asasi manusia, kerajaan yang memerintah wajib memberi bantuan penuh untuk golongan ini demi membangunkan semula kediaman mereka supaya masalah lain seperti warga tanpa kediaman (gelandangan), masalah pelarian dan jangkaan negatif sosial tidak berlaku.
Artikel 25 Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR) menyatakan setiap manusia berhak dan diberi jaminan untuk kediaman yang asas; ‘Everyone has the right to a standard of living adequate for the health and well-being of himself and of his family, including food, clothing, housing and medical care and necessary social services, and the right to security in the event of unemployment, sickness, disability, widowhood, old age or other lack of livelihood in circumstances beyond his control’.
Dalam hal ini penempatan sesudah bencana menjadi tanggungjawab kerajaan dan pihak berwajib.
Sosio-ekonomi
Kesan yang paling dirasai selepas berlakunya bencana adalah sosio-ekonomi di mana kehilangan aset merupakan bahagian impak yang paling besar serta boleh dinilaikan.
Terdapat aset yang sama sekali tidak akan dapat dikembalikan seperti mana kita membaca di laman sosial atau akhbar bagaimana meluasnya ahli masyarakat kehilangan kenderaan, harta benda dan barangan saraan hidup.
Kehilangan aset ini adalah satu kejatuhan dalam kualiti hidup, atau kemelesetan serius dari pelaburan. Meskipun terdapat aset gantian hasil derma atau dibeli kemudiannya, ia tidak dapat menggantikan kehilangan aset sebelum di mana ia akan ditanggap sebagai kerugian.
Hal ini menjadi lebih sengit untuk ahli masyarakat yang tidak mempunyai insuran yang mana akibat dari itu, kehidupan mereka sama sekali tidak ada jaminan dan proses membina semula apa yang telah hilang akan menjadi satu hambatan dan dipengaruhi oleh faktor umur, kesihatan mental dan juga kebergantungan [8].
Sekali lagi peranan kerajaan diperlukan untuk membantu komuniti yang telah lumpuh akibat dari bencana ini.
Pihak kerajaan bukan sahaja perlu menetapkan saraan sementara ahli masyarakat mampu berdikari, kerajaan juga perlu mengambil alih tanggungjawab dengan menggantikan semula aset yang telah hilang tersebut.
Secara mudahnya, seorang ahli masyarakat yang pendapatannya rendah memerlukan kenderaan ganti supaya mereka dapat kembali berfungsi dan bekerja. Tanpa bantuan ini, masyarakat akan mengalami kejatuhan nilai dan kualiti hidup seterusnya menyebabkan kemelaratan yang lebih meluas.
Apabila ini berlaku kesetaraan ekonomi tidak akan dicapai dan jurang ekonomi akan lebih melebar sehingga mengakibatkan ketidakadilan semakin runcing.
Sosio-Politikal
Tempoh pemulihan dari bencana kebiasaannya akan terisi dengan konflik. Ini berlaku kerana trauma masyarakat oleh bencana masih kental.
Ahli masyarakat kini perlu membangunkan semula kediaman dan sengketa selalunya berlaku akibat dari perubahan ini. Konflik ini dapat diredakan sekiranya masyatakat memang mempunyai ‘universalistic culture’ berbanding ‘personalistic culture’.
Dalam hal ini, masyarakat Jepun sebagai contoh memiliki budaya kesetiakawanan yang kuat serta membolehkan mereka membangunkan bersama masyarakat semula seraya mengelakkan konflik.
Walaubagaimanapun dalam masyarakat yang telah terasuh oleh budaya personalistik, terdapat kehendak untuk mendirikan agenda masing-masing yang cenderung mengakibatkan perbalahan.
Selain itu akan terdapat perubahan tingkah laku politik di mana pemain politik akan menjadi lebih agresif untuk mendapatkan perhatian warga yang terlibat dan selalunya mengakibatkan perseteruan politik yang lebih sengit. Keadaan ini akan menjadi lebih tidak teratur apabila ahli politik tempatan mencelah dan memburukkan suasana [9].
