Projek Dialog

Rohingya & Hipokrisi Aung San Suu Kyi

Suu Kyi Rohingya Di Mana Suu Kyi? Ironinya, Aung San Suu Kyi pada September 2013, telah dinobat sebagai penerima Sakharov Prize for Freedom of Thought oleh Kesatuan Eropah kerana telah mendedikasikan sebahagian dari hidupnya mempertahankan hak asasi manusia terutamanya di Myanmar. Ketika dunia sedang mencari-cari dimanakah beliau untuk menjuarai kepimpinan berteraskan moral dan insani, sungguh malang, bisunya dia atas nasib Rohingya yang merupakan sebahagian etnik di Burma amat mengejutkan. Berdasarkan angka yang disebut oleh PBB, 800,000 Muslim Rohingya adalah etnik minoriti yang paling teraniaya di dunia. Apabila Suu Kyi dipersoal tentang Muslim Rohingya, jawapan beliau menunjukkan bahawa beliau seorang yang sangat berat sebelah dan tidak berperikemanusiaan. Jawapannya bersahaja, kedua-dua pihak Buddha dan Islam sama-sama menderita, sedangkan sudah terang lagi bersuluh tidak begitu senarionya. Buddha di Burma merupakan kekasih politik Burma dan tidak pun dipaksa hidup di kem-kem kotor yang menjijikkan. Dalam temubual BBC TV pada bulan Oktober 2013, beliau menafikan negaranya terlibat dalam pembersihan etnik dan mengatakan bahawa keganasan terhadap umat Islam adalah kerana ketakutan terhadap “kuasa Islam global.” Adakah patut kenyataan ini keluar dari mulut seorang penerima Hadiah Nobel Keamanan? Antara Politik dan Kemanusiaan Apakah mungkin Suu Kyi mengalami satu prejudis peribadi terhadap Muslim berkulit gelap dan langsung tidak mempunyai keberanian politik untuk menggunakan pengaruh beliau bagi menghentikan keganasan? Dia tahu bahawa dia akan kehilangan undi rakyat Rohingya yang merupakan etnik yang amat tidak popular di Burma, dengan banyak yang beranggapan bahawa Rohingya adalah pendatang haram dari Bangladesh. Sikap ambivalens beliau mengenai nasib rakyat Rohingya terus menimbulkan kebimbangan mendalam di peringkat antarabangsa. Ironinya penganut Buddha yang mencintakan keamanan, memuji-muji pula pihak tentera; dan ini merupakan satu lagi percanggahan dan kekeliruan Aung San Suu Kyi hari ini. Dalam 20 tahun beliau menghabiskan umurnya di penjara dan di bawah tahanan rumah, beliau berdiri menentang junta tentera. Suu Kyi Military Tetapi minggu ini gambar beliau telah berjaya dirakam bercakap dengan pihak askar di Sandhurst, UK tentang keperluan untuk “Tentera yang ‘baik’ dan ‘Profesional’ yang disegani dan dihormati oleh rakyat”. Walau bagaimanapun, penindasan terhadap minoriti di Burma secara rutin yang dilakukan oleh Tentera kerajaan, mengingatkan kepada pemerintahan tentera kejam yang telah lalu. Lebih malang, Suu Kyi telah jelas memutuskan bahawa dia memerlukan sokongan tersirat daripada tentera jika dia ingin terus dalam politik walaupun ini seolah-olah bercanggah dengan keperluan untuk membangunkan masyarakat sivil. Kebimbangan telah disampaikan tentang jumlah bantuan yang datang dari Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah untuk menyokong tentera Burma dan bukannya membantu proses membangun-demokrasi. “EU telah berjaya melakukan perkongsian strategik yang bijak dengan pihak tentera Kerajaan Burma dan bukannya rakyat Burma” ulas Kumpulan Hak Asasi Manusia Burma yang berkempen di UK. Suu Kyi sering melaung dan memperjuangkan tema “kebaikan sejagat yang lebih besar” (“the greater common good”). Retorik ini seakan-akan dasar berhati-hati jika beliau ingin mencapai dasar yang lebih progresif selepas pilihan raya akan datang. Malangnya, data kami menunjukkan bahawa beliau yang kononnya datang dari pergerakan perjuangan demokrasi semasa melakukan lawatan ke London, langsung tidak menghadiri satupun mesyuarat yang telah dirancang dengan mana-mana kumpulan hak asasi manusia, juga masyarakat Burma yang hidup di dalam buangan di UK. Ini sahaja telah menunjukkan sikap dia yang seakan “jatuh dari keihsanan” (“fall from grace”). aungsansuukyi Harapan Terlalu Besar? Apakah mungkin kita yang salah dengan mengharapkan terlalu banyak pada Suu Kyi? Dengan melihat kepada beliau untuk melakukan apa yang betul dari segi moral dan bukannya politik suai-manfaat. Kami pernah berharap beliau akan menjadi contoh yang menyerlah berbanding semua kelemahan demokrasi Barat. Sungguh bahawa harapan kami kali ini berkecai kerana beliau sedang sahaja menyesuaikan diri dengan demokrasi kuku besi ala barat, yang sengaja melakukan jenayah dalam senyuman. Walau bagaimanapun, perlembagaan Burma melarang individu dengan pasangan atau anak-anak warganegara asing dari berkhidmat sebagai Presiden – nampaknya perlembagaan ini langsung ditujukan kepada Suu Kyi. Dia akan memerlukan sokongan popular untuk mencapai pindaan perlembagaan dan kemudiannya memenangi jawatan Presiden. Adalah sangat tidak patut apabila beliau telah mengorbankan sokongan minoriti Rohingya dalam keadaan beliau sedang menginginkan undi supaya perlembagaan negaranya dipinda. Matlamat tidak menghalalkan cara, sebagaimana nasib rakyat Rohingya hari ini diketepikan supaya tidak meruntuhkan cita-cita beliau untuk meraih jawatan tersebut. Umat Islam di Burma terus sengsara di kem-kem pelarian yang kotor, mereka hidup dalam buangan, tanpa negara, tanpa harapan dan tanpa apa-apa penyelesaian yang boleh dijangka dalam masa akan datang. Jika tidak Aung San Suu Kyi, siapakah lagi yang mampu memperjuangkan hak-hak sivil rakyat di sana? Article 19

