Mo Limo atau “moh main, moh ngombe, moh maling, moh madat, moh madon” sebagai strategi dakwahnya.
Ia adalah seruan untuk tidak berjudi, tidak minum minuman keras, tidak mencuri, tidak menggunakan dadah, dan tidak berzina. Persoalan akhlak ditekankan mengatasi persoalan fikah dan akidah. Ini kerana akhlak itu sendiri dapat menjadi satu dakwah.
Dakwah estetika
Hal yang sama terlihatkan pada Sunan Bonang. Beliau dimaklumi suka berkunjung ke daerah-daerah terpencil di Tuban, Pati, Madura dan Pulau Bawean untuk berdakwah dalam kalangan masyarakat Hindu. Dalam kunjungan beliau yang memakan masa beberapa lama itu Sunan Bonang sangat suka membuka atau menggali sumber air di tempat-tempat yang dikunjungi. Ajaran Sunan Bonang lebih kepada kesufian dengan menekankan falsafah cinta atau ‘isyq.
Untuk mereka yang mendalami subjek kesufian, ajaran Sunan Bonang dapat dihubungkan dengan ajaran Maulana Jalaludin Rumi, penyair dan ahli sufi Parsi yang menetap di Konya, Turki. Hal yang paling menarik, ajaran tersebut disampaikan oleh Sunan Bonang melalui saluran kesenian yang disukai masyarakat. Dalam hal ini, Sunan Bonang bekerjasama dengan murid kesayangannya, Sunan Kalijaga.
Bukan itu sahaja Sunan Bonang juga dikenali sebagai seorang pengarang. Beliau banyak melahirkan karya sastera yang dinamai suluk, atau tembang tamsil. Salah satu yang paling tersohor adalah “Suluk Wijil” yang dikatakan terpengaruh dengan kitab Al Shidiq karya Abu Sa’id Al Khayr. Kalau suluknya ditekuni, pembaca akan mendapati beliau banyak menggunakan perbandingan cermin, bangau atau burung laut. Pendekatan begini turut digunakan oleh ulama silam lain seperti Ibnu Arabi, Fariduddin Attar, Rumi serta Hamzah Fansuri.
Tidak cukup dengan itu, Sunan Bonang telah menjadi komposer yang terkenal dengan menggubah banyak muzik gamelan Jawa yang pada saat itu cukup pekat dengan estetika Hindu. Gubahan gamelan Sunan Bonang ada unsur zikir yang menggalakkan kecintaan kepada kehidupan alam akhirat. Tembang yang paling terkenal daripada beliau ialah Tombo Ati.
Luahan kesenian rohani
Lebih istimewa Sunan Bonang juga bermain drama, atau wayang kulit. Selalunya penonton akan khusyuk dengan pementasan beliau. Beliau suka menulis sebuah lakon seraya memasukkan tafsir ayat al-Quran dan ajaran-ajaran Islam. Sebagai contoh, di dalam ajaran Hindu Jawa terdapat sebuah kisah perseteruan Pandawa-Kurawa yang digemari umum, Sunan Bonang mencipta semula kisah tersebut lantas menjadikannya drama peperangan antara nafi atau peniadaan dan ‘itsbat atau peneguhan. Secara tidak disedari, beliau telah mengajar mengenai dua kalimah syahadah, atau prinsip tauhid itu sendiri.
Sunan Drajat atau Raden Qosim turut mengenengahkan seni suluk sebagai saluran berdakwah. Antara suluk petuah yang mengakar dalam diri orang Jawa ialah ajaran ‘berilah tongkat pada si buta, beri makan pada yang lapar, beri pakaian pada yang telanjang’. Sunan Drajat menggunakan aspek akhlak tersebut dengan membanaykkan pertolongan buat anak-anak yatim piatu dan fakir miskin.
Sementara itu, Sunan Giri yang dipanggil orang Jawa sebagai Raden Paku, atau nama betulnya Muhammad Ainul Yakin turut mengemukakan kesenian sebagai wadah dakwahnya. Sunan Giri adalah Wali Songo yang bukan sahaja berdakwah tetapi ikut terlibat dengan bidang politik, pendidikan dan tentu, kebudayaan. Pondok atau pesantren beliau Giri Kedaton sangat berpengaruh sehingga dilantik menjadi penasihat dan menteri pertahanan Kesultanan Demak.
Hal ini tercatat dalam Babad Demak. Bukan itu sahaja Sunan Giri juga diterima sebagai mufti, untuk seluruh Tanah Jawa kala itu. Anak murid Sunan Giri berdakwah pula di Sulawesi Selatan, namanya Datuk Ribandang. Beliau dinamakan Sultan Abdul Fakih dan juga merupakan seorang seniman yang luar biasa. Bahkan ada permainan kanak-kanak seperti jelungan, jamuran, lir-ilir dan cublak suweng disebut sebagai hasil seni Sunan Giri yang diteruskan oleh beliau.
Dalam pada itu, Sunan Gunung Jati pula menumpukan kerja-kerja kebajikannya sambil berdakwah. Beliau disifatkan sebagai arkitek yang menggamamkan pengikut agama Hindu waktu itu kerana memperkenalkan seni bina yang hebat-hebat. Paling unik sekali beliau juga membangunkan infrastruktur berupa jalan-jalan yang menghubungkan antara wilayah untuk memudahkan orang ramai. Ekoran dari itu, masyarakat Hindu-Jawa pada waktu itu lekas tertawan hati mereka dengan Islam.
Sunan Kudus atau nama betulnya Jaffar Shadiq juga seorang pencipta senibina yang mempesonakan. Kaedah Sunan Kudus mendekati masyarakat setempat yang masih Hindu pada zamannya ialah dengan memanfaatkan lambang-lambang Hindu dan Buddha. Hari ini jika kita mengamati masjid Kudus kita akan menemui bentuk menara, gerbang dan pancuran juga tempat berwudhu yang melambangkan lapan jalan Buddha.
Kompromi budaya, bukan akidah
Jangan cepat melenting dahulu. Ia bukanlah pluralisme agama tetapi merupakan kompromi budaya yang tidak bertentangan dengan Islam. Kompromi budaya (bukan akidah) adalah satu lagi strategi dakwah yang wajar dikuasai oleh pendakwah hari ini.
Sebagai contoh, pada satu masa Sunan Kudus ingin mengajar tafsir surah al-Baqarah, beliau dengan sengaja memancing masyarakat untuk datang ke masjid dengan menambatkan seekor sapi yang diberi nama Kebo Gumarang di halaman masjid. Orang-orang Hindu yang mengagungkan sapi atau lembu singgah sekejap di luar masjid dan mendengar ceramah agama Sunan Kudus tentang surah Al Baqarah yang bererti sapi betina.
Sunan Kudus dikenali sangat suka bercerita untuk meraih perhatian madh’unya. Menerusi cerita sapi sedemikianlah ramai penganiut Hindu-Jawa memeluk Islam. Sunan Kudus turut hebat sebagai Panglima Perang Kesultanan Demak. Beliau misalnya pernah berperang di bawah kepemimpinan Sultan Prawata, bertempur menentang Adipati Jipang.
Jika Sunan Kudus menggunakan pendekatan ‘cerita’, Sunan Muria pula berdakwah dengan lagu-lagu, mungkin dapat diandaikan sebagai nasyid. Lagu Sinom dan Kinanti yang masyhur dalam kalangan orang Jawa adalah ciptaan beliau. Dan tentu, bapa Sunan Muria iaitu Sunan Kalijaga adalah yang paling terkenal sekali jika kita menyinggung persoalan dakwah dengan kesenian. Beliau menggunakan seni ukir, wayang wong, gamelan, serta seni suara suluk sebagai wahana dakwah. Sunan Kalijaga mencipta busana Baju Takwa, beberapa perayaan seperti sekatenan, grebeg maulud, Layang Kalimasada, dan skrip drama Petruk Jadi Raja. Lanskap pusat kota Kraton yang ada di Jogjakarta hari ini turut diyakini sebagai karya Sunan Kalijaga.
Yang paling mustahak untuk dinyatakan di sini ialah metod dakwah Sunan Kalijaga dan kelapan-lapan wali ini sangat efektif. Sebahagian besar adipati atau pembesar Hindu di Jawa telah memeluk Islam di tangan Sunan Kalijaga. Antara yang berpengaruh ialah Adipati Padanaran, Kartasura, Kebumen, Banyumas, serta Pajang.
Hari ini, segala strategi dakwah dengan kompromi budaya ini akan dikelirukan dengan aksi pluralisme. Islam yang mendapat dokongan lokal adalah Islam yang tidak memaksakan. Tanpa dokongan budaya tempatan, agama Islam menjadi sebuah agama yang asing. Hari ini, pendakwah Salafi berusaha membuang segala unsur lokal ini dengan alasan ia adalah bidaah.
