Penterjemahan tidak rasmi My Own Life oleh Oliver Sacks yang diterbit oleh the New York Times pada 19/2/2015. Penterjemah: Yana Rizal. SEBULAN lalu, aku merasakan diriku sihat walafiat, malah cergas. Pada umur 81 tahun, aku masih berenang sebatu sehari. Namun nasibku telah surut – beberapa minggu lalu, aku mendapati bahawa aku mempunyai beberapa metastasis di hati. Sembilan tahun lalu, mereka menemui sebuah tumor di mataku, tumor yang jarang dijumpai iaitu melanoma okular. Walaupun radiasi dan laser untuk membuang tumor tersebut akhirnya membutakan mataku itu, ianya begitu jarang untuk kes-kes tersebut menular. Aku di antara 2% yang malang. Aku bersyukur bahawa aku telah diberi sembilan tahun kesihatan dan produktiviti semenjak diagnosis yang asal itu, namun kini aku berdepan dengan kematian. Barah ini memenuhi satu pertiga dari hatiku, dan walaupun pertumbuhannya masih boleh diperlahankan, barah seperti ini tidak boleh dihentikan. Kini keputusan di tanganku bagaimana untuk menghabiskan bulan-bulan yang tinggal dalam hidupku. Aku perlu hidup dengan cara yang paling bermakna dan produktif sebaik mungkin. Untuk ini, aku sangat terdorong dengan kata-kata ahli falsafah kegemaranku, David Hume, yang apabila mengetahui bahawa beliau sakit tenat pada umur 65 tahun, telah menulis autobiografi singkat dalam masa sehari pada bulan April 1776. Ianya berjudul “Kehidupanku Sendiri. ” “Aku kini mengharapkan pemergian yang cepat,” luahnya. “Sedikit sahaja penderitaanku dari penyakit ini; dan yang lebih aneh, walaupun kemerosotan tubuhku, aku tidak pernah hilang semangat. Keghairahanku masih membara untuk belajar, dan kerianganku sama pada teman-teman.” Aku bertuah untuk hidup menjangkaui 80, dan 15 tahunku yang lebih daripada hayat Hume selama 65 tahun itu telah diperkayai sama rata dengan kerja dan kasih sayang. Dalam masa itu, aku telah menerbitkan lima buku dan menghabiskan satu autobiografi (yang agak panjang berbanding dengan autobiografi Hume yang hanya beberapa laman) yang akan diterbitkan pada musim bunga ini; dan aku mempunyai beberapa buah buku lagi yang hampir selesai. Hume menyambung, “Aku … seorang yang sederhana sikapnya, mampu mengawal perasaan, berhati terbuka, sosial, dan ceria, boleh mengekalkan hubungan rapat, namun agak terkesan dengan permusuhan, dan berpada-pada dalam semua keghairahanku.” Di sini aku meninggalkan Hume. Sementara aku telah menikmati hubungan kasih sayang dan persahabatan dan tiada permusuhan sebenar, aku (atau sesiapa yang mengenaliku) tidak mampu mengatakan bahawa aku seorang yang bersikap sederhana. Sebaliknya, aku seorang yang tegas pendiriannya, dengan semangat yang membuak, dan keghairahan yang melampau dalam segalanya. Namun, sebaris dari tulisan Hume menyentap aku sebagai kebenaran: “Ia adalah sukar,” luahnya, “untuk menjadi lebih terpisah dari kehidupan dalam keadaanku saat ini.” Sejak beberapa hari yang lepas, aku telah melihat kehidupanku dari sudut pandang yang tinggi, sebagai sebuah latar, dan dengan perasaan keterhubungan yang mendalam terhadap semua bahagiannya. Ini tidak bermakna aku telah selesai dengan kehidupan. Sebaliknya, aku merasakan hidup dengan penuh semangat, dan aku berharap dan ingin dalam masa yang tinggal ini untuk mendalami persahabatanku, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada mereka yang kucinta, untuk menulis lebih lagi, untuk mengembara jika termampu, untuk mencapai pemahaman yang lebih tinggi dan pengertian. Ini memerlukan kelantangan, kejelasan fikiran dan kejujuran; percubaan untuk melangsaikan perhitungan aku dengan dunia. Tapi akan ada masa juga, untuk bersuka-ria (dan mengarut). Tiba-tiba aku merasai tumpuan dan perspektif yang jelas. Tiada masa lagi untuk segala yang tidak penting. Aku mesti memberi tumpuan kepada diri aku, kerja aku dan rakan-rakan aku. Aku tidak lagi akan menonton “NewsHour” setiap malam. Aku tidak akan lagi memberi perhatian kepada politik atau hujah-hujah mengenai pemanasan global. Ini bukan tidak peduli namun pemisahan – aku masih lagi kisah tentang Timur Tengah, pemanasan global, mengenai jurang ketidaksetaraan, namun ini bukan lagi urusan aku; semuanya milik masa hadapan. Aku gembira apabila bertemukan muda-mudi berbakat – termasuklah yang membiopsi dan mendiagnosis metastasisku. Aku rasa masa hadapan berada di tangan yang baik. Aku semakin sedar, sejak 10 tahun kebelakangan ini, tentang kematian di kalangan warga sezamanku. Generasi aku dalam perjalanan keluar, dan setiap kematian aku rasakan bagai sentakan, merobek sebahagian daripada diriku. Akan tiada siapa lagi seperti kita apabila kita pergi, namun tiada pernah juga wujud sesiapa seperti yang lain. Apabila seseorang mati, mereka tidak boleh diganti. Mereka meninggalkan kekosongan yang tidak dapat dipenuhi, kerana itulah nasib – secara genetik dan neural – setiap manusia untuk menjadi individu yang unik, untuk mencari perjalanannya sendiri, mengharungi kehidupannya sendiri, dan menerjah kematiannya sendiri. Aku tidak mampu berpura-pura bahawa aku tidak takut. Namun perasaan utama aku adalah kesyukuran. Aku telah mengasihi dan dikasihi; aku telah dilimpahkan kurnia dan memberi sesuatu semula sebagai balasan; aku telah membaca dan mengembara dan berfikir dan menulis. Aku telah berhubung dengan dunia, hubungan khas antara penulis dan pembaca. Lebih dari segalanya, aku telah menjadi makhluk yang mampu merasa, berfikir, di planet yang indah ini, dan itu dengan sendirinya merupakan keistimewaan dan pengalaman yang hebat. _________ Oliver Sacks, seorang profesor neurologi di Sekolah Perubatan New York University, ialah pengarang beberapa buah buku, antaranya Awakenings dan The Man Who Mistook His Wife for a Hat.
]]>Cinta: Menjangkaui Hari Valentine
Oleh Muhammad Al-Mahdi
“Apa erti Valentine’s Day pada saudara Muhammad Al-Mahdi?”
Soalan ini ditembak kearah saya sejurus setelah bunga api diledak keudara Istanbul.
Istanbul, kota dua benua, tempat terbenamnya mentari dicelah tujuh gunung ini semestinya adalah tempat pilihan untuk berasmara. Berpeleseran disana-sini pasangan yang sudah berkahwin mahupun belum.
Soalan ini membuatkan saya berseloroh “Pada saya yang single ini, hari Valentine adalah seperti hari-hari biasa.”
