Islam di pinggiran
Menjadi orang beragama Islam di Amerika dan Eropah bukan sesuatu yang mudah. Seperti mana-mana minoriti di mana-mana negara, mereka sering dijadikan “punching bag” oleh mereka yang paranoid, mencetuskan ketakutan dan kebencian, dan memburuk-burukkan orang yang lain daripada mereka.
Sudahlah menjadi majoriti yang bertampuk kuasa, mereka ini tidak sanggup melihat pengaruh mereka dihakis oleh golongan lain dan oleh itu, apabila mereka terasa dicabar, mereka mendepani cabaran itu dengan mengalih perhatian kepada golongan minoriti dan menjadikan golongan minoriti sebagai “punching bag” untuk menarik sokongan.
Di Amerika, golongan konservatif seperti sesetengah Republicans buat-buat takut dengan khabar angin bahawa kononnya nilai-nilai Amerika (American values) semakin dihakis oleh golongan Muslims.
Seorang senator di Florida mengatakan bahawa undang-undang anti-Sharia/anti-Muslim adalah “satu keperluan dan langkah pencegahan yang sama seperti undang-undang pencegahan vaksin terhadap penyakit-penyakit tertentu”. Seorang wakil rakyat di Oklahoma pula berkata bahawa orang Kristian harus berhati-hati dengan orang Islam yang merancang untuk membunuh orang Kristian.
Gila. Gila. Semuanya gila. Tetapi itulah yang berlaku.
Diskriminasi dan penindasan
Sejak 9/11, golongan Muslims di Amerika menghadapi pelbagai rintangan. Dari segi diskriminasi (institutional discrimination), lebih daripada 20 peratus daripada laporan diskriminasi atau tuntutan yang difailkan dengan EEOC adalah dari umat Islam, walaupun umat Islam hanya 2 peratus daripada populasi Amerika.
Pembinaan masjid juga agak sukar di sesetengah kawasan yang majoritinya beragama Kristian. Jika hujah sesetengah penduduk Taman Medan (atau mereka yang diupah) adalah pembinaan gereja menganggu sensitiviti penduduk yang majoritinya beragama Islam, hujah yang sama juga digunapakai di sini untuk menghalang pembinaan masjid. Adakah itu sesuatu yang betul?
Di Eropah, dalam satu kajian 2011 oleh Pew Global Attitudes Project, majoriti responden di Jerman (72 peratus), Sepanyol (69 peratus), Perancis (54 peratus), dan United Kingdom (52 peratus) berpendapat bahawa umat Islam di negara mereka mahu diasingkan daripada masyarakat arus perdana.
Yang paling teruk adalah pengharaman pakaian agama yang diperkenalkan di Perancis dan Belgium, di mana memakai burqa dan lain-lain bentuk wajah-meliputi “headwear” di khalayak ramai telah dilarang sejak 2011.
Hipokrisi?
Apabila semua ini berlaku, golongan beragama Islam di Malaysia mengutuk penindasan ini. Katanya, manusia wajar diberi kebebasan untuk memilih dan mempraktik agama mereka.
Semangat untuk bersolidariti dengan saudara/saudari mereka yang beragama Islam di negara lain memberi motivasi untuk berjuang bersama menuntut hak mereka sebagai minoriti.
Tetapi apabila agama lain di negara Malaysia dikecam oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab dan gemar mencetuskan kebencian, mana mereka ini yang memperjuangkan hak minoriti dan kebebasan beragama? Apakah mereka hanya peduli jika mangsa penindasan adalah saudara/saudari yang sama agama dengan mereka?
Atau adakah kejahilan mereka berpunca daripada hakikat mereka tidak pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti dan merasai cengkaman terhadap kehidupan mereka?
Pada hemat saya, sesiapa yang pernah melalui kehidupan sebagai golongan minoriti di negara luar akan berhadapan dengan dua pilihan apabila mereka kembali ke tanah air sebagai golongan majoriti.
Yang pertama, mereka berikrar untuk memastikan bahawa mereka tidak akan lagi menjadi minoriti. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Islam daripada sebarang cabaran dan berwaspada dengan sebarang usaha yang seolah-olah berkemungkinan mengancam kedudukan mereka sebagai golongan majoriti yang senang.
Yang kedua, mereka akan memastikan bahawa tidak akan ada golongan minoriti yang akan ditindas begitu di tanah air. Mereka telah merasai ketidakadilan dan diskriminasi di negara luar dan sedar bahawa golongan minoriti sering diasingkan dan dijadikan mangsa “punching bag” percaturan politik. Jadi apabila kembali ke tanah air, mereka boleh sahaja menikmati kesenangan sebagai golongan majoriti, tetapi mereka memilih untuk turut mempertahankan hak minoriti dan berlaku adil kepada semua tanpa mengira kaum, agama, dan kelas.
Terlalu banyak yang mengambil jalan pertama kerana ia adalah pilihan yang mudah. Namun pada saya, jalan kedua lebih dekat dengan seruan Islam. Al-Anbiya: 107: “Tidaklah Kami mengutus engkau kecuali sebagai rahmat bagi seluruh alam.”
