Penterjemahan Bahasa Melayu makalah oleh Dina Zaman yang berjudul ‘There are many of us. We just don’t tell people.’ ‘Awak fikir, siapa saya sebenarnya?’ Aku di ajak keluar minum kopi bersama teman yang baru sahaja aku kenali melalui laman sosial. Dia bertanyakan sedikit nasihat tentang projek yang sedang diusahakannya. Dia seperti remaja yang lain, seorang muslim yang taat pada suruhan agamanya dan memakai tudung. Tudungnya ringkas dan aku tidak rasa dia seorang hijabi yang bergaya. Petah berkata-kata dan dari loghatnya kelihatan seperti dia telah menghabiskan sebahagian masa mudanya di luar negara. Resume-nya amat mengagumkan. “Awak fikir, siapa saya sebenarnya?” tanyanya lagi. Aku tidak memberikan sebarang jawapan. Tetapi, otakku ligat memikirkan apa sebenarnya jawapan yang dia mahukan? Aku mengerakkan tanganku untuk memberi isyarat bahawa aku tidak memahami soalannya. Kemudian, dia berkata dengan tak semena-mena “Saya agnostik” Ligat otakku berfikir. Bagaimana seorang yang memakai tudung di depan ku ini adalah seorang yang agnostik? Bagaimana seorang yang tidak mempercayai agama tetapi memakai tudung? Seperti tidak masuk akal. Kali terakhir kejadian seperti ini berlaku adalah setahun lalu, dimana aku bertemu dengan dua orang wanita muda yang mengenakan tudung juga tetapi membuat pengakuan yang sebenarnya mereka berdua mempunyai hubungan intim bersama. Kemudian, 2 tahun yang lalu, aku juga bertemu dengan seorang dua yang menawarkan dadah kepada aku. Dan kali ini, ini pula! (Aku tertanya-tanya apa pula pengakuan bagi hijabis yang lain) Dengan tenang aku bertanya “Apa beza antara atheist dan agnostik?” “Saya masih percaya kepada Tuhan, tetapi bukan dalam kerangka mana-mana agama. Sedangkan atheist mengutuk atau tidak percayakan tuhan.” Jawabnya. Dia memakai tudung hanya untuk membuatkan keluarganya tenang dan sebagai cara untuk melindungi dirinya daripada diketahui. Tambahnya “Sebenarnya, ramai antara kita yang sebegini. Cuma, kami sahaja tidak memberitahu pada orang lain.” Dia adalah hasil daripada pendidikan sekolah agama rakyat dan menuntut di universiti yang baik pendidikannya. Kawan-kawanya juga terdiri daripada latar belakang yang hampir serupa. Segalanya bermula apabila dia mula berkerja dan bergaul dengan ramai orang, termasuklah Muslim yang berlainan latar belakang. Mereka mula bertanya. Mengapa terlalu banyak kebencian? Sedangkan ramai orang-orang yang baik di luar sana. Teman baru ku ini mampu untuk mentafsir al-Quran di mana kebanyakkan Muslim tidak mampu berbuat demikian. Kemahiran berbahasa arabnya sangat tinggi dan disebabkan oleh kemahiran linguistiknya yang tinggi itu dia mampu untuk mengetahui selok belok dalam penggunaan Bahasa Arab. Aku bertanya kepadanya, adakah dia hanya kecewa dengan Muslim yang lain, tetapi bukannya pada agama secara spesifik? Jawabnya, “Tidak!” Dalam perjalanannya, mencari kedamaian dan keimanan, dia lebih tenang berada di kawasan beribadat golongan yang bukan beragama Islam. Mata ku terbeliak. “Lebih baik awak tidak membuat pengakuan kepada masyarakat di Malaysia” pesan ku. *** Aku pulang ke rumah, semuanya tertarik dengan wacana baru yang diterbitkan. Petang itu, sepupu ku, Justin Johari berkongsi di laman Facebook nya tentang sebuah artikel yang didapati di laman web Salon.com yang bertajuk “Atheism explodes in Saudi Arabia, despite state-enforced ban.” Artikel tersebut telah jelas memberitahu: semakin banyak rakyat Saudi yang semakin tidak mengakui imannya secara senyap-senyap. “Idea untuk menjadi seorang yang tidak beragama mahupun tidak mempercayai tuhan semakin tersebar luas dan ini adalah kerana terdapat banyak percanggahan berkenaan kata-kata para agamawan dengan apa yang mereka lakukan.” Dan ini juga apa yang dikatakan oleh teman baru ku tadi. *** Seminggu sebelum pertemuan ini, aku bertemu dengan seorang teman yang ingin berbincang tentang negara Islam di Malaysia. M ialah seorang yang bersederhana tetapi bila berbicara soal iman, dia menganggap dirinya sebagai konservatif. Dia antara kenalan ku yang dapat melihat prinsip yang lebih utama daripada perkara-perkara cabang walaupun pegangan agamanya sebegitu. “Saya sudah berjanji akan beritahu siapa mereka” katanya semasa makan tengah hari. Suasana di restoran itu sungguh bising dan kami dihidangkan makanan di restoran hipster yang berpatutan harganya. Adakah aku pernah dengar tentang Orang Matahari? Apa, Orang Matahari? Beberapa tahun yang lalu, dia bersama keluarganya pulang ke kampung untuk menghadiri majlis pengembumian. Di sanalah dia pertama kali mendengar tentang Orang Matahari, orang Melayu yang rupanya seperti orang kebiasaan, mengaku sebagai Muslim tetapi tidak. “Mereka tidak solat seperti kita solat. Maksud saya, mereka tidak menunaikan solat sekalipun. Tetapi mereka sembahyang di dalam hati.” Dia melihat perkara ini sebagai sebuah perkara yang parah bagi negara kita dan ini yang membuatkan dia berasa bimbang. Aku melihatnya dan yang aku kenali dia bukalah seorang yang reaktif. Dia seorang yang tabah. Tetapi dalam kes ini, dia sangat bersungguh-sungguh. Katanya, “Bagaimana jika salah seorang daripada teman kita adalah dari kalangan mereka? Seperti kita, Orang Matahari juga berkahwin dan melahirkan generasi mereka dan semua daripada mereka kelihatan sama sahaja seperti kita” Masyarakat Malaysia dalam keadaan yang bahaya. Semuanya bakal berpecah. Sekurang-kurangnya jika Kristian, Buddha dan lain-lain, mereka tahu di mana mereka berdiri. Tetapi kita yang Melayu ini, yang pada kad pengenalan dan borong-borang yang diisi memilih Melayu dan Muslim, sedangkan pada hakikatnya tidak. “Awak perlu pergi sendiri ke Kampung Seronok di Pulau Pinang. Di sana adalah salah satu pusat mereka.” Mataku merenung tajam. Nampaknya, Orang Matahari ini bukanlah sesuatu yang direka-reka. Yang selama ini aku ketahui hanyalah orang yang menyembah matahari, tetapi yang ini? Seperti teman baru ku itu, M mengatakan sesuatu yang serupa “Sebenarnya banyak kuantitinya. Cuma, mereka sahaja tidak menghebahkannya.”
]]>Dilema sekelompok Melayu
Sensitive Truths in Malaysia: A Critical Appraisal of the Malay Problem (2013) terpaksa diakui kebenarannya.
Apabila saya menulis makalah “Dilema Melayu, Cina, India” (Projek Dialog, 16 April 2014) serta memetik beberapa pandangan Sulaiman, saya mengandaikan akan ada hujah balas yang rasional dan bernas daripada pembaca untuk menafikan kata-kata ilmuan berumur 71 tahun itu.
Akan tetapi, ternyata masih wujud sekelompok kecil manusia yang kurang mampu membaca – bukan sekadar mengeja-eja dan mengeluarkan suara – lalu memutar-belitkan fakta sehingga komen-komen yang disebarkan menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook tersasar jauh dari topik asal.
Saya hanya mampu menepuk dahi dengan penuh kecewa apabila kesimpulan yang dibuat oleh beberapa kelompok manusia daripada makalah berkenaan adalah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”.
[caption id="attachment_3357" align="alignleft" width="300"] Berapa ramai yang membaca buku ini sebelum komen?[/caption]
Lebih menarik apabila ada pula puak tertentu yang sekadar membaca kesimpulan itu dan mula kecoh secara berlebih-lebihan tanpa ada kemampuan membaca makalah asal. Apatah lagi kemampuan membaca buku tulisan Sulaiman.
