Projek Dialog

Nik Abdul Aziz dan Imam Khomeini

“Tuan Yang di-Pertua, memang untuk menakutkan Raja-Raja, selalunya pihak yang pergi berhujah di hadapan Raja mengatakan; “Awas! jangan jadi seperti Iran, di mana rakyatnya bangun menggulingkan Shah Iran, sebuah pemerintah Beraja yang mempunyai kuasa mutlak. Tetapi tidak diterangkan siapa yang mampu menggerakkan rakyat, kenapa rakyat memberi kepercayaan kepada orang yang menggerakkan rakyat? Tidak lain, kerana orang yang menggerakkan rakyat itu ialah Imam Khomeini, yang hidup serba sederhana, dan bila berjaya memerintah, beliau sebagai Ketua Negara dalam negara yang kaya, hanya diam dalam gerobok yang buruk sahaja. Sebab itu rakyat memberi keyakinan kepada beliau. Dan contoh itu, insya Allah, di abad ini cuba diikut oleh Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Tok Guru Nik Abdul Aziz,telah mencapai kuasa menggerakkan rakyat, rakyat memberi kepercayaan kerana beliau duduk di rumah buruk di Pulau Melaka, rumah lamanya itu, baru ia boleh bercakap bahasa rakyat dan bercakap di atas denyutan nadi rakyat.”  Sementara itu Clive Kessler, yang menulis belasungkawa tentang Nik Abdul Aziz, menghimbau kembali pilihanraya 1986 yang menurut beliau dilatari oleh calon-calon PAS yang ghairahkan ‘syariah’ ekoran terpengaruh dari fenomena yang berlaku di Iran: “The 1986 elections —— held when Dr. Mahathir had risen high in his early ascendancy, and before any of the major problems of his prime ministership had asserted themselves —— was also the first election held after the young Shari’ah-minded Islamists around Hadi Awang had seized control of the party from Datuk Asri Haji Muda. It was not a good campaign for PAS, and it was made worse by the fact that it offered a strenuously Shari’ah-minded platform that owed much to recent revolutionary events in Iran.” Dalam majalah Dunia Islam bilangan 56 edisi Febuari 1995, Nik Aziz menyatakan kebolehan Ayatullah Khomeini memimpin sebuah negara sebagai seorang ulama mengkagumkan beliau. Malah Khomeini disebut sebagai hebat oleh Nik Abdul Aziz. [2] Foto 1Dalam wawancara majalah tersebut itu juga, Nik Aziz menolak dakwaan bahawa Syiah sebagai ‘kafir’. Harus diingatkan di sini, sanjungan Nik Aziz terhadap Ayatullah Khomeini tidak semestinya beliau berminat dengan Syiah, ini kerana beliau pernah menyatakan bahawa beliau tidak berminat dengan Syiah. [3] Seperti yang telah dinyatakan sebelumnya, sehingga setakat ini kita masih belum ada contoh kepimpinan ulama yang progresif. Oleh kerana itu, tidak dapat tidak, sehingga kini, sebarang penilaian mengenai kemampuan ulama (justeru dilihat ‘Islam’) memimpin masih berdasarkan dua contoh kepimpinan ini. Dalam dekad 80an, di era PAS masih dipengaruhi dan mendapat tempias pentadbiran Islam ala Iran, seperti yang dinyatakan oleh Clive Kessler di atas, sikap Nik Abdul Aziz terhadap Iran justeru Syiah dapat ditanggapi positif. Foto 2Malah hubungan Nik Abdul Aziz dengan seorang ulama Iran, Ayatullah Jaafar Hadi yang ketika itu menetap di Malaysia diketahui sangat akrab. Sebagai sahabat, mereka bertemu kembali selepas lebih sepuluh tahun. AsSajjad Movement pernah menyiarkan foto pertemuan terakhir mereka pada 24 Februari 2011 dalam satu pertemuan tertutup. Majalah Dunia Islam yang dikaitkan dengan PAS pada waktu itu juga sering membuat liputan yang positif mengenai Iran, dan Syiah. Malah terdapat buku-buku karangan ahli atau aktivis PAS secara berani menjadikan wajah Nik Abdul Aziz dan Ayatullah Ali Khamenei (pemimpin Iran sekarang) sebagai kaver buku mereka demi memancing pembeli dan pembaca. Foto 3Pada tahun 2010, apabila bermulanya gelombang kebencian terhadap masyarakat Syiah ekoran serbuan terhadap sebuah pusat komuniti mereka di Gombak, Selangor, kita dapat melihat bagaimana Nik Abdul Aziz berubah sikap terhadap Syiah dan memaparkannya secara jelas. Dalam teks ucapan bajet 2011 beliau di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Nik Abdul Aziz yang masih Menteri Besar pada waktu itu menyatakan; ‘Program-program pengukuhan akidah diteruskan bagi membasmi mana-mana fahaman, ajaran dan amalan yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah’. Meskipun kenyataan beliau tersebut masih belum dapat dihujahkan sebagai menyebar kebencian terhadap penganut mazhab tersebut, pada hujung tahun 2013 apabila kebencian terhadap mazhab Syiah mencapai kemuncaknya dalam masyarakat, Nik Abdul Aziz akhirnya menyatakan, yang beliau menyokong supaya ‘Syiah tidak wajar wujud di negara ini’. Beberapa minggu sebelum mengeluarkan kenyataan di atas beliau muncul dalam satu majlis penerangan ‘Bahaya Ajaran dan Fahaman Syiah Dalam Masyarakat Islam di Malaysia’ di Kota Bharu. Majlis itu dihadiri oleh beliau selaku Mursyidul Am Pas, turut ‘menghimpunkan pegawai dan kakitangan masjid dari seluruh negeri Kelantan’. Sebelum dari itu pada tahun 2012, Nik Abdul Aziz telah mencegah bahan pameran mengenai mazhab Syiah di Ekspo Perdagangan Dunia Islam 2012 yang di Stadium Sultan Muhammad IV. Kesempatan mendidik masyarakat tentang mazhab Syiah yang pernah beliau sorot secara positif dalam tahun 80an tidak berlaku.  Dalam satu kenyataan bertarikh bertarikh 28 Rajab 1433 H bersamaan 18 Jun 2012, Nik Abdul Aziz menyatakan: Foto 4“Saya dimaklumkan bahawa terdapat bahan-bahan berunsur Syiah yang dipamerkan di Ekspo Perdagangan Dunia Islam 2012 yang sedang berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV pada masa ini. Bagi pihak kerajaan negeri Kelantan, saya ingin melahirkan rasa dukacita yang teramat sangat di atas sikap peserta ekspo yang nyata sekali tidak menghormati sentimen umat Islam tempatan yang berpegang dengan akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Justeru, saya telah mengarahkan agar pihak urusetia memastikan semua bahan-bahan ini diturunkan serta merta dengan seberapa segera serta memastikan perkara ini tidak berulang. Saya merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang bertindak segera di dalam memaklumkan perkara ini kepada pihak urusetia khususnya serta pihak kerajaan untuk tindakan. Pada saya, urusan akidah ialah perkara yang tiada tolak ansur.” Apa yang kurang diketahui umum adalah gerai pameran di ekspo perdagangan tersebut disertai oleh sebuah entiti kerajaan Iran yang hanya mempamer poster wajah pemimpin mereka iaitu Ayatullah Khomeini dan Ayatullah Khamenei. Terlepas dari dakwaan beliau seorang ulama kaum muda, atau berpegang kepada akidah menjisimkan Allah, satu hal yang sering dilupakan adalah Nik Abdul Aziz juga adalah seorang ahli politik. Sebagai ahli politik beliau dengan cekap sekali menunggang gelombang pro atau anti Iran ini melampaui tiga dekad. Perubahan pegangan politik ini terserlah berdasarkan  sikap beliau sendiri. Ini menjadi satu yang menarik untuk dikaji memandangkan, dalam masa yang sama, iaitu pada tahun 2013, Presiden PAS, Abdul Hadi Awang agak berhati-hati untuk menolak dan memomok Syiah. Beliau menyatakan: Foto 5“Para ulama telah menyenaraikan mazhab-mazhab yang keluar daripada agama Islam dan mazhab yang masih dianggap penganut Islam, kerana masih berpegang dengan rukun-rukun asas dalam perkara iman dan Islam walau pun salah ijtihadnya. Mereka membilangkan dua mazhab dalam Syiah, iaitu Imamiyyah dan Zaidiyyah, dan satu mazhab dalam Khawarij iaitu ‘Ibadiyyah dimasukkan dalam kategori umat Islam.” Tidak dapat dinafikan kesederhanaan dalam kehidupan adalah kekuatan Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan. Rata-rata pengulas dan pengenang almarhum menyebut soal rumah kayu, kain pelikat dan pemotongan elaun. Kesederhanaan hidup Nik Abdul Aziz dapat dilihat juga pada gaya hidup Ayatullah Khomeini yang sering dikaitkan dengan beliau. Harus dinyatakan di sini, kesederhanaan dapat menjadi kekuatan yang menonjol seperti yang diperlihatkan oleh kedua-dua ulama ini. Secara objektif pencapaian Nik Abdul Aziz di Kelantan juga sederhana. Sebagai contoh, antara produk yang sempat beliau perkenalkan adalah pajak gadai Islam. Tidak dinafikan pentadbiran beliau sering disandarkan dengan kelahiran produk Ar-Rahn di Kelantan. Ini adalah salah satu sumbangan beliau dalam kemajuan ekonomi negeri tersebut: Sistem pajak gadai Islam (Ar-Rahn) yang dipelopori oleh PAS di Kelantan kini dicontohi oleh Iain-lain pihak adalah satu ikhtiar untuk menghapuskan riba. la menyediakan alternatif kepada amalan riba dan ia juga adalah satu alternatif yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan dalam memerangi kemiskinan. [4] Selain dari itu, Sisters in Islam turut memuji secara sederhana dua polisi Nik Abdul Aziz ketika menjadi Menteri Besar Kelantan iaitu  ‘memanjangkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari’ dan cubaan mempraktikkan ‘tafsiran Asnaf Muallaf dalam pembahagian zakat harus diperluaskan dan memasukkan bukan Islam yang berada dalam kesempitan dan keperluan sebagai penerima zakat’. Untuk lebih adil satu hal yang menjadikan sumbangan beliau sederhana seperti yang dinyatakan di atas adalah kerana faktor keterbatasan ruang. Hal ini menghalang Nik Aziz merasai status lebih besar seperti Ayatullah Khomeini secara globalnya. Ini adalah kerana beliau hanya memimpin sebuah negeri yang kecil, dengan penuh keterhadan dan sumber ekonomi yang kecil. Selain itu Nik Abdul Aziz juga berdepan dengan seteru politik dalam bentuk kerajaan Persekutuan yang banyak memberi ganjalan kepada kelicinan kepimpinan beliau. Pun, kedua-duanya merasai persamaan yang sama di hari pengkebumian mereka. Ayatullah Khomeini dan Nik Abdul Aziz dihantar oleh jumlah besar pengikut dan pencinta kedua-duanya ke pemakaman. Seperti yang dinyatakan di awal, dunia Islam hanya berpeluang melihat dua orang ulama tradisional memimpin di zaman moden. Adalah secara kebetulan mereka datang dari dua mazhab berbeza. Di awal pentadbiran beliau, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak segan silu menyatakan beliau belajar dari kepimpinan Ayatullah Khomeini. Namun demikian, beliau menjarakkan diri dari imej pemimpin Iran tersebut kerana faktor momokan terhadap Syiah yang kuat melanda masyarakat. Jelas, kekuatan kedua-dua ulama tradisional ini adalah kehidupan mereka yang sederhana dan penuh kezuhudan.   RUJUKAN [1] Mohamad Bin Sabu. 1993. Penyata Rasmi Parlimen. Dewan Rakyat. Parlimen Kelapan. Penggal Kedua. Penolakan Majlis Raja-Raja Terhadap Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 1993 [Ruangan 13479]. 18 Januari. Jilid Ii. Bil. 67. Hlm. 13626-13627.) [2] Nik Abdul Aziz Nik Mat. 1995. ‘Wawancara: Saya Sanjung Tinggi Ayatollah Khomeini.” Dunia Islam. 56. Edisi Febuari. 16. [3] Utusan Malaysia. 1993. Nik Aziz Nik Mat menegaskan bahawa beliau tidak berminat dengan ajaran Syiah. Utusan Malaysia. 24 Jun. [4] Surtahman Kastin Hasan dan Norfadzilah Ahmad. 2004. “Pemikiran Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat Dalam Ekonomi.” Jurnal Usuluddin 20 . 83. 69-88.   unnamed