Manifesto Kejuruteraan Kritikal
Penterjemahan “The Critical Engineering Manifesto” oleh The Critical Engineering Working Group. Untuk mendalami wacana ini dengan lebih lanjut layari: http://discourse.criticalengineering.org/ Diterjemah oleh: Johan Zolhaidi dan Ahmad Fuad Rahmat. 0. Jurutera Kritikal merasakan bahawa kejuruteraan merupakan bahasa yang paling transformatif buat masa ini, membentuk haluan untuk kita bergerak, bertutur dan berfikir. Ianya merupakan kerja jurutera kritikal untuk mempelajari dan menggunakan bahasa ini, mendedahkan pengaruhnya. 1. Jurutera Kritikal menganggap kebergantungan terhadap teknologi merupakan suatu cabaran dan ancaman. Semakin kuat kebergantungan kita terhadap teknologi, semakin pentinglah bagi kita mempelajarinya dan mendedahkan mekanisme dalamannya, tanpa menghiraukan hak pemilikan ataupun kontrak 2. Jurutera Kritikal meningkatkan kesedaran bahawa kecelikan techno-politik kita dicabar pada setiap langkah kemajuan teknologikal. 3. Jurutera Kritikal merungkaikan semula dan mencetuskan rasa was-was terhadap pengalaman pengguna yang kaya. 4. Jurutera Kritikal menjangkaui rasa “kekaguman terhadap implementasi” supaya lebih mengenali pengaruh kaedah dan akibat mereka yang khusus. 5. Jurutera Kritikal mengenalpasti bahawa setiap hasil rekayasa turut membentuk penggunanya, selaras dengan kebergantungan pengguna terhadapnya. 6. Jurutera Kritikal meluaskan definisi “mesin” untuk menggambarkan hubungan yang merangkumi alat-alat, tubuh-tubuh, agen-agen, daya-daya dan juga jaringan-jaringan. 7. Jurutera Kritikal meneliti ruang di antara pengeluaran dan penggunaan teknologi. Bertindak secara pantas terhadap perubahan-perubahan yang berlaku di dalam ruang tersebut, Jurutera Kritikal berperanan untuk mendedahkan waktu-waktu ketidakstabilan dan penipuan yang terkandung dalam proses tersebut. 8. Jurutera Kritikal mengimbau semula sejarah-sejarah seni, senibina, aktivisme, falsafah dan daya cipta dan menghasilkan pelbagai contoh Rekayasa Kritikal. Strategi, idea-idea dan agenda-agenda daripada disiplin-disiplin tersebut akan digunakan semula, supaya diberi tujuan yang baru dan diatur kedudukannya. 9. Jurutera Kritikal mengenalpasti bahawa kod yang tersirat turut memberi kesan kepada wilayah sosial dan psikologikal, menentukan perangai diantara manusia dengan mesin-mesin yang digunakan oleh mereka. Dengan memahami situasi ini, Jurutera Kritikal ingin merungkaikan semula kekangan pengguna dan aksi sosial melalui sarana penggalian digital. 10. Jurutera Kritikal menganggap pemanfaatan ini sebagai pendedahan yang paling didambakan.
]]>Islam yang mana satu?
temptations of power’. Pengalaman Islam di dalam politik adalah pertembungan Islam dengan kekuasaan.
Islam-politik atau sering disebut “Political Islam” menekankan kepentingan hukum syariah dan kewujudan negara agama (Islamic state). Ia menembus masuk ke dalam ruang awam dan membicarakan tentang kepentingan semua warganegara.
Kuasa politik Islam merupakan sebahagian daripada orde politik yang signifikan di dalam dunia harini.
Kemunculan ekstremisme pemikiran selalu dikaitkan dengan ‘politik Islam’. Ini menyebabkan ramai penganalisis berpendapat bahawa Islam merupakan faktor yang penting di dalam perkembangan dunia politik masakini.
Namun, saya memilih untuk berbeza pendirian. Matlamat semua agama adalah untuk menciptakan kebaikan buat umat manusia. Dan Islam tidak terkecuali. Kekuatan Islam bukan terletak pada sandaran ideologi. Sebaliknya Islam menekankan nilai-nilai spiritualiti.
Politik sebagai agama?
Pengalaman ‘politik sebagai agama’ atau ‘agama sebagai politik’ adalah percubaan untuk menerapkan pemahaman agama sebagai kuasa. Begitu juga apa yang kita sebut sebagai ‘political Islam’. Ia adalah wajah ‘Islam sebagai kuasa’.
Islam adalah agama yang berdiri dengan kekuatan ‘masyarakat nilai’ (value-based society). Islam hanya akan berjaya apabila ia difahami sebagai agama yang menzahirkan kerohanian dan ketenangan jiwa.
Pengkaji Michael Hart yang memilih Nabi Muhammad sebagai tokoh dunia yang paling berpengaruh meletakkan asas pemikiran Muhammad pada tiga nilai; politik, agama dan spiritualiti.
Kajian ini dikatakan sebagai kajian personaliti tokoh yang paling komprehensif.
Soalnya bukan Nabi Muhammad yang paling berpengaruh atau tidak. Tetapi, ia tentang pencapaian seorang manusia bernama Muhammad yang mengangkat darjat kemanusiaan di tahap yang sangat tinggi dalam sejarah manusia.
Tampaknya, sebahagian daripada kita yang mengaku “umat Muhammad” inilah yang sedang merendahkan darjat seorang manusia pada harini. Kerana perbezaan, kita membunuh dan mencederakan.
Pencapaian Muhammad adalah intipati untuk diri kita sendiri.
Pernahkah kita terfikir apakah “Islam” masakini adalah “Islam” yang diajarkan oleh Muhammad atau “Islam” yang direka-reka untuk kepentingan individu?
Soalnya berbalik kepada kita untuk memilih versi yang mana satu ; samada Islam yang mengajarkan rahmat dan kasih sayang atau Islam yang mengajar kita untuk membenci dan menyakiti.
Islam dan Islamisme
Islam berbeza dengan Islamisme. Islam adalah cara hidup. Manakala Islamisme pula ideologi politik yang mengikat Islam dan kekuasaan melalui jalan politik. Muslim tidak semestinya berfahaman Islamis. Mereka mungkin sekular, demokrat atau nasionalis!
Seorang Muslim mungkin sahaja seorang demokrat, liberal, konservatif mahupun progresif. Tetapi, seorang Islamis itu semestinya seorang Muslim.
Nah, apa yang membezakan Islam dan Islamisme?
Di dalam buku ‘Islam and Islamism‘, Bassam Tibi menegaskan bahawa perbezaan Islam dan Islamisme terletak pada penzahiran budaya, nilai hidup dan warisan.
Seorang yang taat dengan ajaran Islam belum tentu seorang Islamis. Islamisme adalah gerakan khusus yang bersifat politikal.
Islam pula tidak semestinya politikal. Islam boleh berperanan sebagai alat kebudayaan dan keruhanian. Istilah yang selalu digunakan ialah ‘Islam Sufi.’
Islam mempunyai keunikan menerusi amalan ibadah dan ritual keagamaan. Seorang muslim mungkin sahaja apolitikal. Tetapi mereka tetap berpegang teguh dengan ajaran agama.
Islamis pula adalah mereka yang berfikiran bahawa hukum/syariat Islam harus ditegakkan melalui jalan politik.