Segera beliau menjawab “So tak ada value la kita mengagungkan hari tu kan?”
“Hebat kan serangan ke atas ummah sekarang?” tambahnya lagi.
Saya terpinga: Bilakah kita mengagungkan hari ini? Lewat malam pun saya menulis.
Valentine seperti yang kita sering tahu dan saya sendiri keliru dengan penceritaannya adalah hari menyambut kekasih dan terkadang juga diriwayatkan hari ulangtahun Muslim dibakar, Muslim dibunuh di Andalusia atau apa sahaja yang anda dengar dan anda ingin percaya.
Umumnya ia adalah hari menghargai kekasih. Namun kenapakah kekasih harus dihargai?
Saya pernah berdiri semasa guru masuk kekelas semasa di pasentren, maka guru itupun bertanya “Mengapa kalian berdiri? Menghormati saya atau ilmu?”
Beliau memahamkan tentu sahaja seorang kiyai tanpa ilmu adalah kosong dan tidak ada erti.
Begitu juga kekasih yang kita hargai adalah cintanya yang disalurkan kepada kita dan bukanlah sosoknya.
Cinta?
Tradisi seluruh agama-agama utama dunia menyatakan perihal cinta.
Persoalannya samada sejauh mana kuantiti dalam literal teks suci atau sejauh mana kualiti kita memahaminya.
Sungguhpun agama Yahudi lebih menekankan halakhah (syariah) ia tetap mempunyai konsep cinta didalam dimensi Kabbalahnya.
Kristian pula sangat jelas memberi penekanan terhadap cinta terutamanya terhadap konsep Agape yang melambangkan cinta yang tidak terhingga, yang tidak boleh diluahkan oleh naluri dan nafsu badan.
Islam juga tidak ketinggalan menyebutkan perihal cinta. Samada ia bernama Al-Asq, al-Hubb, Rahmah, Mawaddah, Sakinah atau mana-mana sahaja namanya yang membawa erti berbeza.
Raikan cinta
Maka apakah salah kita meraikannya? Kalaulah cinta itu satu anugerah dan anugerah itu sesuatu yang berharga apakah salah kita menghargainya dan mereka yang menjadi wasilah kepada Cinta itu.
Rumi sering mengatakan “Allah adalah cinta” kerana penuh cinta Dia mencampakkanya kedalam nurani manusia.
Dan anugerah itulah yang sedang kita nikmati sehingga si ibu mengasihi anaknya dan kita semua terasa aman dalam cinta.
Riyadus-salihin Nabi menjelaskan:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai 100 rahmat dan Ia turunkan 1 di antara 100 rahmat itu untuk semua jin, manusia, binatang dan serangga di mana dengan satu rahmat itulah mereka saling berkasih-sayang, dan dengan 1 rahmat itulah binatang buas mempunyai rasa kasih-sayang terhadap anaknya. Adapun rahmat yang 99 itu Allah simpan untuk diberi nanti pada hari kiamat sebagai rasa kasih-sayang terhadap hamba-hamba-Nya”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim) al-Bukhary dalam Shahih-nya; Riqaq, 19.2. Muslim dalam Shahih-nya; bab Tawbah, 18-21.)
Cinta dan tamadun
Saya membelek karya “ulama-ulama” yunani yang telah terdahulu memberi huraian tentang cinta sebelum ulama Muslim muncul menghuraikan dari sumber Muslim:
Jenis-jenis cinta:
1 – Eros menurut Plato adalah cinta erotik (cinta berahi), tarikan seksual berikutan terpanah dengan kecantikan dan membawa kepada perlakuan secara fizikal . Walaupun sebenarnya kecantikan bisa lebur (baca: tak bermakna) dalam jenis-jenis rasa cinta yang seterusnya.
2 – Philia pula adalah kesenangan dan cinta yang melahirkan kesetiaan. Bukan sahaja pada kekasih tetapi kepada keluarga, polisi, displin, ilmu atau apapun.
Philia memotivasi manusia menurut Aristotle, sehingga seseorang melakukan dengan penuh ghairah tanpa diminta atau diarahkan demi kepuasan diri atau selainnya.
Philia melahirkan ketenangan dan kebahagiaan hasil dari kepuasan dan kesempurnaan melaksanakankan cinta ini.
Terakhir, seperti yang saya katakana tadi, ialah Agape yang merujuk kepada cinta akan Tuhan dan cinta Tuhan kepada hamba-Nya dan sejenis kasih kepada seluruh persaudaraan dan alam.
Begitulah perkataan Ahev dalam bahasa Ibrani membawa lebih luas maknanya berbanding Agape perkataan Yunani.
Dalam tradisi mencintai Tuhan Judaic-Christian: “kamu harus mencintai Tuhan dengan sepenuh hatimu , dan sepenuh jiwa, dan segenap kemampuanmu” (Deuteronomy 6:5) dan juga “mencintai jiran sepertu mereka sendiri” (Leviticus 19:18).
llmuan moden Kant mula meluaskan konsep ini dengan rasa penghormatan kepada seluruh manusia tanpa berat sebelah. Dalam Islam al-hubb membawa erti kecintaan yang menarik dan mengagumi.
Imam Qushairy contohnya enggan mentakrifkannya dengan berkata ia “tak tergambarkan”, Ibn Arabi juga ‘gagal’ mengungkapkannya melainkan hanya dapat membezakan ciri-ciri pecinta secara zahir.
Ashq, pula ditakrifkan sebuah cinta yang mendorong kepala perjalanan kepada al-mahbub.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan Ashq itu membuatkan seorang sehingga menangis, atau boleh saya katakan ia adalah rindu yang berjauhan sehingga mengerakkan untuk pergi kepada objek yang dicintai.
Maulana Ar-Rumi banyak membahaskan perihal ini. Mawaddah: diterjemahkan sebagai layanan mesra.
Allah menyebutkannya dalam perihal rumah tangga (Rum: 21) dan pergaulan dengan Ahlul Bait Rasulullah SAW (Syura: 23).
Mawaddah adalah cinta yang digambarkan dengan lemah-lembut , hormat dan rapat fizikal mahupun keterikatan hati. Rahmah pula adalah dari makna belas, mengasihani.
Keluasan cinta
Nah begitu besarnya Cinta kalaulah kita mengerti.
Ia luas dan tidak semestinya menjurus kearah tarikan seksual walaupun saya tidak menafikan bahawa ia membawa kearah hubungan seks. Tetapi cinta itu sendiri sangat luas dan bernilai dan perlu dihargai.
Dari perspektif manapun jika dipandang samada dari kacamata tradisi agama mahupun fitrah cinta tidak ternafi, jadi mengapa kita menafikan pengiktirafan terhadapnya dan manifestasi cinta itu sendiri?
Kerana cinta itu luas dan bukan harus dicekang kemarakkannya. Ia harus dibawa untuk meletuskannya dan merasionalkannya bukan meletakkannya di pertimbangan emosi semata dengan meninggalkan sisi intelek yang telah kita warisi dari ilmuan barat dan timur.
Kegagalan merasionalkan cinta adalah membuatkan cinta terhayun dengan perasaan dan tindak-balas di luar moral dan pertimbangan kesan masa panjang.