]]>

Isu Rohingya: Jadilah Jalan Penyelesaian

Lagi beberapa minggu, atau mungkin beberapa hari, kita akan lupakan warga Rohingya sepertimana Permatang Pauh dan Rompin sudah dilupakan. Media akan mengabaikan nasib Rohingya apabila berita tidak hangat lagi.

Parti politik dan kerajaan tidak akan membuat lawatan ke pusat pelarian dan menjawab soalan di Parlimen. Dan selepas itu, pengguna media sosial dan kebanyakan daripada kita yang kononnya kisah pasal nasib Rohingya tidak peduli lagi.

Ramai yang menzahirkan perasaan marah, sedih, dan simpati terhadap nasib Rohingya. Tetapi perasaan kita tidak bermakna dan tidak membawa apa-apa perubahan selagi tidak digunakan untuk membuat sesuatu.

Ada yang bermain permainan “siapa salah?” Ya, mungkin salah kerajaan Myammar kerana menindas dan mengusir kaum Rohingya daripada tanah mereka. Mungkin salah kerajaan Malaysia kerana tidak melakukan sesuatu yang lebih dari sekarang untuk menolong mereka. Mungkin salah umat Islam kerana tidak menolong bangsa seagama mereka. Mungkin salah penganut agama Buddha kerana tidak mengecam rejim Burma.

10524664_857205407701191_3653860953507278483_n.jpg

Semua andaian ini mungkin betul, tetapi setiap saat yang kita guna untuk permainan “siapa salah?” mungkin boleh digunakan untuk menolong mereka.
Kita boleh sahaja mengungkit cerita dari zaman silam untuk mengenalpasti siapa yang salah, tetapi berbuat sesuatu biar bertempat. Adakah ini masanya untuk mengutuk atau membantu? Sejauh mana sahaja hasilnya permainan salah-menyalahkan ini?

Kita harus realistik. Sebagai rakyat biasa kita tidak berpengaruh mengubah polisi secara langsung dalam masa terdekat.

Kita tidak boleh memaksa kerajaan Malaysia menerima ribuan pelarian Rohingya dan menubuhkan agensi khas untuk meyelaraskan bantuan dan persinggahan mereka.

Kita bukan Thein Sein atau Aung San Suu Kyi. Kita tidak dapat mempengaruhi dasar kerajaan Myammar. Kita bukan Ban Ki Moon, Kofi Annan atau Barack Obama. Apa yang kita katakan tidak mempunyai kesan terhadap hubungan diplomatik dan tekanan antarabangsa.

Namun, apa yang kita ada adalah sedikit wang dan modal sosial. Ada di antara kita yang berpengaruh dan berkedudukan, gunakanlah ia untuk membantu Rohingya secara berkesan. Orang yang berduit dan berkemampuan, dermakanlah kepada agensi yang sedang gigih berusaha menyalurkan bantuan. Biar sedikit pun. Mungkin RM 10 yang kita beri itu dapat membeli makanan untuk 3-4 orang yang sudah seminggu tidak makan. Kepada yang percaya kepada Tuhan, Tuhan akan balas.

11112918_884788818244432_3751220680790156776_n.png

Alasan yang paling biasa digunakan adalah “Saya tiada duit”. Pertamanya, itu alasan yang menipu diri dan orang lain.
Saya tahu sebab saya selalu menggunakan alasan itu. Namun, saya ada sahaja duit untuk makan di luar dan membeli-belah pada hujung minggu.
Walau semiskin mana pun, kesusahan kita (yang dapat membaca makalah ini) tidak mampu menandangi penderitaan Rohingya.
Bayangkanlah ditendang keluar dari negara kamu, tidak dikehendaki oleh mana-mana negara, miskin, kebuluran, kehilangan ahli keluarga, dan tidak berani menaruh harapan untuk masa depan yang baik.
Kita masih mampu memberi kepada mereka walaupun kita “miskin”.
Keduanya, kalau kita tidak memberi duit, kita masih boleh menyumbang tenaga dan sokongan kepada mereka yang giat membantu warga Rohingya. Semua agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa bencana dan memberi bantuan kemanusiaan sudahpun tak termampu.
Mereka tidak menjangkakan bencana di Nepal, dan kini ribuan Rohingya mahu mendarat di Malaysia, Indonesia dan Thailand. Agensi yang membantu kini memerlukan bantuan, dari segi wang dan tenaga kerja. Sumbangkanlah apa yang ada.
Ketiga, kebarangkalian orang yang membaca makalah ini mempunyai Facebook dan Twitter. Maka kita mempunyai modal sosial yang boleh digunakan untuk berkongsi dan sebarkan kempen bantuan kemanusiaan. Mungkin kita tidak dapat memberi, tapi kawan-kawan kita akan memberi. Keempat, kita harus memberi peluang kepada golongan imigran yang datang mencuba nasib di negara kita. Mungkin nenek moyang kita juga pernah beradu nasib berhijrah ke negeri lain dan memulakan kehidupan baru. Jangan kita memandang mereka dengan penuh kemusykilan dan kebencian. Sokong perniagaan kecil-kecilan mereka atau sekurang-kurangnya, jangan menyusahkan kehidupan mereka yang sudah penuh derita. Ini terutamanya mereka yang mempunyai pembantu rumah atau pekerja imigran. Jangan sekali-kali membenarkan penindasan terhadap mereka di depan matamu!