Yang membezakan Islam dan Islamisme adalah Islam sebagai ‘spiritualiti’ manakala Islamisme adalah Islam sebagai ideologi.
Islamis pula mungkin sahaja fundamentalis dan konservatif. Moderat mahupun progresif. Pro kebebasan atau anti-kebebasan. Ia terpulang kepada cara bagaimana golongan Islamis menempatkan fahaman mereka di dalam pergelutan politik dan kekuasaan.
Kita tidak boleh melambakkan pemikiran bahawa Islam dan Islamisme itu dengan kesimpulan bahawa ia anti demokrasi dan pro-keganasan.
Pada masa yang sama, kita tidak pula meletakkan klaim bahawa Islam itu liberal atau demokratik. Islam itu sendiri ditafsirkan berbeza-beza menurut mazhab dan jemaah.
Pemahaman terhadap Islam itu juga bergantung dengan cara fikir masing-masing. ‘Islam’ yang baik pada kita, belum tentu baik untuk orang lain. ‘Islam’ yang benar bagi orang lain juga belum tentu benar di mata kita.
Tetapi yang pasti, Islam mengajarkan umatnya untuk menggunakan akal. Akal yang mengajar kita untuk menjadi baik atau buruk. Maka, “Islam” dan “Akal” merupakan kesinambungan umat Islam supaya maju dan rasional.
Islam politik vs Islam spiritual
Kita harus faham bahawa ‘Islam sebagai cara hidup’ barangkali berbeza dengan ‘Islam sebagai ideologi politik’.
Sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu sifatnya, pemikirannya dan gaya hidupnya berbeza-beza. Kita tidak boleh menganggap Islam dan Islamisme itu sama dan muktamad. Noktah.
Bagi saya ; jika kita percaya bahawa Islam itu adalah ‘rahmatan fil alamin'(rahmat buat sekelian alam) — kita harus setuju bahawa perbezaan dan pluraliti itu adalah rahmat buat Islam. Jarang sekali kita mengakui hakikat bahawa perbedaan adalah peluang untuk kita saling belajar dan mengenali satu sama lain.
Islam adalah agama yang membuka ruang terhadap pentafsiran dan penalaran terhadap wacana. Barangkali ‘perbezaan’ di dalam sejarah Islam adalah sesuatu perkara yang biasa. Islam juga agama bermazhab – dicorakkan mengikut budaya dan amalan setempat.
Islam meraikan perbedaan berfikir dan budaya. Namun, akhirnya terpulang kepada kita (diri sendiri) untuk mencorakkan versi “Islam” yang bagaimana dan macam mana!
2014: Bertabahlah rakyat Malaysia!
Jangan lupa ikatan kemanusiaan kita
Pertama sekali, buat rakyat Malaysia keseluruhannya. Ingatlah bahawa pada dasarnya, kita semua bersaudara. Ikatan inilah yang membuatkan kita anak warga Malaysia.
Tidak kiralah sama ada kita berbeza rupa, warna, fahaman agama, mahupun ideologi kehidupan sekalipun, akhirnya perasaan sayang terhadap negara ini dan rakyatnya yang menakrifkan kita sebagai anak jati Malaysia.
Dan ianya tidaklah lebih jelas daripada usaha semua anak Malaysia, dari pelbagai lapisan masyarakat, kaum dan umur yang tampil berganding bahu untuk menolong mangsa-mangsa banjir baru-baru ini.
Pasti ramai yang menyaksikan sendiri tubuh-tubuh yang mengerahkan diri tanpa dipaksa, demi belas ihsan terhadap manusiawi dan juga haiwan. Lihat sahaja betapa rencamnya mereka. Kesepaduan dalam kepelbagaian inilah yang membuatkan Malaysia indah.
Usah lagi persoalkan persaudaraan kita. Sudah terang lagi nyata, apabila tiba saatnya yang memerlukan, tangan-tangan beraneka warna inilah yang akan menghulurkan bantuan.
Kebanyakan daripada mereka langsung tidak mengharapkan supaya mereka dikenali, mahupun ganjaran atau balasan.
Di saat ini, segala perbezaan adalah enteng – diketepikan dahulu. Nyawa lebih penting daripada persoalan Muslim Sunni-Syiah, Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, lesbian, gay, transgender, konservatif, liberal, ekstremis, imam yang menyokong Hudud, penari dangdut, pekerja asing, pelarian, politik – semuanya wajib diselamatkan dahulu. Anjing dan babi hutan sekalipun.
Inilah kemanusiaan, kebaikan yang merentasi segala perbezaan agama dan identiti diri.
Majoriti perlukan minoriti
Buat rakyat Malaysia yang menganggap diri mereka majoriti di tanah air ini, ketahuilah bahawa anda amat memerlukan warga-warga lain dalam mengharungi cabaran ini dan yang akan datang.
Hakikatnya ialah majoriti ini hanya mencecah 50%, dan jauh lagi untuk mengejar status ekonomi 50% masyarakat majmuk yang lain.
Bayangkan jika 50% atau lebih daripada pertolongan ini hilang. Atau bayangkan jika mereka tidak pernah wujud, betapa ruginya kebudayaan Malaysia yang telahpun bercampur dan meresap ke dalam kehidupan sehari-harian sehingga mungkin kita sendiri tidak sedar ataupun lupa (roti canai, kain pelikat – semua ini asalnya dari luar Nusantara).
Maka hargailah warga-warga yang dianggap minoriti ini. Jangan sesekali mudah terpacul kata-kata yang menghambat pertalian persaudaraan ini. Sebaliknya, cubalah mengenali sesama sendiri.
Usah segan bertanya, asalkan santun. Pelajari mana yang baik untuk memajukan diri. Akhirnya rezeki masing-masing hasil usaha, dan bukan dari sikap ketuanan ataupun hak.
Tanamkan azam menjelang tahun baru ini untuk berusaha lebih dan memperbaiki diri. Perjuangkan keadilan dan hak bersama.
Pelihara hak dan martabat warga minoriti
Untuk golongan minoriti, khususnya yang terpinggir. Harapan kami ialah supaya anda dapat hidup dengan martabat kemanusiaan yang setara dengan warga Malaysia yang lain.
Prejudis dan kebencian berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan persefahaman.