Sayang seribu kali sayang. Ada sekumpulan kecil manusia yang tidak cukup pandai untuk membezakan antara “hujah Uthaya Sankar SB” dan “hujah AB Sulaiman”. Maka, seluruh hujah balas (reaksi) menjadi tidak logik dan sekadar merapu.
Bayangkan bahawa seseorang berada di Kuala Lumpur dan mahu memandu ke Perlis menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan. Dia terus memandu menuju ke Seremban dan tertanya-tanya mengapa tidak ada papan tanda menunjukkan arah Perlis. Dia terus memandu hingga ke Johor Bahru tetapi tetap mengatakan bahawa dia mahu pergi ke Perlis.
Saya sudah menegaskan pada ayat terakhir dalam makalah itu sendiri: “… saya berharap topik yang diketengahkan di sini akan mendapat reaksi pelbagai pihak berasaskan pemikiran rasional dan hujah berbentuk fakta ke arah memulakan dialog sihat.”
Maka, apabila diberitahu bahawa ada beberapa pandangan sedang disebarkan menerusi laman rangkaian sosial, saya teruja kerana mengharapkan serta mengandaikan bahawa akan ada dialog yang intelektual.
Malangnya, apa yang saya temui hanyalah komen-komen merapu yang tidak sedikit pun mengembangkan minda. Sebaliknya, reaksi penuh emosional yang sesungguhnya membuktikan segala hujah serta pandangan yang dikemukakan oleh Sulaiman menerusi bukunya.
Cuba menegakkan benang yang basah
Anehnya, apabila ada orang tampil mengemukakan komen yang intelektual dan rasional serta ternyata memahami kandungan sebenar makalah saya, mereka pula menjadi sasaran kelompok “minda tertutup” yang tidak mahu mengizinkan akal (Arab) dan budi (Sanskrit) mengatasi emosi negatif sedang mereka sebarkan.
Bayangkanlah hakikat bahawa saya hanya memetik satu bahagian kecil daripada buku Sensitive Truths in Malaysia tetapi reaksi yang tersebar di ruang siber sudah lebih daripada mencukupi untuk menunjukkan memang wujud sekelompok kecil manusia (bukan semua) sebagaimana digambarkan oleh Sulaiman. Ya, ternyata bukan imaginasi penulis semata-mata!
“There is no such thing as a Malay race,” kata Sulaiman, penulis, ilmuan dan pengkaji berumur 71 tahun itu dalam bukunya. Pada pandangan beliau, “kaum Melayu” tidak wujud. Mengulas lebih lanjut, Sulaiman mengakui bahawa hujah dan pandangan ini pasti membuatkan Perkasa, Umno dan puak etnosentrik marah dan kecewa.
Demikian salah satu petikan dalam makalah saya yang ternyata menimbulkan kemarahan sekelompok kecil warga siber dan keyboard warriors. Tetapi ingat! Majoriti kelompok itu yang berkongsi komen penuh emosional tidak pula mengambil inisiatif membaca keseluruhan makalah asal yang saya tulis.
Salah satu komen panjang yang sempat saya baca dimulakan dengan premis “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”. Dari mula hingga akhir komen panjang-lebar itu, itulah benang basah yang cuba ditegakkan.
Lebih menyedihkan (kerana saya telah mengharapkan komen dan dialog intelektual) apabila rata-rata orang yang membaca komen panjang-lebar itu pula terus mempercayai sepenuhnya hujah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud” lalu tampil sebagai “serikandi Melayu” untuk berhujah penuh emosional; kononnya demi mempertahankan maruah kaum, bangsa dan agama.
[caption id="attachment_3359" align="alignleft" width="300"]
Topik mengenai “Melayu” terus diperdebatkan.[/caption]
Apabila saya memetik pandangan Sulaiman dalam makalah yang membicarakan dilema orang Melayu, Cina dan India, salah satu harapan saya adalah supaya khalayak (khususnya khalayak sasaran buku itu, iaitu orang Melayu) mencari, meneliti, membaca dan memahami apa yang dimaksudkan oleh penulis berkenaan sehingga beliau berani berkata “There is no such thing as a Malay race.”
Malangnya, mungkin kerana buku berkenaan ditulis menggunakan Bahasa Inggeris (“bahasa penjajah”) maka diabaikan begitu sahaja. Tanpa disedari, salah satu “sikap Melayu” yang disebutkan oleh Sulaiman dalam bukunya sudah terbukti benar dalam kelompok kecil ini.
Lebih menarik apabila makalah asal saya di Projek Dialog juga tidak dibaca. Kalaulah dibaca, tentu kelompok kecil yang “menyalak bukit” itu akan sedar bahawa “we are barking up the wrong tree” – mereka sedang menyalak ke arah pokok yang salah.
(Oh, ya! Pasti selepas ini akan dijadikan isu oleh sekelompok kecil manusia kononnya “Uthaya samakan bangsa Melayu dengan anjing” semata-mata kerana saya menggunakan peribahasa Melayu dan Inggeris pada perenggan di atas. Sekali gus terus membuktikan satu lagi hujah Sulaiman dalam bukunya.)
Komen emosional, tidak rasional
Kalaulah kelompok kecil manusia yang penuh emosional itu berpeluang membaca makalah asal saya, tentu mereka akan faham apa yang sebenarnya diperkatakan. Tidak perlulah saya menerangkan satu per satu di sini kerana perbuatan itu hanya akan membuktikan hakikat mengenai daya intelektual sekelompok kecil orang Melayu sebagaimana diperkatakan oleh Sulaiman.
Sesiapa yang membaca makalah asal saya akan tahu (kecuali mereka memilih untuk berpura-pura tidak tahu) bahawa pandangan “kaum Melayu tidak wujud” dikemukakan oleh Sulaiman dalam bukunya. Saya memetik pandangan itu antara lain untuk menunjukkan contoh dilema dalam kalangan orang Melayu.
Malangnya, sekelompok kecil manusia yang disifatkan oleh Sulaiman sebagai bersifat etnosentrik, memiliki minda tertutup, bersikap seperti katak di bawah tempurung serta tidak mahu berfikir secara rasional memilih untuk hanya berpegang pada hujah “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud” yang dikemukakan oleh beberapa “serikandi Melayu” menerusi komen merapu di ruang siber.
Sebagai penulis makalah dan sebahagian keluarga Projek Dialog yang mengimpikan dialog, perbahasan, hujah dan komen intelektual yang membina minda, tentulah saya berasa amat sedih kerana apa yang berlaku hanyalah komen-komen emosional yang tidak lain dan tidak bukan sekadar mengukuhkan lagi pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh Sulaiman dalam bukunya.
(Buku Bahasa Inggeris itu masih berada dalam pasaran serta boleh dibeli dan dibaca oleh sesiapa yang benar-benar berminat. Maka tidak perlulah saya menterjemahkan keseluruhan kandungan buku itu di sini.)
Salah seorang individu yang terbaca sebahagian komen-komen di ruang siber telah mengirimkan pautan kepada saya menerusi mesej peribadi di Facebook. Selepas pergi laman berkenaan dan membaca komen-komen merapu berasaskan premis “Uthaya kata bangsa Melayu tidak wujud”, saya meluahkan rasa kecewa kepada individu berkenaan.
Saya katakan bahawa rata-rata komen di pautan berkenaan hanya menguatkan hujah Sulaiman mengenai mentaliti, pemikiran dan intelektualiti sekelompok orang Melayu. Saya tegaskan juga bahawa orang yang mengatakan “kaum Melayu tidak wujud” adalah Sulaiman.
“Saudara telah memetik kata-kata itu dalam makalah, maka kami berhak untuk mengatakan bahawa itu adalah hujah saudara juga dan saudara pasti setuju dengan pandangan Sulaiman,” jawabnya dan saya terkedu.
Sulaiman benar sekali lagi! Malah, penulis itu mengatakan “kaum Melayu tidak wujud” dan bukannya “bangsa Melayu tidak wujud” atau “keturunan Melayu tidak wujud” atau “orang Melayu tidak wujud” atau “Kepulauan Melayu tidak wujud”.