Selalunya, saya berwaspada kepada individu dan organisasi yang meminta duit kerana saya tidak kenal mereka dan tidak yakin samaada duit itu akan disalurkan setulusnya kepada penerima yang dijanjikan. Jadi, saya telah cuba mencari maklumat tentang agensi bantuan kemanusiaan dan berkongsikan kempen mereka sepanjang tulisan ini.

Jika anda menyumbang kepada mana-mana kempen ini, anda boleh meyakini bahawa duit anda akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk usaha yang murni kerana individu/agensi yang disenaraikan adalah terkenal dengan misi bantuan kemanusiaan dan mempunyai rekod prestasi yang membanggakan.

11268364_10153309412253259_1274464414344548034_n.jpgKita boleh menyalak, tapi adakah itu bermanfaat buat masa ini? Apa lagi yang boleh kita lakukan? Jadilah sebahagian daripada penyelesaiannya.

Cukuplah dengan rungutan kita di media sosial dan perbalahan yang tidak membawa ke mana-mana. Semangat dan sentimen ketidakadilan yang kita rasai itu bagus, namun ia tidak mendatangkan kesan jika kita tidak menyalurkan semangat itu untuk melakukan sesuatu.

Tiga tahun yang lalu, saya memberi ucapan di Stadium Melawati sempena program MyGMJ (Malaysia Global March to Jerusalem). Sejurus selepas ucapan itu, kawan saya berkata kepada saya, “Aku harap ia bukan sekadar bicara.”

Sampai hari ini saya ingat pesanan itu. Jangan hanya bercakap untuk tunjuk bahawa kita kisah. Itu jalan yang mudah. Jalan yang kita harus ambil adalah yang membawa ke arah kebaikan.

Saya harap saya lakukan apa yang termampu untuk membantu orang lain (dan juga ke Palestin suatu hari nanti). Dan apa yang saya boleh lakukan adalah menulis.

Article 19

]]>

Krisis Kemanusiaan ASEAN Kelaut?