Maka teruskanlah usaha anda dalam membina kesedaran, teguhkan hati dan bersabar, kerana ianya mengambil masa. Jangan mudah berputus-asa dengan warga Malaysia. Anda mempunyai hak untuk hidup, dan tidak harus memencilkan diri.
Bagi golongan moderat. Walaupun ada kalanya diam itu lebih bermaruah, dan tindakan adalah lebih bermakna, namun ianya tanggungjawab anda untuk bersuara jika berlaku ketidakadilan.
Perubahan hanya akan berlaku apabila suara rakyat cukup untuk memperbetulkan keadaan atau menuntut sesuatu yang lebih baik. Anda berhak untuk bersuara, dan keberanian perlu untuk menegakkan kebenaran.
Bak kata Edmund Burke, “Kejahatan akan menang hanya apabila manusia-manusia baik berdiam diri.”
Berteguhlah rakyat Malaysia!
Maka berteguhlah rakyat Malaysia. Yang pasti, kita sendiri perlu lebih bertanggungjawab dalam membentuk negara ini. Untuk mendorong rakyat dan pemimpin kita supaya lebih cakna perihal-perihal penting, kita sendiri perlu beralih dari isu-isu remeh dan menumpukan perbincangan di sana.
Pastinya satu iktibar besar kebelakangan ini ialah kepentingan untuk memelihara alam. Apa yang boleh kita lakukan secara persendirian?
Ya, sudah wujud NGO-NGO yang menangani isu-isu ini. Yang perlu hanyalah usaha dari kita untuk menyokongnya. Sampai bila kita mahu menuding jari? Penyelesaian terletak di tangan kita. “Jadilah perubahan yang ingin kamu lihat,” kata Gandhi.
Mungkin eloklah tahun 2014 ini menutup tirainya.
Terlalu banyak perit jerih dan pengajaran yang sukar untuk kita. Moga di ambang tahun baru ini membawa satu nafas baru, harapan baru. Maju dan maju ke hadapan, selangkah demi selangkah anak Malaysia!
…tetapi Nancy, apakah Hak Asasi ala Malaysia?
Beliau menegaskan Malaysia mempunyai etnik-etnik yang berbeza merangkumi Semenanjung dan Sabah dan Sarawak, justeru, aspek pemikiran dan budaya rakyat negara ini harus diambil kira.
Selama beberapa dekad kumpulan relativis budaya telah dan akan terus menggunakan hujah, yang sama digunakan oleh Nancy di atas untuk membolehkan penganiayaan hak asasi manusia terus berjalan. Mereka berselindung di sebalik, budaya ketimuran dan agama untuk terus melanggar hak asasi minoriti dan warga awam.
Ia berlaku di Myanmar sebagai contoh. Anda fikir mengapa kaum Rohingya diusir dan dibunuh? Kerana Myanmar ada acuan hak asasi manusia mereka yang sendiri. Mereka memanggilnya ‘acuan Myanmar’. Itu sahaja.
Anda fikir mengapa penghuni Gaza dibunuh dan dibom sesuka hati? Kerana regim Zionis ada acuan hak asasi manusia mereka yang sendiri. Mungkin mereka memanggilnya ‘acuan Yahudi’.
Ya, jika tidak dibiarkan melarat, kita akan ada puluh, ratus, ribu malah juta set hak asasi manusia. Begitukah Nancy?
Apa itu hak?
Pertamanya Nancy, hak asasi manusia dalam dua kata adalah ‘Maruah’ dan ‘Hormat’. Justeru, mereka yang mempertahankan hak asasi manusia adalah mereka yang berhasrat untuk mempertahankan maruah, dan menghormati diri dan orang lain. Ini termasuklah anda sendiri.
Keduanya Nancy, kerangka hak asasi manusia Barat yang digubal oleh United Nations pada tahun 1948 ingin mempertahankan nasib dan kedudukan “semua” manusia. Itu adalah persoalan pertamanya, iaitu hak asasi “semua”, ya “semua” manusia. Justeru, kerangka ini menjadikan taraf manusia itu di kedudukan pertama. Sementara perihal agama, warna kulit, gender, atau kecenderungan seksual sebagai hal kedua. Jika kita meletakkan Islam sebagai kedudukan pertama di Malaysia, mengatasi “manusia”, maka janganlah merungut jika Buddha diletakkan sebagai kedudukan pertama di Myanmar, mengatasi “manusia”. Kerana jelas, orang Rohingya tidak dianggap sebagai manusia pun di Myanmar.
Jika Nancy memahami ini, beliau akan dapat membezakan seorang manusia sebagai ‘person’ atau pelaku dengan ‘behaviour’ atau tingkah laku.
Ketiganya, Nancy, hak asasi manusia bukanlah untuk mempromosi persamaan. Anda tidak harus tersilap tentang itu. Bahkan hak asasi manusia bertujuan untuk mengiktiraf dan melindungi tiap perbezaan antara kita semua.
Justeru Nancy, hak asasi manusia adalah persamaan dalam bentuk layanan atau ‘uniformity in treatment or status’ oleh mereka yang berada dalam satu kedudukan yang boleh mempengaruhi atau memberi kesan kepada mereka yang lain. Dalam negara demokrasi, kerajaan bertanggungjawab memberikan hak-hak ini kepada kaum minoriti.
Jika tunjang ini pun gagal diberikan, maka Nancy, yang ada bukanlah demokrasi tetapi fasisme.
Tahukah Nancy mengapakah hak kesetaraan perlu diperjuang, direbut, diperolehi, dituntut oleh mereka yang tidak bernasib baik daripada yang bernasib baik atau ‘the right to equality often must be coerced from the advantaged by the disadvantaged’ ini ya?
Nancy mesti berfikir dengan keras.
Pandangan Cultural Relativists seperti Nancy dan penggubal lain dalam pasukan National Human Rights Action Plan (NHRAP) mengenai hak asasi manusia secara am merupakan salah satu ganjalan yang menyulitkan keamanan di seluruh dunia ini tercapai.
Mereka menggunakan alasan agama. Dalam hal ini, Islam adalah agama yang mesti diberi perhatian khusus. Kumpulan Islamis seperti Sham Rahayu, dan Nancy, akan sering menghujahkan Islam mempunyai kerangka hak asasi manusia yang berbeza dan lebih istimewa.