Islam dan keharmonian dalam masyarakat berbilang agama
Oleh Ming Abdullah Untuk mencipta keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang agama seperti di negara kita ini, kita perlulah ada sifat saling hormat menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza dari segi agama dan kepercayaan. Khasnya kepada umat Islam diwajibkan menghormati penganut agama lain, ini adalah ajaran Al Quran seperti mana dalam surah, Al-An’aam ayat 108: “Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” Amat jelas Islam menolak prinsip yang tidak toleransi dalam kehidupan bermasyarakat. Allah SWT menciptakan umat manusia bagi menghuni seluruh permukaan bumi dengan berbagai macam suku bangsa, ras, agama serta etnik. Oleh yang demikian Allah SWT juga mengajarkan konsep toleransi dengan tujuan agar keharmonian wujud dalam kalangan umat manusia. Ayat berkenaan menjelaskan bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat bukan Islam. Jika umat Islam mencemuh atau mengejek masyarakat berlainan agama akan mendorong mereka membalas penghinaan tersebut dan hal ini Allah SWT tidak membenarkannya, inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam. Berbuat baik arahan Tuhan Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berlainan akidah sekalipun. Perbezaan agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan, namum kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Islam adalah agama yang sempurna kerana tidak hanya mengajarkan hubungan manusia dengan Allah SWT malahan juga mengajarkan bagaimana umat Islam hidup dalam bermasyarakat. Agama Islam sentiasa menganjurkan kebaikan dan kedamaian, agama Islam mewajibkan umatnya agar memiliki dan mempraktikkan sikap toleransi dalam menyikapi perbezaan antara sesama manusia. Dalam konteks negara Malaysia, yang merupakan negara yang dihuni oleh bangsa majmuk dengan berbagai macam agama dan budaya. Oleh itu sebagai umat Islam dengan ajaran yang jelas, berusahalah melaksanakan perintah Al Quran dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. agar dapat diwujudkan masyarakat dengan kehidupan yang harmoni hasil dari toleransi terhadap umat beragama lainnya. Dalam menjalin interaksi antara pelbagai bangsa dan agama, samada dalam bentuk ekonomi, politik, kebudayaan, agama dan lain-lain aspek kehidupan adalah perlu menjadi keutamaan agar terbentuk hubungan yang baik dan saling menguntungkan sesama umat manusia dalam suasana penuh kedamaian. Kepelbagaian diiktiraf Kepelbagaian masyarakat yang berupa perbezaan suku, bangsa, bahasa, adat istiadat merupakan fitrah manusia itu sendiri yang ditentukan oleh penciptanya, seperti yang difirmankan Allah swt dalam surat al-Hujurat ayat 13 yang berbunyi : “Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakanmu daripada lelaki dan perempuan dan menjadikanmu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantaramu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali”. Dalam ayat ini seruan tidak dikhususkan kepada “wahai oran mukmin ataupun wahai orang yang beriman”, ianya cukup berbentuk umum iaitu umat manusia. Tidak ada seruan agar sesama umat manusia bermusuhan sebaliknya perhatikan dalam ayat yang sama terkandung, “Sesungguhnya orang yang paling mulia diantaramu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu”. Ini adalah satu perintah dari sang pencipta supaya umat manusia berlumba-lumba berbuat kebaikan. Bukan di kalangan umat Islam tetapi di kalangan umat manusia, orang yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang bertakwa kepadaNya. Takwa Salah satu sifat orang yang bertakwa ialah sentiasa berusaha agar tidak menyakiti orang lain dan sentiasa berbuat kebaikan agar sentiasa mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah SWT. Dalam mencapai matlamat di atas, Nabi Muhammad S.A.W. telah memberikan contoh terbaik. Jadikanlah pesanan dan cara hidup Nabi Muhmaad SAW yang secara keseluruhannya berpandukan ajaran Al Quran sebagai panduan. Jika ini dapat dilaksanakan, umat Islam akan menjadi umat yang terhormat di muka bumi ini. Rasululullah S.A.W. pernah bersabda, “Sesungguhnya orang yang paling dibenci oleh Allah s.w.t. adalah orang yang sukakan berselisih dan bergaduh.” Dalam kesempatan lain Nabi Muhammad S.A.W. juga bersabda, “Barangsiapa menyakiti orang bukan Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti aku, dan barangsiapa yang menyakiti aku, maka ia telah menyakiti Tuhan”- (Riwayat Abu Daud). Nabi Muhammad S.A.W. sentiasa berbuat baik kepada mereka yang bukan beragama Islam, berkaitan hal ini terdapat banyak kisah-kisah dalam kehidupan dan pesanan-pesanan suci Nabi Muhammad S.A.W. kepada umat Islam. Nabi Muhammad S.A.W. memerintahkan umat Islam, “Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Darimi). Hadis Nabi Dalam hadis ini Nabi Muhammad S.A.W. tidak mengatakan “Pergaulilah kaum muslimin, atau orang-orang yang shalih, atau orang-orang yang mengerjakan shalat”, akan tetapi beliau mengatakan “Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik”. Maksudnya adalah semua manusia, yang kafir, yang Muslim, yang mushlih (yang melakukan perbaikan), yang faajir (jahat) dan yang salih, sebagai bentuk keluasan rahmat dan kelengkapannya dengan akhlak din (agama). Demikianlah di antara contoh-contoh yang baik dari kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Nabi S.A.W mempunyai jiran seorang Yahudi, jiran ini sering menyakiti Nabi S.A.W. Suatu ketika, Nabi S.A.W. mengetahui bahwa orang yang selalu menyakitinya ini memiliki seorang anak yang sedang sakit dan nazak. Maka Nabi S.A.W. datang berkunjung ke rumahnya dan mengajaknya menuju jalan Rabb-nya, dengan harapan semoga Allah memberikan petunjuk dan memperbaiki keadaan orang ini. Ini jelas menunjukan Nabi S.A.W. tidak pernah menaruh dendam malahan membalas keburukan dengan kebaikan, meskipun terhadap orang kafir. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda kepada si anak, sementara bapaknya juga ada bersama mereka, “Wahai bocah, katakanlah laa ilaaha illallah, itu akan menyelamatkanmu dari api neraka”. Mendengar seruan ini, si anak memandang ke arah bapanya dan memperhatikannya. Nabi Muhammad S.A.W. mengulangi lagi. “Wahai bocah, katakanlah laa ilaaha illallah!” Si anak memandang ke arah bapanya lagi. Pada suatu ketika Nabi Muhammad S.A.W. memberi hormat dengan berdiri apabila jenazah seorang Yahudi dibawa lalu di hadapan Nabi Muhammad S.A.W. Kemudian ada seorang sahabat bertanya : Wahai Rasulullah S.A.W., sesungguhnya itu adalah jenazah seorang Yahudi. Baginda bertanya: Bukankah dia manusia juga?” Dalam hidup berjiran Nabi Muhammad S.A.W. amat menghormati dan mengasihi jiran tetangganya dan beliau pernah bersabda, “Jibril selalu berwasiat kepadaku tentang perihal jiran, sehingga aku menyangka bahawa ia akan menjadikan jiran sebagai salah satu pihak yang berhak mendapatkan bahagian warisan.” Isu hangat diperbincangkan akhir-akhir ini ialah tentang larangan menggunakan nama ALLAH oleh non-muslim sehingga membawa kepada rampasan kitab Injil oleh pihak berkuasa agama. Tindakan seperti ini telah menyalahi cara hidup yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. agar jangan menyakiti orang yang bukan beragama Islam. Namun tindakan yang diambil oleh kerajaan Negeri Selangor dengan mengembalikan kitab tersebut kepada pemiliknya adalah satu tindakan yang wajar. Diharapkan mereka yang bukan beragama Islam mampu berfikir secara waras dan tidak tegesa-gesa menisbahkan bahawa larangan menggunakan nama Allah adalah ajaran agama Islam sehingga umat lain memandang serong serta terbit rasa kebencian terhadap agama Islam dan juga umat Islam. Saranan ulama Dalam menanggapi permasalahan ini penulis selitkan pandangan bernas dari Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin (sumber: http://drmaza.com/home/?p=931#):
- “Kristian Arab dan juga musyrikin Mekah dahulu juga menyebut Allah sebagai Tuhan. Nas-nas al-Quran dan al-Sunnah tidak membantah hal tersebut. Namun dalam konteks Malaysia, perkara ini agak baru. Ia menimbulkan kegusaran terutama disebabkan berbagai persoalan yang timbul, antaranya apakah maksud yang terselindung di sebalik tuntutan ini?”.