Menerusi makalah saya, diperkatakan mengenai dilema serta kekeliruan yang dihadapi orang Melayu, Cina dan India di Malaysia (ulang: di Malaysia) berikutan penggunaan “keturunan”, “kaum” dan “bangsa”. Tidak tahu pula di mana saya menafikan kewujudan orang Melayu.
Silogisme Sulaiman ternyata benar
Sulaiman memberikan beberapa contoh silogisme (syllogism) dalam bukunya. Salah satu: “The Malay is Muslim. Only Muslims go to Heaven. Therefore the Malay goes to Heaven.”
Reaksi merapu yang tersebar selepas makalah saya tersiar boleh disimpulkan menerusi silogisme seperti berikut: “Sulaiman says the Malay race does not exist. Uthaya quoted Sulaiman in his article. Therefore Uthaya says the Malay race does not exist.”
Kalaulah saya menafikan kewujudan orang Melayu, mengapa pula saya menulis sekian banyak makalah khusus mengenai orang Melayu? Misalnya “Hak Istimewa Orang Melayu” (Free Malaysia Today, 23 Februari 2013), “Takkan Melayu Hilang di Malaysia” (The Malaysian Insider, 25 Februari 2013) dan “Perihal Raja-raja Melayu” (Projek Dialog, 5 November 2013).
Makalah “Kisah Tentang Malayu” (The Malay Mail Online, 21 Oktober 2013) menegaskan bahawa Malayu/Melayu telah wujud di Nusantara (Kepulauan Melayu) jauh sebelum kedatangan Islam. Akan tetapi, seperti yang dapat diduga, makalah itu juga menimbulkan kemarahan sekelompok kecil manusia.
Semasa membaca buku tulisan Sulaiman, saya tersenyum lucu apabila beliau membandingkan kelompok “bodoh sepat” (pura-pura bodoh) dengan kelompok “bodoh sombong” (terlalu bodoh sehingga tidak sedar dirinya bodoh). Apabila membaca segala komen merapu di ruang siber mengenai makalah saya, saya terkedu memikirkan kebenaran kata-kata itu.
Mujurlah rata-rata orang Melayu yang saya kenali tidak termasuk dalam kelompok kecil seperti yang dikritik oleh Sulaiman menerusi bukunya. Rata-rata orang Melayu yang saya kenali tidak akan dipengaruhi emosi dan terus melenting tanpa membaca makalah asal serta buku yang menjadi rujukan.
Malangnya, dalam realiti, tidak semua orang sehebat dan sebijak rakan-rakan dan saudara-mara Melayu-Islam yang saya kenali dalam kehidupan seharian. Sebagaimana dalam mana-mana kaum, ras, etnik dan bangsa, akan tetap ada sekelompok kecil manusia yang memenuhi hampir kesemua ciri yang diketengahkan oleh Sulaiman dengan penuh berani dalam bukunya.
[caption id="attachment_3358" align="alignleft" width="300"]
Salah satu pandangan yang dikongsi di ruang siber.[/caption]
Satu-satunya komen agak intelektual yang sempat saya baca (sehingga makalan ini ditulis) adalah apa yang dikemukakan secara kolektif oleh suatu kelompok yang menggelarkan diri mereka “The Patriot”. Terima kasih kepada seorang individu bernama Helmi Effendy yang mengirimkan pautan berkenaan.
Tajuk “Melayu itu bangsa yang tidak wujud – Uthaya Sankar SB” serta pelbagai hujah tetap merupakan premis yang tersasar jauh. Akan tetapi, saya cukup gembira kerana banyak “pendedahan” yang mereka lakukan mengenai orang Melayu menerusi tulisan berkenaan dan pasti bermanfaat dalam mengatasi dilema Melayu.
Dalam pada itu, saya masih optimis bahawa akan ada dialog, perbahasan dan komen intelektual dan rasional daripada khalayak pembaca pelbagai lapisan selepas membaca buku Bahasa Inggeris oleh Sulaiman. Atau sekurang-kurangnya selepas membaca dengan teliti makalah saya yang ditulis menggunakan Bahasa Malaysia yang mudah difahami oleh semua.
Kebebasan beragama melalui kacamata seorang Jedi
manual bagi negara ini, sama seperti manual yang perlu dibaca bagi memandu sebuah kapal angkasa. Perlembagaan mewujudkan badan-badan Perlembagaan, seperti Parlimen, Mahkamah dan Kerajaan, memberi kuasa kepada badan-badan ini dan juga menggariskan had terhadap kuasa-kuasa yang diberikan tersebut. Perlembagaan juga menjamin kebebasan asasi mereka yang berada di negara ini. Contohnya hak untuk berhimpun, hak untuk bersuara dan hak untuk mengundi. Perlembagaan juga menjamin kebebasan beragama bagi semua. Saya mendapati bahawa Perkara 3(1) Perlembagaan menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di Malaysia. Ini melegakan saya. Kebebasan beragama juga termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan yang menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya. ‘Saya adalah seorang Jedi’ – ini anutan saya. Saya juga bebas mengamalkan kod-kod dan peraturan-peraturan Jedi sebagai amalan agama saya. Hak untuk menganuti dan mengamalkan agama ini tidak boleh disekat oleh mana-mana pihak atas apa-apa alasan sekalipun, melainkan ianya berlawanan dengan apa-apa undang-undang am berhubung dengan ketenteraman awam, kesihatan awam atau moraliti. Maknanya, walaupun peraturan Jedi mengharuskan saya membawa lightsaber (pedang lazer) saya ke mana-mana, tetapi oleh kerana terdapat undang-undang yang menyekat penggunaan senjata di negara ini, maka saya tidak boleh menggunakan Perkara 11 sebagai justifikasi untuk membawa lightsaber saya di khalyak ramai. Tidak mengapa. Saya rasa seteru tradisi Jedi, The Sith, tidak ada di Malaysia. Walaupun saya ada nampak seorang yang mirip Jabba The Hutt di televisyen tempoh hari, sedang melaungkan tentang hak Melayu. Kebetulan, agaknya. Berbalik kepada kebebasan beragama. Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan bahawa saya mempunyai hak untuk mengembangkan agama saya. Jadi, sekiranya saya ingin mengajak rakyat Malaysia untuk menyertai orde kami saya boleh. Menurut kajian saya, walaupun saya punya hak untuk mengembangkan agama saya, Perlembagaan membenarkan undang-undang negeri (atau undang-undang Persekutuan bagi Wilayah Persekutuan) untuk mengawal dan menyekat apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang Islam. Di negeri Selangor contohnya, adalah menjadi kesalahan sekiranya saya bercerita tentang perkara-perkara berkenaan anutan dan amalan Jedi kepada seseorang yang beragama Islam. Yang penting bukan agama apa yang disebarkan, tetapi siapa yang menjadi ‘penerima’. Sebab itulah di Selangor juga, ianya menjadi kesalahan sekiranya seseorang Muslim itu berdakwah kepada Muslim yang lain sekiranya dia tidak mempunyai tauliah. Tidak mengapalah. Sebenarnya Jedi memang harus dipupuk dari usia yang amat muda, jika sudah terlalu tua khuatir akan menimbulkan perkara yang tidak diingini. Lihat sahaja apabila Qui Gon Jinn mengambil seorang budak yang terlalu tua bernama Anakin untuk dijadikan Jedi. Sekurang-kurangnya saya kini yakin bahawa hak saya sebagai seorang Jedi dilindungi oleh Perlembagaan. Jadi, jika hak saya untuk menganut dan mengamalkan agama saya dicabuli, saya boleh menegakkan hak saya di Mahkamah. Tetapi saya belum sempat membuat kajian samada Mahkamah di Malaysia telah selama ini menjalankan tanggungjawab mereka untuk menegakkan hak-hak dan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Samalah seperti tanggungjawab kami sebagai Jedi untuk berkhidmat dan melindungi seantaro bimasakti daripada anasir-anasir jahat yang mengancam kedamaian. Ah, tak mustahil meraka tidak jalankan tanggungjawab mereka. Apa guna Perlembagaan, jika Mahkamah tidak meluhurkannya, kan? *Nota untuk JAIS, JAKIM dan semua yang sama waktu dengannya, penulis bukanlah seorang Jedi.
]]>Epik India dan Bahasa Malaysia
Mahabharata di Free Malaysia Today dan Ramayana di The Malaysian Insider,” kata rakan saya kepada individu berkenaan.