Hujah ini tentunya sudah agak lapuk Nancy. Tidak Nancy. Anda ketinggalan. Benar, sebagai satu alternatif kepada UDHR 1948, negara-negara Islam telah menggubal Deklarasi Cairo Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam 1990.
Deklarasi Cairo ini adalah rentetan dari Report of the Meeting of the Committee of Legal Experts yang diadakan di Tehran, Republik Islam Iran pada 26 sehingga 28 Disember 1989.
Dalam erti kata lain Nancy, mesyuarat peringkat rendah OIC untuk Deklarasi Cairo tersebut bermula dan digerakkan oleh Iran, sebuah negara yang mazhab rasminya Syiah. Adakah Nancy dan NHRAP kini bersedia menerima Syiah sebagai salah satu mazhab yang diiktiraf di negara ini, seperti mana yang dilakukan oleh OIC dalam Islamabad Declaration 2006 dan ditandatangani oleh Malaysia itu?
Inikah hak asasi manusia ala Malaysia yang dimaksudkan olehmu Nancy? Apa beza acuan Malaysia dan acuan Israel jika begitu? Okay, marah? Kita turunkan sedikit tahapnya, apakah beza acuan Malaysia dan acuan Myanmar jika demikian?
Nancy, berhak mengetahui bahawa ketika Universal Declaration of Human Rights dikemukakan pada tahun 1948, salah sebuah negara umat Islam yang sudah menyertai United Nations dan tidak membantah deklarasi tersebut adalah Arab Saudi. Adakah Malaysia ingin menjadi lebih Islami berbanding Arab Saudi?
Selain Deklarasi Cairo Mengenai Hak Asasi Manusia Dalam Islam 1990, kelompok Cultural Relativists seperti Nancy dan juak-juaknya turut cuba membentuk acuan hak asasi manusia tersendiri yang bersifat oriental (dengan mengambil kira Universal Declaration of Human Rights adalah mengikut acuan Barat).
Sebagai contoh, negara-negara ASEAN berusaha memiliki deklarasi hak asasi manusia yang tersendiri. Dalam tahun 2012, negara-negara ASEAN memilih untuk mempunyai dan menandatangani satu deklarasi yang dinamai ASEAN Declaration of Human Rights (selepas ini ASEAN Declaration).
Malaysia tatkala itu diwakili oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
Nancy, United Nations telah mengkritik ASEAN Declaration tersebut sebagai mengandungi kekaburan dengan terma-terma seperti ‘legitimate restrictions’, ‘morality’, atau ‘public order’ dan ‘national security’ yang terbuka kepada pelbagai penafsiran menurut selera masing-masing. Penafsiran menurut selera inilah yang berbahaya.
Penafsiran menurut selera inilah yang akan dimanipulasi oleh regim pemerintah untuk mengehad bahkan mencabul hak asasi manusia. Itulah yang akan dilakukan oleh National Human Rights Action Plan (NHRAP) apabila kononnya acuan Malaysia akan digunakan untuk mendukung hak asasi manusia.
Untuk makluman Nancy dan anggota NHRA, apa kerangka dan apa acuan hak asasi manusia sekalipun boleh digunakan, acuan Melayu, India, Cina, Kadazan, Bugis, Eropah, Islam, Buddha, Hindu, apa sahaja. Tiada siapa yang peduli; asalkan Nancy, asalkan ‘maruah’ dan ‘hormat’ dapat ditegakkan.
Jika acuan Malaysia yang disarankan itu hanya untuk melindungi kaum elit, kapitalis dan yang berkepentingan maka mengapakah acuan Malaysia itu harus disokong dan diterima pakai oleh orang awam? Beri jawapan yang konkrit Nancy.
Sekarang!
Jika Nancy, dan ‘sekumpulan penyelidik’ ingin menggunakan ‘acuan timur’ dan ‘acuan agama’ hanya untuk menafi, membuli dan mengabaikan ‘maruah’ dan ‘hormat’ kaum minoriti, maka tujuan asas hak asasi manusia tidak akan dapat ditegakkan.
Malah akan dicemuh dan ditolak mentah. Acuan inilah yang digunakan oleh Myanmar untuk menafikan hak Rohingya. Kalian tidak mengasihani nasib Rohingya?
Beginilah Nancy, apa kata kita kembali semula ke kerangka hak asasi manusia 1948, Malaysia adalah anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bukan? Kami keliru, ya atau tidak? Adakah negara kita ini moderat atau tidak?
Menurut kerangka hak asasi manusia yang digubal di Barat pada tahun 1948 itu, hak asasi manusia terbina berasaskan tiga tunjang moral iaitu kebebasan, persamaan dan maruah manusia; ‘human rights are undeniably based upon an appeal to three moral ideals; freedom, equality and human dignity’ (Andrew Fagan, 2011: 3).
Oleh kerana definisi hak asasi manusia menurut kaca mata Barat itu memelihara dan mengiktiraf hak setiap individu iaitu kebebasan, persamaan dan maruahnya, maka ya, ia benar-benar diperlukan malah didambai oleh setiap individu yang waras.
Apakah yang ditawarkan oleh kerangka hak asasi manusia Malaysia ini Nancy? Mestikah rakyat menerima kepalsuan dengan pakej baru ini lagi?
Adakah ia sejenis lagi perhambaan supaya manusia dipasung kaum elitis, kapitalis dan mereka yang berkepentingan?
Nancy, mesti berfikir dengan keras. Untuk itu Nancy mesti belajar berdialog. Dialog itu Nancy adalah apabila dua laluan dibuka, ia bermula dengan sifar dan bukan dengan satu kumpulan lain, kumpulan anda, Sham Rahayu dan lain-lain telah pun menskor markah pertama.
Itu bukan dialog. Itu bukan keadilan. Dialog mestilah benar-benar meletakkan diri di meja rundingan dengan saksama dan kesetaraan.
Nah lihat Nancy, itu sendiri sudah pelanggaran satu hak. Bagaimana kalian mahu melakukan ini?
Apa kata kami mencadangkannya begini; apa kata kita padamkan acara perundingan National Human Rights Action Plan (NHRAP) bersama masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan 13 November 2014 yang lepas. Kita mulakan yang baru. Yang tidak bias, dan benar-benar ‘berunding’? Yang tidak ada ketetapan sebelum bermulanya dialog.