- Nabi S.A.W ketika membuat perjanjian dengan Quraish Mekah juga masing-masing menggunakan nama Allah seperti hadis Muslim: Sesungguhnya Quraish membuat perjanjian damai dengan Nabi S.A.W. Antara wakil Quraish ialah Suhail bin ‘Amr. Sabda Nabi S.A.W : barangkali aku boleh tulis Bismillahirrahmanirrahim. Kata Suhail: Adapun Bismillah (dengan nama Allah), maka kami tidak tahu apa itu Bismillahirrahmanirrahim. Maka tulislah apa yang kami tahu iaitu BismikalLahumma (dengan namaMu Ya Allah!)”.

Ada apa dengan “Kafir”?
Bulan lepas, saya menghikayatkan pengalaman saya mengikuti misi banjir ke negeri Pahang.
Secara sempoi dan separa berseloroh, perkataan “kafir” digunakan. Maklumbalas yang diterima cukup galak, tetapi bukan semuanya menggalakkan.
Ramai juga yang rata-rata tidak membaca makalah itu secara keseluruhan, tetapi terus diterangkan panjang lebar- betapa salahnya dan betapa tak sensitifnya penulis menggunakan istilah laknat itu. Sedangkan perkataan sensitif itu hanya digunakan sekali dalam keseluruhan artikel tersebut.
Maka saya pun terasa terpanggil untuk menulis makalah kedua ini, bukan sebagai bidasan, tapi lebih kepada memberi konteks sepenuhnya, pemahaman terhad saya dengan istilah “Kafir”.
Terlebih dahulu, izinkan saya memohon maaf jika ada yang terkilan dengan penggunaan istilah tersebut.
Tujuan makalah terdahulu adalah untuk menggalakkan persefahaman Kristian-Islam, malangnya pembaca dari kalangan kedua komuniti itulah yang tidak senang dengan istilah tersebut.
Rata-rata segelintir pembaca beragama Islam mempersoalkan apakah saya benar-benar faham akan istilah tersebut, manakala rakan mereka yang beragama Kristian merasakan penulis sengaja sama ada ingin melaga-lagakan Islam-Kristian ataupun memandang enteng agama sendiri.
Kafir, Gentile, Goyim
Istilah “kafir” dan setara dengannya bukan unik kepada penganut agama Islam semata-mata. Lazimnya, agama-agama Abrahamik sememangnya sering membezakan antara penganut agama sendiri yang akan selamat di akhirat, dengan penganut agama lain yang nasibnya tidak begitu terjamin setelah hayat meninggalkan jasad.
Pembezaan ini bukan sahaja disebut dalam teks agama masing-masing, malah termasuk upacara keagamaan,perbincangan agama, doa, ilmiah,dialog perbandingan agama malah juga tertib sosial apabila berurusan dengan golongan bukan dari agama sendiri tadi.
Sebagai contoh, orang Kristian ada beberapa istilah sendiri yang digunakan- seperti Gentile, Pagan, nonbeliever, yang juga digunakan bersilih ganti dengan cara yang agak serupa sepertimana “kafir” digunakan oleh saudara beragama Islam.
Sungguhpun tidak sejelas yang dinyatakan dalam agama Islam, di mana ia dirujuk dalam Al-Quran sebanyak 134 kali, lengkap dengan huraian dan maksud tersendiri, malahan juga dirujuk dalam sunnah dan rujukan agama lain seperti Tafsir ibn Kathir,di mana istilah tersebut dijelaskan agak mendalam, kitab agama Kristian sendiri ada memberi bayangan konotasi perkataan Gentile yang dipakai.
Bergantung pada jenis kitab yang digunapakai,perkataan Gentile muncul antara 123 hingga 168 kali di dalam Bible.
Menariknya, sebelum kedatangan Yesus, istilah Gentile (sinonim dengan “Goy” atau “Goyim” yang digunakan agama Yahudi) dalam pengunaan Old Testament, membawa konteks “negara luar” atau “dunia”.
Namun untuk membuat kesimpulan bahawa konotasi negatif atau kurang enak yang dikaitkan dengan istilah Gentile cuma bermula setelah kedatangan Yesus, adalah agak simplistik.
Mungkin lebih sesuai dikatakan pemahaman atau erti kata perkataan itu sendiri telah berubah mengikut masa. Ada yang menganggap pengunaan itu sebagai pengunaan biasa zaman tersebut.
Ada yang menganggap ia biadap. Ada yang menganggap kita tidak patut mempersoalkan sesuatu yang telah diturunkan oleh Tuhan.Sedihnya,pendapat terakhir tadi tidak meninggalkan banyak ruang bicara.
Niat disebalik penggunaan istilah
Sememangnya, setiap agama akan mengajar kita suatu jalan untuk diikuti, namun bagi penulis, penghayatan semangat apa yang diajar tadi lebih penting dari penerimaan terang-terangan apa yang diajar.
Bagi penulis, itulah yang dibawa oleh pengunaan perkataan yang dianggap kurang enak seperti ‘kafir’ atau Pagan atau apa-apa istilah positif atau negatif yang dibawa mana-mana agama.
Sejelas atau sekabur mana pun penjelasan, pada saya, bergantung hampir sepenuhnya kepada si pendengar untuk menerima atau menolaknya sebagai pujian mahupun cacian ataupun istilah harian.
Sesuatu perkataan hanya mempunyai kuasa mempengaruhi kita jika kita membenarkan perkataan itu menguasai kita.
Jadi bagi penulis ini, “kafir”, hanya satu istilah harian yang tidak patut dianggap terlalu negatif oleh orang bukan Islam. Tapi itu hanyalah sekadar pendapat penulis.
Meneroka alam semesta yang mengkagumkan
Pelik benar manusia! Setiap kita di dunia hanyalah persinggahan; untuk tujuan apa, tidak kita ketahui… Idealisme yang telah mencerahkan perjalananku, dan setiap kali memberikanku keberanian untuk mengharungi kehidupan dengan ceria – adalah Kebaikan, Kecantikan dan Kebenaran.