Dakwaan di laman sosial bahawa bantuan makanan dan pakaian tidak seimbang dan diberi secara pilih kasih, selain agihan makanan dengan logo parti atau wajah ahli poltiik tertentu mengisyaratkan terdapatnya masalah sosio-politikal yang sudah segera membengkak sebaik sahaja bencana ini mulai reda.
Jika hal ini gagal dihindar, atau paling tidak dikawal dengan sempurna, kesan yang lebih besar boleh berlaku malah terdapat sesetengah ahli sosiologi meramalkan keganasan atau terorisme.
Ia boleh mengambil tempat dalam kalangan masyarakat memandangkan ahli masyarakat kini tidak lagi toleran dan moderat akibat keperluan untuk mempertahankan agenda peribadi masing-masing, baik di peringkat kejiranan mahupun di peringkat yang lebih tinggi iaitu politik kenegerian, dan akhirnya mewabak ke peringkat kebangsaan.
Rumusan
Apa yang berlaku di Kelantan pada Disember tahun 2014 adalah satu bencana besar yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali. Banjir tersebut berlaku kerana pembangunan tidak seimbang selain faktor cuaca.
Artikel ini cuba memberikan pengamatan awal terhadap impak sosial yang perlu ditimbang, diakses dan dinilai dengan segera supaya masyarakat kekal sejahtera. Empat aspek iaitu psikososial, sosiodemografik, sosio-ekonomi dan sosio-politikal harus ditangani dengan segera.
Dalam bidang hak asasi manusia, tugas dan peranan untuk membangunkan masyarakat serta membantu ahli komuniti dari empat impak sosial di atas terletak, tergantung dan tergalas di bahu pemerintah.
Adalah penting pihak kerajaan menyedari hak-hak asasi warga yang terkesan oleh bencana ini dengan memberi atau melunaskan hak-hak mereka demi mengelakkan ketidakstabilan dan kepincangan jangka panjang dalam masyarakat.
Sebarang pengabaian bakal mengakibatkan malapetaka yang lebih serius, kali ini yang dimaksudkan adalah malapetaka atau bencana sosial.
Rujukan
[1] Tuan Pah Rokiah Syed Hussain & Hamidi Ismail. 2011. “Implikasi Bencana Banjir Terhadap Sosioekonomi Penduduk Lembangan Kelantan.” Persidangan Ekonomi Kebangsaan Malaysia ke VI (1): 377-388.
[2] Mariney Mohd Yusoff, Goh Hong Ching, Tengku Adeline Adura Tengku Hamzah, Nureni Kase & Nik Juliana Alias. (2011) “Pembangunan Dataran banjir Lembah Sireh, Kelantan: Isu dan Cabaran.” Prosiding Persidangan kebangsaan Masyarakat, Ruang dan alam Sekitar MATRA. 265-280.
[3] Muhammad Barzani Gasim, Salmijah Surif, Mazlin Mokhtar, Mohd. Ekhwan Hj. Toriman, Sahibin Abd. Rahim & Chong Huei Bee. (2010) “Analisis Banjir Disember 2006: Tumpuan di Kawasan Bandar Segamat, Johor.” Sains Malaysiana 39(3)(2010): 353–361.
[4] Michael K. Lindell dan Carla S. Prater. (2003) “Assessing Community Impacts of Natural Disasters.” Natural Hazards Review. November: 176-185.
[5] E.L. Quarantelli. (2006) Catastrophes are Different from Disasters: Some Implications for Crisis Planning and Managing Drawn from Katrina. Disaster Research Center (DRC) at the University of Delaware. Diakses di http://understandingkatrina.ssrc.org/Quarantelli/
[6] Michael K. Lindell dan Carla S. Prater. Hlm. 178.
[7] Enrico L. Henry Quarantelli. (1991) Preliminary Paper 170: Sheltering and Housing After Major Community Disasters: Case Studies and General Conclusions. University of Delaware Disaster Research Centre.
[8] Michael K. Lindell dan Carla S. Prater. Hlm. 178.
[9] Ibid. Hlm. 180.