Boleh Nancy? Bolehkah begitu? Nancy, mesti berfikir dengan keras.
Pelihara kebebasan bersuara, tegakkan hak asasi
Kami di Projek Dialog ingin menyatakan rasa marah, benci dan jengkel kami terhadap pencabulan kebebesan besuara, terkandung dalam Piagam Hak Asasi Manusia 1948 yang berleluasa menerusi Akta Hasutan di negara ini.
Berita pendakwaan terhadap Profesor Madya Dr Azmi Sharom di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan adalah contoh kekangan yang terpilih ini.
Dalam sebuah negara, apabila pihak berkuasa mulai mensasarkan ahli akademik, sarjana, wartawan dan seniman; itu menjadi petanda dan kayu ukur yang negara tersebut sedang mengamalkan pendekatan autoritarian.
Kami ingin mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa piagam UNESCO 1997 menerusi ‘Recommendation Concerning the Status of Higher Education Teaching Personnel’ sejak 11 November 1997, pada Artikel 26 dan 27 menyatakan bahawa ahli akademik mempunyai hak untuk menyumbang kepada perubahan sosial di mana mereka bebas memberi pandangan akademik terhadap sebarang dasar kerajaan dan dasar yang memberi kesan terhadap pendidikan tinggi; “the right to contribute to social change through freely expressing their opinion of state policies and of policies affecting higher education”.
Kami di Projek Dialog dengan ini menyatakan solidariti terhadap ahli-ahli akademik di Malaysia yang berani mengkritik dan bekerja untuk mendaulat amanah negara, malah amanah kemanusiaan.
Kami telah mengajukan masalah-masalah yang menimpa ahli akademik di negara ini seperti pengharaman karya, arahan menerusi surat tunjuk sebab dan kini pendakwaan di bawah Akta Hasutan kepada badan-badan internasional.
Kami akan memastikan pendekatan dialog digunakan, dan bukannya pendekatan kuku besi.
Malaysia baru sahaja menyambut kemerdekaan yang ke 57, sebarang tindakan ke belakang adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
Kami ingin mengingatkan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan komitmen beliau terhadap peningkatan hak asasi manusia.
Persekutuan Kristian Malaysia: Kita mesti terus berharap
Tahun ini, kita memperingati Ulang Tahun Merdeka yang ke-57 dan ulang tahun penubuhan Persekutuan Malaysia yang ke-51. Masyarakat Kristian di Malaysia sentiasa menganggap ia suatu rahmat untuk berkongsi detik-detik dan peristiwa-peristiwa penting sepanjang sejarah kita sebagai satu negara.
Walau bagaimanapun, pengalaman kami sepanjang tahun ini tercalar akibat dua kejadian; pertamanya, perampasan Kitab Suci kami daripada premis Pertubuhan Bible Malaysia dan keduanya, keengganan Mahkamah Persekutuan untuk memberi kebenaran kepada Gereja Roman Katolik untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan terhadap kes Herald. Kami terus bimbang tentang status kitab suci yang dirampas dan kesudahan beberapa kes-kes mahkamah yang belum diputuskan berhubung dengan penggunaan kalimah “Allah” oleh umat-umat Kristian.
Tambahannya, kita juga menyaksikan peningkatan di dalam fahaman pelampau perkauman dan keagamaan, di mana puak-puak dengan kebencian dan pemikiran sempit sering dimarakkan oleh maklumat palsu dan penyalahtafsiran; dusta dan ucapan-ucapan yang mengapi-apikan merobek susunan kemasyarakatan negara kita yang telah dibina di atas prinsip kesederhanaan dan kepelbagaian budaya. Kita percaya semua rakyat Malaysia sesungguhnya turut merasa bimbang.
Memandangkan pelbagai cabaran yang sedang kita hadapi hari ini, tambahan dengan kenyataan dan pengumuman kurang sensitif dan kurang logik daripada sesetengah anggota kerajaan serta parti politik yang mentadbir, juga menerusi pemacuan dasar ekonomi yang hanya menambahkan kos sara hidup, maka ia tidak menghairankan apabila ramai telah menunduk kepada pandangan pesimis dan sinis. Sekiranya kita ingin terus bertahan sebagai sebuah negara yang bersatu, dan ingin mempertahankan harapan untuk masa depan bersama, kita semua mesti melawan dan menentang pengaruh-pengaruh yang membinasakan ini. Semua yang menyerah kepada ketakutan dan kekecewaan akan menjadi musuh harapan. Sebaliknya, kita mesti mengelakkan kenaifan dan optimis palsu yang berpunca daripada kejahilan dan sikap acuh tak acuh ataupun perbuatan sengaja bagi menutup isu-isu yang penting.
Apakah itu harapan sejati?
Harapan sejati melibatkan pengorbanan kerana ia tidak berkisar pada kedamaian minda atau ketiadaan persengketaan.
Harapan sejati menuntut keberanian untuk mengambil risiko, tekad moral untuk terus setia dengan pegangan kita serta melawan secara aktif terhadap pengaruh-pengaruh binasa, kebencian dan keganasan.
Harapan sejati tidak sesekali menafikan kebenaran, hakikat kehidupan yang suram, pereputan dan kerasuahan yang menjangkiti masyarakat kita. Harapan sejati mesti mendedahkan selubung dusta, penipuan dan tipu daya yang sering digunakan untuk memaksa dan menakluki minda menerusi maklumat palsu dan ketakutan.
Harapan sejati nampak masa depan adalah terletak pada perbincangan yang bermakna, penerimaan sesama sendiri, kerendahan hati dan saling menghormati.
Harapan sejati menuntut untuk orang lain apa yang kita tuntut untuk diri kita.
Harapan sejati tidak memisahkan “kita” daripada “mereka” tetapi menganggap semua sebagai “satu”. Dan setiap tindakan yang memberi harapan merupakan satu kemenangan.
Justerunya, kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk memberi komitmen baru kepada kerjasama padu demi menyelamatkan Malaysia daripada pengaruh pemikiran sempit, fahaman agama pelampau dan perpecahan kaum.