–Albert Einstein
Pada 12 November 2014 yang lalu, kapal angkasa Philae dari misi Rosetta yang diketuai European Space Agency (ESA) berjaya mendarat di komet yang kini dinamakan sebagai Cheryumov-Gerasmienko. Ia merupakan antara misi angkasa paling bersejarah pernah dicapai manusia selepas kejayaan besar pendaratan manusia di bulan. Misi ini adalah demi merungkai permulaan terciptanya bumi, sistem solar dan alam semesta kita ini. Misi pendaratan ke komet yang telah menelan masa hampir 10 tahun ini, sudah tentu belum terhenti smpai disini. Philae yang telah mendarat akan mengikuti komet dan mengorbit matahari selama 13 bulan dan melalui jarak paling rapat dengan matahari pada 13 Ogos 2015 nanti. Komet ini adalah antara tinggalan tertua serpihan-serpihan batuan yang terhasil setelah penciptaan sistem solar kita. Sudah tentu mengkaji asal-usulnya dapat membuka pelbagai pintu-pintu rahsia yang menjadi jawapan kepada persoalan falsafah zaman-berzaman: “Dari mana kita datang?”, “Mengapa kita disini?”, “Bagaimana semuanya bermula?”, “Apakah kita dan segala kehidupan di dunia ini , keseorangan dalam alam semesta yang luas terbentang ini?” Artikel saya pada kali ini ingin mengajak pembaca, khususnya orang-orang Melayu yang terlalu sesak dengan tahyul-tahyul dan magis-magis yang tidak membantu perkembangan fikiran dan budaya bangsanya, supaya berminda saintifik dan sentiasa dalam keadaan ingin tahu dan berminat untuk meneroka misteri alam ini. Salah faham terhadap sains Saya bukanlah seorang saintis yang pakar untuk menceritakan tentang sains sebagai bidang yang memerlukan kepakaran. Namun begitu, tidak salah untuk kita menjadi seorang yang peka dan merasa teruja dengan persoalan-persoalan tentang kehidupan dan cara menjadikan ia lebih baik untuk kita lebih menghargainya. Disinilah sains memainkan peranannya. Banyak diantara kita yang mengecilkan sains terhadap penjelasan kiraan matematik dan teori-teori yang sukar difahami seperti yang tecatat di dalam buku teks fizik, kimia dan sebagainya. Sedangkan kehidupan seharian kita yang berhadapan dengan teknologi yang kita guna seperti kereta, telefon pintar, internet, televisyen, komputer dan sebagainya adalah hasil dari sumbangan sains. Begitu juga penemuan-penemuan planet-planet baru, komet, sistem solar, galaksi baru dan pelbagai lagi penemuan yang berguna dan penting bagi menjaga kelangsungan hidup manusia sebagai spesis dan keseimbangannya dengan hidupan yang lain. Sains Sains sentiasa disalah fahami sebagai suatu dogma yang memberi jawapan kepada semua persoalan yang kita ingin tahu. Ia disalah tanggapi sebagai alternatif kepada naratif agama yang selalunya memberi kita semua jawapan tentang semua persoalan tentang hidup dan alam ini. Sains sebenarnya hanyalah alat. Suatu kunci yang kita gunakan untuk membuka rahsia alam yang dahulunya tidak diketahui oleh kita. Ia juga sebuah proses yang mana segala misteri dan persoalan yang ingin kita jawab secara konsisten diuji secara empirikal dan pemerhatian dalam jangka masa yang lama. “Alat” ini pula sentiasa diperbaiki dan ditingkatkan teknologinya agar dapat menjawab soalan atau merevisi jawapan sedia ada dengan lebih baik dan lebih tepat lagi. Sains bermula dengan soalan tentang “apa yang ingin kita tahu?” dan kemudian segala data dan maklumat kita kumpulkan dan uji kebenarannya. Ia tidak semestinya menjanjikan kita jawapan. Apa yang diterokai sains pada hari ini boleh sahaja dicabar jika terdapatnya penemuan baru pada masa akan datang. Ia bukan seperti agama yang mana jawapan yang telah termaktub di dalam kitab tidak boleh dicabar kesahihannya. Oleh itu, sains menekankan kaedah yang konsisten dalam menguji kebenaran. Misalnya, persoalan tentang Tuhan. Saintis akan meletakkan dakwaan tentang kewujudan Tuhan separas dengan dakwaan tentang kewujudan Santa Claus, mitos-mitos Greek dan sebagainya. Jadi, metod sains diperlukan sebagai proses dan juga alat bagi menguji dakwaan-dakwaan tersebut. Kuasa sains Berminda saintifik tidak bermaksud mengecilkan dunia yang penuh misteri ini kepada apa yang boleh dibuktikan sahaja. Akan tetapi ia mengajar kita berfikir dengan betul dan konsisten dengan sikap pembuktian bagi setiap dakwaan kita. Misalnya, jika seorang percaya malaikat itu benar walaupun tanpa apa-apa bukti, maka kepercayaan seseorang bahawa naga itu wujud walau tanpa bukti juga benar. Apakah sesuatu itu benar hanya atas dakwaan atau penekanan sahaja? Di sini minda yang santifik membolehkan kita menyoal tentang realiti di dunia ini. Dari mana bumi datang? Dari mana manusia datang? Bilakah kehidupan di dunia ini bermula? Benarkah bumi ini adalah pusat kepada alam semesta? Apakah alam semesta yang terbentang ini hanya untuk dimanfaatkan oleh sekelompok bangsa manusia yang mendiami bumi kecil yang mengorbit matahari, di antara jutaan planet dan sistem solar dan galaksi yang lain? Apakah wujudnya kehidupan di benua alam yang lain? Sebahagian dari soalan-soalan yang saya bentangkan ini telah dapat dijawab, dan sebahagiannya masih belum diselesaikan. Misalnya, kita sudah dapat mengetahui bahawa manusia berevolusi dan berkongsi moyang (common ancestor) homo habilis 2.5 juta tahun lalu. Kita juga sudah mendapati bahawa bumi bukanlah pusat kepada alam semesta dan bumi mengorbit matahari bersama 8 planet yang lain (bukan 9 kerana Pluto telah diputuskan oleh saintis bukan lagi sebuah planet, bahkan sebuah komet). Buku “The Science Class You Wish You Had” [Kelas Sains Yang Anda Idamkan] tulisan David Eliot and Arnold R.Brody menjelaskan 7 penemuan terbesar sains sepanjang sejarah dan mereka yang menyumbang kearahnya. Antaranya penemuan graviti dan undang-undang dan universal fizik oleh Isaac Newton, struktur atom oleh Ernest Rutheford dan Niels Bohr, prinsip relativity oleh Albert Einstein, fenomena Big Bang [Letupan Besar] dan pembentukan alam semesta oleh Edwin Hubble, evolusi dan prinsip natural selection [pemilihan semulajadi] oleh Charles Darwin, penemuan sel dan genetik oleh Walther Flemming dan Gregor Mendel, dan juga struktur molekul DNA oleh Francis Crick dan James Watson. Di sini saya ingin berkongsi satu petikan