[caption id="attachment_2418" align="alignleft" width="300"] Kisah Ramayana dan Mahabharata diceritakan semula secara bersiri.[/caption]
Saya terkejut dan hairan melihat rasa terkejut dan hairan yang muncul pada wajah orang kuat NGO berkenaan yang terlibat secara langsung dalam usaha-usaha mendidik generasi muda kaum India beragama Hindu mengenai budaya India dan ajaran Hindu.
(Untuk rekod, NGO berkenaan tidak melakukan kerja-kerja memujuk, berdakwah atau mempengaruhi orang “memeluk” agama Hindu; sebaliknya membimbing dan mengajar penganut agama Hindu supaya mengenali budaya dan ajaran agama.)
“Mana boleh encik menulis kisah-kisah Ramayana dan Mahabharata dalam Bahasa Malaysia? Bukankah tindakan itu akan dianggap sebagai cuba menyebar luaskan ajaran Hindu kepada orang ramai, khususnya kepada orang Melayu yang beragama Islam?”
Demikian reaksi yang beliau berikan dalam masa beberapa minit sahaja selepas kami bertemu. Dalam masa beberapa minit itu juga saya sudah ada alasan untuk mempersoalkan kewibawaan dan kemampuan beliau “membimbing dan mengajar penganut agama Hindu di Malaysia mengenali budaya India dan ajaran agama Hindu”.
Pandangan sempit bahawa buku dan bahan bacaan Bahasa Malaysia adalah “untuk Melayu, oleh Melayu, sudut Melayu, tentang Melayu” mungkin juga disebabkan “kempen” pihak tertentu.
Misalnya, “badan-badan penulis Melayu” seperti Gapena dan PENA pernah menegaskan bahawa “Kamus Dewan hanya harus dilihat dari perspektif pandangan Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain” (The Malaysian Insider, 18 April 2011).
Dalam siri Mahabharata yang saya tulis untuk siaran secara mingguan di Free Malaysia Today sejak 3 Oktober 2012, turut diselitkan bagaimana epik berkenaan turut diterjemah ke pelbagai bahasa lain dan dibaca masyarakat dunia tanpa mengira agama dan budaya.
Ramayana, Mahabharata jadi bukti
[caption id="attachment_2419" align="alignleft" width="300"]
Buku-buku agama Hindu memang ada diterbitkan dalam Bahasa Malaysia.[/caption]
Begitu juga dalam kes Ramayana yang disiarkan secara bersiri (mingguan) di The Malaysian Insider sejak 6 Januari 2013. Sengaja saya nyatakan bahawa epik berkenaan sudah diterjemahkan ke pelbagai bahasa dunia dan dibaca orang ramai merentas kaum dan agama.
Malah, bagi masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia juga, epik Ramayana bukanlah sesuatu yang baru. Budaya dan sastera Melayu juga tidak “lengkap” tanpa pengaruh Ramayana sejak zaman dahulu. Hakikat dan sejarah ini tidak boleh dinafikan atau disembunyikan.
Sejak September 2012, ada pihak yang sengaja menimbulkan isu kononnya saya cuba menyebarkan ajaran agama Hindu kepada khalayak pembaca Melayu-Islam menerusi karya-karya Bahasa Malaysia yang saya hasilkan.
Susulan daripada kempen berbentuk perang saraf yang dilakukan puak tertentu, pertama kali dalam sejarah dan pengalaman saya menulis secara profesional sejak 1992, sebuah cerpen saya ditolak (walaupun pada mulanya sudah diluluskan) dengan alasan ada unsur penyebaran agama Hindu!
Agak menarik bahawa cerpen berkenaan akhirnya mendapat pula ruang dan peluang penyiaran di sebuah majalah berprestij. Tidak pula timbul isu “ada unsur penyebaran agama Hindu” apabila saya mengemukakan semula manuskrip yang 100 peratus sama.
[caption id="attachment_2421" align="alignleft" width="300"]
Cerpen yang dituduh “menyebarkan agama Hindu” termuat dalam buku ini.[/caption]
Malah, lebih menarik apabila cerpen penuh kontroversi itu sedia diterbitkan oleh sebuah penerbitan berwibawa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Orang ramai berpeluang membaca cerpen “Chitra Paurnami” dalam majalah Dewan Sastera (Februari 2013) dan juga dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013).
Kebimbangan tidak berasas dan perasaan takut akan bayang-bayang sendiri yang membuatkan seorang penolong editor sebuah majalah menolak cerpen itu dahulu akhirnya terbukti tidak berasas. Kempen anti-Uthaya yang dilakukan puak tertentu juga gagal.
Akan tetapi, timbul pula isu baru apabila orang kuat sebuah NGO agama Hindu mempersoalkan tindakan saya menulis kisah Ramayana dan Mahabharata dalam Bahasa Malaysia untuk khalayak pembaca generasi muda pelbagai kaum dan agama.
Pada pandangan dan pendirian saya, tidak salah sekiranya bahan-bahan berkaitan agama Hindu ditulis dan diterbitkan dalam Bahasa Malaysia (selain daripada Bahasa Tamil dan Inggeris, misalnya) dalam usaha menyebarkan maklumat kepada penganut agama Hindu di Malaysia.
Hanuman: Suara Hati
[caption id="attachment_2420" align="alignleft" width="231"]
Novel Hanuman: Suara Hati bakal terbit pada September 2013.[/caption]
Saya pernah juga menyentuh isu ini serta memaparkan pandangan rakan-rakan pelbagai kaum berhubung topik sama menerusi beberapa makalah sebelum ini; khususnya “SJKT, BM dan agama Hindu” (Free Malaysia Today, 14 Mei 2013) dan “Bahasa Malaysia dan agama Hindu” (Projek Dialog, 16 Mei 2013).
Malah, pembaca beragama Hindu yang berminat wajar berusaha mendapatkan buku-buku berjudul Panduan Bhagavad Gita Untuk Hidup Berjaya tulisan M.S. Rama dan Shivapuranam Edisi Bahasa Malaysia tulisan M.K. Selva yang siap dicetak frasa “Untuk Bacaan Penganut Hindu Sahaja” pada kulit depan.
Kedua-dua buku berkenaan merupakan usaha yang membanggakan dan ditulis pula menggunakan Bahasa Malaysia yang berkualiti. Pengarang bernama M.S. Rama dan M.K. Selva sebenarnya orang yang sama. Malangnya, saya tidak dapat mempromosikan buku-buku berkenaan secara terbuka kerana kedua-duanya tidak memiliki International Standard Book Number (ISBN).
Sementara itu, penulisan siri Ramayana dan Mahabharata yang saya lakukan bukan berciri teks keagamaan dan tidak juga bermotifkan usaha menyebarkan ajaran agama Hindu kepada penganut agama Hindu – apatah lagi kepada orang Melayu-Islam!
(Untuk rekod, saya “menyebarkan” ajaran inter-faith dan dialog antara agama seperti turut digalakkan Nabi Muhammad, Jesus, Mahatma Gandhi, Siddharta Gautama Buddha dan Guru Nanak; bukannya “menyebarkan” ajaran mana-mana agama tertentu secara khusus.)
Sebaliknya, kedua-dua kisah itu – dengan hiasan lukisan menarik oleh Hussain Sajad dan Pat Patricia – bertujuan memperkenalkan epik besar dari Tamadun India kepada generasi muda pelbagai kaum dan agama di Malaysia; selaras objektif mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS).
Pada masa sama, dapat juga mengangkat serta memartabatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penyebar ilmu dan maklumat. Kalau bukan kita yang meletakkan keyakinan pada bahasa kebangsaan kita, siapa lagi?
Pada 1 September 2013, Bahagian 47 bagi Mahabharata dan Bahagian 32 bagi Ramayana akan disiarkan. Berbeza dengan kebimbangan yang dilahirkan oleh pegawai sebuah NGO agama Hindu kepada saya beberapa bulan lalu, tidak timbul sebarang kekeliruan dalam kalangan masyarakat bahawa kedua-dua kisah itu mungkin cuba unsur penyebaran ajaran Hindu.
Hal yang sama juga dapat diperhatikan apabila saya menulis novel Hanuman: Potret Diri (1996) dan edisi terbaru (edisi terhad) dengan pelbagai maklumat tambahan – termasuk prakata, pengantar, prolog, epilog dan glosari – yang dijadualkan menemui pembaca dengan judul Hanuman: Suara Hati pada September 2013.