]]>

Impak sosial setelah banjir di Kelantan

Pendahuluan Untuk sekian kali Malaysia mengalami banjir besar yang merugikan. Kehadiran dan kekerapan hujan di Malaysia yang terletak di Zon Equatorial bukanlah sesuatu yang luar biasa. Angin Monsun Timur Laut membawa hujan yang lebat ke negeri-negeri di Pantai Timur dan juga ke Sabah dan Sarawak. Seperti sebelumnya, hujan ini akan turun dengan lebat beberapa hari secara berterusan lantas mengakibatkan banjir seperti bah besar yang berlaku pada tahun 1967, dan 1971. Di dalam catatan sejarah banjir besar kerap berlaku di negara ini, antara lain pada tahun 1931, 1947, 1954, 1957, 1967 dan 1971. Bah besar pada tahun 1926 dan 1971 dikatakan berlaku oleh ‘kerana kelemahan infrastruktur saliran yang tidak mampu menampung hujan dalam kuantiti banyak’. Jika kurangnya pembangunan menjadi alasan kepada banjir pada tahun 1926, 1967 dan 1971; secara umum, rata-rata masyarakat menyalahkan pembangunan yang tidak seimbang sebagai musabab kepada banjir yang berlaku pada tahun 2014 ini. Jika kurangnya pembangunan menjadi alasan kepada banjir pada tahun 1926, 1967 dan 1971; secara umum, rata-rata masyarakat menyalahkan pembangunan yang tidak seimbang sebagai musabab kepada banjir yang berlaku pada tahun 2014 ini. Dakwaan ini sejajar dengan ingatan sarjana dan ahli akademik seperti mana yang pernah dinyatakan oleh Tuan Pah Rokiah Syed Hussain dari Universiti Utara Malaysia dalam makalah beliau berjudul  ‘Implikasi Bencana Banjir Terhadap Sosioekonomi Penduduk Lembangan Kelantan’[1] dan juga kertas bertajuk ‘Pembangunan Dataran Banjir Lembah Sireh, Kelantan: Isu dan Cabaran’ oleh Mariney Mohd Yusoff, pensyarah kanan Geografi dari Universiti Malaya [2]. Jika kedua-dua pengkaji tersebut membincangkan kepincangan pembangunan di Kelantan, hal yang sama turut dikesani oleh kumpulan penyelidik diketuai Muhammad Barzani Gasim dari Universiti Kebangsaan Malaysia apabila mereka mengaitkan banjir yang berlaku antara 17 Disember sehingga 19 Disember 2006 di Segamat Johor dengan perubahan guna tanah yang berleluasa dan tanpa pemantauan: Berlakunya banjir ini besar kemungkinan berkaitan dengan kesan perubahan guna tanah, keadaan sistem saliran yang tidak terpelihara disamping keadaan iklim. Oleh yang demikian, dicadangkan pengekalan hutan simpan, kawal perubahan guna tanah, penaiktarafan sistem saliran, elak pembangunan di kawasan rendah patut dipertimbangkan oleh pihak penguat kuasa di Johor [3]. Perenggan di atas mengesahkan bahawa faktor hujan sahaja tidak boleh dijadikan alasan kepada berlakunya banjir besar di Malaysia. Adalah jelas korupsi menyumbang kepada bencana di negara ini. Walaubagaimanapun, artikel ini tidak akan membincangkan persoalan pembangunan pincang dan korupsi sebaliknya akan melihat impak sosial yang berlaku selepas sesuatu bencana besar, dalam konteks ini banjir besar 2014 di Kelantan. Impak sosial Impak sosial yang dimaksudkan dalam artikel ini melibatkan empat aspek iaitu pertama, psikososial; kedua, sosiodemografik; ketiga, sosio-ekonomi dan keempat, sosio-politikal. Untuk mengukur impak sosial, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah dengan memberi perhatian kepada ratio-impak iaitu dengan formula – amaun kerosakan dibahagi dengan amaun sumber asas komuniti (community resources)[4] – supaya impak bencana itu dapat dinilai terlebih dahulu. Hanya dengan melengkapkan langkah pertama ini barulah aspek-aspek yang melibatkan impak sosial iaitu psikososial, sosiodemografik, sosio-ekonomi dan sosio-politikal dapat dikenal pasti dan dijangkakan. Artikel ini hanyalah satu pengamatan awal dan masih belum dirapi atau dirumus dengan kutipan data. Walaubagaimanapun ia dapat menjadi panduan kepada penyelidik kemudiannya untuk melakukan kajian impak sosial bencana 2014 tersebut. Sebelum makalah ini memanjangkan topik perbincangan yang dinyatakan di atas, adalah penting untuk kita membezakan antara musibah dan bencana. Enrico L. (Henry) Quarantelli, dari Disaster Research Center University of Delaware selaku seorang sosiologis yang banyak mengkaji kesan bencana, menyatakan terdapat perbezaan yang besar antara musibah dan bencana. Beliau memberikan enam perbezaan untuk menjelaskan apakah itu bencana. Bencana terjadi apabila, pertamanya struktur masyarakat terkesan dengan amat mendalam. Ini termasuklah pusat perlindungan, organisasi bantuan kecemasan dan hospital sendiri gagal berfungsi ketika bencana berlaku. Kedua, ketika bencana sedang terjadi, pihak berkuasa tempatan gagal melakukan tugas membantu dan bantuan kecemasan hanya dapat disalurkan ketika proses pemulihan iaitu sesudah bencana mereda. Ketiga, bantuan dari masyarakat terdekat (dalam hal ini dari luar Kelantan) gagal dikejarkan ke tempat terjadinya bencana secara serta-merta. Seterusnya, keempat, kita mengetahui ia bukan musibah tetapi adalah bencana apabila fungsi masyarakat jatuh mendadak dan terganggu untuk satu tempoh yang panjang. Dalam hal ini masyarakat akan sama sekali gagal untuk kembali ke situasi asal seperti persekolahan, perniagaan, perkebunan dan lain-lain dalam tempoh singkat. Ini bermakna ahli masyarakat akan disibukkan oleh pengurusan pasca bencana sebelum dapat kembali normal. Selain itu ketika terjadinya bencana, kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air dan komunikasi terputus menandakan fungsi masyarakat terjejas secara menyeluruh. Kelima, sesebuah bencana akan mendapat liputan meluas media massa termasuk di peringkat antarabangsa. Lebih besar sesebuah bencana itu maka lebih besar liputannya di media massa antarabangsa. Dalam hal ini, oleh kerana Perdana Menteri, Najib Tun Razak pulang agak lambat kerana diketahui bermain golf dengan Presiden Obama di Hawaii, bencana besar di Kelantan tersebut telah mendapat perhatian media massa internasional sehingga ia bukan lagi dapat dianggap suatu musibah biasa. Keenam, menurut Quarantelli, sebaik sesuatu bencana berlaku kebiasaannya pemimpin politik paling atas akan turun padang. Besar atau kecil bencana itu dapat diukur apabila masyarakat tidak mengendahkan kehadiran pemimpin politik tersebut malah mereka dikecam atau dikritik samada secara berdepan, atau di belakang. Dalam erti kata lain, simbol kehadiran mereka sebagai satu ‘lambang pembujukan tokoh politik’ tidak lagi dianggap mustahak atau relevan oleh masyarakat memandangkan mereka sedang menempuh penderitaan dan kesengsaraan yang jauh lebih besar [5]. Berdasarkan definisi dan pandangan Quarantelli di atas, adalah jelas banjir besar yang berlaku di Pantai Timur, khususnya Kelantan bukan suatu musibah biasa (disaster) malah sebetulnya adalah catastrophe atau dalam bahasa Melayunya bencana (malapetaka). Hal ini perlu difahami dengan jelas agar kita memahami pula impak sosial yang terjadi akibat bencana ini. Ini adalah kerana impak sosial sesuatu musibah dapat dianggap relatifnya  kecil berbanding impak sosial sesebuah bencana. Impak sosial sesebuah bencana jika tidak ditangani dan segera diberi pengurusan dan solusi utuh bakal mengakibatkan keruntuhan masyarakat secara meluas dan menimbulkan kacau bilau sosial dalam negara secara jangka panjangnya. Oleh kerana Malaysia jarang berdepan dengan bencana sebesar ini, pengabaian impak sosial bencana boleh memberi kesan negatif serba-serbi di masa mendatang. Psikososial   Salah satu impak sosial yang mesti dititik-beratkan secara jangka panjang ialah kesihatan mental mangsa, atau mereka yang terbabit menempuh bencana besar seperti banjir ini. Terdapat banyak kajian yang menekankan bahawa bencana boleh memberi kesan psikososial yang amat buruk: Psychosocial impacts incliude emotional signs such as anxiety, depression, and grief, as well as behavioral effects such as sleep and appetite changes, ritualistic behavior, and substance abuse [6]. Michael K. Lindell, dan Carla S. Prater dalam makalah tulisan mereka ‘Assessing Community Impacts of Natural Disasters’ menyatakan pengabaian aspek ini mendatangkan kesan bahaya dan mudarat kepada masyarakat jika tidak segera dirancang. Mereka menekankan supaya hal ini tidak dipandang enteng. Sesebuah kerajaan yang bertanggungjawab dari segi hak asasi warganya hendaklah mengambil kira aspek psikososial ini, iaitu sesudah bantuan kebendaan seperti tempat kediaman, makanan, perubatan dan sara hidup ditangani dan disalur dengan baik. Dalam erti kata lain, sebaik sahaja kediaman yang musnah dibina semula, dan bantuan sara hidup untuk memulakan kehidupan diberikan serta diagih dengan adil sesama populasi yang terbabit, kerajaan perlu pula mengatasi kesan psikososial supaya mangsa bencana dapat meredakan, mengurangkan dan mengawal kesan trauma, gangguan fikiran dan tingkah-laku mereka. Ini amat penting kerana jumlah mereka yang mengalami kesakitan dan kekacauan mental