Kami menggesa semua rakyat Malaysia untuk berusaha lebih gigih lagi ke arah perubahan individu, antara individu dan institusi untuk mengubah negara kita menjadi sebuah masyarakat yang lebih bertoleransi dan berprihatin di mana semua dapat menikmati sepenuhnya kehidupan dan kebebasan, perlindungan saksama di bawah undang-undang dan kebebasan asasi.
Kami menyaran semua rakyat Malaysia untuk menyokong pergerakan-pergerakan dan kumpulan-kumpulan yang berusaha untuk menyatupadukan kita sebagai rakyat Malaysia agar kita dapat hidup aman dan damai.
Kebelakangan ini, negara kita diselubungi oleh kedukaan yang teramat atas kehilangan penumpang dan krew-krew pesawat penerbangan MH 370 dan MH 17. Umat-umat Kristian di Malaysia bersatu dengan semua rakyat Malaysia dan sahabat-sahabat yang kehilangan orang kesayangan dan rakan mereka dalam dua tragedi ini, dalam doa dan renungan mendalam, demi memohon ketenangan jiwa dan pendorongan bagi mereka yang berkabung.
Walau bagaimanapun, kita menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak menunduk kepada perasaan putus asa dan kemuraman di hari-hari yang sukar ini. Marilah kita bersatu di dalam doa kepada Tuhan yang Maha Kuasa bagi memohon kekuatan untuk bertahan dan kegagahan untuk berharap dan berusaha ke arah Malaysia yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia.
Kami memanjatkan doa untuk pemimpin-pemimpin negara kita, iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri, Mentri-mentri Besar dan Ketua-ketua Menteri serta ahli-ahli kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat, para kehakiman, pasukan polis dan angkatan tentera, semoga mereka menjunjungkan kebebasan beragama dengan integriti mutlak sepertimana yang dijaminkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka untuk kebaikan bersama.
Semoga Allah merahmati negara kita yang tercinta, Malaysia, serta semua rakyatnya!
Ditandatangani oleh,
Rev. Dr. Eu Hong Seng, Pengerusi
Bishop Emeritus Antony Selvanayagam, Naib Pengerusi
Archbishop Datuk Bolly Lapok, Naib Pengerusi
Rev. Datuk Jerry Dusing, Naib Pengerusi
15 fakta menarik tentang Hinduisme
Disediakan oleh Yana Rizal.
1. Hinduisme adalah agama tertua di dunia
Ia berasal dari tamadun Vedic India (alaf kedua dan pertama sebelum masihi).
2. Asal-usul Hinduisme tidak diketahui
Hinduisme tidak mempunyai pengasas agama mahupun nabi.
Sebaliknya, Hinduisme merupakan warisan pengajaran dan kebenaran, undang-undang spiritual, dan amalan yang diturunkan oleh pendeta zaman-berzaman.
3. Gelaran “Hindu” tidak wujud di dalam kitab-kitab Hindu
“Hindu” merupakan gelaran yang diberikan oleh orang-orang Arab untuk masyarakat di kawasan sungai Indus, dengan cara hidup mereka.
4. Hinduisme adalah cara hidup.
Hinduisme tidak diasaskan sebagai sebuah “agama” seperti yang biasa difahami, tetapi merupakan satu cara hidup berdasarkan pengajaran daripada kisah-kisah kitab Hindu.
Hinduisme tidak mempunyai sistem yang seragam mahupun badan autoriti keagamaan, kerana falsafah ketuhanan dan kehidupannya yang meluas dan dinamik.
[caption id="attachment_3839" align="alignleft" width="300"] Hinduisme merupakan warisan pengajaran dan kebenaran, undang-undang spiritual, dan amalan yang diturunkan oleh pendeta zaman-berzaman.[/caption]
5. Berjuta-juta Tuhan? TIDAK. Agama Hindu mempercayai hanya SATU tuhan.
Tuhan ini adalah roh segala alam, yang bernama Brahman.
Brahman ialah suatu realiti agung yang tidak berubah, di dalam dan di luar dunia ini, dan tidak mampu untuk diketahui atau difahami dengan sepenuhnya. Roh Brahman ini berada di dalam semua benda.
6. Tapi, dewa Hindu kan berbagai-bagai?
Kerana Tuhan adalah Maha Agung, maka Dia adalah di mana-mana dan dalam segala-galanya, dan tidak mempunyai satu identiti utama. Manusia tidak dapat memahami Tuhan sebagai “satu bentuk sebenar,” sebab itulah terdapat variasi berbeza dalam bentuk Tuhan.
Kesemua ini merupakan penzahiran kepada sifat-sifat Brahman yang berlainan.
Hinduisme menggalakkan penganutnya mendekati Tuhan dengan cara yang paling sesuai dengan diri mereka.
Maka mereka mempunyai pilihan untuk berdoa kepada beberapa atau semua bentuk Tuhan yang berbeza, atau hanya berdoa kepada satu Tuhan yang Maha Esa.
Pembezaan dewa-dewa ini membantu menumpukan doa mengikut keadaan yang sesuai. Sebagai contoh, jika seseorang baru memulakan perniagaan, dia akan menyembah Ganesha, dewa gajah yang mewakili kejayaan.
[caption id="attachment_3606" align="alignleft" width="203"] “Hindu” merupakan gelaran yang diberikan oleh orang-orang Arab untuk masyarakat di kawasan sungai Indus, dengan cara hidup mereka.[/caption]
7. Adakah Hinduisme mempunyai dewa-dewa utama?
Ya. Trimurti ataupun tiga dewa utama adalah Brahma (pencipta), Vishnu, (pemelihara) dan Shiva (pemusnah).
Selain itu, Dewa Ganesha (kejayaan), Dewa Krishna (keagungan), Dewa Hanuman (kekuatan), Dewa Rama (keberanian dan kebaikan) dan Dewi Parvati (kekuasaan dan kecintaan) juga amat popular.
8. Hindu agama menyembah patung? BUKAN.
Penganut Hindu bukan menyembah patung itu sendiri, tetapi menganggapnya hanya sebagai perwakilan fizikal kepada Tuhan.
Ini membantu mereka memberikan tumpuan kepada penyembahan dan meditasi, dan memudahkan mereka mendekati Tuhan.