Toleransi dan kompromi budaya yang pernah disaksikan oleh rantau ini digugat dengan pendekatan keras ala Timur Tengah yang sama sekali tidak berhubungan dengan kita. Itulah puncanya gerakan Salafi, atau nama lainnya Wahabi dipandang serong oleh masyarakat dan menjadi duri dalam daging.
Temubual eksklusif bersama Reveren Jerry Dusing, presiden Sidang Injil Borneo, Sabah
Projek Dialog: Sebagai permulaan, boleh anda jelaskan sedikit sebanyak berkenaan Sidang Injil Borneo (SIB): siapa yang diwakili organisasi ini, bila penubuhannya serta aktiviti-aktiviti yang sering dijalankan?
Reveren Datuk Jerry Dusing: Sidang Injil Borneo (SIB) bermula di Sarawak pada pertengahan 1920an dan kemudiannya di Sabah pada 1940an sejurus sebelum Perang Dunia Kedua.
Seperti gerakan mubaligh lain, SIB mempunyai objektif untuk mengongsikan ajaran di dalam kitab Injil kepada semua manusia di mana juga mereka berada. Khususnya kepada mubaligh-mubaligh (SIB) pada waktu itu, fokus utama mereka ialah penduduk asal Sabah dan Sarawak yang tinggal jauh di pedalaman.
Kumpulan-kumpulan mubaligh lain pada masa itu kebanyakannya bergiat di kawasan bandar sebelum memasuki kawasan pedalaman. Akan tetapi, SIB yang pada waktu itu dikenali sebagai Borneo Evangelical Mission, bermula di kawasan pedalaman dan secara perlahan memasuki kawasan bandar. SIB lebih menumpukan gerakan mubaligh di kawasan pedalaman [orang asal] kerana terdapat lebih keperluan di kawasan tersebut. Di Sarawak terutamanya, kebanyakan penduduk asal pada masa itu masih hidup di dalam rimba: mereka sangat ketinggalan, mengamalkan animisme, serta cara hidup yang tidak menggalakkan perkembangan manusia.
Di Sabah, gerakan mubaligh hanya bermula pada tahun 40an. Perkembangan SIB amat berbeza berbanding kumpulan mubaligh lain dari segi kaedah, penekanan serta kawasan yang ditumpukan.
Tentunya ini bukan suatu permasalahan buat mereka [komuniti pedalaman] tetapi jika kita ambil kira daripada perspektif yang lebih maju, adalah amat sukar untuk membayangkan bagaimana kehidupan seperti itu dapat berkembang dan berkekalan. Malah, cara fikir pemerintah British pada waktu itu, melalui apa yang dapat kita fahami daripada pembacaan sejarah, menunjukkan bahawa agak mustahil untuk mereka melakukan sebarang usaha kemajuan terhadap penduduk asal ini.
Sebab utama mengapa para mubaligh ini mudah diterima adalah kerana kebanyakan penduduk pedalaman pada waktu itu masih terperangkap dalam cara hidup animisme, masalah penyakit, kemiskinan serta kemabukan. Ajaran Injil dapat menghasilkan perubahan yang besar terhadap cara hidup mereka ke arah yang lebih baik.
Sekarang, ramai dikalangan mereka dapat merasa faedah yang diterima di mana mereka memperolehi kedudukan yang baik dalam kerajaan serta syarikat swasta. Oleh kerana gerakan mubaligh dapat memberi bantuan dalam mengubah cara hidup mereka, kebanyakan penduduk pedalaman dapat mencapai status kejayaan pada hari ini.
SIB lebih berkembang di kalangan penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak pada hari ini kerana penumpuan yang diberikan kepada kawasan pedalaman terhadap permasalahan kemiskinan, kesihatan, kemabukan dan pendidikan.
PD: Terdapat berapa bahagian atau ahli dalam SIB sekarang?
RDJD: Sebenarnya terdapat tiga organisasi dalam SIB. Ke tiga-tiga organisasi ini berbeza dari segi pentadbiran, namun tetap sama dalam semangat dan kerjasama.
Tiga organisasi SIB ini mewakili wilayah yang berbeza iaitu Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Di Sarawak ia didaftarkan di bawah Registrar of Society (RoS), kemudiannya ditukar kembali di bawah Missionary Society Ordinance. Di Semenanjung Malaysia, ia didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat. Di Sabah pula ia didaftarkan di bawah “Trustee Ordinance”.
Dari segi pentadbiran, SIB lebih senang didaftarkan sebagai pertubuhan berbeza. Namun dari segi teologi serta ajaran Kristian dan juga kepimpinan, SIB tetap bersama sebagai satu gerakan, berkongsi sumber dan pekerja penuh masa atau pastor bersama.
Untuk mengekalkan kesatuan di kalangan tiga organisasi ini, perjumpaan akan diadakan tiga kali setahun untuk tujuan dialog, serta perancangan strategi dan pembangunan.
PD: Boleh anda terangkan dengan lebih mendalam mengenai aspek teologi atau mazhab Kristian yang membentuk SIB?
RDJD: Daripada spektrum Kristian yang luas, SIB umumnya sebahagian daripada pemahaman Protestan dengan pengkhususan kepada mazhab Evangelical.
Dalam mazhab Evangelical, keutamaan diberikan terhadap kepentingan Alkitab. SIB banyak menekankan aspek berkaitan Alkitab, termasuklah dalam isu nama ‘Allah’ baru-baru ini. Tujuan utama mazhab Evangelikal adalah untuk berkongsi kepercayaan. Kebanyakan pengikut Evangelikal akan mempunyai keyakinan yang serupa.
PD: Terdapat perbezaan dalam sejarah gerakan Evangelikal-Protestant jika dibandingkan antara di Semenanjung Malaysia dan di Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung Malaysia, gerakan ini hanya aktif sekitar tahun 60-70an, sedangkan di Sabah dan Sarawak, jauh lebih awal iaitu sejak tahun 1920an. Boleh saudara berikan penerangan lebih lanjut mengenai perbezaan ini?
RDJD: Jika dilihat berdasarkan sejarah gereja di Semenanjung Malaysia, perkembangan itu berlaku semasa tempoh kebangunan rohani (revival) yang menyebabkan pertumbuhan yang drastik.
Bagi kami yang bekepercayaan (Believers), Tuhan sendiri turut sama membantu proses ini dengan meletakkan keyakinan dan semangat melalui petanda kehadiran Tuhan dan keajaiban yang menyentuh perasaan manusia. Jadi, apa yang dapat dilihat pada tahun 70an di Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak, adalah satu perkembangan luar biasa.
Contohnya, SIB pada waktu itu membesar dua kali ganda daripada sebelumnya. Pada waktu ini juga, banyak pihak merasakan perkembangan tersebut tidak mungkin berlaku hanya disebabkan keputusan kerajaan pada waktu itu untuk menghantar pulang mubaligh warga asing yang bertapak di Malaysia.
Penganut Kristian pada waktu itu merasakan diri mereka mangsa, tetapi jika dilihat melalui perspektif yang lebih luas, ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan pada waktu itu yang memperkenalkan polisi localization.
Kerana pada waktu itu kepimpinan SIB masih lagi dipegang oleh mubaligh asing, terutamanya warga Britain dan Australia daripada mazhab yang pelbagai. Kesan yang baik daripada perubahan ini ialah dasar localization ini membantu untuk membangun kepimpinan warga tempatan sendiri.
Peralihan kepimpinan kepada mubaligh tempatan yang lebih memahami budaya setempat memudahkan gereja berhadapan dengan masyarakat setempat. Namun jika kita mahu melihat dari sisi yang lebih spiritual, perkembangan ini bukan sekadar faktor manusia semata-mata, tetapi juga disebabkan faktor supernatural.
Sebagai seorang Kristian, saya dapat mengatakan seperti itu. Tetapi, tentu sekali sukar untuk diterima oleh orang bukan Kristian.
PD: Tadi kita lebih banyak membincangkan tentang perkembangan SIB, sekarang kita akan membincangkan aspek kebudayaan dalam konteks Malaysia.
Proses Islamisasi di Semenanjung Malaysia berlaku dalam pelbagai aspek termasuklah senibina, media, cara bermasyarakat, cara pakaian dan sebagainya. Ia berlaku dalam rangkuman faktor dinamika masyarakat di Semenanjung Malaysia, tetapi apakah keadaan di Sabah dan Sarawak dan adakah terdapat kesan Islamisasi terhadap kehidupan penganut Kristian di sana?
RDJD: Saya merasakan ini bukan khususnya polisi kerajaan. Saya juga tidak pasti sama ada berlakunya proses Islamisasi secara khusus.
Jika dilihat dengan lebih mendalam, dapat dikatakan proses ini lebih kepada suatu ‘Melayusasi’. Hujah kami ialah mengapa perlu proses ‘Melayusasi’ yang sebegini? Sekiranya ingin melakukan ‘Malaysianisasi’, bukankah ada cara yang lebih baik untuk mengiktiraf budaya yang lebih bersesuaian dengan Malaysia yang mempunyai kepelbagaian warna dan cara hidup. Kenapa hanya mahu memilih perkembangan budaya berasaskan Timur Tengah?