akibat bencana besar boleh mengancam keamanan masyarakat kemudiannya, iaitu satu aspek jangka panjang yang kurang diberi perhatian serius oleh negara-negara membangun. Oleh kerana Malaysia masih berhasrat untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, maka perhatian harus diberikan kepada aspek ini. Sosiodemografik Bahagian paling menyakitkan dari kesan sesebuah bencana ialah urusan penempatan dan kediaman semula atau baharu, bagi mangsa banjir. Enrico L. Henry Quarantelli, menyatakan mangsa akan menempuh empat tahap kediaman. Quarantelli mengkaji proses yang dialami oleh mangsa taufan Katrina di Amerika Syarikat menjelaskan bahagian paling getir dari empat tahap kediaman tersebut adalah tahap ketiga dan keempat. Empat tahap yang dimaksudkan adalah, pertama ialah kediaman di pusat kecemasan iaitu sebaik sahaja mereka berjaya diselamatkan dari malapetaka yang terjadi. Kedua, ialah pusat perlindungan sementara di mana bekalan makanan, bermalam dan keperluan asas akan diberikan. Perlindungan sementara ini termasuklah bantuan penginapan yang diberikan oleh sanak saudara, jiran tetangga atau ahli komuniti. Tahap ketiga ialah mangsa akan membina semula penempatan atau kediaman samada di tempat asal atau di lokasi baharu yang  kurang mereka sukai dan tidak selesa, ini termasuklah struktur kediaman yang tidak lagi mereka kenali. Seterusnya tahap keempat ialah kediaman tetap yang mana mereka mulai berusaha menerima hakikat kehidupan di lokasi baharu yang tidak mereka pilih dan putuskan sebelumnya [7]. Bencana alam: perang kelas Hakikatnya adalah ahli masyarakat yang memiliki pendapatan rendah akan mengalami kesulitan untuk membangunkan semula penempatan mereka dan biasanya akan menderita sepanjang proses tahap ketiga dan keempat di atas. Dalam kerangka hak asasi manusia, kerajaan yang memerintah wajib memberi bantuan penuh untuk golongan ini demi membangunkan semula kediaman mereka supaya masalah lain seperti warga tanpa kediaman (gelandangan), masalah pelarian dan jangkaan negatif sosial tidak berlaku. Artikel 25 Universal Declaration of Human Rights 1948 (UDHR) menyatakan setiap manusia berhak dan diberi jaminan untuk kediaman yang asas; ‘Everyone has the right to a standard of living adequate for the health and well-being of himself and of his family, including food, clothing, housing and medical care and necessary social services, and the right to security in the event of unemployment, sickness, disability, widowhood, old age or other lack of livelihood in circumstances beyond his control’. Dalam hal ini penempatan sesudah bencana menjadi tanggungjawab kerajaan dan pihak berwajib. Sosio-ekonomi Kesan yang paling dirasai selepas berlakunya bencana adalah sosio-ekonomi di mana kehilangan aset merupakan bahagian impak yang paling besar serta boleh dinilaikan. Terdapat aset yang sama sekali tidak akan dapat dikembalikan seperti mana kita membaca di laman sosial atau akhbar bagaimana meluasnya ahli masyarakat kehilangan kenderaan, harta benda dan barangan saraan hidup. Kehilangan aset ini adalah satu kejatuhan dalam kualiti hidup, atau kemelesetan serius dari pelaburan. Meskipun terdapat aset gantian hasil derma atau dibeli kemudiannya, ia tidak dapat menggantikan kehilangan aset sebelum di mana ia akan ditanggap sebagai kerugian. Hal ini menjadi lebih sengit untuk ahli masyarakat yang tidak mempunyai insuran yang mana akibat dari itu, kehidupan mereka sama sekali tidak ada jaminan dan proses membina semula apa yang telah hilang akan menjadi satu hambatan dan dipengaruhi oleh faktor umur, kesihatan mental dan juga kebergantungan [8]. Sekali lagi peranan kerajaan diperlukan untuk membantu komuniti yang telah lumpuh akibat dari bencana ini. Pihak kerajaan bukan sahaja perlu menetapkan saraan sementara ahli masyarakat mampu berdikari, kerajaan juga perlu mengambil alih tanggungjawab dengan menggantikan semula aset yang telah hilang tersebut. Secara mudahnya, seorang ahli masyarakat yang pendapatannya rendah memerlukan kenderaan ganti supaya mereka dapat kembali berfungsi dan bekerja. Tanpa bantuan ini, masyarakat akan mengalami kejatuhan nilai dan kualiti hidup seterusnya menyebabkan kemelaratan yang lebih meluas. Apabila ini berlaku kesetaraan ekonomi tidak akan dicapai dan jurang ekonomi akan lebih melebar sehingga mengakibatkan ketidakadilan semakin runcing. Sosio-Politikal Tempoh pemulihan dari bencana kebiasaannya akan terisi dengan konflik. Ini berlaku kerana trauma masyarakat oleh bencana masih kental. Ahli masyarakat kini perlu membangunkan semula kediaman dan sengketa selalunya berlaku akibat dari perubahan ini. Konflik ini dapat diredakan sekiranya masyatakat memang mempunyai ‘universalistic culture’ berbanding ‘personalistic culture’. Dalam hal ini, masyarakat Jepun sebagai contoh memiliki budaya kesetiakawanan yang kuat serta membolehkan mereka membangunkan bersama masyarakat semula seraya mengelakkan konflik. Walaubagaimanapun dalam masyarakat yang telah terasuh oleh budaya personalistik, terdapat kehendak untuk mendirikan agenda masing-masing yang cenderung mengakibatkan perbalahan. Selain itu akan terdapat perubahan tingkah laku politik di mana pemain politik akan menjadi lebih agresif untuk mendapatkan perhatian warga yang terlibat dan selalunya mengakibatkan perseteruan politik yang lebih sengit. Keadaan ini akan menjadi lebih tidak teratur apabila ahli politik tempatan mencelah dan memburukkan suasana [9]. Dakwaan di laman sosial bahawa bantuan makanan dan pakaian tidak seimbang dan diberi secara pilih kasih, selain agihan makanan dengan logo parti atau wajah ahli poltiik tertentu mengisyaratkan terdapatnya masalah sosio-politikal yang sudah segera membengkak sebaik sahaja bencana ini mulai reda. Jika hal ini gagal dihindar, atau paling tidak dikawal dengan sempurna, kesan yang lebih besar boleh berlaku malah terdapat sesetengah ahli sosiologi meramalkan keganasan atau terorisme. Ia boleh mengambil tempat dalam kalangan masyarakat memandangkan ahli masyarakat kini tidak lagi toleran dan moderat akibat keperluan untuk mempertahankan agenda peribadi masing-masing, baik di peringkat kejiranan mahupun di peringkat yang lebih tinggi iaitu politik kenegerian, dan akhirnya mewabak ke peringkat kebangsaan. Rumusan Apa yang berlaku di Kelantan pada Disember tahun 2014 adalah satu bencana besar yang tidak boleh dipandang ringan sama sekali. Banjir tersebut berlaku kerana pembangunan tidak seimbang selain faktor cuaca. Artikel ini cuba memberikan pengamatan awal terhadap impak sosial yang perlu ditimbang, diakses dan dinilai dengan segera supaya masyarakat kekal sejahtera. Empat aspek iaitu psikososial, sosiodemografik, sosio-ekonomi dan sosio-politikal harus ditangani dengan segera. Dalam bidang hak asasi manusia, tugas dan peranan untuk membangunkan masyarakat serta membantu ahli komuniti dari empat impak sosial di atas terletak, tergantung dan tergalas di bahu pemerintah. Adalah penting pihak kerajaan menyedari hak-hak asasi warga yang terkesan oleh bencana ini dengan memberi atau melunaskan hak-hak mereka demi mengelakkan ketidakstabilan dan kepincangan jangka panjang dalam masyarakat. Sebarang pengabaian bakal mengakibatkan malapetaka yang lebih serius, kali ini yang dimaksudkan adalah malapetaka atau bencana sosial. Rujukan [1] Tuan Pah Rokiah Syed Hussain & Hamidi Ismail. 2011. “Implikasi Bencana Banjir Terhadap Sosioekonomi Penduduk Lembangan Kelantan.” Persidangan Ekonomi Kebangsaan Malaysia ke VI (1): 377-388. [2] Mariney Mohd Yusoff, Goh Hong Ching, Tengku Adeline Adura Tengku Hamzah, Nureni Kase & Nik Juliana Alias. (2011) “Pembangunan Dataran banjir Lembah Sireh, Kelantan: Isu dan Cabaran.” Prosiding Persidangan kebangsaan Masyarakat, Ruang dan alam Sekitar MATRA. 265-280. [3] Muhammad Barzani Gasim, Salmijah Surif, Mazlin Mokhtar, Mohd. Ekhwan Hj. Toriman, Sahibin Abd. Rahim & Chong Huei Bee. (2010) “Analisis Banjir Disember 2006: Tumpuan di Kawasan Bandar Segamat, Johor.” Sains Malaysiana 39(3)(2010): 353–361. [4] Michael K. Lindell dan Carla S. Prater. (2003) “Assessing Community Impacts of Natural Disasters.” Natural Hazards Review. November: 176-185. [5] E.L. Quarantelli. (2006) Catastrophes are Different from Disasters: Some Implications for Crisis Planning and Managing Drawn from Katrina. Disaster Research Center (DRC) at the University of Delaware. Diakses di http://understandingkatrina.ssrc.org/Quarantelli/ [6] Michael K. Lindell dan Carla S. Prater. Hlm. 178. [7] Enrico L. Henry Quarantelli. (1991) Preliminary Paper 170: Sheltering and Housing After Major Community Disasters: Case Studies and General Conclusions. University of Delaware Disaster Research Centre. [8] Michael K. Lindell dan Carla S. Prater. Hlm. 178. [9] Ibid. Hlm. 180. unnamed