Yakinlah pada kemampuan bahasa kita
Khalayak pembaca pelbagai kaum dan agama tidak menghadapi masalah untuk membaca kisah itu yang menampilkan watak utama, Hanuman, si kera putih bermata hijau. Apatah lagi ia sebuah karya parodi retorik yang menggabungkan pula kisah-kisah daripada pelbagai versi Ramayana yang terdapat dalam pelbagai bahasa, budaya dan agama di seluruh dunia.
Pada tahun 1996, apabila novel Hanuman: Potret Diri diterbitkan oleh DBP, pertanyaan dan kebimbangan mengenai “kesesuaian” saya mengangkat kisah dan watak-watak daripada epik Ramayana dalam karya Bahasa Malaysia ditimbulkan bukan oleh orang Melayu-Islam, tetapi oleh orang India-Hindu.
Begitulah juga apabila saya menampilkan watak-watak Rama, Sita, Hanuman dan Ravana dalam beberapa cerpen berbentuk satira seperti “Bitara Sita” (Mingguan Malaysia, 31 Oktober 1993), “Sengketa Pulau Cinta” (Mingguan Malaysia, 23 April 1995), “Sasterawan Pulau Cinta” (Mingguan Malaysia, 12 November 1995) dan “Fail Merah: Konspirasi Membunuh Sasterawan Pulau Cinta” (Dewan Masyarakat, September 2002).
Dalam kesemua kes di atas, kebimbangan dilahirkan oleh rakan-rakan dan kenalan India-Hindu yang risau memikirkan kesan dan akibat apabila saya menyuakan watak-watak daripada epik dan purana Hindu kepada masyarakat pelbagai kaum menerusi fiksyen dan faksyen Bahasa Malaysia!
Sejak dahulu, kebanyakan mereka (yang sebenarnya prihatin) bimbang memikirkan kemungkinan karya-karya saya dianggap menyebarkan agama Hindu dan bertentangan dengan undang-undang negara. Semuanya semata-mata kerana saya mengangkat watak-watak dan kisah-kisah daripada Ramayana dan Mahabharata.
Saya segera – sambil menaip makalah ini – teringat akan cerpen “Fikir Yuyutsu” karya Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan dan novel Kembang Kanigara karya S.M. Zakir yang masing-masing mengangkat kisah, watak, semangat dan falsafah daripada epik Mahabharata dan Ramayana.
Maka, ada suatu perkara paling asas yang perlu difikirkan bersama dan dibincangkan secara lebih mendalam oleh masyarakat kita; khususnya NGO kaum India yang berhasrat memperkenalkan budaya India kepada generasi muda India, dan NGO agama Hindu yang bertanggungjawab memberikan bimbingan agama Hindu kepada generasi muda Hindu – termasuk kepada golongan gangster yang hangat diperkatakan sekarang.
Perkara yang perlu difikirkan adalah sama ada kita masih tidak yakin, takut dan was-was untuk mengangkat hal-hal berkaitan budaya India dan agama Hindu dalam tulisan/karya Bahasa Malaysia. Sambil itu, sentiasalah beringat bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa komunikasi serta bahasa milik setiap warga di negara ini.
Kalau bukan kita yang menggunakan, mengangkat, memperkasakan dan memartabatkan Bahasa Malaysia, siapa lagi? Tepuklah dada, tanyalah selera.
Projek Dialog membantah stigmatisasi penganut Mazhab Syiah
Projek Dialog Membantah Pengharaman dan Stigmatisasi Penganut Mazhab Syiah
Projek Dialog berasa kesal akan tindakan kerajaan untuk mengharamkan penganutan fahaman Syiah di Malaysia. Hal ini adalah berikutan daripada kenyataan anti-Syiah oleh beberapa menteri kabinet dan ahli politik, diantaranya ialah Datuk Seri Jamil Khir Baharom selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri, dan Datuk Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah. Projek Dialog membantah akan ancaman keras, penindasan dan prejudis pihak berkuasa serta sesetengah pihak berkepentingan terhadap golongan bermazhab Syiah di negara ini. Sebelum ini, Projek Dialog pernah menulis sebuah kenyataan media berkenaan bantahan kami terhadap Bengkel Bahaya Syiah anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Kami juga telah menulis rencana mengenai isu-isu yang dihadapi oleh golongan Syiah di negara ini. Penghukuman golongan bermazhab Syiah oleh pihak berkuasa kerajaan berakar sejak tahun 1980-an akan tetapi menjadi lebih buruk sejak 1990-an. Agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Pendaftar Pertubuhan dan Kementerian Penerangan juga telah bersatu mengambil langkah drastik untuk menekan golongan minoriti Islam ini. Pihak media dan alim ulama arus perdana juga tampak giat menfitnah Syiah sebagai bukan agama Islam. Ini adalah aneh memandangkan mazhab Syiah diiktiraf oleh OIC seperti termaktub dalam Islamabad Declaration 2007. Projek Dialog juga mengingatkan kerajaan bahawa Malaysia tidak terlepas dari Universal Declaration of Human Rights (1948) dan ASEAN Human Rights Declaration (2012) yang telah ditandatangani oleh negara. Islam mengajar umatnya mendalami nilai-nilai kemanusiaan dan kedamaian sejagat, dan nilai-nilai tersebut adalah terpaut dalam sejarah kedatangan Islam di sini. Sejarah menunjukkan ajaran Sunni dan Syiah telah berkembang dengan amannya di Asia Tenggara, termasuk juga di negara ini. Kerajaan-kerajaan Melayu dahulu kala menghormati, malah menerima kepelbagaian beragama di kalangan masyarakat majmuk. Sejarah kedatangan agama Syiah di Malaysia telah wujud sejak kurun ke-12. Ia tersebar luas ke kawasan-kawasan di Indonesia (terutamanya Aceh), Thailand dan Malaysia oleh pedagang-pedagang dari Selatan India. Bahkan, penerapan fahaman Syiah adalah amat mendalam dan mempengaruhi kebudayaan dan kesusasteraan masyarakat Melayu di sini. Antaranya adalah Hikayat Muhammad Hanafiyyah, ia merupakan manuskrip teks Melayu yang terawal, dipercayai berasal-usul daripada Parsi. Hikayat tersebut menceritakan sejarah awal Syiah melalui peperangan epik di antara puak regim Umayyad yang diketuai oleh Muawiyah dan Abu Hurairah, terhadap Muhammad Ibn Al-Hanafiyyah, anak kepada Khalifah Ali Bin Abi Talib. Selain itu, tokoh sastera awal seperti penyair terkenal kurun ke-17, Hamzah Fansuri, sering menyelitkan unsur-unsur falsafah mistik Syiah dalam syair-syairnya. Syair-syairnya nan indah juga telah sedikit sebanyak mengembangkan pemikiran Wahdatul Wujud (unity of existence). Sejarah perkembangan Syiah tersebut menunjukkan dakwaan bahawa Syiah akan memesongkan umat Islam adalah tidak benar sama sekali, bahkan Syiah telah memperkayakan lagi budaya dan pemikiran masyarakat Melayu di benua ini. Malaysia tidak boleh bermuka-muka di peringkat lokal dan bersikap lain di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh sepuluh orang