Kami menghormati penganut Islam, malah bagi kami penganut Kristian, apa keperluannya untuk memilih representasi Kristian daripada Barat? Bukankah lebih baik untuk menonjolkan ciri-ciri budaya asal yang lebih menunjukkan proses ‘Malaysianisasi’ berlaku. Dari segi senibina, kita mampu membangun senibina kita sendiri. Saya sendiri mempunyai latar belakang kejuruteraan sivil. Kita dapat lihat setiap budaya mempunyai cara ekspresi yang tertentu. Begitulah cara manusia membangun, bergantung kepada persekitaran tempatan.
Malaysia sepatutnya mempunyai kepelbagaian dalam ekspresi. Apa yang semakin kehilangan buat masa ini adalah cara untuk berekspresi sebagai warga Malaysia. Jika kita mengikut ilmu sosial, mempunyai budaya yang tunggal (mono-culture) adalah sesuatu yang tidak baik.
Ada pihak yang berpandangan bahawa kita memerlukan dasar budaya yang selaras. Tetapi apa sebenarnya yang betul-betul selaras? Bagi kami, perkara yang asas ialah sistem keyakinan dan kepercayaan, yang mana ia perlu memberi jawapan kepada persoalan tentang peranan kita sebagai manusia.
Sebagai ketua dan Presiden kepada SIB Sabah, saya amat menggalakkan perkembangan ekspresi kebudayaan. Terdapat juga sebilangan ahli SIB yang melihat sesetengah mazhab mempunyai sistem yang selaras dan merasakan ada keperluan untuk SIB mengikuti mereka. Tetapi apa keperluannya? SIB adalah berbeza.
Kelainan ada di pelbagai kawasan, suku etnik dan cara hidup. Bagaimana untuk menyelaraskan perbezaan-perbezaan antara satu sama lain?
Di Sabah dan Sarawak kami sudah dibesarkan untuk menjadi lebih toleran. Kami dapat melihat kepelbagaian beragama termasuk Islam, Buddha, Sikh, Kristian dan juga kepercayaan nenek moyang dikalangan ahli keluarga.
Kami saling hormat-menghormati antara satu sama lain berbanding dengan keadaan di Semenanjung. Contohnya, dua tahun yang lalu, saya turut berada di dalam Majlis Perpaduan Negara, sebuah kumpulan antara agama. Bila ada kumpulan melawat Sabah, mereka akan perasan perbezaan yang ada. Sudah ada kebiasaan untuk peniaga Cina dan peniaga Muslim menjual barangan berbeza dalam kedai yang sama selagi dapat dipastikan makanan yang dimakan tidak bercampur. Kami tidak cuba mempersendakan satu sama lain. Sudah wujud pemahaman tidak bertulis antara penduduk di Sabah dan Sarawak yang tiada di Semenanjung Malaysia.
Perkara ini ditimbulkan dalam Suruhanjaya Cobbold. Sabah dan Sarawak meminta jaminan dalam hal kebebasan beragama. Ini bukan hanya permintaan penganut Kristian, walaupun sememangnya pada waktu itu adalah majoriti, tetapi juga permintaan suku kaum dan agama etnik-etnik lain. Itu menyebabkan adanya perkara berkenaan kebebasan beragama dalam Perlembagaan. Bagi Sabah dan Sarawak, 20 dan 18 perkara yang ditimbulkan sebagai syarat menganggotai persekutuan adalah berkenaan kebebasan beragama. Islam adalah agama Persekutuan hanya untuk upacara rasmi.
Akhirnya ia adalah bergantung kepada individu untuk memilih, cuma sekarang sudah berkembangnya masalah mempolitikkan agama.
PD: Apakah kepentingan Bahasa Malaysia dalam konteks budaya dan upacara Kristian di Sarawak?
RDJD: Sabah dan Sarawak mempunyai banyak kumpulan-kumpulan etnik kecil dengan bahasa etnik yang berbeza. Adalah mustahil untuk kami menguasai setiap bahasa etnik yang berlainan untuk tujuan pendidikan.
Oleh sebab itu, Bahasa Malaysia digunakan untuk tujuan pendidikan Kristian. Pemilihan Bahasa Malaysia juga adalah selari dengan dasar pendidikan kebangsaan. Ia bukan seperti di Semenanjung Malaysia dimana penggunaan bahasa lain, seperti Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil turut digalakkan.
Di Sabah dan Sarawak, selain Bahasa Inggeris yang turut digunakan di sesetengah pusat pembelajaran, Bahasa Malaysia tetap diutamakan terutamanya di kawasan pedalaman. Penggunaan Bahasa Malaysia ini bukan perkembangan baru, malah bahasa yang sama telah digunakan lebih satu ratus tahun yang lalu pada zaman penjajahan untuk tujuan bacaan doa serta penterjemahan kitab-kitab agama.
Jadi, apabila Alkitab kami ditahan kerana sebab bahasa, adakah ini bermakna kami perlu mengajar semula pengikut kami dengan bahasa yang berbeza? Situasi ini seperti satu keputusan dibuat dalam Negara di mana Bahasa Malaysia tidak boleh lagi digunakan, tentu sekali akan menyebabkan huru-hara. Begitu juga kesannya jika mahu dilihat daripada aspek keagamaan.
PD: Boleh anda jelaskan latar belakang dan juga perkembangan terbaru berkenaan kes penahanan kitab-kitab SIB oleh Kementerian Dalam negeri?
RDJD: Tentu sekali kami agak bimbang menerima penghakiman kes yang melibatkan the ‘The Herald’.
Kami tidak berniat untuk tidak menghormati pihak mahkamah, tetapi sebagai pimpinan Kristian, kami bimbang dengan tujuan dan penafsiran undang-undang yang dibuat berkenaan keputusan ini.
Kerisauan utama kami adalah implikasi yang akan berlaku terhadap kes SIB, terutamanya dalam aspek yang lebih luas, melibatkan kitab yang digunakan, cara pengajaran dan penyebaran agama Kristian.
Jadi cuba bayangkan kesan langsung terhadap kami sekiranya penafsiran keputusan kes Herald turut dikenakan terhadap keseluruhan penerbitan Kristian.
Buat masa ini kami menerima keputusan yang dibuat, tetapi penggunaan nama ‘Allah’ ini sangat penting. Kami cuma menggunaan ‘Allah’ dalam penterjemahan Bahasa Malaysia dan juga bahan-bahan lain yang diambil dari Indonesia, yang menggunakan Bahasa Indonesia.
Ini yang menyebabkan kerisauan kami. Bukan sekadar berkenaan Alkitab, tetapi juga melibatkan upacara Ibadah dan juga nyanyian, serta cara berkomunikasi bersama sidang jemaah kami.
SIB Sabah mempunyai lebih 120,000 anggota dengan lebih 500 gereja lokal. Jadi bayangkan sekiranya ada larangan, bagaimana kesannya terhadap kami di Sabah dan Sarawak. Teknologi moden yang digunakan sekarang bukan hanya melibatkan bahan bercetak, tetapi juga internet, telefon bimbit dan SMS. Amat sukar sekiranya ada larangan sebegini. Keputusan ini mungkin hanya diambil dengan mempertimbangkan perspektif dan persekitaran di Semenanjung Malaysia, dengan andaian Sabah dan Sarawak mempunyai suasana yang sama.
Tetapi andaian ini tidak tepat. Kami sangat berbeza, dari segi budaya dan cara dengan Semenanjung Malaysia.
Sekiranya berlandaskan Perlembagaan, kami sepatutnya mempunyai kebebasan dalam pengurusan agama kami. Namun, keputusan mahkamah kes The Herald menunjukkan sudah ada pembatasan yang dikenakan terhadap kami.
Perdana Menteri kita sendiri yang menerajui gerakan Global Movement of Moderates (GMM). Harus diakui, Sabah dan Sarawak mempunyai proses sejarah tersendiri di awal pembentukan Persekutuan Malaysia. Kita tidak boleh hanya mengambil kira proses sejarah yang berlaku di Malaya.
Masyarakat Kristian tidak bertujuan untuk menguasai mana-mana pihak. Apa yang kami harapkan ialah kita sepatutnya lebih beradab, dan bersederhana.
PD: Pernahkah isu serupa berlaku sebelum 2007? Atau adakah tahun 2007 merupakan titik mula keadaan menjadi lebih bermasalah?
RDJD: Sebenarnya tahun 2007 menjadi masa keadaan semakin bermasalah. Pada tahun 1986 ada penggazetan larangan penggunaan beberapa perkataan termasuk ‘Allah’ dan ‘Al-Kitab’, namun selepas beberapa siri perbincangan, larangan perkataan hanya terpakai untuk nama ‘Allah’.
Terdapat juga larangan penggunaan kata ‘Injil’ oleh Majlis Fatwa Sabah yang menyebabkan nama SIB (Sidang Injil Borneo) menjadi tidak sah.
Kes yang hampir sama juga pernah berlaku sebelum ini dengan larangan terhadap Al-Kitab yang dicetak di Korea.