]]>

Kemerdekaan agama dan masyarakat Ahmadiyah: Suatu Tumpuan Kes

Kemeredekaan Kemerdekaan digunakan dalam makalah ini dengan merujuk erti yang diberi oleh Kamus Dewan (2000, halaman 883) iaitu ‘perihal bebas daripada penjajahan, kurungan, naungan’ dan ‘lepas daripada tebusan, tuntutan’ yang mana merdeka juga dimaknakan sebagai ‘berdiri sendiri’ dan ‘tidak bergantung pada yang lain’. Hari ini kemerdekaan beragama sering disalahertikan sebagai mengiktiraf kepercayaan atau kebenaran lain. Untuk penganut Islam, hal ini menjadi taboo kerana ia dikaitkan dengan keimanan. Mereka, umat Islam amat bimbang jika, sebagai contoh, mengiktiraf kesetaraan agama Hindu dan Islam. Mereka berpendapat hal ini boleh mengakibatkan kerosakan atau kecacatan akidah Islam. Dalam ruang hak asasi manusia sebenarnya, yang ‘merdeka’ adalah manusia, bukan agama atau kepercayaan itu. Itulah puncanya, kemerdekaan BERagama, diberi penekanan kepada imbuhan ‘Ber’. Ia juga bermaksud kemerdekaan BERagama bukan bermaksud kemerdekaan dari agama. Dari segi bahasa, awalan ber- mempunyai beberapa makna, antara lain: (a) mempunyai; berayah = mempunyai ayah atau beribu   = mempunyai ibu Oleh itu beragama adalah mempunyai agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mempunyai agama. (b) menggunakan; berpayung = menggunakan payung atau bertongkat = menggunakan tongkat Oleh itu beragama adalah menggunakan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk menggunakan agama, dalam hal ini misalnya untuk melakukan ritual atau ibadah. (c) mengeluarkan atau menghasilkan; berbunga = mengeluarkan bunga atau bertelur = menghasilkan telur Oleh itu beragama adalah menghasilkan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mengeluarkan agama dari dalam diri, dalam hal ini misalnya untuk menghasilkan produk berkaitan agama. (d) mengusahakan; bersawah = mengusahakan sawah atau berkedai = mengusahakan kedai Oleh itu beragama adalah mengusahakan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mengusaha atau membangunkan agama, dalam hal ini misalnya untuk memberdaya, atau memajukan agama. (e) mengucapkan; berdoa = mengucapkan doa atau berjanji = mengucapkan janji Oleh itu beragama adalah mengucapkan agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mengucapkan agama, dalam hal ini misalnya untuk melafaz ajaran agama. (f) menunjukkan sikap; berkasar = menunjukkan sikap kasar atau berlembut = menunjukkan sikap lembut Dalam hal ini beragama adalah menunjukkan sikap agama. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk memaparkan sikap agama masing-masing, dalam hal ini misalnya untuk menunjukkan sikap sesuatu agama dalam satu-satu isu. (g) dalam keadaan; bergembira = dalam keadaan gembira atau berduka = dalam keadaan duka Dalam hal ini beragama adalah merujuk kepada sifat agama itu sendiri. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mensifati agama masing-masing, dalam hal ini misalnya untuk menunjukkan sifat kasih-sayang agama dalam mendepani kebencian. (h) ada sesuatunya; berbahaya = ada bahayanya atau berduri = ada durinya Sekali lagi beragama penting untuk merujuk kepada kesesuatuan agama itu. Kemerdekaan beragama adalah kemerdekaan untuk mensesuatukan agama anutan masing-masing. Dalam hal ini beragama berperanan untuk menunjukkan manfaat dan ciri khas agama atau kepercayaan masing-masing. Kemerdekaan agama bukan persamaan semua agama Justeru, kemerdekaan beragama bukan lah bermaksud persamaan agama atau kepercayaan. Perihal ‘sama’ merujuk kepada sifat-sifat. Adalah mustahil semua agama ‘sama’. Konsep kemerdekaan BERagama meraikan kesetaraan BERagama. Setara dalam hal ini adalah setanding. Ini juga bermakna yang ditangani dan diuruskan di sini adalah manusia dan hak BERagama. Justeru, yang ditangani dan diuruskan bukan agama. Sebelum memahami kekangan yang dialami minoriti agama Ahmadiyyah, wajar difahami apakah yang dimaksudkan dengan agama menurut piawai antarabangsa. Definisi agama sangat luas meliputi kepercayaan, panduan baik dan buruk atau moral yang turut merangkumi kepercayaan yang bertuhan, yang tidak bertuhan dan tiada kepercayaan. Dalam sudut pandang hak asasi manusia, sesebuah kerajaan perlu mengiktiraf kemerdekaan agama dan kepercayaan. Sekiranya atas sesuatu alasan keagamaan atau ideologi, sesebuah kerajaan enggan mengiktiraf sesuatu ajaran itu sebagai agama, kerajaan masih bertanggungjawab untuk mengiktirafnya sebagai satu kepercayaan (belief). Sesebuah minoriti agama itu terikat oleh solidariti sesama mereka untuk mempertahankan budaya, tradisi, agama atau bahasa. Adakah pengikut sekte atau kultus tertentu juga ikut diiktiraf sebagai minoriti agama? Apakah bezanya Syiah sebagai satu sekte atau mazhab dengan Ahmadiyyah? Sekte dan kultus Sekte adalah satu pecahan atau kumpulan dalam agama atau tradisi sedia ada, yang menuntut dan mengikat pengikutnya dengan satu standard yang sesuai; eksklusif dari segi ‘keahlian’; yang mana ia berlainan dari kumpulan besar yang sedia ada; sekte juga mendakwa memiliki kebenaran berbanding kumpulan besar tersebut. Dalam hal ini Syafie, Hanafi, Maliki, Hanbali dan Ja’fari mengikat pengikutnya dengan satu standard fikah yang sesuai menurut masing-masing; bersifat eksklusif dan mempunyai pegangan hukum tersendiri. Dalam hal Syiah sebagai sebuah mazhab yang lebih umum, terdapat perbezaan-perbezaan mendasar yang antara lain adalah menerima kepimpinan Saidina Ali sebagai pengganti Rasulullah saw. Ahmadiyyah walaubagaimanapun mempunyai ciri-ciri sebuah kultus. Menurut Lawrence S Cunnibgham dan John Kelsay dalam buku mereka The Sacred Quest: An Invitation to the Study of Religion, tiga ciri sesebuah kultus adalah; i) ia diasaskan oleh seorang tokoh berkarisma yang mana kewibawaannya menjadi perhatian pengikutnya, dan juga di mana tokoh tersebut menjadi sumber untuk ajaran-ajaran kultus itu; ii) terdapatnya dakwaan pewahyuan daripada Tuhan yang memberi perspektif baharu kepada sesebuah tradisi atau agama sebelumnya, samada dalam bentuk merubah atau menyempurnakan agama atau tradisi tersebut; iii) kultus pada permulaannya, atau sepanjang kewujudannya dicurigai oleh komuniti dominan sedia ada dan kesan dakwaan pewahyuan tadi mengakibatkan terbitnya tuduhan sesat, atau menghina agama atau tradisi sedia ada. Pada 18 Jun 1975, kerajaan melalui Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengumumkan bahawa ajarah Ahmadiyah merupakan ajaran yang diharamkan dan bukan ajaran Islam. Ekoran dari itu Kerajaan Negeri Selangor melalui mesyuarat Jawatankuasa Undang-undang Fatwa Negeri Selangor pada 25 November 1975 turut mengharamkan ajaran Ahmadiyyah dan menetapkan pengikutnya sebagai bukan Islam. Lebih dua dekad kemudian, melalui pewartaan Fatwa Tentang Ajaran Ahmadiyah/Qadiani pada 24 September 1998, pengikut-pengikut Ahmadiyyah telah ditetapkan sebagai kafir. Kemudian pada 17 Ogos 2001, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah menggariskan secara lengkap hal-hal yang berkaitan dengan pengikut ajaran ini. Oleh kerana pengikut Ahmadiyyah telah dianggap bukan Islam maka terdapat beberapa implikasi berkaitan dengan undang-undang keluarga Islam yang perlu diberi perhatian. Kecaman dan penindasan Dalam hal ini, Azharudin Mohamed Dali, pengkaji dari Universiti Malaya dalam makalah beliau “Gerakan Ahmadiah (Qadiani) Di Malaysia: Satu Sorotan Sejarah” menjelaskan terdapat banyak hak-hak pengikut ini tergugur dengan sendirinya, khusus melibatkan hal nikah kahwin dan pewarisan apabila mereka dikafirkan: Ini termasuklah menjelaskan bahawa pengikut ajaran ini diistilahkan sebagai telah murtad atau keluar dari Islam hingga boleh membawa akibat sama ada dari hukum syarak mahupun sivil iaitu, perkahwinan orang tersebut boleh dibubarkan dengan pengesahan Mahkamah Syariah mengikut seksyen 46 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 1984. Orang tersebut tidak boleh menjadi wali dalam akad nikah anak perempuannya; orang tersebut tidak boleh mewarisi harta peninggalan kerabat kerabat Muslimnya; dan orang tersebut tidak berhak untuk mendapatkan apa-apa keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Negeri. Sekiranya hak-hak tersebut telah diberi, dinikmati atau diperolehi oleh orang tersebut, ia hendaklah terhenti dari berkuatkuasa dan bolehlah dilucut, ditarik balik dan dibatalkan, mengikut mana berkenaan, oleh pihak yang berkuasa yang berkaitan. Untuk bersikap adil, perlu dinyatakan di sini yang makalah tulisan Azharudin Mohamed Dali di atas agak sendeng untuk mensesat dan menidakkan keIslaman pengikut Ahmadiyyah. Pakar perlembagaan Profesor Shad Saleem Faruqi menegaskan sebagai ‘bukan Islam’, pengikut ajaran ini masih perlu dilindungi hak-hak kemerdekaan beragama mereka: “Every religion has its own jurisdiction to ‘excommunicate’ deviant followers, but in this case [Ahmadiyah] it should be a matter of last resort since the implications are devastating…as the law was concerned, the Ahmadiyya should enjoy constitutional protection for their freedom of religion if they are considered non-Muslims. But if they want to declare themselves Muslim and follow their version of the faith, then the superior courts will defer to the syariah courts.” Oleh kerana makalah ini bukan berpusat dalam bidang teologi dan hanya berminat membincangkan isu kemerdekaan beragama, maka benar atau sesatnya kelompok Ahmadiyyah diketepikan di sini. Makalah ingin menghujahkan kedudukan pengikut Ahmadiyyah yang mengalami diskriminasi dan pelanggaran hak asasi manusia. Sebagai ‘bukan Islam’, minoriti agama Ahmadiyyah masih kerap menerima gangguan walaupun tidak sekerap dan sekeras yang dialami oleh minoriti Syiah. Sebagai contoh, Jabatan Agama Islam Selangor telah mengeluarkan notis larangan mengerjakan sembahyang Jumaat di Baitussalam berlokasi 11A, Jalan Nakhoda Kanan, Kampung Nakhoda. Surat bertarikh 24 April 2009 ini mendorong pengikut Ahmadiyyah menyewa sebuah ruang kedai di nombor 16-2, Dolomite Park Avenue di Jalan Batu Caves untuk mengerjakan sembahyang Jumaat. Pada 11 April 2014, satu serbuan telah dilakukan yang menyebabkan 37 orang dimuatkan dalam sebuah lori untuk disiasat dan ditahan di Shah Alam. Salah seorang dari mereka, iaitu Encik Ainul Yakin Muhammad Zain telah diminta hadir ke mahkamah syariah pada 23 Oktober 2014. Hal ini ternyata mengelirukan memandangkan secara fatwa, beliau bukanlah seorang Islam. Ini bukanlah kali pertama beliau ditahan Jabatan Agama, pada 17 April 2009, beliau diundang memberi ceramah agama di Masjid Othmaniah Perlis. Dalam majlis tersebut, beliau telah ditahan dan kemudian dilokapkan selama 3 hari tanpa diberitahu sebab-musabab beliau ditahan. Masyarakat Ahmadiyah harus dipertahankan Kes yang melibatkan minoriti Ahmadiyyah menunjukkan kedudukan minoriti agama di Malaysia mengalami gangguan kemerdekaan beragama yang serius. Meskipun jumlah pengikut Ahmadiyyah adalah kecil di negara ini tetapi hak-hak kemerdekaan beragama untuk mereka mestilah diberikan dan tidak dientengkan. Mereka malah dinafikan sebagai seorang Islam dan kehilangan status dalam masyarakat. Kemerdekaan beragama adalah komponen paling utama dalam mencapai kebahagiaan dan kerukunan dalam masyarakat. Oleh kerana itu, perlu difahami yang kesejahteraan rakyat tidak selalunya identik dengan kemakmuran negara. Kesejahteraan orang kecil tidak dapat dicapai jika bahagian masyarakat yang paling dominan melakukan pemomokan dan pembulian terhadap kumpulan kecil. Pemomokan adalah satu bentuk untuk meminggir dan meninggalkan bahagian yang ada dalam masyarakat; tentu ia bukan gagasan yang ingin diutarakan oleh pemerintah. Pemomokan dan pembulian terhadap komuniti agama tertentu di Malaysia memberi gambaran sistem yang ada di Malaysia adalah pincang. Pemomokan ialah apabila berlaku empat perkara; iaitu ketika i) ahli masyarakat yang dominan bertindak membeza dan melabel kumpulan tertentu; ii) pelabelan ini, dalam konteks ini adalah minoriti agama, ditanggapi sebagai ‘sesuatu yang tidak dikehendaki’; iii) seterusnya pihak atau sasaran yang dilabel mengalami pengasingan; iv) dan pengasingan itu, membawa kepada pihak yang dilabel kehilangan status dalam masyarakat secara tidak adil. Apa yang dialami oleh minoriti Ahmadiyyah setelah dilabel sesat dan kafir ternyata menjurus kepada pengasingan sehingga mereka kehilangan status dan hak yang mesti. Untuk membaiki keadaan ini kerajaan perlu segera menandatangani International Covenant on Civil and Political Rights dan menyertai masyarakat antarabangsa. Hal ini sangat mendesak apatah lagi Malaysia kini adalah anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. unnamed

]]>

…tetapi Nancy, apakah Hak Asasi ala Malaysia?