qari bermazhab Syiah dari Iran dan Iraq telah memenangi Musabaqah Tilawah al-Quran Antarabangsa anjuran Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia sejak tahun 1961, akan tetapi di peringkat tempatan penganut Syiah dianiayai dengan begitu teruk sekali. Kita sebagai umat Islam sepatutnya menghargai kepelbagaian dan keunikan agama di Malaysia, sumber-sumber keintelektualan dan sastera Melayu yang disumbangkan oleh agama-agama termasuklah dari Syiah adalah tidak terhingga nilainya. Al-Quran juga memberi penekanan dalam kepentingan kepelbagaian dan sikap inklusif di kalangan umatnya. Manusia yang tidak menghargai sejarah dan kebudayaan di sekelilingnya, akhirnya akan menjadi seorang yang daif ilmu dan cetek nilai. Negara yang tidak memelihara kepelbagaian di kalangan umatnya, akhirnya akan ketandusan nilai kemanusiaan dan ketuhanannya. Demikian itu, Projek Dialog berharap rakyat Malaysia, khususnya umat Islam di negara ini mampu mencelikkan kerohanian minda mereka agar tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur ancaman dan penindasan terhadap komuniti Syiah yang dibawa oleh pihak-pihak berkepentingan. Kami menyarankan agar alim ulama negara ini memainkan peranan penting dalam mendidik umat dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat, serta mengamalkan prinsip berdialog atau bermuzakarah dalam menangani isu-isu keagamaan minoriti. Akhir sekali, kami berharap pihak berkuasa dapat menarik balik kenyataan mereka terhadap pengharaman penganutan Syiah di negara ini, dan sebaliknya mengamalkan pemerintahan yang memelihara kemajmukan dan keadilan sosial di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama. ]]>Projek Dialog membantah ISMA
Projek Dialog membantah kenyataan ISMA berhubung isu undang-undang jenayah syariah. Projek Dialog membantah kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dalam sahutan mereka kepada The Joint Action Group for Gender Equality (JAG). Hal ini berkaitan isu undang-undang jenayah syariah dimana sebatan syariah dikenakan terhadap 39 orang pesalah yang melakukan sumbang muhrim dan zina. Kami mendapati bahawa hujah-hujah yang diketengahkan oleh ISMA agak sempit dan bersifat reaksioner. ISMA menyaran bahawa undang-undang Syariah adalah wajib dijatuhkan terhadap pesalah-pesalah tersebut atas sebab mereka telah melakukan dosa besar dan melanggar syariat islam. ISMA terlalu menekankan prinsip hukuman Syariah yang terlalu literal tanpa memahami konteks dan intipati sebenar Islam yang mementingkan semangat kemanusiaan and kecintaan. Ad-deen yang dipupukkan melalui Al-Quran adalah bertujuan untuk manusia senantiasa bersifat memaaf-maafan, berhati mulia, sentiasa bermuhasabah, dan mempunyai semangat kasih sayang terhadap manusia yang lain. Realitinya, Projek Dialog juga berasa risau akan perkembangan politik Islam di Malaysia, dimana Islam hanya digerak sebagai sebuah lebel identiti yang dihargai melalui sudut pandang yang amat sempit. Walhal Islam bukanlah sebuah agama yang bersifat institusi mahupun politik yang hanya rakus menghukum dan mengaibkan umatnya. Dakwaan ISMA bahawa hukuman Syariah adalah berdasarkan syariat Islam juga tidak betul. Sistem penghakiman dan undang-undang Syariah dilaksanakan oleh manusia dan begitu mudah digunakan bagi menindas golongan yang tiada hak dan suara. Tidak hairanlah wanita yang kebanyakkannya menjadi mangsa undang-undang Syariah. Kami juga risau akan penjelasan ISMA akan cara penghukuman tersebut dan mengatakan bahawa “hukuman perlu dilaksanakan tanpa menunjukkan belas kasihan.” Dimanakah nilai-nilai kemanusiaan kita jika Islam hanya dizahirkan sebagai satu fahaman yang gemar menghukum? ISMA juga bersikap biased terhadap golongan yang tidak bersetuju dengan mereka dan melebelkan mereka sebagai pejuang feminisme dan liberalisme tanpa memahami konteks label-label tersebut. Sebaliknya apa yang diperjuangkan JAG juga ditegakkan oleh Islam seperti keadilan sosial, hak kebebasan asasi, dan hak kemanusiaan. Bahkan, ISMA tidak mempunyai asas kukuh dalam menilai konteks keadilan. Mereka terlalu memandang berat isu maruah keturunan dan zuriat tetapi tidak mempunyai nilai perikemanusiaan akan hak dan suara seseorang individu. ISMA terlalu khusyuk dengan pembanterasan dosa-dosa besar di kalangan umat Islam dalam konteks seksual yang sempit seperti peraturan-peraturan dan perlaksanaan undang-undang jenayah Syariah yang mengawal hak kebebasan asasi masyarakat. Seperti kata pepatah “kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak”, ISMA juga tidak mempunyai tahap keintelektualan Islam yang mendalam mengenai isu jenayah dan hukuman. Sebagai contoh, memberi dan menerima rasuah adalah jenayah yang jauh lebih keji tetapi tidak pula diperjuang keras oleh ISMA untuk menetapkan undang-undang yang lebih berat dan saksama. Kami berpendapat ISMA sepatutnya memperjuangkan intipati keadilan Islam yang sebenar. Isu seperti ketidakadilan sosial, rasuah yang berlaluasa, pembinasaan alam sekitar, kemiskinan dan penindasan terhadap golongan kelas bawahan, sistem keadilan syariah yang dikawal oleh golongan ulama-ulama elitis, hak kebebasan bersuara dan beragama yang ditegakkan Islam, dsb, wajiblah diberi perhatian sepenuhnya oleh ISMA jika ia serius akan moto organisasinya iaitu “Membangun Umat Beragenda”. Lebih dikesali kami adalah dakwaan membuta-tuli ISMA terhadap ‘pandangan liberal’ dengan memberi contoh kursus “Sumbang Mahram Adik Beradik (Sibling Incest)” oleh University of Missouri dan ponorgrafi bertemakan sumbang mahram dari Barat. Kami berpendapat ISMA cenderung membuat andaian yang rawak dan tidak betul. Kursus yang disebutkan oleh ISMA sebenarnya merupakan sebuah subjek yang mengkaji perspektif sejarah bagi topik tersebut, ia tidak langsung berkaitan dengan agenda liberal yang dimaksudkan ISMA. Walhal isu pornografi adalah sebuah fenomenon global yang dipandang serius akan implikasi sosialnya, baik oleh Projek Dialog mahupun NGO-NGO hak asasi lain. Projek Dialog berpendirian teguh akan prinsip kami menentang undang-undang yang tidak berperikemanusiaan. Kami percaya Islam yang sebenar merupakan ad-deen yang menyeru kepada keadilan, kemanusiaan dan persaudaraan, bukannya lebelan politik yang bersifat menghukum, menindas dan mengaibkan.