Jadi persoalannya ialah bagaimana mahkamah akan membuat keputusan? Adakah hanya berdasarkan keutamaan kes-kes sebelum ini, atau ia akan mengambil kira sensitiviti agama masyarakat lain?
Permasalahan ini tidak pernah disebabkan kerana tindakan kami yang tidak menghormati agama lain. Secara tiba-tiba tanpa sebarang perbincangan untuk mencapai pemahaman yang sama, keputusan dibuat secara satu hala. Dalam hal ini, kami amat bimbang.
PD: Apakah pandangan anda tentang sebab disebalik terjadinya permasalahan ini? Adakah ia kerana Islam dimanipulasi untuk tujuan sentimen politik?
RDJD: Tentunya pada waktu itu terdapatnya perselisihan antara PAS dan UMNO, ini tidak dapat dinafikan. Ia merupakan realiti di Malaysia pada waktu tersebut.
Cuma, perkara yang amat mengecewakan ialah pihak agama lain turut terperangkap dalam pertembungan ini.
Saya turut berbincang dengan kawan-kawan beragama Islam yang bersimpati. Tetapi malangnya, mereka bukan pembuat keputusan. Ahli politik tetap pembuat keputusan. Sebagai rakyat Malaysia, sekiranya kita gagal mengawal cara kita berpolitik, maka politik kita hanya akan merosakkan Negara kita. Itu amat menyedihkan. Kita semua akan rugi. Semua rakyat Malaysia akan rugi.
Saya percaya, sebagai rakyat Malaysia yang berfikir, kita perlu berfikir dengan mendalam tentang hal ini, secara objektif bukan berasaskan sentimen. Kita perlu elak daripada menggunakan agama untuk tujuan politik. Ia tidak akan membantu.
Kaum dan agama perlu diasingkan daripada pertimbangan politik. Kita perlu belajar daripada Negara lain yang telah maju ke hadapan.
PD: Bagaimana anda melihat halatuju hubungan antara-Bumiputera? Adakah ruang untuk proses dialog untuk mencapai kata sepakat atau kefahaman bersama?
RDJD: Di Sabah dan Sarawak, tentu sekali sentimen masyarakat masih berlegar di sekitar isu kaum masing-masing. Baru-baru ini, kenyataan yang dibuat oleh Mufti Negeri mengatakan kaum Kadazan-Dusun adalah satu kumpulan rekaan (artificial) amat mengecewakan bagi masyarakat Kadasan-Dusun.
Kita sepatutnya belajar menjadi lebih toleran dan sensitif terhadap kaum lain. Itu yang amat saya harapkan. Tentu sekali di Sabah, terdapatnya gerakan untuk menjadikan seseorang itu Muslim, lalu menjadikannya Melayu. Malangnya, ini terkandung di dalam Perlembagaan, yang mentakrifkan Melayu seperti itu. Implikasi masa hadapan mungkin kurang baik.
PD: Pada pendapat saudara, mengapakah kes The Herald mendapat tumpuan yang lebih berbanding kes SIB?
RDJD: Ini disebabkan kes SIB tidak terlalu ditonjolkan, supaya isu ini tidak bertambah rumit. Kami menghadapi cabaran satu-persatu.
Kes SIB bukan hanya melibatkan isu Alkitab, tapi skop yang lebih luas berkenaan hak penduduk asal dan bahasa pembelajaran. Kesannya jauh lebih besar dan isunya jauh berbeza.
Pembentukan Malaysia memberi jaminan hak beragama. Persetujuan ini perlu dihormati. Kita tidak boleh membuat pentafsiran berdasarkan pemahaman kita hanya pada waktu ini. Kita perlu ambil kira pemahaman yang digunapakai semasa persetujuan itu dibuat.
PD: Kebimbangan utama dikalangan masyarakat Melayu ialah Bahasa Melayu yang digunakan akan menyebabkan lebih banyak orang Islam akan bertukar agama. Apa pandangan anda berkenaan hal ini?
RDJD: Jika kita lihat kepada statistik dalam negara, peningkatan jumlah bilangan penganut Islam memang jelas dan ketara. Malah sebagai seorang Kristian, kami sepatutnya merasa lebih terancam. Sudah ada bermacam perundangan yang melindungi masyarakat Islam daripada penyebaran agama lain. Kenapa masyarakat Islam perlu merasa terancam, sehinggakan sanggup mengganggu perasaan pihak agama lain?
Kita perlu hentikan sebarang gangguan terhadap perasaan penganut agama lain dan lebih menumpukan kepada bagaimana untuk menggalakkan sebuah masyarakat yang lebih toleran.
Contohnya, sekiranya saya melihat Islam dapat berkembang pesat berbanding dengan agama Kristian, saya akan mempersoalkan tindakan komuniti Kristian sendiri. Kita patut lebih melihat kepada diri sendiri, dan bukan menyalahkan pihak agama lain, yang boleh merosakkan keamanan masyarakat kita. Kita tidak sepatutnya pergi ke arah itu.
Agama merupakan pilihan individu. Pelbagai jenis undang-undang dapat dikuatkuasakan, tetapi jika saya percaya apa yang saya ingin percaya, perundangan tersebut hanya sia-sia. Jika dilihatkan kepada sejarah, masyarakat Kristian juga pernah menggunakan pelbagai jenis undang-undang yang langsung tidak memberi sebarang faedah kepada agama Kristian.
Kita tidak boleh menggunakan paksaan terhadap orang lain dalam hal agama. Kita hanya boleh menggalakkan dialog untuk memberikan pemahaman yang jelas tentang agama-agama lain.
PD: Kerajaan telah mengadakan pelbagai jenis usaha seperti Majlis Perundingan Nasional tentang Keharmonian Ugama (National Consultative Council on Religious Harmony) untuk tujuan perpaduan nasional. Apa pandangan anda berkenaan usaha-usaha seperti itu? Adakah ia akan menjelmakan hasil dan meningkatkan kefahaman antara satu sama lain?
RDJD: Bagi saya, kita sentiasa mempunyai niat dan keyakinan yang baik untuk menggalakkan keharmonian. Tetapi berdasarkan tindakan kerajaan, kita lihat bahawa mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan tekad mereka untuk menggalakkan harmoni.
Jadi bagi kami kumpulan Kristian dan juga kumpulan agama lain yang merupakan minoriti, persoalannya ialah adakah kumpulan agama majoriti ikhlas untuk usaha ini?
Kami berasa sangat bimbang dengan tingkahlaku melampau dan ancaman yang diterima. Namun, pihak berkuasa tetap tidak mengambil sebarang tindakan. Jadi apa tindakan yang patut diambil oleh kumpulan minoriti seperti kami?
Kami mempersoalkan: adakah ini adil? Adakah kerajaan ikhlas dalam menganjurkan usaha ini atau sekadar untuk pertunjukan kepada orang ramai. Sekiranya kerajaan ikhlas, tentu sekali kami 100% menyokong usaha ini. Tetapi jika kerajaan hanya mangadakan ini untuk menunjuk, tiada siapa yang akan berminat.
PD: Bagaimana anda melihat masa hadapan kelompok minoriti untuk terus maju, sedangkan banyak petanda yang menunjukkan cabaran yang mendatang akan lebih susah?
RDJD: Kami tetap meneruskan usaha tanpa berputus asa. Saya dapat membayangkan bahawa ramai di kalangan majoriti yang senyap sebenarnya mempunyai rasa prihatin.
Kita mahukan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia, satu masyarakat yang adil, di mana setiap warga diberikan rasa hormat secara saksama dan menerima faedah bersama daripada apa yang negara ini dapat bekalkan. Saya tidak merasakan ini hanya pandangan komuniti Kristian, tapi juga warga Malaysia yang lainnya, yang sebenarnya merupakan majoriti di negara ini.
Projek Dialog diwakili Ahmad Fuad Rahmat.