Rohingya Prayer Rohingya di Mata Dunia – Reaksi Rakyat ASEAN Baru-baru ini tersebar luas isu “Boat People” atau pelarian bot di tengah-tengah lautan berdekatan negara Malaysia, Thai dan Indonesia. Ratusan pelarian Rohingya dan Bangladesh terperangkap di dalam bot oleh sindiket penyeludupan manusia di tengah-tengah laut tanpa makanan dan air minuman bersih. Malah, isu ini telah menjadi liputan berita utama tempatan dan antarabangsa, dan warga internet sibuk menjadi jaguh menegakkan hak asasi manusia. Pada masa yang sama, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah berkali-kali merayu ASEAN untuk bertindak. Di media, tersebar juga isu-isu kemanusiaan dimana terdapat ramai pelarian Rohingya dan Bangladesh yang mati kebuluran, yang terpaksa meminum air kencing sendiri, yang dihumbankan ke laut kerana sakit tenat, dan sebagainya. Terdapat juga gambar-gambar pelarian anak-anak kecil yang melaung menangis meminta pertolongan. Melihat keadaan tersebut, terdapat ramai rakyat Malaysia dan Indonesia yang telahpun mengadakan kempen dermaan untuk menolong pelarian tersebut. Malah, komuniti ASEAN juga saling bantu-membantu menyebarkan krisis kemanusiaan ini ke seluruh pelosok Asia Tenggara dan dunia. Di sini terlihatnya semangat kekitaan dan perpaduan ASEAN yang diwar-warkan oleh para pemimpin ASEAN.   [caption id="attachment_4737" align="aligncenter" width="522"]Rohingya Rejected Gambar: Stephanie Peray[/caption] Krisis Pemimpin Tepis Bola Ping Pong Sebaliknya, perkara yang berlainan pula berlaku dalam kepimpinan ASEAN di peringkat atasan. Para pelarian Rohingya dan Bangladesh ini dijadikan bola ping pong di antara negara-negara ASEAN; masing-masing bersikap tidak endah dan menepis krisis ini tanpa perikemanusiaan. Tidak kisahlah mereka ini sesaudara Muslim, harga nyawa mereka tidaklah sepenting isu Palestin-Israel yang menyebabkan sesetengah orang Islam memboikot McDonald’s dengan hangat-hangat tahi ayam; tidak kira jugalah mereka ini sesaudara Asia Tengara, walhal mereka berstatus pelarian politik dan bukannya pekerja migran seperti yang disalah-anggap oleh sesetengah pihak. Mereka lari ke sini bukan kerana ingin “mencuri” kerja warga tempatan, tetapi kerana kekejaman politik di Myamar terhadap minoriti Islam di daerah Rakhine. Di Myanmar, agama Buddha disalahgunakan menjadi ideologi negara bagi menghalalkan pembunuhan dan penyeksaan etnik Rohingya. Sepanjang pemerintahan Junta di Mynamar, mereka dikandangkan dalam kem-kem pelarian serta dikongkong melalui undang-undang diskriminasi seperti perkahwinan, hak beranak, kebebasan bergerak, status kewarganegaraan dan sebagainya. Perkara ini membawa saya kepada persoalan ASEAN yang kita masing-masing perlu bertanya: apakah agenda Komuniti ASEAN hanyalah suatu agenda geopolitik? Apakah isu kemanusiaan hanya dipandang berat jika ia sealiran dengan politik antarabangsa Malaysia dan ASEAN? ASEAN Leaders Malaysia – Kepimpinan Dayus dalam ASEAN? Malaysia sebagai pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah nekad menjadikan ASEAN sebagai Komuniti ASEAN yang kukuh dari segi politik, ekonomi dan sosial. Beliau juga memuji dasar ‘non-interference’ (tidak campur tangan) sebagai tunjang pencapaian ASEAN. Apa yang merisaukan, Myanmar telah mengancam ASEAN supaya tidak membincangkan isu Rohingya di Sidang Kemuncak ASEAN. Kita sering mengatakan bahawa kita berbeza dengan Kesatuan Eropah kerana kita mengikut cara ASEAN atau ‘ASEAN Way’ dan apa-apa isu akan dibincangkan bersama melalui konsep ‘ASEAN Centrality’. Kepentingan ASEAN diutamakan dalam kerjasama serantau dan pembinaan komuniti. Pada Sidang Kemucak ASEAN yang ke-26 baru-baru ini, Malaysia berkobar-kobar semangat untuk membentuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), wawasan pasaran ASEAN yang disatukan, dan rancangan ASEAN Pasca-2015 untuk mencipta warga ASEAN yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi serta menjana ekonomi ASEAN yang setaraf dengan negara Cina, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun. Sebaliknya, interaksi dengan masyarakat awam tentang isu-isu hak asasi manusia agak dangkal. Selain memperkenalkan “Anugerah Masyarakat ASEAN” (“ASEAN Peoples’ Award”) dalam ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, tiada cadangan konkrit yang diutarakan bagi menangani isu pelarian politik Rohingya. Isu kemanusiaan diperlekehkan sebagai tidak penting dalam pembentukan AEC. Persoalannya, dimanakah kepentingan ASEAN dalam isu krisis kemanusiaan ini? Yang menghairankan, partisan politik Malaysia di kiri dan kanan sebulat suara bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk tidak menerima pelarian politik Rohingya ke dalam Malaysia. Isu Rohingya ini bukanlah isu baru, jika di zaman Tunku Abdul Rahman dahulukala kita boleh bersuara lantang menolak “Apartheid” di Afrika Selatan, di mana pendirian Malaysia sekarang? Adakah isu Rohingya ini satu isu keselamatan politik? Ataupun kita terlalu daif dalam realiti ASEAN yang perlu kita tangani? Rescue Rohingya Penyelesaian Sebenar Untuk ASEAN Saya tidak nafikan isu Rohingya ini perlu ditangani dengan hemah, terutamanya kerana ia melibatkan hubungan diplomatik serantau di antara Malaysia, Myanmar dan negara-negara ASEAN yang lain. Namun, ia hanya merugikan Malaysia dan ASEAN jika kita berdiam diri. Isu pelarian bot ini telah memalukan Malaysia di mata dunia, Malaysia dianggap gagal dan dayus dalam kedudukannya sebagai pengerusi ASEAN tahun ini. Langkah utama yang Malaysia perlu ambil adalah menegakkan pendirian negara kita, iaitu menawarkan hak kemanusiaan kepada pelarian politik tersebut seperti Filipina baru-baru ini yang mengambil tiga ribu pelarian bot Rohingya. Kes tentera laut Malaysia yang menghalang pelarian bot dari masuk ke perairan Malaysia adalah amat dikesali. Malaysia juga perlu meneliti dasar luar negara kita. Dengan cita-cita Komuniti ASEAN Pasca-2015, kita perlu bersedia mengukuhkan dan memperkembangkan institusi-institusi ASEAN bagi menangani isu-isu yang bersifat transnasional. Kini, sekretariat ASEAN mempunyai belanjawan tahunan yang amat daif berbanding dengan sekretariat Kesatuan Eropah, malahan kita tidak mempunyai mekanisma, pengetahuan mahupun sumber manusia yang sesuai untuk menangani krisis-krisis tersebut. ASEAN juga mempunyai hubungan antarabangsa yang terlalu polarisasi, perlunya lebih penyatuan agenda atau “shared agenda” dalam isu-isu yang bertindih atau “overlapping”, hal ini termasuklah menangani isu pelarian politik untuk jangka masa panjang. Semakin penting ASEAN di mata dunia, semakin ASEAN perlu mengenepikan dasar tidak campur tangan. Malaysia perlu menunjukkan semangat kepimpinannya dalam ASEAN dan menjadi orang tengah dalam isu politik dalaman Myanmar. Isu Rohingya ini rumit, ia bukan sahaja menyentuh isu diskriminasi etnik minoriti, tetapi juga struktur politik Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Isu ini mungkin tidak akan selesai dalam sekelip mata, namun ASEAN perlu menunjukkan bahawa ia sama sekali tidak dapat menerima diskriminasi dan penyeksaan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya. Penyelesaian berbilang hala (multilateral) yang melibatkan kerjasama antara semua negara-negara ASEAN perlu diutamakan. [caption id="attachment_4734" align="aligncenter" width="461"] REUTERS/Junaidi Hanafiah (INDONESIA)[/caption] Realiti Kemanusiaan Malaysia & Warga Asingnya Yang paling penting sekali adalah rakyat Malaysia perlu berdepan dengan realiti masa depan Malaysia di Asia Tenggara. Negara Malaysia dibina oleh warga migran yang kebanyakannya diseludup masuk secara haram ataupun dijadikan kuli tanpa hak-hak pekerja. Sebahagian mereka adalah pelarian politik, dan ianya rahsia terbuka bahawa Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian politik. Walaupun telah berdekad-dekad menetap di Malaysia dan beranak-pinak, mereka tidak diberikan status warganegara ataupun penduduk tetap (PR). Kita angkuh dengan status negara membangun dan hidup dalam keselesaan duniawi. Tiap-tiap hari kita menutup sebelah mata kepada warga migran dan pelarian politik di sekeliling kita. Mungkin sekarang kita sudah celik, mungkin kita terharu dan berlinang air mata lihat gambar anak-anak kecil Rohingya yang menangis menjerit meminta tolong. Sebagai rakyat Malaysia, amat penting sekali kita melihat isu sebenar atau gambaran besarnya (“the big picture”). Malaysia hanya akan diiktirafkan sebagai negara dunia pertama jika prinsip kemanusiaan kita seiring dengan pencapaian ekonomi. Geopolitik Malaysia mestilah ke arah prinsip serantau yang mengutamakan komuniti ASEAN sebangai tunjang pencapaian. Isu Rohingya adalah isu rakyat Malaysia juga, kerana kos kemanusiaannya akan memberi impak ekonomi negatif terhadap Malaysia. Selain itu, perkara serius yang kita perlu depani adalah isu pelarian politik. Kita tidak mampu berdiam diri tanpa menyuarakan pendirian Malaysia tentang menandatangani deklarasi pelarian politik di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Persoalan yang saya ingin rakyat Malaysia bertanya: Adakah negara Malaysia sudah matang dalam politiknya untuk menerima pelarian politik? Sampai bila lagi tentera laut Malaysia perlu mengawasi pelarian politik dan bukannya menjalani tugas sebenar mereka, iaitu menjaga keselamatan politik negara kita? unnamed