menarik dari buku tersebut: “Sedangkan kita masih lagi berhujah tentang struktur politik dan falsafah agama, dan sementara kita masih tidak pasti cara yang terbaik untuk menghasilkan dan mengedar barangan dunia, atau memperuntukkan kekayaan di kalangan manusia, kita di masa ini mengetahui banyak tentang apa yang wujud. Kita kini didedahkan dengan lebih banyak pengetahuan daripada apa yang mampu diimpikan hanya beberapa abad yang lalu.” Kesemua penemuan yang besar ini memberi sumbangan yang cukup besar terhadap kebaikan manusia sejagat. Misalnya teori ‘general relativity’ [relativiti awam] Einstein telah menyumbang kepada teknologi moden terutama dalam penggunaan GPS. Teori fizik Newton pula bukan sekadar berupaya membongkar rahsia gerakan bulan dan planet sekitar alam ini, malah melalui teori undang-undang gerakan (Law of Motion) beliau, kita berupaya mencipta roket, kapal terbang, malah kapal angkasa yang kita gunakan hari ini. Bahkan, melalui teori tersebut juga, menyumbang besar terhadap kebangkitan Revolusi Industri kurun ke-18/19 dengan penciptaan enjin stim, lokomotif, dan juga mesin-mesin yang digunakan di kilang-kilang. Penemuan struktur atom pula membantu kita memahami reaksi kimia yang berlaku pada skala atomik dalam penciptaan ubat-ubatan yang lebih baik, mencari sumber tenaga yang mesra alam dan juga menambah baik inovasi produk-produk industri yang memberi manfaat kepada manusia. Melalui penemuan Edwin Hubble pula, kita dapat mengesahkan bahawa alam semesta ini berkembang dan memecut. Melalui penemuan Cosmic Microwave Background (CMB) [Latarbelakang Gelombang Mikro Kosmik] tinggalan radiasi yang tecipta selepas peristiwa Big Bang [Letupan Besar] oleh Arno Penzias dan Robert Wilson yang mengesahkan teori Big Bang bahawa alam ini suatu ketika dulu bermula dari satu titik dalam kepadatan yang infinit. Kini teori Darwin masih berguna untuk menjelaskan bagaimana kehidupan berevolusi, termasuklah kedudukan kita sebagai satu antara pelbagai hidupan alam yang lain di bumi yang bermula berbillion tahun yang lalu. Dan sudah tentulah penemuan DNA bukan sahaja membantu kita dalam menyelesaikan kes jenayah bahkan membantu kita menjejaki penyakit yang dibawa melalui keturunan dan menghapuskannya. Malah kesemua haiwan (manusia termasuk dalam kategori ini kerana kita juga produk dari evolusi) dan tumbuhan mempunyai kod DNA yang sama dan ini mengesahkan teori Darwin bahawa kita datang daripada satu “common ancestor” [moyang yang sama]. Hujah God of the Gaps [Tuhan Dalam Jurang] Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, penemuan sains bukanlah suatu dogma yang tidak boleh dicabar. Ia sentiasa terbuka untuk dikaji dan dibuktikan semula dengan penambahbaikan instrumen-instrumen dan teknologi yang kita guna untuk membuktikanya. Sudah tentu hujah-hujah sains tidak dibatalkan hanya dengan mengambil potongan ayat tertentu di dalam teks, akan tetapi berusaha membuktikannya melalui eksperimen dan pemerhatian dalam jangka masa yang lama. Ramai yang skeptik terhadap sains, misalnya orang beragama akan menggunakan hujah bahawa pada suatu titik misteri yang tidak ketahui, mesti datang dari Tuhan. Misalnya, sewaktu dahulu ketika manusia mendengar petir dari langit, mereka menyangka itu merupakan suatu tanda kemurkan Tuhan ataupun, atau mungkin Tuhan Thor datang. Akan tetapi sains moden telah membongkar mitos tersebut dan kita mengetahui bagaimana petir dan guruh tercipta malah tenaga elektrik dari petir tersebut dapat kita cipta semula di bumi dan menggunakannya untuk kehidupan seharian kita. Hujah God of The Gaps ini sentiasa diadvokasi saat kita buntu dalam misteri yang tak kita ketahui, yakni sesuatu yang tak kita ketahui itu, ada Tuhan dibelakangnya. Ia juga berlaku pada saintis terutama antara saintis teragung yang kita kenali Isaac Newton, di mana Neil Degrasse Tyson kosmologis terkenal menerangkan dalam tulisannya The Perimeter of Ignorance [Batas Kejahilan]: “Menulis berabad dahulu, ramai saintis berasa terpaksa ‘bersyair seni’ tentang misteri kosmik dan kekuasaan Tuhan. Mungkin kita tidak patut terkejut dengan hal ini: kebanyakan ahli saintis zaman itu, dan juga ramai ahli saintis sekarang, memperakui diri mereka berpegang teguh kepada agama. Namun pembacaan teliti terhadap teks-teks lama, terutamanya yang berkenaan dengan alam semesta, menunjukkan bahawa penulis-penulis tersebut merujuk kepada ketuhanan hanya apabila mereka tiba ke sempadan pemahaman mereka. Mereka merayu kepada kuasa yang lebih tinggi apabila merenung ke lautan kejahilan mereka sendiri. Mereka memanggil Tuhan hanya dari curam pemahaman mereka, yang sepi dan tiada ketentuan. Apabila mereka yakin dengan penjelasan mereka, jarang sekali Tuhan menjadi sebutan.” Namun, masa berlalu dan semakin lama, misteri tentang alam ini dan segala isinya dibongkar satu persatu. Misalnya, jika meyakini bahawa Bumi adalah satu-satunya planet yang menghuni benda hidup, tunggulah ketika saintis menjumpai hidupan di planet lain di alam yang terbentang luas ini dan membongkar suatu lagi “lingkaran kejahilan” kita. Yang paling terbaru saat ini ialah misi mencari hidupan di bulan Europa yang mengorbit planet Jupiter yang dikatakan berpotensi mempunyai hidupan. Kesimpulan Sains adalah metod penerokaan. Instrumen bagi membongkar mitos-mitos, menghumban dogma-dogma, dan segala benda yang dahulunya kita percaya tanpa persoal. Kita juga tahu, bahawa berminda saintifik ataupun menjadi seorang saintis tidak memerlukan seseorang wajib menjadi ateis. Berapa ramai orang beragama yang membuat pelbagai ciptaan dan inovasi yang menyumbang besar kepada sains dan teknologi yang kita ada hari ini. Penemuan sains cuma akan menggoncang dakwaan-dakwaan teks terhadap alam ini yang dipanggil “sains”dan secara konsisten menaakul dan mengkaji dakwaan tersebut apakah ia konsiten dengan bukti yang kita ada. Berminda saintifik juga menyalakan api pencarian dalam diri kita yang sentiasa mahu maju kehadapan dan sentiasa meneroka misteri alam ini dengan bertanya soalan baru dan membuat hipotesis dan dibantu daya instrumen dan teknologi yang kita ada untuk membuktikannya.