Gabungan NGO-NGO Malaysia ke proses UPR (COMANGO)
GABUNGAN NGO-NGO MALAYSIA KE PROSES UPR (COMANGO)
Kenyataan Media, 9 Januari 2014
Gabungan NGO-NGO Malaysia ke Proses UPR (COMANGO) amat terkejut dan terganggu atas dakwaan yang dibuat Ketua Setiausaha (KS) Kementerian Dalam Negeri menerusi kenyataan media di mana COMANGO dilabel sebagai sebuah “Pertubuhan Haram”. Di bawah S5, Akta pertubuhan 1966, hanya Menteri Dalam Negeri sahaja yang boleh membuat pengisytiharan bahawa sesebuah pertubuhan itu tidak sah sekiranya pertubuhan tersebut bertujuan untuk menjejaskan atau menentang kepentingan keselamatan Malaysia, ketenteraman awam atau prinsip moral. Antara sebab COMANGO dilabel haram oleh KS adalah andaian bahawa kami memperjuangkan hak-hak yang bercanggah dengan ajaran Islam. Ini adalah tidak benar. Antara sebab-sebab KS menyatakan bahawa pengisytiharan COMANGO tidak sah adalah: banyak pertubuhan yang mengesahkan laporan COMANGO untuk Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review, UPR) Malaysia oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB (United Nations, UN) bukan organisasi berasaskan Islam, tidak berdaftar dan malah COMANGO sendiri juga tidak berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (RoS). Sebab-sebab yang dikemukakan ini adalah tidak berpandukan S5, Akta Pertubuhan 1966. COMANGO juga berasa hairan dengan kesanggupan Kerajaan menggunakan Islam sebagai alat politik hanya untuk mendiamkan kritikan terhadap pencabulan hak asasi manusia sambil memburuk-burukkan pejuang hak asasi manusia. Kerajaan seolah-olah menggunakan taktik mengancam sambil bersekongkol menggalakkan penyebaran sentimen melampau dan memecah belah. Proses UPR oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB ini melibatkan penyertaan 193 negara ahli PBB, termasuk negara bermajoriti Muslim. Banyak negara bermajoriti Muslim telah menerima perjanjian Hak Asasi Manusia yang didakwa oleh kumpulan-kumpulan pelampau anti-Comango sebagai tidak selari dengan nilai-nilai Islam. Kami risau bukan sahaja kerana Kerajaan sedang berpendirian sama seperti kumpulan-kumpulan pelampau ini, tetapi juga kerana ia turut menggalakkan sentimen hasutan dengan mendanai kumpulan-kumpulan seperti PERKASA. Kenyataan media oleh Kementerian Dalam Negeri, mengesahkan pandangan kami bahawa kerajaan seolah-oleh terikat oleh agenda kumpulan-kumpulan pelampau ini. Senarai yang dilampirkan bersama kenyataan media tersebut tidak tepat dan mengelirukan. Pertubuhan-pertubuhan di dalam COMANGO termasuk pertubuhan yang berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966, Akta Syarikat 1965, persatuan-persatuan yang tidak diperbadankan serta gabungan masyarakat sivil. COMANGO menyangkal kenyataan KS yang mendakwa hanya organisasi yang berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan sahaja menjalankan aktiviti secara sah. Kami menegaskan bahawa tindakan COMANGO tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip-prinsip Hak Asasi Manusia atau komitmen Hak Asasi Manusia Malaysia sendiri sebagai Negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Penyertaan masyarakat sivil termasuk penyerahan laporan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, badan-badan perjanjian, dan prosedur-prosedur khusus diiktiraf dan merupakan sumbangan penting kepada proses UPR. Proses UPR memerlukan kerajaan untuk berkerjasama dengan semua pihak yang ingin memperbaiki keadaan Hak Asasi Manusia dalam sesebuah Negara. Tindakan COMANGO adalah bertepatan dengan proses yang dimandatkan dalam resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung dan Majlis Hak Asasi Manusia, PBB. Malah, Kerajaan Malaysia telah banyak kali berurusan dengan COMANGO sejak kami menyerahkan laporan pertama kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 2008. COMANGO telah bertemu dengan ahli perwakilan Kerajaan Malaysia semasa proses penilaian terhadap Malaysia di Geneva pada Oktober 2013, juga sebelum penilaian dibuat pada bulan September. COMANGO juga telah menerima jemputan dalam berberapa sesi rundingan yang lain. Malaysia kini sedang aktif untuk menjadi sebahagian daripada Majlis Keselamatan PBB. Atas sebab itu, Kerajaan tidak boleh hanya menyertai beberapa proses PBB, tetapi pada masa yang sama mengasingkan dirinya daripada proses-proses yang lain, terutamanya kerana Majlis Hak Asasi Manusia merupakan komponen penting dalam rangkuman sistem hak asasi manusia PBB yang lebih luas. Proses UPR ini dirangka untuk menyegerakan, menyokong, dan mengembangkan promosi dan perlindungan Hak Asasi Manusia supaya ia dapat dinikmati bersama oleh semua manusia, melalui matlamat meningkatkan tahap Hak Asasi Manusia di semua Negara. Tindakan kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri bertentangan dengan matlamat ini dan merupakan suatu pencabulan terhadap hak kebebasan kami untuk bersuara dan berpersatuan. Mengisytiharkan COMANGO sebagai tidak sah hanyalah satu taktik politik untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu perpaduan Negara, rasuah yang berleluasa, agihan kekayaan Negara yang tidak sama rata, serta lain-lain keputusan kerajaan yang tidak diterima oleh rakyat seperti pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), peningkatan kos sara hidup termasuk minyak, tol dan tenaga elektrik. COMANGO akan mengarahkan peguamcara bagi memfailkan semakan undang-undang di mahkamah tinggi untuk membatalkan pengisytiharan yang dibuat oleh KS. Honey Tan Lay Ean Yap Swee Seng Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor Suara Rakyat Malaysia (EMPOWER) (SUARAM) Untuk dan bagi pihak Gabungan NGO-NGO Malaysia ke Proses UPR (COMANGO) Email: empower05@gmail.com, detention@suaram.net Tel: 03–7784 4977 (EMPOWER) and 03-7784 3525 (SUARAM) ]]>Beragama tanpa makna
“Bismillahirrahmanirrahim..”
Dengan nama Allah, yang Maha Pengasih, Maha Penyayang..
Lazimnya, lafaz ini merupakan pembuka buat setiap tindakan dengan kesedaran ia akan berarah kepada kebaikan buat beroleh rahmat Allah, Tuhan sekalian alam.
Zalimnya, suatu tindakan yang didasarkan kepada nama Tuhan, tetapi hanya berasas pada dogma. Hanya dengan kata, namun tanpa makna.
Muslim Melayu di persimpangan
Jelasnya perihal ini yang berlaku sebagai pembuka tahun baru 2014, cerminan cabaran kedudukan agama yang kian hilang makna. Tahun baru dibuka dengan isu ‘Nama Allah’, namun bukan sebagai rahmat, tetapi masalah antara agama yang jelas ditimbulkan. Tentu sekali bukan suatu kejutan, bila melihat bagaimana berakhirnya tahun 2013, agama sekadar dijadikan bahan konfrontasi.
Lazimnya lafaz “Allahu A’lam” diucap dalam penutupan sesuatu pernyataan sebagai tanda rendah diri sebagai manusia yang serba terbatas tahap pengetahuannya, kerana hanya Tuhan Maha Tahu akan kebenaran yang sebenarnya.
Zalimnya bila mana penutupan tahun 2013 yang baru berlalu melihatkan hilang rasa rendah diri segelintir agamawan yang sewenangnya menghukum haram sambutan hari Krismas dan Tahun Baru kerana dianggap salah dan menyesatkan. Lebih menyedihkan, kenyataan agamawan yang menghukum halal, darah mereka yang memperjuangkan suara golongan yang berdepan kesempitan hidup, hanya dengan alasan menganggap tunjuk perasaan sebagai tindakan pemberontakan.
Mengapa, di saat masyarakat Negara ini semakin parah, namun agama hanya dijadikan penambah bakar masalah?
Islam, yang suatu masa dahulu merupakan ‘khabar gembira’ yang membawa rahmat buat sekalian alam, yang mampu menghasilkan harapan buat golongan tertindas walau dalam perit menentang kezaliman, namun kini hanya terperangkap disebalik kata-kata dan perhiasan.
Agama ini seakan-akan hampir tiba saat kematian, roh terbang keawangan meninggalkan penganutnya kehilangan tanpa makna. Yang ditinggalkan cuma amalan yang diambil secara dogma, berdasarkan senarai doktrin yang kaku, terasing daripada intipati asal yang membawa pesanan murni buat manusia. Akibatnya agama yang sepatutnya punya dinamika dengan peranan penting dalam perkembangan ketamadunan manusia kian tersisih.
Islam dalam era kegelapan?
Fenomena ini dijelaskan sejarawan agama, Karen Armstrong di dalam karya beliau A History of God, dalam bab penutup, Does God have a Future?, di mana beliau melihat Islam masa ini berada dalam era ‘kegelapan’seperti mana agama-agama lain sebelumnya,. Cuma bagi Islam, keadaan ini disebabkan kekecewaan yang lama di zaman penjajahan, mengakibatkan pendokongnya lebih gemar mengimbau nostalgia zaman kegemilangan silam sebagai asas integriti pada agama. Kesannya, kemajuan agama yang mahu dicapai ditumpukan kepada sejarah lampau. Pendekatan ini membawa kepada kegagalan untuk mencari makna baru yang lebih bersesuaian dengan realiti moden serta menghadapi cabaran semasa.
Sememangnya bukan agama yang berhak dipersalahkan, tetapi secara fitrahnya manusia diberi kebebasan memilih sendiri pendekatan bagaimana cara agama dilaksanakan.
“The Koran made the creation of a compassionate and just society the essence of the reformed religion of al-Lah. Compassion is a particularly difficult virtue. It demands that we go beyond the limitations of our egotism, insecurity and inherited prejudice.”