Beliau menegaskan Malaysia mempunyai etnik-etnik yang berbeza merangkumi Semenanjung dan Sabah dan Sarawak, justeru, aspek pemikiran dan budaya rakyat negara ini harus diambil kira. Selama beberapa dekad kumpulan relativis budaya telah dan akan terus menggunakan hujah, yang sama digunakan oleh Nancy di atas untuk membolehkan penganiayaan hak asasi manusia terus berjalan. Mereka berselindung di sebalik, budaya ketimuran dan agama untuk terus melanggar hak asasi minoriti dan warga awam. Ia berlaku di Myanmar sebagai contoh. Anda fikir mengapa kaum Rohingya diusir dan dibunuh? Kerana Myanmar ada acuan hak asasi manusia mereka yang sendiri. Mereka memanggilnya ‘acuan Myanmar’. Itu sahaja. Anda fikir mengapa penghuni Gaza dibunuh dan dibom sesuka hati? Kerana regim Zionis ada acuan hak asasi manusia mereka yang sendiri. Mungkin mereka memanggilnya ‘acuan Yahudi’. Ya, jika tidak dibiarkan melarat, kita akan ada puluh, ratus, ribu malah juta set hak asasi manusia. Begitukah Nancy? Apa itu hak?  Pertamanya Nancy, hak asasi manusia dalam dua kata adalah ‘Maruah’ dan ‘Hormat’. Justeru, mereka yang mempertahankan hak asasi manusia adalah mereka yang berhasrat untuk mempertahankan maruah, dan menghormati diri dan orang lain. Ini termasuklah anda sendiri. Keduanya Nancy, kerangka hak asasi manusia Barat yang digubal oleh United Nations pada tahun 1948 ingin mempertahankan nasib dan kedudukan “semua” manusia. Itu adalah persoalan pertamanya, iaitu hak asasi “semua”, ya “semua” manusia. Justeru, kerangka ini menjadikan taraf manusia itu di kedudukan pertama. Sementara perihal agama, warna kulit, gender, atau kecenderungan seksual sebagai hal kedua. Jika kita meletakkan Islam sebagai kedudukan pertama di Malaysia, mengatasi “manusia”, maka janganlah merungut jika Buddha diletakkan sebagai kedudukan pertama di Myanmar, mengatasi “manusia”. Kerana jelas, orang Rohingya tidak dianggap sebagai manusia pun di Myanmar. Jika Nancy memahami ini, beliau akan dapat membezakan seorang manusia sebagai ‘person’ atau pelaku dengan ‘behaviour’ atau tingkah laku. Ketiganya, Nancy, hak asasi manusia bukanlah untuk mempromosi persamaan. Anda tidak harus tersilap tentang itu. Bahkan hak asasi manusia bertujuan untuk mengiktiraf dan melindungi tiap perbezaan antara kita semua. Justeru Nancy, hak asasi manusia adalah persamaan dalam bentuk layanan atau ‘uniformity in treatment or status’ oleh mereka yang berada dalam satu kedudukan yang boleh mempengaruhi atau memberi kesan kepada mereka yang lain. Dalam negara demokrasi, kerajaan bertanggungjawab memberikan hak-hak ini kepada kaum minoriti. Jika tunjang ini pun gagal diberikan, maka Nancy, yang ada bukanlah demokrasi tetapi fasisme. Tahukah Nancy mengapakah hak kesetaraan perlu diperjuang, direbut, diperolehi, dituntut oleh mereka yang tidak bernasib baik daripada yang bernasib baik atau ‘the  right to equality often must be coerced from the advantaged by the disadvantaged’ ini ya? Nancy mesti berfikir dengan keras. Pandangan Cultural Relativists seperti Nancy dan penggubal lain dalam pasukan National Human Rights Action Plan (NHRAP) mengenai hak asasi manusia secara am merupakan salah satu ganjalan yang menyulitkan keamanan di seluruh dunia ini tercapai. Mereka menggunakan alasan agama. Dalam hal ini, Islam adalah agama yang mesti diberi perhatian khusus. Kumpulan Islamis seperti Sham Rahayu, dan Nancy, akan sering menghujahkan Islam mempunyai kerangka hak asasi manusia yang berbeza dan lebih istimewa. Hujah ini tentunya sudah agak lapuk Nancy. Tidak Nancy. Anda ketinggalan. Benar, sebagai satu alternatif kepada UDHR 1948, negara-negara Islam telah menggubal  Deklarasi Cairo Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam 1990. Deklarasi Cairo ini adalah rentetan dari Report of the Meeting of the Committee of Legal Experts yang diadakan di Tehran, Republik Islam Iran pada 26 sehingga 28 Disember 1989. Dalam erti kata lain Nancy, mesyuarat peringkat rendah OIC untuk Deklarasi Cairo tersebut bermula dan digerakkan oleh Iran, sebuah negara yang mazhab rasminya Syiah. Adakah Nancy dan NHRAP kini bersedia menerima Syiah sebagai salah satu mazhab yang diiktiraf di negara ini, seperti mana yang dilakukan oleh OIC dalam Islamabad Declaration 2006 dan ditandatangani oleh Malaysia itu? Inikah hak asasi manusia ala Malaysia yang dimaksudkan olehmu Nancy? Apa beza acuan Malaysia dan acuan Israel jika begitu? Okay, marah? Kita turunkan sedikit tahapnya, apakah beza acuan Malaysia dan acuan Myanmar jika demikian? Nancy, berhak mengetahui bahawa ketika Universal Declaration of Human Rights dikemukakan pada tahun 1948, salah sebuah negara umat Islam yang sudah menyertai United Nations dan tidak membantah deklarasi tersebut adalah Arab Saudi. Adakah Malaysia ingin menjadi lebih Islami berbanding Arab Saudi? Selain Deklarasi Cairo Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam 1990, kelompok Cultural Relativists seperti Nancy dan juak-juaknya turut cuba membentuk acuan hak asasi manusia tersendiri yang bersifat oriental (dengan mengambil kira Universal Declaration of Human Rights adalah mengikut acuan Barat). Sebagai contoh, negara-negara ASEAN berusaha memiliki deklarasi hak asasi manusia yang tersendiri. Dalam tahun 2012, negara-negara ASEAN memilih untuk mempunyai dan menandatangani satu deklarasi yang dinamai ASEAN Declaration of Human Rights (selepas ini ASEAN Declaration). Malaysia tatkala itu diwakili oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Nancy, United Nations telah mengkritik ASEAN Declaration tersebut sebagai mengandungi kekaburan dengan terma-terma seperti ‘legitimate restrictions’, ‘morality’, atau ‘public order’ dan ‘national security’ yang terbuka kepada pelbagai penafsiran menurut selera masing-masing. Penafsiran menurut selera inilah yang berbahaya. Penafsiran menurut selera inilah yang akan dimanipulasi oleh regim pemerintah untuk  mengehad bahkan mencabul hak asasi manusia. Itulah yang akan dilakukan oleh National Human Rights Action Plan (NHRAP) apabila kononnya acuan Malaysia akan digunakan untuk mendukung hak asasi manusia. Untuk makluman Nancy dan anggota NHRA, apa kerangka dan apa acuan hak asasi manusia sekalipun boleh digunakan, acuan Melayu, India, Cina, Kadazan, Bugis, Eropah, Islam, Buddha, Hindu, apa sahaja. Tiada siapa yang peduli; asalkan Nancy, asalkan ‘maruah’ dan ‘hormat’ dapat ditegakkan. Jika acuan Malaysia yang disarankan itu hanya untuk melindungi kaum elit, kapitalis dan yang berkepentingan maka mengapakah acuan Malaysia itu harus disokong dan diterima pakai oleh orang awam? Beri jawapan yang konkrit Nancy. Sekarang! Jika Nancy, dan ‘sekumpulan penyelidik’ ingin menggunakan ‘acuan timur’ dan ‘acuan agama’ hanya untuk menafi, membuli dan mengabaikan ‘maruah’ dan ‘hormat’ kaum minoriti, maka tujuan asas hak asasi manusia tidak akan dapat ditegakkan. Malah akan dicemuh dan ditolak mentah. Acuan inilah yang digunakan oleh Myanmar untuk menafikan hak Rohingya. Kalian tidak mengasihani nasib Rohingya? Beginilah Nancy, apa kata kita kembali semula ke kerangka hak asasi manusia 1948, Malaysia adalah anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bukan? Kami keliru, ya atau tidak? Adakah negara kita ini moderat atau tidak? Menurut kerangka hak asasi manusia yang digubal di Barat pada tahun 1948 itu, hak asasi manusia terbina berasaskan tiga tunjang moral iaitu kebebasan, persamaan dan maruah manusia; ‘human rights are undeniably based upon an appeal to three moral ideals; freedom, equality and human dignity’ (Andrew Fagan, 2011: 3). Oleh kerana definisi hak asasi manusia menurut kaca mata Barat itu memelihara dan mengiktiraf hak setiap individu iaitu kebebasan, persamaan dan maruahnya, maka ya, ia benar-benar diperlukan malah didambai oleh setiap individu yang waras. Apakah yang ditawarkan oleh kerangka hak asasi manusia Malaysia ini Nancy? Mestikah rakyat menerima kepalsuan dengan pakej baru ini lagi? Adakah ia sejenis lagi perhambaan supaya manusia dipasung kaum elitis, kapitalis dan mereka yang berkepentingan? Nancy, mesti berfikir dengan keras. Untuk itu Nancy mesti belajar berdialog.  Dialog itu Nancy adalah apabila dua laluan dibuka, ia bermula dengan sifar dan bukan dengan satu kumpulan lain, kumpulan anda, Sham Rahayu dan lain-lain telah pun menskor markah pertama. Itu bukan dialog. Itu bukan keadilan. Dialog mestilah benar-benar meletakkan diri di meja rundingan dengan saksama dan kesetaraan. Nah lihat Nancy, itu sendiri sudah pelanggaran satu hak. Bagaimana kalian mahu melakukan ini? Apa kata kami mencadangkannya begini;  apa kata kita padamkan acara perundingan National Human Rights Action Plan (NHRAP) bersama masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan 13 November 2014 yang lepas. Kita mulakan yang baru. Yang tidak bias, dan benar-benar ‘berunding’? Yang tidak ada ketetapan sebelum bermulanya dialog. Boleh Nancy? Bolehkah begitu? Nancy, mesti berfikir dengan keras. unnamed

]]>

10 perkara Muharam dan Asyura: Memahami penganut Syiah dan Dawoodi Bohra tempatan