Kafir tunggal di tengah banjir
Region of Love, yang meyumbang barangan dan 5 wakil) dua NGO utama yang menggerakkan misi ini masing-masing berteraskan mahasiswa dan pemuda Islam (mahasiswa Sudah 9 tahun tak layak menggunakan gelaran itu).
Saya melawan merasa janggal dan bertekad untuk redha sahaja bahawa inilah ketentuan Maha Esa. Ada kalanya ketentuan nasib dari Tuhan itu lebih kelakar berbanding episod Maharaja Lawak.
Mujur sahabatku Hussain turut sama. Dapatlah berbual sesama sendiri, berbicara ilmiah, bicara hal ehwal semasa, bicara lucu.
Kafir sesat di tengah banjir
Setelah penat membungkus pek makanan dan barang keperluan semalaman kami ditunjukkan ke tempat tidur yang disediakan. Kami agak selesa, terutamanya jika dibandingkan dengan keadaan “kolam renang: yang terpaksa didiami penduduk hanya beberapa kilometer dari markas operasi kami.
Setelah bertugas mulalah saya berbual dengan rakan sukarelawan baharu. Topik rancak menjurus ke arah agama. Sebelum sebarang perbualan yang tidak diingini berlaku,penafian dikeluarkan- “Cuup! Bang, saya bukan Islam ni!”
Keresahan saya disambut dengan gelak ketawa, seolah-olah saya bergurau. Sebenarnya itu satu respon yang saya biasa terima dari teman-teman Melayu: senantiasa dianggap orang Melayu sesat entah dari mana, tetapi berkebolehan bertutur Bahasa Melayu tanpa pelat India dari sebelah ayah ataupun pelat apek pengaruh ibu.
Sebagai bukti saya pun tunjukkan rantai salib dari celah T shirt untuk pengesahan lanjut. Ini disambut dengan ketawa dan persoalan ikhlas dari mereka: bagaimana pula saya boleh sesat memasuki kumpulan ini.
Tuhan dan bencana
Lantas teruslah saya berbual dengan rakan baharu. Teringin juga untuk tahu pandangan rakan dari golongan Islam berkenaan lontaran segelintir ahli-ahli politik yang menyentuh isu banjir, terutama sekali pandangan segelintir ahli PAS yang menganggap banjir sebagai balasan Tuhan kerana tidak melaksanakan hukum hudud di Kelantan.
Maka menjawablah seorang rakan “betul bro, Tuhan yang ikut pergi Tesco semalam, Tuhan jugalah yang tolong load trak tadi, tadi kau tak nampak ke Tuhan sebelah aku tengah campak guni beras? Nanti besok Tuhan ikut redah banjir”
Agak takut juga untuk membalas. Jawapan itu boleh disambut sebagai detik kesinisan dalam menghadapi becana banjir. Tetapi ia juga boleh ditafsir sebagai luahan kecewa.
Dua hari berlalu dan persoalan agama saya tidak lagi dibangkitkan. Demikian juga fahaman politik, ideologi kemasyarakatan mahupun citarasa seksual. Persoalan yang sering ditanya menyentuh tentang samada saya biasa makan sambal belacan, samada merokok atau tidak, dan jika saya mempunyai pemetik api.
Tumpuan kami hanya pada nilai kemanusiaan sejagat yang secara nalurinya, dianuti semua.
Alangkah indahnya dunia ini jika ini dihayati dan diamalkan sentiasa.
Saya renung kembali kata-kata rakan tadi. Saya percaya memang Tuhanlah yang ke Tesco, yang memenuhi trak dan menurunkan guni beras. Tuhan yang menggerakkan hati, tangan dan kaki manusia untuk melupakan segala permasalahan lain dan melakukan suatu kebaikan dalam semangat kemasyarakatan, secara jemaah.
Tuhanlah yang menanam sifat kemanusiaan di dalam jiwa kita semua.
2014: Bertabahlah rakyat Malaysia!
Jangan lupa ikatan kemanusiaan kita
Pertama sekali, buat rakyat Malaysia keseluruhannya. Ingatlah bahawa pada dasarnya, kita semua bersaudara. Ikatan inilah yang membuatkan kita anak warga Malaysia.
Tidak kiralah sama ada kita berbeza rupa, warna, fahaman agama, mahupun ideologi kehidupan sekalipun, akhirnya perasaan sayang terhadap negara ini dan rakyatnya yang menakrifkan kita sebagai anak jati Malaysia.
Dan ianya tidaklah lebih jelas daripada usaha semua anak Malaysia, dari pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan umur yang tampil berganding bahu untuk menolong mangsa-mangsa banjir baru-baru ini.
Pasti ramai yang menyaksikan sendiri tubuh-tubuh yang mengerahkan diri tanpa dipaksa, demi belas ihsan terhadap manusiawi dan juga haiwan. Lihat sahaja betapa rencamnya mereka. Kesepaduan dalam kepelbagaian inilah yang membuatkan Malaysia indah.
Usah lagi persoalkan persaudaraan kita. Sudah terang lagi nyata, apabila tiba saatnya yang memerlukan, tangan-tangan beraneka warna inilah yang akan menghulurkan bantuan.
Kebanyakan daripada mereka langsung tidak mengharapkan supaya mereka dikenali, mahupun ganjaran atau balasan.
Di saat ini, segala perbezaan adalah enteng – diketepikan dahulu. Nyawa lebih penting daripada persoalan Muslim Sunni-Syiah, Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, lesbian, gay, transgender, konservatif, liberal, ekstremis, imam yang menyokong Hudud, penari dangdut, pekerja asing, pelarian, politik – semuanya wajib diselamatkan dahulu. Anjing dan babi hutan sekalipun.
Inilah kemanusiaan, kebaikan yang merentasi segala perbezaan agama dan identiti diri.
Majoriti perlukan minoriti
Buat rakyat Malaysia yang menganggap diri mereka majoriti di tanah air ini, ketahuilah bahawa anda amat memerlukan warga-warga lain dalam mengharungi cabaran ini dan yang akan datang.
Hakikatnya ialah majoriti ini hanya mencecah 50%, dan jauh lagi untuk mengejar status ekonomi 50% masyarakat majmuk yang lain.
Bayangkan jika 50% atau lebih daripada pertolongan ini hilang. Atau bayangkan jika mereka tidak pernah wujud, betapa ruginya kebudayaan Malaysia yang telahpun bercampur dan meresap ke dalam kehidupan sehari-harian sehingga mungkin kita sendiri tidak sedar ataupun lupa (roti canai, kain pelikat – semua ini asalnya dari luar Nusantara).
Maka hargailah warga-warga yang dianggap minoriti ini. Jangan sesekali mudah terpacul kata-kata yang menghambat pertalian persaudaraan ini. Sebaliknya, cubalah mengenali sesama sendiri.
Usah segan bertanya, asalkan santun. Pelajari mana yang baik untuk memajukan diri. Akhirnya rezeki masing-masing hasil usaha, dan bukan dari sikap ketuanan ataupun hak.
Tanamkan azam menjelang tahun baru ini untuk berusaha lebih dan memperbaiki diri. Perjuangkan keadilan dan hak bersama.
Pelihara hak dan martabat warga minoriti
Untuk golongan minoriti, khususnya yang terpinggir. Harapan kami ialah supaya anda dapat hidup dengan martabat kemanusiaan yang setara dengan warga Malaysia yang lain.