Ternyata segelintir agamawan memilih pendekatan yang bermasalah dalam menghadapi peristiwa semasa, termasuklah isu perayaan Krismas dihukum sesat dan mengancam kesucian Islam kerana dilihat merayakan upacara agama lain. Mungkin segelintir agamawan ini tidak peka, larangan mereka ini juga sama seperti sesetengah kumpulan Puritan Kristian yang menentang sambutan Krismas di kemuncak zaman reformation. Sedangkan telah menjadi pemahaman umum sambutan Krismas bersempena kelahiran Jesus, atau turut masyhur sebagai nabi yang mulia, Isa A.S. Pendekatan yang lebih positif sepatutnya digalakkan dengan menghayati kehidupan nabi Allah ini, dan menghargai perjuangan yang dilaksanakan beliau.
Ahli Teologi, Reza Aslan dalam karya beliau Zealot, menggunakan metodologi sejarah dalam memahami kehidupan Jesus di Palestin sekitar 2000 tahun yang lalu. Keadaan masyarakat yang hidup di bawah penindasan pemerintah Rom, yang mengenakan cukai tinggi terhadap rakyat. Golongan elit agamawan pula hidup dalam kelas tersendiri hanya berperanan dalam upacara ritual, tanpa mengajar nilai kebaikan dan persaudaraan, seperti yang dikisahkan dalam perumpamaan ‘The Good Samaritan’. Jesus yang memahami permasalahan rakyat, bangkit menjadi inspirasi dan penyelamat dengan membantu penduduk miskin, susah dan dalam kesakitan. Mesej kebaikan dan persaudaraan diajarkan kepada para pengikutnya sehinggakan pihak pemerintah dan elit agamawan berasa terancam. Kesalahan pemerintah dan agamawan waktu itu ditentang, hingga beliau dijatuhkan hukuman.
Perjuangan beliau ini amat relevan jika diambil pengajaran buat kita dalam kontekshari ini yang berhadapan kesusahan dek permasalahan tekanan ekonomi, kezaliman penguasa serta institusi keagamaan yang semakin jauh daripada peranan membantu pembinaan masyarakat yang sejahtera. Namun, kelihatan para agamawan lebih cenderung melihat masalah berbanding hikmah.
Sebagai penganut Islam di era mencabar ini seharusnya kita berjihad dengan mencari makna baru daripada petunjuk yang diberikan Tuhan supaya agama dapat terus menjadi daya kebaikan yang membawa rahmat buat masyarakat. Memilih ‘jihad’ dengan dengan cara kononnya menjadi pembela agama dalam isu seperti ‘nama Allah’ dan pengharaman Bible seakan hanya mengutamakan perkara kulit, bukan intipati sebenar insan berTuhan.
Nilai kasih sayang harus dipupuk
Muhammad Asad, tokoh yang berjasa membawa pentafsiran agama yang lebih dengan menekankan keutamaan daya fikir dalam memahami agama, menjelaskan dalam catatan beliau, Islam at the Crossroads, bahawa menjadi manusia sempurna itu sepatutnya menjadi aspirasi utama seorang Islam dan kesempurnaan dalam beragama ini hanya mungkin tercapai dengan kesedaran penuh akan Tuhan dalam setiap tatacara kehidupan.
Tentu sekali ini tidak akan tercapai sekiranya hanya keutamaan beragama diletakkan pada perkara luaran sehingga mengundang perbalahan sesama masyarakat, tanpa rasa kasih dan sayang sesama manusia walaupun berbeza agama atau ras keturunan.
Akhir kata buat warga seNegara yang masih meletakkan Tuhan sebagai rukun utama kenegaraannya, selayaknya ‘Allah’ menjadi asas kepada kesatuan, perpaduan dan keharmonian bersama. Semoga kita beroleh rahmat dan kasih sayangNya.
Namun, buat mereka yang bertegas dengan agenda pembodohan dan permusuhan, sekadar berhujah dengan ancaman kekeliruan umat daripada segala hantu-jembalang musuh-musuh Islam:
Aku lebih rela keliru, daripada ditakutkan hantu…
Apabila agama dimangsakan untuk darah
“Bismillah al-Rahman al-Rahim” terikat di telinganya.
Perkara yang sama tertimpa pada seorang tokoh sufi bernama Abu Hayyan Al-Tauhidi. Beliau diarahkan bunuh oleh seorang menteri bernama al-Muhallabi ekoran fatwa ulama hadis bernama al-Zahabi (pengarang kitab siyar al-‘alam wa al-Nubala’) yang telah menuduh beliau sebagai mulhid (ateis).
Seorang ulama bernama Ibn Subki menyatakan bahawa Al-Zahabi mengkafirkan Abu Hayyan kerana beliau benci dengan kesufian, sedangkan menurut Ibn Subki beliau tidak berjumpa satu pun alasan untuk membuktikan bahawa Abu Hayyan telah menyanggahi aqidah Islam.
Bughah?
Terbaru dalam salah satu portal akhbar internet, satu lagi kenyataan yang telah keluar dari salah seorang penjawat jawatan mufti di Malaysia yang menhalalkan darah mereka yang terlibat dengan demonstrasi kenaikan kos sara hidup.
Kenyataan pro-pemerintah ini ternyata menyimpang dengan dasar agama Islam dan nilai kemanusiaan. Ini kerana, sifat agama itu adalah mendamaikan dan memberikan hak kepada yang berhak.
Bughah yang dituduh terhadap pendemo pula amat tersasar dari maksudnya. Ini kerana, maksud bughah adalah pemberontakan bersenjata oleh mereka yang sekian lama tidak membayar cukai atau mengangkat senjata dengan melakukan serangan pertumpahan darah terhadap rakyat dan penguasa. Mereka lakukan itu disebabkan ketaatan mereka terhadap ketua yang ditaati.
Gambaran ini dilihat pada definisi Bughah menerusi kitab “Hasyiata Qalyubi wa Umairah” bahawa; “Mereka adalah golongan yang menyalahi pemerintah dengan keluar menentangnya dan meninggalkan ketaatan kepadanya atau melarang dari menunaikan hak yang diwajibkan kepada mereka seperti (tidak membayar) zakat dengan syarat mereka punyai kekuatan persenjataan dan punyai ta’wil untuk keluar mereka terhadap pemerintah itu.”
Demonstrasi bukan gerakan persenjataan yang melibatkan pertumpahan darah, malahan ia sekadar himpunan ramai di kalangan rakyat untuk menyatakan perasaan tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan. Tindakan rakyat itu selaras dengan tuntutan hadis bahawa Nabi Muhammad SAW ada menyatakan, “agama itu adalah nasihat”.
Juga selaras dengan hadis yang lain bahawa Nabi Muhammad SAW ada bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang ada hak, maka hendaklah diberikan ruangan bersuara”.
Tindakan rakyat itu juga tidak ada beza sepertimana kritikan seorang perempuan tua terhadap Saidina Umar tentang mahalnya mas kahwin.
Namun, ramai agamawan, sama ada berjawatan mufti atau tidak, sudah tidak punyai jiwa yang berasaskan roh Islam, mereka lebih suka menggunakan agama untuk menafikan hak rakyat ini.
Agama dan pemerintah
Agama adalah indah, tetapi ia dikotori oleh tangan-tangan agamawan yang tidak bertanggungjawab. Sifat agama adalah manusiawi, tetapi ternafi kemanusiaannya ekoran fatwa-fatwi dari individu yang lebih mementingkan diri.
Ekoran itu agama yang dimasukan dalam pemerintahan tidak mendatangkan kebaikan. Keburukan itu datang bukan kerana agama tidak baik, tetapi individu agamawan yang berada dalam pemerintahan yang memanipulasikan agama demi keburukan yang mereka telah atau sedang lakukan.
Menghalalkan darah pengkritik kerajaan bercanggah dengan Islam. Akan tetapi ia akan dilihat seperti benar jika dibalut dengan imej fatwa: Kata-kata sebegitu akan dianggap sebagai dosa jika datang dari mulut orang yang berseluar pendek, tetapi dilihat seperti pahala jika datang dari orang yang memakai kopiah, serban dan jubah, dengan nama-nama yang bermula dengan “sohibus samahah”, “Dato’ mufti” dan sebagainya. Malapetaka ini menjadikan agama kelihatan buruk. Ia wajar dibendung.
Justeru itu, nilai-nilai agama perlu dirohkan dalam pemerintah, bukan didominasi agamawan- agamawan atau jabatan-jabatan politik yang berlebelkan agama.
Wallahu alam.
(sila emel editor@projekdialog.com untuk bibliografi dan rujukan penuh petikan-petikan di atas)
JAIS bertindak kurang wajar; rakyat Malaysia di persimpangan
Tahun 2013 hangat dan sarat dengan kontroversi isu agama dan perkauman dipolitikkan telah pun melabuh tirai. Namun, tahun baru 2014 juga tidak dapat menjanjikan kestabilan dan keharmonian negara Malaysia ini terlaksana dengan baik.