]]>Sang Sapurba, Demang Lebar Daun dan Perlembagaan
“Maka sembah Demang Lebar Daun. ‘Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak.’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.’ Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Janji yang mana itu, Tuanku?’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.’ Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu.’” Ini adalah waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun yang menjadi asas taat setia orang Melayu kepada raja mereka. Menurut perjanjian, keturunan Demang Lebar Daun (orang Melayu) harus taat dan setia kepada raja mereka, walau dizalimi sekalipun. Pada masa yang sama, keturunan Sang Sapurba (raja Melayu) juga berjanji bahawa tidak akan mengaibkan atau menista rakyatnya walau dosa mereka sebesar mana sekalipun, dan jika dihukum mati ia harus mengikut hukum Syarak. Daripada dialog ini, yang terkandung di dalam karya Melayu klasik ‘Sulalatus Salatin’ atau lebih dikenali sebagai ‘Sejarah Melayu’, kita dapat memahami konsep ‘derhaka’ dalam konteks budaya dan pemikiran orang Melayu. Jika rakyat keturunan Demang Lebar Daun itu melanggar waadat ini, maka derhakalah dia. Akta derhaka? Mutakhir ini, derhaka menjadi topik perbincangan. Bekas hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah mencadangkan supaya suatu ‘Akta Derhaka’ digubal. Menurut laporan Bernama: “Patut ada undang-undang khas digubal tentang apa-apa perbuatan yang terjumlah dan terangkum dalam kesalahan derhaka. Undang-undang ini sesuai kerana rakyat di beberapa lapisan tidak memahami sebenarnya kuasa Raja. “Sudah tiba masanya bagi kerajaan menggubal undang-undang mengenai penderhakaan, bukan di bawah hasutan,” katanya kepada pemberita di luar Seminar Institusi Raja anjuran Universiti Malaysia Perlis di sini. Mengulas lanjut, beliau berkata undang-undang khas itu perlu menggariskan definisi derhaka dari sudut perbuatan, ucapan, sindiran, grafik dan lain-lain, serta mengenakan hukuman keras sekurang-kurangnya dua tahun penjara. “Ini supaya rakyat tahu tiada maaf bagi mereka yang melakukan kesalahan derhaka,” katanya. Cadangan ini diutarakan kerana beliau berpendapat bahawa kesalahan hasutan itu berbeza dengan penderhakaan. Dari sudut ini, penulis bersetuju dengannya; kesalahan hasutan yang terkandung dalam Akta Hasutan memerlukan elemen kecenderungan pihak ketiga terhasut oleh kata-kata atau perbuatan tertuduh. Derhaka pula bersifat peribadi, iaitu di antara individu dengan raja atau institusi diraja itu sendiri. Bukan ‘Treason’ Media telah menterjemahkan cadangan Akta Derhaka ini sebagai ‘Treason Act’. Tetapi pada penulis, ‘treason’ berbeza dengan derhaka. Treason adalah belot atau khianat, seperti percubaan menggulingkan pemerintah. Melawan raja adalah ‘treason’. Tetapi derhaka tidak mermerlukan perbuatan yang begitu drastik, tidak taat kepada raja itu boleh dianggap derhaka. Di Malaysia, kita tidak mempunyai undang-undang lese majeste atau undang-undang yang menghukum perbuatan menjatuhkan maruah atau martabat raja. Bandingkan ini dengan Thailand, misalnya, di mana hukuman dikenakan ke atas mereka yang dikatakan telah menghina raja mereka. Akta Hasutan bukanlah undang-undang lese majeste, walaupun kadangkala ianya digunapakai seperti ianya undang-undang lese majeste. Cadangan bekas hakim tersebut akan membawa lese majeste ke dalam badan undang-undang tanahair. Persoalannya, adakah Akta Derhaka ini diperlukan? Kita balik semula kepada waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Pentingnya waadat ini untuk memastikan kesinambungan di antara raja dan rakyat zaman berzaman. Untuk mengikat nasib sang raja dengan rakyatnya, melalui perjanjian yang tidak boleh dilanggar oleh mana-mana pihak. Sekiranya waadat ini dimungkiri, maka pihak lagi satu tidak mempunyai tanggungjawab untuk terus mentaati waadat tersebut. Sekiranya rakyat derhaka, ia akan mengancam kesinambungan masyarakat Melayu dan sistem pemerintahan diraja mutlak pada ketika itu. Waadat baru Kita ada waadat baru sebenarnya. Perjanjian di antara raja, kerajaan dan warganegara. Waadat ini adalah Perlembagaan Persekutuan. Perjanjian yang jauh lebih utuh daripada waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Kuasa raja-raja, kedudukan raja-raja dan keistimewaan raja-raja kesemuanya dijamin dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Begitu banyak dan lengkap perlindungan yang ada di dalam Perlembagaan, termaktub dan hampir mustahil untuk diubah. Apa-apa perkara yang menyentuh perihal raja-raja bukan setakat memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen untuk dipinda, ia juga perlu perkenan daripada raja-raja Melayu sendiri. Waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun sudah berubah. Raja mutlak kini menjadi raja berperlembagaan. Di bawah waadat baru ini, kebebasan asasi rakyat didukung, kedudukan institusi diraja dimartabatkan serta dilindungi dan badan-badan kerajaan yang lain diberi kuasa dengan sempadan-sempadan yang nyata. Semuanya di bawah undang-undang terulung negara, Perlembagaan Persekutuan. Maka melalui waadat Perlembagaan ini, rakyat dijamin kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Kebebasan ini sememangnya boleh disekat, tetapi sekatan hanya boleh digubal oleh Parlimen atas sebab-sebab tertentu yang dinyatakan oleh Perlembagaan sendiri. Juga, sekatan yang dikenakan haruslah sekatan yang munasabah. Malahan, Perlembagaan memberikuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang untuk melarang dipersoalkan perkara berkenaan kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa raja-raja di negeri masing-masing. Kukuhnya kedudukan raja-raja Melayu di bawah Perlembagaan, ianya tidak mungkin terancam dengan kata-kata, walaupun boleh ditafsirkan sebagai menghina. Undang-undang lese majeste seperti Akta Derhaka untuk menghukum mereka yang menjatuhkan maruah atau martabat, menghina atau tidak menghormati institusi diraja tidak diperlukan kerana kedudukan dan kedaulatan institusi diraja sememangnya sudah terjamin. Undang-undang bukan jalan penyelesaian kepada semua cabaran yang kita hadapi. Sekiranya dihujahkan bahawa kita berhadapan dengan ‘penyakit’ rakyat yang tidak lagi menghormati institusi diraja, penjenayahan ‘derhaka’ bukanlah ubat yang mujarab. ‘Rawatan’ yang terbaik adalah pendidikan dan pemahaman, bukan dengan hukuman. Penulis yakin bahawa dengan pendidikan dan pemahaman, rakyat akan menghormati institusi diraja kerana mereka akan faham peri pentingnya institusi diraja di dalam kerangka tanahair kita.
]]>Sastera dan cerita kepada kemanusiaan
“Kalian boleh maju dalam pelajaran, mungkin mencapai deretan gelar kesarjanaan apa saja, tapi tanpa mencintai sastra, kalian tinggal hanya hewan yang pandai.” Pramoedya Ananta Toer
BERPULUH tahun dahulu, seorang pemimpin negara yang ‘berpandangan jauh’ telah mengemukakan sebuah dasar negara yang tidak pernah difikirkan rakyat biasa. Dasar tersebut (yang telah menyebabkan beliau popular dan dikagumi ramai) dinamakan Wawasan 2020 – dengan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara industri yang bakal memacu Asia menjelang tahun 2020 nanti. Wawasan 2020 yang dibisikkan ke dalam mimpi masyarakat untuk membina peradaban industri maha hebat – telah menyebabkan rakyat dibuai dengan impian indah ‘kereta terbang’ dan ‘polis robot’ ketika poster-poster Malaysia 2020 diedarkan kepada anak sekolah. Akibatnya, aliran Sains diperkenal dan diberi keutamaan – sehingga – aliran Sastera terperuk dan terperosok di celah-celah cita-cita anak muda. Sastera bahkan diperkenal di sekolah-sekolah hanya sebagai bahan uji-kaji, untuk melihat keberkesanan otak pelajar menghafal 32 nilai murni yang diajarkan. Mengejar status negara industri sempena tahun 2020; murid diajar untuk menganalisis Sonnet 18 tetapi bukannya Syair Perahu. Di Barat, anak muda masih belajar naskhah Pierre de Ronsard (1524-1585) atau Victor Hugo (1802-1885). Malangnya di Malaysia, anak muda tidak diperkenalkan kepada Hamzah Fansuri (lahir akhir abad ke-16) Perang dan Peperangan Dalam tradisi pendidikan moden Eropah dan dunia Barat, Sastera dipandang tinggi kerana kemampuannya bercerita dengan bersahaja tentang aparat dunia. Kemiskinan, kepayahan hidup, tragedi bahkan perang yang mengerikan; Sastera senantiasa ada cara untuk menyampaikannya kepada masyarakat. Dr Zhivago karangan Boris Pasternak misalnya mengisahkan kehidupan warga Rusia yang dipaksa hidup di dalam tragedi peperangan awal abad ke-20. Yuri Zhivago ditinggalkan ibu bapanya yang mati ketika dirinya masih kecil. Kemudiannya berkahwin dan mendapati keluarganya terpaksa berhadapan dengan