Prejudis dan kebencian berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan persefahaman.
Maka teruskanlah usaha anda dalam membina kesedaran, teguhkan hati dan bersabar, kerana ianya mengambil masa. Jangan mudah berputus-asa dengan warga Malaysia. Anda mempunyai hak untuk hidup, dan tidak harus memencilkan diri.
Bagi golongan moderat. Walaupun ada kalanya diam itu lebih bermaruah, dan tindakan adalah lebih bermakna, namun ianya tanggungjawab anda untuk bersuara jika berlaku ketidakadilan.
Perubahan hanya akan berlaku apabila suara rakyat cukup untuk memperbetulkan keadaan atau menuntut sesuatu yang lebih baik. Anda berhak untuk bersuara, dan keberanian perlu untuk menegakkan kebenaran.
Bak kata Edmund Burke, “Kejahatan akan menang hanya apabila manusia-manusia baik berdiam diri.”
Berteguhlah rakyat Malaysia!
Maka berteguhlah rakyat Malaysia. Yang pasti, kita sendiri perlu lebih bertanggungjawab dalam membentuk negara ini. Untuk mendorong rakyat dan pemimpin kita supaya lebih cakna perihal-perihal penting, kita sendiri perlu beralih dari isu-isu remeh dan menumpukan perbincangan di sana.
Pastinya satu iktibar besar kebelakangan ini ialah kepentingan untuk memelihara alam. Apa yang boleh kita lakukan secara persendirian?
Ya, sudah wujud NGO-NGO yang menangani isu-isu ini. Yang perlu hanyalah usaha dari kita untuk menyokongnya. Sampai bila kita mahu menuding jari? Penyelesaian terletak di tangan kita. “Jadilah perubahan yang ingin kamu lihat,” kata Gandhi.
Mungkin eloklah tahun 2014 ini menutup tirainya.
Terlalu banyak perit jerih dan pengajaran yang sukar untuk kita. Moga di ambang tahun baru ini membawa satu nafas baru, harapan baru. Maju dan maju ke hadapan, selangkah demi selangkah anak Malaysia!
Surat terbuka untuk Ridhuan Tee
Oleh Afiq Noor Sekiranya saya diberi pilihan untuk meninggalkan prinsip hak asasi dan kebebesan bersuara yang saya percaya, maka saya tanpa ragu-ragu lagi akan menasihati Ridhuan Tee Abdullah untuk diam daripada terus memalukan Islam dan mencemarkan imej agama yang saya cintai ini. Saya membaca respon Ridhuan Tee terhadap surat terbuka yang ditulis oleh 25 mantan pegawai tinggi kerajaan yang antara lain mencadangkan agar Perdana Menteri memberikan perhatian terhadap wacana keislaman dan mempromosikan kepelbagaian pendapat dalam tradisi keilmuan Islam. 25 mantan pegawai tinggi kerajaan tersebut juga mengingatkan kepimpinan Perdana Menteri agar menghormati dan menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang dasar negara. Ridhuan Tee di awal responnya telah melakukan serangan peribadi terhadap 25 orang mantan pegawai tinggi kerajaan ini dengan tuduhan tidak bersih dan korup serta sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan jawatan mereka. Saya mengingatkan Ridhuan Tee bahawa serangan peribadi seperti ini adalah bercanggah dengan nilai-nilai keislaman serta adab budaya orang Melayu. Sejarah keilmuan Islam mencatatkan bahawa agama ini tidak pernah sunyi dari perdebatan dan perbezaan pendapat. Para ilmuan sehingga kini sering berbeza pendapat dalam berbagai hal dan ini bukanlah sesuatu yang janggal dalam tradisi keilmuan Islam. Adalah mustahil untuk kita memaksakan pendapat kita untuk diterima oleh orang ramai dan begitulah sebaliknya. Tetapi apa yang lebih utama, kita menghormati dan meraikan kepelbagaian pendapat tersebut dengan beradab. Islam bukan agama monopoli Islam bukanlah agama yang eksklusif untuk dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja dalam masyarakat. Perbincangan dan perdebatan dalam Islam adalah bersifat inklusif dan memerlukan input daripada ramai pihak. Sikap pihak berkuasa dan golongan agama di Malaysia yang memonopoli agama seolah-olah cukong yang mengawal syarikatnya adalah sangat memualkan dan mendukacita. Sheikh Muhammad Al Nuwaihi, seorang pemikir Arab di dalam bukunya Nahwa Al Tsaurah Fi Al Fikri Dini menyatakan bahawa Islam pada awalnya merupakan agama yang progresif dan revolutionari tetapi ia berubah sifatnya menjadi agama yang menyekat intelektualisme dan pembekuan masyarakat kerana dua (2) hal. Pertama munculnya kelas masyarakat yang memonopoli tafsiran agama yang menurut mereka, hanya mereka yang berhak untuk berbicara tentang agama dan menentukan pendapat dan doktrin yang sesuai dengan Islam. Kedua, keyakinan kelas ini bahawa sumber-sumber keagamaan atau teks memiliki aturan yang mengikat dan tidak boleh dimodifikasi atau diubah baik yang bersifat doktrin atau yang menyentuh kehidupan seharian. Kelas masyarakat yang mendominasi dan mengawal agama ini merupakan sesuatu yang asing dan tidak dikenali dalam tradisi keilmuan Islam. Islam tidak pernah mengakui pengkelasan dalam masyarakat seperti kelas kependetaan. Golongan inilah yang menolak diskusi dan perbincangan ilmiah serta menggunakan pengaruh dan kuasanya untuk melabel orang yang berbeza pandangan dengannya sebagai kafir dan sesat. Justeru Islam dilihat sebagai agama yang kaku dan pegun serta anti-establishment. Al-Wasatiyah Saya juga terpanggil untuk membetulkan kenyataan Ridhuan Tee bahawa Islam bukan agama yang “moderate.” Sedangkan “moderate” atau dalam bahasa arabnya “Al Wasathiyah” adalah diskripsi Allah kepada kita sebagaimana yang dinyatakan di dalam Surah Al Baqarah ayat 143 – “Dan demikianlah kami menjadikan kamu umat yang moderate (Ummatan Wasatha) agar kamu menjadi saksi atas manusia dan Rasul menjadi saksi atas kamu.” Gagasan Al Wasathiyah ini juga turut diakui oleh para ulama’ klasik semisal Al Imam Ibnu Taymiyah, Ibnu Al Qayyim, Al Syathibi dan Ibnu Atheer. Saya tertanya-tanya adakah Ridhuan Tee tidak pernah membaca karya-karya hebat para ulama’ ini yang menyatakan Al Wasathiyah adalah bahagian penting di dalam Islam. Penyimpangan dari prinsip Al Wasathiyah inilah yang menyebabkan berlakunya Irhab Al Fikri atau terorrisme pemikiran yang kesannya jauh lebih bahaya dan boleh membuka pintu kepada terorrisme fizikal atau Irhab Al Hissi. Di Malaysia, kita mungkin tidak punya terorris seperti ISIS dalam bentuk fizikal tetapi pola pemikiran seperti Ridhuan Tee, jika tidak dibendung memungkinkan Malaysia mempunyai ISIS nya sendiri.
]]>