Bagi penulis, ianya sudah menjadi ‘trend’ atau ‘lumrah’: bila pemerintah gagal menyelesai kepincangan urus tadbir mereka serta permasalahan rakyat maka bom syak diggunakan sebagai senjata dengan membenarkan isu-isu keagamaan dan perkauman dilaga-lagakan untuk menutup segala isu-isu kepincangan pentadbiran mereka. Jadi kita patut menilai situasi ini dari semua sudut, bermula dengan penelitian konteks isu ini berlaku. Serbuan JAIS dan rampasan Bible Reverand Father Lawrence merupakan paderi Katolik daripada kelompok Jesuit dan editor bagi akhbar mingguan “The Herald (Malaysian Catholic Weekly)” bagi keuskupan (daerah gereja) Kuala Lumpur. Baru-baru beliau ada mengeluarkan kenyataan bahawa Gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam upacara Misa dalam bahasa Malaysia. Nah, apa masalah di sini? Pertama, kenyataan media Father Lawrence ini dikatakan satu penderhakaan terhadap titah Sultan Selangor. Kedua, kenyataan ini dituduh sebagai satu langgaran Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 negeri Selangor yang telah diluluskan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN). Ketiga, kenyataan beliau disifatkan menghina keputusan mahkamah rayuan Oktober 2013 lalu yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ sedangkan larangan tersebut hanya dikenakan pada akhbar “The Herald”. Lantas kenyataan beliau segera dihidu oleh JAIS, NGO Muslim dan UMNO Selangor untuk dijadikan alat melaga-lagakan isu agama dan perkauman serta peluang bagi mereka untuk menjadi ‘hero’ bangsa dan agama serta berusaha untuk mengalih isu kepincangan pentadbiran negara. Undang-undang yang dirujuk di sebalik rampasan Alkitab Bahasa Malaysia oleh JAIS Mengikut sumber daripada Utusan Malaysia dan beberapa media cetak lain, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban yang mengandungi kalimah Allah dalam serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia di Jalan Gasing di sini kira-kira pukul 2 petang pada Khamis 2 Januari. Presiden Persatuan Bible Malaysia, Lee Min Choon dan pengurus premis itu, Sinclair Wong ditahan di bawah Seksyen 9, Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 kerana menerbitkan dengan menulis kalimah Allah untuk kegunaan orang bukan Islam. Penulis percaya JAIS menggunakan Seksyen 9 Enakmen tersebut yang memperuntukkan “kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumber Islam”. Seksyen 9 menyatakan : (1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia: (a) dalam apa-apa tulisan yang diterbitkan; atau (b) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan awam; atau (c) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang ditujukan kepada mana-mana perhimpunan orang; atau (d) dalam apa-apa ucapan atau pernyataan yang diterbit atau disiarkan dan yang pada masa ucapan atau pernyataan itu dibuat dia tahu, atau munasabahnya patut tahu ianya akan diterbitkan atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang disenaraikan dalam Bahagian I kepada Jadual, atau apa-apa perkataan terbitan atau variasinya, untuk menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu ugama bukan Islam. (2) Seseorang yang tidak berugama Islam adalah melakukan suatu kesalahan jika dia, dalam hal keadaan yang dinyatakan dalam seksyen kecil (1), menggunakan mana-mana perbahasan yang disenaraikan dalam Bahagian II kepada Jadual, kecuali sebagai petikan atau rujukan. (3) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen kecil (1) atau (2) boleh, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi RM1,000. (4) Raja dalam Mesyuarat boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, meminda Jadual. Tanggapan awam Sementara itu, isu ini terus dipermainkan media arus perdana, di mana sifat sensitifnya membuka ruang kepada andaian-andaian yang menyumbang kepada ketegangan keadaan. Hari demi hari kita mendengar luahan marah dari pelbagai NGO-NGO Muslim dan UMNO Selangor. Desas-desus spekulasi pun bertambah: ada yang mengatakan Kristian di Malaysia dilarang guna kalimah ‘Allah’ dalam apa perkara. Ada yang mengatakan Kristian di Sabah dan Sarawak sahaja boleh menggunakannya dan ada juga yang mengatakan umat Kristian baru bercadang untuk menggunakan kalimah tersebut dan harus ditentang. Bahkan ada yang mempolitikkan isu ini dengan mengatakan parti-parti pembangkang mengadai kalimah ‘Allah’ untuk meraih undi simpati umat Kristian. Realiti dan kebenaran situasi pun terbenam andaian dan jangkaan emosi yang makin menjadi-jadi. Tindakan JAIS bermasalah Hakikatnya ialah persatuan Bible Malaysia sudah lama beroperasi untuk menerbitkan Alkitab Bahasa Malaysia dan Iban bahkan lama sebelum “Penyelesaian 10 – Perkara” mahupun enakmen tersebut diperkenalkan. Keputusan mahkamah rayuan telah menetapkan larangan pengunaan kalimah tersebut di akhbar mingguan ‘The Herald’ dan bukannya Alkitab mahupun penerbitan serta upacara ibadat. Enakmen yang diguna pakai di negeri Selangor juga boleh dipersoalkan kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Artikel 11 dan Perjanjian Malaysia 1963 Perkara 1. Oleh itu, enakmen tersebut harus dipinda atau dimansuhkan. Tambahan pula enakmen tersebut tidak rasional untuk diamalkan di Selangor sebagaimana terdapat juga umat Kristian Sabah dan Sarawak menetap di negeri tersebut menggunakan kalimah ‘Allah’ dalam ibadat mereka dan juga punyai Alkitab. Persatuan Bible Malaysia sewajarnya diberikan hak untuk menerbitkan ‘Alkitab’ kerana ianya diluluskan permit melalui akta cetak serta tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dimana umat Kristian dibenarkan untuk mengurus hal keagamaannya sendiri. Malah kerajaan Malaysia dibawah ke pimpinan BN telah pun memberi jaminan kepada umat Kristian mengenai “Penyelesaian 10 – Perkara” mengenai Alkitab pada 11 April 2011 yang lalu. Antara kandungan Penyelesaian 10 – Perkara ialah kerajaan membenarkan penerbitan dan mengimport Alkitab semua bahasa termasuklah Bahasa Malaysia/Bahasa Indonesia yang mengandungi kata “Allah” tanpa sebarang sekatan. Namun, ianya tidak akan dapat menyelesaikan kemelut selagi isu kalimah ‘Allah’ yang dibawa dimahkamah tidak diselesaikan diperingkat nasional. Hal-ehwal masyarakat Kristian juga di luar daerah hukum JAIS, malah jabatan agama mana-mana negeri. Perbuatan JAIS dalam merampas Bible dengan cara konfrontasi memang suatu tindakan menceroboh. Persoalan yang sukar? Walau apa pun, rakyat Malaysia yang majmuk dan berbilang kaum, bahasa dan budaya berada di persimpangan soalan-soalan penting yang harus dihadapi bersama: Wajarkah kalimah ‘Allah’ serta perkataan-perkataan lain yang berkaitan agama Islam di‘trademark’kan untuk menjaga umat Melayu dan Islam di Malaysia daripada terpesong akidah dan kekeliruan? Mengapakah hal mutu akidah umat Islam patut menjadi tanggungjawab masyarakat Kristian? Wajarkah umat Kristian di Malaysia dipersalahkan kerana menggunakan kalimah ‘Allah’ serta perkataan lain dalam bahasa kebangsaan negara mereka sendiri? Wajarkah pihak pemerintah serta penguasa agama Islam menentukan apa sahaja urusan kepercayaan agama lain? Apakah umat Islam di Malaysia sanggup bertolak ansur untuk membenarkan umat Kristian di Malaysia yang setelah sekian lama telah menggunakan kalimah ‘Allah’ serta perkataan-perkataan lain dalam penerbitan dan ibadat mereka selepas isu ini dipanaskan oleh pihak tertentu? Kesimpulan Marilah kita berdoa dan berharap agar negara kita dipulihkan daripada kemelut isu ni kerana sudah pasti ianya tidak akan membawa perpaduan dan keharmonian yang berkekalan setelah sekian lama Persekutuan Malaysia terbentu pada 1963. Pendekatan adil dan saksama harus disegerakan oleh semua pihak dalam menyelesaikan isu ini. Sampai bilakah rakyat di negera ini perlu dihidangkan dengan isu sebegini? Andai kata, semua pihak setuju bahawa kalimah ‘Allah’ itu universal, sudah pasti kemelut ini tidak wujud. Oleh itu, dialog serta toleransi beragama sangat diperlukan dalam kehidupan pluralistik negara ini. Tinggalkanlah pemikiran jumud dan dangkal serta marilah kita hidup bersama secara aman di negara ini.