]]>

Apabila Islam Adalah Minoriti

Islam di pinggiran Menjadi orang beragama Islam di Amerika dan Eropah bukan sesuatu yang mudah. Seperti mana-mana minoriti di mana-mana negara, mereka sering dijadikan “punching bag” oleh mereka yang paranoid, mencetuskan ketakutan dan kebencian, dan memburuk-burukkan orang yang lain daripada mereka. Sudahlah menjadi majoriti yang bertampuk kuasa, mereka ini tidak sanggup melihat pengaruh mereka dihakis oleh golongan lain dan oleh itu, apabila mereka terasa dicabar, mereka mendepani cabaran itu dengan mengalih perhatian kepada golongan minoriti dan menjadikan golongan minoriti sebagai “punching bag” untuk menarik sokongan. Di Amerika, golongan konservatif seperti sesetengah Republicans buat-buat takut dengan khabar angin bahawa kononnya nilai-nilai Amerika (American values) semakin dihakis oleh golongan Muslims. Seorang senator di Florida mengatakan bahawa undang-undang anti-Sharia/anti-Muslim adalah “satu keperluan dan langkah pencegahan yang sama seperti undang-undang pencegahan vaksin terhadap penyakit-penyakit tertentu”. Seorang wakil rakyat di Oklahoma pula berkata bahawa orang Kristian harus berhati-hati dengan orang Islam yang merancang untuk membunuh orang Kristian. Gila. Gila. Semuanya gila. Tetapi itulah yang berlaku. Diskriminasi dan penindasan Sejak 9/11, golongan Muslims di Amerika menghadapi pelbagai rintangan. Dari segi diskriminasi (institutional discrimination), lebih daripada 20 peratus daripada laporan diskriminasi atau tuntutan yang difailkan dengan EEOC adalah dari umat Islam, walaupun umat Islam hanya 2 peratus daripada populasi Amerika. Pembinaan masjid juga agak sukar di sesetengah kawasan yang majoritinya beragama Kristian. Jika hujah sesetengah penduduk Taman Medan (atau mereka yang diupah) adalah pembinaan gereja menganggu sensitiviti penduduk yang majoritinya beragama Islam, hujah yang sama juga digunapakai di sini untuk menghalang pembinaan masjid. Adakah itu sesuatu yang betul? Di Eropah, dalam satu kajian 2011 oleh Pew Global Attitudes Project, majoriti responden di Jerman (72 peratus), Sepanyol (69 peratus), Perancis (54 peratus), dan United Kingdom (52 peratus) berpendapat bahawa umat Islam di negara mereka mahu diasingkan daripada masyarakat arus perdana. Yang paling teruk adalah pengharaman pakaian agama yang diperkenalkan di Perancis dan Belgium, di mana memakai burqa dan lain-lain bentuk wajah-meliputi “headwear” di khalayak ramai telah dilarang sejak 2011. Hipokrisi? Apabila semua ini berlaku, golongan beragama Islam di Malaysia mengutuk penindasan ini. Katanya, manusia wajar diberi kebebasan untuk memilih dan mempraktik agama mereka. Semangat untuk bersolidariti dengan saudara/saudari mereka yang beragama Islam di negara lain memberi motivasi untuk berjuang bersama menuntut hak mereka sebagai minoriti. Tetapi apabila agama lain di negara Malaysia dikecam oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan gemar mencetuskan kebencian, mana mereka ini yang memperjuangkan hak minoriti dan kebebasan beragama? Apakah mereka hanya peduli jika mangsa penindasan adalah saudara/saudari yang sama agama dengan mereka? Atau adakah kejahilan mereka berpunca daripada hakikat mereka tidak pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti dan merasai cengkaman terhadap kehidupan mereka? Pada hemat saya, sesiapa yang pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti di negara luar akan berhadapan dengan dua pilihan apabila mereka kembali ke tanah air sebagai golongan majoriti. Yang pertama, mereka berikrar untuk memastikan bahawa mereka tidak akan lagi menjadi minoriti. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Islam daripada sebarang cabaran dan berwaspada dengan sebarang usaha yang seolah-olah berkemungkinan mengancam kedudukan mereka sebagai golongan majoriti yang senang. Yang kedua, mereka akan memastikan bahawa tidak akan ada golongan minoriti yang akan ditindas begitu di tanah air. Mereka telah merasai ketidakadilan dan diskriminasi di negara luar dan sedar bahawa golongan minoriti sering diasingkan dan dijadikan mangsa “punching bag” percaturan politik. Jadi apabila kembali ke tanah air, mereka boleh sahaja menikmati kesenangan sebagai golongan majoriti, tetapi mereka memilih untuk turut mempertahankan hak minoriti dan berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum, agama, dan kelas. Terlalu banyak yang mengambil jalan pertama kerana ia adalah pilihan yang mudah. Namun pada saya, jalan kedua lebih dekat dengan seruan Islam. Al-Anbiya: 107: “Tidaklah Kami mengutus engkau kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.” unnamed