kekejaman kebuluran dan hukuman akibat peperangan. Zhivago yang lahir pada zaman pemerintahan Tsar, melalui getirnya hidup melalui perang dunia pertama, revolusi sehinggalah kepada perang saudara. Dilahirkan di dalam keluarga yang kaya, Zhivago menjadi miskin akibat sindrom alkoholism ayahnya. Walaupun berjaya mengekalkan kedudukan sebagai ilmuan yang fokus kepada falsafah dan agama, Zhivago akhirnya akur bahawa perang telah mengubah habis wajah masyarakat Rusia. Setelah melihat banyak kepercayaannya dicabar, wanita-wanita yang dicintainya tidak dapat dipertahankan; Zhivago meninggalkan dunia dengan tiga anak melalui tiga wanita yang berlainan takdir masing-masing iaitu samada dalam pembuangan, kemiskinan atau ketidakpastian. Miskin dan Kemelaratan Sementara itu Victor Hugo di dalam Les Miserables menggambarkan kemiskinan dan kemelaratan sebagai kesan sosial kepada beberapa revolusi di Perancis. Naik jatuh Napoleon dan monarki Bourbon misalnya – digambarkan secara halus melalui gambaran kehidupan seharian. Untuk pembaca yang memerhati, Les Miserables adalah sebuah kritik halus kepada rejim Republikan di Perancis yang gagal menangani secara efektif ketidakadilan sosial serta menamatkan sistem kelas bangsa Perancis. Hugo menyifatkan Battle of Waterloo yang hebat itu misalnya sebagai peperangan yang mengingatkan kita kepada bentuk masyarakat zaman gelap seperti pencuri kuburan yang masih wujud. Revolusi yang diperjuangkan Hugo adalah revolusi moral, yang menukarkan sistem lama yang berasaskan ketamakan dan korupsi dengan kebaikan hati. Selain itu, Hugo juga berjaya mengenengahkan isu anak yatim dan sistem kekeluargaan di Perancis yang agak kucar kacir pada masa tersebut. Valjean, Fantine, Cosette, Marius, Gavroche, Pontmercy, dan Gillenormand kesemuanya terasing dari keluarga masing-masing oleh sebab ekonomi atau politik. Ketidakstabilan sosial dan kemiskinan akhirnya mencipta Cosette, Valjean, Fantine dan Gavroche. Kesemua watak ini menggambarkan kesedihan akibat kesunyian dan kemelaratan. Sastera dan Masyarakat Abugu Benjamin di dalam makalahnya ‘Literature as a reflection of a society’ (2010) menekankan fungsi Sastera untuk membetulkan masyarakat kerana Sastera dianggap sebagai cermin yang membolehkan masyarakat melihat semula ke dalam kesilapan sejarah dan membetulkannya untuk masa hadapan serta sebagai cerminan kepada segala kebaikan yang perlu dicontohi. Selain itu beliau juga menjelaskan Sastera sebagai peniruan terhadap peri laku manusia, seringkali mempersembahkan gambaran pemikiran masyarakat. Watak pula melalui karakter, kata-kata dan reaksi selalunya menyampaikan mesej tertentu sebagai alat pendidikan kepada pembaca. Beliau menambah; “If the works of other playwrights and novelists are studied, the result will be similar: each work reflects the social, political, economic or religious situation of the society in which it is set. Literature is an imitation of human life and action; it is a reflection of the human society. Literature not only reflects the society but serves as a mirror in which members of the society can look at themselves and see the need for positive change,” Steven Denney pula di dalam makalahnya “What is the Role of Literature for Individuals and Society?” (2008) menegaskan dua peranan Sastera kepada manusia dan masyarakat. Peranan pertama Sastera ialah peranan aktif yang menghubungkan manakala peranan kedua ialah peranan pasif dan reflektif. Peranan pertama adalah peranan yang signifikan di dalam perkembangan individu. Dari pembacaan, individu akan membentuk idea dan konsep terhadap dunia yang mereka diami. Idea dan konsep ini akan bergabung di dalam bentuk ideologi. Dari ideologi ini – timbullah kesedaran kendiri, motivasi dan sikap seseorang. Peranan kedua pula ialah bagaimana Sastera berperanan sebagai sebuah pameran atau persembahan terhadap masyarakat tentang ideologi, pemikiran dan perilaku masyarakat. Ia menggambarkan bagaimana sesebuah masyarakat tersebut berfikir pada zaman tersebut dan bagaimana mereka berfikir tentang zaman itu. Ia membenarkan seseorang memahami bagaimana sesebuah masyarakat berfungsi dan mengapa sesebuah perilaku atau kejadian tersebut berlaku. Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad, Bumi Manusia oleh Pramoedya Ananta Toer, Salina oleh A Samad Said, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck oleh Hamka, The Old Man and The Sea oleh Ernest Hemingway, 100 Years of Solitude oleh Gabriel Garcia Marquez, Siddharta oleh Herman Hesse dan Hadji Murat oleh Leo Tolstoy adalah sebahagian kecil dari contoh bentuk Sastera yang telah memberi pengaruh kepada masyarakat. Manusia dan Kemanusiaan Sepanjang tamadun dunia, tema kemanusiaan seperti perang, kemiskinan, kemelaratan dan ketidakadilan sosial berulang di dalam lingkaran syaitan yang tiada penghujung. Zaman berzaman; cerita-cerita tentang peperangan yang membunuh, kemiskinan yang memelaratkan, ketidakadilan sosial di antara kaum penindas dan kaum tertindas – kekal diceritakan melalui pelbagai ragam sastera lewat zaman tersebut. Sehingga satu masa, penciptaan mesin ke angkasa lepas, gajet sesentuh ala-iPad atau kereta dengan kuasa hibrid – masih tidak mampu membanteras kebuluran, kematian akibat peperangan ataupun penyakit mental akibat tekanan sosial dan ekonomi. Di celah-celah tema kemanusiaan yang berulang ini; wujud satu ruang yang dinamakan Sastera – untuk merakam dan menceritakan semula kepada manusia – perihal manusia dan kemanusiaan; yang tidak pernah memahami antara satu sama lain. Etienne Balibar and Pierre Macherey didalam makalah mereka iaitu “On Literature as an Ideological Form” (1981) melihat kesan buruk Sastera akibat pertarungan politik. Menurut mereka, kesan paling estetik yang boleh Sastera hasilkan ialah kesan dominasi ideologi. Untuk memahami teks – menurut mereka – adalah melalui rantaian kritik dan wacana ideologi. Melalui wacana ideologi akibat kepelbagaian fahaman, individu akan menjumpai ideologi yang paling sesuai buat mereka. Kesannya – individu terdedah kepada ideologi yang paling dominan kepada mereka. Di Malaysia, Sastera nasional telah hilang roh ideologi dan fungsi asalnya. Budaya politik hubris yang kononnya pro pembangunan dan kemodenan juga telah menyebabkan anak-anak tidak lagi menganggap membaca naskhah Sastera sebagai sesuatu yang ‘cool’ – tetapi melihat permainan video dan perkembangan dunia digital sebagai pilihan mereka. Sistem pendidikan yang membanding bezakan pelajar menurut aliran Sains dan Sastera – berdasarkan pencapaian akademik juga nampaknya telah memberi kesan secara sosial dan moral kepada masyarakat. Pasca kapitalisme 4.0; manusia yang sudah hilang manusia-nya barangkali lupa bahawa kemanusiaan itu tidak boleh ditukar-ganti dengan materialisme. Sejarah yang melihat pertentangan sengit di antara manusia dan kemanusiaan ini; sebenarnya sedang menunggu kemanusiaan alternatif untuk menggantikan peradaban sedia ada yang sangat menjengkelkan. Yang negara perlukan kini ialah 1000 lagi Pak Samad untuk berperi kepada anak bangsa tentang kemanusiaan, kejujuran, baik hati dan keihklasan dan mengingatkan kita tentang mini naratif kaum tertindas dan marginal seperti anak yatim dan golongan miskin; bukannya golongan politisi yang mempromosi politik lucah, anti-ideologi atau perkauman. Untuk anak muda, membangun negara bukan sekadar dengan susun donut; tetapi juga menyantuni Sastera sendiri. Bak kata Sasterawan ulung negara; Usman Awang; “Kesusasteraan adalah suatu alat yang penting untuk membangunkan kesedaran rakyat dan suatu senjata yang besar untuk membunuh fahaman kolot dan mundur yang membeku dalam jiwa rakyat. Alat dan senjata ini amat besar gunanya untuk menggulingkan segala keburukan dalam kehidupan rakyat. Dan tugas pertama dalam perhitungan ini adalah terpikul di atas bahu sasterawan-sasterawan angkatan baru kita yang sedikit masa dahulu hebat memperkatakan hak-hak kewajipannya.” Usman Awang- Mingguan Melayu, 25 Mei 1952 Ingatkan pemimpin kita bahawa Sastera perlu dibawa masuk kembali ke dalam masyarakat – untuk mengingatkan anak bangsa masa hadapan tentang perkara-perkara yang sedang kita lalui kini. Watak seperti Dr Zhivago, Jean Valjean, Salina, Minke, Zainudin mahupun Lahuma perlu dibaca dan dikenali. Jika tidak, kemanusiaan akan hanya kekal retorik – yang tidak akan dikenali oleh anak bangsa kita pada masa hadapan. Wahai muda kenali dirimu, ialah perahu tamsil tubuhmu, tiadalah berapa lama hidupmu, ke akhirat jua kekal diammu. Hai muda arif-budiman, hasilkan kemudi dengan pedoman, alat perahumu jua kerjakan, itulah jalan membetuli insan. – Syair Perahu, Hamzah Fansuri]]>