1. Mengapakah penganut Syiah Imamiyyah dan Dawoodi Bohra berkabung di bulan Muharam, khusus pada sepuluh hari pertama bulan tersebut? Syiah Imamiyyah dan Dawoodi Bohra menerima Saidina Ali sebagai pemimpin politik dan spiritual mereka sesudah kewafatan Rasulullah saw. Mereka berpandangan peristiwa di Ghadir Khum yang mana Nabi Muhammad saw memilih Saidina Ali sebagai pengganti tidak dapat dipertikaikan lagi. Setelah Saidina Ali, kepimpinan itu berterusan kepada Saidina Hasan dan kemudiannya Saidina Husin, iaitu cucu Rasulullah. Justeru peristiwa pembunuhan Saidina Husin, keluarga dan sahabat-sahabatnya di padang pasir Karbala dianggap satu tragedi yang menyayat hati. Mereka percaya ia bukan sahaja satu insiden pembunuhan. Tetapi ia juga adalah satu ‘aggression’ politik yang terancang daripada musuh kem ahlul bait (keluarga Rasulullah saw) untuk menghapuskan ajaran Islam yang sejati. Islam sejati menurut mereka berpihak kepada kaum tertindas, orang miskin, kaum murbawan, wanita, dan menjaga hak-hak manusia lainnya. Oleh kerana itu, peristiwa ashura disambut dengan penuh simbolik, satu bentuk perkabungan sekaligus satu penyataan politik mempertahankan hak dan menentang penindasan serta penganiayaan. Mereka percaya, dengan mengenang kejadian ini, ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw, dan ahli keluarganya (dalam konteks ini Saidina Husin) akan diteruskan. 2. Apakah tradisi menyambut Muharam ini sesuatu yang baharu di negara kita? Tidak sama sekali. Misalnya penganut Dawoodi Bohra memperkenalkan ‘bohria’ satu persembahan perkabungan ketika era penjajahan Inggeris. Hari ini ‘bohria’ telah kehilangan fungsi asalnya. [caption id="attachment_4126" align="aligncenter" width="610"]Asal boria dari komuniti Bohra, di sini satu persembahan bohria yang diadakan di Mumbai, India. Asal boria dari komuniti Bohra, di sini satu persembahan bohria yang diadakan di Mumbai, India.[/caption] Sementara komuniti Syiah yang lain, membaca Hikayat Muhammad Hanafiyyah, Hikayat Hasan dan Husin, dan Nazam Ratap Fatimah ketika Muharam. Mereka juga menarikan dabus. Namun demikian, seperti mana perkembangan sastera tanahair, sastera klasik Islam ini ditinggalkan kerana pengaruh sastera moden. Setelah Revolusi Islam Iran, mereka lebih banyak meminjam latmiyyat (atau lagu-lagu sedih Parsi dan Hindi) dan menjadikan ia saduran dalam bahasa Melayu. Terdapat banyak bukti perkabungan Muharam di negara ini. Malahan, penganut Syiah direkodkan melakukan perkabungan di khayalak ramai, seperti mana yang pernah dilihat oleh tentera Jepun ketika musim Perang Dunia Kedua di negeri-negeri Selat, khususnya Singapura dan Pulau Pinang pada waktu itu. Oleh kerana sikap masyarakat terhadap mereka sangat tidak mesra kemudiannya, mereka kini memilih untuk melakukannya secara tertutup dan hanya mengundang ahli komuniti mereka. Saya telah menulis artikel akademik yang panjang darihal ini. 3. Apakah penganut Syiah di Malaysia melakukan qama zani (pukulan berdarah di badan) seperti yang diwar-warkan dan tersebar di internet? Penganut Dawoodi Bohra tidak melakukannya. Sementara itu, kebanyakan penganut Syiah Imamiyyah di Malaysia adalah pengikut Ayatullah Sayyid Ali Khamenei. Mereka memanggil Sayyid Ali Khamenei sebagai marja’. Dalam struktur Syiah, marja’ atau rujukan mempunyai autoriti fikah. Seperti mana masyarakat Sunni di Malaysia mengikut fatwa atau doktrin yang dikemukakan oleh Imam Syafie. Hanya, masyarakat Syiah percaya, mereka perlu merujuk kepada orang alim yang masih hidup dan kontemporari. Ulama tersebut, Ayatullah Ali Khamenei telah mengharamkan qama zani sejak lama dahulu. Jika ada penganut Syiah di negara ini yang melakukan qama zani, ada kemungkinan mereka bukanlah tergolong dalam dua kelompok ini, dan mungkin tergolong dalam kumpulan Syiah yang lebih kecil pecahannya. [caption id="attachment_4128" align="aligncenter" width="599"]Masyarakat Syiah di Malaysia tidak melakukan qama zani kerana terdapat fatwa dari marja' mereka yang melarang melakukannya Masyarakat Syiah di Malaysia tidak melakukan qama zani kerana terdapat fatwa dari marja’ mereka yang melarang melakukannya[/caption] 4. Jadi apakah yang mereka lakukan untuk menggantikan qama zani? Mereka tidak perlu melakukan apa-apa. Asyura adalah hari perkabungan. Mereka akan melakukan seperti mana orang sedang berkabung. Syiah di Turki telah memperkenalkan satu budaya yang murni iaitu menderma darah pada hari asyura. Pendekatan ini mulai dilakukan oleh penganut Syiah di Malaysia juga. Kebiasaannya mereka memukul dada dengan perlahan sebagai mengenang peristiwa menyedihkan tersebut. Di sesetengah tempat terdapat di negara ini, ketika memukul dada itu terdapat semacam satu gerakan yang menghampiri tarian dabus. Ini adalah budaya Syiah, dan tidak semua penganut Syiah melakukannya. 5. Mengapakah suka berpakaian hitam ketika bulan Muharam? Mazhab Syiah adalah sebuah mazhab yang banyak berkomunikasi dengan penganutnya dengan simbol. Sebagai mazhab yang sering ditindas, mereka menjadikan simbol atau lambang sebagai sesuatu yang penting dalam komunikasi mereka dengan masyarakat. Permainan warna adalah salah satu bahagian dari simbol yang dinyatakan. 6. Mengapakah penganut Syiah Imamiyyah dan Dawoodi Bohra menangis ketika perayaan ashura? Saya difahamkan, ‘acara menangis’ ini pertama kali dilakukan oleh Sayyidah Zainab, saudara perempuan Saidina Husin setelah berlakunya peristiwa Karbala. Beliau menangis sepanjang perjalanan dari Karbala ke Syria. Tangisan beliau selaku cucu Nabi Muhammad saw sangat mengharukan dan menukar menjadi gelombang kebangkitan atau bantahan yang besar. Penganut Syiah menganggap tangisan adalah suatu mesej politik. Ini misalnya dilakukan oleh Nabi Yaakub ekoran kehilangan anaknya, Nabi Yusuf. Sumber di dalam al-Quran adalah Allah SWT berfirman, terjemahannya: “Dan Yaakub berpaling dari mereka (anak-anaknya) seraya berkata: “Aduhai duka citaku terhadap Yusuf,’ dan kedua matanya menjadi putih (buta) kerana kesedihan dan dia adalah seorang yang menahan amarahnya (terhadap anak-anaknya). Mereka berkata: “Demi Allah, sentiasa kamu mengingat Yusuf, sehingga kamu menghidap penyakit yang berat atau termasuk orang yang binasa.” Yaakub menjawab: “Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tiada mengetahuinya.” (Q. Yusuf: 84-86). Secara rasionalnya, satu kenangan yang menyedihkan seperti Karbala akan ditangisi. 7. Bagaimana kita boleh menghormati penganut Syiah ketika bulan Muharam? Ini adalah sesuatu yang unik pada saya. Mereka sedang berkabung. Bagaimana kita menghormati saudara kita yang sedang berkabung dan bersedih, begitulah sikap kita terhadap mereka. Sudah tiba masanya kita berdialog dengan mereka untuk memahami cara hidup mereka. 8. Apakah mereka bimbang diganggu oleh pihak berkuasa agama pada bulan Muharam? Saya fikir, mereka tentu khuatir; tetapi sudah lali. Nasib komuniti Syiah Imamiyyah dan Dawoodi Bohra dalam pengetahuan pejabat United Nation di Geneva, Switzerland. [caption id="attachment_4127" align="aligncenter" width="1024"]Pemimpin masyarakat Dawoodi Bohra sedunia menziarahi makam Saidina Husin di Karbala. Pemimpin masyarakat Dawoodi Bohra sedunia menziarahi makam Saidina Husin di Karbala.[/caption] Malaysia menerima teguran dari pejabat Special Rapporteur on freedom of religion or belief UN sebanyak dua kali tahun ini mengenai kes masyarakat Syiah. Akan tetapi, dengan keadaan ramainya orang Melayu menjadi militan dan berjuang di Timur Tengah, saya berpandangan, mereka lebih bimbangkan keselamatan diri, dan keluarga, serta masyarakat mereka dari ancaman musuh dalaman. Pihak berkuasa keselamatan dan pegawai jabatan agama sepatutnya melindungi mereka, kerana mereka adalah warga negara Malaysia yang berhak dan dijamin mendapat perlindungan. Untuk komuniti Syiah Bohra, mereka telah diiktiraf sebagai masyarakat Islam, bukan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pada tahun 1983. Mereka menerima pengiktirafan kedua dalam tahun 2000. Justeru tidak ada pertikaian mengenai kedudukan Bohra di sini. 9. Apakah buku yang boleh kita baca untuk memahami upacara perkabungan Muharam dan falsafahnya? Saya berpendapat buku Shi’ism:  A Religion of Protest, oleh Hamid Dabashi; Shiʻism: Doctrines, Thought, And Spirituality oleh Vali Nasr, Seyyed Hossein Nasr, Hamid Dabashi dan buku The Ashura Uprising oleh Imam Khomeini dapat memahamkan orang luar apa yang mereka sambut, atau kabungkan ketika Muharam. 10. Apakah langkah yang wajar untuk kita membela penganut Syiah di negara ini? Malaysia adalah anggota keselamatan Majlis Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, adalah wajar kita mencontohi langkah yang diambil oleh Indonesia di bawah  Menteri Agama, Lukman Hakim Saifuddin yang akan membentangkan satu akta untuk melindungi minoriti agama. Indonesia adalah negara terbesar Ahlus sunnah wal jamaah dan bermazhab Syafie. Ternyata Indonesia sangat ke hadapan dan kita masih terkebelakang dalam hal melindungi hak asasi kaum minoriti agama. Padahal  sudah dua kali Perdana Menteri Malaysia memberi isyarat yang minoriti Syiah mesti dilindungi hak-hak mereka. Sekali ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hadir di majlis berbuka puasa bersama rakyat Selangor di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam pada 10 Julai 2014 lalu. Beliau berkata: “Saya gunakan analogi mudah tentang orang Syiah dan Sunni ibarat kita berada atas landasan lebuh raya yang sama, destinasi sama, yang berbeza cuma kita dalam laluan lain… selagi kita tak tukar laluan untuk menolak orang lain sehingga berlaku kemalangan, maka kita akan sampai ke destinasi dengan selamat.” Kali kedua, Perdana Menteri menyatakan hal yang hampir sama ketika berucap di hadapan dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, di New York sesi 68. Saya tidak fikir Malaysia ingin melangkah ke belakang, tentulah Datuk Seri Najib mahu setanding dengan Jokowi.   Faisal Tehrani banyak melakukan kajian mengenai masyarakat Syiah di Asia Tenggara. Antara penerbitan beliau yang penting tentang subjek ini adalah, The Malaysian Shi‘a: A Preliminary Study of Their History, Oppression, and Denied Rights (2013, Journal of Shi‘a Islamic Studies), dan The Axiology of Pilgrimage: The Malaysian Shi’ites Ziyarat to Iran and Iraq (2013, International Journal of Philosophy of Culture and Axiology). Novel beliau Perempuan Nan Bercinta diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri pada tahun 2014, dengan alasan menggambarkan cara hidup masyarakat Syiah di negara ini. Beliau dilantik oleh Shia Rights Watch yang berpangkalan di Washington DC untuk memantau pelanggaran hak asasi manusia yang melibatkan komuniti Syiah di rantau Asia Tenggara pada tahun 2013. unnamed