]]>

Mencari cinta di Kuala Lumpur

Masuk Islam tu bukan ke masuk Melayu?”    Persoalan ini sebenarnya telah lama terbuku di minda saya dan mendengarnya dari atas pentas hanya mengesahkan bahawa bukan saya seorang sahaja yang berfikiran sedemikian. Sejak kecil, saya bergaul dengan rakan rakan yang berlainan bangsa dan agama. Matlamat kami sebenarnya sama, untuk mencari rakan saban hari, namun menjadi lumrah kami dipisahkan ketika menghadiri kelas mengaji, kelas kitab injil, ataupun upacara keagamaan masing masing. Tatkala usia mencapai remaja dan kini dewasa, ada antara pergaulan ini yang membawa kepada cinta, yang kebanyakannya samada berakhir dengan ucapan “til jannah” yang popular saban kini ataupun tidak kesampaian kerana kekangan keluarga, yang salah satu sebab utamanya adalah agama. Seperti yang dikatakan dalam satu lagi skrip karya Alfian Sa’at, dalam teater Parah, “Tidak salah berkawan dengan berlainan bangsa, tetapi jangan sampai dibuat teman lelaki!” Kisah yang saya rasa lebih dekat dengan pembaca tentunya filem Sepet karya Allahyarhamah Yasmin Ahmad. Jenaka ‘masuk Melayu’ juga ada diutarakan kepada Jason dalam satu adegan ketika hubungan beliau dengan Orked dijadikan bahan seloroh rakan rakan Jason. Jadi, betulkah jika masuk Islam itu, masuk Melayu? Kisah suatu pengalaman Bekas teman lelaki saya ketika di Australia merupakan seorang agnostik, yakni beliau percaya bahawa terdapat suatu kuasa agung yang mencipta dunia, tetapi tidak berpegang kepada mana mana agama asas (organized religion), walaupun beliau dibesarkan sebagai seorang Kristian. Kami sering berdebat tentang perlunya beliau menganut agama Islam jika kami ingin menuju perkahwinan di Malaysia, dan saya sebagai seorang yang degil inginkan beliau memahami Islam sebelum menganutinya. Tambahan pula, kerjaya kami sebagai saintis membawa satu lapisan debat lagi di mana beliau berpendapat bahawa agama saya tidak menggalakkan kemodenan dan kemajuan bidang sains. Saya akui, walaupun dilahirkan Islam dan Melayu, bahawa saya sendiri tidak pasti akan mana garis pemisah antara agama dan budaya, tambahan pula jika apa yang dikatakan ‘Islam’ itu sebenarnya budaya kaum Arab. Apatah lagi, Perlembagaan Malaysia meletakkan agama dan budaya ini bersama sama di mana status bumiputera atau Melayu itu mestilah beragama dan mempraktikkan cara hidup Islam. Walaupun perhubungan kami tidak kekal, sepanjang tiga tahun perhubungan kami membuka minda saya sendiri tentang mana batasnya Islam, dan mana yang dikatakan Melayu. Saya lebih banyak membaca tentang agama dan budaya dan kami sering membanding pendapat dan pengalaman kami yang datang dari dua budaya dan agama yang berbeza. Ironi bahawa seorang agnostik mengajar seorang Muslim untuk mendalami agama beliau sendiri. Hikmah dari pelbagai sumber Antara kebanyakan majlis perkahwinan dwi-budaya yang saya hadiri, kenangan yang paling menggembirakan saya adalah majlis rakan saya di Kuching. Beliau berbangsa Melanau-Iban, beragama Islam; dan suami beliau merupakan seorang yang berbangsa Cina. Majlis akad nikah diadakan di waktu pagi, disertai semua kaum keluarga dan rakan rakan akrab beliau yang semuanya datang dari Semenanjung. Majlis disusuli pula dengan upacara minum teh di rumah pihak lelaki dan pada sebelah malamnya, majlis resepsi di hotel. Yang menariknya, kami semua berpakaian tradisional mengikut kaum pada majlis majlis di siang hari dan mengenakan pakaian moden untuk majlis resepsi- tetapi semua hadirin, termasuk ibu bapa kedua mempelai, menari joget lambak dan menyanyi karaoke diiringi pancaragam di atas pentas semasa majlis resepsi untuk meraikan pengantin. Seolah-olah hanya ada satu budaya malam itu – iaitu untuk meraikan dan bergembira. Yang saya pasti, sehingga kini, suami rakan saya tidak ‘memasuki’ budaya kaum etnik rakan saya, tetapi mencintai rakan saya seadanya. Langkah beliau menganuti Islam tidak menghalang beliau untuk bersama sama isteri meraikan Tahun Baru Cina ataupun mengunjungi pihak mertua sebagai tanda hormat ketika upacara keagamaan ataupun budaya masyakarat berbilang bangsa. Tekanan hidup sebagai wanita independen Saya pasti ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mempunyai cerita perkahwinan dwi-budaya dan agama sebegini. Ada yang menyatakan bahawa perbezaan agama dan budaya membawa kepada ikatan perkahwinan yang lebih utuh, manakala ada pula yang tidak kekal kerana tidak dapat mencari titik keseimbangan toleransi antara agama dan budaya yang berbeza. Sukar untuk seorang wanita bujang yang tidak memenuhi kotak-kotak stereotaip semasa untuk mencari pasangan hidup di Kuala Lumpur. Saya tahu, kerana saya mengalaminya. Kebanyakkan rakan menasihati saya bahawa jodoh saya bukan dengan lelaki Melayu, mahupun lelaki Malaysia. Namun sebagai seorang optimis, saya mengisi borang “Halal Speed Dating” yang akan diadakan pada 9hb Mei ini. Secara terangnya di dalam borang tersebut dinyatakan bahawa peserta acara ini harus menimbang baik kemungkinan untuk memeluk agama Islam jika mereka menjumpai cinta melalui platform tersebut. Tidak pula dinyatakan pihak penganjur yang “matchmaking” hanya akan dibuat antara peserta yang sama kaum etnik. Namun, antara kemungkinan yang bakal berlaku termasuk ada yang jatuh cinta tetapi tidak dapat berkahwin dengan individu yang mereka cintai kerana perbezaan agama. Ada pula yang memeluk agama semata mata untuk menghalalkan cinta. Manakala ada yang akhirnya menjumpai agama ketika mencari cinta sesama manusia. Usah dalam ketaksuban kita mempertahankan Tuhan, kita lupa untuk mencintai sesama manusia, seperti satu lagi bait skrip Nadirah karya Alfian Sa’at: “Bagaimana mahu mencintai Tuhan jika tidak mampu untuk mencintai seorang manusia lain?” Saya tidak mampu menjadi sesuci Rabiatul Adawiyah, namun perlu rasanya keseimbangan untuk berterusan mengenali agama sendiri dan mencintai agama dan diri sendiri sebelum mencari cinta di hutan  konkrit yang dinamakan Kuala Lumpur. unnamed  