Solidariti bersama masyarakat Kristian
Projek Dialog bersolidariti dengan Gereja Katolik dan masyarakat Kristian yang lain dalam hak mereka untuk mengguna kalimah “Allah” Projek Dialog amat kecewa dengan tidakan puak ekstremis yang mengancam keselamatan Father Lawrence Andrew dan masyarakat Kristian di Malaysia. Di sini kami bersolidariti dengan memberi sepenuh sokongan kepada pihak Gereja Katolik dan masyarakat Kristian agar tidak gentar dengan tindakan puak-puak ekstremis ini. Perbuatan mereka tidak mewakili pendirian majoriti rakyat Malaysia yang mencintai kedamaian dan harmoni antara agama. Menurut laporan Free Malaysia Today, puak-puak ekstremis ini adalah daripada golongan minoriti etnosentrik-nasionalis yang terdiri daripada Majlis Belia Daerah, Kelab Persatuan Anak Muda Malaysia (MAYC), Pekida, Jawatankuasa Kebajikan Kampung (JKKP) sekitar Kuala Langat, Perkasa, Belia 4B, termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Kuala Langat, Jalur Tiga Malaysia (Jati), Perkasa Selangor, Klang Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), dan Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS). Tindakan mereka yang penuh dengan kemarahan, membakar patung yang mempunyai foto muka Father Lawrence Andrew adalah perbuatan yang keji dan mengaibkan Islam. Puak ekstremis tersebut bertindak berdasarkan kepentingan politik pihak tertentu. Malah kami mempersoalkan akidah mereka yang jauh terpesong daripada pesanan kasih sayang, belas kasihan dan nilai kemanusiaan yang dibawa oleh Nabi Muhamad. Islam mengajar umatnya agar saling hormat-menghormati terhadap masyarakat berlainan agama bagaikan saudara dalam kemanusiaan. Malaysia adalah satu-satunya negara dimana kalimah “Allah” adalah daerah eksklusif bagi orang Islam. Ini adalah dasar yang tidak munasabah, kerana di negara-negara bermajoritikan Islam di Timur Tengah seperti Mesir, Syria, Lubnan, Palestin dan sebagainya, kalimah “Allah” digunakan oleh orang Islam, Kristian, Yahudi, Sikh dan lain-lain untuk merujuk kepada Tuhan. Malah, kalimah “Allah” juga digunakan dengan bebasnya oleh masyarakat Kristian di Indonesia, negara yang mempunyai bilangan Muslim yang terbesar di dunia. Projek Dialog sebelum ini pernah menemuramah Father Lawrence Andrew berkenaan dengan isu kalimah “Allah”. Terdapat bukti bahawa kalimah “Allah” tersebut telahpun digunakan di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah Inggeris. Malah kitab Bible dalam bahasa Melayu tulen digunakan oleh pihak gereja Katolik sejak abad ke-16 lagi. Jadi penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Bible adalah sebahagian daripada amalan warisan sejarah yang sudah lama terserap dalam upacara sembahyang dan Misa mereka. Kami juga membantah tidakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang merampas kitab-kitab Bible di kawasan Persatuan Bible secara haram sambil mengancam pihak gereja-gereja Kristian daripada menggunakan kalimah “Allah”. Ini bukan sahaja akan memberi kesan yang buruk terhadap hak kebebasan beragama yang tertera dalam Perlembagaan Negara, ia juga akan memecah-belah masyarakat majmuk yang sebelum ini hidup dengan aman dan harmoni. Kami ingin menyeru semua masyarakat Malaysia – tidak kiralah Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh, Baha’I, Taoisme, Ateis, Animisme, dan sebagainya agar kita bersolidariti dengan pihak Gereja Katolik dan komuniti Kristian yang lain dalam memelihara hak mereka untuk menggunakan kalimah “Allah”.
]]>Tidak haram memberi ucapan selamat menyambut perayaan non-Muslim
Tujuan Wahyu: Kedamaian dan keadilan
Nabi Muhammad SAW menerima wahyu di zaman keadaan rakyat Mekah yang cukup teruk. Penindasan terhadap kelas bawahan, penipuan dalam perdagangan, penyelewengan harta anak yatim dan banyak lagi keburukan menjadi perkara yang sebati dalam masyarakat arab pada masa itu.
Pesanan dan ajaran Nabi Muhammad SAW menyerang segala amalan tersebut. Namun, Baginda mendapat tentangan yang hebat sehingga ada di kalangan Muslim yang terawal diseksa dan ditindas, malahan ada juga yang dibunuh.
Sesampai di Yathrib, pesanan keadilan dan kedamaian sudah menjadi perkara yang penting bagi Nabi. Ekoran itu, peperangan antara Aus dan Khazraj selama 140 tahun (ada riwayat kata 400 tahun), yang berasaskan kekabilahan, berjaya dihentikan oleh Nabi Muhammad SAW. Selepas itu, Yathrib ditukar nama oleh Nabi Muhammad SAW menjadi Madinah yang memberi maksud kota Tamadun.
Pesanan damai dan harmoni ini terus disuburkan oleh Nabi Muhammad SAW. Makanya Madinah ketika itu pun menjadi tempat manusia mencari kebajikan dan keselamatan. Ini amat selaras dengan firman Allah yang bermaksud, “Tidak kami utuskan kamu kecuali memberi rahmat sekelian alam” (Surah al-Anbiya’, ayat 107).
Kemanusiaan Non-Muslim diktiraf Islam
Mesej damai ini dipamerkan juga dalam hubungan baik antara muslim dengan non-Muslim.
Contohnya, ketika Asma’ binti Abu Bakar yang memeluk Islam tidak mahu menerima hadiah yang diberikan oleh ibunya ekoran berbeza agama, menyebabkan turun firman Allah yang bermaksud: “Allah SWT tidak pernah mencegah kamu terhadap mereka (orang bukan Islam) yang tidak menyerang kamu dalam agama dan tidak mengeluarkan kamu dari negara kamu bahawa kamu melakukan kebaikan kepada mereka dan berlaku adil, sesungguhnya Allah SWT suka kepada orang yang melaksanakan keadilan” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).
Menurut Yusuf Al-Qaradawi ayat ini merupakan dalil bahawa hubungan baik antara Muslim dengan non-Muslim wajar dijaga.
Dalam Hadis pula terdapat satu kisah di mana ramai dari kalangan orang Yahudi berlumba-lumba memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda pula menyahut sepertimana menjawab salam orang Islam.
Tindakan itu ditanya oleh isteri baginda, Aisyah kerana Yahudi itu tidak menyebut “Assalamu alaikum” yang bermaksud selamat sejahtera, tetapi menyebut “assamu alaikum” yang bermaksud “pergi mampus”.
Nabi Muhammad SAW menjawab soalan Aisyah seperti berikut: “sesungguhnya Allah itu amat suka kelembutan pada semua perkara”.
Dari lagi hadis mempamerkan tindakan Nabi Muhammad SAW yang amat selaras dengan firman Allah yang bermaksud, “Apabila diucapkan dengan ucapan yang baik, maka balas balik ucapan itu dengan yang lebih baik lagi” (Surah al-Nisa’, ayat 86).
Pada suatu hari ada seorang mayat Yahudi yang dipikul di hadapan Nabi Muhammad SAW. Ketika itu, Baginda berdiri memberi penghormatan. Sahabat yang melihat perbuatan itu bertanya, mengapa Nabi berdiri sedangkan mayat itu adalah orang Yahudi yang tidak beragama Islam.
Nabi Muhammad SAW menjawab bahawa walaupun si mati itu adalah Yahudi, dia masih patut dihormati kerana dia masih seorang manusia.
Ucaplah Merry Christmas
Dari semua hujah yang dikemukakan, nyata dan jelas bahawa ucapan Merry Christmas kepada mereka yang beragama Kristian, atau ucapan perayaan non-Muslim yang lain, bukanlah perkara yang terlarang.
Lebih-lebih lagi Yusuf Al-Qaradawi ada menyatakan bahawa Al-Quran ada mengizinkan perkahwinan antara muslim dan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) (Surah al-Maidah, ayat 5). Malah Al-Quran sendiri akui tujuan perkahwinan adalah kasih sayang dan rahmat (Surah al-Rum ayat, 21).
Makanya, lebih-lebih tidak salah jika sekadar mengucapkan tahniah atau salam sejahtera dalam konteks perayaan agama lain.
Di kalangan ulama Islam, ada yang menfatwakan haram mengucapkan tahniah dengan kedatangan perayaan agama selain Islam. Ulama itu adalah Ibn Taimiyyah menerusi kitab Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim dan Ibn Qayyim al-Jawziyyah menerusi kitab Ahkam Ahl al-Zimmah.
Namun, pandangan mereka sekadar ijtihadi tidak mutlak. Ia boleh dipertimbangkan dalam pertukaran masa, tempat dan situasinya. Fatwa itu mungkin sesuai di era peperangan pada zaman itu, tetapi tidak sesuai di era keamanan seperti Malaysia juga negara-negara yang lain.
Malah Al-Qaradawi sendiri pernah menyatakan bahawa ada kemungkinan Ibn Taimiyyah akan mengubah pendapatnya jika beliau berada di era moden kini.
Wallahu a’lam.
(sila email kami untuk rujukan lanjut – editor)