]]>

Bila Cina bertutur Bahasa Arab

“Persepsi bahawa bahasa kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan merupakan tanggapan yang meleset.” Sebenarnya, selepas lima tahun berjalan, ramai tidak tahu bulan ini bulan bahasa kebangsaan. Malah ramai yang kini merasakan bulan Oktober adalah bulan arak. Tahun ini, bulan bahasa Kebangsaan meliputi tiga bulan – September, Oktober dan November. Namun begitu ramai yang tidak menyedari. Justeru usaha kerajaan tadi bolehlah dianggap kurang berkesan. Malah meleset. Perhatikan juga, tidak ramai menteri yang menyambut usaha dan upaya Timbalan Perdana Menteri untuk memartabatkan bahasa kebangsaan ini. Kalau bertutur, mereka lebih selesa berbahasa Inggeris, termasuklah ‘yang satu itu’. Rasa semacam Tan Sri Muhyiddin bekerja seorang diri dalam menyemarakkan bahasa Melayu. Di Malaysia, oleh sebab kita mempunyai berbilang bangsa, demi menjamin hak-hak bahasa ibunda, bahasa lain dibenarkan untuk ditutur, diwarisi dan disemarakkan. Fasal 152, Perlembagaan Persektutuan Tanah Melayu 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963, disebutkan bahawa, ‘bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu dan akan kekal seperti itu seperti yang diperuntukkan oleh Parlimen, dengan bahawa (a) tidak ada seseorang pun yang akan dihalang dari menggunakan (kecuali hal-hal rasmi), atau mengajar atau mempelajari bahasa-bahasa lain dan (b) tidak ada sebarang peruntukan dalam fasal ini yang boleh mengganggu hak kerajaan Persekutuan atau sebarang kerajaan negeri untuk memelihara dan memperkembangkan penggunaan dan pengkajian bahasa komuniti lain.’ Walau bagaimanapun bahasa kebangsaan iaitu bahasa rasmi negara ini mestilah benar-benar dikuasai oleh rakyat. Apa yang mengecewakan adalah terdapatnya sebahagian ahli parlimen, selaku pemimpin masyarakat tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dan terkial-kial untuk mengemaskini status facebook di dalam bahasa ini. Bukan itu sahaja, mereka tidak dapat ‘bermain’ di parlimen sebaiknya kerana kurang mampu berbahasa Melayu. Hal ini merupakan sesuatu yang mesti diatasi jika aspirasi Malaysia yang dicintai ingin dicapai menjelang 2020. Profesor Datin Paduka Datuk Dr. Hajah Ramlah Adam, Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Mohd Kasturi Nor Abd Aziz, Felo Penyelidik PKIRM, UniMAP pernah menyatakan dalam satu kertas kerja mereka berjudul ‘Pendaulatan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan Dan Bahasa Ilmu Di Malaysia: Sejarah Dan Kedudukan Masa Kini’ bahawa UMNO sepatutnya dipersalahkan dalam hal ini. Mereka menulis, dipetik; ‘Ketidaktegasan UMNO/Parti Perikatan untuk memutuskan soal bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercatat jelas dalam Testament Amanah Politik Perikatan 1956. Silap dan salah UMNO itu berterusan apabila sebagai parti yang memerintah, UMNO di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad telah memperkenalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003. Pada tahun 2013, polisi ini telah ditarik semula setelah pelbagai kajian menunjukkan pelajar pedalaman berada dalam keadaan ketinggalan. Sekali lagi Ramlah Adam dan Mohd Kasturi Nor Abd Aziz menyalahkan kerajaan; ‘Pencapaian pelajar luar bandar yang semakin merosot dalam kedua-dua mata pelajaran itu dalam setiap peperiksaan kebangsaan, bantahan badan bukan kerajaan serta persatuan guru-guru dan dapatan kajian-kajian akedemik dan bukan akademik yang negatif telah mendorong penarikan semula dasar itu.’ Semalam, ketika merewang di Sungei Wang untuk membelanjakan wang yang ada dalam poket,  saya terserempak dengan seorang peniaga menjual barang mainan, berbangsa Cina dan boleh bertutur dalam bahasa Arab meskipun berkarat dan tidaklah fasih. Cukup dan memadailah bahasa Arab beliau itu untuk meraih minat seorang pelancong Arab yang bertubuh besar dan berjanggut panjang untuk membelikan anaknya helikopter dengan alat kawalannya sekali. Setelah urus-niaga berjalan, saya pun bertanya kepada peniaga Cina tersebut bagaimana beliau boleh berbahasa Arab? Siapa yang mengajar? Susahkah mempelajarinya? Beliau mendedahkan, ya, bukanlah rahsia, kerana wang semuanya jadi. Oleh kerana bahasa Arab sudah menjadi semacam bahasa yang penting untuk peniaga Cina itu berniaga maka dia harus boleh bercakap sepatah dua. Peniaga Cina itu memberitahu saya, ‘yang dia tak pandai berbahasa Melayu’ kerana sekolah tidak tinggi. Beberapa tahun lalu saya pernah ke Beijing, di sebuah pusat membeli belah peniaga Cina tersebut boleh berbahasa Melayu, membilang angka dalam bahasa kebangsaan dengan baik sedangkan beliau bukan Cina dari Malaysia, bukan pula ahli parlimen (katakanlah dari DAP); beliau hanyalah peniaga langsir. Akan tetapi kerana ramainya pengunjung Melayu, mak cik-pak cik yang ditaja oleh Ketua Bahagian untuk jalan-jalan membeli belah di Beijing, mereka yakni peniaga Cina tersebut dengan sendiri berinisiatif untuk berbahasa Melayu. Contoh klasik ialah peniaga Arab, Afghan dan Bangladesh di kota suci Mekah dan Madinah yang fasih berbahasa Melayu. Sebab apa? Sebab bahasa Melayu adalah bahasa jual beli dengan jemaah kita yang terkenal kaki joli. Bahasa Melayu kalau hendak jadi bahasa kebangsaan yang gagah dan bermartabat, haruslah diberikan sisi komersialismenya. Jadikan ia bahasa perniagaan, bahasa jual-beli seperti mana di zaman Kesultanan Melayu Melaka lama dahulu. Bukan sahaja bulan bahasa akan menjadi laku; kedudukan aktiviti kebahasaan dan persuratan tanpa payah dibulankan dengan sendiri akan rancak bersemarak. Orang akan mencari sendiri karya sastera kita, orang akan meluru membaca khazanah tradisi kita dalam bahasa Melayu. Bahasa kita akan dipandang bermaruah di mata dunia, di mata ‘1Dunia’. Soalnya, adakah komitmen politik sejauh itu? Seperti yang dinyatakan di atas, sudah terang lagi bersuluh. Maka tidak hairanlah Oktober sebagai bulan bahasa kebangsaan tidak dikenal orang. Bahkan kini Oktober lebih dikenal sebagai ‘bulan mabuk’. Semua gara-gara kebingungan dan salah prioriti.

]]>

Manual untuk tentukan siapa kafir

Kafir Justeru apakah kafir? Watak Hashemi dalam novelku itu membalas; “Kehilangan iman itu sendiri.” Protagonis novel kemudiannya menghuraikan bahawa kata kafir, yang masyhur digunakan untuk membezakan ketinggian seseorang muslim itu ketimbang non muslim, boleh ditemukan dalam al-Quran paling kurang 252 kali. Benar, Islam melarang manusia menjadi kafir, tetapi Islam tidak juga memaksa seseorang untuk beriman. Demikian hak manusia dipelihara, hak untuk beriman digalakkan tetapi hak menjadi kafir juga dihormati. Walaupun demikian, apakah definisi kafir menurut al-Quran? Ini memandangkan al Quran menyebut berkali-kali pengertian kafir. Pada ayat 6 surah al-Baqarah, Allah berfirman maksudnya; ‘Sesungguhnya orang-orang kafir (yang tidak akan beriman), sama sahaja kepada mereka: sama ada engkau beri amaran kepadanya atau engkau tidak beri amaran, mereka tidak akan beriman’. Ini menunjukkan kata kafir itu dipadankan dengan kata sifat pengkhianatan. Lihat juga ayat 38 surah al-Hajj; ‘Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur’. Selain itu kata sifat tidak setia dikaitkan dengan kekafiran pada ayat 32 surah Luqman; ‘Dan (orang-orang yang tidak bersifat demikian) apabila mereka dirempuh serta diliputi oleh ombak yang besar seperti kelompok-kelompok awan menyerkup, pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata. Kemudian bila sahaja Allah menyelamatkan mereka ke darat maka sebahagian sahaja di antara mereka yang bersikap adil (lalu bersyukur kepada Allah serta mengesakanNya). Dan sememangnya tiada yang mengingkari bukti-bukti kemurahan Kami melainkan tiap-tiap orang yang bersifat pemungkir janji, lagi amat tidak mengenang budi’. Sementara kata sifat pendusta dihubungkan pula dengan kata kafir pada surah az-Zumar ayat 3; ‘Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik). Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung dan penolong (sambil berkata): “Kami tidak menyembah atau memujanya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”, – sesungguhnya Allah akan menghukum di antara mereka (dengan orang-orang yang tidak melakukan syirik) tentang apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang bukan-bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik)’. Sifat degil turut dihubungkan dengan orang kafir pada surah Qaf ayat 24; ‘(Setelah tiap-tiap orang dibicarakan, Allah berfirman kepada kedua malaikat yang menjadi pembawa dan saksi itu): “Humbankanlah oleh kamu berdua, ke dalam neraka Jahannam tiap-tiap orang yang tetap degil dalam kekufurannya.’ Sementara pula kegiatan atau kerja maksiat dihubungkan dengan kafir pada ayat 27 surah Nuh; ‘Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya merekaakan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar’. Akhlak Jelas sekali, Islam menghubungkan orang kafir itu dengan perbuatan tercela sementara orang beriman pula ditandai dengan akhlak terpuji. Saya berpandangan tingkatan akhlak adalah lebih mustahak berbanding soal ukuran keimanan yang difahami masyarakat dewasa ini. Pemerian di awal ini secara terang memaknakan bidalan Melayu yang disebut oleh Tenas Effendy dalam Tunjuk Ajar Melayu bahawa ‘adat hidup orang beriman, tahu diri perangai pun sopan’. Bidalan seterusnya yang dikutip beliau pula menjelaskan gejala kurang sopan sebagai; ‘apa tanda orang terkutuk, tak tahu diri tak ingat petunjuk, hati tamak bercampur kemaruk, kemana pergi aruk mengaruk’. Tidak terbantah lagi, kita mendapati yang kata keimanan dipakejkan bersama tingkah laku yang tinggi dan kesopanan. Keimanan tidak disangkutkan hanya, semata-mata dengan keIslaman. Seseorang yang dalam sejarah hayatnya pernah mengucap dua kalimah syahadah boleh sahaja seorang kafir. Ia menjadi kafir apabila saat hilang keimanannya, dan ia juga menjadi kafir apabila ia ‘hilang akal’ dan ‘buruk pekerti’. Fikah seperti yang kita maklumi sangat berhubungan dengan akhlak. Sebagai contoh, aksi atau ibadah solat dihubungkan dengan usaha menegah kekejian dan kemungkaran pada ayat 45 surah al-‘Ankabut; ‘Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan’. Sementara ibadah puasa pula dihubungkan dengan menjadi orang bertakwa pada ayat 183 surah al-Baqarah; ‘Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa’. Ia tidak berakhir di situ, ini kerana orang yang bertakwa itu pula dihubungkan dengan ayat ‘orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang’ pada ayat 134 surah Al-i-’Imran. Ibadah besar haji juga dihubungkan dengan akhlak, seperti yang difirmankan Allah pada ayat 197 surah al-Baqarah, maksudnya; ‘(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah); dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).’ Ibadah Aktiviti dan ibadah zakat pula dilihat sebagai sia-sia jika tidak berakhlak pada ayat 264 surah al-Baqarah, iaitu ayat yang bermaksud; ‘Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir’. Berdasarkan pembuktian menerusi ayat-ayat di atas, ini bermakna hubungan intim akhlak dan ibadah ini sangat diperipentingkan oleh agama Islam hatta dalam fikah sekalipun. Dalam erti kata lain akhlak dan fikah sangat berhubungan. Justeru hukum (yang terkandung dalam fikah) datang dengan falsafah untuk membentuk akhlak, bukan semata-mata untuk menjatuh hukuman buat manusia. Klise? Tetapi, bukankah secara klise pengertian kafir itu dilekatkan kepada orang bukan Islam sahaja? Pengertian yang diberikan oleh saya di atas membolehkan kata kafir terlekat bukan sahaja kepada orang bukan Islam, tetapi juga kepada orang Islam. Dalam hal ini orang yang tidak berakhlak, atau kafir, juga dapat dianggap sebagai tidak berhikmah. Apakah maksud hikmah? Antara lain maksud hikmah terkandung panjang lebar dalam al-Quran pada ayat 23-39 surah Al-Israa’, maksudnya; [23] Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [24] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [25] Tuhan kamu lebih mengetahui akan apa yang ada pada hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintahNya, maka sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat. [26] Dan berikanlah kepada kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau. [27] Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya. [28] Dan jika engkau terpaksa berpaling tidak melayani mereka, kerana menunggu rezeki dari Tuhanmu yang engkau harapkan, maka katakanlah kepada mereka kata-kata yang menyenangkan hati. [29] Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggalah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan. [30] Sesungguhnya Tuhanmu lah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Ia juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Ia Maha Mendalam pengetahuanNya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya. [31] Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang besar. [32] Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan). [33] Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah ia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum Syarak). [34] Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya. [35] Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak). [36] Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. [37] Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. [38] Tiap-tiap satu perintah itu, menyalahinya adalah kejahatan yang dibenci di sisi Tuhanmu. [39] Perintah yang demikian itu ialah sebahagian dari hikmat yang telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) oleh Tuhanmu. Dan (ingatlah) janganlah engkau jadikan bersama-sama Allah sesuatu yang lain yang disembah, kerana akibatnya engkau akan dicampakkan ke dalam neraka Jahannam dengan keadaan tercela dan tersingkir (dari rahmat Allah). Ayat-ayat suci al Quran di atas menjelaskan betapa akhlak yang baik mampu meningkatkan darjat manusia. Ini adalah kerana, ketika Allah menciptakan iman, iman itu sendiri merintih berdoa; ‘Ya Allah kuatkan aku’. Maka Allah menguatkannya dengan akhlak yang baik dan kebajikan. Kemudian, ketika Allah menciptakan kekufuran, kekufuran juga berdoa; ‘Ya Allah kuatkan aku’. Maka Allah memperkuatkannya dengan kebakhilan dan akhlak yang buruk. Hak asasi manusia Saya ingin menghubungkan pula pengertian kafir dan tidak berhikmah yang dihurai panjang lebar di atas dengan hak asasi manusia yang mengalami pencabulan berleluasa. Contoh kecil; jika anda berada di atas jalan, kekafiran anda tidak terungkap pada akidah atau kepercayaan. Jika anda tidak berakhlak di atas jalan raya, semberono dan hilang santun, jika anda seorang pembuli jalanraya, jika anda seorang pencarut tegar maka anda seorang kafir walaupun anda berserban berjubah, atau berhijab litup. Contoh besar; jika anda meyakini kepercayaan atau kaum anda lebih superior dan benar, anda pun mengherdik kepercayaan orang lain, lantas menghina kaum lain dengan begitu angkuh dan sombong, justeru walaupun ada seorang alim di mata komuniti anda, tetap menurut al-Quran anda adalah seorang kafir. Justeru, pencabul hak asasi manusia terkelompok dalam golongan kafir. Kesimpulannya, saya berpandangan kekafiran diungkap pada rendah atau tingginya akhlak, tidak semestinya terletak pada pernah atau tidak anda mengucap dua kalimah syahadah. Kayu ukur kekafiran ini diperolehi berdasarkan al-Quran dan juga kearifan Melayu (Malay wisdom). Berdasarkan kayu ukur di atas; bagaimana, adakah anda seorang kafir? Yang pasti, mereka yang mencabul hak asasi manusia dan ‘melampaui batas’ adalah sememangnya kafir. Sebelum melabel orang lain kafir dan merasakan diri anda tidak kafir, mungkin baik juga anda merujuk ‘manual Ilahiyyah’ untuk menentukan siapa dalam kalangan kita adalah sebenarnya kafir. unnamed