]]>

Insiden Protes Salib: Renungan dan Harapan

Hindari konflik agama dan kaum! Meskipun protes salib tidak menggundang sebarang keganasan seperti mana insiden Taman Medan pada tahun 2001, amat jelas bahawa konflik membabitkan kaum dan agama wajar dielakkan di sebuah persekutuan yang bernama Malaysia. Tidak cukupkah apa yang berlaku di gereja The Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur yang dibakar pada 8 Januari 2010 serta insiden cat hitam disimbah pada dinding luar Gereja Baptist Melaka di Durian Daun pada 10 Januari 2010? Begitu juga insiden balas seperti serangan terhadap dua surau berasingan di Muar menjadi sasaran serangan pembakaran sengaja dan sebuah lagi surau di Seremban disimbah dengan cat merah dan disepahkan dengan botol arak pada tahun 2010. Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan yang mempunyai masyarakat majmuk memerlukan toleransi rakyatnya untuk memahami adat, kaum serta agama antara satu sama lain.   unnamed  

]]>

Manifesto Kejuruteraan Kritikal

Penterjemahan “The Critical Engineering Manifesto” oleh The Critical Engineering Working Group. Untuk mendalami wacana ini dengan lebih lanjut layari: http://discourse.criticalengineering.org/ Diterjemah oleh: Johan Zolhaidi dan Ahmad Fuad Rahmat.    0. Jurutera Kritikal merasakan bahawa kejuruteraan merupakan bahasa yang paling transformatif buat masa ini, membentuk haluan untuk kita bergerak, bertutur dan berfikir. Ianya merupakan kerja jurutera kritikal untuk mempelajari dan menggunakan bahasa ini, mendedahkan pengaruhnya. 1. Jurutera Kritikal menganggap kebergantungan terhadap teknologi merupakan suatu cabaran dan ancaman. Semakin kuat kebergantungan kita terhadap teknologi, semakin pentinglah bagi kita mempelajarinya dan mendedahkan mekanisme dalamannya, tanpa menghiraukan hak pemilikan ataupun kontrak 2. Jurutera Kritikal meningkatkan kesedaran bahawa kecelikan techno-politik kita dicabar pada setiap langkah kemajuan teknologikal. 3. Jurutera Kritikal merungkaikan semula dan mencetuskan rasa was-was terhadap pengalaman pengguna yang kaya. 4. Jurutera Kritikal menjangkaui rasa “kekaguman terhadap implementasi” supaya lebih mengenali pengaruh kaedah dan akibat mereka yang khusus. 5. Jurutera Kritikal mengenalpasti bahawa setiap hasil rekayasa turut membentuk penggunanya, selaras dengan kebergantungan pengguna terhadapnya. 6. Jurutera Kritikal meluaskan definisi “mesin” untuk menggambarkan hubungan yang merangkumi alat-alat, tubuh-tubuh, agen-agen, daya-daya dan juga jaringan-jaringan. 7. Jurutera Kritikal meneliti ruang di antara pengeluaran dan penggunaan teknologi. Bertindak secara pantas terhadap perubahan-perubahan yang berlaku di dalam ruang tersebut, Jurutera Kritikal berperanan untuk mendedahkan waktu-waktu ketidakstabilan dan penipuan yang terkandung dalam proses tersebut. 8. Jurutera Kritikal mengimbau semula sejarah-sejarah seni, senibina, aktivisme, falsafah dan daya cipta dan menghasilkan pelbagai contoh Rekayasa Kritikal. Strategi, idea-idea dan agenda-agenda daripada disiplin-disiplin tersebut akan digunakan semula, supaya diberi tujuan yang baru dan diatur kedudukannya. 9. Jurutera Kritikal mengenalpasti bahawa kod yang tersirat turut memberi kesan kepada wilayah sosial dan psikologikal, menentukan perangai diantara manusia dengan mesin-mesin yang digunakan oleh mereka. Dengan memahami situasi ini, Jurutera Kritikal ingin merungkaikan semula kekangan pengguna dan aksi sosial melalui sarana penggalian digital. 10. Jurutera Kritikal menganggap pemanfaatan ini sebagai pendedahan yang paling didambakan.