9. Hindu menyembah lembu? Juga bukan.
Agama Hindu menganggap bahawa semua makhluk kehidupan adalah suci, namun lembu mempunyai tempat yang istimewa.
Lembu dihormati sebagai sumber rezeki dan simbol keibuan, yang membekalkan susu dan keperluan hidup yang lain.
10. Apakah kepercayaan-kepercayaan asas Hinduisme?
Walaupun Hinduisme tidak mempunyai sistem kepercayaan yang seragam, dan menerima pelbagai kepercayaan, secara amnya penganut Hindu berpegang kepada:
Tuhan sebagai Roh dan Realiti Agung
Kebenaran kitab-kitab Vedas
Pengajaran golongan Brahman (pendeta)
Samsara (kelahiran semula): Semua roh kehidupan akan dilahirkan dalam kitaran hidup baru – sehinggalah roh ini mencapai kebebasan (moksha), status pencerahan tertinggi dan penyatuan dengan roh alam.
Karma: Prinsip sebab dan akibat, di mana kelakuan kita dalam kehidupan ini akan menentukan kehidupan yang seterusnya. Kelakuan yang baik akan menyebabkan kelahiran semula yang baik, kelakuan jahat akan menyebabkan musibah dalam kehidupan akan datang.
Dharma: Kebenaran universal, dan tanggungjawab etika.
11. Puruṣārtha: 4 matlamat kehidupan Hindu
Kama: Kemahuan dan kenikmatan, samaada fizikal atau emosi
Artha: Kejayaan dan kemakmuran dalam kehidupan
Dharma: Kemuliaan dan kebaikan. Mengawal Kama dan Artha dalam rangka moral Dharma secara pragmatik, iaitu cara hidup yang betul
Moksha: Kebebasan dari kitaran hidup, satu-satunya matlamat yang sebenar
12. Apakah perayaan-perayaan Hindu?
Disebabkan kepercayaan Hindu yang berbeza-beza, perayaan sesebuah komuniti juga selalunya berbeza mengikut budaya dan dewa yang diutamakan di kawasan itu.
Diwali/Deepavali (“Pesta Cahaya”) – Disambut oleh penganut Hindu sedunia untuk menandakan kemenangan cahaya atas kegelapan, pengetahuan atas kejahilan, kebaikan atas kejahatan, dan pengharapan atas putus asa.
Holi (“Pesta Warna”) – Pesta keramaian di mana warna-warna dicampakkan dengan sukaria antara semua tidak kira status sosial, dan simbolik untuk melupakan sengketa lama. Lahir daripada tradisi legenda Krishna.
Maha Shivaratri – Meraikan Dewa Shiva, pada hari perkahwinannya kepada Dewi Parvati.
Ram Navami – Meraikan kelahiran Dewa Rama.
Krishna Janmastami – Meraikan kelahiran Dewa Krishna.
Ganesh Chaturthi – Meraikan kelahiran Dewa Ganesha.
Thaipusam – Meraikan kejayaan Dewa Murugan ke atas kejahatan. Perayaan penting bagi masyarakat Tamil, seperti di Malaysia.
Thai Ponggal – Pesta menuai bagi masyarakat Tamil.
13. Adakah Hinduisme mendukung sistem kasta?
[caption id="attachment_3842" align="alignleft" width="300"] Diskriminasi kasta bertunjangkan budaya, dan bukan agama.[/caption]
Tidak. Diskriminasi kasta bertunjangkan budaya, dan bukan agama.
Kasta merupakan suatu sistem kuno yang digariskan di dalam kitab-kitab Hindu sebagai kelas pekerjaan, tetapi sebaliknya telah dijadikan dasar hierarki sosial yang sangat ketat.
Kelas kasta (varna) Hinduisme dibahagikan seperti berikut:
Brahman: Golongan pendeta, profesional dan intelektual
Kshatriya: Pemimpin masyarakat, pahlawan dan bangsawan
Vaishya: Dahulunya petani dan penternak, sekarang pedagang
Shudra: Pekerja buruh kasar, penukang atau pemberi khidmat
Dalit/“Yang tidak boleh disentuh”/Pariah: Kelas ini bukan sebahagian daripada Hinduisme, tetapi merupakan pembahagian sosial yang menganggap mereka sebagai golongan terbawah.
Golongan ini sering dipinggirkan dan dianiayai, namun ini bukanlah ajaran Hinduisme.
Diskriminasi kasta telah diharamkan di dalam Perlembagaan India, di bawah Perkara 15 dan 17.
14. Mengapa Hindu menggalakkan pemakanan Vegetarian?
Ini berdasarkan prinsip “ahimsa”, iaitu tiada keganasan.
Oleh kerana semua kehidupan adalah penzahiran Tuhan , maka penganut Hindu digalakkan menghormati kehidupan dengan tidak memakan daging.
15. Hinduisme mempunyai 4 Mazhab utama
[caption id="attachment_3600" align="alignleft" width="202"] Karma: Prinsip sebab dan akibat, di mana kelakuan kita dalam kehidupan ini akan menentukan kehidupan yang seterusnya.[/caption]
Vaishnavi: Mazhab terbesar, yang memuja Vishnu atau salah satu avatarnya (identiti kelahiran semulanya) sebagai Dewa tertinggi dan merupakan kepercayaan monoteistik.
Shaivi: Memuja Siva sebagai Dewa tertinggi dan merupakan kepercayaan monoteistik.
Shakti: Memuja Shakti, atau Devi (Ibu Agung) dalam semua bentuknya sambil tidak menolak kepentingan ketuhanan maskulin atau neutral. Dewi Agung, atau Devi, ialah Tuhan tertinggi, iaitu Brahman sendiri, tanpa tandingan, dan semua bentuk ketuhanan lain adalah semata-mata manifestasi Devi.
Smarti: Prinsip kesamaan semua dewa-dewa, dan semuanya adalah manifestasi satu kuasa ilahi. Ini merupakan takrifkan Hinduisme yang digunakan oleh Mahkamah Agung India, kerana ianya paling sekular.
Mazhab-mazhab Hinduisme tidak menganggap mazhab lain sebagai saingan, dan setiap mazhab bebas meminjam kepercayaan dan amalan dari yang lain.
Sila emel projekdialog@yahoo.com untuk rujukan dan sumber khusus maklumat di atas.