]]>

Melawan kebencian kolektif

Bedar Sukma Bisu saya telah bertanya sebanyak dua kali menerusi watak Wefada; ‘Apakah yang lebih penting, kemakmuran (keperluan perut) atau kebebasan (keperluan benak)? Jika makanan adalah keperluan atau alas perut dari kelaparan, apakah makanan akal atau alas benak dari kejahilan? Agama adalah keperluan yang penting. Oleh kerana itu, dalam sesebuah negara demokratik, kerajaan sebagai bapa akan menjaga keperluan akal ini secara saksama dan tanpa diskriminasi. Hal ini menjadi lebih sulit kerana kerajaan juga perlu melindungi penganut agama minor. Sebelum memahami apakah itu minoriti agama, wajar difahami apakah yang dimaksudkan dengan agama menurut standard antarabangsa. Definisi agama sangat luas meliputi kepercayaan, panduan baik dan buruk atau moral, yang turut merangkumi kepercayaan yang bertuhan (theistic), yang tidak bertuhan (non-theistic) dan tiada kepercayaan (atheistic) . State, atau sesebuah kerajaan perlu mengiktiraf kemerdekaan agama dan kepercayaan. Sekiranya atas sesuatu alasan keagamaan atau ideologi, sesebuah kerajaan enggan mengiktiraf sesuatu ajaran itu sebagai agama, kerajaan masih bertanggungjawab untuk mengiktirafnya sebagai satu kepercayaan (belief). Sesebuah minoriti agama itu terikat oleh solidariti sesama mereka untuk mempertahankan budaya, tradisi, agama atau bahasa. Oleh demikian objektif bersifat politik dan militari tidak termasuk dalam hal ini. Pada sesi United Nations yang ke-25 lalu, Profesor Dr Heiner Bielefeidt, Special Rapporteur on freedom of religion or belief, telah memberi beberapa saranan yang menarik untuk diikuti oleh kerajaan. Pada 11 Mac 2014, beliau membentangkan laporan dengan tema ‘collective religious hatred’. Dr Bielefeidt menegaskan kebencian terhadap agama secara kolektif bukan sesuatu yang alamiah tetapi adalah sesuatu yang boleh dielakkan. Kebencian terhadap agama secara kolektif berlaku kerana adanya ketakutan atau kebimbangan. Perasaan tersebut adalah lawan kepada kasih sayang. Berdasarkan pemerhatian terhadap laporan dan rungutan berkaitan kemerdekaan beragama dari negara-negara anggota United Nations, beliau menyatakan kebencian terhadap agama secara kolektif terjadi kerana situasi politik. Kebencian kolektif Terdapat tiga punca kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa; 1. Wabak korupsi merupakan punca utama berlakunya kebencian terhadap agama secara kolektif. Di dalam sesebuah negara, institusi awam milik kerajaan wajar membantu masyarakat dan agama. Akan tetapi, oleh kerana rasuah atau korupsi berakar, institusi awam gagal memainkan peranan dan fungsi sebenarnya. Oleh sebab itu masyarakat lebih gemar bergantung kepada komuniti agama mereka. Ini menyebabkan komunikasi yang sepatutnya berjalan antara institusi dan masyarakat terganggu. 2. Iklim politik yang bersifat autoritatif menyebabkan kebencian terhadap agama secara kolektif merebak. Iklim politik yang tidak sihat dan kurang memberikan ruang untuk berdialog mengakibatkan penutupan ruang interaksi. Ekoran dari itu juga menyebabkan kontra hujah dan respon balas tidak berlaku. Dalam iklim politik autoritatif, kerajaan akan menyalahkan minoriti untuk sesuatu, atau dalam erti kata lain minoriti agama mengalami pelabelan, paranoia dan dikambinghitamkan. 3. Politik identiti yang sempit juga menjadi salah satu punca kepada kebencian terhadap agama secara kolektif. Terdapat kerajaan yang menggunakan agama untuk membentuk atau menegaskan satu acuan identiti nasional. Dalam hal ini agama tertentu dibajai sebagai unsur perpaduan nasional, atau dijadikan definisi untuk satu budaya atau identiti tunggal. Akibatnya, kaum minoriti yang terkeluar dari agama tertentu tersebut akan mengalami pengasingan, menggugat perpaduan dan kestabilan, pengkhianat, tidak setia dan musuh negara. Saranan Bielfield Profesor Dr Heiner Bielefeidt selaku Special Rapporteur on freedom of religion or belief seterusnya menggariskan beberapa pendekatan untuk mengatasi kebencian terhadap agama secara kolektif. Pertama, beliau menyeru supaya setiap orang menghormati setiap orang yang lain mempunyai hak untuk kemerdekaan beragama. Di peringkat kerajaan, rasa percaya yang kukuh perlu dibina. Ini memerlukan infrastruktur yang asasnya adalah ‘hormat’, kata kunci utama dalam hak asasi manusia. Sesebuah negara berhak mempunyai satu agama rasmi akan tetapi ruang untuk diskriminasi mesti tidak dibenarkan. Kedua, beliau juga menegaskan rasa percaya yang kukuh hanya boleh berlaku antara kerajaan dengan minoriti agama dengan syarat berlakunya komunikasi yang pesat. Dalam hal ini komunikasi tersebut adalah i) antara semua kelompok agama inter dan intra; ii) usaha mendekati minoriti agama oleh kerajaan secara berterusan; iii) membenarkan debat awam tentang isu-isu agama, yang tidak sepihak, berjalan secara lancar malah disuburkan. Ini bermaksud jika kelompok ahlus sunnah wal jamaah diizinkan melakukan kempen, jelajah, dan siri seminar bahaya Syiah; minoriti agama ini juga perlu diberdayakan dan diberi ruang untuk memberi jawapan balas secara setara (setanding). Dalam hal ini pihak kerajaan hanya perlu mengawasi situasi debat awam itu supaya tidak menjejaskan kestabilan. Lensa hak asasi manusia tidak menerima alasan ‘menjejaskan keselamatan negara’ secara sewenang-wenang sebagai alasan menutup dialog kerana komunikasi yang dimaksudkan adalah komunikasi dua arah yang mana agensi kerajaan mempunyai akses cukup untuk berhubungan dengan minoriti agama apabila berlakunya bibit krisis ekoran dari kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa; dan minoriti agama tahu siapakah yang boleh mereka hubungi dan menjadi tempat bergantung di saat kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa bertukar menjadi bibit-bibit bencana. Peranan kerajaan Dalam hal ini, kerajaan memainkan peranan ibu bapa yang mendamai, mengurus dan bersikap objektif apabila anak-anak bertingkah tentang hak masing-masing. Kerajaan juga tidak dapat menjadikan ‘menjejaskan keselamatan awam’ sebagai alasan untuk mengelak berlakunya komunikasi sihat antara kerajaan dan minoriti agama kerana kebencian terhadap agama secara kolektif mempunyai gejala-gejala yang jelas kelihatan. Satu kriteria yang jelas sebagai gejala pada gerakan mempromosi kebencian terhadap agama secara kolektif adalah ‘ia diiklankan secara terbuka oleh mereka yang melakukannya’. Justeru kerajaan perlu menutup jurang antara amaran awal dengan tindakan segera tanpa perlu berlengah; ‘government need to close the gap between early warning and ealy action’. Komunikasi di atas, hanya boleh berlaku apabila terdapatnya budaya wacana yang sihat, ‘culture of free public discourse’. Dalam hak asasi manusia, tindakan pencegahan dibenarkan, akan tetapi, komunikasi yang lancar dan berterus-terang mesti masih boleh berjalan. Tindakan pencegahan mestilah didefinisikan dan diketahui umum dan ditegakkan tanpa sebarang hasrat untuk diskriminasi atau boleh menyebabkan berlakunya diskriminasi. Dalam masa yang sama dialog mesti dirancakkan dengan syarat kelompok agama tidak memperaga dan menonjolkan identiti keagamaan mereka. Institusi pendidikan pula mesti berperanan untuk menyediakan komunikasi di atas. Terdapat suara skeptikal dan sinis apakah saranan-saranan Heiner Bielefeidt selaku Special Rapporteur on freedom of religion or belief ini boleh dan realistik untuk dilaksanakan. Sukacita untuk disebutkan Sierra Leone telah melakukannya dan melakukannya dengan berjaya. Namun demikian satu wacana atau makalah yang lain diperlukan untuk mengenengahkan kejayaan Sierra Leone dalam hal kemerdekaan beragama ini. Agama dan kemerdekaannya adalah keperluan untuk akal. Manusia yang bebas memilih dan kenyang secara akliah akan bertindak lebih waras dan sihat untuk memenuhi keperluan perut.         unnamed

]]>