]]>

Ambil tindakan kepada mereka yang membuat ugutan online

Oleh Syerleena Rashid “Aku mahu berjumpa dengan perempuan itu…sudah lama rasanya tidak menumbuk seseorang…siapa kisah jika aku digelar dayus kerana mencederakan wanita…dia patut mati!” Kenyataan di atas merupakan sebahagian daripada reaksi terhadap Aisyah Tajuddin. Penulis ingin bertanyakan satu soalan, adakah komen tersebut menyebabkan kamu marah? Jika tidak, ia bermakna kamu membenci wanita. Dan, jika kau tidak mengerti apa itu misogini dan merasakan video tersebut anti-Islam sebelum kamu melihat paparan video dengan menyeluruh. Maka, ia bermakna kamu mengalami defisit intelektualisme, dan hadirin sekalian, perkara ini mengundang dampak yang memusnahkan. Video terbitan BFM telah mengundang kemarahan orang ramai. Ia menunjukkan betapa jijiknya pemikiran sempit orang Islam-Melayu. Video tersebut sudah ditarik-balik, namun dampaknya akan sentiasa menghantui segelintir masyarakat. Terdapat banyak caci maki dan ugutan diterima di media sosial; mengukuhkan lagi bahawa gejala misogini di dalam talian internet sangat merisaukan dan harus dipantau secara serius. Apa yang menjadikan komen-komen ini lebih merisaukan adalah ruangsiber yang luas buat golongan pentaksub meluahkan dan mengancam sesiapa sahaja tanpa mudah dikesan. Komen-komen ini turut memaparkan sikap kurang waras segelintir golongan apabila berdepan dengan topik-topik sensitif, khususnya, melibatkan agama. Isu Hudud telah menggantikan ketakutan kita terhadap bayang-bayang 13 Mei. Bagi sesetengah orang (Muslim dan bukan Muslim), ketakutan ini berpunca daripada ketidaktahuan mereka terhadap Hudud, telah mencetuskan rasa syak dan prasangka terhadap masyarakat. Perbahasan tentang hudud, atau kurangnya perbahasan, telah menciptakan argumen remeh untuk warga Malaysia, lantas mematikan hujah perbahasan (samada kamu bersetuju atau tidak bersetuju). Jika seorang Melayu-Muslim mahu mengangkat kerisauan tentang bagaimana Hudud dapat dilaksanakan di dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, pengkritik yang taksub akan menggelar anda murtad dan mendorong kecaman teruk di media sosial. Di dalam kes Aisyah Tajuddin, dia telah menjadi mangsa kerakusan golongan pentaksub untuk dijadikan kambinghitam dan tempat untuk melepaskan geram. Dia bukanlah satu-satunya mangsa yang diancam dengan ugutan. Nik Raina Nik Abdul Aziz (pengurus kedai Borders), Dyana Sofya (setiausaha politik Sdr. Lim Kit Siang) dan penulis sendiri – telah dijadikan sasaran ugutan bunuh di Internet dan dilihat sebagai subjek oleh segelintir mereka sebagai ‘fantasi seks’ yang amat teruk. Isunya mudah: proses pengukuhan agama dan sistem patriaki telah membenarkan sifat misogini menjadi masalah yang akut di dalam masyarakat moden. Umum mengetahui di dalam dunia yang didominasi kaum lelaki, wanita hanyalah umpan mudah. Ia tidak mendorong warga Malaysia untuk mendakap budaya intelektualisme. Kebanyakan daripada mereka berbesar hati supaya dikawal oleh seseorang dan memaksakan kepercayaan terhadap mereka. Peristiwa tersebut menjurus kepada interpretasi yang dangkal dan mengarut. Kita sering memahami sesuatu isu secara literal akibat daripada sistem yang membenarkan pemikiran anti-intelektual untuk dijana menjadi ideologi. Proses ‘Pembodohan’ yang terjadi. Ancaman yang dihalakan kepada Aisyah Tajuddin dan BFM merujuk kepada proses pembodohan yang sedang berlaku di dalam negara kita. Sikap terlalu mempolitikkan sesuatu isu ‘hyper-politicisation’ (i.e. reaksi para pentaksub) dan kurangnya berpolitik ‘hypo-politicisation’ (i.e. sikap tidak peduli akan politik terutamanya golongan muda) hanya membenarkan golongan fanatik ini melakukan kemusnahan terhadap negara ini. Isu sebenar yang diangkat di dalam video tersebut menyingkap kerisauan yang terbuku di dalam minda warga Malaysia – mengapa mereka yang berkuasa memberikan perhatian terhadap hudud, sedangkan isu-isu penting masih belum diselesaikan? Survei yang dijalankan oleh Merdeka Centre mendapati majoriti rakyat Kelantan mengharapkan kerajaan negeri supaya memberi perhatian terhadap isu ekonomi dan pemulihan pasca banjir. Malangnya, agama telah dimanipulasi untuk menyembunyikan isu-isu mustahak, malah mengalih perhatian kita. BFM hanya mengangkat kebenaran sebenar dan bagi sebahagian daripada kita, kebenaran itu sangat pahit dan sulit. Seperti yang telah diperkatakan oleh penulis, pihak berkuasa wajar mengambil tindakan yang serius terhadap ugutan dan keganasan yang ditujukan kepada Aisyah Tajuddin. Komen-komen yang tidak bermaruah boleh ditemui di dalam media sosial dan harus dianggap sebagai ancaman yang serius.     Makalah ini penterjemahan “Take action on those who made threats online“. Penterjemah: Muhammad Nazreen. 

]]>